Tafsir Surah Tahreem Ayat 3 – 5 (Selamatkan keluarga)

Tahreem Ayat 3: Ini adalah kisah kedua pula dan ada bersangkutan dengan kisah pertama.

وَإِذ أَسَرَّ النَّبِيُّ إِلىٰ بَعضِ أَزوٰجِهِ حَديثًا فَلَمّا نَبَّأَت بِهِ وَأَظهَرَهُ اللَّهُ عَلَيهِ عَرَّفَ بَعضَهُ وَأَعرَضَ عَن بَعضٍ ۖ فَلَمّا نَبَّأَها بِهِ قالَت مَن أَنبَأَكَ هٰذا ۖ قالَ نَبَّأَنِيَ العَليمُ الخَبيرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [remember] when the Prophet confided to one of his wives a statement; and when she informed [another] of it and Allāh showed it to him, he made known part of it and ignored a part. And when he informed her about it, she said, “Who told you this?” He said, “I was informed by the Knowing, the Acquainted.”

(MELAYU)

Dan ingatlah ketika Nabi membicarakan secara rahsia kepada salah seorang isterinya (Hafsah) suatu peristiwa. Maka tatkala (Hafsah) menceritakan peristiwa itu (kepada Aisyah) dan Allah memberitahukan hal itu (pembicaraan Hafsah dan Aisyah) kepada Muhammad lalu Muhammad memberitahukan sebahagian (yang diberitakan Allah kepadanya) dan menyembunyikan sebahagian yang lain (kepada Hafsah). Maka tatkala (Muhammad) memberitahukan pembicaraan (antara Hafsah dan Aisyah) lalu (Hafsah) bertanya: “Siapakah yang telah memberitahukan hal ini kepadamu?” Nabi menjawab: “Telah diberitahukan kepadaku oleh Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”.

 

وَإِذ أَسَرَّ النَّبِيُّ إِلىٰ بَعضِ أَزوٰجِهِ حَديثًا

Dan ketika Nabi membicarakan secara rahsia kepada salah seorang isterinya suatu peristiwa.

Ini adalah kisah Nabi ﷺ memberitahu sesuatu kepada salah seorang isterinya dan diingatkan supaya tidak diberitahu kepada orang lain. Akan tetapi kemudian isteri itu telah memberitahu kepada isteri yang lain. Maknanya, dia telah membocorkan rahsia. Kebanyakan tafsir mengatakan yang dimaksudkan adalah Hafsah رضی اللہ عنھا.

Asas bagi perhubungan suami isteri adalah kepercayaan di antara suami isteri. Oleh kerana itu suami hendaklah menyimpan rahsia isteri dan begitu juga si isteri. Tidak sepatutnya pasangan itu membocorkan rahsia kepada orang lain.

فَلَمّا نَبَّأَت بِهِ

Maka tatkala (Hafsah) menceritakan peristiwa itu (kepada Aisyah)

Bayangkan Nabi Muhammad ﷺ telah mendengar cakap Hafsah رضی اللہ عنھا itu yang madu itu berbau busuk. Nabi ﷺ kata baginda tidak akan memakannya lagi tetapi baginda ﷺ beritahu Hafsah رضی اللہ عنھا jangan cakap kepada sesiapa. Akan tetapi Hafsah tidak memegang janjinya kepada Nabi Muhammad ﷺ yang menghalangnya untuk membocorkan rahsia itu kepada sesiapa pun.

Seperti yang kita telah sebut, salah satu kisah yang dikatakan sebagai asbabun nuzul ayat ini adalah tentang Mariyah Qibtiyyah رضی اللہ عنھا. Kisahnya begini:

 

أَنَّ حَفْصَةَ أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ، زَارَتْ أَبَاهَا ذَاتَ يَوْمٍ وَكَانَ يَوْمَهَا، فَلَمَّا جَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ يَرَهَا فِي الْمَنْزِلِ، أَرْسَلَ إِلَى أَمَتِهِ مَارِيَةَ الْقِبْطِيَّةِ، فَأَصَابَ مِنْهَا فِي بَيْتِ حَفْصَةَ، وَجَاءَتْ حَفْصَةُ عَلَى تِلْكَ الْحَالِ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَتَفْعَلُ هَذَا فِي بَيْتِي وَفِي يَوْمِي؟ قَالَ: «فَإِنَّهَا عَلَيَّ حَرَامٌ، وَلَا تُخْبِرِي بِذَاكَ أَحَدًا» . فَانْطَلَقَتْ إِلَى عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا فَأَخْبَرَتْهَا بِذَلِكَ، فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: {يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ لِمَ تُحَرِّمُ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكَ}إِلَى قَوْلِهِ: {وَصَالِحُ الْمُؤْمِنِينَ} فَأُمِرَ أَنْ يُكَفِّرَ عَنْ يَمِينِهِ، وَيُرَاجِعَ أَمَتَهُ”.

“Bahawa Hafsah رضی اللہ عنھا telah menziarahi ayahnya pada suatu hari dan ketika itu adalah gilirannya bersama Rasulullah ﷺ. Apabila Rasulullah ﷺ pulang ke rumah, Baginda ﷺtidak melihatnya di rumah. Kemudian Baginda ﷺ mengutuskan kepada hambanya Mariah al-Qibtiyyah رضی اللہ عنھا. Setelah itu, Rasulullah ﷺ telah bersama dengannya di rumah Hafsah رضی اللہ عنھا (menggaulinya). Tidak lama kemudian, Hafsah رضی اللہ عنھا pulang ketika Rasulullah ﷺ dalam keadaan tersebut. Hafsah رضی اللہ عنھا berkata: “Wahai Rasulullah, adakah engkau melakukan hal ini di rumahku dan ketika giliranku?”. Maka Rasulullah ﷺ menjawab: “Sesungguhnya dia (Mariah رضی اللہ عنھا) haram ke atasku dan janganlah engkau memberitahu kepada sesiapa akan hal ini”. Hafsah رضی اللہ عنھا keluar ke rumah Aisyah رضی اللہ عنھا lalu menceritakan apa yang telah berlaku. Setelah itu, turunnya ayat Allah ﷻ, “Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu” sehingga firman Allah ﷻ “serta orang-orang yang soleh dalam kalangan orang-orang yang beriman”  lalu Baginda ﷺ diminta untuk membayar kafarah di atas sumpahnya dan kembali kepada hambanya”. 

(Lihat: Sunan Said bin Mansur, 1:438)

 

Ada juga pendapat yang mengatakan terdapat rahsia lain di mana Rasulullah ﷺ ceritakan satu rahsia kepada salah seorang isterinya. Kemudian isteri itu bertanya kepada isteri lain: “Rasulullah ada cerita tak?”. Ini kerana dia berbangga kerana dia dapat tahu rahsia yang isteri lain tidak tahu. Ini telah menyebabkan isteri yang lagi satu itu berasa rendah diri atau tidak sedap hati kerana tidak tahu perkara itu.

 

 

وَأَظهَرَهُ اللَّهُ عَلَيهِ

dan Allah memberitahukan hal itu (pembicaraan Hafsah dan Aisyah) kepada Muhammad

Kemudian Allah ﷻ telah memberitahu kepada baginda ﷺ bahawa kisah itu sudah terbongkar di mana isteri baginda iaitu Hafsah رضی اللہ عنھا telah membocorkan perkara tersebut kepada Aisyah رضی اللہ عنھا. Allah ﷻ ceritakan tentang hal ini kerana ada pengajaran yang Allah ﷻ hendak sampaikan kepada kita. 

Ini juga menafikan yang Nabi Muhammad ﷺ tahu perkara ghaib kerana kejadian itu Nabi ﷺ tidak tahu jika bukan Allah ﷻ yang beritahu kepada baginda.

Ada riwayat yang mengatakan apabila Nabi ﷺ mendapat tahu perkara ini, baginda mahu menceraikan Hafsah رضی اللہ عنھا. Akan tetapi Jibril عليه السلام datang dan menahan baginda. Jibril عليه السلام beritahu yang Hafsah رضی اللہ عنھا banyak mengerjakan solat dan puasa dan nama beliau termasuk di dalam senarai isteri baginda di syurga. Allahu a’lam.

 

عَرَّفَ بَعضَهُ وَأَعرَضَ عَن بَعضٍ

lalu Muhammad memberitahukan sebahagian (yang diberitakan Allah kepadanya) dan menyembunyikan sebahagian yang lain (kepada Hafsah). 

Kemudian Nabi Muhammad ﷺ telah memberi isyarat kepada isterinya itu yang baginda ﷺ sudah tahu apa yang telah berlaku tetapi tidaklah baginda menceritakan semuanya sekali. Baginda ﷺ hanya cakap dengan cara isyarat sahaja dan tidaklah menceritakan semuanya.

Nabi ﷺ cuma cakap sebegini: “bocor juga rahsia”. Nabi ﷺ tidak pula cakap siapa yang membocorkan rahsia kepada siapa (dan setakat apa yang telah dibocorkan) kerana ia bukanlah perkara yang penting. Nabi ﷺ cuma hendak menegur sahaja kesalahan isterinya itu. Ini menjadi pengajaran buat kita.

Ada dua perkara tentang rahsia itu: tentang Nabi ﷺ tidak mahu lagi makan madu dan satu lagi, yang Nabi ﷺ bersumpah. Nabi ﷺ ceritakan yang telah bocor tentang Nabi ﷺ tidak mahu makan madu itu lagi. Namun Nabi ﷺ tidak ceritakan tentang pembocoran sumpah itu kerana Nabi ﷺ tidak mahu Hafsah رضی اللہ عنھا berasa susah hati sangat. Yang penting tujuan tegurannya adalah supaya Hafsah رضی اللہ عنھا rasa bersalah dan mahu bertaubat.

Ada pengajaran di dalam ayat ini. Sekiranya ingin memberitahu sesuatu perkara kepada para isteri,  maka hendaklah berjaga-jaga. Terdapat keadaan di mana tidak memerlukan untuk diberitahu akan semua perkara. Perlu juga untuk berahsia dengan isteri kerana bimbang si isteri akan salah faham pula. Cuma beritahu perkara yang perlu diberitahu sahaja. Begitu juga dengan isteri, bukan semua perkara perlu diberitahu kepada suami.

 

فَلَمّا نَبَّأَها بِهِ قالَت مَن أَنبَأَكَ هٰذا

Maka tatkala (Muhammad) memberitahukan pembicaraan (antara Hafsah dan Aisyah) lalu (Hafsah) bertanya: “Siapakah yang telah memberitahukan hal ini kepadamu?”

Sepatutnya setelah kita telah membocorkan sesuatu rahsia dan telah diketahui oleh pemberi maklumat itu, maka kita kenalah meminta maaf namun sebaliknya isteri ini mahu tahu pula siapa yang memberitahu rahsia itu.

Nampaknya isteri itu hendak menyalahkan orang yang membocorkan rahsia itu  pula. Ini sama sahaja seperti orang kita akan tanya semula: “Siapa yang cakap?”, “Siapa dah bocorkan rahsia ni!?”

 

قالَ نَبَّأَنِيَ العَليمُ الخَبيرُ

Nabi menjawab: “Telah diberitahukan kepadaku oleh Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”.

Maka Nabi Muhammad ﷺ telah marah dan memberitahu bahawa maklumat itu disampaikan oleh Allah ﷻ, bukan oleh orang lain. Maka tidak perlu menyalahkan sesiapa pula.

Kisah yang terjadi ini sebenarnya adalah perlakuan antara suami dan isteri dan ini perkara biasa sahaja sebenarnya dalam kehidupan manusia, tetapi kita kena ingat kembali bahawa Nabi Muhammad ﷺ dan juga para isteri baginda menjadi contoh kepada manusia, oleh sebab itu Allah ﷻ menceritakan apa yang terjadi sebagai pengajaran untuk kita.

Nabi ﷺ adalah manusia yang penting dan baginda ada misi yang perlu dijalankan. Kalau rahsia dibocorkan kepada orang lain, maka tentulah ini akan membahayakan misi itu. Sekarang memanglah pembocoran rahsia itu perkara kecil sahaja. Namun perkara kecil ini pun Allah ﷻ sudah tegur untuk mengingatkan jangan sampai terjadi kebocoran rahsia yang besar pula.

Maka ini mengajar kepada para wanita yang menjadi isteri kepada pemimpin masyarakat dan mereka yang mempunyai tugas penting. Para isteri itu mempunyai tanggungjawab menyimpan rahsia suami mereka. Mereka bukan orang biasa lagi kerana mereka pun ada tugas untuk masyarakat. Jangan senang-senang sahaja untuk menceritakan apa yang terjadi di rumah kepada orang lain pula. Kenalah pandai simpan rahsia. kerana kita tidak tahu mana rahsia yang bahaya dibocorkan atau tidak.

Apakah beza antara العَليمُ dan الخَبيرُ? Dua-dua bermaksud ‘mengetahui’, tetapi apabila diletakkan bersebelahan, tentu ada bezanya. Imam Ibnul Qayyim رحمه الله menjelaskan al-‘ilmu itu zahir (bahagian luar daripada pengetahuan), sedangkan al-khibrah merupakan batin (bahagian dalam yang tersembunyi). Ia merupakan kesempurnaan ilmu ketika mampu menyingkap al-khibrah tersebut. Dengan begitu al-khibrah merupakan bahagian dalam daripada ilmu serta kesempurnaannya.” Di sini hendak memberitahu yang Allah ﷻ tahu segalanya: zahir dan batin.


 

Tahreem Ayat 4: Oleh kerana pembohongan mereka itu bukan jenis yang dibenarkan, maka Allah ﷻ telah menegur mereka berdua. Kemudian Allah ﷻ suruh mereka bertaubat. 

إِن تَتوبا إِلَى اللَّهِ فَقَد صَغَت قُلوبُكُما ۖ وَإِن تَظٰهَرا عَلَيهِ فَإِنَّ اللَّهَ هُوَ مَولٰهُ وَجِبريلُ وَصٰلِحُ المُؤمِنينَ ۖ وَالمَلٰئِكَةُ بَعدَ ذٰلِكَ ظَهيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If you two [wives] repent to Allāh, [it is best], for your hearts have deviated. But if you cooperate against him – then indeed Allāh is his protector, and Gabriel and the righteous of the believers and the angels, moreover, are [his] assistants.

(MELAYU)

Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah, maka sesungguhnya hati kamu berdua telah condong (untuk menerima kebaikan); dan jika kamu berdua bantu-membantu menyusahkan Nabi, maka sesungguhnya Allah adalah Pelindungnya dan (begitu pula) Jibril dan orang-orang mukmin yang baik; dan selain dari itu malaikat-malaikat adalah penolongnya pula.

 

 

إِن تَتوبا إِلَى اللَّهِ

Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah, 

Sekarang Allah ﷻ sedang bercakap kepada kedua-dua isteri Nabi ﷺ dengan menganjurkan mereka bertaubat. Ini kerana mereka telah bersalah. Maksud taubat adalah ‘kembali’ iaitu tukar perbuatan yang tidak baik kepada yang baik.

 

 

فَقَد صَغَت قُلوبُكُما

maka sesungguhnya hati kamu berdua telah condong

Ada muqaddar di dalam ayat ini: Allah ﷻ hendak memberitahu yang jikalau mereka bertaubat maka itu adalah baik bagi mereka. Sememangnya hati mereka telah rasa bersalah dan condong untuk bertaubat pun, maka teruskanlah niat untuk bertaubat dan meminta maaf itu.

Atau ayat ini juga bermaksud teguran Allah ﷻ kepada mereka kerana hati mereka telah condong kepada perkara yang tidak baik di dalam penipuan mereka. Hati mereka menjadi suka kerana telah mendapat apa mereka kehendaki dan telah menyusahkan Nabi ﷺ. Maka ini adalah teguran daripada Allah ﷻ. Kena bertaubat cepat-cepat, jangan buat lagi.

Kalau kita perhatikan, perbuatan mereka ini adalah kerana terlalu sayang kepada baginda, bukannya kerana benci. Akan tetapi cara mereka telah menyebabkan baginda menjadi susah pula. Ini adalah perbuatan dosa dan kerana itu mereka mesti bertaubat.

Namun harus ingat yang mereka telah menyusahkan ‘suami’ mereka, bukan menyusahkan ‘Rasul’ kerana lagi bahaya kalau menyusahkan seorang Rasul. Akan tetapi dalam kes sekarang ini adalah tentang kedudukan Nabi sebagai seorang suami mereka.

Ada pengajaran tentang hubungan dan komunikasi di antara suami isteri di sini. Antara suami isteri, hendaklah suka untuk membuat perkara baik, yang menyenangkan sesama sendiri. Jangan menyusahkan pasangan masing-masing. Contohnya ketika bercakap, perlulah bertanya dengan elok, kenapa perlu untuk bercakap kasar atau menyindir? Zahirkanlah kasih sayang di antara suami isteri.

Soalan: adakah perkara ini mengaibkan Aisyah dan Hafsah رضی اللہ عنھما? Bayangkan kisah mereka tersebut di dalam Al-Qur’an dan dibaca sehingga ke Hari Kiamat. Tidakkah mereka dimalukan dengan perkara ini?

Kita kena sedar yang melakukan dosa bukanlah perkara yang memalukan sangat kerana kita semua berdosa. Bezanya dosa mereka disebut di dalam Al-Qur’an. Akan tetapi yang lebih penting adalah taubat. Allah ﷻ suka kalau kita bertaubat setelah melakukan dosa.

Walaupun kisah mereka disebut di dalam Al-Qur’an, tetapi kita yang membacanya mendapat manfaat daripada kisah mereka. Maka mereka berterusan mendapat pahala kerana kisah mereka ini memberi manfaat kepada seluruh umat yang membacanya. Ternyata di sini, sebenarnya mereka beruntung.

 

 

وَإِن تَظٰهَرا عَلَيهِ

dan jika kamu berdua bantu-membantu menyusahkan Nabi, 

Allah ﷻ menegur mereka kerana menyusahkan hati Nabi Muhammad ﷺ. Allah ﷻ beritahu yang jikalau mereka bekerjasama sesama mereka untuk menyusahkan Nabi Muhammad ﷺ, mereka sendiri yang akan susah. Maka hentikanlah, bertaubatlah kerana akan jadi malang bagi mereka kalau terus melakukannya.

 

 

فَإِنَّ اللَّهَ هُوَ مَولٰهُ وَجِبريلُ وَصٰلِحُ المُؤمِنينَ

maka sesungguhnya Allah adalah Pelindungnya dan (begitu pula) Jibril dan orang-orang mukmin yang baik;

Allah ﷻ mengingatkan kepada mereka berdua yang jikalau mereka menyusahkan baginda lagi, maka kenalah ingat yang Allah ﷻ, Malaikat Jibril عليه السلام dan juga seluruh orang mukmin akan menjadi pembantu kepada baginda ﷺ. Maksudnya mereka tidak sesekali akan menang. Maka berhentilah. Kena ingat yang Nabi ﷺ ada kedudukan di sisi Allah ﷻ.

 

 

وَالمَلٰئِكَةُ بَعدَ ذٰلِكَ ظَهيرٌ

dan selain daripada itu malaikat-malaikat adalah penolongnya pula.

Para malaikat selain Jibrail عليه السلام pun akan menolong Nabi Muhammad ﷺ. Tadi telah disebut Jibril عليه السلام secara khusus, kenapa pula? Ini adalah kerana kedudukan Jibril عليه السلام yang lebih tinggi daripada para malaikat yang biasa.

Maknanya, para isteri baginda diingatkan dengan perkara ini kerana baginda bukan sahaja seorang suami kepada mereka tetapi baginda juga seorang Rasul yang mesti menjalankan tugas yang amat berat untuk menyampaikan agama kepada umat. Maka baginda ﷺ tidak ada masa untuk melayan kerenah mereka dengan perkara remeh sebegitu.

Tambahan lagi jikalau mereka menyusahkan hati baginda maka tentunya ini akan mengganggu tugas baginda dan usaha baginda untuk menyampaikan agama. Baginda ﷺ memang seorang yang sensitif dan terkesan dengan perasaan orang lain. Maka tentulah apa yang mereka lakukan itu menyesakkan fikiran baginda. 

Jikalau kamu tidak sedar juga maka ketahuilah bahawa kamu tidak akan menang kerana kamu tidak boleh melawan Allah ﷻ, Jibril عليه السلام, para malaikat lain dan juga orang mukmin seluruhnya kerana kedudukan Nabi Muhammad ﷺ itu tinggi dan baginda pasti akan dibantu. Ayat ini bukan hanya ditujukan kepada Aisyah dan Hafsah رضی اللہ عنھما sahaja tetapi sesiapa sahaja. Kalau hendak mengalahkan Nabi ﷺ, kamu pasti akan kalah.

Timbul isu yang mempersoalkan di manakah dalil yang mengatakan dua orang yang disebut dalam ayat ini merujuk kepada Aisyah dan Hafsah رضی اللہ عنھما? Kerana di dalam Al-Qur’an hanya disebut secara umum sahaja. Jawapan ada dinyatakan di dalam hadith di bawah ini:

 

حَدَّثَنَا الْحُمَيْدِيُّ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ قَالَ سَمِعْتُ عُبَيْدَ بْنَ حُنَيْنٍ يَقُولُ سَمِعْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ يَقُولُ كُنْتُ أُرِيدُ أَنْ أَسْأَلَ عُمَرَ عَنْ الْمَرْأَتَيْنِ اللَّتَيْنِ تَظَاهَرَتَا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَمَكَثْتُ سَنَةً فَلَمْ أَجِدْ لَهُ مَوْضِعًا حَتَّى خَرَجْتُ مَعَهُ حَاجًّا فَلَمَّا كُنَّا بِظَهْرَانَ ذَهَبَ عُمَرُ لِحَاجَتِهِ فَقَالَ أَدْرِكْنِي بِالْوَضُوءِ فَأَدْرَكْتُهُ بِالْإِدَاوَةِ فَجَعَلْتُ أَسْكُبُ عَلَيْهِ الْمَاءَ وَرَأَيْتُ مَوْضِعًا فَقُلْتُ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ مَنْ الْمَرْأَتَانِ اللَّتَانِ تَظَاهَرَتَا قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ فَمَا أَتْمَمْتُ كَلَامِي حَتَّى قَالَ عَائِشَةُ وَحَفْصَةُ

Telah menceritakan kepada kami Al Humaid Telah menceritakan kepada kami Sufyan Telah menceritakan kepada kami Yahya bin Sa’id ia berkata; Aku mendengar Ubaid bin Hunain berkata, Aku mendengar Ibnu Abbas berkata; Aku ingin bertanya kepada Umar bin Al Khathab mengenai dua wanita yang bantu-membantu untuk menyusahkan Rasulullah ﷺ. Dan aku pun menahan keinginan itu selama satu tahun, namun aku belum juga mendapat kesempatan untuk menanyakannya. Hingga pada suatu hari aku keluar bersamanya untuk menunaikan ibadah haji. Ketika kami berada di Zhahran, Umar pergi untuk buang hajat, lalu dia berkata, “Bawakanlah aku air untuk berwudlu.” Maka aku pun membawakan untuknya, lalu menuangkan air wudlu untuknya. Pada saat itulah, aku melihatnya sebagai waktu yang tepat untuk bertanya. Maka aku pun bertanya, “Wahai Amirul Mukminin, siapakah dua orang wanita yang pernah bantu membantu untuk menyusahkan Rasulullah ﷺ?” Ibnu Abbas berkata; Aku belum selesai bertanya, tetapi ia telah lebih dahulu menjawab, “Aisyah dan Hafshah.”

(Hadith Riwayat Imam Bukhari No. 4534)

 


 

Tahreem Ayat 5: Maka hendaklah mereka segera minta ampun. Jangan berlengah-lengah lagi.

Atau, ini ada kemungkinan yang lain iaitu Nabi Muhammad ﷺ mungkin menceraikan mereka.

عَسىٰ رَبُّهُ إِن طَلَّقَكُنَّ أَن يُبدِلَهُ أَزوٰجًا خَيرًا مِّنكُنَّ مُسلِمٰتٍ مُؤمِنٰتٍ قٰنِتٰتٍ تٰئِبٰتٍ عٰبِدٰتٍ سٰئِحٰتٍ ثَيِّبٰتٍ وَأَبكارًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Perhaps his Lord, if he divorced you [all], would substitute for him wives better than you – submitting [to Allāh], believing, devoutly obedient, repentant, worshipping, and traveling¹ – [ones] previously married and virgins.

  • Emigrating for the cause of Allāh.

(MELAYU)

Jika Nabi menceraikan kamu, boleh jadi Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri yang lebih baik daripada kamu, yang patuh, yang beriman, yang taat, yang bertaubat, yang mengerjakan ibadat, yang berpuasa, yang janda dan yang perawan.

 

 

عَسىٰ رَبُّهُ إِن طَلَّقَكُنَّ أَن يُبدِلَهُ أَزوٰجًا خَيرًا مِّنكُنَّ

Jika Nabi menceraikan kamu, boleh jadi Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri yang lebih baik daripada kamu,

Ini adalah ayat untuk menakutkan para isteri Nabi kerana Nabi ﷺ mungkin menceraikan mereka. Tentu mereka terkejut jika terbayang baginda ceraikan mereka kerana mereka sedar yang kedudukan mereka waktu itu adalah di dalam kedudukan yang mulia sebagai isteri Rasulullah ﷺ. Sekiranya mereka dicerai, tentu itu adalah pertanda yang amat buruk bagi mereka. 

Allah ﷻ menegur agar jangan berasa hebat sangat menjadi isteri Nabi kerana Dia ﷻ boleh sahaja menggantikan mereka dengan isteri yang lebih baik daripada mereka. Ini adalah satu lagi tempelak bagi mereka: ada wanita yang lebih baik bagi mereka. Tentu apabila mereka mendengar ayat ini, ia menjadi satu tamparan yang hebat bagi mereka. 

 

حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ عَنْ يَحْيَى بْنِ سَعِيدٍ عَنْ حُمَيْدٍ عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ عُمَرُ وَافَقْتُ اللَّهَ فِي ثَلَاثٍ أَوْ وَافَقَنِي رَبِّي فِي ثَلَاثٍ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَوْ اتَّخَذْتَ مَقَامَ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى وَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ يَدْخُلُ عَلَيْكَ الْبَرُّ وَالْفَاجِرُ فَلَوْ أَمَرْتَ أُمَّهَاتِ الْمُؤْمِنِينَ بِالْحِجَابِ فَأَنْزَلَ اللَّهُ آيَةَ الْحِجَابِ قَالَ وَبَلَغَنِي مُعَاتَبَةُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعْضَ نِسَائِهِ فَدَخَلْتُ عَلَيْهِنَّ قُلْتُ إِنْ انْتَهَيْتُنَّ أَوْ لَيُبَدِّلَنَّ اللَّهُ رَسُولَهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْرًا مِنْكُنَّ حَتَّى أَتَيْتُ إِحْدَى نِسَائِهِ قَالَتْ يَا عُمَرُ أَمَا فِي رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يَعِظُ نِسَاءَهُ حَتَّى تَعِظَهُنَّ أَنْتَ فَأَنْزَلَ اللَّهُ { عَسَى رَبُّهُ إِنْ طَلَّقَكُنَّ أَنْ يُبَدِّلَهُ أَزْوَاجًا خَيْرًا مِنْكُنَّ مُسْلِمَاتٍ } الْآيَةَ وَقَالَ ابْنُ أَبِي مَرْيَمَ أَخْبَرَنَا يَحْيَى بْنُ أَيُّوبَ حَدَّثَنِي حُمَيْدٌ سَمِعْتُ أَنَسًا عَنْ عُمَرَ

Telah menceritakan kepada kami Musaddad daripada Yahya bin Sa’id daripada Humaid daripada Anas beliau berkata; ‘Umar رضي الله عنه berkata; Aku telah menepati Rabbku dalam tiga hal, atau Rabbku telah menyetujuiku dalam tiga hal. Aku berkata; “Wahai Rasulullah seandainya engkau menjadikan Maqam Ibrahim sebagai tempat solat.” Aku berkata; “Wahai Rasulullah, sesungguhnya yang menemuimu adalah orang-orang yang baik dan yang jahat, seandainya engkau perintahkan kepada para Ummul Mukminin supaya memakai hijab.” maka turunlah ayat hijab. Dan suatu ketika aku mendengar Rasulullah ﷺ mempersalahkan sebahagian isteri-isterinya, maka akupun mengunjungi mereka dan berkata; “Berhentilah kalian daripada berbuat masalah dengan Nabi atau boleh jadi Allah akan memberi ganti kepadanya dengan isteri yang lebih baik daripada kalian.” Ketika aku menemui salah seorang isterinya, dia berkata kepadaku; Wahai Umar! Bukankah Rasulullah ﷺ lebih berhak menasihati isteri-isterinya daripada kamu? Maka turunlah ayat; “Boleh jadi jika dia menceraikan kamu, Tuhannya akan memberinya ganti isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu – perempuan yang berserah diri.- (At-Tahrim: 5).” Dan Ibnu Abu Maryam berkata; Telah mengabarkan kepada kami Yahya bin Ayub Telah menceritakan kepadaku Humaid Aku mendengar Anas daripada Umar.

(HR Bukhari No. 4123)

مُسلِمٰتٍ مُؤمِنٰتٍ

yang patuh, yang beriman, 

Tiada huruf و antara sifat-sifat yang disebut dalam ayat ini, maksudnya ia adalah mawsuf sifah. Maksudnya ia adalah sifat kepada pengganti isteri Nabi (jika ada). Semua sifat itu ada pada pengganti mereka (para isteri Nabi ketika itu). 

Yang pertama, mereka itu ‘muslimah’ iaitu menyerah diri kepada Allah ﷻ sepenuhnya. Kedua, mereka itu mukminah yang bermaksud benar-benar beriman. Bukan setakat ‘muslimah’ sahaja.

Apabila ada kalimah ‘muslim’ dan ‘mukmin’ dalam satu ayat, maka:

Muslim: bermaksud orang yang mengamalkan agama dengan benar. Maka ini adalah dari segi amalan.

Mukmin: yang beriman sungguh. Maka ini adalah dalam bentuk akidah.

 

 

قٰنِتٰتٍ

yang taat, 

Mereka adalah orang yang taat. Taat itu ada dua perkara: 

1. Taat kepada Allah ﷻ dan Rasul
2. Taat kepada suami mereka. Dalam surah ini telah disebut tentang masalah yang ada dengan mereka.

 

 

تٰئِبٰتٍ

yang bertaubat,

Mereka sentiasa bertaubat, dan daripada kalimah yang digunakan ini, ia bermaksud bukan sekali sahaja tetapi mereka selalu melakukannya. Maka maknanya mereka itu adalah orang yang ‘taubat dalam taat’. Maksudnya walaupun mereka beriman dan taat dalam melaksanakan ibadat, tetapi mereka tetap juga bertaubat kerana mereka tidak tahu manakah amalan mereka yang diterima (dan entah ada kekurangan dalam amal perbuatan mereka).

Lebih-lebih lagi, entah ada salah mereka kepada Allah ﷻ yang mereka tidak perasan. Maka mereka terus memperbanyakkan taubat kepada Allah ﷻ. Mereka yang jenis ini tidaklah berasa bangga dan selamat dengan amalan mereka itu. Mereka sentiasa merendahkan diri dan sentiasa berusaha untuk menjaga amalan dan iman mereka. Ingatlah yang orang yang berasa selamat itulah yang tidak selamat.

 

عٰبِدٰتٍ

yang mengerjakan ibadat, 

Mereka kuat melakukan ibadat. Apabila kuat melakukan ibadat, maka orang itu tidaklah leka dengan dunia dan sebaliknya mereka sentiasa mendekatkan diri dengan Allah ﷻ. Maka mereka sering berjaga-jaga daripada melakukan dosa kerana apabila bila seseorang itu banyak buat ibadat, tidaklah dia melakukan dosa, bukan?

 

 

سٰئِحٰتٍ

yang berpuasa, 

Mereka juga kerap berpuasa. Kalimah ini berasal daripada kata dasar س ي ح yang bermaksud ‘mengalir di daratan’, ‘bergerak ke depan dan ke belakang’, ‘bermusafir’. Ia membawa maksud ‘puasa’ dalam ayat ini kerana pada zaman dahulu, rahib bergerak dalam perjalanan mereka dan tidak ada makanan sampailah mereka sampai ke sesuatu tempat yang ada makanan.

Apabila dikatakan puasa dalam ayat ini, para wanita itu bukanlah setakat puasa di bulan Ramadhan yang wajib sahaja, tetapi mereka selalu melakukan puasa sunat.

Inilah kualiti yang kena ada pada setiap wanita muslimah. Maka sifat-sifat ini hendaklah cuba disematkan dalam diri wanita (dan juga lelaki). 

 

 

ثَيِّبٰتٍ وَأَبكارًا

yang janda dan yang perawan.

Wanita yang Allah ﷻ kata boleh dijadikan sebagai pengganti isteri Nabi itu boleh sahaja tediri daripada golongan janda atau anak dara. Allah ﷻ boleh gantikan dengan mana-mana wanita sahaja.

Namun sebenarnya, selepas ayat ini diturunkan, Allah ﷻ tidak menggantikan pun para isteri baginda dengan orang lain. Maksudnya isteri Nabi sebenarnya sudah ada semua sifat-sifat itu. Termasuk ada dalam kalangan mereka yang bernikah dengan Nabi ﷺ semasa anak dara dan lebih ramai yang janda semasa menikah dengan baginda. Maka para isteri Nabi waktu itu pun sudah ada sifat-sifat itu, kerana kalau tidak, tentu sudah digantikan. 

Oleh itu, bukanlah ayat ini hendak mengatakan yang para isteri Nabi itu tidak ada sifat-sifat yang telah disebut ini; tetapi Allah ﷻ hendak mereka meninggalkan perbuatan mereka yang salah dan menyusahkan Nabi ﷺ itu dan tumpukan perhatian mereka dengan meneruskan perbuatan baik mereka. Tinggalkan yang buruk dan teruskan dengan kebaikan yang mereka memang telah lakukan pun.

Bukanlah ayat ini hendak kata yang ada wanita lain yang lebih baik daripada mereka. Mungkin tidak ada pun pada masa itu. Akan tetapi sekiranya Allah ﷻ kehendaki, Allah ﷻ boleh adakan wanita yang lebih baik daripada mereka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 16 Ogos 2022

Ringkasan Surah Tahreem


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Maulana Asri

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment