Tafsir Surah Qasas Ayat 36 – 38 (Fir’aun ingkar)

Qasas Ayat 36: Nabi Musa telah menjalankan dakwah kepada Fir’aun dan pembesar istana.

فَلَمّا جاءَهُم مّوسىٰ بِئايٰتِنا بَيِّنٰتٍ قالوا ما هٰذا إِلّا سِحرٌ مُّفتَرًى وَما سَمِعنا بِهٰذا في ءآبائِنَا الأَوَّلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But when Moses came to them with Our signs as clear evidences, they said, “This is not except invented magic, and we have not heard of this [religion] among our forefathers.”

(MELAYU)

Maka tatkala Musa datang kepada mereka dengan (membawa) mukjizat-mukjizat Kami yang nyata, mereka berkata: “Ini tidak lain hanyalah sihir yang dibuat-buat dan kami belum pernah mendengar (seruan yang seperti) ini pada nenek moyang kami dahulu”.

 

فَلَمّا جاءَهُم مّوسىٰ بِئايٰتِنا بَيِّنٰتٍ

Maka tatkala Musa datang kepada mereka dengan (membawa) mukjizat-mukjizat Kami yang nyata,

Nabi Musa telah memperlihatkan kepada mereka mukjizat-mukjizat yang nyata yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada keduanya untuk membuktikan kebenaran daripada berita yang disampaikan oleh keduanya dari Allah yang memerintahkan agar mengesakan-Nya dan mengikuti perintah-perintah-Nya. Akan tetapi mereka tetap menolaknya.

Setelah Fir’aun dan pembesar-pembesar kaumnya menyaksikan mukjizat itu, melihat dengan mata kepala sendiri, sehingga merasa yakin dalam hatinya bahawa hal tersebut datang dari sisi Allah, maka mereka dengan kekafiran dan kezalimannya berbalik mengingkari dan mendustakannya. Demikian itu kerana sikap angkuh mereka yang tidak mahu mengikuti perkara hak.

Maka ini memberi isyarat kepada kita, kalau ada orang yang sudah nampak kebenaran pun, mereka tetap juga boleh menolak kerana degil. Kerana itu jangan hairan kalau kita sudah beri hujah berjela-jela dengan ayat Al-Qur’an dan hadith sahih, tapi ada juga yang menolak. Mereka menolak kerana mereka degil sahaja, bukannya mereka tak faham.

 

قالوا ما هٰذا إِلّا سِحرٌ مُّفتَرًى

mereka berkata: “Ini tidak lain hanyalah sihir yang dibuat-buat 

Ini adalah antara hujah penolakan yang digunakan oleh manusia zaman berzaman. Allah beri contoh umat Nabi Musa dalam ayat ini. Mereka mengatakan yang mukjizat yang ditunjukkan oleh Nabi Musa itu adalah hanya sihir yang direka-reka. Maknanya, mereka kata baginda ahli sihir, bukannya Nabi lagi Rasul.

 

وَما سَمِعنا بِهٰذا في ءآبائِنَا الأَوَّلينَ

dan kami belum pernah mendengar (seruan yang seperti) ini pada nenek moyang kami dahulu”.

Dan mereka menolak dakwah yang dibawa oleh Nabi Musa dan Nabi Harun itu dengan hanya mengatakan mereka tidak pernah dengar pun perkara itu disebut-sebut oleh golongan-golongan yang terdahulu. Mereka nak kata Nabi Musa reka sahaja benda itu. Mereka berhujah: Kerana kalau ianya memang ada, tentu orang dahulu sudah cakap benda itu.

Ini juga memang hujah yang selalu digunakan manusia sampai sekarang. Apabila kita sampaikan sesuatu dari ajaran Sunnah, ada yang jawab: “eh, tak pernah dengar pun benda ni?”

Jawapan balas: “Memanglah tidak pernah dengar, sebab awak tidak belajar dulu… ini aku nak ajar lah.”


 

Qasas Ayat 37: Apakah jawapan balas Nabi Musa apabila mereka buat tohmahan dan tuduhan melulu itu tadi?

وَقالَ موسىٰ رَبّي أَعلَمُ بِمَن جاءَ بِالهُدىٰ مِن عِندِهِ وَمَن تَكونُ لَهُ عٰقِبَةُ الدّارِ ۖ إِنَّهُ لا يُفلِحُ الظّٰلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Moses said, “My Lord is more knowing [than we or you] of who has come with guidance from Him and to whom will be succession in the home.¹ Indeed, wrongdoers do not succeed.”

  • i.e., in this world or in the Hereafter.

(MELAYU)

Musa menjawab: “Tuhanku lebih mengetahui orang yang membawa petunjuk dari sisi-Nya dan siapa yang akan mendapat kesudahan (yang baik) di negeri akhirat. Sesungguhnya tidaklah akan mendapat kemenangan orang-orang yang zalim”.

 

وَقالَ موسىٰ رَبّي أَعلَمُ بِمَن جاءَ بِالهُدىٰ مِن عِندِهِ

Musa menjawab: “Tuhanku lebih mengetahui orang yang membawa petunjuk dari sisi-Nya

Baginda balas dengan memberitahu yang Allah tahu siapakah yang bawa kebenaran dari-Nya. Maknanya baginda nak kata bukan baginda reka, tapi memang benar dari Allah. Dan kelak nanti di akhirat Allah akan beri keputusan terhadap apa yang mereka telah lakukan.

Ia juga mengajar kita yang kebenaran itu dari Allah. Dalil dan hujah dari Allah, bukan dari akal manusia. Maka kena sampaikan hujah dan dalil daripada Allah. Maka bukanlah kita beri hujah: “ustaz aku kata begini dan ustaz aku kata begitu….”. Ini tidak benar kerana ustaz bukanlah hujah.

Memanglah kita dapat ilmu dari ustaz kita. Tapi kenalah tahu apakah dalil yang diberikan oleh ustaz kita itu. Kerana kalau nak kata ‘ustaz aku’… orang lain pun ada ustaz dia juga, bukan? Tidak ke mana-mana kalau berhujah begitu… pi mai pi mai tang tu juga…

 

وَمَن تَكونُ لَهُ عٰقِبَةُ الدّارِ

dan siapa yang akan mendapat kesudahan (yang baik) di negeri akhirat. 

Setelah Allah buat keputusan itu, ada yang masuk syurga dan Allah juga tahu siapa yang akhirnya nanti akan mendapat tempat tinggal yang baik di akhirat kelak. Kepada mereka yang beriman dan sanggup terima akidah tauhid (dan mengamalkan ajaran Sunnah), maka mereka akan dimasukkan ke dalam syurga.

Allah tahu apa yang manusia lakukan sepanjang hidupnya dan Allah tidak buat silap di dalam menentukan tempat akhir seseorang itu. Segala keputusan yang Allah buat adalah tepat dan adil.

 

إِنَّهُ لا يُفلِحُ الظّٰلِمونَ

Sesungguhnya tidaklah akan mendapat kemenangan orang-orang yang zalim”.

Dan Nabi Musa mengingatkan mereka bahawa orang-orang yang zalim tidak akan menang sampai bila-bila. Zalim yang dimaksudkan adalah zalim syirik. Iaitu mempersekutukan Allah dengan selain-Nya.

Zalim itu memang banyak jenis. Ia bermaksud tidak memberi hak kepada yang berhak menerimanya. Maka kalau kita tidak mentauhidkan Allah, maka kita telah menzalimi Allah.


 

Qasas Ayat 38: Fir’aun melawan balik dengan beri hujah rekaannya.

وَقالَ فِرعَونُ يٰأيُّهَا المَلَأُ ما عَلِمتُ لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيري فَأَوقِد لي يٰهٰمٰنُ عَلَى الطّينِ فَاجعَل لّي صَرحًا لَّعَلّي أَطَّلِعُ إِلىٰ إِلٰهِ موسىٰ وَإِنّي لَأَظُنُّهُ مِنَ الكٰذِبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Pharaoh said, “O eminent ones, I have not known you to have a god other than me. Then ignite for me, O Hāmān, [a fire] upon the clay¹ and make for me a tower that I may look at the God of Moses. And indeed, I do think he is among the liars.”

  • From which bricks are made.

(MELAYU)

Dan berkata Fir’aun: “Hai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah hai Haman untukku tanah liat kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi supaya aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa dia termasuk orang-orang pendusta”.

 

وَقالَ فِرعَونُ يٰأيُّهَا المَلَأُ ما عَلِمتُ لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيري

Dan berkata Fir’aun: “Hai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui ilah bagimu selain aku.

Fir’aun mengingatkan para pembesarnya yang tidak ada ilah selain dia. Kerana sebelum itu pun dia telah mengaku yang dia adalah ilah. Seolah-olah Fir’aun mengingatkan kembali mereka kerana mungkin ada di antara mereka yang sudah mula terkesan dengan apa yang disampaikan oleh Nabi Musa dan Harun.

Allah menceritakan dakwaan Fir’aun melalui firman-Nya:

{فَحَشَرَ فَنَادَى * فَقَالَ أَنَا رَبُّكُمُ الأعْلَى * فَأَخَذَهُ اللَّهُ نَكَالَ الآخِرَةِ وَالأولَى * إِنَّ فِي ذَلِكَ لَعِبْرَةً لِمَنْ يَخْشَى}

Maka dia mengumpulkan (pembesar-pembesar kaumnya), lalu berseru memanggil kaumnya.’ (Seraya) berkata, “Akulah tuhanmu yang paling tinggi.” Maka Allah mengazabnya dengan azab di akhirat dan azab di dunia. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pelajaran bagi orang yang takut (kepada Tuhannya). (An-Nazi’at: 23-26)

Kalimah ‘ilah’ di dalam ayat ini bukan bermaksud tuhan yang disembah kerana ilah itu bukan hanya bermakna yang disembah sahaja tetapi juga ‘ditaati‘. Kerana itu apabila kita mengatakan Allah itu hanya ilah kita, maka ia juga bermaksud hanya Allah yang kita taati. Bukan sahaja kita kena sembah Allah, tapi hukum-Nya juga kita kena taati.

Jadi ketaatan ini perlu diluaskan maknanya di mana kadang-kadang ada yang sembah Allah di dalam ibadah mereka seperti solat, tetapi tidak taat kepada Allah di luar solat. Sebagai contoh, solat dijaga tapi rasuah buat juga. Mereka yang berfikiran begini salah faham maksud ilah kerana mereka sangka ilah itu hanya untuk disembah sahaja. Mereka sempitkan fahaman ilah.

Atau, memang Firaun disembah sebagai tuhan oleh rakyatnya. Dan ini dapat dikenalpasti apabila tulisan hieroglif Mesir mula diterjemahkan bermula pada awal abad ke 19. Sebelum itu manusia tidak tahu apakah agama sebenarnya Mesir purba ini. Tapi Allah sudah beritahu kita dalam Al-Qur’an 1,400 tahun dahulu kerana Al-Qur’an adalah Kalamullah. Inilah salah satu dari mukjizat Al-Qur’an yang memberitahu perkara yang tepat.

 

فَأَوقِد لي يٰهٰمٰنُ عَلَى الطّينِ

Maka bakarlah hai Haman untukku tanah liat

Fir’aun telah beri arahan kepada Menteri Kerjarayanya yang bernama Haman untuk membakar tanah liat. Ia untuk dijadikan sebagai menara tinggi. Bakar tanah liat untuk buat batu bata. Maknanya ini adalah teknologi mereka untuk membuat binaan.

Ini juga menjadi satu kajian yang menarik tentang piramid di Mesir itu. Sekian lama pengkaji hairan memikirkan bagaimanakah batu yang besar-besar boleh dibawa ke Mesir dari tempat yang jauh? Kerana kajian menunjukkan batu-batu itu tidak ada di Mesir.

Kajian terkini mendapati yang kalau tanah liat dibakar, ia menjadi batu dan tidak dapat dibezakan dengan batu asli. Maka ini boleh menjadi satu sumber kajian bagaimana cara piramid itu dijadikan dari batu. Maknanya, bukanlah batu itu diambil dari tempat yang jauh, tapi dijadikan dari tanah liat yang dibakar, sama sahaja seperti yang disebut Fir’aun dalam ayat ini.

Ini juga menjadi satu lagi hujah tentang ketepatan maklumat sains yang digunakan dalam Al-Qur’an. Ia menjadi bukti bahawa bukanlah Nabi Muhammad ﷺ yang menulis Al-Qur’an kerana tidak mungkin baginda dapat tahu maklumat ini pada zaman baginda. Ini boleh dibaca di sini: http://www.miracles-of-quran.com/pyramids.htm

Satu lagi mukjizat Al-Qur’an adalah apabila disebut nama karektor Haman ini. Kenapa perlu disebut namanya? Sekian lama nama ini menjadi satu kritikan dari golongan penentang Al-Qur’an. Kerana nama Haman memang ada di dalam Bible tapi dia adalah pembantu kepada Raja Parsi, beberapa abad selepas zaman Nabi Musa. Jadi mereka berhujah, penulis Al-Qur’an silap salin maklumat sampai silap masuk cerita.

Tapi terbukti dari terjemahan hieroglif Mesir, memang betul ada nama Haman (Amun Haman) dan tugasnya adalah “Chief of the stone-quarry workers” macam menteri Kerjaraya lah. Tapi ini adalah maklumat baru kerana tulisan hieroglif hanya dapat diterjemah bermula abad ke 19. Tapi Al-Qur’an sudah sebut nama yang tepat kerana ia adalah Kalamullah. Jadi ini satu lagi mukjizat Al-Qur’an yang membuktikan kebenarannya.

 

فَاجعَل لّي صَرحًا لَّعَلّي أَطَّلِعُ إِلىٰ إِلٰهِ موسىٰ

kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi supaya aku dapat naik melihat Tuhan Musa,

Fir’aun suruh buat begitu kerana dia hendak mengejek pengalaman Nabi Musa yang naik ke Bukit Tursina dan nampak api dan kemudian dapat bercakap dengan Allah. Maka dia pun nak buat perkara yang sama juga. Dia pun nak naik tempat tinggi.

Kononnya dia hendak naik menara tinggi itu ke langit dan bercakap sendiri dengan ‘tuhan’ yang didakwa oleh Nabi Musa itu. Begitulah cara Fir’aun mengejek wahyu yang diberikan oleh Allah. Dia bukannya nak buat menara itu tapi dia nak ejek sahaja. Dan ada juga yang mengatakan memang dibuatkan bangunan yang tinggi, tapi ini kita tidak pasti lagi.

 

وَإِنّي لَأَظُنُّهُ مِنَ الكٰذِبينَ

dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa dia termasuk orang-orang pendusta”.

Kerana dia tidak percaya yang ada Tuhan seperti yang dikatakan oleh Nabi Musa itu. Jadi kata-katanya itu sebagai ejekan sahaja. Atau, dia memang nak naik ke bangunan yang tinggi dan nanti dia nak kata: “aku sudah naik ke langit, tapi tak jumpa pun tuhan yang dikatakan Musa itu….”

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 18 Jun 2023


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Qasas Ayat 32 – 35 (Nabi Musa pun takut)

Ayat 32: Sekarang kita lihat pula Mukjizat kedua.

اسلُك يَدَكَ في جَيبِكَ تَخرُج بَيضاءَ مِن غَيرِ سوءٍ وَاضمُم إِلَيكَ جَناحَكَ مِنَ الرَّهبِ ۖ فَذٰنِكَ بُرهٰنانِ مِن رَّبِّكَ إِلىٰ فِرعَونَ وَمَلَأِيهِ ۚ إِنَّهُم كانوا قَومًا فٰسِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Insert your hand into the opening of your garment; it will come out white, without disease. And draw in your arm close to you [as prevention] from fear, for those are two proofs from your Lord to Pharaoh and his establishment. Indeed, they have been a people defiantly disobedient.”

(MELAYU)

Masukkanlah tanganmu ke leher bajumu, nescaya ia keluar putih tidak cacat bukan kerana penyakit, dan dekapkanlah kedua tanganmu (ke dada)mu bila ketakutan, maka yang demikian itu adalah dua mukjizat dari Tuhanmu (yang akan kamu hadapkan kepada Fir’aun dan pembesar-pembesarnya). Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang fasik”.

 

اسلُك يَدَكَ في جَيبِكَ

Masukkanlah tanganmu ke leher bajumu,

Dan kemudian Allah menyuruh Nabi Musa memasukkan tangan baginda melalui celah baju baginda hingga ke ketiak. Maksudnya baginda masukkan tangan ikut bukaan celah lehernya.

 

تَخرُج بَيضاءَ مِن غَيرِ سوءٍ

nescaya ia keluar putih bukan kerana penyakit,

Dan apabila baginda keluarkan tangannya, ia bercahaya putih bersinar dan bukan putih yang cacat. Maknanya bukan jenis sopak atau albino pula. Ia adalah warna putih yang cantik yang akan mempesonakan mereka yang melihatnya nanti. Tidaklah dapat dibayangkan bagaimana rupanya.

 

وَاضمُم إِلَيكَ جَناحَكَ مِنَ الرَّهبِ

dan dekapkanlah kedua tanganmu (ke dada)mu bila ketakutan,

Dan apabila baginda takut, maka masukkanlah kembali tangan itu ke ketiak dan ia akan kembali jadi biasa. Jadi ini macam On and Off switch.

Atau, ia bermaksud apabila Nabi Musa ada rasa takut sahaja, maka dakapkanlah tangan baginda ke dada. Maka akan hilangkan ketakutan baginda.

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ali ibnul Husain, telah menceritakan kepada kami Ar-Rabi ibnu Taglab Asy-Syekh Saleh, telah menceritakan kepada kami Abu Isma’il Al-Muaddib, dari Abdullah ibnu Muslim, dari Mujahid yang mengatakan bahawa sebelum itu hati Musa a.s. selalu dicengkam oleh rasa takut terhadap Fir’aun. Dan apabila dia melihat Fir’aun, dia membaca doa berikut:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَدْرَأُ بِكَ فِي نَحْرِهِ، وَأُعَوِّذُ بِكَ مِنْ شَرِّهِ

Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pertolongan kepada­Mu dalam menghadapinya dan aku memohon perlindungan kepada-Mu dari kejahatannya.

Maka Allah mencabut dari hati Musa a.s. rasa takut yang mencengkamnya dan mengalihkannya ke dalam hati Fir’aun. Sejak saat itu apabila Fir’aun melihat Musa a.s., maka dia terkencing-kencing bagaikan keldai kerana ketakutan terhadap Musa a.s.

 

فَذٰنِكَ بُرهٰنانِ مِن رَّبِّكَ إِلىٰ فِرعَونَ وَمَلَأِيهِ

maka yang demikian itu adalah dua mukjizat dari Tuhanmu kepada Fir’aun dan pembesar-pembesarnya. 

Itulah dua tanda mukjizat yang Allah bekalkan kepada Nabi Musa untuk baginda tunjukkan kepada Fir’aun dan juga orang-orang besarnya. Kena tunjukkan sesuatu yang hebat kepada mereka kerana kalau cakap mulut sahaja, mereka tentu susah nak dengar. Maka kena tunjukkan sesuatu yang hebat.

 

إِنَّهُم كانوا قَومًا فٰسِقينَ

Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang fasik”.

Perlu dibawakan mukjizat dan hujah kepada mereka kerana sungguh mereka itu sudah jauh mereka itu dari kebenaran. Mereka itu adalah kaum yang melakukan kerosakan di muka bumi. Mereka tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana keadilan perlu ditegakkan.


 

Ayat 33: Nabi Musa rasa berat dengan tanggungjawab yang diberikan kepada baginda itu. Maka baginda menyebut beberapa perkara yang baginda rasa berat itu.

قالَ رَبِّ إِنّي قَتَلتُ مِنهُم نَفسًا فَأَخافُ أَن يَقتُلونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “My Lord, indeed I killed from among them someone, and I fear they will kill me.

(MELAYU)

Musa berkata: “Ya Tuhanku sesungguhnya aku telah membunuh seorang manusia dari golongan mereka, maka aku takut mereka akan membunuhku.

 

قالَ رَبِّ إِنّي قَتَلتُ مِنهُم نَفسًا

Dia berkata: “Ya Tuhanku sesungguhnya aku telah membunuh seorang manusia dari golongan mereka,

Nabi Musa mengadu ketakutannya kepada Allah kerana baginda telah pernah membunuh seorang lelaki dari kaum mereka (bangsa Qibti). Bukanlah Nabi beritahu Allah pula kerana Allah tahu segalanya. Tapi ini sebagai permulaan untuk menyebut apakah yang baginda rasa berat.

Ini berkenaan insiden baginda terbunuh seorang lelaki Qibti semasa di pasar yang telah disebut sebelum ini dalam ayat 15. Kes itulah yang menyebabkan baginda meninggalkan Mesir dahulu.

 

فَأَخافُ أَن يَقتُلونِ

maka aku takut mereka akan membunuhku.

Jadi baginda takut kalau baginda balik berjumpa dengan Fir’aun, maka baginda sendiri akan dibunuh. Tak sempat nak dakwah atau cakap apa-apa lagi baginda takut baginda telah kena bunuh. Kerana memang telah ada ‘waran’ tangkap untuk baginda.

Sebab itu baginda nak masuk ke Mesir secara senyap-senyap sahaja. Dengan harapan setelah 10 tahun di perantauan, tidaklah orang perasan siapakah baginda lagi.

Tapi kalau baginda datang dan dakwah kepada Fir’aun pula, tentulah baginda akan dikenali dan kes baginda akan naik kembali. Mereka bukannya akan buat pengadilan dalam mahkamah tapi baginda akan terus dibunuh.


 

Ayat 34: Ada satu lagi kerisauan baginda.

وَأَخي هٰرونُ هُوَ أَفصَحُ مِنّي لِسانًا فَأَرسِلهُ مَعِيَ رِدءًا يُصَدِّقُني ۖ إِنّي أَخافُ أَن يُكَذِّبونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And my brother Aaron is more fluent than me in tongue, so send him with me as support, verifying me. Indeed, I fear that they will deny me.”

(MELAYU)

Dan saudaraku Harun dia lebih fasih lidahnya daripadaku, maka utuslah dia bersamaku sebagai pembantuku untuk menyokongku; sesungguhnya aku khuatir mereka akan mendustakanku”.

 

وَأَخي هٰرونُ هُوَ أَفصَحُ مِنّي لِسانًا

Dan saudaraku Harun dia lebih fasih lidahnya daripadaku,

Satu lagi masalah baginda, penyakit gagap. Percakapan baginda tidak jelas dan tentu susah baginda nak berdakwah nanti. Orang akan gelakkan sahaja kalau kata-kata baginda tidak jelas.

Nabi Musa mengatakan yang abangnya Harun lebih fasih dalam berkata-kata. أَفصَحُ adalah seperti menuang susu ke dalam gelas dengan lancar. Ada orang yang lancar sahaja percakapannya dan kita pun senang dengar dan senang faham.

Nabi Harun tiga tahun lebih tua dari baginda dan memang seorang yang alim dalam agama dan seorang yang berakhlak baik. Namanya Harun bin Imran bin Qahits bin Lawi bin Yaakub bin Ishak bin Ibrahim. Baginda ialah adik-beradik seibu Nabi Musa.

Nabi Harun hidup selama 122 tahun. Baginda wafat 11 bulan sebelum kematian Musa, di daerah al Tiih, iaitu sebelum Bani Israel memasuki Palestin.

 

فَأَرسِلهُ مَعِيَ رِدءًا يُصَدِّقُني

maka utuslah dia bersamaku sebagai pembantuku untuk menyokongku;

Kalimah رِدءًا itu seperti menetapkan sesuatu kepada dinding untuk menahannya. Sebagai contoh, dinding itu hampir jatuh, maka kita sokong dengan kayu.

Atau satu lagi contoh, ada meja yang sudah tidak kuat dan kita letak di tepi dinding untuk menetapkannya. Begitulah perumpamaan yang Nabi Musa letakkan kepada Nabi Harun iaitu jikalau dia ada masalah, Nabi Harun akan membantunya dan beri sokongan. Kita pun kalau ada teman semasa mengadap sesiapa, maka kita akan rasa lebih senang dan selesa.

Dan supaya Nabi Harun akan membenarkan kebenaran yang baginda bawa. Kerana di awal-awal dakwah baginda tentu memerlukan seseorang yang mempercayai baginda. Sebagaimana Nabi Muhammad ﷺ ada isterinya Khadijah yang mula-mula beriman dan menjadi penyokong kepada baginda.

 

إِنّي أَخافُ أَن يُكَذِّبونِ

sesungguhnya aku khuatir mereka akan mendustakanku”.

Nabi Musa memerlukan Nabi Harun kerana baginda risau baginda dikatakan seorang pendusta. Kalau ada seorang lagi yang bersama baginda, maka tentulah baginda rasa kuat sikit.


 

Ayat 35: Allah jawab permintaan baginda.

قالَ سَنَشُدُّ عَضُدَكَ بِأَخيكَ وَنَجعَلُ لَكُما سُلطٰنًا فَلا يَصِلونَ إِلَيكُما ۚ بِئايٰتِنا أَنتُما وَمَنِ اتَّبَعَكُمَا الغٰلِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “We will strengthen your arm through your brother and grant you both supremacy so they will not reach you. [It will be] through Our signs; you and those who follow you will be the predominant.”

(MELAYU)

Allah berfirman: “Kami akan menguatkan lenganmu dengan saudaramu, dan Kami berikan kepadamu berdua kekuasaan yang besar, maka mereka tidak dapat mencapaimu; (berangkatlah kamu berdua) dengan membawa mukjizat Kami, kamu berdua dan orang yang mengikuti kamulah yang akan menang.

 

قالَ سَنَشُدُّ عَضُدَكَ بِأَخيكَ

Allah berfirman: “Kami akan menguatkan lenganmu dengan saudaramu,

Kalimah شُدُّ bermaksud ikat dan ketatkan. Dan عضد pula bermaksud lengan. Allah berfirman yang Dia akan ‘kuatkan lengan baginda’. Ini adalah satu pepatah kerana di dalam peperangan selalunya tentera akan mengikat dan mengukuhkan tangannya dengan perisai atau pelindung lain kerana tangannya itu yang memegang senjata.

Yang dimaksudkan adalah sepertimana yang diminta oleh Nabi Musa, maka Harun akan dilantik menjadi Nabi sebagai pembantu dan penguat baginda. Nabi Harun akan menjadi penyokong kepada Nabi Musa dalam usaha dakwah yang besar itu.

Kerana itulah sebahagian ulama Salaf mengatakan bahawa tiada seorang pun yang sangat berhutang budi kepada saudaranya selain dari Nabi Harun kepada Nabi Musa. Kerana sesungguhnya Musa mendoakan baginya hingga dia diangkat menjadi seorang Nabi oleh Allah bersama Musa untuk menyampaikan risalah Allah kepada Fir’aun dan pembesar­-pembesar kerajaannya.

 

وَنَجعَلُ لَكُما سُلطٰنًا

dan Kami jadikan untukmu berdua kekuasaan yang besar, 

Dan Allah kata yang Dia akan memberikan kekuasaan kepada mereka berdua sampaikan musuh-musuh yang hendak menentang mereka tidak dapat membunuh mereka berdua. Jadi jangan takut yang Fir’aun akan bunuh baginda kerana kesalahan dulu itu.

Atau ia bermaksud mereka diberikan dengan bukti dan hujah untuk mengalahkan musuh mereka iaitu Fir’aun dan pengikutnya.

 

فَلا يَصِلونَ إِلَيكُما

maka mereka tidak dapat mencapaimu

Dengan bantuan dan lindungan dari Allah, maka usaha musuh untuk menyusahkan dan menyakiti mereka tidak akan berhasil.

 

بِئايٰتِنا أَنتُما وَمَنِ اتَّبَعَكُمَا الغٰلِبونَ

dengan membawa mukjizat Kami, kamu berdua dan orang yang mengikuti kamulah yang akan menang.

Pergilah dengan ayat dan tanda-tanda dari Allah. Antaranya adalah mukjizat yang telah dibekalkan. Pergilah dan jangan takut lagi.

Allah juga memberitahu yang mereka berdua dan pengikut-pengikut mereka akan menang. Dan di dalam ayat ini Allah memberi isyarat yang mereka akan ada pengikutnya. Ini seperti yang disebut dalam ayat lain:

{إِنَّا لَنَنْصُرُ رُسُلَنَا وَالَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا}

Sesungguhnya Kami menolong rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia. (Al-Mu-min: 51), hingga akhir ayat.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 Jun 2022


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Qasas Ayat 29 – 31 (Peristiwa di Bukit Thur)

Ayat 29: Ini adalah peristiwa yang terjadi setelah berlalu lapan atau sepuluh tahun. Dari ayat ini sehingga ke ayat 42 adalah Perenggan Makro Kelima. Ia menceritakan peringkat Nabi Musa dilantik menjadi Rasul.

۞ فَلَمّا قَضىٰ موسَى الأَجَلَ وَسارَ بِأَهلِهِ ءآنَسَ مِن جانِبِ الطّورِ نارًا قالَ لِأَهلِهِ امكُثوا إِنّي ءآنَستُ نارًا لَّعَلّي ءآتيكُم مِّنها بِخَبَرٍ أَو جَذوَةٍ مِّنَ النّارِ لَعَلَّكُم تَصطَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when Moses had completed the term and was traveling with his family, he perceived from the direction of the mount a fire. He said to his family, “Stay here; indeed, I have perceived a fire. Perhaps I will bring you from there [some] information or burning wood from the fire that you may warm yourselves.”

(MELAYU)

Maka tatkala Musa telah menyelesaikan waktu yang ditentukan dan dia berangkat dengan keluarganya, dilihatnyalah api di lereng gunung dia berkata kepada keluarganya: “Tunggulah (di sini), sesungguhnya aku melihat api, mudah-mudahan aku dapat membawa suatu berita kepadamu dari (tempat) api itu atau (membawa) sesuluh api, agar kamu dapat menghangatkan badan”.

 

فَلَمّا قَضىٰ موسَى الأَجَلَ

Maka tatkala Musa telah menyelesaikan tempoh waktu yang ditentukan

Selepas Nabi Musa habiskan jangka masa pekerjaannya dengan bapa mertuanya itu dan kita tidak diberitahu sama ada baginda buat 8 ataupun 10 tahun. Ramai Ulama’ tafsir yang kata 10 tahun (seperti dikatakan pendapat Ibn Abbas) tapi tiada kepastian. Tetapi seperti yang kita telah kongsikan sebelum ini, pendapat yang lebih kuat mengatakan 10 tahun.

 

وَسارَ بِأَهلِهِ

dan dia telah berangkat dengan keluarganya,

Selepas habis tempoh itu Nabi Musa telah membawa isterinya untuk keluar daripada Madyan. Maknanya bawa isterinya berhijrah meninggalkan bapanya. Dan ini adalah perkara biasa sahaja bagi mana-mana keluarga. Apabila sudah sampai masanya maka anak menantu mungkin hendak berhijrah ke rumah yang lain. Maka jangan kita marah kalau anak menantu kita keluar daripada rumah. Mereka boleh tinggal di rumah sendiri.

Suami yang buat penentuan di mana dia dan isterinya akan tinggal. Isteri kena ikut dan mertua kena redha. Ini adalah kerana anaknya itu sudah jadi isteri orang. Mereka boleh buat keputusan untuk membina kehidupan di tempat yang lain.

Kalimah سار ini digunakan untuk menceritakan bermusafir dengan mudah seperti bersiar-siar yang menunjukkan yang baginda keluar daripada rumah itu tanpa drama. Tidaklah ada tarik menarik, rayu merayu, nangis-nangis teruk sangat.

Maka ini mengajar kita yang dalam keluarga tidak perlulah ada banyak sangat drama kerana semua itu menyusahkan sahaja. Berbaiklah dan tenang-tenanglah  kalau anak nak pergi ke tempat lain untuk berkeluarga, biarlah.

Ahli tafsir mengatakan bahawa Nabi Musa merasa rindu dengan tanah tempat kelahirannya dan juga sanak keluarganya, maka baginda bertekad untuk mengunjungi mereka dengan sembunyi-sembunyi tanpa pengetahuan Fir’aun dan kaumnya. Baginda berangkat bersama isterinya dan ternakan kambing hasil pemberian mertuanya, lalu menempuh jalan di malam yang gelap lagi hujan deras dan cuaca yang dingin.

 

ءآنَسَ مِن جانِبِ الطّورِ نارًا

dilihatnyalah api di lereng gunung

Semasa dalam perjalanan itu baginda telah berhenti di lereng Bukit Thur. Maka baginda turun istirehat di suatu tempat; dan setiap kali baginda cuba menyalakan apinya, ternyata tidak mahu juga menyala. Waktu itu mereka sudah sesat dan kesejukan di malam hari.

Waktu itulah Nabi Musa macam nampak api dari sebelah bukit. Kisah ini telah ada di dalam surah-surah yang lain tetapi surah ini menambah dengan kisah latar belakang Nabi Musa. Macam dalam filem-filem zaman sekarang, apabila ada filem saga yang terkenal, mereka ada yang buat kisah sebelum hero filem itu jadi hero. Mungkin masa dia kanak-kanak atau semasa dia muda, bukan?

Allah telah lama gunakan cara itu di mana kita sudah tahu kisah Nabi Musa di dalam surah-surah sebelum ini semasa baginda nampak api itu. Dan sekarang kita telah kenal Nabi Musa waktu baginda muda lagi – bagaimana baginda sampai ke istana Fir’aun, bagaimana baginda kena keluar dari Mesir, baginda berkahwin dan sebagainya.

Dan sekarang kita sampai semula kepada babak baginda di Bukit Thur. Jadi kita sudah boleh lengkapkan kisah baginda dari mula, bukan? Begitulah apabila kita baca kisah-kisah dari semua surah, kita dapat kumpulkan dan gabungkan semua maklumat itu menjadi satu kisah yang lengkap.

 

قالَ لِأَهلِهِ امكُثوا إِنّي ءآنَستُ نارًا

dia berkata kepada keluarganya: “Tunggulah (di sini), sesungguhnya aku melihat api,

Sedang baginda dalam kepayahan kerana keadaan gelap dan kesejukan, baginda nampak seperti api di kejauhan. Kerana keadaan amat gelap, maka apabila ada cahaya sikit pun senang nampak. Setelah nampak api itu, baginda suruh keluarga baginda tunggu di lereng bukit itu kerana baginda hendak pergi ke arah api itu.

 

لَّعَلّي ءآتيكُم مِّنها بِخَبَرٍ

mudah-mudahan aku dapat membawa suatu berita kepadamu dari (tempat) api itu

Mungkin baginda boleh pergi ke tempat ada api itu untuk mendapatkan berita tentang kawasan itu dan bagaimana arah seterusnya. Berita yang baginda perlukan adalah jalan untuk menuju ke destinasinya. Kerana waktu itu mereka telah sesat.

 

أَو جَذوَةٍ مِّنَ النّارِ لَعَلَّكُم تَصطَلونَ

atau (membawa) sesuluh api, agar kamu dapat menghangatkan badan”.

Atau baginda boleh dapatkan bara dari api itu supaya baginda dan ahli keluarganya dapat memanaskan badan mereka. Kerana malam itu sejuk dan mereka kepenatan setelah berjalan jauh. Memang kebiasaan orang yang di dalam perjalanan jauh memerlukan unggun api untuk memasak dan memanaskan badan. Dan api itu juga dapat menghalang binatang buas dari datang dekat.


 

Ayat 30:

فَلَمّا أَتٰها نودِيَ مِن شٰطِئِ الوادِ الأَيمَنِ فِي البُقعَةِ المُبٰرَكَةِ مِنَ الشَّجَرَةِ أَن يٰموسىٰ إِنّي أَنَا اللهُ رَبُّ العٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But when he came to it, he was called from the right side of the valley in a blessed spot – from the tree,¹ “O Moses, indeed I am Allāh, Lord of the worlds.”

  • Which was within the fire.

(MELAYU)

Maka tatkala Musa sampai ke (tempat) api itu, diserulah dia dari (arah) pinggir lembah yang sebelah kanan(nya) pada tempat yang diberkahi, dari sebatang pohon kayu, iaitu: “Ya Musa, sesungguhnya aku adalah Allah, Tuhan semesta alam.

 

فَلَمّا أَتٰها نودِيَ مِن شٰطِئِ الوادِ الأَيمَنِ فِي البُقعَةِ المُبٰرَكَةِ

Maka tatkala Musa sampai ke (tempat) api itu, diserulah dia dari (arah) pinggir lembah yang sebelah kanan(nya) pada tempat yang diberkahi,

Setelah baginda pergi ke arah api itu, baginda diseru dari hujung lembah. Dan disebut kejadian itu di sebelah kanan lembah itu. Waktu itu baginda telah berada di dalam kawasan yang diberkati.

 

مِنَ الشَّجَرَةِ

dari sebatang pohon kayu,

Iaitu pokok di sebelah kanan bukit. Dan suara yang memanggil baginda itu datang daripada pokok. Bukanlah pokok itu berkata, tapi dari arah pokok itu.

 

أَن يٰموسىٰ إِنّي أَنَا اللهُ رَبُّ العٰلَمينَ

iaitu: “Ya Musa, sesungguhnya aku adalah Allah, Tuhan semesta alam.

Seruan itu dari Allah sendiri. Apakah yang Allah firman kepada baginda? Allah memperkenalkan Diri-Nya kepada Nabi Musa. Allah bercakap secara terus dengan Nabi Musa tanpa perantaraan Jibril dengan cara yang Allah sahaja tahu. Kita tidak perlu fikirkan kerana akal kita tidak akan dapat menggarapinya.

Memang Nabi Musa benar-benar bercakap dengan Allah dan kerana itu Nabi Musa mendapat gelaran Kalimullah (yang berkata-kata dengan Allah) kerana baginda bercakap terus dengan Allah.

Kita tegaskan di sini kerana ada juga pihak yang mempersoalkan percakapan terus Allah dengan Nabi Musa ini. Tapi dari lafaz yang digunakan ini, Allah bercakap terus dan tidak ada tafsiran lain yang diberi oleh Nabi dan para sahabat yang belajar tafsir dengan baginda. Tidak perlu nak berikan tafsiran lain. Allah memang boleh buat apa sahaja yang Dia kehendaki.


 

Ayat 31: Apa lagi Allah cakap dengan Nabi Musa?

وَأَن أَلقِ عَصاكَ ۖ فَلَمّا رَءآها تَهتَزُّ كَأَنَّها جآنٌّ وَلّىٰ مُدبِرًا وَلَم يُعَقِّب ۚ يٰموسىٰ أَقبِل وَلا تَخَف ۖ إِنَّكَ مِنَ الأمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [he was told], “Throw down your staff.” But when he saw it writhing as if it was a snake, he turned in flight and did not return.¹ [Allāh said], “O Moses, approach and fear not. Indeed, you are of the secure.

  • Or “did not look back.”

(MELAYU)

dan lemparkanlah tongkatmu. Maka tatkala (tongkat itu menjadi ular dan) Musa melihatnya bergerak-gerak seolah-olah ia seekor ular yang tangkas, larilah dia berbalik ke belakang tanpa menoleh. (Kemudian Musa diseru): “Hai Musa datanglah dan janganlah kamu takut. Sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang aman.

 

وَأَن أَلقِ عَصاكَ

dan lemparkanlah tongkatmu.

Allah suruh Nabi Musa untuk melemparkan tongkatnya. Sudah ada banyak ayat tentang kejadian ini di dalam surah-surah yang lain. Apa yang berlaku sekarang adalah Allah sedang memberi latihan kepada baginda untuk menggunakan tongkat itu.

Kerana nanti baginda akan gunakan banyak kali selepas itu – bila berhadapan dengan Fir’aun, dengan para ahli sihir, membelah laut dan membelah batu untuk mengeluarkan air minuman. Jadi Allah bagi praktis dahulu di tempat yang selesa dan tidak ada orang, supaya baginda dapat biasakan diri tengok tongkat itu bertukar jadi ular.

 

فَلَمّا رَءآها تَهتَزُّ كَأَنَّها جآنٌّ

Maka tatkala (tongkat itu menjadi ular dan) Musa melihatnya bergerak-gerak seolah-olah dia seekor ular yang tangkas,

Setelah dilempar ke tanah, tongkat baginda itu bergetar-getar dan menjadi ular seperti جآنٌّ (jin). Disamakan dengan jin kerana ada juga jin yang bertukar menjadi ular. Dan ular itu adalah ular yang tangkas, aktif. Tidaklah ular itu duduk senyap sahaja (macam ular sawa).

Padahal badan ular itu besar. Selalunya ular besar tidak bergerak tangkas, duduk senyap sahaja seperti ular sawa. Tapi yang amat menakutkan adalah ular itu bergerak tangkas macam ular yang kecil dan makan segala apa yang ada di hadapannya seperti batu dan lain-lain. Ditelannya sahaja, tak perlu kunyah.

 

وَلّىٰ مُدبِرًا وَلَم يُعَقِّب

larilah dia ke belakang tanpa menoleh.

Maka kerana ular itu tangkas dan menakutkan (besar juga), maka Nabi Musa melarikan diri kerana takut sangat dan baginda tidak mahu kembali ke tempat itu. Baginda tidak toleh ke belakang pun.

Ini tidak pelik kerana Nabi Musa pun seorang manusia juga dan kerana itu tentu baginda ada rasa takut. Makan ini bukanlah perkara yang memalukan baginda. Maka kita dapat tahu di sini yang baginda juga adalah manusia biasa. Dan manusia biasa ada juga perasaan takut.

 

يٰموسىٰ أَقبِل وَلا تَخَف

“Hai Musa datanglah dan janganlah kamu takut. 

Maka Allah panggil semula baginda menyuruh Nabi Musa untuk kembali dan menghadapi perkara itu. Dan Allah suruh baginda jangan takut kerana ini adalah latihan untuk baginda kerana nanti baginda kena tunjukkan perkara ini kepada Fir’aun dan pengikutnya nanti.

Waktu itu nanti tidak boleh takut, kena yakin. Apabila sudah melihat kali pertama, tidaklah baginda takut lagi, bukan? Maka itulah kita katakan yang ini latihan bagi baginda.

 

إِنَّكَ مِنَ الأمِنينَ

Sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang aman.

Dan Allah berjanji kepada Nabi Musa yang baginda akan selamat dan aman, jadi tidak perlu takut. Dan bukan selamat waktu itu sahaja tetapi di waktu-waktu yang mendatang apabila baginda menghadapi dugaan.

Kerana janji Allah inilah yang menyebabkan baginda berani untuk menghadapi Fir’aun dan apabila baginda menghadapi laut sambil di belakang baginda nanti ada Fir’aun dan tenteranya. Kerana baginda sudah lihat perkara yang hebat dan ajaib dan tahap yakin baginda sudah tahap yang amat tinggi.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 18 Ogos 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Qasas Ayat 26 – 28 (Musa berkahwin)

Ayat 26:

قالَت إِحدىٰهُما يىٰأبت استَئجِرهُ ۖ إِنَّ خَيرَ مَنِ استَئجَرتَ القَوِيُّ الأَمينُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

One of the women said, “O my father, hire him. Indeed, the best one you can hire is the strong and the trustworthy.”

(MELAYU)

Salah seorang dari kedua wanita itu berkata: “Ya bapaku ambillah dia sebagai orang yang bekerja (pada kita), kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya”.

 

قالَت إِحدىٰهُما يىٰأبت استَئجِرهُ

Salah seorang dari kedua wanita itu berkata: “Ya bapaku ambillah dia sebagai orang yang bekerja

Salah seorang daripada anak gadis itu memberi cadangan kepada ayahnya. Kita tidak tahu siapakah yang berkata dalam ayat ini sama ada wanita yang sama yang telah pergi menjemput Nabi Musa atau tidak. Dan kita tidak boleh membuat spekulasi mengikut akal kita sahaja.

Ini mengajar kita yang anak-anak perempuan boleh juga memberi cadangan kepada ayahnya dan bukannya kena duduk senyap sahaja. Sebelum ini kita telah belajar tentang wanita yang bijak: ibu Nabi Musa, Aminah; ibu angkat Nabi Musa, Asiah; kakak Nabi Musa, Maryam. Dan sekarang kita belajar lagi tentang seorang lagi wanita bijak, anak perempuan lelaki ini.

Wanita itu mencadangkan kepada ayahnya untuk mengambil Nabi Musa bekerja dengan mereka.

 

إِنَّ خَيرَ مَنِ استَئجَرتَ القَوِيُّ الأَمينُ

kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya”.

Anak gadis itu bukan sahaja beri cadangan tapi dia sebut kualiti Nabi Musa. Beliau kata yang sebaik-baik pekerja adalah yang kuat dan juga yang boleh dipercayai. Dan kita tahu yang ianya ditujukan kepada Nabi Musa kerana kalimah yang digunakan adalah dalam betul ma’rifah (khusus kepada seseorang). Gadis itu menyebut sifat itu sebagai benda yang baik kerana kualiti ini susah untuk dicari.

Inilah kualiti kerja yang baik sampai bila-bila pun. ‘Kuat’ itu maksudnya berkemampuan dan kriteria satu lagi adalah amanah. Maka kita sebagai pekerja hendaklah ada sifat-sifat ini. Tentunya itu adalah kualiti-kualiti yang amat berguna untuk mereka. Tak perlulah lagi mereka takut untuk menggembala ternakan mereka.

Ini menunjukkan yang mereka juga adalah wanita yang bijak kerana dapat membaca keadaan itu dan mengenali hati budi Nabi Musa. Dari kisah yang disampaikan oleh Nabi Musa, mereka dapat mengenali yang Nabi Musa itu adalah seorang yang amanah dan punya kekuatan yang telah terbukti semasa menolong mereka. Dan juga dari perawakan baginda yang mereka boleh tengok.

Umar, Ibnu Abbas, Syuraih Al-Qadi, Abu Malik, Qatadah, Muhammad ibnu Ishaq, dan lain-lainnya yang bukan hanya seorang telah mengatakan bahawa ketika wanita itu mengatakan: kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya. (Al-Qasas: 26) Maka ayahnya bertanya, “Apakah yang mendorongmu menilainya seperti itu?” Dia menjawab, “Sesungguhnya dia dapat mengangkat batu besar yang tidak dapat diangkat kecuali hanya oleh sepuluh orang laki-laki. Dan sesungguhnya ketika aku berjalan bersamanya, aku berada di depannya, namun dia mengatakan kepadaku, “Berjalanlah kamu di belakangku. Jika aku salah jalan, beritahulah aku dengan lemparan batu kerikil, agar aku mengetahui jalan mana yang harus kutempuh.”

Begitulah sifat warak baginda. Baginda tidak beri wanita itu berjalan di hadapannya kerana kalau wanita itu di depan, maka baginda akan nampak pula susuk tubuh wanita itu.

Begitulah baginda menjaga mata baginda. Baginda tidak ambil peluang. Telinga baginda pun baginda jaga: kerana itu baginda suruh beritahu arah jalan dengan baling batu sahaja, tak perlu bercakap dengan baginda.


 

Ayat 27: Gadis itu cadangkan kerja sahaja, tapi bapanya itu tawarkan perkahwinan pula. Mari kita lihat kenapa.

قالَ إِنّي أُريدُ أَن أُنكِحَكَ إِحدَى ابنَتَيَّ هٰتَينِ عَلىٰ أَن تَأجُرَني ثَمٰنِيَ حِجَجٍ ۖ فَإِن أَتمَمتَ عَشرًا فَمِن عِندِكَ ۖ وَما أُريدُ أَن أَشُقَّ عَلَيكَ ۚ سَتَجِدُني إِن شاءَ اللهُ مِنَ الصّٰلِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “Indeed, I wish to wed you one of these, my two daughters, on [the condition] that you serve me for eight years; but if you complete ten, it will be [as a favor] from you. And I do not wish to put you in difficulty. You will find me, if Allāh wills, from among the righteous.”

(MELAYU)

Berkatalah dia (Syu’aib): “Sesungguhnya aku bermaksud menikahkan kamu dengan salah seorang dari kedua anakku ini, atas dasar bahawa kamu bekerja denganku lapan tahun dan jika kamu cukupkan sepuluh tahun maka itu adalah (suatu kebaikan) dari kamu, maka aku tidak hendak memberati kamu. Dan kamu Insya Allah akan mendapatiku termasuk orang-orang yang baik”.

 

قالَ إِنّي أُريدُ أَن أُنكِحَكَ إِحدَى ابنَتَيَّ هٰتَينِ

Berkatalah dia: “Sesungguhnya aku bermaksud menikahkan kamu dengan salah seorang dari kedua anakku ini,

Lelaki itu menawarkan untuk mengahwinkan salah seorang daripada dua anaknya itu kepada Nabi Musa. Mungkin salah seorang daripada anaknya itu sudah jatuh hati kepada Nabi Musa dan ayah ini dapat membaca perasaan anaknya itu. Sebab itu dia beriya-iya menganjurkan ayahnya ambil Nabi Musa bekerja dengan mereka.

Jadi ini mengajar kita yang bapa anak gadis boleh menawarkan anaknya atau mencari pasangan lelaki untuk anaknya. Maka tidaklah perlu sampai anaknya itu menjadi andartu kalau tiada orang meminang. Kalau anaknya sudah cukup umur, ayah boleh cari pasangan untuk anak.

Maka kalau kita ada anak gadis bolehlah kita tengok-tengok lelaki yang kita boleh percayai dan kita kenal mereka dan tahu kedudukan agama mereka, maka bolehlah kita tawarkan anak kita kepada lelaki itu. Tidak ada kerendahan pada perkara ini kerana ianya ada disebut di dalam Al-Qur’an.

Tambahan pula zaman sekarang memang sukar untuk mencari lelaki yang baik, maka bapa anak-anak perempuan kena menjalankan peranan mereka. Jangan biarkan sahaja anak perempuan cari sendiri. Entah siapa yang dicarinya nanti.

Dan apa yang dilakukan oleh bapa ini memang praktikal kerana dia hendak mengajak Nabi Musa sebagai pekerjanya dan tentulah Nabi Musa akan selalu berada di sekeliling anak-anaknya dan kalau tidak berkahwin maka akan menjadi masalah. Jadi lelaki ini memang seorang yang bijak.

Kita telah sebut yang bapa itu dapat membaca perasaan anaknya yang sudah minat kepada Nabi Musa dan ini mengajar kita yang seorang gadis boleh menggunakan isyarat untuk memberitahu yang dia minat kepada seseorang. Dan seorang bapa apabila anak-anak perempuannya memberi isyarat maka dengarlah dengan hati yang terbuka.

Sebagai contoh, cakaplah kepada ayah begini: “ayah, ayah… ada seorang pemuda di kolej saya sedap kalau dia bagi ceramah… ayah! Apa kata ayah datang tengok dia?” Bila anak sudah cakap macam itu, faham-faham sahajalah wahai bapa.

 

عَلىٰ أَن تَأجُرَني ثَمٰنِيَ حِجَجٍ

atas dasar bahawa kamu bekerja denganku lapan tahun 

Dan balasan untuk berkahwin dengan anaknya adalah bekerja selama lapan tahun dengannya. Itulah mahrnya. Tapi bukanlah kena bekerja lapan tahun baru boleh berkahwin. Maknanya Nabi Musa akan berkahwin dengan gadis itu terus dan baginda akan bekerja selama 8 tahun dengan mereka.

Dan kalau kita ambil pendapat yang lelaki ini adalah Nabi Syu’aib, maka dalam masa lapan tahun itu Nabi Musa dapat belajar agama dengannya. Mengambil dari masa lapan tahun inilah maka pengajian madrasah di Pakistan memilih waktu pembelajaran untuk jadi alim selama lapan tahun. Dan kalau mahu buat pengkhususan maka tambah dua tahun lagi seperti juga dalam ayat ini.

Dan kerana Nabi Musa lari daripada Negeri Mesir maka lapan tahun adalah masa yang sesuai untuk baginda dilupakan oleh orang-orang Mesir. Supaya orang Mesir lupa tentang baginda dan bolehlah kalau baginda nak pulang nanti apabila keadaan sudah tenang nanti.

Maka rancangan ini adalah rancangan yang terbaik untuk semua pihak kerana lelaki tua itu mendapat pekerja yang baik dan dapat mengahwinkan anak perempuannya dan Nabi Musa dapat tempat tinggal, tempat kerja, tempat perlindungan yang selamat dari Mesir dan wanita itu mendapat suami yang baik.

Jadi ini mengajar kita yang jikalau bapa mertua ataupun bakal bapa mertua menawarkan kerja kepada kita janganlah malu untuk terima kerana ini ada di dalam Al-Qur’an. Jangan malu untuk terima. Dan jangan kutuk lelaki yang kerja dengan bapa mertua atau kerja di syarikat bapa mertua.

Satu lagi yang menarik adalah penggunaan kalimah حِجَجٍ yang digunakan untuk merujuk kepada ‘tahun’. Ini merujuk kepada ibadah Haji ke Mekah. Kerana dia kira setiap tahun ada Haji. Maknanya mereka juga kenal ibadah Haji. Jadi Nabi Musa adalah Nabi kaum Yahudi maka mereka sepatutnya tahu adanya amalan Haji ke Kaabah. Tapi seperti yang kita tahu, puak Yahudi tidak buat Haji pun. Ini kerana mereka telah meninggalkan agama yang benar.

 

فَإِن أَتمَمتَ عَشرًا فَمِن عِندِكَ

dan jika kamu cukupkan sepuluh tahun maka itu adalah (suatu kebaikan) dari kamu,

Nabi Musa kena kerja selama lapan tahun tetapi kalau dapat cukupkan jadi 10 tahun itu lebih baik. Kira sebagai bonus.

Tentulah masa 8 ataupun 10 tahun itu adalah masa yang lama, maka bapa gadis itu memujuk Nabi Musa dengan mengatakan yang bukanlah dia hendak menyusahkan Nabi Musa. Dia tidaklah memaksa Nabi Musa untuk cukupkan juga 10 tahun. Ini menunjukkan yang lelaki itu pandai untuk negosiasi. Jadi apabila kita berurusan begitu, janganlah kita tunjuk sangat yang kita beriya.

Maka walaupun dia memang hendak mengahwinkan anaknya dengan Nabi Musa tetapi tidaklah dia letak harga yang murah. Kerana 8 tahun bukanlah masa yang sekejap, bukan?

Mungkin ada yang berhujah mengatakan para sahabat dulu letak mahr murah-murah sahaja tetapi kita kena tahu keadaan mereka yang memang tidak ada apa-apa kerana mereka menyerahkan seluruh harta dan diri mereka untuk agama.

Jadi kalau zaman sekarang janganlah perasan nak ikut keadaan zaman dulu. Lagi satu, adakah lelaki-lelaki kita sama seperti para sahabat itu? Maka berilah mahr yang ada harga.

Dan kita lihat bagaimana pada zaman Nabi Musa itu bukan harga yang diletakkan tetapi mungkin menjadi kebiasaan mahr itu boleh digunakan sebagai jangka masa bekerja dengan seseorang. Ini ikut keadaan semasa. Ada ketika zaman Nabi, mahr adalah cincin besi sahaja dan ada waktu mahr adalah mengajar ayat Al-Qur’an kepada isteri.

Dan jangan kita rasa yang ayah dia itu mengambil kesempatan ke atas Nabi Musa kerana bukannya Nabi Musa tidak dibayar gaji tetapi baginda mendapat kerja dan gaji, tempat tinggal dan juga isteri.

 

وَما أُريدُ أَن أَشُقَّ عَلَيكَ

dan aku tidaklah hendak memberati kamu.

Ayahnya itu berkata: “Kamu akan lihat yang aku seorang yang baik dan tidak akan ambil kesempatan terhadap kamu.” Ini penting kerana kadangkala ada orang ambil kesempatan apabila menantunya duduk bersama dengannya.

 

سَتَجِدُني إِن شاءَ اللهُ مِنَ الصّٰلِحينَ

Dan kamu Insya Allah akan mendapatiku termasuk orang-orang yang baik”.

Ayah itu memberitahu yang dia seorang yang baik dan Nabi Musa akan nampak perkara itu nanti.


 

Ayat 28: Apakah jawapan balas Nabi Musa?

قالَ ذٰلِكَ بَيني وَبَينَكَ ۖ أَيَّمَا الأَجَلَينِ قَضَيتُ فَلا عُدوٰنَ عَلَيَّ ۖ وَاللهُ عَلىٰ ما نَقولُ وَكيلٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Moses] said, “That is [established] between me and you. Whichever of the two terms I complete – there is no injustice to me, and Allāh, over what we say, is Witness.”

(MELAYU)

Dia (Musa) berkata: “Itulah (perjanjian) antara aku dan kamu. Mana saja dari kedua waktu yang ditentukan itu aku sempurnakan, maka tidak ada tuntutan tambahan atas diriku (lagi). Dan Allah adalah saksi atas apa yang kita ucapkan”.

 

قالَ ذٰلِكَ بَيني وَبَينَكَ

Dia (Musa) berkata: “Itulah (perjanjian) antara aku dan kamu.

Nabi Musa bersetuju dengan tawaran lelaki tua itu; dan ini adalah satu-satunya kisah yang menceritakan tentang perkahwinan di dalam Al-Qur’an. Dan kita boleh lihat bagaimana perbincangan ini adalah antara bapa seorang gadis dan juga lelaki yang akan berkahwin kerana jikalau dia sudah boleh berkahwin, maka dia sudah sepatutnya boleh buat keputusan tentang terma-terma perkahwinannya sendiri.

Tapi kadang-kadang kita tengok perbincangan perkahwinan antara keluarga kedua-dua pasangan di negara ini dan banyak di tempat lain, amat memalukan kerana kadang-kadang berkelahi kerana ada yang tidak puas hati dengan wang yang ditawarkan. Macam nak jual anak pula kadang-kadang kita lihat.

Sepatutnya bakal suami itulah yang kena menentukan sama ada dia sanggup atau tidak dengan harga mahr yang ditetapkan kerana dia yang akan membayarnya nanti. Kadang-kadang kerana ibubapa yang bodoh tidak ada akhlak, meletakkan harga yang tinggi sampaikan anak-anak mereka memulakan kehidupan suami isteri dipenuhi dengan hutang yang sampai beranak pinak pun mereka tidak habis bayar.

Tengoklah bagaimana P. Ramlee pun sampai buat kisah Seniman Bujang Lapok. Dia buat sketsa tentang satu pasangan yang kerana mas kahwin tinggi sangat sampai kena pinjam dengan ceti. Sampai anak beranak pinak pun tetap dia masih menanggung bayar bunga ceti!

Zaman sekarang lelaki sampai terpaksa buat pinjaman peribadi dengan bank. Lepas tu bertahun kena bayar. Padahal yang jadi mahal hanya kerana emak dan makcik-makcik kepoh hendak buat kenduri besar-besaran, pakai baju hias-hiasan, panggil orang besar-besaran. Semua itu tidak perlu dan membazir sahaja. Tidak perlu kita kena ikut golongan artis yang berkahwin di hotel berbintang-bintang. Artis bukanlah golongan yang kita patut ikuti.

 

أَيَّمَا الأَجَلَينِ قَضَيتُ فَلا عُدوٰنَ عَلَيَّ

Mana saja dari kedua waktu yang ditentukan itu aku sempurnakan, maka tidak ada tuntutan tambahan atas diriku (lagi).

Dan antara dua tempoh yang telah ditawarkan itu, mana saja yang baginda lakukan, janganlah dijadikan sebagai sebab untuk menyalahkan baginda nanti. Tambahan dua tahun itu pun sebagai bonus sahaja.

Maknanya nanti terpulang kepada Nabi Musa sama ada hendak buat 8 tahun ataupun 10 tahun. Baginda tidak beri penetapan dan ini bijak bagi pihak Nabi Musa. Baginda boleh tengok keadaan di hujung tahun kelapan itu. Kalau baginda rasa sesuai, baginda akan tambah lagi dua tahun.

Ulama’ tafsir mengatakan yang Nabi Musa menyempurnakan tempoh kerja baginda dengan Nabi Syu’aib selama 10 tahun. Ini berdasarkan:

Imam Bukhari mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Abdur Rahim, telah menceritakan kepada kami Sa’id ibnu Sulaiman, telah menceritakan kepada kami Marwan ibnu Syuja’, dari Salim Al-Aftas, dari Sa’id ibnu Jubair yang mengatakan bahawa dia pernah ditanya oleh seorang Yahudi Hirah, “Manakah di antara kedua masa itu yang diselesaikan oleh Musa?” Aku menjawab, “Tidak tahu”, hingga aku mendatangi orang Arab yang paling alim, dialah Ibnu Abbas r.a. Lalu aku bertanya kepadanya mengenai masalah ini, maka dia jawab, “Sesungguhnya Musa menunaikan masa yang paling sempurna di antara kedua masa itu, kerana sesungguhnya utusan Allah itu apabila berkata pasti menunaikannya.”

 

وَاللهُ عَلىٰ ما نَقولُ وَكيلٌ

Dan Allah adalah saksi atas apa yang kita ucapkan”.

Nabi Musa menyerahkan kepada Allah yang akan menguruskan perkara itu di antara mereka. Kerana sama ada mereka hidup sampai ke tahun kelapan itu pun belum tentu lagi kerana ianya di dalam tangan Allah. Allah sahaja yang boleh menentukan sama ada ia terjadi ataupun tidak.

Atau bermaksud baginda menjadikan Allah sebagai saksi perjanjian mereka itu. Maka ini adalah janji yang kuat kerana dipersaksikan oleh Allah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 13 Ogos 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Qasas Ayat 22 – 25 (Pengalaman di Madyan)

Ayat 22: Dari ayat ini sehingga ke ayat 28 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia menceritakan tempoh Nabi Musa selama 10 tahun di Madyan.

وَلَمّا تَوَجَّهَ تِلقاءَ مَديَنَ قالَ عَسىٰ رَبّي أَن يَهدِيَني سَواءَ السَّبيلِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when he directed himself toward Madyan, he said, “Perhaps my Lord will guide me to the sound way.”

(MELAYU)

Dan tatkala dia menghadap ke arah negeri Madyan dia berdoa (lagi): “Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan yang benar”.

 

وَلَمّا تَوَجَّهَ تِلقاءَ مَديَنَ

Dan tatkala dia menghadap ke arah negeri Madyan

Nabi Musa buat keputusan untuk menuju ke Madyan, satu negeri di Hijaz, sekarang di Dubai.

Perjalanan Nabi Musa

 

قالَ عَسىٰ رَبّي أَن يَهدِيَني سَواءَ السَّبيلِ

dia berdoa: “Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan yang benar”.

Dan semasa baginda menghadapkan wajah baginda ke arah yang baginda hendak pergi itu, baginda berdoa kepada Allah untuk memberikan jalan yang betul kepada baginda. Ini supaya baginda tidak sesat dalam perjalanan. Ini kerana baginda tidak tahu jalan ke Madyan dan ia juga adalah satu perjalanan yang amat jauh.

Jadi ‘jalan yang baik’ di dalam ayat ini bukan bermaksud jalan dalam agama kerana baginda tidak ada masalah dengan agama sekarang tetapi baginda sekarang perlu menyelamatkan diri baginda dan hendak berjalan jauh. Jadi baginda berharap petunjuk dari Allah tentang perjalanannya ke Madyan. Baginda berharap supaya keputusannya untuk pergi ke sana adalah keputusan yang baik dan Allah akan beri bantuan.

Jadi ada hikmah kenapa Allah keluarkan Nabi Musa dari istana Firaun kerana hendak beri baginda rasa susah dalam kehidupan dan dapat belajar erti kesusahan yang dialami oleh orang-orang Bani Israil.


 

Ayat 23: Dipendekkan cerita, baginda telah sampai di Madyan.

وَلَمّا وَرَدَ ماءَ مَديَنَ وَجَدَ عَلَيهِ أُمَّةً مِّنَ النّاسِ يَسقونَ وَوَجَدَ مِن دونِهِمُ امرَأَتَينِ تَذودانِ ۖ قالَ ما خَطبُكُما ۖ قالَتا لا نَسقي حَتّىٰ يُصدِرَ الرِّعاءُ ۖ وَأَبونا شَيخٌ كَبيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when he came to the water [i.e., well] of Madyan, he found there a crowd of people watering [their flocks], and he found aside from them two women driving back [their flocks]. He said, “What is your circumstance?” They said, “We do not water until the shepherds dispatch [their flocks]; and our father is an old man.”

(MELAYU)

Dan tatkala dia sampai di sumber air negeri Madyan dia menjumpai di sana sekumpulan orang yang sedang meminumkan (ternaknya), dan dia menjumpai di belakang orang banyak itu, dua orang wanita yang sedang menghambat (ternaknya). Musa berkata: “Apakah maksudmu (dengan berbuat begitu)?” Kedua wanita itu menjawab: “Kami tidak dapat meminumkan (ternak kami), sebelum pengembala-pengembala itu memulangkan (ternaknya), sedang bapa kami adalah orang tua yang telah lanjut umurnya”.

 

وَلَمّا وَرَدَ ماءَ مَديَنَ

Dan tatkala dia sampai di sumber air negeri Madyan

Setelah baginda sampai, maka tentunya Nabi Musa mencari sumber air. Baginda akhirnya telah jumpa telaga air di Madyan itu. Itulah tempat yang utama bagi masyarakat Madyan kerana mereka akan berkumpul untuk mendapatkan bekalan air.

 

وَجَدَ عَلَيهِ أُمَّةً مِّنَ النّاسِ يَسقونَ

dia menjumpai di sana sekumpulan orang yang sedang meminumkan (ternaknya),

Baginda nampak segolongan manusia yang memberi binatang ternak mereka minum. Orang kampung sedang berkerumun di telaga itu untuk memberi ternakan mereka minum.

 

وَوَجَدَ مِن دونِهِمُ امرَأَتَينِ تَذودانِ

dan dia menjumpai di belakang orang banyak itu, dua orang wanita yang sedang menghambat (ternaknya).

Dan selain daripada mereka yang ramai-ramai itu, Nabi Musa nampak di kejauhan itu ada dua orang gadis yang sedang bergelut menahan ternakan mereka. Ini kerana binatang itu telah nampak air dan mahu minum tetapi ditahan oleh dua gadis itu.

Dari bahasa yang digunakan kita dapat bayangkan betapa susahnya mereka menahan binatang-binatang itu kerana tentunya binatang-binatang itu lebih kuat dari mereka. Tapi mereka tahan juga ternakan mereka dari pergi ke telaga itu.

Satu pendapat mengatakan yang itu dua gadis itu adalah anak-anak Nabi Syu’aib. Nabi Syu’aib sudah tua dan tidak mampu untuk menjaga ternakannya sendiri maka anak-anak gadisnyalah yang dipertanggungjawabkan. Orang-orang kampung tidak suka kepada mereka kerana tidak setuju dalam hal agama dengan Nabi Syu’aib, maka mereka tidak benarkan ahli keluarga menggunakan air untuk memberi minum ternakan mereka.

Kerana itu anak-anak gadis itu tidak datang dekat kerana mereka akan halau kalau dua gadis itu datang. Tapi ada juga pendapat yang tidak bersetuju mengatakan yang bapa kepada dua gadis itu adalah Nabi Syu’aib kerana jarak masa tidak sama. Memang Nabi Syu’aib tinggal di Madyan tapi tidaklah sama zaman dengan Nabi Musa. Allahu a’lam.

Amat jahat sekali orang kampung itu kalau benar mereka menghalang dua gadis itu daripada mengambil bekalan air. Dan selepas ternakan mereka minum, mereka tutup telaga itu dengan penutup besi yang berat yang tidak dapat dibuka oleh anak-anak gadis itu kerana ianya berat.

Jadi anak-anak gadis itu akan pergi ke telaga itu selepas orang-orang lain pergi. Tetapi mereka tidak boleh nak buka penutup telaga itu jadi mereka hanya boleh beri minum ternakan mereka dengan lebihan-lebihan air yang jatuh di tepian saja.

Abu Bakar ibnu Abu Syaibah mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ubaidillah, telah menceritakan kepada kami Israil, dari Abu Ishaq, dari Amr ibnu Maimun Al-Audi, dari Umar ibnul Khattab r.a., bahawa Musa a.s. setelah sampai di sumber air negeri Madyan, dia menjumpai sekumpulan orang-orang yang sedang memberi minum ternak mereka. Setelah selesai, lalu mereka mengembalikan batu besar penutup sumur itu yang tidak dapat diangkat kecuali hanya oleh sepuluh orang laki-laki. Tiba-tiba Musa melihat dua orang wanita yang sedang menambat ternaknya. Dia bertanya, “Apakah gerangan yang dialami oleh kamu berdua?” Lalu keduanya menceritakan perihal dirinya kepada Musa, maka Musa mendatangi batu besar itu dan mengangkatnya sendirian. Kemudian tidaklah dia memberi minum ternak keduanya, melainkan cukup hanya dengan setimba air dan ternyata ternak kedua wanita itu kenyang. Sanad riwayat ini sahih.

 

قالَ ما خَطبُكُما

Musa berkata: “Apakah maksudmu (dengan berbuat begitu)?”

Nabi Musa kehairanan dan tidak tahan melihat apa yang berlaku dan kerana itu baginda pergi kepada mereka berdua dan tanya apakah hal mereka. Baginda tanya kenapa mereka menahan binatang ternak mereka dari minum air?

Dan tentunya baginda hairan kenapa gadis pula yang menjaga ternakan mereka sedangkan itu adalah kerja lelaki. Baginda prihatin dan hati baginda hendak menolong mereka.

 

قالَتا لا نَسقي حَتّىٰ يُصدِرَ الرِّعاءُ

Kedua wanita itu menjawab: “Kami tidak dapat meminumkan (ternak kami), sebelum pengembala-pengembala itu memulangkan (ternaknya), 

Mereka berdua beritahu kepada Nabi Musa yang mereka tidak boleh memberi binatang ternak mereka minum sehinggalah ternakan yang banyak-banyak itu telah minum (dan tuan mereka telah pulang) kerana mereka berdua tidak dibenarkan untuk mengambil air waktu itu seperti yang telah disebut di atas.

Satu lagi pendapat, mereka tidak mahu bercampur gaul dengan lelaki yang ramai itu. Kerana mereka itu gadis sunti dan mereka tahu adab antara lelaki dan wanita. Ini juga pendapat yang bagus. Ia menjadi pengajaran bagi kita bahawa wanita kena jaga pergaulan dengan lelaki ajnabi (menjaga ikhtilat).

 

وَأَبونا شَيخٌ كَبيرٌ

sedang bapa kami adalah orang tua yang telah lanjut umurnya”.

Dan mereka berdua beritahu yang bapa mereka terlalu tua. Oleh kerana itu merekalah yang mencari nafkah kehidupan dan ini mengajar kita yang orang perempuan boleh bekerja jikalau perlu. Ini adalah satu satu maksud ‘syeikh’ iaitu ‘tua’.

Juga boleh bermaksud yang bapa mereka mempunyai kedudukan dan memberi isyarat kepada Nabi Musa supaya jangan main-main dengan mereka. Ini adalah pendapat lain tentang maksud ‘syeikh’ dan kerana itulah selalu digunakan kalimah ini sebagai penghormatan kepada orang yang berilmu.


 

Ayat 24: Maka Nabi Musa terus membantu mereka.

فَسَقىٰ لَهُما ثُمَّ تَوَلّىٰ إِلَى الظِّلِّ فَقالَ رَبِّ إِنّي لِما أَنزَلتَ إِلَيَّ مِن خَيرٍ فَقيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So he watered [their flocks] for them; then he went back to the shade and said, “My Lord, indeed I am, for whatever good You would send down to me, in need.”

(MELAYU)

Maka Musa memberi minum ternak itu untuk (menolong) keduanya, kemudian dia kembali ke tempat yang teduh lalu berdoa: “Ya Tuhanku sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku”.

 

فَسَقىٰ لَهُما

Maka Musa memberi minum ternak itu untuk (menolong) keduanya,

Baginda tanpa berkata banyak telah membawa binatang-binatang ternak gadis-gadis itu ke tempat air dan memberi minum kepada binatang-binatang itu. Mudah sahaja bagi baginda untuk melakukannya kerana baginda seorang yang gagah seperti yang kita telah sebut sebelum ini (tumbuk orang pun boleh mati).

Maka kalau ada orang yang ramai, baginda boleh tepis sahaja mereka. Dan kalau mereka tidak ada lagi dan mereka telah tutup penutup telaga itu, baginda boleh angkat seorang diri sahaja. Walaupun penutup itu sangat berat sampai sepuluh orang lelaki biasa diperlukan untuk mengangkatnya.

 

ثُمَّ تَوَلّىٰ إِلَى الظِّلِّ

kemudian dia kembali ke tempat yang teduh

Dan kemudian baginda pergi semula ke tempat rehat baginda. Sebelum itu baginda telah rehat di bawah teduhan pokok dan selepas tolong gadis-gadis itu, baginda pulang ke pokok itu.

Tidaklah ada disebut percakapan lain dengan mereka berdua. Baginda cuma hendak tolong sahaja dan tidak lebih dari itu. Tidaklah baginda mengorat mereka atau sebagainya. Selepas tolong sahaja, baginda tinggalkan mereka.

 

فَقالَ رَبِّ إِنّي لِما أَنزَلتَ إِلَيَّ مِن خَيرٍ فَقيرٌ

lalu dia berdoa: “Ya Tuhanku sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku”.

Dan kemudian baginda berdoa kepada Allah dengan menyebut bahawa baginda tidak ada apa-apa. Baginda amat berharap kepada apa sahaja yang Allah hendak berikan kepada baginda. Sama ada makanan ataupun perlindungan atau apa sahaja keperluan baginda.

Lihatlah bagaimana Allah ajar doa para Nabi di mana mereka sentiasa sahaja berdoa dan mereka berdoa terus kepada Allah.

Dan ini menjadi dalil untuk anjuran kita berdoa selepas kita buat amal yang baik. Inilah tawassul (perantaraan) yang dibenarkan (malah digalakkan). Bukannya tawassul dengan Nabi dan wali yang telah mati. Kalau kita ada keperluan dan kita hendak bersungguh-sungguh doa kepada Allah, maka buatlah amal kebaikan, tolong orang; sedekah orang; baca Al-Qur’an; tolong ibubapa; malah apa sahaja kebaikan, dan kemudian berdoalah selepas itu.

Dan juga mengajar kita jangan lepaskan peluang untuk berdoa selepas kita beramal baik dan selepas kita beribadat.

Ata ibnus Sa’ib mengatakan bahawa ketika Musa berdoa: Ya Tuhanku, sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku. (Al-Qasas: 24) Doanya itu terdengar oleh wanita tersebut.


 

Ayat 25: Maka hari itu dua adik-beradik itu kembali ke rumah lebih awal daripada biasa. Tentunya bapa mereka kehairanan dan bertanya kepada mereka kenapa. Lalu mereka menceritakan kejadian yang telah berlaku.

Tentu bapa mereka bertanya kepada anak-anaknya itu tentang lelaki misteri ini kerana tentu dia juga risau. Dari kisah yang disebut oleh anak-anaknya itu, maka bapanya itu teringin untuk berjumpa dengan lelaki ini. Dia suruh anaknya menjemput Nabi Musa datang ke rumah.

فَجاءَتهُ إِحدىٰهُما تَمشي عَلَى استِحياءٍ قالَت إِنَّ أَبي يَدعوكَ لِيَجزِيَكَ أَجرَ ما سَقَيتَ لَنا ۚ فَلَمّا جاءَهُ وَقَصَّ عَلَيهِ القَصَصَ قالَ لا تَخَف ۖ نَجَوتَ مِنَ القَومِ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then one of the two women came to him walking with shyness. She said, “Indeed, my father invites you that he may reward you for having watered for us.” So when he came to him¹ and related to him the story, he said, “Fear not. You have escaped from the wrongdoing people.”

  • Prophet Shu‘ayb, the father of the two women.

(MELAYU)

Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang dari kedua wanita itu berjalan tersipu-sipu, dia berkata: “Sesungguhnya bapaku memanggil kamu agar dia memberikan balasan terhadap (kebaikan)mu memberi minum (ternak) kami”. Maka tatkala Musa mendatangi bapanya dan menceritakan kepadanya cerita (mengenai dirinya), lelaki itu berkata: “Janganlah kamu takut. Kamu telah selamat dari orang-orang yang zalim itu”.

 

فَجاءَتهُ إِحدىٰهُما تَمشي عَلَى استِحياءٍ

Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang dari kedua wanita itu berjalan tersipu-sipu, 

Seorang sahaja anaknya yang dihantar, bukan kedua-duanya. Ini memberi isyarat yang bapanya itu yakin dengan lelaki itu. Allah tidak sebut pun siapa dari anaknya itu yang dihantar. Mungkin yang tua atau mungkin yang muda. Tidak perlu kita bincangkan.

Wanita itu datang kepada Nabi Musa dalam keadaan tersipu-sipu atau malu-malu kerana mungkin dia memang seorang yang pemalu ataupun Nabi Musa telah menyebabkan dia sendiri rasa malu. Kerana dia lihat Nabi Musa adalah lelaki yang baik dan berketrampilan.

Maknanya juga, dia menjaga maruahnya apabila bertemu dengan Nabi Musa. Yakni seperti jalannya perawan, sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Amirul Mukminin Umar r.a. yang telah mengatakan bahawa wanita itu datang dengan menutupi wajahnya memakai lengan bajunya (sebagaimana layaknya seorang perawan).

Beginilah yang sepatutnya perhubungan lelaki dan wanita. Tidak boleh mesra berlebihan. Kena ada penghadang dari bermesra. Kerana bahaya kalau sudah mesra dan cakap pakai lepas sahaja. Lama kelamaan syaitan akan ambil peluang sampaikan perkara yang tidak patut berlaku pun boleh berlaku. Begitulah yang selalu terjadi di antara lelaki dan wanita. Amat ramai yang sudah terbabas dalam hal ini.

 

قالَت إِنَّ أَبي يَدعوكَ

dia berkata: “Sesungguhnya bapaku memanggil kamu

Gadis itu memberitahu yang ayahnya telah menjemput baginda ke rumah.

 

لِيَجزِيَكَ أَجرَ ما سَقَيتَ لَنا

agar dia memberikan balasan terhadap (kebaikan)mu memberi minum (ternak) kami”.

Kenapa dijemput ke rumah? Kerana ayahnya hendak memberi upah kepada Nabi Musa di atas pertolongan baginda sebelum itu.

Dan Nabi Musa tidak menolak permintaan itu. Maka baginda telah ikut gadis itu pulang ke rumahnya. Kerana sebelum itu bukankah dia telah berdoa kepada Allah dan dia tahu yang apa yang sedang berlaku itu adalah jawapan doa dari Allah.

Dalam Al-Qur’an tidak disebut kisah ini dengan panjang dan bagaimana cara baginda pergi ke rumah orang itu. Cuma terus disebut yang baginda telah berjumpa dengan bapa dua orang gadis itu.

 

فَلَمّا جاءَهُ وَقَصَّ عَلَيهِ القَصَصَ

Maka tatkala Musa mendatanginya dan menceritakan kepadanya cerita (mengenai dirinya), 

Setelah berjumpa dengan bapa gadis itu (mungkin juga Nabi Syu’aib mengikut satu pendapat), Nabi Musa nampak bahawa lelaki itu boleh dipercayai. Maka baginda telah menceritakan segala kisahnya dari mula hinggalah baginda sampai ke Madyan kepada lelaki itu.

Jadi akhirnya keluarga itu tahu siapakah Nabi Musa dan apakah yang terjadi dan bagaimana baginda adalah seorang pelarian dari negara sendiri.

 

قالَ لا تَخَف

dia berkata: “Janganlah kamu takut.

Setelah mendengar kisah dari Nabi Musa, maka lelaki itu menenangkan baginda supaya jangan lagi takut. Sebelum itu kita telah sebutkan bagaimana baginda dalam keadaan takut sahaja. Takut kalau-kalau baginda ditangkap.

 

نَجَوتَ مِنَ القَومِ الظّٰلِمينَ

Kamu telah selamat dari orang-orang yang zalim itu”.

Lelaki ini seorang yang bijak dan dia boleh faham apa yang telah terjadi dan dia telah menenangkan Nabi Musa. Kerana negeri mereka itu kawasan lain jauh dari Mesir maka Nabi Musa akan selamat di tempat baru itu – Madyan. Tentera Fir’aun tidak boleh sampai ke situ kerana itu bukan tempat mereka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 11 Ogos 2020


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir