Tafsir Surah A’raf Ayat 201 – 203 (Cara melepaskan diri daripada genggaman syaitan)

A’raf Ayat 201: Ayat Tabshir. Allah ﷻ menceritakan perihal hamba-hamba-Nya yang bertaqwa, iaitu orang-orang yang taat dalam menjalankan semua perintah-Nya dan meninggalkan semua hal yang dilarang-Nya.

إِنَّ الَّذينَ اتَّقَوا إِذا مَسَّهُم طائِفٌ مِّنَ الشَّيطٰنِ تَذَكَّروا فَإِذا هُم مُبصِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who fear Allāh – when an impulse touches them from Satan, they remember [Him] and at once they have insight.

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).

 

إِنَّ الَّذينَ اتَّقَوا إِذا مَسَّهُم طائِفٌ مِّنَ الشَّيطٰنِ تَذَكَّروا

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu hasutan daripada Syaitan, mereka ingat (kepada Allah)

Syaitan tidak akan melepaskan kita begitu sahaja. Sudah memang kerja mereka akan menghasut manusia. Kita apabila ditimpa oleh gangguan syaitan, menjadi marah dan sebagainya, maka kita kena ingat kepada Allah ﷻ dan minta perlindungan kepada Allah ﷻ daripada hasutan syaitan itu.

Kalimah yang digunakan di sini adalah طائِفٌ daripada katadasar ط و ف yang juga digunakan untuk kalimah ‘tawaf’ iaitu mengelilingi. Maknanya jin syaitan memang mengelilingi kita, sentiasa mencari peluang untuk membisikkan ajakan kepada keburukan dan dosa. Maka ini adalah sesuatu yang biasa dan memang kita kena hadapi. Allah ﷻ juga sebut sifat mereka di dalam Nas:4

مِن شَرِّ الوَسواسِ الخَنّاسِ

Daripada kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam

Maksud خَنّاسِ adalah ia datang dan pergi. Apabila ingat kepada Allah ﷻ, kita akan segera ingat nasihat Allah ﷻ dan ingat kembali hukum-hukum Allah ﷻ. Maka syaitan akan tinggalkan kita. Jangan pula kita rasa mereka hebat sampaikan menyebabkan mereka menjadi besar pula seperti disebut di dalam sebuah hadith,  apabila Nabi ﷺ mengingatkan,

لاَ تَقُلْ تَعِسَ الشَّيْطَانُ فَإِنَّكَ إِذَا قُلْتَ ذَلِكَ تَعَاظَمَ حَتَّى يَكُونَ مِثْلَ الْبَيْتِ وَيَقُولَ بِقُوَّتِى وَلَكِنْ قُلْ بِسْمِ اللَّهِ فَإِنَّكَ إِذَا قُلْتَ ذَلِكَ تَصَاغَرَ حَتَّى يَكُونَ مِثْلَ الذُّبَابِ

Jangan kamu mengucapkan ‘celaka syaitan’. Kerana ketika kamu mengucapkan kalimat itu, maka syaitan akan membesar, hingga dia seperti seukuran rumah. Syaitan akan membanggakan dirinya, ‘Dia jatuh kerana kekuatanku.’ Namun ucapkanlah, ‘Bismillah…’ kerana jika kamu mengucapkan kalilmat ini, syaitan akan mengecil, hingga seperti lalat.

(Musnad Ahmad 21133, Abu Daud 4984, dan disahihkan Syuaib al-Arnauth).

No photo description available.

At-Thahawi menjelaskan hadith ini,

نهاه رسول الله صلى الله عليه وسلم لأنه بذلك موقع للشيطان أن ذلك الفعل كان منه ولم يكن منه، إنما كان من الله ، وأمره أن يقول مكان ذلك: بسم الله -حتى لا يكون عند الشيطان أنه كان منه عنده في ذلك فعل

Rasulullah ﷺ melarang hal itu, kerana ucapan itu akan membuat syaitan bangga, dia menyangka kecelakaan itu disebabkan daripadanya, padahal sejatinya bukan daripadanya. Namun datang daripada Allah. Dan Nabi  ﷺ memerintahkan untuk menggantinya dengan ucapan ‘Bismillah..’ sehingga  syaitan tidak mengganggap bahawa kecelakaan itu daripadanya dan dia memiliki peranan dengannya. (Musykil al-Atsar, 1/346).

Dengan mengucapkan ‘bismillah’ kita juga kembali ingat kepada Allah ﷻ iaitu apa-apa sahaja yang terjadi adalah dengan izin Allah ﷻ sahaja tetapi kalau kita lupa, ini akan memberi peluang kepada syaitan untuk berdamping dengan kita dan terus membisikkan kepada kita seperti disebut dalam Zukhruf: 36

وَمَن يَعشُ عَن ذِكرِ الرَّحمٰنِ نُقَيِّض لَهُ شَيطٰنًا فَهُوَ لَهُ قَرينٌ

Dan sesiapa yang tidak mengendahkan peringatan Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.

Maka kita cuma kena ingat kepada Allah ﷻ sahaja dan berlindung dengan Allah ﷻ. Bukannya tampal ayat Al-Qur’an di dinding. Itu adalah salah dan kemungkinan besar syaitan yang suruh kita buat begitu!

Ayat Zukhruf: 36 itu mengingatkan kita tentang ‘qarin’. Qarin ini yang mendampingi kita sentiasa dan semua orang ada. Cuma kalau kita buat amalan yang salah, maka jin-jin itu akan bertambah. Dalil bagi qarin dalam kalangan jin adalah sebuah hadith yang masyhur:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا وَقَدْ وُكِّلَ بِهِ قَرِينُهُ مِنْ الْجِنِّ قَالُوا وَإِيَّاكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَإِيَّايَ إِلَّا أَنَّ اللَّهَ أَعَانَنِي عَلَيْهِ فَأَسْلَمَ فَلَا يَأْمُرُنِي إِلَّا بِخَيْرٍ

Daripada [Abdullah bin Mas’ud] berkata: Rasulullah ﷻ bersabda: “Tidaklah seorang pun daripada kalian melainkan dikuasai pendamping dalam kalangan jin.” Mereka bertanya: Engkau juga, wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Aku juga, hanya saja Allah membantuku mengalahkannya lalu ia masuk Islam, ia hanya memerintahkan kebaikan padaku.”

(Sahih Muslim (5034))

No photo description available.

Di dalam ayat ini hanya disebut تَذَكَّروا (ingatlah) tanpa disebut apa yang perlu diingati. Maka ia boleh bermaksud ingat Allah ﷻ, ingat azab Allah ﷻ, ingat bahaya syaitan, ingat syariat dan hukum dan sebagainya. Memang kalau kita lupa perkara-perkara di atas, senang syaitan untuk ambil peluang ke atas kita. Diceritakan kepada Rasulullah ﷺ terdapat seorang lelaki yang telah tidur sehingga berlalu waktu Subuh, lalu Rasulullah ﷺ bersabda:

ذَاكَ رَجُلٌ بَالَ الشَّيْطَانُ فِي أُذُنَيْهِ، أَوْ قَالَ: فِي أُذُنِهِ

“Lelaki itu telah dikencing oleh syaitan di kedua telinganya.” Atau Baginda ﷺ bersabda: “Di telinganya.”

[Riwayat al-Bukhari (3270) dan Muslim (774)]

Нема опис за фотографијата.

Syarah: Imam al-Bukhari رحمه الله meletakkan hadith ini di dalam bab orang yang tidur dan tidak mengerjakan salat disebabkan telah kencing oleh syaitan di telinganya. Hadith ini menunjukkan kinayah bahawa syaitan telah menutup telinga orang yang tidur daripada salat (tidak mengerjakannya) sehingga dia tidak mendengar seruan azan dan dikatakan juga bahawa maknanya adalah syaitan telah memenuhkan telinganya dengan perkara-perkara batil maka terhijab telinganya daripada mendengar seruan azan. [Lihat: Fath al-Bari, 3/28]

Tambahan pula, hadith ini mengisyaratkan bahawa dirinya telah dikuasai oleh syaitan dan syaitan juga telah berpaut pada saraf otaknya sepanjang malam serta diperkecilkan oleh syaitan. [Lihat: al-Minhaj, 6/64]

Lihatlah bagaimana dengan gembira dan senang hatinya syaitan kencing kita kerana meninggalkan Solat Subuh. Kalau pencuri masuk rumah kita pun mereka tidak kencing atas kita, tidak kencing pun di ruang tamu tetapi syaitan kencing dalam telinga kita!

Maka jangan bagi peluang syaitan kencing kita dan hasut kita. Kena ingat yang mereka adalah musuh kita yang tidak ada kerja lain melainkan untuk menghasut kita sepanjang masa. Tujuannya adalah untuk memasukkan kita ke dalam neraka selama-lamanya! Allah ﷻ sebut tentang  mereka dalam Fatir: 6

إِنَّ الشَّيطٰنَ لَكُم عَدُوٌّ فَاتَّخِذوهُ عَدُوًّا ۚ إِنَّما يَدعو حِزبَهُ لِيَكونوا مِن أَصحٰبِ السَّعيرِ

Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh(mu), kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala

Bila lagi kita kena ingat Allah ﷻ? Ketika kita melakukan dosa. Kita manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa, tetapi sebaik sahaja kita melakukannya, jangan lupa Allah ﷻ dan terus kita bertaubat secepat mungkin. Ini Allah ﷻ sebut dalam Ali Imran: 135. Inilah sifat orang Mukmin:

وَالَّذينَ إِذا فَعَلوا فٰحِشَةً أَو ظَلَموا أَنفُسَهُم ذَكَرُوا اللَّهَ فَاستَغفَروا لِذُنوبِهِم

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka

Rasulullah ﷺ juga bersabda tentang hal ini:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.

(Riwayat Ibn Majah (4392)) Status: Hasan

Memang tugas dakwah itu amat mencabar. Sekiranya ia mudah, tentu semua orang sudah buat. Memang ia susah tetapi ia adalah tugas yang mulia yang memerlukan orang yang hebat untuk melakukannya. Begitulah yang dilakukan oleh orang-orang yang beriman. Maksudnya, mereka teringat akan azab Allah ﷻ, pahala-Nya yang berlimpah, janji, dan ancaman-Nya. Kerana itu, lalu mereka bertaubat dan memohon perlindungan kepada Allah ﷻ serta segera kembali kepada-Nya.

Perkara ini banyak disebut dalam Surah Fussilat kerana surah itu adalah tentang dakwah yang mengajar kita bagaimana kita kena tenang dan sabar dalam menyampaikan dakwah.

 

فَإِذا هُم مُبصِرونَ

maka dengan itu mereka nampak.

Mereka yang ingat kepada Allah ﷻ akan diberi ‘basirah’ – penjelasan dalam hati. Iaitu mereka nampak apa yang sedang dilakukan oleh syaitan. Yakni mereka bangkit dan sedar daripada keadaan sebelumnya. Hati mereka akan tenang dan tidak marah lagi.

Mereka juga akan nampak jalan yang benar dengan cahaya yang Allah ﷻ berikan kerana syaitan mengajak kepada kegelapan dan kita memerlukan cahaya daripada Allah ﷻ untuk melihat kebenaran.


 

A’raf Ayat 202: Syaitan tidak berseorangan dalam menyesatkan manusia

وَإِخوٰنُهُم يَمُدّونَهُم فِي الغَيِّ ثُمَّ لا يُقصِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But their brothers¹ – they [i.e., the devils] increase them in error; then they do not stop short.

  • Those among mankind who listen to the devils and obey their orders.

MALAY

Sedang saudara (pengikut) Syaitan-syaitan, dibantu oleh Syaitan-syaitan itu dalam melakukan kesesatan, kemudian mereka tidak berhenti-henti (melakukan perbuatan yang sesat lagi menyesatkan itu).

 

وَإِخوٰنُهُم يَمُدّونَهُم فِي الغَيِّ

Sedang saudara (pengikut) Syaitan-syaitan, dibantu oleh Syaitan-syaitan itu dalam melakukan kesesatan, 

Ini adalah manusia yang berkawan dengan syaitan, ikut bisikan syaitan. Oleh kerana sudah lama rapat dengan syaitan, mereka itu dibantu oleh syaitan untuk menjerumuskan lagi mereka lebih dalam kesesatan. Syaitan mulanya jadikan mereka sesat dan kemudian biarkan mereka terus sesat. Sampaikan Allah ﷻ kata mereka itu ‘saudara’ kepada syaitan. Bagaimana pula manusia boleh menjadi saudara kepada syaitan pula? Tidak pelik kerana kalau ikut arahan dan bisikan mereka maka boleh menjadi saudara mereka seperti contoh yang disebut dalam Isra’: 27

إِنَّ المُبَذِّرينَ كانوا إِخوانَ الشَّياطينِ

Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan

Ertinya, syaitan-syaitan membantu mereka dalam berbuat maksiat dan memudahkan perbuatan-perbuatan maksiat bagi mereka serta menghiasinya bagi mereka hingga mereka tertarik untuk mengerjakannya. Ibnu Katsir  رحمه الله mengatakan bahawa makna al-maddu ertinya ‘menambah’, yakni syaitan-syaitan itu menambahkan kebodohan dan kedunguan kepada mereka.

 

ثُمَّ لا يُقصِرونَ

kemudian mereka tidak berhenti-henti 

Kemudian mereka tidak berhenti daripada mengikut syaitan. Mereka berterusan ikut kata-kata syaitan. Syaitan sudah boleh mengarahkan mereka (dulu hanya bisikkan dan ajak sahaja). Ibnu Abbas رضی اللہ عنھما mengatakan bahawa manusia itu tidak hentinya melakukan apa yang mereka kerjakan, dan syaitan pun tidak pernah berhenti daripada menggoda mereka.

Mereka adalah jin yang memberikan ilham kepada teman-temannya dalam kalangan manusia, kemudian tidak henti-hentinya menyesatkan mereka. Kalimah يُقصِرونَ berasal daripada katadasar ق ص ر yang bermaksud memendekkan, menyekat,  mengurung, menahan, berkurang, istana, berhenti, relak. Maka yang dimaksudkan dengan لا يُقصِرونَ ialah syaitan itu tidak bosan-bosannya dan tidak berhenti daripada menyesatkan mereka. Ini seperti firman-Nya:

{أَلَمْ تَرَ أَنَّا أَرْسَلْنَا الشَّيَاطِينَ عَلَى الْكَافِرِينَ تَؤُزُّهُمْ أَزًّا}

Tidakkah kamu lihat bahawa Kami telah mengirim syaitan-syaitan itu kepada orang-orang kafir untuk menghasut mereka berbuat maksiat dengan sungguh-sungguh (Maryam: 83)


 

A’raf Ayat 203: Menjawab hujah Musyrikin Mekah tentang mukjizat. Sebelum ini telah disebut yang syaitan tidak akan melepaskan manusia. Mereka akan cuba sedaya upaya untuk menyesatkan manusia dan salah satunya adalah memesongkan mereka daripada Al-Qur’an.

وَإِذا لَم تَأتِهِم بِئآيَةٍ قالوا لَولَا اجتَبَيتَها ۚ قُل إِنَّما أَتَّبِعُ ما يوحىٰ إِلَيَّ مِن رَّبّي ۚ هٰذا بَصائِرُ مِن رَّبِّكُم وَهُدًى وَرَحمَةٌ لِّقَومٍ يُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when you, [O Muḥammad], do not bring them a sign [i.e., miracle], they say, “Why have you not contrived it?” Say, “I only follow what is revealed to me from my Lord. This [Qur’ān] is enlightenment from your Lord and guidance and mercy for a people who believe.”

MALAY

Dan apabila engkau (wahai Muhammad) tidak membawa kepada mereka sesuatu mukjizat (sebagaimana yang mereka kehendaki), berkatalah mereka (secara mengejek): “Mengapa engkau tidak bersusah payah membuat sendiri akan mukjizat itu?” Katakanlah: “Sesungguhnya aku hanya menurut apa yang diwahyukan kepadaku dari Tuhanku. Al-Qur’an ini ialah panduan-panduan – yang membuka hati – dari Tuhan kamu, dan petunjuk serta menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman”.

 

وَإِذا لَم تَأتِهِم بِئآيَةٍ قالوا لَولَا اجتَبَيتَها

Dan apabila engkau (wahai Muhammad) tidak membawa kepada mereka sesuatu mukjizat (sebagaimana yang mereka kehendaki), berkatalah mereka (secara mengejek): “Mengapa engkau tidak bersusah payah membuat sendiri akan mukjizat itu?”

Lafaz ‘ayat’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘mukjizat’. Musyrikin Mekah banyak meminta Nabi ﷺ menunjukkan mukjizat kepada mereka. Ada yang Nabi ﷺ sudah tunjukkan. Namun tidaklah semua yang mereka minta itu Nabi ﷺ keluarkan kerana memang bukan Nabi Muhammad ﷺ yang menentukan mukjizat.

Para Nabi telah diberikan dengan mukjizat untuk membuktikan yang mereka benar-benar adalah Rasul. Ini kerana perkara dan berita yang mereka bawa itu adalah berita besar yang susah diterima oleh manusia yang telah lama sesat. Maka mereka diberikan dengan mukjizat untuk menguatkan hujah mereka. Nabi Muhammad ﷺ memang telah menunjukkan beberapa mukjizat sebagai bukti yang baginda adalah seorang Nabi lagi Rasul.

Namun begitu puak Musyrikin Mekah itu tetap tidak berpuas hati lagi. Walaupun telah ditunjukkan beberapa mukjizat, mereka masih lagi meminta mukjizat tetapi jenis yang mereka sendiri inginkan. Mereka pula reka apa mukjizat yang baginda kena tunjuk pula. Sekiranya Nabi ﷺ tidak boleh bawakan mukjizat seperti yang mereka minta, mereka akan ejek kenapa Nabi ﷺ tidak boleh bawa mukjizat itu?

Apakah contoh mukjizat yang mereka minta? Ini ada disebut dalam Isra’: 90-93

وَقالوا لَن نُؤمِنَ لَكَ حَتّىٰ تَفجُرَ لَنا مِنَ الأَرضِ يَنبوعًا

Dan mereka berkata: “Kami sekali-kali tidak percaya kepadamu hingga kamu memancarkan mata air dan bumi untuk kami,

أَو تَكونَ لَكَ جَنَّةٌ مِن نَخيلٍ وَعِنَبٍ فَتُفَجِّرَ الأَنهارَ خِلالَها تَفجيرًا

atau kamu mempunyai sebuah kebun kurma dan anggur, lalu kamu alirkan sungai-sungai di celah kebun yang deras alirannya,

أَو تُسقِطَ السَّماءَ كَما زَعَمتَ عَلَينا كِسَفًا أَو تَأتِيَ بِاللهِ وَالمَلائِكَةِ قَبيلًا

atau kamu jatuhkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana kamu katakan atau kamu datangkan Allah dan malaikat-malaikat berhadapan muka dengan kami.

أَو يَكونَ لَكَ بَيتٌ مِن زُخرُفٍ أَو تَرقىٰ فِي السَّماءِ وَلَن نُؤمِنَ لِرُقِيِّكَ حَتّىٰ تُنَزِّلَ عَلَينا كِتابًا نَقرَؤُهُ ۗ قُل سُبحانَ رَبّي هَل كُنتُ إِلّا بَشَرًا رَسولًا

Atau kamu mempunyai sebuah rumah daripada emas, atau kamu naik ke langit. Dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kenaikanmu itu hingga kamu turunkan atas kami sebuah kitab yang kami baca”. Katakanlah: “Maha Suci Tuhanku, bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi rasul?”

Setelah permintaan mereka ini, Allah ﷻ tidak tunaikan walaupun Allah ﷻ boleh sahaja beri. Ini kerana kalau mereka diberikan juga dengan mukjizat yang mereka minta ini dan mereka kemudiannya tolak, mereka akan terus diazab dengan azab yang amat teruk. Allah ﷻ pun tahu yang mereka bukannya minta segala mukjizat itu sebagai bukti tetapi hanyalah sebagai alasan untuk tolak sahaja. Allah ﷻ telah pernah mengancam umat Nabi Isa عليه السلام yang meminta makanan dari langit. Setelah Nabi Isa عليه السلام pun berkenan berdoa kepada Allah ﷻ, Allah ﷻ jawab begini di dalam Maidah:115:

قالَ اللَّهُ إِنّي مُنَزِّلُها عَلَيكُم ۖ فَمَن يَكفُر بَعدُ مِنكُم فَإِنّي أُعَذِّبُهُ عَذابًا لّا أُعَذِّبُهُ أَحَدًا مِّنَ العٰلَمينَ

Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku akan menurunkan hidangan itu kepadamu, barangsiapa yang kafir di antaramu sesudah (turun hidangan itu), maka sesungguhnya Aku akan menyeksanya dengan seksaan yang tidak pernah Aku timpakan kepada seorang pun di antara umat manusia”.

Maknanya Allah boleh beri tetapi kalau sesudah itu mereka ingkar juga, maka tidak ada maaf lagi buat mereka. Pernah umat Nabi Saleh عليه السلام meminta mukjizat unta dan telah diberikan kepada mereka. Kemudiannya mereka menolak juga kebenaran malah lebih teruk membunuh unta itu pula, maka azab terus dikenakan ke atas mereka.

 

قُل إِنَّما أَتَّبِعُ ما يوحىٰ إِلَيَّ مِن رَّبّي

Katakanlah: “Sesungguhnya aku hanya menurut apa yang diwahyukan kepadaku daripada Tuhanku.

Nabi ﷺ diajar untuk beritahu yang baginda hanya ikut wahyu daripada Tuhan dan sampaikan kepada umat. Kalau Allah ﷻ suruh buat, baru baginda buat. Baginda bukan tukang keluarkan mukjizat. Baginda tidak lain dan tidak bukan, cuma menyampaikan dakwah Tauhid sahaja. Baginda menegaskan yang tugas baginda adalah berdakwah, bukanlah kerjanya hanya untuk tunjuk mukjizat. Tujuan tunjuk mukjizat telah selesai, iaitu membuktikan yang baginda adalah seorang Nabi.

Sedangkan mukjizat itu hak Allah ﷻ. Kalau mereka hendakkan sesuatu, kena minta daripada Allah ﷻ. Ini menunjukkan yang baginda itu adalah manusia sahaja. Baginda tidak boleh keluarkan mukjizat sesuka hati baginda. Begitulah mukjizat dan begitulah juga dengan karomah.

Karomah juga hanya keluar kalau Allah ﷻ benarkan untuk keluar. Oleh itu, kalau ada manusia yang boleh buat perkara pelik itu mengikut kehendak mereka, itu bukanlah mukjizat, tetapi itu adalah ‘sihir’. Sekiranya ada tok guru boleh tunjuk benda pelik-pelik, maka ketahuilah bahawa itu adalah sihir.

 

هٰذا بَصائِرُ مِن رَّبِّكُم

(Al-Qur’an) ini ialah hujah-hujah (dan bukti-bukti) daripada Tuhan kamu, 

Baginda disuruh untuk menarik perhatian mereka kepada Al-Qur’an. Al-Qur’an inilah penjelasan nyata daripada Allah ﷻ untuk membuka minda dan hati manusia. Sebelum ini disebut tentang mukjizat dan sekarang kita dialihkan kepada fakta yang Al-Qur’an ini juga adalah mukjizat. Ayat ini menekankan yang ia adalah مِن رَّبِّكُم (daripada Tuhanmu) dan tidak disebut مِنَ اللهِ. Kenapa disebut Rabb di sini? Kerana Rabb yang menjadikan kita dan mentarbiyah kita. Maka Allah ﷻ hendak mengingatkan kita yang Dia adalah Rab kita.

Ia adalah mukjizat yang paling besar, bukannya perkara-perkara pelik yang mereka minta itu. Mereka mahu melihat sesuatu yang zahir supaya mata zahir mereka boleh melihatnya. Akan tetapi yang Allah ﷻ beri adalah sesuatu yang lebih hebat daripada itu – sesuatu untuk بَصائِرُ ‘mata hati’ mereka.

Kalimah بَصائِرُ berasal daripada katadasar ب ص ر yang bermaksud cerdik, percaya, ada ilmu, memahami, kebijaksanaan, memberi cahaya, menzahirkan, bukti, melihat, pandangan yang jelas, mata. Maknanya Al-Qur’an ini adalah cahaya yang diperlukan oleh mata-hati untuk melihat kebenaran.

Hebatnya Al-Qur’an ini, ia mampu membuka hati manusia kepada kebenaran dengan izin Allah ﷻ. Ini kerana hujah-hujah di dalamnya yang mantap dan hebat. Maka bila kita berdakwah kepada manusia, hendaklah menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an kerana ia mampu membuka hati manusia.

Namun kenalah belajar dan fahami tafsir Al-Qur’an dahulu. Kalau diri sendiri tidak tahu ajaran Al-Qur’an, apakah perkara yang kita hendak dakwah kepada manusia? Kerana itu kita sedih kepada golongan dakwah seperti Jemaah Tabligh yang ada keinginan kepada usaha dakwah tetapi ahlinya tidak belajar pun tafsir Al-Qur’an dan Syarah hadith. Mereka nampaknya kurang bab penyampaian ilmu kepada jemaah mereka.

 

وَهُدًى وَرَحمَةٌ لِّقَومٍ يُؤمِنونَ

dan petunjuk serta menjadi rahmat bagi orang-orang yang mahu beriman”.

Al-Qur’an juga adalah sumber ilmu yang boleh beri petunjuk kepada manusia. Ia adalah sebagai rahmat apabila diikuti. Namun untuk mendapatkan rahmat itu, kenalah faham Al-Qur’an ini dan jadikan sebagai panduan. Malangnya ramai yang tidak peduli langsung kepentingan memahami ayat-ayat Al-Qur’an ini.

Lafaz يُؤمِنونَ bukan bermaksud ‘orang beriman’ sahaja, tetapi ia adalah ‘orang yang mahu beriman’. Iaitu yang ada keinginan untuk mengetahui kebenaran. Kalau kaum yang mahu percaya, maka Al-Qur’an itu akan menjadi petunjuk dan rahmat bagi mereka. Usaha pertama adalah dengan mencari kelas pengajian tafsir Al-Qur’an yang semakin banyak zaman sekarang. Memang senang sangat untuk belajar sekarang ini kerana sudah ramai asatizah yang mengajar secara online sekarang. Apa lagi alasan kamu kalau tidak faham tafsir Al-Qur’an?

Apabila diawalkan harf ل dalam kalimat لِّقَومٍ يُؤمِنونَ itu, ia bermaksud Al-Qur’an ini hanya menjadi panduan dan rahmat bagi mereka yang beriman sahaja (atau yang mahu beriman). Kalau tidak beriman (atau tidak mahu beriman) maka mereka tidak akan mendapat panduan dan rahmat itu.

Kenapa kita katakan kalimah يُؤمِنونَ bukan sahaja ‘mereka yang beriman’ tetapi ia juga bermaksud ‘mereka yang mahu beriman’. Kerana mungkin orang yang sudah mula belajar tafsir Al-Qur’an belum benar-benar beriman lagi, akan tetapi sekurang-kurangnya mereka sudah ada keinginan. Mungkin dengan keinginan mereka yang kuat itu akan menyebabkan Allah ﷻ tarik mereka ke arah iman yang sebenar. Maksudnya kena ada keinginan dahulu untuk tahu kebenaran.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 24 Julai 2023

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment