Tafsir Surah Yusuf Ayat 94 (Menghidu bau Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)

NABI YA’QUB عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ BOLEH MELIHAT SEMULA

Yusuf Ayat 94: Ini adalah Keadaan ke 15 apabila mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di awal surah ini menjadi kenyataan. Pernahkah anda berada dalam kesusahan yang begitu lama, sehingga sekecil-kecil tanda harapan terasa seperti satu kelegaan yang luar biasa? Atau pernahkah anda terlalu merindui seseorang, sehingga terbayang-bayang kehadirannya? Kita sering menganggap perkara ini sebagai mainan perasaan, tetapi bagaimana jika sebuah keajaiban benar-benar boleh dihidu dari jarak beratus-ratus kilometer? Kisah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang dapat menghidu bau baju anaknya, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dari Mesir ke Kan’an adalah lebih daripada sekadar mukjizat yang menakjubkan. Ia mengandungi lapisan-lapisan makna tentang iman, hubungan kekeluargaan, dan cara Allah ‎ﷻ menghantar kelegaan kepada hamba-Nya. Mari kita selami pengajaran-pengajaran mendalam yang tersembunyi di sebalik peristiwa ini.

وَلَمَّا فَصَلَتِ ٱلعِيرُ قَالَ أَبُوهُم إِنِّى لَأَجِدُ رِيحَ يُوسُفَ‌ۖ لَولَآ أَن تُفَنِّدُونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the caravan departed [from Egypt], their father said,¹ “Indeed, I find the smell of Joseph [and would say that he was alive] if you did not think me weakened in mind.”

  • To those present with him, either some of his sons or other relatives.

(MALAY)

Tatkala kafilah itu telah ke luar (dari negeri Mesir) berkata bapa mereka: “Sesungguhnya aku mencium bau Yusuf, sekiranya kamu tidak menuduhku lemah akal (tentu kamu membenarkan aku)”.

 

وَلَمّا فَصَلَتِ العيرُ

Tatkala kafilah itu telah keluar,

Apabila telah selesai urusan mereka dan tiba masa untuk mereka pulang dengan baju Nabi Yusuf ‎عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini adalah keadaan apabila mereka mula bergerak. Sekiranya hendak dibayangkan, kenalah bayangkan mereka ini bukan seperti mereka datang 11 orang itu tetapi kali ini mereka pulang dengan gerombolan kerajaan Mesir kerana ini hendak mengadap bapa kepada Al-Aziz. Perjalanan dari Mesir ke Kan’an ada pendapat mengatakan 8 hari perjalanan dan ada yang kata lebih lama dari itu.

Al-Qur’an menyatakan bahawa Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mula menghidu bau Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebaik sahaja kafilah itu bertolak dari Mesir, bukan ketika mereka hampir tiba di Kan’an. Perkataan Arab yang digunakan ialah “fasala” (فَصَلَ), yang membawa maksud “terpisah” atau “tercabut”. Bayangkan sebuah kapal yang sauhnya telah diangkat dan tali tambatannya dilepaskan dari dok. Detik ia mula terpisah dari daratan, itulah detik فَصَلَ. Untuk analogi yang lebih moden, bayangkan sebuah pesawat di lapangan terbang. Detik jejantas udara (jet bridge) ditarik balik, pintu ditutup, dan pesawat itu membuat pergerakan pertamanya—walaupun sebelum berlepas—itulah detik فَصَلَ. Ini menekankan bahawa pada ketika Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menerima isyarat kelegaan itu, kafilah tersebut baru sahaja memulakan perjalanan mereka yang mungkin memakan masa berminggu-minggu. Mereka masih sangat, sangat jauh.

Ini mengajar kita satu perkara penting: kelegaan daripada Allah ‎ﷻ tidak semestinya tiba apabila masalah kita hampir selesai. Kadangkala, Allah ‎ﷻ menghantar tanda-tanda kelegaan itu pada detik pertama kita memulakan langkah ke arah penyelesaian, sebagai satu anugerah untuk menenangkan hati dan menguatkan iman kita sepanjang perjalanan yang masih panjang.

 

قالَ أَبوهُم إِنّي لَأَجِدُ ريحَ يوسُفَ

berkata ayah mereka: “Sesungguhnya aku mencium bau Yusuf,

Apabila mereka mula bergerak sahaja dengan baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah dapat rasa adanya baju itu. Selama ini baginda bersangka baik yang anaknya itu masih hidup. Maka hasil daripada sangkaan baik baginda itu maka Allah ‎ﷻ berikan berita awal kepada baginda sebelum benar-benar bertemu dengan anaknya itu. Begitulah kasih sayang ibu bapa terhadap anaknya. Ini mengajar kita yang ibubapa lebih sayangkan anak daripada anak itu sayangkan ibubapa sebenarnya. Maka jangan kita biarkan ibubapa kerinduan lama-lama. Selalulah kita telefon emak ayah kita sekali sekala. Telefon tiap-tiap hari pun tidak mengapa kerana mereka suka sahaja.

Penggunaan kalimah أَبوهُم pun memberi makna yang mendalam. Allah ‎ﷻ tidak berkata: “Dia berkata”, atau “Ya’qub berkata”, akan tetapi أَبوهُم. Ia menekankan yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah bapa mereka semua. Bapa dan datuk dari segi darah dan bapa keseluruhan sebagai Nabi mereka. Di dalam Islam kita diajar untuk menghormati ibu bapa kita, bukan?

Baginda memang betul-betul dapat menghidunya kerana kalimah إِنّي dan Lam Taukid pun ada dalam لَأَجِدُ. Jadi bukanlah baginda was-was: “Eh ini macam bau Yusuf ni”, tidak. Memang baginda yakin itu bau anaknya. Daripada kalimah لَأَجِدُ yang di dalam bentuk fi’il mudhari‘ itu memberi isyarat yang baginda berterusan menghidunya, bukan sekali sahaja.

Ini adalah sesuatu yang hebat kerana bukanlah baju itu sudah dekat tetapi baru sahaja keluar dari Mesir dan perjalanan mungkin berminggu-minggu lagi! Akan tetapi baginda sudah dapat menghidu bau Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Perhatikan di dalam ayat ini disebut Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak kata baginda mencium bau baju tetapi bau Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini tentu kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah memakai baju itu dan terdapat kesan bau baginda pada baju itu. Padahal Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak ada bersama dengan mereka dan mereka berada amat jauh daripada baginda. Jadi kita kena jelaskan kenapa ini boleh berlaku.

Satu pendapat mengatakan ini adalah salah satu mukjizat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini memang agak pelik maka kerana itu ada penjelasan tentang hal ini di dalam kitab-kitab tafsir:

  • Hal ini bukanlah sesuatu yang biasa, melainkan keistimewaan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai tanda kebesaran-Nya dan khabar gembira akan kembalinya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
  • Dalam penjelasan tafsir, disebutkan bahawa Allah ﷻ-lah yang menyampaikan aroma baju Yusuf kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, sebagaimana Allah ﷻ juga mampu menyampaikan singgahsana Ratu Balqis kepada Nabi Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam masa singkat. Ini adalah bentuk mukjizat dan kurnia khusus daripada Allah ﷻ kepada para nabi-Nya.
  • Sebahagian ulama juga menegaskan bahawa kemampuan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mencium aroma baju Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari kejauhan adalah bentuk ilmu ghaib yang Allah ﷻ berikan sesuai kehendak-Nya. Para Nabi hanya mengetahui perkara ghaib jika Allah ﷻ menghendaki dan memberitahukannya, dan mereka tidak mengetahui hal-hal ghaib secara mutlak.
  • Dalam beberapa riwayat, disebutkan bahawa ketika kafilah membawa baju Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ keluar dari Mesir, angin membawa aroma baju tersebut hingga sampai ke Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di Kan’an. Ini adalah mukjizat yang menunjukkan kekuasaan Allah ﷻ dan keistimewaan para nabi.

Kesimpulannya, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengetahui tentang baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mencium aromanya dari jarak jauh kerana mukjizat dan kehendak Allah ﷻ, bukan kerana kemampuan manusiawi biasa. Hal ini menjadi salah satu tanda kekuasaan Allah ﷻ yang disebutkan dalam Al-Qur’an dan dijelaskan oleh para ulama tafsir.

Selain itu ada beberapa pendapat ulama dan riwayat menyatakan bahawa baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang dikirim kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah baju dari syurga. Di antaranya:

1. Dalam “Tafsir al-Baghawi” disebutkan:

“قال الضحاك: كان ذلك القميص من نسج الجنة. وعن مجاهد قال: أمره جبريل أن يرسل إليه قميصه، وكان ذلك القميص قميص إبراهيم، وذلك أنه جرد من ثيابه وألقي في النار عريانا فأتاه جبريل بقميص من حرير الجنة فألبسه إياه…”
Ertinya: Dikatakan oleh adh-Dhahhak, baju itu daripada tenunan syurga. Daripada Mujahid, Jibril memerintahkan Yusuf mengirim bajunya, dan baju itu adalah baju Ibrahim yang diberikan Jibril dari sutera syurga ketika Ibrahim dilempar ke dalam api, lalu diwariskan kepada Ishaq, kemudian Ya’qub, lalu Yusuf.

2. Dalam “علل الشرائع” dan “الأصول من الكافي” diriwayatkan daripada Imam Ja’far ash-Shadiq رَحِمَهُ اللَّهُ:

“إن إبراهيم لما أوقدت له النار أتاه جبرئيل عليه السلام بثوب من ثياب الجنة وألبسه إياه… فلما ولد ليعقوب يوسف علقه عليه فكان في عضده حتى كان من أمره ما كان، فلما أخرج يوسف القميص من التميمة وجد يعقوب ريحه…”
Ertinya: Ketika Ibrahim dilempar ke dalam api, Jibril datang membawakan baju dari syurga dan memakaikannya. Baju itu diwariskan hingga akhirnya dipakaikan kepada Yusuf, dan ketika Yusuf mengirimkan baju itu, Ya’qub dapat mencium baunya.

3. Dalam “تفسير المنير” oleh Wahbah az-Zuhaili رَحِمَهُ اللَّهُ:

“أما قوله: ﴿اذهبوا بقميصي هذا فألقوه على وجه أبي، يأت بصيرا﴾ فإن نمروذ الجبار، لما ألقى إبراهيم في النار، نزل عليه جبريل بقميص من الجنة… فكسا إبراهيم ذلك القميص إسحاق، وكساه إسحاق يعقوب، وكساه يعقوب يوسف…”
Ertinya: Ketika Ibrahim dilempar ke dalam api, Jibril membawakan baju dari syurga, lalu diwariskan hingga sampai kepada Yusuf.

4. Dalam “البحر المديد” dan “اللباب في علوم الكتاب” juga disebutkan riwayat bahawa baju itu adalah baju Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari syurga yang diwariskan hingga ke Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Kesimpulannya, banyak riwayat dan pendapat ulama tafsir yang menyatakan bahawa baju yang dikirim Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah baju dari syurga, awalnya diberikan kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ketika baginda dilempar ke dalam api, lalu diwariskan kepada Nabi Ishaq عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dan akhirnya kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Namun, sebahagian ulama juga menegaskan bahawa sanad riwayat-riwayat ini lemah dan tidak boleh dipastikan kebenarannya secara mutlak. Kadang kita masukkan riwayat yang lemah kerana memang ia ada disebut di dalam kitab-kitab tafsir dan kita nyatakanlah kelemahannya itu.

Terdapat satu lagi refleksi indah yang tersembunyi pada bau baju tersebut. Baju pertama yang dibawa oleh abang-abangnya berbau darah, simbol kematian, kekejaman, dan penipuan. Bau itu menutupi kebenaran. Sebaliknya, baju ketiga yang dihantar oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membawa bau yang sangat berbeza: bau peluhnya sendiri. Bau peluh melambangkan kehidupan, kerja keras, perjuangan, dan keaslian. Ia adalah bau seorang insan yang telah melalui pelbagai ujian tetapi tidak pernah kehilangan jati dirinya. Ini disahkan kemudiannya apabila Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, sebelum kafilah itu tiba lagi, berkata, “Sesungguhnya aku tercium bau Yusuf.” Baginda tidak berkata “bau minyak wangi diraja Mesir.”

Ini adalah satu isyarat yang halus tetapi kuat bahawa keperibadian Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang sebenar tidak pernah berubah. Walaupun setelah mencapai kedudukan yang tinggi di Mesir, beliau tetaplah Yusuf yang sama—anak yang dikasihinya, yang dikenali melalui bau keasliannya, bukan kemewahan pangkatnya. Penulis teringat tentang kisah peluh Nabi Muhammad ﷺ yang dijadikan sebagai pewangi, kerana terlalu wangi sangat. Ini seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: دَخَلَ عَلَيْنَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ عِنْدَنَا، يَعْنِي: نَامَ – وَعَرِقَ، فَجَاءَتْ أُمِّي بِقَارُورَةٍ، فَجَعَلَتْ تَسْلُتُ الْعَرَقَ فِيهَا، فَاسْتَيْقَظَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ: يَا أُمَّ سُلَيْمٍ، مَا هَذَا الَّذِي تَصْنَعِينَ؟ قَالَتْ: هَذَا عَرَقُكَ نُجْعَلُهُ فِي طِيبِنَا، وَهُوَ مِنْ أَطْيَبِ الطِّيبِ
Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: Nabi ﷺ masuk ke (rumah) kami, lalu Baginda berbaring (iaitu: tidur sebentar) di sisi kami. Kemudian Baginda berpeluh. Lalu ibuku (Ummu Sulaim رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا) datang membawa botol dan dia mula mengumpul peluh itu ke dalamnya. Apabila Nabi ﷺ bangun, Baginda bertanya: “Wahai Ummu Sulaim, apakah yang kamu lakukan ini?” Beliau menjawab: “Ini adalah peluhmu, kami menjadikannya untuk wangian kami, dan ia adalah wangian yang paling harum.”

(Sahih Muslim No. 2331)

Peristiwa yang dialami oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini adalah satu contoh jelas bagaimana dunia ghaib (yang tidak dapat dilihat) boleh berinteraksi secara langsung dengan dunia fizikal kita. Ini bukanlah sekadar wahyu di dalam hati atau mimpi. Sebaliknya, ia adalah satu pengalaman deria fizikal yang nyata. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ benar-benar menghidu bau tersebut melalui hidungnya.

Terdapat satu kaitan yang indah di sini. Dalam kesedihan yang mendalam, dada seseorang terasa sempit, seolah-olah sukar untuk bernafas. Perkataan Arab untuk nafas ialah nafas, manakala kelegaan daripada Allah ‎ﷻ ialah rawh, dan bau atau angin pula ialah rih. Ketiga-tiganya berasal daripada akar kata yang sama. Seolah-olah bau Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang dibawa oleh angin itu adalah manifestasi fizikal bagi kelegaan spiritual daripada Allah ﷻ. Udara segar yang dihirup masuk ke dalam paru-paru Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah udara kelegaan itu sendiri, yang melapangkan dadanya setelah bertahun-tahun diselubungi kesesakan.

Ini menunjukkan bahawa Allah ﷻ boleh menghantar pertolongan-Nya melalui mana-mana deria kita. Keajaiban seperti ini tidak terhad kepada para Nabi sahaja; Ashabul Kahfi turut dilindungi Allah ﷻ dengan membengkokkan sinaran matahari daripada mengenai mereka. Kadangkala kita boleh rasa di dalam hati kita yang Allah ﷻ sedang memberi pertolongan kepada. Kita tidak dapat jelaskan kepada orang lain, tetapi kita tahu yang bantuan sedang datang. Itu adalah ilham daripada Allah ﷻ. Kerana itu kita tidak tolak ada orang yang mukmin dan hati sentiasa dengan Allah ﷻ ada diberi karamah oleh Allah ﷻ. Namun jangan pula kita percaya dengan karamah kononnya para wali. Kadang-kadang bukan karamah pun. 

Ujian Allah : Bila yang Mudah Menjadi Mustahil, dan yang Mustahil Menjadi Mudah

Satu ironi besar dalam kisah ini ialah bagaimana Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak menerima sebarang berita tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ selama berpuluh-puluh tahun, walaupun mereka berada di Mesir, negeri yang tidak begitu jauh. Namun, ketika kelegaan hampir tiba, baginda dapat menghidu bau baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari jarak yang sangat jauh. Saintis pun tidak dapat menjelaskan lagi kenapa ini boleh berlaku. Ini mendedahkan satu prinsip agung tentang takdir Allah: apabila Allah ‎ﷻ menguji seseorang, jalan yang paling mudah boleh menjadi mustahil; dan apabila Allah ‎ﷻ ingin memberi kelegaan, jalan yang paling mustahil boleh menjadi sangat mudah.

Kita melihatnya dalam kehidupan seharian. Ada orang yang mempunyai kelayakan cemerlang dan resume yang hebat tetapi masih sukar mendapatkan pekerjaan. Manakala orang lain yang kurang berkelayakan pula mendapatkannya dengan begitu mudah. Kisah ini mengajar kita bahawa kesenangan dan kesusahan kedua-duanya adalah bentuk ujian. Nabi Muhammad ﷺ diperintahkan untuk bertasbih (mengingati kesempurnaan Allah ‎ﷻ) semasa waktu susah di Makkah, dan diperintahkan melakukan perkara yang sama semasa waktu senang ketika pembukaan kota Makkah. Maknanya sama sahaja tasbih Nabi ﷺ di dalam dua keadaan ini. Ini menunjukkan bahawa seorang mukmin sentiasa kembali kepada Allah ﷻ dalam apa jua keadaan, susah atau senang. Maka bagi seorang Mukmin, tidak akan menyalahkan-Nya ketika diuji dan tidak berbangga diri ketika diberi nikmat. Kerana kesenangan dan masalah itu diangkat bukannya kita, tetapi Allah ﷻ! 

 

لَولَآ أَن تُفَنِّدُونِ

sekiranya kamu tidak menuduhku lemah akal

Baginda berkata itu kepada mereka yang sedang bersamanya, iaitu ahli keluarganya yang selain daripada abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Ini kerana abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sedang berada di Mesir lagi ketika itu. Mungkin para isteri mereka dan anak-anak mereka. Baginda kata, mereka mungkin kata baginda sudah nyanyuk sebab boleh dapat rasa pula bau baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Kalaulah mereka tidak menuduh baginda tidak nyanyuk, tentu mereka pun akan percaya dan akan gembira juga. Kenapa Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebut begini? Agak menyedihkan kerana baginda tentu sebut begini kerana anak menantu dan cucunya itu sudah biasa mengatakan begitu kepada baginda. Mereka telah memandang baginda sebagai seorang yang nyanyuk.

Kalimah تُفَنِّد daripada kata dasar ف ن د yang bermaksud menjadi lemah fikiran; melakukan kesilapan; nyanyuk (orang tua, terutamanya yang telah menjadi lemah secara fizikal atau yang keupayaan mentalnya telah menurun). digunakan terhadap orang yang sudah nyanyuk, sudah lemah akalnya. Jadi kalimah تُفَنِّد bermaksud menuduh seseorang sebagai nyanyuk.

Ada pendapat yang mengatakan yang kalaulah mereka tidak menuduh yang baginda sudah nyanyuk, tentu mereka pun dapat cium juga. Akan tetapi sebaliknya, ayat ini menunjukkan bahawa Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyedari bahawa apa yang baginda alami (iaitu dapat menghidu bau Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari jarak jauh) adalah sesuatu yang luar biasa dan sukar dipercayai oleh orang lain. Oleh itu, baginda berkata, “Kalau bukan kerana kamu akan menuduhku lemah akal (nyanyuk atau berkhayal), pasti aku akan nyatakan dengan yakin bahawa aku benar-benar menghidu bau Yusuf“. Para mufassir menjelaskan bahawa peristiwa ini adalah satu keistimewaan atau mukjizat yang Allah ‎ﷻ kurniakan khusus kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, bukan sesuatu yang boleh dialami oleh orang lain di sekelilingnya. Mereka yang bersama Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak dapat menghidu bau itu, dan sebab itulah mereka menuduh baginda masih dalam “kesesatan lamanya” kerana terlalu berharap kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Jadi pendapat yang mengatakan mereka pun sepatutnya boleh menghidunya agak lemah. Baginda berkata begini kerana tahu sikap mereka terhadap baginda. Sebagai contoh, dalam tafsir al-Wasith oleh Wahbah az-Zuhaili رَحِمَهُ اللَّهُ disebut:

“أشعره الله به… إذ حملته إليه ريح الصبا… قال يعقوب… لأهله: إني لأشم رائحة يوسف وقميصه، لولا أن تنسبوني إلى الفند (أي الخرف وضعف العقل) والكبر.”
Maksudnya, Allah yang memperdengarkan atau memperlihatkan bau itu kepada Ya’qub, dan baginda berkata demikian kerana bimbang dituduh nyanyuk atau lemah akal

Terdapat satu kontras yang sangat tajam dan menyayat hati dalam kisah ini. Pada saat yang sama Allah ‎ﷻ sedang memuliakan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan satu mukjizat agung, keluarganya sendiri pula sedang menghinanya dengan kata-kata yang tajam. Ketika meluahkan kegembiraannya, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata dengan penuh berhati-hati: Kalaulah bukan kerana kamu akan menganggapku nyanyuk dan tidak siuman.” Perkataan “tufannidun” (تُفَنِّدُونِ) jauh lebih dalam daripada sekadar “nyanyuk”. Ia membawa beberapa lapisan makna yang menyakitkan:

1. Ia merujuk kepada bahagian cenuram gunung yang lemah dan akan menjadi yang pertama pecah dan jatuh jika berlaku gempa bumi.

2. Ia juga merujuk kepada dahan pokok yang rapuh yang mudah dipatahkan, berbeza dengan batangnya yang kukuh.

3. Secara kiasan, ia bermaksud menganggap seseorang itu bukan lagi seorang insan yang utuh, tetapi sekadar sisa-sisa atau “cengkerang kosong” daripada dirinya yang dahulu.

Jadi, ketika Allah ‎ﷻ fmemuliakannya dengan memberi berita dengan perjumpaan dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, orang-orang di sekelilingnya menganggapnya sebagai bahagian yang lemah dan tidak berguna, yang kata-katanya tidak bernilai sama sekali. Ini mengajar kita yang kemuliaan bukan di tangan manusia tetapi di tangan Allah. Kadang-kadang manusia memandang kita hina, akan tetapi asalkan Allah ‎ﷻ memandang kita mulia, tidak kisahlah dengan kata-kata manusia. Manusia ramainya bukan pandai dan berilmu pun, jadi buat apa kisah dengan mereka? Kata-kata Saidina Umar bin Al-Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang paling masyhur dan bertepatan dengan maksud ini adalah:

“نَحْنُ قَوْمٌ أَعَزَّنَا اللَّهُ بِالْإِسْلَامِ، فَمَهْمَا نَطْلُبُ الْعِزَّةَ بِغَيْرِ مَا أَعَزَّنَا اللَّهُ بِهِ أَذَلَّنَا اللَّهُ”
“Kita adalah kaum yang Allah muliakan dengan Islam. Maka bila-bila masa kita mencari kemuliaan dengan selain daripada apa yang Allah telah muliakan kita dengannya, nescaya Allah akan menghinakan kita.”

Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidaklah mengharapkan penghargaan dan kemuliaan daripada keluarga baginda, kerana baginda telah mendapat kemuliaan daripada Allah ‎ﷻ. Akan tetapi apa yang mereka kata dan buat terhadap baginda itu sedikit sebanyak tentulah memberi kesan kepada hati baginda, bukan? Namun baginda tetap yakin dengan berita yang Allah ‎ﷻ telah berikan itu. Ini penting kerana kalau kita tidak berhati-hati dengan akal kita, kata-kata manusia lain boleh mempengaruhi fikiran kita. Ini tidaklah terjadi kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana baginda  yakin dengan janji Allah ‎ﷻ kerana pertalian baginda dengan Allah ‎ﷻ sangat kuat.

Pengajaran Penting Daripada Ayat 94

Berikut adalah senarai pengajaran penting yang boleh diambil daripada ayat ini, yang menumpukan terutamanya pada mukjizat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menghidu bau Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari jarak jauh dan reaksi keluarganya:

I. Pengajaran Mengenai Kelegaan, Iman, dan Pertolongan Allah ‎ﷻ

Kelegaan Tidak Tunggu Masalah Selesai: Kelegaan daripada Allah ‎ﷻ (keredhaan, rawh) tidak semestinya tiba apabila masalah kita hampir selesai. Allah ‎ﷻ boleh menghantar tanda-tanda kelegaan (seperti bau, rih) pada detik pertama kita memulakan langkah ke arah penyelesaian, bertujuan untuk menenangkan hati dan menguatkan iman kita sepanjang perjalanan yang masih panjang.

Balasan Bagi Sangkaan Baik: Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sentiasa bersangka baik bahawa anaknya, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, masih hidup. Hasil daripada sangkaan baik ini, Allah ‎ﷻ memberikan berita awal kepada baginda sebelum pertemuan sebenar.

Manifestasi Pertolongan Allah ‎ﷻ Melalui Deria: Peristiwa ini adalah contoh jelas bagaimana dunia ghaib boleh berinteraksi secara langsung dengan dunia fizikal kita. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ benar-benar menghidu bau tersebut melalui hidungnya, menunjukkan bahawa Allah ﷻ boleh menghantar pertolongan-Nya melalui mana-mana deria kita.

Penyembuhan Spiritual Melapangkan Dada: Bau Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang dibawa oleh angin adalah manifestasi fizikal bagi kelegaan spiritual (rawh) daripada Allah ﷻ. Udara segar yang dihirup masuk ke dalam paru-paru Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah udara kelegaan itu sendiri, yang melapangkan dadanya setelah bertahun-tahun diselubungi kesesakan.

Mukjizat sebagai Kurniaan Khusus: Keupayaan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mencium aroma baju dari jarak jauh adalah mukjizat dan kurnia khusus daripada Allah ﷻ kepada para nabi-Nya, bukan kerana kemampuan manusiawi biasa.

II. Pengajaran Mengenai Hubungan Kekeluargaan dan Adab

Kasih Sayang Ibu Bapa: Peristiwa ini mengajar kita bahawa ibu bapa lebih menyayangi anak daripada anak itu menyayangi ibu bapanya. Oleh itu, kita tidak boleh membiarkan ibu bapa kerinduan lama-lama, sebaliknya perlu kerap menelefon mereka kerana mereka suka sahaja.

Bahaya Pewarisan Adab Buruk: Adab buruk yang tidak dibendung dalam satu generasi akan bermutasi dan merebak menjadi sesuatu yang lebih buruk kepada generasi seterusnya. Cucu-cucu Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menghina datuk mereka secara berdepan kerana mereka telah terbiasa mendengar bapa-bapa dan suami mereka mengutuk datuk mereka di belakang.

Anak-Anak Meniru Ibu Bapa: Anak-anak akan meniru perbuatan dan amalan kita; mereka belajar daripada kita walaupun kita tidak berniat mengajar mereka, kerana mereka melihat ibu bapa sebagai contoh. Justeru, kita perlu berhati-hati dengan tingkah laku di hadapan mereka.

Jangan Gunakan Anak untuk Memusnahkan Keluarga: Jangan sekali-kali menggunakan anak-anak sebagai alat untuk menjatuhkan maruah ahli keluarga lain (seperti menghina pasangan, datuk, atau bapa saudara). Ini sama seperti kaum Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang mengajar anak-anak mereka untuk mengutuk Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Pentingnya Keaslian Diri: Bau peluh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pada baju (bukan bau minyak wangi diraja Mesir) melambangkan kehidupan, kerja keras, perjuangan, dan keaslian. Ini isyarat bahawa keperibadian Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang sebenar tidak pernah berubah, dan baginda tetap dikenali melalui bau keasliannya, bukan kemewahan pangkatnya.

III. Pengajaran Mengenai Kemuliaan dan Penyakit Hati

Kemuliaan di Sisi Allah ‎ﷻ: Kemuliaan sejati seseorang datang daripada hubungannya dengan Allah ‎ﷻ, bukan daripada pengiktirafan atau kata-kata hinaan orang sekeliling. Pada saat Allah ‎ﷻ memuliakan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan mukjizat, keluarganya pula menghina baginda, menunjukkan bahawa kemuliaan bukan di tangan manusia tetapi di tangan Allah.

Kesan Kata-kata Negatif: Kata-kata hinaan (seperti menuduh nyanyuk, tufannidun) boleh memberi kesan kepada hati walaupun kita yakin dengan janji Allah ‎ﷻ. Kita perlu berhati-hati agar kata-kata manusia lain tidak mempengaruhi fikiran kita, dan pertalian dengan Allah ‎ﷻ perlu sangat kuat untuk mengatasi pengaruh ini.

Penyakit Hati (Tidak Tahan Melihat Kebahagiaan): Reaksi tajam dan sinis keluarga Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menunjukkan sejenis penyakit hati. Terdapat segelintir manusia yang tidak boleh tahan melihat kebahagiaan, ketenangan, atau kelegaan pada orang lain, dan berasa terdesak untuk melontarkan komen negatif untuk merosakkan detik tersebut.

Bahaya Mentaliti Kumpulan dan Berdiam Diri: Apabila budaya membuli atau merendah-rendahkan berleluasa (seperti dalam keluarga Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ), orang yang baik selalunya akan memilih untuk berdiam diri kerana takut menjadi sasaran seterusnya. Dalam Islam, sikap berdiam diri dan hanya menjadi pemerhati kepada kezaliman juga dikira sebagai satu kesalahan.

Kewajipan Bersuara Menentang Kezaliman: Orang yang beriman perlu bersuara menentang kezaliman, walaupun ia mungkin mendatangkan kesusahan. Membiarkan kezaliman berlaku tanpa bantahan hanya akan membuatkan ia terus subur.

Sebagai refleksi, kita perlu bertanya kepada diri sendiri, adakah kita menjadi sumber kelegaan bagi orang lain, atau kita menjadi punca yang memadamkan harapan mereka?. Sepertimana kata-kata, “Kalau tidak boleh jadi garam untuk mengawet ikan, sekurang-kurangnya jangan jadi ulat yang menyebabkan ikan itu jadi busuk”

Kuiz Pemahaman

Jawab setiap soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan konteks yang diberikan.

1. Bilakah Nabi Ya’qub mula menghidu bau Nabi Yusuf, dan apakah kepentingan masa tersebut?

2. Apakah makna perkataan Arab “fasala” (فَصَلَ) dan bagaimana ia menggambarkan detik kelegaan daripada Allah?

3. Apakah dua tafsiran utama yang diberikan mengenai bagaimana Nabi Ya’qub dapat menghidu bau Nabi Yusuf dari jarak yang begitu jauh?

4. Apakah asal-usul baju Nabi Yusuf yang dikirimkan kepada ayahnya menurut beberapa riwayat ulama, dan apakah status kesahihan riwayat-riwayat ini?

5. Bandingkan simbolisme antara baju pertama yang dibawa oleh abang-abang Nabi Yusuf dengan baju ketiga yang dihantar oleh Nabi Yusuf sendiri.

6. Apakah kaitan antara perkataan Arab untuk nafas (nafas), kelegaan (rawh), dan bau/angin (rih), dan bagaimana ia berkaitan dengan pengalaman Nabi Ya’qub?

7. Jelaskan makna mendalam di sebalik perkataan “tufannidun” (تُفَنِّدُونِ) yang digunakan oleh Nabi Ya’qub.

8. Siapakah yang memberikan reaksi sinis terhadap Nabi Ya’qub, dan apakah pengajaran yang boleh diambil daripada sikap mereka?

9. Bagaimanakah teks ini menjelaskan konsep “mentaliti kumpulan” (mob mentality) dalam konteks keluarga Nabi Ya’qub?

10. Apakah ironi yang terkandung dalam penggunaan lafaz sumpah “Tallahi” (Demi Allah) oleh keturunan Nabi Ya’qub?

Glosari Istilah Utama

Istilah
Definisi Berdasarkan Teks
Fasala (فَصَلَ)
Perkataan Arab yang bermaksud “terpisah” atau “tercabut.” Ia digunakan untuk menggambarkan detik kafilah itu mula bergerak, menekankan bahawa kelegaan Allah tiba pada permulaan penyelesaian, bukan di penghujungnya.
Lam Taukid
Unsur tatabahasa Arab (huruf Lam) yang digunakan untuk penekanan atau pengukuhan. Kehadirannya dalam لَأَجِدُ menunjukkan keyakinan penuh Nabi Ya’qub bahawa baginda benar-benar menghidu bau Yusuf, bukan sekadar syak wasangka.
Fi’il Mudhari’
Bentuk kata kerja dalam bahasa Arab yang menunjukkan perbuatan yang sedang atau akan berlaku secara berterusan. Penggunaan bentuk ini dalam لَأَجِدُ memberi isyarat bahawa Nabi Ya’qub berterusan menghidu bau tersebut, bukan sekali sahaja.
Mukjizat
Satu keistimewaan atau peristiwa luar biasa yang Allah kurniakan kepada para Nabi sebagai tanda kebesaran-Nya. Kemampuan Nabi Ya’qub menghidu bau dari jarak jauh dianggap sebagai salah satu mukjizat.
Ilmu Ghaib
Pengetahuan mengenai perkara-perkara yang tidak dapat dilihat atau diketahui oleh manusia biasa. Teks ini menjelaskan bahawa para Nabi hanya mengetahui perkara ghaib jika Allah menghendaki dan memberitahukannya.
Karamah
Keistimewaan atau kejadian luar biasa yang Allah berikan kepada hamba-Nya yang mukmin dan soleh, tetapi bukan seorang Nabi. Teks ini menyebut kemungkinan wujudnya karamah tetapi memberi amaran agar tidak mudah percaya kepada dakwaan karamah para wali.
Tufannidun (تُفَنِّدُونِ)
Berasal dari kata dasar ف ن د, ia membawa maksud menuduh seseorang lemah akal, nyanyuk, atau tidak lagi utuh fikirannya. Secara kiasan, ia merujuk kepada sesuatu yang rapuh seperti dahan pokok atau bahagian cenuram yang mudah pecah.
Rawh, Rih, Nafas
Tiga perkataan Arab daripada akar kata yang sama. Rawh bermaksud kelegaan, rih bermaksud bau atau angin, dan nafas bermaksud nafas. Kaitan ini menggambarkan bagaimana bau (rih) yang dibawa angin menjadi manifestasi fizikal kelegaan (rawh) yang melapangkan dada.
Ḍalāl (ضَلَال)
Dalam konteks ayat 95 (ضَلَالِكَ الْقَدِيمِ), ia tidak bermaksud kesesatan dalam agama, tetapi merujuk kepada “kekeliruan” atau “kesilapan” dalam fikiran, khususnya sangkaan keluarga baginda bahawa Nabi Ya’qub masih terlalu berharap kepada Yusuf.
Mentaliti Kumpulan
(Mob mentality) Sikap di mana individu dalam sebuah kumpulan memilih untuk mengikut atau berdiam diri terhadap tindakan majoriti, walaupun tindakan itu salah. Dalam kisah ini, ia merujuk kepada ahli keluarga yang baik tetapi tidak berani membela Nabi Ya’qub kerana takut menjadi sasaran buli seterusnya.
Tallahi (تَٱللَّهِ)
Lafaz sumpah dalam bahasa Arab yang bermaksud “Demi Allah.” Ia digunakan oleh keluarga Nabi Ya’qub untuk menegaskan tuduhan mereka, yang merupakan satu ironi kerana lafaz yang sama pernah digunakan oleh moyang mereka, Nabi Ibrahim, untuk menentang kebatilan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 17 Disember 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 93 (Kehebatan Baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?)

Yusuf Ayat 93: Setelah selesai dengan abang-abangnya, sekarang isu bapanya pula perlu diselesaikan.

ٱذهَبُواْ بِقَمِيصِى هَـٰذَا فَأَلقُوهُ عَلَىٰ وَجهِ أَبِى يَأتِ بَصِيرًا وَأتُونِى بِأَهلِڪُم أَجمَعِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Take this, my shirt, and cast it over the face of my father; he will become seeing. And bring me your family, all together.”

(MALAY)

Pergilah kamu dengan membawa bajuku ini, lalu letakkanlah ia ke wajah ayahku, nanti dia akan melihat kembali; dan bawalah keluargamu semuanya kepadaku”.

 

اذهَبوا بِقَميصي هٰذا

Pergilah kamu dengan membawa bajuku ini,

Mereka telah berbaik-baik antara adik beradik. Lupakan kisah yang lalu, sekarang masa untuk mereka memperbaiki hubungan yang telah lama terputus itu. Maka tentulah mereka telah menceritakan apa yang terjadi kepada bapa mereka, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sekarang baru Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tahu yang bapanya itu sudah buta matanya dek kerana kesedihan yang amat sangat. Selepas bertanya khabar, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ suruh mereka membawakan bajunya pulang ke Kan’an kerana baginda yakin bapa mereka itu sudah tentu teramat rindu dan teringin sangat hendak menemui baginda. Namun begitu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengirim bajunya sahaja dahulu.

Dalam Al-Qur’an, objek-objek yang kelihatan biasa selalunya membawa makna simbolik yang luar biasa mendalam. Sebatang tongkat boleh membelah lautan, dan seekor burung boleh menyampaikan mesej kenabian. Dalam surah yang agung ini, salah satu objek yang paling menonjol ialah sehelai baju. Ia muncul berulang kali pada titik-titik penting dalam perjalanan hidup Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Jadi kisah ini bukan tentang sehelai baju atau kain, tetapi tiga helai baju yang berbeza, setiap satunya menjadi saksi kepada episod-episod penipuan, ujian, dan akhirnya, penebusan. Makna yang tersembunyi di sebalik tiga helai baju ini, membuktikan bahawa setiap benang dalam penceritaan Al-Qur’an ditenun dengan tujuan Ilahi.

Ulangkaji: Ini merupakan kali ketiga baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjadi topik kisah. Pertama kali setelah baginda dibuang ke dalam telaga dan abang-abangnya membawa bajunya yang dilumur darah; kali kedua adalah ketika ditarik sehingga koyak oleh isteri Al-Aziz. Baju pertama dan baju ketiga ini memang melibatkan abang-abang ini. Ringkasnya:

Baju 1: ketika baginda ditinggalkan di dalam telaga
Baju 2: ketika dikoyakkan di belakang oleh seorang perempuan kehilangan akal
Baju 3: yang dibawa kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Perbezaan antara baju pertama dan baju ketiga dalam kisah ini amat ketara dan penuh dengan keadilan puitis. Baju pertama ialah baju yang dilumurkan dengan darah palsu oleh abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ia menjadi ‘senjata’ mereka iaitu sebagai ‘alat’ untuk menipu bapa mereka dan menyebabkan kesedihan yang berpanjangan. Ia adalah simbol pengkhianatan dan kejahatan. Bertahun-tahun kemudian, abang-abang yang sama, kini dalam keadaan malu dan rendah diri, terpaksa membawa baju ketiga kepada bapa mereka. Bayangkan perasaan malu yang menyelubungi mereka ketika itu. Abang-abang yang dahulunya angkuh kini terpaksa menundukkan wajah, membawa bukti kebenaran yang sekaligus mendedahkan pembohongan mereka selama berdekad-dekad. Senjata yang pernah mereka gunakan untuk menyakiti kini menjadi penawar yang mesti mereka sampaikan sendiri. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ boleh sahaja mengirimkan benda lain tetapi baginda memilih untuk memberi baju kerana baju yang pertama digunakan telah memberi kesedihan kepada bapa mereka, dan kali ini ternyata baju jugalah yang akan menggembirakannya. Abang-abang itu menggunakan baju, maka baginda pun menggunakan baju juga. Kali pertama dulu, abang-abang itu yang berkuasa, kali ini baginda pula yang berkuasa. 

Lebih mengagumkan lagi adalah tindakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda tidak menuntut bela atau mengungkit kisah lama. Sebaliknya, baginda memilih untuk memberi bajunya sebagai hadiah. Ini adalah tindakan membalas kejahatan dengan kebaikan, satu pelajaran agung tentang cara menyembuhkan permusuhan, bukan membalas dendam. Ia menunjukkan kebesaran hati seorang manusia yang memilih pengampunan sebagai jalan penyembuhan.

Pengampunan itu sendiri adalah penyembuhan. Ia bukan sekadar untuk orang lain, tetapi juga untuk diri kita sendiri. Jika kita terus menyimpan perasaan dendam di atas apa yang orang lain lakukan terhadap kita, ia hanya menyakiti kita, ia akan menghalang kita daripada meneruskan kehidupan.

Jika baju pertama dan ketiga menjadi bingkai kepada sebuah kisah penipuan dan penebusan, baju kedua yang muncul di tengah-tengah ujian Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menawarkan pengajaran yang sangat moden. Baju ini (yang terkoyak dari belakang semasa baginda cuba melarikan diri daripada godaan isteri al-Aziz) membawa pengajaran tentang bahaya membuat kesimpulan terburu-buru berdasarkan bukti yang tidak lengkap.

Bayangkan jika butiran penting “terkoyak dari belakang” diabaikan. Tajuk berita mungkin akan berbunyi: “Baju Yusuf Terkoyak Dalam Pergelutan Dengan Isteri Tuan Rumah.” Tanpa konteks penuh, orang ramai akan dengan mudah memfitnah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini sangat berkait rapat dengan budaya media sosial moden, di mana orang ramai terlalu cepat menghukum berdasarkan tajuk berita atau klip video pendek tanpa menganalisis konteks penuh. Kadang kita membuat keputusan tanpa tahu berita penuh kerana kita hendak cepat sahaja. Sedangkan bila kita dapat maklumat tambahan, barulah kita sedar: ‘Owhhhh, sebab itulah begini dan begitu’. Kadang kita terlalu percaya kepada kata-kata orang yang ‘rapat’ seperti ahli keluarga. Akan tetapi kita pun sudah lihat bagaimana abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun menipu tentang baginda. Maknanya ahli keluarga pun kita tidak boleh dipercayai. Jadi jangan cepat sangat buat konklusi dengan berita yang sedikit. 

Namun begitu, Al-Qur’an memberikan kita penawar kepada sikap terburu-buru ini melalui contoh yang paling berkesan iaitu melalui Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri. Apabila abang-abangnya membawa baju pertama yang berlumuran darah, apakah yang dilakukan oleh sang bapa? Baginda tidak terus percaya. Sebaliknya, baginda menganalisis bukti itu dengan teliti, melihat koyakan yang tidak logik dan darah yang mencurigakan, lantas menyedari penipuan mereka. Ini mewujudkan satu perbezaan yang amat jelas: Kewajipan seorang yang beriman dan bijak untuk meneliti bukti dengan cermat berbanding kecenderungan orang ramai untuk mengutuk tanpa usul periksa. Ini termasuklah berita yang dibawakan entah dari mana, janganlah terus percaya tetapi tabayyun dahulu. Jangan terus tibayyun pula seperti yang ramai kita lakukan. Ingat firman Allah ‎ﷻ di dalam Hujurat:6

يَـٰٓأَيُّہَا الَّذينَ ءآمَنوا إِن جاءَكُم فاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنوا أَن تُصيبوا قَومًا بِجَهالَةٍ فَتُصبِحوا عَلىٰ ما فَعَلتُم نٰدِمينَ
Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum kerana kejahilan yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.

Satu lagi yang menarik tentang Baju 1 adalah ia telah menimbulkan permasalahan selama bertahun-tahun. Keberadaan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak dapat dipastikan hidup atau mati, dan kalau hidup, di mana? Ia diselesaikan dengan Baju 3 apabila baju yang ada bau Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sampai kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sekarang perhatikan Baju 2. Dengan melihat kepada kedudukan koyak baju itu (di belakang) ia menyelesaikan satu permasalahan dengan segera (siapa yang mengejar?). Akan tetapi kesannya apa? Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah terbukti tidak bersalah, namun dengan pembuktian itu apa kesannya? Baginda dimasukkan juga ke dalam penjara, bukan?

Apakah pengajarannya? Kadangkala penyelesaian masalah dengan segera pun tidak bagus kerana kesannya mungkin tidak seperti yang kita harapkan. Kadang-kadang kita hendak cepat sahaja tanpa memikirkan kesannya kepada orang lain kerana orang lain mungkin tidak suka. Sedangkan kalau kita bersabar, penyelesaian yang tuntas kita akan dapat. Boleh faham?

Kita sudah sampai ke bahagian hujung kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini dan kita boleh melihat perkembangan kisah pada kisah baju-baju ini. Baju 1 baginda dimalukan dengan diambil baju baginda dari tubuh baginda; dan baginda telah ditinggalkan. Baju 2 juga begitu, baginda dimalukan dengan bajunya dikoyak dan selepas itu baginda ditinggalkan di dalam penjara. Malu dan ditinggalkan adalah tema dua baju yang pertama. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak boleh berbuat apa-apa kerana baginda lemah dan tidak ada kuasa. Namun begitu, segalanya berubah pada Baju 3 kerana ketika itu baginda sudah memiliki kuasa dan kemuliaan yang tidak boleh digugat. Dalam kisah Baju 1 & 2, baginda dipisahkan (daripada keluarga dan dari rumah tempat tinggalnya) dan pada Baju 3 ini baginda menggunakannya untuk menyatukan keluarga mereka kembali. Maka bukan sahaja baju diberikan, baginda juga telah mengajak ahli keluarganya datang.

Apakah baju yang diberikan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada bapanya itu? Mungkin baju kebesaran baginda sebagai Al-Aziz Mesir. Yang baju itu dahulunya dipegang oleh Al-Aziz tuannya yang telah membesarkannya namun kemudian menzaliminya dengan meletakkan baginda di dalam penjara. Kedudukan keluarga itu telah diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Jadi sama sahaja kisah Baju 1 & 2. Orang yang mengambil maruah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diganti Allah ‎ﷻ dengan memberikan kedudukan kepada baginda. Abang-abangnya sekarang tunduk di bawah arahan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan begitu juga keluarga Al-Aziz yang telah berlaku zalim kepada baginda. Mereka juga tentu tunduk dengan baginda sekarang sedangkan dahulu merekalah yang bermudah-mudah dengan tubuh badan baginda. Begitulah Allah ﷻ boleh mengubah kedudukan manusia. Jadi jangan kita sangka yang kita pasti di atas. Kena sentiasa beringat yang entah orang yang kita tindas itu akan menguasai kita di kemudian hari!

 

فَأَلقوهُ عَلىٰ وَجهِ أَبي

lalu letakkanlah ia ke wajah bapaku,

Kali ini kita lihat ada lagi kisah baju baginda. Sekarang baju baginda lagi digunakan untuk mengubati bapanya. Baginda mengarahkan supaya dibawakan baju baginda dan letak ke muka bapanya. Namun begitu perkataan yang digunakan di sini adalah ألق yang biasanya digunakan untuk ‘lempar’. Takkanlah dilemparkan ke muka bapanya pula? Bukankah kurang ajar perbuatan itu?

Benar, kalimah “فَأَلقُوهُ” secara literal memang bermakna “melemparkan” atau “merelakan sesuatu keluar dari tangan ke suatu tempat”, sebagaimana dijelaskan dalam banyak kitab tafsir dan kamus bahasa Arab klasik. Dalam konteks ayat Yusuf 93 ini, makna “melemparkan” di sini adalah “meletakkan dengan sungguh-sungguh” atau “menempelkan” baju Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke wajah bapanya, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, agar mukjizat Allah ﷻ terjadi dan penglihatannya kembali. Penjelasan para ulama menyebutkan bahawa kalimah “الإلقاء” (al-ilqā’) memang dasarnya adalah “melemparkan” atau “mengeluarkan sesuatu dari tangan ke arah bawah atau ke tempat tertentu”. Namun, dalam penggunaan bahasa Arab, kata ini juga boleh bermakna “meletakkan” atau “menyampaikan” sesuatu dengan tujuan tertentu, tidak semestinya dengan kekerasan atau dari jarak jauh. Kata “alqa” dalam bahasa Arab sering digunakan untuk menunjukkan tindakan meletakkan sesuatu dengan sengaja dan penuh makna, bukan sekadar menaruh biasa. Oleh itu, dalam ayat ﴾فَأَلْقُوهُ عَلَىٰ وَجْهِ أَبِي﴿, maksudnya adalah “letakkanlah baju ini di wajah bapaku”. Jadi, meskipun secara literal “فَأَلقُوهُ” bererti “lemparkanlah”, dalam konteks ayat tersebut maknanya adalah “letakkanlah” atau “tempelkanlah” baju itu di wajah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, bukan melemparkan dalam erti kasar atau dari jarak jauh. Ini adalah bentuk penggunaan bahasa Arab yang luas dan kaya maknanya, di mana satu kalimah boleh bermakna berbeza mengikut konteks kalimatnya.

Dalam arahan yang diberikan kepada abang-abangnya, terdapat nuansa emosi yang sangat mendalam. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata, “letakkanlah ia ke muka bapaku (أَبي).” Penggunaan perkataan “bapaku” dan bukannya “bapa kamu” atau “bapakita” adalah sangat signifikan. Ia adalah luahan kerinduan yang mendalam seorang anak yang telah terpisah daripada ayahnya sejak kecil. Bayangkan seorang anak kecil yang kembali bertemu bapanya setelah sekian lama. Dia akan melompat dan memeluk erat, menolak adik-beradik yang lain sambil menjerit, “Ayah saya! Milik saya!” Itulah emosi mentah yang terkandung dalam satu perkataan itu. Setelah bertahun-tahun menahan rindu, kini baginda berhak untuk ‘menuntut kembali’ ikatan istimewa itu dengan penuh kasih.

Terdapat ironi yang puitis di sini. Di awal surah, niat abang-abangnya adalah untuk menyingkirkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ supaya يَخلُ لَكُم وَجهُ أَبِيكُم  (muka bapa kamu tertumpu kepadamu semata-mata) iaitu disebut di dalam Ayat 9.  Mereka mahu merebut perhatian eksklusif bapa mereka. Kini, di penghujung kisah, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula yang dengan penuh kasih sayang mengisytiharkan ikatan eksklusif itu, menunjukkan betapa dalam dan manusiawinya perasaan baginda terhadap bapa yang amat dirinduinya.

 

يَأتِ بَصيرًا

nanti dia akan melihat kembali; 

Salah satu momen paling menakjubkan dalam surah ini ialah apabila baju ketiga Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dikatakan mampu memulihkan penglihatan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang telah kabur akibat kesedihan yang melampau. Ini bukan sekadar keajaiban yang tidak dapat dijelaskan; ia mempunyai penjelasan rasional yang amat mendalam.

Menjadi perbincangan bagaimana baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini hebat sangat sehinggakan penglihatan dapat dipulihkan. Ada yang mengatakan baju ini adalah mukjizat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ada yang mengatakan inilah baju yang dipakainya ketika di dalam telaga (tetapi tidak mungkin kerana baju baginda telah diambil oleh abang-abangnya). Ada yang mengatakan baju itu adalah asalnya baju Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang dipakai baginda ketika baginda dibakar di dalam api yang menjadi sejuk itu. Akan tetapi ini adalah pendapat yang lemah.

Berabad-abad yang lalu, Imam Fakhruddin al-Razi رَحِمَهُ اللَّهُ telah pun mengemukakan pandangan yang canggih. Beliau menjelaskan bahawa kesedihan dan trauma psikologi yang mendalam boleh memberi kesan fizikal secara langsung. Apabila punca kesedihan itu dihilangkan dan digantikan dengan kegembiraan yang amat sangat, maka kelegaan emosi itu boleh mencetuskan pemulihan fizikal. Pandangan ini selari dengan penyelidikan trauma moden, seperti yang dihuraikan dalam buku terkenal “The Body Keeps the Score” oleh Bessel van der Kolk. Beliau adalah seorang pakar psikiatri, penyelidik, dan pendidik yang terkenal di dunia dan merupakan salah seorang pakar terkemuka mengenai trauma psikologi. Konsep penyakit psikosomatik menjelaskan bagaimana trauma psikologi yang tidak diselesaikan akan “tersimpan” di dalam badan dan menjelma sebagai penyakit fizikal. Apabila sumber kesakitan emosi yang paling dalam itu disembuhkan, maka penyembuhan fizikal yang dramatik boleh berlaku. Baju Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bertindak sebagai pencetus kelegaan emosi itu, yang seterusnya memulihkan kekuatan fizikal dan penglihatan bapanya.

Kalau dahulu Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah jadi buta (atau pandangannya kabur) dek kerana sakit kesedihan tidak melihat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sekarang baginda sudah tahu yang anak kesayangannya itu masih hidup, tentu baginda hendak melihatnya, bukan? Maka Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah ada sesuatu yang diharapkan iaitu melihat dengan matanya sendiri akan keindahan anaknya itu. Maka tentulah baginda pun bersemangat untuk sembuh balik. Kita selalu baca tentang kisah orang yang mengidap penyakit barah stage 4 yang tiada harapan untuk sembuh contohnya, namun mereka melawan penyakit itu kerana mereka ada harapan untuk terus hidup dengan keluarga mereka. Begitulah sekiranya manusia mempunyai harapan, mereka akan lebih bersemangat.

Maka tindakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini bukanlah satu tekaan, tetapi manifestasi kebijaksanaan Ilahi (ta’wil al-ahadith) yang telah diberikan Allah ‎ﷻ kepadanya. Kita telah bincangkan dengan panjang lebar akan kelebihan yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ kepada baginda seperti di dalam Ayat 6,

وَكَذٰلِكَ يَجتَبِيكَ رَبُّكَ وَيُعَلِّمُكَ مِن تَأوِيلِ ٱلأَحَادِيثِ
Dan demikianlah Tuhanmu, memilih kamu (untuk menjadi Nabi) dan diajarkan-Nya kepadamu sebahagian daripada ilmu ta’wil kata-kata dan keadaan

Kita telah bincangkan yang تَأوِيلِ ٱلأَحَادِيثِ bukan setakat ta’wil mimpi sahaja tetapi baginda boleh membaca kata-kata manusia dan suasana. Maka mungkin Allah ‎ﷻ juga telah memberinya ilmu untuk memahami bahawa apabila seseorang disembuhkan secara emosi, penyembuhan fizikal akan menyusul. Ini adalah peringatan abadi bahawa kesihatan mental dan spiritual kita bukanlah sesuatu yang terpisah daripada kesihatan fizikal kita. Ini adalah satu kebenaran yang kini disahkan oleh sains moden, tetapi telah tersemat dalam wahyu sejak ribuan tahun dahulu.

Tafsir kedua: beri dahulu baju itu dan nanti bila baginda datang, baginda akan dapat lihat aku sendiri di hadapan matanya.

Kisah tiga helai baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajar kita bahawa dalam Al-Qur’an, tiada perincian yang sia-sia. Malah objek semudah sehelai pakaian boleh menjadi lautan hikmah tentang keadilan, bahaya penghakiman terburu-buru, hubungan antara jiwa dan jasad, keaslian diri, dan kasih sayang yang mendalam. Setiap motif, setiap perkataan, ditenun dengan teliti untuk menyampaikan lapisan-lapisan makna kepada mereka yang mahu merenung. Ia mendorong kita untuk melihat lebih jauh daripada permukaan. Justeru, renungkanlah: Apakah perincian-perincian kecil dalam kehidupan kita sendiri yang mungkin menyimpan pengajaran yang lebih mendalam daripada Allah ‎ﷻ jika kita sudi merenungkannya?

 

وَأتوني بِأَهلِكُم أَجمَعينَ

dan bawalah keluargamu semuanya kepadaku”.

Baginda mengarahkan mereka untuk memawa keluarga mereka semua sekali ke Mesir untuk duduk tinggal di Mesir. Ini bukan keluarga mereka sahaja, tetapi keluarga besar mereka, termasuk sepupu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan sebagainya. Dalam riwayat ada yang menyebut lebih kurang 80 orang yang datang.

Baginda teringin sangat untuk berjumpa dengan keluarga besar baginda yang selama ini baginda tidak dapat kenal dan beramah mesra. Selama berpuluh tahun baginda keseorangan sahaja. Jadi baginda hendak bertemu dengan bapa, ibu, kakak-kakak ipar, anak-anak saudara semua.

Yang banyak buat salah dengan baginda adalah abang-abang baginda. Namun ahli keluarga mereka tidak bersalah, bukan? Jadi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hendak sangat jumpa mereka. Ini adalah teguran juga kepada orang kita. Kadang-kadang kita suka sangat bermusuh dengan orang yang ada masalah dengan keluarga kita. Contohnya adik beradik ada berkelahi tetapi kita tengok anak-anak mereka pun hendak bermusuh pula! Apa bodohnya mereka ini? Yang berkelahi adalah emak dan emak saudara kamu (sebagai contoh) tetapi kamu dengan emak saudara kamu tetap ada pertalian dan kamu tidak ada masalah dengan dia, bukan? Jadi kenapa pula kamu hendak bermusuh dengan dia? Kenapa perlu hendak kurang ajar dengannya?

Frasa ﴾وَأْتُونِي بِأَهْلِكُمْ أَجْمَعِينَ﴿ ini sangat penting dalam sejarah kerana ia merupakan permulaan kepada perpindahan keluarga Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (Bani Israil) dari tanah Kana’an ke Mesir. Ini adalah satu peristiwa besar dalam sejarah Bani Israil kerana ia menjadi titik tolak kepada kewujudan mereka di Mesir. Perintah ini juga menandakan berakhirnya penderitaan dan perpisahan keluarga Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, serta bermulanya kehidupan baru yang lebih selamat dan makmur di bawah perlindungan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang ketika itu memegang jawatan tinggi di Mesir. Selepas mereka berpindah ke Mesir, keturunan mereka berkembang pesat dan akhirnya menjadi satu bangsa yang besar di sana. Ini juga menjadi latar belakang kepada kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan peristiwa keluarnya Bani Israil dari Mesir beberapa generasi kemudian. Dalam zaman Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mereka masuk ke Mesir dan nanti kita belajar di zaman Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mereka keluar dari Mesir.

 

Antara pengajaran utama yang boleh diambil daripada Yusuf ayat 93 ialah:

1. Peranan mukjizat dan kepercayaan kepada Allah ‎ﷻ
Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meminta bajunya diletakkan di wajah bapanya, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, sebagai tanda mukjizat dan kepercayaan kepada pertolongan Allah ‎ﷻ. Ini mengajar kita untuk sentiasa yakin dengan kuasa Allah ‎ﷻ dalam mengubah keadaan yang sukar

2. Permulaan hijrah Bani Israil ke Mesir
Ayat ﴾وأتوني بأهلكم أجمعين﴿ (Datanglah kepadaku bersama seluruh keluarga kamu) adalah permulaan kepada perpindahan keluarga Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke Mesir, yang menjadi titik sejarah penting bagi Bani Israil. Ia menunjukkan bagaimana perancangan Allah ‎ﷻ berlaku melalui peristiwa yang tidak disangka

3. Kepentingan menjaga maruah dan kehormatan keluarga
Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjemput seluruh keluarganya ke Mesir untuk hidup bersama dalam keadaan yang lebih baik dan terhormat, menandakan pentingnya menjaga maruah dan kebajikan keluarga.

4. Pengajaran tentang ujian dan hikmah di sebalik kesusahan
Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajar bahawa setiap ujian ada hikmahnya. Daripada penderitaan dan pengkhianatan, akhirnya Allah ‎ﷻ mengangkat darjat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan keluarganya. Ini mengajar kita untuk tidak berputus asa dalam menghadapi ujian hidup.

5. Mempercepatkan Kegembiraan
Arahan untuk membawa baju itu dengan segera menunjukkan semangat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk mempercepatkan kegembiraan dan meredakan kesedihan bapanya.

6. Pengampunan sebagai Jalan Penyembuhan
Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memilih untuk membalas kejahatan abang-abangnya dengan kebaikan, iaitu memberikan bajunya sebagai hadiah
. Pengampunan yang agung ini menunjukkan cara menyembuhkan permusuhan dan bukan membalas dendam. Memaafkan adalah penyembuhan untuk diri sendiri; menyimpan dendam hanya menyakiti diri dan menghalang kita daripada meneruskan kehidupan

7. Keadilan Puitis dan Penebusan
Baju yang pertama (dilumuri darah palsu) telah digunakan oleh abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai ‘senjata’ penipuan yang menyebabkan kesedihan berpanjangan
. Sebaliknya, baju yang ketiga menjadi penawar yang mesti mereka sampaikan sendiri kepada bapa mereka. Senjata yang pernah digunakan untuk menyakiti akhirnya menjadi alat untuk menggembirakan semula.

8. Menghindari Kesimpulan Terburu-Buru (Hasty Conclusion):
Kisah baju kedua (yang terkoyak dari belakang ketika Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ cuba melarikan diri daripada godaan isteri Al-Aziz) mengajar kita tentang
bahaya membuat kesimpulan terburu-buru berdasarkan bukti yang tidak lengkap. Ini relevan dengan budaya moden di mana orang cepat menghukum berdasarkan tajuk berita atau klip pendek tanpa menganalisis konteks penuh

9. Kewajipan Tabayyun (Meneliti Bukti)
Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak terus percaya kepada cerita abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengenai baju pertama; sebaliknya, baginda menganalisis bukti dengan teliti, menunjukkan kewajipan seorang yang beriman dan bijak untuk meneliti bukti dengan cermat
. Kita tidak boleh terus percaya berita yang datang entah dari mana, tetapi wajib tabayyun (memeriksa dengan teliti), sebagaimana yang diperintahkan dalam Surah Al-Hujurat Ayat 6

10. Pentingnya Kesabaran dalam Menyelesaikan Masalah
Penyelesaian masalah secara segera (seperti pembuktian tidak bersalah melalui baju kedua yang koyak di belakang) tidak semestinya membawa kesan yang baik atau yang diharapkan (Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetap dipenjarakan)
. Kadang-kadang, kita perlu bersabar untuk mendapatkan penyelesaian yang lebih tuntas

11. Transformasi Kedudukan dan Kekuasaan Ilahi
Kisah tiga baju menunjukkan perkembangan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada keadaan lemah, dimalukan, dan dipisahkan (Baju 1 & 2) kepada keadaan memiliki kuasa dan kemuliaan (Baju 3)
. Ini mengajar kita yang Allah ‎ﷻ boleh mengubah kedudukan manusia: orang yang menindas atau berlaku zalim kepada kita boleh tunduk di bawah kuasa kita di kemudian hari, justeru kita perlu sentiasa beringat.

