Tafsir Surah Talaq Ayat 2 – 3 (Hukum Rujuk)

Talaq Ayat 2: Apakah yang terjadi apabila tempoh iddah sudah habis?

فَإِذا بَلَغنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمسِكوهُنَّ بِمَعروفٍ أَو فارِقوهُنَّ بِمَعروفٍ وَأَشهِدوا ذَوَي عَدلٍ مِّنكُم وَأَقيمُوا الشَّهٰدَةَ لِلَّهِ ۚ ذٰلِكُم يوعَظُ بِهِ مَن كانَ يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۚ وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجعَل لَّهُ مَخرَجًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when they have [nearly] fulfilled their term, either retain them according to acceptable terms or part with them according to acceptable terms. And bring to witness two just men from among you and establish the testimony for [the acceptance of] Allāh. That is instructed to whoever should believe in Allāh and the Last Day. And whoever fears Allāh – He will make for him a way out¹

  • i.e., relief from distress.

(MELAYU)

Apabila mereka telah mendekati akhir iddahnya, maka rujukilah mereka dengan baik atau lepaskanlah mereka dengan baik dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu kerana Allah. Demikianlah diberi pengajaran dengan itu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Barangsiapa bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.

 

فَإِذا بَلَغنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمسِكوهُنَّ بِمَعروفٍ

Apabila mereka telah mendekati akhir iddahnya, maka rujukilah mereka dengan baik

Apabila waktu iddah itu telah hampir tamat, jikalau suami itu membuat keputusan untuk memegangnya kembali (rujuk), maka peganglah (imsak) isterinya itu dengan cara ma’ruf. Maksud pegang itu adalah kekalkan perkahwinan, tidak terus dilepaskan. Ini bermakna dengan cara yang semua orang tahu adalah cara yang baik. Tidak perlu hendak diperhalusi apakah ‘ma’ruf’ ini kerana ia adalah perkara yang tidak perlu diajar secara terperinci pun di dalam agama.

Ini adalah kerana semua orang tahu sama ada sesuatu itu baik ataupun tidak, termasuklah orang yang kafir pun tahu juga kerana ia hanya memerlukan kepada akal yang sihat sahaja. Maka ini mengajar kita yang kita kena ikut adat dalam masyarakat dan bukannya ikut kepala otak kita sahaja.

Perkara ini adalah penting kerana kadang-kadang suami ataupun isteri akan membuat sesuatu perkara mengikut kehendak nafsunya sendiri, sampaikan tidak boleh diterima oleh masyarakat yang sihat. Namun begitu ada juga yang masih mahu menegakkan keputusan mereka itu seolah-olah keputusan mereka itulah yang benar.

Oleh itu jikalau sudah membuat keputusan untuk rujuk, maka ambillah semula isteri itu dengan baik. Jangan lagi buat perkara yang boleh menyebabkan perlafazan cerai itu. Sekali sudah terlepas cakap maka kenalah berhati-hati selepas itu. Kenalah ingat yang ada dua peluang sahaja lagi untuk talaq boleh rujuk. Kalau sudah talaq sampai kali ketiga, memang harapan untuk rujuk kembali hampir tidak ada.

Rujuk itu pula mestilah sebab yang ma’ruf (yang baik). Bukannya kerana hendak menyeksa isteri itu. Mungkin ada yang bertujuan sengaja tidak mahu isterinya lepas ke tangan orang lain,  maka dia rujuk supaya dia dapat terus menyeksa isterinya itu. Akan tetapi dia bukan hendak berbaik pun dengan isterinya. Dia tetap layan tidak baik dengan isterinya. Ini bukan cara yang ma’ruf malah cara yang jahat dan zalim kepada orang lain.

Rujuk ini kenalah dilakukan sebelum habis tempoh iddah. Maka jangan tunggu lama-lama. Jangan lepaskan peluang yang ada. Sebab itulah Islam mengajar isteri yang telah ditalaq itu terus tinggal di rumah itu dan jangan keluar.

Selepas mengambil semula isteri itu, maka berilah layanan kepadanya dengan baik (ma’ruf). Janganlah ambil semula dengan tujuan untuk menyeksa jiwa mereka. Pasangan suami isteri kenalah berbaik-baik dalam perhubungan. Yang tidak baik itu adalah kerana salah seorang (atau kedua-duanya sekali) ada masalah komunikasi. Sekiranya kedua-duanya boleh berkomunikasi dan memahami di antara satu sama lain dengan baik, maka boleh sahaja duduk berbincang sesama sendiri. Untuk mencapai ini kenalah belajar teknik-teknik komunikasi.

Para ulama’ yang tidak mewajibkan saksi dalam rujuk, berselisih pendapat dalam cara rujuk yang diakui syariat. Ada yang menyatakan bahawa cukup dengan berhubungan suami-isteri (jimak), ada yang menyatakan bahawa harus dengan niat rujuk, dan ada yang menyatakan bahawa harus dengan ucapan.
Pendapat yang rajih adalah, rujuk dikatakan sah dengan adanya perbuatan atau perkataan yang menunjukkan rujuknya kedua pasangan tersebut, baik dengan hubungan suami-isteri atau perkataan. Hal tersebut menyelisihi pendapat sebahagian kaum muslimin bahawa rujuk memerlukan prosedur yang berbelit-belit, sehingga orang yang berkeinginan rujuk malah tidak jadi melakukan rujuk hanya kerana prosedur tersebut.

 

أَو فارِقوهُنَّ بِمَعروفٍ

atau lepaskanlah mereka dengan baik

Jikalau suami itu telah membuat keputusan untuk terus berpisah dengan isterinya maka berpisahlah dengan cara baik. Jangan ada permusuhan antara mereka dan di dalam Al-Baqarah: 241 sampai ada disebut untuk kita beri hadiah kepada mereka. Kalau ada mahr yang berhutang lagi, maka bayarlah mahr itu. 

Malangnya di dalam masyarakat kita tidak menjaga perkara ini di mana apabila suami isteri berpisah mereka bermusuhan sehinggakan anak-anak turut menjadi mangsa. Mereka benci sangat kepada pasangan lama sampaikan mereka tidak boleh melihat pasangan lamanya itu.

Akibatnya anak itu pun perasan kebencian antara ibu dan bapa mereka sampaikan mereka pun terpaksa memilih untuk setia kepada siapa. Ini kerana kadang-kadang ibu atau bapa itu akan memburukkan pasangan lama mereka kepada anak-anak supaya anak-anak pun benci sekali. Ini amat teruk sekali. Anak itu akan mendapat tekanan jiwa akhirnya dan tidak membesar dengan baik. 

Ingatlah yang bekas pasangan itu adalah ibu ataupun ayah kepada anak-anak kita dan mereka juga hamba Allah ‎ﷻ yang ada masalah dan ada kebaikan mereka. Maka janganlah buat musuh dengan orang yang dahulunya baik dan juga rapat dengan kita. Masalah yang terjadi itu letaklah di tepi sahaja dan jangan libatkan orang luar terutama anak-anak. Jangan simpan kebencian di dalam hati kerana ia akan memakan hati kita dan menyebabkan kita sakit jiwa sahaja. Kena belajar untuk memaafkan orang.

Satu lagi masalah adalah banyak pihak yang terlibat dalam keluarga itu yang cuba untuk memberi masalah kepada perhubungan itu. Ini seperti ibubapa, adik beradik, kawan-kawan, pakcik dan makcik, satu kampung, satu bandar dan sebagainya. Mereka itu tidak layak hendak beri nasihat pun kerana tidaklah pandai mana, tetapi biasalah orang bodoh pun teringin juga hendak beri nasihat.

Ini kerana ramai yang perasan mereka pandai. Kesannya nasihat yang mereka beri itu selalunya nasihat yang seperti tikus membaiki labu sahaja. Langsung tidak membawa kepada kebaikan malah membawa kepada keburukan. Maka selalunya kita kena tahan diri kita daripada memberi nasihat kalau kita tidak tahu.

 

وَأَشهِدوا ذَوَي عَدلٍ مِّنكُم

dan persaksikanlah dengan dua orang saksi lelaki yang adil di antara kamu

Kalau boleh, adakan saksi dalam kalangan orang-orang yang adil untuk menjadi saksi bahawa memang suami telah melafazkan talak dan juga tempoh iddah telah habis. Kalimah ذَوَي bermaksud ‘dua orang lelaki’. Ini adalah supaya kalau perkara itu perlu dibawa ke mahkamah maka ada orang adil yang boleh memberitahu kedudukan perkara yang sebenar.

Ini bukanlah perkara wajib, tetapi sunat sahaja. Talaq dan rujuk tetap sah sama ada ada saksi ataupun tidak. Maka ini adalah arahan irsyadi (panduan) sahaja sebagai anjuran baik untuk dilakukan. Walaupun ada pendapat yang mengatakan ia adalah wajib (mazhab Syafi’iy). Ini memang elok diadakan untuk kebaikan bersama kerana kalau ada perbicaraan di mahkamah, ada orang yang boleh menjadi saksi supaya wanita itu boleh mendapat haknya. Sebagai contoh, harta faraid suaminya. Ditakuti kalau tidak ada saksi, nanti boleh jadi ada yang menidakkan haknya sebagai isteri.

 

أَنَّ عِمْرَانَ بْنَ حُصَيْنٍ سُئِلَ عَنِ الرَّجُلِ يُطَلِّقُ امْرَأَتَهُ, ثُمَّ يَقَعُ بِهَا وَلَمْ يُشْهِدْ عَلَى طَلَاقِهَا وَلاَ عَلَى رَجْعَتِهَا. فَقَالَ: طَلَّقْتَ لِغَيْرِ سُنَّةٍ وَرَاجَعْتَ لِغَيْرِ سُنَّةٍ، أَشْهِدْ عَلَى طَلَاقِهَا وَعَلَى رَجْعَتِهَا وَلَا تَعُدْ

Imran bin Hushain ditanya tentang seorang lelaki yang mentalak isterinya, kemudian menggaulinya (merujuknya) dalam keadaan tidak mempersaksikan talak dan rujuknya. Imran pun berkata, “Kamu telah mentalak dan merujuk tanpa mengikuti As-Sunnah. Persaksikanlah talak dan rujukmu (sekarang), dan janganlah kamu ulangi hal ini!” 

(HR. Abu Daud no 2186 dan Ibnu Majah no. 2025, sahih menurut Syeikh al-Albani)

وَأَقيمُوا الشَّهٰدَةَ لِلَّهِ

dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu kerana Allah. 

Apabila orang yang menjadi saksi dipanggil, maka hendaklah mereka datang untuk menegakkan keadilan. Sebagai contoh, kalau dipanggil oleh mahkamah untuk menjadi saksi bagi kes itu. Jangan simpan persaksian kerana kalau disimpan, kes tidak dapat diselesaikan. Ditegakkan persaksian itu kerana hendak menegakkan hukum Allah ﷻ kerana Allah ﷻ yang suruh. Mereka hendak menjadi saksi yang adil, bukannya memberi persaksian palsu.

 

 

ذٰلِكُم يوعَظُ بِهِ مَن كانَ يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ

Demikianlah diberi pengajaran dengan itu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Begitulah nasihat yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita untuk menjaga perhubungan sesama manusia. Kalau kamu orang yang mengatakan kamu beriman, maka hendaklah kamu ikut undang-undang dan cara-cara yang Allah‎ ﷻ telah ajar ini. Ia adalah untuk kebaikan kita sebenarnya, bukan Allah ‎ﷻ. 

Kalimah يوعَظُ yang digunakan dalam ayat ini bermaksud anjuran-anjuran dalam ayat ini hendaklah diikuti oleh orang yang beriman. Walau bagaimanapun kalau ia tidak dijalankan, maka perceraian dan rujuk tetap sah. Oleh itu, sekiranya,

– suami tidak menceraikan isteri dengan cara sunnah,
– isteri dikeluarkan dari rumah,
– isteri keluar dari rumah,
– suami rujuk isteri hanya untuk menzalimi isteri itu,
– tiada saksi semasa perceraian dan rujuk,

Perceraian dan rujuk tetap sah cuma ia bukanlah cara seorang muslim sejati. Maka Allah ﷻ mengingatkan yang ini adalah perkara yang perlu diikuti oleh seorang mukmin. Mungkin seorang suami selamat di dunia jikalau dia tidak melakukan arahan-arahan Allah ﷻ berkenaan hak isterinya, tetapi dalam Allah ﷻ memberi hukum, Allah ﷻ mengingatkan yang kalau mahu menjadi mukmin, maka kenalah ikut arahan-Nya.

 

 

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجعَل لَّهُ مَخرَجًا

Barangsiapa bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.

Sebelum ini disebut orang yang beriman dan asas bagi iman itu adalah taqwa kepada Allah ﷻ. Selalunya orang-orang yang baru bercerai akan rasa hidup mereka tunggang-langgang dan masalah itu terlalau besar kepada mereka tetapi Allah ‎ﷻ memberi nasihat di dalam ayat ini yang jikalau mereka bertaqwa kepada Allah ‎ﷻ maka Dia akan berikan jalan keluar daripada masalah mereka itu.

Maksud taqwa secara ringkas adalah dengan menjaga hukum yang Allah ‎ﷻ tetapkan untuk kebaikan kita. Dalam semua perkara mestilah dijaga hukum, terutama sekali tentang cerai. Dengan menjaga hukum yang Allah ‎ﷻ tetapkan itu, ia adalah untuk kebaikan kita sebenarnya. Dalam semua perkara mesti dijaga hukum, terutama sekali tentang cerai.

 

وقال ابن أبي حاتم : حدثنا أحمد بن منصور الرمادي ، حدثنا يعلى بن عبيد ، حدثنا زكريا ، عن عامر ، عن شتير بن شكل قال : سمعت عبد الله بن مسعود يقول : إن أجمع آية في القرآن : ( إن الله يأمر بالعدل والإحسان ) [ النحل : 90 ] وإن أكثر آية في القرآن فرجا : ( ومن يتق الله يجعل له مخرجا )

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ahmad ibnu Mansur Ar-Ramadi, telah menceritakan kepada kami Ali ibnu Ubaid, telah menceritakan kepada kami Zakaria, dari Amir, dari Syittir ibnu Syakal yang mengatakan bahawa dia pernah mendengar Abdullah ibnu Mas’ud رضي الله عنه mengatakan bahawa sesungguhnya ayat yang paling global dalam Al-Qur’an adalah firman-Nya: Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan. (An-Nahl: 90) Dan ayat yang paling besar mengandungi jalan keluar dalam Al-Qur’an adalah firman Allah ‎ﷻ: Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah, nesaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. (At-Talaq: 2)

Dhaif menurut al-Zurqani dalam al-Abathil wal Manakir 2/360

Nota: hujung ayat ini adalah sebahagian daripada ‘Ayat Seribu Dinar’ yang amat popular yang telah sekian lama banyak diamalkan oleh mereka yang jahil dalam masyarakat kita. Amalan itu tidak ada dalil, dan mereka yang mengamalkannya pun tidak tahu apa yang mereka baca kerana mereka tidak belajar tafsir ayat ini pun, tetapi ikut orang lain sahaja.

Kerana tidak faham dengan agama, maka mereka mengulang-ulang ayat ini dibaca, malah lebih teruk lagi ditampal dan digantung di rumah, kedai dan pejabat. Mereka sangka itu akan memberikan jalan keluar daripada masalah dan dapat memberi rezeki kepada mereka.

Padahal ayat ini dimulakan dengan kalimat ‘barangsiapa bertaqwa kepada Allah ‎ﷻ’. Oleh itu kalau mereka hendak mendapat manfaat daripada ayat ini, maka yang perlu dilakukan adalah bertaqwa kepada Allah ‎ﷻ dan bukannya baca sahaja dan tampal ayat ini di mana-mana. Itu bukanlah cara untuk mendapat jalan keluar daripada masalah.

 

وقال السدي : ( ومن يتق الله ) يطلق للسنة ، ويراجع للسنة ، وزعم أن رجلا من أصحاب رسول الله – صلى الله عليه وسلم – يقال له : ” عوف بن مالك الأشجعي ” كان له ابن ، وأن المشركين أسروه ، فكان فيهم ، وكان أبوه يأتي رسول الله – صلى الله عليه وسلم – فيشكو إليه مكان ابنه وحاله التي هو بها وحاجته ، فكان رسول الله – صلى الله عليه وسلم – يأمره بالصبر ، ويقول له : ” إن الله سيجعل لك فرجا ” ، فلم يلبث بعد ذلك إلا يسيرا أن انفلت ابنه من أيدي العدو فمر بغنم من أغنام العدو ، فاستاقها فجاء بها إلى أبيه ، وجاء معه بغنى قد أصابه من الغنم ، فنزلت فيه هذه الآية : ( ومن يتق الله يجعل له مخرجا ويرزقه من حيث لا يحتسب )

Al-Sadi berkata: (Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah) diceraikan mengikut Sunnah, dan dia merujuk kepada Sunnah, dan dia mendakwa bahawa seorang lelaki dalam kalangan sahabat Rasulullah ﷺ telah berkata: “Awf bin Malik Al-Ashja’i” mempunyai seorang anak lelaki yang tertawan di kalangan kaum musyrik. Anaknya itu berada di tangan kaum musyrik, sedangkan ayahnya selalu mendatangi Rasulullah ﷺ mengadukan nasib yang dialami oleh anaknya itu dan juga tentang kemiskinan yang menimpa dirinya. Rasulullah ﷺ selalu menganjurkan kepadanya untuk bersabar menghadapi semua musibah itu dan bersabda kepadanya: Sesungguhnya Allah akan menjadikan bagimu jalan keluar. Tidak lama kemudian ternyata anaknya itu dapat meloloskan diri daripada tangan musuh dan melarikan diri, kemudian dia bersua dengan ternak kambing milik musuhnya, maka dia menggiring ternak kambing itu dan pulang ke rumah ayahnya dengan membawa ternak kambing hasil rampasannya. Lalu diturunkanlah ayat berikut berkenaan dengan peristiwa ini, iaitu firman-Nya: Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar, dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. (At-Talaq: 2-3) 

HR. Ibnu Jarir at-Thabari dalam Tafsirnya 28/138, mursal

Kisah ini dinukilkan para mufassir dalam tafsir mereka seperti Ibnu Katsir 8/170, Tsa’labi 9/336, al-Baghawi 5/109, Ibnu Jarir  23/447. Secara kesimpulan hadith ini dhaif menurut Syeikh al-Albani dalam Dhaif targhib no. 972

 

Konteks asal ayat ini adalah tentang perceraian. Akan tetapi ia juga terpakai untuk situasi umum dalam kehidupan kita iaitu untuk selesaikan masalah, hendaklah kita bertaqwa kepada Allah ﷻ dengan menjaga hukum-Nya. Sekiranya masalah tidak selesai juga, maka masalahnya adalah dengan kita yang belum bertaqwa sepenuhnya lag kerana Allah ﷻ sudah berjanji di dalam ayat ini yang Dia akan selesaikan masalah orang yang bertaqwa. Pastinya Allah ﷻ tidak memungkiri janji.

Janji Allah ﷻ ini terpakai di dunia dan di akhirat sekali. Di dunia pun kita mudah untuk keluar daripada masalah yang melanda kita dan lebih-lebih lagi di akhirat nanti kita akan selamat daripada kemurkaan Allah ﷻ.


 

Talaq Ayat 3:

وَيَرزُقهُ مِن حَيثُ لا يَحتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّل عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بٰلِغُ أَمرِهِ ۚ قَد جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيءٍ قَدرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And will provide for him from where he does not expect. And whoever relies upon Allāh – then He is sufficient for him. Indeed, Allāh will accomplish His purpose. Allāh has already set for everything a [decreed] extent.

(MELAYU)

Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.

 

وَيَرزُقهُ مِن حَيثُ لا يَحتَسِبُ

Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya.

Ini adalah sambungan daripada ayat sebelum ini. Sebelum ini telah disebut yang sesiapa sahaja yang bertaqwa, akan diberikan jalan keluar daripada masalah. Sekarang diberitahu yang sesiapa yang bertawakal, Allah ‎ﷻ berjanji akan memberikan rezeki kepadanya.

Sebelum ini disebut tentang perceraian antara suami isteri. Sekiranya sudah diceraikan isteri itu, namun suami itu masih lagi perlu memberi nafkah kepada isterinya. Perkara ini agak menyusahkan bagi mereka. Allah ‎ﷻ hendak beritahu bahawa dalam keadaan begitu, kena taqwa sahaja. Serahkan kepada Allah ‎ﷻ dan Allah ‎ﷻ  akan cukupkan bagi suami itu untuk menunaikan tanggungjawabnya.

Ayat ini juga boleh digunakan dalam bentuk umum dan kerana itu kita boleh faham bahawa kalau kita bertawakal, maka Allah ‎ﷻ akan beri kerja yang memberi pendapatan kepada kita, dan jika kita buka perniagaan dan bertawakal kepada Allah ‎ﷻ maka Allah ‎ﷻ akan berikan rezeki kepada kita dan bawa orang datang untuk beli barang-barang kita. Itu adalah contoh bagaimana Allah‎ ﷻ boleh beri rezeki kepada kita. 

Malah yang hebatnya, rezeki itu boleh datang dari mana-mana arah sahaja yang kita tidak sangka-sangka dan kita tidak dapat bayangkan dan fikirkan. Allah ‎ﷻ boleh datangkan rezeki itu kerana Dia yang menguasai rezeki. Lihatlah hadith ini:

 

عن عمر بن الخطاب قال
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم لو أنكم كنتم توكلون على الله حق توكله لرزقتم كما يرزق الطير تغدو خماصا وتروح بطانا

Daripada Umar bin Al Khathab berkata, Rasulullah
ﷺ bersabda, “Andai saja kalian bertawakal kepada Allah dengan sebenarnya, nescaya kalian diberi rezeki seperti rezekinya burung, pergi dengan perut kosong di pagi hari dan pulang di petang hari dengan perut terisi penuh.”

(Sunan Tirmidzi (2266)) Dinilai Sahih oleh Albani

 

No photo description available.

 

Selain itu harus diingatkan yang rezeki itu pula tidak semestinya berupa dalam bentuk wang ringgit dan harta. Ia boleh jadi apa-apa sahaja yang berguna kepada kita iaitu nikmat anak, kesihatan, dapat belajar, nikmat agama Islam, duduk di atas jalan Sunnah, faham Al-Qur’an dan macam-macam lagi. Kita sahaja kadang-kadang tidak perasan nikmat rezeki itu.

 

وَمَن يَتَوَكَّل عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسبُهُ

Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.

Ini pula adalah anjuran bertawakal kepada Allah ‎ﷻ. Jikalau kita bertawakal kepada Allah ‎ﷻ maka kita akan berasa cukup, puas hati dan tenang sahaja dalam kehidupan kita.

Allah ‎ﷻ akan cukupkan kepada kita di mana hati kita akan menjadi tenang-tenang sahaja dan tiada rasa resah gelisah. Ini kerana orang yang bertawakal itu tahu bahawa dia telah serahkan urusan kepada Allah‎ ﷻ dan dia yakin dengan Allah ‎ﷻ. Dia yakin Allah ‎ﷻ boleh buat apa-apa sahaja yang Dia kehendaki. Kalau kita serahkan kepada orang, belum tentu orang itu boleh buat.

Jangan salah faham pula dengan konsep tawakal ini. Ada orang orang terus serahkan kepada Allah ‎ﷻ tanpa usaha apa-apa. Ini adalah salah. Tawakal ini datang setelah usaha. Kena usaha dahulu dan kemudian baru serah kepada Allah ‎ﷻ. Kalau serah sahaja kepada Allah ﷻ tanpa usaha, itu dinamakan ‘tawakul’, bukan ‘tawakal’.

Selepas serah kepada Allah ‎ﷻ, terima sahaja apa keputusan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ boleh buat apa sahaja dan Allah ‎ﷻ boleh jalankan usaha kita itu membawa kepada kejayaan. Akan tetapi seandainya Allah ‎ﷻ tidak berikan kejayaan kepadanya, maknanya memang Allah ‎ﷻ tidak mahu ia terjadi sebegitu. Maka kena redha sahaja. Terima sahaja apa keputusan yang Allah ‎ﷻ telah buat.

Oleh kerana itu untuk orang yang benar-benar tawakal, dia akan tenang sahaja. Jika kita bandingkan dengan orang yang tidak ada tawakal, ada bezanya. Jika tidak bertawakal kepada Allah ‎ﷻ maka tidak habis-habis orang itu akan mengadu, menangisi nasib, memikirkan manakah salahnya dalam usaha dia dahulu, marah kepada orang yang tidak tolong dia, dan sebagainya lagi. 

 

إِنَّ اللَّهَ بٰلِغُ أَمرِهِ

Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)-Nya.

Allah ‎ﷻ pasti akan menjadikan perkara yang Dia kehendaki untuk berlaku. Tidak ada sesiapa yang boleh menghalang-Nya kalau Dia sudah buat keputusan. Sekiranya Allah ‎ﷻ hendakkan sesuatu itu terjadi, ia pasti akan terjadi. Ini adalah taqdir, Allah ﷻ akan jadikan pada waktu yang telah ditetapkan. Ia akan tetap sampai (baligh).

Maka orang yang bertawakal kepada Allah ‎ﷻ akan redha sahaja dengan apa keputusan daripada Allah ‎ﷻ. Kalau apa-apa sahaja terjadi, itu adalah dalam kehendak Allah ‎ﷻ dan kita kena sedar yang kita ini ‘hamba’ sahaja. Apabila kita hamba, mana mungkin kita persoalkan keputusan yang Allah ‎ﷻ telah buat? Maka serahkan kepada Allah ‎ﷻ sahaja segala urusan kita.

 

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا وَكِيع، حَدَّثَنَا بَشِيرُ بْنُ سَلْمَانَ، عَنْ سَيَّارٍ أَبِي الْحَكَمِ، عَنْ طَارِقِ بْنِ شِهَابٍ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ -هُوَ ابْنُ مَسْعُودٍ-قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “مَنْ نَزَلَ بِهِ حَاجَةٌ فَأَنْزَلَهَا بِالنَّاسِ كَانَ قَمِنًا أَنْ لَا تُسَهَّل حَاجَتُهُ، وَمَنْ أَنْزَلَهَا بِاللَّهِ أَتَاهُ اللَّهُ بِرِزْقٍ عَاجِلٍ، أَوْ بِمَوْتٍ آجِلٍ”.
Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Waki’, telah menceritakan kepada kami Basyir ibnu Sulaiman, dari Sayyar Abul Hakam, dari Tariq ibnu Syihab, dari Abdullah ibnu Mas’ud رضي الله عنه yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda: Barang siapa yang mempunyai suatu keperluan, lalu dia menyerahkannya kepada manusia, maka dapat dipastikan bahawa keperluannya itu tidak dimudahkan baginya. Dan barang siapa yang menyerahkan keperluannya kepada Allah ‎ﷻ, maka Allah ‎ﷻ akan mendatangkan kepadanya rezeki yang segera atau memberinya kematian yang ditangguhkan (usia yang diperpanjang).
Kemudian Imam Ahmad meriwayatkannya daripada Abdur Razzaq, daripada Sufyan, daripada Basyir, daripada Sayyar alias Abu Hamzah. Selanjutnya Imam Ahmad mengatakan bahwa sanad inilah yang benar, kerana Sayyar Abul Hakam belum pernah meriwayatkan hadith daripada Tariq.

 

قَد جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيءٍ قَدرًا

Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.

Setiap sesuatu itu telah ada qadar yang Allah ‎ﷻ tentukan. Allah ‎ﷻ telah tentukan bila sesuatu perkara itu terjadi dan bagaimana ia akan terjadi. Qadr ini telah tertulis lama di Lauh Mahfuz. Maka tidak ada sesiapa yang dapat mengubahnya. 

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ:حَدَّثَنَا يُونُسُ، حَدَّثَنَا لَيْثٌ، حَدَّثَنَا قَيْسِ بْنِ الْحَجَّاجِ، عَنْ حَنَش الصَّنْعَانِيِّ، عَنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ: أَنَّهُ حَدَّثَهُ أَنَّهُ رَكِبَ خَلْفَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “يَا غُلَامُ، إِنِّي مُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ: احْفَظِ اللَّهَ يَحْفَظْكَ، احْفَظِ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ، وَإِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ، وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ، وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ، لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ، وَلَوِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ، لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ، رُفِعَتِ الْأَقْلَامُ، وَجَفَّتِ الصُّحُفُ”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yunus, telah menceritakan kepada kami Lais, telah menceritakan kepada kami Qais ibnu Hajjaj, daripada Hanasy As-San’ani, daripada Abdullah ibnu Abbas رضي الله عنهما yang telah menceritakan kepadanya bahawa di suatu hari beliau pernah dibonceng di belakang Rasulullah ﷺ, lalu Rasulullah ﷺ bersabda kepadanya:  wahai pemudasesungguhnya aku akan mengajarkan kepadamu beberapa kalimat: Peliharalah (batasan-batasan) Allah ‎ﷻ, nescaya Dia akan memeliharamu. Ingatlah selalu Allah ‎ﷻ, nescaya engkau akan menjumpai-Nya di hadapanmu. Dan apabila kamu memohon, mohonlah kepada Allah ‎ﷻ; dan apabila kamu meminta tolong, maka minta tolonglah kepada Allah ‎ﷻ. Dan ketahuilah bahawa umat ini seandainya bersatu untuk memberimu manfaat, mereka tidak dapat memberimu manfaat kecuali dengan sesuatu yang telah ditetapkan Allah ‎ﷻ untukmu. Dan seandainya mereka bersatu untuk menimpakan mudarat terhadap dirimu, nescaya mereka tidak dapat menimpakan mudarat terhadapmu kecuali dengan sesuatu yang telah ditetapkan Allah ‎ﷻ akan menimpa dirimu. Qalam telah diangkat (takdir telah ditetapkan) dan semua lembaran telah kering (telah penuh dengan catatan).

Imam Tirmidzi meriwayatkan hadith ini melalui Lais” ibnu Sa’d dan Ibnu Lahi’ah dengan sanad yang sama, dan Imam Tirmidzi mengatakan bahawa hadith ini hasan sahih.

 

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 19 Mei 2022

Ringkasan Surah Talaq


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment