Tafsir Surah Muhammad Ayat 12 – 15 (Jenis-jenis sungai di syurga)

Ayat 12: Ini adalah ayat Tabshir Ukhrawi. Apabila sesuatu yang melibatkan peperangan, menyabung nyawa, pasti memang ada yang takut akan mati. Ini kerana naluri manusia memang sayangkan nyawa mereka. Maka, kalau ada perasaan sebegitu, orang itu mesti mengaji tafsir Al-Qur’an. Perkara ini memang disentuh dalam ayat-ayat Al-Qur’an.

Mereka yang takut akan mati itu adalah kerana mereka jahil. Apabila mereka jahil tentang wahyu, maka mereka tidak yakin dengan janji Allah ﷻ yang banyak diberikan dengan jelas dalam Al-Qur’an. Maka mereka mestilah belajar lagi sampai mereka yakin dengan janji Allah ﷻ tentang kelebihan jihad qital itu.

Maka dalam ayat ini, Allah ﷻ memberitahu tentang syurga untuk memberi motivasi kepada mujahideen. Balasan bagi mereka yang beriman dan berjihad adalah syurga dan balasan bagi mereka yang engkar adalah neraka.

إِنَّ اللهَ يُدخِلُ الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ جَنّاتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهارُ ۖ وَالَّذينَ كَفَروا يَتَمَتَّعونَ وَيَأكُلونَ كَما تَأكُلُ الأَنعامُ وَالنّارُ مَثوًى لَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, Allāh will admit those who have believed and done righteous deeds to gardens beneath which rivers flow, but those who disbelieve enjoy themselves and eat as grazing livestock eat, and the Fire will be a residence for them.

(MELAYU)

Sesungguhnya Allah memasukkan orang-orang mukmin dan beramal soleh ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Dan orang-orang kafir bersenang-senang (di dunia) dan mereka makan seperti makannya binatang. Dan jahannam adalah tempat tinggal mereka.

 

إِنَّ اللهَ يُدخِلُ الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ جَنّاتٍ

Sesungguhnya Allah memasukkan orang-orang mukmin dan beramal soleh ke dalam jannah

Allah ﷻ akan memasukkan orang beriman dan beramal soleh ke dalam syurga. Iman yang dimaksudkan itu mestilah ‘iman yang sempurna’ iaitu tiada syirik. Kerana kalau iman biasa sahaja, tetapi ada fahaman syirik, maka tidak akan dapat masuk ke dalam syurga. Perkara ini telah dijelaskan dalam banyak ayat di dalam Al-Qur’an.

Juga amalan itu mestilah amalan yang soleh, bukan amalan bidaah. Orang kita ramai yang melakukan amal ibadat, tetapi malangnya amalan mereka itu kebanyakannya adalah amalan bidaah sahaja. Kita hendaklah ingat yang amalan bidaah tidak ada pahala, cuma dapat dosa sahaja. Ramai pula yang salah dengan maksud ‘Bidaah Hasanah’, maka mestilah belajar agama lagi untuk faham. Mesti belajar ikut cara Sunnah pula dan bezakan dengan amalan kebiasaan masyarakat setempat.

Allah ﷻ memberi semangat kepada mereka yang takut-takut untuk berjihad, hendaklah ingat yang balasan bagi iman sempurna dan amalan soleh termasuk jihad fi sabilillah adalah syurga. Kemudian Allah ﷻ jelaskan apakah yang ada dalam syurga itu:

 

تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهارُ

yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.

Syurga itu amat hebat. Sebenarnya tidak dapat digambarkan kerana terlalu hebat dan tidak ada bandingan dengan apa yang ada dalam alam dunia sekarang. Tetapi Allah ﷻ beri isyarat sahaja sebagai motivasi kepada pembaca Al-Qur’an dan kepada golongan mujahideen.

Allah ﷻ beritahu kehebatan syurga itu sampai ada air sungai yang mengalir di bawah istana penghuni syurga. Ini adalah amat hebat kerana jarang ada rumah yang mempunyai sungai di bawah rumahnya. Sumber air memang menjadi kesukaan semua manusia. Kalau kawasan rumah berdekatan dengan air, sama ada air kolam, air terjun, air laut, tasik dan sebagainya, itu adalah kawasan perumahan yang mahal.

Seperti yang kita ketahui, di Madinah itu pada zaman Nabi ﷺ, ada golongan Muhajirin dan Ansar. Golongan Muhajirin itu adalah pendatang (dari Mekah) tetapi mereka diberikan dengan bantuan yang baik (dari golongan Ansar). Golongan Ansar sampai sanggup berkongsi apa sahaja yang mereka ada untuk diberikan kepada sahabat mereka daripada kalangan Muhajirin.

Ini adalah sesuatu yang hebat kerana bayangkan kalau pendatang asing di negara lain sekarang – mereka diletakkan dalam kawasan khemah, kawasan ghetto dan penduduk asal tidak suka serta marah kepada mereka. Kerana mereka lihat pendatang asing itu selalunya mengambil kerja-kerja mereka dan menghabiskan sumber negara sahabat.

Tetapi, lihat bagaimana Nabi ﷺ berjaya menjadikan golongan Ansar dan Muhajirin itu bersaudara sampaikan golongan Ansar sanggup berkongsi apa sahaja yang mereka ada (harta dan tempat tinggal, malah ada yang menceraikan isteri mereka untuk dikahwinkan dengan saudara mereka dari Mekah itu).

Jadi, kita menceritakan hal ini kerana hendak memberitahu yang kedua-dua puak tidaklah kaya dan hidup dengan senang. Mereka hidup dengan serba kekurangan – lihatlah kisah mereka membawa apa semasa perang Badr. Mereka tidak ada kelengkapan perang, kerana mereka itu kebanyakannya hanya petani sahaja. Pakaian mereka juga tidak cukup. Kehidupan mereka amat susah dan serba kekurangan.

Maka, Allah ﷻ berikan perjanjian balasan yang amat nikmat sekali. Ini memberi semangat kepada mereka. Walaupun mereka hidup susah di dunia, tetapi mereka akan dapat kehebatan di akhirat kelak apabila mereka masuk ke dalam syurga. Biarlah susah di dunia, asalkan senang di akhirat. Itulah cita-cita kita.

 

وَالَّذينَ كَفَروا يَتَمَتَّعونَ

Dan orang-orang kafir bersenang-senang

Sekarang Allah ﷻ bandingkan dengan orang-orang kafir juga. Orang kafir itu memang ada yang kaya-raya dan sedang menikmati kehidupan yang baik. Tetapi, mereka hanya berseronok di atas dunia sahaja. Tujuan hidup mereka adalah untuk puaskan hawa nafsu mereka sahaja.

Mereka tidak terfikir tentang akhirat. Mereka hendak berterusan hidup dalam kesenangan semasa mereka hidup di dunia ini. Kerana mereka hanya memikirkan dunia sahaja, maka segala kehidupan mereka adalah untuk memuaskan nafsu sahaja. Mereka kaya juga kerana seluruh kehidupan dan usaha mereka ditumpukan kepada menambah harta; dan kerana mereka tidak takut kepada akhirat, mereka sanggup melanggar apa sahaja syariat untuk mendapat kekayaan itu. Sebab itu mereka kaya raya.

 

وَيَأكُلونَ كَما تَأكُلُ الأَنعامُ

dan mereka makan seperti makannya binatang.

Mereka hendak puaskan nafsu mereka sampai cara mereka makan juga sudah seperti binatang makan. Mereka kunyah dan kunyah serta tidak ada adab langsung dalam cara mereka makan. Orang Islam juga ada makan dan puaskan hawa nafsu mereka, tetapi dengan cara yang halal dan baik. Memang orang mukmin makan juga, tetapi tidaklah seperti binatang.

Dan orang kafir itu, mereka tidak kisah tentang makanan – mereka makan apa yang mereka boleh makan. Mereka sudah tidak kisah halal atau haram, baik atau buruk, orang punya atau mereka punya. Kerana itu Allah ﷻ bandingkan mereka dengan binatang. Kerana mereka tidak kisah apa yang mereka hendak makan.

Bukankah binatang itu makan sahaja apa yang ada di depan mata mereka? Allah ﷻ hendak beritahu kita yang orang kafir itu ikut nafsu sahaja – mereka menjalani kehidupan hedonistik (puaskan nafsu sahaja, bergembira sahaja). Maka, kita janganlah bersikap begitu.

Biarkan mereka kerana itu sahaja yang mereka ada (mereka hanya ada dunia). Mereka itu seperti binatang yang makan untuk dirinya sendiri dan tidak kisah berkenaan orang lain serta mereka juga tidak kisah untuk masa hadapan. Binatang yang hanya lihat tentang makanan sahaja itu, tidak sedar yang ia diberikan dengan makanan yang banyak itu bukanlah untuk mengenyangkan ia. Tetapi, kerana hendak menggemukkan ia dan apabila sudah gemuk nanti , ia akan disembelih.

Maka, janganlah kita hidup di dunia ini untuk makan dan memuaskan kehendak nafsu kita sahaja. Telah disebutkan dalam hadith sahih melalui sabda Rasulullah ﷺ yang mengatakan:

“الْمُؤْمِنُ يَأْكُلُ فِي مِعيّ وَاحِدٍ، وَالْكَافِرُ يَأْكُلُ فِي سَبْعَةِ أَمْعَاءٍ”

Orang yang mukmin makan dengan satu perut, sedangkan orang kafir makan dengan tujuh perut. [Sahih Muslim no. 3841]

 

وَالنّارُ مَثوًى لَهُم

Dan jahannam adalah tempat tinggal mereka.

Oleh kerana perangai mereka seperti binatang dan mereka tidak memikirkan tentang kehidupan di akhirat kelak, maka mereka akan dimasukkan ke dalam api neraka. Mereka tidak akan pergi ke tempat lain. Mereka juga akan tinggal dalam kadar yang lama dalam neraka itu.


 

Ayat 13: Ayat takhwif duniawi dan tasliah kepada Nabi ﷺ. Ini adalah kerana Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم telah dihalau keluar dari Mekah. Puak Musyrikin Mekah telah melakukan keganasan dan penindasan sampaikan orang mukmin tidak ada jalan penyelesaian melainkan untuk meninggalkan Mekah, iaitu kampung halaman mereka yang mereka amat sayang. Maka Allah ﷻ pujuk mereka dalam ayat ini.

وَكَأَيِّن مِن قَريَةٍ هِيَ أَشَدُّ قُوَّةً مِن قَريَتِكَ الَّتي أَخرَجَتكَ أَهلَكناهُم فَلا ناصِرَ لَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And how many a city was stronger than your city [i.e., Makkah] which drove you out? We destroyed them; and there was no helper for them.

(MELAYU)

Dan betapa banyaknya negeri yang (penduduknya) lebih kuat daripada (penduduk) negerimu (Muhammad) yang telah mengusirmu itu. Kami telah membinasakan mereka, maka tidak ada seorang penolong bagi mereka.

 

وَكَأَيِّن مِن قَريَةٍ هِيَ أَشَدُّ قُوَّةً مِن قَريَتِكَ الَّتي أَخرَجَتكَ

Dan betapa banyaknya negeri yang lebih kuat dari pada negerimu  yang telah mengusirmu itu.

Allah ﷻ mengingatkan bahawa telah banyak kaum yang telah dimusnahkan olehNya kerana penduduk kampung/pekan itu telah melampau terhadap agama dan terhadap Rasul mereka.

Musyrikin Mekah yang menjadi pemuka masyarakat pada zaman Nabi Muhammad ﷺ itu berasa yang mereka sudah hebat. Negeri Mekah itu sememangnya terkenal dan didatangi oleh ramai penduduk Tanah Arab kerana ada Kaabah di situ. Mereka yang menjadi pemimpin masyarakat juga dipandang tinggi oleh orang lain kerana merekalah kononnya ‘penjaga’ Kaabah.

Allah ﷻ hendak memberitahu dalam ayat ini yang Mekah itu dan penduduknya tidaklah sehebat mana. Ramai yang datang kepada mereka itu hanyalah kerana Kaabah ada di situ. Mereka tidak sedar atau lupa bagaimana ada kaum-kaum dan tempat-tempat lain yang lebih hebat daripada mereka, tetapi dimusnahkan juga oleh Allah ﷻ.

Mereka bukan sangat hebat, tetapi mereka sanggup mengeluarkan Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat kerana Nabi ﷺ membawa ajaran tauhid. Mereka sanggup menidakkan hak penduduk Mekah sendiri untuk beramal dengan agama yang benar. Sedangkan, mereka membenarkan berjenis-jenis orang datang ke Mekah dan tawaf di Kaabah.

Tetapi apabila penduduk asal mereka sendiri yang hendak mengamalkan agama pilihan mereka, dan agama itu sendiri juga adalah agama yang benar, mereka tindas para sahabat mukmin itu sampaikan mereka terpaksa melarikan diri ke tempat lain. Ini adalah satu kekejaman dan sebab inilah yang menyebabkan Muslim boleh serang orang Musyrikin Mekah. Kerana mereka ada hak untuk mempertahankan hak mereka dan mengambil hak mereka kembali.

Bayangkan betapa sedihnya para sahabat dan Nabi ﷺ sendiri kerana terpaksa meninggalkan kampung halaman tercinta.

قَالَ ابْنُ أَبِي حَاتِمٍ: ذَكَرَ أَبِي، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَبْدِ الْأَعْلَى، عَنِ الْمُعْتَمِرُ بْنُ سُلَيْمَانَ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ حَنَش ، عَنْ عِكْرِمَةَ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمَّا خَرَجَ مِنْ مَكَّةَ إِلَى الْغَارِ أُرَاهُ قَالَ: الْتَفَتَ إِلَى مَكَّةَ -وَقَالَ: “أَنْتِ أَحَبُّ بِلَادِ اللَّهِ إِلَى اللَّهِ، وَأَنْتِ أَحَبُّ بِلَادِ اللَّهِ إِلَيَّ، وَلَوْ أَنَّ الْمُشْرِكِينَ لَمْ يُخْرِجُونِي لَمْ أَخْرُجْ مِنْكِ”

Ibnu Abu Hatim mengatakan bahawa ayahnya telah meriwayatkan dari Muhammad ibnu Abdul Ala, dari Al-Mu’tamir ibnu Sulaiman, dari ayahnya, dari Hanasy, dari Ikrimah, dari Ibnu Abbas, bahawa Nabi ﷺ ketika keluar dari Mekah menuju ke gua tempat persembunyiannya. Ketika sampai di gua itu baginda menoleh ke arah Mekah, lalu berkata: Sesungguhnya engkau adalah negeri Allah yang paling disukai oleh-Nya, dan engkau adalah negeri Allah yang paling aku sukai; seandainya orang-orang musyrik itu (penduduknya) tidak mengusirku, aku tidak akan keluar meninggalkanmu. [Ibnu Jarir ath-Thabari dalam Tafsirnya 26/48 dan Ibnu Katsir dalam Tafsirnya 4/176 dari Qatadah dan Ibnu Abbas رضي الله عنهم. Disahihkan oleh al-Qurtubi di dalam Tafsirnya 19/258]

 

أَهلَكناهُم فَلا ناصِرَ لَهُم

Kami telah membinasakan mereka, maka tidak ada seorang penolong pun bagi mereka.

Daerah-daerah lain yang lebih hebat dari Mekah itu juga telah pernah dihancurkan oleh Allah ﷻ. Mereka dimusnahkan dan tidak ada sesiapa yang boleh bantu mereka dan menyelamatkan mereka. Allah ﷻ hendak ingatkan kepada Musyrikin Mekah yang degil sangat itu – janganlah terlalu berlagak dengan kedudukan dan sokongan yang mereka ada. Itu semua tidak berguna langsung apabila Allah ﷻ lakukan keputusan untuk menghancurkan mereka nanti. Mereka sahaja yang merasakan diri mereka kuat dan banyak penyokong. Tetapi sampai masanya nanti, Allah ﷻ akan musnahkan dan jatuhkan mereka.

Ini juga adalah tasliah kepada Nabi Muhammad ﷺ. Baginda tetap selamat dan tidak kisah apakah yang orang kafir itu lakukan terhadap baginda. Allah ﷻ pasti akan beri keselamatan dan kejayaan kepada baginda.


 

Ayat 14: Selepas disebut dengan sifat orang mukmin dan sifat orang kufur itu, maka Allah ﷻ bandingkan keadaan orang beriman dan orang-orang yang kufur.

أَفَمَن كانَ عَلىٰ بَيِّنَةٍ مِن رَبِّهِ كَمَن زُيِّنَ لَهُ سوءُ عَمَلِهِ وَاتَّبَعوا أَهواءَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So is he who is on clear evidence from his Lord like him to whom the evil of his work has been made attractive and they follow their [own] desires?

(MELAYU)

Maka apakah orang yang berpegang pada keterangan yang datang dari Rabbnya sama dengan orang yang (syaitan) menjadikan dia memandang baik perbuatannya yang buruk itu dan mengikuti hawa nafsunya?

 

أَفَمَن كانَ عَلىٰ بَيِّنَةٍ مِن رَبِّهِ

Maka apakah orang yang berpegang pada keterangan yang datang dari Rabbnya

Orang beriman adalah mereka yang berpegang dengan ‘bayyinah’, iaitu berpegang kepada keterangan dari wahyu dan keyakinan yang Allah ﷻ campakkan ke dalam hati mereka. Ini diterangkan dengan panjang lebar dalam Surah Bayyinah. Tentunya yang pertama sekali adalah Rasulullah ﷺ sendiri.

Wahyu itu dari Allah ﷻ dan kerana itu kita kena ikut dengan sepenuhnya. Begitu juga dengan fitrah yang telah ada dalam diri manusia. Itu juga dari Allah ﷻ. Orang yang beriman dan beramal dengan amalan yang soleh, mereka akan berasa tenang sahaja dengan diri mereka – ini adalah kerana mereka telah sama dengan fitrah yang berada dalam hati mereka itu. Kerana, kalau ianya adalah berlawanan yang menyebabkan hati tidak tenang.

Kerana itu selalu kita mendengar bagaimana orang yang asalnya lahir dalam keluarga kufur tetapi telah masuk Islam – mereka katakan yang hati mereka sangat tenang. Ini adalah kerana, mereka telah ada persamaan antara amalan luaran dan kehendak dalaman mereka.

 

كَمَن زُيِّنَ لَهُ سوءُ عَمَلِهِ

sama dengan orang yang (syaitan) menjadikan dia memandang baik perbuatannya yang buruk itu

Adakah sama seorang yang di atas kebenaran dengan seorang yang dicantikkan amalan buruk mereka? Siapakah yang mencantikkan amalan mereka itu? Yang mencantikkan amalan mereka itu adalah syaitan yang duduk dengan mereka.

Amalan mereka itu buruk, tetapi syaitan membisikkan kepada mereka yang amalan mereka itu baik-baik. Ini sama juga dengan amalan syirik dan amalan bidaah yang banyak diamalkan oleh masyarakat kita sekarang. Amalan itu buruk, tetapi kerana mereka jauh dari wahyu Allah ﷻ, tidak belajar wahyu Allah ﷻ, tidak belajar tafsir Al-Qur’an, jadi mereka memang senang ditipu oleh syaitan.

Maka, Allah ﷻ bertanya: adakah yang beramal atas bayyinah itu sama dengan orang yang beramal dengan amalan yang dicantikkan sahaja oleh syaitan? Tentu tidak sama.

Begitulah Musyrikin Mekah menyangka yang mereka lakukan benda yang baik. Syaitan cantikkan dengan mengaburi mata mereka. Benda yang buruk, mereka nampak baik dan mereka sahaja yang perasan amalan mereka itu baik. Sebenarnya mereka telah tertipu. Mereka menyangka kerana mereka itu penjaga Kaabah dan mereka keturunan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail عليهما السلام, maka tentu amalan mereka itu benar.

Sedangkan, amalan syirik dan maksiat mereka itu adalah hasil dari bisikan syaitan. Syaitan yang mengajar mereka dengan membisikkan kepada mereka amalan-amalan syirik. Oleh kerana mereka jauh dari agama, maka mereka nampak maksiat yang mereka lakukan itu sebagai kebaikan.

Mereka juga pandang kehidupan dunia itulah yang semata-mata kehidupan yang sebenar. Mereka tidak hiraukan tentang akhirat kerana syaitan telah hilangkan ilmu akhirat daripada mereka. Kerana itu mereka amat pelik apabila Nabi Muhammad ﷺ mengatakan yang akan ada Hari Kiamat dan kebangkitan semula di akhirat kelak. Juga ada syurga dan neraka. Syaitan telah hilangkan ilmu itu daripada mereka supaya senang syaitan hendak mengajak dan mendorong melakukan perkara yang salah.

 

وَاتَّبَعوا أَهواءَهُم

dan mengikuti hawa nafsu mereka?

Oleh itu, ajaran salah selalunya daripada syaitan, tetapi kadang-kadang ia datang daripada diri sendiri. Ini adalah kerana dia fikir sendiri tanpa ilmu. Atau ia boleh jadi dari ajakan manusia lain. Tidak kisah dari mana, tetapi yang penting, ia tidak datang dari wahyu.

Ubatnya adalah mesti belajar ilmu wahyu. Mesti belajar tafsir Al-Qur’an dan syarah hadis. Malangnya, masyarakat kita amat jauh dari ilmu wahyu dan mereka tidak kisah tentang agama. Mereka tidak kisah tentang Al-Qur’an, tetapi yang diagungkan adalah kata-kata ulama’ dan kata-kata ustaz sahaja. Sedangkan kata-kata ulama’ itu mestilah disandarkan kepada ayat-ayat Al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi ﷺ, barulah boleh ditapis. Kalau setakat kata-kata ulama’ sahaja, adakah kepastian yang ianya benar dan sahih?

Mereka yang sebegitu adalah mengikut nafsu mereka sahaja. Apabila sesuatu pendapat itu tidak disandarkan atas dalil yang sah, maka ianya adalah bersandarkan dalil hawa nafsu mereka sahaja. Mereka sanggup gunakan kerana mereka tidak ada dalil asas dari ilmu wahyu. Kita mestilah sedar yang hawa nafsu adalah lawan kepada wahyu.

Jadi, ayat ini memberi soalan: Adakah sama dua jenis orang itu? Maka, sudah tentu dua contoh ini tidak sama. Jadi, kita mesti letak diri kita di mana? Kita hendak duduk di kumpulan yang menggunakan dalil atau kumpulan yang tidak menggunakan dalil, tetapi  hanya mengikut hawa nafsu mereka sahaja? Fikir-fikirkan.


 

Ayat 15: Jadi, kita sudah tahu yang dua kumpulan itu tidak sama – Jadi, apabila tidak sama, maka natijah di akhirat juga tidak sama, di mana orang yang beriman dan beramal soleh ada di masukkan ke dalam syurga. Dan sekarang Allah ﷻ akan sebut tentang syurga. Inilah natijah kepada mereka yang belajar ilmu wahyu dan mengamalkan wahyu yang dipelajarinya.

Kemudian disebut juga natijah kepada orang yang beramal mengikut hawa nafsunya. Tempat mereka tentunya di neraka.

مَثَلُ الجَنَّةِ الَّتي وُعِدَ المُتَّقونَ ۖ فيها أَنهارٌ مِن ماءٍ غَيرِ آسِنٍ وَأَنهارٌ مِن لَبَنٍ لَم يَتَغَيَّر طَعمُهُ وَأَنهارٌ مِن خَمرٍ لَذَّةٍ لِلشّارِبينَ وَأَنهارٌ مِن عَسَلٍ مُصَفًّى ۖ وَلَهُم فيها مِن كُلِّ الثَّمَراتِ وَمَغفِرَةٌ مِن رَبِّهِم ۖ كَمَن هُوَ خالِدٌ فِي النّارِ وَسُقوا ماءً حَميمًا فَقَطَّعَ أَمعاءَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Is the description of Paradise, which the righteous are promised, wherein are rivers of water unaltered,¹ rivers of milk the taste of which never changes, rivers of wine delicious to those who drink, and rivers of purified honey, in which they will have from all [kinds of] fruits and forgiveness from their Lord… [Are its inhabitants] like those who abide eternally in the Fire and are given to drink scalding water that will sever their intestines?

•In taste or smell, neither stagnant nor polluted.

(MELAYU)

(Apakah) perumpamaan (penghuni) jannah yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa yang di dalamnya ada sungai-sungai dari air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai dari air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai dari khamr yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai dari madu yang disaring; dan mereka memperoleh di dalamnya segala macam buah-buahan dan keampunan dari Rabb mereka, sama dengan orang yang kekal dalam jahannam dan diberi minuman dengan air yang mendidih sehingga memotong ususnya?

 

مَثَلُ الجَنَّةِ الَّتي وُعِدَ المُتَّقونَ

(Apakah) perumpamaan (penghuni) jannah yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa

Allah ﷻ akan beri perumpamaan syurga yang dijanjikan. Kalimah الجَنَّةِ dari segi bahasa asal bermaksud ‘kebun’. Ia adalah satu tempat yang amat menenangkan, dengan segala kehijauan dan kedamaian cuaca dan suasana. Kenapa Allah ﷻ menggunakan ‘kebun’ dan ‘taman’ sebagai perumpamaan? Kerana ini memang kehendak manusia. Lumrah diri manusia yang memang sukakan tanaman dan kehijauan.

Kalau ada yang kata mereka tidak suka, itu adalah kerana mereka mungkin masih muda lagi. Kalau tidak percaya, tunggu apabila sudah tua sedikit, baru timbul perasaan suka kepada tanaman menghijau dan tempat tumbuh-tumbuhan yang menenangkan. Sebab itu orang kita kalau sudah pencen, mereka suka balik kampung supaya senang bercucuk tanam. Juga kalau kita lihat tempat tinggal yang mahal-mahal, ada tanaman menghijau kerana memang naluri manusia suka kepada kehijauan.

 

فيها أَنهارٌ مِن ماءٍ غَيرِ آسِنٍ

yang di dalamnya ada sungai-sungai dari air yang tiada berubah rasa

Orang-orang Arab mengatakan terhadap air yang berubah baunya dengan sebutan asin. Di dalam hadith yang marfu’ yang diketengahkan oleh Ibnu Abu Hatim, gairu asin ertinya yang jernih dan tidak keruh. Kita memang suka air yang sebegini sampaikan sekarang juga sudah banyak produk penapis air di dalam pasaran.

Bukan sahaja duduk di dalam taman dan kebun, tetapi ada banyak sungai pula. Sungai-sungai itu bukan seperti sungai di dunia kerana sungai-sungai di syurga, ianya adalah sungai yang indah dan tidak akan menjadi busuk. Sungai-sungai itu tidak pernah berubah dari segi bau, rasa dan warnanya juga tidak berubah. Jadi, ianya adalah sungguh bersih. Tidaklah sama seperti sungai yang di dunia sekarang – kadang-kadang macam-macam yang dibuang di dalamnya sampaikan tidak terjaga dan ia menjadi amat kotor.

 

وَأَنهارٌ مِن لَبَنٍ لَم يَتَغَيَّر طَعمُهُ

dan sungai-sungai dari air susu yang tidak berubah rasanya,

Dan sungai-sungai di syurga itu adalah sungai yang hebat – ianya bukan sungai biasa. Sekarang, Allah ﷻ beritahu yang Dia boleh jadikan sungai dari susu, bukan dari air. Susu itu juga bukan seperti susu di dunia kerana di dalam sebuah hadith marfu’ disebutkan:

“لَمْ يَخْرُجْ مِنْ ضُرُوع الْمَاشِيَةِ”.

Tidak dikeluarkan dari tetek haiwan ternak.

Dan susu itu pula tidak sama dengan susu yang ada di dunia. Kerana susu itu tidak pernah rosak dan ia tidak akan menjadi kenyal. Rasanya akan sama sahaja, dan tidak akan menjadi masam. Kerana kalau susu di dunia, ia tidak tahan lama. Tidak lama selepas diperah, kalau tidak masuk ke dalam peti ais, ia akan menjadi masam dan lama-kelamaan akan menjadi kenyal serta tidak boleh diminum lagi.

 

وَأَنهارٌ مِن خَمرٍ لَذَّةٍ لِلشّارِبينَ

sungai-sungai dari khamr yang lazat rasanya bagi peminumnya

Dan satu lagi sungai yang Allah ﷻ cipta adalah sungai dari arak. Arak itu pula amat lazat. Arak itu tidak sama dengan arak di dunia sekarang ini kerana arak yang diminum oleh manusia sekarang adalah masam sebenarnya. Walaupun ia tidak sedap (masam), tetapi orang minum juga arak itu kerana lama-lama apabila sudah terbiasa minum, barulah rasa itu boleh diterima.

Arak di dunia ini kalau tidak kerana manusia minum sebab hendak mabuk, mereka juga tidak akan minum. Kerana memang rasanya tidak sedap. Manusia minum sebab hendak rasa mabuk sahaja. Jadi, sungai arak itu lain dengan arak yang ada di dunia kerana arak yang ada di syurga amat lazat dan tidak pernah dirasai sebelum ini. Jadi, jangan kita sangkakan yang ia adalah arak yang sama seperti sekarang diminum oleh manusia.

Juga tidaklah arak itu sama dengan arak di dunia kerana di dalam hadith Marfu’ disebutkan:

“لَمْ تَعْصُرْهَا الرِّجَالُ بِأَقْدَامِهَا”.

Tidak diperas dengan kaki-kaki kaum lelaki.

Tetapi, arak itu tidaklah memabukkan peminumnya seperti arak di dunia seperti yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{لَا فِيهَا غَوْلٌ وَلا هُمْ عَنْهَا يُنزفُونَ}

Tidak ada dalam khamr itu alkohol dan mereka tiada mabuk kerana (meminum)nya. (Ash-Shaffat: 47)

{لَا يُصَدَّعُونَ عَنْهَا وَلا يُنزفُونَ}

mereka tidak pening kerananya dan tidak pula mabuk (Al-Waqi’ah: 19)

 

وَأَنهارٌ مِن عَسَلٍ مُصَفًّى

dan sungai-sungai dari madu yang disaring;

Satu lagi adalah sungai dari madu, dan kita diberitahu yang madu itu adalah jenis yang dibersihkan. Ini adalah kerana ianya telah ditapis dan tidak ada habuk langsung. Kalau madu di dunia, tidak ada yang begitu kerana akan ada sahaja elemen lain di dalamnya. Ini adalah kerana, madu dunia duduk di dalam sarang. Jadi, kalau hendak makan, hendaklah tapis  terlebih dahulu.

Madu itu bukanlah yang keluar dari lebah kerana di dalam hadith yang marfu’ disebutkan:

“لَمْ يَخْرُجْ مِنْ بُطُونِ النَّحْلِ”

yang bukan dikeluarkan dari perut lebah.

Maka, di atas adalah penerangan dari Allah ﷻ tentang nikmat dari segi minuman yang Allah ﷻ suruh kita fikir-fikirkan. Susu, arak dan madu yang telah disebut di atas memang  sekarang dijadikan sebagai nikmat di dunia ini. Kerana manusia memang suka kepada air, susu, arak dan madu.

Tetapi, Allah ﷻ jadikan dalam bentuk sungai di syurga nanti. Juga gambaran seperti ini hanya akan berada di syurga sahaja. Kerana, walau kaya macam mana, tidak akan ada orang yang boleh jadikan atau wujudkan sungai madu, susu dan arak. Ianya hanya boleh terjadi di syurga sahaja nanti.

 

وَلَهُم فيها مِن كُلِّ الثَّمَراتِ

dan mereka memperoleh di dalamnya segala macam buah-buahan

Di atas telah disebut tentang nikmat minuman. Sekarang disebut pula nikmat jenis makanan. Di syurga nanti, ahli syurga akan diberi dengan semua jenis buah-buahan. Buah-buahan yang banyak itu tidak bermusim dan tidak dihalang. Ianya tidak seperti buah-buahan yang kita ada di dalam dunia sekarang.

Ini kerana, buah di dunia sekarang bermusim (kalau hendak makan durian, mesti tunggu musim durian baru dapat makan). Juga tidak terhalang, maksudnya tidak memudharatkan kita. Kalau orang sakit, tidak boleh makan durian, kerana ia terdapat kandungan yang membahayakan pesakit.

Buah-buahan itu adalah makanan keinginan manusia. Manusia memang suka makan buah-buahan dan Allah ﷻ telah programkan kecintaan kepada buah-buahan itu dalam diri kita.

 

وَمَغفِرَةٌ مِن رَبِّهِم

dan keampunan dari Rabb mereka,

Di atas telah disebut nikmat jenis jasmani. Iaitu dari segi makanan dan minuman, itu adalah untuk fizikal kita. Jadi sekarang Allah ﷻ sebut nikmat rohani pula. Nikmat rohani yang disebut di dalam ayat ini adalah ampunan dari Allah ﷻ.

Ini adalah sesuatu yang amat disukai oleh kita kerana Allah  ﷻ ampunkan segala kesalahan dan dosa kita. Bayangkan kalau Allah ﷻ yang telah menjadikan kita, suka dan redha kepada kita. Kalau emak ayah kita redha kepada kita juga, kita sudah suka, tambahan pula kalau Allah ﷻ yang menjadikan kita ini redha kepada kita, tentulah kita lagi suka, bukan?

 

كَمَن هُوَ خالِدٌ فِي النّارِ

sama dengan orang yang kekal dalam jahannam

Sekarang Allah ﷻ buat perbandingan supaya kita boleh fikirkan dengan saksama: bolehkah ahli syurga yang telah diberikan dengan nikmat jasmani dan nikmat rohani itu dibandingkan dengan orang yang duduk di dalam neraka? Tentu tidak boleh dan disamakan kerana beza antara kedua mereka itu amat jauh sekali. Lebih jauh dari langit dan bumi.

Ada ahli neraka yang akan kekal di dalam neraka itu kerana mereka telah melakukan syirik kepada Allah ﷻ. Mereka tentu sekali amat berbeza dengan mereka yang duduk di dalam syurga dan natijah ini hanya kerana perbezaan dari segi fahaman dan amalan selama mereka hidup di dunia.

Sebenarnya, kehidupan di dunia itu bukan sangat lama. Kita sahaja yang berasakan lama sekarang – tetapi nanti apabila di akhirat kelak, kita akan rasa kehidupan di dunia ini setakat waktu petang atau waktu senja sahaja kerana lamanya masa di akhirat kelak.

 

وَسُقوا ماءً حَميمًا فَقَطَّعَ أَمعاءَهُم

dan diberi minuman dengan air yang mendidih sehingga memotong ususnya?

Kalau penghuni syurga diberikan dengan air dari sungai, kemudian diberikan dengan sungai dari susu, arak dan madu, apakah minuman yang akan diberikan kepada ahli neraka? Mereka akan diberikan minum air yang sangat panas. Air itu sangat panas sampai memutuskan saraf dan usus mereka apabila mereka minum. Tidak dapat dibayangkan bagaimanakah kepanasan air itu.

Tetapi, kenapa mereka minum juga? Mereka terpaksa minum kerana sudah sangat lama berada di dalam neraka dan berasa amat dahaga hinggakan air panas dan busuk juga mereka sanggup minum. Tetapi, air itu bukan yang menghilangkan dahaga mereka, sebaliknya lebih memberikan kesakitan kepada mereka lagi. Maka, seksaan itu  memang sangat memedihkan. Semoga kita diselamatkan dari keadaan seperti itu. Maka, hendaklah kita membezakan amalan ahli neraka itu dari dalam diri kita.

Kita hendaklah belajar apakah amalan ahli syurga dan apakah amalan ahli neraka. Jangan bersikap tidak kisah, kerana takut kita termasuk dalam golongan ahli neraka pula dalam keadaan tidak sedar. Janganlah hidup di dunia ini untuk mengenyangkan diri sahaja tetapi hendaklah kita memikirkan apakah yang kita akan bawa ke akhirat kelak? Kerana lambat laun, kita pasti akan menghadapinya juga. Janganlah sangka yang kita akan hidup selama-lamanya di dunia ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 4 Ogos 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Muhammad Ayat 12 – 15 (Jenis-jenis sungai di syurga)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s