Maksud Ijmak & Qiyas secara ringkas

Penerangan ringkas. Boleh rujuk kepada mereka yang belajar usuluddin untuk maklumat lanjut. 

Ijmak dan qiyas memang ada dalam Islam. Mana mungkin kita tolak ijmak dan qiyas sedangkan dalilnya ada dalam Qur’an dan sunnah? Walaupun kita selalu kata sumber rujukan kita adalah Qur’an dan sunnah, tidaklah kita tolak ijmak dan qiyas. Kerana apabila disebut rujukan kita adalah Qur’an dan sunnah, termasuklah sekali ijmak dan qiyas di dalamnya. 

Tapi kena faham apakah maksudnya, dan bagaimana aplikasi dia.

Ijmak: seluruh ulama yang layak buat ijtihad bersetuju atas sesuatu keputusan itu. Persoalan: mana nak cari semua ulama setuju satu dunia ni? Ada persatuan ulama mujtahid ke? Yang duduk berbincang dan kemudian bersetuju atas sesuatu perkara itu? Memang boleh dikatakan hampir mustahil. Kalau ustaz satu kampung pun susah nak bersetuju satu-satu perkara, apatah lagi kalau satu dunia. Dan ada masalah nak kumpulkan mereka juga. Sebab itu, ijma hanya diterima zaman sahabat sahaja sebab waktu itu mereka boleh duduk bersama. Dan ijmak yang terakhir adalah pada zaman Saidina Umar, iaitu apabila sahabat bersetuju bahawa kalau berjimak, walaupun tanpa keluar air mani, kena mandi junub juga. Kita terima ijmak itu kerana itu adalah salah satu sumber hukum kita. Tidak ada isu kita menolak ijmak ulama’. Tetapi, selepas itu, tidak ada ijma lagi, sebab para sahabat pun sudah merata keluar tidak boleh duduk berbincang dan mencapai kata putus sekali. Zaman itu pun sudah susah, apatah lagi zaman sekarang? Oleh itu, walaupun kita kata ijmak boleh diterima, tapi bolehkan dilakukan ijma’ itu lagi? 

Qiyas: menggunakan hukum yang telah sah, diaplikasikan kepada keadaan yang tidak ada pada zaman dulu kepada zaman sekarang. Sebagai contoh, dadah tidak ada zaman  Nabi, maka kena guna qiyas untuk mengetahui hukumnya. Cara untuk aplikasi adalah dengan tengok ilat yang sama antara keduanya.

Tetapi perlulah kita ingat bahawa Qiyas ini hanya boleh dipakai pada perkara ‘adat’ sahaja, bukan pada perkara ibadat. Kerana tidak ada qiyas dalam perkara ibadat. Imam Shafie sendiri ada kata: la qiyasa fil ibadah (tidak ada qiyas dalam perkara ibadat.

Lagi satu, yang boleh buat qiyas pun kenalah ulama yang boleh buat ijtihad.. bukan ‘ustaz’ biasa yang buat. Kena ada ‘ilmu alat’.. sebagai contoh, Ustaz Basit (Abu Anas Madani), ada ilmu alat untuk buat qiyas. Secara ringkasnya, qiyas memang diperlukan pada zaman sekarang.. sebab banyak perkara dunia yang berlainan dengan zaman Nabi dan sahabat. Tapi bukanlah dalam bentuk ibadat. Jadi, kalau ada yang reka cara zikir menari kerana pakai qiyas Jaafar bin Abi Talib melompat, itu adalah cara qiyas yang amat jelek.

Tafsir Surah Fussilat Ayat 50 – 54 (Allah jelaskan mukjizat dalam alam)

Fussilat Ayat 50: Ini sambungan sikap mereka dari ayat sebelum ini:

وَلَئِن أَذَقنٰهُ رَحمَةً مِّنّا مِن بَعدِ ضَرّاءَ مَسَّتهُ لَيَقولَنَّ هٰذا لي وَما أَظُنُّ السّاعَةَ قائِمَةً وَلَئِن رُّجِعتُ إِلىٰ رَبّي إِنَّ لي عِندَهُ لَلحُسنىٰ ۚ فَلَنُنَبِّئَنَّ الَّذينَ كَفَروا بِما عَمِلوا وَلَنُذيقَنَّهُم مِّن عَذابٍ غَليظٍ

Sahih International

And if We let him taste mercy from Us after an adversity which has touched him, he will surely say, “This is [due] to me, and I do not think the Hour will occur; and [even] if I should be returned to my Lord, indeed, for me there will be with Him the best.” But We will surely inform those who disbelieved about what they did, and We will surely make them taste a massive punishment.

Malay

Dan demi sesungguhnya! Jika Kami beri dia merasai sesuatu rahmat dari Kami sesudah dia ditimpa sesuatu kesusahan, berkatalah dia (dengan sikap tidak bersyukur): “Ini ialah hakku (hasil usahaku semata-mata), dan aku tidak fikir bahawa hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sekalipun), sudah tentu aku akan beroleh kebaikan di sisiNya (seperti kesenanganku sekarang ini)!” Maka demi sesungguhnya! Kami akan memberi tahu kepada orang-orang yang kufur ingkar itu akan keburukan apa yang mereka telah kerjakan, dan Kami akan beri mereka merasai azab seksa yang seberat-beratnya.

 

وَلَئِنْ أَذَقْنٰهُ رَحْمَةً مِّنَّا

Dan sekiranya Kami beri dia suatu rahmat dari Kami

Rahmat yang dimaksudkan adalah rahmat am, iaitu rahmat yang semua orang boleh dapat (rahmat khas hanya diberikan kepada orang mukmin sahaja). Tidak kira sama ada mereka itu beriman atau tidak. Allah ingatkan kita dalam ayat ini bahawa nikmat itu sebenarnya dari Allah.

Tidaklah lama Allah berikan kesusahan kepada manusia. Sekejap sahaja sebenarnya, yang diberikan sebagai ujian. Maka kita hanya perlu bersabar dan berusaha sahaja. Selepas sekian lama, Allah akan berikan kebaikan kepadanya balik.

 

مِنْ بَعْدِ ضَرَّاءَ مَسَّتْهُ

selepas kesusahan dirasakan kepadanya

Selepas mereka ditimpa malang, Allah akan beri mereka keluar dari masalah itu. Perniagaan mereka yang jatuh, dapat naik balik. Kesihatan mereka dulu teruk, mereka sekarang sudah sihat balik, dan sebagainya.

 

لَيَقُولَنَّ هَٰذَا لِي

maka sikufur itu akan berkata: ini adalah hak aku;

Orang kufur itu tidak bersyukur kepada Allah, padahal sebelum itu dia yang berdoa kepada Tuhan, tapi bila sudah dapat, dia kata hasil usaha dia pula. Dia lupa yang masalahnya itu telah diselesaikan oleh Allah.

Dia anggap memang dia layak dapat kebaikan itu, jadi dia tidak bersyukur kepada Allah yang sebenarnya telah memberi kepadanya nikmat itu. Ramai orang yang lupa bahawa segala kebaikan yang mereka dapat itu sebenarnya kurniaan dari Allah. Bukan Allah kena beri, tapi Allah hendak beri kerana kemurahanNya.

Begitulah masalah dengan manusia. Bila waktu susah, senang nak ingat Allah, tapi kadang-kadang bila dapat kesenangan, amat susah nak ingat kepada Allah. Mereka tidak bersyukur kerana mereka sangka mereka memang patut dapat. Ini lain dengan orang yang tidak sangka dia akan dapat sesuatu. Maka bila dia dapat sahaja, sungguh bersyukur dan berterima kasih dia. Kerana dia dapat sesuatu yang tidak disangka-sangka. Tapi orang yang ada sifat kufur dalam diri mereka, selamba sahaja kerana mereka sangka mereka memang patut dapat pun.

 

وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً

Dan aku tidak yakin hari kiamat itu akan berlaku.

Mereka sangka mereka akan hidup berterusan. Mereka sangka mereka tidak akan ditimpa malang lagi. Mereka sangka mereka tidak akan mati. Mereka lupa yang mereka tunggu masa sahaja nak mati.

Bukanlah mereka rasa mereka akan hidup selamanya. Semua orang tahu yang mereka akan mati. Tapi kerana sibuk dengan kesenangan keduniaan, mereka lupa tentang kematian, tentang Kiamat dan tentang akhirat. Maka mereka tidak buat persediaan kepada akhirat. Ini kerana mereka sibuk menikmati segala kesenangan yang mereka ada. Ini memang ada masalah dengan psikologi mereka.

 

وَلَئِن رُّجِعتُ إِلىٰ رَبّي

Dan sekiranya aku dikembalikan kepada Tuhanku,

Mereka tidak yakin Hari Kiamat itu akan berlaku. Tapi mereka kata, “kalau-kalaulah memang hari kiamat itu akan terjadi…. kalau-kalau…..”

 

إِنَّ لِي عِنْدَهُ لَلْحُسْنَىٰ

maka tentu aku akan dapat yang terbaik dari sisi Tuhan.

Kerana dia dapat kebaikan di dunia, dia rasa dia adalah ‘orang yang terpilih’. Mereka yang ada sifat sebegini sangka, kalau terpilih di dunia, tentunya mereka pun terpilih di akhirat kelak. Padahal, tidak begitu sebenarnya. Kerana kejayaan dan kedudukan di dunia, bukanlah tanda kejayaan di akhirat.

Bukanlah kesenangan dan kejayaan di dunia itu sebagai tanda yang Allah sayang kepada kita. Ramai yang salah faham tentang perkara ini, termasuklah orang Islam sekali pun.

Ramai juga yang sedap hati, sangka mereka akan dapat kebaikan di akhirat kelak. Antara sebab mereka fikir begitu adalah sebab dulu dia banyak derma. Tapi dia derma itu bukan kerana Allah. Dia tidak akan derma kalau tak dapat projek. Ada kepentingan yang dia mahukan dengan derma itu.

Semasa derma pun panggil orang media ramai-ramai datang untuk rakam pemberiannya itu. Supaya dia boleh berbangga dan menunjuk kepada orang lain – ini adalah riak. Sebenarnya, telah batal ibadat derma itu kerana dia buat bukan kerana Allah tapi kerana nak tunjuk kepada manusia lain. Bukan ibadat derma sahaja, tapi ibadat-ibadat lain pun kalau kita buat tidak ikhlas, tapi mengharapkan pujian dari orang lain, maka akan terbatal ibadat itu.

 

فَلَنُنَبِّئَنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا  بِمَا عَمِلُوا

Maka Kami akan cerita balik kepada orang kafir terhadap apa yang mereka telah lakukan.

Begitulah sifat mereka yang kufur engkar kepada Allah dan mereka yang ada fahaman yang salah tentang dunia. Allah ceritakan dalam ayat ini sebagai peringatan kepada pembaca Al-Qur’an, supaya jangan jadi begitu.

Allah juga ingatkan berkali-kali dalam Al-Qur’an yang manusia akan dimatikan dan akan dibawa mengadap Allah taala. Dan apabila sampai padaNya, segala perbuatan kita semasa di dunia dulu akan diceritakan balik. Iaitu dengan dibuka Kitab Amalan mereka. Tujuan Allah cerita balik itu bukan sebab nak buat wayang, tapi kerana nak balas balik perbuatan mereka itu.

 

وَلَنُذِيقَنَّهُمْ مِّنْ عَذَابٍ غَلِيظٍ

Dan Kami akan beri mereka azab yang berat.

Orang yang ada sifat kufur nikmat itu akan dikenakan dengan azab yang berat. Itulah balasan kepada mereka kerana kelalaian mereka dengan kehidupan dunia.

Maka kita kena sedar tentang nikmat-nikmat dunia yang kita sedang dapat ini. Ingatlah yang itu semua adalah pemberian dari Allah. Masalah dengan orang yang selalu dapat benda yang bagus, mereka sudah tak boleh nak susah sikit pun. Kalau susah sikit pun, mereka rasa rimas dan mula nak memberontak, nak komen sana sini. Biasalah, orang besar memang selalu begitu.

Tapi, nanti di akhirat, mereka akan diberikan dengan azab yang berat. Bayangkan mereka itu kalau susah sedikit di dunia pun sudah tidak boleh terima, bayangkan mereka akan dapat azab yang teruk sekali di akhirat nanti. Agaknya, mereka boleh tahankah? Tentu tidak boleh. Tapi mereka akan rasa sendiri nanti.


 

Fussilat Ayat 51: Ayat Zajrun (teguran). Allah menceritakan tentang sifat manusia yang tidak beriman. Apabila mereka mendapat nikmat, mereka berpaling dari bersyukur kepada Allah; tapi apabila mereka ditimpa kesusahan, mereka berdoa panjang kepada Allah. Semoga kita tidak mempunyai sifat yang sebegini.

وَإِذا أَنعَمنا عَلَى الإِنسٰنِ أَعرَضَ وَنَئا بِجانِبِهِ وَإِذا مَسَّهُ الشَّرُّ فَذو دُعاءٍ عَريضٍ

Sahih International

And when We bestow favor upon man, he turns away and distances himself; but when evil touches him, then he is full of extensive supplication.

Malay

Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur); dan apabila dia ditimpa kesusahan, maka dia berdoa merayu dengan panjang lanjut.

 

وَإِذَا أَنْعَمْنَا عَلَى الْإِنْسٰنِ

Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada insan,

Apabila digunakan kalimah عَلَى, bermaksud apabila Allah memberikan nikmat yang mencurah-curah kepada manusia. Kita boleh bayangkan bagaimana air terjun yang mencurah jatuh ke atas manusia yang berada di bawahnya.

