Tafsir Surah Yaasin Ayat 1 (Fadilat Yaasin tidak sahih)

Pengenalan:

Surah Yaasin adalah surah yang selalu dibaca oleh masyarakat kita. Boleh dikatakan surah rasmi di negara ini kerana seringkali dibaca untuk banyak perkara. Namun malangnya, ramai antara kita sebenarnya tidak mengetahui isi kandungannya. Padahal, ada yang tidak tinggal membacanya beramai-ramai setiap minggu pada malam Jumaat. Mereka hanya tahu membacanya sahaja, tetapi kerana tidak tahu apakah yang dimaksudkan oleh surah itu, maka ada yang melanggar suruhan dalam surah itu sendiri.

Tauhid syirik qahriyah
Surah Yaasin termasuk dalam kumpulan surah yang membawa tema syafa’at adalah hak Allah ‎ﷻ. Syafa’at bukan boleh diminta daripada Nabi atau wali-wali. Allah ‎ﷻlah yang memberi izin kepada sesiapa yang dikehendaki untuk diberikan syafa’at.

Surah Yaasin boleh dibahagikan kepada dua bahagian:

Ayat 1 – 44 adalah bahagian yang pertama dan,

Bahagian kedua adalah ayat 45 sampai akhir.

Kesimpulan daripada Surah Yaasin adalah hendak menafikan ‘syirik syafa’at‘. Tidak boleh syirik kerana mengharapkan syafa’at. Yang dimaksudkan syafa’at di sini adalah Syafa’at Qahriyah atau ‘Syafa’at Kasih Sayang’. Apakah yang dimaksudkan dengan Syafa’at Qahriyah itu?

Katakanlah kita baik dengan ketua polis. Apabila anak kita ditangkap, ketua balai tidak berani untuk mengambil kes itu kerana bimbang ketua polis akan memarahinya nanti. Atau kalau ditangkap pun, Ketua Polis tentu akan suruh untuk lepaskan anak itu. Ini dipanggil ‘pertolongan’ atau dalam bahasa Arabnya, syafa’at. Cara begini tidak ada dalam kerajaan Allah ‎ﷻ. Tidak ada sesiapa pun yang kita boleh bodek supaya kita selamat di akhirat kelak. Jangan sekali-kali kita beranggapan bahawa kerana Allah ‎ﷻ sayangkan Nabi Muhammad ﷺ, maka kita boleh bodek Nabi Muhammad ﷺ supaya kita selamat daripada hukuman Allah ‎ﷻ.

Inilah yang berlaku dalam agama Kristian. Penganut Kristian tahu Allah ‎ﷻ sayangkan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, jadi mereka bodekleh Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ keterlaluan sekali sampaikan mereka menaikkan taraf baginda sama dengan Tuhan. Sampaikan mereka sangka kalau mereka sudah buat begitu, mereka buat dosa pun tidak mengapa. Malah ada yang membodek ibu Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, iaitu Maryam juga. Itu semua adalah pemahaman yang amat salah. Janganlah kita pun ada pemahaman sebegitu seperti penganut Kristian juga.

Adakah masyarakat kita seperti itu juga? Memang ada. Iaitu ada antara kita yang pergi ke kubur Nabi ﷺ di Masjid Nabawi di Madinah dan memohon agar baginda ingat kepada kita untuk memberi syafa’at di akhirat nanti. Padahal Nabi Muhammad ﷺ sudah wafat dan tidak dapat mendengar dan  menjawab permintaan itu. Kalau kita kata begitu, sudah menjadi kufur.

Ingatlah bahawa Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh beri syafa’at. Nabi hanya ‘menyampaikan’ sahaja syafaat kepada sesiapa yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Bukan Nabi yang menentukan siapa yang boleh mendapat syafa’at. Perumpamaannya adalah sepertimana Tuan Pegawai Daerah menyampaikan surat tanah kepada mereka yang telah ditetapkan akan mendapat tanah oleh Pejabat Tanah. Dia hanya *menyampaikan* sahaja sijil itu. Sebenarnya yang menetapkan siapa yang akan mendapat tanah itu bukanlah dia. Hendaklah memohon dahulu dengan pejabat tanah dan hanya mereka yang layak sahaja akan dapat.

Mereka yang ikut seratus peratus ajaran Allah ‎ﷻ dan Nabi Muhammad ‎ﷺ semasa hidup di dunia akan mendapat syafa’at daripada Allah ‎ﷻ. Iaitu mereka yang tidak melakukan syirik kepada Allah ‎ﷻ. Atau jikalau dia ada melakukan syirik, dia sempat memohon ampun sebelum mati. Mereka yang ada fahaman dan amalan syirik, tidak akan ada peluang untuk dapat syafa’at.

Surah Yaasin ini adalah salah satu daripada Surah-surah Makkiyah – diturunkan di Mekah. Surah-surah Makkiyah mempunyai persamaan di dalamnya, iaitu kesemuanya menceritakan tentang tiga perkara penting: Tauhid, Risalah dan Akhirat. Ketiga-tiga elemen ini ada dalam surah Yaasin ini. Kita akan lihat bahawa satu persatu perkara ini akan disentuh dalam surah Yaasin ini, dan dimulai dengan Risalah – tentang tugas Nabi Muhammad ﷺ sebagai Rasul. Kemudian surah ini akan menerangkan tentang Tauhid dan akhir sekali tentang kejadian-kejadian di Hari Kiamat dan akhirat nanti.

Tidak terdapat malam-malam khusus untuk membaca Surah Yaasin ini. Boleh sahaja dibaca bila-bila masa sebenarnya. Tidak boleh jika dibuat bacaan Yaasin pada malam Jumaat sahaja. Kalau hendak baca boleh, tetapi jangan qasad (iktikad) dalam hati, hendak baca sebab waktu itu adalah malam Jumaat. Namun sebaiknya ditinggalkan kerana amalan ini sememangnya adalah amalan bid’ah. Malangnya, inilah amalan yang selalu sangat dibuat di masjid-masjid tempat kita padahal ia bukanlah berdasarkan hadith Nabi ﷺ yang sahih. Jikalau bukan daripada hadith yang sahih, maka amalan itu tidak boleh dibuat, kerana ia adalah termasuk amalan bid’ah.

Termasuk juga amalan bacaan Yaasin ini banyak yang digunakan dalam majlis-majlis lain. Contohnya akan dibacakan kepada orang yang hampir mati, juga apabila ada yang mati, di kubur sebagai sedekah pahala dan juga di dalam majlis tahlil. Itu semua adalah perbuatan bid’ah yang tidak ada dalil atau bersandarkan dalil yang lemah.

Sebenarnya hadith-hadith yang menyebut kelebihan membaca Surah Yaasin ini tidak sahih belaka. Orang Melayu kita sahaja yang jahil bab hadith, tidak tahu mana yang sahih mana yang dhaif/palsu. Maka kerana itu orang-orang kita zaman dahulu mengamalkan Yasinan di dalam banyak perkara. Mereka tidak sedar yang hadith yang mereka jadikan sandaran itu tidak sahih. Kita kongsikan beberapa di sini,

Antara yang kita selalu dengar, Yaasin ini adalah ‘jantung Al-Qur’an’, bukan? Ketahuilah bahawa hadis ini tidak sahih.

Daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

إنَّ لِكُلِّ شيءٍ قَلْبًا ، وَإنَّ قَلْبَ الْقُرْآنِ ( يس ) ، مَنْ قَرَأَهَا فَكَأنَّما قَرَأَ القُرْآنَ عَشرَ مَرَّاتٍ
“Setiap sesuatu itu mempunyai hati, dan sesungguhnya hati al-Quran adalah surah Yasin. Barangsiapa yang membacanya maka pahalanya seumpama membaca sepuluh kali al-Quran”.  
[Riwayat al-Tirmidzi, kitab keutamaan al-Quran, bab keutamaan surah Yasin, no. hadith 2812 dan riwayat al-Darimi, kitab keutamaan al-Quran, bab keutamaan surah Yasin, no. hadith 3282]

Hukum hadith

    • Imam al-Tirmidzi رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan bahawa hadith ini gharib. [Lihat: Sunan al-Tirmidzi, no. hadith 2812]
    • Imam al-Mizzi dan Imam al-Zaila’iy menaqalkan pendapat al-Tirmidzi yang menyatakan salah seorang daripada perawi di dalam hadith ini adalah majhul iaitu Harun Abu Muhammad. Selain itu, al-Hafiz Ibn Hajar juga berpendapat sedemikian.
    • Imam Ibn Kathir رَحِمَهُ اللَّهُ menyatakan tidak sahih disebabkan sanadnya dhaif (lemah).

 

Lagi satu, Yaasin ini selalunya dibaca kalau ada orang sakit dan nazak, juga apabila mati pun dibacakan Yaasin juga. Sampaikan hampir setiap rumah orang Melayu ada kitab khas Yaasin siap sedia apabila ada orang yang hendak membacanya. Jadi apakah status hadith yang dijadikan sandaran?

Daripada Ubaiy bin Ka’ab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dikatakan bahawa Nabi ﷺ bersabda:

مَنْ قَرَأَ يَس يُرِيدُ بِهَا اللهَ ؛ غَفَرَ اللهُ لهُ ، وأُعْطِيَ مِن الأَجْرِ كَأنَّما قَرَأَ القُرآنَ اثْنَتَي عَشرَةَ مرَّةٍ . وأيُّما مَرِيضٍ قُرِئَ عِنْدَه سُورَةُ يس ؛ نَزَلَ عَلَيهِ بِعَدَدِ كُلِّ حَرْفٍ عَشرةُ أَمْلَاكٍ ، يَقُومُونَ بَيْنَ يَدَيْهِ صُفُوفًا ؛ فَيُصَلُّونَ ويَسْتَغْفِرُونَ لهُ ، وَيَشْهَدُونَ قَبْضَهُ وَغَسلَهُ ، وَيتَّبِعُونَ جَنَازَتَهُ ويُصَلُّونَ عَلَيهِ ، ويَشْهَدُونَ دَفنَهُ . وأيُّما مَرِيضٍ قَرَأَ سُورَةَ يس وَهُوُ فِيْ سَكَرَاتِ الموتِ ؛ لَمْ يَقبِضْ مَلكُ الموتِ رُوحَهُ حَتَّى يَجيئَهُ رِضْوَانُ خازِنُ الجنَانِ بِشَربَةٍ مِنَ الجنَّةِ ؛ فَيَشْربُها وَهُوَ عَلَى فِرَاشِهِ ، فَيَمُوتُ وَهُوَ رَيَّانُ ، وَلَا يَحْتَاجُ إِلَى حَوْضٍ مِنْ حِيَاضِ الأَنْبِيَاءِ ؛ حَتَّى يَدْخُلَ الَجنَّةَ وَهُوَ رَيَّانُ
“Barangsiapa yang membaca surah Yasin kerana Allah SWT akan diampunkan oleh Allah SWT akan dosanya, akan diberi ganjaran pahala seperti membaca al-Quran sebanyak 12 kali. Begitu juga, apabila dibacakan surah Yasin pada orang yang sakit, akan turun kepadanya setiap satu huruf sepuluh orang malaikat yang akan berdiri di sisinya dalam keadaan berbaris dan para malaikat tersebut akan selawat dan beristighfar kepadanya serta menyaksikan ketika nyawanya diambil dan akan memandikannya. Tambahan pula, akan mengikut jenazahnya serta sembahyang ke atasnya dan menyaksikannya ketika ditanam. Selain itu juga, apabila dibacakan surah Yasin ke atas orang yang sakit ketika dalam keadaan sakaratul maut tidak akan diambil nyawanya oleh malaikat maut sehingga datang malaikat Ridhuan iaitu penjaga syurga dengan membawa minuman daripada syurga maka orang tersebut akan meminumnya ketika berada di atas katil maka dia pun meninggal dalam keadaan tenang dan orang tersebut tidak mengharapkan lagi telaga daripada telaga nabi-nabi sehingga dimasukkan ke dalam syurga dalam keadaan tenang (bahagia)”.

Hukum hadith

Syeikh al-Albani menghukum hadith tersebut adalah palsu. [Lihat: al-Silsilah al-Dhaifah, no. hadith 4636]

Begitu ramai sekali terlalu gemar membaca surah ini sehinggakan dalam segala dibaca Surah Yasin, sikit-sikit Surah Yaasin kerana pada sangkaan mereka, ada banyak kelebihan surah ini. Mari kita lihat sandaran amalan ini,

من قرأ يس غفر له و من قرأها و هو جائع شبع و من قرأها و هو ضال هدى و من قرأها و له ضالة وجدها و من قرأها على طعام خاف قلته كفاه و من قرأها عند ميت هون عليه و من قرأها عند امرأة يخشى عليها ولدها يسر عليها
Sesiapa yang membaca Yasin diampunkan baginya dan sesiapa yang membacanya ketika lapar akan kenyang, sesiapa membacanya ketika sesat maka akan dapat petunjuk, sesiapa yang membacanya ketika barangnya hilang akan menjumpainya, sesiapa yang membacanya ke atas makanan yang dia takut ia tidak mencukupi maka ia akan mencukupi, sesiapa yang membacanya di sisi mayat maka akan diringankan ke atasnya dan sesiapa yang membacanya kepada perempuan yang ditakuti (keselamatan) anaknya maka akan dipermudahkan urusannya…

Hukum hadith

Riwayat ini dhaif bahkan munkar kerana ada 2 kecacatan:

i. Terdapat perawi dhaif yang bernama al-Khalil bin Murrah al-Basri. Beliau dhaif pada majoriti ulama hadith semisal al-Bukhari, Abu Hatim, al-Tirmidzi, ِAbu al-Walid al-Tayalisi dan Ibn Adiyy dan beliau juga banyak meriwayatkan hadith munkar. (Rujuk: al-Majruhin, jld. 1, hlm. 322, Tahzib al-Tahzib, jld. 9, hlm. 100, no perawi: 319)

ii. Tafarrud iaitu bersendirinya beliau dalam riwayat ini. Walaupun Ibn Adiy menyatakan bahawa status beliau tidak sampai kepada tahap perawi matruk (ditinggalkan) tetapi status beliau yang banyak meriwayatkan hadith munkar ditambah pula beliau bersendiri dalam meriwayatkan riwayat ini, maka ia menguatkan petunjuk (qarinah) bahawa hadith ini munkar.

Kesimpulannya hadith ini tidak sahih kerana semua sanadnya palsu, matruk dan munkar.

Bagaimana pula dengan hadith ini?

اقْرَأُوا يَس عَلَى مَوْتَاكُمْ
“Bacalah Yasin untuk orang yang nazak dalam kalangan kamu.”

Takhrij Hadith

Riwayat Ahmad (no. 20301), Abu Daud (no. 3121), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (no. 10846) dan Ibnu Majah (no. 1448) daripada hadis Ma’qil bin Yasar. Hadith ini didhaifkan oleh al-Daraqutni dan Ibnu al-Qathan dalam Bayan al-Wahm Wa al-Iham.

Mungkin ada yang hendak jalan pintas mendapat gandaan baca Al-Qur’an.

مَنْ قَرَأَ يس فَكَأَنَّمَا قَرَأَ الْقُرْآنَ عَشْرَ مَرَّاتٍ
“Sesiapa yang membaca surah Yasin maka seolah-olah dia membaca al-Quran sebanyak sepuluh kali.”

Takhrij Hadith

Riwayat Sa’id bin Mansur (2/283) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (no. 2232) daripada Hassan bin ‘Athiyyah daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dengan sanad yang dhaif. Kata al-Baihaqi: “Ini mursal.” Ini kerana Hassan bin ‘Athiyyah ialah tabi’i yang tidak sempat bertemu Rasulullah ﷺ.

Ada pula hadith yang berbunyi seperti ini,

يس لِمَا قُرِئَتْ لَهُ
“Surah Yasin tergantung niat orang yang membacanya”.

Kononnya bacaan surah Yasin dapat memenuhi keperluan dan memudahkan urusan sesuai yang diniatkan ketika membacanya.

Imam Sakhawi رَحِمَهُ اللَّهُ mengulas tentang hadith ini, “Tidak ada asalnya (hadith) dengan pemberitahuan seperti ini.” (Al-Maqasid Al-Hasanah, 741. Al-Qadhi Zakariya dalam catatan Baidhawi mengatakan bahawa hadith ini mawdhu’ (palsu). Sebagaimana terdapat dalam ‘Kasyful Khafa’.

Oh bagaimana dengan amalan masyarakat Melayu yang tidak tinggal Yasinan malam Jumaat? Di mana-mana masjid dan surau akan ada majlis bacaan Yaasin ini. Kalau ada anak muda yang mencadangkan surah lain, atau mencadangkan dibacakan pada hari/malam lain, agaknya melompat pak imam dan tok siak kerana kelancangan anak muda itu. Tidak lengkap malam Jumaat tanpa bacaan Yaasin agaknya. Dari mana datang amalan ini? Mungkin daripada hadith ini,

مَن قرأَ سورةَ (يس) في ليلةِ الجُمعةِ؛ غُفرَ لهُ
Sesiapa yang membaca surah Yasin pada malam Jumaat akan diampunkan baginya.

Komentar Ulama/Pengkaji Hadith

Hadith ini disebut oleh Syeikh Mashhūr bin Ḥasan Āl Salmān حفظه الله dalam kitab himpunan hadith-hadith daif dan palsu beliau berjudul Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrīj, di halaman 1523, hadith no. 7741. Kitab ini adalah ringkasan kepada kitab Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah karya Syeikh Muḥammad Nāṣir al-Dīn al-Albānī (m. 1420H) رحمه الله. Berikut adalah maklumat tentang hadith ini, seperti yang terdapat dalam kitab ini:

(ضعيف جدا) عن أبي هريرة – رضي الله عنه- مرفوعا: ((من قرأ سورة (يس) في ليلة الجمعة؛ غفر له)). [الأصفهاني، ((الضعيفة)) (5111)].

(Sangat Lemah) Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, secara marfu’ (disandarkan kepada Nabi ﷺ): Sesiapa yang membaca surah Yasin pada malam Jumaat akan diampunkan baginya. [Riwayat al-Asfahani. Lihat Silsilah al-Da’ifah, no. 5111]

Selalu bukan kita melihat pengunjung kuburan membaca booklet Yaasin untuk dibacakan kepada ahli kubur dengan niat, entah saya tidak tahu apa niat mereka. Dari mana pula amalan itu? Mungkin daripada hadith ini,

مَن زار قبرَ والِدَيْهِ كلَّ جُمُعَةٍ ، فقرأ عندَهما أو عندَه ( يس ) غُفِرَ له بعَدَدِ كلِّ آيةٍ أو حرفٍ
Barang siapa yang menziarahi kubur kedua-dua ibubapanya setiap hari Jumaat lalu membaca di sisi mereka atau di sisinya surah Yasin, diampunkan baginya mengikut bilangan setiap ayat atau huruf.

Status: Palsu

Komentar Ulama/Pengkaji Hadith

Hadith ini disebut oleh Syeikh Mashhūr bin Ḥasan Āl Salmān حفظه الله dalam kitab himpunan hadith-hadith lemah dan palsu beliau berjudul Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrīj. Berikut adalah maklumat tentang hadith ini, seperti yang terdapat dalam kitab ini:

(موضوع) عن أبي بكر الصديق -رضي الله عنه- مرفوعا: ((من زار قبر والديه كل جمعة، فقرأ عندهما أو عنده {يس} غفر له بعدد كل آية أو حرف.)) [عد، أبو نعيم في ((أخبار أصبهان))، عبد الغني المقدسي في ((السنن))، ((الضعيفة))(50))].

(Palsu) Daripada Abu Bakar al-Siddiq رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ secara marfu’ (disandarkan kepada Nabi ﷺ): ((Barang siapa yang menziarahi kubur orang tuanya setiap hari Jumaat dan membaca di sisi mereka surah Yasin, akan diampunkan dosanya mengikut bilangan ayat atau huruf yang dibaca.)) [Riwayat Ibn ‘Adiy dalam al-Kamil, Abu Nu’aim dalam Akhbar Asbahan dan Abd al-Ghani al-Maqdisi dalam al-Sunan. Lihat Silsilah al-Da’ifah no. 50].

Jadi entah ada berapa hadith kelebihan Yaasin, ada dikatakan sampai lebih daripada 30 hadith kesemuanya. Semua fadilat itu tidak sahih belaka. Maka jelaslah amalan sandaran masyarakat kita ini tidak kuat. Yang sahihnya, pada hari Jumaat, dianjurkan untuk dibaca Surah Kahfi. Namun, kalau hendak baca Surah Kahfi, tidak boleh dibuat malam Jumaat sahaja. Hendaklah berselang seli dengan membaca pada siang hari juga. Ini kerana dalam hadith Nabi ﷺ baginda sebut pada ‘hari’ Jumaat, bukan ‘malam’ Jumaat.

Malang sekali apabila hanya surah Yaasin sahaja yang dinaikkan, seolah-olah surah-surah lain tidak ada di dalam Al-Qur’an. Masyarakat kita tertipu dengan amalan ini; mereka sangka apabila mereka melakukannya, mereka sudah menjalankan tuntutan agama. Padahal ia jauh daripada agama kerana ia adalah amalan bid’ah. Ini kerana mereka telah mengkhususkan satu amalan pada waktu-waktu tertentu (seperti malam Jumaat) sedangkan ia tidak diajar oleh Rasulullah ﷺ dan tidak diamalkan oleh para sahabat رضي الله عنهم.

Sepatutnya mereka bukan sahaja baca surah Yaasin tetapi hendaklah mereka belajar tafsir dan kemudian mengamalkan isi kandungan surah ini. Barulah ia memberi manfaat kepada mereka. Jadi inilah hasrat penulisan ini hendak memberi sedikit gambaran tentang ajaran surah Yaasin ini, in sha Allah.

Maksud utama surah Yaasin adalah untuk menafikan Syafa’at Qahriah. Iaitu tidak ada syafa’at yang boleh diberi kepada sesiapapun termasuk syafa’at kerana kasih sayang. Sebagai contoh, ada antara kita yang selalu bodek malaikat, Nabi, wali dan sebagainya. Yang buat begitu sangka bahawa dengan buat begitu, Tuhan tidak akan mengazab kita. Ketahuilah bahawa Tuhan tidak boleh dipengaruhi oleh sesiapapun. Fahaman ini tidak boleh ada dalam kalangan kita. Kalau ada perasaan itu, maka itu adalah syirik kepada Allah ‎ﷻ.

Yang ada hanyalah Syafa’at bil Izin. Iaitu syafaat yang dizinkan oleh Allah ‎ﷻ. Inilah yang telah tertulis dalam Ayat Kursi

مَنْ ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِنْدَهُ إِلَّا بِإِذْنِهِ
Tiada sesiapa yang dapat memberi syafa’at (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya.

Nabi ﷺ memang diberi kelebihan untuk memberi syafa’at, tetapi bukanlah baginda boleh beri kepada sesiapa sahaja yang baginda kehendaki. Kepada bapa saudaranya yang baginda sangat sayang pun tidak boleh. Hanya kepada yang bertauhid kepada Allah ‎ﷻ sahaja yang akan dapat syafa’at. Iaitu yang tidak ada syirik kepada Allah ‎ﷻ.

Jadi kita tidak perlu bodek Nabi, wali dan malaikat. Yang mengamalkan perbuatan itu adalah mereka yang apabila hendak melakukan perbuatan ‘membodek’ itu memulakan dengan perkataan: “ila hadrati Nabi…..” Ataupun mereka akan kirim salam kepada Nabi, kepada wali dan juga kepada malaikat. Perkataan ‘hadrat’ yang mereka gunakan itu adalah perkataan Urdu, jadi ia adalah amalan yang berasal dari India. Bukan daripada amalan orang Arab dan tentulah bukan amalan yang pernah diajar oleh Nabi ﷺ atau diamalkan oleh para sahabat رضي الله عنهم. Mereka yang buat sebegitu adalah dengan tujuan untuk mendapat keberkatan daripada Nabi ﷺ tetapi baginda tidak pernah pun mengajar umatnya untuk berbuat seperti itu. Sebenarnya tidak perlu mereka melakukan sedemikian kerana dengan membaca Surah Yaasin kita sudah mendapat berkat. Maka mestilah dibuang kekeliruan ini.

Banyak yang keliru dengan mencari keberkatan ini. Keberkatan ada yang berbentuk tempat seperti Mekah. Adakah tempat itu yang memberi berkat? Tidak, kerana Allah ‎ﷻ yang memberi berkat kepada kita kerana kita ada di situ. Keberkatan yang dimaksudkan adalah, jikalau kita berdoa, doa itu in sha Allah akan makbul.

Selain tempat, perbuatan yang baik juga mempunyai keberkatan. Sebagai contoh, dengan membaca Al-Qur’an juga boleh mendapat berkat. Jikalau kita berada dalam majlis ilmu juga kita akan mendapat berkat. Ini kerana pada waktu itu kita sedang belajar agama. Namun bukanlah keberkatan itu datang daripada ustaz yang mengajar. Manusia tidak mempunyai berkat. Berkat adalah perkara luar-biasa yang manusia tidak boleh buat sendiri, kena Allah ‎ﷻ yang bagi. Tentang keberkatan ini, ada disebut di dalam Mulk: 1.

تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ
Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan

Ayat ini bermakna, Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh memberi berkat. Bukan makhluk lain. Keberkatan ini tidak boleh diturunkan melalui makhluk lain. Manusia tidak boleh beri berkat kepada orang orang lain. Mestilah dibuang semua fahaman yang salah ini. Kerana tidak faham tentang berkat inilah ada antara kita yang hendak peluk dan cium ustaz-ustaz dan ulama’ sebab mereka kata ada keberkatan pada mereka. Itu adalah pemahaman yang amat salah.

Surah Yaasin ini hendak menolak pemahaman syirik manusia yang berharap kepada syafaat daripada Nabi, wali dan malaikat. Dakwa Surah ini ada dalam Ayat 23 yang kita akan baca nanti.

Antara tugas Nabi adalah untuk tazkiyah umatnya. Tazkiyah itu bermaksud menyucikan hati manusia daripada sifat-sifat syirik kepada Tuhan yang telah ada dalam hati manusia. Memang kita mungkin tidak buat, tetapi kadang-kadang pemahaman syirik telah ada dalam hati. Contoh: apabila kita percaya bahawa apabila burung hantu berbunyi, kita katakan bahawa akan ada orang akan mati. Itu adalah pemahaman yang syirik kerana kematian ditentukan oleh Allah ‎ﷻ. Namun kalau kita kata burung hantu itu boleh tahu bahawa akan ada orang yang akan mati, bermakna kita telah mengatakan burung hantu itu mempunyai kuasa Tuhan. Kita mungkin tidak cakap begitu sebab tiada burung hantu di bandar tempat kita tinggal. Jikalau kita balik ke kampung atau masuk hutan dan kita terdengar suara burung hantu, dengan secara automatik kita akan kata, “Ini tentu ada orang yang nak mati ni”. Bermakna, kepercayaan itu telah ada dalam hati kita, cuma kita tidak zahirkan sahaja, sebab belum berlaku kepada kita. Fahaman itu adalah syirik kepada Tuhan.

Satu lagi contoh untuk memberikan kita lebih kefahaman: Apabila rama-rama masuk rumah, kita selalunya akan kata: “Ada orang hendak datang”. Bukannya rama-rama itu mendapat rahsia daripada Tuhan. Kalau percaya seperti itu pun syirik.

Banyak lagi pemahaman syirik yang selalu kita dengar: gerak mata, gatal tangan, panas telinga dan sebagainya yang selalu terjadi. Kita selalu meletakkan kejadian-kejadian seperti itu mempunyai makna-makna yang tertentu yang tidak ada dalil atau fakta yang boleh dijadikan hujah; melainkan hanya sangkaan semata atau kata-kata orang dulu-dulu yang kita percaya bulat-bulat. Kena buang fahaman sebegini daripada hati kita. Ketahuilah bahawa kalau kita ada pemahaman syirik, kita tidak akan ada peluang untuk masuk syurga. Nauzubillah min zalik!

Marilah kita belajar satu persatu makna yang hendak disampaikan Allah ‎ﷻ dalam surah-Nya yang mulia ini:

 


WAKE UP CALL

Yaasin Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 6 perenggan makro. Ayat 1 – 12 adalah Perenggan Makro Pertama di mana Allah ‎ﷻ memberitahu kebenaran Kerasulan Nabi Muhammad ﷺ.

يس

(yā sīn)

Kita tidak tahu makna huruf ini kerana ia adalah perkara ghaib.

Huruf-huruf sebegini dinamakan huruf muqatta’ah. Ia termasuk ayat-ayat Mutashabihaat (samar maknanya dan tidak jelas), bukan Muhkam. Dari segi bahasa bermaksud: huruf yang dipotong-potong atau terputus kerana huruf yang ada disebut satu persatu seperti dipotong-potong. Kita tidak tahu apakah maksudnya. Ia tidak diketahui kerana tidak diajar oleh Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم pun tidak bertanyakan maksudnya. Rasulullah ﷺ pula tidak beritahu (kalau baginda tahu) kerana ia tidak perlu untuk diketahui kerana kalau ia perlu diketahui oleh umat Islam, pasti baginda sudah menyampaikannya.

Bukanlah ia tidak ada makna kerana Allah ﷻ tidak melakukan perkara yang sia-sia. Cuma kita sahaja yang tidak tahu kerana kemampuan akal kita yang terbatas. Akan tetapi ini juga adalah pendapat kerana Nabi Muhammad ﷺ pun tidak pernah beritahu kita: ia ada makna tetapi kita sahaja tidak tahu.

Walaupun kita tidak tahu maksudnya, namun kita masih boleh mengambil manfaat daripadanya. Ayat-ayat muqatta’ah ini mengingatkan kita bahawa kita mula belajar tafsir surah ini dengan tidak tahu apa-apa melainkan apa yang Allah ﷻ dan Nabi-Nya sampaikan kepada kita sahaja. Memang banyak yang cuba mentafsir maksud huruf-huruf muqatta’ah ini, namun ia bukanlah berdasarkan dalil yang sahih.

Pengajaran yang kita boleh ambil adalah: Kalau Tuhan tidak mahu ajar kepada kita, maka kita tidak dapat tahu walau satu benda pun. Maka kita sangat bergantung kepada Allah ﷻ untuk memberikan ilmu pengetahuan kepada kita. Allah ﷻ akan buka kefahaman sesuatu perkara itu kepada mereka yang Dia mahu berikan pengetahuan. Maka ayat ini juga menunjukkan kepada kita bahawa ada banyak lagi perkara yang Tuhan tidak beritahu kepada kita. Ia merendahkan diri kita supaya kita sedar bahawa kita tidak berilmu sebenarnya, melainkan apa yang Allah ﷻ berikan kepada kita sahaja.

Bangsa Arab ketika zaman Nabi ﷺ amat mementingkan bahasa. Bahasa Arab terbukti memang hebat (sebab itulah Al-Qur’an diturunkan dalam Bahasa Arab). Mereka banyak mengadakan pertandingan sajak dan syair kerana ia adalah kebanggaan bagi mereka. Sampaikan kalau ada sajak atau syair yang memenangi pertandingan akan digantungkan di Kaabah. Maka, apabila ada ayat-ayat yang dimulai dengan huruf-huruf muqatta’ah ini, ia amat menarik perhatian orang Arab.

Mereka tidak biasa dengan penggunaan bahasa Arab sebegini kerana kebiasaannya, kalau dieja huruf ya dan sin, tentulah dibaca oleh mereka sebagai ‘yas’. Namun tidak pula dalam kes Surah Yaasin ini (dan banyak surah-surah lain) ia pelik kerana huruf itu disebut satu persatu. Maka perkara ini membuatkan mereka tertanya-tanya. Ia telah menarik perhatian mereka untuk dengar lebih lagi.

Oleh itu, ada mufassir yang mengatakan bahawa salah satu tujuan huruf-huruf muqatta’ah ini adalah untuk menarik perhatian manusia dan jin untuk mendengarnya. Oleh kerana kebanyakan ayat-ayat selepas huruf muqatta’ah adalah tentang Al-Qur’an, maka mereka berpendapat Allah ﷻ hendak menarik perhatian manusia kepada Al-Qur’an. Maka kita sebagai umat Islam ini sepatutnya tertarik untuk tahu apakah yang Allah ﷻ hendak sampaikan di dalam Al-Qur’an ini.

Oleh itu, ada hikmah lain yang diutarakan. Tujuannya adalah untuk menzahirkan kehebatan Al-Qur’an. Iaitu sebagai cabaran dan sindiran kepada golongan Arab Mekah yang kononnya pandai bahasa itu. Allah ﷻ menyebut huruf yang ada di dalam bahasa Arab mereka itu seolah-olah perli: ‘Inilah dia huruf daripada bahasa kamu juga. Kamu kata Muhammad yang reka Al-Qur’an ini, maka nah sekarang pakailah juga huruf-huruf yang sama untuk membuat satu Al-Qur’an lagi kalau kamu hebat sangat!’

Walaupun saya lebih condong kepada pendapat yang mengatakan huruf Muqatta’ah ini ada maknanya (Allah ﷻ sahaja yang tahu) akan tetapi memang ada yang berpendapat ia memang tidak ada makna. Ini kerana dalam mana-mana bahasa pun, kalau hanya dengan huruf sahaja, tidak ada makna, maka begitu jugalah dengan bahasa Arab.

Ringkasnya, ada 4 pendapat tentang Huruf-huruf Muqatta’ah ini:

1. Ada makna dan maknanya adalah ia adalah salah satu nama Nabi Muhammad; ada yang mengatakan ia salah salah satu dari nama Allah; ada pula yang mengatakan ia bermaksud ‘ya Insan’ dan ada beberapa lagi andaian. Akan tetapi pendapat ini tiada dalil dan tidak boleh dipertanggungjawabkan. Maka jangan bersandar kepada sesuatu yang rapuh.

2. Ada makna tetapi hanya Allah ﷻ yang tahu. Ini pun tiada dalil.

3. Tidak ada makna (tetapi ada hikmah – iaitu untuk Allah ﷻ zahirkan kehebatan Al-Qur’an). Antara yang mengatakan tidak ada makna adalah Mujahid, tabein menggunakan tafsir Al-Qur’an.

4. Tawaqquf, tidak menyebelahi mana-mana pendapat tetapi serahkan sahaja kepada Allah ﷻ.

Ada pun tentang Yaasin ini, dari pendapat yang banyak-banyak di atas, pendapat yang masyhur adalah ia adalah nama lain bagi Nabi Muhammad ﷺ. Kerana itulah ramai daripada masyarakat kita beri nama anak mereka Yasin. Seperti yang kita telah sebut, ini pun tidak ada kepastian tentang hal ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 16 April 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

10 thoughts on “Tafsir Surah Yaasin Ayat 1 (Fadilat Yaasin tidak sahih)”

  1. Assalamualaikum, terima kasih ke atas perkongsian berikut, boleh tau sumber rujukan dari mana? terima kasih. 🙂

    Like

    1. Sumber diambil dari pengajian kelas tafsir bertalaqqi. Kalau anda berminat, anda juga boleh join. Itulah yang sebaik-baiknya. Dalam penulisan ini ditambah lagi dengan rujukan kepada kitab, antaranya Kitab Tafsir Ibn Kathir.
      Rujukan guru tafsir adalah berdasarkan kitab-kitab tafsir utama. Dirangkumkan semuanya dalam pengajaran ini. Yang penting adalah pengajaran ini telah menerapkan pemahaman yang ada dengan keadaan semasa. Supaya kita boleh faham dengan melihat kepada keadaan zaman ini. Kalau kita baca kitab Tafsir sahaja, tiada contoh-contoh yang diberikan, jadi kita susah nak faham. Jadi, contoh-contoh yang diberikan dalam penulisan ini tidaklah ada kalau dirujuk dalam kitab.
      Harap penjelasan ini dapat membantu. Lebih baik kalau dapat datang ke kelas sendiri.

      Like

  2. “Assalamu ‘alaikum Wr. Wb”
    السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
    terima kasih ke atas perkongsian…..jika tak menjadi keberatan saya mohon kebenaran copy/paste,sebagai rujukan saya dan perkongsian di blog saya realeye4u2.blogspot.com

    Like

  3. Assalamu’alakum..
    Saya selalu mengikuti tafsir ini kerana ianya mudah difahami dan dijadikan sebagai rujukan. Terima kasih. Saya ingin bertanya atau mungkin saya tersilap. Dlm tafsir ni tak ada surah As-Soffat (surah 37) dan surah As-Sod (surah 38). Terima kasih.

    Like

  4. Assalamualaikum maaf bertanya atuk saya baru meninggal dunia dan keluarga saya bercadang untuk buat majlis tahlil di masjid saya sebagai cucu apa yang patut saya buat sbb tiada bukti menunjukkan masjlis tahlil perlu dilakukan dalam agama saya harap awak balas please

    Like

    1. Waalaikum salam.

      Tahlilan adalah bid’ah yang munkar, maka tidak boleh dilakukan. Memang tidak ada dalil langsung.

      Kalau anda ada kemampuan, anda tegur mereka supaya mereka tidak melakukannya. Mungkin mereka dengar, mungkin anda kena sepak, mungkin anda kena pulau, apa-apa sahaja boleh terjadi. Anda fikirlah sanggup setakat mana. Jangan cari saya pula lepas ini.

      Kalau tidak ada kemampuan, sekurang-kurangnya anda jangan sertai mereka. Mereka hendak buat bid’ah, ikut merekalah. Tapi jangan pula kita ikuti.

      Like

  5. Assalammualaikum. Saya mohon copy & paste jg utk saya rangkumkan nota Tadabbur bersama Ustaz Syaari Ab Rahman. Jazakumullah khairan Khatsiran.

    Like

Leave a reply to Muhammad Cancel reply