Pengenalan:
Surah ini ada menceritakan tentang pembelotan yang dilakukan oleh salah satu puak Yahudi Madinah iaitu Bani Nadhir. Mereka sudah ada perjanjian dengan umat Islam tetapi mereka belot perjanjian itu.
Mereka benci kepada Islam sampaikan mereka buat perancangan untuk membunuh Nabi ﷺ. Mereka bermesyuarat untuk membunuh Nabi ﷺ semasa Nabi ﷺ datang berjumpa mereka bagi membincangkan tentang pembayaran diyat bagi satu kematian. Mereka membuat perancangan untuk menghempap baginda dengan batu lesung. Namun Allah ﷻ telah menggagalkan rancangan mereka dengan memberi wahyu kepada baginda. Allah ﷻ telah memberitahu kepada baginda berkenaan rancangan mereka.
Sebelum itu mereka telah belot dalam Perang Badr dan Uhud. Ada beberapa puak Yahudi lain yang juga telah membelot. Antaranya lagi adalah Bani Qainuqa’ dan juga Bani Quraizah yang berlaku pada Perang Ahzab. Mereka akhirnya nanti dihalau keluar juga.
Mereka memang telah lama tidak suka kepada Rasulullah ﷺ dan Islam. Ada seorang penyair Bani Nadhir yang selalu membuat syair menghina Nabi ﷺ. Dan dia juga telah mengajak musuh dari Mekah untuk menyerang Madinah. Dia berjanji yang kalau Mekah menyerang dari luar maka Bani Nadhir akan menyerang dari dalam. Maknanya dia telah mengadakan perjanjian rahsia dan ini berlawanan dengan perjanjian antara mereka dan Nabi Muhammad ﷺ.
Maka Nabi Muhammad ﷺ telah mengarahkan agar dia dibunuh. Ada yang tuduh dia dibunuh sebab dia membuat syair menghina Nabi ﷺ. Namun yang sebenarnya arahan bunuh itu kerana dia yang menganjurkan serangan ke atas Madinah.
Ini adalah sebagaimana panglima perang akan dibunuh kerana pembelotan yang dilakukan. Memang kena cari dan hukum orang yang bertanggungjawab. Bukanlah Nabi ﷺ menghukum bunuh kerana marah dia menghina baginda tetapi kerana dia orang yang penting dan kepala dalam menganjurkan serangan terhadap negara Islam Madinah.
Setelah itu, tempat tinggal mereka telah dikepung dan akhirnya mereka mengaku kalah dan mereka telah dihalau dari Madinah. Ini akan diceritakan dalam surah ini nanti.
Surah ini seperti juga hujung Surah Mujadilah sebelum ini iaitu berkenaan perang. Akan disambung perbincangan tentang jihad di dalam surah ini. Dan surah ini adalah surah ketiga daripada rentetan sepuluh surah yang membincangkan dua perkara iaitu infak dan jihad. Ringkasannya:
1. Hadid – Infak & Jihad
2. Mujadilah – Jihad
3. Hashr – Jihad
4. Mumtahanah – Jihad
5. Saff – Jihad
6. Jumuah – Infak
7. Munafiqun – Infak
8. Taghabun – Infak
9. Talaq – Infak
10. Tahreem – Jihad & Infak
Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 4 perenggan makro. Ayat 1 – 5 adalah Perenggan Makro Pertama dan ia menceritakan pengkhianatan Bani Nadhir. Mereka telah dibuang negeri dari Madinah kerana kesalahan mereka itu.
سَبَّحَ ِلِلهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۖ وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Al-Ḥashr: The Gathering.
Whatever is in the heavens and whatever is on the earth exalts Allāh,¹ and He is the Exalted in Might, the Wise.
- See footnote to 57:1.
(MELAYU)
Telah bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan bumi; dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
سَبَّحَ ِلِلهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ
Telah bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan bumi;
Surah ini dimulakan dengan tasbih. Ingatlah yang rentetan surah-surah ini dinamakan musabbihaat. Ada 10 surah semuanya dan kebanyakan daripadanya dimulakan dengan tasbih.
Dalam ayat ini kalimah tasbih di dalam bentuk fi’il madhi dan ada surah yang menggunakan fi’il mudhari’. Ini hendak memberitahu yang sebelum ini makhluk telah bertasbih kepada Allah ﷻ dan ada yang sedang bertasbih dan semua akan terus bertasbih kepada Allah ﷻ. Dalam ayat lain disebut:
{تُسَبِّحُ لَهُ السَّمَاوَاتُ السَّبْعُ وَالأرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ وَإِنْ مِنْ شَيْءٍ إِلا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ وَلَكِنْ لَا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ}
Langit yang tujuh, bumi, dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tak ada suatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. (Al-Isra: 44)
Maknanya semua makhluk ada tasbih mereka kepada Allah ﷻ dengan cara mereka. Kita sahaja yang tidak tahu. Malah benda yang mati seperti batu pun ada cara tasbihnya kepada Allah ﷻ.
Kalimah tasbih sebenarnya membersihkan syirik. Iaitu menidakkan perkara-perkara yang tidak sepatunyat tentang Allah ﷻ. Tidak patut ada syirik kepada Allah ﷻ dan kalimah tasbih adalah pernyataan kepada tauhid. Oleh itu, dalam surah ini Allah ﷻ mengingatkan asal agama adalah tauhid. Inilah perkara penting yang kita kena tahu dan kena kemas pemahaman kita. Malangnya, perkara inilah yang jarang diambil kira oleh masyarakat kita.
وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ
dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Allah bersifat العَزيزُ yang bermaksud maha berkuasa untuk mengazab sesiapa sahaja yang mengamalkan syirik dan meninggalkan tauhid. Nanti kita akan baca bagaimana puak Yahudi Bani Nadhir telah dihalau dari kediaman mereka. Ini adalah hak Allah ﷻ untuk menetapkan apa sahaja hukuman kepada makhluk.
Namun di dalam masa yang sama, Allah ﷻ juga bersifat الحَكيمُ (Maha Bijaksana). Dengan kebijaksanaan Allah ﷻ, Allah ﷻ masih memberi peluang kepada manusia untuk bertaubat. Tidaklah Allah ﷻ terus mengazab manusia yang melakukan syirik. Kalau Allah ﷻ terus azab sahaja sesiapa yang melakukan syirik, maka tentulah tidak ada lagi manusia yang tinggal di atas muka bumi ini. Kerana kita pun tentu ada pernah melakukan perkara syirik sebelum kita tahu tentang kesilapan fahaman kita itu. Kalaulah Allah ﷻ terus matikan kita dahulu, tentulah kita tidak ada peluang untuk bertaubat, bukan?
Dalam kes Bani Nadhir yang kita akan baca nanti, Allah ﷻ telah memberikan hukuman yang lembut untuk mereka. Hanya dibuang negeri sahaja dan ini bermakna mereka masih ada peluang untuk bertaubat kalau mereka ambil pengajaran. Ini semua atas kebijaksanaan Allah ﷻ.
Ini juga mengingatkan kita yang segala perbuatan Allah ﷻ adalah bijaksana belaka. Allah ﷻ tidak melakukan sesuatu sia-sia dan main-main. Maka ini mengajar kita redha dengan segala ketentuan Allah ﷻ. Bukan tempat kita untuk mempersoalkan apa-apa sahaja keputusan Allah ﷻ. Termasuk di dalam keputusan Allah ﷻ ini adalah arahan untuk mengeluarkan Bani Nadhir dari tanah mereka yang telah sekian lama mereka duduki itu.
Ayat 2: Sekarang diberikan contoh takhwif duniawi (penakutan dengan azab di dunia).
هُوَ الَّذي أَخرَجَ الَّذينَ كَفَروا مِن أَهلِ الكِتٰبِ مِن دِيٰرِهِم لِأَوَّلِ الحَشرِ ۚ ما ظَنَنتُم أَن يَخرُجوا ۖ وَظَنّوا أَنَّهُم مّانِعَتُهُم حُصونُهُم مِّنَ اللهِ فَأَتٰهُمُ اللهُ مِن حَيثُ لَم يَحتَسِبوا ۖ وَقَذَفَ في قُلوبِهِمُ الرُّعبَ ۚ يُخرِبونَ بُيوتَهُم بِأَيديهِم وَأَيدِي المُؤمِنينَ فَاعتَبِروا يٰأُولِي الأَبصٰرِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
It is He who expelled the ones who disbelieved among the People of the Scripture¹ from their homes at the first gathering.² You did not think they would leave, and they thought that their fortresses would protect them from Allāh; but [the decree of] Allāh came upon them from where they had not expected, and He cast terror into their hearts [so] they destroyed their houses by their [own] hands and the hands of the believers. So take warning, O people of vision.
- Referring to the Jews of Banun-Nadheer, who broke their pact with the Messenger of Allāh (ṣ).
- This was the first time they had ever been gathered and expelled.
(MELAYU)
Dialah yang mengeluarkan orang-orang kafir di antara ahli kitab dari kampung-kampung mereka pada saat pengusiran yang pertama. Kamu tidak menyangka, bahawa mereka akan keluar dan mereka pun yakin, bahawa benteng-benteng mereka dapat mempertahankan mereka dari (seksa) Allah; maka Allah mendatangkan kepada mereka (hukuman) dari arah yang tidak mereka sangka-sangka. Dan Allah melemparkan ketakutan dalam hati mereka; mereka memusnahkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri dan tangan orang-orang mukmin. Maka ambillah (kejadian itu) untuk menjadi pelajaran, hai orang-orang yang mempunyai wawasan.
هُوَ الَّذي أَخرَجَ الَّذينَ كَفَروا مِن أَهلِ الكِتٰبِ مِن دِيٰرِهِم لِأَوَّلِ الحَشرِ
Dialah yang mengeluarkan orang-orang kafir di antara ahli kitab dari kampung-kampung mereka pada saat pengusiran yang pertama.
Allah ﷻ mengatakan yang Dialah yang menyebabkan puak Yahudi Bani Nadhir itu yang telah menyerah kalah pada pengepungan puak mukmin kali pertama. Ini adalah kerana mereka telah belot kepada perjanjian yang telah dilakukan dengan umat Islam untuk sama-sama mempertahankan Madinah bersama-sama. Malah mereka telah membuat rancangan untuk membunuh Rasulullah ﷺ. Ini bukanlah kali pertama kerana mereka memang puak yang rajin membunuh para Nabi.
Oleh kerana telah ada perjanjian dan mereka belot, maka tiada lagi perjanjian dengan mereka seperti yang disebut dalam Anfal:58
وَإِمّا تَخافَنَّ مِن قَومٍ خِيانَةً فَانبِذ إِلَيهِم عَلىٰ سَواءٍ ۚ إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ الخائِنينَ
Dan jika kamu khuatir akan (terjadinya) pengkhianatan daripada suatu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berkhianat.
Kejadian ini berlaku pada tahun 4 Hijriah setelah Peperangan Badr dan Uhud. Walaupun nampak para sahabat yang mengepung mereka dan menghalau mereka, tetapi Allah ﷻlah yang menjadikan perkara itu realiti. Kerana kalau dikira usaha para sahabat sahaja, tentu tidak akan terjadi apa yang mereka kehendaki.
Ayat ini juga bermaksud, keputusan untuk mengusir mereka itu bukanlah keputusan daripada Nabi dan sahabat, tetapi daripada Allah ﷻ sendiri kerana mereka telah belot.
Apakah maksud لِأَوَّلِ الحَشرِ (bagi pengusiran yang awal)? Ia berasal daripada katadasar ح ش ر yang bermaksud berkumpul bersama, dibangkitkan daripada mati, juga bermaksud menghalau keluar. Ulama’ tafsir berbeza pendapat apakah yang dimaksudkan dalam ayat ini. Ada yang mengatakan:
1. Pengusiran puak Yahudi yang pertama. Kerana nanti puak Yahudi akan dihalau juga untuk kali kedua oleh Saidina Umar رضي الله عنه dari Tanah Arab. Kali pertama mereka telah lari ke Syam dan kemudian pada zaman Umar رضي الله عنه, mereka dihalau pula dari Syam.
2. Pendapat kedua mengatakan kalimah ‘hashr’ itu bermaksud pengumpulan manusia di Mahsyar nanti.
3. Pengusiran yang pertama adalah bani Qainuqa’ dan sekarang kita sedang membaca tentang puak yang kedua iaitu Bani Nadhir pula.
ما ظَنَنتُم أَن يَخرُجوا
Kamu tidak menyangka bahawa mereka akan keluar
Puak mukmin sendiri tidak menyangka yang puak Yahudi Bani Nadhir itu akan menyerah kalah dalam masa yang singkat kerana mereka nampaknya kuat di dalam kubu mereka. Para sahabat tidak sangka mereka akan meninggalkan tempat mereka yang hebat yang mereka telah lama bina itu. Masa yang telah diberikan kepada mereka adalah selama 10 hari tetapi mereka telah mengaku kalah pada hari ke enam.
وَظَنّوا أَنَّهُم مّانِعَتُهُم حُصونُهُم مِّنَ اللهِ
dan mereka pun yakin, bahawa benteng-benteng mereka dapat mempertahankan mereka daripada Allah;
Puak Bani Nadhir itu pun tidak sangka mereka akan meninggalkan tempat tinggal mereka. Mereka sangka yang kubu mereka kuat dan dapat menyelamatkan mereka daripada pengepungan Allah ﷻ iaitu daripada pengepungan orang Islam. Kalimah مّانِعَتُهُم daripada katadasar م ن ع yang bermaksud menahan, menghalang, menolak, mempertahankan, memperkuatkan, susah untuk dimasuki.
Kalimah حُصونُهُم pula berasal daripada katadasar ح ص ن yang bermaksud dipelihara, dijaga, tidak boleh dimasuki, suci, diperkuatkan, dipertahankan. Mereka sangka kubu-kubu mereka dapat membenteng tempat mereka daripada dicerobohi. Sebagaimana zaman sekarang, ini apabila negara Israel yang haram itu yakin sangat dengan pertahanan mereka seperti Iron Dome. Akan tetapi apabila diserang oleh pihak Palestin bertubi-tubi, mereka terkesan juga dan terus minta gencatan senjata.
Mereka pun telah bersedia untuk bertahan dalam kubu mereka untuk masa yang lama. Makanan mereka sepatutnya tahan sebulan. Maka memang mereka tidak sesekali menyangka mereka akan meninggalkan kubu mereka. Apabila Nabi Muhammad ﷺ memberi kata putus kepada mereka untuk meninggalkan Madinah selepas 10 hari, mereka menolak begitu sahaja.
Golongan munafik juga terlibat dalam hal ini. Seorang munafik bernama Abdullah bin Ubay bin Salul (ketua puak munafik) telah mengirim orang kepada mereka memberitahukan, “Janganlah kalian keluar dari tempat tinggalmu kerana bersamaku ada 2,000 orang yang akan masuk ke bentengmu bersamamu, mereka siap mati untuk membelamu, Bani Quraizhah akan menolongmu, demikian pula sekutu kamu dari Ghatfan.” Maka kerana sokongan begitu, mereka pun semakin berani dan penuh yakin memberitahu Rasulullah ﷺ yang mereka tidak akan keluar.
Mereka sangka umat Islam yang akan keletihan dan tidak mampu untuk mengepung dalam jangkamasa yang lama. Kerana untuk mengepung sesuatu tempat pun memerlukan bekal yang banyak juga. Namun akhirnya mereka telah mengaku kalah hanya setelah 6 hari sahaja.
Menjadi perbincangan kenapa digunakan kalimat مِّنَ اللهِ (daripada Allah ﷻ) dalam ayat ini. Adakah puak Yahudi itu tahu yang mereka sedang menentang Allah ﷻ tetapi mereka teruskan juga? Takkan mereka sanggup untuk melawan Allah ﷻ?
Untuk memahami mentaliti mereka, kita kena lihat sejarah mereka. Mereka ini adalah satu bangsa yang pelik. Mereka sudah banyak membunuh para Nabi walaupun mereka tahu itu adalah Nabi utusan Allah ﷻ. Dalam Al-Qur’an disebut bagaimana mereka berbangga kerana mereka telah membunuh Nabi Isa عليه السلام, Rasulullah (lihat Nisa:157). Dalam Tradisi mereka juga, mereka baca bagaimana Nabi Ya’kob عليه السلام telah bergusti dengan Allah ﷻ dari malam sampai ke pagi dan Allah ﷻ tidak dapat mengalahkan baginda (dan kerana itu Nabi Ya’kob عليه السلام diberi gelaran ‘Israil’). (“because you strove with God and with men, and prevailed.” (Lihat Gen. 32: 25-29).
Maka, tidak menghairankan apabila mereka tahu mereka sedang melawan Allah ﷻ, tetapi mereka teruskan juga dan rasa mereka akan menang. Mereka tahu Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Rasul Allah, tetapi mereka tetap melawan juga. Kita tahu mereka tahu siapa baginda sebenarnya kerana tanda-tanda Rasul Akhir Zaman sudah ada pada Nabi Muhammad ﷺ dan para Rahib mereka memang tahu perkara ini.
Kita pun telah pernah sebutkan di tempat yang lain, bahawa mereka ini bukanlah ‘kafir jahil’ tetapi jenis ‘kafir degil’. Mereka tahu kebenaran, akan tetapi hati sahaja degil untuk mengikutinya.
فَأَتٰهُمُ اللهُ مِن حَيثُ لَم يَحتَسِبوا
maka Allah mendatangkan kepada mereka (hukuman) dari arah yang tidak mereka sangka-sangka.
Puak Bani Nadhir itu sangka mereka akan selamat dalam kubu mereka yang kukuh, tetapi Allah ﷻ telah menyerang mereka dari tempat yang mereka tidak sangka-sangka. Mereka sangka umat Islam akan menyerang dengan senjata dari luar kubu mereka dan mereka yakin mereka akan dapat bertahan. Akan tetapi Allah ﷻ serang mereka dari dalam. Dengan cara itulah mereka keluar dari kubu mereka.
Allah ﷻ boleh bantu orang mukmin dengan berbagai cara. Apakah serangan ‘dalam’ itu? Apakah serangan yang dimaksudkan itu?
وَقَذَفَ في قُلوبِهِمُ الرُّعبَ
Dan Allah melemparkan ketakutan dalam hati mereka;
Serangan itu bermaksud ketakutan yang dilontarkan ke dalam hati mereka dan hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh buat perkara ini. Mereka menjadi takut sampaikan mereka sendiri buka pintu kota mereka. Antaranya, mereka mula takut apabila Nabi ﷺ mengarahkan para sahabat membakar kebun kurma yang berdekatan tempat mereka itu. Mereka nampak dan terus menjadi takut.
Atau, memang mereka takut dengan Rasulullah ﷺ kerana ada hadith yang menyebut Allah ﷻ mencampakkan ketakutan musuh terhadap baginda. Ini antara kelebihan yang Allah ﷻ berikan kepada baginda dan tidak diberikan kepada para Rasul yang lain.
Hadith Keistimewaan Nabi Muhammad ﷺ
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ، صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أُعْطِيتُ خَمْسًا لَمْ يُعْطَهُنَّ أحَدٌ مِنَ الأنْبِيَاءِ قَبْلِي: نُصِرْتُ بالرُّعْبِ مَسِيرَةَ شَهْرٍ، وجُعِلَتْ لي الأرْضُ مَسْجِدًا وطَهُورًا، وأَيُّما رَجُلٍ مِن أُمَّتي أدْرَكَتْهُ الصَّلَاةُ فَلْيُصَلِّ، وأُحِلَّتْ لي الغَنَائِمُ، وكانَ النبيُّ يُبْعَثُ إلى قَوْمِهِ خَاصَّةً، وبُعِثْتُ إلى النَّاسِ كَافَّةً، وأُعْطِيتُ الشَّفَاعَةَ. رواه البخاري
Daripada Jabir ibn Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda, “Aku telah diberi lima perkara yang tidak diberikan kepada seorang Nabi pun sebelumku: (1) aku ditolong dengan rasa takut yang menghinggapi musuh-musuhku dari jarak sebulan perjalanan, (2) bumi ini dijadikan bagiku sebagai tempat sujud dan alat bersuci, maka di mana saja seseorang dari umatku mendapati waktu shalat telah tiba, hendaklah dia mengerjakannya, (3) dihalalkan bagiku harta rampasan perang yang belum pernah dihalalkan bagi seorang Nabi pun sebelumku, (4) diberikan kepadaku hak untuk memberikan syafaat, dan (5) dahulu para Nabi diutus hanya kepada kaumnya saja, sedangkan aku diutus kepada seluruh manusia.”
(HR Bukhari No 335)
Maka Allah ﷻ keluarkan mereka tanpa cara perang pun. Allah ﷻ membantu umat Islam waktu itu kerana kalau berperang, para sahabat pun akan susah dan sakit. Ini kerana puak Yahudi itu pun ada senjata juga kalau hendak berperang. Maka kerana takut sangat mereka telah membuka pintu kota mereka untuk menyerah kalah dan kemudian mereka telah dihalau dari Madinah. Tiada pertumpahan darah berlaku dalam kejadian ini.
يُخرِبونَ بُيوتَهُم بِأَيديهِم وَأَيدِي المُؤمِنينَ
mereka memusnahkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri dan tangan orang-orang mukmin.
Walaupun mereka kena tinggalkan kota mereka, tetapi orang jahat tetap jahat. Apabila mereka diarahkan untuk keluar dari kota mereka dan meninggalkan Madinah, mereka telah membuat keputusan untuk memusnahkan sendiri perhiasan yang ada di dalam kota mereka yang dulu mereka bina sekian lama.
Kalimah يُخرِبونَ daripada katadasar خ ر ب yang bermaksud dalam keadaan hancur, keadaan membazir, tidak didiami, mencuri, melubangi sesuatu, memalukan.
Ini kerana mereka sakit hati dan tidak mahu umat Islam mengambil barang mereka. Maka kerana mereka hanya dibenarkan bawa muatan yang mereka boleh bawa dengan kenderaan mereka, mereka telah mencabut pintu dan dinding rumah, malah merosakkan pasak rumah mereka. Ini supaya umat Islam tidak dapat menikmati peninggalan mereka itu. Pada mereka, kalau mereka tidak dapat menggunakannya lagi, umat Islam pun tidak boleh juga.
Atau, mereka sayang sangat rumah-rumah mereka itu sampai mereka cuba hendak membawanya kerana mereka dibenarkan membawa barang mereka yang boleh diletakkan di atas unta (kecuali senjata). Maka mereka cuba membawa semua apa yang mereka boleh bawa. Dengan pintu rumah pun mereka cuba bawa.
Orang-orang mukmin pada waktu itu juga telah membantu mereka untuk memusnahkan tempat itu kerana umat Islam telah menyerang dari luar dan merosakkan luaran kubu mereka. Iaitu antaranya dengan melemparkan batu ke arah penempatan mereka itu.
فَاعتَبِروا يٰأُولِي الأَبصٰرِ
Maka ambillah (kejadian itu) untuk menjadi pelajaran, hai orang-orang yang mempunyai wawasan.
1. Maka orang lain, termasuk puak puak Yahudi yang lain, ambillah iktibar daripada apa yang telah terjadi kepada Bani Nadhir ini kerana kalau mereka juga membuat perkara yang sama, maka mereka akan mendapat balasan yang sama. Akan tetapi nanti puak Yahudi yang lain tidak mengambil pengajaran pun. Maka mereka pun akan dihalau.
2. Puak Yahudi ini adalah orang Islam dulu sebenarnya. Mereka telah beriman, telah mendapat kitab dan telah mendapat kedudukan sebagai Ahli Kitab. Akan tetapi apabila mereka meninggalkan agama dan wahyu, maka rahmat Allah ﷻ telah ditarik daripada mereka.
Maka umat Islam kena belajar daripada apa yang terjadi dan mengambil iktibar. Walaupun kita ini adalah umat Rasul terakhir, tetapi kalau kita tidak mengikut ajaran baginda, kita pun boleh jadi seperti mereka juga. Kedudukan sebagai ‘Muslim’ tidaklah menjadi jaminan yang kita ini tetap selamat.
3. Umat manusia yang mendengar kisah ini juga perlu mengambil pengajaran. Jangan menentang Tuhan yang Satu. Yakni renungkanlah akibat yang dialami oleh orang-orang yang menentang perintah Allah ﷻ dan menentang Rasul-Nya, serta mendustakan Kitab-Nya, sebagaimana Allah ﷻ menimpakan pembalasan-Nya kepada mereka, yang membuat mereka terhina di dunia ini disertai dengan azab yang pedih yang telah disediakan oleh Allah ﷻ di hari kemudian (hari akhirat).
Tidak ada sesiapa yang akan menang kalau menentang Allah ﷻ. Mereka kena dengar kisah ini dan belajar bagaimana kekuatan kubu dan harta tidak memastikan kemenangan. Dengarlah kisah ini dengan ‘wawasan’, iaitu dengan akal fikiran yang waras, dengan mata hati. Bukan hanya sekadar baca sebagai kisah biasa sahaja.
Kalimah i’tibar di dalam ayat ini menjadi dalil dan hujah bagi para ulama’ untuk mengamalkan qiyas di dalam membuat hukum. Iaitu mengambil pengajaran daripada satu kes dan diaplikasi dalam kes dan suasana yang lain.
Ayat 3: Sebenarnya Allah ﷻ telah berlaku lembut kepada mereka.
وَلَولا أَن كَتَبَ اللهُ عَلَيهِمُ الجَلاءَ لَعَذَّبَهُم فِي الدُّنيا ۖ وَلَهُم فِي الآخِرَةِ عَذابُ النّارِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And if not that Allāh had decreed for them evacuation, He would have punished them in [this] world, and for them in the Hereafter is the punishment of the Fire.
(MELAYU)
Dan jika tidaklah kerana Allah telah menetapkan pengusiran terhadap mereka, benar-benar Allah mengazab mereka di dunia. Dan bagi mereka di akhirat azab neraka.
وَلَولا أَن كَتَبَ اللهُ عَلَيهِمُ الجَلاءَ
Dan jika tidaklah kerana Allah telah menetapkan pengusiran terhadap mereka,
Kalimah الجَلاءَ berasal daripada katadasar ج ل و yang juga bermaksud pengusiran. Ya, memang Allah ﷻ telah tetapkan yang mereka diusir dari tempat tinggal mereka yang mereka telah lama bina. Akan tetapi kalau mereka tidak diusir, mereka akan dikenakan dengan hukuman yang lebih teruk lagi.
لَعَذَّبَهُم فِي الدُّنيا
benar-benar Allah mengazab mereka di dunia.
Allah ﷻ beritahu yang jikalau Allah ﷻ tidak takdirkan hukuman untuk mereka itu dihalau dari Madinah, maka yang akan dikenakan kepada mereka adalah azab yang lebih teruk daripada itu. Iaitu arahan bunuh sahaja. Para wanita dan kanak-kanak mereka akan menjadi hamba kepada umat Islam.
Ini telah terjadi kepada Bani Quraizah selepas Perang Ahzab. Lelaki dewasa mereka telah dibunuh dan para wanita, orang tua dan kanak-kanak telah ditawan dan dijadikan hamba umat Islam. Ini kerana mereka telah belot terhadap perjanjian dengan umat Islam apabila mereka telah bersekongkol dengan puak Musyrikin Mekah dalam Perang Ahzab.
Maka hukuman kepada mereka itu adalah hukuman yang ringan sebenarnya kalau dibandingkan dengan dibunuh. Bila dihalau, mereka masih lagi boleh berpindah dan membina hidup yang baru. Allah ﷻ beri hukuman yang lembut kerana ini adalah kerana ini adalah kali pertama puak Yahudi Madinah melakukan khianat kepada Islam. Maka mereka diberi peluang dan untuk memberi peringatan kepada yang lain.
وَلَهُم فِي الآخِرَةِ عَذابُ النّارِ
Dan bagi mereka di akhirat azab neraka.
Akan tetapi mereka tetap akan diazab di akhirat kelak di atas dosa berat yang mereka telah lakukan. Ini kalau mereka tetap tidak insaf dan ambil pengajaran dari apa yang telah berlaku.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 17 Jun 2021
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
