Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 71 – 75 (Terima kitab dengan tangan kanan)

Ayat 71: Ayat tabshir. Dari ayat ini sehingga ke ayat 77 adalah Perenggan Makro ke 6. Ia berkenaan kegagalan rancangan untuk mengusir Nabi Muhammad.

يَومَ نَدعو كُلَّ أُناسٍ بِإِمامِهِم ۖ فَمَن أوتِيَ كِتابَهُ بِيَمينِهِ فَأُولٰئِكَ يَقرَءونَ كِتابَهُم وَلا يُظلَمونَ فَتيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Mention, O Muḥammad], the Day We will call forth every people with their record [of deeds].¹ Then whoever is given his record in his right hand – those will read their records, and injustice will not be done to them, [even] as much as a thread [inside the date seed].

  • Other meanings are “with their leader” or “with that which they had followed.”

(MELAYU)

(Ingatlah) suatu hari (yang di hari itu) Kami panggil tiap umat dengan pemimpinnya; dan barangsiapa yang diberikan kitab amalannya di tangan kanannya maka mereka ini akan membaca kitabnya itu, dan mereka tidak dianiaya sedikit pun.

 

يَومَ نَدعو كُلَّ أُناسٍ بِإِمامِهِم

(Ingatlah) suatu hari yang Kami panggil tiap umat dengan pemimpinnya;

Allah memberi peringatan kepada kita kepada hari Dia akan memanggil setiap manusia dengan ketua-ketua mereka. Yang dimaksudkan adalah para Rasul masing-masing. Maka kita akan dibangkitkan dengan Nabi Muhammad SAW nanti. Jadi kalau mengikut pendapat ini, sama dengan yang disebutkan oleh Allah Swt. dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَلِكُلِّ أُمَّةٍ رَسُولٌ فَإِذَا جَاءَ رَسُولُهُمْ قُضِيَ بَيْنَهُمْ بِالْقِسْطِ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ}

Tiap-tiap umat mempunyai rasul; maka apabila telah datang rasul mereka, diberikanlah keputusan antara mereka dengan adil dan mereka (sedikit pun) tidak dianiaya. (Yunus: 47)

Dan firman Allah Swt.:

{فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِنْ كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَى هَؤُلاءِ شَهِيدًا}

Maka bagaimanakah (halnya orang kafir nanti), apabila Kami mendatangkan seseorang saksi (rasul) dari tiap-tiap umat dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu (sebagai umatmu). (An-Nisa: 41)

Tafsir kedua, ‘imam’ yang dimaksudkan adalah Kitab Amalan kita. Kerana ia duduk di hadapan kita sebagaimana imam dalam solat juga di depan kita dalam jemaah solat. Hal yang sama telah dikatakan oleh Abul Aliyah, Al-Hasan, Ad-Dahhak; dan pendapat ini juga kuat, kerana dalam ayat yang lain disebutkan:

{وَكُلَّ شَيْءٍ أحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُبِينٍ}

Dan segala sesuatu Kami kumpulkan dalam Kitab Induk yang nyata. (Yasin: 12)

Lihat bagaimana penggunaan kalimah إِمَامٍ yang sama digunakan dalam ayat ini. Tambahan pula sambungan ayat ini tentang kitab amalan pun.

Tafsir ketiga, Ibnu Zaid mengatakan yang dimaksudkan dengan pemimpin mereka ialah kitab mereka yang diturunkan kepada Nabi mereka yang mengandung hukum-hukum syariat, dan pendapat ini dipilih oleh Ibnu Jarir.

Tafsir keempat, dapat juga ditafsirkan makna yang dimaksudkan dengan imamihim ialah setiap kaum berikut akan dibangkitkan dengan orang-orang yang menjadi panutan mereka. Maka ahli imam bermakmum kepada para nabi, dan orang-orang kafir bermakmum kepada pemimpin-pemimpin mereka. Pengertian­nya sama dengan yang disebutkan firman-Nya:

وَجَعَلْناهُمْ أَئِمَّةً يَدْعُونَ إِلَى النَّارِ

Dan Kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang menyeru (manusia) ke neraka. (Al-Qashash: 41)

 

فَمَن أوتِيَ كِتابَهُ بِيَمينِهِ فَأُولٰئِكَ يَقرَءونَ كِتابَهُم

dan barangsiapa yang diberikan kitab amalannya di tangan kanannya maka mereka ini akan membaca kitabnya itu, 

Mereka yang diberi dengan kitab amalan mereka di tangan kanan adalah mereka yang selamat. Mereka akan membaca amalan-amalan mereka sendiri dengan gembira – sebab semua yang mereka buat akan dapat balasan yang baik.

Mereka suka nak baca dan berbangga dan malah mereka akan tunjuk kitab amalan mereka itu kepada orang lain kerana bangganya dengan amalan mereka semasa di dunia. Ini disebutkan oleh firman-Nya dalam ayat lain, iaitu:

{فَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ فَيَقُولُ هَاؤُمُ اقْرَءُوا كِتَابِيَهْ}

Adapun orang-orang yang diberikan kepadanya kitabnya dari sebelah kanannya, maka dia berkata, “Ambillah, bacalah kitabku (ini).” (Al-Haqqah: 19)

Mereka suka bila nampak banyaknya pahala amalan-amalan mereka itu. Mereka sangkakan amalan mereka itu sikit sahaja, tidak susah mana pun, tidak banyak mana pun mereka buat, tapi mereka dapat lihat yang Allah beri pahala yang amat berlipat ganda. Semoga kita tergolong ke dalam kumpulan ini nanti di akhirat.

Sedangkan mereka yang mendapat kitab amalan mereka dari tangan kiri, mereka tidak boleh baca kerana ianya diberi dari belakang mereka dan kalau pun mereka boleh baca mereka tidak mahu membacanya. Dan kemudian dalam ayat lain disebut bagaimana mereka dipaksa untuk baca juga kitab amalan mereka itu.

 

وَلا يُظلَمونَ فَتيلًا

dan mereka tidak dianiaya sedikit pun.

Balasan kepada mereka tidak akan dirugikan langsung walaupun sedikit. Tidak ada amalan baik mereka yang tertinggal dari dibalas oleh Allah. Kalimah فَتيلًا itu bermaksud fiber/bulu/serat halus pada biji tamar – halus sangat tapi Allah akan balas juga perbuatan itu asalkan ia baik.


 

Ayat 72: Takhwif ukhrawi.

وَمَن كانَ في هٰذِهِ أَعمىٰ فَهُوَ فِي الآخِرَةِ أَعمىٰ وَأَضَلُّ سَبيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whoever is blind¹ in this [life] will be blind in the Hereafter and more astray in way.

  • i.e., refusing to see the truth.

(MELAYU)

Dan barangsiapa yang buta (hatinya) di dunia ini, nescaya di akhirat (nanti) dia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar).

 

وَمَن كانَ في هٰذِهِ أَعمىٰ

Dan barangsiapa yang buta (hatinya) di dunia ini,

Kenapa Allah sebut tentang ‘buta’ pula dalam ayat ini? Kerana dalam ayat-ayat sebelum ini Allah telah menceritakan bagaimana betapa banyak jasaNya kepada kita, telah memperjalankan kita di atas bumi dan di atas lautan; dan bagaimana Allah boleh memberi azab kepada kita semua dan kemudian Allah tanya di dalam ayat ini sekarang: apakah kamu buta sampai tidak nampak perkara-perkara itu?

Buta yang dimaksudkan adalah buta hati, bukan buta mata fizikal. Kerana ada orang yang buta mata fizikalnya tapi hatinya hidup, terang dan nampak kebenaran. Dan yang dimaksudkan dengan buta ialah buta terhadap hujah Allah, tanda-tanda kebesaran­Nya, dan keterangan-keterangan dari-Nya.

 

فَهُوَ فِي الآخِرَةِ أَعمىٰ

nescaya di akhirat (nanti) dia akan lebih buta

Allah beritahu, kalau sesiapa buta mata hatinya sampai tidak nampak kebenaran itu semasa dia hidup di dunia, maka dia juga akan menjadi buta di akhirat kelak. Dan buta di akhirat kelak memang buta terus, buta sebenar-benar buta. Lebih teruk lagi dari buta semasa di akhirat. Kita pun tidak tahu bagaimana rupanya.

 

وَأَضَلُّ سَبيلًا

dan lebih tersesat dari jalan

Dan mereka akan menjadi lebih sesat lagi – maksudnya walaupun mereka sudah sesat di dunia ini tetapi mereka akan menjadi lebih sesat di akhirat kelak. Oleh itu, kalau sesat di dunia ini, malah akan lebih sesat di akhirat kelak. Semoga kita terselamat dari perkara itu.


 

Ayat 73: Syikayah dan ayat tentang mukjizat.

وَإِن كادوا لَيَفتِنونَكَ عَنِ الَّذي أَوحَينا إِلَيكَ لِتَفتَرِيَ عَلَينا غَيرَهُ ۖ وَإِذًا لَاتَّخَذوكَ خَليلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, they were about to tempt you away from that which We revealed to you in order to [make] you invent about Us something else; and then they would have taken you as a friend.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya mereka hampir memalingkan kamu dari apa yang telah Kami wahyukan kepadamu, agar kamu membuat yang lain secara bohong terhadap Kami; dan kalau sudah begitu tentulah mereka mengambil kamu jadi sahabat yang setia.

 

وَإِن كادوا لَيَفتِنونَكَ عَنِ الَّذي أَوحَينا إِلَيكَ

Dan sesungguhnya mereka hampir memalingkan kamu dari apa yang telah Kami wahyukan kepadamu,

Allah memberitahu bagaimana Musyrikin Mekah telah datang dan cuba melembutkan hati Nabi Muhammad. Mereka ajak baginda untuk kompromi dengan ayat Qur’an.

Kalimah لَيَفتِنونَكَ dari katadasar ف ت ن yang selalu digunakan untuk bermaksud ‘ujian’. Salah satu dari maksudnya adalah ‘memesongkan dengan apa cara sekali pun’. Musyrikin Mekah itu desak supaya baginda tidak sampaikan wahyu Qur’an lagi kepada masyarakat. Mereka juga takut-takutkan Nabi dengan berbagai ancaman supaya baginda tidak sampaikan wahyu.

Dan akhir sekali, mereka juga pernah minta baginda kompromi – setahun buat amalan tauhid dan setahun buat amalan syirik. Setelah tidak dapat halang sepenuhnya, mereka rasa kalau boleh kompromi tukar-tukar agama selang seli pun tidak mengapa lah.

Allah beritahu yang baginda hampir-hampir terpaling kerana kata-kata mereka, desakan mereka dan ugutan mereka. Baginda pun terkesan juga kerana baginda pun manusia juga.

Tapi kita kena ingat, perkara itu hampir-hampir sahaja berlaku dan tidak terjadi pun. Kerana Allah pasti memelihara apa sahaja yang baginda lakukan terutama tentang perkara agama. Maka ini tidaklah ayat ini merendahkan kedudukan dan martabat Nabi Muhammad kerana baginda tidak ikut pun.

 

لِتَفتَرِيَ عَلَينا غَيرَهُ

agar kamu reka yang lain terhadap Kami;

Yang mereka hendak adalah supaya Rasulullah reka perkataan lain yang serupa wahyu. Jangan berikan wahyu yang asal, tapi berilah cerita-cerita yang lain. Tidak kisah apapun, asalkan bagi boleh pula syirik. Ringkasnya, mereka nak baginda ubahsuai wahyu.

 

وَإِذًا لَاتَّخَذوكَ خَليلًا

dan kalau sudah begitu tentulah mereka mengambil kamu jadi sahabat yang setia.

Dan kalaulah baginda buat seperti apa yang mereka minta itu, mereka pasti akan jadikan baginda sebagai kawan yang rapat. Kerana mereka sudah tidak ada masalah dengan baginda lagi. Dan kerana baginda telah bersetuju dengan mereka. Malah mereka telah pernah tawarkan wanita, harta malah menjadi raja mereka pun kalau baginda berhenti berdakwah.


 

Ayat 74:

وَلَولا أَن ثَبَّتناكَ لَقَد كِدتَّ تَركَنُ إِلَيهِم شَيئًا قَليلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if We had not strengthened you, you would have almost inclined to them a little.

(MELAYU)

Dan kalau Kami tidak memperkuat (hati)mu, nescaya kamu hampir-hampir condong sedikit kepada mereka,

 

وَلَولا أَن ثَبَّتناكَ

Dan kalau Kami tidak memperkuat (hati)mu,

Tapi Allah telah menetapkan hati baginda dari terikut-ikut dengan kata dan pujukan mereka. Dan Allah beritahu kepada baginda yang kalau Allah tidak menetapkan hati baginda, maka baginda berkemungkinan akan mengikuti mereka.

Tetapi tidaklah ikut terus kepada mereka, cuma ‘condong’ sedikit sahaja kepada mereka. Tapi itu pun tidak terjadi kerana Allah telah tetapkan hati baginda.

 

لَقَد كِدتَ تَركَنُ إِلَيهِم شَيئًا قَليلًا

nescaya kamu hampir-hampir condong sedikit kepada mereka,

Jadi Nabi Muhammad tidak cenderung langsung kepada mereka kerana Allah telah memelihara baginda. Dan kalau dilihat kepada bahasa yang digunakan pun ia menunjukkan bahawa baginda hanya كِدتَ (hampir-hampir) dan kalau baginda cenderung pun, ianya قَليلًا sikit saja.

Jadi, susunan ayat dalam ini berlainan dengan pembelaan Allah terhadap Nabi Yusuf. Dalam pembelaan Nabi Yusuf, Allah berfirman yang kalau Allah tidak bantu baginda, memang Nabi Yusuf akan termakan dengan pujukan wanita yang menggodanya itu. Tapi dalam kes Nabi Muhammad ini, Allah beritahu: baginda hanya ada condong sahaja, itu pun sikit sahaja. Ini menunjukkan yang kedudukan Nabi Muhammad itu lebih tinggi dari Nabi Yusuf.


 

Ayat 75: Allah beritahu kalaulah Nabi Muhammad ikut desakan mereka itu.

إِذًا لَأَذَقناكَ ضِعفَ الحَياةِ وَضِعفَ المَماتِ ثُمَّ لا تَجِدُ لَكَ عَلَينا نَصيرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then [if you had], We would have made you taste double [punishment in] life and double [after] death. Then you would not find for yourself against Us a helper.

(MELAYU)

kalau terjadi demikian, benar-benarlah Kami akan rasakan kepadamu (seksaan) berlipat ganda di dunia ini dan begitu (pula seksaan) berlipat ganda sesudah mati, dan kamu tidak akan mendapat seorang penolong pun terhadap Kami.

 

إِذًا لَأَذَقناكَ ضِعفَ الحَياةِ وَضِعفَ المَماتِ

kalau terjadi demikian, benar-benarlah Kami akan rasakan kepadamu (seksaan) berlipat ganda di dunia ini dan begitu (pula seksaan) berlipat ganda sesudah mati,

Sekarang Allah bercakap tentang Nabi Muhammad dan kalaulah Nabi Muhammad melakukan kecenderungan kepada Musyrikin Mekah itu. Kalau baginda cenderung kepada mereka, baginda akan mendapat azab dan azab itu pula berganda. Tidak sama dengan azab yang dikenakan kepada orang lain.

Yang dimaksudkan adalah gandaan azab di dunia dan gandaan azab di akhirat. Tetapi sebagai penghormatan kepada Rasulullah, Allah tidak sebut pun kalimah ‘azab’ itu. Kita kena isi sendiri di tempat kosong. Kerana tidaklah Nabi melakukan kesalahan dosa itu.

Tapi kenapa Allah sampaikan juga? Kerana nak beritahu kepada kita, kalau Nabi pun buat kesilapan, baginda akan dikenakan dengan azab begini. Kalau kita, bagaimana? Tentulah kita pun kena azab juga.

 

ثُمَّ لا تَجِدُ لَكَ عَلَينا نَصيرًا

dan kamu tidak akan mendapat seorang penolong pun terhadap Kami.

Apabila Allah telah mengenakan azab, tidak ada sesiapa yang dapat bantu walau sedikit pun.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 23 April 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 71 – 75 (Terima kitab dengan tangan kanan)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s