Allah ingatkan kepada kita dalam ayat ini, Dia yang beri nikmat itu. Cuma Allah beri dengan perantaraan asbab. Tidaklah nikmat itu jatuh tergolek, tapi ada cara yang Allah jadikan untuk tolong kita.

Sebagai contoh, perniagaan kita jatuh, kita bankrap. Allah boleh hantar seseorang yang beri idea baru untuk perniagaan, sampai perniagaan itu maju balik. Memang ada orang yang tolong, tapi dia datang itu kerana dihantar oleh Allah, dari perancangan Dia juga. Ini yang manusia susah nak nampak.

 

أَعْرَضَ

dia berpaling 

1. Mereka berpaling dari apa? Mereka berpaling dari bersyukur kepada Allah, kerana mereka tidak nampak ‘tangan’ Allah dalam membantu mereka, menghilangkan masalah mereka itu.

Mereka nampak yang tolong mereka itu adalah manusia, diri mereka, kepandaian mereka, nasib mereka, apa sahaja, cuma bukan Allah. Mereka tidak buka pintu hati mereka untuk melihat bahawa Allahlah yang menguruskan semuanya.

2. Apakah maksud ‘berpaling dari bersyukur’ itu? Kalau kita bersyukur dengan Allah, tentulah kita akan taat kepada Allah. Tapi kalau kita tidak bersyukur, maknanya kita tidak buat seperti apa yang Allah hendak kita lakukan.

3. Mereka juga berpaling daripada Al-Qur’an dan ugama. Kerana kebanyakan manusia, apabila mereka dapat banyak kebaikan dan nikmat di dunia, mereka akan berpaling dari agama. Sudah tidak hiraukan agama kerana sibuk dengan kelebihan dunia yang mereka dapat.

Mereka akan hidup berpoya-poya. Bukanlah semua orang, tapi kebanyakan dari manusia. Ini realiti kehidupan yang kita tidak dapat tolak kerana kita boleh lihat di mana-mana ia berlaku. Kadang kita tengok orang yang tidak seberapa, baik sahaja, tapi apabila sudah diberi kekayaan dan kuasa oleh Allah, mereka sudah jadi lain macam.

Mereka tidak memikirkan tentang dari mana datangnya nikmat itu. Mereka tidak bersyukur dan berterima kasih kepada Allah. Malah, dia jadi sombong dengan segala nikmat yang dia dapat itu. Dia rasa segala kelebihan yang dia dapat itu adalah dari kelebihan yang ada padanya.

Sedangkan, Allah beritahu dalam ayat ini, Allah yang beri nikmat itu kepada mereka. Oleh kerana itu, kalau kita dapat nikmat, ingatlah bahawa nikmat itu dari Allah, maka bersyukurlah kepada Allah. Sepatutnya segala nikmat yang kita dapat, akan merapatkan lagi kita dengan Allah, bukan menjauhkan kita dari Allah.

Kerana kalau seseorang beri sesuatu kepada kita, selalu tolong kita, tentulah kita akan rapat dengan dia, bukan? Dan siapakah yang paling banyak memberikan kepada kita? Tentunya Allah.

 

وَنَئا بِجَانِبِهِ

dan menjauhkan diri dari tepinya

Ini bermakna, setelah menjauhkan diri, dia lebih menjauhkan lagi dari agama. Dia jadi sombong dan berlagak.

Janganlah jadi seperti orang kufur ini. Sifat orang mukmin, akan bersyukur apabila mendapat nikmat dan bersabar apabila mendapat kesusahan. Seperti sabda Nabi:

“Menakjubkan orang yang beriman itu. Tiap-tiap peristiwanya baik belaka. Dan tidak ada yang begitu seorang pun kecuali orang mukmin. Bila dia ditimpa kesenangan, dia bersyukur, maka menjadi baik buat dia. Dan jika ditimpa kesusahan, dia bersabar. Itu pun menjadikan baik buat dia.”

 

وَإِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ

Dan apabila ditimpa kesusahan kepada dia,

Apabila ‘disentuh’ dengan kesusahan. Lihatkan penggunaan kata مَسَّ, yang bermakna ‘sentuh’ – ini bermaksud kesusahan itu sedikit sahaja, bukan banyak pun. Setakat ‘rasa’ sahaja pun.

 

فَذُو دُعَاءٍ عَرِيضٍ

maka dia akan doa yang panjang-panjang; 

Bila kesusahan kena kepadanya, dia akan doa sudah macam tok wali pun ada. Doa sampai jatuh tangan dia sebab lenguh. Datang pula guru yang salah, mengajar macam-macam perkara yang salah untuk mendapatkan sesuatu. Baca zikir itu, buat solat hajat begini, pergi jumpa Tok Wali itu dan ini, pergi ke maqam Habib Noh, habib lain, kubur keramat itu dan ini dan sebagainya.

Syirik doa minta hajat di makam kubur wali
Kenapa minta hajat di kubur? Bahkan ada yang bercakap-cakap dengan roh wali mengadukan hajat minta dipenuhi. Syirik dalam berdoa!

Perkataan عَرِيضٍ bermaksud kata-kata yang panjang berjela tapi sedikit maknanya. Mereka baca doa panjang-panjang tapi perkataan yang disebut tidak bermakna. Ia adalah kata-kata kosong sahaja. Ini adalah kerana mereka tidak tahu cara berdoa. Berdoa panjang, tapi hanya meminta macam-macam perkara. Tapi dosa kesalahan mereka tak sebut pun, tidak mengaku pun bahawa selama ini mereka telah buat banyak kesalahan.

Sepatutnya dalam kita berdoa, hendaklah kita mengaku kesalahan kita, mengaku depan Allah bahawa kita banyak dosa dan kita menyesal dan minta ampun atas dosa kita itu. Kerana dalam banyak-banyak masalah kita, dosa inilah masalah dan bahaya yang paling besar. Kerana kalau ada dosa, kena masuk neraka, bukan?

Begitulah masyarakat kita. Kalau sudah kena masalah, baru nak berdoa kepada Allah. Kalau ada yang berubah perangai jadi baik pun, masyarakat pun sudah dapat agak dia itu mesti sedang ditimpa musibah. Tapi, orang itu apabila dia dapat kelebihan, dia akan berpoya-poya balik seperti asal dia, macam tidak pernah ada masalah sebelum itu.

Jangan pula ayat ini digunakan sebagai hujah untuk menolak orang yang berdoa panjang-panjang. Berdoa sama ada panjang atau pendek, secara dasarnya, memang elok. Cuma jangan buat begitu kalau ada masalah sahaja.

Hendaklah kita ingat Allah di kala senang, supaya Allah ingat kepada kita di kala kita susah. Seperti juga kalau kita minta tolong dengan manusia. Kalau kita cuma jumpa dia pada masa susah sahaja, tentulah dia tidak suka. Tapi kalau waktu senang kita datang jumpa dia, lawat dia, tentulah dia senang hati nak tolong kita kalau kita ditimpa malang.

Begitulah dengan Allah, kalau waktu senang kita ingat Dia, Dia akan ingat kita pada waktu kita susah. Jangan waktu susah sahaja nak berdoa kepada Dia, buat ibadat kepada Dia. Itu bukan sifat orang Mukmin.


 

Fussilat Ayat 52: Ini adalah rumusan penutup kepada rungutan dari Allah. Berkali-kali Allah suruh manusia beriman dengan Al-Qur’an dan ajaran yang ada di dalamnya, tapi kalau mereka menolak juga, inilah yang Allah suruh kita tanya kepada mereka, supaya mereka dapat memikirkan.

Ini juga adalah dalil wahyi kerana Allah yang suruh Nabi berkata begitu.

قُل أَرَأَيتُم إِن كانَ مِن عِندِ اللهِ ثُمَّ كَفَرتُم بِهِ مَن أَضَلُّ مِمَّن هُوَ في شِقاقٍ بَعيدٍ

Sahih International

Say, “Have you considered: if the Qur’an is from Allah and you disbelieved in it, who would be more astray than one who is in extreme dissension?”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sudahkah nampak baiknya keadaan kamu jika Al-Qur’an ini (yang datangnya) dari Allah kemudian kamu mengingkarinya? Siapakah yang lebih sesat daripada orang yang tetap berada dalam perbalahan dan pertentangan, yang menyimpang jauh dari kebenaran?”

 

قُلْ أَرَأَيْتُمْ إِنْ كَانَ مِنْ عِنْدِ اللهِ

Katakan kepada mereka: Tidakkah engkau lihat?: Sekiranya Al-Qur’an ini betul-betul dari Allah,

Tentulah Al-Qur’an itu dari Allah. Tapi Allah hendak beri satu perumpamaan. Allah suruh orang kafir itu berfikir: Kalau betullah Al-Qur’an itu dari Allah, apa akan jadi kepada kamu kalau kamu tak beriman kepadanya?

 

ثُمَّ كَفَرْتُمْ بِهِ

kemudian kamu kufur kepadanya;

Kufur itu boleh jadi macam-macam – sama ada tak mahu belajar atau tak mahu ikut isi kandungnya, apabila dibacakan kepadanya, dia tolak, apabila diajak belajar, tak mahu; itu semua termasuk dalam rangka ‘kufur’ kepada Al-Qur’an.

Ada jumlah muqaddar di sini: Cubalah kamu fikir, kalau betul segala ayat dalam Al-Qur’an itu benar, apakah akan jadi kepada kamu. Tidakkah kamu takut? Tidakkah kamu melihat? Tidakkah kamu memikirkan?

Memanglah Al-Qur’an itu dari Allah – orang yang beriman memang sudah terima. Tapi kepada mereka yang tidak beriman, suruh mereka fikirkan: kalau betul-betul Al-Qur’an ini betul dari Allah, bagaimana? Sekarang kamu buat tidak tahu sahaja dengan Al-Qur’an ini. Lalu bagaimana nanti nasib kamu kalau begitu?

 

مَنْ أَضَلُّ مِمَّنْ هُوَ فِي شِقَاقٍ بَعِيدٍ

Siapakah yang lebih sesat dari seorang yang duduk dalam persimpangan yang jauh sekali? 

Allah tambah lagi soalan untuk mereka memikirkan lagi: Sesiapa yang ada persimpangan dan konflik dengan Al-Qur’an bermakna dia ada konflik dengan Allah. Kalau dibacakan ayat Al-Qur’an dan mereka tolak, mereka bukan tolak kita, tapi sebenarnya mereka menolak Allah, Tuhan sekalian alam. Adakah mereka hendak lawan Allah? Mereka tidak akan menang kalau mereka lawan dengan Allah.

Ini adalah seperti satu jalan terakhir dalam kita berdakwah kepada mereka. Apabila kita baca, mereka tolak juga tidak terima walaupun setelah berkali-kali kita berikan ayat-ayat Al-Qur’an yang jelas, maka kita kena buat macam ini. Berikan mereka berfikir: Kalau betul ayat Al-Qur’an itu dari Tuhan, apa kamu nak buat untuk menyelamatkan diri kamu nanti?


 

Fussilat Ayat 53: Dalil Aqli Afaqi dan Anfusi.

سَنُريهِم آيٰتِنا فِي الآفاقِ وَفي أَنفُسِهِم حَتّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُم أَنَّهُ الحَقُّ ۗ أَوَلَم يَكفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ شَهيدٌ

Sahih International

We will show them Our signs in the horizons and within themselves until it becomes clear to them that it is the truth. But is it not sufficient concerning your Lord that He is, over all things, a Witness?

Malay

Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Qur’an adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?

 

سَنُرِيهِمْ آيٰتِنَا فِي الْآفَاقِ

Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda Kami di segala penjuru;

Lihatlah alam ini dengan mata hati: kalau pergi tepi pantai atau di kaki bukit, atau di mana-mana sahaja, boleh nampak kebesaran Allah Taala. Kita akan dapat lihat betapa indahnya alam ini. Sepatutnya apabila kita melihat kepada ufuk, kita akan melihat betapa hebatnya kuasa Allah.

Kalau alam yang begini cantik pun kita lihat hebat, apatah lagi Allah yang menjadikannya? Adakah sembahan-sembahan mereka selain Allah dari Nabi, wali dan malaikat itu ada buat apa-apa?

Perkataan سَنُرِيهِمْ bermaksud ‘akan ditunjukkan’. Manusia pada zaman dahulu tidak nampak kebenaran-kebenaran itu. Tapi semakin lama masa berlalu, semakin kemajuan sains bertambah, semakin terbuka kebenaran-kebenaran itu. Semakin ditunjukkan kepada kita kebenaran-kebenaran yang disebut dalam Al-Qur’an itu. Ayat-ayat Al-Qur’an bersesuaian dengan sains.

 

وَفِي أَنْفُسِهِمْ

dan juga pada diri mereka sendiri;

Kajilah kehebatan kejadian kita – sekali jantung berdenyut, perjalanannya sejauh jarak mengelilingi dunia. Tidak berhenti lagi ianya mengalir dari semenjak kita dalam perut ibu kita sampailah kita mati nanti.

Dan banyak lagi kehebatan-kehebatan pada diri kita sendiri. Semakin sains meneroka kehebatan diri kita, semakin kita rasa hebatnya Allah yang telah menjadikan diri kita ini.

Segala alam ini dijadikan kepada kita untuk dilihat untuk kita fikirkan. Allah gunakan dua jenis tempat: satu adalah tempat yang jauh – (ufuk) dan satu lagi tempat yang dekat – (diri kita sendiri) sebagai contoh. Bermakna, ada banyak lagi perkara antara dua perkara itu yang boleh menjadi tanda kekuasaan dan kehebatan Allah.

 

حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الْحَقُّ

Sehingga nyata jelas bagi mereka bahawasanya ayat-ayat Al-Qur’an adalah benar;

Kebenaran apa yang hendak dibawakan dalam Al-Qur’an? Itulah kebenaran bahawa Allah yang menciptakan segala sesuatu ini, maka kepadaNya sahajalah kita minta. Jangan minta kepada yang lain, sebab yang selain dari Allah, tidaklah berupaya mencipta apa-apa pun.

Dan minta terus kepada Allah, tanpa melalui perantaraan. Itulah tauhid dalam berdoa. Tidak boleh guna perantaraan kerana itulah tawasul dan tawasul itu haram dalam agama Islam.

Allah beritahu yang Dia akan tunjukkan kebenaran yang ada dalam Al-Qur’an. Lihatlah sekarang, bagaimana kadang-kadang sains baru dapat jumpa kebenaran yang telah lama disebut dalam Al-Qur’an. Zaman sekarang baru manusia dapat faham dengan lebih dalam lagi.

Sebagai contoh, Al-Qur’an menyebut ‘alaq’ untuk zigot bayi. Dari segi bahasa, ‘alaq’ bermaksud ‘lintah’. Sekarang, apabila manusia sudah boleh lihat dalam perut ibu, boleh besarkan penglihatan kita dengan menggunakan mikroskop, barulah jelas nampak bahawa memang zigot bayi itu rupanya macam lintah.

Al-Qur’an juga menyebut bahawa besi itu ‘diturunkan’. Kalau diturunkan, bermakna besi itu bukan berasal dari dunia tapi jatuh dari tempat lain. Sekarang, barulah saintis dapat tahu bahawa memang besi itu adalah jatuhan meteor dari langit.

Ayat-ayat seperti itu sepatutnya menambahkan iman kita. Islam tidak lari dari sains. Semakin sains semakin maju, semakin jelas nampak kebenaran Al-Qur’an. Ayat-ayat sebegitu adalah salah satu dari mukjizat Al-Qur’an. Ini akan lebih banyak dipelajari jikalau kita mempelajari satu bidang ilmu yang dikenali sebagai i’jazul Qur’an.

Pernah ada mempersoalkan: kenapa kita bergantung kepada penemuan sains oleh golongan bukan Islam? Kenapa kita sendiri tidak melakukan kajian kita sendiri dan lebih dipercayai? Sebenarnya ini tidak menjadi masalah kerana memang di sini Allah berikan yang tanda-tanda itu akan ditunjukkan kepada mereka. Dhomir هم di dalam سَنُرِيهِمْ merujuk kepada orang kafir kerana ayat sebelum ini menyebut tentang orang-orang kafir.

 

أَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ

Apakah tidak cukup bagi kamu dengan Tuhan kamu sahaja?

Ini adalah dalil aqli. Nampak dari segi luaran, Nabi Muhammad tidak ada apa-apa untuk mempertahankan diri baginda dari serangan penentang mereka. Allah hendak memberitahu, tidak cukupkah kalau baginda berharap dan bergantung kepada Allah sahaja? Tentu cukup.

Dan hendak memberitahu kita tentang tauhid dalam berdoa: Tidak cukupkah Allah sebagai tempat untuk kita berharap? Pohon dan ibadat hanya kepada Allah sahaja. Harap hanya kepada Allah sahaja. Tidak perlu berharap kepada yang lain. Tidak perlu berharap kepada makhluk. Kalau kita berharap kepada makhluk, kita akan kecewa. Kerana makhluk tidak punya apa-apa.

Maka, berdoalah terus kepada Allah. Allah tidak perlu perantaraan dalam doa. Allah tidak memerlukan ‘broker’ untuk menyampaikan hasrat kita. Allah tahu apa yang kita hendak.

 

أَنَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ

Sesungguhnya Dia itu atas segala sesuatu itu sedang menyaksi.

Allah melihat segalanya apa yang kita lakukan. Allah tahu apa yang kita perlukan. Tidak perlu cakap pun Allah sudah tahu apa yang kita hendak. Tapi Allah hendak mendengar kita meminta kepadaNya. Maka kalau Allah tahu apa yang kita perlukan, maka tidakkah patut kita minta kepada Allah?


 

Fussilat Ayat 54: Takhwif Duniawi

أَلا إِنَّهُم في مِريَةٍ مِّن لِّقاءِ رَبِّهِم ۗ أَلا إِنَّهُ بِكُلِّ شَيءٍ مُّحيطٌ

Sahih International

Unquestionably, they are in doubt about the meeting with their Lord. Unquestionably He is, of all things, encompassing.

Malay

Ingatlah! Sesungguhnya mereka (yang kufur ingkar) sentiasa berada di dalam keadaan syak – ragu-ragu tentang pertemuan dengan Tuhan mereka. Ingatlah! Sesungguhnya Allah Maha Meliputi pengetahuanNya akan tiap-tiap sesuatu.

 

أَلَا إِنَّهُمْ فِي مِرْيَةٍ

Ketahuilah semua, sesungguhnya mereka duduk dalam keraguan

Perkataan مِرْيَةٍ digunakan apabila seseorang ragu dengan sesuatu yang jelas nyata. Ayat-ayat Al-Qur’an itu sudah jelas nyata, tapi mereka masih lagi tak percaya. Kalau ayat-ayat tentang Tauhid yang ada dalam Al-Qur’an, memang sudah cukup untuk digunakan oleh manusia faham apakah maksud tauhid itu – berkali-kali diulang-ulang.

Tapi mereka yang degil masih lagi beri hujah dan alasan yang macam-macam untuk tolak kebenaran yang ada dalam Al-Qur’an ini. Ini semua adalah kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka tidak faham apa yang hendak disampaikan oleh Allah. Masyarakat kita hanya pandai membaca Al-Qur’an sahaja, tapi mereka tak faham makna dalam Al-Qur’an. Alangkah sedihnya, alangkah ruginya.

 

مِّنْ لِّقَاءِ رَبِّهِمْ

terhadap perjumpaan dengan Tuhan mereka;

Mereka tak yakin dengan pertemuan dengan Allah. Kalau kita tanya, memang mereka akan jawab yang mereka akan berjumpa dengan Tuhan. Tapi, kalau kita lihat bagaimana mereka menjalankan kehidupan mereka, macam mereka tak percaya.

Keyakinan iman untuk berjumpa dengan Allah tidak kelihatan dalam diri mereka. Mereka seperti tidak takut untuk bertemu dengan Allah dan terpaksa menjelaskan kenapa mereka menolak tauhid dalam ibadah dan tauhid dalam berdoa.

Kalau di dunia, mereka boleh beri berbagai-bagai hujah mereka, tapi nanti di hadapan Allah, mereka sangka mereka boleh berhujah dengan Allah?

 

أَلَا إِنَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ مُّحِيطٌ

Ketahuilah! Sesungguhnya Allah terhadap segala sesuatu itu meliputi. 

KerajaanNya dan ilmuNya meliputi alam semesta. Tidak ada harapan untuk mereka keluar dari liputan Allah. Maka Allah cabar mereka yang engkar: buatlah apa kamu nak buat, kamu tidak akan terlepas.

Penutup:

Surah ini dimulakan berkenaan Al-Qur’an. Bagaimana Al-Qur’an itu dijelaskan – fussilat – dengan sejelas-jelasnya. Tidak ada keraguan pada Al-Qur’an itu. Dan di hujung surah, ditunjukkan bagaimana ada kebenaran-kebenaran yang boleh dijelaskan dengan sains. Ini menambah keyakinan kita kepada Al-Qur’an.

Selain dari memperkatakan tentang Tauhid dalam Doa, surah ini juga tentang dakwah. Kita diingatkan dalam surah ini yang dakwah itu mesti menggunakan Al-Qur’an. Kita boleh lihat sendiri bagaimana surah ini bermula dengan penjelasan tentang Al-Qur’an dan akhirnya disebut tentang Al-Qur’an semula.

Ini mengajar kita supaya dakwah itu dimulakan dengan Al-Qur’an dan diakhiri dengan Al-Qur’an juga. Itulah sunah dakwah Nabi kita. Kalau kita tidak pakai Al-Qur’an dalam dakwah kita, ada masalah dalam dakwah kita.

Allahu a’lam. Alhamdulillah. Sekian tafsir surah Fussilat. Semoga mendapat manfaat dan semoga Allah beri kefahaman kepada kita untuk memahaminya. Lompat ke surah yang seterusnya, Surah Ash-Shura

Kemaskini: 29 Januari 2024

Ringkasan Fussilat


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Abdul Nasir Jangda

Tafsir Ibnu Kathir

Tafsir Al-Azhar Dr. Hamka

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Fussilat Ayat 47 – 49 (Qur’an dan Sains)

Ayat 47: Ini adalah dalil aqli ilmi – hanya Allah sahaja yang tahu segala perkara ghaib, maka kenalah kita sembah dan seru Dia sahaja. 

Seperti telah disebut sebelum ini, Surah Fussilat ini mengajar kita untuk berdakwah kepada manusia. Dalam kita berdakwah itu, akan ada sahaja yang akan bertanya bilakah akan terjadinya hari Kiamat? Maka, Allah ajar kita bagaimana hendak menjawap soalan sebegitu.

Allah sahaja tahu bila kiamat
Cuba-cuba meramal bilakah hari kiamat adalah kerja syirik.

۞ إِلَيهِ يُرَدُّ عِلمُ السّاعَةِ ۚ وَما تَخرُجُ مِن ثَمَرٰتٍ مِّن أَكمامِها وَما تَحمِلُ مِن أُنثىٰ وَلا تَضَعُ إِلّا بِعِلمِهِ ۚ وَيَومَ يُناديهِم أَينَ شُرَكائي قالوا آذَنّٰكَ ما مِنّا مِن شَهيدٍ

Sahih International

To him [alone] is attributed knowledge of the Hour. And fruits emerge not from their coverings nor does a female conceive or give birth except with His knowledge. And the Day He will call to them, “Where are My ‘partners’?” they will say, “We announce to You that there is [no longer] among us any witness [to that].”

Malay

Kepada (ilmu pengetahuan) Allah jua lah kembalinya soal mengetahui masa datangnya hari kiamat; dan (demikianlah tiap-tiap apa yang akan berlaku, kerana) sebiji buah (umpamanya) tidak akan keluar dari kelopaknya, dan seorang ibu tidak akan mengandung dan tidak akan melahirkan anak, melainkan (pada masa dan keadaan yang betul tepat) dengan pengetahuan Allah. Dan pada hari Tuhan menyeru mereka (yang musyrik, dengan bertanya kepada mereka): “Mana dia makhluk-makhluk yang kamu sifatkan menjadi sekutu-sekutuKu?” Mereka menjawab: “Kami mengakui kepadaMu (wahai Tuhan kami), bahawa tidak ada di antara kami seorang pun yang mahu menjadi saksi (kerana anggapan kami dahulu telah nyata salahnya)!”

 

إِلَيْهِ يُرَدُّ عِلْمُ السَّاعَةِ

Kepada Allah sahaja kembalinya semua ilmu tentang Kiamat;

Kalimah إِلَيْهِ diletakkan awal di dalam ayat ini dan berlainan dari susunan yang normal. Apabila susunan perkataan dalam Al-Qur’an itu dalam bentuk yang abnormal, seperti dalam ayat ini, ianya hendak membawa maksud eksklusif – bermakna, *hanya* Allah sahaja yang tahu.

Maksudnya, tidak ada sesiapa selain Allah yang tahu bilakah akan terjadinya hari kiamat itu. Susunan yang normal dalam bahasa Arab adalah begini:  يُرَدُّ إِلَيْهِ عِلْمُ السَّاعَةِ. Tapi Allah susun ayat ini begini: إِلَيْهِ يُرَدُّ عِلْمُ السَّاعَةِ. Itulah maksudnya, susunan ayat ini adalah dalam bentuk yang abnormal. Apabila susunan dalam bentuk yang abnormal, bermaksud ada makna yang hendak disampaikan seperti yang kita telah sebut di atas.

Bilakah terjadinya hari kiamat itu tidak diberitahu kepada Nabi Muhammad ﷺ, Jibrail atau sesiapa pun. Yang pasti, ianya akan berlaku, cuma tidak diketahui bilakah ianya akan terjadi. Kalau orang tanya kepada kita bila Kiamat, kita kena jawab, ‘hanya Allah yang tahu’ kerana ianya adalah dalam ilmu Allah. Dan begitulah juga jawapan Nabi Muhammad ﷺ kalau ditanya tentang perkara ini.

Maksudnya, ilmu yang penuh tentang Hari Kiamat itu, Allah sahaja yang tahu, kita hanya sikit-sikit sahaja. Cukup buat pengetahuan kita sahaja dan apa yang Allah hendak kita tahu dan tidak lebih dari itu. Kerana perkara ini adalah perkara ghaib, maka apa-apa sahaja maklumat tentangnya, memerlukan dalil dari nas yang sahih.

Jangan malu untuk mengaku kita tidak tahu. Mungkin kita rasa segan kalau kita tidak dapat jawab. Jadi ini menguji iman kita juga (berani untuk berkata tidak tahu). Kita juga jangan rasa ini adalah sebagai lari dari menjawab soalan yang diberikan kepada kita. Kerana memang tidak ada sesiapa pun yang tahu selain Allah. Maka sekarang Allah beri kita alasan kenapakah tidak salah kalau kita jawab begitu:

 

وَمَا تَخْرُجُ مِنْ ثَمَرٰتٍ مِنْ أَكْمَامِهَا

dan tidak keluar dari buah-buah dari kelopaknya

Jangan segan  untuk kata beritahu kita tidak tahu bilakah Kiamat itu akan berlaku kerana memang banyak benda lain dalam dunia ini yang kita tidak tahu. Bukan tentang hari kiamat sahaja kita tak tahu.

Sebagai contoh Allah beri, tentang buah-buahan yang membesar dalam kelopaknya. Tidaklah yang tahu berapa banyak dan apa yang keluar dari kelopak tanaman itu melainkan Allah sahaja. Berapa banyak buah yang akan keluar, kita tak tahu. Kita hanya boleh agak-agak sahaja dan tidak ada maklumat yang tepat dan penuh tentangnya.

Jadi tak boleh kita nak kata buah akan banyak keluar dari pemerhatian kita. Sebab kita tak tahu bilangan buah yang akan keluar itu. Bunga dari buah itu mungkin nampak banyak. Tapi berapa banyak buah yang akan keluar itu ditentukan oleh Allah dan Dia sahaja yang tahu berapa banyak akan keluar.

Walaupun kita nampak banyak dan kita sangka akan banyak buah. Itu adalah dugaan kita sahaja dan kita tidak boleh kata dengan pasti. Kita juga tidak tahu apakah buah yang kita beli di pasar itu manis atau tidak. Kita ketuklah buah itu macam mana pun, kita cuma boleh agak sahaja. Sebab pengetahuan kita terhad. Yang pasti tahu hanyalah Allah sahaja.

Kita tidak perlu tahu pun. Jadi tidak perlu malu kalau kita tidak tahu. Petani yang menanam buah-buahan itu pun tidak tahu apakah buah yang mereka tanam itu akan jadi baik atau tidak, manis atau masam. Tapi mereka terus tanam juga.

 

وَمَا تَحْمِلُ مِنْ أُنْثَىٰ

dan apa yang dikandung oleh betina

Seorang perempuan tidak tahu hal kedudukan anak yang dikandungnya itu. Ibu itu tidak tahu bagaimanakah keadaan anaknya itu. Anak yang akan lahir itu, kita tak tahu akan jadi macam mana. Sama ada dia cantikkah, sihatkah, pandaikah dan sebagainya, kita tidak tahu. Allah sahaja yang tahu.

Bila akan lahir pun hanya Allah yang tahu. Doktor cuma boleh agak sahaja dengan menggunakan segala mesin dan pengetahuan dan pengalamannya. Tapi itu pun tidak tepat, mereka cuma boleh agak sahaja.

Disebut dalam ayat ini perkataan أُنْثَىٰ yang bermaksud ‘betina’, kerana bukanlah yang mengandung itu dari jenis manusia sahaja, tapi dari semua jenis betina. Kambing betina, lembu betina dan sebagainya yang sedang mengandung. Maklumat tentang bayi itu pun manusia tidak tahu.

 

وَلَا تَضَعُ  إِلَّا  بِعِلْمِهِ

dan tidak dilahirkan, melainkan dengan pengetahuanNya;

Kita pun tidak tahu sama ada anak yang akan dilahirkan itu lelaki atau perempuan. Kecuali doktor sudah scan, baru dia boleh nampak anggota, dia boleh agak lelaki atau perempuan yang akan keluar dari kandungan itu. Tapi masa mula mengandung, doktor sendiri tak tahu. Bila sudah besar sedikit kandungan itu, baru doktor boleh cuba agak. Itu pun kadangkala tersilap juga.

Boleh jadi syirik kalau kita kata kita tahu. Kita tidak boleh kata: “dalam firasat saya, akan keluar anak lelaki ni”, dan kata-kata sebegitu. Dia tidak boleh kata ‘mesti’. Kalau dia kata ‘insya Allah’, boleh lagi. Kerana doktor dengan segala peralatan pun doktor itu boleh agak sahaja. Berapa banyak perempuan mengandung yang diberitahu oleh doktor bahawa anaknya itu nanti adalah anak lelaki, tapi apabila lahir, rupanya anak perempuan.

Ini semua adalah hendak memberitahu tentang ilmu Allah. Allah sahaja yang maha tahu dengan sempurna. Kita sebagai manusia tidak tahu tentang perkara-perkara ghaib melainkan apa yang Allah telah beritahu sahaja.

Siapa yang kata dia tahu perkara-perkara ini, dia telah melakukan ‘syirik dalam ilmu’. Kerana dia seperti mengatakan dia ada kuasa Allah pula. Itu adalah syirik kerana menduakan sifat Allah. Allah sahaja yang ada sifat itu tapi kita pula kata ada makhluk lain yang tahu. Jadi, kena berhati-hati dalam kata-kata kita. Jangan kita sampai kata perkara yang boleh menyebabkan syirik pula.

 

وَيَوْمَ يُنَادِيهِمْ

dan pada hari diseru (orang-orang musyrikin) itu;

Ini adalah takhwif ukhrawi (ancaman akhirat). Ini adalah penceritaan tentang kejadian di Mahsyar. Mereka akan diseru dengan kuat, di khalayak ramai, supaya semua orang boleh dengar. Apakah seruan itu?

 

أَيْنَ شُرَكَائِي

Mana dia sekutu-sekutu Aku?

Allah tanya itu kerana hendak menghina. Kalau orang Kristian, Tuhan tanya: mana dia Nabi Isa? Kepada orang Hindu, mana dia berhala-berhala kamu dulu? Mana dia? Huraian ayat ini duduk di dalam surah Yunus:28

Maknanya, sekutu-sekutu itu adalah Nabi-nabi, wali-wali dan malaikat-malaikat. Ramai golongan musyrik yang mengadakan majlis-majlis tertentu,  beri salam kepada mereka, seru mereka, sedekah Fatihah kepada mereka. Itulah seruan yang syirik.

Bila belajar tafsir Al-Qur’an, baru tahu bahawa setiap satu yang diseru itu adalah jin belaka. Kerana nabi, wali malaikat tidak terima pun salam atau seruan yang manusia beri kepada mereka. Rupanya kita berikan salam kepada jin-jin selama hari ini. Alhamdulillah apa sudah belajar tafsir baru tahu.

Syirik seru Nabi dan Wali
Seru Nabi yang sudah wafat? Seru minta syafaat pula tu! Syirik berganda!!

 

 

قَالُوا آذَنَٰكَ  مَا مِنَّا مِنْ شَهِيدٍ

Mereka berkata: kami memperdengarkan kepada Kamu bahawa tidak ada antara kami ini yang akan menjadi saksi

Mereka sudah mula bohong kepada Allah. Mereka tidak mahu mengaku yang dulu mereka pernah buat syirik. Sekarang mereka tidak mengaku yang mereka dulu buat syirik, seru selain dari Allah. Mereka kata, tidak akan ada saksi yang akan kata mereka pernah buat. Mereka sangka mereka boleh tipu Allah.

Ataupun, boleh jadi ayat ini bermaksud: mereka yang diseru oleh musyrikin itu tidak akan menjadi saksi bahawa mereka dulu suruh puak-puak musyrik itu puja mereka dulu. Mereka tidak pernah suruh dan mereka tidak pernah dapat pujaan dari mereka dulu. Sia-sia sahaja amalan syirik seperti beri salam, hadiah Fatihah, seruan dalam qasidah dan sebagainya itu.

Ataupun bermaksud, mereka pada hari itu tidak bersaksi, tidak mengaku yang Allah ada sekutu. Waktu itu telah jelas nyata bahawa kekuasaan penuh hanya ada pada Allah sahaja, mana mungkin ada yang berani mengaku ada sekutu bagi Allah?

Ataupun kita boleh kata, pada hari itu tak nampak pun sembahan-sembahan mereka itu, pujaan-pujaan mereka itu. Mereka yang telah buat salah semasa di dunia mengharap semoga mereka diberi bantuan tapi mereka yang diharapkan tidak nampak pun batang hidung mereka. Dipanggil-panggil tapi tidak datang.


 

Ayat 48: Ayat ini adalah penolakan kepada fahaman adanya Syafaat Qahriyah. Fahaman ini adalah salah kerana percaya yang Allah akan memberi pengampunan kerana gerun atau malu pada seseorang.

Oleh kerana ada fahaman salah ini, ada yang memuja dan menyeru kepada ilah seperti Nabi, wali dan malaikat kerana mereka sangka kalau mereka baik dengan wali, Nabi dan malaikat itu, Allah segan nak kenakan azab kepada mereka.

وَضَلَّ عَنهُم مّا كانوا يَدعونَ مِن قَبلُ ۖ وَظَنّوا ما لَهُم مِّن مَّحيصٍ

Sahih International

And lost from them will be those they were invoking before, and they will be certain that they have no place of escape.

Malay

Dan (pada saat itu) hilang lenyaplah dari mereka apa yang mereka sembah dahulu (yang diharapkan pertolongannya), dan yakinlah mereka bahawa tidak ada sebarang jalan untuk mereka melepaskan diri (dari azab seksa).

 

وَضَلَّ عَنْهُمْ مَّا كَانُوا يَدْعُونَ مِنْ قَبْلُ

Hilang dari mereka apa yang dulu mereka seru kepadanya;

Dulu Nabi-nabi, wali-wali, malaikat yang pernah mereka seru tidak mengaku belaka yang mereka pernah suruh mereka disembah. Yang menyeru sangkakan bahawa entiti-entiti yang mereka seru itu akan memberi pertolongan kepada mereka di akhirat kelak, tapi tidak. Mereka tidak ada yang akan menolong. Tidak ada sesiapa yang akan menolong mereka. Hilang lenyap dari mereka.

 

وَظَنُّوا مَا لَهُمْ مِّنْ مَّحِيصٍ

Maka yakinlah mereka bahawa tidak ada sebarang jalan untuk mereka melepaskan diri

Kalimah مَحِيصٍ bermaksud satu tempat yang menyelamatkan kita dari bahaya. Dalam dunia, kalau kita kena kejar, mungkin ada tempat untuk lari dan berlindung. Tapi di akhirat tidak akan ada tempat macam itu. Mereka tak akan dapat melepaskan diri lagi. Mereka sendiri sudah nampak yang mereka tidak akan selamat. Mereka sendiri sudah tahu nasib mereka.

Kalau di dunia, manusia boleh cari jalan keluar nak melarikan diri. Macam kita tengok filem aksi, ada sahaja jalan keluar walaupun musuh telah kepung keliling mereka, tapi ada sahaja jalan keluar. Tapi tidak ada jalan keluar apabila di akhirat kelak.

Apabila tidak ada sembahan mereka yang membantu mereka di akhirat itu, mereka tahu mereka tidak akan ada peluang untuk keluar dari neraka. Kerana akidah mereka yang salah. Kalau mereka hanya melakukan amalan salah, masih ada harapan lagi untuk keluar dari neraka lagi. Hatta kalau salah bunuh orang pun, ada harapan nak masuk syurga lagi. Tapi kalau akidah salah, buat amalan yang syirik, tidak ada harapan lagi.


 

Ayat 49: Ayat 49 – 54 adalah Perenggan Makro Ketujuh. Ia mengandungi Dalil Aqli Anfusi.

Ini adalah ayat Syikayah. Sekarang Allah menceritakan sifat-sifat orang-orang yang kufur itu. Bagaimanakah psikologi mereka dalam menghadapi masalah dan dugaan dalam hidup.

لّا  يَسئمُ الإِنسٰنُ مِن دُعاءِ الخَيرِ وَإِن مَّسَّهُ الشَّرُّ فَيَئوسٌ قَنوطٌ

Sahih International

Man is not weary of supplication for good [things], but if evil touches him, he is hopeless and despairing.

Malay

Manusia tidak jemu-jemu memohon kebaikan. Dan kalau dia ditimpa kesusahan maka menjadilah dia seorang yang sangat berputus asa, lagi sangat nyata kesan putus harapnya.

 

لَا يَسْئمُ الْإِنْسٰنُ  مِنْ دُعَاءِ الْخَيْرِ

Tidak jemu-jemu insan itu berdoa untuk kebaikan;

Manusia sentiasa mahukan kebaikan datang kepada mereka. Mereka nak rumah cantik, duit banyak, kesihatan yang baik dan sebagainya. Mereka tak jemu-jemu mengharap semua itu. Tidak jemu-jemu mereka berdoa.

Mereka tidak jemu hendak mendapatkan harta dan kesenangan di dunia. Kalau mereka yang kafir, mereka akan tetap rajin berdoa kepada tuhan sembahan mereka seperti berhala, dewa, dan sebagainya. Mereka sentiasa berharap.

Dan banyak yang Allah sudah berikan kepada mereka kerana Allah Maha Pemurah. Dan apabila diberikan kebaikan kepada mereka, mereka tidak bersyukur pun. Mereka perasan mereka layak dapat nikmat itu, maka mereka tidak bersyukur pun.

Ini dinamakan ‘kufur nikmat’. Ini adalah perangai orang kafir. Maka, kita sebagai orang Islam, jangan jadi begini. Apabila Allah telah berikan nikmat kepada kita, jangan kita lupa bahawa itu adalah pemberian dari Allah.

Mereka hanya doa tentang hal dunia sahaja. Ini mengajar kita supaya kita jangan doa untuk kebaikan dunia sahaja. Orang kafir itu hanya minta panjang umur, sihat tubuh badan dan rezeki sahaja tapi mereka tidak minta kebaikan di akhirat. Memang boleh minta kebaikan dunia, tapi jangan minta itu sahaja. Kerana kebaikan akhirat lebih penting dari kebaikan dunia.

 

وَإِنْ مَّسَّهُ الشَّرُّ

Dan apabila dirasakan kepada mereka bala, 

Apabila perkataan إِنْ (jika) digunakan, itu menunjukkan perkara itu jarang-jarang berlaku. Selalunya mereka akan dapat kebaikan, tapi sekala-sekala mereka akan diberikan dengan kesusahan. Itu pun sebagai ujian sahaja. Allah memang akan mengenakan ujian kepada makhlukNya. Dan dunia ini memang tempat ujian pun.

Tambahan pula, perkataan yang digunakan adalah مَسَّ (dirasakan), iaitu bermaksud ‘rasa sedikit’. Bukanlah masalah yang diberikan kepada mereka itu masalah yang besar sangat pun.

 

فَيَئُوسٌ

maka dia putus asa

Mereka rasa nasib mereka akan terus malang. Mereka tak nampak kebaikan akan datang kepada mereka di masa hadapan. Hanya kerana waktu itu mereka bernasib malang.

Padahal, nasib masih boleh berubah lagi. Tapi Allah menceritakan sifat mereka yang tidak beriman. Apabila mereka dapat nasib yang teruk, mereka terus ingat sampai bila-bila mereka akan jadi begitu. Mereka tidak ada mengharap kepada Allah.

 

قَنُوطٌ

hilang daya usaha;

Mereka punya putus asa sampai tak boleh buat kerja apa-apa lagi. Mereka rasa sampai tidak boleh nak usaha lagi. Mereka bersifat pessimistik sungguh. Mereka akan baring sahaja di rumah, menangisi nasib mereka. Mereka akan kata: “kenapalah nasib aku ini malang sangat?”, “Kenapalah Tuhan buat aku jadi begini?”.

Mereka hanya menangisi nasib sahaja, tak buat apa-apa. Mereka tak buat apa-apa usaha untuk mengubah kedudukan mereka. Mereka hanya menyerah kepada takdir sahaja. Jadi, ini adalah perangai orang kufur, maka kita jangan buat perangai macam ini.

Mereka lupa kepada Allah, mereka tidak berpaling kepada Allah. Sepatutnya, apabila masalah menimpa, waktu itulah kita kembali buat baik, kembali buat amal ibadat yang baik, berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah supaya Allah berikan kebaikan kembali kepada kita. Tapi mereka tidak begitu. Mereka jadi murung, hanya menangisi masalah yang mereka hadapi itu.

Kita kena ada usaha dalam hidup kita. Kalau kita kena buang kerja, kita kena usaha untuk mendapatkan pekerjaan baru. Kalau kita ditinggalkan kekasih, isteri, suami dan sebagainya, itu bukan penghujung hidup. Kita masih boleh lagi dapat pengganti mereka.

Boleh lagi kita usaha untuk dapat pasangan hidup yang baru. Seperti kata pepatah Melayu: bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor. Tapi, orang yang tidak beriman, mereka terus sangka mereka tidak akan dapat pasangan lain. Mereka ingat nak mati sahaja, mereka rasa lebih baik mereka mati sahaja. Sampai ada juga yang bunuh diri pun ada.

Sepatutnya kita usaha seboleh mungkin dan serahkan nasib kita kepada Allah. Dan jangan lupa berdoa kepada Allah. Berdoa terus kepada Allah, jangan minta orang lain doakan untuk kita. Itu juga adalah tawasul yang tidak patut dilakukan. Jangan minta tok imam doakan, guru doakan atau sesiapa sahaja, doa terus sahaja kepada Allah. Dan jangan bertawasul kepada Nabi, wali atau malaikat dalam doa kita. Jangan lupa yang surah-surah Hamim Tujuh ini adalah tentang berdoa dan seru terus kepada Allah sahaja tanpa melalui perantara.

Jangan jadi seperti Musyrikin Mekah dalam berdoa. Musyrikin Mekah dulu, mereka seru kepada roh-roh wali, Nabi dan malaikat untuk minta diselesaikan masalah mereka. Apabila masalah tidak selesai, mereka akan putus asa dengan roh-roh pujaan itu dan kembali berdoa kepada Allah. Mereka memang ada berdoa kepada Allah dalam hal yang besar tapi dalam hal-hal kecil, mereka akan berdoa kepada roh-roh pujaan mereka yang selain dari Allah.

Sebab pada mereka, Allah telah beri sebahagian dari kuasa mengurus kepada makhlukNya yang terpilih. Tapi dalam mereka minta kepada roh-roh pujaan itu, kadangkala tak selesai pun masalah mereka dan tak menjadi perkara yang mereka minta.

Maka mereka pun doa terus kepada Allah dan ada yang Allah makbulkan. Tapi apabila selesai masalah mereka itu, atau mereka dapat yang mereka kehendaki, mereka tidak kata perkara itu selesai kerana Allah tapi mereka kata ia dari sebab lain.

Puak musyrikin memang tidak jemu meminta kepada sembahan-sembahan mereka untuk kebaikan dunia. Macam-macam cara mereka akan lakukan untuk mendapatkannya. Tapi bila masalah tak selesai, mereka jadi putus asa dan putus harap.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 22 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Abdul Nasir Jangda

Tafsir Ibnu Kathir

Tafsir Al-Azhar Dr. Hamka

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Tafsir Surah Fussilat Ayat 44 – 46 (Qur’an sebagai syifa’)

Ayat 44: Ada Jumlah Muqaddar dalam ayat ini: Musyrikin Mekah kata kepada Nabi, kalau Al-Qur’an itu betul, mestilah ia turun dalam bahasa lain. Kerana Nabi Muhammad ﷺ itu memang orang Arab, jadi kalau bawa kitab yang dari bahasa Arab juga, tidak ada apa yang menarik – biasa sahaja nampaknya kepada mereka.

Lagi satu mereka kata, kalau dalam bahasa Arab, entah-entah Nabi Muhammad ﷺ buat sendiri ayat-ayat Al-Qur’an itu. Sepatutnya bawalah kitab dalam bahasa lain. Barulah mereka yakin yang bukan Nabi Muhammad yang reka sendiri.

Itulah hujah-hujah bodoh mereka. Itu sebenarnya adalah alasan sahaja dari mereka untuk tidak ikut. Macam kalau ada orang yang kutuk kalau kita mengajar dalam bahasa Melayu. Mereka kata ajar dalam bahasa Inggeris barulah ada standard sikit. Atau apa-apa sahaja komen dari mereka (diri sendiri tidak mengajar, tapi pandai komen orang yang mengajar sahaja).

Oleh kerana soalan mereka itu ada sedikit bernas, maka Allah jawab apa yang dikatakan mereka:

وَلَو جَعَلنٰهُ قُرآنًا أَعجَمِيًّا لَّقالوا لَولا فُصِّلَت ءآيٰتُهُ ۖ ءاْعجَمِيٌّ وَعَرَبِيٌّ ۗ قُل هُوَ لِلَّذينَ ءآمَنوا هُدًى وَشِفاءٌ ۖ وَالَّذينَ لا يُؤمِنونَ في ءآذانِهِم وَقرٌ وَهُوَ عَلَيهِم عَمًى ۚ أُولٰئِكَ يُنادَونَ مِن مَّكانٍ بَعيدٍ

Sahih International

And if We had made it a non-Arabic Qur’an, they would have said, “Why are its verses not explained in detail [in our language]? Is it a foreign [recitation] and an Arab [messenger]?” Say, “It is, for those who believe, a guidance and cure.” And those who do not believe – in their ears is deafness, and it is upon them blindness. Those are being called from a distant place.

Malay

Dan kalaulah Al-Qur’an itu Kami jadikan (bacaan) dalam bahasa asing, tentulah mereka akan berkata: “Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya (dalam bahasa yang kami fahami)? Patutkah Kitab itu berbahasa asing sedang Rasul yang membawanya berbangsa Arab?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Al-Qur’an itu, menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-orang yang beriman; dan sebaliknya orang-orang yang tidak beriman, (Al-Qur’an itu) menjadi sebagai satu penyakit yang menyumbat telinga mereka (bukan penawar); dan ia juga merupakan gelap-gelita yang menimpa (pandangan) mereka (bukan cahaya yang menerangi). Mereka itu – (dengan perbuatan melarikan diri dari ajaran Al-Qur’an, tidak ubahnya seperti) orang-orang yang diseru dari tempat yang jauh (masakan mereka dapat mendengar dengan betul atau melihat dengan nyata)”.

 

وَلَوْ جَعَلْنٰهُ قُرْءآنًا أَعْجَمِيًّا

Kalau sekiranya Kami jadikan Al-Qur’an ini dalam bahasa bukan Arab,

Kalimah أَعْجَمِيًّا bermaksud ‘bahasa yang selain dari bahasa Arab’. Orang bukan Arab pula dipanggil ajami. Dari segi bahasa asal, ia bermaksud ‘seseorang yang cakap gagap’. Ia juga bermaksud ‘seseorang yang bodoh – tak tahu bercakap’.

Kepada orang Arab, sesiapa yang tidak tahu bercakap bahasa Arab, mereka itu orang yang bodoh – tidak tahu bercakap. Ini adalah kerana mereka bangga sungguh dengan keindahan bahasa Arab mereka. Waktu itu mereka bangsa yang pandai dalam bahasa, pandai buat puisi. Sampaikan, kalau kita suruh mereka buat puisi, mereka terus boleh buat waktu itu juga, tak perlu fikir panjang.

 

لَّقَالُوا لَوْلَا فُصِّلَتْ ءآيٰتُهُ

nescaya mereka akan kata: “kenapa ayat ini tidak dijelaskan sejelas-jelasnya?”; 

Kalaulah Allah ikut kata mereka, turunkan Al-Qur’an dalam bahasa selain dari bahasa Arab, mereka akan kata lain pula. Mereka akan kata: “kenapa tak turunkan dalam bahasa Arab pula. Kenapa diturunkan dalam bahasa yang kami tak faham?”

Maknanya, semuanya salah pada mata mereka. Serba tak kena kepada mereka kerana mereka memang tak suka. Itu semua adalah alasan mereka sahaja. Apabila manusia itu tidak suka, tidak mahu terima, mereka akan memberi berbagai-bagai alasan. Kadang-kadang alasan yang kita tak pernah dengar pun ada. Kadang-kadang alasan yang kita tak sangka pun mereka boleh terfikir dalam kepala otak mereka.

Kalimah فُصِّلَتْ iaitu nama surah ini bermaksud ‘diterangkan sejelas-jelasnya’. Tujuan Al-Qur’an diturunkan dalam bahasa Arab adalah supaya mereka mudah faham kerana dalam bahasa mereka. Oleh itu, ini juga mengajar kita supaya dalam kita berdakwah, hendaklah kita menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh orang yang kita dakwah.

Sebagai contoh, kalau kita berdakwah kepada bangsa Melayu, kita pakailah bahasa Melayu; kalau kepada bangsa Cina, kita pakailah bahasa Cina. Bukan itu sahaja, kita hendaklah menggunakan lenggok bahasa yang mereka mudah faham. Kalau mereka orang kampung, kita gunakan bahasa kampung juga. Jangan kita gunakan bahasa Universiti pula dengan mereka. Yang penting, maklumat sampai kepada mereka.

 

ءاْعجَمِيٌّ وَعَرَبِيٌّ

Patutkah Al-Qur’an dalam bahasa A’jam sedangkan Nabi itu orang Arab?

Patutkah Al-Qur’an itu diberikan dalam bahasa selain Arab kepada seorang Nabi yang berbangsa Arab dan bercakap Arab? Dan umat pertama baginda pula adalah bangsa Arab? Tentulah tidak patut.

Itulah sebabnya Al-Qur’an itu diturunkan dalam bahasa Arab yang jelas. Dan memang bahasa Arab itu adalah bahasa yang hebat. Sesuatu makna boleh disampaikan dalam perkataan yang sedikit. Ini tidak ada dalam bahasa selain dari bahasa Arab. Kalau kita tahu sedikit tentang bahasa Arab, kita akan faham apakah yang dimaksudkan dengan keindahan dan kehebatan bahasa Arab itu. Ianya tidak sama dengan bahasa lain.

Maka, elok sangatlah kalau kita dapat meluangkan masa untuk mendalami sedikit bahasa Arab itu supaya kita dapat memahami apakah yang hendak disampaikan oleh Allah kepada kita.

Nota Tajwid: Di atas huruf alif, ada satu simbol bulat hitam (tiada lubang). Kena rujuk kepada mushaf Al-Qur’an kerana tidak dapat ditunjukkan di sini. Dan kita hanya boleh jumpa simbol ini di tempat ini sahaja.

  • Asal perkataan ini ialah a-a’-ja-miy.
  • Hamzah pertama bermaksud ‘adakah’.
  • Hamzah (alif) kedua pula ialah sebahagian daripada perkataan Arab: A’jamiy – yang bermaksud ‘orang bukan Arab’.

Cara bacaannya ialah dengan meringankan bacaan hamzah (alif) kedua. Seolah-olah digabung dengan hamzah pertama. Bukannya dibaca kedua-dua hamzah itu sama jelas seperti a+a’jamiyy, tetapi lebih kepada Aaa’jamiyyuw wa ‘arabiyy. Seolah-olah hamzah dibaca dua harakat sebelum dimatikan dengan ‘ain. Kena dengar qari baca baru boleh nampak betul.

 

قُلْ هُوَ لِلَّذِينَ ءآمَنُوا

Katakanlah: bahawasanya Al-Qur’an itu untuk orang yang beriman sempurna.

Al-Qur’an itu diturunkan untuk seluruh manusia, tetapi yang boleh terima adalah mereka yang beriman sempurna sahaja. Iaitu mereka yang nak cari jalan kebenaran. Mungkin mereka tidak beriman lagi, tapi mereka ada keinginan untuk tahu kebenaran. Kalau kita ada iman, Al-Qur’an itu akan menjadi petunjuk kepada hidayah.

Tapi kalau tidak beriman, kita tidak ambil peduli pun. Atau kita ubah-ubah makna ayat Al-Qur’an itu. Kita pandai-pandai sendiri kata ayat Al-Qur’an ini bermakna ini, makna itu, padahal bukan belajar pun, cuma memandai-mandai sahaja. Itu adalah jenis orang yang hendak mencari-cari dalil untuk membenarkan perbuatan mereka. Rujuk golongan mulhid yang disebut dalam ayat 40 sebelum ini.

Ada juga yang menggunakan Al-Qur’an untuk membenarkan kehendak hati mereka. Mereka ada fahaman yang bukan datang dari agama, tapi mereka gunakan Al-Qur’an supaya seolah-olah nampak amalan mereka itu benar. Dalil yang sah tidak ada, tapi mereka akan korek sampaikan kalau yang ada kena sikit-sikit pun, mereka nak pakai juga. Kalau tak jumpa juga, mereka akan pakai hadis yang dhaif atau maudhu’. Kalau tidak ada, mereka akan reka guna akal mereka.

Akan ada sahaja orang-orang yang tidak tahu Al-Qur’an, tapi menggunakan juga ayat-ayat Al-Qur’an sebagai hujah mereka. Sebagai contoh, mereka akan menggunakan ayat Al-Qur’an untuk mengatakan memang dalam Al-Qur’an ada suruhan supaya zikir dilakukan beramai-ramai.

Mereka sudah ada iktikad yang zikir beramai-ramai itu molek, maka mereka koreklah ayat-ayat yang agak-agak kena dengan pemahaman salah mereka itu. Memang mereka ada jumpa, tapi itu sebenarnya salah kerana mereka tidak faham apakah maksud dan bahasa Arab.

 

هُدًى

sumber petunjuk.

Orang yang ada iman dalam hati mereka akan menjadikan Al-Qur’an itu sebagai sumber petunjuk.

Memang banyak sumber petunjuk terdapat dalam Al-Qur’an, asalkan kita mahu mempelajarinya. Ianya akan menjadi petunjuk kepada kita untuk kehidupan dunia dan akhirat. Al-Qur’an mengajar cara bagaimana menjalani kehidupan di dunia supaya kita akan selamat di akhirat.

Mungkin ada yang bertanya, kenapa kita orang Melayu tapi Al-Qur’an dalam bahasa Arab? Jawapannya adalah kerana Al-Qur’an ini bahasanya mudah. Kalau diterjemah pun sudah boleh difahami dengan mudah. Allah pilih bahasa Arab kerana ianya adalah bahasa terkaya dan terbaik.

Ianya terbaik sampai boleh dilagukan kerana memang ianya adalah bahasa yang sedap didengari. Ini kelebihan bahasa Arab yang tidak ada dalam bahasa lain. Jadi, Allah pilih satu bahasa sahaja kerana takkan nak turun Al-Qur’an dalam 200 bahasa pula?

 

وَشِفَاءٌ

dan penawar; 

Dengan mempelajari tafsir Al-Qur’an akan dapat mengubati penyakit syirik yang ada dalam hati manusia. Ya, syirik adalah satu penyakit. Dengan kita belajar tafsir Al-Qur’an, kita akan faham tentang masalah syirik dan apakah yang dimaksudkan syirik itu. Ayat-ayat Al-Qur’an membuka pintu ilmu dan memberitahu kepada kita manakah fahaman-fahaman yang syirik yang dilakukan oleh manusia.

Ianya juga akan mengajar kita tentang Allah dan fahaman-fahaman yang betul. Penyakit syirik dapat disembuhkan dengan belajar tafsir Al-Qur’an. Orang yang masih melakukan syirik walaupun mereka mengaku beragama Islam adalah kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an.

Ada juga jenis penyakit yang dalam bentuk hati seperti riak, ujub, takabbur, angkuh, cemburu buta, busuk hati dan lain-lain lagi. Sesiapa yang belajar tafsir Al-Qur’an, penyakit hatinya akan terubat. Bukannya dengan mengamalkan selawat syifa’ yang banyak diamalkan oleh masyarakat kita.

Selawat ini tidak dapat diamalkan kerana dalam selawat itu dikatakan bahawa Nabi akan menyembuhkan penyakit hati. Bolehkah begitu? Adakah Nabi mempunyai kelebihan itu? Tentulah tidak, kerana Nabi pun manusia. Hanya Allah sahaja yang boleh mengubati penyakit hati kita.Maka kalau amalkan selawat itu adalah syirik kerana meminta berkat kepada Nabi.

Mereka yang mengamalkan Selawat Syifa’ ini berharap semoga mereka mendapat keberkatan dari Nabi. Ini adalah satu fahaman yang salah kerana Nabi tidak boleh beri berkat kepada kita. Memang Nabi ada berkat, tapi Nabi tidak boleh beri berkat kepada kita.

Sebagai contoh, kalau bapa kita dapat pangkat dato’ dari dua negeri, adakah boleh dia beri satu dato’ kepada kita? Tentulah tidak boleh kerana pangkat dato’ itu diberikan kepada bapa kita sahaja.

Begitulah juga dengan Nabi Muhammad ﷺ. Walaupun Nabi ada keberkatan, tapi Nabi tidak boleh beri keberkatan itu kepada umatnya. Ini adalah masalah salah faham dengan ‘tabarruk’. Tabarruk memang ada dalam Islam, tapi bukanlah seperti faham masyarakat kita. Dan masalah ‘syirik dalam berkat’ ini memang ada masalah dalam masyarakat kita dan banyak disentuh dalam Al-Qur’an.

Lafaz selawat-selawat yang direka itu tidak ada dalam hadis mana-mana pun. Yang mencipta selawat itu adalah manusia, bukan lafaz dari Nabi. Sedangkan Nabi sendiri sudah ajar kepada umatnya lafaz-lafaz selawat yang betul. Tidak perlu kita hendak mencipta dan amalkan selawat yang selain darinya.

Yang betulnya, untuk menghilangkan penyakit hati adalah dengan belajar tafsir Al-Qur’an. Kalau dulu ada amalkan selawat itu, bertaubatlah kepada Allah. Jangan degil pula. Janganlah kerana ramai orang amalkan, ramai yang berkesan apabila mengamalkannya, kita sangka ianya adalah benar. Jangan kerana ada yang kata ia ‘berkesan’, maka ada yang rasa ia benar pula.

Selain daripada Selawat Syifa’, satu lagi selawat yang ada unsur Syirik adalah Selawat Tafrijiyyah. Dalam selawat Tafrijiyyah, mengatakan yang Nabi Muhammad ﷺ boleh menyelesaikan dan merungkaikan segala masalah. Ini pun syirik juga.

Mungkin mereka yang membaca dan mengamalkan bacaan selawat Syifa’ dan Selawat Tafrijiyyah itu tidak tahu bahasa Arab agaknya. Mereka cuma mengikut sahaja apa yang dilakukan oleh orang lain. Mereka sendiri tidak belajar agama dengan benar. Kalau ada orang yang nampak alim sahaja, mereka terus terima tanpa usul periksa.

Selain dari itu, kita selalu lihat dalam selawat, ada yang menambah kalimah panggilan ‘Sayyidina’ – yang bermakna ‘Penghulu kami’ kepada Nabi Muhammad ﷺ. Tidak ada dalam hadis sahih mana-mana yang kata sahabat Nabi pernah panggil Nabi Muhammad ﷺ dengan panggilan ‘Sayyidina’.

Maka, kalau kita pakai gelaran itu kepada Nabi, adalah tidak tepat. Baginda adalah penghulu segala rasul, bukan seorang penghulu kepada kita. Sedangkan Nabi pernah melarang umatnya memanggil baginda dengan gelaran ‘sayyid’.

Abdullah bin al-Syikhir radhiallahu ‘anh berkata: Aku bersama rombongan Bani ‘Amir telah berkunjung menemui Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. (Ketika bertemu) kami berkata: “Anda sayyidina.” Namun Rasulullah terus membalas: “al-Sayyid ialah Allah Tabaraka wa Ta’ala.” Lalu kami berkata: “Namun anda adalah yang paling utama dan paling mulia di antara kami!” Rasulullah menjawab: “Berkatalah dengan apa yang kalian katakan atau sebahagian dari apa yang kalian katakan, akan tetapi janganlah kalian terpengaruh dengan syaitan.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 4172/4806]

Bahaya kalau kita mengamalkan selawat kalau kita salah faham maksudnya. Kerana lafaz-lafaz selawat telah diajar oleh Nabi dan telah disebut dalam hadis-hadis yang sahih. Pakailah lafaz-lafaz yang telah diajar Nabi. Itulah yang terbaik kerana ianya diajar sendiri oleh Nabi. Adakah kurang ajaran dari Nabi sampai kita kena pakai ajaran dari orang lain?

Yang sebetulnya, ramai yang melakukan pujian yang berlebihan terhadap Nabi, sedangkan Nabi sudah menegur kita untuk berhati-hati dalam perkara ini:

Anas bin Malik radhiallahu ‘anh berkata, bahawa seorang lelaki berkata: “Wahai Muhammad! Wahai Sayyidina dan wahai putera sayyidana! Orang yang terbaik di antara kami dan putera orang yang terbaik di antara kami! Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Wahai manusia! Aku mengingatkankan kalian untuk bertaqwa, janganlah sehingga kalian terikut-ikut dengan syaitan. Saya Muhammad bin Abdillah, hamba Allah dan Rasul-Nya. Demi Allah! Aku tidak menyukai kalian mengangkatku lebih tinggi daripada kedudukan yang telah Allah berikan kepadaku.” [Musnad Ahmad, no: 12551 dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakannya]

Satu lagi perkara yang hendak disentuh di sini, bilakah selawat itu dibaca? Sebenarnya, bila-bila masa sahaja kita boleh selawat. Tanpa perlu kerana ada apa-apa sebab. Tapi, orang kita selalunya mengamalkan selawat dalam waktu-waktu tertentu. Ia sudah menjadi seperti satu amalan khas pula.

Antaranya, selalu kita diajar apabila nak makan ubat, kena selawat tiga kali. Datang dari manakah amalan itu? Kita tanya kerana kita tahu yang Nabi Muhammad ﷺ tak pernah ajar. Ditakuti ada dalam hati kita satu qasad yang mengatakan, Nabi ada terlibat dalam memberi kesembuhan kepada kita. Kalau ada qasad yang sebegitu, itu sudah masuk ke lembah kesyirikan – kerana yang menyembuhkan kita adalah Allah.

Kalau kita kata ada makhluk lain yang boleh menyebabkan kita sembuh, itu adalah satu kesyirikan. Maka baca bismillah sahaja semasa makan ubat sambil mengharap Allah akan sembuhkan kita. Kerana yang menyembuhkan penyakit kita adalah Allah.

Begitu juga, tak payah kita nak baca selawat dalam keadaan-keadaan tertentu pula. Sebagai contoh, ada yang amalkan baca selawat semasa basuh sayur, basuh baju, semasa bersalam atau sebagainya. Ditakuti kita sampai kepada tahap ‘memuja’ Nabi Muhammad ﷺ pula. Kita tidak boleh puja sesuatu makhluk bersama dengan Allah, walaupun ianya adalah Nabi Muhammad ﷺ.

Selawat itu memang dianjurkan bila-bila masa sahaja, tapi apabila ianya dikhususkan untuk sesuatu perbuatan, ianya sudah termasuk dalam perbuatan bidaah dan menambah dalam hal agama. Jangan salah faham sampai kata kita halang orang baca selawat pula. Kita ajak orang baca selawat kerana nak selawat kepada Nabi, kerana hendak mendoakan baginda, bukan kerana nak sesuatu kelebihan.

Satu lagi, ulama juga mengambil dalil dari ayat ini bahawa ayat-ayat Al-Qur’an juga boleh digunakan sebagai ruqyah sebagai usaha untuk menyembuhkan penyakit fizikal manusia.

Tapi kena berhati-hati dalam perkara ini jangan sampai kita tersalah langkah. Sebagai contoh, kita ambil perumpamaan satu pistol. Pistol itu adalah satu alat yang merbahaya dan boleh jadi bermanfaat. Kalau seseorang pandai menggunanya, maka ianya boleh jadi sesuatu yang bermanfaat. Ia boleh digunakan untuk menjaga keselamatan, bunuh musuh dan sebagainya. Tapi kalau seseorang tidak pandai menggunakannya, ianya boleh mengambil nyawa orang yang tidak bersalah.

Begitu juga dengan ayat-ayat Al-Qur’an. Ianya adalah sesuatu yang mempunyai mukjizat. Tapi kalau orang yang tidak tahu menggunakannya, tapi dia mengamalkannya juga, dia mungkin boleh tersalah guna. Ianya juga boleh menyebabkan dia jatuh berdosa kalau dia tidak faham apa yang dia lakukan.

Sebagai contoh, kalau dia gunakan ayat Al-Qur’an dan orang yang diruqyah itu sembuh, mungkin dia terfikir dalam hatinya bahawa ayat Al-Qur’an itulah yang menyembuhkan orang itu. Maka, itu adalah satu fahaman yang salah dan syirik. Kerana yang menyembuhkan itu adalah Allah.

Dan juga kita lihat banyak manusia yang menjalankan kerja-kerja penyembuhan ini, menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai ‘tangkal’. Mereka akan baca dan tiup kepada pesakit dengan niat untuk menyembuhkan penyakit itu. Mereka sebenarnya tak faham pun apa yang mereka baca itu. Ini sudah jadi macam kisah filem Harry Porter yang menggunakan bacaan ayat-ayat tertentu untuk buat sihir sahaja. Ingatlah bahawa ayat Al-Qur’an itu dijadikan sebagai pedoman untuk kita, bukan sebagai ‘azimat’ untuk kita.

Bagaimana dengan hadis-hadis yang menunjukkan sahabat menggunakan Fatihah sebagai ruqyah? Kalau sudah ada dalil yang sahih yang mengatakan Fatihah itu sebagai ruqyah, maka ianya boleh diterima kerana Nabi sendiri telah mengiyakannya. Tapi tidaklah kita boleh kata ayat-ayat yang lain pun begitu juga.

Cara yang selamat adalah: kita baca ayat Al-Qur’an sebagai satu amalan ibadat. Kemudian kita baca doa. Kerana doa lebih makbul selepas kita melakukan satu-satu ibadat. Maka, baca Al-Qur’an sebagai ibadat dan selepas itu kita doa semoga Allah sembuhkan orang yang sakit itu. Ini lebih selamat dari kita melakukan perkara yang tidak pasti.

Oleh itu, kita tidak bersetuju dengan sesetengah individu yang mengeluarkan senarai ayat-ayat tertentu boleh menyembuhkan penyakit ini dan itu. Atau sesuatu ayat digunakan untuk tujuan mendapatkan sesuatu. Kita telah sentuh isu itu di tempat lain. Allahu a’lam.

 

وَالَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ

dan orang-orang yang tidak beriman,

Sebelum ini telah disebut tentang orang-orang yang beriman dan bagaimana mereka boleh mendapat manfaat dengan belajar tafsir Al-Qur’an dan mengamalkannya. Mereka akan mendapat banyak kebaikan dan dapat menyembuhkan segala jenis penyakit.

Sekarang dikatakan pula tentang orang-orang yang tidak beriman dengan akidah tauhid. Mereka juga tidak mahu menerima ajaran Al-Qur’an. Mereka tidak mahu pun belajar tafsir untuk mengetahui apakah maksud ayat-ayat Al-Qur’an itu.

Mereka langsung tidak mendapat manfaat dari pembacaan ayat-ayat Al-Qur’an itu. Walaupun mungkin mereka sendiri selalu membaca Al-Qur’an – tapi jikalau mereka tidak faham, mereka tidak akan tahu apakah yang hendak disampaikan oleh Allah.

 

فِي ءآذَانِهِمْ وَقْرٌ

dalam telinga mereka ada sumbatan. 

Mereka tidak dapat mendengar penjelasan yang banyak sekali ada dalam Al-Qur’an itu. Mereka mungkin baca sendiri ayat-ayat Al-Qur’an itu hari-hari, tapi mereka tidak faham apakah yang mereka baca kerana mereka tidak belajar.

Oleh itu, mereka ada buat kesilapan yang mereka sendiri tidak sangka mereka sedang lakukan. Kalau diberikan nasihat kepada mereka, mereka pun tidak dapat mendengar. Kerana mereka seperti pekak. Ada telinga, tapi tidak digunakan. Macam kita bercakap dengan orang, tapi kita boleh lihat pada mukanya, dia tidak faham apa yang kita katakan. Macam dia tidak dengar apa kita kata.

Itulah perumpamaan yang Allah berikan, seperti mereka ada ‘sumbatan’ dalam telinga mereka yang menghalang mereka dari mendengar. Ini bukan sumbatan fizikal dan kalau korek telinga mereka, tak boleh nak keluarkan sumbatan itu. Ini adalah perumpamaan tentang mereka yang kurang ilmu kerana dalam hati mereka, mereka memang tidak mahu terima kebenaran. Maka mereka tutup telinga mereka dari mendengar kebenaran.

 

وَهُوَ عَلَيْهِمْ عَمًى

dan mereka buta terhadap Al-Qur’an itu.

Mereka tak faham langsung apabila dibacakan ayat Al-Qur’an kepada mereka. Mereka tidak nampak kebenaran yang ditunjukkan oleh Allah dalam kalamNya itu. Seolah-olah mereka itu buta. Dan sememangnya mereka buta, tapi ‘buta hati’.

Walaupun berkali-kali mereka diberitahu tentang maksud sesuatu ayat Al-Qur’an itu tapi kalau hati menolak, mereka tidak nampak. Allah sudah tarik kebolehan mereka untuk menerima hidayah kerana mereka sudah sampai kepada tahap kufur peringkat keempat.

 

أُولَٰئِكَ  يُنَادَوْنَ مِنْ مَّكَانٍ بَعِيدٍ

Orang-orang yang bersifat seperti ini seperti seorang yang diseru dari tempat yang jauh sekali.

Allah beri perumpamaan seperti kita panggil orang yang jauh. Dia dengar, tapi tak dengar dengan jelas dan tidak tahu apakah yang disebut. Dia pun mungkin tak perasan yang kita sedang panggil dia. Dia dengar sayup-sayup sahaja suara kita.

Sudahlah telinga mereka ada sumbatan, tak nampak dengan jelas pula. Maka, kalau kita panggil orang yang macam itu, mereka tak tahu kita panggil mereka. Walaupun mereka di hadapan kita, mereka tidak mendengar dan melihat. Mereka tidak dapat faham.

Ini adalah bahasa kiasan dalam bahasa Arab. Kalau seseorang itu faham apa yang dikatakan, orang Arab akan kata: أنت تسمع من قريب kamu mendengar dari tempat yang dekat; dan kalau orang itu tidak faham, mereka akan kata: أنت تنادى من بعيد engkau mendengar dari tempat yang jauh.

Ayat ini juga sebagai isyarat bahawa mereka itu telah jauh tersasar dari agama. Jauh sangat sampai susah untuk kembali. Orang yang seperti ini, bukan tidak boleh kembali, tapi kena usaha lebih sikit dengan mereka. Kena berusaha bersungguh-sungguh dan berkali-kali kena dakwah kepada mereka, baru mereka boleh terima – itu pun kalau Allah izinkan.

Kata-kata yang lebih kurang sama telah Allah sebutkan dalam Baqarah:171.

Habis Ruku’ ke 5 dari 6 ruku’ dalam surah ini.


 

Ayat 45: Ini adalah satu lagi kesamaran yang asalnya datang dari Yahudi dan mungkin mereka telah ajar kepada Musyrikin Mekah. Mereka kata tak sama cara Al-Qur’an diturunkan dengan cara Taurat yang turun lengkap.

Mereka kata, kalau betul Al-Qur’an itu kitab dari Tuhan, mestilah turun terus lengkap macam Taurat itu. Mereka kata, entah-entah Nabi Muhammad keluarkan sikit-sikit itu sebab Nabi Muhammad yang buat sikit-sikit Al-Qur’an itu ikut kemampuan dia.

Allah jawab juga hujah dan tohmahan ini sebab bernas juga. Allah tempelak mereka dengan mengatakan, walaupun dulu Taurat diturunkan sekaligus pun mereka tidak pakai juga, kemudian mereka tolak dan ubah teks asal Taurat itu, maka jangan salahkan kitab, tapi salahkan diri sendiri.

Kalau sudah degil, mereka tidak akan terima juga walaupun turun sedikit demi sedikit atau turun secara lengkap. Memang akan ada yang beriman dan akan ada yang tolak wahyu. Al-Qur’an pun begitu juga, pasti ada yang tolak kerana memang akan ada jenis yang tidak mahu beriman.

وَلَقَد ءآتَينا موسَى الكِتٰبَ فَاختُلِفَ فيهِ ۗ وَلَولا كَلِمَةٌ سَبَقَت مِن رَّبِّكَ لَقُضِيَ بَينَهُم ۚ وَإِنَّهُم لَفي شَكٍّ مِّنهُ مُريبٍ

Sahih International

And We had already given Moses the Scripture, but it came under disagreement. And if not for a word that preceded from your Lord, it would have been concluded between them. And indeed they are, concerning the Qur’an, in disquieting doubt.

Malay

Dan (janganlah engkau merasa kecewa wahai Muhammad tentang keingkaran kaummu, kerana) demi sesungguhnya! Kami telah memberi kepada Nabi Musa Kitab Taurat, lalu berlaku pertentangan mengenainya. Dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta merta kepada mereka. Dan sesungguhnya mereka (kaummu) masih menaruh syak yang meragukan tentang (kebenaran Al-Qur’an) itu.

 

وَلَقَدْ ءآتَيْنَا مُوسَى الْكِتٰبَ

Dan sesungguhnya Kami telah wahyukan kepada Nabi Musa kitab, 

Iaitu Kitab Taurat telah diberikan kepada Nabi Musa عليهم السلام. Ia telah diturunkan kepada Nabi Musa lengkap bertulis. Ini kita dapat tahu apabila kita baca ayat-ayat yang lain. Ia tidak sama dengan pemberian Al-Qur’an kepada Nabi Muhammad ﷺ yang diberi sedikit demi sedikit sepanjang 23 tahun.

 

فَاخْتُلِفَ فِيهِ

Mereka pun berselisih tentangnya;

Bani Israil yang telah diberikan dengan Taurat itu pun tidak beriman dengan Taurat itu. Bukan dengan Al-Qur’an sahaja manusia berselisih, Taurat dulu pun pun manusia yang menerima juga sudah berselisih juga.

Perkara yang sama terjadi kepada Nabi Muhammad ﷺ sepertimana yang terjadi kepada Nabi Musa عليهم السلام dan Nabi-nabi lain pun. Akan ada sahaja yang menentang kebenaran. Tidaklah perlu hairan dengan perkara ini kerana ia biasa sahaja. Penolakan manusia dengan wahyu Allah itu bukanlah kerana ianya diturunkan sedikit demi sedikit atau sekali gus. Itu semua alasan sahaja untuk menolak sahaja.

Ayat ini sekali lagi hendak memujuk Nabi dan para sahabat yang menjalankan dakwah. Mereka diberitahu, bukan sekarang sahaja mereka kena bantah, umat-umat yang dahulu pun telah membantah Rasul dan Nabi mereka.

Ia juga adalah pujukan kepada kita yang menjalankan kerja dakwah menyampaikan ayat Al-Qur’an kepada manusia. Memang kita pun selalu dibantah apabila bawa tafsir Al-Qur’an ini dibacakan dan disampaikan kepada manusia. Tapi ini perkara biasa sahaja. Bersabarlah. Kalau kita tahu ia memang terjadi dari dulu, tidaklah kita kisah sangat, bukan? 

 

وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِنْ رَّبِّكَ

Kalau tidaklah kerana suatu kalimah yang telah terdahulu daripada Tuhan kamu; 

Ini ada satu soalan lagi. Mereka yang menentang wahyu itu berhujah: azab tak datang pun kepada mereka walaupun mereka dikatakan menolak wahyu itu. Sedangkan berkali-kali Nabi Muhammad ﷺ mengatakan bahawa kalau tolak, Allah boleh kenakan azab di dunia lagi. Mereka pun berkata: “mana dia azab yang kau janjikan itu?”

Allah jawab dalam ayat ini: kalau bukan kerana Allah telah tetapkan mereka akan kena azab pada waktu tertentu, tentu mereka akan kena azab terus waktu itu juga. Sebenarnya mereka tak terus kena azab kerana Allah sudah tentukan bila masa mereka akan kena azab. Jangan sangka mereka tidak kena langsung sebab tak kena kena lagi.

Apakah ‘kalimah’ itu? Itulah janji Allah kepada DiriNya untuk melewat-lewatkan azab. Iaitu Allah akan menangguhkan azab sampai kita mati, baru Dia azab kita. Allah beri peluang kepada manusia yang engkar untuk bertaubat.

 

لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ

tentu Allah akan beri keputusan kepada mereka.

Kalau Allah tak beri tangguh, tentu mereka sudah kena azab lama dulu lagi. Semasa dalam dunia, Allah boleh beri kita buat apa yang kita nak buat. Allah tak terus turunkan azab kalau kita buat syirik, kalau kita buat dosa. Walaupun Allah mampu untuk beri azab sekarang pun, tapi Allah biarkan sahaja orang kafir duduk dalam kesesatan. Allah biarkan sahaja dulu orang yang melakukan dosa.

Tapi tunggulah nanti di akhirat kelak. Kadang-kadang orang yang buat syirik dan buat dosa, mereka sangka mereka tak salah. Mereka sangka, kalau mereka buat salah, tentulah Allah sudah beri azab kepada mereka. Jatuh sakitkah, kena panah petirkah dan sebagainya. Tapi Allah tak buat begitu, kerana Allah sudah janji kepada DiriNya yang Dia akan lewatkan azab itu.

Oleh kerana mereka tak kena azab semasa di dunia, mereka sangka mereka dalam kebenaran. Itu adalah satu pemahaman yang amat salah. Oleh itu, kita fahamlah kenapa ramai sangat yang buat syirik tapi tak takut apa. Kerana mereka sangka mereka tak kena apa-apa bala, mereka sangka Allah redha dengan perbuatan mereka.

Pemahaman kedua, ayat ini memberitahu kepada kita bahawa di akhirat kelak, Allah akan buat penghakiman antara yang salah dan yang benar. Ini adalah kerana kalimah قضى juga bermaksud ‘keputusan’. 

Dalam dunia, mereka kata kita yang salah. Mereka beri hujah macam-macam asalkan mereka tidak perlu terima ajaran Al-Qur’an itu. Mereka beri hujah akal, hujah tok guru mereka dan macam-macam lagi hujah batil dari mereka. Kadang-kadang mereka lagi pandai berhujah dari kita.

Mereka pun selalunya lagi banyak pengikut yang mengiringi mereka. Pendapat mereka adalah pendapat popular, kerana memang ramai yang pegang fahaman macam mereka juga. Yang betul-betul beriman bukannya ramai.

Oleh itu kita kena ingat, Islam ini bukanlah agama demokrasi – kalau dalam demokrasi, tentu yang ramai akan menang. Tapi Islam tidaklah begitu. Kalau seluruh dunia umat buat perkara salah, tidaklah perkara salah itu jadi benar. Yang benar tetap benar dan yang salah tetap salah.

Jadi, dari luarannya, mereka nampak macam mereka berada di pihak yang benar. Tapi, siapakah yang benar sebenar-benarnya? Allah akan beritahu kelak di akhirat. Tapi, waktu itu sudah terlambat kalau baru tahu merekalah yang bersalah. Kalau waktu itu baru mereka nampak mereka di pihak yang salah, mereka tidak ada peluang untuk kembali ke dunia untuk memperbetulkan keadaan lagi. Mereka kena terima hukuman yang akan diberikan kepada mereka.

 

وَإِنَّهُمْ لَفِي شَكٍّ مِّنْهُ

Sesungguhnya mereka duduk dalam syak wasangka tentangnya 

Iaitu mereka syak wasangka dengan ajakan kepada mengesakan Allah sahaja. Mereka tolak untuk ibadat hanya kepada Allah. Bila kita hujah, mereka rasa macam boleh faham, tapi mereka ragu-ragu. Antaranya sebab ada pendapat yang kata boleh.

Maka itu adalah bahaya. Tidak boleh ragu-ragu dengan wahyu. Kalau ragu-ragu, kena dapatkan maklumat yang benar. Jangan terus berada dalam keraguan. Kena cari kelas tafsir Al-Qur’an supaya keputusan yang tepat dapat diperolehi. Memang kadangkala kita diberitahu perkara yang kita tak pernah dengar, jadi kita ragu. Maka kalau ragu, jangan tolak lagi tapi carilah orang lain yang boleh jelaskan kepada kita.

Tafsir kedua: Mereka tanya-tanya tentang azab yang tak turun itu pun, mereka sebenarnya dalam ragu-ragu sebenarnya. Dalam hati mereka takut juga kalau-kalau mereka betul-betul akan dikenakan dengan azab.

Kerana mereka sudah selalu dengar kisah kaum terdahulu yang telah kena azab dan mereka pun ada rasa yang mereka pun akan kena azab juga. Mereka sebenarnya tidak pernah yakin yang mereka tidak akan kena azab itu. Di mulut sahaja mereka berlagak, tapi dalam hati mereka, mereka takut juga. 

 

مُرِيبٍ

menjadikan orang lain pun syak juga.

Sudahlah mereka tak percaya kepada tauhid, mereka pun buat orang lain syak dan tak percaya juga. Mereka akan beri hujah mereka yang batil, sampaikan orang yang tidak ada ilmu pun akan percaya kepada mereka juga. Kadangkala mereka pandai berhujah menggunakan logik. Dan memang ramai dalam negara ini dan masyarakat kita yang tidak berilmu.

Dan ini juga satu masalah yang kita kena berhati-hati. Kerana ada orang yang pandai berkata-kata dan dengan kata-kata mereka itu dapat mempengaruhi orang lain. Sampaikan Rasulullah pernah bersabda bahawa ada ucapan yang seperti ‘sihir’.

5325 – حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ عَنْ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا
أَنَّهُ قَدِمَ رَجُلَانِ مِنْ الْمَشْرِقِ فَخَطَبَا فَعَجِبَ النَّاسُ لِبَيَانِهِمَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِنْ الْبَيَانِ لَسِحْرًا أَوْ إِنَّ بَعْضَ الْبَيَانِ لَسِحْرٌ

5325. Telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Yusuf telah mengabarkan kepada kami Malik dari Zaid bin Aslam dari Abdullah bin Umar radliallahu ‘anhuma bahawa dua orang dari penduduk Masyriq datang kepadanya, lalu keduanya berucap maka orang ramai kagum dengan ucapannya, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya dalam ucapan itu ada yang betul-betul memukau (seperti sihir), atau sesungguhnya sebahagian dari ucapan itu adalah sihir.” Sahih Bukhari.

Jadi ramailah orang yang sudah tertipu dengan percakapan orang lain yang pandai berkata-kata dan berhujah. Perkara agama ini hanya ikut-ikutan sahaja kepada mereka. Mereka akan terima sahaja apa yang disampaikan kepada mereka kerana yang menyampaikannya orang besar, nampak alim, nampak banyak pengikut, pandai bercakap dan sebagainya.

Dan oleh kerana ramai ‘agamawan’ di negara ini yang berpegang bahawa bidaah itu boleh dibuat, maka ramailah dari masyarakat yang setuju dengan mereka. Sampai mereka pun syak tentang agama.


 

Ayat 46:

مَّن عَمِلَ صٰلِحًا فَلِنَفسِهِ ۖ وَمَن أَساءَ فَعَلَيها ۗ وَما رَبُّكَ بِظَلّٰمٍ لِّلعَبيدِ

Sahih International

Whoever does righteousness – it is for his [own] soul; and whoever does evil [does so] against it. And your Lord is not ever unjust to [His] servants.

Malay

Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.

 

مَّنْ عَمِلَ صٰلِحًا

Sesiapa yang buat amal soleh

Ingatlah bahawa amal soleh adalah amal ibadat yang diajar oleh Nabi. Iaitu ada contoh bagaimana Nabi sendiri ada ajar amalan tersebut. Bukan amal ibadat yang direka oleh manusia.

Amal yang direka oleh manusia dinamakan ‘bidaah’. Itu bukan amal soleh, tapi amal bidaah. Amal bidaah tidak diterima, tidak mendapat pahala, malah memberi dosa. Antara yang kita boleh sebut adalah solat Hajat, Majlis Tahlil, Maulidur Rasul, Talqin, Kenduri Arwah dan sebagainya lagi. Banyak sangat amalan bidaah yang dilakukan oleh masyarakat sekarang.

 

فَلِنَفْسِهِ

ianya untuk dirinya sahaja.

Segala faedah dari amal ibadat itu adalah untuk pembuatnya, bukan untuk Allah. Allah tidak memerlukan ibadah kita. Maka kalau kita buat ibadat atau tidak, Allah tetap dengan kemuliaanNya. Maka jangan kita sangka Allah memerlukan ibadah kita. Ibadah itu Allah suruh kita buat, untuk kebaikan kita sebenarnya.

Sesiapa yang buat amal ibadat yang soleh, dia akan mendapat pahala. Tapi kalau amalan itu tidak soleh dan ianya amalan bidaah, tidak dapat pahala langsung dari Allah. Bukan sahaja tidak dapat pahala, tapi dia akan dapat dosa pula dari perbuatannya itu.

Ayat ini juga hendak memberitahu, sesiapa yang buat amal ibadat, dia sahaja yang akan dapat pahala itu. Bukan orang lain. Kena buat sendiri amal itu, baru dapat. Tak boleh buat ibadat untuk dikirimkan pahala kepada orang lain. Maknanya, tidak betul perbuatan ‘tahlil arwah’.

Majlis Tahlil yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita sekarang adalah majlis dimana ramai-ramai akan akan baca Al-Qur’an, baca zikir dan mereka niatkan supaya pahala dari amalan mereka dalam majlis itu ‘dihadiahkan’ kepada si-mati.

Tapi, kita boleh lihat dalam ayat ini, bahawa sesiapa yang buat amal ibadat yang soleh, pahalanya kepada dirinya sahaja. Tidak ada konsep ‘sedekah pahala’ kepada orang lain. Kalau seseorang itu sudah mati, dia tidak boleh buat amal ibadat lagi, maka dia tidak dapat pahala lagi. Ada pengecualian yang telah disebut oleh Nabi – seperti sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak kepada ibubapanya. Itu sahaja.

Untuk lebih mudah faham, katakanlah esok kita ada peperiksaan. Takkan kita kata kepada kawan kita: “tidak mengapa, malam ini aku akan baca buku, esok kau boleh jawab soalan.” Kalau kita hendak faham dan senang nak jawab soalan peperiksaan, kita kena baca sendirilah buku itu, bukan kawan kita yang bacakan.

Paling menyedihkan, manusia ramai yang kononnya ‘pandai agama’, menjadikan perbuatan sedekah pahala ini sebagai sumber pendapatan pula. Mereka akan beri borang dan edarkan kepada masyarakat terutama bulan Ramadhan. Mereka akan tawarkan khidmat untuk baca Al-Qur’an yang akan disedekahkan kepada si-mati bagi pihak kita. Kita cuma perlu bayar wang sahaja kepada mereka. Paling kurang yang saya tengok sekarang, RM10 untuk satu kepala. Modalnya, cuma air liur dan masa sahaja. Itulah orang yang menjual agama bagi harga yang sedikit.

Kalaulah agama begitu mudah, maka orang-orang kaya, tidak perlu buat amal ibadat semasa mereka hidup. Selepas mereka mati, mereka wasiatkan sahaja kepada anak-anak mereka untuk upah orang untuk baca Al-Qur’an untuk diri mereka.

Adakah agama begitu? Kalau agama sebegitu, maka kasihanlah kepada mereka yang miskin, tentunya tempat mereka di neraka kerana mereka tidak ada wang untuk upah orang sedekah pahala kepada mereka. Teruk sekali mereka meletakkan agama Islam ini kepada mata masyarakat – hanya orang kaya sahaja yang boleh lepas, yang miskin, pandai-pandailah buat sendiri.

Begitu juga mereka yang setiap kali dengar ada orang yang baru mati, mereka akan kata: “al-Fatihah”. Kerana mereka nak sedekah pahala kepada orang mati itu. Entah dari mana mereka dapat ajaran itu, kita pun tidak pasti. Tapi ianya tidak pernah diajar oleh Nabi, tidak pernah diajar dan dibuat oleh para sahabat.

Maka berhentilah dari buat amalan-amalan yang bukan dari Nabi. Nanti akan ada sahaja benda-benda pelik yang manusia akan reka dan sandarkan kepada agama, lalu apa akan jadi kepada agama kita ini?

 

وَمَنْ أَسَاءَ فَعَلَيْهَا

dan sesiapa buat dosa, untuk dirinya sahaja;

Kalau sesiapa yang buat dosa, dia sendirilah yang tanggung. Bukanlah kita buat dosa, orang lain yang tanggung. Maka kalau anak perempuan tidak pakai tudung, tidaklah ayahnya yang menanggung dosa.

Tapi, ada pengecualian juga dalam hal ini. Kita akan tanggung dosa orang lain, jikalau kita yang ajar dia buat dosa itu. Sebagai contoh, kita ajar dia main judi. Setiap kali dia berjudi, orang itu akan dapat dosa berjudi, dan orang yang ajar dia berjudi itu pun akan dapat dosa juga. Maka, walaupun dia sudah mati, tapi dosanya akan bertambah-tambah selagi orang yang diajarnya itu masih lagi melakukan dosa itu.

Bagaimana pula kalau kita ajar seseorang untuk buat amalan bidaah? Orang yang buat amalan bidaah itu akan dapat dosa, dan kita yang ajar dia pun akan dapat dosa juga. Bayangkan kalau orang itu ajar pula orang lain? Tentu beranak pinak dosa orang yang mula-mula mengajar itu.

Begitu juga, kalau kita sudah ajar anak kita untuk buat baik, contohnya suruh dia pakai tudung, tapi dia tak pakai juga, kita tak tanggung dosa dia. Kerana kita sudah suruh dia pakai tudung. Dia sahaja yang akan tanggung dosa itu. Lainlah kalau kita yang suruh dia buka tudung, itu memang kita yang akan tanggung bersama dengan dia.

 

وَمَا رَبُّكَ بِظَلّٰمٍ لِّلْعَبِيدِ

Dan tidaklah Tuhan kamu itu ingin menzalimi hamba-hambaNya.

Apa sahaja hukuman yang Allah berikan kepada seseorang hamba, orang itu memang patut terima. Allah tidak akan menzalimi hambaNya. Kalau orang itu tidak layak terima azab itu, tapi Allah azab juga, tentulah Allah zalim kalau begitu.

Allah juga tidak menghukum seseorang melainkan setelah diberikan dakwah kepada mereka. Telah sampai kepada mereka rasul, Nabi atau pendakwah yang mengajarkan kepada mereka apa yang baik dan apa yang buruk.

Jadi, dari sini, kita dapat tahu yang jika ada manusia yang duduk di pedalaman dunia ini yang tidak pernah sampai dakwah kepada mereka, Allah tidak mengazab mereka.

Maka, jangan salahkan Allah. Allah telah berikan ajaran kepada manusia. Manusia sahaja yang tak mahu ikut. Allah azab pun bukan kerana Allah itu zalim. Sikit pun Allah tidak ada zalim. Walaupun azab itu bunyi berat sungguh.

Sebab Allah sudah bagi segala dalil dan nak ubah pun senang sahaja sebenarnya, bukan Allah suruh buat kerja susah. Kalau kita belajar agama ini dengan saksama, kita akan lihat bahawa agama Islam ini mudah sebenarnya, tidak payah. Tidaklah agama ini suruh buat benda yang tidak patut-patut.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 22 Julai 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Abdul Nasir Jangda

Tafsir Ibnu Kathir

Tafsir Al-Azhar Dr. Hamka

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani