A’raf Ayat 206: Selepas Allah ﷻ sebut tentang zikir, sekarang Allah ﷻ beritahu kita makhluk yang banyak berzikir
إِنَّ الَّذينَ عِندَ رَبِّكَ لا يَستَكبِرونَ عَن عِبادَتِهِ وَيُسَبِّحونَهُ وَلَهُ يَسجُدونَ ۩
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, those who are near your Lord [i.e., the angels] are not prevented by arrogance from His worship, and they exalt Him, and to Him they prostrate.
MALAY
Sesungguhnya mereka (malaikat) yang ada di sisi Tuhanmu tidak bersikap angkuh (ingkar) daripada beribadat kepadaNya, dan mereka pula bertasbih bagiNya, dan kepadaNyalah jua mereka sujud.
إِنَّ الَّذينَ عِندَ رَبِّكَ
Sesungguhnya mereka (malaikat) yang ada di sisi Tuhanmu
Yang dimaksudkan adalah para malaikat. Malaikat sentiasa ada dengan Tuhan. Terutama malaikat yang rapat dengan Allah ﷻ dan berada di kedudukan yang tinggi.
لا يَستَكبِرونَ عَن عِبادَتِهِ
tidak bersikap angkuh (ingkar) daripada beribadat kepada-Nya,
Allah ﷻ beritahu yang makhluk yang sentiasa zikir kepada Allah ﷻ adalah malaikat. Malaikat itu adalah makhluk yang direka khas oleh Allah ﷻ. Jika manusia tidak jadikan diri mereka sentiasa berzikir, malaikat tetap ada berzikir kepada Allah ﷻ. Maknanya, Allah ﷻ tidak perlukan zikir kita. Kalau Dia mahukan makhluk berzikir kepada-Nya, Allahﷻ sudah ada banyak malaikat yang berzikir kepada-Nya.
Malaikat tidak pernah sombong untuk beribadat kepada Allah ﷻ. Siapakah yang pertama sekali sombong? Itulah iblis. Dia sombong untuk ikut perintah Allah ﷻ. Dua perkara yang ditekankan dalam surah ini adalah: lalai dan sombong. Lalai adalah contoh Nabi Adam عليه السلام dan sombong adalah contoh Iblis. Kedua-dua perkara ini kita kena elakkan dan kita telah sentuh perkara ini di awal surah ini.
Apakah kesan kalau kita enggan dan sombong untuk ingat dan zikir kepada Allah ﷻ? Allah ﷻ sebut ancaman-Nya di dalam Hashr: 19
وَلا تَكونوا كَالَّذينَ نَسُوا اللهَ فَأَنسٰهُم أَنفُسَهُم ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الفٰسِقونَ
Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.
Apabila mereka lupa kepada Allah ﷻ dan kewajipan dalam agama, maka Allah ﷻ jadikan mereka lupa diri mereka. Bukanlah hilang ingatan sampai lupa nama, lupa alamat rumah. Maksud lupa itu adalah ‘lupa’ untuk selamatkan diri sendiri. Lupa untuk membuat persediaan kepada hari akhirat. Iaitu mereka yang hanya ingat tentang dunia sahaja sepanjang masa.
Mereka inilah yang malang kerana telah dikuasai oleh syaitan. Kita lupa Allah ﷻ kerana kita telah ditipu dan menjadi hamba syaitan. Ini disebut dalam Mujadilah: 19
استَحوَذَ عَلَيهِمُ الشَّيطٰنُ فَأَنسٰهُم ذِكرَ اللهِ ۚ أُولٰئِكَ حِزبُ الشَّيطٰنِ ۚ أَلا إِنَّ حِزبَ الشَّيطٰنِ هُمُ الخٰسِرونَ
Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa mengingat Allah; mereka itulah golongan syaitan. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya golongan syaitan itulah golongan yang merugi.
Malah syaitan akan mendampingi mereka seperti disebut dalam Zukhruf: 36
وَمَن يَعشُ عَن ذِكرِ الرَّحمٰنِ نُقَيِّض لَهُ شَيطٰنًا فَهُوَ لَهُ قَرينٌ
Dan sesiapa yang tidak zikir kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.
وَيُسَبِّحونَهُ
dan mereka pula bertasbih bagi-Nya,
Tadi adalah sifat akidah mereka dan sekarang perbuatan mereka pula. Para malaikat itu sentiasa menyucikan Allah ﷻ. Maksud menyucikan Allah ﷻ adalah: membersihkan Allah ﷻ daripada sifat-sifat syirik. Menidakkan kesyirikan yang dilakukan oleh makhluk.
Para malaikat itu berzikir tanpa henti sedangkan mereka tidak mendapat imbuhan pun daripada Allah ﷻ. Namun begitu untuk menggalakkan kita berzikir, Allah ﷻ telah menjanjikan sangat banyak ganjaran jika kita melakukannya. Maka tidak malukah kita dengan para malaikat itu?
Bukan sahaja mereka berzikir, tetapi mereka juga mendoakan pengampunan bagi orang yang beriman seperti disebut dalam Ghafir: 7
الَّذينَ يَحمِلونَ العَرشَ وَمَن حَولَهُ يُسَبِّحونَ بِحَمدِ رَبِّهِم وَيُؤمِنونَ بِهِ وَيَستَغفِرونَ لِلَّذينَ ءآمَنوا رَبَّنا وَسِعتَ كُلَّ شَيءٍ رَّحمَةً وَعِلمًا فَاغفِر لِلَّذينَ تابوا وَاتَّبَعوا سَبيلَكَ وَقِهِم عَذابَ الجَحيمِ
Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya; dan beriman kepada-Nya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): “Wahai Tuhan kami! Rahmat-Mu dan Ilmu-Mu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalan-Mu, dan peliharalah mereka daripada azab neraka.
وَلَهُ يَسجُدونَ
dan kepada-Nyalah jua mereka sujud.
Para malaikat itu tunduk kepada Allah ﷻ. Sebelum ini kita telah belajar bagaimana iblis tidak mahu tunduk sujud setelah Allah ﷻ arahkan. Oleh itu, Allah ﷻ akhiri surah ini tentang sujud.
Ayat ini merupakan Ayat Sajdah (atau Sujud Tilawah) di dalam Al-Qur’an, iaitu salah satu di antara ayat-ayat yang disunatkan bagi pembaca dan pendengarnya melakukan sujud tilawah, menurut kesepakatan ijma.
1. Keutamaan Sujud Tilawah
Sujud ini dianjurkan dan dalilnya adalah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
إِذَا قَرَأَ ابْنُ آدَمَ السَجْدَةَ فَسَجَدَ اعْتَزَلَ الشَيْطَانُ يَبْكِي يَقُولُ: يَا وَيْلَه أمِرَ ابْنُ آدَمَ بِالسُجُودِ فَسَجَدَ فَلَهُ الجَنَّة وَ أُمِرْتُ بالسُجُودِ فَأَبَيْتُ فَلِي الناَّر
Maksudnya: Jika seorang anak Adam membaca ayat al-Sajdah kemudian dia sujud, maka syaitan akan melarikan diri dan menangis sambil berkata: “Celakalah aku, anak Adam disuruh untuk sujud dan dia sujud dengan patuh, dan baginya Syurga. Tetapi aku diperintahkan untuk sujud dan aku enggan untuk sujud, maka bagi aku Neraka.”
(Sahih Muslim, 1:87)
Ia memang pernah dilakukan oleh Rasulullah ﷺ seperti diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar رضي الله عنهما bahawa beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيهِ وَ سَلَّمَ يَقْرَأ عَلَيْنَا السُورَةَ فِيهَا السَجْدَةُ فَيَسْجُدَ وَ نَسْجُد
Pada satu ketika, Rasulullah ﷺ membacakan kepada kami satu surah yang mempunyai ayat Sajdah, maka Baginda pun sujud lalu kami pun ikut sujud juga.
(Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 2:556)
2. Hukum Sujud Tilawah
Ibadah sujud tilawah disyariatkan bagi sesiapa yang membaca atau mendengar ayat-ayat sajdah. Ini berdasarkan dalil daripada Al-Qur’an dan hadith, antaranya ialah:
Firman Allah ﷻ :
قُلْ آمِنُوا بِهِ أَوْ لَا تُؤْمِنُوا ۚ إِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ مِن قَبْلِهِ إِذَا يُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ سُجَّدًا
Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang yang ingkar itu): “Sama ada kamu beriman kepada Al-Quran atau kamu tiada beriman, (tidaklah menjadi hal); kerana sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud (dalam keadaan hiba dan khusyuk).
(Surah al-Israa’: 107)
Sujud Tilawah adalah sunat, dan bukan wajib. Nabi ﷺ pernah Sujud Tilawah dan pernah tidak sujud apabila dibacakan ayat Sajdah. Begitu juga Umar رضي الله عنه pernah melakukan sedemikian. Maka ini menjadi hujah yang ianya sunat. Walaupun ia tidak wajib, tetapi ia mengandungi keutamaan. Nabi ﷺ dan Umar رضي الله عنه tidak melakukannya Sujud Tilawah itu kerana hendak mengajar manusia bahawa ia adalah tidak wajib.
Para ulama’ Syafi’iyyah dan Hanabilah berpendapat bahawa sujud tilawah selepas daripada membaca atau mendengar ayat tilawah ialah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) (Rujuk Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah, 24:213).
Ia bukanlah sesuatu ibadah yang wajib kerana Nabi ﷺ pernah meninggalkan sujud tilawah setelah mendengar ayat daripada Surah al-Najm yang mempunyai ayat sajdah di dalamnya. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan Zaid Ibn Thabit رضي الله عنه, bahawa beliau berkata:
قَرَأْتُ عَلَى النَبِيّ وَ النَجْم فَلَم يَسْجُد فِيهَا. وَ فِي رِوَايَةٍ : فَلَمْ يَسْجُدْ منَّا أَحَدٌ
Aku (Zaid Ibn Thabit) membacakan kepada Nabi Surah al-Najm (yang mempunyai ayat sajdah di dalamnya), dan Baginda tidak sujud padanya. Dalam riwayat yang lain pula: Maka kami pun ikut tidak sujud juga.
(Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 2:554)
Sebagai makluman, ulama’ Hanafiyah mewajibkan Sujud Tilawah. Maka walaupun kita pegang pendapat yang mengatakan ia sunat, hendaklah kita menjaga perkara ini dan melakukannya. Nanti kita akan belajar yang ianya mudah sahaja, boleh dilakukan di mana-mana. Mungkin sebelum ini kita tidak tahu bagaimana cara melakukannya.
Disunatkan sujud tilawah, walaupun bukan kita yang membaca ayat Sajdah itu.
3. Ayat-ayat Sajdah
Di dalam Al-Quran ada lima belas (15) ayat yang kita disunnahkan untuk bersujud saat membacanya. Kelima belas ayat tersebut dikenal dengan ayat-ayat sajdah. Ya, sajdah, bukan sajadah. Seringkali masyarakat kita tertukar menyebutnya sebagai ayat sajadah, padahal yang benar adalah ayat sajdah. Sekali lagi, yang benar adalah ayat sajdah, bukan sajadah.
Lalu, apa saja ayat-ayat sajdah tersebut? (Bukan sajadah). Berikut senarai daripada kelima belas ayat sajdah yang perlu kita ketahui.
1. Ayat ke-206 dari Surah Al-A’raf
2 .Ayat ke-15 dari Surah Ar-Ra’d
3. Ayat ke-50 dari Surah An-Nahl
4. Ayat ke-109 dari Surah Al-Isra’
5. Ayat ke-58 dari Surah Maryam
6. Ayat ke-18 dari Surah Al-Hajj
7. Ayat ke-77 dari Surah Al-Hajj
8. Ayat ke-60 dari Surah Al-Furqan
9. Ayat ke-26 dari Surah An-Naml
10. Ayat ke-15 dari Surah As-Sajdah
11. Ayat ke-38 dari Surah Fussilat
12. Ayat ke-62 dari Surah An-Najm
13. Ayat ke-21 dari Surah Al-Insyiqaq
14. Ayat ke-19 dari Surah Al-‘Alaq
15. Ayat ke-24 dari Surah Sad
Nota: tidak perlu hafal, di mushaf Al-Quran ada tanda dia. Boleh periksa di mushaf masing-masing sekarang.
Senarai ini tidak disepakati dan mungkin anda lihat senarai yang lain. Ada dua ayat yang menjadi khilaf dalam kalangan ulama’.
a. Ayat 24, Surah Sad menurut mazhab Syafi’iy dan Hanbali tidak termasuk dalam Ayat Sajdah, tetapi ayat tersebut disunatkan untuk Sujud Syukur tetapi ada yang memasukkannya sebagai ayat Sajdah.
b. Ayat 77, Surah al-Hajj pula menurut mazhab Syafi’iy dan Hanbali dimasukkan sebagai Ayat Sajdah.
4. Adakah Sujud Tilawah ikut syarat seperti dalam Salat?
Adakah perlu wudhu’ semasa Sujud Sajdah?
Adakah perlu menutup aurat?
Adakah perlu mengadap kiblat?
Dalam isu ini, para ulama’ tidak sependapat.
Majoriti ulama’ termasuk keempat-empat mazhab fiqh berpandangan wajib ada pada sujud tilawah syarat-syarat sahnya salat seperti wajib suci daripada hadas, mengadap kiblat, menutup aurat dan seumpamanya. Mereka berpandangan sujud tilawah adalah salat, atau sebahagian dari salat atau berada pada kedudukan salat.
Sebahagian ulama’ lain berpandangan sujud tilawah tidak disyaratkan apa-apa yang disyaratkan untuk salat kerana sujud tilawah bukan salat.
Imam Bukhari رحمه الله ada meriwayatkan daripada Ibn ‘Umar رضي الله عنهما yang pernah sujud tilawah tanpa wudhu’. Perbuatan Ibn ‘Umar رضي الله عنهما ini menjadi salah satu sandaran pendapat yang mengatakan sujud tilawah tidak disyaratkan apa-apa yang disyaratkan untuk salat, termasuklah tidak disyaratkan perlu berwudhu’ dan menutup aurat.
Antara yang memegang pandangan ini ialah Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah رحمه الله di dalam kitabnya al-Fatawa al-Kubra 5/340 dan lainnya. Pandangan ini dikuatkan lagi dengan hadith-hadith tentang sujud tilawah yang tidak memiliki bukti bagi menunjukkan wajib bersuci atau berwudhu’. Bahkan bukti yang boleh diambil dari hadith-hadith tersebut untuk mengatakan tidak wajib wudhu’.
Al-Imam asy-Syaukani رحمه الله pernah berkata:
ليس في أحاديث سجود التلاوة ما يدل على اعتبار أن يكون الساجد متوضئا ، وقد كان يسجد معه – صلى الله عليه وسلم – من حضر تلاوته ، ولم ينقل أنه أمر أحدا منهم بالوضوء ، ويبعد أن يكونوا جميعا متوضئين . وأيضا قد كان يسجد معه المشركون كما تقدم ، وهم أنجاس لا يصح وضوؤهم
“tiada di dalam hadith-hadith berkaitan sujud tilawah apa-apa bukti yang boleh diambil kira orang yang sujud itu dalam keadaan berwudhu’. Telah sujud bersama baginda ﷺ sesiapa yang hadir ketika bacaan baginda (akan ayat yang ada sujud tilawah) dan tiada nukilan baginda memerintahkan seorang pun dari kalangan mereka semua yang ada untuk berwudhu’. Amat jauh sekali untuk diandaikan kesemua mereka yang ada pada ketika itu dalam keadaan berwudhu’. Demikian juga turut sujud bersama dengan mereka ketika itu orang-orang musyrikin seperti yang telah dinyatakan sebelum ini dan mereka itu (musyrikin) kotor akidahnya dan jika mereka berwudhu’pun tidak dikira sah wudhu’ mereka tersebut.” (Nail al-Awthor 5/347)
Hadith yang dimaksudkan oleh asy-Syaukani ini diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Ibn ‘Abbas رضي الله عنهما yang berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَجَدَ بِالنَّجْمِ ، وَسَجَدَ مَعَهُ المُسْلِمُونَ وَالمُشْرِكُونَ ، وَالجِنُّ وَالإِنْسُ
“Bahawa Nabi ﷺ pernah sujud (tilawah) kerana membaca surah an-Najm dan turut serta sujud bersama baginda orang-orang muslimin dan musyrikin demikian juga jin dan manusia.”
Syarah: Sehubungan dengan hadith di atas, Imam Bukhari رحمه الله mengatakan, hadith ini mengisyaratkan bahawa orang musyrik pun melakukan sujud sajdah. Sebagaimana diketahui, bahawa orang musyrik tentu mereka tidak mempunyai wudhu’ kerana mereka adalah najis (berhadas besar dan kecil).
Kalau seandainya sujud Sajdah ini harus dilakukan oleh orang yang mempunyai wudhu’, tentu Rasulullah ﷺ akan melarang orang-orang musyrik tersebut untuk Sujud Tilawah, tetapi ternyata baginda tidak melarangnya. Ini bererti, Sujud Sajdah tidak mesti berwudhu’ sebelumnya.
Sujud bukanlah ‘salat’ kerana tidak cukup syarat menjadi salat. Ia adalah cuma sebahagian daripada salat sahaja. Maka syarat-syarat untuk salat tidak dikenakan kepada Sujud Sajdah. Maka tidak perlu berwudhu’, menutup aurat atau mengadap kiblat.
Namun begitu tentunya kalau kesemua syarat itu ada, lebih molek dan lebih afdhal. Ini tidak dinafikan.
Penutup:
Sombong itu terjadi apabila kita mementingkan diri kita, kita sangka kita lebih baik daripada orang lain. Apabila kita bandingkan diri kita dengan orang lain, kita akan lupa kepada Allah ﷻ.
Sementara lalai (ghaflah) pula adalah masalah besar manusia. Ada banyak perkara yang melalaikan kita sekarang. Dengan FB, youtube, TV, games, filem dan sebagainya. Banyak lagi. Semua itu boleh menyebabkan kita lupa kepada Allah ﷻ. Syaitan memang suka kalau kita banyak meluangkan masa dengan perkara yang melalaikan.
Syaitan akan biarkan sahaja kita sibuk dengan benda-benda itu. Itulah sebabnya kalau main games, berjam-jam pun tidak perasan tetapi kalau salat sekejap sahaja, atau baca Al-Qur’an sekejap sahaja, sudah bosan. Ini kerana syaitan akan kacau kita bersungguh-sungguh kalau kita buat amal ibadat yang benar.
Kita sekarang ini terlalu banyak terikat dengan perkara yang melalaikan. Ia membuka pintu kepada dosa. Memang kita nampak yang ia adalah tidak haram, tetapi apabila kita sudah lalai, ia membuka kepada banyak perkara dosa.
Benda-benda itu semua boleh merosakkan hati kita. Sebagai contoh, entah berapa banyak filem yang tidak elok yang menyebabkan kita jadi berdosa apabila menontonnya. Hati kita menjadi gelap.
Oleh itu, kita kena hilangkan semua perkara itu dan gantikan dengan zikir kepada Allah ﷻ. Kita kena jauhkan diri kita daripada hiburan yang melalaikan. Mungkin ia bermula dengan perkara biasa sahaja, tetapi kalau kita layan, jadi benda lain. Sebagai contoh, kalau sibuk dengan permainan dan filem, kita sudah tidak buat ibadat. Masa kita banyak terluang dengan perkara sia-sia. Sepatutnya lepas Isyak, kita terus tidur, tetapi kita sibuk dengan benda-benda lagha itu.
Hiburan itu semua bukannya memberi kebaikan kepada minda dan tubuh kita, malah ia lebih banyak merosakkan fikiran kita. Lama-lama kita terbelenggu dengan kekotoran fikiran. Sebagai contoh, apabila kita lihat pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram dalam TV, fikiran kita lama-lama melihatnya sebagai perkara biasa sahaja, sedangkan ia adalah haram. Akan tetapi disebabkan selalu tengok, maka ia menjadi kita sudah tidak sensitif lagi.
Oleh itu, kita kena isikan diri kita dengan amalan yang baik. Isikan masa kita yang lapang dengan ibadat – baca Al-Qur’an, salat, zikir dan sebagainya. Jaga masa kita di malam hari dan siang hari. Tidur awal dan bangun awal.
Allahu a’lam. Tamatlah sudah tafsir Surah al-A’raf ini. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Anfal.
Kemaskini: 7 Ogos 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan

Alhamdulillah atas perkongsian ilmu agama ini, saya amat menghargai sbb saya tgh belajar utk memahaminya dan mengamalkannya, masya Allah
LikeLike