Tafsir Surah Naml Ayat 41 – 44 (Istana dari kaca)

Ayat 41:

قالَ نَكِّروا لَها عَرشَها نَنظُر أَتَهتَدي أَم تَكونُ مِنَ الَّذينَ لا يَهتَدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “Disguise for her her throne; we will see whether she will be guided [to truth] or will be of those who is not guided.”

(MELAYU)

Dia berkata: “Ubahlah baginya singgahsananya; maka kita akan melihat apakah dia mengenal ataukah dia termasuk orang-orang yang tidak mengenal(nya)”.

قالَ نَكِّروا لَها عَرشَها

Dia berkata: “Ubahlah baginya singgasananya

Nabi Sulaiman suruh diubah-ubah singgahsana itu supaya ianya tidak berapa dikenali. Mujahid mengatakan bahawa Sulaiman a.s. memerintahkan agar apa yang tadinya berwarna merah diubah dengan warna kuning, yang tadinya berwarna kuning diubah menjadi merah, dan yang tadinya berwarna hijau diubah menjadi merah, semua warna diubah dari keadaan semula.

Ikrimah mengatakan bahawa mereka melakukan penambahan dan pengurangan pada singgahsana tersebut. Qatadah mengatakan bahawa yang tadinya diletakkan di bahagian atas diletakkan di bawah, dan yang tadinya di belakang diletakkan di hadapan, lalu mereka melakukan sedikit modifikasi penambahan dan pengurangan padanya.

 

نَنظُر أَتَهتَدي أَم تَكونُ مِنَ الَّذينَ لا يَهتَدونَ

kita akan melihat apakah dia mengenal ataukah dia termasuk orang-orang yang tidak mengenal(nya)”.

Dan baginda hendak tunggu dan lihat sama ada Balqis  boleh kenal singgahsananya sendiri atau tidak. Jadi Nabi Sulaiman hendak menguji intelek Balqis itu.


 

Ayat 42: Akhirnya Ratu Balqis telah sampai untuk mengadap Nabi Sulaiman.

فَلَمّا جاءَت قيلَ أَهٰكَذا عَرشُكِ ۖ قالَت كَأَنَّهُ هُوَ ۚ وَأوتينَا العِلمَ مِن قَبلِها وَكُنّا مُسلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So when she arrived, it was said [to her], “Is your throne like this?” She said, “[It is] as though it was it.” [Solomon said], “And we were given knowledge before her, and we have been Muslims [in submission to Allāh].

(MELAYU)

Dan ketika Balqis datang, ditanyakanlah kepadanya: “Serupa inikah singgahsanamu?” Dia menjawab: “Seakan-akan singgahsana ini singgahsanaku, kami telah diberi pengetahuan sebelumnya dan kami adalah orang-orang yang berserah diri”.

 

فَلَمّا جاءَت قيلَ أَهٰكَذا عَرشُكِ

Dan ketika Balqis datang, ditanyakanlah kepadanya: “Serupa inikah singgahsanamu?”

Maka Nabi Sulaiman pun menunjukkan singgahsana Balqis itu. Ia telah diubah-ubah dan Nabi Sulaiman tanya kepada Balqis, adakah singgahsana ini ‘seperti’ singgahsana Balqis? Dan bukanlah baginda tanya: “adakah ini singgahsana kamu?”

 

قالَت كَأَنَّهُ هُوَ

Dia menjawab: “Seakan-akan singgahsana ini sama sepertinya

Balqis pun jawab yang singgahsana itu hampir sama seperti singgahsananya. Ratu Balqis berakal cerdik dan teliti. Dia juga orangnya pandai, berwibawa dan tegas. Maka dia tidak berani tergesa-gesa memutuskan bahawa itu adalah singgasananya, mengenangkan jarak perjalanan yang sangat jauh (antara Yaman dan Baitul Maqdis).

Dia juga tidak berani pula mengatakan bahawa singgahsana itu adalah yang lain, kerana padanya masih banyak terdapat ciri-ciri khas singgahsana miliknya yang masih utuh, hanya telah mengalami modifikasi dan perubahan. Maka dia jawab begitu sahaja – hampir sama.

 

وَأوتينَا العِلمَ مِن قَبلِها

kami telah diberi pengetahuan sebelumnya

Balqis pun terus berkata yang mereka sudah pun tahu tentang kehebatan Nabi Sulaiman sebelum mereka datang lagi dan sebelum baginda menunjukkan singgahsana itu lagi.

Atau permaisuri itu mengatakan yang mereka telah diberikan dengan ilmu tauhid sebelum Nabi Sulaiman tunjuk mukjizat itu lagi. Mereka memang nak beriman. Sebelum tengok kehebatan Sulaiman pun mereka sudah nak beriman masuk Islam.

 

وَكُنّا مُسلِمينَ

dan kami adalah orang-orang yang berserah diri”.

Dan Ratu Balqis itu mengaku yang mereka sudah pun menjadi Muslim. Sebelum sampai ke Baitul Maqdis dan bertemu dengan Nabi Sulaiman lagi mereka sudah menjadi Muslim.


 

Ayat 43:

وَصَدَّها ما كانَت تَّعبُدُ مِن دونِ اللهِ ۖ إِنَّها كانَت مِن قَومٍ كٰفِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And that which she was worshipping other than Allāh had averted her [from submission to Him]. Indeed, she was from a disbelieving people.”

(MELAYU)

Dan apa yang disembahnya selama ini selain Allah, mencegahnya (untuk melahirkan keislamannya), kerana sesungguhnya dia dahulunya termasuk orang-orang yang kafir.

 

وَصَدَّها ما كانَت تَّعبُدُ مِن دونِ اللهِ

Dan apa yang disembahnya selama ini selain Allah, mencegahnya

Apa yang Balqis lihat waktu itu telah menghalangnya dari percaya lagi kepada sembahan-sembahannya selain Allah sebelum itu. Dia sekarang sudah benar-benar beriman kerana dia sudah melihat kehebatan Allah. Inilah yang dinamakan Ainul Yakin. Imannya telah menghalangnya dari melakukan syirik lagi.

Atau ayat ini bermaksud, yang menghalang Balqis itu untuk beriman dahulu, hanyalah kerana kebiasaan kaumnya yang menyembah selain Allah. Kalau tidaklah kerana kebiasaan adat resam kaumnya itu dia telah lama beriman. Kerana dia adalah seorang yang cerdik. Begitulah manusia ikut sahaja ajaran dan amalan agama tok nenek tanpa mempersoalkan lagi.

Ini macam orang kita juga yang amalkan sahaja amalan yang telah lama ada dalam masyarakat tanpa memikirkan lagi sama ada benar atau tidak. Mereka sudah tidak fikirkan lagi. Bila ikut-ikutan sahaja, maka ajaran yang benar tidak masuk ke dalam minda. Ini kerana ramai yang terus pegang amalan tok nenek sebagai benar sahaja.

Kerana itulah apabila Nabi Sulaiman tunjuk kebenaran kepada beliau, maka senang sahaja untuk dia beriman. Kerana dia memang seorang yang bijak. Apabila beliau menerima surat Nabi Sulaiman sahaja sudah terdetik hatinya untuk beriman.

 

إِنَّها كانَت مِن قَومٍ كٰفِرينَ

kerana sesungguhnya dia dahulunya termasuk orang-orang yang kafir.

Memang dia dahulu daripada kaum yang mengamalkan ajaran syirik. Ini dipanggil ‘hijab rasmi’ dimana manusia ramai yang terkesan dengan suasana sekitar kerana semua orang di kalangan masyarakatnya sembah matahari maka dia pun terikut-ikut juga.

Macam orang kita juga, semua buat Majlis Tahlil apabila ada kematian turun temurun, baca Yaasin malam Jumaat turun temurun, ramai yang tidak sangka itu adalah amalan bidaah. Ramai terima ia sebagai amalan yang sudah ada dalam Islam.

Tapi ramai kalangan kita yang apabila kita jelaskan yang ianya adalah amalan bidaah, dengan diberikan dalil yang jelas, ramai yang boleh terima. Tapi yang agak tidak cerdik lagi, masih terbelenggu dengan ‘hijab rasmi’ itu. Agaknya belum sampai masa mereka lagi untuk terima.


 

Ayat 44: Walaupun Balqis itu sudah beriman dan masuk Islam, Nabi Sulaiman mahu memberi ilmu tambahan tentang Allah kepada beliau.

قيلَ لَهَا ادخُلِي الصَّرحَ ۖ فَلَمّا رَأَتهُ حَسِبَتهُ لُجَّةً وَكَشَفَت عَن ساقَيها ۚ قالَ إِنَّهُ صَرحٌ مُّمَرَّدٌ مِن قَواريرَ ۗ قالَت رَبِّ إِنّي ظَلَمتُ نَفسي وَأَسلَمتُ مَعَ سُلَيمٰنَ ِللهِ رَبِّ العٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

She was told, “Enter the palace.” But when she saw it, she thought it was a body of water¹ and uncovered her shins [to wade through]. He said, “Indeed, it is a palace [whose floor is] made smooth with glass.” She said, “My Lord, indeed I have wronged myself, and I submit with Solomon to Allāh, Lord of the worlds.”

  • The floor was transparent, and beneath it was flowing water.

(MELAYU)

Dikatakan kepadanya: “Masuklah ke dalam istana”. Maka tatkala dia melihat lantai istana itu, dikiranya ia kolam air yang besar, dan disingkapkannya kedua betisnya. Berkatalah Sulaiman: “Sesungguhnya ia adalah istana licin terbuat dari kaca”. Berkatalah Balqis: “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah berbuat zalim terhadap diriku dan aku berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah, Tuhan semesta alam”.

 

قيلَ لَهَا ادخُلِي الصَّرحَ

Dikatakan kepadanya: “Masuklah ke dalam istana”.

Maka Nabi Sulaiman menjemput Balqis masuk melawat istana baginda. Ini cara Nabi Sulaiman hendak mengajarnya tauhid.

Ada juga yang mengatakan ini bukan jemput masuk istana sahaja tapi mengajak Ratu Balqis berkahwin dengannya. Kerana masuk istana itu bukanlah bermaksud masuk tengok dalam istana, tapi menjadi ahli istana itu sebagai isteri baginda. Allahu a’lam.

 

فَلَمّا رَأَتهُ حَسِبَتهُ لُجَّةً

Maka tatkala dia melihat lantai istana itu, dikiranya ia kolam air yang besar, 

Apabila Ratu Balqis hendak melangkah masuk ke dalam istana Nabi Sulaiman, dia nampak seperti dia masuk ke dalam dasar laut yang tidak nampak dasarnya.

 

وَكَشَفَت عَن ساقَيها

dan disingkapkannya kedua betisnya.

Oleh kerana dia sangka dia akan masuk ke dalam air, maka dia telah mengangkat kainnya dan itu telah menampakkan betisnya. Kelihatan betisnya tidak berbulu. Tidaklah seperti yang pernah dikatakan orang.

 

قالَ إِنَّهُ صَرحٌ مُّمَرَّدٌ مِن قَواريرَ

Berkatalah Sulaiman: “Sesungguhnya ia adalah istana licin terbuat dari kaca”. 

Nabi Sulaiman memberitahu yang lantai istana itu dibuat dari gelas atau kristal. Ianya telah digosok kemas sampai nampak licin. Memang di bawahnya adalah kolam tapi kalau berjalan di atasnya tidak akan sentuh air itu.

Kalimah مُّمَرَّدٌ bermaksud licin macam lelaki amrad yang tidak ada bulu. Jadi kalau berjalan di atasnya macam berjalan atas akuarium. Ianya amat kemas sangat sampai tak nampak ianya adalah kaca.

 

قالَت رَبِّ إِنّي ظَلَمتُ نَفسي

Berkatalah Balqis: “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah berbuat zalim terhadap diriku

Dia sedar yang itu semua adalah dari Allah. Dia kagum dengan Allah dan segala yang Allah boleh berikan. Jadi dia mengaku dia bersalah selama ini kerana telah menyembah selain Allah.

 

وَأَسلَمتُ مَعَ سُلَيمٰنَ ِللهِ رَبِّ العٰلَمينَ

dan aku berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah, Tuhan semesta alam”.

Selama ini dia sangkakan yang matahari itulah Tuhan. Sedangkan matahari itu adalah salah satu daripada makhluk Allah dan menjadi tanda kepada kehebatan Allah. Sebagaimana dia tertipu dengan lantai istana itu yang disangkanya air tetapi sebenarnya tidak. Maknanya Balqis ini memang seorang yang bijak kerana dia boleh ambil pengajaran daripada apa yang ditunjukkan oleh Nabi Sulaiman itu.

Inilah contoh bagaimana kekayaan yang Allah berikan kepada manusia tidak menjadikan mereka sombong dan menjauhkan seseorang dari agama sebaliknya mendekatkan lagi mereka kepada Allah.

Ada satu kisah yang karut dan datangnya daripada kisah Israiliyat. Kita kena sampaikan untuk menolak kisah ini kerana ianya tidak benar. Mereka mengatakan Nabi Sulaiman sudah terpikat dengan Ratu Balqis maka baginda hendak mengahwininya.

Akan tetapi keinginan ini tidak disukai oleh golongan jin kerana jin kata Balqis itu lahirnya daripada percampuran antara manusia dan jin. Dan jikalau Nabi Sulaiman berkahwin dengan Balqis, maka baginda akan mengetahui segala rahsia jin. Sekarang itu walaupun baginda belum tahu lagi kesemua rahsia pun mereka sudah susah, maka apatah lagi kalau baginda berkahwin dengan Balqis.

Maka mereka hendak menghalang perkahwinan itu dan mengatakan yang oleh kerana Balqis itu adalah kacukan manusia dan jin, maka betisnya berbulu seperti betis keldai. Maka untuk melihat sendiri perkara itu maka kerana itulah Nabi Sulaiman membuat istananya yang ada kristal di atas air supaya Balqis mengangkat kainnya dan menunjukkan betisnya. Kerana baginda nak pastikan sama ada betis Balqis berbulu atau tidak.

Maka kisah ini tidak benar kerana seolah-olah Nabi Sulaiman buat istananya sebegitu rupa hanya untuk melihat betis Balqis sedangkan baginda sebenarnya melakukan perkara ini untuk mengajar tauhid kepada Balqis. Tidak munasabah seorang Nabi lagi Rasul akan melakukan perkara yang buruk seperti itu.

Mereka yang buat kisah itu adalah golongan yang hendak memburukkan para Nabi seolah-olah Nabi ini manusia yang senang terpikat dengan wanita dan sanggup lakukan apa sahaja. Malangnya kisah-kisah ini telah disusup masuk ke dalam kitab-kitab tafsir kita sendiri. Jadi kita nak hilangkan. Ada banyak lagi kisah-kisah Israiliyat yang kalau kita terima, ianya akan memburukkan para Nabi dan Rasul dalam Islam.

Seperti yang kita tahu, agama Yahudi dan Kristian telah lama disongsangkan dan banyak ajaran yang bukan asal telah dimasukkan ke dalam agama itu. Samalah juga dengan ajaran Islam ini. Kerana itulah kita kena berhati-hati dengan kisah yang disampaikan oleh para ustaz yang rajin bercerita karut sahaja.

Kena berani tanya mereka mana dapat kisah-kisah itu? Selalunya mereka baca dalam kitab-kitab yang bukan muktabar dan mereka sampaikan sahaja kerana mereka tahu masyarakat suka kisah dan mereka hendak jadi popular dengan kisah-kisah itu.

Alhamdulillah di kalangan ulama-ulama kita ada yang menjaga perkara ini dimana mereka memeriksa kesahihan sesuatu perkara itu berdasarkan ilmu-ilmu hadith. Maka kerana riwayat ini tidak benar dan tidak mempunyai sanad yang betul, maka ianya tertolak.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 8 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Naml Ayat 36 – 40 (Singgahsana Balqis)

Ayat 36: Ufti telah sampai kepada Nabi Sulaiman.

فَلَمّا جاءَ سُلَيمٰنَ قالَ أَتُمِدّونَنِ بِمالٍ فَما ءآتىٰنِ اللهُ خَيرٌ مِّمّا ءآتٰكُم بَل أَنتُم بِهَدِيَّتِكُم تَفرَحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So when they came to Solomon, he said, “Do you provide me with wealth? But what Allāh has given me is better than what He has given you. Rather, it is you who rejoice in your gift.

(MELAYU)

Maka tatkala utusan itu sampai kepada Sulaiman, Sulaiman berkata: “Apakah (patut) kamu menolong aku dengan harta? Apa yang diberikan Allah kepadaku lebih baik daripada apa yang diberikan-Nya kepadamu; tetapi kamu merasa bangga dengan hadiahmu.

 

فَلَمّا جاءَ سُلَيمٰنَ قالَ أَتُمِدّونَنِ بِمالٍ

Maka tatkala utusan itu sampai kepada Sulaiman, Sulaiman berkata: “Apakah (patut) kamu menolong aku dengan harta?

Utusan telah sampai membawakan hadiah ufti dari Ratu Balqis. Tidak diketahui dengan pasti apakah hadiah yang dibawa oleh utusan Balqis. Kalau dalam kisah Israiliyat banyaklah kisah-kisah yang mengarut yang susah untuk dipercayai maka kita tidak panjangkan ke sini. Tapi yang pasti tentulah hadiah itu adalah hadiah yang hebat, tapi adakah Nabi Sulaiman terpesona? Tidak sama sekali.

Baginda tanya utusan itu balik: “Adakah kamu sangka kamu boleh menambah kepada kekayaan yang aku telah ada? Adakah kamu nak beri bantuan kepada aku?”

 

فَما ءآتىٰنِ اللهُ خَيرٌ مِّمّا ءآتٰكُم

Apa yang diberikan Allah kepadaku lebih baik daripada apa yang diberikan-Nya kepadamu;

Baginda tidak memerlukan hadiah atau ufti dari kerajaan Balqis kerana baginda sendiri lebih kaya dari mereka dan bukannya baginda nak tambah kekayaan baginda. Baginda bukan hiraukan kekayaan. Jadi takkanlah baginda nak jadikan harta itu sebagai penyebab baginda biarkan sahaja mereka terus dalam kesyirikan.

Kerana kita kena ingat yang Nabi Sulaiman bukannya mahukan harta mereka tapi nak berdakwah kepada mereka. Baginda nak mereka beriman dengan akidah tauhid dan meninggalkan akidah syirik mereka itu. Maka takkan baginda nak jadikan harta sebagai penghalang untuk baginda berdakwah pula?

Lihat bagaimana Nabi Sulaiman mengatakan apa yang telah diberikan ‘oleh Allah’ kepadanya lebih baik dari apa yang Allah berikan kepada mereka. Baginda tidak kata yang apa yang ‘baginda ada’ lebih baik. Kerana baginda kembalikan segala apa yang baginda ada itu dan apa yang mereka dapat hanyalah pemberian daripada Allah sahaja.

Kerana itu baginda gunakan bahasa (مِّمّا ءآتٰكُم) untuk mengingatkan mereka bahawa apa yang mereka ada pun adalah pemberian daripada Allah juga. Cuma Allah beri kepada baginda lebih banyak sahaja. Maka kita sama-sama dapat daripada Allah, tidak dari lain dan tidaklah kerana usaha kita sahaja.

 

بَل أَنتُم بِهَدِيَّتِكُم تَفرَحونَ

tetapi kamu merasa bangga dengan hadiahmu.

Dan baginda tegur mereka kerana rasa gembira dan bangga bawa hadiah itu kepada baginda kerana mereka sangka boleh rasuah baginda. Mereka sangka hebat sangat hadiah mereka itu.


 

Ayat 37:

ارجِع إِلَيهِم فَلَنَأتِيَنَّهُم بِجُنودٍ لّا قِبَلَ لَهُم بِها وَلَنُخرِجَنَّهُم مِّنها أَذِلَّةً وَهُم صٰغِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Return to them, for we will surely come to them with soldiers that they will be powerless to encounter, and we will surely expel them therefrom in humiliation, and they will be debased.”

(MELAYU)

Kembalilah kepada mereka sungguh kami akan mendatangi mereka dengan bala tentera yang mereka tidak kuasa melawannya, dan pasti kami akan mengusir mereka dari negeri itu (Saba) dengan terhina dan mereka menjadi (tawanan-tawanan) yang hina dina”.

 

ارجِع إِلَيهِم

Kembalilah kepada mereka

Kemudian Nabi Sulaiman suruh utusan itu balik dan bawa balik hadiah mereka sekali kerana baginda tidak hingin.

 

فَلَنَأتِيَنَّهُم بِجُنودٍ لّا قِبَلَ لَهُم بِها

sungguh kami akan mendatangi mereka dengan bala tentera yang mereka tidak kuasa melawannya,

Dan baginda kata yang baginda pasti akan datang dengan tentera yang negara Saba’ tidak pernah bertembung lagi. Kita pun tahu yang Nabi Sulaiman ada tiga jenis tentera yang hebat-hebat. Sebelum ini para pembesar Saba’ kata mereka kuat dan bersedia untuk berperang. Tapi Nabi Sulaiman ingatkan, mereka tak pernah jumpa tentera Nabi Sulaiman lagi. Kalau dengan tentera lain bolehlah mereka nak berlagak.

 

وَلَنُخرِجَنَّهُم مِّنها أَذِلَّةً

dan pasti kami akan mengusir mereka dari negeri itu (Saba) dengan terhina

Dan apabila baginda datang, pasti mereka akan dikeluarkan dari negara mereka dengan hinanya kerana mereka tak gunakan negara itu untuk kebaikan. Kerana mereka buat syirik dan tak layak duduk di dunia dengan senang kerana mereka tidak menghargai Allah yang telah berikan segalanya kepada mereka.

 

وَهُم صٰغِرونَ

dan mereka menjadi yang hina dina”.

Dan mereka akan dihinakan kerana mereka akan dijajah. Dalam keadaan mereka akan tunduk menjadi hamba. Baginda sudah beri peluang kepada mereka untuk terus memerintah asalkan mahu masuk Islam dan taat kepada baginda. Kalau peluang itu mereka tidak ambil, maka mereka akan menyesal nanti.


 

Ayat 38: Setelah utusan-utusan itu kembali kepada ratu mereka dengan membawa kembali hadiahnya dan pesan-pesan dari Nabi Sulaiman, maka ratu mereka dan juga kaumnya buat keputusan untuk tunduk dan patuh.

Lalu Balqis berangkat menuju ke negeri Nabi Sulaiman dengan rasa tunduk, menyerah dan menghormati Nabi Sulaiman serta berniat akan mengikuti agama Islam. Ketika Nabi Sulaiman mengetahui kedatangan mereka, gembiralah baginda dan sangat senang dengan keputusan itu.

قالَ يٰأَيُّهَا المَلَؤا أَيُّكُم يَأتيني بِعَرشِها قَبلَ أَن يَأتوني مُسلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Solomon] said, “O assembly [of jinn], which of you will bring me her throne before they come to me in submission?”

(MELAYU)

Berkata Sulaiman: “Hai pembesar-pembesar, siapakah di antara kamu sekalian yang sanggup membawa singgahsananya kepadaku sebelum mereka datang kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri”.

 

قالَ يٰأَيُّهَا المَلَؤا

Berkata Sulaiman: “Hai pembesar-pembesar, 

Sekarang Nabi Sulaiman bercakap kepada kabinet baginda pula. Sebelum ini Ratu Balqis bercakap dengan kabinetnya. Kabinet Nabi Sulaiman lagi hebat kerana ada jin dan manusia juga.

 

أَيُّكُم يَأتيني بِعَرشِها

siapakah di antara kamu sekalian yang sanggup membawa singgahsananya kepadaku 

Muhammad ibnu Ishaq telah meriwayatkan dari Yazid ibnu Ruman yang telah mengatakan bahawa setelah utusan-utusan itu kembali kepada ratunya dengan membawa pesan Nabi Sulaiman, maka ratu mereka berkata, “Sesungguhnya, demi Allah, aku mengetahui bahawa dia bukanlah seorang raja, dan kita tidak akan mampu melawannya, tiada pula ertinya kebesaran kita di hadapannya.”

Kemudian Ratu Balqis mengirimkan pesan untuk memberitahukan kepada Nabi Sulaiman bahawa dia akan datang bersama semua pembesar kaumnya untuk menyaksikan sendiri keadaan Nabi Sulaiman dan agama yang diserukannya.

Kemudian Ratu Balqis memerintahkan agar singgahsana yang biasa dipakai olehnya disimpan. Singgahsananya dibuat dari emas yang dihiasi dengan batu yaqut, zabarjad, dan mutiara, lalu disimpan di bahagian yang terdalam dari tujuh ruangan yang berlapis-lapis; masing-masing ruangan dikunci pintunya. Dan Balqis berkata kepada petugas yang diserahi tugas, “Jagalah singgahsana kerajaanku ini dengan segenap kekuatan yang ada pada kamu, jangan biarkan seorang manusia pun masuk ke dalamnya dan jangan sekali-kali kamu memperlihatkannya kepada seorang pun sebelum aku balik.”

Maka kita dapat tahu dari ini yang singgahsana Balqis akan terkawal rapi. Dalam masa yang masa, Nabi Sulaiman tanya kepada para pembesarnya siapakah yang boleh bawa singgahsana Ratu Balqis yang Hud-hud kata hebat itu?

Sebelum ini Balqis yang nak uji baginda dengan hadiah. Sekarang baginda pula nak uji Balqis. Baginda nak bawa singgahsana Balqis dan tengok sama ada dia kenal atau tidak singgahsananya sendiri. Tapi nanti akan diubah dulu singgahsana itu.

 

قَبلَ أَن يَأتوني مُسلِمينَ

sebelum mereka datang kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri”.

Nabi Sulaiman tanya kepada para pembesarnya itu dari kalangan manusia dan jin, siapa yang mampu bawakan singgahsana Balqis yang berada di Yemen itu dan bawa ke tempat mereka di Palestin. Jaraknya beribu batu. Tapi kena bawa singgahsana itu sebelum rombongan Balqis sampai.

Dan baginda mahu singgahsana itu dibawa sebelum mereka datang dan masuk Islam di hadapan baginda. Setelah mendengar tentang kehebatan singgahsana Balqis, maka Nabi Sulaiman tertarik ingin merampas singgahsana itu, tetapi baginda tidak suka merampasnya setelah pemiliknya masuk Islam. Kerana Nabi Sulaiman a.s. mengetahui bahawa bilamana mereka telah masuk Islam, maka haramlah harta benda dan darah mereka baginya. Maka baginda kena lakukan urusan itu sebelum mereka masuk Islam di hadapan baginda.


 

Ayat 39:

قالَ عِفريتٌ مِّنَ الجِنِّ أَناْ ءآتيكَ بِهِ قَبلَ أَن تَقومَ مِن مَّقامِكَ ۖ وَإِنّي عَلَيهِ لَقَوِيٌّ أَمينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

A powerful one from among the jinn said, “I will bring it to you before you rise from your place, and indeed, I am for this [task] strong and trustworthy.”

(MELAYU)

Berkata ‘Ifrit (yang kuat) dari golongan jin: “Aku akan datang kepadamu dengan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu; sesungguhnya aku benar-benar kuat untuk membawanya lagi dapat dipercaya”.

قالَ عِفريتٌ مِّنَ الجِنِّ

Berkata ‘Ifrit dari golongan jin:

Ifrit adalah jin yang jenis ganas dan kuat kalau dibandingkan dengan jin-jin yang lain. Golongan jin pun ada jenis-jenisnya. Yang paling kuat adalah jenis ifrit itu.

Menurut Mujahid, ‘Ifrit ertinya jin yang jahat. Syu’aib Al-Jiba-i mengatakan bahawa nama ‘Ifrit itu adalah Kauzan. Hal yang sama telah dikatakan oleh Muhammad ibnu Ishaq, dari Yazid ibnu Ruman; dan hal yang sama dikatakan pula oleh Wahb ibnu Munabbih dan Abu Saleh, disebutkan bahawa besarnya ‘Ifrit tersebut sama dengan sebuah bukit.

 

أَناْ ءآتيكَ بِهِ قَبلَ أَن تَقومَ مِن مَّقامِكَ

“Aku akan datang kepadamu dengan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu; 

Jin ifrit itu kata dia boleh bawa singgahsana Balqis itu sebelum Nabi Sulaiman bangkit dari kerusinya. Maksudnya bangkit dari majlis itu setelah majlis itu selesai.

Bayangkan begini: selalunya apabila Nabi Sulaiman mula duduk di singgahsana baginda untuk berbincang dengan para pembesar dan dengar rayuan dan aduan rakyat, akhirnya bila sudah habis, maka baginda akan bangun. Maka ia mengambil masa beberapa jam juga. Mungkin dari pagi sampai ke petang.

 

وَإِنّي عَلَيهِ لَقَوِيٌّ أَمينٌ

sesungguhnya aku benar-benar kuat untuk membawanya lagi dapat dipercaya”.

Ifrit itu memang kuat dan dia rasa boleh diamanahkan dengan tugas ini kerana mungkin kerja itu memerlukan penelitian dan dia yakin yang dia boleh buat. Dia amat yakin untuk menjalankan tugas itu.

Dapat disimpulkan bahawa Nabi Sulaiman bermaksud mendatangkan singgahsana itu untuk menampakkan kebesaran dari apa yang telah dianugerahkan oleh Allah kepadanya, iaitu kerajaan dan bala tentera yang ditundukkan untuknya; belum pernah ada seorang pun yang dianugerahi pemberian seperti itu dan tidak pula sesudahnya. Agar hal tersebut dijadikan sebagai bukti kenabiannya di hadapan Ratu Balqis dan kaumnya.

Kerana suatu hal yang luar biasa bila singgahsananya didatangkan seperti keadaan asalnya sebelum mereka datang ke hadapan Sulaiman a.s. Padahal singgahsana itu disimpan di tempat yang terkunci berlapis-lapis dan di bawah pengawalan dan penjagaan yang sangat ketat.

Jadi selepas Ifrit mengatakan dia boleh bawa singgahsana itu dalam beberapa jam, maka Nabi Sulaiman a.s. mengatakan bahawa baginda menginginkan lebih cepat dari itu.


 

Ayat 40:

قالَ الَّذي عِندَهُ عِلمٌ مِّنَ الكِتٰبِ أَناْ ءآتيكَ بِهِ قَبلَ أَن يَرتَدَّ إِلَيكَ طَرفُكَ ۚ فَلَمّا رَءآهُ مُستَقِرًّا عِندَهُ قالَ هٰذا مِن فَضلِ رَبّي لِيَبلُوَني ءأَشكُرُ أَم أَكفُرُ ۖ وَمَن شَكَرَ فَإِنَّما يَشكُرُ لِنَفسِهِ ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ رَبّي غَنِيٌّ كَريمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Said one who had knowledge from the Scripture¹, “I will bring it to you before your glance returns to you.” And when [Solomon] saw it placed before him, he said, “This is from the favor of my Lord to test me whether I will be grateful or ungrateful. And whoever is grateful – his gratitude is only for [the benefit of] himself. And whoever is ungrateful – then indeed, my Lord is Free of need and Generous.”

  • He is said to have been Solomon’s vizier and successor, Āṣif ibn Barkhiyā.

(MELAYU)

Berkatalah seorang yang mempunyai ilmu dari Al Kitab: “Aku akan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkedip”. Maka tatkala dia melihat singgahsana itu terletak di hadapannya, dia pun berkata: “Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mencuba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat-Nya). Dan barangsiapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barangsiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia”.

 

قالَ الَّذي عِندَهُ عِلمٌ مِّنَ الكِتٰبِ

Berkatalah seorang yang mempunyai ilmu dari Al Kitab:

Allah dan juga Nabi Muhammad tidak jelaskan siapakah lelaki yang dimaksudkan di dalam ayat ini. ‘Kitab’ yang dimaksudkan itu juga tidak diberitahu kepada kita, maka kita tidak dapat menafsirkan perkara ini dengan tepat. Memang ada juga ahli tafsir yang menyebut namanya tetapi kita tidak dapat memastikan sama ada maklumat itu benar.

Ibnu Abbas mengatakan bahawa nama orang itu adalah Asif, pembantu Nabi Sulaiman. Hal yang sama diriwayatkan oleh Muhammad ibnu Ishaq, dari Yazid ibnu Ruman yang telah mengatakan bahawa nama orang tersebut adalah Asif ibnu Barkhia, dia adalah seorang yang jujur lagi mengetahui Ismul A’zam (Nama Allah yang agung).

Qatadah mengatakan bahawa nama orang tersebut adalah Asif, seorang yang beriman dari kalangan manusia. Hal yang sama telah dikatakan oleh Abu Saleh, Ad-Dahhak, dan Qatadah, bahawa dia adalah seorang manusia. Qatadah menyebutkan keterangan yang lebih lengkap, bahawa orang itu berasal dari Bani Israil. Mujahid mengatakan bahawa nama orang itu adalah Astum.

Menurut Qatadah dalam riwayat lain yang bersumber darinya, menyebutkan bahawa nama orang itu adalah Balikha. Ada lagi pendapat lain, tapi itu semua tidak penting.

Dan ada juga pendapat yang mengatakan yang berkata begitu adalah Nabi Sulaiman sendiri kerana bagindalah yang diberi dengan ilmu kitab. Dan baginda kata kepada Ifrit itu yang dia sendiri boleh membawakan singgahsana itu dalam sekelip mata, lebih cepat lagi dari Ifrit itu.

Kenapa disebut tentang ‘ilmu kitab’ di dalam ayat ini? Ini kerana di dalam kitab telah disebut tentang doa yang jikalau seorang hamba Allah itu berdoa kepada Allah, maka Allah boleh makbulkan dan jadikan apa-apa sahaja yang dikehendakiNya. Kerana betapa hebat pun kudrat manusia ataupun jin tetapi tidak dapat hendak dibandingkan dengan kudrat Allah Ta’ala. Jadi baginda minta sahaja kepada Allah Taala untuk membawakan singgahsana Balqis itu ke Palestin.

Jadi ini bukanlah ilmu kesaktian tetapi sama ada ianya Karomah (kalau lelaki) ataupun mukjizat Nabi (jikalau Nabi Sulaiman yang dimaksudkan).

 

أَناْ ءآتيكَ بِهِ قَبلَ أَن يَرتَدَّ إِلَيكَ طَرفُكَ

“Aku akan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkedip”. 

Kalau Ifrit itu boleh bawakan singgahsana itu dalam beberapa jam, maka lelaki ini (mungkin Nabi Sulaiman atau tidak) boleh bawa dalam sekelip mata sahaja. Ini tentu lebih hebat.

 

فَلَمّا رَءآهُ مُستَقِرًّا عِندَهُ قالَ هٰذا مِن فَضلِ رَبّي

Maka tatkala dia melihat singgahsana itu terletak di hadapannya, dia pun berkata: “Ini termasuk kurnia Tuhanku

Para ulama menyebutkan bahawa Asif meminta kepada Sulaiman a.s. agar memandang ke arah negeri Yaman tempat singgahsana itu berada, lalu Asif berwuduk dan berdoa kepada Allah. Mujahid mengatakan bahawa Asif mengatakan dalam doanya, “Ya Zal Jalali Wal Ikram,” yang ertinya “Ya Tuhan yang memiliki keagungan dan kemuliaan”.

Az-Zuhri mengatakan bahawa Asif mengatakan dalam doanya, “Ya Tuhan kami dan Tuhan segala sesuatu, Tuhan Yang Maha Esa, tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali hanya Engkau, datangkanlah ‘Arasynya kepadaku.” Maka seketika itu juga singgahsana (‘Arasy)nya berada di hadapannya. ,

Mujahid, Sa’id ibnu Jubair, Muhammad ibnu Ishaq, Zuhair ibnu Muhammad, dan lain-lainnya mengatakan bahawa setelah berdoa memohon kepada Allah Swt. agar singgahsana Balqis didatangkan di hadapannya, saat itu singgahsana berada di negeri Yaman, sedangkan Nabi Sulaiman berada di Baitul Maqdis, maka singgahsana Balqis hilang dan masuk ke dalam tanah kemudian muncul di hadapan Sulaiman a.s.

Maka memang singgahsana itu dapat dibawa ke istana Nabi Sulaiman. Dan apabila singgahsana itu sudah di depan matanya, Nabi Sulaiman mensyukuri nikmat itu. Baginda sedar yang itu terjadi adalah dengan keizinan Allah semata-mata.

 

لِيَبلُوَني ءأَشكُرُ أَم أَكفُرُ

untuk mencuba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari 

Apabila Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu sudah ada di hadapannya Maka baginda mengatakan yang itu adalah ujian daripada Allah untuk melihat sama ada baginda boleh bersyukur atau tidak.

Maksudnya baginda bersyukur kerana ada di kalangan penasihat dan pembantu baginda yang berkhidmat untuk baginda yang dapat melakukan perkara yang hebat seperti itu.

Atau baginda sendiri yang melakukannya, baginda bersyukur kerana diberikan ilmu itu dan kerana doa baginda dimakbulkan.

 

وَمَن شَكَرَ فَإِنَّما يَشكُرُ لِنَفسِهِ

Dan barangsiapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri

Sesiapa yang bersyukur maka perbuatan itu akan memberi kebaikan kepada dirinya sendiri. Kerana dia akan dapat pahala. Sudahlah dapat nikmat, dan apabila bersyukur lagi, dapat pahala. Dan pahala bersyukur itu lebih baik dari nikmat yang diberikan.

 

وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ رَبّي غَنِيٌّ كَريمٌ

dan barangsiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia”.

Dan sesiapa yang tidak bersyukur kepada Allah, maka ketahuilah yang sesungguhnya Allah itu tidak memerlukan sesiapa pun. Sama ada bersyukur atau tidak, Allah tidak perlukan kesyukuran manusia.

Dan Allah tidak memerlukan manusia untuk mengembangkan agamaNya kerana Allah sendiri boleh mengembangkan agamaNya. Kalau kita ambil peluang untuk berdakwah, kitalah yang akan dapat kebaikan itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 7 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Naml Ayat 29 – 35 (Surat dari Sulaiman)

Ayat 29: Ini reaksi Ratu Balqis setelah menerima surat dari Nabi Sulaiman.

قالَت يٰأَيُّهَا المَلَؤاْ إِنّي أُلقِيَ إِلَيَّ كِتٰبٌ كَريمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

She said, “O eminent ones, indeed, to me has been delivered a noble letter.

(MELAYU)

Berkata dia (Balqis): “Hai pembesar-pembesar, sesungguhnya telah dijatuhkan kepadaku sebuah surat yang mulia.

 

قالَت يٰأَيُّهَا المَلَؤاْ

Berkata dia (Balqis): “Hai pembesar-pembesar,

Mari kita duduk sebentar dan bayangkan bagaimana perasaan Ratu Balqis itu apabila menerima surat yang tidak tahu dari mana datangnya tetapi tiba-tiba sudah ada. Kerana kalau surat sebegitu tentulah bukan mudah untuk sampai kepadanya kerana tentulah dia ada pengawal yang mengawal keluar dan masuk surat menyurat.

Apabila Nabi Sulaiman bercakap dengan Allah, baginda merendahkan dirinya tetapi apabila bercakap kepada manusia yang lain walaupun dengan Permaisuri satu kerajaan, baginda bercakap dengan nada tinggi kerana baginda mempunyai kerajaan yang sangat besar di dunia waktu itu.

 

إِنّي أُلقِيَ إِلَيَّ كِتٰبٌ كَريمٌ

sesungguhnya telah dijatuhkan kepadaku sebuah surat yang mulia.

Jadi apabila ratu itu telah membaca surat itu maka dia telah memanggil ahli kabinetnya dan memberitahu bahawa dia telah mendapat surat yang mulia. Ini menunjukkan bahawa sebelum dia memanggil mereka lagi dia telah membaca surat itu dan dia memandang baik kepada surat ajakan dakwah dari Nabi Sulaiman itu.

Permaisuri itu kata yang surat itu mulia kerana ianya mengandungi tanda surat rasmi seperti stamp dan menggunakan bahasa yang baik. Juga cara dia mendapat surat itu pun hebat, dihantar oleh burung yang beretika. Atau, dia mungkin tidak nampak Hud-hud dan dia terkejut kerana surat itu sampai dengan cara misteri.


 

Ayat 30: Beliau membacakan kandungan surat itu.

إِنَّهُ مِن سُلَيمٰنَ وَإِنَّهُ بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, it is from Solomon, and indeed, it is [i.e., reads]: ‘In the name of Allāh, the Entirely Merciful, the Especially Merciful,

(MELAYU)

Sesungguhnya surat itu, dari Sulaiman dan sesungguhnya (isi)nya: “Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

 

إِنَّهُ مِن سُلَيمٰنَ

Sesungguhnya surat itu, dari SuIaiman

Surat itu dari Nabi Sulaiman. Jadi nampaknya disebut penulis dulu. Nampaknya cara Islam diberitahu siapakah penulis surat. Maknanya nama penulis itu diletakkan dulu di atas. Kalau surat kita sekarang ini, selalunya nama diletakkan di bawah, bukan?

Jadi, mungkin Nabi Sulaiman sudah memberitahu di dalam surat itu yang ianya dari baginda ataupun jikalau tidak ditulis pun maka ratu itu telah tahu yang ianya pasti datang daripada Nabi Sulaiman.

Surat ini pendek sahaja kerana ianya dibawa oleh burung Hud-hud itu. Tidaklah boleh panjang-panjang surat itu.

 

وَإِنَّهُ بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

dan sesungguhnya (isi)nya: “Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Surat itu dimulai dengan basmalah. Para ulama mengatakan bahawa tiada seorang pun yang menulis Bismillahir Rahmanir Rahim sebelum Sulaiman a.s. dalam suratnya. Nabi Sulaiman hendak menyampaikan, dengan berkat nama Allah, hendaklah mereka meminta pertolongan kepadaNya dan bukannya dengan meminta kepada matahari seperti yang mereka lakukan sekarang.

Ini adalah satu-satunya ayat basmalah disebut di dalam Al-Qur’an di mana ianya berada sebagai ayat di dalam Al-Qur’an. Selalunya kita lihat ianya sebagai permulaan surah sahaja dan ada yang tidak menganggapnya sebagai satu ayat pun. Jadi kedudukan ayat ini adalah istimewa.

Ini juga memberitahu kepada kita bahawa basmalah ini bukan hanya ada di dalam agama Islam sahaja tetapi ianya telah ada diberikan kepada Bani Israil. Jadi sepatutnya apabila mereka mendengar kalimat itu daripada Nabi Muhammad sepatutnya mereka kenal bahawa ianya membenarkan apa yang dibawa oleh rasul-rasul mereka sendiri kerana memang telah ada di dalam sejarah Nabi Sulaiman dan mereka pun tahu sejarah itu.

Kalau surat raja-raja lain mungkin mereka membesarkan kerajaan mereka, tetapi surat yang datang daripada Nabi Sulaiman dan baginda adalah seorang Raja yang paling besar dalam sejarah dunia, tetapi baginda tetap memulakan suratnya dengan membesarkan Allah. Maka kenalah kita besarkan Allah dalam setiap keadaan hidup kita.

Maka sunnah juga apabila kita memulakan surat kita dengan meletakkan basmalah di awal surat itu.

Tapi, tidaklah sampai dalam chat di media sosial pun kena dimulakan dengan basmalah kerana chat bukannya surat.


 

Ayat 31:

أَلّا تَعلواْ عَلَيَّ وَأتوني مُسلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Be not haughty with me but come to me in submission [as Muslims].’ ”

(MELAYU)

Bahawa janganlah kamu sekalian berlaku sombong terhadapku dan datanglah kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri”.

 

أَلّا تَعلواْ عَلَيَّ

Bahawa janganlah kamu sekalian berlaku sombong terhadapku

Nabi Sulaiman menasihati mereka supaya jangan sombong dengan baginda dan melawan baginda kerana baginda telah mengajak mereka masuk agama Islam.

Atau, ia bermaksud jangan lawan baginda dengan tolak kalimah Bismillah. Mereka sepatutnya membesarkan Allah dan bukannya matahari yang dijadikan oleh Allah.

 

وَأتوني مُسلِمينَ

dan datanglah kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri”.

Serah dirilah kepada baginda. Mungkin juga mereka ada bercita-cita untuk menyerang kerajaan Nabi Sulaiman dan baginda mengingatkan mereka supaya jangan melakukannya. Sebaliknya kena serah diri.

Nabi Sulaiman mengarahkan kerajaan Yaman itu untuk taat kepada baginda dan jangan melawan. Serah diri mereka kerana maksud ‘muslim’ adalah menyerah diri. Menurut Ibnu Abbas: dalam keadaan mentauhidkan Allah, sedangkan menurut lainnya dalam keadaan ikhlas. Sufyan Ibnu Uyaynah mengatakan bahawa makna yang dimaksudkan ialah dalam keadaan taat (tunduk).

Surat ini mungkin panjang lagi tetapi Allah hanya sampaikan perkara yang penting sahaja darinya. Atau mungkin pendek sahaja kerana ianya dibawa oleh Hud-hud sahaja.


 

Ayat 32: Ini reaksi Balqis terhadap kandungan surat itu.

قالَت يٰأَيُّهَا المَلَؤاْ أَفتوني في أَمري ما كُنتُ قاطِعَةً أَمرًا حَتّىٰ تَشهَدونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

She said, “O eminent ones, advise me in my affair. I would not decide a matter until you witness [for] me.”1

  • i.e., are present with me or testify in my favor.

(MELAYU)

Berkata dia (Balqis): “Hai para pembesar berilah aku pertimbangan dalam urusanku (ini) aku tidak pernah memutuskan sesuatu persoalan sebelum kamu berada dalam majlis(ku)”.

 

قالَت يٰأَيُّهَا المَلَؤاْ أَفتوني في أَمري

Berkata dia (Balqis): “Hai para pembesar berilah aku pertimbangan dalam urusanku (ini)

Ufti adalah beri fatwa. Ia memberi isyarat yang orang yang beri fatwa itu ada kuasa. Macam mufti yang mengeluarkan fatwa di negara kita, memang mereka ada kuasa pun.

Dan ia juga bermaksud pemberian pendapat berdasarkan ilmu. Oleh itu, orang yang memberi fatwa itu kena berikan dalil hujah dan bukan sahaja terus beri keputusan. Bukan beri fatwa berdasarkan perasaan.

Bukanlah Balqis minta fatwa hukum pula dengan pembesar dia, tapi minta pendapat mereka tentang apakah yang patut dia lakukan berkenaan surat dari Nabi Sulaiman itu. Kerana ianya perkara penting.

 

ما كُنتُ قاطِعَةً أَمرًا حَتّىٰ تَشهَدونِ

aku tidak pernah memutuskan sesuatu persoalan sebelum kamu berada dalam majlis(ku)”.

Balqis tidak pernah putuskan apa-apa keputusan penting tanpa merujuk kepada penasihatnya. Mereka sudah jadi saksi barulah beliau akan buat keputusan. Maksudnya dia tidak pernah ‘potong’ dari menerima pendapat mereka di dalam membuat keputusan yang besar-besar.

Inilah adab Ratu Balqis yang baik. Mana-mana pemimpin yang buat sebegini akan kekal lama dalam pemerintahan kerajaan mereka. Kerana dia tidak buat keputusan peribadi sendiri dan buat-buat pandai melainkan dia akan dapatkan pandangan orang lain juga. Kerana kalau fikirkan sendiri sahaja tidak mungkin akal dapat fikirkan semua.

Tapi kita kena ingat yang ayat ini bukanlah dalil yang membolehkan orang perempuan menjadi pemimpin kerajaan kerana kita kena tahu yang Balqis waktu ini adalah seorang kafir. Mana boleh jadikan perbuatan orang kafir sebagai sunnah pula.

Tapi walaupun dia seorang wanita tetapi dia dapat memerintah lama kerana dia pandai mendapatkan keputusan dan pandangan daripada orang-orang penasihat di sekelilingnya.


 

Ayat 33: Para pembesar memberikan pendapat mereka.

قالوا نَحنُ أُوْلو قُوَّةٍ وَأُوْلو بَأسٍ شَديدٍ وَالأَمرُ إِلَيكِ فَانظُري ماذا تَأمُرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “We are men of strength and of great military might, but the command is yours, so see what you will command.”

(MELAYU)

Mereka menjawab: “Kita adalah orang-orang yang memiliki kekuatan dan (juga) memiliki keberanian yang sangat (dalam peperangan), dan keputusan berada di tanganmu: maka lihatlah apa yang akan kamu perintahkan”.

 

قالوا نَحنُ أُوْلو قُوَّةٍ وَأُوْلو بَأسٍ شَديدٍ

Mereka menjawab: “Kita adalah orang-orang yang memiliki kekuatan dan (juga) memiliki keberanian yang sangat

Mereka kata mereka adalah negara yang kuat dan mereka mempunyai kekuatan tentera yang kuat juga.

Nampaknya mereka memberi isyarat yang mereka bersedia untuk berperang dan tidak tertarik dengan surat itu. Sedangkan Ratu Balqis itu sendiri sudah terkesan dengan surat itu kerana awal-awal lagi dia sudah memuji surat itu.

 

وَالأَمرُ إِلَيكِ

dan keputusan berada di tanganmu

Tapi mereka masih lagi menghormati Ratu Balqis itu maka mereka kata keputusan ada di tangannya. Mereka beri pendapat sahaja. Ini menunjukkan Balqis ada kuasa.

 

فَانظُري ماذا تَأمُرينَ

maka lihatlah apa yang akan kamu perintahkan”.

Mereka akan turut apa yang diarahkan oleh Balqis. Mereka tunggu sahaja apa arahan beliau.


 

Ayat 34: Ini pula komen dari Balqis setelah mendengar pendapat para penasihatnya.

قالَت إِنَّ المُلوكَ إِذا دَخَلوا قَريَةً أَفسَدوها وَجَعَلوا أَعِزَّةَ أَهلِها أَذِلَّةً ۖ وَكَذٰلِكَ يَفعَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

She said, “Indeed kings – when they enter a city, they ruin it and render the honored of its people humbled. And thus do they do.

(MELAYU)

Dia berkata: “Sesungguhnya raja-raja apabila memasuki suatu negeri, nescaya mereka membinasakannya, dan menjadikan penduduknya yang mulia jadi hina; dan demikianlah yang akan mereka perbuat.

 

قالَت إِنَّ المُلوكَ إِذا دَخَلوا قَريَةً أَفسَدوها

Dia berkata: “Sesungguhnya raja-raja apabila memasuki suatu negeri, nescaya mereka membinasakannya,

Balqis tidak suka kalau mereka sampai berperang dengan Nabi Sulaiman. Kerana dia tahu yang Nabi Sulaiman mempunyai kerajaan yang besar dan kuat.

Dan dia pun tahu apa yang terjadi kalau tentera yang lebih besar masuk menyerang negara yang lebih kecil. Pasti negara itu akan rosak binasa. Kerana bila sudah mula perang, memang susah nak jaga lagi.

 

وَجَعَلوا أَعِزَّةَ أَهلِها أَذِلَّةً

dan menjadikan penduduknya yang mulia jadi hina; 

Dan apabila tentera itu menang nak menakluk sesuatu tempat itu, hierarki tempat itu akan ditukar. Yang mulia sebelum itu dalam kerajaan akan dihinakan dan yang terbalik juga terjadi dimana yang hina pula boleh jadi dimuliakan.

Ini memang biasa terjadi sampai sekarang pun. Sebagaimana orang-orang yang sanggup bersekongkol dengan puak penjajah maka mereka akan menjadi mulia. Kerana penjajah memerlukan bangsat-bangsat daripada kalangan mereka yang dijajah untuk menjadi orang-orang mereka yang menjadi mata-mata mereka dan menjalankan kerja-kerja mereka di dalam masyarakat yang mereka jajah.

Sebab itulah juga Qarun jadi kaya raya walaupun dia pun Bani Israil juga. Ini kerana Firaun memerlukan tali barut dalam masyarakat Bani Israil yang dihambakan itu.

Begitu jugalah  di negara kita ini dulu apabila Jepun berkuasa.  Ada orang-orang Melayu yang menjadi tali barut dan mata-mata Jepun dan mereka mendapat kesenangan dan kekayaan.

Kalau zaman sekarang penjajah menggunakan media untuk melakukan kempen memburukkan pemimpin pemimpin yang dahulu.  Kita boleh lihat bagaimana Saddam Hussein dan Muammar Gaddafi diburukkan oleh mereka yang berkuasa.

Jadi betullah kata Ratu Balqis itu yang apabila sesuatu negara itu diambil alih oleh penjajah, maka mereka yang dulunya mulia akan dihinakan.

 

وَكَذٰلِكَ يَفعَلونَ

dan demikianlah yang akan mereka perbuat.

Begitulah yang dulu terjadi kerana peperangan dan penjajahan yang sentiasa sahaja berlaku zaman berzaman. Begitulah yang terjadi jikalau kerajaan yang besar menyerang dan menjajah kerajaan yang kecil. Maka Ratu Balqis hendak mengelak dari perkara itu terjadi.


 

Ayat 35: Ratu Balqis akhirnya membuat keputusan.

وَإِنّي مُرسِلَةٌ إِلَيهِم بِهَدِيَّةٍ فَناظِرَةٌ بِمَ يَرجِعُ المُرسَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But indeed, I will send to them a gift and see with what [reply] the messengers will return.”

(MELAYU)

Dan sesungguhnya aku akan mengirim utusan kepada mereka dengan (membawa) hadiah, dan (aku akan) menunggu apa yang akan dibawa kembali oleh utusan-utusan itu”.

 

وَإِنّي مُرسِلَةٌ إِلَيهِم بِهَدِيَّةٍ

Dan sesungguhnya aku akan mengirim utusan kepada mereka dengan (membawa) hadiah, 

Ini adalah keputusan yang dibuat oleh Balqis dan ia bukannya untuk diperdebatkan lagi. Kerana kalimah مُرسِلَةٌ digunakan. Kerana dia nampak yang mereka tidak akan menang kalau berperang dengan tentera Nabi Sulaiman.

Dia hendak beri hadiah yang berbentuk rasuah kepada Nabi Sulaiman. Ini sama macam ufti yang diberikan oleh kerajaan Kedah ke Negara Siam dulu semasa kegemilangan Kerajaan Siam. Kerana Balqis tidak mahu peperangan terjadi dan dia mahu memujuk hati Nabi Sulaiman supaya jangan serang mereka.

 

فَناظِرَةٌ بِمَ يَرجِعُ المُرسَلونَ

dan menunggu apa yang akan dibawa kembali oleh utusan-utusan itu”.

Balqis hendak menguji dan melihat apa yang akan dilakukan oleh Nabi Sulaiman. Kerana kalau Nabi Sulaiman seorang raja yang mahukan harta, maka dia tidak akan serang negara itu asalkan dia mendapat ufti daripada mereka.

Qatadah mengatakan bahawa alangkah cerdiknya Ratu Balqis di masa dia telah masuk Islam dan juga sewaktu masih musyriknya. Dia mengetahui bahawa hadiah dapat melunakkan hati orang.

Ibnu Abbas mengatakan, demikian pula yang lainnya yang bukan hanya seorang, bahawa Balqis mengatakan kepada kaumnya, “Jika Sulaiman mahu menerima hadiah kita, bererti dia adalah seorang raja, kalian boleh memeranginya. Dan jika dia menolaknya, bererti dia seorang Nabi, maka ikutilah dia oleh kalian.”

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 7 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Naml Ayat 23 – 28 (Kisah Ratu Balqis)

Ayat 23: Hud-hud memulakan kisahnya untuk menyelamatkan dirinya dari disembelih oleh Nabi Sulaiman.

إِنّي وَجَدتُّ امرَأَةً تَملِكُهُم وَأُوتِيَت مِن كُلِّ شَيءٍ وَلَها عَرشٌ عَظيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, I found [there] a woman ruling them, and she has been given of all things, and she has a great throne.

(MELAYU)

Sesungguhnya aku menjumpai seorang wanita yang memerintah mereka, dan dia dianugerahi segala sesuatu serta mempunyai singgasana yang besar.

 

إِنّي وَجَدتُّ امرَأَةً تَملِكُهُم

Sesungguhnya aku menjumpai seorang wanita yang memerintah mereka,

Burung Hud-hud itu memberitahu yang dia ada maklumat tentang seorang wanita yang memerintah di negeri Saba’. Ini adalah berita besar kerana wanita memerintah satu negara bukan perkara biasa.

Al-Hasan Al-Basri mengatakan bahawa wanita itu bernama Ratu Balqis binti Syarahil yang menguasai negeri Saba’. Dia adalah pemimpin wanita yang terkenal. Seorang lagi pemimpin wanita yang terkenal di Yemen itu adalah Queen Arwa yang memerintah sekitar 500 selepas Hijrah. Dia adalah seorang Syiah Ismailiah dan sekarang kuburnya dijadikan sebagai tempat sembahan di Masjid Queen Arwa (oleh orang Islam yang sesat).

Di Yemen memang ada banyak kumpulan yang menyembah kubur, bukan golongan Habib sahaja. Semoga kita diselamatkan dari kesyirikan ini kerana amalan-amalan di kubur sudah mula dibawa ke negara kita. Dan ramai dari kalangan masyarakat Muslim kita kurang pengetahuan agamanya, dan senang ditipu dengan perawakan manusia yang nampak sahaja alim, tapi amalan mereka rapat dengan kubur dan tawasul.

Maka kita kena sampaikan kepada sebanyak-banyak umat bahawa agama ini tidak memerlukan kita buat ibadat di kubur dan bertawasul dengan ahli kubur. Malah ada larangan dari Nabi untuk meninggikan kubur, beribadat di kubur dan melawat kubur sebagai eid (diulang lawat).

 

وَأُوتِيَت مِن كُلِّ شَيءٍ

dan dia dianugerahi segala sesuatu 

Maksudnya Hud-hud memberitahu yang Ratu Balqis itu mendapat banyak nikmat. Maknanya dia memiliki kerajaan yang besar. Memang tempat itu adalah kawasan yang subur. Dan tamadun negara itu sudah lama kerana banyak raja dari sana.

Maknanya, mereka mempunyai kekayaan yang banyak kerana semakin lama sesuatu kerajaan itu, semakin banyaklah pula kekayaan yang telah dikumpul dan disimpan.

 

وَلَها عَرشٌ عَظيمٌ

serta mempunyai singgahsana yang besar.

Ada satu maklumat tambahan dari Hud-hud berkenaan singgahsana Balqis. Mungkin dia terpesona sampai dia kata Balqis ada tahta yang hebat. Maksudnya, singgahsana tempat duduknya sangat besar dihiasi dengan emas dan berbagai macam batu permata dan mutiara.

Zuhair ibnu Muhammad mengatakan bahawa singgahsana Balqis terbuat dari emas, sedangkan bahagian permukaannya dihiasi dengan batu yaqut dan zabarjad, panjangnya lapan puluh hasta dan lebarnya empat puluh hasta.


 

Ayat 24: Tadi tentang kehebatan mereka, sekarang Hud-hud menceritakan tentang akidah mereka pula.

وَجَدتُّها وَقَومَها يَسجُدونَ لِلشَّمسِ مِن دونِ اللهِ وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيطٰنُ أَعمٰلَهُم فَصَدَّهُم عَنِ السَّبيلِ فَهُم لا يَهتَدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

I found her and her people prostrating to the sun instead of Allāh, and Satan has made their deeds pleasing to them and averted them from [His] way, so they are not guided,

(MELAYU)

Aku mendapati dia dan kaumnya menyembah matahari, selain Allah; dan syaitan telah menjadikan mereka memandang indah perbuatan-perbuatan mereka lalu menghalangi mereka dari jalan (Allah), sehingga mereka tidak dapat petunjuk,

 

وَجَدتُّها وَقَومَها يَسجُدونَ لِلشَّمسِ مِن دونِ اللهِ

Aku mendapati dia dan kaumnya menyembah matahari, selain Allah;

Lihatlah bagaimana burung Hud-hud memisahkan perbuatan Permaisuri itu dan perbuatan kaumnya (‘dia’ dan kaumnya – padahal kata ‘mereka’ sahaja, sudah dikira termasuklah permaisuri itu sekali, bukan?). Ini kerana Allah hendak menunjukkan bahawa perbuatan dan juga agama seorang pemimpin itu akan memberi kesan dan menjadi agama kepada rakyatnya juga. Kalau Raja (pemimpin) amalkan agama dengan baik, maka kebanyakan rakyat pun akan amalkan agama yang baik juga.

Jadi seorang pemimpin atau raja itu ada tanggungjawab yang berat, kerana rakyat banyak ikut mereka sahaja. Rakyat bukannya nak fikir banyak sangat pun, ramai yang mengikut sahaja apa yang dilakukan oleh orang atasan. Kalau orang atasan ambil mudah sahaja hal agama macam sekarang, maka rakyat pun tidaklah kisah sangat tentang agama.

Maka para pemimpin itu akan disoal juga nanti tentang apa yang mereka lakukan. Bukan apa yang mereka lakukan sahaja, tapi apa yang dilakukan oleh pengikut-pengikut mereka juga. Maka menjadi pemimpin adalah tugas berat yang tidak sepatutnya dikejar sangat. Kerana buat susah kena soal sahaja nanti.

Jadi Hud-hud menceritakan kesyirikan yang dilakukan oleh penduduk Saba’ itu dimana mereka sembah matahari, tidak sembah Allah sahaja. Mungkin mereka pun ada sembah Allah juga, tapi mereka buat syirik dengan sembah matahari sekali. Ini sama sahaja dengan puak Habib dan sebagainya – mereka bukannya tidak sembah Allah, tapi mereka sembah kubur dan wali mereka juga.

Ini adalah kedangkalan fikiran manusia yang menyembah sesuatu yang mereka lihat sebagai hebat. Kalau agama Hindu, busut besar sikit pun mereka sudah sembah. Yang hairannya, kalau orang Melayu yang beragama Islam pun ada juga kadangkala fikiran sebegini juga.

Sebagai contoh, ada yang rasa ada kelebihan pada capal Nabi. Cium capal Nabi pun sudah ada masalah, ada yang cium replika capal pun ada. Yang lagi teruk, letak logo capal di baju, di kopiah dan songkok! Begitulah kalau capal yang patut letak di kaki, mereka letak di kepala! Nampak memang bodoh sangat.

Maka kebodohan mereka sama juga seperti Balqis dan rakyatnya yang menyembah matahari. Kerana mereka melihat matahari itu hebat. Sedangkan Yang menjadikan matahari itulah yang lagi hebat. Seperti yang dijelaskan oleh firman Allah:

{وَمِنْ آيَاتِهِ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ وَالشَّمْسُ وَالْقَمَرُ لَا تَسْجُدُوا لِلشَّمْسِ وَلا لِلْقَمَرِ وَاسْجُدُوا لِلَّهِ الَّذِي خَلَقَهُنَّ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ}

Dan sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam, siang, matahari, dan bulan. Janganlah bersujud kepada matahari dan janganlah (pula) kepada bulan, tetapi sujudlah kepada Allah Yang menciptakannya, jika kalian hanya kepada-Nya saja menyembah. (Fussilat: 37)

Setakat ini, berita yang kita baca ini adalah dari seekor burung. Ini menunjukkan burung pun tahu perkara tauhid. Jadi kalau manusia tak tahu perkara tauhid, memang malu sungguh, burung pun lagi hebat dari mereka. Kalau tak tahu tentang tauhid, akal orang itu lagi kurang dari akal burung, sedangkan burung memang akalnya kecil sahaja.

 

وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيطٰنُ أَعمٰلَهُم

dan syaitan telah menjadikan mereka memandang indah perbuatan-perbuatan mereka

Awal surah ini disebut Musyrikin Mekah dicantikkan amal salah mereka. Tapi Allah nak beritahu dalam ayat ini yang bukan mereka yang pertama. Memang syaitan menggunakan cara yang sama sahaja zaman berzaman. Syaitan akan kelabui mata manusia untuk bagi nampak amalan syirik dan bidaah yang dilakukan manusia itu indah, baik sahaja.

Syaitan akan bisikkan dan beri pujian kepada mereka. Kerana itulah ramai yang senang tertipu dan teruskan buat amalan yang syirik seperti berdoa, solat dan beribadat di kubur seperti yang dilakukan oleh puak Habib itu.

 

فَصَدَّهُم عَنِ السَّبيلِ فَهُم لا يَهتَدونَ

lalu menghalangi mereka dari jalan (Allah), sehingga mereka tidak dapat petunjuk,

Dan syaitan itu telah menghalang manusia dari jalan yang benar dan lurus. Jalan lurus ada, tapi mereka tertipu dengan bisikan syaitan. Dan memang iblis telah berjanji akan menghalang manusia dari jalan yang benar. Maka kitalah yang kena tahu apakah cara-cara dan taktik mereka supaya kita tidak tertipu.


 

Ayat 25: Ini adalah Ayat Sajdah

أَلّا يَسجُدوا ِللهِ الَّذي يُخرِجُ الخَبءَ فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَيَعلَمُ ما تُخفونَ وَما تُعلِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[And] so they do not prostrate to Allāh, who brings forth what is hidden within the heavens and the earth and knows what you conceal and what you declare –

(MELAYU)

agar mereka tidak menyembah Allah Yang mengeluarkan apa yang terpendam di langit dan di bumi dan Yang mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu nyatakan.

أَلّا يَسجُدوا ِللهِ الَّذي يُخرِجُ الخَبءَ فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

agar mereka tidak menyembah Allah Yang mengeluarkan apa yang terpendam di langit dan di bumi

Syaitan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyesatkan manusia dan memalingkan manusia dari sembah Allah sahaja. Itu sudah memang kerja mereka, sedangkan tugas kita pula adalah menentang mereka. Dan untuk menentang mereka, senjatanya adalah dengan ilmu. Syaitan akan mudah sahaja memesongkan manusia yang jahil agama.

Dan kerana ramai dari kalangan masyarakat kita memang jahil agama, maka senang sahaja ditipu dengan perawakan Habaib yang pakai pakaian ulama, berjanggut, berperawakan baik dan mengaku sebagai keturunan Rasulullah. Tanpa fikir panjang, ramai yang kata: “takkan mereka itu salah? Mereka keturunan Nabi tu….”

Kalimah الخَبءَ bermaksud ‘harta tersembunyi’. Juga bermaksud segala kegunaan yang ada di dalam bumi. Makna yang dimaksudkan ialah apa yang tersembunyi di langit dan di bumi yang ada kaitannya dengan rezeki makhluk; hujan dari langit dan tumbuhan dari bumi.

Allah mengingatkan kepada manusia bahawa semua yang mereka dapat daripada langit dan bumi itu adalah daripada Allah semata-mata. Kalau Allah sahaja yang boleh berikan segala keperluan manusia, maka kenapa nak sembah kepada selain Dia? Tapi syaitan telah membisikkan ajaran-ajaran yang salah dalam diri manusia.

 

وَيَعلَمُ ما تُخفونَ وَما تُعلِنونَ

dan Yang mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu nyatakan.

Allah tahu apa yang kita sembunyikan dan apa yang kita cakap.

Kenapa nak beritahu Allah tahu benda yang dinyatakan lagi, setelah memberitahu yang Allah tahu apa yang ada di dalam hati? Bukankah kalau Allah telah tahu apa yang di dalam hati, itu bermaksud yang kalau di luar juga tentu Allah sudah tahu?

Allah cakap dua-dua perkara itu kerana kadang-kadang benda yang manusia cakap tidak sama dengan apa yang di dalam hatinya. Mulut cakap lain, hati cakap lain. Allah nak beritahu yang perbezaan antara percakapan luar dan dalam itu pun Allah tahu. Jadi jangan rasa yang apa yang di dalam hati kita itu Allah tidak tahu. Janganlah nak cakap perkara yang lain dari dalam hati kita. Jangan nak menipulah maksudnya.


 

Ayat 26:

اللهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ رَبُّ العَرشِ العَظيمِ ۩

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh – there is no deity except Him, Lord of the Great Throne.”

(MELAYU)

Allah, tiada Tuhan Yang disembah kecuali Dia, Tuhan Yang mempunyai ‘Arsy yang besar”.

اللهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ

Allah, tiada ilah kecuali Dia,

Berkemungkinan besar kalimah ini disebut oleh Nabi Sulaiman di mana baginda sedang mengajar tentang tauhid.

Ini adalah kalimah tauhid yang kita semua sudah selalu dengar. Tapi adakah kita faham maksudnya? Adakah kita amalkan seperti yang kita cakap? Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang cakap di mulut dan cakap di hati, bukan? Ini sekarang sudah keluar satu contohnya. Berapa ramai yang kuat sahaja mulutnya bertahlil mengucapkan la ilaaha illallah, tapi dalam hatinya ada iktikad syirik. Maksudnya, mulut sahaja cakap tauhid uluhiyyah, tapi dalam hati ada iktikad syirik.

Ini semua kerana jahil agama dan jahil tauhid. Pengajaran tauhid tidak diajar dengan betul. Kerana itu ia amat longgar di negara kita. Tauhid ini kena dipelajari terus dari Al-Qur’an, maka kena belajar tafsir Al-Qur’an. Malangnya, bila ada yang mengajar tafsir, dan diajar perkara yang lain dengan fahaman masyarakat setempat, bukan masyarakat yang tukar akidah mereka, tapi ustaz mengajar itu yang kena tukar! Ini kebodohan siapa pun kita tidak tahu – masyarakat? AJK Masjid? Imam Masjid? Atau semuanya bodoh-bodoh belaka?

 

رَبُّ العَرشِ العَظيمِ

Tuhan Yang mempunyai ‘Arsy yang besar”.

Sebelum ini burung Hud-hud mengatakan singgahsana Permaisuri Balqis itu hebat, maka Nabi Sulaiman memberitahu bahawa Arasy Allah lebih hebat. Nabi Sulaiman terus memberitahu tentang Allah dan tidak bandingkan pun singgahsana Balqis dengan singgahsana baginda.

Kerana kalau orang lain, bila sebut kereta orang lain hebat, tentu dia akan sebut kereta dia lebih hebat, bukan? Tapi Nabi Sulaiman tidak begitu. Ini bukan nak tunjuk siapa yang hebat, tapi nak kata Allah yang paling hebat, tidak ada lebih hebat dari Allah.

Kata-kata di atas adalah kata-kata daripada Burung Belatuk (atau Nabi Sulaiman seperti yang disebut tadi) yang faham dan kenal ilmu tauhid dan kalaulah ada manusia yang tidak tahu tentang tauhid ini maka mereka itu lebih teruk daripada Burung Belatuk lagi.

Maknanya kita boleh juga gunakan kisah burung ini untuk mengajak manusia kepada tauhid dengan memberitahu kepada mereka lihatlah burung pun tahu tentang tauhid. Ini adalah cara yang amat bagus kerana manusia suka dengan cerita. Kalau duduk berjam-jam dengar cerita memang manusia suka.

Sebab itu ada ustaz yang bawa cerita dongeng dan karut pun boleh cari makan di masjid dan surau. Bila ustaz yang ajar benda betul dihalang, bila ustaz yang ajar benda karut pula yang didendang. Ternganga mulut mereka dengar kisah karut di masjid dan surau.


 

Ayat 27: Ini adalah jawapan daripada Nabi Sulaiman dan baginda tidak terus percaya dengan kata Hud-hud dan baginda meminta dalil. Maka tidak salah untuk minta dalil dan bukti kerana itulah yang diajar di dalam agama kita dan janganlah marah kalau diminta bukti dan dalil.

Ustaz yang marah kalau diminta dalil hanyalah kerana mereka sendiri tidak ada dalil. Sebab itu kalau anak murid minta dalil, kena marah pula anak murid itu.

۞ قالَ سَنَنظُرُ أَصَدَقتَ أَم كُنتَ مِنَ الكٰذِبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Solomon] said, “We will see whether you were truthful or were of the liars.

(MELAYU)

Berkata Sulaiman: “Akan kami lihat, apa kamu benar, ataukah kamu termasuk orang-orang yang berdusta.

 

Nabi Sulaiman berhati-hati dengan apa yang disampaikan oleh burung Hud-hud itu kerana entah-entah burung itu memberitahu perkara ini hanya untuk menyelamatkan dirinya dari dibunuh sahaja.

Ini juga menunjukkan yang seorang Nabi tidak tahu perkara ghaib, kerana jikalau Nabi Sulaiman memang tahu perkara ghaib, maka tentulah baginda sudah tahu perkara itu, dan tentulah baginda tidak memerlukan bukti daripada burung Hud-hud.

Inilah akidah kita: Allah sahaja yang tahu perkara ghaib dan kerana itulah Allah sahaja yang mempunyai keberkatan. Manusia tidak tahu perkara ghaib melainkan yang diberitahu sahaja termasuklah para Nabi lagi Rasul. Kalau Rasul pun tidak tahu perkara ghaib, maka apatah lagi kalau manusia.

Memang ada masalah akidah dalam masyarakat kita dalam perkara ini. Ada yang kata tok guru mereka tahu perkara ghaib, tahu isi hati manusia dan sebagainya. Ini adalah fahaman syirik kerana menyamakan sifat manusia dengan sifat Allah.

Kalau golongan Habib itu, mereka memang kononnya ada Habib mereka yang mereka kata tahu apa sahaja yang berlaku di Tarim (tempat pembelajaran mereka) dan ada pula seorang Habib lain yang tahu hati mereka yang berada di Tarim. *Tarim: tempat pengajian mereka di Hadramawt, Yemen. Tempat mereka menyebarkan ajaran sesat mereka. Ramai juga rakyat Malaysia yang belajar ke sana dan menyebarkan pula fahaman mereka di negara ini.


 

Ayat 28: Ada arahan yang Nabi Sulaiman suruh sampaikan kepada Balqis.

اذهَب بِّكِتٰبي هٰذا فَأَلقِه إِلَيهِم ثُمَّ تَوَلَّ عَنهُم فَانظُر ماذا يَرجِعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Take this letter of mine and deliver it to them. Then leave them and see what they will return.”

(MELAYU)

Pergilah dengan (membawa) suratku ini, lalu jatuhkan kepada mereka, kemudian berpalinglah dari mereka, lalu perhatikanlah apa yang mereka bicarakan”

 

اذهَب بِّكِتٰبي هٰذا

Pergilah dengan (membawa) suratku ini,

Kerana Hud-hud yang telah pernah ke tempat Balqis itu, maka Nabi Sulaiman suruh Hud-hud pergi ke tempat itu semula dan bawakan surat dari baginda. Baginda nak dakwah kepada mereka.

 

فَأَلقِه إِلَيهِم ثُمَّ تَوَلَّ عَنهُم

lalu jatuhkan kepada mereka, kemudian berpalinglah dari mereka, 

Kalimah فَأَلقِه dimatikan ha itu (bukan fa’alqihi) untuk menunjukkan yang Nabi Sulaiman memberi penekanan seolah-olah marah dengan burung Hud-hud atau dengan Balqis.

Baginda suruh lemparkan sahaja surat itu kepada Balqis supaya dia boleh jumpa, tapi jangan tunggu di situ. Cuma tinggalkan dan berpaling. Hantar surat dan jangan tunggu di situ kerana itu seperti menunjuk yang kita terdesak dan beriya-iya sangat nak tahu apakah balasan dari mereka.

 

فَانظُر ماذا يَرجِعونَ

lalu perhatikanlah apa yang mereka bicarakan”

Tapi jangan tinggalkan terus – tinggalkan surat itu dan kemudian lihat sahaja apa yang mereka akan balas setelah membaca surat itu. Terbang duduk dalam lubang mana-mana untuk melihat apakah yang dilakukan oleh mereka.

Jadi ini adalah salah satu daripada Sunnah para rasul iaitu menghantar surat untuk berdakwah dengan mengajak ketua negara-negara lain untuk masuk ke dalam agama Islam. Kita pun tahu yang Nabi Muhammad ada hantar surat dakwah kepada pemimpin negara lain. Tapi ini masih lagi memerlukan kajian yang lebih mendalam kerana kita lihat bahawa tidak ada semua surat diberikan kepada semua negara tetapi dipilih juga.

Menurut suatu pendapat, surat itu dibawa Hud-hud di dalam sayapnya sebagaimana biasanya burung pengantar surat, menurut pendapat yang lain mengatakan dengan paruhnya, ia terbang menuju ke negeri mereka, dan ia hinggap di istana Ratu Balqis, di tempat yang sepi yang biasa dipakai oleh Ratu Balqis ketika menyendiri.

Lalu Hud-hud melemparkan surat itu melalui celah yang ada di istananya, tepat berada di hadapan Ratu Balqis, setelah itu Hud-hud menjauh sebagai sikap etika dan sekaligus berjaga-jaga. Ratu Balqis kebingungan menyaksikan pemandangan yang menakjubkan itu sehingga membuatnya terpana sejenak. Kemudian dia menuju ke tempat surat itu dijatuhkan, lalu mengambilnya dan membuka serta membacanya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 7 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Naml Ayat 19 – 22 (Kisah Hud-hud)

Ayat 19: Apakah respons Nabi Sulaiman terhadap kata Permaisuri Semut itu? Suara semut itu sudahlah kecil, dalam bahasa lain pula. Bayangkan kelebihan yang diberikan kepada Nabi Sulaiman yang dapat mendengar perkataan semut itu walaupun waktu itu baginda bersama dengan tenteranya yang ramai yang tentunya bunyi bising tetapi baginda masih tetap dapat mendengar percakapan semut itu.

فَتَبَسَّمَ ضاحِكًا مِّن قَولِها وَقالَ رَبِّ أَوزِعني أَن أَشكُرَ نِعمَتَكَ الَّتي أَنعَمتَ عَلَيَّ وَعَلىٰ وٰلِدَيَّ وَأَن أَعمَلَ صٰلِحًا تَرضٰهُ وَأَدخِلني بِرَحمَتِكَ في عِبادِكَ الصّٰلِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So [Solomon] smiled, amused at her speech, and said, “My Lord, enable me¹ to be grateful for Your favor which You have bestowed upon me and upon my parents and to do righteousness of which You approve. And admit me by Your mercy into [the ranks of] Your righteous servants.”²

  • More literally, “gather within me the utmost strength and ability.”
  • Or “with Your righteous servants [into Paradise].”

(MELAYU)

maka dia tersenyum dengan tertawa kerana (mendengar) perkataan semut itu. Dan dia berdoa: “Ya Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal saleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang saleh”.

 

فَتَبَسَّمَ ضاحِكًا مِّن قَولِها

maka dia tersenyum dengan tertawa kerana (mendengar) perkataan semut itu. 

Nabi Sulaiman suka mendengar kata-kata Permaisuri Semut itu kerana Permaisuri Semut itu mengatakan yang Nabi Sulaiman dan tenteranya tidak sengaja jikalau mereka melanggar dan memijak semut-semut itu.

Kalimah فَتَبَسَّمَ bermaksud ‘menahan ketawa’. Maknanya baginda tersenyum.

Kalimah ضاحِكًا bermaksud ketawa itu terkeluar kerana tidak dapat menahannya.

Allah menceritakan kata-kata semut itu kerana perbuatannya itu baik kerana ia memberi nasihat kepada kaumnya untuk menyelamatkan diri mereka. Maka jikalau kita juga memberi nasihat yang sama kepada kaum dan masyarakat kita untuk menyelamatkan mereka dari mara bahaya, maka itu molek sekali.

Dan yang lebih molek adalah menyelamatkan kaum kita dari neraka. Ini adalah terbaik sekali dan kerana itu kita sampaikan ajaran tafsir Al-Qur’an ini.

 

وَقالَ رَبِّ أَوزِعني أَن أَشكُرَ نِعمَتَكَ الَّتي أَنعَمتَ عَلَيَّ وَعَلىٰ وٰلِدَيَّ

Dan dia berdoa: “Ya Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapaku

Awza’a bermaksud ‘beri ilham’. Nabi Sulaiman berdoa: Masukkan ke dalam diriku motivasi, semangat kepada diriku. Baginda minta supaya Allah ilhamkan baginda supaya sentiasa bersyukur, dan ini menunjukkan betapa baiknya baginda. Baginda telah mendapat berbagai-bagai kurnia yang besar daripada Allah dan tidaklah baginda rasa lemas dan kalah dengan segala pemberian itu sebaliknya baginda rasa bersyukur.

Apabila kita ada rasa syukur dalam hati, maka tentu kita akan lebih menghargai apa yang Allah berikan.

Dan syukur itu bukan perasaan dalam diri sahaja tapi kena ditunjukkan dengan amalan. Iaitu kalau bersyukur dengan pemberian Allah, maka kenalah taat kepada suruhan dan kehendak Allah. Bukan cukup dengan cakap alhamdulillah…. alhamdulillah ….. sahaja.

Dan baginda minta Allah masukkan sifat bersyukur dalam diri baginda, kerana rasa itu pun dari Allah juga. Kalau Allah tak masukkan, maka kita pun tidak akan bersyukur. Maka kena minta supaya Allah beri sifat syukur kepada diri kita. Maka doa ini amat bagus untuk diamalkan.

 

وَأَن أَعمَلَ صٰلِحًا تَرضٰهُ

dan untuk mengerjakan amal saleh yang Engkau redhai; 

Dan baginda juga minta supaya baginda diberikan dengan taufik untuk melakukan amalan sebagaimana cara yang Allah sukai. Ini penting kerana kadang-kadang kita pun solat juga tetapi adakah solat kita itu sebagaimana dengan cara yang Allah suka cara kita solat?

Taufik itu maksudnya kekuatan untuk mengerjakan amal ibadat. Kerana kita mungkin tahu kena beramal, tapi kadangkala kekuatan tidak ada. Maka kekuatan itu juga perlu diminta dari Allah kerana kita mengharapkannya. Bukannya kekuatan itu dari diri kita sendiri tapi anugerah dari Allah. Kerana itu selalu kita doa minta taufik.

Doa ini juga bagus untuk kita baca. Dan ini juga mengingatkan kita untuk buat amalan sunnah. Kerana amalan sunnahlah yang diredhai oleh Allah. Malangnya ramai tidak faham perkara ini kerana ramai yang buat amalan bidaah. Mereka tidak kisah sama ada Allah redhai atau tidak.

Dan ada yang buat sangkaan sahaja yang Allah redha (“alaah… kalau kita buat amalan itu ikhlas, Allah mesti terima punya…!”) Masalahnya, siapa kata begitu? Amalan kena ikhlas dan amalan itu kena ‘amalan soleh’ untuk diterima oleh Allah. Kalau amalan bidaah, bukannya amalan soleh.

Maka kalau kita amati dan amalkan doa ini, semoga ia mengingatkan kita untuk hanya beramal dengan amalan sunnah sahaja.

 

وَأَدخِلني بِرَحمَتِكَ في عِبادِكَ الصّٰلِحينَ

dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang saleh”.

Baginda sedar dan tidak pernah lupa yang baginda akan mati juga akhirnya dan tidaklah baginda menjadi seperti orang-orang yang kaya dan juga orang yang berkuasa yang seolah-olah mereka rasa mereka tidak akan mati.

Kerana itu kita banyak melihat dari dulu lagi bagaimana ada raja-raja dan juga para pemimpin yang memegang kuasa pemerintahan mereka itu seolah-olah mereka tak mahu mati dan kerana itu mereka tidak lepaskan kuasa mereka itu.

Mereka juga tidak buat persediaan untuk menghadapi akhirat. Mereka nak bina dan bina kekayaan dan kuasa mereka.

Ini tidak terjadi kepada Nabi Sulaiman yang ada kekayaan dan kekuasaan yang paling hebat dalam dunia. Oleh kerana baginda tahu yang baginda akan mati, maka baginda telah meminta supaya apabila baginda mati nanti baginda dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang soleh.

Dan kita boleh lihat yang baginda tambah kalimah بِرَحمَتِكَ (dengan rahmatMu). Ini kerana memang kita hanya dapat masuk syurga dengan rahmat Allah dan bukan dari amalan kita. Kerana itu kita kena berharap kepada rahmat Allah.


 

Ayat 20: Sekarang masuk babak kedua kisah Nabi Sulaiman ini.

وَتَفَقَّدَ الطَّيرَ فَقالَ ما لِيَ لا أَرَى الهُدهُدَ أَم كانَ مِنَ الغائِبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he took attendance of the birds and said, “Why do I not see the hoopoe – or is he among the absent?

(MELAYU)

Dan dia memeriksa burung-burung lalu berkata: “Mengapa aku tidak melihat hud-hud, apakah dia termasuk yang tidak hadir.

 

وَتَفَقَّدَ الطَّيرَ

Dan dia memeriksa burung-burung

Kalimah تَفَقَّدَ bermaksud mencari sesuatu yang hilang. Ini semasa baginda memeriksa barisan kawad burung dan baginda tidak nampak burung Hud-hud dalam barisan.

 

فَقالَ ما لِيَ لا أَرَى الهُدهُدَ

lalu dia berkata: “Mengapa aku tidak melihat hud-hud, 

Baginda ada banyak tentera tapi baginda tahu mana burung yang tidak ada.

Hud-Hud itu penting kerana tugas burung-burung itu dihantar oleh Nabi Sulaiman untuk bergerak ke hadapan untuk melihat apa yang ada di depan mungkin ada halangan dan sebagainya dan kemudian laporkan balik. Sebab itu dia tahu yang burung itu tidak ada kerana dia memang sedang menunggu laporan. Kerana waktu itu sudah dekat dengan waktu solat dan baginda hendak tahu di manakah tempat yang sesuai untuk berhenti.

Mujahid dan Sa’id ibnu Jubair serta selain keduanya telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas dan lain-lainnya, bahawa burung Hud-hud adalah pakar dalam mencari air, ia secara khusus ditugaskan oleh Nabi Sulaiman untuk mencari sumber air bila berada di Padang Sahara. Dengan kemampuan yang dimilikinya secara alami, burung Hud-hud dapat melihat air yang terdapat di dalam tanah; ia dapat melihatnya sebagaimana seseorang melihat sesuatu yang ada di permukaan tanah.

Dan ia dapat mengetahui berapa jauh letak kedalaman sumber mata air itu dari permukaan tanah. Apabila burung Hud-hud telah menunjukkan adanya sumber air, maka Nabi Sulaiman a.s. memerintahkan kepada jin untuk menggali tempat itu hingga keluarlah air dari perut bumi.

Kalimat ما لِيَ bermaksud ‘ada yang tak kena dengan aku kah?’ “Kenapa aku tak nampak Hud-Hud? Hud-Hud ini seperti Burung Belatuk.

 

أَم كانَ مِنَ الغائِبينَ

apakah ia termasuk yang tidak hadir?

Tidak nampak itu berkemungkinan kerana burung itu kecil dan terselindung atau memang ia tidak ada di situ. Mana dia Hud-Hud?


 

Ayat 21: 

لَأُعَذِّبَنَّهُ عَذابًا شَديدًا أَو لَأَاْذبَحَنَّهُ أَو لَيَأتِيَنّي بِسُلطٰنٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

I will surely punish him with a severe punishment or slaughter him unless he brings me clear authorization.”

(MELAYU)

Sungguh aku benar-benar akan mengazabnya dengan azab yang keras atau benar-benar menyembelihnya kecuali jika benar-benar dia datang kepadaku dengan alasan yang terang”.

 

لَأُعَذِّبَنَّهُ عَذابًا شَديدًا

Sungguh aku benar-benar akan mengazabnya dengan azab yang keras

Nabi Sulaiman marah apabila Hud-hud tidak ada dalam barisan. Tentera kalau tak hadir memang bersalah. Baginda ancam untuk azab burung Hud-hud itu dan di dalam tafsir ada disebut yang baginda hendak mencabut bulu burung itu dan menjemurnya di panas matahari.

 

أَو لَأَاْذبَحَنَّهُ

atau benar-benar menyembelihnya 

Atau baginda nak sembelih sahaja. Baginda boleh bunuh Hud-hud kerana ia binatang sahaja. Dan tentera kalau tidak ikut arahan boleh dikenakan dengan hukuman berat. Bahaya kalau tentera tidak ikut arahan.

 

أَو لَيَأتِيَنّي بِسُلطٰنٍ مُّبينٍ

kecuali jika benar-benar dia datang kepadaku dengan alasan yang terang”.

Kecuali kalau Hud-hud ada penjelasan yang jelas. Maksudnya ia akan selamat kalau ia boleh berikan alasan yang munasabah.


 

Ayat 22: Akhirnya Hud-hud sampai.

فَمَكَثَ غَيرَ بَعيدٍ فَقالَ أَحَطتُ بِما لَم تُحِط بِهِ وَجِئتُكَ مِن سَبَإٍ بِنَبَإٍ يَقينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But he [i.e., the hoopoe] stayed not long and said, “I have encompassed [in knowledge] that which you have not encompassed, and I have come to you from Sheba with certain news.

(MELAYU)

Maka tidak lama kemudian (datanglah hud-hud), lalu ia berkata: “Aku telah mengetahui sesuatu yang kamu belum mengetahuinya; dan kubawa kepadamu dari negeri Saba’ suatu berita penting yang diyakini.

 

فَمَكَثَ غَيرَ بَعيدٍ

Maka tidak lama kemudian

Mereka tunggu sampai Hud-hud datang. Tunggu pun tidak lama. Bayangkan keadaan tegang itu. Sebab semua tunggu mana dia Hud-hud kerana sudah buat Nabi Sulaiman marah. Tapi tidak lama kemudian burung Hud-hud pun sampai.

 

فَقالَ أَحَطتُ بِما لَم تُحِط بِهِ

lalu ia berkata: “Aku telah mengetahui sesuatu yang kamu belum mengetahuinya;

Terus burung Hud-hud berkata yang dia tahu perkara yang Nabi Sulaiman tidak tahu. Dan dengan ini menidakkan yang Nabi Sulaiman tahu perkara ghaib. Walaupun baginda Nabi lagi Rasul, bukan semua baginda tahu. Tapi burung Hud-hud tidak menggunakan kalimah ilmu tetapi menggunakan kalimah أَحَط yang bermaksud ‘meliputi’.

 

وَجِئتُكَ مِن سَبَإٍ بِنَبَإٍ يَقينٍ

dan kubawa kepadamu dari negeri Saba’ suatu berita penting yang diyakini.

Maklumat yang Hud-hud ada itu dari Negeri Saba’. Iaitu satu tamadun yang sekarang ini di Yaman.

Hud-hud kata maklumat yang akan disampaikannya itu adalah maklumat benar yang boleh diyakini. Bukan maklumat yang ia dengar cerita orang lain.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 7 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir