Tafsir Surah an-Nur Ayat 37 – 40 (Perniagaan dan jual-beli)

Ayat 37: Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang memuji Allah ‎ﷻ di masjid. Dan sekarang Allah ‎ﷻ memberitahu siapakah yang akan memuji-Nya dan menyeru Allah ‎ﷻ siang dan malam di masjid, rumah Allah ‎ﷻ itu?

رِجالٌ لّا تُلهيهِم تِجٰرَةٌ وَلا بَيعٌ عَن ذِكرِ اللهِ وَإِقامِ الصَّلَوٰةِ وَإيتاءِ الزَّكَوٰةِ ۙ يَخافونَ يَومًا تَتَقَلَّبُ فيهِ القُلوبُ وَالأَبصٰرُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Are] men whom neither commerce nor sale distracts from the remembrance of Allāh and performance of prayer and giving of zakāh. They fear a Day in which the hearts and eyes will [fearfully] turn about –

(MELAYU)

Laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli dari mengingati Allah, dan (dari) mendirikan sembahyang, dan (dari) membayarkan zakat. Mereka takut kepada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang.

 

رِجالٌ لّا تُلهيهِم تِجٰرَةٌ وَلا بَيعٌ عَن ذِكرِ اللهِ

Laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli dari mengingati Allah,

Ini adalah sifat lelaki yang benar-benar menjadi tokoh dalam agama. Lelaki sebegini boleh diikuti sebagai contoh manusia yang beriman.  Terdapat banyak jenis manusia yang boleh dijadikan sebagai tokoh di dalam kehidupan dunia, tetapi sekarang Allah ‎ﷻ hendak mengajar kita tokoh manusia yang boleh dijadikan ikutan kepada kita yang boleh membawa kepada kebaikan di akhirat. Kerana kita semua mesti melebihkan akhirat dari dunia.

Perniagaan mereka tidak melalaikan mereka dari agama Allah ‎ﷻ. Mereka juga menjalani kehidupan dunia, bekerja, berkeluarga dan juga berniaga, tetapi tidaklah kehidupan dunia itu melalaikan mereka dari menjalani ibadat kepada Allah ‎ﷻ.

Kalimah تُلهيهِم dari katadasar ل ه و yang bermaksud dilalaikan sampai lupa kepada sesuatu yang penting. Ini adalah jenis perkara seperti permainan, hiburan dan sebagainya yang bersifat keduniaan. Sampaikan lupa kepada akhirat.

Jual beli juga tidak melalaikan mereka. Tetapi timbul persoalan: Bukan samakah ‘perniagaan’ dan ‘jual beli’? Kalau sama, kenapa disebut secara berasingan pula? Bukankah jual beli itu sebahagian dari perniagaan?

Allah ‎ﷻ menyebutnya secara berasingan kerana perniagaan itu terdiri dari banyak perkara. Ada sibuk dengan perancangan, membayar cukai, sediakan barang jualan, kemaskan kedai dan macam-macam lagi. Itu semua termasuk dalam urusan perniagaan zaman sekarang dan malah banyak lagi kalau hendak disenaraikan.

Namun di dalam perniagaan yang paling penting adalah jual beli. Kadangkala boleh untuk tinggalkan kerja perniagaan yang lain-lain, tetapi kalau semasa kita hendak menutup kedai itu (untuk solat) ada pelanggan datang untuk membeli, memang susah menolaknya, bukan? Kerana itulah waktu ‘jual-beli’ itu dan ia paling penting kerana waktu jual beli itulah masa masuk duit.

Maka bagaimana kalau azan berbunyi pada waktu itu? Adakah anda sanggup untuk tetap juga menutup kedai waktu itu? Bagi orang yang boleh dicontohi, dia tidak akan kisah tentang siapa yang datang pun pada waktu itu kerana dia tetap akan tutup juga kedai itu. Tapi ramai yang tidak boleh dan sebab itu kebanyakan peniaga, kalau azan berkumandang pun mereka buat tidak kisah, tetap meneruskan perniagaan.

Mereka yang dipuji dalam ayat ini juga berniaga dan bekerja, tetapi mereka tetap ingat kepada Allah ‎ﷻ. Masa bekerja mereka ingat Allah ‎ﷻ dan apabila tiba waktu solat, mereka sanggup tinggalkan perniagaan dan jual beli sebentar.

Para sahabat sangat menjaga perkara ini. Terdapat kisah dua orang sahabat yang berniaga: seorang peruncit dan seorang lagi tukang besi. Peruncit itu kalau mendengar azan dan waktu itu beliau sedang menimbang sesuatu, beliau terus tinggalkan timbangannya itu, tidak dihabiskan pun; dan yang tukang besi itu kalau semasa diangkat tangannya untuk memukul besi dan waktu itu azan dikumandangkan, beliau terus berhenti dan tidak menghabiskan pun pukulannya.

Dalam ayat ini, disebut ‘lelaki’. Maka ayat ini memberi isyarat yang masjid itu hendaklah dimakmurkan oleh para lelaki. Lelaki memang wajib mendirikan solat berjemaah di masjid.

Adapun mengenai kaum wanita, maka solat mereka di dalam rumahnya lebih utama bagi mereka, kerana berdasarkan apa yang telah diriwayatkan oleh Imam Abu Daud رحمه الله melalui sahabat Abdullah ibnu Mas’ud رضي الله عنه, dari Nabi ﷺ yang telah bersabda:

“صَلَاةُ الْمَرْأَةِ فِي بَيْتِهَا أَفْضَلُ مِنْ صَلَاتِهَا فِي حُجْرَتِهَا، وَصَلَاتُهَا فِي مَخْدَعِهَا أَفْضَلُ مِنْ صَلَاتِهَا فِي بَيْتِهَا”

Solat wanita di dalam rumahnya lebih utama daripada solatnya di dalam ruangan tamunya, dan solatnya di dalam kamarnya lebih utama daripada solatnya di dalam rumahnya.

Maka memang solat wanita itu lebih baik di rumah sahaja. Sampaikan ia lebih baik lagi dari solat di Masjid Nabawi bersama Nabi ﷺ!

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ أَيْضًا: حَدَّثَنَا هَارُونُ، أَخْبَرَنِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ وَهْبٍ، حَدَّثَنَا دَاوُدُ بْنُ قَيْسٍ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ سُوَيد الْأَنْصَارِيِّ، عَنْ عَمَّتِهِ أُمِّ حُمَيْدٍ -امْرَأَةِ أَبِي حُمَيْدٍ السَّاعِدِيِّ -أَنَّهَا جَاءَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنِّي أُحِبُّ الصَّلَاةَ مَعَكَ قَالَ: “قَدْ عَلِمْتُ أَنَّكِ تُحِبِّينَ الصَّلَاةَ مَعِي، وَصَلَاتُكِ فِي بَيْتِكِ خَيْرٌ مِنْ صَلَاتِكِ فِي حُجْرَتِكِ، وَصَلَاتُكِ فِي حُجْرَتك خَيْرٌ مِنْ صَلَاتِكِ فِي دَارِكِ، وَصَلَاتُكِ فِي دَارِكِ خَيْرٌ مِنْ صَلَاتِكِ فِي مَسْجِدِ قَوْمِكِ، وَصَلَاتُكِ فِي مَسْجِدِ قَوْمِكِ خَيْرٌ مِنْ صَلَاتِكِ فِي مَسْجِدِي”.

Imam Ahmad رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Harun, telah menceritakan kepadaku Abdullah ibnu Wahb, telah menceritakan kepada kami Daud ibnu Qais, dari Abdullah ibnu Suwaid Al-Ansari, dari bibinya (yaitu Ummu Humaid, isteri Abu Humaid As-Sa’idi), bahawa ia datang kepada Nabi ﷺ, lalu bertanya, “Wahai Rasulullah ﷺ, sesungguhnya aku suka mengerjakan solat bersamamu (iaitu berjemaah di masjid Rasulullah ﷺ).” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: Aku telah mengetahui bahawa engkau menyukai solat bersamaku. Solat kamu di dalam rumahmu lebih baik daripada solatmu di dalam ruangan tamumu, dan solatmu di dalam ruangan tamumu lebih baik daripada solatmu di dalam perkarangan rumahmu, dan solatmu di dalam perkarangan rumahmu lebih baik daripada solatmu di dalam masjid kaummu, dan solatmu di dalam masjid kaummu lebih baik daripada solatmu di dalam masjidku.

Maka, kalaulah para jemaah wanita yang pergi mengerjakan Umrah atau Haji pun, mereka itu lebih baik solatnya di hotel sahaja. Cuma kita tidak boleh menghalang wanita untuk pergi mengerjakan solat di masjid. Kerana ada kelebihan masjid untuk menaikkan iman dan semangat mereka.

Maka bolehlah sekali sekala mereka pergi berjemaah di masjid. Tambahan pula kalau sudah sampai ke Tanah Suci, tentu teringin untuk ke sana juga, bukan? Ini seperti yang disebutkan di dalam kitab sahih melalui Abdullah ibnu Umar رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“لَا تَمْنَعُوا إِمَاءَ اللهِ مَسَاجِدَ اللهِ”

Janganlah kalian mencegah hamba-hamba wanita Allah ‎ﷻ dari masjid-masjid Allah ‎ﷻ. 

Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim.

Mereka boleh pergi ke masjid, tetapi dengan syarat hendaknya mereka tidak mengganggu seseorang pun dari jemaah kaum lelaki yang ada dengan menampakkan perhiasannya atau menebarkan bau wangiannya. Ini kerana kalau mereka datang begitu, maka mereka sebenarnya akan menimbulkan fitnah sahaja.

Namun bagaimana dengan keadaan sekarang? Kita bimbang para wanita tidak menjaga akan perkara ini sampai menimbulkan masalah pula. Ingatlah apa kata Aisyah رضي الله عنها.

Di dalam kitab Sahihain disebutkan pula dari Siti Aisyah رضي الله عنها yang telah mengatakan, “Seandainya Rasulullah ﷺ menjumpai masa timbulnya bid’ah yang dilakukan oleh kaum wanita (sekarang), tentulah baginda melarang mereka mendatangi masjid-masjid, sebagaimana kaum wanita Bani Israil dilarang (mendatangi tempat peribadatan mereka di masa lalu).”

Maka, janganlah selalu wanita ke masjid. Sekali sekala terasa ingin solat di masjid, atau kerana ada kelas pengajian, bolehlah. Namun jangan pula dijadikan kebiasaan bagi mereka. Termasuk kalau Solat Terawih dimana kita lihat ramai wanita berbondong-bondong ke masjid. Sebenarnya kalau mereka solat di rumah mereka, lebih afdhal dan lebih banyak pahala.

 

وَإِقامِ الصَّلَوٰةِ وَإيتاءِ الزَّكَوٰةِ

dan (dari) mendirikan sembahyang, dan (dari) membayarkan zakat. 

Sifat kedua mereka, mereka istiqamah dalam mengerjakan ibadat kepada Allah ‎ﷻ. Dalam ayat ini disebut dua ibadat, namun tentulah bukan dua ini sahaja ibadat yang ada. Tapi disebut dua ibadat ini berulang-ulang kali dalam Qur’an kerana ia mewakili semua ibadah yang lain.

Solat – mewakili ‘ibadat’ tentang hubungan hamba dan Allah ‎ﷻ. Habluminallah.

Zakat – mewakili ‘adat’ sesama hamba dan hamba. Habluminannas.

Mereka sedar bahawa pahala yang ada di sisi Allah ‎ﷻ lebih baik dan lebih bermanfaat bagi mereka dari­pada harta benda yang ada di tangan mereka; kerana harta benda yang ada pada mereka pasti habis, sedangkan pahala yang ada di sisi Allah ‎ﷻ kekal.

 

يَخافونَ يَومًا تَتَقَلَّبُ فيهِ القُلوبُ وَالأَبصٰرُ

Mereka takut kepada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang.

Mereka sentiasa takut kepada Hari Akhirat di mana semua hati akan takut berpusing pusing, ke sana sini. Waktu itu tidak keruan dibuatnya kerana takut sangat pada waktu itu, tidak tahu bagaimana nasib.

Dan mata juga tidak berapa hendak nampak pun lagi. Ini adalah kerana mata berpinar kerana ketakutan yang amat sangat. Macam-macam perkara yang menakutkan akan dilihat yang menyebabkan mata berpinar.

Maka, sifat mereka itu sentiasa takutkan hari akhirat nanti. Walaupun mereka sibuk dengan hal keduniaan (dengan keluarga, kerja dan sebagainya), hati mereka sentiasa ingat kepada Hari Kiamat. Kerana takutkan dengan Hari Kiamat, maka mereka menjaga amalan mereka. Mereka sentiasa berhati-hati dengan apa yang mereka lakukan.


 

Ayat 38:

لِيَجزِيَهُمُ اللهُ أَحسَنَ ما عَمِلوا وَيَزيدَهُم مِّن فَضلِهِ ۗ وَاللهُ يَرزُقُ مَن يَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That Allāh may reward them [according to] the best of what they did and increase them from His bounty. And Allāh gives provision to whom He wills without account [i.e., limit].

(MELAYU)

(Mereka mengerjakan yang demikian itu) supaya Allah memberikan balasan kepada mereka (dengan balasan) yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan, dan supaya Allah menambah karunia-Nya kepada mereka. Dan Allah memberi rezeki kepada siapa yang dikehendaki-Nya tanpa batas.

 

لِيَجزِيَهُمُ اللهُ أَحسَنَ ما عَمِلوا

supaya Allah memberikan balasan kepada mereka (dengan balasan) yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan,

Allah ‎ﷻ akan balas mereka dengan kebaikan sebagai balasan bagi amalan baik yang mereka telah lakukan semasa di dunia.

Apabila digunakan أَحسَنَ dalam ayat ini, ia bermaksud Allah ‎ﷻ akan balas lebih baik lagi dari amalan pelakunya. Bayangkan amalan beberapa tahun sahaja tetapi Allah ‎ﷻ membalasnya dengan mengekalkan pelakunya di dalam syurga selama-lamanya. Balasan pula berkali ganda lebih baik dari amalan ibadat itu sendiri.

Juga boleh bermaksud Allah ‎ﷻ akan balas mengikut markah amalan pelakunya yang paling tinggi. Dalam kita beramal seperti solat, ada amalan yang biasa-biasa sahaja dan ada amalan yang kita khusyuk lebih lagi. Jadi ada solat yang markah rendah dan ada markah yang tinggi. Allah ‎ﷻ mempunyai rahmat yang besar, Dia akan balas segala solat kita ikut markah solat yang paling tinggi.

Atau, Allah balas ikut kadar pahala yang sesuai ikut amalan pelakunya. Katakanlah seseorang solat 50% sahaja dia khusyuk. Maka dia akan dapat pahala 50% sahaja.

 

وَيَزيدَهُم مِّن فَضلِهِ

dan supaya Allah menambah kurnia-Nya kepada mereka.

Kalimah وَيَزيدَهُم bermaksud Allah ‎ﷻ akan tambah lagi. Allah ‎ﷻ boleh bagi terlalu banyak, tidak terkira banyaknya.

Kalimah فضل pula bermaksud pemberian yang lebih dari sepatutnya. Kita memang tidak layak dapat balasan pahala yang banyak kerana amal kita tidak seberapa. Tapi Allah beri balasan yang amat banyak.

Sebelum ini telah disebut bagaimana ada manusia yang risaukan tentang perniagaan mereka sampaikan mengganggu amal mereka. Maka Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia beri balasan yang amat banyak kalau dibandingkan dengan keduniaan mereka. Jadi tidak rugi sebenarnya kalau lupakan perniagaan dan jual beli sebentar.

Maka jangan berkira sangatlah kalau ada rugi orang tidak dapat beli barang jualan kita. Balasan dari Allah ‎ﷻ memang lebih lagi bernilai. Memang balasan yang diberikan itu berbaloi.

 

وَاللهُ يَرزُقُ مَن يَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍ

Dan Allah memberi rezeki kepada siapa yang dikehendaki-Nya tanpa batas.

Allah ‎ﷻ akan memberikan balasan sangat banyak sampai tidak boleh dikira. Tidak berhenti balasan yang Allah ‎ﷻ berikan itu. Jadi kalau kita tinggalkan perniagaan kerana hendak menunaikan solat dan kewajipan kita yang lain, jangan takut. Kerana Allah akan tetap beri rezeki. Kadangkala dari sumber yang tidak disangka-sangka.


 

Ayat 39: Sebelum ini telah disebut orang beriman yang hati mereka bercahaya menerima hidayah dari Allah ‎ﷻ. Sekarang disebut pula jenis orang yang tidak beriman. Terdapat juga fitrah yang dimasukkan ke dalam hati mereka, tetapi mereka tidak menerima hidayah itu. Mereka ini tidak boleh dijadikan contoh dan mestilah dijauhi sifat ini.

وَالَّذينَ كَفَروا أَعمٰلُهُم كَسَرابٍ بِقيعَةٍ يَحسَبُهُ الظَّمئانُ ماءً حَتّىٰ إِذا جاءَهُ لَم يَجِدهُ شَيئًا وَوَجَدَ اللهَ عِندَهُ فَوَفّٰهُ حِسابَهُ ۗ وَاللهُ سَريعُ الحِسابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But those who disbelieved – their deeds are like a mirage in a lowland which a thirsty one thinks is water until, when he comes to it, he finds it is nothing but finds Allāh before him, and He will pay him in full his due; and Allāh is swift in account.

(MELAYU)

Dan orang-orang kafir amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu dia tidak mendapatinya sesuatu apapun. Dan didapatinya (ketetapan) Allah di sisinya, lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan amal-amal dengan cukup dan Allah adalah sangat cepat perhitungan-Nya.

 

وَالَّذينَ كَفَروا أَعمٰلُهُم كَسَرابٍ بِقيعَةٍ

Dan orang-orang kafir amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana di tanah yang datar,

Orang kafir juga ada yang membuat amalan kebaikan. Jangan kita sangka orang Islam sahaja buat perkara baik dan mulia. Sebagai contoh, ada orang kafir yang suka menolong sana sini. Mereka banyak menderma, membuat kerja amal dan sebagainya. Malu apabila antara mereka yang buat lebih lagi dari orang Islam. Tidak ramai orang Islam yang menolong orang, namun orang bukan Islam pula yang banyak menolong masyarakat.

Maka memang ada orang kafir yang hatinya baik, banyak menolong orang yang susah, sampai kita terdetik dalam hati: “Orang baik macam ni, takkan Allah ‎ﷻ nak masukkan mereka dalam neraka dan kekal mereka di dalamnya?” Malah mungkin ada yang sampai menyangka: “Kalau begitu, macam Allah ‎ﷻ tidak adil pula.”

Allah ‎ﷻ jawab bahawa kalau tidak ada iman, segala amal kebaikan itu akan sia-sia sahaja. Imanlah yang menentukan sama ada amal kebaikan itu diterima di sisi Allah ‎ﷻ ataupun tidak.

Mereka itu baik dan melakukan kebaikan kerana mereka mempunyai cahaya roh dalam diri mereka. Kita telah katakan sebelum ini yang potensi roh itu amat besar. Cuma sayangnya roh mereka belum menemui cahaya wahyu. Maka kerana itu akidah mereka menolak ketetapan wahyu.

Allah ‎ﷻ membuat perumpamaan tentang amal mereka: nampak seperti air dari kejauhan. Dan pada waktu itu situasi di padang pasir pula. Tentunya orang yang berada di padang pasir itu sedang dalam kehausan dan amat memerlukan sumber air. Namun ia bukanlah air tetapi hanya kelipan waktu panas di padang pasir. Fenomena ini dinamakan ‘fatamorgana’.

Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ bermain dengan bahasa di dalam ayat ini. Kalimah سَرابٍ bukankah macam kalimah شرب yang bermaksud ‘minuman’ kerana ia sebenarnya bukanlah minuman. Apabila mereka nampak seperti air dari kejauhan maka kelam kabutlah mereka pergi ke tempat itu kerana mereka menyangka ia adalah air yang boleh diminum. Tetapi apabila mereka sampai mereka lihat itu bukanlah air rupanya. Maka amat hampalah mereka.

Fatamorgana memang banyak di padang pasir dan kerana itu orang Arab kenal benar. Maka Allah ‎ﷻ menggunakan perumpamaan ini supaya mereka boleh faham betapa hampanya perasaan seseorang itu apabila nampak sesuatu yang diharapkan tetapi tidak ada. Selalu Allah ‎ﷻ menggunakan perumpamaan dari kehidupan manusia supaya senang difahami.

 

يَحسَبُهُ الظَّمئانُ ماءً حَتّىٰ إِذا جاءَهُ لَم يَجِدهُ شَيئًا

yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi bila didatanginya dia tidak mendapatinya sesuatu apapun.

Jadi ini adalah keadaan di akhirat kelak. Seperti kita telah sebutkan tadi, memang terdapat orang kafir yang telah melakukan kebaikan. Dan orang kafir yang mempunyai amalan kebaikan itu menyangka mereka akan dibalas dengan amalan baik mereka. Mereka pun bagaikan nampak seperti ada amalan mereka itu tetapi apabila pergi melihatnya betul-betul, ia adalah fatamorgana sahaja. Maknanya perbuatan baik mereka itu tidak ada nilai.

Mereka pergi ke tempat itu dengan susah payah kerana terlalu dahaga pada waktu itu. Bayangkan pula waktu itu keadaan amat panas kerana fatamorgana itu hanya kelihatan ketika cuaca panas. Namun hampa sahaja yang diperolehi dan memang rasa tertipu.

Begitulah orang kafir berusaha untuk mencari balasan kebaikan yang pernah mereka buat di dunia dahulu. Mereka memang sangka dan tahu yang mereka ada buat kebaikan dan mereka mencari-cari dengan susah payah kerana ingin menuntut pahalanya. Namun di akhirat nanti tidak ada balasan pahala pun untuk diri mereka. Hampa dan hampa sahaja.

 

وَوَجَدَ اللهَ عِندَهُ فَوَفّٰهُ حِسابَهُ

Dan didapatinya (ketetapan) Allah di sisinya, lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan amal-amal dengan cukup

Yang ada adalah Allah ‎ﷻ. Mereka mesti mengadap Allah ‎ﷻ untuk dibicarakan tentang apa yang mereka telah lakukan semasa di dunia. Juga yang dimaksudkan adalah ‘takdir Allah ‎ﷻ’ yang menunggu untuk mengazab mereka. Maka dia akan nampak azab yang dulu dia tidak percaya adanya azab itu. Sekarang sudah nampak benar-benar di hadapan mata.

Allah ‎ﷻ membalas dengan penuh apa yang sepatutnya untuk mereka. Kalau Allah ‎ﷻ cakap begitu, memang maksudnya nerakalah balasan untuk mereka. Ini kerana mereka memang patut mendapat neraka. Kalau dibandingkan dalam ayat sebelum ini, kepada mereka yang beriman, Allah ‎ﷻ akan berikan balasan tambahan yang berlebih-lebih. Tapi kepada orang kafir, mereka akan mendapat balasan yang patut. Iaitu tidaklah Allah tambah azab itu melainkan apa yang mereka patut dapat sahaja.

 

وَاللهُ سَريعُ الحِسابِ

dan Allah adalah sangat cepat perhitungan-Nya.

Dan nanti apabila Allah ‎ﷻ membuka Mahkamah Pengadilan di akhirat kelak, Dia akan cepat sahaja membuat keputusan.


 

Ayat 40: Ini pula adalah jenis orang ketiga. Sudahlah mereka kafir, mereka jahat pula. Kerana ada orang bukan Islam yang tidak jahat. Seperti di dalam ayat sebelum ini disebut tentang orang kafir yang membuat kebaikan.

Ayat ini pula adalah orang kafir yang jahat, busuk hatinya. Seperti Firaun.

أَو كَظُلُمٰتٍ في بَحرٍ لُّجِّيٍّ يَغشٰهُ مَوجٌ مِّن فَوقِهِ مَوجٌ مِّن فَوقِهِ سَحابٌ ۚ ظُلُمٰتٌ بَعضُها فَوقَ بَعضٍ إِذا أَخرَجَ يَدَهُ لَم يَكَد يَرىٰها ۗ وَمَن لَّم يَجعَلِ اللهُ لَهُ نورًا فَما لَهُ مِن نّورٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or [they are] like darknesses within an unfathomable sea which is covered by waves, upon which are waves, over which are clouds – darknesses, some of them upon others. When one puts out his hand [therein], he can hardly see it. And he to whom Allāh has not granted light – for him there is no light.

(MELAYU)

Atau seperti gelap gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak, yang di atasnya ombak (pula), di atasnya (lagi) awan; gelap gelita yang tindih-bertindih, apabila dia mengeluarkan tangannya, tiadalah dia dapat melihatnya, (dan) barangsiapa yang tiada diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah tiadalah dia mempunyai cahaya sedikit pun.

 

أَو كَظُلُمٰتٍ في بَحرٍ لُّجِّيٍّ

Atau seperti gelap gelita di lautan yang dalam,

Allah ‎ﷻ menyuruh kita bayangkan kegelapan di lautan yang luas. Lautan itu sangat luas sampaikan tidak ada harapan untuk nampak daratan. Bayangkan seseorang berada di dalam kapal dan dia sudah lama mencari-cari tanah daratan tetapi tidak dijumpainya. Keadaan pula gelap di waktu itu.

Dan dia bukan berada di bahagian atas laut, tapi di dalam laut yang amat dalam itu. Tentunya tidak ada cahaya kalau di dalam laut dalam.

Perumpamaan ini adalah untuk orang kafir yang tidak mempunyai nur kerana dalaman mereka yang gelap. Ini berbeza dengan kafir yang mempunyai hati yang baik seperti dibincangkan di dalam Ayat Nur sebelum ini.

 

يَغشٰهُ مَوجٌ مِّن فَوقِهِ مَوجٌ

yang diliputi oleh ombak, yang di atasnya ombak (pula),

Pada waktu itu juga, lautan turut bergelora dengan datangnya pukulan ombak. Bayangkan seseorang dalam lautan luas dan dalam dan ombak memukulnya. Tentu sahaja dia hampir lemas.

Dan kemudian datang ombak lagi. Dia memang sudah di dalam lautan dan datang pula ombak lagi ke atasnya. Jadi ini bukanlah laut yang biasa tetapi laut yang bergelombang. Maknanya, di dalam laut itu pun ada ombak juga, bukannya ombak di atas sahaja. Oleh kerana itu, kalau sesiapa terjatuh di dalamnya, memang amat tipis harapannya untuk selamat.

Ini adalah salah satu mukjizat Qur’an. Zaman sekarang sudah kita dapat tahu yang ombak laut bukan di atas laut sahaja, tetapi ada juga di dalam laut. Boleh baca di http://www.miracles-of-quran.com/internal_waves.htm untuk penerangan lebih lanjut tentang fenomena ini.

 

مِّن فَوقِهِ سَحابٌ

di atasnya (lagi) awan; 

Di atasnya terdapat awan gelap pula. Awan yang teramat gelap, maka tiada cahaya bulan dapat menembusinya. Allah ‎ﷻ inginkan kita membayangkan keadaan yang sangat gelap.

 

ظُلُمٰتٌ بَعضُها فَوقَ بَعضٍ

gelap gelita yang tindih-bertindih, 

Gelap atas gelap. Untuk orang mukmin, mereka mendapat ‘cahaya atas cahaya’. Tetapi mereka ini terbalik pula – gelap atas gelap. Sudahlah mereka tidak mendapat cahaya wahyu, dalam diri mereka potensi roh pun sudah tidak ada kerana telah lama digelapkan oleh dosa-dosa mereka. Seperti yang kita tahu, dosa akan menyebabkan hati menjadi gelap.

 

إِذا أَخرَجَ يَدَهُ لَم يَكَد يَرىٰها

apabila dia mengeluarkan tangannya, tiadalah dia dapat melihatnya, 

Allah ‎ﷻ memberikan perumpamaan betapa gelap sangat keadaan ketika itu. Sehinggakan kalau dia mengeluarkan tangannya pun dia tidak dapat melihatnya. Kalau kita sekarang keluarkan tangan kita di malam hari, masih nampak lagi, bukan? Ini adalah kerana masih ada cahaya lagi di sekeliling kita walaupun malam.

Tetapi apabila keadaan persekitaran terlalu gelap, tangan sendiri pun tidak akan nampak. Begitulah keadaan di lautan yang dalam. Cahaya tidak dapat tembus sampai ke dalam laut dan kerana itu langsung tidak ada cahaya. Ini juga satu mukjizat Qur’an. Bagaimana mungkin Nabi tahu tentang fenomena ini kerana tidak ada manusia zaman itu yang menyelam ke dasar laut lagi?

Ini memberi isyarat yang apabila seseorang berbuat jahat, dia tidak sangka pun yang perbuatannya itu salah. Tengok tangan sendiri pun tidak nampak bermaksud dia sendiri tidak nampak kesalahan yang dilakukannya. Ini adalah kerana tidak ada nur dari Allah ‎ﷻ maka dia pun tidak tahu sama ada amalan yang dilakukannya itu benar ataupun tidak. Mereka akan buat amalan yang tidak dipandu akal lagi tapi dipandu nafsu.

 

وَمَن لَّم يَجعَلِ اللهُ لَهُ نورًا فَما لَهُ مِن نّورٍ

barangsiapa yang tiada diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah tiadalah dia mempunyai cahaya sedikit pun.

Kalau Allah ‎ﷻ tidak memberikan cahaya kepada sesiapa, maka orang itu memang tidak akan mendapat cahaya. Tidak ada manusia yang mampu memberikan cahaya, hanya Allah ‎ﷻ sahaja, bukan?

Maka kalau tidak berbaik dengan Allah ‎ﷻ dengan merapatkan diri dengan Qur’an, maka tidak ada harapan untuk mendapat cahaya itu. Maka kenalah selalu berhubung dengan Qur’an kerana itulah cara untuk mendapatkan cahaya.

Habis Ruku’ 5 dari 9 ruku’ di dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 28 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah an-Nur Ayat 37 – 40 (Perniagaan dan jual-beli)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s