12. Hubungan antara Kesihatan Emosi dan Fizikal (Penyembuhan Psikosomatik)

Pemulihan penglihatan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melalui baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menunjukkan bahawa kesedihan dan trauma psikologi yang mendalam boleh memberi kesan fizikal. Apabila punca kesedihan dihilangkan dan digantikan dengan kegembiraan yang amat sangat, kelegaan emosi itu boleh mencetuskan pemulihan fizikal. Kesihatan mental dan spiritual kita tidak terpisah daripada kesihatan fizikal kita.

13. Kuasa Harapan dalam Penyembuhan
Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang telah menjadi buta kerana kesedihan melampau, kini mempunyai harapan untuk melihat anak kesayangannya (Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) yang masih hidup, yang memberikan semangat kepadanya untuk sembuh

14. Keluasan Ilmu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Tindakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengarahkan membawa baju itu bukanlah tekaan, tetapi manifestasi kebijaksanaan Ilahi (ta’wil al-ahadith) yang membolehkannya memahami bahawa apabila seseorang disembuhkan secara emosi, penyembuhan fizikal akan menyusul

15. Menghargai Butiran Kecil
Seluruh kisah ini mendorong kita untuk melihat lebih jauh daripada permukaan dan merenungkan bahawa dalam Al-Qur’an, tiada perincian yang sia-sia, dan objek semudah sehelai pakaian boleh menyimpan lautan hikmah

16. Jangan Melanjutkan Permusuhan kepada yang Tidak Bersalah
Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajak seluruh keluarganya datang ke Mesir, termasuk ahli keluarga abang-abangnya yang tidak bersalah. Pengajaran di sini adalah kita tidak seharusnya melibatkan atau memusuhi saudara-mara atau anak-anak yang tidak bersalah hanya kerana ada konflik antara ibu bapa atau adik-beradik.

 

Sekian Ruku’ 10 daripada 12 ruku’ surah ini.

Kuiz Jawapan Pendek

Jawab setiap soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan pemahaman daripada teks yang diberikan.

1. Jelaskan peranan dan simbolisme tiga helai baju Nabi Yusuf yang disebut dalam surah ini.

2. Mengapakah Nabi Yusuf secara spesifik memilih untuk menghantar bajunya kepada ayahnya, dan bukan barangan lain?

3. Apakah pengajaran moden yang boleh diambil daripada kisah baju kedua Nabi Yusuf yang terkoyak di belakang?

4. Bagaimanakah sikap Nabi Ya’qub apabila menerima baju pertama berbeza dengan kecenderungan orang ramai pada zaman moden?

5. Terangkan mengapa perkataan فَأَلقُوهُ (lemparkanlah) dalam ayat 93 tidak membawa maksud yang kasar, berdasarkan konteks ayat.

6. Apakah kepentingan emosi di sebalik penggunaan perkataan “ayahku” (أَبي) oleh Nabi Yusuf dalam arahannya kepada abang-abangnya?

7. Huraikan penjelasan rasional yang dikemukakan mengenai bagaimana baju Nabi Yusuf boleh memulihkan penglihatan Nabi Ya’qub.

8. Bagaimanakah konsep “penyakit psikosomatik” berkaitan dengan penyembuhan Nabi Ya’qub?

9. Apakah kaitan antara kemampuan Nabi Yusuf untuk menyembuhkan ayahnya dengan anugerah ta’wil al-ahadith yang diberikan Allah kepadanya?

10. Apakah kepentingan sejarah yang terkandung dalam perintah Nabi Yusuf, “bawalah keluargamu semuanya kepadaku”?

Glosari Istilah Utama

Istilah
Definisi Berdasarkan Konteks
Baju Nabi Yusuf
Merujuk kepada tiga helai baju berbeza yang setiap satunya memainkan peranan penting dalam kisah Nabi Yusuf: (1) Baju yang dilumur darah palsu untuk menipu Nabi Ya’qub; (2) Baju yang koyak di belakang sebagai bukti baginda tidak bersalah daripada godaan isteri Al-Aziz; (3) Baju yang dihantar kepada Nabi Ya’qub sebagai penawar dan tanda penyatuan semula.
Al-Ilqā’ (الإلقاء)
Kalimah Arab yang secara literal bermaksud “melemparkan”. Namun, dalam konteks Ayat 93, ia digunakan dengan makna “meletakkan dengan sengaja dan penuh makna” atau “menempelkan”, menunjukkan tindakan yang bertujuan dan bukan perbuatan kasar.
Tabayyun
Prinsip untuk memeriksa sesuatu berita dengan teliti dan cermat sebelum mempercayainya. Ia ditekankan melalui contoh Nabi Ya’qub yang tidak terus percaya penipuan anak-anaknya, berbeza dengan sikap terburu-buru menghukum tanpa usul periksa.
Ta’wil al-ahadith (تَأْوِيلِ ٱلأَحَادِيثِ)
Kebijaksanaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah kepada Nabi Yusuf. Ia merangkumi kebolehan untuk mentafsir mimpi serta memahami makna mendalam di sebalik kata-kata, peristiwa, dan suasana, termasuk hubungan antara penyembuhan emosi dan fizikal.
Penyakit Psikosomatik
Konsep yang menjelaskan bagaimana trauma atau tekanan psikologi yang tidak diselesaikan boleh “tersimpan” di dalam badan dan menjelma sebagai penyakit fizikal. Ini digunakan untuk menerangkan bagaimana kesedihan melampau Nabi Ya’qub menyebabkan penglihatannya terjejas.
Bani Israil
Gelaran untuk keturunan Nabi Ya’qub. 

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 13 Disember 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 92 (Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memaafkan)

Yusuf Ayat 92: Boleh bayangkan betapa sukarnya proses memaafkan, terutamanya apabila ia melibatkan pengkhianatan yang datang daripada orang yang paling kita percayai? Pertemuan semula Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan adik-beradiknya selepas berpuluh tahun terpisah bukanlah sekadar sebuah babak yang dramatik. Ia adalah sebuah kelas sarjana yang mengandungi pelajaran yang mendalam dan tidak dijangka tentang sifat sebenar kemaafan—satu proses yang jauh lebih kompleks daripada sekadar ucapan “saya maafkan kamu”. Mari kita lihat apakah jawapan balas daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan pengajaran yang kita boleh ambil daripadanya.

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “No blame will there be upon you today. Allāh will forgive you; and He is the most merciful of the merciful.

(MALAY)

Dia (Yusuf) berkata: “Pada hari ini tak ada cercaan terhadap kamu, mudah-mudahan Allah mengampuni (kamu), dan Dia adalah Maha Penyayang di antara para penyayang”.

 

قالَ لا تَثريبَ عَلَيكُمُ اليَومَ

Dia (Yusuf) berkata: “Pada hari ini tak ada cercaan terhadap kamu, 

Lihatlah bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak ada marah dan makian terhadap mereka. Bukan sahaja baginda tidak membalas atau menghukum mereka, marah dan cerca pun tidak. Kalimah تَثريبَ daripada kata dasar ث ر ب yang bermaksud marah, menyalahkan, cari kesalahan. Ia adalah jenis marah kepada orang yang memang buat salah. Ia bermaksud mengecam berkali-kali sambil menyebut kesalahan dan keburukan orang itu.

Nota: Yang menarik, ia juga adalah kata dasar bagi Yathrib iaitu nama lama bagi Kota Madinah. Nama ini mungkin diberikan oleh penduduk terdahulu atau kabilah yang mendiaminya kerana kawasan itu sering dicemari dengan penyakit (seperti wabak demam) atau permusuhan (pergaduhan puak seperti Aus dan Khazraj) sebelum kedatangan Islam. Ini seperti disebut di dalam Sahih Bukhari,

“Sesungguhnya sekumpulan orang daripada suku ‘Ukl, atau ‘Uraynah, telah datang kepada Rasulullah ﷺ. Mereka tidak sesuai (jatuh sakit) dengan iklim (atau air) Madinah. Maka, Baginda memerintahkan mereka untuk pergi kepada unta-unta sedekah (unta zakat), lalu mereka minum daripada air kencingnya dan juga susunya. Maka mereka pun berbuat demikian, dan mereka sihat (sembuh).” “Kemudian, mereka membunuh pengembala unta dan membawa lari (merompak) unta-unta tersebut. Maka, (Rasulullah ﷺ) mengutus utusan untuk mengejar jejak mereka, lalu mereka dibawa kembali. Baginda memerintahkan agar tangan dan kaki mereka dipotong, serta mata mereka dicungkil (menggunakan besi panas), kemudian mereka dicampakkan di Al-Harrah (tanah berbatu) sehingga mereka meminta air minum, tetapi tidak diberi minum.”

(Sahih al-Bukhari No. 233)

Oleh itu, ia dinamakan Yathrib sebagai lambang tempat yang indah tetapi sering membawa kecaman atau permusuhan dalam kalangan penduduknya. Oleh kerana namanya yang tidak baik, sebab itulah ia ditukar oleh baginda Rasulullah ﷺ setelah Hijrah.

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: أُمِرْتُ بِقَرْيَةٍ تَأْكُلُ الْقُرَى، يَقُولُونَ لَهَا يَثْرِبُ، وَهِيَ الْمَدِينَةُ، تَنْفِي النَّاسَ كَمَا يَنْفِي الْكِيرُ خَبَثَ الْحَدِيدِ
Rasulullah ﷺ bersabda: “Aku diperintahkan ke sebuah perkampungan yang menelan (mengatasi) perkampungan-perkampungan lain. Mereka (dahulu) memanggilnya Yathrib, tetapi ia adalah Al-Madinah (Kota). Ia menolak (mengusir) manusia yang jahat, sebagaimana dapur tukang besi menolak kekotoran (sisa) besi.”

(Sahih Muslim No. 1382)

Syarah: Rasulullah ﷺ bukan sekadar menukar nama bandar tersebut, tetapi memberikan gelaran Al-Madinah dan menyatakan bahawa kota ini mempunyai keberkatan sehingga ia akan menyingkirkan atau menolak orang-orang yang jahat, munafik dan kerosakan, sama seperti dapur tukang besi membersihkan logam daripada karat dan sisa.

Perhatikan betapa hebatnya hati Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Dalam situasi di mana kebanyakan manusia akan mengambil peluang untuk menyerang balas (“Oh, sekarang baru kamu mahu mengaku salah? Mri aku ingatkan betapa besarnya kesalahan kamu!”), sebaliknya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memilih jalan yang berbeza. Setelah mendengar pengakuan abang-abangnya, baginda tidak terus melafazkan kata-kata “aku maafkan kamu”. Sebaliknya, jawapan pertama baginda adalah satu jaminan yang praktikal dan penuh hikmah: لا تَثريبَ عَلَيكُمُ اليَومَ (“Pada hari ini tidak ada cercaan terhadap kamu”). Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kata tidak ada celaan untuk mereka pada hari itu daripada baginda; atau boleh bermaksud, jangan lagi kamu cela diri kamu. Begitulah besarnya hati baginda yang selayaknya bagi kedudukan baginda sebagai seorang Nabi  yang mengajar kita erti pemaafan.

Perkataan تَثريبَ mempunyai makna asal yang sangat grafik. Ia boleh merujuk kepada tindakan melapah kulit haiwan untuk mendedahkan bahagian dalaman yang kotor hodoh. Bayangkan anda melapah seekor lembu. Anda akan memotong-motong daging dan membiarkan perut itu kerana kalau dipotong, segala tahi apa semua akan keluar, bukan? Kalau dipotong dan dibocorkan juga, itulah perbuatan تَثريبَ. Kalimah تَثريبَ sekarang digunakan sekarang secara kiasan, yang bermaksud mendedahkan dan mengaibkan kesalahan seseorang di khalayak ramai. Kalau Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melakukan تَثريبَ, baginda akan senaraikan segala perbuatan salah mereka terhadap baginda sejak baginda kecil lagi. Malah, ia juga boleh membawa maksud sebaliknya: tindakan menambah lapisan demi lapisan penghinaan ke atas seseorang yang sudah pun rebah, seumpama menimbunkan rasa malu sehingga mereka lemas di bawahnya. Seandainya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melakukannya, baginda akan menceritakan satu persatu apa yang mereka telah lakukan.

Namun, ia tidak dilakukan oleh baginda. Baginda sebut: لا تَثريبَ عَلَيكُمُ. Dengan kata-kata ini, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menetapkan satu polisi yang jelas: baginda tidak akan mendedahkan keaiban mereka, dan tidak akan membenarkan sesiapa pun mengaibkan mereka. Bukan sahaja baginda tidak sebut, orang lain di sekeliling pun jangan hendak ungkit pula. Ini penting kerana ia berita besar dan kalau zaman sekarang akan ada yang ambil video dan viralkan. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menghalang perkara itu daripada berlaku. Malah baginda menambah kalimah عَلَيكُمُ sebagai penekanan. Kalimah عَلَيكُمُ ini kalau tidak ada pun, orang sudah faham yang dimaksudkan adalah mereka.

Pilihan perkataan اليَومَ (pada hari ini) juga sarat dengan makna. Ia boleh bermaksud “bermula dari hari ini dan seterusnya, isu ini ditutup”. Namun, ia juga boleh membawa sebuah peringatan halus: polisi ini adalah untuk segala kesalahan yang telah lalu; ia tamat hari ini, jadi jangan ulangi lagi pada masa hadapan. Ini bukanlah penafian terhadap kesakitan, tetapi sebuah keputusan matang untuk tidak lagi mengungkit masa lalu.

Ini mengandungi satu pengajaran yang amat penting bagi kita. Amat penting. Ada orang yang marah sampai dia simpan kemarahan itu bertahun-tahun lamanya. Tidak terfikir untuk dia memaafkan orang itu sampaikan kemarahan itu memakan dirinya. Memaafkan kesalahan orang lain menenangkan diri kita kerana ia membebaskan kita daripada beban emosi negatif seperti dendam dan kemarahan, serta membawa ketenangan jiwa yang mendalam. Bayangkan kalau kita marah orang lain, kita sahaja yang sakit. Orang yang kita marah itu relaks sahaja dan mungkin dia tidak tahu pun kita marah kepadanya. Jadi siapa yang sakit? Siapa yang rugi sebenarnya? Dendam dan kemarahan mengekalkan anda dalam kitaran pemikiran negatif yang berterusan, sering mengimbas kembali kejadian yang menyakitkan. Memaafkan membantu menghentikan kitaran ini, membolehkan anda fokus pada masa kini dan masa hadapan yang lebih positif.

Kajian menunjukkan bahawa menyimpan dendam boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan fizikal, seperti tekanan darah tinggi dan tahap tekanan (stress) yang meningkat. Memaafkan dikaitkan dengan tahap tekanan yang lebih rendah, sistem imun yang lebih baik, dan kesejahteraan mental secara keseluruhan. Jadi buat apa hendak sakitkan diri?

Ia juga membolehkan kita mendekatkan diri kepada Allah ‎ﷻ dan mendapat ganjaran pahala daripada-Nya. Memaafkan adalah sebuah perbuatan yang bukan sahaja membantu orang lain, tetapi juga memberi kebaikan dan kedamaian kepada diri sendiri, kerana ia membuang rasa marah dan kecewa yang boleh merosakkan jiwa. Malah ia menjadi punca kita masuk syurga. Ini seperti disebut di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan Abdullah bin Amru bin Al-‘As رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا

Sesungguhnya Nabi ﷺ bersabda: “Akan muncul kepada kalian sekarang seorang lelaki ahli syurga.” Maka muncul seorang lelaki Ansar, janggutnya menitiskan air wudhu’nya, yang memegang kedua-dua kasutnya di tangan kirinya. Keesokan harinya, Nabi ﷺ bersabda lagi seperti itu, maka muncul lelaki itu seperti kali pertama. Pada hari yang ketiga, Nabi ﷺ bersabda lagi seperti itu, maka muncul lelaki itu seperti kali pertama. Setelah Nabi ﷺ bangun (beredar), Abdullah bin Amru bin Al-‘As رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا mengikutnya dan berkata: “Sesungguhnya aku ingin bermalam bersamamu tiga malam, supaya aku dapat melihat apakah amalanmu yang mulia.” (Abdullah) berkata: “Maka aku bermalam di sisinya tiga malam, dan aku tidak melihatnya bangun (solat) di waktu malam sedikit pun, melainkan apabila dia sedar dan berbolak-balik di atas katilnya, dia mengingati Allah ‎ﷻ (berzikir) dan bertakbir, sehinggalah dia bangun untuk Solat Fajar (Subuh).” Aku berkata kepadanya: “Apakah yang membuatkan kamu mencapai apa yang dikatakan oleh Nabi ﷺ?” Lelaki itu menjawab: “Tidak ada (amalan khusus) melainkan apa yang kamu lihat.” Aku berkata kepadanya: “Tidak ada melainkan apa yang kamu lihat?” Lelaki itu menjawab: “Tidak ada melainkan apa yang kamu lihat, hanya sahaja aku tidak mendapati dalam diriku perasaan dengki terhadap seorang pun Muslim, dan aku tidak berasa hasad (cemburu) terhadap seseorang atas kebaikan yang Allah kurniakan kepadanya.” Maka Abdullah bin Amru رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata: “Inilah (amalan) yang telah mengangkatmu, dan inilah yang tidak kami mampui.”

Musnad Ahmad (No. 12697), Sunan An-Nasa’i (dalam Amalul Yaum wal Lailah). Hadith ini disahihkan oleh beberapa ulama hadith, termasuk Syeikh Al-Albani رَحِمَهُ اللَّهُ dalam Silsilah Al-Ahadis As-Sahihah (No. 1025).

Syarah: Memang, perkataan Arab untuk “memaafkan” (‘afa) tidak wujud secara langsung dalam teks ini. Akan tetapi mengapa Ulama mengaitkannya dengan pemaafan? Ulama Hadith (penghurai hadith) mengaitkan amalan lelaki ini dengan pemaafan kerana pemaafan adalah tindakan yang diperlukan untuk mencapai tahap kesucian hati ini. Sifat “tidak mendapati ghishshan” (perasaan dendam/dengki) dalam hati terhadap sesiapa pun bermaksud: selepas disakiti, seseorang itu mesti memaafkan perbuatan yang menyakitkan itu. Dan untuk tidak menyimpan hasad (cemburu), seseorang itu mesti redha dan menerima takdir Allah serta tidak membenci orang yang mendapat nikmat. Oleh itu, pemaafan dianggap sebagai mekanisme utama yang membolehkan lelaki itu mengekalkan hati yang bersih daripada ghishshan dan hasad setiap malam sebelum tidur. Kesimpulannya, hadith itu menekankan hasil (hati yang bersih), dan ulama menafsirkan cara/amalan untuk mencapai hasil itu termasuklah sifat pemaaf.

Jadi cuba buat begini setiap malam: Sebelum tidur, cuba biasakan diri untuk meminta maaf kepada orang sekeliling dan memaafkan orang yang telah menyakiti kita. In shaa Allah, ketenanganlah yang akan kita dapat. Kadang-kadang, kita perlu memaafkan orang, bukan untuk orang lain tetapi untuk diri kita sendiri. Memaafkan tidak akan membuatkan kita hina walau sedikit pun, meminta maaf tidak akan menjatuhkan harga diri kita walau sedikit pun, kerana kita tahu akan hakikat bahawa manusia akan sentiasa melakukan kesilapan dalam hidup. Belajarlah untuk memaafkan untuk kita memperoleh ketenangan. Sesungguhnya, pemaaf itu sifat orang beriman.

Ada orang yang sukar untuk memaafkan, maka mereka masih kena belajar lagi untuk mendidik hatinya. Dan ada orang boleh memaafkan, tetapi untuk sekali dua sahaja. Bagi dia, sabar ada tahapnya dan kemaafan pun ada bilangannya. Akan tetapi tidak begitu seperti yang diajar oleh Nabi ﷺ seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رضي الله عنهما قَالَ: “جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ؛ كَمْ أَعْفُو عَنِ الْخَادِمِ؟ فَصَمَتَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، ثُمَّ قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ؛ كَمْ أَعْفُو عَنِ الخَادِمِ؟ فَقَالَ: «كُلَّ يَوْمٍ سَبْعِينَ مَرَّةً»”.
Daripada Abdullah bin Umar dia berkata, seorang lelaki datang kepada Nabi ﷺ dan berkata: “Wahai Rasulullah, berapa kalikah aku harus memaafkan pembantu?” Lalu Nabi ﷺ terdiam, kemudian dia bertanya: “Wahai Rasulullah, berapa kalikah aku harus memaafkan pembantu?” Nabi ﷺ menjawab: “Kamu memaafkan sebanyak tujuh puluh kali dalam sehari.”

(Hadith Sahih Riwayat Tirmidzi) disahihkan oleh Albani رَحِمَهُ اللَّهُ 

Jadi memaafkan adalah amalan yang amat penting kerana ia boleh menjadikan seseorang itu mencapai ketenangan jiwa. Memaafkan secara ikhlas akan mendatangkan ketenangan jiwa yang tidak terhingga, bukan sahaja kepada si pemaaf tetapi juga kepada orang yang memohon maaf. Ini kerana ia adalah satu tindakan yang memulihkan hubungan dan hati yang terluka. 

Ia juga boleh meningkatkan darjat diri. Ini kerana memaafkan menunjukkan keikhlasan dan kekuatan hati, yang akan meningkatkan darjat dan maruah diri di mata Allah ‎ﷻ dan bukan sebaliknya. Memaafkan adalah tanda ketinggian akhlak.

Namun begitu, ingat! Konsep memaafkan dalam konteks Islam dan juga psikologi tidak sama dengan membenarkan (meluluskan atau mengatakan “ya” kepada) kesalahan, perbuatan zalim, atau tingkah laku buruk seseorang. Kesalahan yang dilakukan oleh orang itu tetap salah, bukannya kita kata dia benar pula dan tidak salah. Salah tetap salah! Kalau kesalahan orang itu berat seperti mencabul, anda boleh sahaja laporkan kepada polis. Cuma memaafkan adalah tindakan yang berlaku di dalam hati dan jiwa kita. Ia bermaksud kita melepaskan dendam antara kita dan dia. Ini supaya kesalahan dia tidak menghantui kita lagi. Kita bebaskan bukan dia tetapi diri kita sebenarnya. ‘Engkau dan aku tidak ada apa-apa lagi’. Maknanya anda melepaskan hak untuk merasa marah, benci, atau dendam terhadap orang yang menyakiti anda. Hasilnya anda akan mendapat kebebasan emosi. Anda membebaskan diri anda daripada beban emosi negatif yang terikat kepada perbuatan masa lalu orang lain. Anda boleh mengabaikan dia dan teruskan hidup anda dengan selesa.

Perhatikan juga bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terus memberi maaf kepada mereka. Nanti kita akan lihat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak terus memaafkan anak-anaknya itu. Terdapat beberapa hikmah dan alasan mengapa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ segera memaafkan saudara-saudaranya, sedangkan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menunda permohonan ampunan untuk mereka:

1. Perbezaan Peranan dan Hak. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berada dalam posisi sebagai orang yang dizalimi secara langsung oleh saudara-saudaranya. Oleh itu, baginda berhak untuk segera memaafkan mereka atas kesalahan yang dilakukan terhadap dirinya. Sebaliknya, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seorang ayah dan pendidik; peranannya adalah sebagai pembimbing dan pendidik anak-anaknya yang telah melakukan kesalahan besar. Tidak sesuai dari sudut pendidikan untuk memperlihatkan bahawa dosa mereka itu ringan dengan segera mengabulkan permintaan mereka. Penundaan ini adalah sebahagian daripada hikmah pendidikan agar mereka benar-benar merasakan beratnya dosa dan pentingnya taubat yang tulus ikhlas.

2. Dosa Terhadap Siapa? Dosa saudara-saudara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lebih utama ditujukan kepada baginda sendiri, kemudian kepada ayah mereka secara tidak langsung. Maka, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memaafkan atas haknya sendiri, manakala Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menunggu sehingga jelas keadaan mereka dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebelum memohon ampunan kepada Allah ‎ﷻ untuk mereka.

3. Kesan dan Akibat Dosa. Dosa yang dilakukan terhadap Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sangat besar dan berpanjangan, menyebabkan penderitaan jiwa dan fizikal (seperti menjadi buta kerana kesedihan). Oleh itu, tidak wajar untuk segera memaafkan tanpa memastikan mereka benar-benar bertaubat dan menyesal.

4. Hikmah Penundaan. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menunda istighfar hingga waktu yang mustajab (seperti waktu sahur), kerana waktu tersebut lebih diharapkan untuk dikabulkan doa. Ini juga sebagai bentuk penegasan bahawa pengampunan dosa besar memerlukan waktu dan proses taubat yang sungguh-sungguh.

5. Perbezaan Emosi dan Pendidikan. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, sebagai saudara yang lebih muda dan telah melalui banyak ujian, memilih untuk segera memaafkan demi menenangkan hati saudara-saudaranya yang sudah sangat menyesal dan malu. Sementara itu, Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai ayah dan pendidik, menggunakan pendekatan yang lebih tegas dan mendidik.

6. Perbezaan Situasi dan Hikmah. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berada dalam posisi sebagai penguasa dan mampu membalas, maka memilih untuk memaafkan dan menenangkan hati saudara-saudaranya yang merasa sangat malu dan takut. Maknanya baginda tidak terus membiarkan emosi mereka dalam ketakutan.

7. Sebahagian ulama juga menyebutkan bahawa hati seorang muda seperti Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lebih lembut dan mudah memaafkan, sedangkan hati seorang tua seperti Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lebih tegas dalam mendidik dan menegakkan disiplin.

 

يَغفِرُ اللهُ لَكُم

mudah-mudahan Allah mengampuni kamu,

Kalimah daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini boleh ditafsirkan dengan berbagai cara.

1. Baginda memberitahu yang Allah ‎ﷻ telah mengampunkan dosa-dosa mereka. Akan tetapi ini agak lemah kerana baginda tidak tahu perkara ghaib, jadi bagaimana baginda tahu yang Allah ‎ﷻ telah ampunkan mereka? Namun begitu, jikalau kita hendak pegang pendapat ini, boleh juga tetapi kita kena andaikan yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mendapat wahyu bahawa memang mereka telah diampunkan. Ini sama seperti Nabi Muhammad ﷺ tahu siapa ahli syurga kerana baginda mendapat wahyu. Akan tapi di dalam masa yang sama, memang ini adalah pendapat yang lemah kerana kalau mereka telah diampunkan, maka sepatutnya kalimah yang digunakan adalah َغَفَر dan bukannya يَغفِرُ. Sepatutnya ia di dalam bentuk fi’il madhi dan bukannya fi’il mudhari’. Allahu a’lam tetapi pendapat ini memang ada.

2. Makna kedua yang lebih senang diterima adalah di sini baginda berdoa semoga Allah ‎ﷻ ampunkan mereka. Kalau tadi baginda telah memaafkan kesalahan mereka terhadap baginda. Akan tetapi kesalahan mereka terhadap Allah ﷻ, baginda boleh mendoakan sahaja. Kerana itu sejurus selepas berjanji tidak akan ada cercaan, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan serta-merta mengalihkan isu pengampunan kepada pemiliknya yang sebenar. Baginda menyambung: يَغفِرُ اللهُ لَكُم (“Semoga Allah mengampunkan kamu”). Baginda tidak mendakwa bahawa pengampunan itu datang daripadanya, sebaliknya baginda mendoakan agar Allah ﷻ, pemilik sebenar pengampunan, memberikannya kepada mereka.

Begitu besarnya hati baginda. Walaupun baginda mungkin ada lagi ghil (غِلّ) di dalam hati mereka terhadap baginda, baginda tidak mahu mereka terseksa di akhirat kerana kesalahan mereka. Maka baginda mendoakan supaya mereka diampunkan. Beginilah yang kita kena ada. Jangan hendak menerakakan orang sahaja. Kadang-kadang kita macam suka pula orang masuk neraka. Contohnya sang suami marahkan isteri dan tidak mahu memaafkan dan terus kata: “Biarlah nanti di akhirat Allah balas kedegilan kamu terhadap suami!”; atau ada orang buat salah dengan kita dan kita tidak mahu maafkan dengan berkata: “Biarlah dia merangkak cari aku kat Mahsyar nanti!”. Begitu teruk kalau kita ada perasaan begini. Seolah-olah kita tidak tahu langsung betapa beratnya balasan di akhirat kelak. Takkan kita sanggup orang lain melaluinya? Kalau di dunia ini apa yang paling buruk kita boleh lakukan terhadap manusia lain? Kita bunuh dia dengan cara kejam; atau kita malukan dia di khalayak ramai, viral sana sini, bukan? Ini tidaklah setanding dengan pembalasan di akhirat dan dimalukan di akhirat! Jadi jangan kita seksa orang lain dan jadilah seorang yang pemaaf.

Di sinilah terletaknya salah satu kemuncak kebijaksanaan dalam kisah ini, satu hubungan linguistik yang menakjubkan. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ baru sahaja berkata, لا تَثريبَ (Aku tidak akan mendedahkan keaiban kamu). Dan dengan segera, baginda berdoa, يَغفِرُ اللهُ لَكُم (Semoga Allah menutupi kesalahan kamu), kerana akar kata bagi pengampunan, غَفَرَ, secara literal bermaksud “menutupi”. Maknanya menutupi dosa itu. Baginda menguruskan bahagian manusiawi (tidak mendedahkan) dan menyerahkan bahagian ilahi (menutupi dan memadamkan dosa) kepada Tuhan. Ini mengajar kita satu hakikat penting: sebagai manusia, batas kemampuan kita mungkin sekadar untuk tidak membalas dendam dan berdamai. Pengampunan hakiki yang membersihkan catatan adalah urusan mutlak milik Allah.

Maka di sini kita belajar yang Al-Qur’an menawarkan pendekatan yang realistik, bukan idealistik, terhadap hubungan manusia. Ketiadaan lafaz “aku maafkan kamu” secara eksplisit dan tindakan mengalihkan pengampunan kepada Allah ‎ﷻ memberi isyarat bahawa memulakan lembaran baru tidak semestinya bermakna hubungan akan kembali seratus peratus seperti sediakala. Ia boleh diibaratkan seperti seorang majikan kepada pekerja yang mencuri: “Saya maafkan kamu, kita boleh terus bersaudara, tetapi kamu tidak akan bekerja untuk saya lagi.” Atau dengan orang yang telah menyakiti kita teruk sangat, kita boleh maafkan, tapi tidaklah perlu kita berhubungan dengan dia lagi. “Aku dengan engkau sudah settle, tapi untuk aku percaya engkau lagi, tidaklah.” Hendak minum-minum teh tarik bolehlah. Atau kalau kita tidak mahu berjumpa dengan dia pun boleh. “Aku maafkan engkau, tapi muka engkau aku tak mahu tengok lagi!” Pengkhianatan meninggalkan parut, dan seseorang boleh berdamai tanpa perlu meletakkan kepercayaan penuh secara membuta tuli. 

Namun bolehkah begitu? Tidakkah memutuskan silaturrahim? Kisah Nabi Muhammad ﷺ dan Wahsyi, pembunuh bapa saudara kesayangan baginda, Sayyidina Hamzah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, mengukuhkan lagi pengajaran ini. Apabila Wahsyi datang memeluk Islam, Rasulullah ﷺ menerima keislamannya. Namun, baginda dengan jujur memintanya, “Janganlah tunjukkan wajahmu di hadapanku lagi.” Ini bukan dendam, tetapi pengakuan jujur tentang keterbatasan hati manusia. Baginda memaafkan dari segi hak, tetapi kesakitan melihat wajah itu adalah satu beban yang tidak mampu ditanggung.

Maka ini ada pengajaran yang amat penting. Realiti parut di hati manusia ini begitu nyata sehinggakan Al-Qur’an menyebut salah satu anugerah terakhir di Syurga adalah apabila Allah “mencabut segala rasa dendam dari dalam hati mereka” seperti disebut di dalam Hijr:47. Ini menunjukkan bahawa penyembuhan mutlak adalah satu tindakan ilahi, bukan sesuatu yang boleh dipaksa oleh manusia di dunia ini.

وَنَزَعنا ما في صُدورِهِم مِّن غِلٍّ إِخوٰنًا عَلىٰ سُرُرٍ مُّتَقٰبِلينَ
Dan Kami lenyapkan segala rasa dendam yang berada dalam hati mereka, sehingga mereka merasa bersaudara duduk berhadap-hadapan di atas dipan-dipan.

Bagaimana ia berlaku? Ini disebut di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ

إِذَا خَلَصَ الْمُؤْمِنُونَ مِنَ النَّارِ حُبِسُوا عَلَى قَنْطَرَةٍ بَيْنَ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ، فَيُقَصُّ لِبَعْضِهِمْ مِنْ بَعْضٍ مَظَالِمُ كَانَتْ بَيْنَهُمْ فِي الدُّنْيَا، حَتَّى إِذَا هُذِّبُوا وَنُقُّوا أُذِنَ لَهُمْ فِي دُخُولِ الْجَنَّةِ، فَوَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لأَحَدُهُمْ أَهْدَى بِمَنْزِلِهِ فِي الْجَنَّةِ مِنْهُ بِمَنْزِلِهِ كَانَ فِي الدُّنْيَا
“Apabila orang-orang Mukmin telah diselamatkan dari Neraka, mereka akan ditahan di sebuah jambatan (Qantarah) yang terletak di antara Syurga dan Neraka. Maka akan dilakukan balasan di antara mereka bagi kezaliman-kezaliman yang berlaku di antara mereka di dunia dahulu. Sehinggalah apabila mereka telah dibersihkan dan disucikan (daripada segala dendam dan perselisihan), barulah diizinkan bagi mereka untuk memasuki Syurga. Demi Tuhan yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sungguh salah seorang daripada mereka lebih mengetahui tempat tinggalnya di dalam Syurga daripada tempat tinggalnya yang ada di dunia dahulu.”

(Sahih al-Bukhari No. 6535)

Syarah: Qantarah (القنطرة) merujuk kepada kawasan penyucian atau “perhentian” terakhir yang berlaku selepas melepasi Titian Sirat. Hadith ini menjelaskan bahawa di Qantarah, segala sisa persengketaan, perbalahan, dan kezaliman sesama mukmin yang tidak diselesaikan di dunia akan diselesaikan di sana (sebelum memasuki Syurga). Kerana di dalam syurga tidak boleh ada perasaan tidak enak seperti menyimpan dendam terhadap sesama ahli syurga. Maka tujuan penyelesaian ini adalah untuk memastikan mereka menjadi bersih (وإذا هذبوا ونقوا) daripada segala ghil (dendam) dan perselisihan, menepati janji Allah dalam Al-Hijr:47, agar mereka benar-benar layak memasuki Syurga sebagai saudara yang murni hatinya.

Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menawarkan satu pandangan yang matang, jujur, dan realistik tentang kemaafan. Ia bukanlah satu penyelesaian magis yang menghilangkan semua kesakitan dalam sekelip mata. Sebaliknya, ia adalah satu proses yang menghormati kesakitan dan keterbatasan manusia, sambil pada masa yang sama membuka jalan untuk berdamai, bergerak ke hadapan, dan meletakkan harapan tertinggi pada pengampunan Tuhan yang Maha Luas. Ia mengajar kita untuk menguruskan luka dengan bijaksana, bukan menafikannya.

 

وَهُوَ أَرحَمُ الرّٰحِمينَ

dan Dia adalah Maha Penyayang di antara para penyayang”.

Semoga Allah ‎ﷻ ampunkan mereka kerana Dia yang paling tinggi Rahmat-Nya. Seolah-olah baginda hendak memberitahu yang mereka dengan baginda, baginda sudah maafkan. Akan tetapi kalau hendak dilupakan terus kesalahan mereka terhadap baginda, agak sukar kerana baginda manusia juga dan sesungguhnya manusia mempunyai hati dan perasaan. Kita kadang boleh memmaafkan, namun kita tidak boleh melupakan, bukan? Maka Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberitahu mereka yang benar-benar boleh memaafkan mereka adalah Allah ‎ﷻ kerana Allahlah yang paling penyayang.

Lagi pun hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu isi hati mereka, sama ada mereka ikhlas atau tidak meminta maaf itu. Kita sebagai manusia tidak akan tahu. Kadangkala kita pula memandai menghakim permohonan maaf orang lain (elehhh, tak nampak ikhlas pun cara dia minta maaf…). Sebenarnya siapa kita yang boleh tahu orang itu ikhlas atau tidak? Jadi serahkan sahaja kepada Allah ‎ﷻ.

Ayat ini jugalah yang diulang oleh Nabi Muhammad ﷺ kepada Musyrikin Mekah apabila baginda berjaya menakluk Mekah. Mereka dahulu menentang baginda dan tidak beriman dengan baginda. Namun apabila baginda dapat kuasa, baginda tidaklah membalas dengan buruk kepada mereka. Baginda beri peluang kepada mereka untuk bertaubat dan masuk Islam (kecuali beberapa orang kerana mereka telah melakukan kesalahan berat).

“Aku berkata kepada kamu sebagaimana yang Yusuf katakan kepada saudara-saudaranya: ‘Pada hari ini tidak ada cercaan ke atas kamu, semoga Allah mengampunkan kamu; dan Dia lah Maha Penyayang daripada segala yang penyayang.’ Pergilah! Sesungguhnya kamu semua adalah orang-orang yang bebas.”

Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, Sirah Ibnu Hisyam, juga disebut di dalam Tafsir Al-Qurthubi dan Ibn Katsir

Cuma perbuatan Nabi Muhammad ﷺ ini lebih tinggi nilainya, kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memaafkan saudaranya sendiri sedangkan Nabi Muhammad ﷺ memaafkan orang yang tidak ada hubungan darah langsung dengan baginda.

 

 

Kuiz Uji Kefahaman

Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan pemahaman anda daripada teks tafsir.

1. Apakah makna literal dan kiasan bagi perkataan Arab تَثريبَ (tathrib)?

2. Mengapakah jawapan pertama Nabi Yusuf kepada adik-beradiknya ialah “لا تَثريبَ عَلَيكُمُ اليَومَ” (Pada hari ini tak ada cercaan terhadap kamu) dan bukannya “saya maafkan kamu”?

3. Menurut teks, apakah kaitan antara amalan memaafkan dengan kesihatan fizikal dan mental seseorang?

4. Apakah amalan istimewa yang dilakukan oleh lelaki Ansar yang dijamin syurga oleh Nabi Muhammad ﷺ sebanyak tiga kali?

5. Adakah memaafkan seseorang bermaksud kita mesti mempercayai mereka sepenuhnya semula? Terangkan berdasarkan contoh yang diberikan dalam teks.

6. Nyatakan dua perbezaan utama antara kemaafan segera yang diberikan oleh Nabi Yusuf dengan jawapan tertangguh Nabi Ya’qub.

7. Apakah tujuan utama Nabi Yusuf berdoa “يَغْفِرُ اللَّهُ لَكُم” (mudah-mudahan Allah mengampuni kamu) sejurus selepas menyatakan tiada cercaan ke atas mereka?

8. Apakah itu Qantarah dan apakah fungsinya selepas manusia melepasi Titian Sirat, menurut hadis yang dipetik?

9. Bagaimanakah Nabi Muhammad ﷺ mengaplikasikan ayat ini semasa peristiwa penaklukan Mekah?

10. Apakah kaitan linguistik dan tematik antara tindakan Nabi Yusuf yang tidak melakukan tathrib dan doanya agar Allah melakukan ghafara (mengampuni)?

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi Berdasarkan Teks
تَثريبَ (Tathrib)
Perbuatan marah, menyalahkan, atau mencari kesalahan pada orang yang memang bersalah. Secara kiasan, ia bermaksud mendedahkan dan mengaibkan kesalahan seseorang di khalayak ramai.
Yathrib
Nama lama bagi Kota Madinah. Nama ini mempunyai konotasi negatif yang bermaksud tempat yang sering dicemari penyakit atau permusuhan, yang kemudiannya ditukar kepada Al-Madinah oleh Rasulullah ﷺ.
اليَومَ (Al-Yawm)
Bermaksud “pada hari ini”. Dalam konteks ayat, ia boleh bermaksud “bermula dari hari ini dan seterusnya, isu ini ditutup” atau sebagai peringatan halus bahawa polisi kemaafan ini adalah untuk kesalahan lalu dan tidak boleh diulangi.
غِلّ (Ghil)
Perasaan dengki atau dendam yang disimpan di dalam hati terhadap seseorang. Dalam hadis lelaki Ansar, ia merujuk kepada ketiadaan perasaan ini dalam hatinya terhadap Muslim lain.
حَسَد (Hasad)
Perasaan cemburu atau iri hati terhadap kebaikan atau nikmat yang diterima oleh orang lain.
‘Afa
Perkataan Arab untuk “memaafkan”. Walaupun tidak disebut secara eksplisit dalam hadis lelaki Ansar, ulama mengaitkannya sebagai mekanisme utama untuk mencapai hati yang bersih.
Qantarah (القنطرة)
Sebuah jambatan atau “perhentian” terakhir selepas Titian Sirat. Ia adalah tempat penyucian di mana sisa persengketaan sesama mukmin diselesaikan sebelum mereka dibenarkan masuk ke Syurga.
غَفَرَ (Ghafara)
Akar kata bagi pengampunan dalam bahasa Arab yang secara literal bermaksud “menutupi”. Ini menunjukkan bahawa pengampunan ilahi bermaksud menutupi dan memadamkan dosa.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 10 Disember 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 91 (Abang-abang baru sedar diri)

ADIK BERADIK NABI YUSUF عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ DIMAAFKAN

Yusuf Ayat 91: Maka terkejutlah abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Mereka tidak ada pilihan lain selain daripada mengaku kesalahan yang mereka telah pernah lakukan terhadap baginda dan adik mereka Bunyamin. Maka sekarang kita akan lihat komen dan tindakbalas mereka. Sebenarnya tidaklah mereka hanya berkata-kata seringkas ini sahaja, tentu lagi banyak mereka cakapkan kerana mereka pun ramai. Akan tetapi di sini Allah ‎ﷻ hanya memuatkan kata-kata yang penting sahaja. Walaupun kata-kata mereka itu pendek sahaja, tetapi kita akan kupas dan cuba menggali apakah maksud di sebalik kata-kata itu.

قَالُواْ تَٱللَّهِ لَقَد ءَاثَرَكَ ٱللَّهُ عَلَينَا وَإِن ڪُنَّا لَخَـٰطِـِٔينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “By Allāh, certainly has Allāh preferred you over us, and indeed, we have been sinners.”

(MALAY)

Mereka berkata: “Demi Allah, sesungguhnya Allah telah melebihkan kamu atas kami, dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah (berdosa)”.

 

قالوا تَاللهِ

Mereka berkata: “Demi Allah,

Sekali lagi digunakan kalimah تَاللهِ  – ini menunjukkan betapa mereka terkejut dengan apa yang mereka sedang dengar sekarang. Kita telah bincangkan sebelum ini yang kalimah sumpah ini bukan yang biasa tetapi sumpah yang paling tinggi dan menandakan mereka terkejut sangat. Bayangkan, seorang adik mereka sendiri yang mereka telah tinggalkan dalam telaga – kemudian mereka tidak bertemu entah untuk berapa tahun – dan kemudian telah bertemu kembali dan mereka kenali sebagai seorang Menteri Besar (Al-Aziz) di Tanah Mesir – tiba-tiba diberitahu itu adalah adik mereka sendiri yang mereka telah aniaya dan tinggalkan dahulu!

Penggunaan kalimah تَاللهِ oleh mereka menandakan satu transformasi spiritual yang besar. Ini adalah kali ketiga lafaz ini muncul dari mulut mereka dalam surah ini. Sebelum ini, mereka menggunakannya dalam konteks konflik duniawi yang penuh keangkuhan: Pertama kali ketika memarahi bapa mereka kerana tidak henti-henti mengingati Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dan kali kedua pula untuk mempertahankan diri apabila dituduh mencuri. Waktu itu mereka menggunakan nama Allah dengan selamba sahaja. Seolah-olah sebut nama Allah itu sebagai tambahan untuk menguatkan hujah mereka sahaja. Kalau kita perhatikan setakat ini, mereka bukannya sebut nama Allah dalam cara yang betul, cara yang menunjukkan mereka tunduk kepada Allah ‎ﷻ. Yang hanya melakukannya adalah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja yang selalu menyebut tentang Allah ‎ﷻ, bukan? Sebagai contoh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata إنما أشكو بثي وحزني إلى الله وأعلم من الله ما لا تعلمون dan ولا تيأسوا من روح الله إنه لا ييأس من روح الله إلا القوم الكافرون. Manakala Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula kita boleh perhatikan معاذ الله dan قد من الله علينا dan banyak lagi. 

Namun sebaliknya abang-abang itu tidak pun menyebut nama Allah dalam konteks mereka tunjuk kepada Allah ﷻ, mengingatkan orang tentang Allah ﷻ dan sebagainya. Mereka sebut nama Allah, tetapi bukanlah dalam konteks yang benar. Jadi ini mengajar kita yang kadangkala ada orang banyak sebut nama Allah di dalam percakapan dia, tetapi dia bukan teringat dengan Allah ﷻ pun hanya sekadar disebut di bibirnya sahaja. Dia saja mahukan orang nampak dia hebat apabila dia menyebut nama Allah malangnya kadangkala dia bukannya ikut apa yang Allah ﷻ suruh. 

Namun kali ini, lafaz yang sama digunakan oleh mereka dalam keadaan tunduk dan rendah hati, sebagai satu pengakuan di hadapan kekuasaan Allah ﷻ yang telah terbukti di depan mata mereka. Ia adalah peralihan daripada menggunakan nama Tuhan untuk memenangi hujah sesama manusia, kepada menggunakannya dalam penyerahan diri kepada-Nya.

 

لَقَد ءَاثَرَكَ ٱللَّهُ عَلَينَا

sesungguhnya Allah telah melebihkan kamu atas kami,

Mereka mengaku yang Allah ‎ﷻ telah mengutamakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada mereka. Mereka sudah buat bermacam-macam usaha untuk menjatuhkan baginda tetapi mereka tidak mendapat apa-apa pun daripada apa yang mereka lakukan itu. Mereka mahu bapa mereka sayangkan mereka, tetapi bapa mereka tetap lagi sayangkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Semenjak kecil lagi Allah ‎ﷻ sudah melebihkan baginda. Di sini nampaknya mereka mengakui keutamaan dan kelebihan yang dimiliki oleh Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ atas diri mereka dalam hal penampilan, akhlak, kekayaan, kerajaan, kekuasaan, juga kenabian.

Begitulah, apabila abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akhirnya menyedari identiti sebenar pemerintah Mesir yang berada di hadapan mereka, reaksi pertama mereka adalah satu sumpahan yang menunjukkan rasa terkejut yang amat sangat: “Tallahi” (Demi Allah). Ini adalah satu lafaz yang berat, menandakan betapa realiti itu telah menghentam mereka dengan kuat. Namun, apa yang menyusul kemudian bukanlah kata-kata “maafkan kami”. Ada ayat mereka minta maaf di sini? Tidak pun.

Sebaliknya, pengakuan utama mereka adalah satu pengiktirafan terhadap takdir dan kekuasaan Allah ﷻ: “Sesungguhnya Allah telah melebihkan kamu atas kami”. Ini diikuti dengan pengakuan yang bersifat umum dan tidak spesifik, “…dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah.” Mereka seolah-olah mengelak daripada memperincikan kesalahan besar yang telah mereka lakukan seperti membuang adik mereka ke dalam perigi dan mendustai bapa mereka bertahun-tahun lamanya.

Dialog adik-beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan perkataan yang sangat spesifik dan sarat dengan makna: ءَاثَرَكَ ٱللَّهُ عَلَينَا (“Allah telah melebihkan kamu atas kami”). Kita hendak bedah kalimah ءَاثَرَ ini. Terjemahan literalnya ialah “melebihkan” atau “mengutamakan”. Kebiasaannya untuk maksud melebihkan, kalimah تفضيل yang digunakan. Namun di sini kita perhatikan kalimah ءَاثَرَ pula yang digunakan. Jadi untuk memahami kedalaman maksud kalimah ini, kita perlu melihat “imej” di sebalik perkataan Arab.

Akar kata ءَاثَرَ ialah ا ث ر, yang bermaksud “jejak”, “kesan”, atau “peninggalan”. Sekarang bayangkan kesan tapak kaki di padang pasir, atau runtuhan tamadun purba yang menjadi bukti kewujudan mereka. Kalimah ini banyak digunakan di dalam Al-Qur’an seperti di dalam Maidah:46

وَقَفَّينا عَلىٰ ءآثٰرِهِم بِعيسَى ابنِ مَريَمَ
Dan Kami iringkan jejak mereka (nabi-nabi Bani Israil) dengan Isa putera Maryam

Ini kerana Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukanlah membawa ajaran agama yang baru tetapi baginda mengikut jejak-jejak ajaran daripada para Nabi dan Rasul sebelum baginda. Di dalam Kahf:6,

فَلَعَلَّكَ بٰخِعٌ نَّفسَكَ عَلىٰ ءآثٰرِهِم إِن لَّم يُؤمِنوا بِهٰذَا الحَديثِ أَسَفًا
Maka barangkali engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Qur’an ini.

Rasulullah ﷺ bersedih kerana puak Nasrani meninggalkan jejak-jejak kesesatan yang akan berterusan lama kepada umat manusia. Ini kerana mereka inilah nanti yang akan menyebabkan ramai berpegang dengan Konsep Triniti dan mereka yang memulakan konsep sekularisme di dalam masyarakat.

Di sinilah letaknya ironi yang luar biasa: Mereka yang suatu masa dahulu berhasrat untuk menghapuskan semua “jejak” Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari muka bumi, seperti disebut di dalam Ayat 9, ٱقتُلُواْ يُوسُفَ أَوِ ٱطرَحُوهُ أَرضًا يَخلُ لَكُم وَجهُ أَبِيكُم (Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu daerah (yang tidak dikenal) supaya perhatian ayahmu tertumpah kepadamu saja) dan Ayat 10, يَلتَقِطهُ بَعضُ ٱلسَّيَّارَةِ (supaya dia dipungut oleh beberapa orang musafir). Akan tetapi kini dengan lidah mereka sendiri mengakui bahawa Allah ‎ﷻ telah memberikannya “jejak” dan kesan yang kekal kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, yang jauh mengatasi mereka semua. Sekarang sudah menjadi Al-Aziz Mesir! Malah baginda menjadi pemimpin Mesir yang meninggalkan kesan yang berterusan. Kerajaan Firaun itu datang kemudian adalah kesan daripada kehebatan kerajaan baginda dan hanya mewarisi kemewahan yang baginda telah mulakan ketika zaman baginda.

Malah kita pun tahu yang nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disebut-sebut sampai hari ini tetapi nama mereka orang tidak kisah pun. Mereka mungkin tidak menyedari betapa dalamnya makna kata-kata yang mereka ucapkan itu. Pengajaran daripada kehidupan baginda kita sebut-sebut dan kita kaji sehingga ke hari ini dan memberi kesan kepada hati dan minda kita, bukan? Inilah yang kita sedang lakukan.

Kalau kita mahu bersangka baik dengan mereka, kita boleh terima kata-kata mereka ini sebagai satu kesedaran kepada mereka. Selama mereka ini mereka tidak sedar-sedar tetapi kali ini setelah mereka terduduk dengan pendedahan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu, mereka sudah terpana dan sekarang baru mereka sedar kesalahan mereka. Ini kerana kali ini memang mereka tidak dapat mengelak lagi disebabkan Allah ‎ﷻ telah tunjuk kebenaran kepada mereka betul-betul di hadapan mereka yang mereka tidak boleh elak lagi. Ada orang dapat peringatan ringan pun mereka sudah berubah; akan tetapi bagi abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini, mereka perlu dihentam sampai terduduk baru hendak sedar diri. Kadangkala kita dengar ada orang telah berubah kerana mereka kemalangan dan hampir mati dan barulah mereka terfikir tentang agama. Sebaliknya ada orang yang terbaca satu ayat Al-Qur’an pun boleh berubah 180% kerana terkesan dengan ayat Al-Qur’an. Maknanya kita janganlah jadi seperti abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini; jangan dapat kemalangan dan hampir mati baru hendak sedar diri!

Namun begitu sekiranya kita masih sangsi dengan mereka itu, kita boleh juga katakan mereka ini perli sahaja dalam kata-kata mereka itu. Kita boleh baca kata-kata mereka ini: “Owh, dulu kami ingat ayah jer melebihkan engkau atas kami, rupanya Allah pun begitu juga?!” dengan memek muka yang sinis. Mereka tidak rasa bersalah pun dengan kesalahan mereka. Malah mungkin mereka kata, dengan mereka membuang baginda ke dalam telaga itu, baginda akhirnya boleh jadi Menteri Mesir! Ini sama sahaja seperti sesetengah orang yang menindas seseorang tetapi kemudian dia bagi alasan pula: “Aku ni tekan engkau supaya engkau jadi orang yang kuat tau! Sebab dunia ini keras tau, dik!” Jadi ini adalah kata-kata orang yang memang tidak ada perikemanusiaan dan menggunakan kata-kata mereka untuk membenarkan mereka. Mereka sudah tidak fikir benar atau salah, asalkan mereka nampak elok sahaja.

Walau bagaimanapun pendapat yang selalu diterima adalah kata-kata mereka ini adalah penyesalan daripada mereka. Mereka mengaku yang bapa mereka tidak bersalah dalam melebihkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana mereka baginda orang yang baik. Mereka rasa bersalah apabila menyalahkan bapa mereka di dalam Ayat 8:إِنَّ أَبانا لَفي ضَلٰلٍ مُّبينٍ (Sesungguhnya ayah kita adalah dalam kekeliruan yang nyata). Memang kamu dahulu disayangi oleh bapa kerana akhlak yang baik, sepatutnya kami belajar daripada apa yang kamu lakukan, tetapi sebaliknya kami telah melayan perasaan dengki kami.

 

وَإِن ڪُنَّا لَخَـٰطِـِٔينَ

dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah”.

Mereka mengaku yang mereka memang bersalah. Mereka telah melakukan kesalahan dari dahulu sampai ke hari itu. Bermacam-macam kesalahan yang mereka telah lakukan, terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Bunyamin dan bapa mereka. Maka kalau kita baca di sini, nampak mereka telah bertaubat kerana mereka telah mengakui kesalahan mereka. Ini adalah langkah pertama kepada taubat.

Ada sesuatu yang menarik daripada penggunaan kalimah إِنْ di dalam ayat ini. Anda akan lebih menghargai perbincangan ini kalau anda belajar sedikit bahasa Arab. Dalam konteks ayat ini, penggunaan إِنْ (in) dengan baris mati (sukun) adalah sangat penting dan memberi nuansa makna yang tersirat dalam bahasa Arab, yang berbeza dengan إِنَّ (inna) dengan baris syaddah (tasydid). Yang menjadi perbincangan kerana untuk penegasan, sepatutnya إِنَّ yang digunakan. Untuk إِنْ, selalunya ia bermaksud ‘jika’, bukan? Kalau belajar sedikit bahasa Arab, inilah yang kita tahu. Jadi kenalah ada penjelasan sedikit.

Di sini, إِنْ (In) digunakan sebagai In Mukhaffafah Minath-Thaqīlah (إن المخففة من الثقيلة), iaitu Inna (yang asal dengan syaddah) yang diringankan (dibuang syaddah). Apabila Inna diringankan menjadi In (dengan sukun), ia masih mengekalkan fungsi asalnya, iaitu sebagai Penegasan (Tawkeed / Lit-Tawkeed). Fungsi utama In yang diringankan ini adalah penegasan atau pengukuhan. Dalam keadaan Inna diringankan menjadi In, ia perlu disokong oleh satu lagi huruf penegas, iaitu di dalam ayat ini, Lām penegas tersebut muncul pada perkataan لَخَاطِئِينَ (lakhāṭi’īn). Lām ini bertujuan untuk membezakan In penegas (yang diringankan) daripada In syarat (In jika). Gabungan In dan Lām ini memberikan kesan penyesalan dan pengakuan yang sangat kuat, seolah-olah mereka berkata, “Kami tidak boleh nafikan, memang kami amat bersalah.”

Akan tetapi perhatikan, mereka tidak sebut pun apa kesalahan mereka. Mereka cuma sebut secara umum sahaja, bukan? Sedangkan dalam Ayat 89 sebelum ini, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah bertanya: هَل عَلِمتُم مَّا فَعَلتُم (“Apakah kamu mengetahui (kejelekan) apa yang telah kamu lakukan?”). Jadi sepatutnya mereka jawab dengan menyebut satu persatu kesalahan mereka; tetapi tidak.

Kata “خَـٰطِـِٔينَ” (khāṭi’īn) yang terdapat dalam Surah Yusuf ayat 91 secara bahasa berasal daripada akar kata “خ ط أ” (kha-ṭa-’a) yang bererti melakukan kesalahan atau kekeliruan. Menurut penjelasan Imam al-Tabari, “خاطئين” bermaksud مخظئين “mukhti’in”, iaitu orang-orang yang melakukan kesalahan. Mereka mengakui bahawa perbuatan mereka terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti memisahkan baginda daripada bapanya dan perlakuan buruk lainnya (walaupun tidak disebut secara spesifik) adalah sebuah kesalahan. Al-Tabari رَحِمَهُ اللَّهُ juga menjelaskan bahawa kata “خَطِئَ” (khaṭi’a) bererti melakukan kesalahan, dan bentuk lainnya adalah “أخطأ” (akhṭa’a), yang juga bererti berbuat salah, namun dengan nuansa yang sedikit berbeza dalam penggunaan bahasa Arab klasik. Dalam konteks ayat ini, “خاطئين” bermakna “kami adalah orang-orang yang bersalah” atau “kami telah berbuat salah” dalam tindakan kami terhadapmu, wahai Yusuf.”

Kalimah خاطئ (khāṭi’) merujuk kepada orang yang melakukan kesalahan atau dosa dengan sengaja, iaitu dia tahu perkara itu salah tetapi tetap melakukannya. Dalam konteks ayat, saudara-saudara Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengakui bahawa mereka telah melakukan dosa secara sedar dan sengaja terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Penjelasan ini disebutkan oleh ramai ahli bahasa dan tafsir. Kalau kalimah مخطئ (mukhṭi’) pula digunakan untuk orang yang melakukan kesalahan tanpa sengaja, iaitu dia tidak tahu atau tidak berniat untuk melakukan kesalahan tersebut. Dia mungkin berniat baik, tetapi hasilnya tetap salah. Atau kalau kita hendak bayangkan, ada beza dengan orang yang tidak sengaja menumpahkan air minum seseorang, dengan orang yang mengangkat cawan dan simbahkan ke muka orang itu. Kesimpulannya, penggunaan kalimah “خاطئين” dalam ayat tersebut membawa makna bahawa saudara-saudara Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengakui mereka telah melakukan dosa secara sengaja, bukan kerana tersilap atau tidak tahu, tetapi kerana mereka sedar dan tetap melakukannya. Ini berbeza dengan “مخطئ” yang lebih kepada kesalahan tanpa niat atau tidak sengaja. Maka, nuansa utama ialah “خاطئ” untuk dosa yang disengajakan, manakala “مخطئ” untuk kesalahan yang tidak disengajakan.

 

Kuiz Pemahaman

Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan pemahaman anda daripada teks tafsir.

1. Apakah kepentingan lafaz sumpah “تَاللهِ” (Tāllāhi) yang diucapkan oleh abang-abang Nabi Yusuf dalam ayat ini?

2. Menurut teks, bagaimanakah penggunaan nama Allah oleh abang-abang Nabi Yusuf sebelum ini berbeza dengan penggunaannya dalam ayat ke-91?

3. Apakah maksud literal dan konotatif di sebalik kalimah “ءَاثَرَ” (āthara) yang digunakan oleh abang-abang Nabi Yusuf?

4. Jelaskan ironi yang terkandung dalam pengakuan abang-abang Nabi Yusuf apabila mereka menggunakan kalimah yang berakar daripada “ا ث ر” (jejak/kesan).

5. Teks ini membentangkan dua tafsiran yang berbeza mengenai nada dan niat di sebalik kata-kata abang-abang Nabi Yusuf. Apakah dua tafsiran tersebut?

6. Walaupun abang-abang Nabi Yusuf mengakui kesalahan mereka, apakah kekurangan yang terdapat dalam pengakuan mereka menurut analisis teks?

7. Apakah fungsi linguistik “إِنْ” (in) yang diringankan (In Mukhaffafah Minath-Thaqīlah) dalam frasa “وَإِن ڪُنَّا لَخَـٰطِـِٔينَ”?

8. Bezakan maksud antara kalimah “خَـٰطِـِٔينَ” (khāṭi’īn) dengan “مخطئ” (mukhṭi’) seperti yang dijelaskan dalam teks.

9. Siapakah yang secara konsisten menyebut nama Allah dengan cara yang menunjukkan ketundukan sebelum transformasi abang-abang Nabi Yusuf?

10. Apakah pengajaran yang boleh diambil daripada cara abang-abang Nabi Yusuf akhirnya menyedari kesalahan mereka?

 

 

Glosari Istilah Utama

Istilah
Definisi
تَاللهِ (Tāllāhi)
Kalimah sumpah yang paling tinggi, menandakan rasa terkejut yang amat sangat dan digunakan dalam konteks penyerahan diri kepada Allah.
ءَاثَرَ (āthara)
Melebihkan atau mengutamakan. Akar katanya (ا ث ر) bermaksud “jejak” atau “kesan”, membawa implikasi bahawa Allah memberikan kesan dan peninggalan yang kekal.
خَـٰطِـِٔينَ (khāṭi’īn)
Orang-orang yang melakukan kesalahan atau dosa secara sengaja, dengan kesedaran penuh bahawa perbuatan itu adalah salah.
مخطئ (mukhṭi’)
Orang yang melakukan kesalahan tanpa sengaja, sama ada kerana tidak tahu atau tidak berniat untuk melakukannya.
Al-Aziz
Gelaran yang merujuk kepada Menteri Besar atau pemerintah di Tanah Mesir pada zaman Nabi Yusuf.
In Mukhaffafah Minath-Thaqīlah
Istilah tatabahasa Arab untuk huruf إِنَّ (Inna) yang diringankan menjadi إِنْ (In), tetapi masih mengekalkan fungsi asalnya sebagai penegas (Tawkeed).
Lām Penegas
Huruf Lām (لَ) yang ditambah pada sesuatu perkataan (seperti dalam لَخَاطِئِينَ) untuk mengukuhkan lagi penegasan, terutamanya apabila digunakan bersama In Mukhaffafah.
Tawkeed / Lit-Tawkeed
Istilah bahasa Arab yang bermaksud penegasan atau pengukuhan makna dalam sesuatu ayat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 8 Disember 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Tafsir Surah Yusuf Ayat 90 (Ya, akulah Yusuf)

Yusuf Ayat 90: Ini adalah Keadaan ke 14 di mana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan memperkenalkan dirinya kepada saudara-saudaranya. Sekarang mereka terkejut sangat, bagaimana Menteri ini tahu tentang kisah itu? Mereka tidak pernah menyebut nama baginda. Mereka mula melihat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari atas ke bawah dan sekarang melihat dengan teliti sekali.

Apa yang akan anda lakukan jika selepas bertahun-tahun menderita, anda akhirnya berkuasa penuh ke atas orang yang telah menzalimi anda? Fikiran kita mungkin membayangkan detik pembalasan dendam yang memuaskan. Namun, kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menawarkan perspektif yang luar biasa tentang kuasa, kesabaran, dan kemenangan sejati. Tindakannya pada saat genting ini, ketika abang-abangnya yang dahulu zalim kini melutut di hadapannya, mengandungi pengajaran yang mendalam untuk kehidupan kita.

قَالُوٓاْ أَءِنَّكَ لَأَنتَ يُوسُفُ‌ۖ قَالَ أَنَا۟ يُوسُفُ وَهَـٰذَآ أَخِى‌ۖ قَد مَنَّ ٱللَّهُ عَلَينَآ‌ۖ إِنَّهُ ۥ مَن يَتَّقِ وَيَصبِر فَإِنَّ ٱللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجرَ ٱلمُحسِنِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “Are you indeed Joseph?” He said, “I am Joseph, and this is my brother. Allāh has certainly favored us. Indeed, he who fears Allāh and is patient, then indeed, Allāh does not allow to be lost the reward of those who do good.”

(MALAY)

Mereka berkata: “Apakah kamu ini benar-benar Yusuf?”. Yusuf menjawab: “Akulah Yusuf dan ini saudaraku. Sesungguhnya Allah telah melimpahkan kurnia-Nya kepada kami”. Sesungguhnya barang siapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik”

 

قَالُوٓاْ أَءِنَّكَ لَأَنتَ يُوسُفُ‌

Mereka berkata: “Apakah kamu ini benar-benar Yusuf?”

Mereka kehairanan kerana Al-Aziz ini boleh tanya begitu pula, bagaimana baginda boleh tahu? Setelah mereka melihat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan teliti, barulah mereka perasan yang Menteri Kewangan itu ada iras-iras Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sebelum ini mereka tidak perasan kerana tentulah mereka tidak ada sangkaan itu. Mereka mungkin teringat tentang mimpi yang dialami oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ banyak tahun dahulu ketika baginda kecil yang mereka adik beradik dan ibubapa mereka akan sujud kepada baginda. Maka mereka sudah dapat tahu yang itu adalah tanda yang baginda akan mendapat kedudukan yang tinggi.

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak terus menjerit, “Akulah Yusuf!” Sebaliknya, baginda memilih pendekatan yang lebih bijaksana dan mendalam. Bayangkan suasana itu: Adik-beradiknya berdiri jauh di bawah, manakala baginda duduk di atas takhta yang tinggi. Mungkin baginda turun dari takhtanya, mendekati mereka, merenung tepat ke dalam mata mereka dan mengajukan satu soalan yang spesifik dan tajam: “Tahukah kamu apa yang telah kamu lakukan terhadap Yusuf dan saudaranya…?”

Pendekatan ini sangat berkesan kerana ia tidak memberitahu, sebaliknya ia memaksa abang-abangnya untuk berfikir. Tiba-tiba, segala-galanya menjadi jelas. Dalam benak fikiran mereka yang panik, mereka mula menyambung sendiri titik-titik yang telah baginda tinggalkan: Kemurahan hatinya yang luar biasa, permintaannya yang khusus untuk melihat Bunyamin, cara baginda bercakap. Kebenaran itu ibarat ilusi optik atau babak latar belakang dalam filem; ia sentiasa ada di depan mata mereka, tetapi mereka tidak melihatnya kerana mereka tidak “benar-benar mencari”. Bayangkan mereka telah berapa kali bertemu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi masih tidak perasan adik mereka yang di hadapan mata mereka. Dengan memaksa mereka menemui kebenaran itu sendiri, kesedaran yang mereka alami menjadi jauh lebih mendalam dan mengubah hidup berbanding jika ia hanya diberitahu kepada mereka.

Mereka sebenarnya sudah ada sangkaan yang kuat, namun untuk memastikan lagi, maka mereka tanya: ‘Adakah engkau Yusuf?’ Muka mungkin sudah biru agaknya. Waktu mereka bertanya itu mungkin suara mereka terketar-ketar. Kita boleh bayangkan melalui kalimat yang digunakan. Sudahlah ada إنّ sebagai satu penegasan, ditambah pula dua kali mereka kata ‘engkau’ iaitu ك dan أَنتَ. Kemudian ada pula lam taukid (huruf ل sebagai penegasan). Mereka tanya itu bukannya kerana mereka kebingungan tetapi untuk mendapat kepastian sahaja kerana mereka sebenarnya sudah tahu yang di hadapan mereka itu adalah Yusuf, adik mereka! Dalam kepala mereka sekarang terbayanglah segala perbuatan mereka dahulu itu. Pada kali terakhir bukankah mereka menuduh baginda seorang pencuri? Lihat Ayat 77,

قَالُوٓاْ إِن يَسرِق فَقَد سَرَقَ أَخٌ لَّهُ ۥ مِن قَبلُ‌
Mereka berkata: “Jika dia mencuri, maka sesungguhnya, telah pernah mencuri juga saudaranya sebelum itu”

Ulama tafsir ada membincangkan bagaimana mereka boleh kenal. Ada yang bagi pendapat kerana bila mereka tengok cara baginda senyum, ia sama seperti senyuman Yusuf adik mereka. Akan tetapi agak susah hendak terima pendapat ini kerana ini bukan waktu untuk senyum. Suasana sedang tegang, bukan? Ada juga yang kata baginda menanggalkan mahkota di kepala baginda dan abang-abangnya nampak ada tanda pada dahi baginda.

 

قَالَ أَنَا۟ يُوسُفُ وَهَـٰذَآ أَخِى‌

Yusuf menjawab: “Akulah Yusuf dan ini saudaraku.

Baginda mengaku yang baginda adalah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kemudian baginda kata ini Bunyamin. Mengapa pula memperkenalkan Bunyamin, bukannya mereka tidak kenal? Ini kerana baginda menekankan bahawa Bunyamin itu adalah adik baginda. Maknanya baginda hendak beritahu baginda adalah Yusuf saudara kepada Bunyamin ini, bukan Yusuf yang lain. Akan tetapi ini agak lemah kerana selalunya kalau hendak perkenalkan diri, selalunya dikaitkan dengan ayah, bukan dengan adik.

Jadi mungkin Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ingin memberitahu: Jangan lupa, itu adalah adiknya (yang mereka telah menganiayanya juga). Sebagaimana gengster yang sering mengancam jangan diganggu bukan hanya dirinya sahaja tetapi keluarganya juga, bukan? Siaplah kalau keluarganya pun turut diganggu. Seolah-olah dengan memberitahu namanya dan adiknya itu adalah sebagai isyarat untuk mereka ingat kembali tentang kezaliman yang abang-abang itu lakukan kepada mereka berdua. Namun begitu kata-kata itu tidak keluar, cuma tersirat sahaja pada sebutan nama itu. Ia terucap secara halus sahaja. Seolah-olah baginda cakap: “Dulu kalian berlagak sangat dengan kami, bukan? Sekarang amacam?”

Juga di dalam masa yang sama, baginda menyatakan yang mereka semua telah berjaya dalam misi mereka. Misi mana? Misi arahan bapa mereka untuk mencari Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin. Ternyata sekarang kedua-duanya sudah berada di hadapan mata mereka. Tahniah, sudah jumpa.

Lihat bagaimana baginda tidak mengakui pun mereka itu abang-abangnya. Ini kerana dahulu mereka tidak mengaku yang mereka berdua adalah sama dengan mereka, mereka kata mereka puak yang lain, sekarang baginda ulang semula sahaja. Baginda hanya pulangkan balik kata-kata kepada mereka kerana mereka sebelum ini bukannya geng dengan mereka berdua, bukan?

 

قَد مَنَّ اللهُ عَلَينا

Sesungguhnya Allah telah melimpahkan kurnia-Nya kepada kami”. 

Kalau tadi bunyi amat menakutkan kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ boleh membuat apa-apa sahaja. Baginda boleh sahaja membina 10 buah telaga untuk dimasukkan setiap seorang daripada abang-abangnya itu jika baginda mahu. Namun sebaliknya, tiba-tiba Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bercakap dengan nada positif pula. Lihat bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memuji Allah ‎ﷻ. Baginda kata Allah ‎ﷻ telah memberi banyak nikmat ke atas mereka berdua. Ada banyak nikmat yang kita boleh bincangkan. Pertamanya, nikmat mereka ditemukan kembali setelah sekian lama.

 

Anjakan Paradigma

Aduh, indahnya apa yang baginda lakukan! Bayangkan seketika suasana tegang di dalam dewan itu. Adik-beradik yang kelaparan, ketakutan, dan rasa bersalah berdiri di hadapan pemerintah agung yang pernah mereka campakkan ke dalam perigi. Selepas mendedahkan identitinya, tentu mereka rasa dunia mereka pasti runtuh. Tak cukup tanah untuk mereka lari. Mereka hanya menanti hukuman. Namun apa yang keluar dari mulut Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah sesuatu yang tidak dijangka sama sekali! Kata-kata pertamanya selepas berdekad-dekad kesakitan dan kesedihan menghadapi ujian bukanlah tentang dendam atau kesalahan mereka. Sebaliknya, ia adalah tentang kesyukuran: “Allah sesungguhnya telah mengurniakan nikmat kepada kami berdua.”

Persoalan: apa lagi nikmat apa yang baginda maksudkan? Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا mengatakan nikmat mereka tetap di atas iman walaupun apa yang terjadi kepada mereka. Mereka tidak terpengaruh dengan bisikan syaitan yang sentiasa mengajak melakukan perkara yang salah.

Di sini ada kata-kata sindiran terhadap abang-abang itu: “Kami ini dapat jaga iman kami, tapi kamu? Kamu ikut nafsu kamu dan kamu ikut bisikan syaitan.” Walupun kalimat ini baginda tidak cakap namun ia boleh difikirkan. Baginda tetap menjaga hati mereka walaupun mereka tidak layak menerimanya.

Tindakan ini sangat luar biasa. Fikirannya serta-merta beralih daripada kesalahan yang mereka lakukan pada masa lalu kepada kebaikan yang Allah ‎ﷻ telah lakukan pada masa kini. Bukanlah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak cakap langsung tentang apa yang telah berlaku. Baginda sudah sebut pun sebelum ini dalam Ayat 89: قَالَ هَل عَلِمتُم مَّا فَعَلتُم بِيُوسُفَ وَأَخِيهِ إِذ أَنتُم جَـٰهِلُونَ (Yusuf berkata: “Apakah kamu mengetahui (kejelekan) apa yang telah kamu lakukan terhadap Yusuf dan saudaranya ketika kamu tidak mengetahui (akibat) perbuatanmu itu?”) namun setakat ini sahajalah. Tidaklah baginda sembur mereka. Sebaliknya baginda terus sebut perkara positif. Ia menunjukkan satu anjakan perspektif yang mendalam, daripada seorang mangsa yang mengingati penderitaan kepada seorang penerima nikmat yang mengiktiraf kurniaan Tuhan pada saat ini. Ia adalah satu anjakan paradigma yang hebat. 

Ini ada satu perkara yang kita boleh belajar dan amalkan dalam kehidupan kita untuk merendah diri. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah memiliki kuasa, tetapi baginda kembalikan nikmat itu kepada Allah ‎ﷻ. Baginda tidak berlagak kerana baginda tahu yang apa yang terjadi itu adalah semua dalam perancangan Allah ‎ﷻ. Ini seperti yang disebut oleh Nabi Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ketika baginda mendapat nikmat kekuasaan daripada Allah ﷻ, disebut di dalam Naml:40

قالَ هٰذا مِن فَضلِ رَبّي
dia pun berkata: “Ini termasuk kurnia Tuhanku”

Maka kalau orang tanya kita selepas ini, bagaimana tuan boleh jadi kaya? Maka jawapannya kita kembalikan kepada Allah ﷻ. Jangan kita sibuk cerita usaha kita sahaja tetapi lupa untuk selit nama Allah dalam kejayaan kita itu.

Nikmat seterusnya yang telah diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin adalah dikeluarkan daripada kekangan yang membelenggu mereka. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ keluar dari telaga, perhambaan dan penjara. Bunyamin pula daripada kekangan buli abang-abang mereka. Allah ﷻ telah selamatkan mereka dan memberi ketenangan kepada mereka. Ini adalah sebuah nikmat yang amat besar. Berapa ramai lagi dalam kalangan kita yang masih di dalam kekangan belenggu ini? Dalam keluarga yang toksik, perkahwinan yang toksik, tempat kerja yang toksik dan sebagainya. Semoga Allah ﷻ beri mereka kelapangan yang telah diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin ini.

Satu lagi nikmat yang diberikan kepada mereka berdua itu adalah kelebihan mengatasi abang-abang itu. Kalau dahulu abang-abang itu menindas mereka, sekarang abang-abang itu tidak ada kuasa lagi untuk menindas. Mereka sudah tidak ada kuasa. Yang ada kuasa adalah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula yang boleh menjaga adiknya itu. Namun Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidaklah kata baginda mengatasi mereka pula. Hanya baginda cakap Allah ﷻ telah beri nikmat sahaja ke atas mereka berdua. Ini kerana baginda masih lagi menjaga hati mereka. Mereka faham-faham sendiri sahaja malah mereka sendiri akan cakap selepas ini nanti: قَالُواْ تَٱللَّهِ لَقَد ءَاثَرَكَ ٱللَّهُ عَلَينَا وَإِن ڪُنَّا لَخَـٰطِـِٔينَ (sesungguhnya Allah telah melebihkan kamu atas kami).

 

Kekal Positif

Satu lagi ia mengajar kita ketika kita menceritakan kisah hidup kita kepada orang lain. Kita telah baca perjalanan hidup Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari awal lagi dan betapa susahnya hidup baginda. Ujian demi ujian telah diberikan kepada baginda. Akan tetapi di sini kita lihat baginda tidak sebut pun segala kesukaran itu sebaliknya baginda sebut tentang nikmat daripada Allah ﷻ sahaja. Maka ini adalah sunnah yang kita perlu ikut iaitu setelah kita diselamatkan daripada masalah, tidak perlu untuk disebut-sebut lagi. Menyebut-nyebut masalah yang Allah ﷻ telah selesaikan adalah tanda tidak syukur dan dinamakan sebagai كَنود (kanud) seperti yang disebut di dalam Aadiyat:6

إِنَّ ٱلإِنسَـٰنَ لِرَبِّهِۦ لَكَنُودٌ
sesungguhnya manusia itu sangat ingkar, tidak berterima kasih kepada Tuhannya,

Jadi orang yang كَنود ini adalah orang yang nampak masalah memanjang, sedangkan yang nikmat Allah ﷻ bagi dia tidak nampak pun dan bila tidak nampak, dia tidak bersyukur. Maka ingatlah kata-kata Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini yang hanya sebut nikmat sahaja. Cuba bandingkan masalah kita yang tidaklah sebesar baginda pun, tetapi satu kampung kita canang, bukan?

 

Makna ‘nikmat’

Kenyataan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, “Allah telah memberi nikmat kepada kami berdua,” menimbulkan satu persoalan menarik. Bagaimana baginda boleh berkata begitu sedangkan keadaan mereka berdua (baginda dan Bunyamin) sangat berbeza? Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah pemerintah yang kaya dan berkuasa, manakala Bunyamin datang daripada keluarga yang kelaparan dan telah dizalimi.

Di sinilah letaknya pengajaran yang mendalam: Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak mengukur nikmat Allah ‎ﷻ dari segi material. Bagi baginda, tidak kira sama ada persekitarannya adalah dinding perigi, sel penjara, atau istana… latar belakangnya mungkin berubah-ubah, tetapi nikmat Allah ‎ﷻ tetap kekal. Nikmat sejati yang mereka kongsi bukanlah kekayaan duniawi. Baginda memahami nikmat Allah ‎ﷻ bukan dalam bentuk materialistik semata seperti kita. Kalau kita, mungkin hanya memandang orang kaya sahaja yang telah mendapat nikmat, bukan? Ini adalah pandangan yang cetek. Semua orang dapat nikmat, mungkin dengan cara berbeza. Sebagai contoh, orang yang miskin tetapi anak ramai. Ini juga adalah nikmat.

Nikmat di atas segala nikmat yang lain adalah apabila Allah ‎ﷻ membenarkan kita untuk berpegang pada iman kita tidak kira apa pun keadaan hidup. Maka ini mengajar kita menilai kembali definisi ‘nikmat’ itu sendiri. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajar kita yang nikmat terbesar bagi baginda adalah keupayaan untuk berpegang teguh pada iman dan maruah diri walau dalam apa jua keadaan. Dari sudut pandang ini, seorang raja dan seorang penggembala yang miskin boleh menjadi sama-sama diberkati. 

Baginda sebut ini ketika baginda berada di atas takhta kerajaan Mesir. Mungkin kita rasa senanglah baginda cakap begitu, bukan? Namun perhatikan sama sahaja ketika baginda di dalam penjara pun, baginda sebut nikmat Allah juga. Ini kita boleh lihat di dalam Ayat 38,

ذٰلِكَ مِن فَضلِ ٱللَّهِ عَلَينَا وَعَلَى ٱلنَّاسِ
Yang demikian itu adalah daripada kurnia Allah kepada kami dan kepada manusia

Maknanya mata kita kena melihat nikmat Allah di dalam semua keadaan. Jangan di dalam senang sahaja kita nampak nikmat, tetapi ketika susah, seolah semua nikmat tidak ada. Begitu juga apabila hidup senang, kena ingat yang segala nikmat ini adalah pemberian daripada Allah .

 

Nikmat di dunia atau di akhirat? 

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diberikan dengan nikmat di dunia. Tentunya ini adalah salah satu nikmat kurnia daripada Allah kerana menjadikan baginda seorang yang mukmin, beriman, bersabar, malah seorang Muhsin. Adakah hanya kerana berkelakuan baik di dunia, menjaga solat serta segala amalan ibadah yang lain serta tidak mengganggu orang dan sebagainya, kita pasti akan mendapat nikmat di dunia?

Ini adalah satu perbincangan yang besar. Ini kerana ramai sahaja orang yang menjaga solat kerana mereka sangka dengan menjaga solat, rezeki akan mudah, hidup akan senang dan sebagainya. Adakah ini pasti? Sebenarnya tidak ada kepastian yang disebut di dalam Al-Qur’an tentang seseorang itu akan pasti mendapat kebaikan di dunia sekiranya dia menjadi seorang yang Mukmin. Yang pasti, dia akan dibalas di akhirat dengan kelebihan berlipat kali ganda. Namun persoalannya adalah tentang balasan di dunia. Dapat atau tidak balasan keduniaan? Adakah kita tidak boleh berharap kebaikan di dunia, hanya menunggu di akhirat sahaja? Ini persoalan yang timbul di dalam benak kita, bukan?

Pertamanya kita kena ingat yang kita ini adalah hamba Allah dan redha dengan ketentuan-Nya. Ada orang dapat nikmat di dunia dan ada orang yang tidak dapat, maka dia boleh berharap balasan di akhirat. Akan tetapi adakah bersalah untuk berharap? Tentu tidak! Inilah yang kita dapat melalui kisah daripada surah ini. Kita lihat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri. Baginda seorang yang sabar dan tentunya redha dengan ketentuan Allah ‎ﷻ. Namun kita lihat baginda berharap untuk berjumpa dengan anaknya lagi, bukan? Tidaklah baginda tidak berbuat apa-apa, senyap sahaja; malah baginda selalu berharap untuk bertemu kembali dengan anaknya itu. Jadi kita boleh berharap kita menjadi pandai, anak-anak sihat, hubungan keluarga kita baik, kejayaan syarikat kita hebat, ekonomi kita mantap dan lain-lain lagi.

Kemudian, kita mestilah berusaha untuk mendapatkannya dengan cara yang halal. Bukan sahaja halal tetapi dengan cara terbaik. Sebagai contoh, untuk lulus peperiksaan, bukannya dengan berdoa dan Solat Tahajjud sahaja, tetapi kenalah belajar. Sekiranya tidak dapat, waktu itu kita bersabarlah kerana Allah ‎ﷻ telah takdirkan kita tidak mendapat kesenangan di dunia. Namun begitu tidaklah salah untuk kita berharap dan berdoa untuk dunia juga. Begitulah yang Allah ‎ﷻ telah ajar kita di dalam Baqarah:201

وَمِنهُم مَّن يَقولُ رَبَّنا ءَاتِنَا فِي الدُّنيا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنا عَذابَ النّارِ
Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka”.

 

إِنَّهُ ۥ مَن يَتَّقِ وَيَصبِر

Sesungguhnya barang siapa yang bertaqwa dan bersabar,

Nikmat taqwa dan sabar ini juga telah diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin dan mereka bersyukur kerananya. Maka seharusnya inilah yang perlu dilakukan oleh manusia: Taqwa dengan menjaga hukum dan sabar dengan ujian Allah ‎ﷻ. Mereka yang melakukan dua perkara ini akan mendapat balasan baik daripada Allah ‎ﷻ. Kita sudah belajar tentang perjalanan hidup mereka terutama sekali Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang mengajar kita tentang dua sifat ini. Maka inilah dua pelajaran penting di dalam surah ini.

Ia juga mengajar kita yang untuk keluar daripada masalah dan musibah adalah dengan taqwa dan sabar. Kalau ada kesedihan pun kena ada dua sifat ini. Begitulah juga Allah ﷻ telah sebut di dalam Ali Imran:120 tentang dua sifat ini yang akan menyelamatkan kita,

وَإِن تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا لَا يَضُرُّكُمْ كَيْدُهُمْ شَيْئًا
Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun

Siapa yang boleh dapat dua sifat ini? Yang boleh dapat begini kalau orang itu faham dengan konsep tauhid yang diambil daripada Al-Qur’an. Maka kerana itu kita hendaklah belajar bersungguh-sungguh tafsir Al-Qur’an ini dan mesti luangkan masa. Kalau tidak, sebut nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja orang Melayu hanya tahu dua perkara sahaja: ‘Nabi Yusuf hensem dan baginda menikah pula dengan Zulaikha!’

Jangan kita kata Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kata baginda bertaqwa dan bersabar pula. Kalimah مَن bermaksud ‘sesiapa’. Baginda hanya memberitahu yang dua kualiti itu akan menyelamat sesiapa sahaja, namun tidaklah baginda kata baginda sudah ada dua sifat itu. Namun sudah tentulah baginda pun termasuk juga. Ini kerana kita tidak boleh memuji diri sendiri suci seperti disebut di dalam Najm:32

فَلا تُزَكّوا أَنفُسَكُم ۖ هُوَ أَعلَمُ بِمَنِ اتَّقىٰ
maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih daripada dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.

 

Taqwa

Apakah taqwa itu? Ringkasnya adalah perasaan takut kepada Allah ‎ﷻ kerana sedar yang Allah ‎ﷻ sedang memerhatikan kita. Jadi kita akan jaga hukum dan sedaya upaya tidak melanggarnya. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun ada juga peluang untuk melakukan kemungkaran, contohnya dengan isteri Al-Aziz itu. Akan tetapi baginda masih ada taqwa dan Allah ‎ﷻ selamatkan baginda. Ia mengajar kita yang kita ini semua ada nafsu yang sentiasa mengajar kita melakukan banyak perkara yang haram. Namun yang menghalang kita daripada melakukannya adalah taqwa. Taqwa itu yang menjaga kita. Sepertimana abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu telah termakan dengan bisikan syaitan yang membisikkan kedengkian ke dalam hati mereka. Mereka merasakan bapa mereka melebihkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada mereka. Sepatutnya mereka sedar perkara itu dan menggunakan taqwa untuk menghalang mereka daripada melakukan kezaliman. Adakah mereka tidak tahu yang dengki itu adalah sifat iblis yang menyebabkan dia benci kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dahulu? Takkan bapa mereka tidak pernah menceritakan?

Taqwa itu pula bukan hanya ada sekali dua sahaja, tetapi kena sentiasa ada dan ini memerlukan sabar. Maka di sini Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajar kita juga tentang sabar; iaitu sabar untuk terus menjaga iman, akhlak, agama kita. Kalau tidak ada sabar, maka akan habis berantakanlah hidup kita ini. Sebenarnya bab sabar ini sudah banyak kita bincangkan dengan panjang lebar di tempat yang lain. Kali ini kita lihat sabar dari sudut lain pula.

 

Sabar

Kita sering mengaitkan sabar dengan ketabahan semasa ditimpa musibah. Namun, kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memperkenalkan kita kepada dua jenis sabar, dan salah satunya jauh lebih sukar daripada yang lain.

1. Jenis pertama adalah sabar dalam situasi di luar kawalan kita, seperti dicampak ke dalam perigi, difitnah, atau dipenjarakan tanpa sebab. Ini adalah jenis sabar yang biasa kita fahami.

2. Jenis kedua, yang jauh lebih sukar, adalah sabar (menahan diri) apabila kita mempunyai kuasa penuh untuk membalas dendam. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, sebagai pemerintah Mesir yang berkuasa, boleh melakukan apa sahaja kepada abang-abangnya yang tidak berdaya. Namun, baginda memilih untuk menahan diri. Mengapa ini lebih sukar? Kerana kita boleh dan orang lain tidak boleh menghalang kita. Yang boleh menghalang kita adalah kita sendiri. Kesabaran ini hanya boleh lahir daripada kesedaran akan kekuasaan mutlak Allah ‎ﷻ ke atas diri kita, walaupun kita mempunyai kuasa duniawi ke atas orang lain. Kalau sabar jenis pertama kita tidak ada kuasa, tetapi sebenarnya sabar jenis kedua ini pun kita tidak ada kuasa juga kerana Allah ‎ﷻ tetap berkuasa ke atas kita. Kerana itulah dalam ayat ini Allah ‎ﷻ gandingkan sabar dengan taqwa. Sedarlah kita bahawa hanya taqwa yang akan menghalang kita daripada melakukan perkara yang melampau. 

Jadi jenis sabar ini sukar kerana anda perlu bertindak dengan menahan diri ketika anda mempunyai kuasa dan kawalan. Kesabaran Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pada detik itu menunjukkan kekuatan karakter tertinggi, di mana penguasaan diri yang didorong oleh iman mengatasi keinginan untuk membalas.

Namun begitu, jangan salah faham pula. Kita memang mempunyai hak untuk membalas kezaliman ke atas diri kita. Kita bukannya seperti agama Kristian di mana jika ada orang yang menghentam diri kita, kita biarkan lagi dia menghentam seperti disebut di dalam Matthew 5:39-40: 39 But I say unto you, That ye resist not evil: but whosoever shall smite thee on thy right cheek, turn to him the other also. 40 And if any man will sue thee at the law, and take away thy coat, let him have thy cloke also. Di dalam Islam dengan jelas menyebut yang kita boleh balas kezaliman itu, cuma terdapat galakan untuk memaafkan. Ini disebut di dalam Syura:41-43

وَلَمَنِ ٱنتَصَرَ بَعۡدَ ظُلۡمِهِۦ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ مَا عَلَيۡہِم مِّن سَبِيلٍ (٤١) إِنَّمَا ٱلسَّبِيلُ عَلَى ٱلَّذِينَ يَظۡلِمُونَ ٱلنَّاسَ وَيَبۡغُونَ فِى ٱلۡأَرۡضِ بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ (٤٢) وَلَمَن صَبَرَ وَغَفَرَ إِنَّ ذٰلِكَ لَمِنۡ عَزۡمِ ٱلۡأُمُورِ (٤٣)
Dan sesungguhnya orang yang bertindak membela diri setelah dia dizalimi, maka mereka yang demikian keadaannya, tidak ada sebarang jalan hendak menyalahkan mereka. (41) Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak berperi sakitnya. (42) Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya). (43) 

Jadi dua sifat telah disebut oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Dua sifat itu tidak ada pada abang-abangnya itu sampai menyebabkan mereka telah tersasar jauh dari jalan agama. Namun begitu, mereka masih lagi ada peluang. Lihat kalimat يَتَّقِ وَيَصبِر di dalam bentuk present and continuous tense. Ini bermakna untuk masa sekarang dan masa hadapan; bukannya masa lalu. Masa lalu mungkin tidak ada sifat itu tetapi hidup masih ada dan peluang untuk berubah terbentang luas. Maka ini memberi semangat kepada kita ini. Manusia mungkin menilai kita tentang kehidupan kita yang lalu namun Allah ‎ﷻ bukan menilai kita di masa lalu tetapi kedudukan kita di penghujung nyawa kita. Rasulullah ﷺ telah bersabda,

وَإِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالخَوَاتِيمِ
“Sesungguhnya amalan itu dilihat pada pengakhirannya.”

[Riwayat al-Bukhari (6607)]

 

فَإِنَّ اللهَ لا يُضيعُ أَجرَ المُحسِنينَ

maka sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik”

Perhatikan frasa yang digunakan: “Allah tidak mensia-siakan pahala”. Mengapa tidak disebut sahaja begini: “Allah memberi pahala”? Kerana taqwa (menahan diri daripada dosa) dan sabar (menahan diri daripada membalas dendam) sering kali terasa seperti satu kerugian atau peluang yang terlepas. Frasa ini adalah jaminan ilahi bahawa setiap pengorbanan dan pengekangan diri itu tidak pernah sia-sia di sisi Tuhan. Ia adalah satu jemputan terbuka kepada adik-beradiknya, dan kepada kita semua, untuk memulakan hidup baru berdasarkan prinsip abadi ini.

Sebelum ini telah disebut tentang taqwa dan sabar. Sekarang apakah gandingan taqwa dan sabar dan kepentingannya? Apakah kaitannya dengan sifat Muhsin? Taqwa adalah penghalang kepada nafsu daripada bertindak semberono sahaja. Jadi ia adalah perkara dalaman, peperangan yang sentiasa berlaku dalam diri kita. Sabar pula adalah perkara luaran iaitu apa yang dikenakan kepada kita. Contohnya orang tipu kita, kita kena sabar daripada mengambil tindakan yang tidak sepatutnya. 

Sekarang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajar kita tentang Ihsan dengan satu ayat yang pendek sahaja; iaitu kalau seseorang itu ada taqwa dan sabar, akan menjadikan seseorang itu sebagai seorang Muhsin (orang yang baik hati). Maknanya Allah ‎ﷻ ingin mengajar dalam ayat ini yang taqwa dan sabar adalah jalan ke Maqam Ihsan. Ini kerana kalau kita lihat ayat ini, selepas Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyebut tentang taqwa dan sabar, Allah ﷻ tidak kata pula: Allah ﷻ tidak menyia-nyiakan orang yang ada taqwa dan sabar; sebaliknya Allah ﷻ sebut tentang المُحسِنينَ. Ini bermakna Allah ﷻ sedang memberi isyarat yang taqwa dan sabar itu adalah jalan untuk mendapat peringkat yang tertinggi, iaitu المُحسِنينَ.

Di dalam Islam ada peringkat Muslim, Mukmin dan Muhsin. Muslim adalah peringkat pertama setelah mengucap Dua Kalimah Syahadah maka anda terus menjadi seorang Muslim. Mukmin adalah apabila sudah ada iman dalam diri. Manakala peringkat yang lebih tinggi lagi adalah Muhsin. Dalam sebuah hadith popular yang dikenali dengan nama ‘Hadith Jibril’, di mana Rasulullah ﷺ menjelaskan makna Ihsan sebagai berikut,

أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ
“Hendaklah Engkau beribadah kepada Allah ﷻ seakan-akan Engkau melihat-Nya. Kalaupun Engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu”

(Hadith Riwayat Muslim No. 8)

Apa kaitan melihat Allah ﷻ ini dengan taqwa dan sabar? Kita telah sebut orang yang ada taqwa akan melawan kehendak nafsu dia daripada melakukan dosa. Apakah yang menyebabkan dia boleh lawan itu? Jika dia yakin Allah ﷻ sedang melihatnya! Dia hendak buat dosa sahaja dia akan takut dan segera berhenti kerana dia tahu yang Allah ﷻ sedang memerhati.

Sabar pula adalah menerima dugaan dari luaran seperti diganggu, dizalimi, dikutuk, dituduh dan sebagainya. Orang yang sabar akan menahan dirinya daripada melakukan perkara yang tidak patut kerana dia sedar segala musibah yang dia sedang terima itu adalah ujian daripada Allah ﷻ.

Kita telah lihat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menunjukkan Maqam Ihsan yang terbaik iaitu berbuat baik dengan orang yang jahat dengan baginda. Kita kena ingat yang ihsan ini lebih tinggi daripada ‘adil’. Adil itu membalas atau memperlakukan orang lain sama seperti yang dia lakukan terhadap kita. Sedangkan ihsan ini memberi lebih banyak daripada yang harus diberikan.

Maka begitulah yang kita telah dilakukan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kita telah belajar bagaimana isteri Al-Aziz telah menyebabkan baginda dimasukkan ke dalam penjara, namun baginda tidak sebut pun namanya kepada raja. Abang-abangnya telah berlaku sangat zalim kepada baginda menyebabkan berpuluh tahun baginda merana menjadi hamba dan masuk penjara. Namun apabila mereka datang, baginda beri mereka makanan dan nanti baginda akan maafkan mereka.

Begitulah syarahan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terhadap abang-abangnya itu. Kenapa agaknya baginda macam bagi ceramah pula? Ini baru sahaja dan patutnya jejak kasihlah patut berlangsung, tetapi tidak, mereka dapat nasihat pula. Ibn Asyur رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sedar yang ini adalah saat yang akan menjatuhkan ego abang-abangnya itu dan ketika manusia sedang jatuh egolah mereka boleh dengar nasihat. Maka Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengambil peluang keemasan ini. Maknanya ini adalah salah satu daripada usul dakwah juga, iaitu memilih masa yang tepat untuk berdakwah.

Baginda bukannya menegur mereka teruk sangat, kerana baginda tentu masih ingat apa yang bapanya sebut lama dahulu ketika baginda masih kecil seperti disebut di dalam Ayat 5, masih ingat lagi?

قالَ يٰبُنَيَّ لا تَقصُص رُءياكَ عَلىٰ إِخوَتِكَ فَيَكيدوا لَكَ كَيدًا ۖ إِنَّ الشَّيطٰنَ لِلإِنسٰنِ عَدُوٌّ مُّبينٌ
Ayahnya berkata: “Hai anakku, janganlah kamu ceritakan mimpimu itu kepada saudara-saudaramu, maka mereka merancang rancangan terhadapmu. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia”.

Maknanya ini adalah kerja syaitan. Mereka telah termakan dengan hasutan syaitan sampai mereka telah membuat apa yang mereka telah lakukan itu. Bukanlah salah mereka sahaja. Jadi ceramah ini penting supaya mereka ingat dan jangan termakan dengan hasutan syaitan lagi.

 

 

Kuiz Pemahaman

Jawab soalan-soalan berikut dalam dua hingga tiga ayat, berdasarkan maklumat daripada konteks sumber.

1. Apakah pendekatan bijaksana yang digunakan oleh Nabi Yusuf a.s. untuk mendedahkan identitinya, dan mengapa ia lebih berkesan daripada pengakuan secara langsung?

2. Apakah bukti linguistik dalam pertanyaan abang-abang Nabi Yusuf (أَءِنَّكَ لَأَنتَ يُوسُفُ) yang menunjukkan mereka sudah mempunyai sangkaan kuat tentang identitinya?

3. Mengapakah Nabi Yusuf a.s. menyebut nama Bunyamin (وَهَـٰذَآ أَخِى) sejurus selepas memperkenalkan dirinya? Huraikan sekurang-kurangnya dua kemungkinan tafsiran.

4. Apakah yang dimaksudkan dengan “anjakan paradigma” yang ditunjukkan oleh Nabi Yusuf a.s. selepas mendedahkan identitinya?

5. Menurut tafsiran Ibn Abbas, apakah salah satu nikmat terbesar yang dimaksudkan oleh Nabi Yusuf a.s. apabila baginda berkata “Allah telah melimpahkan kurnia-Nya kepada kami”?

6. Bagaimanakah Nabi Yusuf a.s. mentakrifkan semula konsep ‘nikmat’ yang berbeza daripada pandangan materialistik biasa?

7. Huraikan dua jenis sabar yang diperkenalkan dalam kisah Nabi Yusuf a.s. dan nyatakan jenis mana yang dianggap lebih sukar.

8. Apakah hubungan antara taqwa dan sabar dalam membentuk seorang Muhsin, seperti yang diisyaratkan dalam ayat ini?

9. Apakah yang dimaksudkan dengan istilah كَنود (kanud) dan bagaimana ia berbeza dengan sikap yang ditunjukkan oleh Nabi Yusuf a.s.?

10. Mengapakah Nabi Yusuf a.s. memilih untuk memberi ‘ceramah’ atau nasihat kepada abang-abangnya pada saat pendedahan identitinya yang tegang itu?

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi Berdasarkan Konteks
Al-Aziz
Gelaran yang merujuk kepada Menteri Kewangan Mesir pada zaman Nabi Yusuf a.s.
Anjakan Paradigma
Perubahan perspektif yang mendalam, seperti tindakan Nabi Yusuf a.s. beralih daripada mengingati penderitaan (sebagai mangsa) kepada mengiktiraf kurniaan Tuhan (sebagai penerima nikmat) pada saat genting.
Ihsan
Peringkat tertinggi dalam Islam selepas Muslim dan Mukmin. Maknanya dijelaskan sebagai “beribadah kepada Allah seakan-akan kamu melihat-Nya, dan jika kamu tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu”. Berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat adalah salah satu manifestasinya.
Kanud (كَنود)
Sifat manusia yang sangat engkar dan tidak berterima kasih kepada Tuhannya. Orang yang bersifat kanud cenderung untuk sentiasa melihat masalah dan tidak mensyukuri nikmat yang diberikan Allah.
Lam Taukid
Huruf ل yang digunakan dalam bahasa Arab sebagai salah satu bentuk penegasan (taukid) untuk menguatkan sesuatu kenyataan atau soalan.
Maqam Ihsan
Tingkatan atau kedudukan Ihsan, iaitu peringkat tertinggi dalam keimanan di mana seseorang sentiasa merasa diawasi oleh Allah. Jalan untuk mencapainya adalah melalui taqwa dan sabar.
Muhsin (المُحسِنِينَ)
Orang-orang yang berbuat baik; mereka yang telah mencapai Maqam Ihsan. Seseorang menjadi Muhsin apabila mempunyai sifat taqwa dan sabar.
Mukmin
Peringkat kedua dalam Islam selepas Muslim. Ia merujuk kepada seseorang yang sudah mempunyai iman yang teguh di dalam hatinya.
Muslim
Peringkat pertama dalam Islam, yang dicapai setelah seseorang mengucap Dua Kalimah Syahadah.
Sabar
Mempunyai dua jenis utama dalam konteks ini: (1) Sabar dalam menghadapi musibah yang di luar kawalan. (2) Sabar dengan menahan diri daripada membalas dendam apabila mempunyai kuasa penuh, yang dianggap lebih sukar dan memerlukan taqwa.
Taqwa
Perasaan takut kepada Allah yang lahir daripada kesedaran bahawa Allah sentiasa memerhatikan kita. Ia menjadi penghalang dalaman yang menjaga seseorang daripada melanggar hukum Allah dan mengikut hawa nafsu.

 

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 6 Disember 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)