Tafsir Surah al-Fath Ayat 26 – 28 (Kisah di Hudaibiyah)

Fath Ayat 26:

إِذ جَعَلَ الَّذينَ كَفَروا في قُلوبِهِمُ الحَمِيَّةَ حَمِيَّةَ الجٰهِلِيَّةِ فَأَنزَلَ اللهُ سَكينَتَهُ عَلىٰ رَسولِهِ وَعَلَى المُؤمِنينَ وَأَلزَمَهُم كَلِمَةَ التَّقوىٰ وَكانوا أَحَقَّ بِها وَأَهلَها ۚ وَكانَ اللهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

When those who disbelieved had put into their hearts chauvinism – the chauvinism of the time of ignorance. But Allāh sent down His tranquility upon His Messenger and upon the believers and imposed upon them the word of righteousness, and they were more deserving of it and worthy of it. And ever is Allāh, of all things, Knowing.

(MELAYU)

Ketika orang-orang kafir menanamkan dalam hati mereka kesombongan (iaitu) kesombongan jahiliyah lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya, dan kepada orang-orang mukmin dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat-takwa dan adalah mereka berhak dengan kalimat takwa itu dan patut memilikinya. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

 

إِذ جَعَلَ الَّذينَ كَفَروا في قُلوبِهِمُ الحَمِيَّةَ حَمِيَّةَ الجٰهِلِيَّةِ

Ketika orang-orang kafir menanamkan dalam hati mereka kesombongan (iaitu) kesombongan jahiliyah

Iaitu mereka tidak dapat terima ajaran tauhid yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ kerana mereka tidak dapat meninggalkan fahaman jahiliyah mereka itu. Mereka rasa sombong kerana mereka rasa mereka yang benar.

Kalimah الحَمِيَّةَ digunakan dalam bahasa Arab klasik untuk merujuk kepada kandang kuda Raja. Kalau seorang raja ada kuda, maka kuda itu akan diletakkan di tempat yang khas dan tempat yang khas itu dinamakan sebagai الحَمِيَّةَ. Kerana tempat raja dengan tempat orang-orang kebanyakan tidak sama. Jadi ia bermaksud sesuatu yang dipelihara. Kalau rakyat kebanyakan hendak masuk saja-saja, memang tidak dapat masuk kerana ada pengawal yang jaga.

Selepas datang agama Islam, maka perkataan ini mendapat definisi yang baru. Ia sekarang digunakan sebagai tempat makan dan tempat simpan kepada binatang-binatang yang telah disedekahkan untuk orang yang memerlukan. Kerana memang binatang-binatang itu menjadi hak raja iaitu Raja segala Raja, iaitu Allah ﷻ.

Kalimah الحَمِيَّةَ ini digunakan di dalam ayat ini dalam konteks fahaman sebelum Islam (zaman Jahiliah). Ia digunakan untuk menegur orang-orang Musyrikin Mekah itu yang rasa mereka itu lebih besar dan mulia dari orang-orang lain (macam raja yang ada kedudukan yang lebih tinggi).

Ini adalah kerana mereka itu adalah Penjaga Kaabah. Iaitu mereka rasa diri mereka tinggi kerana kedudukan itu, tetapi perasaan itu berdasarkan kepada fahaman yang jahil. Dan kerana itu apabila orang-orang beriman itu datang ke Mekah, maka Musyrikin Mekah itu meninggikan diri mereka dan menghina puak-puak mukmin itu. Ini adalah hamiyah jahiliyah.

Dan perbuatan itu bahaya kerana orang yang dihina itu boleh melawan balik kerana panas hati. Kerana orang yang dihina boleh terasa hati dan kalau tidak dikawal, mereka boleh melawan balik.

Ia juga mungkin bermaksud perbuatan mereka yang tidak menghormati Nabi Muhammad ﷺ semasa mengadakan perjanjian Hudaibiyah itu. Mereka tidak benarkan Saidina Ali رضي الله عنه tulis Nabi Muhammad ﷺ sebagai Rasulullah. Lafaz Bismillah pun mereka tidak terima untuk dimasukkan ke dalam Perjanjian Hudaibiyah itu.

Melihat kejadian itu, Saidina Ali tidak dapat terima perbuatan itu dan begitu juga dengan para sahabat yang lain. Mereka tidak mahu memadam perkataan itu maka Nabi Muhammad ﷺ sendiri yang memadamnya. Kisah ini boleh dibaca di dalam Sirah.

 

فَأَنزَلَ اللهُ سَكينَتَهُ عَلىٰ رَسولِهِ وَعَلَى المُؤمِنينَ

lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya, dan kepada orang-orang mukmin

Seperti yang telah disebut, perbuatan penghinaan dari Musyrikin Mekah itu bahaya kerana puak mukmin boleh balas balik kerana panas hati. Dan memang puak mukmin sudah panas hati dengan apa yang berlaku itu. Ia boleh membawa kepada pertelingkahan malah peperangan.

Tetapi Allah ﷻ tidak mahu  membenarkan perkara itu berlaku dan kerana itu Allah ﷻ menanamkan sakinah (ketenangan) ke dalam hati Rasulullah ﷺ pada mulanya. Dan sakinah itu juga diberikan kepada para sahabat yang lain.

Kalimah السَّكينَةَ dari katadasar س ك ن yang bermaksud untuk diam; rehat; tinggal; pondok; mendiami; sebarang cara ketenangan; miskin; merendah diri; seseorang yang tidak boleh bergerak untuk mencari rezeki kerana kecacatan fizikal, mental atau kewangan; lemah; melarat; tidak mempunyai wang; aib; keadaan jahat; kemelaratan; pisau (kerana ia menjadi punca diam selepas disembelih). Jadi kalimah سكن bermaksud kerehatan fizikal dan mental.

Kalau tidak ada bantuan dari Allah ﷻ ini, maka tentunya akan terjadi peperangan antara mereka pada waktu itu. Dan memang keadaan meruncing waktu itu. Lihatlah apa terjadi kepada Saidina Umar رضي الله عنه waktu itu.

Telah menceritakan kepada kami ayahku telah menceritakan kepada kami Abdul Aziz bin Siyah telah menceritakan kepada kami Habib bin Abu Tsabit dari Abu Wa`il dia berkata, “Sahal bin Hunaif pernah berdiri ketika terjadi perang Shifin, dia berseru, “Wahai manusia, koreksilah diri kalian masing-masing. Ketika terjadi perjanjian Hudaibiyyah, kami bersama-sama dengan Rasulullah ﷺ. Seandainya waktu itu kami melihat adanya pembunuhan, pasti kami telah berperang. Hal ini terjadi ketika terjadi perjanjian damai antara Rasulullah ﷺ dengan orang-orang Musyrik. Maka Umar bin Khatthab datang menghampiri Rasulullah ﷺ seraya berkata, “Wahai Rasulullah, tidakkah kita dalam kebenaran dan mereka dalam kebathilan?” baginda bersabda: “Ya.” Dia berkata, “Bukankah jika kita terbunuh akan masuk syurga? Sedangkan jika mereka terbunuh, mereka akan masuk neraka?” Baginda menjawab: “Ya benar.” Umar bertanya, “Mengapakah kita harus mengalah mengenai agama kita, dan pulang begitu saja? Padahal Allah belum memberikan keputusan apa-apa antara kita dengan mereka?” Baginda menjawab: “Wahai Ibnul Khattab, sesungguhnya aku adalah Utusan Allah, dan sekali-kali Allah tidak akan menyia-nyiakan aku selama-lamanya.”

Abu Wa’il berkata, “Umar lalu pergi dalam keadaan tidak puas, bahkan terlihat marah. Lalu dia mendatangi Abu Bakar seraya berkata “Wahai Abu Bakar, bukankah kita di atas yang hak dan mereka dalam kebathilan.” Dia menjawab, “Ya, benar.” Umar bertanya, “Tidakkah jika kita terbunuh, maka kita akan masuk syurga, sedangkan jika mereka yang terbunuh, maka mereka akan masuk neraka?” Abu Bakar menjawab, “Ya, benar.” Umar bertanya lagi, “Mengapakah kita harus mengalah mengenai agama kita, dan pulang begitu saja? Padahal Allah belum memberikan keputusan apa-apa antara kita dengan mereka?” Maka Abu Bakar berkata, “Wahai Ibnul Khattab, sesungguhnya baginda adalah Utusan Allah, dan sekali-kali Allah tidak akan menyia-nyiakan baginda selama-lamanya.” Suhail berkata, “Maka turunlah ayat Al Qur’an kepada Rasulullah, iaitu Surah Al Fath. [Sahih Muslim no. 3338]

Maka keadaan yang tegang semasa menulis perjanjian Hudaibiyah itu menjadi tenang kerana Allah ﷻ memasukkan sakinah ke dalam hati Rasulullah ﷺ dan kepada orang-orang mukmin yang lain, maka hati mereka pun menjadi tenang, setelah mereka melihat Rasulullah ﷺ pun boleh menerimanya. Kalaulah Rasulullah ﷺ pun tidak selesa dengan perkara itu, tentu para sahabat tidak dapat menerimanya.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Affan, telah menceritakan kepada kami Hammad, dari Tsabit, dari Anas yang menceritakan bahawa sesungguhnya orang-orang Quraisy berdamai dengan Nabi ﷺ dan di kalangan mereka terdapat Suhail ibnu Amru. Maka Nabi ﷺ memerintahkan kepada Ali: Tulislah ‘Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang’.

Maka Suhail memotong, “Kami tidak mengenal apakah Bismillahir Rahmanir Rahim itu, tetapi tulislah ‘Dengan nama Engkau ya Allah’.” Lalu baginda bersabda lagi: Tulislah dari Muhammad utusan Allah. (Suhail) kembali berkata, “Seandainya kami menyakini bahawa engkau adalah utusan Allah, tentulah kami mengikutimu, tetapi tulislah namamu dan nama ayahmu.”

Maka Nabi ﷺ memerintahkan (kepada Ali رضي الله عنه): Tulislah ‘Dari Muhammad putra Abdullah’. Lalu mereka (orang-orang musyrik) membebankan syarat-syarat kepada Nabi ﷺ yang isinya ialah bahawa orang yang datang dari kalangan kamu maka tidak akan dikembalikan kepadamu; dan orang yang datang kepadamu dari kami, kalian harus mengembalikannya kepada kami. Ali bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah kami harus menulisnya?” Baginda bersabda: Ya, sesungguhnya orang yang pergi kepada mereka dari kalangan kami, maka itu bererti Allah telah menyingkirkannya. [Musnad Ahmad no. 13325. Menurut Syaikh Syu’aib al-Arnauth; sanadnya sahih sesuai syarat Muslim]

 

وَأَلزَمَهُم كَلِمَةَ التَّقوىٰ

dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat-takwa

Dan Allah ﷻ telah melekatkan kalimah takwa ke atas para sahabat. Kalimah ل ز م bermaksud melekat, wajib. Takwa telah melekat kepada mereka. Ini adalah kerana mereka telah menunjukkan ketaatan kepada Rasulullah ﷺ.

Dan ia juga bermakna Allah ﷻ telah mewajibkan kepada mereka untuk menegakkan kalimah takwa, iaitu kalimah la ilaaha illallah.

 

وَكانوا أَحَقَّ بِها وَأَهلَها

dan adalah mereka berhak dengan kalimat takwa itu dan patut memilikinya.

Dan mereka lebih layak untuk mendapat takwa itu, terutama kalau dibandingkan dengan Musyrikin Mekah itu. Dan mereka memang ahli-ahli takwa yang haq. Dan di akhirat nanti mereka akan menjadi ahli syurga dan kekal di dalamnya.

 

وَكانَ اللهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمًا

Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Allah ﷻ tahu apa dalam hati puak mukmin apabila mereka dihina. Allah ﷻ tahu yang mereka terasa panas baran dan marah dengan keadaan itu. Allah ﷻ juga tahu betapa taatnya mereka kepada Rasulullah ﷺ. Allah ﷻ tahu betapa ikhlasnya hati mereka. Maka kerana itu Allah ﷻ berikan kebaikan yang banyak kepada mereka.


 

Fath Ayat 27: Ayat 27 – 29 adalah Perenggan Makro Kelima dan terakhir. Allah ﷻ memberitahu yang agama lain tidak akan menang.

Ayat 27 ini adalah jawapan bagi kesamaran tentang mimpi Nabi ﷺ tawaf di Masjidil Haram. Sebelum para sahabat pergi mengerjakan Umrah di Madinah, Nabi ﷺ telah bermimpi yang mereka dapat melakukannya. Kerana mimpi itulah para sahabat bersemangat untuk pergi mengerjakan Umrah pada tahun 6 Hijrah. Kerana pada mereka, kalau baginda sudah mimpi, itu adalah wahyu dan ia pasti terjadi.

Tetapi seperti yang kita tahu, ia tidak terjadi. Ada yang hairan kerana ianya tidak terjadi seperti yang baginda mimpikan. Sedangkan, bukankah mimpi Nabi ﷺ adalah wahyu? Kenapa tidak terbukti dalam kenyataan? Maka Allah ﷻ jawab dalam ayat ini.

لَقَد صَدَقَ اللهُ رَسولَهُ الرُّؤيا بِالحَقِّ ۖ لَتَدخُلُنَّ المَسجِدَ الحَرامَ إِن شاءَ اللهُ ءآمِنينَ مُحَلِّقينَ رُءوسَكُم وَمُقَصِّرينَ لا تَخافونَ ۖ فَعَلِمَ ما لَم تَعلَموا فَجَعَلَ مِن دونِ ذٰلِكَ فَتحًا قَريبًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Certainly has Allāh showed to His Messenger the vision [i.e., dream] in truth. You will surely enter al-Masjid al-Ḥarām, if Allāh wills, in safety, with your heads shaved and [hair] shortened,¹ not fearing [anyone]. He knew what you did not know and has arranged before that a conquest near [at hand].

•i.e., having completed the rites of ‘umrah.

(MELAYU)

Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada Rasul-Nya, tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya (iaitu) bahawa sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram), insya Allah dalam keadaan aman, dengan mencukur rambut kepala dan mengguntingnya, sedang kamu tidak merasa takut. Maka Allah mengetahui apa yang tiada kamu ketahui dan Dia memberikan sebelum itu kemenangan yang dekat.

 

لَقَد صَدَقَ اللهُ رَسولَهُ الرُّؤيا بِالحَقِّ

Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada Rasul-Nya, tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya

Allah ﷻ membenarkan mimpi Rasulullah ﷺ – memang mimpi baginda itu adalah wahyu. Seperti yang telah diberitahu sebelum ini, Nabi Muhammad ﷺ memang nampak di dalam mimpi baginda yang mereka akan dapat masuk ke dalam Kota Mekah dan mengerjakan Umrah.

Dan mimpi Nabi ﷺ sememangnya adalah wahyu. Maka kerana itu, ia pasti akan berlaku. Cuma tidak pasti bilakah kejadian itu. Tidaklah semestinya pada tahun itu.

Apabila baginda beritahu kepada para sahabat tentang mimpi itu, maka sahabat telah mendesak baginda untuk pergi pada tahun itu juga. Ini adalah kerana mereka telah lama tidak pergi ke Mekah dan mereka teringin sangat untuk ke sana. Kerana mereka amat rindu kepada kampung halaman mereka dan kepada Kaabah.

Kita kena faham yang mereka sudah 8 tahun tidak balik ke kampung halaman. Mereka memang sudah rindu sangat hendak balik kampung. Maka apabila mereka tahu tentang mimpi baginda itu, mereka desak supaya mereka pergi tahun itu juga. Dan apabila mereka beri cadangan, baginda setuju ikut pendapat mereka. Dan ini adalah dari ijtihad Nabi ﷺ, bukan wahyu (iaitu tentang pergi ke Mekah pada tahun itu).

Kita kena sedar yang ijtihad baginda juga betul. Tidaklah baginda tersilap. Ini semua dalam rancangan Allah ﷻ juga. Kita telah panjang lebar jelaskan yang baginda memang boleh melakukan ijtihad hasil dari fikiran baginda. Begitu juga dengan menandatangani Perjanjian Hudaibiyah itu.

Maka telah berlaku Perjanjian Hudaibiyah yang akhirnya membawa kepada kejayaan umat Islam. Maka memang ada faedah mereka pergi bergerak untuk mengerjakan Umrah pada tahun itu juga.

Akhirnya seperti yang kita sudah tahu, apabila mereka pergi, mereka tidak dapat masuk ke Mekah. Tentulah mereka tidak puas hati. Tetapi mereka tidak dapat masuk ke Mekah itu pun adalah atas kehendak Allah ﷻ juga kerana Allah ﷻ hendak menjadikan terlaksananya Perjanjian Hudaibiyah. Semuanya dalam susunan ﷻ Allah.

Maka ketahuilah ada hikmah kenapa mereka tidak boleh masuk untuk mengerjakan Umrah pada tahun itu. Kerana mereka dapat perkara yang lebih besar dari buat Umrah itu iaitu Perjanjian Hudaibiyah dan dengan Perjanjian Hudaibiyah manusia Mekah semuanya akan masuk Islam tidak lama lagi.

Dan ada lagi kelebihan-kelebihan yang kita pun telah sebut sebelum ini. Itu semua lebih besar pahalanya dari mengerjakan umrah.

Kembali kepada kisah mimpi tadi. Ada sahabat yang kehairanan dan yang bertanya kepada Nabi ﷺ semasa dalam perjalanan pulang itu: “bagaimana dengan mimpi baginda itu. Bukankah mimpi baginda adalah wahyu dan benar? Jadi kenapa mereka tidak dapat masuk ke dalam Mekah dan mengerjakan umrah seperti yang telah dimimpikan oleh baginda?”

Maka Allah ﷻ turunkan ayat ini sebagai penjelasan kepada mereka.

 

لَتَدخُلُنَّ المَسجِدَ الحَرامَ إِن شاءَ اللهُ ءآمِنينَ

sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram, insya Allah, dalam keadaan aman,

Allah ﷻ menekankan di dalam ayat ini dengan menggunakan bahasa yang kuat (kalimah لَتَدخُلُنَّ dalam wazan yang kuat) yang mereka ‘pasti dan pasti’ (penekanan) akan dapat masuk ke dalam Masjidilharam. Tetapi bukanlah dijanjikan pada tahun itu. Memang Nabi ﷺ sudah mimpi, tetapi dalam mimpi itu tidak dijelaskan bilakah kejadian itu akan berlaku. Tidak semestinya tahun itu.

Dapat masuk dengan aman juga penting kerana kalau masuk juga ke Mekah pada tahun 6 hijrah itu, maknanya mereka masuk dan mengerjakan Umrah dalam ketakutan. Mereka kena sentiasa berhati-hati, entah-entah Musyrikin Mekah akan serang mereka apabila mereka sedang beribadat.

Dan bila sudah takut, tentu tidak khusyuk kalau tawaf juga tahun itu. Maka kualiti ibadah pun tidak bagus. Macam juga kalau kita sedang solat, tetapi tahu yang makanan sudah dihidangkan (dalam solat teringat makanan itu sahaja maka tidak khusyuk). Atau kita solat tapi ada anjing gila menyalah di sebelah kita, tentu kita tidak khusyuk, bukan?

Dan dalam Perjanjian Hudaibiyah, memang telah termaktub yang umat Islam dibenarkan masuk untuk mengerjakan Umrah tahun hadapan. Dan pada waktu itu, mereka akan masuk dengan aman kerana sudah ada perjanjian yang Musyrikin Mekah akan tinggalkan Mekah selama tiga hari. Maka tidaklah mereka takut kalau hendak buat Umrah dan tawaf kerana musuh ada di luar.

Kenapa Allah ﷻ sebut kalimah in sya Allah (sekiranya Allah ﷻ berkehendak) di dalam ayat ini? Bukankah ianya sudah pasti? Allah ﷻ sebut begitu kerana hendak memberitahu bahawa ianya adalah perkara yang akan berlaku di masa hadapan. Dan Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa perkara itu akan berlaku tetapi dengan syarat.

Syaratnya, orang-orang mukmin itu menjaga perangai mereka dan menjaga agama kerana Allah ﷻ boleh untuk buat keputusan tidak jadikan perkara itu berlaku. Maka, ia tidak pasti lagi sebenarnya. Kerana ia masih bergantung kepada mereka. Allah ﷻ boleh tarik janjiNya itu kalau mereka tidak menjalankan tugas mereka. Maka, mereka pasti dan pasti akan dapat masuk, kalau mereka bertindak seperti yang sepatutnya.

Allah ﷻ beritahu juga di dalam ayat ini yang mereka akan dapat masuk ke dalam Masjidilharam dengan aman dan tidak takut, kerana pada tahun Hudaibiyah itu walaupun mereka telah sampai berdekatan Mekah, tetapi Rasulullah ﷺ telah mengarahkan mereka untuk Solat Khauf (Solat Takut) bukan? Itu tandanya memang mereka ada perasaan takut juga.

Tetapi bila mereka akan masuk nanti dengan sebenarnya ke Mekah, mereka tidak akan ada perasaan takut. Kerana keadaan waktu itu berlainan sekali dengan kali ini.

 

مُحَلِّقينَ رُءوسَكُم وَمُقَصِّرينَ

dengan mencukur rambut kepala kamu dan mengguntingnya,

Bila mereka datang untuk kali kedua selepas itu, mereka akan dapat cukur rambut dan gunting rambut mereka (tahallul). Allah ﷻ memberitahu tentang mencukur rambut dan memotong rambut seperti perbuatan Haji dan Umrah yang biasa dilakukan. Dan disebut ‘cukur’ dahulu kerana terdapat kelebihan kepada mereka yang mencukur terus rambut mereka.

Di dalam kitab Sahihain telah disebutkan bahawa Rasulullah ﷺ mendoakan orang-orang yang mencukur rambut kepalanya:

اللَّهُمَّ ارْحَمْ الْمُحَلِّقِينَ قَالُوا وَالْمُقَصِّرِينَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ اللَّهُمَّ ارْحَمْ الْمُحَلِّقِينَ قَالُوا وَالْمُقَصِّرِينَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَالْمُقَصِّرِينَ وَقَالَ اللَّيْثُ حَدَّثَنِي نَافِعٌ رَحِمَ اللَّهُ الْمُحَلِّقِينَ مَرَّةً أَوْ مَرَّتَيْنِ قَالَ وَقَالَ عُبَيْدُ اللَّهِ حَدَّثَنِي نَافِعٌ وَقَالَ فِي الرَّابِعَةِ وَالْمُقَصِّرِي

Ya Allah, rahmatilah orang-orang yang mencukur rambutnya“. Orang-orang berkata: “Dan juga bagi orang-orang yang hanya memendekkan rambutnya, wahai Rasulullah?”. Baginda tetap berkata: “Ya Allah, rahmatilah orang-orang yang mencukur rambutnya”. Orang-orang berkata lagi: “Dan juga bagi orang-orang yang hanya memendekkan rambutnya, wahai Rasulullah?”. Baginda baru bersabda: “Ya, juga bagi orang-orang yang hanya memendekkan rambutnya”.

Dan Al-Laits berkata:  Nafi’ memberitahuku, (Baginda bersabda:) “Allah merahmati orang-orang yang mencukur rambutnya”, sekali atau dua kali. Dia (Al-Laits) berkata: dan berkata ‘Ubaidullah: telah menceritakan kepada saya Nafi’: dan Baginda berkata pada ucapan yang keempat: “Dan bagi orang-orang yang hanya memendekkan rambutnya”. [Sahih Bukhari no. 1612]

Syarah: maknanya, mencukur rambut lebih afdhal dari hanya menggunting sahaja. Maka jangan kita lepaskan peluang itu kalau kita berihram sama ada untuk Haji atau Umrah. Jangan nak sayang rambut sangat sampai tak mahu bercukur sampai botak.

 

لا تَخافونَ

sedang kamu tidak merasa takut.

Sekali lagi diulang yang mereka tidak akan rasa takut waktu itu. Segala perbuatan mereka adalah dalam keadaan aman dan mereka dapat menyempurnakan kerja umrah mereka dengan aman. Hati akan tenang dan ibadah akan lebih berkualiti.

Peristiwa ini terjadi di tahun hadapannya yang dinamakan Umrah Qada’, iaitu dalam bulan Zul Qa’dah, tahun tujuh Hijriah. Kerana sesungguhnya setelah Nabi ﷺ kembali dari Hudaibiyah dalam bulan Zul Qa’dah dan pulang ke Madinah, lalu Nabi ﷺ tinggal di Madinah dalam bulan Zul Hijjah dan bulan Muharam, kemudian dalam bulan Safar baginda ﷺ keluar menuju Khaibar.

 

فَعَلِمَ ما لَم تَعلَموا

Allah mengetahui apa yang tidak kamu ketahui

Allah ﷻ mempunyai pengetahuan yang tidak dimiliki oleh manusia iaitu Allah ﷻ tahu kebaikan/faedah mereka tidak mengerjakan umrah pada tahun itu. Dan kebaikan/faedah mereka pulang ke Madinah dan kebaikan mengadakan Perjanjian Hudaibiyah itu. Mereka mungkin tidak nampak tetapi Allah ﷻ tahu dan Allah ﷻlah yang atur segala kebaikan itu. Maka umat Islam kena taat sahaja.

Allah ﷻ kata para sahabat tidak tahu ada hasil baik dari Perjanjian Hudaibiyah itu. Dengan termeterainya perjanjian itu, ramai yang dapat peluang untuk kenal wahyu Allah ﷻ. Agama Islam tersebar luas dan Allah ﷻ masukkan kebenaran dalam hati mereka yang sebelum itu tidak terbuka lagi untuk terima Islam.

Allah ﷻ juga yang bukakan hati mereka. Apabila sudah ramai yang terima Islam, maka senang sahaja Rasulullah ﷺ dan para sahabat masuk semasa Pembukaan Mekah nanti.

 

فَجَعَلَ مِن دونِ ذٰلِكَ فَتحًا قَريبًا

dan Dia memberikan sebelum itu kemenangan yang dekat.

Dan untuk memberi ketenangan hati kepada mereka lagi, Allah ﷻ akan memberikan kemenangan yang dekat iaitu Khaibar.


 

Fath Ayat 28: Targhib kepada taat kepada Allah ﷻ dan Rasul ﷺ. Tugas Nabi ﷺ bukan hendak ajar buat Umrah sahaja tetapi tujuan besar baginda adalah untuk ajar agama secara keseluruhan.

Maka kalau tidak dapat buat Umrah tahun itu, tidak mengapa kerana dapat sebarkan wahyu dengan luas lagi. Mana yang lebih baik? Dapat buat Umrah atau dapat luaskan lagi agama Islam? Maka Allah ﷻ nasihat kepada mereka supaya jangan terkilan kalau tidak dapat kerjakan Umrah tahun itu.

هُوَ الَّذي أَرسَلَ رَسولَهُ بِالهُدىٰ وَدينِ الحَقِّ لِيُظهِرَهُ عَلَى الدّينِ كُلِّهِ ۚ وَكَفىٰ بِاللهِ شَهيدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is He who sent His Messenger with guidance and the religion of truth to manifest it over all religion. And sufficient is Allāh as Witness.

(MELAYU)

Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang hak agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama. Dan cukuplah Allah sebagai saksi.

 

هُوَ الَّذي أَرسَلَ رَسولَهُ بِالهُدىٰ وَدينِ الحَقِّ

Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar

Allah ﷻ mengutus Nabi Muhammad ﷺ dengan diberikan wahyu kepada baginda. Dengan wahyu itulah agama dapat ditegakkan.

Dan wahyu itu sekiranya diamalkan, akan menjadi agama. Kerana kalau tidak diamalkan ia hanya menjadi tulisan atas kertas dan jadi idea sahaja. Oleh itu, ayat-ayat Al-Qur’an itu ada jenis yang duduk di dalam hati dan menjadi akidah; dan yang duduk di luar menjadi ibadah.

 

لِيُظهِرَهُ عَلَى الدّينِ كُلِّهِ

agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama.

Agama itu bukanlah untuk duduk diam sahaja tetapi hendaklah dizahirkan. Manusialah yang kena menjalankan tugas dakwah dan menzahirkan agama itu.

Allah ﷻ membangkitkan Rasul ﷺ dan memberikan agama ini supaya dengannya akan menguasai dan mengatasi segala agama-agama lain yang sesat. Ayat ini memberitahu bahawa Mekah akan jatuh ke tangan umat Islam dan dengan itu agama syirik akan hancur. Kerana Mekah waktu itu adalah pusat syirik dan apabila pusat syirik dimusnahkan, maka agama Islam yang benar akan berkembang.

Ini penting kerana agama Islam ini hendaklah dibawa ke seluruh dunia untuk menghapuskan agama-agama syirik yang lain. Agama-agama lain tidak boleh dibiarkan sahaja berleluasa.

Ayat yang sama juga ada di dalam Surah Tawbah dan juga di dalam Surah Saf dan menjadi perbincangan yang besar di kalangan ulama’. Ini kerana ia membawa maksud yang amat besar dan boleh dibincangkan dengan panjang lebar lagi.

Jadi memang Rasul dibangkitkan dan Al-Qur’an diturunkan untuk memenangkan agama Islam tetapi bagaimanakah caranya? Bagaimanakah kita boleh mencapai kejayaan ini dan apakah yang kita perlukan?

Kenalah belajar tafsir dan kaji apa yang terkandung dalam Al-Qur’an ini. Kena amalkan dan Allah ﷻ akan beri kejayaan kepada umat Islam. Dengan Al-Qur’anlah dapat mengembangkan agama Allah ﷻ ini ke pelusuk dunia.

 

وَكَفىٰ بِاللهِ شَهيدًا

Dan cukuplah Allah sebagai saksi.

Cukuplah Allah ﷻ sebagai saksi di atas kebenaran agama ini; cukuplah Allah ﷻ sebagai saksi di atas kerja-kerja menegakkan agama yang dilakukan oleh para pendakwah. Kita tidak perlu orang lain tengok, tetapi yang penting adalah Allah ﷻ tengok usaha kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 1 September 2023

Ringkasan Surah Fath


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah al-Fath Ayat 24 – 25 (Allah tidak bagi berperang)

Ayat 24:

وَهُوَ الَّذي كَفَّ أَيدِيَهُم عَنكُم وَأَيدِيَكُم عَنهُم بِبَطنِ مَكَّةَ مِن بَعدِ أَن أَظفَرَكُم عَلَيهِم ۚ وَكانَ اللهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And it is He who withheld their hands from you and your hands from them within [the area of] Makkah after He caused you to overcome them. And ever is Allāh, of what you do, Seeing.

(MELAYU)

Dan Dialah yang menahan tangan mereka dari (membinasakan) kamu dan (menahan) tangan kamu dari (membinasakan) mereka di tengah kota Mekah sesudah Allah memenangkan kamu atas mereka, dan adalah Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

 

وَهُوَ الَّذي كَفَّ أَيدِيَهُم عَنكُم وَأَيدِيَكُم عَنهُم بِبَطنِ مَكَّةَ

Dan Dialah yang menahan tangan mereka dari (membinasakan) kamu dan (menahan) tangan kamu dari (membinasakan) mereka di tengah kota Mekah

Allah ﷻ memberitahu bahawa Dialah yang menahan tangan Musyrikin Mekah dari berperang dan menahan tangan orang-orang mukmin dari berperang di Mekah. Sama-sama kedua mereka ditahan dari berperang pada tahun Umrah itu.

Bahkan kemudian masing-masing dari kedua belah pihak menahan dirinya dan terikat dalam perjanjian gencatan senjata, yang dalam perjanjian ini terkandung banyak kebaikan bagi kaum mukmin dan kesudahan yang baik bagi kaum Muslim dalam kehidupan dunia dan akhirat mereka.

Ini kerana Allah ﷻ hendak jadikan juga Perjanjian Hudaibiyah itu. Kalau peperangan meletus waktu itu, tidaklah terjadi perjanjian itu. Dan dengan kejadian itu, umat Islam semakin bertambah ramai kerana golongan Mekah itu kemudiannya ramai-ramai masuk Islam.

Allah juga hendak menyelamatkan Mekah dari terjadinya peperangan di situ kerana kalau terjadi perang di situ, maka ia tidak baik.

 

مِن بَعدِ أَن أَظفَرَكُم عَلَيهِم

sesudah Allah memenangkan kamu atas mereka,

Kalimah أَظفَرَ asalnya adalah kuku dan ia bermaksud menangkap dan memegang dengan kuku yang kuat.

Allah ﷻ memberitahu bahawa kekuatan waktu itu ada pada orang mukmin, tetapi Allah ﷻlah yang menahan mereka dari menyerang Quraish Mekah. Kerana Allah ﷻ tidak mahu ada peperangan di situ pada waktu itu. Memang nampak seperti Nabi Muhammad ﷺ yang menahan kerana baginda yang menyuruh mereka kembali ke Madinah, tetapi yang menahan sebenarnya adalah Allah ﷻ. Kalau umat Islam menyerang waktu itu, mereka yang lebih kuat.

Dari segi sirah, semasa dalam perjalanan balik, ada Musyrikin Mekah yang cuba untuk menyerang puak Islam. Walaupun mereka tidak ada senjata, tetapi umat Islam dapat tangkap golongan yang cuba menyerang itu. Dalam 70 orang yang terlibat dan mereka telah ditangkap. Oleh kerana mengingatkan yang mereka telah ada perjanjian, maka umat Islam telah melepaskan golongan musyrik itu.

Di dalam hadis Salamah ibnul Akwa’ رضي الله عنه bahawa ketika kaum Muslim menggiring tujuh puluh orang tawanan (kaum musyrik) dalam keadaan terikat ke hadapan Rasulullah ﷺ, lalu Rasulullah ﷺ memandang kepada mereka dan bersabda:

“أَرْسِلُوهُمْ يَكُنْ لَهُمْ بَدْءُ الْفُجُورِ وثنَاه”

Lepaskanlah mereka, maka hal ini akan menjadi permulaan bagi kedurhakaan mereka dan akibatnya. [Tafsir Ibnu Kasir (tahqiq), Jil. 8 hal. 681/752, Dar Ibnu al-Jauzi; Sahih Muslim no. 3372 dengan lafaz ” دَعُوهُمْ يَكُنْ لَهُمْ بَدْءُ الْفُجُورِ وَثِنَاهُ “]

Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini yang Dialah yang menahan tangan puak musyrik itu daripada berjaya menyerang mereka. Dan Allah ﷻ juga yang menahan tangan-tangan orang mukmin dari membunuh puak musyrik itu kerana menghormati Perjanjian Hudaibiyah.

 

وَكانَ اللهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرًا

dan adalah Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

Allah ﷻ maha melihat apa yang dilakukan oleh manusia. Pada bila-bila masa pun. Tidak terlepas satu pun dari pengawasan Allah ﷻ. Maka kenalah kita jaga tindak tanduk kita. Walaupun mungkin manusia tidak dapat tahu, tetapi Allah ﷻ Maha Melihat.


 

Ayat 25: Allah ﷻ memberitahu bahawa Musyrikin Mekah itu layak diperangi kerana perangai buruk mereka. Akan tetapi Allah ﷻ tidak izinkan peperangan itu kerana ada sebab.

هُمُ الَّذينَ كَفَروا وَصَدّوكُم عَنِ المَسجِدِ الحَرامِ وَالهَديَ مَعكوفًا أَن يَبلُغَ مَحِلَّهُ ۚ وَلَولا رِجالٌ مُّؤمِنونَ وَنِساءٌ مُّؤمِنٰتٌ لَّم تَعلَموهُم أَن تَطَئوهُم فَتُصيبَكُم مِّنهُم مَّعَرَّةٌ بِغَيرِ عِلمٍ ۖ لِّيُدخِلَ اللهُ في رَحمَتِهِ مَن يَشاءُ ۚ لَو تَزَيَّلوا لَعَذَّبنَا الَّذينَ كَفَروا مِنهُم عَذابًا أَليمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They are the ones who disbelieved and obstructed you from al-Masjid al-Ḥarām while the offering¹ was prevented from reaching its place of sacrifice. And if not for believing men and believing women whom you did not know – that you might trample [i.e., kill] them and there would befall you because of them dishonor without [your] knowledge – [you would have been permitted to enter Makkah]. [This was so] that Allāh might admit to His mercy whom He willed. If they had been apart [from them], We would have punished those who disbelieved among them with painful punishment

•i.e., seventy camels intended for sacrifice and feeding of the poor.

(MELAYU)

Merekalah orang-orang yang kafir yang menghalangi kamu dari (masuk) Masjidil Haram dan menghalangi haiwan korban sampai ke tempat (penyembelihan)nya. Dan kalau tidaklah kerana laki-laki yang mukmin dan perempuan-perempuan yang mukmin yang tiada kamu ketahui, takut kamu akan memijak-mijak mereka yang menyebabkan kamu ditimpa kesusahan tanpa pengetahuanmu (tentulah Allah tidak akan menahan tanganmu dari membinasakan mereka). Supaya Allah memasukkan siapa yang dikehendaki-Nya ke dalam rahmat-Nya. Sekiranya mereka terasing, tentulah Kami akan mengazab orang-orang yang kafir di antara mereka dengan azab yang pedih.

 

هُمُ الَّذينَ كَفَروا وَصَدّوكُم عَنِ المَسجِدِ الحَرامِ

Merekalah orang-orang yang kafir dan yang menghalangi kamu dari (masuk) Masjidil Haram 

Allah ﷻ memberitahu bahawa bukan orang mukmin yang melakukan kesalahan tetapi Musyrikin Mekah itu, kerana mereka itu telah kufur dengan Allah ﷻ dan merekalah yang telah menahan orang mukmin dari melakukan ibadat.

Sepatutnya mereka membenarkan umat Islam untuk mendatangi Masjidil Haram pada waktu Umrah itu. Ini adalah kerana mereka adalah penjaga Kaabah waktu itu dan etika penjaga Kaabah adalah untuk membenarkan sesiapa sahaja datang untuk beribadat di Kaabah.

Tetapi kerana benci kepada umat Islam, mereka sampai sanggup menghalang umat Islam untuk beribadat di Kaabah, dan telah bertindak berlawanan dengan tugas mereka.

Jadi, Musyrikin Mekah itu memang layak untuk diperangi dan dikalahkan. Tetapi Allah ﷻ  tidak benarkan ia berlaku kerana sebab-sebab tertentu yang akan diterangkan.

 

وَالهَديَ مَعكوفًا أَن يَبلُغَ مَحِلَّهُ

dan menghalangi haiwan korban sampai ke tempat (penyembelihan)nya.

Kalimah الهَديَ adalah binatang yang telah ditanda sebagai binatang sembelihan semasa mengerjakan Umrah dan Haji. Kalimah معكوفا dari katadasar ع ك ف yang bermaksud menahan. Puak Musyrikin menahan binatang-binatang sembelihan itu untuk sampai ke tempat sembelihannya.

Tentulah puak Mukmin yang telah datang dari jauh itu menjadi marah kerana bukan senang untuk mereka bawa binatang-binatang itu bersama mereka dalam perjalanan yang jauh. Sepanjang perjalanan itu mereka kena jaga dan beri makan kepada binatang-binatang itu bukan? Dan apabila tujuan mereka bawa binatang itu tidak dapat dilaksanakan, tentulah mereka amat marah.

 

وَلَولا رِجالٌ مُّؤمِنونَ وَنِساءٌ مُّؤمِنٰتٌ لَّم تَعلَموهُم أَن تَطَئوهُم

Dan kalau tidaklah kerana laki-laki yang mukmin dan perempuan-perempuan yang mukmin yang tiada kamu ketahui, takut kamu akan memijak-mijak mereka

Ayat ini memberitahu kita bahawa ada orang orang lelaki dan orang perempuan di Mekah yang tidak dikenali, tetapi mereka itu telah beriman tetapi beriman secara rahsia. Mereka tidak berani untuk memberitahu kepada kaum mereka yang mereka telah beriman kerana itu akan membahayakan mereka.

Oleh kerana mereka itu tidak dikenali sebagai golongan Muslim, maka jikalau puak mukmin dari Madinah itu masuk juga dan berperang dengan orang-orang Mekah itu, maka ada kemungkinan mereka yang Muslimin itu akan terbunuh juga. Ada kemungkinan mereka akan dipijak-pijak juga.

Seperti yang kita telah sebutkan sebelum ini, kalau peperangan berlaku berdekatan dengan kota tempat penempatan manusia, ada kemungkinan orang-orang yang tidak terlibat dengan peperangan pun boleh terbunuh, seperti orang tua, wanita dan kanak-kanak.

Juga orang-orang yang tidak mahu pun berperang, pun mungkin akan terbunuh juga. Dalam kes ayat ini, ia tentang golongan Muslimin ‘rahsia’ yang tentunya tidak mahu berperang dengan umat Islam dari Madinah. Maka Allah ﷻ tidak mahu orang-orang Islam itu terbunuh. Dan itu mungkin terjadi kalau perang berlaku juga.

Oleh itu, kalaulah tidak kerana umat Islam yang beriman secara rahsia itu ada di dalam Kota Mekah, maka tentu Allah ﷻ telah benarkan peperangan itu terjadi dan beri kemenangan kepada umat Islam.

 

فَتُصيبَكُم مِّنهُم مَّعَرَّةٌ بِغَيرِ عِلمٍ

yang menyebabkan kamu ditimpa kesusahan tanpa pengetahuanmu

Kalimah معرة dari katadasar ع ر ر yang bermaksud dikenakan dengan keburukan. Allah ﷻ halang peperangan itu kerana nanti akan menjadi isu pula kerana nanti ada orang akan kata: puak-puak Islam itu tidak kisah dalam membunuh, sampaikan membunuh orang Islam juga.

Dan ini akan menjadi skandal dan akan menyebabkan orang-orang luar akan melihat orang-orang Islam ini dan agama Islam itu sendiri sebagai sesuatu yang buruk dan mereka tentunya tidak mahu masuk ke dalam agama Islam. Kalau itu terjadi, maka mereka telah menyebabkan terpalit nama baik Islam.

 

لِّيُدخِلَ اللهُ في رَحمَتِهِ مَن يَشاءُ

Supaya Allah memasukkan siapa yang dikehendaki-Nya ke dalam rahmat-Nya.

Maka Allah ﷻ tidak membenarkan peperangan terjadi, takut menyebabkan orang-orang orang Islam di Mekah itu juga terbunuh. Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak memasukkan mereka ke dalam rahmatNya. Kerana nanti apabila negara Islam mengambil alih Mekah, mereka yang sebelum itu merahsiakan keislaman mereka dapat menyatakan Syahadah mereka dengan aman dan dapat masuk Islam dengan mudah.

Lagi satu, Allah ﷻ tidak mahu Musyrikin Mekah terbunuh pada waktu itu kerana mereka itu bukanlah penentang kuat pun. Dan mereka tidak mahu masuk Islam pada waktu itu sahaja, tetapi dua tahun lagi mereka itu akan masuk Islam beramai-ramai. Ini kerana hati mereka akan berubah dan menjadi lembut untuk menerima Islam.

Penentang-penentang Islam yang kuat sebenarnya telah terbunuh semasa Perang Badar dan Uhud. Hanya tinggal saki baki sahaja lagi di Mekah itu. Jadi kalau peperangan terjadi dan mereka itu terbunuh, maka hilanglah harapan untuk mereka masuk Islam sedangkan Allah ﷻ telah berkehendak supaya mereka masuk Islam.

 

ۚ لَو تَزَيَّلوا لَعَذَّبنَا الَّذينَ كَفَروا مِنهُم عَذابًا أَليمًا

Sekiranya mereka terasing, tentulah Kami akan mengazab orang-orang yang kafir di antara mereka dengan azab yang pedih.

Kalaulah orang-orang Islam yang merahsiakan keislaman mereka itu dapat lari keluar daripada Mekah semuanya pada waktu itu, maka Allah ﷻ pasti akan menghancurkan terus penduduk Musyrikin Mekah itu.

Golongan Musyrikin penentang itu tidak dihancurkan terus oleh Allah ﷻ kerana Allah ﷻ tidak menghancurkan satu-satu tempat itu jikalau masih ada lagi orang yang melakukan istighfar kepada Allah ﷻ. Jadi kerana ada orang Islam di Mekah, maka Allah ﷻ tidak mengenakan azab kepada mereka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 22 Jun 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir ibn Kathir

Tafsir Surah al-Fath Ayat 19 – 23 (Kemenangan di Mekah)

Ayat 19: Dalam ayat sebelum ini Allah ﷻ telah menjanjikan syurga kepada mereka yang taat kepada Rasululllah ﷺ. Mereka bukan sahaja mendapat janji syurga dari Allah ﷻ tetapi mereka juga dijanjikan dengan harta dunia. Akhirat dapat dan dunia pun mereka akan dapat juga.

وَمَغانِمَ كَثيرَةً يَأخُذونَها ۗ وَكانَ اللهُ عَزيزًا حَكيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And much war booty which they will take. And ever is Allāh Exalted in Might and Wise.

(MELAYU)

Serta harta rampasan yang banyak yang dapat mereka ambil. Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

وَمَغانِمَ كَثيرَةً يَأخُذونَها

Serta harta rampasan yang banyak yang dapat mereka ambil.

Telah disebut tentang serangan ke Khaibar dalam ayat-ayat sebelum ini. Pada Perang Khaibar itu mereka akan mendapat banyak harta rampasan dan mereka seperti datang ambil sahaja kerana Allah ﷻ telah mudahkan kemenangan untuk mereka.

Mereka memang dapat banyak harta pada hari itu kerana Khaibar adalah kubu Puak Yahudi dan mereka memang kaya. Mereka telah mengumpul harta mereka beratus tahun dan puak Islam yang menyerang mereka itu hanya datang untuk beberapa hari sahaja.

 

وَكانَ اللهُ عَزيزًا حَكيمًا

Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Allah ﷻ Maha Gagah Perkara, maksudnya Allah ﷻ boleh buat apa sahaja yang Dia kehendaki. Segalanya terpulang kepada Allah ﷻ. Kalau Allah ﷻ hendak berikan kejayaan kepada puak Muslim, maka tidak ada sesiapa yang dapat menghalang.

Dan segala apa yang Allah ﷻ lakukan, semuanya di atas kebijaksanaanNya. Maka kena percaya kepada perancangan Allah ﷻ. Tentu ada kelebihan di sebaliknya.


 

Ayat 20: Kekayaan Khaibar itu dijanjikan hanya kepada mereka yang menyertai Nabi ﷺ dalam rombongan umrah Hudaibiyah. Tetapi Allah ﷻ memberitahu kepada orang lain, bahawa mereka akan ada peluang untuk mendapatkan harta ghanimah itu di waktu yang lain.

وَعَدَكُمُ اللهُ مَغانِمَ كَثيرَةً تَأخُذونَها فَعَجَّلَ لَكُم هٰذِهِ وَكَفَّ أَيدِيَ النّاسِ عَنكُم وَلِتَكونَ ءآيَةً لِّلمُؤمِنينَ وَيَهدِيَكُم صِرٰطًا مُّستَقيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh has promised you much booty that you will take [in the future] and has hastened for you this [victory] and withheld the hands of people from you – that it may be a sign for the believers and [that] He may guide you to a straight path.

(MELAYU)

Allah menjanjikan kepada kamu harta rampasan yang banyak yang dapat kamu ambil, maka disegerakan-Nya harta rampasan ini untukmu dan Dia menahan tangan manusia dari (membinasakan)mu dan agar hal itu menjadi bukti bagi orang-orang mukmin dan agar Dia menunjuki kamu kepada jalan yang lurus.

 

وَعَدَكُمُ اللهُ مَغانِمَ كَثيرَةً تَأخُذونَها

Allah menjanjikan kepada kamu harta rampasan yang banyak yang dapat kamu ambil,

Kemudian Allah ﷻ menjanjikan banyak lagi harta ghanimah di masa hadapan. Bukan harta ghanimah dari Khaibar sahaja yang akan diambil oleh puak Muslim. Memang ada banyak lagi kejayaan demi kejayaan perang yang akan didapati oleh umat Islam. Sampaikan umat Islam menjadi kaya raya selepas itu.

 

فَعَجَّلَ لَكُم هٰذِهِ

maka disegerakan-Nya harta rampasan ini untukmu

Ada lagi harta-harta lain, tetapi Allah ﷻ telah mempercepatkan pengambilan harta rampasan dari Khaibar ini. ‘Kamu’ yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah semua umat Islam. Cuma sahaja, harta Khaibar ini diberikan kepada mereka yang menyertai rombongan umrah itu. Kerana kedudukan mereka yang khas.

 

وَكَفَّ أَيدِيَ النّاسِ عَنكُم

dan Dia menahan tangan manusia dari (membinasakan)mu

Allah ﷻ berfirman yang Dia menahan tangan-tangan puak lain dari menyerang Islam kerana jikalau mereka berperang dengan Khaibar, tentu Musyrikin Mekah hendak menyerang balik (kerana mereka berbaik dengan Musyrikin Mekah) tetapi Allah ﷻ tahan. Asbabnya adalah Perjanjian Hudaibiyah yang telah dimeterai.

Dan juga Allah ﷻ selamatkan umat Islam supaya selamat dari diserang oleh pihak musuh semasa dalam perjalanan dari Khaibar.

Atau boleh bermaksud Allah ﷻ menahan musuh-musuh yang cuba menyerang mereka dalam perjalanan mereka dari Hudaibiyah ke Madinah. Kerana ada puak jahat yang cuba menyerang umat Islam waktu itu tetapi mereka dapat ditangkap.

Atau ia boleh bermaksud perlindungan yang berbentuk umum. Iaitu Allah ﷻ sentiasa beri perlindungan kepada umat Islam. Allah ﷻ tetap akan bantu umat Islam.

 

وَلِتَكونَ ءآيَةً لِّلمُؤمِنينَ

dan agar hal itu menjadi bukti bagi orang-orang mukmin

Allah ﷻ menjadikan kejadian ini sebagai tanda kebenaran kepada orang-orang mukmin. Iaitu tanda yang orang taat akan mendapat kelebihan di akhirat dan kelebihan di dunia juga. Allah ﷻ bukan sahaja janjikan kejayaan di akhirat tetapi di dunia pun Allah ﷻ sudah beri.

Juga mereka akan lebih bersyukur kepada Allah ﷻ kerana mereka sedar yang Allah ﷻlah yang telah menyelamatkan mereka dari diserang oleh musuh-musuh Islam.

 

وَيَهدِيَكُم صِرٰطًا مُّستَقيمًا

dan agar Dia menunjuki kamu kepada jalan yang lurus.

Iaitu jalan tawakal setelah menyempurnakan tuntutan syari’at. Selepas taat dengan Allah ﷻ, maka serah kepada Allah ﷻ sahaja apa yang akan berlaku.

Sebagai contoh, tidak amal riba. Kalau kita pakai akal sahaja, mungkin ada yang kata: “macam mana nak untung kalau tak pakai faedah?” Tetapi serahkan sahaja kepada Allah ﷻ. Tahulah Allah ﷻ bagaimana hendak beri rezeki kepada kita. Janji kita taat kepada larangan Allah ﷻ dari mengamalkan riba.

Dan berita-berita dari Al-Qur’an ini boleh menjadi penyebab untuk membawa umat Islam ke jalan yang lurus. Mereka akan dapat lihat sendiri bagaimana berita yang disampaikan di dalamnya adalah benar belaka. Dengan mengikut ajaran dari Al-Qur’an, maka ia akan membawa manusia ke jalan yang lurus.

Umat Islam telah mengepung Kubu Khaibar sampaikan Yahudi Khaibar tidak boleh mendapat makanan. Akhirnya mereka terpaksa keluar untuk menyerah kalah. Apabila ditanya apakah hukuman terhadap mereka, mereka mahu supaya kedudukan mereka ditentukan oleh Abdullah bin Salam رضي الله عنه iaitu bekas pendeta mereka.

Mereka sangka yang mereka akan mendapat hukuman yang ringan kerana Abdullah bin Salam رضي الله عنه adalah bangsa mereka juga. Tetapi Abdullah bin Salam رضي الله عنه telah menggunakan hukum yang ada di dalam Taurat iaitu apabila satu bangsa telah khianat kepada bangsa yang lain, maka orang-orang dewasa di kalangan mereka hendaklah dibunuh, harta mereka dirampas dan kaum wanita dan kanak-kanak mereka dijadikan hamba.


 

Ayat 21:

وَأُخرىٰ لَم تَقدِروا عَلَيها قَد أَحاطَ اللهُ بِها ۚ وَكانَ اللهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [He promises] other [victories] that you were [so far] unable to [realize] which Allāh has already encompassed.¹ And ever is Allāh, over all things, competent.

•i.e., prepared for you or decreed.

(MELAYU)

Dan (telah menjanjikan pula kemenangan-kemenangan) yang lain (atas negeri-negeri) yang kamu belum dapat menguasainya yang sungguh Allah telah mengepungnya. Dan adalah Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

 

وَأُخرىٰ لَم تَقدِروا عَلَيها

Dan yang lain, yang kamu belum dapat menguasainya

Dan ada satu tempat lagi yang Allah ﷻ janjikan kemenangan ke atas puak mukmin. Allah ﷻ tidak sebut apakah nama tempat itu tetapi yang dimaksudkan adalah Mekah. Ini adalah kerana tidak lama selepas itu Mekah akan ditawan oleh orang Islam. Allah ﷻ telah beri isyarat dalam ayat ini.

Ada juga yang berpendapat yang ianya merujuk kepada kemenangan ke atas Rom dan Parsi. Itu semua adalah kejayaan yang akan berlaku di masa hadapan. Memang pada waktu sebelum itu tidak dapat disangka yang umat Islam yang masih kecil akan ada kekuatan untuk menakluk tempat lain. Tetapi Allah ﷻ telah janjikan dan pasti akan dipenuhi.

 

قَد أَحاطَ اللهُ بِها

yang sungguh Allah telah mengepungnya.

Allah ﷻ beritahu yang Dia telah pun mengepung Mekah waktu itu. Ini dilakukan dengan menambahkan penyokong-penyokong negara Islam yang berada di sekeliling Mekah.

Selepas Perjanjian Hudaibiyah, negara Islam Madinah telah mendapat pengiktirafan sebagai satu kerajaan yang layak mengadakan perjanjian dengan Quraish Mekah. Ini boleh rujuk dalam Surah Muhammad sebelum ini. Puak-puak Arab sekitar semenanjung Tanah Arab sudah mula mengadakan perjumpaan dengan Rasulullah ﷺ dan sudah mula mengenal Islam sedikit demi sedikit.

Mereka juga sudah boleh mengadakan perjanjian dengan kerajaan Islam di Madinah. Oleh itu ada yang terus bersama dengan Quraish Mekah dan ada yang mengadakan perjanjian persefahaman dengan Madinah. Ramai yang sudah mula kenal Islam dan mereka telah berpihak kepada Madinah. Maka gagasan pengaruh Quraish sudah mula berkurangan kerana puak Arab sekitar sudah ramai yang berpihak kepada Madinah. Mereka seolah-olah telah dikepung dengan penyokong-penyokong Negara Islam.

Kalau kita pakai pendapat yang mengatakan yang dimaksudkan adalah Rom dan Parsi, bermaksud Allah ﷻ kawal Rom dan Parsi itu supaya tidak terlepas ke tangan orang lain. Oleh itu, harta Rom dan Parsi itu akan diserahkan satu hari nanti kepada umat Islam.

 

وَكانَ اللهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرًا

Dan adalah Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Dan memang Allah ﷻ berkuasa untuk melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki.

Atau ayat ini boleh bermaksud: Allah ﷻ sedang menyusun harta-harta ghanimah dari tempat-tempat lain yang sebelum itu puak Islam tidak ada peluang untuk mendapatkannya, tetapi semuanya di dalam rancangan Allah ﷻ.


 

Ayat 22: Memang orang kafir akan tetap berperang dengan umat Islam tetapi mereka cuma berperang sahaja tetapi kemenangan sebenarnya di tangan umat Islam. Allah ﷻ tetap akan bantu umat Islam di dalam peperangan. Dari awal lagi Allah ﷻ bantu dengan beri perasaan gerun mereka kepada umat Islam. Itu pun sudah sebahagian dari kemenangan.

Tapi kena rujuk kepada ayat-ayat yang lain yang mengajar syarat-syarat untuk mendapat bantuan dari Allah ﷻ itu. Antaranya kenalah taat kepada pemimpin.

وَلَو قٰتَلَكُمُ الَّذينَ كَفَروا لَوَلَّوُا الأَدبٰرَ ثُمَّ لا يَجِدونَ وَلِيًّا وَلا نَصيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if those [Makkans] who disbelieve had fought you, they would have turned their backs [in flight]. Then they would not find a protector or a helper.

(MELAYU)

Dan sekiranya orang-orang kafir itu memerangi kamu pastilah mereka berbalik melarikan diri ke belakang (kalah) kemudian mereka tiada memperoleh pelindung dan tidak (pula) penolong.

 

وَلَو قٰتَلَكُمُ الَّذينَ كَفَروا لَوَلَّوُا الأَدبٰرَ

Dan sekiranya orang-orang kafir itu memerangi kamu pastilah mereka berbalik melarikan diri ke belakang

Dan kalaulah orang-orang kafir itu cuba untuk menyerang puak Islam, mereka akan berpaling lari. Ini mungkin isyarat kepada Musyrikin Mekah. Ia menandakan umat Islam amat kuat sekali waktu itu, sampaikan Quraish Mekah tidak dapat hendak berbuat apa-apa.

Semasa Pembukaan Mekah nanti, memang ada beberapa orang yang cuba untuk menyerang orang-orang Islam, tetapi mereka telah dikalahkan dengan mudah kerana mereka sedikit sangat.

 

ثُمَّ لا يَجِدونَ وَلِيًّا وَلا نَصيرًا

kemudian mereka tiada mendapati pelindung dan tidak (pula) penolong.

Mereka yang cuba menyerang umat Islam memang tidak akan mendapat pertolongan dan perlindungan. Kerana Allah ﷻ telah buat keputusan untuk memenangkan umat Islam.

Tapi asalkan umat Islam memenuhi syarat-syarat dalam peperangan. Perkara ini banyak disebut dalam Surah Tawbah dan juga Surah Baqarah. Selepas musuh lari pun mereka tidak akan mendapat tempat perlindungan.


 

Ayat 23:

سُنَّةَ اللهِ الَّتي قَد خَلَت مِن قَبلُ ۖ وَلَن تَجِدَ لِسُنَّةِ اللهِ تَبديلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[This is] the established way of Allāh which has occurred before. And never will you find in the way of Allāh any change.

(MELAYU)

Sebagai suatu sunnatullah yang telah berlaku sejak dahulu, kamu sekali-kali tiada akan menemukan perubahan bagi sunnatullah itu.

 

سُنَّةَ اللهِ الَّتي قَد خَلَت مِن قَبلُ

Sebagai suatu sunnatullah yang telah berlaku sejak dahulu,

Sunnatullah adalah perkara yang biasa berlaku dari dahulu lagi. Allah ﷻ jadikan perkara itu berulang-ulang dari dulu lagi. Beginilah yang Allah ﷻ sentiasa lakukan di mana Allah ﷻ akan musnahkan kaum yang degil.

Begitulah Allah ﷻ bantu umat Islam yang taat kepada Rasulullah ﷺ dan memenuhi syarat-syarat ketaatan kepada Allah ﷻ dan kepada pemimpin perang.

 

وَلَن تَجِدَ لِسُنَّةِ اللهِ تَبديلًا

kamu sekali-kali tiada akan menemukan perubahan bagi sunnatullah itu.

Sunnatullah ini tidak akan berubah sampai bila-bila. Apabila Allah ﷻ telah buat keputusan, tidak akan ada perubahan langsung. Tunggu masa sahaja bila ia akan berlaku.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 22 Jun 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah al-Fath Ayat 16 – 18 (Pokok Bai’ah Ridwan ditebang)

Fath Ayat 16: Ini pun satu lagi perkara yang Allah ﷻ beritahu akan berlaku di masa hadapan. Ini adalah jawapan kedua kepada golongan munafik yang minta hendak ikut juga ke Khaibar.

Allah ﷻ beritahu yang akan ada lagi perjuangan yang lain, jadi tidak perlu risau. Tak payah nak kecoh tidak dapat pergi kali ini ke Khaibar. Waktu itu apabila telah diajak dan diberi peluang nanti, maka mereka kena buat keputusan untuk ikut.

Allah ﷻ juga ingatkan dalam ayat ini, jangan hendak dapatkan harta sahaja. Perjuangan jihad mesti kerana Allah ﷻ, bukan kerana hendak kumpul harta. Maka jangan lupa tujuan asal berjihad. Jihad adalah kerana hendak menegakkan agama Allah ﷻ. Kalau dapat harta, itu adalah sebagai bonus sahaja, tapi bukanlah tujuan asal.

قُل لِّلمُخَلَّفينَ مِنَ الأَعرابِ سَتُدعَونَ إِلىٰ قَومٍ أُولي بَأسٍ شَديدٍ تُقٰتِلونَهُم أَو يُسلِمونَ ۖ فَإِن تُطيعوا يُؤتِكُمُ اللهُ أَجرًا حَسَنًا ۖ وَإِن تَتَوَلَّوا كَما تَوَلَّيتُم مِّن قَبلُ يُعَذِّبكُم عَذابًا أَليمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say to those who remained behind of the bedouins, “You will be called to [face] a people of great military might; you may fight them, or they will submit.¹ So if you obey, Allāh will give you a good reward; but if you turn away as you turned away before, He will punish you with a painful punishment.”

•To Allāh in Islām.

(MELAYU)

Katakanlah kepada orang-orang Badwi yang tertinggal: “Kamu akan diajak untuk (memerangi) kaum yang mempunyai kekuatan yang besar, kamu akan memerangi mereka atau mereka menyerah (masuk Islam). Maka jika kamu patuhi (ajakan itu) nescaya Allah akan memberikan kepadamu pahala yang baik dan jika kamu berpaling sebagaimana kamu telah berpaling sebelumnya, nescaya Dia akan mengazab kamu dengan azab yang pedih”.

 

قُل لِّلمُخَلَّفينَ مِنَ الأَعرابِ

Katakanlah kepada orang-orang Badwi yang tertinggal:

Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ memberitahu kepada golongan munafik itu. Iaitu mereka yang tertinggal dari menyertai rombongan Umrah Nabi Muhammad ﷺ ke Mekah pada tahun Perjanjian Hudaibiyah itu. Kalau hendak perang sangat, memang masih ada peluang lagi.

 

سَتُدعَونَ إِلىٰ قَومٍ أُولي بَأسٍ شَديدٍ

“Kamu akan diajak untuk (memerangi) kaum yang mempunyai kekuatan yang besar,

Ini adalah kejadian di masa hadapan. Mereka akan disuruh untuk menyerang satu kaum dan kali ini tidak disebut pun untuk mengambil harta rampasan perang (seperti di Khaibar itu). Ini adalah kerana mereka kena berperang dengan satu kaum yang kuat. Ianya untuk jihad dakwah dan bukan untuk ambil harta sahaja.

Yang dimaksudkan adalah kaum yang kuat dan pandai berperang dan banyak kelengkapan. Yang dimaksudkan adalah tentera Rom. Dan ini akan berlaku dalam Perang Tabuk.

Dan satu lagi pendapat, ia juga boleh merujuk kepada tentera Parsi. Ini akan terjadi selepas Nabi ﷺ wafat. Kerana selepas kalah Arab Mekah, tidak ada tentera yang kuat lagi selain dari Rom dan Parsi. Maka yang dimaksudkan bukanlah tentera bangsa Arab tapi bangsa a’jam (maksudnya ‘bukan Arab’).

Maknanya perang tetap kena dijalankan untuk tegakkan agama. Jihad tetap berjalan walaupun Nabi ﷺ sudah wafat. Dan umat Islam masih tetap kena berjihad. Termasuklah juga golongan munafik itu.

Mereka tidak dibenarkan untuk menyertai serangan ke Khaibar tetapi mereka akan dijemput untuk menyertai Perang Tabuk nanti. Ini memang tidak disebut dalam ayat ini tetapi ia adalah sebagai syarat kerana selepas perjanjian Hudaibiyah itu, Rasulullah ﷺ sudah mula menghantar surat-surat dakwah ke negara lain kerana baginda sudah boleh fokus kepada mengembangkan agama Islam ke serata tempat selain tanah Arab sahaja.

Ini adalah tugas baginda kerana baginda adalah Rasul kepada seluruh umat manusia, bukan Arab sahaja maka memanglah baginda kena menyampaikan dakwah kepada bangsa-bangsa lain juga. Dan antara mereka yang baginda kena dakwah dan sampaikan Islam adalah kepada Rom dan Parsi.

 

تُقٰتِلونَهُم أَو يُسلِمونَ

kamu akan memerangi mereka atau mereka menyerah (masuk Islam).

Umat Islam diingatkan termasuklah juga kepada golongan munafik itu yang mereka kena terus perangi golongan musuh berterusan, sampailah mereka masuk Islam atau menyerah kalah. Maka arahan dari Allah ﷻ boleh difahami dalam dua maksud:

    1. Perangi mereka sehinggalah mereka masuk Islam
    2. Atau perangi mereka sehingga mereka tunduk kepada negara Islam.

Dua-dua maksud ini boleh dipakai.

 

فَإِن تُطيعوا يُؤتِكُمُ اللهُ أَجرًا حَسَنًا

Maka jika kamu patuhi (ajakan itu) nescaya Allah akan memberikan kepadamu pahala yang baik

Waktu itu kalau golongan munafik itu sanggup untuk ikut arahan berperang, maka mereka akan mendapat pahala yang besar. Maka mereka tidak dihalang dari berpeluang untuk berjihad sebenarnya. Hanya ke Khaibar sahaja mereka tidak boleh.

Maka tidaklah perlu mereka sibuk mengejar kelebihan harta di Khaibar itu, kerana mereka ada lagi peluang lain untuk mendapatkan pahala (dan juga harta) semasa berperang dengan Rom (atau Parsi). Kerana ada juga pendapat yang mengatakan kerajaan yang akan diperangi adalah Kerajaan Parsi, tetapi bukanlah di zaman Rasulullah ﷺ kerana ia akan berlaku semasa zaman Khalifah Umar dan seterusnya.

Di sini juga Allah ﷻ memberi janji kepada umat Islam bahawa empayar itu akan kalah kepada umat Islam ataupun mereka akan masuk ke dalam Islam. Janji perangi sahaja mereka itu.

 

وَإِن تَتَوَلَّوا كَما تَوَلَّيتُم مِّن قَبلُ يُعَذِّبكُم عَذابًا أَليمًا

dan jika kamu berpaling sebagaimana kamu telah berpaling sebelumnya, nescaya Dia akan mengazab kamu dengan azab yang pedih”.

Kalau mereka ikut arahan ini dan taat, maka mereka akan mendapat pahala dan harta yang banyak; tetapi Allah ﷻ memberi ancaman: jikalau mereka berpaling lagi seperti yang mereka telah lakukan pada Badar, Uhud dan semasa Perang Ahzab dan juga tidak menyertai rombongan Umrah Rasulullah ﷺ, maka mereka akan mendapat balasan yang buruk.

Kalau mereka buat perangai lama mereka, maka mereka akan mendapat balasan yang buruk. Ancaman sudah diberikan berkali-kali. Maka kenalah mereka tinggalkan perangai lama mereka. Maknanya, mereka masih ada peluang lagi untuk memperbetulkan kesilapan mereka yang dahulu. Maka jangan lepaskan peluang ini.


 

Fath Ayat 17: Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa panggilan untuk berjihad ini tidak dikenakan kepada mereka yang memang ada uzur syar’ie.

لَّيسَ عَلَى الأَعمىٰ حَرَجٌ وَلا عَلَى الأَعرَجِ حَرَجٌ وَلا عَلَى المَريضِ حَرَجٌ ۗ وَمَن يُطِعِ اللهَ وَرَسولَهُ يُدخِلهُ جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ ۖ وَمَن يَتَوَلَّ يُعَذِّبهُ عَذابًا أَليمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

There is not upon the blind any guilt or upon the lame any guilt or upon the ill any guilt [for remaining behind]. And whoever obeys Allāh and His Messenger – He will admit him to gardens beneath which rivers flow; but whoever turns away – He will punish him with a painful punishment.

(MELAYU)

Tiada dosa atas orang-orang yang buta dan atas orang yang pincang dan atas orang yang sakit (apabila tidak ikut berperang). Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya; nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan barang siapa yang berpaling nescaya akan diazab-Nya dengan azab yang pedih.

 

لَّيسَ عَلَى الأَعمىٰ حَرَجٌ

Tiada dosa atas orang-orang yang buta

Apabila para sahabat yang mukmin mendengar ayat yang memberi isyarat bahawa mereka perlu berperang, maka sahabat yang mukmin sudah mula bersedia.

Malah ada sahabat yang buta pun mula berfikir yang mereka itu juga perlu untuk menyertai peperangan. Sampaikan mereka mula rasa yang mereka kena berlatih untuk berperang. Begitu bersemangat mereka untuk ikut arahan Allah ﷻ. Maka Allah ﷻ beritahu bahawa mereka yang buta tidak perlu berperang. Tidak ada dosa kalau mereka tidak berperang.  Mereka tidak dipersalahkan dan mereka dimaafkan kalau tidak berjihad.

 

وَلا عَلَى الأَعرَجِ حَرَجٌ وَلا عَلَى المَريضِ حَرَجٌ

dan atas orang yang pincang dan atas orang yang sakit

Termasuk juga mereka yang tidak dipersalahkan adalah mereka yang pincang (cacat) dan sakit. Mereka itu tidak perlu berperang kerana mereka diberikan pelepasan. Orang yang sihat yang kena bersedia untuk berperang. Jadi jangan cari alasan untuk tidak berperang (seperti yang dilakukan oleh golongan munafik itu).

Walaupun mereka tidak boleh menyertai peperangan dengan cara fizikal, tetapi mereka kena juga ada hasrat (niat dalam hati). Dalam masa yang sama, mereka masih tetap kena bantu dengan beri semangat, infak dan doa.

Maka begitu juga dengan kita yang tidak diwajibkan dengan perang jihad sekarang kerana tidak cukup syarat. Kita juga kena ada niat setelah kita belajar tentang ayat-ayat jihad ini. Niat kena ada dulu. Entah bila masa kita diperlukan untuk berperang, maka kita terus kena bersedia dari sekarang (secara mental).

 

وَمَن يُطِعِ اللهَ وَرَسولَهُ يُدخِلهُ جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ

Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya; nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai

Allah ﷻ mengingatkan bahawa sesiapa yang taat kepada Rasulullah ﷺ dalam keadaan sihat ataupun sakit, maka mereka akan mendapat balasan syurga. Mereka yang taat kepada Rasulullah ﷺ untuk berperang di jalan Allah ﷻ, mereka akan dibalas dengan syurga. Dan Allah ﷻ terangkan sifat syurga itu yang hebat, siap ada sungai yang mengalir di bawah rumah dan mahligai mereka.

 

وَمَن يَتَوَلَّ يُعَذِّبهُ عَذابًا أَليمًا

dan barang siapa yang berpaling nescaya akan diazab-Nya dengan azab yang pedih.

Tetapi bagaimana pula kalau mereka menolak untuk taat? Allah ﷻ beri ancaman yang kalau mereka berpaling dari taat kepada Rasulullah ﷺ, mereka akan mendapat azab seksa yang teruk. Paling teruk sekali, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.


 

Fath Ayat 18: Ayat 18 – 26 adalah Perenggan Makro Keempat di mana Allah ﷻ memberitahu yang Dia redha dengan para sahabat. Ini berkenaan mereka yang taat kepada Rasulullah ﷺ, iaitu orang-orang mukmin yang ikut serta bersama Nabi Muhammad ﷺ bermusafir untuk mengerjakan Umrah pada tahun 6 Hijrah itu.

Walaupun mereka tidak dapat mengerjakan Umrah pada tahun itu, tetapi Allah ﷻ beri mereka pahala yang lebih lagi daripada mengerjakan Umrah. Kerana mereka mendapat pahala taat kepada Rasulullah ﷺ tanpa berbelah bagi.

Maka Allah ﷻ beritahu di dalam ayat ini yang Allah ﷻ redha kepada mereka dan redha Allah ﷻ itu membawa ke syurga kerana semua mereka yang bai’ah dengan Rasulullah ﷺ pada hari itu telah dijaminkan syurga. Ini adalah salah satu dari nikmat juga, iaitu nikmat redha dari Allah ﷻ.

 

۞ لَّقَد رَضِيَ اللهُ عَنِ المُؤمِنينَ إِذ يُبايِعونَكَ تَحتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ ما في قُلوبِهِم فَأَنزَلَ السَّكينَةَ عَلَيهِم وَأَثٰبَهُم فَتحًا قَريبًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Certainly was Allāh pleased with the believers when they pledged allegiance to you, [O Muḥammad], under the tree, and He knew what was in their hearts, so He sent down tranquility upon them and rewarded them with an imminent conquest¹

•That of Khaybar, which preceded the conquest of Makkah.

(MELAYU)

Sesungguhnya Allah telah redha terhadap orang-orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon, maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat (waktunya).

 

لَّقَد رَضِيَ اللهُ عَنِ المُؤمِنينَ إِذ يُبايِعونَكَ تَحتَ الشَّجَرَةِ

Sesungguhnya Allah telah redha terhadap orang-orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon,

Allah ﷻ redha dengan golongan mukminin itu. Inilah nikmat redha Allah ﷻ. Kalau ibubapa kita redha dengan kita pun kita sudah suka, tambahan pula kalau Allah ﷻ yang redha!

Kerana redha itulah bai’ah yang mereka lakukan dengan Nabi ﷺ itu juga dikenali sebagai baiaturidwaan (bai’ah yang diredhai). Iaitu ketika mereka melakukan perjanjian dengan Nabi ﷺ di bawah sepohon pokok. Pokok itu adalah Pohon Samurah di Hudaibiyah.

Ini adalah satu-satunya sebatang pokok yang disebut di dalam Al-Qur’an secara khusus. Jadi ia mempunyai sejarah yang amat tinggi, bukan? Akan tetapi apabila ada umat Islam yang mencari-cari pokok ini untuk mengambil berkat darinya dengan melakukan solat padanya, Saidina Umar رضي الله عنه telah mengarahkan untuk ia dipotong.

Ini sewaktu beliau menjadi Khalifah. Ini kerana beliau takut ada manusia yang akan melakukan syirik kepada pokok itu. Maka beliau telah memotong pokok itu. Kerana bukanlah kesan sejarah yang perlu dijaga sangat, tetapi akidah manusia yang lebih perlu dijaga.

Begitulah, ramai orang yang memarahi pemerintahan Kerajaan Arab Saudi yang telah menghancurkan tempat-tempat bersejarah. Mereka tidak faham bahawa tempat-tempat itu telah dijadikan sebagai tempat pemujaan, tempat solat, tempat ambil berkat dari orang-orang yang jahil tentang akidah. Maka tidak ada salahnya mereka memusnahkannya kerana itu tidak penting.

Maka di manakah asal kedudukan pohon itu pun tidak diketahui sampai sekarang. Kerana para sahabat yang mengadakan bai’ah di situ pun tidak ingat sebenarnya. Ini adalah kerana lama sangat kejadian itu dan mereka tidak ingat mana satu pokok itu.

Dan memang pokok itu tidak penting pun dan tidak ada kelebihan pun. Para sahabat رضي الله عنهم yang pergi dan berada dalam majlis baiah itu sendiri pun tidak ingat kedudukan pokok itu. Kalaulah ia penting, tentulah mereka akan buat tanda pokok itu.

Ia tidaklah penting, akan tetapi pada zaman tabein sudah ada mula buat masjid di kawasan sekitar itu kerana mereka kata ada keberkatan di tempat itu. Kalau zaman tabein pun sudah ada yang salah faham tentang hal berkat, apatah lagi kalau zaman sekarang?

Allah ﷻ memberitahu tentang pokok itu kerana hendak memberitahu bahawa majlis bai’ah itu bukanlah di dalam majlis yang hebat dan besar, tetapi di dalam suasana yang sederhana sahaja. Tetapi walaupun ia berbentuk ala kadar sahaja, ia tetap sampai boleh membawa mereka yang berbai’ah di bawahnya ke syurga. Kerana Allah ﷻ lihat kepada hati, bukan tempat kejadian itu. Begitulah kita, bukannya kita lihat pada perawakan seseorang, tetapi kita lihat kepada kebaikan hati seseorang itu.

Dalam ayat ini Allah ﷻ beritahu dalam Al-Qur’an yang Dia redha kepada para sahabat yang berbai’ah itu. Ini adalah salah satu ayat untuk menangkis fahaman ‘agama Syiah’ yang mengutuk para sahabat Nabi ﷺ. Mereka kata semua sahabat Nabi ﷺ itu semua jadi syirik setelah kewafatan Rasulullah ﷺ  kecuali beberapa orang sahaja.

Ini tidak mungkin kerana Allah ﷻ redha dengan mereka. Kerana ayat ini ditujukan kepada 1,400 sahabat yang bersama dengan baginda untuk menunaikan Umrah itu – amat ramai. Syiah pula kata beberapa orang sahaja yang tidak murtad (dalam tiga empat orang sahaja).

Mereka memang mempunyai fahaman yang sesat dan kalau tidak diberitahu kepada masyarakat kita, ramai yang akan jadi kafir macam Syiah itu juga. Maka kita yang tahu kesesatan Syiah ini kena sampaikan kepada orang ramai. Jangan dibiarkan mereka terus berleluasa menipu masyarakat kita yang jahil. Memang orang jahil akan senang tertipu dengan diayah sesat puak Syiah itu.

 

فَعَلِمَ ما في قُلوبِهِم

maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka

Kalimah ما (apa) dalam ayat ini adalah ‘ma mubham’ iaitu sesuatu yang tidak jelas. Jadi tidak pasti apakah yang dimaksudkan melainkan pendapat dari ulama’-ulama’ tafsir sahaja.

Ulama’ mengatakan yang ia bermaksud janji mereka kepada Allah ﷻ. Allah ﷻ beritahu yang Dia tahu apa yang di dalam hati mereka. Allah ﷻ tahu hati mereka ikhlas dalam janji mereka itu dan mereka itu memang sanggup mati kerana agama. Kerana itu mereka mendapat berbagai-bagai kelebihan.

Ini juga sekali lagi menolak fahaman sesat Syiah yang mengatakan para sahabat semasa dengan Nabi ﷺ semuanya munafik. Bagaimana mereka itu munafik sedangkan Allah ﷻ tahu hati mereka yang ikhlas? Dan Allah ﷻ sebut sendiri dalam ayat ini. Adakah Syiah hendak kata yang Allah ﷻ tidak tahu hati para sahabat itu? Bukankah Allah ﷻ tahu  segala yang dalam hati manusia?

Kalaulah mereka munafik, tentu Allah ﷻ tahu, bukan? Maka memanglah Syiah ini adalah golongan kufur yang sesat. Semoga anak-anak Islam kita diselamatkan dari fahaman Syiah ini. Semoga mereka mendapat ilmu yang benar sebelum diayah Syiah sampai kepada mereka. Kerana Syiah berjaya menipu golongan yang jahil agama sahaja.

 

فَأَنزَلَ السَّكينَةَ عَلَيهِم

lalu menurunkan ketenangan ke atas mereka

Kerana hati mereka ikhlas, maka Allah ﷻ curahkan ketenangan ke atas mereka. Dengan ketenangan itu, mereka dapat redha dengan apa yang terjadi, walaupun pada asalnya, mereka marah dengan apa yang telah berlaku. Mereka juga tidak bersetuju dengan Perjanjian Hudaibiyah itu pada mulanya kerana mereka lihat terma di dalam perjanjian itu memang nampak berat sebelah.

Ini kerana mereka tidak faham dan tidak dapat lihat di masa hadapan bagaimana perjanjian itu akan memenangkan agama Islam. Tentulah mereka tidak puas hati pada waktu itu. Tetapi kerana mereka taat juga dengan arahan Rasulullah, maka Allah ﷻ curah sakinah ke dalam hati mereka. Oleh kerana itu walaupun mereka tidak faham, tetapi kerana Allah ﷻ telah turunkan ketenangan ke dalam hati mereka, mereka dapat terima apa yang berlaku.

Kalimah السَّكينَةَ dari katadasar س ك ن yang bermaksud untuk diam; rehat; tinggal; pondok; mendiami; sebarang cara ketenangan; miskin; merendah diri; seseorang yang tidak boleh bergerak untuk mencari rezeki kerana kecacatan fizikal, mental atau kewangan; lemah; melarat; tidak mempunyai wang; aib; keadaan jahat; kemelaratan; pisau (kerana ia menjadi punca diam selepas disembelih). Jadi kalimah سكن bermaksud kerehatan fizikal dan mental.

Sakinah di dalam hati mereka itu juga boleh bermaksud sifat berani yang Allah ﷻ tanamkan dalam hati mereka. Mereka sanggup dan bersedia untuk berperang menentang Musyrikin Mekah untuk membalas dendam terhadap perbuatan mereka terhadap Uthman رضي الله عنه.

Bayangkan, walaupun waktu itu mereka tidak bersenjata, bilangan yang sedikit, jauh dari tempat tinggal dan tidak bersedia sebenarnya untuk berperang (kerana mereka datang pun untuk mengerjakan Umrah). Memang kalau fikir logik, mereka tidak sanggup hendak berperang dalam keadaan begitu. Tetapi Allah ﷻ tanamkan sifat berani dalam diri mereka, mereka sanggup buat apa-apa sahaja.

 

وَأَثٰبَهُم فَتحًا قَريبًا

dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat

Allah ﷻ balas pengorbanan mereka itu dan iman mereka itu dengan kejayaan yang dekat. Yang dimaksudkan adalah harta ghanimah Khaibar, seperti yang kita telah sebutkan sebelum ini. Kerana apabila mereka balik sahaja ke Madinah mereka akan terus pergi ke Khaibar.

Tempat itu dekat sahaja dengan tempat mereka dari segi kedudukan dan tidak lama perkara itu berlaku setelah mereka kembali ke Madinah. Dan mudah sahaja untuk mereka mengalahkan Khaibar itu, maka itu dikira ‘dekat’ juga. Jadi dekat dari segi tempat dan dekat dari segi mudahnya bagi mereka untuk melakukannya.

Juga boleh bermaksud kejayaan dalam Perjanjian Hudaibiyah itu juga, kerana itu pun sudah dikira sebagai kejayaan. Walaupun mereka tidak nampak lagi, tapi ia adalah kejayaan sebenarnya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 1 September 2023

Ringkasan Surah Fath


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir ibn Kathir

Tafsir Surah al-Fath Ayat 12 – 15 (Serangan ke Khaibar)

Ayat 12: Allah ﷻ beritahu lagi apa yang ada di dalam hati mereka.

بَل ظَنَنتُم أَن لَّن يَنقَلِبَ الرَّسولُ وَالمُؤمِنونَ إِلىٰ أَهليهِم أَبَدًا وَزُيِّنَ ذٰلِكَ في قُلوبِكُم وَظَنَنتُم ظَنَّ السَّوءِ وَكُنتُم قَومًا بورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But you thought that the Messenger and the believers would never return to their families, ever, and that was made pleasing in your hearts. And you assumed an assumption of evil and became a people ruined.”

(MELAYU)

Tetapi kamu menyangka bahawa Rasul dan orang-orang mukmin tidak sekali-kali akan kembali kepada keluarga mereka selama-lamanya dan syaitan telah menjadikan kamu memandang baik dalam hatimu persangkaan itu, dan kamu telah menyangka dengan sangkaan yang buruk dan kamu menjadi kaum yang binasa.

 

بَل ظَنَنتُم أَن لَّن يَنقَلِبَ الرَّسولُ وَالمُؤمِنونَ إِلىٰ أَهليهِم أَبَدًا

Bahkan kamu menyangka bahawa Rasul dan orang-orang mukmin tidak sekali-kali akan kembali kepada keluarga mereka selama-lamanya

Apabila Rasulullah ﷺ dan para mukmin buat keputusan untuk pergi ke Mekah untuk mengerjakan Umrah, orang-orang munafik itu jadi suka kerana mereka sangka orang-orang mukmin itu akan dibunuh semuanya oleh Musyrikin Mekah. Maka mereka rasa selepas ini tinggal mereka sahajalah kerana orang mukmin sudah tiada.

 

وَزُيِّنَ ذٰلِكَ في قُلوبِكُم

dan dijadikan kamu memandang baik dalam hatimu persangkaan itu,

Syaitan yang menjadikan mereka suka dengan sangkaan mereka itu. Syaitan mencantikkan apa yang di dalam fikiran mereka itu. Syaitan membisikkan perkara yang buruk kepada mereka dan mereka terima dengan mudah. Syaitan bagi idea kepada mereka untuk tetap tinggal di Madinah dan tidak ikut rombongan Nabi ﷺ dan para sahabat yang mukmin.

Maka mereka rasa mereka pandai kerana tidak pergi mengerjakan Umrah dengan Rasulullah ﷺ. Orang-orang munafik itu sudah buat rancangan bagaimana mereka akan memerintah Madinah. Mereka rasa mereka akan berkuasa nanti apabila tiada lagi orang mukmin dan Nabi Muhammad ﷺ bukan lagi pemimpin di Madinah.

 

وَظَنَنتُم ظَنَّ السَّوءِ

dan kamu telah menyangka dengan sangkaan yang buruk

Mereka telah membuat sangkaan yang amat buruk. Perkara itu berada di dalam hati dan akal mereka tetapi Allah ﷻ sebut di dalam ayat ini untuk membuka pekung perasaan mereka. Apakah sangkaan buruk mereka itu? Mereka sangka yang Allah ﷻ tidak jaga dan beri bantuan kepada Rasulullah ﷺ.

Bila Allah ﷻ sebut dalam Al-Qur’an, maka ia bermaksud yang ia akan tetap berlaku setiap zaman. Iaitu ada yang bersangka buruk dengan Allah ﷻ. Iaitu mereka yang tidak percaya kepada pertolongan Allah ﷻ. Mereka sangka Allah ﷻ tidak akan tolong orang mukmin.

 

وَكُنتُم قَومًا بورًا

dan kamu menjadi kaum yang binasa.

Allah ﷻ memberitahu bahawa puak-puak munafik itu menuju kehancuran tetapi bukan kehancuran yang serta merta, tetapi sedikit demi sedikit. Inilah maksud yang kita faham apabila digunakan kalimah بورا ini.

Jadi tidak nampak yang mereka terus hancur. Kerana kehancuran mereka sedikit demi sedikit. Semasa mereka sudah ada perasaan itu Allah ﷻ memberitahu bahawa mereka itu sudah menjadi kaum yang binasa. Tunggu masa sahaja untuk nampak kehancuran yang nyata.


 

Ayat 13: Takhwif Ukhrawi.

وَمَن لَّم يُؤمِن بِاللهِ وَرَسولِهِ فَإِنّا أَعتَدنا لِلكٰفِرينَ سَعيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever has not believed in Allāh and His Messenger – then indeed, We have prepared for the disbelievers a Blaze.

(MELAYU)

Dan barangsiapa yang tidak beriman kepada Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya Kami menyediakan untuk orang-orang yang kafir neraka yang bernyala-nyala.

 

وَمَن لَّم يُؤمِن بِاللهِ وَرَسولِهِ

Dan barangsiapa yang tidak beriman kepada Allah dan Rasul-Nya

Sebelum ini Allah ﷻ sebut tentang golongan munafik dan sekarang terus Allah ﷻ sebut golongan kafir. Ini adalah kerana Allah ﷻ memberi isyarat di dalam ayat ini bahawa orang-orang munafik itu sebenarnya orang-orang kafir kerana mereka tidak beriman sebenarnya.

Allah ﷻ boleh berkata begitu kerana Allah ﷻ tahu apa yang berada di dalam hati mereka tetapi kita tidak bolehlah mengatakan orang-orang lain yang ada sifat munafik sebagai kafir. Jangan kita kata begitu kerana kita tidak tahu apa yang ada di dalam hati mereka.

Apabila Allah ﷻ gunakan kalimah وَمَن (dan siapa sahaja), bermaksud ia berlaku pada Zaman Nabi ﷺ atau boleh jadi pada waktu lain. Sesiapa yang tidak percaya dengan tauhid dan sunnah, akan menerima azab.

Maksud بِاللهِ: beriman dengan tauhid sempurna

Maksud وَرَسولِهِ: beramal dengan amalan sunnah. Percaya dengan sunnah Rasulullah ﷺ.

Maka kerana itu, iman yang sempurna kena ada dua-dua elemen ini. Percaya kepada Allah ﷻ dan juga percaya kepada Rasulullah ﷺ. Maka tidak boleh tidak, kena ada dua-dua. Maka kita kena tahu tafsir Al-Qur’an dan juga kena tahu syarah hadis Nabi ﷺ untuk memahami agama ini dan mencapai iman yang sempurna.

 

فَإِنّا أَعتَدنا لِلكٰفِرينَ سَعيرًا

maka sesungguhnya Kami telah sediakan untuk orang-orang yang kafir neraka yang bernyala-nyala.

Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka yang api menyala-nyala. Maksudnya api itu terus menyala tidak akan padam-padam. Dan dalam ayat yang lain, disebut mereka akan berada di bahagian neraka yang paling bawah sekali. Maknanya, yang paling panas dan paling teruk azabnya.

Ayat ini juga adalah antara dalil yang menunjukkan yang neraka itu sudah ada. Bukan sahaja neraka sudah ada, bahkan syurga juga sudah ada. Kedua-duanya sudah dihuni dan keduanya menunggu sahaja penghuni mereka. Tidak tahulah kita akan masuk ke mana nanti. Semoga kita semua ahli syurga, aameen.


 

Ayat 14: Ini adalah Jumlah ta’liliyah (sebab). Allah ﷻ hendak memberitahu kenapa Allah ﷻ boleh buat apa sahaja.

وَِلِلهِ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ يَغفِرُ لِمَن يَشاءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشاءُ ۚ وَكانَ اللهُ غَفورًا رَّحيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Allāh belongs the dominion of the heavens and the earth. He forgives whom He wills and punishes whom He wills. And ever is Allāh Forgiving and Merciful.

(MELAYU)

Dan hanya kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi. Dia memberikan ampun kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan mengazab siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

وَِلِلهِ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Dan hanya kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi.

Allah ﷻ memiliki alam ini. Maka Dia ada hak untuk buat apa sahaja kepada makhlukNya. Kita sebagai hamba kena terima sahaja. Allah ﷻ boleh beri hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah ﷻ boleh beri kesesatan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Allah ﷻ boleh azab sesiapa yang Dia kehendaki; dan Dia boleh beri syurga kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

 

يَغفِرُ لِمَن يَشاءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشاءُ

Dia memberikan ampun kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan mengazab siapa yang dikehendaki-Nya.

Oleh kerana itu Allah ﷻ boleh mengampunkan sesiapa yang hendak diampunNya dan mengazab sesiapa yang Dia kehendaki. Kita kena berharap pengampunan dari Allah ﷻ. Akan tetapi segala keputusan adalah di tanganNya. Maka kenalah kita sentiasa berharap dan jangan berhenti meminta ampun kepada Allah ﷻ.

 

وَكانَ اللهُ غَفورًا رَّحيمًا

Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Namun Allah ﷻ beritahu di akhir ayat ini yang Dia adalah Maha Pengampun. Memang Dia boleh azab sesiapa sahaja, tetapi Dia hendak beritahu bahawa banyak yang Dia ampunkan. Walaupun Allah ﷻ bebas dan boleh buat apa sahaja, tetapi Allah ﷻ suka hamba yang bertaubat dan Dia suka untuk ampunkan.

Kenapa Allah ﷻ ampunkan makhlukNya? Kerana Dia maha penyayang. Dia amat sayang kepada makhlukNya. Maka Dia lebih-lebih lagi sayang kepada hambaNya yang meminta ampun kepadaNya. Dia sentiasa bersedia untuk mengampunkan mereka yang bertaubat.


 

Ayat 15: Dalam ayat ini Allah ﷻ beritahu kepada para sahabat apa yang akan berlaku. Sebelum ini telah diberitahu perkara yang telah terjadi iaitu Allah ﷻ memberitahu kenapa orang munafik itu tidak mahu menyertai rombongan Rasulullah ﷺ. Sekarang Allah ﷻ turunkan ayat ini kepada Rasulullah ﷺ semasa baginda dan para sahabat yang lain dalam perjalanan balik ke Madinah dari Mekah.

سَيَقولُ المُخَلَّفونَ إِذَا انطَلَقتُم إِلىٰ مَغانِمَ لِتَأخُذوها ذَرونا نَتَّبِعكُم ۖ يُريدونَ أَن يُبَدِّلوا كَلٰمَ اللهِ ۚ قُل لَّن تَتَّبِعونا كَذٰلِكُم قالَ اللهُ مِن قَبلُ ۖ فَسَيَقولونَ بَل تَحسُدونَنا ۚ بَل كانوا لا يَفقَهونَ إِلّا قَليلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who remained behind will say when you set out toward the war booty to take it, “Let us follow you.” They wish to change the words of Allāh. Say, “Never will you follow us. Thus did Allāh say before.” So they will say, “Rather, you envy us.” But [in fact] they were not understanding except a little.¹

•i.e., they only understood the material aspects of life.

(MELAYU)

Orang-orang yang tertinggal itu akan berkata apabila kamu berangkat untuk mengambil barang rampasan: “Biarkanlah kami mengikuti kamu”; mereka hendak merubah janji Allah. Katakanlah: “Kamu sekali-kali tidak (boleh) mengikuti kami; demikian Allah telah menetapkan sebelumnya”; mereka akan mengatakan: “Sebenarnya kamu dengki kepada kami”. Bahkan mereka tidak mengerti melainkan sedikit sekali.

 

سَيَقولُ المُخَلَّفونَ إِذَا انطَلَقتُم إِلىٰ مَغانِمَ لِتَأخُذوها

Orang-orang Badwi yang tertinggal itu akan berkata apabila kamu berangkat untuk mengambil barang rampasan:

Allah ﷻ memberitahu yang orang-orang munafik itu akan membuka mulut mereka lagi. Allah ﷻ beritahu perkara ini sebelum mereka berkata lagi; kerana ayat ini disampaikan kepada Rasulullah ﷺ semasa baginda dalam perjalanan ke Madinah dari Mekah, maknanya baginda dan para sahabat bersama baginda tidak sampai lagi.

Kalimah انطَلَقتُم dari kalimah ط ل ق yang bermaksud melepaskan (macam talaq dalam pernikahan). Allah ﷻ menggunakan kalimah ini kerana hendak memberi isyarat kepada serangan kepada Kubu Khaibar (salah satu penempatan Yahudi di Madinah).

Allah ﷻ beritahu yang Dia ‘lepaskan’ mereka kerana sebelum itu Rasulullah ﷺ dan orang mukmin tidak dapat menyerang Khaibar. Mereka itu memang telah patut diserang kerana telah belot di dalam perjanjian dengan Rasulullah ﷺ untuk sama-sama mempertahankan Madinah kalau diserang. Tapi sehingga waktu itu golongan Mukmin tidak dapat menyerang mereka lagi.

Dalam Perang Ahzab mereka telah belot dan membantu puak Musyrikin Mekah menyerang Madinah. Walaupun mereka telah belot tetapi Rasulullah ﷺ tidak berupaya untuk menawan mereka lagi sebelum itu. Kerana waktu itu golongan Yahudi rapat dengan Musyrikin Mekah. Kerana kalau puak Muslim serang Khaibar, mereka akan mendapat bantuan dari Mekah.

Akan tetapi selepas perjanjian Hudaibiyah dimeterai, baginda boleh menumpukan perhatian baginda untuk memusnahkan golongan Yahudi di sana. Kerana puak Mekah tidak dapat membantu mereka lagi kerana sudah ada perjanjian damai antara Madinah dan Mekah. Maka sekarang, barulah Allah ﷻ ‘lepaskan’ puak Muslim untuk menyerang Khaibar yang sebelum ini tersekat.

Maka Allah ﷻ telah turunkan wahyu kepada Nabi ﷺ untuk menyerang Khaibar bersama-sama dengan para sahabat yang bersama dengan baginda di Hudaibiyah. Maknanya hanya ahli Hudaibiyah sahaja yang boleh menyertai serangan ke Khaibar. Ini kelebihan yang telah diberikan kepada mereka kerana mereka sanggup ikut Nabi ﷺ mengerjakan Umrah.

Kalimah مَغانِمَ dari  غ ن م yang bermaksud kambing biri-biri, tetapi bukan yang biasa tetapi kambing biri biri yang kita nampak di tepi jalan dan tidak ada tuannya. Kerana tidak ada tuannya, maka senang sahaja untuk kita ambil. Dari kalimah itu ia menjadi kalimah ‘ghanimah’ (harta rampasan perang).

Allah ﷻ hendak memberitahu kepada umat Islam bahawa apabila mereka menuju kepada Khaibar untuk menyerangnya, ia akan menjadi mudah seperti mereka mengambil sesuatu di tepi jalan sahaja. Ia seperti mereka pergi ke sana itu hanya untuk mengambil harta sahaja tanpa perlu berlawan dengan musuh pun. Oleh kerana itu Allah ﷻ tidak sebut pun pasal kena berperang dengan orang Yahudi itu, tetapi Allah ﷻ hanya sebut tentang ‘ambil harta rampasan perang’ sahaja.

Jadi apabila menyerang Khaibar itu seperti mengambil gedung emas sahaja kerana orang orang Yahudi itu bukan kuat berperang. Mereka tidak ada daya juang dan kerana itu mereka akan senang untuk dikalahkan. Harta mereka memang banyak kerana mereka telah mengumpulkan harta mereka selama beratus tahun.

Dan jikalau dapat mengalahkan mereka dalam beberapa hari sahaja, sudah boleh mendapatkan harta mereka yang dikumpul sekian lama. Harta dikumpul beratus tahun tetapi diambil dalam beberapa hari sahaja. Kerana itu untung besar kalau dapat harta ghanimah.

 

ذَرونا نَتَّبِعكُم

“Biarkanlah kami mengikuti kamu”;

Inilah kata-kata puak munafik yang Allah ﷻ beritahu yang mereka akan cakap. Apabila puak-puak munafik itu mendengar rancangan Rasulullah ﷺ untuk menyerang Khaibar, mereka nampak itu adalah peluang untuk mereka buat harta kerana mereka tahu bahawa Khaibar itu senang untuk ditakluki. Kali ini mereka cepat-cepat pergi kepada baginda untuk meminta kebenaran untuk menyertai serangan ke Khaibar.

 

يُريدونَ أَن يُبَدِّلوا كَلٰمَ اللهِ

mereka hendak merubah janji Allah.

Akan tetapi Nabi Muhammad ﷺ memberitahu golongan munafik itu yang mereka tidak boleh menyertai puak mukmin untuk menyerang Khaibar kerana Allah ﷻ telah khususkan Khaibar kepada mereka yang ikut ke Mekah dulu.

Tetapi golongan munafik itu tetap mahu ikut juga seolah-olah mereka hendak mengubah ketentuan Allah ﷻ. Kerana ketentuan Allah ﷻ adalah tidak membenarkan mereka menyertai serangan itu. Kerana Allah ﷻ janjikan hanya kepada sahabat yang sertai Baiah Hudaibiyah itu. Tetapi mereka tetap hendak ubah juga.

Ini kerana golongan munafik tetap tidak puas hati. Mereka mahu supaya keputusan itu ditukar. Allah ﷻ yang telah berjanji untuk memberikan harta ghanimah kepada golongan yang pergi ke Hudaibiyah. Tetapi mereka hendak ubah suai janji Allah ﷻ. Begitulah teruknya mereka tidak taat kepada Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺ.

 

قُل لَّن تَتَّبِعونا كَذٰلِكُم قالَ اللهُ مِن قَبلُ

Katakanlah: “Kamu sekali-kali tidak (boleh) mengikuti kami; demikian Allah telah menetapkan sebelumnya”;

Allah ﷻ suruh tegaskan kepada mereka yang mereka tidak boleh ikut serta kali ini. Kerana keputusan itu dari Allah ﷻ sendiri.

Kalimah كَذٰلِكُم  bermaksud ‘begitulah’. Begitulah kamu dan perangai kamu yang pilih-pilih manakah pilihan yang kamu rasa baik untuk kamu ikuti. Kalau perbuatan itu ada untung kepada kamu, maka kamu hendak ikut tetapi kalau kamu rasa ia akan membahayakan kamu, kamu tidak mahu taat kepada ajakan Rasulullah ﷺ.

Kamu hanya mahu pergi menyerang Khaibar itu hanyalah kerana mahukan harta ghanimah sahaja. Tetapi semasa Nabi Muhammad ﷺ mengajak kamu pergi mengerjakan Umrah, kamu tidak ikut kerana ianya tidak penting kepada kamu dan kamu rasa siapa yang pergi akan dibunuh semuanya.

Memang Allah ﷻ telah beritahu sifat-sifat mereka itu sebelum ini.

Kenapa Allah ﷻ kata keputusan itu telah disebut sebelum ini? Kerana telah digunakan kalimah المُخَلَّفونَ di dalam ayat-ayat sebelum ini yang bermaksud mereka itu adalah golongan yang ditinggalkan di belakang. Maka arahan Allah ﷻ adalah: yang boleh menyertai serangan ke Khaibar ini adalah mereka yang berada di Hudaibiyah sahaja. Yang tinggal tidak pergi Umrah, tidak boleh ikut.

Atau, ia telah diberikan kepada Rasulullah ﷺ dalam bentuk wahyu ghairu matlu (wahyu yang tidak dibaca macam Al-Qur’an) iaitu ilham yang Allah ﷻ berikan kepada Nabi Muhammad ﷻ. Ia tetap wahyu juga, cuma tidaklah dalam bentuk Al-Qur’an. Maka ia tetap juga arahan dari Allah ﷻ dan tidak boleh diremehkan.

 

فَسَيَقولونَ بَل تَحسُدونَنا

mereka akan mengatakan: “Sebenarnya kamu dengki kepada kami”.

Allah ﷻ beritahu lagi apa yang mereka akan kata: Apabila mereka dilarang menyertai serangan ke Khaibar, mereka akan tuduh Nabi Muhammad  ﷺ dan juga para sahabat ada hasad dengki terhadap mereka sampai tidak mahu mereka memiliki apa-apa pun.

Maksudnya mereka hendak kata yang Nabi Muhammad ﷺ tidak adil di dalam pemerintahan baginda. Berani sungguh mereka berkata begitu. Ini adalah tuduhan yang amat tidak patut dan kurang ajar kepada Rasulullah ﷺ.

 

بَل كانوا لا يَفقَهونَ إِلّا قَليلًا

Bahkan mereka tidak mengerti melainkan sedikit sekali.

Rasulullah ﷺ dan sahabat tidak perlu jawab tuduhan mereka itu, biar Allah ﷻ sahaja yang jawab. Allah ﷻ memberitahu bahawa mereka itu tidak tahu apa-apa pun dan mereka buat bising itu adalah kerana mereka tidak dapat harta sahaja.

Ini adalah kerana mereka tidak faham tentang agama melainkan sedikit sahaja dan itu pun berkenaan perkara-perkara yang boleh menguntungkan keduniaan mereka sahaja. Begitulah sifat orang munafik – pakai agama kalau ada untung untuk mereka sahaja.

Ini adalah sifat-sifat munafik yang kita lihat banyak juga di kalangan orang kita. Hanya pakai syariat kalau mereka ada kelebihan dan untung. Sebagai contoh, kalau bab harta faraid, cepat sahaja mereka minta hak mereka; tetapi bila bab hendak jaga balu atau anak-anak yatim, tidak pula mereka sibuk.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 19 Jun 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir