Tafsir Surah Asy-Shu’araa Ayat 61 – 71 (Amalan sembah kubur)

Ayat 61: Ini adalah apabila Firaun dan pengikutnya telah dapat mengejar Bani Israil yang melarikan diri itu.

فَلَمّا تَرٰءَى الجَمعانِ قالَ أَصحٰبُ موسىٰ إِنّا لَمُدرَكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the two companies saw one another, the companions of Moses said, “Indeed, we are to be overtaken!”

(MELAYU)

Maka setelah kedua golongan itu saling melihat, berkatalah pengikut-pengikut Musa: “Sesungguhnya kita benar-benar akan tersusul”.

 

فَلَمّا تَرٰءَى الجَمعانِ

Maka setelah kedua golongan itu saling melihat,

Walaupun golongan Bani Israil itu sudah keluar awal tapi mereka bergerak perlahan. Kerana mereka berjalan kaki sahaja dan bawa banyak barang. Dan Firaun dan pengikutnya pakai kenderaan, jadi mereka laju dan dapat mengejar. Maka Bani Israil itu telah nampak bangsa Qibti yang kejar mereka di belakang. Memang sudah dekat sampai boleh nampak Firaun mendekat.

 

قالَ أَصحٰبُ موسىٰ إِنّا لَمُدرَكونَ

berkatalah pengikut-pengikut Musa: “Sesungguhnya kita benar-benar akan tersusul”.

Bani Israil yang bersama dengan Nabi Musa itu sudah takut sangat apabila nampak bala tentera Firaun bersama dengan Firaun sedang mendekati mereka. Mereka sudah anggap yang mereka akan ditangkap dari belakang.

Dalam ayat lain ada disebut bagaimana Bani Israil itu menyalahkan Nabi Musa kerana akan menyebabkan mereka terbunuh.


 

Ayat 62: Nabi Musa menenangkan mereka.

قالَ كَلّا ۖ إِنَّ مَعِيَ رَبّي سَيَهدينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Moses] said, “No! Indeed, with me is my Lord; He will guide me.”

(MELAYU)

Musa menjawab: “Sekali-kali tidak akan tersusul; sesungguhnya Tuhanku bersertaku, kelak Dia akan memberi petunjuk kepadaku”.

 

قالَ كَلّا ۖ

Musa menjawab: “Sekali-kali tidak;

Nabi Musa kata yang mereka tidak akan terbunuh. Kerana Allah yang berikan arahan untuk mereka bergerak malam itu dan Allah telah berjanji tidak akan meninggalkan mereka. Semasa baginda diarahkan untuk berdakwah kepada Firaun dan baginda rasa takut, Allah telah beritahu yang baginda akan selamat. Maka Nabi Musa sudah yakin dengan janji-janji Allah itu.

 

إِنَّ مَعِيَ رَبّي سَيَهدينِ

sesungguhnya Tuhanku bersertaku, kelak Dia akan memberi petunjuk kepadaku”.

Kerana Nabi Musa yakin yang mereka tidak bersendirian tetapi Allah bersama mereka dan akan memberi jalan keluar.

Nabi Musa amat yakin dengan Allah dan dengan wahyu kerana baginda yang menyampaikan wahyu itu kepada manusia. Sedangkan Bani Israil itu hanya mendengar sahaja dan kerana itu mungkin iman mereka kepada wahyu tidak kuat.

Oleh kerana itu kita disuruh untuk belajar tafsir Al-Qur’an supaya kita faham apakah yang disampaikan oleh wahyu ini. Tetapi jikalau kita sendiri yang menyampaikannya kepada manusia, dengan mengajar dan berdakwah kepada manusia dengan membacakan ayat-ayat Al-Qur’an, maka iman kita akan menjadi lebih kuat lagi. Jadi untuk kuatkan iman kita, kena sampaikan Al-Qur’an ini kepada manusia.


 

Ayat 63: Allah beri jalan keluar untuk menyelamatkan mereka. Ini seperti yang Allah telah rancangkan.

فَأَوحَينا إِلىٰ موسىٰ أَنِ اضرِب بِّعَصاكَ البَحرَ ۖ فَانفَلَقَ فَكانَ كُلُّ فِرقٍ كَالطَّودِ العَظيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We inspired to Moses, “Strike with your staff the sea,” and it parted, and each portion was like a great towering mountain.

(MELAYU)

Lalu Kami wahyukan kepada Musa: “Pukullah lautan itu dengan tongkatmu”. Maka terbelahlah lautan itu dan tiap-tiap belahan adalah seperti gunung yang besar.

 

فَأَوحَينا إِلىٰ موسىٰ أَنِ اضرِب بِّعَصاكَ البَحرَ

Lalu Kami wahyukan kepada Musa: “Pukullah lautan itu dengan tongkatmu”.

Allah beri wahyu kepada Nabi Musa untuk ketuk laut itu dengan tongkatnya dan laut itu terbelah menjadi dua. Ini adalah mukjizat dan ayat ini menolak pendapat mereka yang tidak percaya dengan mukjizat.

Ini kerana ada yang mengatakan tidaklah laut itu terbelah kerana akal mereka tidak dapat terima. Mereka kata kejadian ini tidak dapat dijelaskan dengan penjelasan sains. Maka mereka cuba untuk jelaskan supaya akal mereka boleh terima.

Mereka kata kejadian ini berlaku kerana Nabi Musa tahu bilakah air surut dan bila air pasang. Pendapat mereka yang kononnya saintifik itu tidak sesuai dengan ayat Al-Qur’an ini. Kerana Allah boleh sahaja nak jadikan apa-apa dan memang Allah telah belah laut itu.

 

فَانفَلَقَ

Maka terbelahlah lautan itu

Tongkat itu asalnya menjadi ular sahaja tetapi dengan kehendak Allah, ia boleh jadi macam-macam. Sekarang digunakan sebagai ‘on switch’ untuk membelah laut itu. Dan di dalam ayat yang lain, disebut apabila ketuk batu itu pada batu, boleh mengeluarkan air.

Tapi kita kena ingat, bukanlah tongkat itu yang hebat tetapi Allah yang hebat. Kalau bukan Allah yang suruh Nabi Musa ketuk dengan tongkat, tidaklah laut itu terbelah atau batu itu mengeluarkan air. Tidaklah ada kuasa pada tongkat itu. Katakanlah kalau selepas itu Nabi Musa nak seberang sungai, tidaklah dia boleh pakai ketuk sungai untuk membelahnya.

Dan salah faham tentang mukjizat dan adiknya ‘karomah’ menyebabkan salah faham yang amat besar dalam masyarakat. Ramai yang senang untuk percaya kepada guru-guru yang ada kelebihan tertentu. Mereka sangka guru-guru mereka itu ada ‘karomah’ padahal yang guru mereka itu amalkan sihir.

Kita katakan sihir kerana guru-guru yang mereka katakan itu boleh buat apa yang hendak itu bila-bila masa sahaja. Mereka boleh lompat, hilangkan diri, dan sebagainya. Itu bukannya karomah, tapi ‘sihir’. Kerana karomah, seperti juga mukjizat tidak terjadi dengan kehendak Nabi, tapi kehendak Allah.

 

فَكانَ كُلُّ فِرقٍ كَالطَّودِ العَظيمِ

dan tiap-tiap belahan adalah seperti gunung yang besar.

Jadi apabila laut itu dibelah, kedua-dua bahagian yang telah dibelah itu menjadi seperti gunung yang amat tinggi. Sebelah kiri tinggi, sebelah kanan tinggi. Dan mereka bergerak di celah-celah ‘gunung’ itu. Kita selalu dengar kisah mereka berjalan itu, tapi dapat tak anda bayangkan betapa takutnya mereka apabila kena berjalan di tengah-tengah gunung itu?

Semasa mereka berjalan itu, dalam hati mereka tentu takut kalau-kalau air itu bercantum kembali dan menghempap mereka. Kalau tidak beriman dan percaya dengan Nabi Musa, tentu tidak berani nak lalu.

Ibnu Abbas mengatakan bahawa laut itu membentuk dua belas jalan, masing-masing jalan untuk tiap kabilah. Ini kerana mereka itu ramai dan tidak boleh bercampur antara satu sama lain. Mereka dibahagikan kepada 12 kabilah (ikut keturunan 12 anak Nabi Yaakob) dan mereka tidak boleh bercampur sangat.


 

Ayat 64:

وَأَزلَفنا ثَمَّ الآخَرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We advanced thereto the others [i.e., the pursuers].

(MELAYU)

Dan di sanalah Kami dekatkan golongan yang lain.

 

Allah membenarkan musuh (Firaun) yang mengejar mereka itu untuk datang dekat dengan Bani Israil itu. Allah benarkan Firaun dan tenteranya itu untuk melalui sebahagian dari laut itu pun. Dalam masa Bani Israil melarikan diri dengan menyeberangi laut itu, musuh pun mendekat juga. Keadaan nampaknya meruncing.


 

Ayat 65:

وَأَنجَينا موسىٰ وَمَن مَّعَهُ أَجمَعينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We saved Moses and those with him, all together.

(MELAYU)

Dan Kami selamatkan Musa dan orang-orang yang bersertanya semuanya.

 

Allah mengatakan bahawa kesemua Bani Israil itu diselamatkan walaupun mereka itu ramai. Ini kerana ada riwayat yang mengatakan mereka itu 600 ribu orang, tetapi tidak ada seorang pun yang tertinggal. Mereka semuanya dapat melepaskan diri melintasi laut itu di antara gunung-gunung air itu. Allah menunaikan janjiNya untuk menyelamatkan mereka.


 

Ayat 66:

ثُمَّ أَغرَقنَا الآخَرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We drowned the others.

(MELAYU)

Dan Kami tenggelamkan golongan yang lain itu.

 

Kemudian Allah pastikan yang Firaun dan tenteranya yang mengejar mereka itu semuanya ditenggelamkan. Waktu mereka berada di tengah-tengah lautan itu, golongan Bani Israil pun sudah lepas ke pantai sebelah sana, Allah suruh Nabi Musa ketuk tongkat sekali lagi untuk mencantumkan kembali laut itu.

Maka air itu menimpa mereka. Bayangkan air yang tinggi itu menimpa mereka dan kalau mereka tidak dipenyetkan oleh hentakan air itu, mereka tentu lemas di dalamnya.


 

Ayat 67:

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً ۖ وَما كانَ أَكثَرُهُم مُّؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed in that is a sign, but most of them were not to be believers.

(MELAYU)

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar merupakan suatu tanda yang besar (mukjizat) dan tetapi adalah kebanyakan mereka tidak beriman.

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar merupakan suatu tanda yang besar 

Ini menjadi tanda bagaimana janji Allah itu benar untuk menyelamatkan orang yang beriman.

 

وَما كانَ أَكثَرُهُم مُّؤمِنينَ

dan tetapi adalah kebanyakan mereka tidak beriman.

Semua tanda-tanda kebenaran telah diberikan kepada manusia, tetapi kebanyakan daripada manusia tidak juga mahu beriman. Begitulah ramai yang baca sahaja kisah ini tapi tidak mengambil pengajaran darinya.


 

Ayat 68:

وَإِنَّ رَبَّكَ لَهُوَ العَزيزُ الرَّحيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, your Lord – He is the Exalted in Might, the Merciful.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.

 

Allah ceritakan kisah ini untuk beri peringatan kepada Musyrikin Mekah dan manusia keseluruhannya. Allah bersifat al-Aziz iaitu Dia berkuasa untuk melakukan apa sahaja kepada Musyrikin Mekah itu sebagaimana yang Dia telah lakukan kepada golongan Firaun itu. Akan tetapi Allah juga bersifat ar-Raheem (Maha Pengasih) dan tidak terus melakukannya kerana memberi peluang bertaubat kepada Musyrikin Mekah. Maka kenalah ambil pengajaran dari kisah itu.

Begitu juga kita apabila membaca ayat-ayat ini. Ingatlah yang ia bukan sahaja peringatan kepada Musyrikin Mekah tapi kepada kita juga.


 

Ayat 69: Dari ayat ini sehingga ke ayat 104 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia mengandungi kisah Nabi Ibrahim a.s. dan kaum baginda. Maka ia mengandungi banyak dalil naqli. Allah bawa perbincangan baru tentang kisah Nabi Ibrahim pula kerana Musyrikin Mekah itu kata mereka ikut ajaran Nabi Ibrahim, tetapi betulkah?

وَاتلُ عَلَيهِم نَبَأَ إِبرٰهيمَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And recite to them the news of Abraham,

(MELAYU)

Dan bacakanlah kepada mereka kisah Ibrahim.

 

Dalam ayat ini digunakan kalimah نَبَأَ (berita besar) kerana hendak memberitahu Musyrikin Mekah itu tentang kisah Nabi Ibrahim dengan sebenar-benarnya. Seolah-olah ianya berita baru kepada mereka kerana pemahaman mereka sebelum ini adalah salah. Mereka sahaja sangka mereka itu mengamalkan ajaran Nabi Ibrahim tapi mereka tidak tahu bahawa mereka itu sebenarnya amat jauh dari ajaran baginda.

Begitu juga dengan orang kita. Ramai yang sangka mereka mengamalkan ajaran Nabi Muhammad, ikut ajaran Al-Qur’an, tapi kerana jahil agama, mereka telah lama jauh dari ajaran yang benar. Ini adalah kerana tidak mahir tentang tafsir Al-Qur’an dan juga tentang sunnah.

Allah memerintahkan kepada Rasul-Nya (yakni Nabi Muhammad Saw.) untuk membacakan kepada umatnya kisah Nabi Ibrahim ini agar mereka mengikuti jejaknya dalam hal keikhlasan, tawakal, dan menyembah Allah semata-mata, tiada sekutu bagiNya; serta ber­lepas diri dari kemusyrikan dan para pengikutnya.

Kerana sesungguhnya Allah telah memberikan petunjukNya kepada Nabi Ibrahim sejak baginda masih kecil, lalu berterusan sampai usia tuanya. Sesungguhnya Nabi Ibrahim sejak dewasa mengingkari perbuatan kaumnya yang menyembah berhala di samping Allah.


 

Ayat 70: Apakah yang dikatakan oleh Nabi Ibrahim kepada umat baginda?

إِذ قالَ لِأَبيهِ وَقَومِهِ ما تَعبُدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

When he said to his father and his people, “What do you worship?”

(MELAYU)

Ketika dia berkata kepada bapanya dan kaumnya: “Apakah yang kamu sembah?”

 

Lihat bagaimana Nabi Ibrahim sendiri menegur kesalahan bapanya dan kaumnya yang menyembah dan memuja patung berhala sepertimana yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah itu.

Nabi Ibrahim tanya mereka: “apa benda ni yang kamu sembah, cuba cerita sikit kepadaku.”


 

Ayat 71: Jawapan umat Nabi Ibrahim.

قالوا نَعبُدُ أَصنامًا فَنَظَلُّ لَها عٰكِفينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “We worship idols and remain to them devoted.”

(MELAYU)

Mereka menjawab: “Kami menyembah berhala-berhala dan kami senantiasa tekun menyembahnya”.

 

Allah meringkaskan hujah mereka yang panjang lebar di dalam ayat ini. Ini kerana tentunya mereka berhujah dengan mengatakan kelebihan-kelebihan berhala itu dan sejarah berhala itu dan macam-macam lagi. Tetapi ringkasnya mereka menyembah berhala itu dan mereka duduk iktikaf kepada berhala itu. Iktikaf maksudnya duduk lama di sekeliling berhala itu.

Mereka selamba sahaja jawab yang mereka sembah patung-patung berhala itu dan duduk iktikaf di berhala itu. Maknanya, mereka tidak rasa bersalah melakukan syirik.

Tujuan mereka adalah untuk menyelesaikan masalah mereka dan menyempurnakan hajat mereka. Jadi kena faham maksud ilah. Ianya menjadi kiblat tawajuh kepada Nabi, wali dan malaikat. Mereka bukannya sembah fizikal patung berhala itu, tapi mereka sembah yang ‘di sebalik’ patung itu iaitu roh-roh Nabi, wali dan malaikat.

Dan jangan sangka yang orang kita terselamat dari kesalahan ini kerana kita tidak ‘sembah berhala’. Ini adalah kerana konsep ia mungkin sama tapi dengan cara berbeza. Begitulah kekeliruan masyarakat Islam di serata dunia ada yang mengamalkan amalan syirik. Memang tidak ada patung berhala, tapi ramai yang duduk sembah dan iktikaf di sekeliling kubur Nabi dan tok wali. Itu pun syirik juga.

Dan ajaran ini juga telah sampai ke Malaysia oleh golongan Habib dari Yaman. Mereka itu selalu tawasul dan beribadat dengan kuburan wali-wali mereka. Ini diberitahu oleh mereka yang melihat sendiri amalan-amalan mereka di Yaman itu. Dan malangnya sekarang ramai yang sudah terpesona dengan golongan ini.

Dan kalau tidak dibendung, maka tidak lama lagi, masyarakat kita pun akan sembah juga kubur dan iktikaf di kubur ‘tok wali’ seperti yang mereka lakukan di Yaman. Memang sudah ada yang buat pun. Maka, tidak jauh beza pun dengan amalan umat Nabi Ibrahim yang syirik itu. Kerana kuburan itu menjadi ‘berhala’ bagi orang kita yang sesat ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 4 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Asy-Shu’araa Ayat 49 – 60 (Firaun kejar Bani Israil)

Ayat 49: Marah betul Firaun kerana orang-orang harapannya pula masuk Islam.

قالَ ءآمَنتُم لَهُ قَبلَ أَن آذَنَ لَكُم ۖ إِنَّهُ لَكَبيرُكُمُ الَّذي عَلَّمَكُمُ السِّحرَ فَلَسَوفَ تَعلَمونَ ۚ لَأُقَطِّعَنَّ أَيدِيَكُم وَأَرجُلَكُم مِّن خِلٰفٍ وَلَأُصَلِّبَنَّكُم أَجمَعينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Pharaoh] said, “You believed him [i.e., Moses] before I gave you permission. Indeed, he is your leader who has taught you magic, but you are going to know. I will surely cut off your hands and your feet on opposite sides, and I will surely crucify you all.”

(MELAYU)

Fir’aun berkata: “Apakah kamu sekalian beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepadamu? Sesungguhnya dia benar-benar pemimpinmu yang mengajarkan sihir kepadamu maka kamu nanti pasti benar-benar akan mengetahui (akibat perbuatanmu); sesungguhnya aku akan memotong tanganmu dan kakimu dengan bersilangan dan aku akan menyalibmu semuanya”.

 

قالَ ءآمَنتُم لَهُ قَبلَ أَن آذَنَ لَكُم

Fir’aun berkata: “Apakah kamu sekalian beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepadamu?

Firaun begitu marah sekali apabila mereka beriman tanpa kebenaran darinya; seolah-olah kalau hendak beriman pun dengan Nabi Musa kena mendapat izinnya. Begitu sombong sekali Firaun ini.

 

إِنَّهُ لَكَبيرُكُمُ الَّذي عَلَّمَكُمُ السِّحرَ

Sesungguhnya dia benar-benar pemimpinmu yang mengajarkan sihir kepadamu 

Keadaan telah terbalik sekarang – orang-orang harapannya telah berpaling tadahlah kiranya. Firaun kena cuba baiki keadaan. Jadi Firaun telah menuduh yang Nabi Musa itu sebenarnya secara rahsia adalah ketua kepada ahli-ahli sihir itu. Jadi dia nak kata, itu semua adalah rancangan Nabi Musa sahaja.

Dan Firaun tuduh yang Nabi Musalah yang sebenarnya mengajar sihir kepada ahli-ahli sihir itu. Sebab itu sihir baginda lagi hebat dari mereka. Tengok macam mana Firaun pusing? Memang hebat otak Firaun ini dan kerana itulah Allah masukkan hujahnya dalam Al-Qur’an.

Tapi ini adalah hujah yang mengarut kerana bukankah semua ahli sihir itu dikutip daripada kawasan-kawasan yang jauh? Lalu bagaimanakah Nabi Musa boleh pula mengajar mereka sihir sedangkan Nabi Musa telah dikawal oleh mereka sepanjang masa?

Alasan itu memang karut tetapi Firaun terpaksa berkata begitu kerana dia terdesak untuk menjelaskan situasi yang sedang berlaku itu kerana jikalau tidak, rakyat akan berpihak kepada Nabi Musa. Maka dia kena pusing macam juga ahli politik sekarang akan pusing fakta dan hujah.

 

فَلَسَوفَ تَعلَمونَ

maka kamu nanti pasti benar-benar akan mengetahui

Firaun beri ancaman: Nanti kamu akan tahu apa yang akan terjadi kepada kamu. “Kamu tengoklah nanti… berani kamu beriman ya? Jaga-jaga kamu.”

 

لَأُقَطِّعَنَّ أَيدِيَكُم وَأَرجُلَكُم مِّن خِلٰفٍ

sesungguhnya aku akan memotong tanganmu dan kakimu dengan bersilangan

Firaun kata dia akan potong tangan dan kaki mereka secara bersilang. Maksudnya potong tangan kanan dan kaki kiri; atau tangan kiri dan kaki kanan.

 

وَلَأُصَلِّبَنَّكُم أَجمَعينَ

dan aku akan menyalibmu semuanya”.

Dan kemudian Firaun akan salib ahli-ahli sihir itu. Iaitu mereka akan dipasak ke pokok kurma dan dibiarkan mati di di pokok kurma itu. Maknanya bukan bunuh terus tapi mati dalam seksa dan masa yang lama. Kerana potong kaki dan tangan belum mati lagi. Dan bila digantung, mereka akan mati beransur-ansur kerana darah kehilangan. Memang kejam sungguh.

Firaun tak bunuh terus kerana dia nak seksa mereka dan salib mereka di kebun kurma supaya rakyat akan lihat apakah yang terjadi kepada mereka yang menentangnya. Nanti selepas mereka mati, mereka tetap dibiarkan di pokok-pokok kurma itu sebagai pengajaran bagi rakyat yang lain.


 

Ayat 50: Firaun sangka ahli-ahli sihir akan ubah fikiran tapi lihatlah apa jawapan mereka dengan ancaman Firaun itu.

قالوا لا ضَيرَ ۖ إِنّا إِلىٰ رَبِّنا مُنقَلِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “No harm. Indeed, to our Lord we will return.

(MELAYU)

Mereka berkata: “Tidak ada kemudharatan (bagi kami); sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami,

 

قالوا لا ضَيرَ

Mereka berkata: “Tidak ada kemudaratan

Ahli-ahli sihir tidak takut dengan ancaman Firaun. Nak buat apa kepada mereka, buatlah. Mereka tak kisah. Mereka sanggup terima apa sahaja seksaan yang akan dikenakan kepada mereka.

Demikian itu kerana Allah telah menyingkapkan dari kalbu para ahli sihir itu hijab kekafiran. Dan Allah telah menampakkan kepada mereka perkara yang haq melalui pengetahuan mereka yang tidak diketahui oleh kaumnya, bahawa apa yang didatangkan oleh Musa itu bukanlah bersumber dari manusia, melainkan dari Allah. Ini semua menjadi hujah dan dalil yang menunjukkan kebenaran apa yang disampaikan oleh Nabi Musa.

 

إِنّا إِلىٰ رَبِّنا مُنقَلِبونَ

sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami,

Mereka tidak takut kerana mereka akan mati pun nanti. Jadi apa nak takut dengan kematian? Mereka sedar yang mereka tidak kekal hidup. Lambat laut semua manusia akan mati. Dan lebih baik mereka mati dalam iman dari hidup lama tapi mati dalam syirik.


 

Ayat 51: Ada benda lain yang mereka lebih harapkan.

إِنّا نَطمَعُ أَن يَغفِرَ لَنا رَبُّنا خَطٰيٰنا أَن كُنّا أَوَّلَ المُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, we aspire that our Lord will forgive us our sins because we were the first of the believers.”

(MELAYU)

sesungguhnya kami amat menginginkan bahawa Tuhan kami akan mengampuni kesalahan kami, kerana kami adalah orang-orang yang pertama-tama beriman”.

 

إِنّا نَطمَعُ أَن يَغفِرَ لَنا رَبُّنا خَطٰيٰنا

sesungguhnya kami amat menginginkan bahawa Tuhan kami akan mengampuni kesalahan kami,

Kalimah طمع bermaksud berharap sangat atau dalam bahasa kita pakai: tamak. Mereka harap sangat Allah ampunkan mereka sahaja. Mereka tahu mereka telah buat salah yang banyak. Mereka tahu yang kalau mereka balik dengan dosa yang banyak, maka akan susah mereka kena azab.

 

أَن كُنّا أَوَّلَ المُؤمِنينَ

kerana kami adalah orang-orang yang pertama-tama beriman”.

Mereka mengaku beriman. Mereka sekarang yang ke hadapan dalam iman. Mereka berharap Allah akan ampunkan dosa mereka kerana mereka yang mula-mula beriman dengan Nabi Musa. Atau, awal beriman itu bermaksud ‘yang di hadapan’. Ini adalah kerana mereka itu orang yang dihormati dalam masyarakat, maka perbuatan mereka menjadi contoh.

Mereka yang awal beriman kerana mereka sudah kenal siapakah Nabi Musa dan Harun itu. Mereka adalah bangsa Qibti yang mula-mula beriman dengan Nabi Musa. Rakyat yang lain tidak kenal lagi dan tidak tahu. Kerana itulah mereka kata mereka yang awal beriman. Sebelum orang beriman mereka sudah beriman dahulu.


 

Ayat 52: Dipendekkan kisah, sekarang sampai kepada arahan yang diberikan kepada Nabi Musa, tentang apa yang baginda perlu lakukan dengan Bani Israil.

۞ وَأَوحَينا إِلىٰ موسىٰ أَن أَسرِ بِعِبادي إِنَّكُم مُّتَّبَعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We inspired to Moses, “Travel by night with My servants; indeed, you will be pursued.”

(MELAYU)

Dan Kami wahyukan (perintahkan) kepada Musa: “Pergilah di malam hari dengan membawa hamba-hamba-Ku (Bani Israil), kerana sesungguhnya kamu sekalian akan disusuli”.

 

Kerana waktu itu Firaun sedang sibuk nak buat apa dengan ahli-ahli sihir yang telah menjatuhkan namanya, maka Allah suruh Nabi Musa bawa Bani Israil keluar pada malam hari.

Atau, boleh jadi juga arahan ini dikeluarkan setelah sekian lama, iaitu apabila sudah sampai masa yang sesuai. Begitu jugalah Nabi Muhammad diarahkan oleh Allah untuk berhijrah apabila sudah sampai masanya. Masa hijrah itu ditentukan oleh Allah. Sebagaimana Nabi Musa berhijrah, begitu juga Nabi Muhammad.

Mereka kena keluar pada kegelapan malam hari kerana mereka akan kena ikut oleh Firaun dan tenteranya. Maka mereka kena ada headstart dulu. Biar mereka pergi jauh dulu baru tentera Firaun sampai untuk kejar mereka. Semua ini dalam perancangan Allah.


 

Ayat 53: Apabila Firaun dapat tahu yang Bani Israil telah melakukan diri di malam hari.

فَأَرسَلَ فِرعَونُ فِي المَدائِنِ حٰشِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then Pharaoh sent among the cities gatherers¹

  • Recruiters of an army to prevent the emigration of the Children of Israel.

(MELAYU)

Maka Fir’aun mengirimkan orang untuk mengumpulkan (tenteranya) ke kota-kota.

 

Firaun waktu itu sudah marah nak buat keputusan untuk bunuh semua Bani Israil. Kerana dia sudah nampak yang mereka sudah bahaya untuk kerajaannya. Dia tidak boleh biarkan mereka begitu sahaja. Oleh itu, dia sudah tak kisah tiada hamba. Walaupun dia akan kehilangan hamba yang banyak, tapi waktu ini dia dah marah sangat.

Maka Firaun kerahkan seluruh rakyat dia untuk bergabung menjadi askar. Panggil dari segala ceruk. Kena kumpul ke satu tempat untuk sama-sama kerja Bani Israil yang telah melarikan diri itu.


 

Ayat 54: Ini ceramah Firaun kepada seluruh bangsa Qibti. Untuk menaikkan semangat mereka untuk bunuh Bani Israil.

إِنَّ هٰؤُلاءِ لَشِرذِمَةٌ قَليلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[And said], “Indeed, those are but a small band,

(MELAYU)

(Fir’aun berkata): “Sesungguhnya mereka (Bani Israil) benar-benar golongan kecil,

 

Kalimah لَشِرذِمَةٌ dari katadasar ش ر ذ م yang bermaksud kumpulan manusia yang berpecah, tidak bersatu. Dia pandang Bani Israil itu kecil sahaja dan tidak kuat. Bukan satu golongan yang padu. Pada dia, mereka itu bangsa yang lemah, yang boleh dibuat apa sahaja. Jadi kalau mereka nak bunuh mereka semuanya, senang sahaja.

Ini sama dengan apa yang dikatakan oleh Musyrikin Mekah terhadap Nabi dan para sahabat. Musyrikin Mekah lihat bilangan para sahabat dengan Rasulullah itu sikit sahaja. Maka mereka rasa mereka boleh tindas para sahabat itu.


 

Ayat 55: Firaun sedang menaikkan semangat bangsanya.

وَإِنَّهُم لَنا لَغائِظونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, they are enraging us,

(MELAYU)

dan sesungguhnya mereka membuat hal-hal yang menimbulkan amarah kita,

 

“Kerana mereka menyebabkan kita marah, maka kita patut bunuh sahaja mereka itu.” Firaun nak kata yang Bani Israil itu teruk. Padahal dia yang lebih teruk lagi.

Atau dia nak kata yang Bani Israil itu tak suka dengan bangsa Qibti, dan sebelum jadi apa-apa, maka kena bunuh mereka dengan segera. Kalau mereka lari dan bina kerajaan di tempat lain, entah mereka akan serang Mesir pula. Maka kena bunuh mereka sebelum itu terjadi.


 

Ayat 56: Dia menaikkan semangat patriotik pula.

وَإِنّا لَجَميعٌ حٰذِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, we are a cautious society…”

(MELAYU)

dan sesungguhnya kita benar-benar golongan yang selalu berjaga-jaga”.

 

Firaun kata mereka kena pertahankan negara mereka. Mereka kena berjaga-jga menjaga kepentingan negara mereka dan kedudukan mereka. Kalau tak bunuh Bani Israil, mereka akan serang pula nanti. Nanti rosak negara mereka.


 

Ayat 57: 

فَأَخرَجنٰهُم مِّن جَنّٰتٍ وَعُيونٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So We removed them from gardens and springs

(MELAYU)

Maka Kami keluarkan Firaun dan kaumnya dari taman-taman dan mata air,

 

Maka dengan kata-kata semangat dan arahan dari Firaun itu, maka keseluruhan bangsa Qibti telah keluar dari Kota Mesir untuk mengejar Bani Israil yang telah melarikan diri di malam hari.

Allah kata Dia yang keluarkan mereka dari kemewahan mereka. Inilah tujuan Allah sebenarnya. Allah hendak menghancurkan Firaun dan pengikutnya, tapi dalam masa yang sama, tidak rosakkan Mesir. Kerana Allah nak beri Mesir kepada golongan lain (ada pendapat kata kepada Bani Israil juga). Ini seperti buang sampai ke luar dan tidak rosakkan bilik.

Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).

Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.


 

Ayat 58:

وَكُنوزٍ وَمَقامٍ كَريمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And treasures and honorable station¹ –

  • Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā) caused them to abandon their wealth and property in pursuit of the Israelites.

(MELAYU)

dan (dari) perbendaharaan dan kedudukan yang mulia,

 

Waktu itu semua bangsa Qibti semua keluar untuk serang Bani Israil. Allah buat begitu kerana Allah nak keluarkan sampah dan tinggalkan negeri Mesir itu untuk diberikan kembali kepada Bani Israil. Kerana berkat beriman dengan Nabi Musa maka Allah hendak memberikan negeri Mesir kepada mereka. Tapi untuk beri, kena keluarkan penduduknya iaitu bangsa Qibti.

Allah nak musnahkan keseluruhan pengikut Firaun tapi Allah tidak mahu rosakkan Kota Mesir. Kalau dengan kaum-kaum lain, kita telah banyak baca bagaimana tempat-tempat mereka itu telah dimusnahkan, sampaikan selepas itu tidak boleh didiami lagi. Tapi lain yang Allah lakukan terhadap Mesir.

Begitulah nanti Allah buat untuk penduduk Mekah. Allah keluarkan pemuka-pemuka Musyrikin Mekah untuk keluar dari Mekah dan dibunuh di Medan Badr. Kerana nanti Allah nak berikan Mekah itu kepada umat Islam.


 

Ayat 59:

كَذٰلِكَ وَأَورَثنٰها بَني إِسرٰءيلَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Thus. And We caused to inherit it the Children of Israel.

(MELAYU)

demikianlah halnya dan Kami wariskan semuanya (itu) kepada Bani Israil.

 

كَذٰلِكَ

demikianlah halnya

Begitulah Allah perancangan yang Allah buat. Begitu hebat sekali perancangan Allah dan bagaimana Allah jalankan.

 

وَأَورَثنٰها بَني إِسرٰءيلَ

dan Kami wariskan semuanya (itu) kepada Bani Israil.

Allah biarkan Mesir tidak diusik supaya segala kekayaan itu diberikan kepada Bani Israil kemudiannya. Allah berikan negeri Mesir itu kembali kepada Bani Israil. Ini adalah apabila Bani Israil jadi kuat selepas itu. Ini semakna dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَأَوْرَثْنَا الْقَوْمَ الَّذِينَ كَانُوا يُسْتَضْعَفُونَ مَشَارِقَ الأرْضِ وَمَغَارِبَهَا الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا}

Dan Kami pusakakan kepada kaum yang telah ditindas itu negeri-negeri bagian timur bumi dan bahagian baratnya yang telah Kami beri berkah padanya. (Al-A’raf: 137), hingga akhir ayat.

Tapi waktu itu mereka telah menyeberang laut dan telah pergi ke Palestin. Dan kemudian mereka telah sesat dalam Padang Tih. Jadi bukan keturunan Bani Israil yang bersama dengan Nabi Musa itu yang akan dapat Mesir itu, tetapi Bani Israil yang lain iaitu keturunan-keturunan yang selepas itu.

Dan Allah berfirman dalam ayat lainnya, iaitu:

{وَنُرِيدُ أَنْ نَمُنَّ عَلَى الَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا فِي الأرْضِ وَنَجْعَلَهُمْ أَئِمَّةً وَنَجْعَلَهُمُ الْوَارِثِينَ}

Dan Kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi). (Al-Qasas: 5), hingga akhir ayat berikutnya.


 

Ayat 60: Kembali kepada kisah Firaun dan pengikutnya yang mengejar Bani Israil yang telah melarikan diri itu.

فَأَتبَعوهُم مُّشرِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So they pursued them at sunrise.

(MELAYU)

Maka Firaun dan bala tentaranya dapat menyusuli mereka di waktu matahari terbit.

 

Kaum Qibti telah kejar Bani Israil semasa siang. Iaitu waktu syuruk. Waktu itu matahari sedang menaik. Ini kerana mereka hanya perasan yang Bani Israil sudah tidak ada pada waktu subuh. Waktu itu baru mereka perasan yang hamba-hamba mereka seorang pun tidak ada. Maka mereka ambil masa untuk kerahkan semua orang dan kemudian baru mereka kejar.

Memang Bani Israil telah gerak mula dari malam lagi, tapi pergerakan mereka perlahan dan pergerakan Firaun itu laju kerana mereka pakai kenderaan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 4 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Ash-Shu’araa Ayat 40 – 48 (Ahli sihir minta upah)

Ayat 40: Kempen Firaun kepada rakyatnya.

لَعَلَّنا نَتَّبِعُ السَّحَرَةَ إِن كانوا هُمُ الغٰلِبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That we might follow the magicians if they are the predominant?”

(MELAYU)

semoga kita mengikuti ahli-ahli sihir jika mereka adalah orang-orang yang menang”

 

Mereka nak ikut ahli sihir semoga mereka menang. Maknanya dari awal lagi sudah ada prejudis yang salah. Patutnya ikutlah siapa yang menang. Patutnya katalah: “kita tengok siapa yang menang dan kita ikutlah dia.”

Sebelum ini telah disebut yang Firaun mahu rakyatnya berkumpul ramai-ramai. Kerana dia nak rakyat dia tengok apakah yang akan terjadi. Dia yakin yang ahli-ahli sihir itu akan menang. Dan dia berharap: kalau ahli sihir itu menang, kita ikutlah ahli sihir itu nanti. Jangan ikut lagi Nabi Musa.

Firaun sekarang amat berharap yang ahli-ahli sihir itu menang untuk mengembalikan kedudukannya yang sedang menurun sekarang. Kalau Nabi Musa kalah, adalah harapan balik untuk dia.

Tetapi jikalau kita melihat ayat ini dengan lebih mendalam lagi, maka kita akan nampak bahawa yang dibawa ke hadapan adalah ahli-ahli sihir itu sebagai hero dan bukannya Firaun. Ini menunjukkan bahawa populariti Firaun memang sudah berkurangan. Maka kalau menang pun, bukan Firaun yang menang, bukan? Tapi itu sahaja harapan untuk dia.


 

Ayat 41: Ahli sihir nak upah sebelum buat kerja.

فَلَمّا جاءَ السَّحَرَةُ قالوا لِفِرعَونَ أَئِنَّ لَنا لَأَجرًا إِن كُنّا نَحنُ الغٰلِبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the magicians arrived, they said to Pharaoh, “Is there indeed for us a reward if we are the predominant?”

(MELAYU)

Maka tatkala ahli-ahli sihir datang, mereka pun bertanya kepada Firaun: “Apakah kami sungguh-sungguh mendapat upah yang besar jika kami adalah orang-orang yang menang?”

 

فَلَمّا جاءَ السَّحَرَةُ قالوا لِفِرعَونَ

Maka tatkala ahli-ahli sihir datang, mereka pun bertanya kepada Firaun:

Ahli sihir pun sudah tahu yang mereka penting. Maka mereka mula nak desak apa yang mereka boleh dapat. Mereka sudah mula rasa yang mereka patut mendapat upah dari kerja mereka itu. Mereka sudah tahu yang Firaun memerlukan mereka untuk memenangi hujah dengan Nabi Musa.

Selalunya rakyat Firaun tidak berani untuk meminta apa-apa dengan Firaun tetapi ahli sihir ini sudah rasa yang mereka boleh mendesak Firaun.

 

أَئِنَّ لَنا لَأَجرًا إِن كُنّا نَحنُ الغٰلِبينَ

“Apakah kami sungguh-sungguh mendapat upah yang besar jika kami adalah orang-orang yang menang?”

Mereka berani meminta kerana mereka rasa yang mereka akan menang dan takkan kalau menang tidak dapat upah pula? Seolah-olah mereka menggertak Firaun yang kalau mereka mahu menang maka Firaun kenalah beri upah kepada mereka.

Selalunya kalau ada orang yang kurang ajar sebegini maka tentu Firaun telah bunuh mereka tetapi Firaun tidak boleh berbuat apa-apa kerana Firaun memerlukan mereka. Firaun sudah terdesak.


 

Ayat 42:

قالَ نَعَم وَإِنَّكُم إِذًا لَّمِنَ المُقَرَّبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “Yes, and indeed, you will then be of those near [to me].”

(MELAYU)

Fir’aun menjawab: “Ya, kalau demikian, sesungguhnya kamu sekalian benar-benar akan menjadi orang yang didekatkan (kepadaku)”.

 

قالَ نَعَم

Firaun menjawab: “Ya,

Firaun terpaksa bersetuju dengan permintaan para ahli sihir itu. Lihat bagaimana Firaun menjawab dan bagaimana dia mengambil peluang daripada keadaan semasa. Kerana Firaun sudah mendengar desas-desus rakyat yang memandang tinggi ahli-ahli sihir itu.

 

وَإِنَّكُم إِذًا لَّمِنَ المُقَرَّبينَ

sesungguhnya kamu sekalian benar-benar akan menjadi orang yang didekatkan (kepadaku)”.

Jadi Firaun bukan sahaja menawarkan bayaran kepada mereka tetapi Firaun menawarkan kedudukan di dalam kerajaan. Mereka akan jadi orang yang rapat dengan dia.

Begitu jugalah yang terjadi di dalam politik dunia dimana jikalau seorang pemimpin besar itu nampak yang ada orang yang ada peluang untuk mengambil kedudukannya maka dia dengan cepat-cepat akan menawarkan kedudukan nombor dua supaya orang itu menjadi orangnya sendiri dan tidak berlawan dengannya.

Dan kalau syarikat besar nampak ada syarikat kecil ada potensi untuk menyainginya, maka ia akan beli supaya ia tetap memonopoli pasaran.


 

Ayat 43: Sekarang sudah masuk kepada hari perlawanan antara ahli-ahli sihir dan Nabi Musa.

قالَ لَهُم مّوسىٰ أَلقوا ما أَنتُم مُّلقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Moses said to them, “Throw whatever you will throw.”

(MELAYU)

Berkatalah Musa kepada mereka: “Lemparkanlah apa yang hendak kamu lemparkan”.

 

Nabi Musa menawarkan kepada mereka untuk melakukan sihir mereka dahulu. Dalam surah Taha telah disebut yang ahli sihir yang tanya baginda nak mulakan dahulu atau mereka. Maka Nabi Musa suruh mereka yang mulakan.

{قَالُوا يَا مُوسَى إِمَّا أَنْ تُلْقِيَ وَإِمَّا أَنْ نَكُونَ أَوَّلَ مَنْ أَلْقَى * قَالَ بَلْ أَلْقُوا}

(Setelah mereka berkumpul) mereka berkata, “Hai Musa (pilihlah), apakah kamu yang melemparkan (dahulu) atau kamikah orang yang mula-mula melemparkan?” Berkata Musa, “Silakan kamu sekalian melemparkan.” (Taha: 65-66)


 

Ayat 44: Ahli sihir mulakan sayembara.

فَأَلقَوا حِبالَهُم وَعِصِيَّهُم وَقالوا بِعِزَّةِ فِرعَونَ إِنّا لَنَحنُ الغٰلِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So they threw their ropes and their staffs and said, “By the might of Pharaoh, indeed it is we who are predominant.”

(MELAYU)

Lalu mereka melemparkan tali temali dan tongkat-tongkat mereka dan berkata: “Demi kekuasaan Firaun, sesungguhnya kami benar-benar akan menang”.

 

فَأَلقَوا حِبالَهُم وَعِصِيَّهُم

Lalu mereka melemparkan tali temali dan tongkat-tongkat mereka

Ahli sihir sudah dengar yang nabi Musa ada menjadikan ular daripada tongkatnya maka mereka menggunakan sihir yang melibatkan tongkat dan ular juga. Mereka tambah satu lagi dengan menggunakan tali, untuk tunjuk yang mereka lagi hebat.

 

وَقالوا بِعِزَّةِ فِرعَونَ إِنّا لَنَحنُ الغٰلِبونَ

dan berkata: “Demi kekuasaan Firaun, sesungguhnya kami benar-benar akan menang”.

Firaun bukan sahaja meminta dan mengarahkan ahli sihir itu mengalahkan Nabi Musa tetapi di dalam masa yang sama dia mahu mereka menaikkan kembali namanya. Kerana kedudukan Firaun sudah nampak lemah maka dia memerlukan rakyat melihat kehebatannya kembali.

Jadi apabila ahli-ahli sihir itu melakukan sihir mereka dia mahu supaya namanya disebut supaya nampak seolah-olah mereka itu menang kerana kehebatan Firaun. Konon-kononnya kalau menang nanti, sebab berkat Firaunlah.

Selepas mereka baling tali dan tongkat mereka, maka sihir mereka telah menyebabkan manusia nampak tali dan tongkat itu jadi ular yang banyak. Tak bertukar pun sebenarnya, tapi nampak macam ada sahaja. Itu sebab sihir juga dipanggil ‘silap mata’ kerana yang ditipu adalah pandangan manusia sahaja. Bukan benar-benar tukar menjadi ular pun. Ini disebut dalam ayat yang lain:

{سَحَرُوا أَعْيُنَ النَّاسِ وَاسْتَرْهَبُوهُمْ وَجَاءُوا بِسِحْرٍ عَظِيمٍ}

mereka menyilap mata orang dan menjadikan orang banyak itu takut serta mereka mendatangkan sihir yang besar (menakjubkan). (Al-A’raf: 116)


 

Ayat 45:

فَأَلقىٰ موسىٰ عَصاهُ فَإِذا هِيَ تَلقَفُ ما يَأفِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then Moses threw his staff, and at once it devoured what they falsified.

(MELAYU)

Kemudian Musa melemparkan tongkatnya maka tiba-tiba ia menelan benda-benda palsu yang mereka ada-adakan itu.

 

فَأَلقىٰ موسىٰ عَصاهُ

Kemudian Musa melemparkan tongkatnya

Sekarang Nabi Musa pula melemparkan tongkat baginda. Tentunya selepas Allah mengarahkan baginda untuk melontar. Tongkat baginda pula benar-benar bertukar jadi ular besar. Bukan silap mata lagi, tapi memang jadi ular betul.

 

فَإِذا هِيَ تَلقَفُ ما يَأفِكونَ

maka tiba-tiba ia menelan benda-benda palsu yang mereka ada-adakan itu.

Kalimah لقف bermaksud makan sesuatu dengan mudah sahaja seperti telan tanpa kunyah. Jadi apa sahaja sihir yang dilakukan oleh ahli-ahli sihir itu telah ditelan dengan ular yang bertukar daripada tongkat Nabi Musa itu.


 

Ayat 46: Para ahli sihir semua terkejut dan mereka sedar kekalahan mereka.

فَأُلقِيَ السَّحَرَةُ سٰجِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So the magicians fell down in prostration [to Allāh].

(MELAYU)

Maka tersungkurlah ahli-ahli sihir sambil bersujud (kepada Allah),

 

Nabi Musa membaling tongkatnya tetapi ahli sihir itu seolah-olah dibaling sampai jatuh sujud memberi isyarat bahawa mereka tidak ada kuasa lagi untuk menahan diri mereka dari sujud. Ia adalah secara automatik sahaja.

Oleh kerana kalimah فَأُلقِيَ dalam bentuk bina majhool, iaitu bentuk pasif, maksudnya mereka dijadikan jatuh sujud. Mereka tiada kawalan lagi. Allah yang menjatuhkan mereka.

Rakyat yang melihat pertandingan itu mungkin sangka yang sihir Nabi Musa itu lebih hebat daripada sihir ahli-ahli sihir itu. Tetapi ahli-ahli sihir itu sendiri sedar bahawa apa yang dilakukan oleh Nabi Musa itu bukanlah sihir tetapi sebenarnya adalah mukjizat. Kerana itu mereka tersungkur sujud kerana mereka tahu yang mereka telah dikalahkan oleh mukjizat yang ditunjukkan oleh Nabi Musa.

Kerana mereka sedar dan tahu bahawa mereka itu ahli sihir yang paling hebat dan tidak dapat dikalahkan melainkan oleh mukjizat sahaja. Mereka sedarlah bahawa memang Nabi Musa itu seorang Nabi.


 

Ayat 47: Ahli-ahli sihir itu bukan sahaja sujud tapi mereka mengaku beriman.

قالوا آمَنّا بِرَبِّ العٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “We have believed in the Lord of the worlds,

(MELAYU)

mereka berkata: “Kami beriman kepada Tuhan semesta alam,

 

Oleh kerana ahli-ahli sihir itu tahu bahawa yang ditunjuk oleh Nabi Musa itu bukan sihir tetapi mukjizat daripada Allah, maka mereka dengan rela hati beriman kepada Allah dan Nabi Musa.

Mereka mengaku beriman kepada Tuhan sekalian alam, iaitu Allah.


 

Ayat 48:

رَبِّ موسىٰ وَهٰرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The Lord of Moses and Aaron.”

(MELAYU)

(iaitu) Tuhan Musa dan Harun”.

 

Ahli-ahli sihir itu menjelaskan yang mereka bukan beriman dengan Firaun yang mengaku dirinya tuhan tetapi mereka kena cakap yang mereka beriman dengan Tuhan yang diimani oleh Nabi Musa dan Nabi Harun. Takut nanti ada sangka mereka beriman dengan Firaun pula.

Jadi senjata Firaun itu iaitu ahli-ahli sihir itu telah memakan tuannya kerana mereka telah menjatuhkan terus nama Firaun kerana beriman dengan Nabi Musa.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 4 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Ash-Shu’araa Ayat 30 – 39 (Pengumpulan ahli sihir)

Ayat 30: Nabi Musa teruskan perdebatan itu.

قالَ أَوَلَو جِئتُكَ بِشَيءٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Moses] said, “Even if I brought you something [i.e., proof] manifest?”

(MELAYU)

Musa berkata: “Dan apakah (kamu akan melakukan itu) walaupun aku tunjukkan kepadamu sesuatu (keterangan) yang nyata?”

 

Sekarang sudah tak boleh nak debat dengan cara bercakap lagi. Kena tunjuk bukti yang boleh dilihat pula. Kerana kalau cakap lagi, tadi sudah diancam dengan penjara.

Atau, Nabi Musa berhujah yang adakah patut dipenjarakan juga kalau baginda datang dengan membawa bukti? Kalau tak ada dalil maka patutlah kalau dipenjarakan tetapi baginda boleh bawa bukti.


 

Ayat 31: Setelah ditawarkan bukti, maka Firaun minta bukti. Dia sangka bukti itu boleh dipatahkan dengan senang. Dia pun tidak tahu apakah yang akan ditunjukkan oleh Nabi Musa.

قالَ فَأتِ بِهِ إِن كُنتَ مِنَ الصّٰدِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Pharaoh] said, “Then bring it, if you should be of the truthful.”

(MELAYU)

Fir’aun berkata: “Datangkanlah sesuatu (keterangan) yang nyata itu, jika kamu adalah termasuk orang-orang yang benar”.

 

Firaun suruh Musa bawakan apa yang baginda hendak tunjukkan itu kerana dia tidak risau kerana dia tidak nampak lagi Musa datang dengan apa-apa yang besar pun. Dia masih yakin lagi dengan dirinya. Dia telah lama memerintah, maka kita kena sedar yang dia adalah seorang yang pandai dalam berpolitik. Helahnya banyak sekali.


 

Ayat 32:

فَأَلقىٰ عَصاهُ فَإِذا هِيَ ثُعبانٌ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So [Moses] threw his staff, and suddenly it was a serpent manifest.¹

  • i.e., clearly genuine.

(MELAYU)

Maka Musa melemparkan tongkatnya, lalu tiba-tiba tongkat itu (menjadi) ular yang nyata.

 

فَأَلقىٰ عَصاهُ

Maka Musa melemparkan tongkatnya,

Allah beri wahyu kepada Nabi Musa untuk melemparkan tongkat baginda. Kalau anda ingat, di Bukit Thur pun Allah sudah suruh baginda lontarkan tongkat baginda. Itu adalah sebagai latihan sahaja untuk membiasakan baginda melihat tongkat menjadi ular. Supaya baginda tidak kekok apabila melemparnya di hadapan Firaun.

 

فَإِذا هِيَ ثُعبانٌ مُّبينٌ

lalu tiba-tiba tongkat itu (menjadi) ular yang nyata.

Kalimah ثُعبانٌ bermaksud ular sawa besar. Dan memang ia menjadi ular yang benar, yang مُّبينٌ (jelas nyata) bukan main-main. Lengkap segala sifatnya. Semasa berlatih di Bukit Thur ianya tidak besar sangat. Sekarang saiz ular itu memang amat besar.

Dan apabila digunakan kalimah فَإِذا, ia bermaksud ia tiba-tiba sahaja keluar. Tidak ada proses penukaran sikit demi sedikit. Maka ia tentu amat mengejutkan semua orang yang melihatnya.

Sebelum ini Firaun sahaja yang menakutkan kerana kedudukan dan keganasannya. Tapi sekarang Allah telah menukar ketakutan manusia kepada ular itu daripada takut kepada Firaun. Dulu Firaun berbangga sebab orang takut kepadanya. Sekarang itu pun Allah sudah ambil dari dia.

Kepada para Rasul, mereka dibekalkan dengan mukjizat kerana mereka bawa perkara yang berat-berat dan memerlukan kekuatan yang lebih lagi. Dan yang mereka hadapi dalam dakwah mereka adalah kepala-kepala penjahat. Supaya para Rasul boleh mengalahkan mereka. Kalau kita sekarang, cukup dengan Al-Qur’an sahaja.


 

Ayat 33: Mukjizat kedua.

وَنَزَعَ يَدَهُ فَإِذا هِيَ بَيضاءُ لِلنّٰظِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he drew out his hand; thereupon it was white for the observers.

(MELAYU)

Dan dia menarik tangannya (dari dalam bajunya), maka tiba-tiba tangan itu jadi putih (bersinar) bagi orang-orang yang melihatnya.

 

Dalam kekecohan yang sedang berlaku itu Nabi Musa memasukkan tangannya ke dalam bajunya dan نَزَعَ  (mengeluarkannya semula) dan ia bercahaya berkilau seperti sinar bulan. Dalam ayat ini disebut ringkas sahaja tapi ada disebut dalam ayat-ayat yang lain.

Ia menyebabkan orang yang melihat terpegun dan terpesona kerana tangan Nabi Musa menjadi putih bercahaya.

Sebelum ini manusia yang mendengar dan berada di situ terpesona dengan kata-kata baginda sahaja dan sekarang mereka terpesona dengan apa yang ditunjukkan oleh baginda pula. Semakin kuat hujah baginda.


 

Ayat 34: Tapi Firaun tak mahu kalah juga.

قالَ لِلمَلَإِ حَولَهُ إِنَّ هٰذا لَسٰحِرٌ عَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Pharaoh] said to the eminent ones around him, “Indeed, this is a learned magician.

(MELAYU)

Fir’aun berkata kepada pembesar-pembesar yang berada sekelilingnya: Sesungguhnya Musa ini benar-benar seorang ahli sihir yang pandai,

 

قالَ لِلمَلَإِ حَولَهُ

Fir’aun berkata kepada pembesar-pembesar yang berada sekelilingnya:

Sebelum ini Firaun berkata kepada semua orang yang di dalam istana termasuk pekerja-pekerja rendah pun tetapi kali ini Firaun nampak dia kena bercakap secara khusus kepada orang yang ada pangkat (مَلَإِ) kerana dia kena kawal mereka supaya tidak terpengaruh dengan Nabi Musa. Kalau para pembesar pun sudah mula percaya, masalah besar dia nanti.

 

إِنَّ هٰذا لَسٰحِرٌ عَليمٌ

Sesungguhnya Musa ini benar-benar seorang ahli sihir yang pandai,

Firaun telah menuduh yang Nabi Musa adalah seorang ahli sihir yang hebat. Dia nak kata, Nabi Musa memang hebat tapi ia tidak lebih dari sihir sahaja. Maknanya Firaun hendak menidakkan kejadian itu sebagai mukjizat.

Dan tuduhan dan label ini akan menjadi polisi penerangan daripada kerajaan kepada rakyat nanti: bahawa Nabi Musa itu adalah seorang ahli sihir. Firaun tuduh yang Nabi Musa sudah lama meninggalkan mereka rupanya baginda pergi belajar sihir.


 

Ayat 35: Kemudian dia tuduh pula yang Nabi Musa itu adalah teroris nak ambil alih kerajaan Mesir.

يُريدُ أَن يُخرِجَكُم مِّن أَرضِكُم بِسِحرِهِ فَماذا تَأمُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He wants to drive you out of your land by his magic, so what do you advise?”

(MELAYU)

ia hendak mengusir kamu dari negerimu sendiri dengan sihirnya; maka kerana itu apakah yang kamu anjurkan?”

 

يُريدُ أَن يُخرِجَكُم مِّن أَرضِكُم بِسِحرِهِ

Dia hendak mengusir kamu dari negerimu dengan sihirnya;

Firaun menggunakan idea hujah kenegaraan pula dengan orang bawahannya supaya mereka sama-sama melihat bahawa serangan Nabi Musa itu bukan kepada Firaun sahaja tetapi kepada negara keseluruhannya.

Dia hendak memberitahu mereka yang jikalau Nabi Musa berkuasa, bukan sahaja Firaun yang ada masalah tetapi kedudukan mereka d““““““““““““““““alam kerajaan juga akan jatuh. Dia nak takutkan mereka yang ada kedudukan dalam kerajaan itu.

 

فَماذا تَأمُرونَ

maka kerana itu apakah yang kamu anjurkan?”

Firaun tanya kepada pembesarnya: “Jadi apa yang kamu cadangkan? Ni Musa nak ambil alih negara kamu ni, apa kamu nak buat? Takkan tengok sahaja?”

Selalunya Firaun tidak meminta pendapat orang bawahannya pun tetapi kali ini apabila dia bertanya begitu, ia menunjukkan kelemahan dirinya. Ini adalah kerana dia sudah mula rasa takut dan rasa dia tidak dapat selesaikan masalah itu bersendirian.

Kalau hendak difikirkan Firaun boleh sahaja terus bunuh Nabi Musa dan Harun tetapi dia tahu yang jikalau dibunuh mereka berdua, umur dia akan pendek. Maknanya Firaun takut kerana dia sedar yang Nabi Musa itu memang benar seorang Nabi. Kerana dia tahu tentang sifat-sifat Nabi kerana mereka dulu pun ada Nabi Yusuf. Mereka tahu tentang Nabi dan bagaimana sifat mereka.


 

Ayat 36: Setelah diminta pendapat, maka para pembesar bagi cadangan.

قالوا أَرجِه وَأَخاهُ وَابعَث فِي المَدائِنِ حٰشِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “Postpone [the matter of] him and his brother and send among the cities gatherers

(MELAYU)

Mereka menjawab: “Tundalah (urusan) dia dan saudaranya dan kirimkanlah ke seluruh negeri orang-orang yang akan mengumpulkan (ahli sihir),

 

قالوا أَرجِه وَأَخاهُ

Mereka menjawab: “Tundalah (urusan) dia dan saudaranya

Irjah ini kalau kita boleh bayangkan kita telah menggigit sesuatu dengan gigi kita tetapi kita tidak terus memakannya. Digunakan di dalam ayat ini kerana para pemimpin itu mencadangkan kepada Firaun untuk mereka lepaskan Nabi Musa buat masa itu tetap pastikan yang dia dipantau dengan rapat.

Kerana Nabi Musa pernah cakap banyak perkara dan kalau tidak dipantau dia mungkin akan terus menyebarkan ajarannya kepada orang kebanyakan.

 

وَابعَث فِي المَدائِنِ حٰشِرينَ

dan kirimkanlah ke seluruh negeri orang-orang yang akan mengumpulkan

Dan hantar wakil ke setiap pekan untuk kumpul. Kumpul apa? Kumpul ahli sihir. Sebab zaman itu banyak ahli sihir. Maka mereka suruh kumpul dan lantik di tiap-tiap bandar dan pekan daripada kalangan ahli-ahli sihir supaya dapat dikumpulkan mereka itu supaya nanti boleh diadakan pasukan ahli sihir yang kuat. Kira buat Akademi Ahli Sihir.


 

Ayat 37:

يَأتوكَ بِكُلِّ سَحّارٍ عَليمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who will bring you every learned, skilled magician.”

(MELAYU)

nescaya mereka akan mendatangkan semua ahli sihir yang pandai kepadamu”.

 

Nanti bila sudah dikenal pasti siapakah ahli-ahli sihir itu maka nanti senang sahaja dibawa mereka itu mengadap Firaun untuk menjalankan tugas mereka untuk berlawan dengan Nabi Musa. Boleh pilih mana-mana ahli sihir yang hebat untuk bertugas kepada Firaun.

Apabila digunakan kalimah يَأتوكَ ini bermaksud ianya mudah sahaja. Kerana rakyat tentu akan tunduk kepada Firaun. Kalau dipanggil tentu mereka akan datang. Atau tentera mereka banyak dan boleh paksa mereka datang, tidak ada masalah. Beri sahaja arahan, ia akan dijalankan.

Maka Firaun bersetujulah dengan cadangan ini. Dia nampak cadangan ini baik, padahal ia adalah rancangan dari Allah untuk mengalahkan dia nanti di hadapan rakyat Mesir.


 

Ayat 38: Ahli sihir sudah dikumpulkan.

فَجُمِعَ السَّحَرَةُ لِميقٰتِ يَومٍ مَّعلومٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So the magicians were assembled for the appointment of a well-known day.¹

  • i.e., the morning of the day of festival. See 20:5859.

(MELAYU)

Lalu dikumpulkan ahli-ahli sihir pada waktu yang ditetapkan di hari yang maklum,

 

Dipendekkan kisah ini, para ahli sihir telah berkumpul untuk berlawan dengan Nabi Musa pada hari yang telah diketahui. Kerana telah dapat direkrut kepada ahli sihir yang dihormati, maka yang lain-lain datang dengan rela. Tambahan pula mereka nampak mereka akan dapat peluang untuk dapat upah dan sebagainya.

Mereka datang dari ceruk negeri Mesir sampaikan beribu-ribu mereka datang. Ada kata 15 ribu sampai 30 ribu pun ada pendapat yang mengatakan sedemikian.

‘Hari yang diketahui’ itu telah disebut dalam Surah Taha iaitu hari perayaan mereka. Dibuat pertemuan antara ahli-ahli sihir dan Nabi Musa pada hari perayaan supaya dapat disaksikan oleh kesemua rakyat Mesir.


 

Ayat 39:

وَقيلَ لِلنّاسِ هَل أَنتُم مُّجتَمِعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And it was said to the people, “Will you congregate

(MELAYU)

dan dikatakan kepada orang banyak: “Berkumpullah kamu sekalian.

 

Rakyat dipastikan kena datang oleh Firaun di mana tentera telah memberitahu kepada rakyat yang mereka mesti datang kerana mereka hendak memalukan dan menutup mulut Nabi Musa.

Kerana di dalam masa menunggu pertemuan dengan ahli sihir itu tentunya Nabi Musa tidak duduk diam sahaja melainkan baginda terus berdakwah kepada rakyat dan Firaun kena jalankan rancangannya ini sehingga berjaya dan sehingga semua rakyat nampak bagaimana Nabi Musa akan dijatuhkan.

Firaun pastikan rakyat datang kerana dia sangka dia akan menang. Rancangan dia sudah hebat, takkan boleh kalah pula? Sangkaan dia itu amat meleset sekali.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 4 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Ash-Shu’araa Ayat 20 – 29 (Debat dengan Firaun)

Ayat 20: Nabi Musa jawab perkara yang paling besar. Kerana itu yang dipentingkan. Maka kita juga kena jawab perkara yang paling penting. Jangan termakan dengan cubaan musuh yang hendak mengalih perhatian dari perkara utama.

قالَ فَعَلتُها إِذًا وَأَناْ مِنَ الضّالّينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Moses] said, “I did it, then, while I was of those astray [i.e., ignorant].

(MELAYU)

Berkata Musa: “Aku telah melakukannya, sedang aku di waktu itu termasuk orang-orang yang khilaf.

 

Nabi Musa mengaku yang memang baginda ada melakukannya. Yang dimaksudkan adalah kejadian pembunuhan tak sengaja itu. Nabi Musa pun tidak sebut apakah kes itu kerana Firaun tak cakap, maka baginda pun tak cakap.

Ini mengajar kita tidak salah mengaku tersilap di masa lampau. Kerana waktu itu baginda tidak tahu. Baginda waktu itu masih jahil lagi dan belum diangkat menjadi Nabi dan Rasul. Maksudnya baginda tidak tahu yang dengan satu penumbuknya sahaja orang itu boleh mati.

Jadi baginda hendak menekankan yang baginda tidak sengaja membunuh orang itu. Dan kerana baginda tahu yang tidak akan ada perbicaraan nanti melainkan baginda akan terus dibunuh sahaja, maka kerana itu baginda lari.

Lihat bagaimana baginda tidaklah salahkan syaitan sahaja. Orang yang baik akan mengaku dan minta maaf.

Begitu juga kalau kita berdakwah nanti, dan ada orang ungkit balik kesalahan yang kita pernah lakukan dulu semasa muda, semasa jahil, maka mengaku sahajalah. Katakan yang itu dulu, sekarang sudah lain. Sekarang kita sudah tahu tentang agama, maka tak perlulah nak ungkit kisah dulu. Cuma janganlah kita elak atau kita nak lari dari mengaku. Kita lebih menjadi insan besar kalau kita mengaku sahaja.


 

Ayat 21:

فَفَرَرتُ مِنكُم لَمّا خِفتُكُم فَوَهَبَ لي رَبّي حُكمًا وَجَعَلَني مِنَ المُرسَلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So I fled from you when I feared you. Then my Lord granted me judgement [i.e., wisdom and prophethood] and appointed me [as one] of the messengers.

(MELAYU)

Lalu aku lari meninggalkan kamu ketika aku takut kepadamu, kemudian Tuhanku memberikan kepadaku hikmah serta Dia menjadikanku salah seorang di antara rasul-rasul.

 

فَفَرَرتُ مِنكُم لَمّا خِفتُكُم

Lalu aku lari meninggalkan kamu ketika aku takut kepadamu,

Sebelum ini Nabi Musa sudah mengaku apa yang baginda telah lakukan dulu. Sekarang baginda telah datang kembali dengan membawa tugas baginda sebagai Rasul. Nabi Musa mengambil peluang dari kisah itu yang menyebabkan baginda melarikan diri daripada Mesir kerana baginda dahulu takut kepada mereka iaitu bukan hanya kepada Firaun sahaja tetapi kepada orang-orang lain yang mungkin ada keinginan untuk membunuh baginda.

Kerana baginda tahu yang Firaun dan pengikutnya itu adalah bangsa yang ganas dan tidak akan bertimbang rasa kerana mereka pun telah menjadikan Bani Israil sebagai hamba tanpa hak. Jadi baginda menjelaskan kenapa baginda lari bukannya kerana baginda bersalah.

Ini mengajar kita bahawa Nabi Musa itu kena membersihkan namanya kerana Rasul kena bersihkan nama sepertimana Nabi Yusuf sebelum keluar dari penjara mahu supaya namanya bersih dahulu. Ini kerana mereka akan berdakwah kepada masyarakat dan tidak patut mereka berdakwah dalam nama mereka cemar. Maka Nabi Musa kena jelaskan supaya orang ramai tahu yang baginda bukan sengaja membunuh lelaki yang itu.

Tapi lihatlah bagaimana Nabi Musa kata baginda takut kepada mereka dahulu dan memberi isyarat bahawa sekarang baginda sudah tidak takut lagi. Ini kerana baginda yakin dengan janji Allah yang akan menyelamatkan baginda. Ini pun sebenarnya adalah satu perkara yang boleh menyebabkan Firaun marah kerana ada orang yang tidak takut dengan dia lagi.

 

فَوَهَبَ لي رَبّي حُكمًا

kemudian Tuhanku memberikan kepadaku hikmah 

Nabi Musa memberitahu setelah baginda melarikan diri itu Allah telah memberikan ilmu kenabian kepada baginda. Maksudnya baginda diberi dengan hukum syariat dan menjadikan baginda seorang Nabi.

 

وَجَعَلَني مِنَ المُرسَلينَ

serta Dia menjadikanku salah seorang di antara rasul-rasul.

Dan kemudian telah menjadikan baginda seorang Rasul. Mula kena jadi Nabi dahulu, kemudian baru diangkat menjadi Rasul.

Jadi Nabi Musa mengingatkan kembali kepada mesej pertamanya iaitu baginda adalah Rasul kepada mereka. Kerana Firaun sudah ubah topik dan baginda kena bawa balik kepada tajuk perbincangan. Iaitu baginda datang kerana ada tugas untuk menyampaikan ajaran agama kepada mereka.


 

Ayat 22:

وَتِلكَ نِعمَةٌ تَمُنُّها عَلَيَّ أَن عَبَّدتَ بَني إِسرٰءيلَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And is this a favor of which you remind me – that you have enslaved the Children of Israel?”

(MELAYU)

Budi yang kamu limpahkan kepadaku itu adalah (disebabkan) kamu telah memperbudak Bani Israil”.

 

Sebelum ini Firaun telah mengingatkan kepada Nabi Musa yang dia telah menjaga Nabi Musa dari kecil. تَمُنُّها bermaksud menceritakan balik jasa. Baginda nak ingatkan balik yang baginda boleh sampai ke rumah Firaun itu kerana Firaun sendiri yang hendak membunuh baginda.

Kerana Firaun telah keluarkan arahan untuk bunuh semua anak-anak lelaki maka ibu baginda terpaksa meletakkan baginda di dalam peti dan telah dihanyutkan sampai kepada istana Firaun. Jadi berlakunya baginda datang ke istana Firaun itu bukanlah kerana jasa Firaun tetapi disebabkan oleh perbuatan Firaun juga. Kalau bukan Firaun keluarkan arahan itu, tidaklah baginda sampai ke istananya.

Jadi Nabi Musa perli Firaun: “sebab aku duduk rumah kamu itu kamu kata kamu beri nikmat kepada aku? Kamu lupakah sebab apa aku boleh ke rumah kamu itu dulu?”

Baginda sampai ke rumah Firaun itu adalah kerana kezaliman Firaun memperhambakan Bani Israil sahaja. Berasal dari situ sampai meleret baginda kena tinggal di bawah jagaan Firaun. Maka jangan nak ungkitlah wahai Firaun. Ini semua sebab kamu juga.

Dan kalau Firaun nak gunakan jasa dia menjaga Nabi Musa sebagai perkara baik, itu tidak dapat nak mengangkat segala kesalahan dia menjadikan seluruh Bani Israil sebagai hamba entah berapa lama. Janganlah nak guna alsan jaga seorang lelaki sahaja sebagai imbalan untuk penindasan sekian lama itu.


 

Ayat 23: Firaun nak lawan juga.

قالَ فِرعَونُ وَما رَبُّ العٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Said Pharaoh, “And what is the Lord of the worlds?”

(MELAYU)

Fir’aun bertanya: “Siapa Tuhan semesta alam itu?”

 

Lihat bagaimana hujah Nabi Musa itu tidak dijawab oleh Firaun kerana baginda memang benar dan Firaun takkan dapat jawab dengan jelas. Dan apabila Firaun tidak dapat mempertahankan hujahnya maka dia akan tukar kepada topik yang lain.

Firaun memperlecehkan dakwaan Nabi Musa yang ada Tuhan yang sebenar Tuhan, bukan Firaun. Firaun mempersoalkan tentang Tuhan pula. Cara tanya Firaun itu menunjukkan Firaun tidak anggap Allah itu penting sampai dia pakai kalimah ما (apa) sahaja. Seolah-olah Tuhan itu tidak penting, macam benda sahaja.

Ia adalah soalan ما هي (apa jenis Tuhan itu). Ini soalan yang tidak patut. Ini macam soalan orang tarekat yang tanya: apakah hakikat Tuhan? Kalau kita tidak boleh jawab maka mereka kata kita bodoh sedangkan itu adalah rekaan mereka sahaja. Kerana mereka sendiri reka apakah hakikat Tuhan itu. Jadi tentulah kita tidak tahu, kerana mereka yang reka teka teki dan tentulah mereka sahaja yang boleh jawab.

Mereka tidak sedar yang soalan mereka itu sama dengan soalan Firaun. Kerana minta penjelasan tentang Dzat Tuhan padahal kita tidak akan tahu. Mana kita ada maklumat tentang hakikat Tuhan? Mereka pun tidak ada maklumat melainkan rekaan dari khayalan sahaja. Kalau kita boleh tahu hakikat Tuhan, tentulah yang tahunya adalah Rasulullah tapi tidak pernah pun baginda ajar para sahabat dengan maklumat itu.


 

Ayat 24: Nabi Musa tidak terkesan dengan soalan Firaun tentang Tuhan itu kerana baginda memang tidak boleh memberitahu Dzat Tuhan tetapi baginda boleh memberitahu sifatNya.

قالَ رَبُّ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَما بَينَهُما ۖ إِن كُنتُم مّوقِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Moses] said, “The Lord of the heavens and earth and that between them, if you should be convinced.”

(MELAYU)

Musa menjawab: “Tuhan Pencipta langit dan bumi dan apa-apa yang di antara keduanya (Itulah Tuhanmu), jika kamu sekalian (orang-orang) mempercayai-Nya”.

 

قالَ رَبُّ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَما بَينَهُما

Musa menjawab: “Tuhan Pencipta langit dan bumi dan apa-apa yang di antara keduanya

Seorang pendakwah seperti Nabi Musa ini mengajar kita bahawa tidak boleh terkesan dengan hujah orang yang di hadapan kita. Kita tidak boleh terikut-ikut dengan mereka. Macam doktor dengan pesakit, bukan boleh ikut kata pesakit dan kena beri ubat yang sepatutnya dia terima sahaja.

Maka begitulah dengan orang yang sakit akidah, maka kita tidak boleh ikut kehendak dia melainkan kita kena beri ajaran sebagaimana yang sepatutnya. Ini dipanggil sifat istiqlal – tidak terkesan dengan orang.

Oleh itu Nabi Musa tidak melayan permintaan Firaun yang meminta supaya ditunjukkan apakah Dzat Tuhan itu. Nabi Musa beritahu Tuhan yang sebenarnya adalah Tuhan yang mencipta langit dan bumi. Dan disebut langit dahulu kerana keturunan Firaun ini sangka yang mereka itu adalah keturunan daripada tuhan matahari. Maka ditolak perkara itu dahulu.

 

إِن كُنتُم مّوقِنينَ

jika kamu sekalian (orang-orang) mempercayai-Nya”.

Baginda beritahu mereka yang kalau mereka semua mahu menjadi orang yang yakin, maka baginda ada maklumat untuk diberikan kepada mereka semua. Baginda boleh ajar mereka kerana baginda sudah ada ilmu wahyu. Waktu itu belum ditunjukkan lagi mukjizat-mukjizat yang telah dibekalkan oleh Allah.


 

Ayat 25: Firaun bertambah marah.

قالَ لِمَن حَولَهُ أَلا تَستَمِعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Pharaoh] said to those around him, “Do you not hear?”

(MELAYU)

Berkata Fir’aun kepada orang-orang sekelilingnya: “Apakah kamu tidak mendengarkan?”

 

Firaun sedang marah. Kerana Nabi Musa tidak bercakap dengan dia sahaja tetapi telah berkata-kata kepada orang ramai dan ini dilihat sebagai sesuatu yang kurang ajar.

Dia juga marah kerana orang-orang yang di sekelilingnya seolah-olah seperti sedang mendengar apa yang dikatakan oleh Nabi Musa. Kerana mereka nampaknya berminat dengan apa yang hendak dikatakan oleh Musa dan Firaun perasan apa yang berlaku.

Maka Firaun bercakap kepada orang di sekelilingnya. Firaun kata: “Kamu tak dengarkah apakah yang Musa ni cakap? Aku tanya lain tapi dia jawab lain. Dia merepek apa ni? Juga kamu tak hairankah kerana dia ini kata, ada lagi Tuhan lain selain aku?”. Ini kerana selama ini Firaun sudah beritahu kepada rakyatnya yang dialah tuhan dan rakyat terpaksa percaya kepada dia.

Begitulah liciknya Firaun memainkan kata-kata. Dia sebenarnya yang cakap merepek tapi dia tuduh Nabi Musa yang merepek. Sebab itu Allah masukkan kata-kata Firaun ini di dalam Al-Qur’an supaya kita boleh belajar bagaimana untuk menjawab soalan-soalan dan tuduhan yang sebegini.


 

Ayat 26: Musa sambung ceramah lagi. Tak layan pun kata-kata Firaun itu tetapi baginda sambung dengan ceramah baginda. Sekarang baginda beri Dalil aqli anfusi. Sebelum ini Nabi Musa beri dalil aqli afaqi sekarang baginda beri dalil aqli anfusi pula.

قالَ رَبُّكُم وَرَبُّ ءآبائِكُمُ الأَوَّلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Moses] said, “Your Lord and the Lord of your first forefathers.”

(MELAYU)

Musa berkata (pula): “Tuhan kamu dan Tuhan nenek-nenek moyang kamu yang dahulu”.

 

Mereka mementingkan dan berbangga dengan keturunan mereka dahulu. Maka Allah sentuh tentang keturunan. Allah bukan Tuhan yang baginda baru reka tapi Dia adalah Tuhan dari dulu lagi.

Semua makhluk yang ada, Tuhannya adalah Allah.


 

Ayat 27: Firaun cuba mencelah. Sekarang dia hendak menjatuhkan kedudukan Nabi Musa pula. Cara ini dinamakan character assassination.

قالَ إِنَّ رَسولَكُمُ الَّذي أُرسِلَ إِلَيكُم لَمَجنونٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Pharaoh] said,¹ “Indeed, your ‘messenger’ who has been sent to you is mad.”

  • Angrily addressing those present.

(MELAYU)

Firaun berkata: “Sesungguhnya Rasulmu yang diutus kepada kamu sekalian benar-benar orang gila”.

 

“Rasul kamu” – merujuk kepada orang ramai – “Rasul yang kamu nak percaya ni…..” Dia perli kerana nampak kaumnya sudah nampak mahu percaya kepada Musa. Firaun sedang bercakap dengan orang bawahannya.

“Kamu nak ikut lelaki yang gila ini? Sudah hilang akal agaknya kamu.”


 

Ayat 28: Musa sambung kenalkan Allah. Tak layan gangguan dari Firaun itu.

قالَ رَبُّ المَشرِقِ وَالمَغرِبِ وَما بَينَهُما ۖ إِن كُنتُم تَعقِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Moses] said, “Lord of the east and the west and that between them, if you were to reason.”

(MELAYU)

Musa berkata: “Tuhan yang menguasai timur dan barat dan apa yang ada di antara keduanya: (Itulah Tuhanmu) jika kamu mempergunakan akal”.

 

قالَ رَبُّ المَشرِقِ وَالمَغرِبِ وَما بَينَهُما

Musa berkata: “Tuhan yang menguasai timur dan barat dan apa yang ada di antara keduanya:

Nabi Musa tidak hirau apakah yang dikatakan oleh Firaun sebelum ini dan baginda terus mengajar memperkenalkan tentang Allah.

Kenapa timur dan barat penting dalam ayat ini? Kerana mereka menyembah matahari dan sekarang Musa memberitahu bahawa tempat lain dan juga tempat turun dan jatuhnya matahari itu adalah kepunyaan Allah. Maka sembahlah Allah Pencipta matahari itu, bukannya sembah matahari.

Juga Nabi Musa hendak menunjukkan kekuasaan Allah. Barulah boleh jadi Tuhan kalau boleh menentukan perjalanan alam ini. Jadi kalau Firaun ini mengaku dia Tuhan, maka kenalah dia ubah perjalanan matahari itu bagi ia terbit dari barat pula. Semakna dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{الَّذِي حَاجَّ إِبْرَاهِيمَ فِي رَبِّهِ أَنْ آتَاهُ اللَّهُ الْمُلْكَ إِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّيَ الَّذِي يُحْيِي وَيُمِيتُ قَالَ أَنَا أُحْيِي وَأُمِيتُ قَالَ إِبْرَاهِيمُ فَإِنَّ اللَّهَ يَأْتِي بِالشَّمْسِ مِنَ الْمَشْرِقِ فَأْتِ بِهَا مِنَ الْمَغْرِبِ}

orang yang mendebat Ibrahim tentang Tuhannya (Allah) kerana Allah telah memberikan kepada orang itu pemerintahan (kekuasaan). Ketika Ibrahim mengatakan, “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan mematikan, “orang itu berkata, “aku dapat menghidupkan dan mematikan.” Ibrahim berkata, “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah ia dari barat.” (Al-Baqarah: 258), hingga akhir ayat.

Juga timur dan barat bermaksud bumi ini di mana Nabi Musa memberitahu yang Allah yang memiliki bumi ini timur dan barat dan bukannya Firaun. Firaun raja Mesir sahaja dan tak lebih dari itu.

 

إِن كُنتُم تَعقِلونَ

jika kamu mempergunakan akal”.

Baginda mengajak mereka menggunakan akal mereka, dan kalau begitu mereka tentu boleh menerima dakwah yang disampaikan.

Ini mengingatkan kita yang agama ini senang sebenarnya untuk difahami oleh akal. Tidak ada benda yang pelik dalam agama ini. Kalau ajaran yang pelik, itu bukanlah ajaran yang benar. Macam ajaran sufi tarekat, memang ajaran yang pelik-pelik belaka yang hanya boleh dipercayai oleh orang jahil sahaja.

Nabi Musa nak suruh mereka gunakan akal mereka yang waras. Kalau pakai akal, memang jelas nampak yang Firaun itu salah dan zalim. Maka tolaklah Firaun itu dan janganlah takut kepada Firaun kerana dia seorang sahaja sedangkan kita ini ramai.

Nabi Musa hendak mengajar mereka berfikir yang jikalau hendak puja mana-mana Tuhan pun sekurang-kurangnya Dia ada kuasa mencipta. Firaun mana ada kuasa mencipta. Dia hanya dakwa sahaja dia tuhan.


 

Ayat 29: Firaun nak tutup kes dengan Nabi Musa itu dengan bagi ancaman. Dia nampak keadaan sudah jadi bahaya kerana tenteranya pun macam sudah nak ikut cakap Nabi Musa. Dia nak berhujah lagi tidak ada fakta, maka dia gunakan kekerasan dan kuasa dia pula.

قالَ لَئِنِ اتَّخَذتَ إِلٰهًا غَيري لَأَجعَلَنَّكَ مِنَ المَسجونينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Pharaoh] said, “If you take a god other than me, I will surely place you among those imprisoned.”

(MELAYU)

Fir’aun berkata: “Sungguh jika kamu menyembah Tuhan selain aku, benar-benar aku akan menjadikan kamu salah seorang yang dipenjarakan”.

 

Firaun kata: “Kalau kamu berani ambil tuhan lain selain aku, aku akan masukkan kamu ke dalam penjara. مِنَ المَسجونينَ maksudnya sudah ada yang masuk dalam penjara kerana berani bercakap yang tidak sesuai dengan kehendak dia. Memang kalau ada yang cuba nak melawan akan dimasukkan ke dalam penjara kalau tak dibunuh.

Dia buktikan yang dia tidak ada hujah sampaikan dia terpaksa pakai kuasa keras sahaja. Dia sudah kalah dah dalam perdebatan ini. Begitulah yang banyak dilakukan oleh diktator dalam dunia ini – kalau ada yang nak beza pendapat sahaja, masukkan dalam penjara. Kerana mereka tak sanggup biarkan kesalahan dan kesilapan mereka disebut-sebut oleh rakyat maka mereka akan tutup mulut yang berani bercakap itu dengan penjara. Sebelum semakin ramai ikut kata-kata penentang, lebih baik matikan terus karektor itu.

Penjara pada zaman Firaun itu adalah penjara maut kerana akan dibiarkan sampai mati. Tidak ada peluang nak keluar dan akan mati di dalamnya. Ini adalah ancaman kepada mereka yang berani untuk beriman dengan ajaran Nabi Musa itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 4 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir