Pengenalan:
Surah Talaq ini dan surah selepas ini iaitu Surah Tahreem menyentuh tentang perhubungan suami isteri. Maka ia mengandungi ayat-ayat umur munazimah iaitu Allah ﷻ mengajar kita bagaimana berurusan dengan sesama manusia. Suami isteri adalah pasangan yang paling banyak sekali berhubungan maka kenalah ada panduan bagaimana cara yang baik untuk menjaga keharmonian suami isteri. Perjanjian pernikahan antara suami isteri bukanlah semudah perjanjian perniagaan. Ada banyak lagi perkara yang perlu diperhatikan. Kerana itulah perjanjian secara umum disebut sepintas lalu sahaja di dalam Al-Qur’an, akan tetapi perjanjian pernikahan disebut secara lebih mendalam.
Di dalam Surah Taghabun sebelum ini telah diajar bagaimana seorang suami dan isteri hendaklah melayani pasangannya dengan baik untuk menjaga keharmonian. Namun kita kena terima hakikat bahawa kadangkala perceraian tidak dapat dielakkan akan terjadi. Kenalah terima walaupun pahit kerana ini adalah realiti kehidupan.
Kalimat ‘talaq’ dari segi bahasa bermaksud ‘melepaskan’ iaitu perceraian. Iaitu apabila sesuatu itu tidak dapat dipegang lagi kerana ada ketegangan (tension). Ini seperti melepaskan busur panah setelah ditarik talinya yang menjadi tegang.
Di dalam Al-Qur’an pun ada disebut tentang perceraian. Ini mengajar kita bahawa semua perkara telah diajar di dalam agama ini, tidak perlu kita susah-susah pecah kepala fikirkan. Begitulah hebatnya agama ini dan malang sekali jika seorang muslim sendiri tidak mempelajarinya. Oleh kerana institusi perkahwinan amat penting, maka penekanan telah diberikan di dalam Al-Qur’an tentangnya. Surah Nisa’ membincangkan tentang perkahwinan dan Surah Talaq ini pula membincangkan tentang perceraian. Sampaikan Surah Talaq ini juga dikenali sebagai Surah Nisa’ Sughra (Surah Nisa’ Kecil).
Surah ini termasuk Surah Madaniyah dan ia diturunkan selepas Surah al-Baqarah di mana di dalam Surah al-Baqarah telah disebut hukum perceraian dan ada beberapa perkara yang tidak disentuh maka ditambah di dalam Surah at-Talaq ini.
Surah ini dan surah selepas ini juga adalah termasuk dalam surah-surah musabbihaat (yang dimulakan dengan tasbih) tetapi kalau surah-surah yang lain ada dimulai dengan tasbih tetapi kedua-dua surah ini dimulai dengan seruan kepada Nabi Muhammad ﷺ.
Surah at-Talaq ini juga adalah surah kelapan daripada rentetan 10 buah surah berkenaan jihad dan infak di dalam surah-surah musabbihat. Sebelum ini Surah at-Taghabun tentang infak dan sekarang diteruskan tema infak dalam surah ini. Ringkasannya:
1. Hadid – Infak & Jihad
2. Mujadilah – Jihad
3. Hashr – Jihad
4. Mumtahanah – Jihad
5. Saff – Jihad
6. Jumuah – Infak
7. Munafiqun – Infak
8. Taghabun – Infak
9. Talaq – Infak
10. Tahreem – Jihad & Infak
Di dalam Surah Talaq ini juga kita akan belajar yang marah bagaimana sekalipun, infak (nafkah) kepada isteri tetap kena diberi dan dijaga.
Talaq Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 2 perenggan makro. Ayat 1 – 7 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia mengandungi hukum syariat berkenaan perceraian.
يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ إِذا طَلَّقتُمُ النِّساءَ فَطَلِّقوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحصُوا العِدَّةَ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ رَبَّكُم ۖ لا تُخرِجوهُنَّ مِن بُيوتِهِنَّ وَلا يَخرُجنَ إِلّا أَن يَأتينَ بِفٰحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ ۚ وَتِلكَ حُدودُ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدودَ اللَّهِ فَقَد ظَلَمَ نَفسَهُ ۚ لا تَدري لَعَلَّ اللَّهَ يُحدِثُ بَعدَ ذٰلِكَ أَمرًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Aṭ-Ṭalāq: Divorce.
O Prophet, when you [Muslims] divorce women, divorce them for [the commencement of] their waiting period and keep count of the waiting period,¹ and fear Allāh, your Lord. Do not turn them out of their [husbands’] houses, nor should they [themselves] leave [during that period] unless they are committing a clear immorality. And those are the limits [set by] Allāh. And whoever transgresses the limits of Allāh has certainly wronged himself. You know not; perhaps Allāh will bring about after that a [different] matter.²
- See rulings in 2:228–233. A wife should not be divorced except after the completion of her menstrual period but before sexual intercourse has occurred, or else during a confirmed pregnancy. The pronouncement of divorce begins her waiting period (‘iddah).
- Such as regret or renewed desire for the wife.
(MELAYU)
Hai Nabi, apabila kamu menceraikan isteri-isterimu maka hendaklah kamu ceraikan mereka pada waktu mereka dapat (menghadapi) iddahnya (yang wajar) dan hitunglah waktu iddah itu serta bertakwalah kepada Allah Tuhanmu. Janganlah kamu keluarkan mereka dari rumah mereka dan janganlah mereka (diizinkan) ke luar kecuali mereka mengerjakan perbuatan keji yang terang. Itulah hukum-hukum Allah dan barangsiapa yang melanggar hukum-hukum Allah, maka sesungguhnya dia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri. Kamu tidak mengetahui barangkali Allah mengadakan sesudah itu sesuatu hal yang baru.
يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ
Hai Nabi,
Ayat ini dimulai dengan seruan kepada Nabi Muhammad ﷺ tetapi selepas itu terus berubah kepada pemberitahuan kepada manusia. Maknanya ia bukanlah arahan dan ajaran kepada Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Imam Qurtubi رحمه الله mengatakan kalau ia khusus kepada Nabi ﷺ sahaja, maka kata seruan yang digunakan adalah ya ayyuhal Rasul.
Kalimah أَيُّهَا adalah usluubut takreem , iaitu panggilan dalam bentuk penghormatan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Juga أَيُّهَا digunakan sebagai penekanan kerana hendak menarik perhatian pembaca.
Kenapa tidak seru kepada orang mukmin sahaja? Kenapa permulaan ayat ini diseru kepada Nabi ﷺ pula? Ini sebagai penekanan kepada Nabi ﷺ untuk sampaikan dengan lebih kuat lagi kerana walaupun tidak ada panggilan ini pun Nabi Muhammad ﷺ kena sampaikan juga, bukan? Akan tetapi apabila diseru Nabi ﷺ dahulu maka baginda kena ambil perkara ini dengan lebih serius dan kena betul-betul sampaikan kepada manusia dan juga mesti beri pengajaran yang lebih kepada manusia.
Oleh kerana itu ulama’ mengatakan ada penambahan sebenarnya di dalam ayat ini, iaitu: Wahai Nabi, SAMPAIKAN KEPADA UMAT.
إِذا طَلَّقتُمُ النِّساءَ
apabila kamu menceraikan isteri-isterimu
Kalimah إذا dalam ayat maksudnya ‘jika’. Bukan mengambil maksudnya yang biasa iaitu ‘apabila’. Maknanya bukanlah ia pasti akan terjadi. Ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tetapi tidaklah semestinya terjadi kepada kita. Semasa berkahwin, tidak sangka akan bercerai kerana hendak kekal sampai ke mati; namun perkara ini bukanlah di dalam tangan kita. Kita tidak tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan.
Perceraian ini memang kebanyakan pasangan tidak sangka dan tidak mahu ia akan berlaku kepada mereka kerana itu mereka amat bersedih apabila ia terjadi. Walaupun ia sesuatu yang amat menyedihkan, tetapi harus juga disentuh jika berlaku.
Ilmu tentang perceraian ini bukan hanya diberitahu kepada mereka yang sudah mahu bercerai tetapi hendaklah disampaikan kepada semua orang dari awal lagi supaya mereka sudah tahu dan janganlah bila hendak bercerai baru hendak bertanya tentang hukum cerai.
Dibenarkan perceraian di dalam Islam juga adalah satu rahmat kerana bukan semua perkahwinan itu harmonis dan patut diteruskan. Bayangkan ada agama lain yang tidak membenarkan perceraian, maka pasangan itu terpaksa terus duduk berterusan di dalam situasi yang menyakitkan mereka. Perkahwinan yang seharusnya menjadi syurga dunia untuk pasangan berkahwin boleh bertukar menjadi neraka jika tiada persefahaman malah ada yang lebih teruk apabila terjadi keganasan rumahtangga di mana anak-anak isteri boleh menjadi mangsa.
Kita juga hendak memberitahu yang tidak ada masalah sangat dengan perceraian. Para sahabat dulu pun ramai yang bercerai. Allah ﷻ tidak melarang perceraian. Terdapat hadith popular yang selalu digembar-gemburkan yang mengatakan Arasy bergegar kalau bercerai itu adalah palsu.
‘Dikatakan’ bahawa Nabi ﷺ bersabda:
تَزَوَّجُوْا وَلَا تُطَلِّقُوْا، فَإِنَّ الطَّلَاقَ يَهْتَزُّ مِنْهُ العَرْشُ
“Berkahwinlah dan janganlah kamu bercerai. Maka sesungguhnya talak (bercerai) itu akan menggegarkan ‘arasy.”
Beberapa orang ulama’ yang faqih dalam ilmu hadith contohnya Imam Ibnu al-Jauzi, Imam al-Saghani, Imam al-Sakhawi dan Imam al-Suyuthi رحمهم الله telah memberi komen tentang hadith tersebut dan mengatakan bahawa hadith ini adalah tidak sahih, palsu serta sanad hadithnya dhaif.
Selain daripada hadith di atas, ada sebuah lagi hadith yang agak terkenal juga berlegar dalam kalangan masyarakat Islam berkenaan talaq.
Daripada Ibn Umar رضي الله عنه, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ
“Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.”
(Riwayat Abu Daud (2178) dan Ibn Majah (2018))
Hadith ini telah diperselisihkan dalam kalangan ulama’ dalam menentukan kesahihannya. Sebahagian ulama’ hadith mengatakan bahawa hadith ini sahih dan sanadnya bersambung dan sebahagian lagi mengatakan bahawa sanadnya tidak bersambung (disebabkan gugurnya nama sahabat yang menjadi perawi dalam hadis ini).
Kalau hadith ini, tidaklah ada masalah sangat di mana ia bermaksud cerai masih halal, tetapi tidaklah disukai. Maknanya, mengajar kita ia bukanlah perkara yang senang-senang dilakukan. Hanya kalau ia terpaksa, barulah diambil sebagai jalan dan langkah terakhir.

فَطَلِّقوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ
maka hendaklah kamu ceraikan mereka pada waktu mereka dapat (menghadapi) iddahnya (yang wajar)
Ceraikan mereka bersesuaian dengan iddah mereka. Daripada ayat ini ulama’ mengambil isyarat bahawa jika hendak menceraikan isteri maka pastikan waktu cerai itu boleh terus dikira iddah bagi wanita itu. Ini bermaksud ceraikan mereka semasa mereka di dalam suci dan bukannya semasa mereka di dalam haid.
أَنَّهُ طَلَّقَ امْرَأَتَهُ, وَهْىَ حَائِضٌ, عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَأَلَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رضي الله عنه رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ, فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مُرْهُ فَلْيُرَاجِعْهَا، ثُمَّ لِيُمْسِكْهَا حَتَّى تَطْهُرَ, ثُمَّ تَحِيضَ، ثُمَّ تَطْهُرَ، ثُمَّ إِنْ شَاءَ أَمْسَكَ بَعْدُ, وَإِنْ شَاءَ طَلَّقَ قَبْلَ أَنْ يَمَسَّ، فَتِلْكَ الْعِدَّةُ الَّتِى أَمَرَ اللَّهُ أَنْ تُطَلَّقَ لَهَا النِّسَاءُ
“Abdullah bin Umar رضی اللہ عنھما yang menceraikan isterinya ketika haid pada zaman Rasulullah ﷺ. Umar bin al-Khattab رضي الله عنه bertanyakan hal itu kepada Rasulullah ﷺ. Lalu, Baginda bersabda: “Suruhlah dia rujuk semula kepada isterinya. Janganlah ceraikannya sehingga dia suci, kemudian haid dan sudi lagi. Kemudian, jika dia ingin bersama isterinya, teruskanlah. Dan jika dia ingin bercerai, ceraikanlah sebelum menyetubuhinya. Inilah ‘iddah yang diperintahkan oleh Allah dalam menceraikan isteri.”
Riwayat al-Bukhari (4953) dan Muslim (1471)
Maka Islam menganjurkan talaq dilafazkan semasa isteri dalam keadaan suci. Iaitu bukan di dalam haid dan belum lagi digauli oleh suaminya. Ini kerana apabila mereka dalam haid, masa iddah belum boleh kira bermula lagi dan mereka kena tunggu lebih lama. Sepatutnya mereka kena tunggu tiga kali suci, tetapi kalau diceraikan semasa mereka dalam haid, mereka kena tunggu empat kali suci pula.
Lagi satu, kalau diceraikan dalam masa haid, entah-entah perangai isteri itu kurang rasional kerana waktu itu mungkin dia sedang mengalami PMS (pre-menstrual syndrome) yang selalunya menyebabkan mereka tidak berapa betul sedikit. Mungkin perkara yang menyebabkan perceraian itu kerana marahkan isteri yang sedang tidak keruan. Maka tunggulah dahulu waktu mereka sudah lepas waktu itu di mana mereka sedang dalam keadaan normal kerana kalau sedang normal, senang sedikit hendak berbincang, bukan?
Lagi satu, sebaik-baik waktu untuk menceraikan isteri adalah selepas mereka baru suci daripada haid kerana waktu mereka sedang suci dan tidak ada jimak lagi antara mereka. Oleh kerana selepas haid, maka kita tahulah yang tidak ada isi kandungan dalam perut mereka. Apabila waktu suci itu tidak ada jimak lagi, maka kebarangkalian untuk ada benih dalam perut isteri itu adalah tipis sekali. Oleh itu waktu cerai yang terbaik adalah semasa isteri telah suci dan kita tidak jimak lagi dengan mereka.
Namun begitu, adakah sah kalau talaq dilafazkan semasa isteri di dalam haid? Jumhur ulama’ mengatakan ia tetap sah. Akan tetapi ada pendapat seperti pandangan Ibnu Qayyim al-Jauziyyah رحمه الله yang mengatakan ia tidak sah.
Pertama sekali ayat ini mengingatkan kepada para lelaki supaya jangan terlalu mudah hendak menceraikan isteri dan melafazkan talaq. Jangan kerana marah sahaja hendak ceraikan isteri. Ia adalah satu tindakan akhir setelah segala usaha dilakukan untuk meneruskan perkahwinan itu. Bukanlah terdetik sahaja, terus lafazkan talaq. Ada banyak lagi cara lain yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Seseorang yang terkesan dengan perasaan marah itu bukanlah orang yang pandai kerana orang yang bijak pandai boleh mengawal amarah dan nafsunya dan tidak terikut-ikut dengan emosi.
Kesimpulannya, ayat ini memberitahu para lelaki:
1. Jangan lafaz talaq semasa isteri dalam haid. Maka suami kenalah tahu aturan haid isteri mereka.
2. Cerai mereka dengan talaq satu sahaja, jangan terus beri talaq tiga pula. Biarlah talaq satu sahaja dahulu dan tunggulah masa itu habis kerana mungkin ada peluang lagi untuk kembali rujuk. Sekiranya sudah ditalaq tiga terus, maka harapan untuk kembali memang tipis kerana tidak ada iddah lagi.
Jika tidak rujuk dalam masa iddah pun, maka suami isteri itu masih boleh lagi menikah kalau mereka mahu. Kalau terus beri talaq tiga, maka isteri itu tidak boleh dikahwini lagi sehinggalah dia menikah dengan orang lain terlebih dahulu dan kemudian bercerai. Itu adalah kemungkinan yang amat rendah.
Kalau wanita itu mengandung pun masih boleh dilafazkan cerai lagi. Ini kerana sudah diketahui ada anak dalam perut isteri itu (maka tidak ada isu siapakah bapa anak itu). Namun kalau dilafazkan cerai selepas ada percampuran benih, maka tidak tahu sama ada dia akan mengandung atau tidak. Maka ini tidak bagus kerana ada elemen ketidaktahuan.
Semua cara perlafazan talaq selain dari waktu suci itu, walaupun tidak mengikut sunnah, tetapi ia tetap juga sah. Isteri itu tetap juga tercerai. Cuma suami itu telah berdosa kerana tidak mengikut cara yang sunnah.
وَأَحصُوا العِدَّةَ
dan hitunglah waktu iddah itu
Dalam ayat Baqarah: 228 telah diberitahu bahawa masa iddah itu adalah tiga quru’ dan Imam Syafi’iy رحمه الله berpegang yang ia bermaksud ‘tiga kali suci’. Oleh itu, seandainya seorang isteri itu ditalaq semasa suci maka masa iddah itu adalah apabila dia datang haid kali ketiga.
Kiraannya begini: suci (lafaz cerai) – haid pertama – suci kedua – haid kedua – suci ketiga – haid ketiga (habis iddah). Masuk haid sahaja, iddah sudah tamat. Waktu ini suami tidak boleh rujuk isterinya lagi.
Kalau isteri itu dicerai semasa dalam haid, maka masanya menjadi panjang: haid pertama (lafaz cerai) [kiraan tidak bermula lagi] – suci pertama – haid kedua – suci kedua – haid ketiga – suci ketiga – haid keempat (tamat iddah). Jelas di sini, masa menunggu sudah bertambah.
Kalimah العِدَّةَ diambil daripada katadasar ع د د yang bermaksud mengira, nombor, agak-agak, jangkamasa, bilangan. Bilangan iddah ini perlu dikira dan diperhatikan dengan tepat kerana Islam amat menjaga nasab keturunan. Amat penting diketahui siapakah bapa kepada anak itu (dibinkan kepada siapa). Iddah hendaklah dijaga kerana kita hendak memastikan bahawa isteri itu ada anak ataupun tidak di dalam perutnya. Ini kerana perkara ini memberi kesan yang besar tentang siapa yang akan menjaga anak itu.
Takut kalau wanita itu bernikah dengan orang lain dan sebenarnya sudah mengandung, takut nanti disangkakan bayi itu adalah anak suami baru pula sedangkan bukan. Akibatnya suami baru kena tanggung anak orang lain pula nanti. Atau dibinkan kepada orang lain (selain ayahnya yang sebenar).
Tambahan lagi, mungkin juga jikalau suami itu tahu isteri dia mengandung dia mungkin tidak sampai hati untuk menceraikan dia ataupun hati dia mungkin berubah daripada benci kepada sayang kembali. Ini kerana kebiasannya kalau kita tahu isteri kita mengandung, kita semakin sayang kepadanya dan timbul perasaan belas terhadapnya.
Kalimah yang digunakan dalam ayat ini ditujukan kepada lelaki (para suami) akan tetapi ia juga perlu dikira oleh wanita. Dua-dua kena kira kerana entah mungkin isteri itu terlalai.
وَاتَّقُوا اللَّهَ رَبَّكُم
serta bertaqwalah kepada Allah Tuhanmu.
Allah ﷻ mengingatkan kita kepada Diri-Nya tetapi digunakan kalimah Rabb di dalam ayat ini kerana Rabb bermaksud ‘tuan’ yang menguruskan hal kita. Segala serba serbi dalam kehidupan kita ditentukan oleh Allah ﷻ, maka kena ingat perkara ini.
Satu perkara menarik yang kita boleh lihat apabila Allah ﷻ memperkatakan tentang perceraian, di dalam ayat-ayat itu pasti ada menyebut tentang Taqwa dan juga memberitahu yang Allah ﷻ melihat. Berulangkali kita boleh lihat begitu. Kenapa begitu?
Ini kerana Allah ﷻ hendak tekankan kena ada taqwa dalam keadaan seperti ini. Jika tiada taqwa maka senang sahaja pasangan hendak bercerai kerana waktu itu sudah tidak ingat Allah ﷻ sangat. Ini kerana waktu itu hanya ingat kepada marah dan benci kepada pasangan masing-masing sahaja. Waktu itu pasangan hanya fikir diri sendiri sahaja. Kerana itulah taqwa banyak disebut sebagai peringatan. Ingatlah kepada Allah ﷻ dan kenanglah hukum agama. Jangan ikut perasaan sangat. Kena fikir: Allah suka ﷻ atau tidak hal ini?.
Di dalam Allah ﷻ memberi nasihat tentang perhubungan suami isteri dan juga perceraian, jika tidak ada taqwa maka ia tidak bermakna kerana mereka tidak mahu mendengar nasihat yang diberikan. Maka ramai yang ikut kehendak sendiri sahaja kerana waktu itu tengah marah sangat.
Allah ﷻ mengingatkan kepada kita yang kita hendaklah berjaga-jaga dan ambil berat tentang arahan yang diberikan di dalam ayat ini. Kalau ada taqwa dalam diri, hukum hakam yang Allah ﷻ berikan akan bermakna dan takut untuk dilanggari. Akan tetapi kalau tidak ada taqwa, semua ikut sedap hati sahaja.
Di dalam ayat yang lain Allah ﷻ telah memberi penekanan bahawa kontrak perkahwinan ini adalah perkara yang besar dan perkara yang besar ini tidak boleh diputuskan begitu sahaja dan kenalah mengikut proses-proses yang tertentu. Hendak menikah ada prosesnya, maka untuk bercerai pun kenalah ikut proses juga, bukan?
لا تُخرِجوهُنَّ مِن بُيوتِهِنَّ
Janganlah kamu keluarkan mereka dari rumah mereka
Allah ﷻ berkata dalam ayat ini jangan keluarkan mereka dari ‘rumah mereka’ dan bukannya dari ‘rumah kamu’. Ini adalah kerana selagi iddahnya ada lagi berbaki, maka rumah itu masih lagi rumah mereka. Mereka memang layak lagi duduk tinggal di situ. Maknanya, suami jangan halau isteri mereka keluar dari rumah walaupun lafaz talaq sudah dilafazkan.
Isteri itu walaupun telah diceraikan, tetapi selagi masih dalam iddah hendaklah suami itu menanggungnya isterinya lagi kerana dia tetap isterinya lagi dan nafkah masih lagi wajib ke atas suami itu. Oleh itu jika dia keluarkan isterinya dari rumah, maka suami itu telah berdosa.
Perkara ini amat penting kerana ramai yang tidak tahu bahawa selepas dilafazkan talaq itu mereka masih lagi suami isteri dan ada masa untuk mereka berbaik semula. Waktu ini, senang sahaja suami hendak rujuk isterinya semula dengan mudah (aku hendak rujuk kamu baliklah….). Bila masih lagi bersuami isteri, maka sepatutnya mereka masih lagi tinggal bersama-sama. Maka janganlah dikeluarkan mereka dari rumah dan tinggallah bersama-sama. Namun tidaklah duduk dalam bilik tidur yang sama dan di katil yang sama lagi.
Selagi masih ada iddah, maka suami masih boleh rujuk isterinya. Oleh itu eloklah kalau mereka duduk bersama supaya perkara ini dimudahkan. Selalunya apabila mereka terus berpisah dan tinggal berasingan selepas talaq dilafazkan, maka harapan untuk bersama kembali adalah tipis kerana mereka sudah ada fikiran yang macam-macam tentang bekas isteri ataupun suami itu. Kalau depan mata, mungkin masih ada sayang lagi. Namun apabila jauh di mata, maka selalunya jauh di hati.
Maka tinggallah bersama dahulu kerana ada banyak terjadi lafaz cerai disebut kerana sedang marah dan selepas itu lelaki ataupun wanita itu mula sejuk hati dan mahu rujuk kembali. Mungkin sudah rasa menyesal dan sudah terbayang-bayang kalau tidak tinggal bersama lagi. Kerana itulah ada ruang masa untuk dibenarkan rujuk kepada mereka yang telah melafazkan talaq itu. Jikalau tidak ada peluang itu ataupun mereka sudah keluar dan berpisah tempat tinggal, maka tidak ada harapan yang kuat.
Selalunya orang kita akan hantar isterinya balik ke rumah ibubapa. Kemudiannya suami hendak turut pun sudah susah kerana sudah duduk dengan orang lain. Sudah segan hendak turut isterinya di rumah keluarga dia. Kadangkala apabila sudah di rumah ibubapa dan jumpa pakcik makcik dan orang-orang kampung, sudah ada orang yang meracuni fikiran wanita itu. Biasalah kerana kebanyakan orang hendak pisahkan sahaja pasangan yang masih ada harapan untuk kembali bersama.
Padahal, mereka bukan tahu pun isu sebenar, tetapi hendak juga bagi nasihat (nasihat yang tidak diminta). Maka ini nasihat untuk orang luar: jangan menyibuk dengan hal pasangan yang kita tidak tahu hujung pangkal. Boleh beri nasihat, tetapi kena orang yang pandai sedikit dan tahu apakah yang terjadi terlebih dahulu. Bukan semua orang boleh dipakai nasihatnya.
Isteri yang telah diceraikan masih boleh tinggal di rumah suaminya selagi ada ruang untuk rujuk. Kalau cerai itu jenis tidak boleh dirujuk, maka isteri memang tidak ada hak lagi di rumah itu. Ini berdasarkan hadith Fatimah binti Qais رضي الله عنها.
Imam Ahmad رحمه الله telah meriwayatkan, telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Sa’id, telah menceritakan kepada kami Mujalid, telah menceritakan kepada kami Amir yang mengatakan bahawa aku tiba di Madinah, lalu aku mengunjungi Fatimah binti Qais رضي الله عنها. Maka beliau menceritakan kepadaku bahawa suaminya telah menceraikannya di masa Rasulullah ﷺ dan baginda mengirimkan suaminya bersama suatu pasukan khusus.
Fatimah binti Qais رضي الله عنها melanjutkan kisahnya, bahawa lalu saudara lelaki suaminya berkata kepadaku, “Keluarlah kamu dari rumah (saudaraku) ini.” Maka aku menjawab, “Sesungguhnya aku berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal hingga masa iddahku habis.” Saudara suamiku berkata, “Tidak.” Fatimah binti Qais رضي الله عنها melanjutkan kisahnya, bahawa lalu aku menghadap Rasulullah ﷺ dan kukatakan kepadanya, “Sesungguhnya si Fulan telah menceraikanku, dan saudara lelakinya mengusirku dari rumah suamiku, dia tidak memberiku tempat tinggal dan nafkah.”
Maka Rasulullah ﷺ menanyakan saudara suaminya, “Mengapa kamu dan anak perempuan keluarga Qais ini?” Dia menjawab, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya saudaraku telah menceraikannya tiga kali seluruhnya.” Fatimah binti Qais رضي الله عنها melanjutkan, bahawa lalu Rasulullah ﷺ bersabda kepadanya:
“انْظُرِي يَا بِنْتَ آلِ قَيْسٍ، إِنَّمَا النَّفَقَةُ وَالسُّكْنَى لِلْمَرْأَةِ عَلَى زَوْجِهَا مَا كَانَ لَهُ عَلَيْهَا رَجْعَةٌ، فَإِذَا لَمْ يَكُنْ لَهُ عَلَيْهَا رَجْعَةٌ فَلَا نَفَقَةَ وَلَا سُكْنَى. اخْرُجِي فَانْزِلِي عَلَى فُلَانَةٍ”. ثُمَّ قَالَ: “إِنَّهُ يُتحَدّث إِلَيْهَا، انْزِلِي عَلَى ابْنِ أُمِّ مَكْتُومٍ، فَإِنَّهُ أَعْمَى لَا يَرَاكِ”
Perhatikanlah, hai anak perempuan keluarga Qais, sesungguhnya nafkah dan tempat tinggal bagi isteri dibebankan pada suaminya selama si suami masih punya hak untuk merujuknya. Dan apabila si suami tidak punya hak lagi untuk merujuknya, maka tiada nafkah dan tiada tempat tinggal lagi. Sekarang keluarlah engkau dan tinggallah di rumah si Fulanah. Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda lagi kepadanya: Tinggallah kamu di rumah Ibnu Ummi Maktum, kerana sesungguhnya dia adalah seorang yang sangat tua dan tidak dapat melihatmu. hingga akhir hadith.
(Hadith Sunan An-Nasa’iy Jilid 3 No 3410)
وَلا يَخرُجنَ
dan janganlah mereka keluar
Bukan sahaja para suami tidak dibenarkan mengeluarkan mereka, tetapi para isteri itu sendiri pun tidak patut keluar. Jangan mereka pula yang angkat kaki kerana mereka sepatutnya mesti tinggal di situ bersama dengan suaminya kerana dia masih lagi bergelar isteri orang.
Maka kena duduk di rumah itu lagi, tambahan pula kalau suaminya tidak beri kebenaran untuk keluar. Suami masih ada hak untuk menahan isterinya itu kerana isterinya itu masih lagi di bawah jagaannya. Isteri itu kena taat kepada arahan suami. Malah dia kena minta izin daripada suaminya kalau hendak keluar ke mana-mana. Kalau isterinya keluar juga, maka isteri itu telah berdosa. Dia tidak layak mendapat nafkah semasa di dalam iddah itu lagi.
Cuma biasanya kita dengar kalau isteri sudah marah kepada suami, atau dia telah diceraikan, selalunya para isteri itu akan minta dihantar ke rumah ibubapanya. Ini mungkin kerana mereka tidak tahu ayat ini. Biasalah kalau tidak belajar, tidak akan tahu tentang perkara ini. Kerana itu ramai sahaja yang langgar.
Akan tetapi, kalaulah rasa tidak selamat duduk dengan suaminya itu, maka bolehlah isteri itu keluar. Situasi ini hendaklah dinilai sendiri.
إِلّا أَن يَأتينَ بِفٰحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ
kecuali mereka mengerjakan perbuatan keji yang terang.
Kecuali kalau para isteri itu telah melakukan perbuatan terkutuk dan jelas. Perbuatan ini mestilah sesuatu yang jelas dan kerana itu ada kalimah مُبَيِّنَةٍ di sini.
Ada ulama’ yang memberi maksud mereka telah melakukan zina tetapi ada juga ulama’ yang mengatakan jika mereka telah melakukan perbuatan yang buruk seperti memukul anak dan sebagainya. Juga termasuk mereka yang bersikap membangkang atau bersikap menghina keluarga suami dan menyakiti mereka dengan lisannya dan juga dengan perbuatannya.
Kenapakah ini penting?
Kerana tadi telah disebut yang pasangan suami isteri itu patut tinggal bersama lagi selagi tempoh iddah masih berjalan. Mereka patut tinggal bersama di dalam satu rumah supaya ada kemungkinan untuk mereka bersama kembali. Akan tetapi jikalau kemungkinan itu memang tidak ada, maka tidak perlu untuk mereka tinggal bersama lagi.
Sebagai contoh, kalau suami itu menceraikan isterinya kerana isterinya itu telah berzina, maka tentulah dia tidak mahu hendak rujuk kembali. Maka mereka patut tinggal berasingan bermula daripada terlafaznya talaq.
Ada juga berpendapat, potongan ayat ini adalah sambungan daripada ayat-ayat yang sebelumnya. Maksudnya kalau menghalau isteri keluar dari rumah atau isteri keluar dari rumah tanpa izin suami, itu adalah perbuatan yang termasuk perbuatan keji (fahishah yang jelas).
وَتِلكَ حُدودُ اللَّهِ
dan itulah hukum-hukum Allah
Itulah yang kita telah sampaikan hukum Allah ﷻ yang patut kita tahu dan ikuti. Ramai yang tidak ikut kerana ramai yang tidak tahu, maka tugas kitalah sekarang untuk sampaikan.
Allah ﷻ kata itu ‘Hudud Allah’. Kalimah ‘hudud’ seringkali hanya dikaitkan dengan potong tangan, rotan di khalayak ramai dan rejam sahaja. Itulah sahaja fahaman masyarakat kita. Namun sekarang kita sudah tahu yang ‘hudud’ ini ada banyak sebenarnya dan ada di beberapa tempat dalam Al-Qur’an.
Maksud ‘hudud’ adalah ‘had’ atau penetapan had daripada Allah ﷻ. Ia tidak boleh dilampaui kerana Allah ﷻ telah tetapkan sendiri. Maka kita mestilah tahu had-had ini supaya kita tidak melampau. Perkara ini kalau tidak dipelajari, maka akan ada masalah kerana tidak tahu apakah kehendak Allah ﷻ. Terdapat jenis hukum hudud yang ada hukuman di dunia seperti potong tangan kalau mencuri; akan tetapi ada juga jenis hudud yang tidak ada hukuman di dunia. Namun beitu hukuman tetap ada di akhirat kelak.
وَمَن يَتَعَدَّ حُدودَ اللَّهِ فَقَد ظَلَمَ نَفسَهُ
dan barangsiapa yang melanggar hukum-hukum Allah, maka sesungguhnya dia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri.
Jangan main-main dengan hukum Allah ﷻ kerana akan mengakibatkan bahaya kepada diri sendiri. Sebagai contoh, mungkin ada suami yang hendak menyakiti isterinya itu maka dia suruh isterinya terus tinggal dengan dia supaya dia boleh menyeksa emosi isterinya itu.
Maka ini pun termasuk dalam mempermainkan agama Allah ﷻ. Suami itu mungkin rasa dia menyusahkan isterinya itu tetapi dia tidak sedar yang dia sebenarnya menyusahkan ‘dirinya sendiri’ kerana dia akan ditanya oleh Allah ﷻ di atas perbuatannya itu.
Allah ﷻ sedang mengubah cara fikir kita sekarang. Jangan kita nampak kita menzalimi orang sahaja, tetapi kena ingat yang kita sebenarnya menzalimi diri kita sendiri. Selalunya kalau kita tidak nampak bahaya kepada diri kita, maka kita buat tidak kisah sangat. Maka sekarang Allah ﷻ suruh fikirkan balik: ‘Kau sebenarnya menyusahkan diri kau sahaja.’
لا تَدري لَعَلَّ اللَّهَ يُحدِثُ بَعدَ ذٰلِكَ أَمرًا
Kamu tidak mengetahui barangkali Allah mengadakan sesudah itu sesuatu hal yang baru.
Maka jelas yang isteri itu kena terus tinggal di rumah suaminya itu dan jangan keluar kerana terdapat kemungkinan selepas suaminya itu telah melafazkan talaq, akan timbul perasaan lain di mana timbul kembali rasa sayang terhadap isterinya itu. Seringkali pula terjadi, apabila pasangan bercerai itu berbaik semula, kasih sayang antara mereka itu lebih baik daripada yang sebelum itu.
Kita kena ada harapan ini kerana Allah ﷻ boleh mengubah hati manusia daripada benci kepada sayang. Kalau-kalau dia menyesal melafazkan talaq itu, mungkin dia hendak rujuk terus kepada isterinya itu. Maka kalau isterinya di tempat lain, sudah susah pula, bukan?
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 9 Jun 2022
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Maariful Qur’an
