Tafsir Surah Naml Ayat 14 – 18 (Kisah Semut)

Naml Ayat 14: Sebelum ini tentang dakwah Nabi Musa tentang tauhid kepada Firaun dan pengikutnya dan bagaimana baginda telah menunjukkan mukjizat kepada mereka. Adakah mereka terima?

وَجَحَدوا بِها وَاستَيقَنَتها أَنفُسُهُم ظُلمًا وَعُلُوًّا ۚ فَانظُر كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُفسِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they rejected them, while their [inner] selves were convinced thereof, out of injustice and haughtiness. So see how was the end of the corrupters.

(MELAYU)

Dan mereka mengingkarinya kerana kezaliman dan kesombongan (mereka) padahal hati mereka menyakini (kebenaran)nya. Maka perhatikanlah betapa kesudahan orang-orang yang berbuat kebinasaan.

 

وَجَحَدوا بِها وَاستَيقَنَتها أَنفُسُهُم

Dan mereka mengingkarinya padahal hati mereka menyakini (kebenaran)nya. 

Kalimah جحد bermaksud melawan sesuatu walaupun dia sendiri tahu yang dia itu salah.

Kalimah وَاستَيقَنَتها adalah dari ي ق ن yang bermaksud yakin. Sebenarnya mereka yakin bahawa Nabi Musa itu benar tetapi mereka tidak menerima ajakan baginda kerana mereka telah lama zalim dan mereka tidak dapat meletakkan kedudukan mereka yang tinggi di muka bumi. Mereka rasa mereka tinggi sangat untuk ikut ajaran baginda. Maka mereka tetap melawan juga.

 

ظُلمًا وَعُلُوًّا

kerana kezaliman dan kesombongan

Mereka itu tahu yang mukjizat yang baginda tunjukkan itu benar dan Nabi Musa itu memang seorang Rasul tetapi mereka tolak kerana mereka degil sahaja.

Tidaklah mereka terus percaya dalam hati mereka kepada Nabi Musa kerana kalimah استيقن dalam wazan yang digunakan menunjukkan proses keyakinan itu mengambil masa yang lama.

Kita tahu yang mereka percaya dengan Tuhan Nabi Musa kerana dalam surah A’raf ada disebut bagaimana mereka minta Nabi Musa berdoa kepada Allah untuk mengangkat musibah yang telah dikenakan kepada mereka.

Jadi kafir itu bukannya bermaksud tidak percaya langsung kerana ada orang kafir yang percaya tetapi dalam masa yang sama mereka tidak teruskan kepercayaan mereka itu dengan amalan yang taat. Maksud ‘kafara’ itu pun memang ‘menutup’. Iaitu mereka menutup iman yang memang telah ada dalam hati mereka. Lihatlah bagaimana iblis itu bukannya tidak beriman dengan Allah tetapi kerana dia sombong maka dia tidak sanggup untuk taat kepada Allah.

Mereka tolak kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa itu kerana mereka zalim dan kerana mereka sombong.

Jadi sebagaimana pengetahuan iblis itu tidak menjadikan dia seorang yang mukmin, maka ada manusia yang ada pengetahuan agama tetapi mereka tetap juga kafir kerana kepercayaan mereka itu tidak disambung dengan ketaatan kepada Allah.

 

فَانظُر كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُفسِدينَ

Maka perhatikanlah betapa kesudahan orang-orang yang berbuat kebinasaan.

Maka Allah memberi ancaman kepada mereka yang kafir yang mereka akan dikenakan dengan azab yang buruk nanti. Kita pun tahu apa yang dikenakan kepada Firaun dan pengikutnya. Maka belajarlah dan ambillah pengajaran dari kisah mereka.

Maka kalau tolak apa yang disampaikan oleh Nabi Musa pun sampai ditenggelamkan dalam laut, maka bagaimana pula kalau sanggup untuk menentang dakwah tauhid yang disampaikan oleh Nabi Muhammad? Sedangkan kita pun tahu yang Nabi Muhammad itu lebih mulia dari Nabi Musa dan hujjah yang disampaikan oleh baginda itu lebih jelas lagi kerana baginda sampaikan ayat-ayat dalam Al-Qur’an? Fikirkanlah wahai Arab Mekah; fikirkanlah wahai manusia, umat-umat Nabi Muhammad sekalian.


 

Naml Ayat 15: Sekarang kita masuk kepada kisah Nabi yang baru. Sekarang akan disebut dua Nabi yang jarang disebut setakat ini. Kisah ini hendak mensabitkan kesempurnaan ilmu yang ada pada Allah.

Dari ayat ini sehingga ke ayat 44 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ianya adalah tentang kisah Nabi Sulaiman dan kerajaannya yang hebat. Kaum Saba’ contoh kaum yang terselamat daripada dibinasakan kerana menerima seruan tauhid.

Ia juga mengajar kita yang sebar tauhid lebih mudah jika ada kuasa pemerintahan. Ia juga mengandungi kisah raja semut memikirkan keselamatan kaumnya.

وَلَقَد ءآتَينا داوودَ وَسُلَيمٰنَ عِلمًا ۖ وَقالَا الحَمدُ ِللهِ الَّذي فَضَّلَنا عَلىٰ كَثيرٍ مِّن عِبادِهِ المُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We had certainly given to David and Solomon knowledge, and they said, “Praise [is due] to Allāh, who has favored us over many of His believing servants.”

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah memberi ilmu kepada Daud dan Sulaiman; dan keduanya mengucapkan: “Segala puji bagi Allah yang melebihkan kami dari kebanyakan hamba-hambanya yang beriman”.

 

وَلَقَد ءآتَينا داوودَ وَسُلَيمٰنَ عِلمًا

Dan sesungguhnya Kami telah memberi ilmu kepada Daud dan Sulaiman;

Mereka diberikan dengan ilmu kenabian. Iaitu ilmu kefahaman kepada syariat. Yakni nikmat-nikmat yang berlimpah, bakat-bakat yang luar biasa, sifat-sifat yang indah, dan kebahagiaan di dunia dan akhirat, kerajaan, pengaruh yang kuat di dunia, dan kenabian serta risalah agama.

Mereka berdua ini adalah anak beranak. Mereka berdua adalah dua Nabi yang diberi kelebihan keduniaan dan juga akhirat.  Selalunya Nabi-nabi lain tidak dapat kedudukan keduniaan.

 

وَقالَا الحَمدُ ِللهِ الَّذي فَضَّلَنا عَلىٰ كَثيرٍ مِّن عِبادِهِ المُؤمِنينَ

dan keduanya mengucapkan: “Segala puji bagi Allah yang melebihkan kami dari kebanyakan hamba-hambanya yang beriman”.

Mereka berdua bersyukur kepada Allah kerana telah memilih mereka menjadi Nabi dan dipilih daripada sekian banyak orang-orang mukmin yang lain. Ini pengajaran penting bagi kita: bersyukur atas nikmat yang Allah telah berikan.

Ini menunjukkan betapa mereka tidaklah sombong dengan pemilihan terhadap mereka itu tetapi mereka berdua amat-amat bersyukur kerana kita sebagai manusia tidak layak untuk mendapat apa-apa daripada Allah dan jikalau Allah ada memberikan apa-apa kepada kita, maka itu adalah nikmat yang amat besar. Dan hendaklah kita bersyukur kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya.

Jadi jikalau kita sekarang ini berada di dalam kumpulan yang sedang menegakkan agama Allah, mungkin kita buka madrasah, mungkin kita mengajar, mungkin kita buka pusat Tahfiz dan sebagainya, janganlah kita berbangga dengan kebolehan kita itu kerana kita mesti ingat yang kita sebenarnya telah dipilih oleh Allah dan itu adalah satu nikmat sebenarnya.

Jangan kita rasa hebat sangat kerana kita sebar agama dan ajar agama. Ingatlah daripada ramai manusia yang beriman Allah telah pilih untuk kita menjadi pembantuNya untuk menegakkan agamaNya.

Ayat ini juga adalah perli kepada Musyrikin Mekah yang telah diberikan dengan kelebihan sebagai penjaga Kaabah tetapi mereka tidak bersyukur dan bangga diri dan sombong dengan pemberian Allah itu. Mereka tidak mengambil peluang dengan kedudukan mereka itu untuk melakukan perubahan yang baik dalam agama.


 

Naml Ayat 16:

وَوَرِثَ سُلَيمٰنُ داوودَ ۖ وَقالَ يٰأَيُّهَا النّاسُ عُلِّمنا مَنطِقَ الطَّيرِ وَأوتينا مِن كُلِّ شَيءٍ ۖ إِنَّ هٰذا لَهُوَ الفَضلُ المُبينُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Solomon inherited David. He said, “O people, we have been taught the language of birds, and we have been given from all things. Indeed, this is evident bounty.”

(MELAYU)

Dan Sulaiman telah mewarisi Daud, dan dia berkata: “Hai Manusia, kami telah diberi pengertian tentang suara burung dan kami diberi segala sesuatu. Sesungguhnya (semua) ini benar-benar suatu kurnia yang nyata”.

 

وَوَرِثَ سُلَيمٰنُ داوودَ

Dan Sulaiman telah mewarisi Daud,

Nabi Sulaiman adalah anak kepada Nabi Daud dan baginda telah mewarisi banyak perkara daripada Nabi Daud seperti ilmu wahyu dan pemerintahan kerajaan. Yakni mewarisi kerajaan dan kenabiannya, bukan mewarisi hartanya.

Kerana seandainya Nabi Sulaiman mewarisi harta Nabi Daud, tentulah tidak hanya khusus Nabi Sulaiman sahaja yang mewarisinya, melainkan anak-anak Nabi Daud yang lainnya pun ikut mewarisinya, kerana Nabi Daud mempunyai seratus orang isteri. Hal ini menguatkan bahawa yang diwarisinya hanyalah kerajaan dan kenabiannya saja, kerana sesungguhnya para nabi itu tidak diwarisi hartanya, seperti yang diberitakan oleh Rasulullah Saw. melalui salah satu sabdanya yang mengatakan:

نَحْنُ مَعْشَرَ الْأَنْبِيَاءِ لَا نُوَرَّثُ، مَا تَرَكْنَاهُ صَدَقَةٌ

Kami para nabi, tidak diwarisi; semua yang kami tinggalkan adalah sedekah.

 

وَقالَ يٰأَيُّهَا النّاسُ عُلِّمنا مَنطِقَ الطَّيرِ

dan dia berkata: “Hai Manusia, kami telah diberi pengertian tentang suara burung 

Baginda telah diberikan dengan kelebihan untuk bercakap dengan burung. Akan tetapi bagaimanakah caranya dan kenapakah diberi kelebihan bercakap dengan burung itu dan banyak lagi soalan yang mungkin timbul, tidak dapat dijawab kerana semua ini adalah di dalam kebijaksanaan Allah Ta’ala untuk memberikannya kepada baginda.

Dalam ayat ini disebut yang Nabi Sulaiman ‘diajar’ bahasa burung. Maknanya, burung itu bahasa mereka sendiri. Dan bahasa ini boleh dipelajari. Zaman ini sudah dapat dikenalpasti sedikit bahasa burung. Puak Asli di Amerika telah lama belajar bahasa burung untuk mereka tahu kedudukan manusia lain dan binatang lain. Ini kerana burung bercakap sesama mereka dan ada maklumat yang boleh didapati dari mereka. Al-Qur’an telah menyebut perkara ini 1,400 tahun dahulu. Ini adalah kerana Al-Qur’an adalah mukjizat.

 

وَأوتينا مِن كُلِّ شَيءٍ

dan kami diberi segala sesuatu.

Dan ada banyak lagi kelebihan-kelebihan dan nikmat yang telah diberikan kepada Nabi Sulaiman. Baginda diberi dengan setiap sesuatu yang penting yang melengkapkan kerajaan dunianya. Bukanlah diberi ‘semua’ tapi apa yang perlu sahaja.

 

إِنَّ هٰذا لَهُوَ الفَضلُ المُبينُ

Sesungguhnya (semua) ini benar-benar suatu kurnia yang nyata”.

Baginda sedar bahawa apa yang diberikan kepada baginda itu bukanlah kerana baginda dan kerana itu baginda menghargainya sebagai satu pemberian yang besar daripada Allah Taala. Inilah sifat kesyukuran dan merendah diri yang kena ada pada diri kita.


 

Naml Ayat 17:

وَحُشِرَ لِسُلَيمٰنَ جُنودُهُ مِنَ الجِنِّ وَالإِنسِ وَالطَّيرِ فَهُم يوزَعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And gathered for Solomon were his soldiers of the jinn and men and birds, and they were [marching] in rows

(MELAYU)

Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tenteranya dari jin, manusia dan burung lalu mereka itu diatur dengan tertib (dalam barisan).

 

وَحُشِرَ لِسُلَيمٰنَ جُنودُهُ مِنَ الجِنِّ وَالإِنسِ وَالطَّيرِ

Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tenteranya dari jin, manusia dan burung

Nabi Sulaiman telah diberikan dengan tentera dari golongan jin, manusia dan juga burung-burung. Ada tiga sekali golongan. Begitu hebat sekali pemberian yang telah diberikan kepada baginda. Tidak ada manusia lain yang ada diberikan dengan kelebihan ini lagi. Kalau sebelum baginda tidak pernah, selepas baginda pun tidak akan ada lagi.

Kerana itu tidak ada manusia lain yang boleh menguasai jin kerana itu adalah kelebihan Nabi Sulaiman sahaja. Jadi kalau ada bomoh atau ustaz (yang pakai nama ustaz tapi sebenarnya bomoh) boleh menguasai jin, itu adalah karut sahaja.

 

فَهُم يوزَعونَ

lalu mereka itu diatur dengan tertib (dalam barisan).

Mereka semua itu dikumpulkan untuk baginda dan berdiri dalam barisan mengikut golongan masing-masing. Iaitu dipecahkan mengikut batalion.

Ini kerana kalimah awza’a bermaksud dipecahkan mengikut kumpulan-kumpulan tertentu. Maksudnya ada kumpulan manusia, kumpulan burung dan kumpulan jin; dan di dalam kumpulan manusia itu pula dipecahkan lagi mengikut pangkat masing-masing dan tugas masing-masing. Begitu juga ada pembahagian dalam kumpulan jin dan dan burung.


 

Naml Ayat 18: Tentera itu telah bergerak.

حَتّىٰ إِذا أَتَوا عَلىٰ وادِ النَّملِ قالَت نَملَةٌ يٰأَيُّهَا النَّملُ ادخُلوا مَسٰكِنَكُم لا يَحطِمَنَّكُم سُلَيمٰنُ وَجُنودُهُ وَهُم لا يَشعُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Until, when they came upon the valley of the ants, an ant said, “O ants, enter your dwellings that you not be crushed by Solomon and his soldiers while they perceive not.”

(MELAYU)

Hingga apabila mereka sampai di lembah semut berkatalah seekor semut: Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari”;

 

حَتّىٰ إِذا أَتَوا عَلىٰ وادِ النَّملِ

Hingga apabila mereka sampai di lembah semut 

Tentera Nabi Sulaiman itu telah bergerak pergi dan mereka sedang melalui kawasan yang ada banyak busut-busut semut. Kawasan itu disebut dalam ayat ini sebagai ‘Lembah Semut’ kerana banyak penempatan semut di situ. Tidak perlu dicari di manakah Lembah Semut ini.

 

قالَت نَملَةٌ يٰأَيُّهَا النَّملُ ادخُلوا مَسٰكِنَكُم

berkatalah seekor semut: Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, 

Seekor ‘semut betina’ bercakap (kerana kalimah قالَت yang digunakan) dan memberi arahan kepada rakyat semut semua dan ini maklumat hebat kerana apabila kita kaji tentang kehidupan semut, ketua mereka adalah Permaisuri Semut (betina). Dan dalam Al-Qur’an sendiri telah digunakan indikasi kepada perkara itu. Kerana semut itu menggunakan nahu perempuan (قالت) dan ta marbootah (نملة) yang menunjukkan ia betina.

Dan kenapa semut-semut itu kena  masuk ke dalam sarang? Ini kerana mereka tidak ada sayap. Kalau mereka ada sayap, mereka boleh terbang sahaja. Jadi kerana mereka tidak ada sayap, maka mereka kena lari masuk dalam rumah-rumah mereka.

Ini adalah kerana semut yang betina tidak ada sayap. Semut pekerja semuanya betina dan mereka tidak ada sayap. Semut yang ada sayap hanyalah semut jantan. Dan ada juga semut jantan yang tidak ada sayap, tapi mereka tidak keluar dari sarang mereka. Ini adalah maklumat kajian moden tapi Allah sudah gunakan penggunaan nahu yang tepat. Ini adalah dalil bahawa Al-Qur’an ini dari Allah. Takkan Nabi Muhammad tahu perkara ini, jadi bukanlah baginda yang tulis Al-Qur’an. Ini boleh dibaca di sini: http://www.miracles-of-quran.com/ants.htm

Lihat betapa hebatnya Allah menceritakan tentang semut yang halus itu dan bagaimana kata-kata dan perbualan mereka. Walaupun mereka itu halus tapi Allah tahu apa yang mereka kata. Dan Allah sampaikan kepada kita.

 

لا يَحطِمَنَّكُم سُلَيمٰنُ وَجُنودُهُ

agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, 

Arahan Permaisuri Semut: Masuklah kamu ke dalam rumah-rumah kamu supaya kamu tidak dipecahkan oleh tentera Sulaiman. Kerana tentera Sulaiman itu amat besar sekali.

Penemuan baru zoologi mendapati bahawa ada jenis sebut yang ada lapisan kulit yang dibaluti oleh lapisan kristal. Ia seperti perisai bagi mereka. Tapi ia boleh dipecahkan seperti gelas seperti kalau dipijak. Jadi kalimah حطِمَ bermaksud pecah seperti kaca atau kristal yang pecah. Jadi ini adalah salah satu lagi mukjizat Al-Qur’an yang membuktikan ia adalah dari Allah, bukan dari manusia.

 

وَهُم لا يَشعُرونَ

sedangkan mereka tidak menyedari”;

Sedangkan tentera Sulaiman itu tidak menyedari kerana semut itu kecil sahaja. Bukanlah niat tentera itu untuk memusnahkan busut-busut semut itu. Tapi sebab kecil sangat, mereka tentu tidak perasan.

Ayat ini mengajar kita yang semut itu ada akal sebenarnya dan mereka kenal siapakah Nabi Sulaiman dan tentera baginda dan mereka ada sistem pemerintahan dan juga sistem pemberitahuan maklumat kepada golongan mereka.

Selepas ini apabila kita melihat kepada semut-semut yang berkeliaran di rumah dan di luar rumah kita, maka kita sudah tahu bahawa mereka itu adalah makhluk yang ada akal rupanya.

Akan tetapi ini bukanlah ayat untuk dibaca untuk halau semut. Tidak ada kena mengena. Ini salah faham manusia yang tidak belajar tafsir. Semua ayat mereka nak pakai sebagai azimat. Padahal semut pun tak faham apa yang kita bacakan kepada mereka. Kalau nak halau semut, pakai umpan dan cara-cara yang sesuai (jangan guna api).

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 13 Julai 2023


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Naml Ayat 8 – 13 (Mukjizat Nabi Musa)

Ayat 8: Sambungan kisah Nabi Musa semasa di Bukit Thur.

فَلَمّا جاءَها نودِيَ أَن بورِكَ مَن فِي النّارِ وَمَن حَولَها وَسُبحٰنَ اللهِ رَبِّ العٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But when he came to it, he was called, “Blessed is whoever is at the fire and whoever is around it. And exalted is Allāh, Lord of the worlds.

(MELAYU)

Maka apabila dia tiba di (tempat) api itu, diserulah dia: “Bahawa telah diberkati orang-orang yang berada di dekat api itu, dan orang-orang yang berada di sekitarnya. Dan Maha Suci Allah, Tuhan semesta alam”.

 

فَلَمّا جاءَها نودِيَ

Maka apabila dia tiba di (tempat) api itu, diserulah dia:

Apabila Nabi Musa nampak api dari kejauhan, maka baginda telah pergi ke arah api setelah meninggalkan ahli keluarga baginda. Setelah sampai, baginda telah mendengar suara yang memanggil baginda.

Yang memanggil baginda itu adalah Allah SWT.

 

أَن بورِكَ مَن فِي النّارِ

“Bahawa telah diberkati orang-orang yang berada di dekat api itu, 

Ini adalah ayat mutashabihat. Kita tidak dapat nak tafsir dengan panjang lebar. Tidak boleh digambarkan keadaan bagaimana Allah berkata-kata dengan Musa.

Apabila Nabi Musa sampai kepada suara yang memanggilnya, ada api yang besar di situ. Ini adalah hijab antara Allah dan Nabi Musa. Kita tidak tahu apakah kepentingan api ini dan kita cuma boleh anggap yang ini adalah sebagai hijab antara Allah dan Nabi Musa.

Setelah Nabi Musa sampai ke tempat api itu, ia melihat pemandangan yang sangat menakjubkan lagi sangat hebat. Api itu menyala di sebuah pohon yang hijau; semakin besar api itu menyala, maka semakin hijau pula pohon tersebut. Kemudian Musa mengangkat pandangannya ke atas, dan ternyata baginda melihat bahawa cahaya api itu menembus langit.

Ibnu Abbas dan lain-lainnya mengatakan bahawa cahaya itu bukanlah nyala api, melainkan cahaya yang berkilauan. Menurut riwayat lain dari Ibnu Abbas, itu adalah nur (cahaya) Tuhan semesta alam. Maka Musa terpana melihat pemandangan yang disaksikannya itu.

Maksud diberkati itu, telah diberi keberkatan kepada para malaikat yang berada dekat dengan api itu.

Dan diberkati juga orang yang berada dekat dengan api itu waktu itu iaitu Nabi Musa.

 

وَمَن حَولَها

dan orang-orang yang berada di sekitarnya.

Api itu tidak membakar sekeliling. Walaupun sepatutnya api itu panas, tapi ini adalah api berkat. Allah boleh jadikan api itu membakar dan Allah boleh jadikan supaya api tidak membakar. Begitulah Allah pernah lakukan terhadap Nabi Ibrahim juga.

 

وَسُبحٰنَ اللهِ رَبِّ العٰلَمينَ

Dan Maha Suci Allah, Tuhan semesta alam”.

Allah bertasbih memuji DiriNya. Ini menidakkan api itu sebagai Allah pula. Ini adalah cara bagaimana Allah berkomunikasi dengan Nabi Musa. Macam kita berkomunikasi dengan telefon. Bukanlah kita jadi telefon pula. Jadi jangan kata Allah itu adalah api, kerana takkan begitu. Maka Allah menyucikan DiriNya dari salah faham yang sebegitu. Tidak layak Allah disamakan dengan api pula.

Ada muqaddar di dalam ayat ini: iaitu ada suruhan untuk bertasbih iaitu sucikanlah Allah dari sifat yang menyerupai makhluk.

Maka kita tidak boleh menyamakan perbicaraan Allah dengan Nabi Musa ini seperti percakapan antara makhluk dan makhluk dan kerana itu ada Tasbih di dalam ayat ini.


 

Ayat 9: Allah memperkenalkan DiriNya kepada Nabi Musa.

يٰموسىٰ إِنَّهُ أَنَا اللهُ العَزيزُ الحَكيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O Moses, indeed it is I – Allāh, the Exalted in Might, the Wise.”

(MELAYU)

(Allah berfirman): “Hai Musa, sesungguhnya, Akulah Allah, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

Dalam Nabi Musa terkejut apabila tiba-tiba mendengar suara itu, maka Allah memberitahu yang berkata-kata itu adalah Allah sendiri. Maka jangan takut. Nabi Musa telah kenal Allah tapi tidak pernah menerima wahyu dan tentunya tidak pernah bercakap dengan Allah.

Allah sambung dua SifatNya (العَزيزُ dan الحَكيمُ) di dalam ayat ini sebagaimana yang telah banyak kali diulang-ulang di dalam surah sebelum ini. Dan di dalam surah ini akan diperjelaskan lagi tentang sifat kebijaksanaan Allah.


 

Ayat 10:

وَأَلقِ عَصاكَ ۚ فَلَمّا رَءآها تَهتَزُّ كَأَنَّها جانٌّ وَلّىٰ مُدبِرًا وَلَم يُعَقِّب ۚ يٰموسىٰ لا تَخَف إِنّي لا يَخافُ لَدَيَّ المُرسَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [he was told], “Throw down your staff.” But when he saw it writhing as if it were a snake, he turned in flight and did not return.1 [Allāh said], “O Moses, fear not. Indeed, in My presence the messengers do not fear.

  • Or “did not look back.”

(MELAYU)

dan lemparkanlah tongkatmu”. Maka tatkala (tongkat itu menjadi ular dan) Musa melihatnya bergerak-gerak seperti dia seekor ular yang lincah, larilah dia berbalik ke belakang tanpa menoleh. “Hai Musa, janganlah kamu takut. Sesungguhnya orang yang dijadikan Rasul, tidak takut di hadapan-Ku.

 

وَأَلقِ عَصاكَ

dan lemparkanlah tongkatmu”.

Dalam Surah Taha ada disebut percakapan Allah yang lain, tetapi dalam ayat ini, terus disebut arahan Allah kepada Nabi Musa untuk melemparkan tongkat yang di tangan kanannya.

 

فَلَمّا رَءآها تَهتَزُّ كَأَنَّها جانٌّ وَلّىٰ مُدبِرًا وَلَم يُعَقِّب

Maka tatkala Musa melihatnya bergerak-gerak seperti ia seekor ular yang tangkas, larilah baginda berbalik ke belakang tanpa menoleh.

Ini adalah apabila Nabi Musa melihat tongkatnya itu bergetar-getar selepas dilontar. Digunakan kalimah  جانٌّ ini untuk merujuk kepada ular itu kerana memang ada jin yang boleh menjelma menjadi ular.

Kalimah جانٌّ juga boleh bermaksud tongkat itu sudah bermula untuk hidup. Al-Jan adalah sejenis ular yang banyak bergerak dan cepat gerakannya. Di dalam sebuah hadith telah disebutkan bahawa Nabi Saw. melarang membunuh ular-ular yang ada di rumah-rumah di Madinah kerana dikhuatiri bukan ular sesungguhnya, melainkan jadi-jadian dari jin.

Jadi kalimah جانٌّ ini merujuk kepada ular tetapi ular yang jenis kecil. Dalam ayat lain digunakan kalimah yang merujuk kepada ular yang besar pula. Jadi kenapa ular di dalam ayat ini dikatakan ular yang kecil pula?

Digunakan kalimah yang menunjukkan ular itu kecil kerana dinisbahkan kepada sifatnya yang bergerak laju. Ular itu adalah ular yang sama sahaja tetapi ianya besar. Tetapi walaupun ianya besar, ia bergerak laju seperti ular yang kecil dan ini amat menakutkan kerana selalunya ular yang besar bergerak perlahan sahaja seperti ular sawa. Bayangkan ular sawa tapi bergerak laju macam ular lidi?

Oleh kerana takut melihat kejadian itu maka Musa berpaling dan melarikan diri dan tidak mahu kembali.

 

يٰموسىٰ لا تَخَف

“Hai Musa, janganlah kamu takut.

Allah memanggil Nabi Musa dan menyuruh Nabi Musa jangan takut.

 

إِنّي لا يَخافُ لَدَيَّ المُرسَلونَ

Sesungguhnya orang yang dijadikan Rasul, tidak takut di hadapan-Ku.

Allah memberitahu yang mereka yang dipilih untuk menjadi RasulNya tidak takut jikalau Allah ada bersama. Allah hendak menenangkan Nabi Musa.


 

Ayat 11:

إِلّا مَن ظَلَمَ ثُمَّ بَدَّلَ حُسنًا بَعدَ سوءٍ فَإِنّي غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Otherwise, he who wrongs, then substitutes good after evil – indeed, I am Forgiving and Merciful.

(MELAYU)

tetapi orang yang berlaku zalim, kemudian ditukarnya kezalimannya dengan kebaikan (Allah akan mengampuninya); maka sesungguhnya Aku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

إِلّا مَن ظَلَمَ ثُمَّ بَدَّلَ حُسنًا بَعدَ سوءٍ

tetapi orang yang berlaku zalim, kemudian ditukarnya kezalimannya dengan kebaikan

Orang-orang yang melakukan kesalahan terhadap Allah maka mereka yang sebegitulah yang sepatutnya takut kepada Allah bukannya para Rasul seperti Nabi Musa.

Mereka kena takut kerana perasaan takut ini penting kerana jikalau seseorang itu takut, maka mereka akan berhati-hati di dalam perbuatan mereka dan kerana takut itu juga akan menyebabkan mereka meminta ampun kepada Allah; dan kerana mereka takut maka Allah akan ampunkan. Iaitu mereka meminta ampun dalam keadaan takut.

 

فَإِنّي غَفورٌ رَّحيمٌ

maka sesungguhnya Aku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Tetapi kepada mereka yang bertaubat dan menggantikan kesalahan mereka itu dengan perkara baik maka ketahuilah yang Allah Maha Pengampun. Maka kenalah ubah perangai dan kembali kepada Allah. Tidak kira berapa banyak dosa pun Allah sanggup ampunkan.


 

Ayat 12: Mukjizat yang kedua.

وَأَدخِل يَدَكَ في جَيبِكَ تَخرُج بَيضاءَ مِن غَيرِ سوءٍ ۖ في تِسعِ ءآيٰتٍ إِلىٰ فِرعَونَ وَقَومِهِ ۚ إِنَّهُم كانوا قَومًا فٰسِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And put your hand into the opening of your garment [at the breast]; it will come out white without disease. [These are] among the nine signs [you will take] to Pharaoh and his people. Indeed, they have been a people defiantly disobedient.”

(MELAYU)

Dan masukkanlah tanganmu ke leher bajumu, nescaya ia akan ke luar putih (bersinar) bukan kerana penyakit. (Kedua mukjizat ini) termasuk sembilan buah mukjizat (yang akan dikemukakan) kepada Fir’aun dan kaumnya. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik”.

 

وَأَدخِل يَدَكَ في جَيبِكَ

Dan masukkanlah tanganmu ke leher bajumu,

Mungkin yang dimaksudkan adalah masukkan tangan ke dalam poket baju baginda. Tapi poket zaman dulu bukan kecil macam sekarang kerana ianya adalah bukaan yang besar.

Dan ia juga boleh bermaksud ketiak juga. Maka ia boleh bermaksud arahan kepada Nabi Musa untuk masukkan tangan baginda ke celah ketiak.

 

تَخرُج بَيضاءَ مِن غَيرِ سوءٍ

nescaya ia akan ke luar putih (bersinar) bukan kerana penyakit. 

Baginda disuruh untuk memasukkan tangannya ke dalam ketiak baginda dan apabila baginda mengeluarkannya ia berwarna putih tanpa keburukan. Maknanya putih bercahaya, bukanlah kerana penyakit.

 

في تِسعِ ءآيٰتٍ إِلىٰ فِرعَونَ وَقَومِهِ

(Kedua mukjizat ini) termasuk sembilan buah mukjizat (yang akan dikemukakan) kepada Fir’aun dan kaumnya. 

Ada muqaddar di dalam ayat ini iaitu Allah memberitahu kepada Nabi Musa yang Dia mengutus Nabi Musa bersama dengan sembilan mukjizat.

Dua mukjizat ini (tongkat dan tangan bercahaya) adalah sebahagian daripada sembilan mukjizat yang akan ditunjukkan kepada Firaun dan kaumnya. Kesembilan mukjizat inilah yang disebutkan oleh Allah Swt. dalam firman-Nya:

{وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى تِسْعَ آيَاتٍ بَيِّنَاتٍ}

Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Musa sembilan buah mukjizat yang nyata. (Al-Isra’: 101)

 

إِنَّهُم كانوا قَومًا فٰسِقينَ

Sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik”.

Pergi bawa mesej dan mukjizat itu kepada Firaun dan kaumnya dan beri dakwah kepada mereka kerana mereka telah lama zalim. Mereka telah lama lupakan Tuhan dan menjadikan Firaun pula sebagai tuhan. Dan mereka juga telah lama menzalimi Bani Israil kerana mereka telah memperhambakan keseluruhan Bani Israil.


 

Ayat 13:

فَلَمّا جاءَتهُم آيٰتُنا مُبصِرَةً قالوا هٰذا سِحرٌ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But when there came to them Our visible signs, they said, “This is obvious magic.”

(MELAYU)

Maka tatkala mukjizat-mukjizat Kami yang jelas itu sampai kepada mereka, berkatalah mereka: “Ini adalah sihir yang nyata”.

 

فَلَمّا جاءَتهُم آيٰتُنا مُبصِرَةً

Maka tatkala mukjizat-mukjizat Kami yang jelas itu sampai kepada mereka,

Kisah ini diberikan dengan ringkas kerana kisah yang panjang telah disebut di dalam surah yang lain. Allah terus sebut apakah tindakbalas Firaun dan pengikutnya setelah ditunjukkan dengan segala mukjizat itu.

Mereka telah ditunjukkan dengan mukjizat yang jelas dan boleh dilihat dan sepatutnya memberi pengajaran kepada mereka.

 

قالوا هٰذا سِحرٌ مُّبينٌ

berkatalah mereka: “Ini adalah sihir yang nyata”.

Cuma terus disebut apakah konklusi mereka terhadap mukjizat yang ditunjukkan oleh Nabi Musa iaitu mereka kata yang itu semua adalah hanya sihir. Mereka kata Nabi Musa tukang sihir sahaja, bukan Rasul.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 7 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Naml Ayat 1 – 7 (Nabi Musa nampak api)

Pengenalan 

Beza antara surah ini dan surah sebelum ini adalah surah ini mengandungi berita-berita baik dan surah sebelum ini mengandungi banyak sekali ancaman.

Surah Naml ini terbahagi kepada dua bahagian:

Bahagian pertama dari ayat 1 hingga ayat 66. Allah adakan beberapa kisah di dalam bahagian pertama ini. Kisah yang pertama adalah kisah Nabi Sulaiman untuk sabitkan ilmu Allah yang sempurna.

Kisah Nabi Luth dan Nabi Saleh adalah untuk mensabitkan qudrat Allah yang sempurna.

Bahagian kedua surah ini dari ayat 67 hingga akhir. Allah berikan dalil-dalil dan kesimpulan surah ini.

Dakwa surah ini ialah: Hanya Allah sahaja yang mempunyai berkat yang sempurna dan kudrat yang sempurna. Juga Allah sahaja yang mempunyai ilmu yang sempurna.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 8 perenggan makro. Perenggan Makro Pertama adalah dari ayat ini sehingga ke ayat 6. Ia mengajar kita yang Al-Qur’an membawa khabar dari Allah. Tetapi hanya orang beriman sahaja mendapat manfaat sedangkan orang kafir bersikap tidak peduli kerana lalai leka dengan kehidupan dunia.

طس ۚ تِلكَ ءآيٰتُ القُرءآنِ وَكِتابٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

An-Naml: The Ants.

Ṭā, Seen.1 These are the verses of the Qur’ān [i.e., recitation] and a clear Book

  • See footnote to 2:1.

(MELAYU)

Thaa Siin (Surat) ini adalah ayat-ayat Al Qur’an, dan (ayat-ayat) Kitab yang menjelaskan,

 

طس

Thaa Siin

Ayat ini dinamakan ayat muqatta’ah. Penerangan tentangnya telah banyak disebut dalam ayat-ayat yang lain.

 

تِلكَ ءآيٰتُ القُرءآنِ

ini adalah ayat-ayat Al Qur’an,

Allah menarik perhatian hamba kepada Al-Qur’an yang mulia ini.

 

وَكِتابٍ مُّبينٍ

dan Kitab yang menjelaskan,

Huruf و  dalam kalimah وَكِتابٍ dinamakan ‘waw bayaniah’. Ianya sambungan kepada potongan ayat sebelum ini untuk menjelaskan lagi. Kalau dalam bahasa kita, ia digunakan begini: ie. Allah hendak memberitahu bahawa Al-Qur’an ini memberi penjelasan. Jadi Allah ada gunakan kalimah Al-Qur’an dan juga kalimah ‘kitab’ di dalam ayat ini dan apakah perbezaan antara keduanya?

Al-Qur’an adalah sesuatu yang dibaca dengan kuat dan tidak semestinya ada dalam bentuk buku. Ini berbeza dengan kalimah ’tilawah’ kerana tilawah bermaksud kita membaca sesuatu yang ada di hadapan kita. Jadi Al-Qur’an itu bermaksud sesuatu yang dibaca dengan nyata dan juga bermaksud ianya diperdengarkan kepada orang lain. Beginilah yang dialami oleh umat Islam yang awal kerana asalnya mereka mendengar Al-Qur’an itu dan bukannya mereka membaca dari mushaf atau kitab. Mereka mendengar terus dari Nabi Muhammad.

Sedangkan kalimah ‘kitab’  bermaksud ‘sesuatu yang ditulis’. Jadi ada kepentingan yang hendak disampaikan apabila kedua-dua kalimah ini digunakan di dalam ayat ini. Oleh itu kita tahu bahawa Al-Qur’an itu dibacakan kepada orang ramai. Akan tetapi dari manakah ia datang? Allah beritahu yang ianya datang daripada ‘kitab’ di lauh mahfuz. Jadi lafaz ‘kitab’ yang dimaksudkan adalah kitab di Lauh Mahfuz.

Dan ia juga bermaksud kisah yang ada di dalam Al-Quran ini juga ada terdapat di dalam kitab-kitab wahyu yang dahulu.

Dan apabila digunakan kalimah ‘mubeen’ ia bermaksud dalil-dalil yang ada di dalam surah ini adalah Dalil Naqli. Itu sebab ada banyak kisah-kisah dalam surah ini.


 

Ayat 2: Apakah sifat Al-Qur’an itu.

هُدًى وَبُشرىٰ لِلمُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

As guidance and good tidings for the believers

(MELAYU)

untuk menjadi petunjuk dan berita gembira untuk orang-orang yang beriman,

 

Al-Qur’an ini mengandungi petunjuk yang boleh memimpin manusia dalam kehidupan dunia hingga membawa ke akhirat. Ianya bukan untuk kepentingan dunia sahaja tapi dunia dan akhirat. Maka kenalah kita belajar untuk memahaminya setakat yang kita mampu.

Dan akan diberikan berita gembira kepada mereka yang sanggup mengambil pengajaran dan peringatan yang ada di dalam Al-Qur’an ini.

Kalau surah sebelum ini mengandungi banyak ancaman di dalamnya tetapi di awal surah ini menyebut tentang berita gembira dan ini memberi isyarat yang surah ini banyak mengandungi berita-berita yang menggembirakan. Begitulah Allah akan seimbangkan antara peringatan dan juga ancaman.

Al-Qur’an ini diberikan untuk semua manusia tetapi mereka yang dapat mengambil pengajaran darinya adalah orang-orang mukmin sahaja. Maka kalau tak belajar tafsir Al-Qur’an, tak termasuk golongan mukmin lah. Maka kenalah belajar.


 

Ayat 3: Siapakah yang akan mendapat berita gembira itu? Apakah sifat orang-orang mukmin itu?

الَّذينَ يُقيمونَ الصَّلوٰةَ وَيُؤتونَ الزَّكوٰةَ وَهُم بِالآخِرَةِ هُم يوقِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who establish prayer and give zakāh, and of the Hereafter they are certain [in faith].

(MELAYU)

(iaitu) orang-orang yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan mereka yakin akan adanya negeri akhirat.

 

الَّذينَ يُقيمونَ الصَّلوٰةَ

orang-orang yang mendirikan sembahyang

Sifat pertama orang mukmin itu mereka akan menjaga solat mereka. Banyak ayat-ayat tentang kepentingan solat telah disebut. Ianya adalah pembeza antara orang mukmin dan yang tidak.

Bukan ibadat solat sahaja yang mereka jaga tapi banyak lagi ibadat lain. Disebut solat sebagai mewakili ibadat-ibadat yang lain.

 

وَيُؤتونَ الزَّكوٰةَ

dan menunaikan zakat

Dan keduanya, orang Mukmin itu mengeluarkan zakat. Ini mewakili ibadat yang berkenaan hubungan dengan makhluk yang lain. Kalau solat berkenaan ibadat antara Allah dan hamba, maka zakat mewakili ibadat antara hamba dan hamba Allah yang lain.

 

بِالآخِرَةِ هُم يوقِنونَ

dan mereka yakin akan adanya negeri akhirat.

Dan mereka beriman sungguh dengan akhirat. Mereka yakin ada kiamat dan kebangkitan semula. Mereka takut kepada hari itu dan kerana itu mereka jaga amalan mereka dan mereka buat persediaan untuk menghadapinya.

Inilah amalan dan perbuatan golongan-golongan yang layak menerima berita gembira yang akan disebutkan di dalam surah ini.

Dengan akhirat, kita kena ‘yakin’. Ada beza antara ‘iman’ dan ‘yakin’. Iman itu percaya sahaja tetapi yakin bermaksud kepercayaan yang telah dipastikan dengan bukti. Dan apabila Allah menyebut tentang hari akhirat, Allah gunakan kalimah ‘yakin’ dan bukannya menggunakan kalimah ‘iman’.

Jadi Allah sebut sifat mereka tentang akhirat bagaimana mereka itu benar-benar yakin dan bukan setakat beriman sahaja yang akhirat itu benar-benar akan terjadi. Bagaimana dapat yakin itu? Iaitu dengan selalu membaca ayat-ayat Al-Qur’an tentang akhirat.

Manusia memerlukan motivasi untuk melakukan sesuatu dan syurga dan neraka itu adalah motivasi yang diberikan kepada manusia untuk melakukan kebaikan dunia ini.

Mungkin ada manusia yang kata mereka itu memang telah baik dan tidak memerlukan motivasi sebegitu. Oleh kerana itu ada yang tidak suka dengan fahaman yang kalau kita buat baik akan dibalas dengan syurga dan kalau buat jahat akan dibalas dengan neraka kerana mereka kata mereka sudah ada iman yang tinggi. Seperti kata orang sufi: syurga dan neraka ini adalah seperti gula-gula dan kayu untuk menakutkan manusia untuk melakukan sesuatu dan meninggalkan sesuatu; dan jikalau telah dewasa takkan memerlukan gula-gula lagi? Jadi mereka kata kalau beribadat kerana mahu syurga dan takut neraka, ibadat itu tidak ikhlas. Benarkah begitu?

Dari satu segi hujah yang mereka berikan itu ada kebenarannya kerana orang yang ada iman yang tinggi tidak memerlukan perkara-perkara sebegitu. Mereka beramal bukan lagi kerana mahu kepada syurga dan takutkan neraka. Ini kerana mereka sudah ada kesedaran yang tinggi. Ini seperti mana juga dalam dunia ini ada orang yang tidak akan langgar lampu merah kerana mereka tahu yang itu adalah perkara yang tidak patut dilakukan. Mereka tidak perlu ditakutkan dengan saman dari JPJ.

Akan tetapi bolehkah kita menolak dan menghilangkan undang-undang dunia seperti lampu merah dan sebagainya dengan berharap yang semua manusia ada iman yang tinggi itu? Kalau itulah yang kita lakukan maka akan rosaklah dunia ini kerana ramai manusia yang tidak ada moral yang tinggi pun.

Dan dalam masa yang sama memang ada manusia yang mempunyai akhlak dan moral yang tinggi yang tidak memerlukan undang-undang untuk memastikan mereka melakukan perkara yang baik. Dan di dalam hal keagamaan ada manusia Muslim dan mukmin yang melakukan ibadah mereka hanya kerana mencari redha Allah Ta’ala sahaja dan bukan kerana mahukan Syurga dan takutkan neraka. Akan tetapi ada juga mereka yang masih lemah iman yang memerlukan motivasi diberikan kepada mereka dalam bentuk syurga dan neraka.

Maka kita kena sedar yang ada dua peringkat manusia di dalam dunia ini iaitu ada yang memerlukan motivasi dan ancaman buruk kepada mereka barulah mereka akan buat kebaikan dan meninggalkan keburukan; dan dalam masa yang sama ada manusia yang tidak memerlukan semua itu. Jadi ada manusia yang maqamnya tinggi dan ada yang maqamnya rendah lagi. Dan Al-Qur’an ini bukan untuk satu golongan sahaja tetapi ianya diberikan kepada kedua-dua golongan itu.

Maka janganlah tinggalkan langsung ayat-ayat tentang syurga dan mereka. Ada manusia yang imannya memerlukan peningkatan lagi dan mereka masih pada peringkat rendah lagi. Maka kepada mereka kena ditakutkan dengan neraka dan diberi motivasi dengan syurga. Kena mulakan dari bawah, bukan? Takkan tiba-tiba sudah peringkat atas?


 

Ayat 4: Ayat zajrun dan takhwif ukhrawi.

إِنَّ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ زَيَّنّا لَهُم أَعمٰلَهُم فَهُم يَعمَهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, for those who do not believe in the Hereafter, We have made pleasing to them their deeds, so they wander blindly.

(MELAYU)

Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada negeri akhirat, Kami jadikan mereka memandang indah perbuatan-perbuatan mereka, maka mereka bergelimang (dalam kesesatan).

 

إِنَّ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ

Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada negeri akhirat,

Keimanan dan keyakinan kepada Hari Akhirat adalah amat penting. Kalau ada iman kepada akhirat, maka amal yang dilakukan ada ‘roh’. Amalan yang dilakukan lebih bermakna.

Tapi kalau tidak beriman dan tidak yakin adanya hari akhirat, maka manusia akan buat apa sahaja yang mereka hendak. Kerana mereka tidak takut balasan akhirat itu.

Malangnya ramai yang tidak percaya dengan hari akhirat. Kalau orang kafir dan bukan Muslim, ada yang tidak percaya langsung kepada Kiamat dan Hari Akhirat. Malangnya, yang Muslim pun ramai yang tidak yakin. Kerana amalan dan perbuatan mereka tidak menggambarkan yang mereka takut dengan akhirat. Kalau ditegur, ada yang kata: “yang engkau sibuk ni kenapa? Kubur kan lain-lain?”

 

زَيَّنّا لَهُم أَعمٰلَهُم

Kami jadikan mereka memandang indah perbuatan-perbuatan mereka,

Begitu pentingnya kepercayaan tentang akhirat ini kerana jikalau tidak percaya kepada akhirat maka manusia akan rosak kerana mereka tidak nampak yang amalan mereka itu buruk kerana ianya dipersembahkan kepada mereka nampak seperti baik sahaja.

Allah yang akan memperlihatkan kepada mereka yang amalan-amalan mereka itu dipandang baik tetapi sebenarnya tidak baik. Ini adalah kerana mereka sendiri tidak ada hubungan dengan akhirat.

 

فَهُم يَعمَهونَ

maka mereka bergelimang 

Mereka seolah-olah jalan meraba-raba kerana telah buta hati mereka. Mereka sudah tidak boleh membezakan mana yang baik dan mana yang buruk walaupun mata mereka celik. Kerana mata fizikal mereka celik, tapi mata hati mereka tidak celik.


 

Ayat 5:

أُولٰئِكَ الَّذينَ لَهُم سوءُ العَذابِ وَهُم فِي الآخِرَةِ هُمُ الأَخسَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those are the ones for whom there will be the worst of punishment, and in the Hereafter they are the greatest losers.

(MELAYU)

Mereka itulah orang-orang yang mendapat (di dunia) azab yang buruk dan mereka di akhirat adalah orang-orang yang paling merugi.

 

أُولٰئِكَ الَّذينَ لَهُم سوءُ العَذابِ

Mereka itulah orang-orang yang mendapat (di dunia) azab yang buruk

Mereka akan mendapat azab yang buruk di alam barzah.

 

وَهُم فِي الآخِرَةِ هُمُ الأَخسَرونَ

dan mereka di akhirat adalah orang-orang yang paling merugi.

Dan ini pula apabila di akhirat kelak. Mereka ini menjadi orang yang paling-paling rugi. Kerana mereka akan berada di dalam azab yang kekal abadi.


 

Ayat 6: Ayat tasliyah

وَإِنَّكَ لَتُلَقَّى القُرءآنَ مِن لَّدُن حَكيمٍ عَليمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, [O Muḥammad], you receive the Qur’ān from one Wise and Knowing.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya kamu benar-benar diberi Al Qur’an dari sisi (Allah) Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

 

Nabi mendapat Al-Qur’an dengan cara talaqqi iaitu baginda menerima Al-Qur’an dari Jibrail. Dari Allah disampaikan kepada Jibrail dan disampaikan kepada Nabi Muhammad.

Talaqqi bermaksud belajar dalam masa yang lama. Asalnya bermaksud ‘jumpa’. Bermaksud pembelajaran yang konsisten. Kerana itu talaqqi maksudnya belajar dengan guru dan menadah kitab di hadapan guru. Pembelajaran ini mengambil masa yang lama kerana kena tekun. Dan inilah cara pembelajaran yang terbaik.

Sedaya upaya kita kena dapatkan pembelajaran dengan cara ini. Ada keberkatan kalau belajar di hadapan guru. Pembacaan seperti yang kita lakukan ini sebagai penambah sahaja, bukanlah sebagai ganti kepada pembelajaran talaqqi itu.

Talaqqi dalam ayat ini juga bermaksud selalu bertemu dengan ayat Al-Qur’an itu. Iaitu dengan selalu membacanya. Apabila selalu membaca dan menekuni Al-Qur’an, maka akhirnya ia akan masuk ke dalam hati manusia itu. Kerana itu kita tekankan kena selalu baca Al-Qur’an setiap hari.

Ayat ini juga bermaksud yang Nabi Muhammad mendapat pengajaran Qur’an itu daripada Allah sendiri. Allah yang berikan pemahaman Al-Qur’an terus kepada baginda.

Lihat bagaimana Allah susun ayat ini dengan menyebut حَكيمٍ sebelum عَليمٍ sedangkan di dalam kebanyakan ayat-ayat yang lain, Allah akan sebut عَليمٍ dulu baru sebab حَكيمٍ. Ini adalah kerana Allah hendak menekankan bahawa kita hendaklah banyak melihat kebijaksanaan Allah di dalam surah ini. Kerana kadang-kadang ada perkara yang Allah akan sebut di dalam surah ini yang kita tidak dapat faham guna akal kita dan kita kena serahkan perkara itu kepada kebijaksanaan Allah iaitu Allah lakukan kerana Allah Maha Bijaksana.


 

Ayat 7: Dari ayat ini sehingga ke ayat 14 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia mengandungi cerita Nabi Musa dikurniakan mukjizat sebagai senjata untuk bertemu Firaun dan kaumnya. Ia mengajar kita yang hati orang ingkar mengakui kebenaran tetapi mereka tetap menolaknya kerana sombong.

Allah ingatkan kepada Nabi Muhammad yang bukan baginda sahaja yang mula-mula menerima pengajaran wahyu daripada Allah, tetapi ada lagi Rasul-rasul yang lain. Dan sekarang Allah mengingatkan tentang pengajaran kepada Nabi Musa.

Jadi ini adalah kisah yang pertama dalam surah ini. Kisah yang pertama ini berkenaan dengan kesempurnaan ilmu Ilahi.

إِذ قالَ موسىٰ لِأَهلِهِ إِنّي ءآنَستُ نارًا سَآتيكُم مِّنها بِخَبَرٍ أَو ءآتِيكُم بِشِهابٍ قَبَسٍ لَّعَلَّكُم تَصطَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Mention] when Moses said to his family, “Indeed, I have perceived a fire. I will bring you from there information or will bring you a burning torch that you may warm yourselves.”

(MELAYU)

(Ingatlah) ketika Musa berkata kepada keluarganya: “Sesungguhnya aku melihat api. Aku kelak akan membawa kepadamu khabar daripadanya, atau aku membawa kepadamu suluh api supaya kamu dapat berdiang”.

 

إِذ قالَ موسىٰ لِأَهلِهِ

(Ingatlah) ketika Musa berkata kepada keluarganya:

Ini adalah perancangan Allah bagaimana Dia hendak memberi ilmu wahyu kepada Nabi Musa dimana baginda dikeluarkan daripada Negeri Mesir dan melalui kehidupan di tempat lain (Madyan). Dan kemudian baginda bermusafir keluar meninggalkan Madyan dan waktu itulah baginda diberikan wahyu. Kejadian ini berlaku di Bukit Thur. Waktu itu baginda sedang bermusafir dengan keluarganya meninggalkan Madyan dan mereka sesat di dalam perjalanan.

Ini semua di dalam perancangan Allah. Allah boleh sahaja memberi wahyu itu semasa baginda tinggal bersama dengan Firaun atau semasa di Madyan, tetapi Allah tidak pilih begitu tetapi memilih cara lain. Kita tidak pasti kenapa kerana semua ini adalah di dalam kebijaksanaan Allah. Tahulah Allah buat kerja Dia. Ada perkara kita dapat fikirkan hikmahnya dan ada perkara kita kena terima sahaja.

Kisah ini telah pernah disebut di dalam Surah Taha dan Allah memberi maklumat baru di dalam surah ini. Kalau kita lihat filem pun, kadang-kadang kisah yang sama diulang di waktu lain dengan diberikan maklumat baru. Maka kita kena tambah segala maklumat-maklumat itu untuk menjadikan satu maklumat yang lengkap.

 

إِنّي ءآنَستُ نارًا

“Sesungguhnya aku melihat api. 

Kalimah ءانس bermaksud cuba mencapai konklusi kepada sesuatu dengan tanda-tanda yang ada. Jadi mungkin Nabi Musa nampak seperti ada kesan-kesan api di kejauhan. Jadi baginda buat konklusi ada api atau ada orang.

Dalam Surah Taha, bahasa yang digunakan adalah لعلّ – mungkin. Tapi ada kepastian dalam bahasa yang baginda gunakan dalam ayat ini. Oleh kerana itu ini memberi isyarat yang baginda hendak memberi keyakinan kepada ahli keluarga baginda dalam keadaan waktu itu.

Kali pertama baginda menyebut di dalam Surah Taha itu baginda tidak berapa yakin dan dalam surah ini baginda menyebut dengan cara yakin untuk memberi keyakinan kepada mereka. Kerana mungkin setelah sekian lama ahli keluarganya sudah mula rasa risau dan takut. Jadi tidaklah ada percanggahan dalam dua surah itu kerana baginda menyebut dua kali.

 

سَآتيكُم مِّنها بِخَبَرٍ

Aku kelak akan membawa kepadamu khabar daripadanya, 

Baginda hendak pergi kepada tempat yang nampak api itu kerana mungkin ada orang-orang lain yang berada di situ. Kalau ada api, tentu selalunya ada orang juga. Ini kerana baginda hendak mendapatkan maklumat tentang jalan-jalan yang patut mereka lalui selepas itu.

 

أَو ءآتِيكُم بِشِهابٍ قَبَسٍ لَّعَلَّكُم تَصطَلونَ

atau aku membawa kepadamu suluh api supaya kamu dapat berdiang”.

Atau sekurang-kurangnya baginda akan bawakan kayu yang ada api kepada ahli keluarganya itu. Mudah-mudahan dengan api itu mereka boleh memanaskan badan. Kerana mereka waktu itu di malam hari dan dalam kesejukan. Mereka amat memerlukan api waktu itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 7 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Asy-Shu’araa Ayat 218 – 227 (Teguran kepada para penyanyi)

Ayat 218: Ayat sebelum ini menyuruh kita bertawakal kepada Allah. Kenapa kena tawakal kepada Allah? Apakah sifat Allah itu?

الَّذي يَرٰىكَ حينَ تَقومُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who sees you when you arise¹

  • From your bed at night for prayer while you are alone.

(MELAYU)

Yang melihat kamu ketika kamu berdiri (untuk sembahyang),

 

Allah melihat Nabi Muhammad dan juga kita ketika kita bangun solat malam. Ayat ini memberi isyarat kepada kebaikan mengerjakan solat malam kerana Allah nampak baginda yang mengerjakan solat malam walaupun orang lain tidak nampak.

Maka jalankanlah solat malam ini dengan ikhlas. Bukan kerana nak manusia melihat kita, tapi yang penting Allah yang lihat kita. Solat malam ini mahal harganya kerana kita solat di masa orang lain tidak nampak. Jadi kadar keikhlasannya tinggi. Cuma janganlah cerita pula kepada orang lain esoknya (“uhhh, penat pulak badan aku ni… lambat solat Tahajjud semalam!”)


 

Ayat 219:

وَتَقَلُّبَكَ فِي السّٰجِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And your movement among those who prostrate.¹

  • i.e., among those who pray with you in congregation.

(MELAYU)

dan (melihat pula) perubahan gerak badanmu di antara orang-orang yang sujud.

 

Apabila Nabi sudah qiyamullail, baginda akan berjalan di malam hari untuk tengok para sahabat baginda. Kerana baginda suka untuk tengok mereka mengerjakan solat malam. Baginda suka kerana baginda nak mereka berkembang. Maka perbuatan baginda itu Allah kata Dia tahu.

Juga bermaksud baginda boleh nampak kelebihan nampak para sahabat yang solat di belakang baginda dalam solat jemaah. Kerana itu ada hadith yang menyebut baginda tegur para sahabat selepas solat jikalau mereka melakukan kesilapan atau kesalahan dalam solat. Hal ini telah disebutkan oleh sebuah hadis sahih yang mengatakan:

“سَوّوا صُفُوفَكُمْ؛ فَإِنِّي أَرَاكُمْ مِنْ وَرَاءِ ظَهْرِي”

Luruskanlah saf kalian, kerana sesungguhnya aku dapat melihat kalian dari arah belakangku.


 

Ayat 220:

إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ العَليمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, He is the Hearing, the Knowing.

(MELAYU)

Sesungguhnya Dia adalah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

 

Allah maha mengetahui segala perkara. Bukan sahaja perbuatan Nabi, perbuatan sahabat sahaja, tapi segala-galanya. Ini seperti disebut dalam ayat yang lain:

{وَمَا تَكُونُ فِي شَأْنٍ وَمَا تَتْلُو مِنْهُ مِنْ قُرْآنٍ وَلا تَعْمَلُونَ مِنْ عَمَلٍ إِلا كُنَّا عَلَيْكُمْ شُهُودًا إِذْ تُفِيضُونَ فِيهِ}

Kamu tidak berada dalam suatu keadaan dan tidak membaca suatu ayat dari Al-Qur’an dan kalian tidak mengerjakan suatu pekerjaan, melainkan Kami menjadi saksi atas kalian di waktu kalian melakukannya. (Yunus: 61), hingga akhir ayat.


 

Ayat 221: Sekarang disebut pula bagaimana orang-orang yang didatangi dengan syaitan untuk bisik kepada mereka.

هَل أُنَبِّئُكُم عَلىٰ مَن تَنَزَّلُ الشَّيٰطينُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Shall I inform you upon whom the devils descend?

(MELAYU)

Apakah akan Aku beritakan kepadamu, kepada siapa syaitan-syaitan itu turun?

 

Syaitan-syaitan itu ada juga turun kepada kawan-kawan mereka dari kalangan manusia. Iaitu yang puja mereka dan ambil maklumat dari mereka. Sesungguhnya syaitan tidak mempunyai keinginan terhadap hal-hal yang seperti Al-Qur’an. Kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya membisikkan kedustaan kepada orang-orang yang sealiran dan sependapat dengan mereka dari kalangan tukang-tukang tenung (ramal) yang pendusta.


 

Ayat 222:

تَنَزَّلُ عَلىٰ كُلِّ أَفّاكٍ أَثيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They descend upon every sinful liar.

(MELAYU)

Mereka turun kepada tiap-tiap pendusta lagi yang banyak dosa,

 

Para syaitan itu akan pergi kepada mereka yang banyak melakukan dosa. Dan syaitan akan terus menipu mereka.

Kalimah أَفّاكٍ bermaksud mereka yang melakukan syirik.

Kalimah أَثيمٍ pula bermaksud mereka yang buat salah dari segi amal.

Mereka yang buat syirik dan buat dosa itu akan didatangi oleh syaitan untuk mendekati mereka. Maksudnya, pendusta dalam ucapannya lagi banyak dosanya, yakni derhaka dalam semua perbuatannya.

Orang-orang seperti itulah yang selalu didatangi oleh syaitan, iaitu para tukang tenung dan orang-orang yang semisal dengan mereka, tukang dusta lagi penderhaka. Mereka sealiran dengan syaitan, kerana syaitan juga tukang dusta lagi penderhaka.


 

Ayat 223:

يُلقونَ السَّمعَ وَأَكثَرُهُم كٰذِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They pass on what is heard,¹ and most of them are liars.

  • This was before they were prevented, as described in 72:89.

(MELAYU)

mereka menghadapkan pendengaran (kepada syaitan) itu, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang pendusta.

 

Syaitan-syaitan itu akan membisikkan kepada manusia. Memang ada bisikan syaitan kepada manusia. Jadi kalau dengar bisikan syaitan memang bahaya.

Syaitan itu ada juga yang mendapat berita daripada langit maka mereka akan memberitahu kepada para tilik nasib dan menipu mereka. Mereka ini dinamakan kaahin. Dan mereka pula akan menyampaikan apa yang mereka dapat dari syaitan itu kepada manusia lain pula.

Yakni syaitan-syaitan itu mencuri-curi dengar dari berita langit, dan satu kalimat yang mereka dengar tentang ilmu ghaib, lalu mereka menambah dengan seratus kedustaan. Setelah itu mereka sampaikan kepada pendukung-pendukung mereka dari kalangan manusia.

Selanjut­nya manusia yang kedatangan syaitan itu akan menceritakan berita tersebut kepada orang lain, dan banyak orang yang percaya kepada berita yang dicuri dari langit ini mengingat sesuai dengan kenyataannya. Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

مِنْ حَدِيثِ الزُّهْرِيِّ: أَخْبَرَنِي يَحْيَى بْنُ عُروَةَ بْنِ الزُّبَيْرِ، أَنَّهُ سَمِعَ عُرْوَةَ بْنَ الزُّبَيْرِ يَقُولُ: قَالَتْ عَائِشَةُ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا: سَأَلَ نَاسٌ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الْكُهَّانِ، فَقَالَ: “إِنَّهُمْ لَيْسُوا بِشَيْءٍ”. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، فَإِنَّهُمْ يُحَدِّثُونَ بِالشَّيْءِ يَكُونُ حَقًّا؟ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “تِلْكَ الْكَلِمَةُ مِنَ الْحَقِّ يَخْطِفُهَا الْجِنِّيُّ، فَيُقَرقرِها فِي أُذُنِ وَلَيِّهِ كقَرْقَرة الدَّجَاجَةِ، فَيَخْلِطُونَ مَعَهَا أَكْثَرَ مِنْ مَائِةِ كَذِبَةٍ”

melalui Az-Zuhri disebutkan, telah menceritakan kepadaku Yahya ibnu Urwah ibnuz Zubair; dia pernah mendengar Urwah ibnuz Zubair menceritakan hadis berikut, bahawa Siti Aisyah pernah menceritakan bahawa ada segolongan orang bertanya kepada Nabi Saw. tentang ahli tenung, maka baginda Saw. menjawab, “Sesungguhnya para tukang tenung itu tidak benar sama sekali.” Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya mereka menceritakan sesuatu yang sesuai dengan kejadiannya yang terkemudian.” Nabi Saw. menjawab: Itu berasal dari berita yang benar yang dicuri oleh jin, lalu ia bisikkan ke telinga kekasihnya bagaikan suara kokokan ayam jantan, dan ia mencampuradukkannya dengan seratus kali dusta lebih.


 

Ayat 224: Sekarang disebut kalimah syu’araa iaitu nama surah ini.

وَالشُّعَراءُ يَتَّبِعُهُمُ الغاوونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the poets – [only] the deviators follow them;

(MELAYU)

Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat.

 

Surah ini seperti juga surah-surah pendek yang lain, memang sedap dibaca dan didengar dan ada mirip kepada syair. Kerana ia pendek dan ada ritma.

Ini adalah nama surah ini dimana Allah menyebut tentang para penyair. Para penyair itu adalah orang yang dihormati dan dijadikan sebagai tempat rujukan orang-orang Mekah pada zaman itu. Mereka juga menjadi penghibur kepada masyarakat Mekah waktu itu. Kalau zaman sekarang, mereka itulah golongan artis.

Bukan itu sahaja, mereka juga adalah orang-orang yang terpelajar dan golongan elit kepada masyarakat itu. Jadi para penyair ini berpengaruh dan merekalah yang menguasai fikiran masyarakat Arab waktu itu.

Ada tafsir yang menyebut ‘penyair’ yang dimaksudkan adalah golongan penyanyi. Mereka akan diikuti oleh golongan yang sesat dan lemah akalnya.

Para penyair itu memerlukan orang yang mendengar kata-kata dan syair mereka kerana mereka memerlukan wang daripada orang yang mendengar dan menyanjung mereka. Oleh itu mereka memerlukan ramai yang mendengar mereka kerana semakin ramai yang mendengar, maka semakin banyaklah upah yang mereka dapat. Kalau tidak ramai penonton, maka para penyair itu tidak akan terus bersyair di khalayak itu dan mereka akan cari tempat lain. Buang masa mereka sahaja untuk terus berdendang di situ, bukan?

Allah hendak membandingkan para penyair itu dengan Rasulullah; kerana Rasulullah tidak banyak yang mahu mendengar apa yang baginda mahu sampaikan, tetapi baginda tetap juga berdakwah kepada manusia. Tidaklah macam penyair itu yang kalau tidak ada yang mendengar, mereka akan terus angkat kaki.

Tidaklah patut Nabi Muhammad dikatakan sebagai penyair pula. Ini jelas dalam ayat yang lain:

{وَمَا عَلَّمْنَاهُ الشِّعْرَ وَمَا يَنْبَغِي لَهُ إِنْ هُوَ إِلا ذِكْرٌ وَقُرْآنٌ مُبِينٌ}

Dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya (Muhammad) dan bersyair itu tidaklah layak baginya; Al-Qur’an itu tidak lain hanyalah pelajaran dan kitab yang memberi penerangan. (Yaasin: 69)

Dan yang kedua, Allah hendak membandingkan Rasulullah dengan para penyair kerana Rasulullah tidak mengharapkan kepada upah seperti para penyair itu; dan di dalam banyak ayat-ayat sebelum ini telah disebut banyak kali bagaimana para Rasul itu tidak mengharap upah daripada umat mereka dalam menyampaikan ajaran wahyu.

Lalu bagaimana pula ada hujah dan tuduhan yang mengatakan Rasulullah itu seorang penyair sedangkan baginda tidak mengharap kepada dua perkara itu (penonton dan upah)?

Dan firman Allah Swt yang lain:

{إِنَّهُ لَقَوْلُ رَسُولٍ كَرِيمٍ. وَمَا هُوَ بِقَوْلِ شَاعِرٍ قَلِيلا مَا تُؤْمِنُونَ. وَلا بِقَوْلِ كَاهِنٍ قَلِيلا مَا تَذَكَّرُونَ. تَنزيلٌ مِنْ رَبِّ الْعَالَمِينَ}

Sesungguhnya Al-Qur’an itu adalah benar-benar wahyu (Allah yang diturunkan kepada) Rasul yang mulia, dan Al-Qur’an itu bukanlah perkataan seorang penyair. Sedikit sekali kalian beriman kepadanya. Dan bukan pula perkataan tukang tenung. Sedikit sekali kalian mengambil pelajaran darinya. Ia adalah wahyu yang diturunkan dari Tuhan semesta alam. (Al-Haqqah:40-43)

Jadi ayat ini menolak hujah tuduhan yang mengatakan Rasulullah hendak menguasai minda mereka dan hendak mendapatkan wang upah dari mereka sahaja, kerana baginda memang tidak minta pun dua perkara ini.

Dan para penyair di zaman Mekah itu diikuti oleh mereka yang sesat dan jikalau zaman sekarang ini kita kena bandingkan dengan orang-orang yang di dalam industri hiburan. Ini kerana mereka ini menjadi idola dan menjadi ikutan kepada manusia yang lemah akalnya.

Kalau kita tengok bagaimana terkinja-kinjanya manusia apabila melihat para artis dan penyanyi itu memang amat menyedihkan sekali. Kita pun tahu mereka itu bukanlah orang agama, bukan orang yang pentingkan akhirat, bukan? Tapi mereka itulah yang menjadi pujaan ramai orang dan industri yang berbillion ringgit.

Jadi Allah hendak memberitahu dalam surah ini tentang para pengikut penyair itu dan para pemuja para artis kerana mereka itu orang yang teruk. Mereka itu tidak ada tujuan hidup dan fikiran mereka dipenuhi dengan kisah -kisah para artis dan cita-cita mereka hanyalah untuk bertemu dengan artis kesayangan mereka itu. Kalau jumpa para artis itu di khalayak ramai, ada yang pengsan pun ada. Selalunya mereka akan terjerit-jerit, bukan?


 

Ayat 225: Apakah yang dilakukan oleh para penyair itu?

أَلَم تَرَ أَنَّهُم في كُلِّ وادٍ يَهيمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do you not see that in every valley they roam¹

  • Speaking lies indiscriminately and praising and disparaging others according to whim.

(MELAYU)

Tidakkah kamu melihat bahawasanya mereka mengembara di tiap-tiap lembah,

 

Sekarang Allah memberitakan tentang para penyair dan pengikut mereka. Apa yang mereka lakukan untuk mendapat penonton dan upah? Mereka akan pergi ke merata tempat. ‘Lembah’ itu bermaksud setiap perhimpunan. Bila ada tempat orang ramai, di situlah mereka akan pergi.

Dan kalimah يَهيمونَ dari ه ي م  yang bermaksud berjalan tanpa arah tujuan, pening kerana dahaga dan juga boleh dikatakan mabuk. Ini memberi isyarat yang para penyair itu mereka mabuk dalam khayalan mereka.

Mereka pergi ke merata-rata tempat untuk mencari penonton. Dan mereka akan berusaha untuk menarik minat penonton dan jika persembahan mereka tidak mendapat sambutan, maka mereka akan ubah persembahan mereka; kerana yang penting mereka kena dapatkan minat sebanyak mungkin masyarakat. Maka mereka akan ikut selera masyarakat.

Dan kadangkala apabila mereka rasa yang nama mereka sudah mula tenggelam maka mereka akan lakukan perkara yang bodoh untuk mendapat publisiti. Tidak kisahlah sama ada ianya adalah publisiti murahan seperti botakkan kepada mereka dan sebagainya. Asalkan nama mereka naik balik dan orang baca tentang mereka. Mereka sanggup buat perkara-perkara bodoh asalkan mereka mendapat tempat di dada akhbar dan media.

Kenapa disebut ‘lembah’ dalam ayat ini? Kerana lembah itu berada di bawah dan di dalam ayat ini ia memberi isyarat bagaimana mereka itu sanggup merendahkan dan memalukan diri mereka asalkan mereka mendapat tempat fikiran masyarakat.

Dan lembah adalah tempat yang bahaya kerana kita tidak tahu apa yang ada di dalam lembah itu, maka Allah memberi isyarat bagaimana mereka sanggup membahayakan diri mereka. Asalkan dapat makan, agama tolak ke tepi dahulu.

Para penyair zaman itu juga boleh bermaksud para pemikir yang memberi komen sesuatu perkara supaya diikuti oleh masyarakat. Kalau zaman sekarang mereka ini adalah ahli falsafah yang sekejap mengatakan tentang ini dan sekejap lagi mengatakan tentang itu.

Apabila digunakan terma ‘lembah’ maka Allah hendak memberi isyarat bagaimana mereka itu boleh tenggelam di dalam pemikiran mereka yang tanpa kawalan itu sampai mereka mencapai fahaman yang salah dan membahayakan. Kerana mereka fikir pakai akal sahaja dan tidak dipandu oleh wahyu.

Allah menyebut tentang penyair ini supaya kita juga bandingkan dengan sifat Rasulullah s.a.w.  Para penyair itu sentiasa mengubah persembahan mereka dan fikiran mereka kerana mereka hendak menjadi ikutan kerana kalau benda yang sama sahaja, maka masyarakat akan bosan.

Tapi lihatlah dengan para Rasul itu yang sentiasa saja memperkatakan perkara yang sama dari mula sampai akhir tidak berubah-ubah. Bukan sahaja seorang Rasul itu tidak berubah kata-kata tetapi para rasul zaman berzaman juga tidak berubah kata-kata mereka kerana sama sahaja ajaran tauhid kepada setiap Rasul.

Kerana itu kalau kita lihat ayat dari surah ini Allah mengulang-ulang persamaan setiap Rasul itu untuk menekankan bahawa para Rasul tidak berubah ajaran mereka dan tidak sama seperti para penyair.

Para Rasul sama sekali tidak sama seperti para penyair yang hendak menghiburkan masyarakat sahaja kerana para Rasul bukanlah tugas mereka untuk menghiburkan masyarakat tetapi tugas mereka adalah untuk memberi ajaran dan peringatan kepada manusia.

Begitu juga para ustaz dan ulama adalah untuk mengajar masyarakat. Bukannya bawa kisah-kisah para wali, kisah dongeng, kisah lawak, kisah karut marut. Malangnya ramai ustaz yang sebegini sekarang ini. Mereka hidup kerana ramai manusia macam itu – terhibur dan senang terbuai dengan kisah-kisah.


 

Ayat 226:

وَأَنَّهُم يَقولونَ ما لا يَفعَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And that they say what they do not do? –

(MELAYU)

dan bahawasanya mereka suka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak mengerjakan(nya)?

 

Dan para penyair itu sentiasa sahaja bercakap dan melakukan perkara yang berlainan dengan apa yang mereka kata.

Mereka cuma bersyair dan menyanyikan perkara-perkara yang mereka sendiri tidak lakukan. Begitulah kalau kita lihat lirik-lirik lagu para penyanyi sekarang memang karut sahaja – aku tunggu di pintu syurga… aku renangi lautan api… aku berikan engkau bulan… dan macam-macam lagi.


 

Ayat 227: Ini pula adalah pengecualian kepada para penyair.

إِلَّا الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ وَذَكَرُوا اللهَ كَثيرًا وَانتَصَروا مِن بَعدِ ما ظُلِموا ۗ وَسَيَعلَمُ الَّذينَ ظَلَموا أَيَّ مُنقَلَبٍ يَنقَلِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Except those [poets] who believe and do righteous deeds and remember Allāh often and defend [the Muslims]¹ after they were wronged. And those who have wronged are going to know to what [kind of] return they will be returned.

  • By replying through poetry to the attacks of hostile poets.

(MELAYU)

kecuali orang-orang (penyair-penyair) yang beriman dan beramal saleh dan banyak menyebut Allah dan mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman. Dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali.

 

إِلَّا الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

kecuali orang-orang (penyair-penyair) yang beriman dan beramal saleh

Tetapi bukanlah semua penyair itu sesat dan kufur belaka. Ada di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka ini adalah orang-orang yang tua yang terpelajar dalam masyarakat. Mereka ini adalah para pemikir. Kita telah belajar dalam Surah Taha bagaimana para ahli sihir menerima ajaran Nabi Musa.

Kerana ahli-ahli sihir itu tahu yang mukjizat yang Nabi Musa lakukan itu bukanlah sihir tapi mukjizat. Maka mereka telah beriman dengan rela. Maka para penyair zaman Nabi itu adalah mereka yang sedar bahawa ayat-ayat Al-Qur’an yang dibacakan oleh Rasulullah itu bukanlah syair kerana mereka kenal apakah syair itu. Ayat-ayat Al-Qur’an yang Nabi baca itu adalah Kalam Allah dan mereka dari awal lagi sudah kenal.

قَالَ مُحَمَّدُ بْنُ إِسْحَاقَ، عَنْ يَزِيدَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ قُسَيْط، عَنْ أَبِي الْحَسَنِ سَالِمٍ البَرّاد -مَوْلَى تَمِيمٍ الدَّارِيِّ -قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ: {وَالشُّعَرَاءُ يَتَّبِعُهُمُ الْغَاوُونَ} ، جَاءَ حسان بن ثابت، وعبد الله بن رَوَاحة، وَكَعْبُ بْنُ مَالِكٍ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَهُمْ يَبْكُونَ فَقَالُوا: قَدْ عَلِمَ اللَّهُ حِينَ أَنْزَلَ هَذِهِ الْآيَةَ أَنَّا شُعَرَاءُ. فَتَلَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: {إِلا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ} قَالَ: “أَنْتُمْ”، {وَذَكَرُوا اللَّهَ كَثِيرًا} قَالَ: “أَنْتُمْ”، {وَانْتَصَرُوا مِنْ بَعْدِ مَا ظُلِمُوا} قَالَ: “أَنْتُمْ”.

Muhammad ibnu Ishaq telah meriwayatkan dari Yazid ibnu Abdullah ibnu Qasit, dari Abul Hasan Salim Al-Barrad ibnu Abdullah maula Tamim Ad-Dari yang telah menceritakan bahawa ketika ayat ini diturunkan, iaitu firman Allah Swt.: Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat. (Asy-Syu’ara’:224) datanglah Hassan ibnu Sabit, Abdullah ibnu Rawwahah dan Ka’b ibnu Malik kepada Rasulullah Saw. seraya menangis, lalu mereka berkata, “Allah telah mengetahui ketika menurunkan ayat ini, bahawa kami adalah para penyair.” Maka Nabi Saw. membaca ayat ini, yaitu firman-Nya: kecuali orang-orang (penyair-penyair) yang beriman dan beramal saleh. (Asy-Syu’ara’: 227) Nabi Saw. bersabda, “Seperti kalian ini.dan banyak menyebut Allah. (Asy-Syu’ara’: 227) Nabi Saw. bersabda, “Seperti kalian ini.” dan mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman. (Asy-Syu’ara’: 227) Nabi Saw. bersabda, “Seperti kalian ini.” Diriwayatkan oleh Ibnu Abu Hatim dan Ibnu Jarir dari Ibnu Ishaq.

 

وَذَكَرُوا اللهَ كَثيرًا

dan banyak mengingati Allah

Oleh itu jikalau mereka jujur maka mereka akan beriman dan apabila mereka beriman maka mereka menjadi orang yang kuat imannya. Mereka akan menjadi orang yang sentiasa ingat kepada Allah.

Menurut suatu pendapat, makna yang dimaksudkan ialah banyak menyebut nama Allah dalam pembicaraan mereka. Menurut pendapat yang lainnya lagi, menyebut nama Allah dalam syair mereka; kedua pendapat itu benar, kerana semuanya dapat menghapuskan dosa-dosa mereka yang telah lalu.

 

وَانتَصَروا مِن بَعدِ ما ظُلِموا

dan mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman. 

Dan Allah memberitahu yang mereka itu akan membantu diri mereka apabila mereka dizalimi. Maksudnya mereka akan membalas kezaliman yang dikenakan kepada mereka. Surah ini memang Surah Makiyyah dan waktu itu tidak dibenarkan untuk balas kezaliman yang dikenakan kepada orang mukmin; jadi ayat ini bermaksud memberi isyarat yang orang-orang Islam akan dapat membalas kezaliman itu apabila mereka di Madinah nanti.

Ia juga bermaksud yang Nabi Muhammad ada para penyair baginda yang membalas syair-syair yang memburukkan baginda. Ibnu Abbas mengatakan, bahawa mereka menjawab syair orang-orang kafir yang menghina kaum Muslim dengan syair mereka. Hal yang sama telah dikatakan oleh Mujahid dan Qatadah serta lain-lainnya yang bukan hanya seorang.

Di dalam sebuah hadis sahih disebutkan bahawa Rasulullah Saw. bersabda kepada Hassan ibnu Sabit:

“اهْجُهُمْ -أَوْ قَالَ: هَاجِهِمْ -وَجِبْرِيلُ مَعَكَ”

Balaslah mereka —atau— seranglah syair mereka, dan Jibril akan membantumu.

 

وَسَيَعلَمُ الَّذينَ ظَلَموا أَيَّ مُنقَلَبٍ يَنقَلِبونَ

Dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali.

Allah memberi ancaman yang orang zalim itu akan tahu dan melihat sendiri apakah balasan yang akan dikenakan terhadap mereka nanti. Mereka yang sesat itu akan tahu di manakah tempat tetap mereka.

Allahu a’lam. Tamat tafsir Surah Asy-Shu’araa ini. Sambung ke surah seterusnya, Surah an-Naml.

Kemaskini: 6 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Asy-Shu’araa Ayat 207 – 217 (Mulakan dakwah kepada keluarga terdekat)

Shu’araa Ayat 207: Tidak berguna kepada mereka kalau diberikan masa tangguh pun.

ما أَغنىٰ عَنهُم مّا كانوا يُمَتَّعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They would not be availed by the enjoyment with which they were provided.

(MELAYU)

nescaya tidak berguna bagi mereka apa yang mereka selalu menikmatinya.

 

Sebelum ini telah diberitahu tentang ahli neraka yang minta tangguh. Allah beritahu yang jikalau mereka diberikan dengan masa tangguh pun, mereka tetap juga tidak akan beriman.

Juga bermaksud apabila mereka diberikan dengan azab itu, tidak dapat menyelamatkan mereka dengan segala nikmat yang mereka ada itu. Sama ada kekayaan, kuasa, anak yang ramai atau apa sahaja. Bukan kata selamat, diberi tangguh pun tidak.


 

Shu’araa Ayat 208: Allah tidaklah zalim dalam beri azab itu.

وَما أَهلَكنا مِن قَريَةٍ إِلّا لَها مُنذِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We did not destroy any city except that it had warners

(MELAYU)

Dan Kami tidak membinasakan sesuatu negeri pun, melainkan sesudah ada baginya orang-orang yang memberi peringatan;

 

Allah memberitahu yang Dia tidak pernah menghancurkan sesuatu kaum dan umat itu melainkan kaum itu telah diberikan dengan pemberi peringatan iaitu Rasul atau penyebar tauhid. Mereka telah diberikan dengan berbagai jenis peringatan tetapi mereka sahaja yang tidak mahu mengambil pengajaran.

Tidaklah Allah ini jenis suka nak hancurkan makhluk Dia sahaja. Kerana sebelum ini banyak disebut banyak kaum telah dimusnahkan. Jadi mungkin ada yang terfikir, agaknya Allah ini jenis Tuhan yang pemarah, suka nak hancurkan manusia sahaja.

Jadi Allah jawab: bukannya Dia terus hancurkan, tapi mereka itu semua telah diberi peluang untuk membaiki diri mereka, ikut arahan Rasul, tapi mereka sendiri yang degil. Dan mereka telah sampai kepada tahap hendak menyakiti Rasul mereka, maka kerana itu Allah hancurkan mereka.


 

Shu’araa Ayat 209:

ذِكرىٰ وَما كُنّا ظٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

As a reminder; and never have We been unjust.

(MELAYU)

untuk menjadi peringatan. Dan Kami sekali-kali tidak berlaku zalim.

 

Segala kisah yang telah disampaikan itu adalah sebagai peringatan untuk kita. Kalimah ذِكرىٰ adalah di dalam bentuk mubalaghah yang bermaksud peringatan yang kuat. Kalau kita baca dan kita fahami, tentu ia memberi kesan kepada diri kita. Kita tentu tidak sanggup nak derhaka kepada arahan Allah kerana Allah telah banyak beri peringatan kepada kita.

Allah tidak pernah berlaku zalim walaupun Allah menghancurkan umat manusia kerana Allah telah beri memberi peringatan awal-awal lagi kepada mereka. Semua yang Allah lakukan adalah untuk menegakkan keadilan.


 

Shu’araa Ayat 210: Musyrikin Mekah ada menuduh yang Nabi Muhammad ambil wahyu daripada syaitan. Mana mungkin ini benar kerana pengikut syaitan itu ada cara-caranya dan pengikut Allah itu ada pula cara-caranya. Tidak sama antara keduanya.

وَما تَنَزَّلَت بِهِ الشَّيٰطينُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the devils have not brought it [i.e., the revelation] down.¹

  • As was asserted by the disbelievers. Rather, it was brought by Gabriel, the Trustworthy Spirit.

(MELAYU)

Dan Al Qur’an itu bukanlah dibawa turun oleh syaitan-syaitan.

 

Sebelum ini telah diberitahu yang Al-Qur’an itu dari Allah dan diturunkan oleh Jibrail. Oleh itu, Al-Qur’an tidaklah dibawa oleh syaitan seperti yang dikatakan oleh sesetengah manusia. Kerana ada yang menuduh Al-Qur’an itu adalah bisikan dari syaitan kepada Nabi Muhammad, bukannya dari Tuhan. Sebab itu ada buku yang bertajuk ‘Satanic Verses’.


 

Shu’araa Ayat 211: Tidak mungkin syaitan yang menurunkan Al-Qur’an itu.

وَما يَنبَغي لَهُم وَما يَستَطيعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is not allowable for them, nor would they be able.

(MELAYU)

Dan tidaklah boleh mereka membawa turun Al Qur’an itu, dan mereka pun tidak akan mampu.

 

وَما يَنبَغي لَهُم

Dan tidaklah boleh mereka membawa turun Al Quran itu,

Syaitan tidak layak untuk mengambil Al-Qur’an itu dari langit dan menyampaikannya kepada Nabi Muhammad. Al-Qur’an itu dikawal rapi oleh para malaikat dan jin syaitan tidak berani mengambilnya.

 

وَما يَستَطيعونَ

dan mereka pun tidak akan mampu.

Syaitan tidak akan mampu kerana penurunan Al-Qur’an itu dikawal oleh malaikat. Allah pasti tidak akan membenarkan perkara itu terjadi. Ini disebut dalam ayat yang lain:

{وَأَنَّا لَمَسْنَا السَّمَاءَ فَوَجَدْنَاهَا مُلِئَتْ حَرَسًا شَدِيدًا وَشُهُبًا * وَأَنَّا كُنَّا نَقْعُدُ مِنْهَا مَقَاعِدَ لِلسَّمْعِ فَمَنْ يَسْتَمِعِ الآنَ يَجِدْ لَهُ شِهَابًا رَصَدًا}

Dan sesungguhnya kami telah mencuba mengetahui (rahsia) langit, maka kami mendapatinya penuh dengan penjagaan yang kuat dan panah-panah api, dan sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengar-dengarkan (berita­-beritanya). Tetapi sekarang barang siapa yang (mencuba) mendengar-dengarkan (seperti itu) tentu akan menjumpai panah api yang mengintai (untuk membakarnya). (Al-Jin: 8-9)

Juga bermaksud syaitan tidak mampu untuk mendekati Nabi dan membisikkan ayat-ayat yang bukan dari Al-Qur’an kepada baginda. Mereka tidak mungkin akan dapat menipu baginda.


 

Shu’araa Ayat 212:

إِنَّهُم عَنِ السَّمعِ لَمَعزولونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed they, from [its] hearing, are removed.¹

  • As mentioned in 72:9.

(MELAYU)

Sesungguhnya mereka benar-benar dijauhkan daripada mendengar Al Qur’an itu.

 

Syaitan tidak dibenarkan untuk mencuri-curi dengar pun perbicaraan para malaikat di langit kerana langit-langit itu ada penjaga dari kalangan malaikat yang akan membaling bola api kepada mereka jikalau mereka cuba-cuba untuk mendengar. Ini kerana hendak memastikan yang wahyu yang sampai kepada Nabi Muhammad itu adalah wahyu terus dari Allah.


 

Shu’araa Ayat 213:

فَلا تَدعُ مَعَ اللهِ إِلٰهًا آخَرَ فَتَكونَ مِنَ المُعَذَّبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So do not invoke with Allāh another deity and [thus] be among the punished.

(MELAYU)

Maka janganlah kamu menyeru (menyembah) ilah yang lain di samping Allah, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang diazab.

 

فَلا تَدعُ مَعَ اللهِ إِلٰهًا آخَرَ

Maka janganlah kamu menyeru (menyembah) ilah yang lain di samping Allah,

Jangan menyeru entiti lain bersama-sama dengan seruan kepada Allah kerana perbuatan itu adalah perbuatan syirik. Musyrikin Mekah itu bukannya tidak kenal Allah. Mereka sembah juga Allah dan berdoa kepada Allah. Tapi dalam masa yang sama, mereka seru juga kepada ilah-ilah yang lain. Mereka seru wali, malaikat dan juga jin.

Begitu juga dengan masyarakat Islam sekarang. Mereka kenal Allah tapi dalam doa, ada banyak yang mereka seru selain Allah. Mereka bertawasul kepada Nabi, wali dan malaikat. Ini adalah kerana salah faham dengan Al-Qur’an dan Sunnah. Mereka tidak belajar dengan benar dan kerana itu mereka senang ditipu oleh syaitan.

 

فَتَكونَ مِنَ المُعَذَّبينَ

yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang diazab.

Kalau mereka buat juga, ia akan menyebabkan mereka yang melakukannya dikenakan dengan azab. Kerana Allah amat cemburu jikalau ada yang disembah dan diseru bersama denganNya.


 

Shu’araa Ayat 214:

وَأَنذِر عَشيرَتَكَ الأَقرَبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And warn, [O Muḥammad], your closest kindred.

(MELAYU)

Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat,

 

Kalimah عَشيرَتَ itu dari kalimah ع ش ر yang bermaksud 10 yang membawa isyarat kepada orang-orang yang rapat di kalangan keluarga kita. Maka kita kena cari mereka dan dakwah kepada mereka supaya mereka beriman dan mengamalkan tauhid. Begitulah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad apabila baginda diberi dengan arahan ini.

أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ أُنْزِلَ عَلَيْهِ { وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ } يَا مَعْشَرَ قُرَيْشٍ اشْتَرُوا أَنْفُسَكُمْ مِنْ اللَّهِ لَا أُغْنِي عَنْكُمْ مِنْ اللَّهِ شَيْئًا يَا بَنِي عَبْدِ الْمُطَّلِبِ لَا أُغْنِي عَنْكُمْ مِنْ اللَّهِ شَيْئًا يَا عَبَّاسَ بْنَ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ لَا أُغْنِي عَنْكَ مِنْ اللَّهِ شَيْئًا يَا صَفِيَّةُ عَمَّةَ رَسُولِ اللَّهِ لَا أُغْنِي عَنْكِ مِنْ اللَّهِ شَيْئًا يَا فَاطِمَةُ بِنْتَ رَسُولِ اللَّهِ سَلِينِي بِمَا شِئْتِ لَا أُغْنِي عَنْكِ مِنْ اللَّهِ شَيْئًا

[Abu Hurairah] berkata, “Rasulullah صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ bersabda ketika turun ayat ini kepadanya: ‘(Dan berilah peringatan kepada keluargamu yang dekat) ‘ (Syu’ara`:214). Baginda bersabda: “Wahai sekelompok orang Quraisy, belilah diri kalian dari Allah, aku tidak dapat melindungi kalian dari seksa Allah sedikit pun, wahai bani Abd al-Muththalib, aku tidak dapat melindungi kalian dari seksa Allah sedikit pun, wahai Abbas bin Abd al-Muththalib, aku tidak dapat melindungi kalian dari seksa Allah sedikit pun, wahai Shafiyyah, bibi Rasulullah, aku tidak dapat melindungi kalian dari seksa Allah sedikit pun, wahai Fatimah binti Rasulullah, mintalah kepadaku sesuatu yang kamu kehendaki, aku tidak dapat melindungi kalian dari seksa Allah sedikit pun.”

Sahih Bukhari (305)

Dalam ayat-ayat sebelum ini telah diberitahu bahawa ramai yang tidak akan beriman. Maka Allah suruh kita mulakan dengan mengajar kepada 10 orang di kalangan ahli keluarga kita dahulu. Mulakan dakwah kepada mereka.


 

Shu’araa Ayat 215:

وَاخفِض جَناحَكَ لِمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ المُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And lower your wing [i.e., show kindness] to those who follow you of the believers.

(MELAYU)

dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, iaitu orang-orang yang beriman.

 

Nabi Muhammad disuruh untuk rendahkan diri baginda di hadapan orang-orang yang beriman. Dalam Surah Isra’ sebelum ini telah diberitahu bagaimana seorang anak perlu merendahkan dirinya di hadapan ibu bapa dan sekarang Allah suruh Nabi pun merendahkan diri dengan orang-orang mukmin.

Ini adalah kerana orang-orang mukmin itu adalah rahmat kepada Rasulullah sebagaimana ibu bapa juga adalah rahmat kepada anak-anak. Ini adalah kerana mereka yang beriman itu amat berharga dan hendaklah baginda menghargai mereka. Ini kerana mereka itu rapat dengan baginda dan sentiasa bersama dengan baginda dan membantu baginda dalam dakwah.

Dan apabila Rasulullah merendahkan diri dan berhemah dengan mereka, maka mereka akan menjadi lebih taat dan ikut baginda. Begitulah dengan manusia – apabila pemimpin mereka rapat dan merendahkan diri kepada pengikutnya maka pengikutnya akan lebih sayang lagi kepada mereka. Pengikut akan lebih mudah untuk bantu pemimpin mereka.


 

Shu’araa Ayat 216: Tapi kalau mereka derhaka?

فَإِن عَصَوكَ فَقُل إِنّي بَريءٌ مِّمّا تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if they disobey you, then say, “Indeed, I am disassociated from what you are doing.”

(MELAYU)

Jika mereka menderhakaimu maka katakanlah: “Sesungguhnya aku tidak bertanggungjawab terhadap apa yang kamu kerjakan”;

 

Akan tetapi jikalau ahli keluarga dan juga pengikut-pengikut itu tidak taat kepada baginda, maka baginda dibenarkan untuk berlepas diri dari mereka.

Dalam ayat ini Allah tidak pun mengatakan jikalau mereka ‘kufur’, tetapi Allah kata jikalau mereka ‘menderhakai’ baginda sahaja. Apakah maksud menderhakai Rasulullah di Mekah sedangkan hukum-hukum belum diadakan lagi waktu itu? Jadi apakah tugas umat Islam waktu itu kalau ibadat pun belum ada lagi?

Tugas baginda waktu itu adalah dakwah dan sahabat pun kena dakwah juga. Mereka tidak boleh duduk diam. Maka kalau mereka tidak menjalankan kerja dakwah pun sudah dikira derhaka.


 

Shu’araa Ayat 217:

وَتَوَكَّل عَلَى العَزيزِ الرَّحيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And rely upon the Exalted in Might, the Merciful,

(MELAYU)

Dan bertawakkallah kepada (Allah) Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang,

 

Ini adalah nasihat kepada Nabi. Walaupun baginda ada para pengikut tetapi baginda janganlah bergantung kepada mereka. Baginda diingatkan untuk bergantung kepada Allah. Maka kita pun diingatkan begitu juga. Jangan berharap sangat dengan orang lain kerana mereka itu juga manusia. Tentu ada kekurangan pada mereka. Tapi bergantunglah kepada Allah yang tidak ada kekurangan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 12 Ogos 2023


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir