Tafsir Surah Tawbah Ayat 128 – 129 (Rasulullah ﷺ sebagai Rahmat)

JEMPUTAN KEPADA SEMUA

Tawbah Ayat 128: Kita sudah sampai ke penghujung surah ini dan sekarang disebut targhib (ajakan) untuk mengikut Nabi ﷺ. Surah ini tentang perang dan bukan untuk menceritakan rahmah Allah ‎ﷻ – dalam surah lain sudah banyak sebut tentang rahmat Allah ‎ﷻ, tetapi tidak dalam surah ini. Kerana itulah surah ini tidak dimulakan dengan Basmalah pun. Namun Allah ‎ ﷻ memberitahu kita yang Rasulullah ﷺ itu adalah rahmah untuk kita. Tentunya yang memberi rahmah itu adalah Allah‎ ﷻ juga.

Mengikut pendapat Ibn Abbas dan Ubay bin Ka’ab رضي الله عنهم, dua ayat terakhir ini adalah ayat terakhir yang diturunkan kepada Rasulullah ﷺ sebelum baginda wafat.

Yang menghairankan, ramai orang Melayu suka amalkan ayat ini. Mereka sangka ada banyak ‘khasiat’ pada ayat ini dan digelar Ayatul Hisni. Antaranya yang saya jumpa dakwaan mereka:

1. Jika dibaca tujuh kali setiap hari maka ia boleh memudahkan urusan dunia dan akhirat.

2. Jika dibaca pada pagi, ia boleh menjauhkan ancaman untuk hari itu, begitu juga jika dibaca pada waktu petang, boleh menghindarkan ancaman pada waktu malamnya.

3. Ayat ini juga boleh menambah keteguhan iman seseorang itu kepada Allah. (Ini normal lah bagi ayat Al-Qur’an, semuanya menambah iman)

4. Ayat ini juga ayat pengasih.

5. Apabila sampai waktu ajal kita, kita tidak akan dapat membaca 2 ayat ini walaupun sebelum ini kita sudah biasa membaca dan mengamalkannya. Allah memberi kita petunjuk bahawa ajal kita sudah semakin hampir, dan pada saat dan waktu itu kita seakan-akan lupa ayat ini.

6. Barang siapa yang setiap harinya membaca dua ayat yang akhir daripada Surah Al-Baraa’ah sebanyak 7x sesudah solat fardhu maka
– Jika dia seorang yang lemah maka akan menjadi kuat.
– Jika dia seorang yang hina maka akan menjadi seorang yang mulia.
– Jika dia seorang yang kalah maka akan segera mendapat pertolongan.
– Jika dia seorang yang berkesempitan maka akan mendapat kelapangan.
– Jika dia seorang yang berhutang maka akan segera dapat membayar.
– Jika dia seorang yang berada dalam kesusahan maka akan hilang kesusahannya.
– Jika dia seorang yang sulit dalam penghidupan maka akan segera mendapat lapangan kehidupan.
– Barang siapa membacanya pada hari siangnya atau pada waktu malamnya maka hal itu sebagai suatu petanda bahawa dia tidak akan mati pada saat itu.
– Menurut riwayat lain; dia tidak akan dilukai seseorang dengan alat-alat yang berasal daripada besi.
– Sebahagian ada menyebut tentang keistimewaan dua ayat ini bahawa ada salah seorang yang telah mengamalkannya ketika dalam keadaan sakitnya yang sudah kritis. Ketika itu dia sudah diperkirakan berumur 71 tahun. Dengan berkah membaca dua ayat tersebut, dia masih dapat menikmati umurnya sehingga mencapai usia 120 tahun.

Entah dari manalah mereka dapat kelebihan-kelebihan ini. Semuanya adalah rekaan semata-mata dan termasuk di dalam penyalahgunaan ayat Al-Qur’an. Maka jangan amalkan kerana hendak mendapat khasiat-khasiat yang disebut di atas. Sebaliknya mari kita belajar apakah tafsir ayat ini.

لَقَد جاءَكُم رَسولٌ مِّن أَنفُسِكُم عَزيزٌ عَلَيهِ ما عَنِتُّم حَريصٌ عَلَيكُم بِالمُؤمِنينَ رَءوفٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

There has certainly come to you a Messenger from among yourselves. Grievous to him is what you suffer; [he is] concerned over you [i.e., your guidance] and to the believers is kind and merciful.

(MALAY)

Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin.

 

لَقَد جاءَكُم رَسولٌ مِّن أَنفُسِكُم

Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri,

Sekarang Allah ﷻ sedang menyebut tentang sifat-sifat Rasulullah ﷺ. Allah ﷻ mulakan dengan mengingatkan bangsa Arab yang baginda itu datang daripada bangsa mereka sendiri. Ini adalah sebuah nikmat besar daripada Allah ﷻ yang tidak diberikan kepada bangsa lain. Hal ini telah didoakan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام seperti yang disitir oleh firman-Nya:

رَبَّنَا وَابْعَثْ فِيهِمْ رَسُولا مِنْهُمْ
Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seorang rasul dalam kalangan mereka sendiri.
(Baqarah:129)

Antara rahmat berkenaan Rasulullah ﷺ ini adalah baginda diangkat dalam kalangan mereka. Iaitu dalam kalangan manusia. Kalau Rasul dalam kalangan malaikat (seperti yang diminta oleh Musyrikin Mekah) tentulah susah untuk manusia ikut. Kalau Rasul dalam kalangan malaikat, tentu Allah ﷻ jadikan menyerupai manusia juga dan kalau begitu, mereka pun tidak ikut seperti Allah ﷻ sebut dalam An’am: 9

وَلَو جَعَلنٰهُ مَلَكًا لَّجَعَلنٰهُ رَجُلًا وَلَلَبَسنا عَلَيهِم مّا يَلبِسونَ
Dan kalau (Rasul) itu Kami jadikan malaikat, tentulah Kami jadikan dia berupa seorang lelaki (supaya mereka dapat melihatnya), dan tentulah Kami (dengan yang demikian) menyebabkan mereka kesamaran sebagaimana mereka sengaja membuat-buat kesamaran (tentang kebenaran Nabi Muhammad).

Bukankah sebuat nikmat besar baginda diangkat daripada bangsa mereka sendiri iaitu bangsa Arab. Ia memudahkan untuk baginda difahami oleh kaumnya. Kalau sudah bangsa lain, payah pula mereka hendak faham dan ikut, bukan? Allah ﷻ sebut dalam Ibrahim: 4

وَما أَرسَلنا مِن رَسولٍ إِلّا بِلِسانِ قَومِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُم
Kami tidak mengutus seorang rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya dia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka.

Satu lagi rahmat berkenaan hal ini adalah Allah ﷻ melantik Nabi Muhammad ﷺ dalam kalangan penduduk Mekah. Baginda sudah lama duduk tinggal di Mekah dan tahu apa masalah dan suasana di Mekah itu. Manakala penduduk Mekah itu sudah lama kenal peribadi Nabi Muhammad ﷺ secara dekat dan sifat serta ketulusan akhlak baginda.

 

عَزيزٌ عَلَيهِ ما عَنِتُّم

berat terasa olehnya penderitaanmu, 

Terasa berat di hati baginda dengan apa yang ditanggung oleh orang Islam. Walaupun yang kena itu adalah orang lain, tetapi baginda yang rasa berat. Itulah Allah ﷻ hendak memberitahu kepada kita yang Rasulullah ﷺ itu adalah rahmah bagi kita. Allah ﷻ mengenangkan kepentingan kita kepada baginda dan betapa sayangnya baginda kepada kita. Sebagai contoh, kita pun tentu pernah baca bagaimana Nabi ﷺ telah meminta Allah ﷻ meringankan bilangan rakaat solat untuk kita.

Kita juga telah baca dalam surah ini juga bagaimana Nabi ﷺ telah mengizinkan sesiapa sahaja yang datang kepada baginda untuk tidak menyertai Perang Tabuk, sampaikan baginda ditegur oleh Allah ﷻ. Ini adalah kerana hati baginda amat lembut sekali. Selepas mereka meminta izin, baginda siap mintakan ampun lagi bagi pihak mereka.

Dalam hal agama, baginda cuba untuk memudahkan untuk umatnya. Baginda tidak mahu memberatkan umat baginda. Sebagai contoh lihat hadith riwayat daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda:

لَوْلَا أنْ أشُقَّ علَى أُمَّتي أوْ علَى النَّاسِ لَأَمَرْتُهُمْ بالسِّوَاكِ مع كُلِّ صَلَاةٍ
Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak pada setiap sembahyang.
(Riwayat Bukhari (887))

Satu lagi contoh adalah apabila baginda tidak mahu terus mengimamkan Solat Terawih kerana bimbang nanti menjadi wajib dan menyusahkan umat pula. Ini kita boleh rujuk sebuah hadith riwayat Umm Al-Mu’minin A’isyah رضي الله عنها bahawa beliau berkata :

‎أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم صَلَّى ذَاتَ لَيْلَةٍ فِي الْمَسْجِدِ فَصَلَّى بِصَلاَتِهِ نَاسٌ، ثُمَّ صَلَّى مِنَ الْقَابِلَةِ فَكَثُرَ النَّاسُ، ثُمَّ اجْتَمَعُوا مِنَ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ أَوِ الرَّابِعَةِ، فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، فَلَمَّا أَصْبَحَ قَالَ ‏‏ قَدْ رَأَيْتُ الَّذِي صَنَعْتُمْ وَلَمْ يَمْنَعْنِي مِنَ الْخُرُوجِ إِلَيْكُمْ إِلاَّ أَنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْرَضَ عَلَيْكُمْ ‏ وَذَلِكَ فِي رَمَضَانَ
Sesungguhnya Rasulullah ﷺ pada suatu malam sedang solat di dalam masjid. Maka orang ramai pun mengikut solat bersama baginda. Kemudian pada malam berikutnya, baginda solat sekali lagi dan jemaah yang mengikutnya semakin banyak. Pada malam yang ketiga atau keempat, orang ramai berkumpul menanti ketibaan Rasulullah ﷺ sebaliknya baginda tidak keluar kepada mereka. Apabila masuk waktu subuh, baginda bersabda kepada para jemaah: Sesungguhnya aku telah melihat apa yang kamu semua lakukan. Dan tidaklah yang menghalang aku dari keluar kepada kamu melainkan aku takut solat itu akan difardhukan ke atas kamu semua. Yang demikian itu berlaku pada bulan Ramadan.
(Riwayat Al-Bukhari (1129))

Maknanya baginda membawa agama yang mudah untuk diamalkan dan bukannya yang menyusahkan umat. Yang menyusahkan itu adalah golongan yang buat berlebihan sampai menyusahkan diri seperti golongan tarekat dan ahli bid’ah. Di dalam hadith sahih riwayat Abdillah bin Mas’ud رضي الله عنه, bahawa Nabi ﷺ bersabda sebanyak tiga kali:

هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ
“Musnahlah golongan yang melampau”.
(Riwayat Muslim (2670)

Satu lagi hadith daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ، وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ
“Sesungguhnya agama itu mudah, janganlah seseorang daripada kamu menyukarkan (menyulitkan urusan agama itu) melainkan kamu akan tewas”.
(Riwayat Bukhari (39))

Daripada A’isyah رضي الله عنها beliau berkata:

مَا خُيِّرَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ أَمْرَيْنِ، أَحَدُهُمَا أَيْسَرُ مِنَ الْآخَرِ، إِلَّا اخْتَارَ أَيْسَرَهُمَا، مَا لَمْ يَكُنْ إِثْمًا، فَإِنْ كَانَ إِثْمًا، كَانَ أَبْعَدَ النَّاسِ مِنْهُ
“Apabila Rasulullah ﷺ disuruh memilih di antara dua perkara, nescaya Baginda ﷺ akan memilih yang lebih mudah di antara keduanya selama mana ia tidak berdosa. Adapun jika ia adalah berdosa, maka Baginda ﷺ adalah orang yang paling utama meninggalkannya”.
(Riwayat Muslim (2327))

Malang sekali apabila ramai orang yang tidak faham hal ini sampai hendak menyusahkan diri. Ini salah dan dilakukan oleh mereka yang tidak faham agama. Perkara ini sudah terjadi di zaman Rasulullah ﷺ sendiri apabila ada sahabat yang sangka amalan Nabi Muhammad ﷺ itu kurang. Maka mereka telah ditegur oleh baginda dan ini menjadi pengajaran buat kita,

عَنْ أَنَسٍ قَالَ جَاءَ ثَلاَثَةُ رَهْطٍ إِلَى بُيُوتِ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَسْأَلُونَ عَنْ عِبَادَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمَّا أُخْبِرُوا كَأَنَّهُمْ تَقَالُّوهَا، فَقَالُوا: وَأَيْنَ نَحْنُ مِنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَدْ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ، قَالَ أَحَدُهُمْ: أَمَّا أَنَا فَإِنِّي أُصَلِّي اللَّيْلَ أَبَدًا، وَقَالَ آخَرُ: أَنَا أَصُومُ الدَّهْرَ وَلاَ أُفْطِرُ، وَقَالَ آخَرُ: أَنَا أَعْتَزِلُ النِّسَاءَ فَلاَ أَتَزَوَّجُ أَبَدًا، فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيْهِمْ، فَقَالَ: «أَنْتُمُ الَّذِينَ قُلْتُمْ كَذَا وَكَذَا، أَمَا وَاللَّهِ إِنِّي لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ، لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ، وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ، وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ، فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي»
Daripada Anas beliau berkata, “Ada tiga orang yang datang ke rumah isteri-isteri Nabi ﷺ untuk bertanya tentang ibadah Nabi ﷺ. Saat mereka diberitahu, maka sepertinya mereka menganggapnya sedikit, lalu mereka berkata, “Bagaimanakah keadaan kami dibanding Nabi ﷺ yang telah diampuni dosa-dosanya yang lalu dan yang akan datang.” Salah seorang daripada mereka berkata, “Adapun saya, maka saya akan solat malam selama-lamanya.” Yang lain berkata, “Saya akan berpuasa selama-lamanya dan tidak akan berbuka.” Sedangkan yang lain lagi berkata, “Saya akan menjauhi wanita dan tidak akan menikah selama-lamanya.” Maka datanglah Rasulullah ﷺ kepada mereka dan bersabda, “Kalian yang berkata begini dan begitu. Ketahuilah, sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut kepada Allah dan paling taqwa kepada-Nya. Akan tetapi aku berpuasa dan berbuka, aku solat dan aku tidur, dan aku menikahi wanita. Barang siapa yang tidak suka sunnahku, maka dia bukan termasuk golonganku.”
(HR Bukhari dan Muslim)

حَريصٌ عَلَيكُم

sangat menginginkan bagimu,

Baginda sangat suka kalau umat baginda beriman kerana baginda amat sukakan kebaikan untuk kita. Kalimah حَريصٌ bermakna mahukan sangat kepada sesuatu sampai boleh dikatakan tamak (طمع). Begitulah Nabi ﷺ terhadap kita, apa sahaja kebaikan yang baginda boleh berikan kepada umatnya, baginda akan lakukan.

 

بِالمُؤمِنينَ رَءوفٌ رَّحيمٌ

amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin.

Manakala terhadap orang mukmin, baginda amat belas dan sangat sayang. Kalimah رَءوفٌ adalah apabila seseorang itu faham apa yang dilalui oleh orang lain. Baginda terasa sangat apa yang dialami dan dihadapi oleh orang lain. Maka baginda faham sangat apa yang dilalui oleh kita. Bukan semua orang ada kebolehan ini.

Kadang-kadang kita cuba bayangkan kesusahan orang lain tetapi kita tidak dapat faham sangat. Kerana itu, orang yang ada masalah akan mencari dan rapat dengan mereka yang ada masalah yang sama dengan mereka. Sebagai contoh, orang yang ada barah, lebih mudah berkomunikasi dengan orang yang ada barah juga kerana dua-dua mengalami masalah dan dugaan yang sama.

Kalau orang yang sihat, mereka tidak dapat rasa walaupun mereka cuba. Mereka cuma boleh simpati sahaja, tetapi tidak boleh رَءوفٌ. Akan tetapi Nabi Muhammad ﷺ boleh dapat perasaan رَءوفٌ itu kerana Allah ﷻ telah beri berbagai-bagai pengalaman dan musibah kepada baginda.

Sebagai contoh, baginda pernah kehilangan isteri, kehilangan anak berkali-kali. Juga banyak lagi musibah lain yang telah diberikan kepada baginda sebagai ujian dan pengalaman. Semua baginda telah lalui dalam kehidupan baginda semenjak kecil lagi. Maka, sekiranya baginda sarankan kita bersabar, maka itu adalah daripada pengalaman baginda sendiri.

Ini penting untuk kita faham kerana kadang-kadang, kita dengar nasihat untuk sabar itu daripada orang yang tidak ada masalah. Maka dalam hati kita, kita cakap: “Engkau bolehlah kata begitu, tidak kena kepada engkau…..” Namun ingatlah yang Rasulullah ﷺ memang telah melalui segala perkara itu dan bila baginda suruh kita sabar, hendaklah kita sabar.

Begitulah sifat-sifat Rasulullah ﷺ yang dipuji oleh Allah ﷻ. Allah ﷻ juga telah berfirman tentang baginda di dalam Anbiya’: 107

وَما أَرسَلنٰكَ إِلّا رَحمَةً لِّلعٰلَمينَ
Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.


 

Tawbah Ayat 129:

فَإِن تَوَلَّوا فَقُل حَسبِيَ اللَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۖ عَلَيهِ تَوَكَّلتُ ۖ وَهُوَ رَبُّ العَرشِ العَظيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But if they turn away, [O Muḥammad], say, “Sufficient for me is Allāh; there is no deity except Him. On Him I have relied, and He is the Lord of the Great Throne.”

(MALAY)

Jika mereka berpaling (dari keimanan), maka katakanlah: “Cukuplah Allah bagiku; tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘Arsy yang agung”.

 

فَإِن تَوَلَّوا

Jika mereka berpaling

Walaupun sudah sifat Nabi ﷺ begitu tetapi mereka berpaling juga, itu memang perangai yang amat teruk sekali. Bukanlah salah baginda dalam dakwah atau dalam bergaul dengan manusia lain. Memang kalau ada yang menolak ajakan baginda, itu adalah kerana degil sahaja, bukan kerana sebab lain.

 

فَقُل حَسبِيَ اللَّهُ

maka katakanlah: “Cukuplah Allah bagiku;

Surah ini dinamakan juga sebagai Surah Bara’ah yang bermaksud meninggalkan orang kafir. Begitulah Rasulullah ﷺ disuruh untuk katakan: Cukuplah Allah bagi baginda. Ini adalah kerana tugas baginda (dan kita) hanya menyampaikan sahaja kepada manusia. Ini adalah penawar bagi baginda di atas penolakan mereka itu.

Bagaimana ia menjadi penawar? Kerana apabila kita ada Tuhan, kita tidak perlu semua yang lain. Kalau kita perlukan wang, siapa yang beri wang? Allah ﷻ. Begitu juga dengan hal-hal yang lain. Kita serahkan pengharapan kita kepada Allah ﷻ sahaja dan ini menenangkan hati kita kerana kita bergantung kepada Allah ﷻ yang boleh memberi segala-galanya.

Ia juga menjadi penawar kepada para pendakwah yang ditolak oleh mad’u (yang didakwah). Kalau sesudah berkali-kali diberi peringatan dan ancaman, diajak kepada akidah tauhid dan amalan agama yang benar, tetapi mad’u masih juga berpaling, katalah yang cukuplah Allah ﷻ bagi kita kerana kita tidak memerlukan iman mereka pun. Yang kita perlukan adalah redha Allah ﷻ. Apabila kita telah berdakwah, Allah ﷻ akan redha kepada kita.

Apabila kita berharap kepada Allah ﷻ sahaja maka kita akan kuat dan berani menghadapi apa-apa sahaja. Beginilah yang berlaku kepada para sahabat seperti disebut di dalam Ali Imran: 173

الَّذينَ قالَ لَهُمُ النّاسُ إِنَّ النّاسَ قَد جَمَعوا لَكُم فَاخشَوهُم فَزادَهُم إِيمَٰنًا وَقالوا حَسبُنَا اللَّهُ وَنِعمَ الوَكيلُ
Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: “Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya”. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepada-Nya segala urusan kami)”.

 

لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ

tidak ada Tuhan selain Dia. 

Sekarang Allah ﷻ kembali memperkatakan tentang tauhid. Inilah perkara yang paling penting sekali. Walaupun ia paling penting, namun ramai yang tidak ambil peduli. Kerana itu pengajaran Tauhid di negara ini kurang dititikberatkan. Sampai ramai orang kita yang benar-benar menjaga bahagian feqah, tetapi bahagian tauhid ini mereka berani pula untuk buat perkara-perkara yang tidak jelas dari segi tauhid.

Oleh kerana tidak faham Tauhid, maka ramai yang melakukan amalan syirik tanpa mereka sedari. Ini adalah kerana cara masyarakat kita belajar tauhid tidak betul. Sepatutnya ajaran tauhid diambil daripada Al-Qur’an namun ramai yang tidak faham Al-Qur’an.

Di sini Allah ﷻ kembali menyebut tentang tauhid kerana inilah tujuan jihad. Tujuan dakwah dan tujuan jihad sampai membawa kepada peperangan dengan manusia lain adalah untuk menegakkan Kalimah Tauhid di dunia ini. Kena sampaikan ajaran Tauhid kepada manusia, supaya manusia sembah dan doa kepada Allah ﷻ sahaja. Berjihad adalah untuk menegakkan tauhid, bukannya kerana hendakkan tanah baru atau harta ghanimah.

Dengan tujuan menegakkan Tauhidlah yang menyebabkan Rasulullah ﷺ menjalankan jihad dan tugas itu disambung oleh para sahabat dan khalifah-khalifah selepas mereka. Seterusnya kita juga hendaklah menjalankan tugas menyampaikan Tauhid ini kepada manusia. Buat masa sekarang, jihad perang tidak ada, tetapi kita masih tetap kena jalankan jihad lisan. Kita kena sampaikan kepada manusia Kalimah Tayyibah (Kalimah Tauhid) ini.

 

عَلَيهِ تَوَكَّلتُ

Hanya kepada-Nya aku bertawakal

Kita cuma boleh berusaha sahaja, namun dalam semua perkara, Allah ﷻ sahaja yang menentukan sama ada berjaya atau tidak. Walau bagaimanapun yang penting adalah usaha kita itu. Kita dibalas bukan atas kejayaan, tetapi atas usaha kita.

Jika kita berdakwah, sama ada orang yang didakwah itu terima atau tidak, kita sudah memperolehi pahala kerana menjalankan dakwah itu; jika kita berperang, sama ada kita menang atau tidak, kita sudah mendapat pahala yang besar.

Maka, berjaya atau tidak dalam dakwah, dalam jihad, semuanya kita serahkan kepada Allah ﷻ kerana kita kena tawakal kepada Allah ﷻ. Tawakal adalah penyerahan kepada Allah ﷻ setelah kita berusaha untuk melakukan sesuatu.

Apakah maksud tawakal? Maknanya kita buat yang terbaik dan kemudian kita serah keputusan akhirnya kepada Allah ﷻ kerana kita hanya boleh berusaha sahaja dan kesannya nanti terpulang kepada Allah ﷻ. Namun kena pastikan ada usaha, bukannya serah kosong sahaja. Ini disebut di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab رضي الله عنه, Nabi ﷺ bersabda:

لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصاً وَتَرُوحُ بِطَاناً
“Seandainya kamu semua benar-benar bertawakal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.”
(Riwayat Ahmad (1/30), al-Tirmizi (2344), Ibn Majah (4164), Ibn Hibban (730) dan Hakim (7894))

Makna daripada hadith ini, kena keluar dan berusaha, bukannya tunggu rezeki di rumah sahaja. Oleh itu umat Islam kena jalankan jihad dengan cara terbaik yang kita boleh lakukan, gunakan segala strategi yang kita ada, segala taktik dan teknik yang ada, kemudian setelah kita lakukan, kita serah kepada Allah ﷻ. Daripada sirah pun kita tahu bagaimana berbagai usaha dan strategi yang digunakan oleh Rasulullah ﷺ sebelum berperang dan semasa berperang.
Rasulullah ﷺ juga pernah berkata kepada seorang lelaki pemilik unta:

اَعقِلْهَا وَتَوَكَّلْ
Ikatlah (untamu), baru kamu bertawakal.
(Riwayat Tirmidzi (2157) dan Ibn Hibban (708))

Oleh itu kena ada usaha sebelum tawakal tetapi ada satu lagi tambahan syarat. Usaha itu pun mestilah sesuai dengan syarak. Jangan pula berusaha tetapi usaha itu jenis yang haram. Sebagai contoh, tawakal dalam bab rezeki. Memang dia usaha tetapi bagaimana kalau usahanya tidak halal? Contohnya dia buat perniagaan yang melibatkan jual barang yang haram. Ini tentunya tidak diterima. Ini sudah melanggar pula hukum dalam mencari rezeki iaitu Baqarah: 168

يَـٰٓأَيُّهَا النّاسُ كُلوا مِمّا فِي الأَرضِ حَلٰلًا طَيِّبًا
Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik,

Penting untuk ikut syariat dalam kita tawakal. Allah ﷻ sebut tentang hal ini di dalam Talaq: 2-3

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجعَل لَّهُ مَخرَجًا
Barangsiapa bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.

Maksud يَتَّقِ اللَّهَ itu adalah dengan mengikut hukum hakam syariat Allah ﷻ. Barulah Allah ﷻ akan bantu. Di dalam ayat seterusnya disebut tentang tawakal pula maka ayat ini ada kaitan.

وَمَن يَتَوَكَّل عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسبُهُ
Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.

 

وَهُوَ رَبُّ العَرشِ العَظيمِ

dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘Arsy yang agung”.

Allah ﷻ memiliki Arasy, makhluk yang terbesar sekali. Arasy itu di kedudukan yang paling tinggi. Ini adalah sebagai isyarat bahawa Allah ﷻ menguasai segala alam ini dan berada di tempat yang tinggi. Semua makhluk — mulai dari langit, bumi, dan segala sesuatu yang ada pada keduanya serta segala sesuatu yang ada di antara keduanya— berada di bawah ‘Arasy dan tunduk patuh di bawah kekuasaan Allah ﷻ.

Arasy adalah makhluk Allah ﷻ yang paling besar yang meliputi langit dan bumi. Kalau Arasy pun sudah hebat, maka Allah ﷻ yang menciptanya juga tentulah lebih hebat. Maka kalau kita bergantung kepada Allah ﷻ, maka amat patut sangat. Jangan bergantung kepada makhluk yang tidak hebat mana.

Pengetahuan (ilmu) Allah ﷻ meliputi segala sesuatu, kekuasaan-Nya menjangkau segala sesuatu, dan Dialah yang melindungi segala sesuatu. Pengumuman Surah Bara’ah ini dibuat di tempat yang paling utama di bumi, iaitu di Kaabah, tetapi jangan lupa yang pengumuman itu datang daripada Allah ﷻ yang berada di Arasy yang tertinggi sekali.

 

PENUTUP:

Surah Tawbah ini adalah surah yang berlainan sekali dengan surah-surah yang lain. Ini adalah kerana ia memperkatakan tentang perang dan ramai yang tidak suka bercakap tentang perkara ini. Memang susah untuk menyebutnya, tambahan pula di waktu-waktu yang sensitif sekarang ini, tatkala nama Islam dikaitkan dengan terorisme dan keganasan.

Akan tetapi kita tetap kena sampaikan kerana ia adalah misi kita sebagai umat Islam. Kita kena sampaikan mesej daripada Allah ﷻ ini dan kita tidak perlu malu untuk menceritakan apa yang ada dalam Al-Qur’an jikalau kita melakukannya bersesuaian dengan syarak. Kita kena taat kepada mesej ini. Maka, walaupun orang tidak suka, kita kena jujur dan kena sampaikan. Mungkin tidak dapat diamalkan sekarang, tetapi kita kena tahu mungkin digunakan di masa hadapan.

Namun jangan lihat tentang perang sahaja dalam surah ini. Ya, memang surah ini memperkatakan tentang peperangan, tetapi bukan itu sahaja mesej di dalamnya. Ia juga mengandungi mesej penting untuk reformasi masyarakat. Itulah yang telah dilakukan oleh Nabi kita, Muhammad ﷺ.

 

Allahu a’lam. Tamat Tafsir Surah Tawbah. Sambung ke surah seterusnya, Surah Yunus.

Kemaskini: 27 Julai 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

5 thoughts on “Tafsir Surah Tawbah Ayat 128 – 129 (Rasulullah ﷺ sebagai Rahmat)”

  1. Entah kenapa bila saya baca sampai ke perenggan

    dari mana orang melayu dapat mengamalkan amalan seperti khasiat ini

    terus kepala saya tertanya-tanya

    adakah penulis ini wahabi

    dan saya scroll lagi kebawah

    ada tertera nama maulana asri

    otak saya sudah mula memproses

    mungkin inilah dia wahabi spt yg diceritakan

    saya tidak mengatakan saudara penulis salah

    cuma disin saya nak menceritakan situasi dan sudut pandang pov perasaan bagaimana seorang orang awam yang jahil seperti kami menilai . mungkin sudah sekian lama telah didoktrin dgn perkara kaifiat .hikmat membaca al quran

    soalan saya memang tiadakah amalan beramal dgn ayat al quran sprti ini. adakah menjadi kesalah jika saya amalkan.

    Like

    1. Hahaha, pertama tentang Wahabi. Memanglah kalau bawa ajaran Qur’an dan Sunnah, kami dituduh wahabi. Entah apalah Wahabi itu pada pandangan orang awam. Padahal kalau baca sampai semua, tidak pun kami suruh ikut Imam Abdul Wahab itu. Suruh ikut Qur’an dan Sunnah.

      Tentang Maulana Asri, beliau seorang yang berilmu. Amat rugi kalau beliau dipinggirkan. Rugi tak dapat ilmu lah.

      Ya mengamal kerana jahil, itulah jawapannya. Pakai ikut sahaja. Kemudian soalan jahil pula: kalau buat juga, dosa ke tidak? Orang pandai dan berilmu sebaliknya akan berfikir: kalau tidak ada dalil dari wahyu, buat apa amal? Kami nak amal yang sahih sahaja.

      tapi beza soalan orang jahil (maaf, awak pun mengaku jahil tadi), salah ke kalau amal, masuk neraka ke kalau amal?

      Nampak tak beza soalan orang berilmu dan orang jahil? Yang jahil tetap hendak amal walaupun tiada dalil.

      Gini, saya bagi contoh. Ada orang kata makan oat kurang kolestrol. Tapi ada kajian kata tak ada kesan pun. Masih hendak makan kah? Mahal juga untuk beli tu. Tapi kalau awak nak makan, apa kami boleh buat? Duit anda, masa anda, selera anda. Kami beritahu sahaja ia tidak ada keberkesanan, tidak ada kelebihan.

      Like

  2. Assalamualaikum, benarkan kisah Nabi Muhammad SAW ketika Baginda dikepung, lalu Baginda SAW membaca ayat 9 surah Yasin untuk mengkaburi mata pihak musuh. Adakah dibenarkan untuk beramal dengannya untuk tujuan pendinding atau mengkaburi mata pencuri. Harap dapat pencerahan terima kasih.

    Like

  3. Alhamdulilah satu penerangan yang baik..setuju..oleh itu perlu kita rapat dengan ulamak2 yg ada dengan kita terutama dalam mendalami maksud ayat Al-Quran..di setiap negeri di Malaysia kita ada mufti2 yg alim & warak seperti mufti Sabah, KL, Selangor, N.Sembilan dan byk lagi yang boleh kita ikuti…Terima Kasih

    Like

Leave a comment