Tafsir Surah an-Nahl Ayat 123 – 124 (ikut agama Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)

Nahl Ayat 123: Dalil Wahyi. Ini adalah titah khas kepada Nabi Muhammad ﷺ. Nabi Muhammad ﷺ kena ikut agama Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka Nabi Muhammad ﷺ telah mewarisi agama Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

ثُمَّ أَوحَينا إِلَيكَ أَنِ اتَّبِع مِلَّةَ إِبرٰهيمَ حَنيفًا ۖ وَما كانَ مِنَ المُشرِكينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then We revealed to you, [O Muḥammad], to follow the religion of Abraham, inclining toward truth; and he was not of those who associate with Allāh.

(MELAYU)

Kemudian Kami wahyukan kepadamu (Muhammad): “Ikutilah agama Ibrahim seorang yang hanif” dan bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan.

 

ثُمَّ أَوحَينا إِلَيكَ أَنِ اتَّبِع مِلَّةَ إِبرٰهيمَ حَنيفًا

Kemudian Kami wahyukan kepadamu (Muhammad): “Ikutilah agama Ibrahim seorang yang hanif”

Sekarang kembali khitab kepada Nabi Muhammad ﷺ dan digunakan di sini kalimah ثُمَّ. Ia adalah salah satu huruf athaf (kata penyambung). Ada juga huruf athaf yang lain seperti و dan ف. Kalau و yang digunakan, ia tidak memberi maksud susunan. Sebagai contoh kalimah جاء زيد ومحد. Ia hanya memberitahu Zaid dan Muhammad telah datang, tetapi tidak tahu siapa yang datang dahulu. Akan tetapi kalau digunakan جاء زيد فمحد, maka ia memberitahu Zaid datang dahulu dan kemudian terus Muhammad datang. Namun kalau digunakan جاء زيد ثُمَّ محد, ia bermaksud Muhammad datang selepas Zaid datang, akan tetapi jangka masa antara kedatangan mereka agak lama. Jadi kalimah ثُمَّ digunakan di sini kerana jangkamasa antara Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Muhammad ﷺ amat lama.

Apakah itu wahyu? Pengertian wahyu dari segi bahasa: sesuatu perkara yang disampaikan oleh Allah ﷻ kepada hamba-Nya yang terpilih dengan cara tersembunyi dan halus, tidak dapat dikesan oleh manusia lain. Memberitahu sesuatu dengan cara yang tidak jelas atau samar-samar dan segera.

Dari segi istilah: Segala apa yang disampaikan oleh Allah ﷻ secara rahsia kepada nabi dan rasul-Nya, seperti Al-Qur’an dan hadith. Ia mengandungi arahan dan pemberitahuan daripada Allah ﷻ. Ia adalah sesuatu yang hebat kerana wahyu itu datang daripada Allah ﷻ sendiri. Maka ia menunjukkan ketinggian Nabi Muhammad ﷺ kerana datang daripada Allah ﷻ yang mulia kepada insan yang hebat, iaitu Nabi Muhammad ﷺ.

Setelah diberitahu tentang Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu, Nabi Muhammad ﷺ diarahkan untuk mengikuti agama Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka dari sini kita dapat tahu bahawa Nabi Muhammad ﷺ bukanlah pereka agama yang baru seperti yang banyak dikatakan orang. Baginda hanya mewarisi sahaja agama Islam yang telah ada sebelum itu. Maka apabila Nabi Muhammad ﷺ mengajak golongan Yahudi dan Nasara untuk ikut baginda, baginda bukannya ajak mereka ikut agama baru rekaan baginda, akan tetapi kepada agama tok nenek mereka iaitu agama Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Malah Islam bukanlah agama baru yang bermula pada zaman Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan tetapi lebih lama dari itu lagi, iaitu agama yang sama diamalkan oleh Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lagi.

Perkara paling penting adalah hanif – fokus kepada Allah ﷻ – bermaksud tauhid. Maka begitulah Nabi Muhammad ﷺ ikut fahaman Tauhid Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Begitu juga dengan syariat, Nabi Muhammad ﷺ pun ikut juga, melainkan beberapa pembaharuan yang Allah ﷻ telah berikan.

Kenapa Nabi Muhammad ﷺ diarahkan untuk ikut syariat Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Bukankah baginda (Nabi Muhammad ﷺ) lebih tinggi kedudukannya kalau dibandingkan dengan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Nabi Muhammad ﷺ adalah afdhal sedangkan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah mafdul (kurang daripada status afdhal). Ini adalah kerana,

1. Syariat Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah datang dahulu lebih awal.

2. Sebagai penghormatan kepada Kekasih Allah (Khalilullah) iaitu Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Allah ﷻ menyentuh kehebatan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di sini apabila menyuruh hamba-Nya yang paling mulia (Nabi Muhammad ﷺ) untuk mengikutinya (Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ).

Ayat ini juga menjadi pengajaran kepada Arab Mekah pada waktu itu dan kepada kita, bahawa untuk menjadi pengikut Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti didakwa, kena ikut ajaran Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda ikut ajaran bapanya Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kita mungkin tidak tahu butir ajaran Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, akan tetapi dengan mengikut ajaran Nabi Muhammad ﷺ (tentunya dengan ikut Al-Qur’an dan Sunnah), kita secara automatik akan ikut ajaran Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Ini juga termasuk salah satu lagi penghormatan kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ apabila insan yang paling mulia (Nabi Muhammad ﷺ) pun disuruh untuk ikut jejak langkah baginda.

Ia juga mengajar kita yang orang yang tinggi kedudukannya boleh sahaja ikut orang yang lebih rendah kedudukannya seperti Nabi Muhammad ﷺ mengikut ajaran Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Begitu juga Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (seorang Rasul) mengikut ajaran Nabi Khidr عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (seorang Nabi). Oleh itu kalau kita sudah berilmu tinggi, tidak salah kita menerima ilmu daripada orang yang rendah sedikit daripada kita.

 

وَما كانَ مِنَ المُشرِكينَ

dan bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan.

Allah ﷻ tekankan sekali lagi yang Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukanlah seorang musyrik. Digunakan kalimah ما dalam ayat ini sebagai penolakan kepada tohmahan yang mengatakan bahawa baginda adalah seorang musyrik. Kerana ia tidak sama kalau digunakan kalimah لا yang hanya bermaksud tidak (tanpa ada maksud penolakan).

Ayat ini juga sebagai penolakan kepada dakwaan Musyrikin Mekah yang mengaku mereka pun ‘hanif’ juga. Namun sebenarnya mereka itu bohong dan perasan sahaja. Kerana kalau ‘hanif’, tentulah mereka tidak melakukan syirik. Maka Allah ﷻ tambah kalimah tidak musyrik itu untuk membezakan mereka dengan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka itu musyrikin tetapi Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu tidak sama sekali.

Oleh itu ajaran Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang Nabi Muhammad ﷺ kena ikut adalah agama berlandaskan Tauhid dan meninggalkan syirik. Bukannya agama seperti Yahudi dan Nasara kerana agama-agama itu tidak ada lagi ketika hidup Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka yang kata Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu Yahudi atau Nasara adalah tidak benar sama sekali. Ini adalah salah faham dua golongan itu yang mendakwa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sama dengan agama mereka. Ini Allah ﷻ telah tolak di dalam Baqarah: 135

وَقالوا كونوا هودًا أَو نَصَـٰرَىٰ تَهتَدوا ۗ قُل بَل مِلَّةَ إِبرٰهِـۧمَ حَنيفًا ۖ وَما كانَ مِنَ المُشرِكينَ
Dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) berkata: “Jadilah kamu pemeluk ugama Yahudi atau pemeluk ugama Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk”. Katakanlah (wahai Muhammad: “Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang kamu katakan itu) bahkan kami mengikut ugama Nabi Ibrahim yang tetap di atas dasar Tauhid, dan bukanlah dia dari orang-orang musyrik”.

Begitu keliru sekali mereka itu kerana sangka Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu Yahudi (seperti didakwa oleh golongan Yahudi) dan Nasrani (seperti didakwa oleh golongan Kristian). Sedangkan Yahudi dan Nasrani belum lagi direka pun pada zaman Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut di dalam Baqarah: 140

أَم تَقولونَ إِنَّ إِبرٰهِـۧمَ وَإِسمَـٰعِيلَ وَإِسحَـٰقَ وَيَعقوبَ وَالأَسباطَ كانوا هودًا أَو نَصَـٰرَىٰ‌ ۗ قُل ءَأَنتُم أَعلَمُ أَمِ اللَّهُ
“Atau patutkah kamu mengatakan bahawa Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub berserta anak-anaknya, mereka semua adalah orang-orang Yahudi atau Nasrani, (padahal ugama mereka telah pun ada sebelum adanya ugama Yahudi atau ugama Kristian itu)?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah?

Maka bukanlah kena ikut agama Yahudi atau Nasrani kerana itu semua agama yang baru sahaja. Yang kena dijadikan contoh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah ajaran Tauhidnya. Maka jangan terpengaruh dengan hujah golongan Yahudi dan Nasrani. Allah ﷻ telah beri jawapan kepada kita di dalam Ali Imran: 67

مَا كَانَ إِبْرٰهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَٰكِن كَانَ حَنِيفًا مُّسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk ugama Yahudi, dan bukanlah dia seorang pemeluk ugama Kristian, tetapi dia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan dia pula bukanlah daripada orang-orang musyrik.

Adakah Nabi Muhammad ﷺ ikut agama Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Sudah tentu seperti disebut di dalam ayat seterusnya iaitu Ali Imran: 68. Malah bukan sahaja Nabi Muhammad ﷺ akan tetapi kita umat Islam ini telah dipuji kerana menurut jejak langkah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِإِبْرٰهِيمَ لَلَّذِينَ اتَّبَعُوهُ وَهَٰذَا النَّبِيُّ وَالَّذِينَ ءآمَنُوا وَاللَّهُ وَلِيُّ الْمُؤْمِنِينَ
Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi ugamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya – umat Islam). Dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman.

Di dalam ayat Mumtahanah: 4-6 juga Allah ﷻ telah mengkhususkan antara perkara yang kita kena ikut Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

قَد كانَت لَكُم أُسوَةٌ حَسَنَةٌ في إِبرٰهيمَ وَالَّذينَ مَعَهُ إِذ قالوا لِقَومِهِم إِنّا بُرَآءُ مِنكُم وَمِمّا تَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ كَفَرنا بِكُم وَبَدا بَينَنا وَبَينَكُمُ العَدٰوَةُ وَالبَغضاءُ أَبَدًا حَتّىٰ تُؤمِنوا بِاللهِ وَحدَهُ إِلّا قَولَ إِبرٰهيمَ لِأَبيهِ لَأَستَغفِرَنَّ لَكَ وَما أَملِكُ لَكَ مِنَ اللهِ مِن شَيءٍ ۖ رَّبَّنا عَلَيكَ تَوَكَّلنا وَإِلَيكَ أَنَبنا وَإِلَيكَ المَصيرُ
Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka berkata kepada kaum mereka: “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dari daripada apa yang kamu sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah saja. Kecuali perkataan Ibrahim kepada bapanya: “Sesungguhnya aku akan memohonkan ampunan bagi kamu dan aku tiada dapat menolak sesuatu pun dari kamu (seksaan) Allah”. (Ibrahim berkata): “Ya Tuhan kami hanya kepada Engkaulah kami bertawakkal dan hanya kepada Engkaulah kami bertaubat dan hanya kepada Engkaulah kami kembali”.

رَبَّنا لا تَجعَلنا فِتنَةً لِّلَّذينَ كَفَروا وَاغفِر لَنا رَبَّنا ۖ إِنَّكَ أَنتَ العَزيزُ الحَكيمُ
“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan kami fitnah bagi orang-orang kafir. Dan ampunilah kami ya Tuhan kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.

Di dalam ayat di atas disebut antara perkara yang kita kena ikut. Ringkasnya,

1. Kena ikut cara dakwah baginda. Baginda berani menyampaikan dakwah baginda tentang Tauhid kepada kaumnya walaupun kaumnya itu aktif melakukan syirik.

2. Baginda sanggup berlepas diri daripada mereka. Walaupun mungkin menjadi seteru kepada kaumnya itu.

3. Yang tidak boleh ikut adalah mendoakan orang yang mati kufur. Waktu ini Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak tahu bahawa itu adalah satu kesalahan. Baginda telah bertaubat daripada perbuatan baginda itu.

4. Baginda bertawakal kepada Allah ﷻ.

5. Baginda sentiasa melakukan taubat.

6. Baginda selalu menyerahkan diri baginda kepada Allah ﷻ.

7. Baginda berdoa supaya baginda tidak menjadi fitnah bagi orang kafir.

Maka siapa yang kena ikut jejak langkah baginda? Allah ﷻ sebut seterusnya,

لَقَد كانَ لَكُم فيهِم أُسوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كانَ يَرجُو اللهَ وَاليَومَ الآخِرَ ۚ وَمَن يَتَوَلَّ فَإِنَّ اللهَ هُوَ الغَنِيُّ الحَميدُ
Sesungguhnya pada mereka itu (Ibrahim dan umatnya) ada teladan yang baik bagimu; (iaitu) bagi orang-orang yang mengharap (pahala) Allah dan (keselamatan pada) Hari Kemudian. Dan barangsiapa yang berpaling, maka sesungguhnya Allah Dialah yang Maha kaya lagi Maha Terpuji.

Maka kalau kita hendak berharap selamat di akhirat, hendaklah kita ikut jejak langkah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kita selalu mendengar contoh tauladan kita daripada Nabi Muhammad ﷺ, maka di sini juga kita dapat tahu bahawa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun kita kena jadikan contoh. Secara umumnya semua para Nabi menjadi contoh bagi kita, akan tetapi ada penekanan untuk ikut Nabi Muhammad ﷺ dan juga Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Tidakkah kita malu untuk meninggalkan Sunnah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini sedangkan kita sentiasa diingatkan dengan nama baginda di dalam Tahiyyat kita (di dalam Selawat Ibrahimiyyah)?


 

Nahl Ayat 124: Ayat ini adalah Perenggan Makro ke 5 (Bahagian ke 2). Ia adalah ayat menjawab syubhah (kekeliruan). Ia menjawab persoalan kenapa Yahudi menjadikan hari Sabtu sebagai hari ibadah mereka sedangkan umat Islam hari Jumaat?

Diwajibkan hari Sabtu kepada orang-orang yang menyelisihinya. (Asalnya hari ibadat khusus dilakukan pada Hari Jumaat tetapi kaum Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mahukan pada hari Sabtu. Maka diwajibkanlah kepada mereka hari Sabtu sebagai hari ibadah).

Tidak diragukan bahawa Allah ﷻ mensyariatkan ke atas setiap umat satu hari dari satu minggu agar mereka berkumpul untuk melakukan ibadah. Asalnya Allah ﷻ telah menawarkan Hari Jumaat sebagai hari ibadat untuk Bani Israil. Namun mereka menolak. Oleh kerana itu, maka mereka diberikan dengan Hari Sabtu dan mereka terima. Mereka menggantikan Hari Jumaat dan memilih Hari Sabtu, kerana hari Sabtu adalah hari yang Allah ﷻ tidak menciptakan sesuatu pun padanya; mengingat semua penciptaan telah diselesaikan pada hari sebelumnya, iaitu hari Jumaat.

Maka Allah ﷻ menetapkan hari Sabtu buat mereka dalam syariat kitab Taurat, dan memerintahkan mereka agar berpegang teguh padanya serta memeliharanya. Selain itu Allah ﷻ memerintahkan kepada mereka agar mengikuti ajaran Nabi Muhammad ﷺ.

Bagaimana pula dengan orang Kristian? Menurut suatu pendapat, sesungguhnya Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memindahkan hari ibadat mereka kepada hari Ahad. Menurut pendapat yang lainnya lagi, Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak meninggalkan syariat Kitab Taurat kecuali apa yang dimansukh pada sebahagian hukum-hukumnya, dan bahawa sesungguhnya Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ masih tetap memelihara hari Sabtu hingga baginda diangkat menjadi Nabi.

Sebaliknya orang-orang Nasrani sesudahnya — iaitu di zaman Konstantinopel yang mengalihkannya ke hari Ahad untuk membezakan dengan orang-orang Yahudi, dan mereka mengalihkan kiblat menghadap ke arah timur, tidak lagi menghadap ke arah Sakhrah (kubah Baitul Maqdis).

Undang-undang Hari Sabtu: haram untuk buat kerja dunia. Setelah sudah ada larangan, tentu ada yang diuji. Ada yang diuji kerana pada Hari Sabtu itulah yang banyak rezeki melimpah ruah.

إِنَّما جُعِلَ السَّبتُ عَلَى الَّذينَ اختَلَفوا فيهِ ۚ وَإِنَّ رَبَّكَ لَيَحكُمُ بَينَهُم يَومَ القِيٰمَةِ فيما كانوا فيهِ يَختَلِفونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The sabbath was only appointed for those who differed over it. And indeed, your Lord will judge between them on the Day of Resurrection concerning that over which they used to differ.

(MELAYU)

Sesungguhnya diwajibkan (menghormati) hari Sabtu atas orang-orang (Yahudi) yang berselisih padanya. Dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar akan memberi keputusan di antara mereka di hari kiamat terhadap apa yang telah mereka perselisihkan itu.

 

إِنَّما جُعِلَ السَّبتُ عَلَى الَّذينَ اختَلَفوا فيهِ

Sesungguhnya diadakan (menghormati) hari Sabtu atas orang-orang (Yahudi) yang berselisih padanya.

Ayat ini menunjukkan yang ayat-ayat sebelum ini sebenarnya berkenaan golongan Yahudi. Ini kerana Sabbath adalah untuk mereka. Namun ayat ini menyebut yang mereka diberikan Sabbath itu apabila ‘mereka berselisih’. Maka ada pendapat yang mengatakan, dulu tidak ada Sabbath itu. Maksudnya, mereka pada waktu itu mesti menerima Hari Jumaat juga pada asalnya. Begitulah Sabbath itu adalah sebagai hukuman untuk mereka. Selepas itu, larangan pada Hari Sabtu itu pun mereka tidak jaga juga. Ini seperti disebut di dalam Baqarah: 65

وَلَقَد عَلِمتُمُ الَّذينَ اعتَدَوا مِنكُم فِي السَّبتِ فَقُلنا لَهُم كونوا قِرَدَةً خٰسِئينَ
Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”.

Kerana itu ada pendapat yang mengatakan perselisihan yang dimaksudkan ada kena mengena dengan insiden menangkap ikan itu. Kerana ada yang menegur golongan yang melanggar Sabtu itu, tetapi ada pula yang menegur puak yang menegur. Maknanya mereka berselisih, ada yang melanggar, ada yang menegur, ada pula yang kritik golongan yang menegur itu. Ini disebut di dalam A’raf: 163-165

وَاسأَلهُم عَنِ القَريَةِ الَّتي كانَت حاضِرَةَ البَحرِ إِذ يَعدونَ فِي السَّبتِ إِذ تَأتيهِم حيتانُهُم يَومَ سَبتِهِم شُرَّعًا وَيَومَ لا يَسبِتونَ ۙ لا تَأتيهِم ۚ كَذٰلِكَ نَبلوهُم بِما كانوا يَفسُقونَ
Dan bertanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik.

وَإِذ قالَت أُمَّةٌ مِّنهُم لِمَ تَعِظونَ قَومًا ۙ اللَّهُ مُهلِكُهُم أَو مُعَذِّبُهُم عَذابًا شَديدًا ۖ قالوا مَعذِرَةً إِلىٰ رَبِّكُم وَلَعَلَّهُم يَتَّقونَ
Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: “Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan binasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?” Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: “(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri daripada bersalah kepada Tuhan kamu, dan mudah-mudahan mereka bertaqwa”.

فَلَمّا نَسوا ما ذُكِّروا بِهِ أَنجَينَا الَّذينَ يَنهَونَ عَنِ السّوءِ وَأَخَذنَا الَّذينَ ظَلَموا بِعَذابٍ بَئيسٍ بِما كانوا يَفسُقونَ
Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka).

Atau, ada pendapat yang mengatakan bahawa mereka berselisih itu adalah tentang Hari Jumaat, maka Allah ﷻ berikan Hari Sabtu untuk mereka. Apabila Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Rasul dan baginda memuliakan Hari Jumaat (kerana Allah ﷻ tawarkan Hari Jumaat kepada Nabi ﷺ dan baginda menerimanya), mereka tegur pula Nabi Muhammad ﷺ, kenapa jadikan Hari Jumaat sebagai hari mulia, sedangkan hari ibadat yang awla’ adalah Hari Sabtu, kata mereka. Maka, Allah ﷻ beritahu maklumat yang sebenar.

Menurut syariat Yahudi, Sabtu dijadikan hari perhentian bekerja, hari untuk istirehat. Ini adalah kerana menurut kepercayaan mereka, pada hari itu jualah Allah ﷻ istirehat setelah penat selesai mencipta Alam. Oleh sebab itu maka istirehat pada hari Sabtu itu dipegang teguh oleh orang Yahudi. Tidak ada kegiatan hidup sama sekali pada hari Sabtu, sampailah kepada zaman kita ini. Besarnya pengaruh orang Yahudi dalam ekonomi Amerika Syarikat, meskipun orang Yahudi Amerika hanya kira-kira dua juta sahaja di antara 170 juta orang Amerika Syarikat, istirehat telah dijadikan dua hari, iaitu Sabtu dan Ahad. Ini adalah kerana hari Ahad adalah hari istirehat orang Nasrani.

 

وَإِنَّ رَبَّكَ لَيَحكُمُ بَينَهُم يَومَ القِيٰمَةِ فيما كانوا فيهِ يَختَلِفونَ

Dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar akan memberi keputusan di antara mereka di hari kiamat terhadap apa yang telah mereka perselisihkan itu.

Allah ﷻ akan berikan hukuman kepada mereka pada hari akhirat nanti. Kalau perbezaan tidak dapat diselesaikan di dunia ini kerana mereka banyak beralasan, maka tunggulah di akhirat kelak di mana keputusan tepat akan diberikan oleh Allah ﷻ. Namun itu adalah keputusan amali, maknanya kalau baru tahu waktu itu, sudah terlambat kerana Allah ﷻ akan buat keputusan dan akan terus memberikan hukuman.

Di dalam kitab Sahihain disebutkan melalui hadith Abdur Razzaq, daripada Ma’mar, daripada Hammam, daripada Abu.Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“نَحْنُ الْآخِرُونَ السَّابِقُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، بِيْدَ أَنَّهُمْ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِنَا، ثُمَّ هَذَا يَوْمُهُمُ الَّذِي فَرَضَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ فَاخْتَلَفُوا فِيهِ، فَهَدَانَا اللَّهُ لَهُ، فَالنَّاسُ لَنَا فِيهِ تَبَعٌ، الْيَهُودُ غَدًا، وَالنَّصَارَى بَعْدَ غَدٍ”.
Kita adalah umat yang terakhir, tetapi umat yang paling terdahulu di hari kiamat, hanya bezanya mereka diberikan Al-Kitab sebelum kita. Kemudian hari ini (Jumaat) adalah hari mereka juga yang telah difardhukan Allah atas mereka, tetapi mereka berselisih pendapat tentangnya, dan Allah memberi kita petunjuk kepadanya. Manusia sehubungan dengan hal ini mengikuti kita, orang-orang Yahudi esok, dan orang-orang Nasrani lusanya.
(Sahih Muslim (1412))

Maksudnya umat Islam iaitu umat Nabi Muhammad ﷺ akan mula-mula dihisab atau diperiksa di hari Kiamat nanti, kemudian baru orang Yahudi dan kemudian baru orang Kristian. Ini lebih jelas lagi disebut di dalam hadith yang lain,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ وَعَنْ رِبْعِيِّ بْنِ حِرَاشٍ عَنْ حُذَيْفَةَ قَالَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَضَلَّ اللَّهُ عَنْ الْجُمُعَةِ مَنْ كَانَ قَبْلَنَا فَكَانَ لِلْيَهُودِ يَوْمُ السَّبْتِ وَكَانَ لِلنَّصَارَى يَوْمُ الْأَحَدِ فَجَاءَ اللَّهُ بِنَا فَهَدَانَا اللَّهُ لِيَوْمِ الْجُمُعَةِ فَجَعَلَ الْجُمُعَةَ وَالسَّبْتَ وَالْأَحَدَ وَكَذَلِكَ هُمْ تَبَعٌ لَنَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ نَحْنُ الْآخِرُونَ مِنْ أَهْلِ الدُّنْيَا وَالْأَوَّلُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ الْمَقْضِيُّ لَهُمْ قَبْلَ الْخَلَائِقِ
Daripada [Abu Hurairah] daripada [Rab’i bin Hirasy] daripada [Hudzaifah] keduanya berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Allah menyesatkan orang-orang yang sebelum kita tentang hari Jumaat. Bagi orang Yahudi jatuhnya pada hari Sabtu, dan bagi orang Nasrani jatuhnya pada hari Ahad. Lalu Allah menunjuki kita iaitu pada hari Jumaat. Kerana itu, terjadilah berturut-turut tiga hari berkumpul (hari besar), iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad. Hari kiamat kelak, mereka pun mengikuti kita juga, kita umat yang terakhir di dunia, tetapi kitalah yang lebih dahulu diadili sebelum umat-umat yang lain.”
(Sahih Muslim (1415))

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 26 Februari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solahudin

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment