Tafsir Surah Saba’ Ayat 12 – 14 (Cara Nabi Sulaiman wafat)

Ayat 12: Nabi Sulaiman menerima kerajaan Nabi Daud.

وَلِسُلَيمٰنَ الرّيحَ غُدُوُّها شَهرٌ وَرَواحُها شَهرٌ ۖ وَأَسَلنا لَهُ عَينَ القِطرِ ۖ وَمِنَ الجِنِّ مَن يَعمَلُ بَينَ يَدَيهِ بِإِذنِ رَبِّهِ ۖ وَمَن يَزِغ مِنهُم عَن أَمرِنا نُذِقهُ مِن عَذابِ السَّعيرِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Solomon [We subjected] the wind – its morning [journey was that of] a month – and its afternoon [journey was that of] a month, and We made flow for him a spring of [liquid] copper. And among the jinn were those who worked for him by the permission of his Lord. And whoever deviated among them from Our command – We will make him taste of the punishment of the Blaze.

(MELAYU)

Dan Kami (tundukkan) angin bagi Sulaiman, yang perjalanannya di waktu pagi sama dengan perjalanan sebulan dan perjalanannya di waktu petang sama dengan perjalanan sebulan (pula) dan Kami alirkan cairan tembaga baginya. Dan sebahagian dari jin ada yang bekerja di hadapannya (di bawah kekuasaannya) dengan izin Tuhannya. Dan siapa yang menyimpang di antara mereka dari perintah Kami, Kami rasakan kepadanya azab neraka yang apinya menyala-nyala.

 

وَلِسُلَيمٰنَ الرّيحَ

Dan bagi Sulaiman adalah angin, 

Ada muqaddar dalam ayat ini: Allah tundukkan angin kepada Nabi Sulaiman. Baginda boleh mengawal dan menggunakan angin untuk bawa baginda ke tempat-tempat yang jauh. Ini adalah amat hebat. Baginda sudah menggunakan ‘kenderaan udara’ pada waktu itu. Jadi ini adalah mukjizat baginda.

 

غُدُوُّها شَهرٌ وَرَواحُها شَهرٌ

yang perjalanannya di waktu pagi sama dengan perjalanan sebulan dan perjalanannya di waktu petang sama dengan perjalanan sebulan 

Dengan menggunakan angin itu, baginda dapat bermusafir jauh. Kalimah غُدُوُّها dari katadasar غ د و yang bermaksud bahagian awal pagi. Perjalanan baginda di pagi hari, kalau dibandingkan dengan perjalanan orang lain, bersamaan sebulan perjalanan. Dari segi jaraknya, dalam seribu batu.

Kalimah رَواحُها pula dari katadasar ر و ح yang bermaksud melakukan pekerjaan di waktu petang (selain dari roh). Perjalanan waktu petang bagi Nabi Sulaiman pun sama dengan perjalanan waktu paginya. Dengan bantuan angin, perjalanan baginda amat laju. Jadi pergi balik baginda itu seperti perjalanan dua bulan bagi orang lain.

Jadi dari ayat ini dan ayat sebelum ini, kita dapat tahu yang Nabi Daud diberi kekuasaan tentera dan Nabi Sulaiman diberi kekuasaan perjalanan. Dan kedua-dua perkara ini penting dalam peperangan.

 

وَأَسَلنا لَهُ عَينَ القِطرِ

dan Kami alirkan cairan tembaga baginya.

Dan baginda diberi kelebihan untuk mencairkan tembaga. Dan tembaga itu boleh dicairkan dengan banyak kerana digunakan perkataan mata air (عين) dalam ayat ini. Dan juga kerana kalimah أَسَلنا dari katadasar س ي ل yang bermaksud ‘mengalir’.

Jadi ini adalah mukjizat baginda yang kedua disebut selepas boleh menguasai angin tadi. Dan nanti ada lagi kelebihan pada baginda yang akan disebut.

 

وَمِنَ الجِنِّ مَن يَعمَلُ بَينَ يَدَيهِ بِإِذنِ رَبِّهِ

Dan sebahagian dari jin ada yang bekerja di hadapannya dengan izin Tuhannya.

Dan untuk menguruskan tembaga yang panas itu maka baginda diberikan mukjizat yang ketiga, iaitu dapat mengawal golongan jin yang dijadikan daripada api. Oleh kerana mereka dijadikan dari api, maka tentu mereka boleh berurusan dengan tembaga yang panas itu.

Kebolehan untuk menguasai golongan jin itu adalah daripada keizinan Allah dan bukan kerana dari baginda sendiri. Maka kalau Allah tidak izinkan, baginda tidak ada kuasa apa-apa pun. Maka janganlah puja baginda pula kerana baginda tidak ada kuasa dengan sendiri melainkan diberi oleh Allah taala sahaja.

Dan jangan juga puja Nabi Sulaiman kerana hendak menguasai jin. Ramai yang menggunakan nama Nabi Sulaiman dalam urusan jin. Ada yang kata mereka dapat kuasa Nabi Sulaiman, pedang Nabi Sulaiman, ada yang kata mereka ada surat perjanjian Nabi Sulaiman dengan jin, dan entah apa lagi perkara mengarut rekaan manusia dan syaitan.

Allah menceritakan ayat ini pertama kalinya kepada Musyrikin Mekah yang sangka berhala-berhala dan ilah-ilah mereka itu ada kuasa. Maka Allah mengingatkan mereka dan memberitahu kepada mereka tentang kuasa-kuasa yang diberikanNya kepada para RasulNya. Allah ingatkan balik siapakah yang mempunyai kuasa itu.

Yang ada kuasa pun seperti para Nabi itu mendapat kelebihan dari Allah, kerana itu mereka tidak dipuja. Kalau berhala dipuja, memang lagi mengarut kerana berhala bukan ada apa-apa pun.

 

وَمَن يَزِغ مِنهُم عَن أَمرِنا نُذِقهُ مِن عَذابِ السَّعيرِ

Dan siapa yang menyimpang di antara mereka dari perintah Kami, Kami rasakan kepadanya azab neraka yang apinya menyala-nyala.

Golongan jin itu kena taat kepada Nabi Sulaiman dan kalau mereka menentang dan tidak turut perintah sahaja, mereka akan dibakar waktu itu juga. Kerana itu mereka terpaksa taat kepada arahan Nabi Sulaiman. Bukannya Nabi Sulaiman yang bunuh mereka, atau Nabi Sulaiman mendapat hormat dari mereka, tidak. Jin-jin itu kena taat kerana Allah sudah tetapkan begitu: kalau tidak ikut arahan sahaja dari Nabi Sulaiman, terus kena azab.

Maka adalah yang bertanya jikalau jin itu dijadikan dari api maka tentulah mereka tidak sakit kalau diazab dengan api. Ini adalah pemahaman yang patut kerana walaupun kita dijadikan dari tanah tetapi kalau kita kena baling dengan tanah pun sakit juga. Bagaimana rasanya kalau kita dibaling atau dipukul dengan tembikar yang juga dibuat dari tanah? Kalau kena tampar dengan tangan yang juga dibuat dari tanah?

Maka tidak perlu tanya soalan yang munasabah lagi. Kalau Allah kata api adalah azab bagi mereka, maka tentulah mereka akan merasai azab api itu. Tentulah Allah tahu bagaimana hendak mengazab makhlukNya.


 

Ayat 13: Apakah kerahan kepada para jin itu?

يَعمَلونَ لَهُ ما يَشاءُ مِن مَّحٰريبَ وَتَمٰثيلَ وَجِفانٍ كَالجَوابِ وَقُدورٍ رّاسِيٰتٍ ۚ اعمَلوا ءآلَ داوودَ شُكرًا ۚ وَقَليلٌ مِّن عِبادِيَ الشَّكورُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They made for him what he willed of elevated chambers,¹ statues,² bowls like reservoirs, and stationary kettles. [We said], “Work, O family of David, in gratitude.” And few of My servants are grateful.

  • Described by commentators as palaces, dwellings, or places of prayer.
  • Which were not prohibited until the time of Prophet Muḥammad (ṣ).

(MELAYU)

Para jin itu membuat untuk Sulaiman apa yang dikehendakinya dari gedung-gedung yang tinggi dan patung-patung dan piring-piring yang (besarnya) seperti kolam dan periuk yang tetap (berada di atas tungku). Bekerjalah hai keluarga Daud untuk bersyukur (kepada Allah). Dan sedikit sekali dari hamba-hamba-Ku yang berterima kasih.

 

يَعمَلونَ لَهُ ما يَشاءُ

Para jin itu membuat untuk Sulaiman apa yang dikehendakinya

Golongan jin itu kena ikut arahan Nabi Sulaiman a.s. Bukan kerana Nabi Sulaiman itu, tapi kerana Allah. Kerana kalau mereka tidak ikut arahan baginda, Allah yang akan seksa mereka. Jadi mahu tidak mahu, mereka kena ikut arahan baginda.

 

مِن مَّحٰريبَ وَتَمٰثيلَ

dari gedung-gedung yang tinggi dan bentuk-bentuk 

Mereka membina kamar-kamar yang besar. Juga boleh bermaksud tempat ibadat. Kerana kalimah محاريب dari ح ر ب (yang bermaksud perang) yang juga digunakan untuk mihrab (tempat ibadat yang berperang dengan nafsu/syaitan). Mihrab dijadikan tempat ibadat bagi umat terdahulu.

Kalimah تماثيل dari م ث ل yang bermaksud misal (sama, disamakan). Iaitu bina sesuatu untuk sama seperti perkara yang asal seperti manusia, binatang, tumbuhan dan sebagainya. Selalunya digunakan untuk patung atau monumen. Boleh dibina monumen waktu itu kerana belum diharamkan lagi.

Atau, tidaklah dijadikan patung menyerupai manusia atau binatang, tapi ia menyerupai tumbuh-tumbuhan atau alam seperti sungai dan lain-lain. Ia dijadikan sebagai perhiasan untuk bangunan yang dibina baginda. Maka ini lebih baik dari segi tafsirannya.

Kerana kalau kita katakan patung tidak dilarang lagi waktu itu, maka Nabi Sulaiman pakai hukum dari mana? Kerana baginda pakai undang-undang dari Taurat dan Taurat pun melarang bina patung menyerupai manusia, malaikat atau haiwan. Kisah baginda bina patung itu adalah dari kisah-kisah Israiliyat dan mereka telah mengubah kisah para Nabi sampai ke tahap menghina dan menjatuhkan martabat kenabian mereka. Maka kita kena tolak hikayat-hikayat yang tidak kena ini.

Maka kalau kita tidak berikan interpretasi yang lain, maka nanti ada orang Islam yang gunakan ini sebagai dalil untuk membolehkan mereka bina dan ukir patung dan gambar pula sedangkan itu diharamkan dalam agama. Banyak sekali hadis-hadis yang melarang keras perkara ini seperti:

إنَّ الَّذينَ يصنَعونَ هذِه الصُّوَرَ يعذَّبونَ يومَ القيامةِ ، يقالُ لَهم : أحيوا ما خلقتُمْ

orang yang menggambar gambar-gambar ini (gambar makhluk bernyawa), akan diazab di hari kiamat, dan akan dikatakan kepada mereka: ‘hidupkanlah apa yang kalian buat ini’” (HR. Bukhari dan Muslim).

Dan hadits Abdullah bin Mas’ud radhiallahu’anhu, beliau berkata: aku mendengar Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda:

إنَّ أشدَّ النَّاسِ عذابًا عندَ اللَّهِ يومَ القيامةِ المصوِّرونَ

orang yang paling keras azabnya di hari kiamat di sisi Allah, adalah tukang gambar” (HR. Bukhari dan Muslim).

Dan hadits Abu Hurairah radhiallahu’anhu, beliau berkata: aku mendengar Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda:

قال اللهُ عزَّ وجلَّ : ومن أظلم ممن ذهبَ يخلقُ كخَلْقي ، فلْيَخْلُقوا ذرَّةً ، أو : لِيخْلُقوا حبَّةً ، أو شعيرةً

Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: ‘siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mencipta seperti ciptaan-Ku?’. Maka buatlah gambar biji, atau bibit tanaman atau gandum” (HR. Bukhari dan Muslim).

Dan hadits ‘Aisyah radhiallahu’anha, ia berkata:

قدم رسول الله صلى الله عليه وسلم من سفر وقد سترت سهوة لي بقرام فيه تماثيل، فلما رآه رسول الله صلى الله عليه وسلم تلون وجهه، وقال: “يا عائشة، أشد الناس عذاباً عند الله يوم القيامة الذين يضاهئون بخلق الله”، فقطعناه فجعلنا منه وسادة أو وسادتين

“Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam pulang dari safar. Ketika itu aku menutup jendela rumah dengan jendela yang bergambar (makhluk bernyawa). Ketika melihatnya, wajah Rasulullah berubah. Beliau bersabda: “wahai Aisyah orang yang paling keras adzabnya di hari kiamat adalah yang menandingin ciptaan Allah“. Lalu aku memotong-motongnya dan menjadikannya satu atau dua bantal” (HR. Bukhari dan Muslim).

Dan hadits Ibnu ‘Abbas radhiallahu’anhuma, beliau berkata: aku mendengar Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda:

من صوَّرَ صورةً في الدُّنيا كلِّفَ يومَ القيامةِ أن ينفخَ فيها الرُّوحَ ، وليسَ بنافخٍ

barangsiapa yang di dunia pernah menggambar gambar (bernyawa), dia akan dituntut untuk meniupkan ruh pada gambar tersebut di hari kiamat, dan dia tidak akan mampu melakukannya” (HR. Bukhari dan Muslim).

Juga hadits lainnya dari Nabi Shallallahu’alaihi Wasallam:

كلُّ مُصوِّرٍ في النَّارِ ، يُجْعَلُ له بكلِّ صورةٍ صوَّرها نفسٌ فتُعذِّبُه في جهنَّمَ

semua tukang gambar (makhluk bernyawa) di neraka, setiap gambar yang dia buat akan diberikan jiwa dan akan mengazabnya di neraka Jahannam” (HR. Bukhari dan Muslim).

 

وَجِفانٍ كَالجَوابِ

dan piring-piring yang (besarnya) seperti kolam

Kalimah جفان bermaksud mangkuk. Kalimah جواب pula bermaksud takungan. Jadi ia bermaksud mangkuk yang besar. Ianya besar untuk diletakkan makanan atau apa-apa untuk beri sedekah kepada masyarakat. Makanan dikumpulkan di situ untuk diambil oleh orang yang memerlukannya.

 

وَقُدورٍ رّاسِيٰتٍ

dan periuk yang tetap

Kalimah قدور merujuk kepada bekas makanan yang lebih besar. Dan kalimah رّاسِيٰتٍ dari ر س و yang bermaksud tetap, tidak bergerak. Maksudnya ia adalah periuk yang sangat berat sampai tidak boleh diangkat. Ini adalah periuk besar untuk memasak makanan untuk diberikan kepada ribuan umat manusia pada satu masa.

 

اعمَلوا ءآلَ داوودَ شُكرًا

Bekerjalah hai keluarga Daud dalam keadaan bersyukur 

Nabi Daud dan Nabi Sulaiman disuruh untuk melakukan sedekah itu sebagai tanda kesyukuran kepada Allah kerana mereka diberikan dengan segala kelebihan maka Allah suruh mereka bekerja. Iaitu bekerja dengan berkhidmat kepada manusia. Jadi kita tahu bahawa segala yang dilakukan di atas itu adalah untuk kepentingan manusia dan bukan untuk kepentingan mereka. Mereka sediakan pemberian untuk diberikan sebagai sedekah kepada umat mereka.

Maka ini mengajar kita yang syukur itu bukanlah dengan ucap alhamdulillah sahaja. Tapi kena ada kerja yang perlu dilakukan. Setelah menerima pemberian Allah, maka hendaklah gunakan pemberian Allah itu untuk kebaikan manusia. Maka itulah tanda bersyukur yang sebenar.

Dan memang Nabi Daud banyak beramal ibadat. Seperti yang disebut dalam hadis kitab Sahihain dari Rasulullah Saw. yang telah bersabda:

“إِنْ أَحَبَّ الصَّلَاةِ إِلَى اللَّهِ صلاةُ داودَ، كَانَ يَنَامُ نِصْفَ اللَّيْلِ وَيَقُومُ ثُلُثَهُ وَيَنَامُ سُدُسَهُ، وَأَحَبُّ الصِّيَامِ إِلَى اللَّهِ صِيَامُ دَاوُدَ، كَانَ يَصُومُ يَوْمًا وَيُفْطِرُ يَوْمًا. وَلَا يَفر إِذَا لَاقَى”.

Sesungguhnya solat yang paling disukai oleh Allah adalah solatnya Nabi Daud; dia tidur hingga pertengahan malam, lalu berdiri (solat) sepertiganya dan tidur seperenamnya. Dan puasa yang paling disukai Allah adalah puasanya Nabi Daud; dia puasa sehari dan berbuka sehari, dan apabila berperang Daud tidak pernah lari dari medan perang.

 

وَقَليلٌ مِّن عِبادِيَ الشَّكورُ

Dan sedikit sekali dari hamba-hamba-Ku yang berterima kasih.

Tidak ramai dari kalangan manusia yang bersyukur. Ramai yang dapat kelebihan dari Allah tapi tidak bersyukur. Ini kerana ramai yang sudah selalu dapat kelebihan, jadi mereka tidak rasa ia adalah satu ‘pemberian’ dari Allah. Mereka rasa seolah-olah mereka memang patut dapat apa yang mereka dapat. Jadi bila ada perasaan begitu, mereka tidak rasa bersyukur lagi.

Hanya apabila kita dapat sesuatu yang kita tidak patut dapat, barulah kita selalunya bersyukur. Pada waktu-waktu lain, kita biasa-biasa sahaja.


 

Ayat 14: Sekarang adalah jawab syubhah tentang jin. Ramai manusia yang minta bantuan kepada jin. Ini kerana mereka jahil dengan kedudukan jin. Mereka sangka yang jin itu ada kelebihan yang lebih, jadi dapat tolongan mereka.

Antaranya, manusia sangka jin itu ada ilmu ghaib. Sekarang kita diberitahu yang jin pun tidak tahu perkara ghaib. Allah beritahu perkara ini dengan menyampaikan kisah kematian Nabi Sulaiman a.s.

فَلَمّا قَضَينا عَلَيهِ المَوتَ ما دَلَّهُم عَلىٰ مَوتِهِ إِلّا دابَّةُ الأَرضِ تَأكُلُ مِنسَأَتَهُ ۖ فَلَمّا خَرَّ تَبَيَّنَتِ الجِنُّ أَن لَّو كانوا يَعلَمونَ الغَيبَ ما لَبِثوا فِي العَذابِ المُهينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when We decreed for him [i.e., Solomon] death, nothing indicated to them [i.e., the jinn] his death except a creature of the earth eating his staff.¹ But when he fell, it became clear to the jinn that if they had known the unseen, they would not have remained in humiliating punishment.²

  • Upon which he was leaning at the time of his death. A termite continued to gnaw into the stick until it collapsed under his weight.
  • i.e., hard labor. This verse is evidence that the jinn do not possess knowledge of the unseen, which belongs exclusively to Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā).

(MELAYU)

Maka tatkala Kami telah menetapkan kematian Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka kematiannya itu kecuali anai-anai yang memakan tongkatnya. Maka tatkala dia telah tersungkur, tahulah jin itu bahwa kalau sekiranya mereka mengetahui yang ghaib tentulah mereka tidak akan tetap dalam seksa yang menghinakan.

 

فَلَمّا قَضَينا عَلَيهِ المَوتَ

Maka tatkala Kami telah menetapkan kematian Sulaiman,

Ini adalah apabila Allah takdirkan kematian Nabi Sulaiman. Dan kejadian itu adalah semasa di hadapan para jin yang sedang bekerja membina binaan-binaan yang disuruh Nabi Sulaiman. Waktu itu Nabi Sulaiman sedang berdiri semasa jin-jin itu membina Baitulmaqdis.

Atau waktu itu Nabi Sulaiman sedang duduk di singgahsana baginda melihat mereka bekerja. Waktu itu Allah telah mengambil roh baginda dan kedudukan baginda tetap di atas singgahsana itu. Ibnu Abbas r.a. Mujahid, Al-Hasan dan Qatadah serta yang lain-lainnya yang bukan hanya seorang telah menyebutkan bahawa Nabi Sulaiman dalam keadaan begitu selama kurang lebih satu tahun.

 

ما دَلَّهُم عَلىٰ مَوتِهِ

tidak ada yang menunjukkan kepada mereka kematiannya itu

Pada jin yang sedang bekerja itu tidak tahu yang Nabi Sulaiman telah mati dan mereka terus bekerja dan bekerja. Kalimah دَلَّهُم dari د ل ل yang bermaksud tidak ada ‘dalil’ bagi mereka yang menunjukkan Nabi Sulaiman sudah wafat. Waktu itu mereka tidak melihat pun ke arah Nabi Sulaiman untuk memeriksa baginda kerana mereka takut dengan baginda. Jadi nak pandang pun takut.

Mereka terus buat kerja mereka kerana arahan telah diberikan kepada mereka untuk bekerja dan mereka tidak diarahkan untuk berhenti. Maka mereka teruslah bekerja menyiapkan bangunan itu.

 

إِلّا دابَّةُ الأَرضِ تَأكُلُ مِنسَأَتَهُ

kecuali anai-anai yang memakan tongkatnya.

Tidak ada yang memberitahu mereka tentang kematian Nabi Sulaiman sehinggalah baginda terjatuh dari singgahsana baginda. Waktu itu baginda bertahan pada tongkat baginda dan tongkat itulah yang menahan baginda dari jatuh tersungkur. Akhirnya anai-anai telah memakan tongkat baginda yang menyebabkan baginda terjatuh.

Anai-anai dipanggil dabbatul ardh (binatang yang melata di tanah) kerana mereka memakan segalanya dan menjadikannya tanah. Maka mereka makan tongkat baginda sampai patah tongkat itu. Maknanya juga, tubuh baginda tidak busuk atau berubah kerana walaupun baginda sudah lama mati tapi tidak ada kesan mati kerana tubuh para Nabi dijaga dari dimakan ulat.

 

فَلَمّا خَرَّ

Maka tatkala dia telah tersungkur, 

Maka setelah anai-anai itu makan dan tongkat itu patah, maka jatuhlah tubuh Nabi Sulaiman a.s. tersungkur ke tanah.

 

تَبَيَّنَتِ الجِنُّ أَن لَّو كانوا يَعلَمونَ الغَيبَ

tahulah jin itu bahwa kalau sekiranya mereka mengetahui yang ghaib 

Setelah jasad Nabi Sulaiman tanpa nyawa itu jatuh ke bawah, barulah jin-jin itu tahu yang Nabi Sulaiman telah wafat. Mereka tidak tahu sebelum itu. Jin-jin itu sangka mereka tahu perkara-perkara yang ghaib. Maka dari kejadian ini maka tahulah mereka yang mereka tidak tahu ilmu ghaib sebenarnya.

Maka bukan jin itu sahaja yang baru tahu, tapi kita yang baca ayat ini pun kenalah sedar yang jin itu tidak ada ilmu ghaib. Jangan jadi seperti musyrikin Mekah yang minta tolong kepada golongan jin kerana mereka sangka jin itu tahu ilmu ghaib. Ini disebut dalam Jin:6

وَأَنَّهُ كانَ رِجالٌ مِنَ الإِنسِ يَعوذونَ بِرِجالٍ مِنَ الجِنِّ فَزادوهُم رَهَقًا

Dan bahwasanya ada orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.

 

ما لَبِثوا فِي العَذابِ المُهينِ

tentulah mereka tidak akan tetap dalam seksa yang menghinakan.

Kerana jika mereka tahu perkara ghaib (dan mereka tahu Nabi Sulaiman telah mati), tidaklah mereka terus melakukan kerja yang menghinakan mereka itu.

Allah tunjukkan kepada mereka bagaimana Nabi Sulaiman telah mati pun mereka tidak tahu. Kalau mereka tahu, tentulah mereka nampak malaikat maut yang datang mencabut nyawa Nabi Sulaiman. Memang ada perkara ghaib yang mereka boleh nampak tetapi apa yang mereka tahu itu adalah terhad sahaja dan mereka tidaklah tahu perkara ghaib melainkan apa yang mereka diberi maklumat sahaja.

Sekarang sudah habis Allah menceritakan tentang kehebatan kerajaan yang berada di utara Mekah iaitu di Jurusalem. Dan selepas ini Allah akan menceritakan tentang kerajaan di Yaman pula iaitu yang berada jauh di bahagian selatan Mekah pula. Dan kedua-dua tempat ini mempunyai kaitan yang rapat dengan Mekah yang duduk di tengah-tengah kedua tempat itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 5 Ogos 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Saba’ Ayat 8 – 11 (Kisah Nabi Daud a.s.)

Ayat 8: Mari kita lihat apakah kata kutukan dan tuduhan puak musyrikin Mekah kepada Nabi Muhammad.

أَفتَرىٰ عَلَى اللهِ كَذِبًا أَم بِهِ جِنَّةٌ ۗ بَلِ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ فِي العَذابِ وَالضَّلٰلِ البَعيدِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Has he invented about Allāh a lie or is there in him madness?” Rather, they who do not believe in the Hereafter will be in the punishment and [are in] extreme error.

(MELAYU)

Apakah dia mengada-adakan kebohongan terhadap Allah ataukah ada padanya penyakit gila?” (Tidak), tetapi orang-orang yang tidak beriman kepada negeri akhirat berada dalam azab dan kesesatan yang jauh.

 

أَفتَرىٰ عَلَى اللهِ كَذِبًا

Apakah dia mengada-adakan kebohongan terhadap Allah

Berita kebangkitan semula manusia selepas tubuh badan telah hancur dalam kubur itu amat-amat susah untuk dipercayai oleh Musyrikin Mekah. Memang ianya sesuatu yang amat pelik bagi mereka hendak menerimanya.

Tetapi apabila mereka tahu yang ianya disampaikan oleh Muhammad yang mereka kenali sebagai seorang yang bijak dan tidak pernah menipu, maka mereka pun pening juga. Kalau orang lain yang cakap, senang sahaja mereka tolak. Tapi apabila ianya dikatakan oleh insan bernama Muhammad, mereka kena hati-hati juga nak tolak. Kalau tidak, mereka pula yang digelakkan oleh masyarakat.

Maka pemuka Quraisy kena terus beri tuduhan yang boleh diterima oleh masyarakat waktu itu. Kerana kalau mereka kata baginda menipu, susah untuk tuduh baginda begitu kerana mereka tidak pernah dengar baginda menipu.

 

أَم بِهِ جِنَّةٌ

ataukah ada padanya penyakit gila?”

Jadi mereka kata ada kemungkinan lain yang sampai menyebabkan Nabi Muhammad berkata begitu. Jadi mereka kata mungkin baginda tidaklah menipu, tapi baginda kena rasuk oleh jin sampai baginda jadi gila. Jadi bukanlah baginda berniat nak menipu tapi kerana gila.

Mereka kata begitu kerana mereka langsung tidak dapat menerima kemungkinan yang manusia akan dihidupkan kembali. Tapi bila nak kata baginda menipu, mereka tak sampai hati pula kerana kerana ramai yang hormat baginda.

Tuduhan yang mengatakan baginda gila pun karut juga kerana semua tahu yang Nabi Muhammad adakah seorang yang bijak. Tidak ada sesiapa yang boleh terima baginda seorang yang gila kerana perawakan baginda amat baik. Maka tuduhan bodoh sebegini tidak perlu Allah jawab. Kerana itu tiada ayat di mana Allah jawab tuduhan mereka yang mengatakan baginda gila. Allah hanya sebut sahaja tuduhan mereka untuk tunjukkan bagaimana teruknya kebodohan mereka buat tuduhan yang tidak masuk akal.

 

بَلِ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ فِي العَذابِ

(Tidak), tetapi orang-orang yang tidak beriman kepada negeri akhirat berada dalam azab

Allah memberitahu yang mereka yang tidak percaya kepada kebangkitan semula itu sudah berada di ‘dalam’ azab. Bukan mereka ‘akan’ dimasukkan ke dalam azab, tapi mereka sudah pun berada ‘dalam’ azab. Kenapa pula dikatakan mereka sudah berada di dalam azab? Mari kita cuba selami.

Seperti yang kita telah beritahu, surah ini adalah tentang rahmat Allah kepada makhlukNya. Dan sukar untuk kita memahami rahmat Allah ini jikalau kita tidak faham dan terima konsep ‘kebangkitan semula’ di akhirat. Kenapa penting untuk kita terima konsep kebangkitan semula itu?

Untuk memahaminya, mari kita bayangkan kehidupan seorang manusia yang lahir dalam keluarga yang tidak ada kasih sayang langsung. Dari kecil lagi dia telah dikenakan dengan berbagai hukuman dan juga seksaan oleh ibu bapa dia. Kemudian apabila dia telah dewasa, kehidupan dia pun tidak baik kerana dia selalu diganggu oleh orang lain, dizalimi dan sebagainya. Kerja pun susah, badan pula sakit, masalah sentiasa menimpa tidak berhenti-henti. Kita bolehlah katakan kehidupannya di dunia ini tidak ada yang senang.

Jadi jikalau seorang manusia yang menghadapi kehidupan seperti itu dan jika dia rasa yang kehidupan ini hanya kehidupan dunia sahaja, maka tentu dia akan tertanya-tanya: “di manakah kasih sayang Allah?”; “Takkan aku kena seksa begini sahaja sepanjang hidup aku?” Kerana dia memang tidak rasa langsung kasih sayang itu semasa dia hidup di dunia.

Tetapi jikalau dia boleh terima yang kehidupan dunia ini bukanlah kehidupan yang sebenar dan kehidupan di dunia ini hanyalah sebagai cubaan dan dugaan sahaja, sebagai permainan sahaja dan kasih sayang Allah itu akan ditunjukkan dengan sepenuhnya di akhirat kelak, maka barulah dia boleh menerima yang Allah itu seorang Pengasih dan Penyayang. Bolehlah dia terima kesusahan hidup di dunianya ini sebagai cubaan sahaja.  Barulah dia boleh berharap kepada kebaikan dalam kehidupan di akhirat. Tidaklah jiwanya sesak sahaja kerana sekarang dia ada harapan.

Maka orang-orang yang tidak berharap kepada kehidupan di akhirat kelak dan hanya memandang kehidupan dunia ini sahaja, maka mereka sebenarnya hidup di dalam kesengsaraan sahaja. Kerana kehidupan dunia ini bukan sentiasa senang dan mudah. Ada sahaja masalah dan kekurangan.

Kerana itulah ada orang yang kaya raya dan ada banyak kuasa tetapi mereka tidak tenang langsung di dalam kehidupan mereka. Mereka sampai tidak boleh tidur di malam hari kerana ada saja masalah mereka. Sampai ada di antara mereka yang tidak sanggup menanggung kehidupan dunia ini dan mereka telah membunuh diri mereka.

Sampai kita pun hairan kenapa mereka bunuh diri sedangkan hidup mereka senang sahaja. Ramai juga dari kalangan artis yang bunuh diri walaupun mereka terkenal dan disanjungi oleh peminat mereka yang entah berjuta. Sebenarnya kita pun tidak tahu apa masalah yang mereka tanggung. Kita tengok mereka hidup senang lenang sahaja, tapi entah mungkin masalah yang mereka hadapi itu lebih teruk dari apa yang kita boleh bayangkan. Kita tidak duduk dalam diri mereka, maka kita pun tidak tahu.

Tapi begitulah mereka itu walaupun hidup senang sahaja, tapi kalau mereka tidak menerima adanya kehidupan setelah mati, maka mereka sudah pun berada dalam azab di dunia ini lagi. Hidup tidak tenang sahaja. Jadi itulah maksudnya mereka sudah duduk di dalam azab. Itu belum dapat azab di akhirat lagi.

 

وَالضَّلٰلِ البَعيدِ

dan kesesatan yang jauh.

Sudahlah mereka sudah di dalam azab, mereka dalam sesat pula. Kerana fahaman mereka adalah fahaman yang salah dan sesat. Dan bukan salah yang biasa tapi salah yang amat jauh. Mereka jauh dalam kesesatan.

Apabila sesat itu jauh, ini menunjukkan susah untuk mereka dibawa kepada kebenaran kerana mereka sudah jauh. Macam kita nak laung panggil orang yang jauh di hadapan. Agak susah nak panggil dia. Mungkin dia boleh dengar dan kembali, dan mungkin tidak. Kena usaha lebih sedikit untuk bawa mereka ke pangkal jalan.


 

Ayat 9: Ayat takhwif duniawi.

أَفَلَم يَرَوا إِلىٰ ما بَينَ أَيديهِم وَما خَلفَهُم مِّنَ السَّماءِ وَالأَرضِ ۚ إِن نَّشَأ نَخسِف بِهِمُ الأَرضَ أَو نُسقِط عَلَيهِم كِسَفًا مِّنَ السَّماءِ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لِّكُلِّ عَبدٍ مُّنيبٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then, do they not look at what is before them and what is behind them of the heaven and earth? If We should will, We could cause the earth to swallow them or [could] let fall upon them fragments from the sky. Indeed in that is a sign for every servant turning back [to Allāh].

(MELAYU)

Maka apakah mereka tidak melihat langit dan bumi yang ada di hadapan dan di belakang mereka? Jika Kami menghendaki, nescaya Kami benamkan mereka di bumi atau Kami jatuhkan kepada mereka gumpalan dari langit. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kekuasaan Tuhan) bagi setiap hamba yang kembali (kepada-Nya).

 

أَفَلَم يَرَوا إِلىٰ ما بَينَ أَيديهِم وَما خَلفَهُم مِّنَ السَّماءِ وَالأَرضِ

Maka apakah mereka tidak melihat langit dan bumi yang ada di hadapan dan di belakang mereka?

Ini adalah jawapan kepada penolakan Musyrikin Mekah kepada kebangkitan semula. Kita kena tahu dulu apakah sebab mereka tidak dapat menerima yang mereka akan dibangkitkan semula?:

  1. Kalau mereka terima ada kebangkitan semula dan mereka kena bertanggungjawab dengan perbuatan mereka, maka mereka kena ubahlah cara hidup mereka; dan mereka tidak mahu ubah cara hidup mereka.
  2. Mereka tidak dapat terima yang bumi dan alam yang kita diami ini akan hancur dan diubah dengan sistem yang baru.
  3. Mereka tidak dapat terima yang tulang dan tubuh manusia yang hancur berkecai dan berselerak ini selama beribu-ribu tahun akan dapat dibangkitkan semula.

Maka Allah jawab ketiga-tiga perkara ini dengan ayat ini: tidakkah mereka tengok alam ini?

  1. Alam ini yang begitu hebat dijadikan untuk kita diami ini takkan dijadikan begitu sahaja? Alam yang hebat ini tentu dijadikan oleh satu Tuhan yang hebat dan tentu Dia tidak beri kita segala kehebatan dalam alam dan dalam diri kita, tapi kemudian mati begitu sahaja? Memang tidak kena kalau begitu. Tidak hebat Tuhan itu kalau dia jadikan kita dan kemudian matikan kita begitu sahaja.
  2. Alam yang begini hebat ini tidak terjadi sendiri, bukan? Maka yang menjadikannya pertama kali boleh sahaja menjadikan alam yang lain untuk menggantikannya.
  3. Kalau kamu sangka Allah tidak mampu mengumpulkan semua tulang manusia dan menghidupkannya semula, bagaimana kamu fikirkan Dia buat semua ini pertama kali? Kalau Dia sudah boleh jadikan kita pertama kali, maka apa susahnya Dia nak jadikan kita untuk kali yang kedua?

Satu lagi tafsir bagi ayat ini: Ayat ini adalah Ayat Takhwif Duniawi. Tidakkah mereka melihat alam yang begini luas ini di mana Allah boleh melakukan apa-apa sahaja kepada mereka? Mereka sudahlah tolak berita yang disampaikan oleh Rasulullah itu, tapi mereka sanggup pula tuduh baginda seorang yang gila? Apa mereka tidak takut dengan Allahkah? Mereka tidak tahukah yang Allah boleh buat apa-apa sahaja kepada mereka?

 

إِن نَّشَأ نَخسِف بِهِمُ الأَرضَ

Jika Kami menghendaki, nescaya Kami benamkan mereka di bumi

Tidakkah mereka takut Allah benamkan mereka dalam tanah? Allah boleh sahaja lakukan seperti yang Allah telah janjikan terhadap Qarun. Tapi Allah tidak terus berikan mereka dengan azab di dunia kerana Allah beri peluang kepada mereka untuk membaiki diri mereka.

Ini azab dari bawah. Kamu sekarang berdiri di atas bumi yang kamu rasa tenang dan mudah untuk bergerak. Tapi bagaimana kalau Allah jadikan ianya lembut dan menelan kamu dari bawah?

 

أَو نُسقِط عَلَيهِم كِسَفًا مِّنَ السَّماءِ

atau Kami jatuhkan kepada mereka gumpalan dari langit. 

Azab dari langit pun Allah boleh beri. Langit yang mereka lihat amat teguh itu Allah boleh pecah dan jatuhkan atas mereka kalau Allah mahu. Mudah sahaja kalau Allah mahu lakukan. Sekarang kamu lihat langit itu sebagai siling di rumah kamu sahaja yang takkan jatuh, tapi bagaimana kalau Allah takdirkan ia jatuh atas kamu?

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لِّكُلِّ عَبدٍ مُّنيبٍ

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kekuasaan Tuhan) bagi setiap hamba yang kembali.

Semua tanda di dalam alam ini menjadi tanda bagi mereka yang mahu kembali dalam bentuk spritual kepada Allah. Inilah maksud ‘inabah’ iaitu condong kepada Allah, mahu kembali kepada Allah, mahu kepada kebenaran. Mereka yang ada ‘inabah’ dalam hati mereka akan diseret  ke arah  kebenaran.

Habis Ruku’ 1 dari 6 ruku’ yang ada dalam surah ini.


 

Ayat 10: Sekarang masuk ke kisah Nabi Daud a.s. Ini adalah jawab syubhah yang pertama. Manusia sangka para Nabi dapat buat perkara-perkara yang hebat maka manusia sangka para Nabi itu ada kuasa. Maka ada manusia yang minta syafaat dari para Nabi.

Maka Allah jelaskan dalam ayat ini untuk menjernihkan kekeliruan ini. Walaupun terjadi perkara yang pelik dan hebat kepada para Nabi, tetapi tetap tidak boleh minta syafaat kepada mereka.

Kena minta syafaat kepada Allah kerana apa yang terjadi kepada Nabi Daud itu adalah pemberian daripada Allah.

Ayat 10 – 14 adalah Perenggan Makro Kedua di mana Allah memberitahu yang sedikit sekali manusia yang bersyukur atas nikmat yang diberikan. Maka untuk mengajar manusia, maka Allah memberikan kisah dua orang Nabi yang menerima nikmat dan mereka bersyukur kepada Allah.

Ayat 10 – 11 adalah kisah syukur Nabi Daud a.s.
Ayat 12 – 14 adalah kisah syukur Nabi Sulaiman a.s.

۞ وَلَقَد ءآتَينا داوودَ مِنّا فَضلًا ۖ يٰجِبالُ أَوِّبي مَعَهُ وَالطَّيرَ ۖ وَأَلَنّا لَهُ الحَديدَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We certainly gave David from Us bounty. [We said], “O mountains, repeat [Our] praises with him, and the birds [as well].” And We made pliable for him iron,

(MELAYU)

Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Daud kurnia dari Kami. (Kami berfirman): “Hai gunung-gunung dan burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang bersama Daud”, dan Kami telah melunakkan besi untuknya,

 

وَلَقَد ءآتَينا داوودَ مِنّا فَضلًا

Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Daud kurnia dari Kami.

Maka ayat ini menerangkan bahawa kelebihan yang ada pada Nabi Daud itu adalah pemberian dari Allah. Bukannya baginda ada kelebihan sendiri. Ada banyak kelebihan yang telah diberikan kepada Nabi Daud a.s. Kerajaan baginda pun hebat. Asalnya baginda anak biasa sahaja, tapi baginda yang telah membunuh Jalut dalam peperangan.

Maka baginda telah menjadi terkenal dan kemudian diangkat menjadi Raja Judah apabila Talut meninggal. Dan kemudian baginda menjadi Raja kepada seluruh Bani Israil. Pada zaman pemerintahan bagindalah pertama kalinya ada kerajaan yang berteraskan syariat agama ditegakkan. Ianya adalah kerajaan yang amat besar.

 

يٰجِبالُ أَوِّبي مَعَهُ وَالطَّيرَ

“Hai gunung-gunung dan burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang bersama Daud”, 

Kalimah أوّب selalunya bermaksud mereka yang kembali berkali-kali. Ia juga bermaksud bernyanyi bersama, kerana selalunya penyanyi utama akan diikuti oleh penyanyi-penyanyi latar di belakang.

Allah memberitahu yang gunung ganang dan juga burung-burung pun bertasbih bersama dengan Nabi Daud. Mereka ikut tasbih yang dilafazkan oleh baginda. Allah memberinya suara yang indah apabila baginda bertasbih, maka ikut bertasbih pula bersamanya gunung-gunung yang terpancang dengan kukuhnya lagi tinggi itu, dan semua burung yang terbang terhenti kerananya, lalu menjawab tasbihnya dengan berbagai bahasa.

Di dalam kitab sahih disebutkan bahwa Rasulullah Saw. mendengar suara Abu Musa Al-Asy’ari r.a. di malam hari sedang membaca Al-Qur’an. Maka baginda berhenti dan mendengarkan bacaannya, kemudian bersabda:

” لَقَدْ أُوتِيَ هَذَا مِزْمَارًا مِنْ مَزَامِيرِ آلِ دَاوُدَ”

Sesungguhnya orang ini benar-benar telah dianugerahi sebahagian dari suara merdunya keluarga Daud.

Abu Usman An-Nahdi mengatakan bahawa dia belum pernah mendengar suara alat musik apa pun (di masanya) yang lebih indah dan lebih merdu daripada suara Abu Musa Al-Asy’ari r a. Maknanya ini juga mengajar kita bahawa hiburan untuk kita adalah bacaan Al-Qur’an, bukannya alat musik dan nyanyian.

 

وَأَلَنّا لَهُ الحَديدَ

dan Kami telah melunakkan besi untuknya,

Nabi Daud diberi kelebihan boleh melembutkan besi dengan tangannya.

Ada pendapat yang mengatakan baginda diajar bagaimana untuk membentuk besi. Iaitu besi itu dipanaskan dan dibentuk dengan mengetuknya (dengan tukul dan sebagainya macam tukang besi). Tetapi kalau begitu ia tidak hebat kerana semua orang boleh buat begitu. Jadi yang dimaksudkan adalah baginda memang boleh melembutkan besi dengan tangannya. Iaitu dengan tangan kosong sahaja.

Al-Hasan Al-Basri, Qatadah, Al-A’masy, dan lain-lainnya mengatakan bahawa untuk melunakkan besi bagi Nabi Daud, baginda tidak perlu memasukkannya ke dalam tungku api, dan tidak perlu palu (pukul) untuk membentuknya, tetapi Nabi Daud dapat memintalnya dengan tangannya seperti memintal kapas untuk menjadi benang.

Nabi Daud diberi kelebihan untuk membentuk besi dan anaknya Nabi Sulaiman nanti akan diberi kelebihan membentuk tembaga pula. Jadi anak beranak ada kelebihan dengan logam.

Nota: Pengamal-pengamal sihir tukang besi, selalu menggunakan ayat ini untuk bekerja dengan besi. Contohnya pembuat pedang dan pisau akan membaca ayat ini berulang-ulang. Ini termasuk dalam sihir (sihir menggunakan ayat Al-Qur’an) kerana membaca ayat dengan niat untuk mendapatkan sesuatu. Ini tidak boleh diamalkan.


 

Ayat 11: Apakah yang baginda kena lakukan dengan kelebihan itu?

أَنِ اعمَل سٰبِغٰتٍ وَقَدِّر فِي السَّردِ ۖ وَاعمَلوا صٰلِحًا ۖ إِنّي بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Commanding him], “Make full coats of mail and calculate [precisely] the links, and work [all of you] righteousness. Indeed I, of what you do, am Seeing.”

(MELAYU)

(iaitu) buatlah baju besi yang besar-besar dan ukurlah anyamannya; dan kerjakanlah amalan yang soleh. Sesungguhnya Aku melihat apa yang kamu kerjakan.

 

أَنِ اعمَل سٰبِغٰتٍ

buatlah baju besi yang besar-besar

Kalimah سابِغاتٍ adalah baju besi yang besar.

Al-Hafiz Ibnu Asakir mengatakan dalam biografi Daud a.s. melalui jalur Ishaq ibnu Bisyr yang di dalamnya terdapat kisah dari Abul Yas, dari Wahb ibnu Munabbih, yang kesimpulannya seperti berikut:

Bahawa Daud a.s. keluar dengan menyamar, lalu dia menanyakan tentang dirinya kepada kafilah-kafilah yang datang. Maka tidaklah dia menanyai seseorang, melainkan orang tersebut memujinya dalam hal ibadah dan sepak terajangnya.

Wahb ibnu Munabbih melanjutkan, bahawa pada akhirnya Allah mengutus malaikat dalam rupa seorang lelaki. Kemudian lelaki itu dijumpai oleh Daud a.s., lalu Daud menanyakan kepadanya dengan pertanyaan yang biasa dia kemukakan kepada orang lain. Maka malaikat itu menjawab, “Dia adalah seorang yang paling baik buat dirinya sendiri dan buat orang lain, hanya saja di dalam dirinya terdapat suatu pekerti yang seandainya pekerti itu tidak ada pada dirinya, tentulah dia adalah seorang yang kamil.” Daud bertanya, “Pekerti apakah itu?” Malaikat menjawab, “Dia makan dan menafkahi anak-anaknya dari harta kaum muslim.’ yakni baitul mal.

Maka pada saat itu juga Nabi Daud a.s. menghadapkan diri kepada Tuhannya seraya berdoa, semoga Dia mengajarkan kepadanya suatu pekerjaan yang dilakukan tangannya sendiri sehingga menjadi orang yang berkecukupan dan dapat membiayai anak-anak dan keluarganya. Lalu Allah melunakkan besi baginya dan mengajarkan kepadanya cara membuat baju besi. lalu Daud dikenal sebagai pembuat baju besi; dia adalah orang yang mula-mula membuat baju besi.

Wahb ibnu Munabbih mengatakan bahawa Daud bekerja sebagai pembuat baju besi. Apabila telah selesai, maka dia jual; sepertiga dari hasil penjualan itu dia sedekahkan, sepertiganya lagi dia belikan keperluan hidup untuk mencukupi keluarga dan anak-anaknya, sedangkan yang sepertiganya lagi dia pegang untuk dia sedekahkan setiap harinya, hingga selesai dari membuat baju besi lainnya.

Sebelum Nabi Daud, Nabi Nuh telah diajar bagaimana untuk membuat kapal. Dan sekarang kita dapat tahu yang Nabi Daud telah diajar bagaimana untuk buat baju besi untuk digunakan di dalam peperangan.

Kalau sebelum itu, manusia pakai besi juga dalam baju perang, tapi mereka pakai kepingan besi yang tebal. Dan tentulah itu berat dan tidak sesuai dalam peperangan. Jadi, apabila Nabi Daud diajar untuk anyam baju besi tapi dijadikan seperti rantai, maka ia menggunakan besi yang kurang dan tidaklah berat sangat.

Qatadah mengatakan bahawa Daud adalah orang yang mula-mula membuat baju besi dengan dianyam. Dan sebelum itu baju besi berupa lempengan-lempengan.

Maka kita dapat tahu bahawa perkara-perkara ini diajar oleh Allah kepada para NabiNya. Ada gunanya untuk kemanusiaan dan kepentingan agama. Bukan untuk suka-suka sahaja mereka diberikan dengan kelebihan itu.

 

وَقَدِّر فِي السَّردِ

dan ukurlah anyamannya;

Ali ibnu Abu Talhah telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas, bahawa yang dimaksudkan dengan as-sard ialah lingkaran besi. Baginda disuruh untuk anyam besi itu supaya boleh tutup bahagian leher sekali. Supaya musuh tak boleh tetak leher pula.

Atau anyam bulatan besi itu dengan saiz yang sesuai. Mujahid telah mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: dan ukurlah anyamannya. (Saba: 11) Janganlah kamu menjadikan pakunya kecil kerana akan membuatnya longgar pada lingkaran. Jangan pula kamu menjadikannya besar kerana mengalami kehausan, tetapi pakailah paku yang berukuran sederhana.

Atau ia bermaksud jangan buat banyak sangat baju besi. Berkadar atau berpadalah sikit. Sebab baginda senang sangat buat baju besi itu tapi kena tengok juga. Jangan nak terus buat benda itu sahaja. Kena buat benda lain juga. Ini mengajar kita supaya berusaha tapi jangan berlebihan.

 

وَاعمَلوا صٰلِحًا

dan kerjakanlah amalan yang soleh. 

Ini adalah nasihat kepada tentera baginda. Kena buat  amalan soleh. Jangan rasa bangga dan rasa nak menang perang sahaja kerana ada kelebihan pada mereka. Maksudnya, jangan jadi ganas.

Juga bermaksud jangan buat kerosakan dalam dunia. Ini nasihat penting kerana tentera yang kuat selalu bunuh berlebihan. Mereka hancurkan kawasan, bunuh semua orang, rogol wanita dan lain-lain lagi kerosakan yang selalu dilakukan tentera yang ganas dan tidak ada akhlak.

Maka ayat ini menyebut kelebihan yang diberikan kepada Nabi Daud. Baginda dapat kuasa pemerintahan dalam kerajaan yang besar dan kekuatan tentera yang kuat. Masa baginda kecil lagi sudah pandai pakai lastik. Bagindalah yang bunuh Jalut dalam peperangan antara Talut dan Jalut dengan menggunakan lastik sahaja. Kisah ini ada disebut dalam Surah Baqarah ayat 246 hingga 252.

 

إِنّي بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Sesungguhnya Aku melihat apa yang kamu kerjakan.

Allah ingatkan yang Dia sentiasa melihat apa yang manusia lakukan. Maka kalau buat kerosakan atas muka bumi,  Dia tahu segalanya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 1 July 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Saba’ Ayat 4 – 7 (Kenapa perlunya Kiamat?)

Ayat 4: Dalam ayat sebelum ini Allah sebut tentang Kiamat. Dan sekarang Allah sebut tentang hikmah adanya kiamat. Kenapa Allah jadikan Kiamat dan kebangkitan semula?

لِّيَجزِيَ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ ۚ أُولٰئِكَ لَهُم مَّغفِرَةٌ وَرِزقٌ كَريمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That He may reward those who believe and do righteous deeds. Those will have forgiveness and noble provision.

(MELAYU)

supaya Allah memberi balasan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh. Mereka itu adalah orang-orang yang baginya ampunan dan rezeki yang mulia.

 

لِّيَجزِيَ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

supaya Allah memberi balasan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh.

Allah memberitahu tentang segala perkara di dalam alam ini yang kecil pun Allah tahu juga. Kerana Allah hendak memberitahu bahawa jikalau amalan kebaikan kita walau sekecil mana pun Allah tahu dan Allah akan beri balasan yang baik untuknya.

Maka ini adalah hujah kukuh adanya hari kebangkitan dan pembalasan. Kerana jiwa manusia mahukan keadilan. Dalam hati kita mahukan kebaikan yang kita lakukan itu dibalas dengan kebaikan dan keburukan manusia itu mendapat balasan yang setimpal. Dan ini kita pun tahu tidak berlaku di alam dunia. Maka tentu kita tidak puas hati. Maka ketahuilah bahawa pembalasan sempurna itu akan dibalas di akhirat.

Maka balasan kepada amalan dan perbuatan manusia akan dibalas apabila Kiamat bermula. Kecil atau besar akan dibalas. Maka jangan kita hairan atau sedih kalau pembalasan tidak berlaku di dunia kerana dunia bukan tempat balasan.

Kadang-kadang perkara baik itu kita rasa kecil sangat dalam agakan kita tetapi ketahuilah ada nilainya di sisi Allah. Sebagai contoh, kita balik rumah dan kita beri salam kepada ibu kita dan peluk ibu kita. Kita rasa itu kecil sahaja tetapi itu bernilai yang tinggi pada sisi Allah. Itu pun akan dibalas berlipat kali ganda nanti.

 

أُولٰئِكَ لَهُم مَّغفِرَةٌ

Mereka itu adalah orang-orang yang baginya keampunan

Bagi mereka yang berterusan buat kebaikan dan jaga agama maka Allah akan ampunkan dosa dia. Kenapa Allah sebut tentang pengampunan dahulu?

Kerana untuk kita dapat nikmat kehidupan kita hendaklah keluar daripada penjara dahulu. Kalau duduk dalam penjara tidak dapat menikmati kehidupan, bukan? Kalau Allah tidak ampunkan dosa-dosa kita maka kita kena duduk di dalam neraka dahulu dan tentulah kita tidak dapat menerima segala nikmat dari Allah.

Maka Allah beritahu yang pertama sekali Allah akan berikan pengampunan di atas dosa-dosa kita. Maka inilah yang kita amat-amat perlukan. Maka kenalah selalu kita minta keampunan kepada Allah. Maka apabila kita nak doakan kebaikan untuk mereka yang telah mati, maka doakanlah Allah ampunkan mereka.

 

وَرِزقٌ كَريمٌ

dan rezeki yang mulia.

Dan Allah akan beri rezeki mulia kepada orang mukmin. Maknanya, cara Allah beri nikmat itu pun dengan cara yang mulia. Kerana itu ada kalimah كَريمٌ itu.

Kerana cara rezeki diberikan kepada kita pun penting. Bandingkan jikalau bos kita beri gaji kita tetapi dia beri dengan cara baling sahaja kepada kita. Tentulah kita tidak suka walaupun apa yang diberikan kepada kita itu adalah rezeki. Walaupun banyak, tentu kita tidak puas hati, bukan?

Maka rezeki yang diberikan dengan cara yang mulia menambahkan lagi kehebatan rezeki itu.


 

Ayat 5: Jadi tadi adalah kebaikan yang diberikan kepada mereka yang baik. Sekarang tentang mereka yang menentang agama. Maka ini adalah ayat takhwif ukhrawi dan zajrun.

وَالَّذينَ سَعَوا في ءآيٰتِنا مُعٰجِزينَ أُولٰئِكَ لَهُم عَذابٌ مِّن رِّجزٍ أَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But those who strive against Our verses [seeking] to cause failure¹ – for them will be a painful punishment of foul nature.

  • i.e., to undermine their credibility in order to defeat the Prophet (ṣ).

(MELAYU)

Dan orang-orang yang berusaha untuk (menentang) ayat-ayat Kami dengan anggapan mereka dapat melemahkan (menggagalkan azab Kami), mereka itu memperoleh azab, iaitu (jenis) azab yang pedih.

 

وَالَّذينَ سَعَوا في ءآيٰتِنا مُعٰجِزينَ

Dan orang-orang yang berusaha untuk (menentang) ayat-ayat Kami dengan anggapan mereka dapat melemahkan

Ini adalah orang-orang yang berusaha bersungguh-sungguh untuk melemahkan ajaran Al-Qur’an. Mereka menghalang ajaran Al-Qur’an disebarkan kepada ramai. Ada ramai manusia yang cuba untuk mengatakan bahawa Al-Qur’an ini adalah ‘buku syaitan’ yang perlu dihapuskan.

Ini banyak berlaku di negara Barat yang amat benci kepada agama Islam. Pada mereka Al-Qur’an ini mengajar umat Islam menjadi pengganas. Mereka kata begitu kerana mereka tidak kenal Al-Qur’an.

Dan negara kita ini ada juga yang hendak menghalang pengajaran tafsir Al-Qur’an kerana mereka kata ianya akan memecahbelahkan masyarakat. Kerana apabila ada yang belajar Tafsir Al-Qur’an maka ada sahaja amalan masyarakat yang mereka akan tegur. Mereka kata ini kesan belajar Tafsir Al-Qur’an lah.

Maka banyak usaha nak halang pengajian tafsir Al-Qur’an di negara ini. Mereka akan gunakan isu seperti tauliah dan sebagainya. Mereka tuduh yang mengajar itu Wahabi dan sebagainya.

Kalau mereka berjaya maka kalimah yang digunakan adalah معُجِز mu’jiz. Tapi tidak digunakan di dalam ayat ini sebaliknya digunakan kalimah مُعٰجِز kerana mereka itu hanya berusaha sahaja tetapi tidak berjaya. Ini kerana pengajian tafsir Al-Qur’an ini memang akan berterusan kerana ianya perlu diketahui oleh masyarakat. Dan Allah pasti akan memberikan perlindungan dan bantuan kepada mereka yang menyampaikannya.

 

أُولٰئِكَ لَهُم عَذابٌ مِّن رِّجزٍ أَليمٌ

mereka itu memperoleh azab, iaitu (jenis) azab yang pedih.

Maka ingatlah kepada mereka yang menghalang ilmu tafsir Al-Qur’an ini dari disampaikan kepada manusia, mereka akan mendapat azab yang berat. Kalimah رِّجزٍ adalah jenis azab yang ada bunyi yang amat menakutkan. Mereka akan dikenakan dengan azab yang amat berat kerana kesalahan mereka yang amat berat.


 

Ayat 6:

وَيَرَى الَّذينَ أوتُوا العِلمَ الَّذي أُنزِلَ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ هُوَ الحَقَّ وَيَهدي إِلىٰ صِرٰطِ العَزيزِ الحَميدِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who have been given knowledge see that what is revealed to you from your Lord is the truth, and it guides to the path of the Exalted in Might, the Praiseworthy.

(MELAYU)

Dan orang-orang yang diberi ilmu (Ahli Kitab) berpendapat bahawa wahyu yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itulah yang benar dan menunjuki (manusia) kepada jalan Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji.

 

وَيَرَى الَّذينَ أوتُوا العِلمَ

Dan orang-orang yang diberi ilmu (Ahli Kitab) berpendapat

Ini pula tentang Golongan ahli kitab. Mereka kenal wahyu Al-Qur’an itu memang benar. Maka memang ada manusia yang menentang dan ada juga yang nampak kebenaran.

Satu lagi tafsir ayat ini merujuk kepada orang yang ada ilmu pengetahuan.

 

الَّذي أُنزِلَ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ هُوَ الحَقَّ

bahawa wahyu yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itulah yang benar 

Jikalau mereka jujur dengan kitab mereka sendiri, maka mereka akan nampak bahawa Al-Qur’an itu memang bawa kebenaran.

Dan kalaulah yang dimaksudkan adalah orang yang ada ilmu, maka penentang agama hanya boleh menipu mereka yang tidak ada ilmu. Dan untuk ada ilmu kena belajar. Maka untuk selamat dari ditipu oleh para penentang, maka kenalah ada ilmu dan pengetahuan agama sebaik mungkin.

 

وَيَهدي إِلىٰ صِرٰطِ العَزيزِ الحَميدِ

dan menunjuki (manusia) kepada jalan Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji.

Mereka akan nampak yang bukan sahaja Al-Qur’an itu bawa berita yang benar tetapi ia boleh memimpin manusia ke jalan yang benar. Iaitu jalan yang dikehendaki oleh Allah.


 

Ayat 7: Ayat Syikayah. Ada ahli kitab yang kenal dan boleh terima Al-Qur’an, tapi ada juga puak musyrikin yang menghina Rasulullah dan Al-Qur’an. Allah mengulang kata-kata mereka sebagai syikayah (rungutan).

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا هَل نَدُلُّكُم عَلىٰ رَجُلٍ يُنَبِّئُكُم إِذا مُزِّقتُم كُلَّ مُمَزَّقٍ إِنَّكُم لَفي خَلقٍ جَديدٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But those who disbelieve say, “Shall we direct you to a man who will inform you [that] when you have disintegrated in complete disintegration, you will [then] be [recreated] in a new creation?

(MELAYU)

Dan orang-orang kafir berkata (kepada teman-temannya). “Mahukah kamu kami tunjukkan kepadamu seorang laki-laki yang memberitakan kepadamu bahwa apabila badanmu telah hancur sehancur-hancurnya, sesungguhnya kamu benar-benar (akan dibangkitkan kembali) dalam ciptaan yang baru?

 

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا

Dan orang-orang kafir berkata

Allah menceritakan keadaan di Mekah pada waktu itu. Mereka berjumpa sesama mereka dan bercakap tentang apa yang dikatakan oleh Nabi Muhammad.

 

هَل نَدُلُّكُم عَلىٰ رَجُلٍ

“Mahukah kamu kami tunjukkan kepadamu seorang laki-laki

Ini adalah berita yang mereka baru sahaja mereka dengar dan mereka susah untuk mempercayainya. Ini adalah kerana mereka tidak dapat maklumat tentang akhirat kerana tidak ada kitab wahyu pada mereka dan mereka sudah lama jauh dari maklumat agama.

Maka apabila Nabi sampaikan maklumat itu, pada mereka baginda itu gila.

 

يُنَبِّئُكُم إِذا مُزِّقتُم كُلَّ مُمَزَّقٍ

yang memberitakan kepadamu bahawa apabila badanmu telah hancur sehancur-hancurnya, 

Pada mereka takkan mungkin manusia mati akan dapat dihidupkan semula. Kalimah تمزق ini seperti kita ambil kain dan kita koyak-koyak kain itu sampai hancur. Ini ibarat kepada tubuh manusia yang telah dihancurkan dalam tanah.

 

إِنَّكُم لَفي خَلقٍ جَديدٍ

sesungguhnya kamu benar-benar (akan dibangkitkan kembali) dalam ciptaan yang baru?

Pada mereka amat susah untuk dipercayai yang apabila tubuh manusia itu sudah dihancurkan nanti akan hidup kembali.

Pada mereka pelik sangat apa yang disampaikan oleh  Rasulullah dan mereka kutuk baginda sesama mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 30 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Saba’ Ayat 1 – 3 (Allah Maha Mengetahui)

Pengenalan Surah: 

Sekarang kita masuk kembali kepada surah-surah Makkiyah dan akan berterusan dengan rentetan surah-surah Makkiyah sehinggalah ke Surah Muhammad. Apabila kita masuk kepada Surah Muhammad nanti, maka akan ada banyak Surah-surah Madaniyyah yang selepas itu bermula dengan Surah Muhammad.

Dalam surah ini kita akan belajar tentang sejarah yang akan memberi kita pemahaman yang lebih lagi tentang Semenanjung Tanah Arab. Iaitu waktu surah ini diturunkan. Kita telah tahu bahawa banyak kawasan-kawasan kaum-kaum terdahulu yang dimusnahkan kerana mereka menolak Nabi dan Rasul mereka tetapi tidak semuanya begitu. Jadi kita akan belajar bagaimana keadaan sebelum Islam bermula dengan Nabi Muhammad dan bagaimana duduk perkara suasana Tanah Arab itu.

Dakwa surah ini adalah untuk menafikan syafaat kasih sayang (Syafaat Qahriyah). Maka mereka yang menyeru selain daripada Allah, tidak akan mendapat berkat dan tidak akan mendapat syafaat daripada yang diseru.

Ini perlu disampaikan kerana ada hujah daripada mereka yang jahil wahyu yang kata, mereka memang tahu para Nabi dan wali itu bukan Tuhan. Cuma mereka seru roh-roh wali dan nabi itu kerana hendak mendapatkan berkat dan syafaat sahaja.  Mereka kata supaya doa mereka lebih makbul.

Maka Allah hendak memberitahu bahawa amalan itu adalah amalan yang syirik. Ini dinamakan Syirik Syafaat. Kalau ada fahaman sebegini pun sudah salah. Maka fahaman salah ini kena diperbetulkan dalam masyarakat Islam kita. Kena sedar yang boleh beri syafaat hanya Allah sahaja.

Begitulah salah faham di dalam masyarakat kita sampaikan orang terpelajar pun boleh kena tipu. Ini kerana mereka belajar agama tapi tidak belajar wahyu Al-Qur’an dan Sunnah. Mereka juga mahu selamat dan mahukan syafaat untuk membantu mereka di akhirat kelak. Maka mereka telah meminta syafaat dengan cara yang salah. Sedangkan sepatutnya jikalau hendak mendapat syafaat maka hendaklah kita mengamalkan tauhid. Orang yang mengamalkan tauhid akan automatik dapat syafaat dari Allah.

Tetapi syaitan akan tipu orang-orang yang jahil wahyu itu supaya mereka ada fahaman yang salah tentang syafaat ini. Dan apabila mereka ada salah faham, maka mereka akan menyeru roh-roh wali dan Nabi untuk mendapatkan syafaat. Maka oleh kerana mereka mengamalkan amalan yang syirik maka mereka akan kekal di dalam neraka selama-lamanya.

Kemudian dalam bahagian kedua surah ini Allah mengajar untuk seru kepada Dia sahaja untuk mendapat syafaat. Maknanya ada dua bahagian: Nafi dan ithbat. Bahagian pertama, kita kena nafikan permintaan syafaat kepada selain Allah dan bahagian kedua adalah ithbat iaitu menetapkan hanya Allah sahaja tempat minta syafaat.

Nafi dan ithbat ini banyak disentuh di dalam agama Islam. Sebagai contoh, dalam tahlil kita la ilaaha illallah pun adalah satu elemen nafi dan ithbat. Iaitu nafikan ilah-ilah selain Allah dan kemudian tetapkan bahawa Allah itu adalah ilah yang sebenar.

Kita memang perlukan syafaat dari Allah jika kita ada dosa yang memungkinkan kita dimasukkan ke dalam neraka. Kerana kalau tidak, kita akan dimasukkan ke dalam neraka dahulu untuk cuci dosa.

Untuk dapat syafaat Allah, perlu banyakkan seru kepada Allah dan lakukan amal ibadat yang sahih. Dan hendaklah kukuhkan fahaman tauhid kita dan ini dapat dicapai dengan menyampaikan ajaran wahyu kepada seramai-ramai orang. Kerana apabila kita dakwah kepada masyarakat, maka Allah akan tetapkan iman kita. Ini adalah kelebihan dakwah maka kita jangan tinggalkan dakwah. Sampaikanlah agama setakat yang kita boleh.

Jadi bahagian pertama (nafi) disentuh di dalam Surah Saba’ ini dan bahagian kedua (ithbat) disentuh di dalam Surah Fatir selepas ini.  Surah Saba’ menolak Syafaat Qahriyah dan Surah Fatir Dakwanya kena sembah dan seru kepada Allah Ta’ala sahaja.

Surah Saba’ ini nanti akan disambung dengan tiga surah yang juga menafikan Syafaat Qahriyah iaitu Surah Sad, Yaasin dan Saffat.

Surah Saba’ ini terbahagi kepada dua bahagian:

Ayat 1 – 21 adalah bahagian 1. Allah menyebut tiga cerita iaitu kisah Nabi Daud, Nabi Sulaiman dan juga jin.

Ketiga-tiga kisah ini menunjukkan bahawa tidak boleh minta syafaat kepada mereka kerana mereka pun tidak tahu perkara ghaib. Kelebihan yang ada pada Nabi Daud dan juga Nabi Sulaiman dalam bentuk mukjizat itu adalah dari Allah dan bukan kelebihan mereka sendiri. Maknanya mereka pun tidak ada kuasa. Maka kenapa nak kena minta syafaat dari mereka pula?

Dan juga akan diberitahu bahawa jin pun tidak tahu perkara ghaib kerana apabila Nabi Sulaiman wafat mereka pun tidak tahu yang baginda telah wafat. Jadi bodoh sangatlah kita jikalau ada yang meminta kepada jin. Ini disebut kerana ada manusia yang minta tolong kepada jin.

Ayat 22 hingga akhir adalah bahagian kedua surah ini. Ia menyebut tentang malaikat. Pun diajar bahawa tidak boleh minta syafaat kepada mereka kerana mereka pun tidak dibenarkan memberi syafaat kecuali kepada orang yang mati dalam tauhid.


 

Ayat 1: Dalil aqli. Surah ini mengandungi 7 perenggan Makro dan Perenggan Makro Pertama adalah dari ayat 1 hingga 9. Ia mengandungi pernyataan aqidah tauhid dan tentang Hari Akhirat.

Ia dimulai dengan ayat 1 & 2 yang menceritakan kepada kita Sifat-sifat Allah. Allah Pemilik dan Penguasa Langit dan Bumi dan segala isinya

الحَمدُ ِللهِ الَّذي لَهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ وَلَهُ الحَمدُ فِي الآخِرَةِ ۚ وَهُوَ الحَكيمُ الخَبيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Saba’: (The People of) Saba’ or Sabeans.

[All] praise is [due] to Allāh, to whom belongs whatever is in the heavens and whatever is in the earth, and to Him belongs [all] praise in the Hereafter. And He is the Wise, the Acquainted.

(MELAYU)

Segala puji bagi Allah yang memiliki apa yang di langit dan apa yang di bumi dan bagi-Nya (pula) segala puji di akhirat. Dan Dialah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

 

الحَمدُ ِللهِ الَّذي لَهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Segala puji bagi Allah yang memiliki apa yang di langit dan apa yang di bumi

Surah ini menarik kerana ianya adalah salah satu daripada lima surah yang dimulai dengan kalimah alhamdulillah. Dan pada empat surah yang dimulai dengan kalimah alhamdulillah itu menjadi seperti pembeza keseluruhan Al-Qur’an kepada empat bahagian. Dan empat bahagian itu pula terbahagi hampir sama banyak sahaja. Ini ada disebut dalam perbincangan Surah Fatihah. Jadi kita sudah masuk kepada bahagian ketiga dalam Al-Qur’an.

Dan kalimah alhamdulillah ini amat rapat dengan kita kerana banyak sekali kalimah ini kita sebut-sebut di dalam kehidupan kita seharian. Setiap hari kita baca kalimah ini dalam solat kita. Dan mulut kita selalu menyebutnya di dalam banyak perkara. Maka bolehlah dikatakan yang kita ini adalah ‘Umat Alhamdulillah’.

Kalimah حمد mempunyai elemen ‘puji’ dan ‘syukur’ di dalamnya. Kita puji Allah kerana Allah memiliki segala yang ada dalam alam ini dengan segala kehebatan yang Allah telah adakan. Dan kita memuji Allah SWT kerana Dia telah berikan kita dengan berbagai nikmat dan rahmat. Setiap yang kita ada ini adalah kerana pemberian dari Allah.

 

وَلَهُ الحَمدُ فِي الآخِرَةِ

dan bagi-Nya (pula) segala puji di akhirat. 

Maka segala puji itu bagi Allah kerana Allah yang memiliki langit dan bumi dan juga hari akhirat. Sebagaimana Allah terpuji di dunia maka Allah juga terpuji di akhirat. Sebagaimana Allah yang memberi rahmat kepada makhluk di alam dunia maka Allahlah juga yang akan memberi rahmat di alam akhirat nanti.

 

وَهُوَ الحَكيمُ الخَبيرُ

Dan Dialah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

Segala urusan dan rancangan Allah adalah sempurna kerana ia dilakukan atas kebijaksanaan Allah. Kita tidak mungkin akan dapat capai untuk memahami apakah sebabnya Allah melakukan sesuatu perkara itu kerana akal kita tidak akan dapat memahaminya. Maka kita kena terima sahaja perancangan Allah.

Janganlah kita mempersoalkan apa yang Allah lakukan dengan berkata: “eh, kenapa yer Allah jadikan begini dan begini… kenapa tidak jadi begini dan begitu?” Siapalah kita untuk mempersoalkan kenapa Allah melakukan sesuatu perkara itu?

Dan Allah boleh buat semua itu kerana ilmu Allah sempurna. Allah tahu segalanya yang kita tidak tahu. Maka janganlah kita mempersoalkan keputusan Allah dalam menentukan takdir kepada kita.


 

Ayat 2: Tadi Allah sebut tentang ilmu dan sekarang disebut Ilmu Khas bagi Allah.

يَعلَمُ ما يَلِجُ فِي الأَرضِ وَما يَخرُجُ مِنها وَما يَنزِلُ مِنَ السَّماءِ وَما يَعرُجُ فيها ۚ وَهُوَ الرَّحيمُ الغَفورُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He knows what penetrates into the earth and what emerges from it and what descends from the heaven and what ascends therein. And He is the Merciful, the Forgiving.

(MELAYU)

Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi, apa yang keluar daripadanya, apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadanya. Dan Dialah Yang Maha Penyayang lagi Maha Pengampun.

 

يَعلَمُ ما يَلِجُ فِي الأَرضِ

Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi,

Allah tahu segala yang masuk ke dalam bumi. Yang masuk ke dalam tanah boleh jadi macam-macam seperti air dan juga benih. Semua yang masuk itu Allah tahu dan tidak ada yang tersembunyi dari Allah.

 

وَما يَخرُجُ مِنها

dan apa yang keluar daripadanya,

Dan yang keluar dari tanah adalah seperti tumbuh-tumbuhan, wap air dan sebagainya.

Tetapi itu adalah perkara fizikal sahaja. Kena lihat lebih lagi dari itu, jangan tengok yang luaran sahaja. Dalam ayat ini, Allah hendak memberi isyarat dan peringatan kepada kita yang kita juga akan ‘masuk ke dalam tanah nanti apabila kita mati dan kita akan ‘keluar’ daripada tanah apabila kita dihidupkan semula.

Maka janganlah kita baca ayat-ayat ini dengan mata fizikal kita sahaja tetapi hendaklah kita kaitkan dengan perkara dalaman. Kaitkan dengan diri kita kerana ayat-ayat Al-Qur’an ini adalah untuk kita ambil pengajaran. Dan kalau kita ingat bahawa kita akan mati dan akan dihidupkan semula, maka inilah perkara penting yang akan menyebabkan kita menjaga amalan kita.

Selalunya apabila kita tanam benih dalam tanah, ia mengingatkan kita kepada permulaan kepada kehidupan tanaman itu. Tetapi kalau kita menanam dan menguburkan manusia ke dalam tanah, selalunya kita berfikir yang itu adalah akhir kepada kehidupan dia.

Maka ayat ini hendak mengubah pemahaman kita tentang perkara itu. Kita kena samakan kemasukan manusia ke dalam kubur sama seperti kemasukan benih ke dalam tanah. Sebagaimana kemasukan benih ke dalam tanah itu adalah permulaan kepada kehidupan tumbuhan, maka kita kena lihat kemasukan manusia ke dalam kuburnya itu adalah sebagai permulaan kepada kehidupan yang sebenar.

Kerana akhirat adalah kehidupan yang sebenar dan bukannya kehidupan di dunia ini. Kehidupan dunia ini adalah ujian sahaja dan ianya amat sementara. Kehidupan di akhirat itulah yang kekal abadi selama-lamanya. Dan permulaan kehidupan akhirat bermula dengan masuk ke dalam tanah.

 

وَما يَنزِلُ مِنَ السَّماءِ

dan apa yang turun dari langit 

Allah juga maha tahu semua yang turun dari langit. Yang turun daripada langit adalah seperti hujan, rezeki, wahyu dan juga arahan daripada Allah.

 

وَما يَعرُجُ فيها

dan apa yang naik darinya.

Yang naik di dalam alam fizikal adalah seperti wap-wap daripada bumi. Air apabila panas ia akan jadi wap dan wap yang ringan akan naik ke atas.

Tetapi dalam perkara ghaib, yang naik ke langit itu setiap hari adalah roh-roh manusia yang telah mati. Maka sekali lagi kita diingatkan dengan kematian dan kehidupan selepas mati, bukan?

Begitu juga dengan malaikat yang juga naik ke langit. Setiap hari malaikat yang mencabut nyawa manusia akan mengangkat roh-roh itu sampai ke langit. Malaikat juga banyak yang turun naik melihat amalan manusia dan melaporkan perbuatan manusia kepada Allah.

 

وَهُوَ الرَّحيمُ الغَفورُ

Dan Dialah Yang Maha Penyayang lagi Maha Pengampun.

Selalunya Allah sebut الغَفورُ dulu dalam banyak-banyak ayat Al-Qur’an. Kali ini terbalik pula kerana Allah dulukan menyebut kalimah الرَّحيمُ. Dan ini hanya ada di dalam surah ini sahaja.

Ini adalah kerana di dalam surah ini nanti kita akan belajar tentang umat-umat yang diberikan dengan rahmat dari Allah. Dan apabila mereka tidak menghargai rahmat itu maka Allah memberi peluang kepada mereka untuk bertaubat. Maka dahulukan ‘rahmat’ dan kemudian ‘pengampunan’.

Dan kerana ayat ini memberi isyarat kepada kehidupan dunia yang membawa kepada kehidupan akhirat, maka susunan nama Allah ini juga penting. Kerana semasa kita hidup di dunia kita memerlukan الرَّحيمُ dari Allah tetapi apabila kita sudah memulakan kehidupan akhirat maka kita amat memerlukan sifat الغَفورُ Allah.

Susunan ini juga kerana ayat ini tentang pertanian. Ia adalah isyarat kepada rahmah Allah di dalam Al-Qur’an. Benih dimasukkan ke dalam tanah dan kemudian bercambahnya pokok. Hujan pula Allah turunkan untuk menyuburkan tanaman itu. Jadi bab rahmah itu kita faham, tapi kenapa Allah sebut tentang sifatNya yang pengampun pula? Setiap kali kalimat ghafur dan raheem disebut, ia di dalam ayat tentang manusia kerana manusia memerlukan sifat ghafur Allah. Akan tetapi ayat ini menyebut tentang tumbuh-tumbuhan.

Seolah-olah tumbuhan tidak kena mengena dengan manusia pula. Akan tetapi tentu ada. Allah beri contoh tentang kehidupan tumbuh-tumbuhan yang ditanam dan keluar cambahnya, sepertimana juga manusia yang akan dimasukkan ke dalam tanah apabila mati dan kemudian dibangkitkan kelak apabila akhirat bermula.

Bukan benih sahaja dimasukkan ke dalam tanah, tapi kita nanti. Kita juga akan dibangkitkan. Dan waktu dibangkitkan itu kelak, kita amat memerlukan sifat rahmah Allah. Dan kemudian apabila sudah dibangkitkan, apabila dihadapkan di hadapan Allah dan amalan kita diperiksa, kita terus memerlukan sifat ghafur Allah. Kerana itulah diberikan susunan ini, disebut rahmah dahulu sebelum sifat ghafur. Iaitu ikut susunan keperluan. Inilah keindahan susunan di dalam Al-Qur’an yang amat tepat.


 

Ayat 3: Ayat syikayah. Ayat 3 – 9 ini berkenaan golongan yang tidak mempercayai Hari Akhirat.

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لا تَأتينَا السّاعَةُ ۖ قُل بَلىٰ وَرَبّي لَتَأتِيَنَّكُم عٰلِمِ الغَيبِ ۖ لا يَعزُبُ عَنهُ مِثقالُ ذَرَّةٍ فِي السَّمٰوٰتِ وَلا فِي الأَرضِ وَلا أَصغَرُ مِن ذٰلِكَ وَلا أَكبَرُ إِلّا في كِتٰبٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But those who disbelieve say, “The Hour will not come to us.” Say, “Yes, by my Lord, it will surely come to you. [Allāh is] the Knower of the unseen.” Not absent from Him is an atom’s weight¹ within the heavens or within the earth or [what is] smaller than that or greater, except that it is in a clear register –

  • Or “the weight of a small ant.”

(MELAYU)

Dan orang-orang yang kafir berkata: “Hari berbangkit itu tidak akan datang kepada kami”. Katakanlah: “Pasti datang, demi Tuhanku Yang Mengetahui yang ghaib, sesungguhnya kiamat itu pasti akan datang kepadamu. Tidak ada tersembunyi daripada-Nya sebesar zarrah pun yang ada di langit dan yang ada di bumi dan tidak ada (pula) yang lebih kecil dari itu dan yang lebih besar, melainkan tersebut dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh)”,

 

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لا تَأتينَا السّاعَةُ

Dan orang-orang yang kafir berkata: “Hari berbangkit itu tidak akan datang kepada kami”. 

Orang-orang kafir tidak percaya yang hari kiamat akan datang. Pada mereka, apabila mereka mati, maka mereka akan mati begitu sahaja, tidaklah ada hari kiamat dan hari kebangkitan semula.

Atau, satu lagi tafsir merujuk kepada kesombongan penentang agama. Mereka yang menentang agama itu kata, mereka sudah buat macam-macam perkara yang menentang agama tapi Kiamat tak datang-datang lagi pun. Mereka tidak dikenakan dengan azab pun. Maka, mereka mengejek baginda: manakah dia balasan yang engkau ancam kami itu?

 

قُل بَلىٰ وَرَبّي لَتَأتِيَنَّكُم

Katakanlah: “Pasti datang, demi Tuhanku, sesungguhnya kiamat itu pasti akan datang kepadamu. 

Kenapa tidak ada Hari Kiamat dan azab itu, bahkan ianya pasti ada. Kamu tunggulah sahaja. Tak payah kamu nak tanya supaya ia dipercepatkan, ia pasti akan datang.

Kalimat وَرَبّي adalah kalimah sumpah (qosam). Allah suruh Nabi Muhammad bersumpah denganNya dan ini jarang berlaku di dalam Al-Qur’an. Kerana Allah selalu bersumpah dengan makhlukNya juga seperti masa, matahari, malam dan siang dan lain-lain lagi. Tapi kali ini Allah bersumpah dengan DiriNya. Maka ini adalah sesuatu yang amat besar.

Ini kerana Allah suruh menegaskan bahawa hari kiamat itu PASTI akan datang. Maka untuk menguatkan pemberitahuan itu, maka Allah suruh baginda bersumpah dengan DiriNya untuk menguatkan lagi penekanan.

 

عٰلِمِ الغَيبِ

Dia Yang Mengetahui yang ghaib,

Allah yang mengetahui ilmu ghaib. Maka apabila Allah beritahu berita ghaib, maka kita kena percaya sepenuhnya. Dan kerana itu Allah SWT sahaja yang tahu bilakah hari Kiamat itu akan datang. Tidak ada sesiapa yang tahu melainkan Allah sahaja. Kerana ilmu ghaib dalam tangan Allah sahaja.

Ini juga mengajar kita satu perkara dalam tauhid yang amat penting iaitu Allah sahaja yang ada ilmu tentang perkara ghaib. Mana-mana maklumat yang diketahui oleh makhluk dari perkara ghaib adalah kerana Allah yang beritahu. Maka jangan kita kata Nabi, wali, jin atau mana-mana makhluk tahu ilmu ghaib. Maka kalau Syiah kata para imam-imam mereka ada ilmu ghaib, maka itu adalah fahaman yang syirik.

 

لا يَعزُبُ عَنهُ مِثقالُ ذَرَّةٍ فِي السَّمٰوٰتِ وَلا فِي الأَرضِ

Tidak ada tersembunyi daripada-Nya sebesar zarrah pun yang ada di langit dan yang ada di bumi

Kalimah عزب bermaksud sesuatu yang terlalu jauh sampai kita tidak berapa nampak. Macam kalau kita berada di tengah lautan dan kita nampak seperti pulau tetapi kita tidak pasti kerana terlalu jauh bagi kita.

Tidak ada apa-apa langsung yang terlalu jauh bagi Allah sampai Dia tidak tahu. Maknanya tidak ada apa langsung yang tersembunyi dari Allah.

 

وَلا أَصغَرُ مِن ذٰلِكَ وَلا أَكبَرُ

dan tidak ada (pula) yang lebih kecil dari itu dan yang lebih besar, 

Tidak ada apa-apa yang Allah tidak tahu walau kecil bagaimana pun. Kalau benda kecil sangat, kita tidak nampak dengan mata, bukan? Ini tidak terjadi pada Allah.  Yang kecil tapi jauh pun Allah masih tahu juga. Atau lebih kecil dari habuk. Atau perkara sub-atomic  iaitu lebih kecil dari atom. Tidak ada yang Allah tidak tahu.

Bukan sahaja yang kecil, yang besar pun Allah tahu juga sebab Dia yang buat. Kalau benda besar sangat kita pun tidak tahu, bukan? Kerana kita tidak nampak keseluruhannya. Contohnya kalau Gunung Kinabalu, kalau kita berada di bawahnya, kita tidak nampak keseluruhan Gunung itu kerana ia besar sangat, kita kena pergi jauh dari situ baru nampak secara keseluruhan.

Maka tidak ada yang terselindung kepada Allah. Sama ada di langit atau di bumi. Sama ada benda kecil atau besar itu berada di langit dan di bumi.

Allah sebut tentang perkara ini kerana mereka yang tidak percaya kepada hari kiamat itu dan kebangkitan semula itu adalah kerana mereka tak dapat terima bagaimana Allah akan kumpulkan tubuh badan kita untuk dibangkitkan semula. Kerana badan kita akan hancur dan bersepah di sana sini, maka bagaimana Allah nak kutip dan cantumkan balik?

Maka Allah nak beritahu walau di mana sahaja pecahan tubuh manusia itu, Allah pasti akan dapat cari dan kumpulkan. Kerana Allah tahu di mana zarah tubuh itu.

 

إِلّا في كِتٰبٍ مُّبينٍ

melainkan tersebut dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh)”,

Semuanya tertulis dalam kitab di Lauh Mahfuz. Iaitu Allah telah takdirkan apa dan bila akan berlaku. Maka kerana Allah taala yang takdirkan maka Allah SWT tahu segalanya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 18 April 2023


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Ahzab Ayat 70 – 73 (Manusia ambil amanah)

Ayat 70: Sekarang Allah ‎ﷻ berikan nasihat kepada kita semua. Daripada menggunakan lidah kita untuk menyebabkan dosa, maka tentu lebih baik jika kita gunakan lidah kita ini untuk membuat pahala.

Ingatlah yang lidah kita ini seperti ‘mesin’ yang boleh membuat pahala dan juga boleh membuat dosa. Bergantung kepada niat dan percakapan kita itu. Maka kenalah berjaga-jaga dan kenalah ada usaha untuk keluarkan pahala dengannya, bukannya dosa. Kalau cakap tidak mengikut akal dan iman, maka dosalah yang akan keluar daripadanya.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللهَ وَقولوا قَولًا سَديدًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, fear Allāh and speak words of appropriate justice.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar,

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللهَ

Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah ‎ﷻ dan takutlah dengan ancaman-Nya dan menjaga segala hukuman dan larangan-Nya. Apabila seseorang itu mempunyai taqwa, dia akan menjaga hukum dalam segenap kehidupannya. Apa-apa sahaja dia hendak buat dan cakap, dia akan fikir: “Allah ‎ﷻ nak aku buat macam mana dalam hal ini?”

Ini adalah kerana dia sudah mendapat kesedaran dan keyakinan bahawa Allah ‎ﷻ sentiasa memerhatikan sahaja gerak langkahnya. Dari segi ilmu, kita tahu yang Allah ‎ﷻ sentiasa memerhatikan kita, bukan? Tetapi adakah kita sematkan ke dalam hati kita akan perkara itu? Adakah kita benar-benar dapat rasa yang Allah ‎ﷻ sedang memerhatikan kita? Ini kerana kalau kita benar-benar yakin, kita tidak akan berani dan malu untuk berbuat dosa.

Sebagai contoh, kalau ayah kita berada di hadapan kita, tidak mungkin kita berani hendak membuat salah, bukan? Begitu juga kalau polis berada berdekatan dengan kita, tidak mungkin kita berani hendak mencuri, bukan? Maka begitulah kita dengan Allah ‎ﷻ. Kena punyai rasa dan sedar yang Allah ‎ﷻ sedang memerhatikan kita. Dan latihan ini dilakukan di dalam salat.

Iaitu dalam salat, kita bangkitkan kesedaran yang Allah ‎ﷻ sedang memerhatikan salat kita. Oleh sebab itulah kita kena belajar maksud dalam salat kita supaya perasaan bercakap dengan Allah ‎ﷻ dapat dijelmakan. Ini pun memang susah hendak dilakukan.

Tetapi apabila kita sudah berjaya mendapat perasaan ini dalam salat kita, maka kita sedikit demi sedikit, bawa perasaan ini di luar salat. Sampaikan di luar salat pun kita sedar yang Allah ‎ﷻ sedang memerhatikan kita.

Seperti yang telah disebut, menjadi orang bertaqwa adalah amat-amat susah. Maka selepas ini disebut satu perkara yang kita boleh mulakan untuk mendapat maqam taqwa: jaga percakapan kita.

Begitulah Allah ‎ﷻ ajarkan caranya kepada kita di dalam Al-Qur’an. Apabila terdapat arahan untuk bertaqwa, maka Al-Qur’an akan memberikan jalan bagaimana taqwa ini dapat dicapai. Sebagai contoh lain, dalam ayat 69, Allah ‎ﷻ memberitahu jangan sakiti Nabi dan orang yang disayangi-Nya. Maksudnya, menyakiti wali Allah ‎ﷻ adalah penghalang kepada taqwa. Apabila penghalang dihilangkan, maka ia membuka peluang kepada taqwa.

Di dalam Tawbah:119, Allah ‎ﷻ ajar untuk duduk bersama dengan orang yang benar.

Dan di dalam Hashr:18, Allah ‎ﷻ mengajar kita untuk menjadi muttaqeen, hendaklah duduk memikirkan apakah yang kita telah sediakan untuk habuan kita di akhirat kelak.

 

وَقولوا قَولًا سَديدًا

dan katakanlah perkataan yang benar,

Dalam keadaan mana pun kamu berada, hendaklah bercakap dengan سديد. Ia bermaksud ucapan yang betul, ucapan yang benar. Ucapan yang betul tentunya ucapan yang membawa kepada fahaman dan amalan tauhid.

Kalimah سديد dari س د د yang bermaksud dinding yang menghalang dan menjaga dan memberi perlindungan. سداد adalah sesuatu yang dapat membaiki dinding. Maka kalau kalimah سديد pula adalah kata-kata yang dapat menyelesaikan masalah.

Ini kerana kata-kata dari manusia ini boleh menyelesaikan masalah tetapi ada juga kata-kata yang boleh menyebabkan masalah. Kadang-kadang intonasi yang kita gunakan boleh diinterpretasi dengan maksud berbeza yang boleh menyebabkan orang lain sakit hati. Itu bukan سديد kalau begitu.

Maka Allah ‎ﷻ hendak memberitahu kepada kita semua yang kita bukan sahaja kena menjaga pergaulan tetapi kita juga kena menjaga percakapan kita supaya percakapan itu tidak menyebabkan masalah tetapi sebaliknya menyelesaikan masalah.

Sebagai contoh, kita hendaklah bercakap dengan jelas dan jangan gunakan kata-kata yang boleh menyebabkan pasangan kita (atau orang lain) berfikir yang bukan-bukan.

Jangan kita terus membuat andaian yang pasangan kita tahu apa maksud yang kita cakap. Kalau kita mahukan sesuatu, maka hendaklah kita berterus terang dengan pasangan kita. Ini kerana kadang-kadang kita sangka isteri kita faham tetapi sebenarnya dia tidak faham dan kerana itu menyebabkan perbalahan sesama suami isteri.

Sebagai contoh, kita kata kita balik lambat jadi isteri kita sangka kita akan makan di luar dan dia tidak sediakan makanan. Jadi bila kita sampai ke rumah dan tengok makanan tidak ada, maka ini boleh menyebabkan bermasam muka. Sedangkan kita juga yang salah sebab tidak suruh isteri kita sediakan makanan. Kita sahaja anggap: “alaaahhh, takkan tak faham?” Maka kenalah jelaskan yang walaupun balik lambat tetapi kita tetap hendak makan di rumah.

Kalau suami atau isteri kita ajak kita pergi ke sesuatu tempat yang kita tidak suka, maka cakaplah kita tidak suka dari awal lagi. Jangan pergi tetapi kemudian kita buat muka masam dengannya. Dan banyak lagi contoh-contoh yang boleh dijadikan sebagai pengajaran bagi kita.

Surah ini memang berkenaan perhubungan di dalam keluarga tetapi di dalam perhubungan kita dengan orang lain pun kenalah menggunakan bahasa yang mudah dan sedang difahami. Cakap dengan sejelas mungkin dan tanya balik kalau ada benda yang tidak faham.


 

Ayat 71: Natijah bila kita jaga lidah kita.

يُصلِح لَكُم أَعمٰلَكُم وَيَغفِر لَكُم ذُنوبَكُم ۗ وَمَن يُطِعِ اللهَ وَرَسولَهُ فَقَد فازَ فَوزًا عَظيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He will [then] amend for you your deeds and forgive you your sins. And whoever obeys Allāh and His Messenger has certainly attained a great attainment.

(MELAYU)

Nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah mendapat kemenangan yang besar.

 

يُصلِح لَكُم أَعمٰلَكُم

Nescaya Dia memperbaiki bagimu amalan-amalanmu

Kalau kita dapat bercakap dengan baik dan jelas, maka Allah ‎ﷻ akan memperbaiki amalan kita dan kehidupan kita. Bila kita jaga apa yang keluar dari mulut kita, maka Allah ‎ﷻ akan bantu kita untuk mendapat taqwa. Dan ini adalah janji dari Allah ‎ﷻ. Ini adalah satu tafsiran.

Kalau dilihat dari sudut tauhid pula, jika kita berkata dan mengamalkan tauhid, maka Allah ‎ﷻ akan memperbaiki amalan kita supaya diterima oleh-Nya. Ini kerana akidah tauhidlah yang menyebabkan segala amalan kita diterima.

Maknanya kalau akidah kita masih ada yang syirik, maka amalan kita semuanya tidak diterima langsung. Maka sia-sia sahaja amalan kita yang banyak tetapi tidak ditulis pun dalam kitab amalan sebagai pahala. Maka kenalah belajar dan berdoalah supaya Allah ‎ﷻ memberikan pemahaman tentang yang mana itu tauhid dan minta Allah ‎ﷻ tunjukkan yang mana itu syirik. Ini kerana kadangkala kita sudah belajar namun masih keliru dan tidak tahu lagi.

Kalau kita sudah belajar dan ada membuat salah dan silap, maka adalah juga alasan kalau terbuat salah. Tetapi alasan apa yang boleh diberi kalau tidak ada usaha nak belajar langsung?

 

وَيَغفِر لَكُم ذُنوبَكُم

dan Dia mengampuni bagimu dosa-dosamu. 

Dan kalau kita jaga kata-kata kita maka Allah ‎ﷻ akan mengampuni segala dosa-dosa kita. Inilah yang kita harapkan sangat kerana kita takut kalau ada dosa yang tidak diampunkan apabila kita mati kelak. Ini kerana kalau iman kita betul, tetapi ada dosa yang tidak diampunkan, ada kemungkinan Allah ‎ﷻ akan masukkan kita ke dalam neraka dahulu untuk mencuci dosa. Alangkah takutnya!

 

وَمَن يُطِعِ اللهَ وَرَسولَهُ فَقَد فازَ فَوزًا عَظيمًا

Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah mendapat kemenangan yang besar.

Ini anjuran untuk taat kepada perintah Allah ‎ﷻ dan Rasul. Kemenangan yang besar itu maksudnya kita dimasukkan ke dalam syurga. Ini kerana kejayaan dalam ayat ini menggunakan kalimah فاز yang bermaksud berjaya selamat dari sesuatu yang membahayakan. Yang dimaksudkan adalah berjaya selamat dari neraka. Dan ini tentunya kejayaan yang amat menggembirakan sekali.


 

Ayat 72: Sekarang kita masuk ke Perenggan Makro ke 12 dan terakhir surah ini. Ia adalah tentang amanah. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu bahawa agama Allah ‎ﷻ ini adalah amanah. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu bahawa kita semua adalah ‘pemegang amanah’. Kita bukan dihidupkan di dunia ini untuk suka-suka sahaja hidup di atas dunia ini tanpa ada tanggungjawab.

Dan amanah yang diberikan itu adalah berat. Ini adalah amanah yang paling berat sekali. Dan ramai yang tidak menjalankan amanah ini.

إِنّا عَرَضنَا الأَمانَةَ عَلَى السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَالجِبالِ فَأَبَينَ أَن يَحمِلنَها وَأَشفَقنَ مِنها وَحَمَلَهَا الإِنسٰنُ ۖ إِنَّهُ كانَ ظَلومًا جَهولًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, We offered the Trust¹ to the heavens and the earth and the mountains, and they declined to bear it and feared it; but man [undertook to] bear it. Indeed, he was unjust and ignorant.²

  • The acceptance of obligations and obedience to Allāh.
  • Coveting its reward while forgetting the penalty for failure to keep his commitment.

(MELAYU)

Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh,

 

إِنّا عَرَضنَا الأَمانَةَ عَلَى السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَالجِبالِ

Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung,

Amanah yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah roh yang boleh membuat pilihan untuk membuat kebaikan ataupun kejahatan. Kita makhluk yang boleh membuat keputusan sama ada untuk menjadi baik ataupun tidak, ingin taatkan syariat ataupun engkar. Kita tidak dipaksa tetapi kenalah membuat pilihan sendiri. Ini kerana Allah ‎ﷻ telah memberi roh kepada kita dan dibekalkan sekali dengan nafsu dan akal.

Selain dari kita, kebolehan memilih baik atau buruk ini juga diberikan kepada jin. Ia tidak diberikan kepada malaikat dan binatang dan kerana itu mereka tidak ada pilihan untuk menolak syariat. Maka malaikat sentiasa sahaja taat kepada Allah ‎ﷻ tanpa pilihan.

Roh yang boleh memilih ini merupakan amanah yang hebat. Dan seperti juga barang berharga yang kita akan simpan di dalam peti besi, maka ‘peti besi’ untuk roh ini adalah hati kita.

Maka kena sedar tentang kepentingan kita menjaga roh kita ini dan sentiasa memberi ‘makanan’nya, iaitu wahyu. Kalau tubuh fizikal kita dijadikan dari tanah, maka makanannya dari sumber yang datang dari tanah. Oleh kerana roh dijadikan dari cahaya, maka makanannya dari cahaya juga, iaitu wahyu ilahi.

Satu lagi pendapat yang mengatakan amanah yang dimaksudkan itu adalah Al-Qur’an. Iaitu kita diamanahkan untuk menjalankan arahan di dalamnya. Dan memang roh kita memerlukan wahyu Al-Qur’an untuk hidup sebagaimana yang telah disebut tadi.

Selain dari itu, ada banyak lagi pendapat yang diberikan oleh para mufassir tentang apakah yang dimaksudkan dengan ‘amanah’ dalam ayat ini. Ada yang mengatakan ianya hukum hakam agama, menjaga maruah, harta yang diamanahkan, mengangkat hadas, salat, zakat, puasa, mengerjakan Haji dan sebagainya. Oleh itu ada pendapat yang mengatakan semua kewajipan agama termasuk dalam ‘amanah’ yang dimaksudkan.

Allah ‎ﷻ memberitahu kita bahawa sebelum amanah ini diberikan kepada manusia, ia telah ditawarkan kepada langit, bumi dan gunung iaitu makhluk yang besar-besar. Bagaimana cara Allah ‎ﷻ mempersembahkan kepada mereka, kita tidak perlu tahu dan kita tidak akan dapat tahu. Ini kerana komunikasi Allah ‎ﷻ dengan makhluk-Nya yang lain tidak sama dengan kita. Kita memang tidak dapat bercakap dengan langit, bumi dan gunung, tetapi Allah ‎ﷻ  tentunya boleh.

Allah ‎ﷻ juga telah sebut dalam ayat yang lain seperti Isra’:44, makhluk Allah ‎ﷻ yang lain walaupun nampak tidak bernyawa, tetapi mereka juga bertasbih dengan cara mereka.

تُسَبِّحُ لَهُ السَّماواتُ السَّبعُ وَالأَرضُ وَمَن فيهِنَّ ۚ وَإِن مِن شَيءٍ إِلّا يُسَبِّحُ بِحَمدِهِ وَلٰكِن لا تَفقَهونَ تَسبيحَهُم ۗ إِنَّهُ كانَ حَليمًا غَفورًا

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.

 

فَأَبَينَ أَن يَحمِلنَها

maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu

Jadi amanah itu telah dipersembahkan kepada langit bumi dan juga gunung tetapi mereka enggan untuk menerimanya. Mereka tidak berani kerana mereka takut dengan tanggungjawab yang datang dengannya.

Maksud ‘enggan’ di dalam ayat ini bukanlah mereka tolak tetapi maksudnya mereka ‘tidak mampu’ kerana ia adalah amat berat. Mereka sedar yang mereka tidak akan mampu. Dan memang mereka akan pecah kalau terima juga. Ini disebut dalam Hashr:21.

لَو أَنزَلنا هٰذَا القُرآنَ عَلىٰ جَبَلٍ لَرَأَيتَهُ خاشِعًا مُتَصَدِّعًا مِن خَشيَةِ اللَّهِ ۚ وَتِلكَ الأَمثالُ نَضرِبُها لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَفَكَّرونَ

Sekiranya Kami turunkan Al-Qur’an ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.

Ada dibincangkan, tidakkah langit, bumi dan gunung ganang telah enggan taat kepada perintah Allah ‎ﷻ apabila Allah ‎ﷻ berikan amanah itu kepada mereka? Tidakkah langit dan bumi taat sahaja kepada apa sahaja perintah Allah ‎ﷻ seperti yang disebut dalam Fussilat:11

فَقالَ لَها وَلِلأَرضِ ائتِيا طَوعًا أَو كَرهًا قالَتا أَتَينا طائِعينَ

lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi: “Turutlah kamu berdua akan perintahKu, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!” Keduanya menjawab: “Kami berdua sedia menurut – patuh dengan sukarela”

Jawabnya: Ayat Fussilat ini adalah arahan yang wajib kepada langit dan bumi. Sedangkan amanah itu adalah ‘tawaran’ dari Allah ‎ﷻ yang mereka boleh terima atau tidak. Ini kerana tidak layak mereka menolaknya kalau ia adalah arahan yang wajib.

 

وَأَشفَقنَ مِنها

dan mereka khawatir akan mengkhianatinya,

Langit, bumi dan gunung itu takut mereka tidak akan mampu untuk menanggung beban itu. Mereka takut kalau mereka ambil juga, mereka tidak akan menyempurnakan tugas yang amat berat itu.

Diriwayatkan dari Mujahid. Dia telah mengatakan bahawa amanat ini ditawarkan kepada langit, maka langit menjawab, “Ya Tuhanku, Engkau telah memikulkan kepada kami bintang-bintang, semua penduduk langit, dan lain-lainnya. Kami tidak menginginkan pahala dan kami tidak mahu memikul suatu kewajipan apa pun.” Lalu ditawarkan kepada bumi. Maka bumi menjawab, “Ya Tuhanku, Engkau telah menanamkan semua pohon padaku, dan Engkau alirkan semua sungai padaku serta penduduk bumi dan segala sesuatunya, aku tidak menginginkan pahala dan aku tidak mahu memikul kewajipan lainnya lagi.” Hal yang sama dikatakan oleh gunung-gunung. Lalu disebutkan firman-Nya: dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh. (Al-Ahzab: 72) dalam memikirkan akibat urusannya.

 

وَحَمَلَهَا الإِنسٰنُ

dan dipikullah amanat itu oleh manusia.

Dan seperti yang kita tahu, manusia yang ambil beban ini.

Al-Aufi telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas رضي الله عنهما, bahawa yang dimaksudkan dengan amanat adalah ketaatan. Allah ‎ﷻ menawarkan amanat itu kepada mereka sebelum menawarkannya kepada manusia, tetapi ternyata mereka tidak kuat. Lalu Allah ‎ﷻ berfirman kepada Adam عليه السلام, “Sesungguhnya Aku telah menawarkan amanat ini kepada langit, bumi, dan gunung-gunung, tetapi mereka tidak mampu memikulnya. Apakah kamu mahu memikul amanat ini berikut segala akibatnya?” Adam عليه السلام bertanya, “Apa saja konsekuensinya itu, wahai Tuhanku?” Allah ‎ﷻ menjawab, “Jika kamu berbuat baik, maka kamu diberi pahala. Dan jika kamu berbuat buruk, kamu diseksa. Lalu amanat itu diambil oleh Adam عليه السلام. Yang demikian itu disebutkan oleh firman-Nya: dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh. (Al-Ahzab: 72)

Digunakan kalimah  الإِنسٰنُ dalam ayat ini. Ia adalah dari kalimah نِسيَان yang bermaksud ‘pelupa’. Oleh itu Allah ‎ﷻ hendak menekankan bahawa manusia yang bersifat senang lupa inilah yang telah menerima beban itu.

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ibnu Basysyar, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Ja’far, telah menceritakan kepada kami Syu’bah, dari Abu Bisyr, dari Sa’id ibnu Jubair, dari Ibnu Abbas رضي الله عنهما sehubungan dengan makna firman-Nya: Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi, dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya. (Al-Ahzab: 72) Ibnu Abbas رضي الله عنهما mengatakan bahawa lalu amanat itu ditawarkan kepada Adam عليه السلام seraya berfirman, “Ambillah amanat ini berikut segala konsekuensinya. Jika kamu taat Aku beri kamu ampunan; dan jika kamu durhaka, maka Aku akan mengazabmu.” Adam عليه السلام berkata, “Saya terima.” Maka dalam waktu yang tidak begitu lama kira-kira antara asar dan malam hari pada hari itu juga, Adam عليه السلام melakukan pelanggaran (iaitu memakan buah khuldi).

Oleh kerana manusia itu pelupa, maka kebanyakan manusia ambil ringan sahaja roh dan Al-Qur’an yang berat ini. Mereka tidak jaga janji mereka dengan Allah ‎ﷻ dan tidak memenuhi tanggungjawab yang datang dengan Al-Qur’an ini. Maka kerana itu ramai yang tidak ambil endah dengan Al-Qur’an. Ramai yang baca namun tidak faham dan amalkan apa yang mereka baca. Ini adalah kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an.

 

إِنَّهُ كانَ ظَلومًا

Sesungguhnya manusia itu amat zalim

Oleh kerana tidak mengendahkan tanggungjawab sebagai manusia dan Al-Qur’an ini, maka kebanyakan manusia telah melakukan kezaliman. Kalimah ‘zalim’ ini nisbah kepada perbuatan manusia yang rosak. Apabila tidak melakukan sesuatu yang sepatutnya dilakukan, maka manusia telah zalim. Dan ramai yang terjerumus dalam keadaan ini.

Seperti yang selalu disebut, zalim itu banyak jenisnya dan zalim yang paling besar adalah dalam bentuk syirik. Ini telah disebut dalam Surah Luqman sebelum ini. Tetapi ramai yang tidak tahu kerana mereka tidak belajar tentang perkara ini. Ramai tidak sedar bahawa mereka telah melakukan syirik kerana mereka jauh dari wahyu.

Dengan menerima tugas khalifah di dunia ini dan tidak dijalankan dengan sempurna, maka manusia telah zalim, iaitu telah menzalimi dirinya sendiri. Dia akan menerima akibat buruk dari kegagalannya itu.

 

جَهولًا

dan amat bodoh,

Dan satu lagi sifat manusia adalah jahil.  Maksud ‘jahil’ dari segi bahasa adalah terikut dengan emosi. Maksud asal jahil adalah tidak dapat mengawal nafsu dan emosi mereka. Mereka ikut sahaja apa yang nafsu hendak dan katakan. Mereka bukan lagi berfikir dengan akal tetapi berfikir dengan emosi sahaja dan ini amat bahaya.

Maka kerana jahil, manusia sanggup untuk terima tanggungjawab yang amat berat itu sedangkan gunung pun boleh pecah kalau terima Al-Qur’an. Mungkin kita hairan kenapa kita sanggup untuk menerimanya dan Allah ‎ﷻ jawab dalam ayat ini, kerana manusia itu jahil.

Maka ramai yang gagal memikul tanggungjawab ini melainkan mereka yang diberi taufiq oleh Allah ‎ﷻ. Oleh kerana itu, kita kena bermohon banyak-banyak kepada Allah ‎ﷻ untuk berikan kekuatan kepada kita untuk memikul tanggungjawab ini. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan yang zalim dan jahil seperti disebut dalam ayat ini.

Satu lagi maksud jahil adalah tidak tahu apakah kesudahan dari kesan mengambil tanggungjawab memikul amanah itu. Ini seperti orang yang menerima tugasan tapi dia tidak tahu betapa susahnya tugasan itu kerana dia jahil, tidak tahu tanggungjawab yang terlibat dalam tugasan itu.

Jadi, siapakah yang zalim dan jahil itu? Kalau kita baca terjemahan ayat ini, seolah-olah Allah ‎ﷻ mengutuk manusia kerana zalim dan jahil. Sudahlah zalim dan jahil, sanggup pula mengambil tugas memikul amanah yang amat berat itu. Tetapi bukankah sudah Allah ‎ﷻ takdirkan yang memang manusia akan menjadi khalifah di muka bumi ini? Maka apakah pemahaman kita dalam hal ini? Siapakah ‘insan’ yang dimaksudkan?

Kalau ‘insan’ yang dimaksudkan itu Nabi Adam عليه السلام (kerana baginda yang membuat keputusan untuk menanggung amanah itu), ini tidak patut. Ini kerana baginda telah menjalankan tugas baginda semasa baginda di dunia.

Dan kalau ‘insan’ yang dimaksudkan itu adalah manusia secara keseluruhan, ini pun tidak patut. Ini kerana dalam manusia itu ada golongan Rasul, Nabi dan wali yang baik dan menjalankan tugas mereka dengan baik. Maka bukan keseluruhan manusia yang dipersalahkan.

Yang dimaksudkan adalah ‘kebanyakan’ manusia. Kebanyakan manusia zalim dan jahil dengan tanggungjawab mereka. Dan kerana mereka itu majoriti, maka kerana itu dinisbahkan kepada keseluruhan umat manusia. Mereka inilah yang disebut dalam ayat seterusnya: golongan munafikin dan musyrikin.

Penerimaan amanah ini memang merupakan satu bentuk kemuliaan bagi manusia. Ini kerana, hanya manusia yang sanggup memikul beban tanggungjawab yang begitu berat, yang tidak sanggup dipikul oleh langit, bumi dan gunung-ganang. Namun, kemuliaan ini bersyarat: iaitu apabila manusia menunaikan amanah tersebut dengan baik, iaitu taat kepada Allah dan menjaga hak-hakNya serta hak makhluk. Jika manusia mengkhianati amanah, maka ia menjadi “ظلوما جهولا” (amat zalim dan amat jahil) seperti yang disebut dalam ayat. Maka, kemuliaan itu terletak pada kesanggupan dan usaha manusia menunaikan amanah, bukan semata-mata kerana menerima amanah itu sahaja

Kesimpulannya, menerima dan menunaikan amanah yang disebut dalam al-Ahzab:72-73 memang menjadikan manusia mulia di sisi Allah, kerana ia adalah bentuk penghormatan dan kepercayaan Allah kepada manusia, serta membezakan manusia daripada makhluk lain. Tetapi kemuliaan itu hanya sempurna jika manusia benar-benar menjaga dan melaksanakan amanah tersebut


 

Ayat 73: Akibat dari tidak menjalankan tanggungjawab yang telah diberikan, maka ada manusia yang akan diazab.

Dan ada manusia yang mendapat rahmat kerana memenuhi tanggungjawab itu. Memang manusia layak diberikan dengan Al-Qur’an kerana manusia memang ada potensi untuk menjaganya. Cuma tidak semua manusia memenuhi potensi mereka itu.

Balasan kepada manusia bergantung kepada sikap mereka. Ada yang taat dan kepada mereka yang engkar, maka mereka akan menerima balasan buruk.

لِّيُعَذِّبَ اللهُ المُنٰفِقينَ وَالمُنٰفِقٰتِ وَالمُشرِكينَ وَالمُشرِكٰتِ وَيَتوبَ اللهُ عَلَى المُؤمِنينَ وَالمُؤمِنٰتِ ۗ وَكانَ اللهُ غَفورًا رَّحيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[It¹1 was] so that Allāh may punish the hypocrite men and hypocrite women and the men and women who associate others with Him and that Allāh may accept repentance from the believing men and believing women. And ever is Allāh Forgiving and Merciful.

  • The reason for which mankind was permitted to carry the Trust.

(MELAYU)

Sehingga Allah mengazab orang-orang munafik laki-laki dan perempuan dan orang-orang musyrikin laki-laki dan perempuan; dan sehingga Allah menerima taubat orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

لِّيُعَذِّبَ اللهُ المُنٰفِقينَ وَالمُنٰفِقٰتِ

sehingga Allah mengazab orang-orang munafik laki-laki dan perempuan

Ada yang mengaku beriman tetapi sebenarnya mereka menyembunyikan kekufuran mereka. Maka mereka akan dikenakan dengan azab, tidak kira sama ada lelaki ataupun perempuan.

Tapi sifat nifak ini ada di dalam hati. Jadi susah untuk kita nilai siapa yang munafik dan tidak. Memang dalam Al-Qur’an dan hadith ada disebut sifat-sifat mereka, tapi untuk mengatakan dengan pasti, tentulah susah. Maka kita kena elak dari menuduh seseorang itu munafik atau tidak. Paling kuat kita boleh kata: “dia ada sifat munafik”. Itu sahaja.

 

وَالمُشرِكينَ وَالمُشرِكٰتِ

dan perempuan dan orang-orang musyrikin laki-laki dan perempuan; 

Dan ada yang terang-terangan mengamalkan kesyirikan kerana tidak taat kepada ajaran wahyu. Begitulah kalau jauh dari wahyu, maka syaitan akan membisikkan perkara syirik ke dalam hati manusia.

Tapi selalunya fahaman dan amalan syirik ini tidak nampak. Kerana ia adalah fahaman dan iktikad dalam hati. Ia boleh sahaja dilakukan dengan tersembunyi di rumah-rumah dan orang tidak nampak. Ia juga boleh sahaja terus tertanam dalam fikiran manusia.

Kalau kesalahan amal ibadah, manusia lain boleh nampak dan kalau kita nampak kesalahan dalam ibadah, kita masih boleh tegur orang yang melakukan kesalahan itu. Tapi kalau ia dalam fikiran, bagaimana hendak kita tegur kerana kita tidak nampak akal seseorang? Maka kerana itulah pemahaman tauhid dan syirik ini kena dipelajari sendiri. Kena tahu apakah tauhid dan syirik dan nilai sendiri sama ada kita ada fahaman itu atau tidak.

 

وَيَتوبَ اللهُ عَلَى المُؤمِنينَ وَالمُؤمِنٰتِ

dan Allah menerima taubat orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan. 

Dan Allah ‎ﷻ berikan tanggungjawab roh dan wahyu itu supaya Allah ‎ﷻ boleh terima taubat dari orang mukmin.

Apabila kita terkesan dengan wahyu Al-Qur’an, maka kita kena bertaubat waktu itu. Apabila kita baca dan fahami ayat-ayat Al-Qur’an, sepatutnya menjadikan kita teringin untuk bertaubat. Ini adalah kerana ayat-ayat Al-Qur’an akan mengingatkan kita kepada kesalahan dan dosa kita. Memang kita tidak akan lepas dari melakukan kesilapan kerana akan ada sahaja dosa kita.

Memang sifat manusia akan melakukan dosa. Dan apabila baca Al-Qur’an, maka kita akan tahu dosa kita dan terkesan dengannya menyebabkan kita akan terus meminta ampun kepada Allah ‎ﷻ. Sebaik-baik mereka yang mereka yang melakukan dosa adalah mereka yang bertaubat.

Maka selepas kita tahu kesalahan dosa kita daripada pemahaman Al-Qur’an, maka teruslah minta ampun kepada Allah ‎ﷻ. Minta ampun waktu itu juga dan jangan tangguhkan.

 

وَكانَ اللهُ غَفورًا رَّحيمًا

Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

In sha Allah, Allah ‎ﷻ akan menerima taubat kita kerana Allah ‎ﷻ Maha Pengampun dan Dia maha mengampuni kerana Dia sayangkan kita. Memang Allah ‎ﷻ suka kalau hamba-Nya meminta ampun kepada-Nya. Maka kenalah selalu kita berpaling kepada Allah ‎ﷻ dan bertaubat kepada-Nya.

Allahu a’lam. Sekian tafsir Surah al-Ahzab ini. Sambung ke surah seterusnya, Surah Saba’.

Tarikh: 6 Disember 2025


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani