Nahl Ayat 32: Tabshir ukhrawi dan Idkhal ilahi – keadaan orang yang beramal dengan wahyu.
الَّذينَ تَتَوَفّٰهُمُ المَلٰٓئِكَةُ طَيِّبينَ ۙ يَقولونَ سَلٰمٌ عَلَيكُمُ ادخُلُوا الجَنَّةَ بِما كُنتُم تَعمَلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
The ones whom the angels take in death, [being] good and pure; [the angels] will say, “Peace be upon you. Enter Paradise for what you used to do.”
(MELAYU)
(iaitu) orang-orang yang diwafatkan dalam keadaan baik oleh para malaikat dengan mengatakan (kepada mereka): “Salaamun’alaikum, masuklah kamu ke dalam syurga itu disebabkan apa yang telah kamu kerjakan”.
الَّذينَ تَتَوَفّٰهُمُ المَلٰٓئِكَةُ طَيِّبينَ
orang-orang yang diwafatkan dalam keadaan baik oleh para malaikat
Sebelum ini telah disebut tentang mereka yang diwafatkan dalam keadaan mereka menzalimi diri mereka sendiri. Sekarang ayat ini tentang mereka yang dimatikan dalam keadaan baik iaitu,
1. Mereka yang menjaga diri mereka daripada mengamalkan syirik. Mereka mengamalkan dan menjaga Tauhid
2. Hasil daripada akidah yang baik di atas, maka amalan mereka pun baik juga. Mereka beramal dengan amalan yang Sunnah yang asalnya dari wahyu
3. Hasil daripada akidah dan amal yang baik, maka akhlak mereka juga baik.
Akhlak amat penting dan kerana itu ditekankan oleh Rasulullah ﷺ seperti sabda baginda,
عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اتَّقِ اللَّهِ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ
Daripada [Abu Dzar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata; Rasulullah ﷺ pernah bersabda kepadaku: “Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada dan ikutilah setiap keburukan dengan kebaikan yang dapat menghapuskannya, serta pergauilah manusia dengan akhlak yang baik.”
(Jami’ Tirmidzi (1910))
Status: Hasan Sahih
Malah ia adalah punca untuk masuk ke dalam syurga seperti disebut oleh Rasulullah ﷺ,
عَنْ أَبِي أُمَامَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَا زَعِيمٌ بِبَيْتٍ فِي رَبَضِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْمِرَاءَ وَإِنْ كَانَ مُحِقًّا وَبِبَيْتٍ فِي وَسَطِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْكَذِبَ وَإِنْ كَانَ مَازِحًا وَبِبَيْتٍ فِي أَعْلَى الْجَنَّةِ لِمَنْ حَسَّنَ خُلُقَهُ
Daripada [Abu Umamah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda: “Aku akan menjamin rumah di tepi syurga bagi seseorang yang meninggalkan perdebatan meskipun benar. Aku juga menjamin rumah di tengah syurga bagi seseorang yang meninggalkan kedustaan meskipun bersifat gurau, dan aku juga menjamin rumah di syurga yang paling tinggi bagi seseorang yang berakhlak baik.
Sunan Abi Dawud (4167) disahihkan oleh Albani.
Malah akhlak adalah antara ajaran Rasulullah ﷺ yang paling utama seperti sabda baginda,
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ
“Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.”
(Riwayat Ahmad (8952))
Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya kuat
Maka mereka yang berbuat ihsan, bertaqwa, percaya kepada Al-Qur’an semasa hujung nyawa mereka, mereka akan mendapat kebaikan yang banyak. Maka ini mengajar kita kepentingan untuk istiqamah di dalam amal kebaikan kita. Ini kerana KPI kita dikira di hujung nyawa kita seperti sabda Rasulullah ﷺ,
وَإِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالخَوَاتِيمِ
“Dan sesungguhnya amalan itu dilihat pada pengakhirannya.”
(Riwayat al-Bukhari (6607))
Seandainya kita beramal sepanjang hidup kita, namun di hujung hayat kita melakukan maksiat, maka azablah yang akan diberikan kepada kita. Maka selagi kita belum dicabut nyawa kita, jangan sangka kita akan selamat lagi kerana kita tidak tahu pengakhiran hidup kita nanti. Semoga kita diberi taufiq untuk istiqamah di atas iman dan amal baik kita.
يَقولونَ سَلٰمٌ عَلَيكُمُ
dengan mengatakan (kepada mereka): “Salaamun’alaikum,
Apabila mereka diwafatkan, mereka disambut baik. Ini adalah semasa mereka diambil nyawa oleh malaikat. Masa itu mereka suci dengan Tauhid tidak bercampur dengan syirik. Mereka diberi salam oleh malaikat yang mencabut nyawa mereka. Dalam ayat yang lain Allah ﷻ berfirman:
إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنزلُ عَلَيْهِمُ الْمَلائِكَةُ أَلا تَخَافُوا وَلا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ نَحْنُ أَوْلِيَاؤُكُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الآخِرَةِ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَشْتَهِي أَنْفُسُكُمْ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَدَّعُونَ نُزُلًا مِنْ غَفُورٍ رَحِيمٍ
Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan, “Tuhan kami ialah Allah, ” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan), “Janganlah kalian merasa takut dan janganlah kalian merasa sedih; dan bergembiralah kalian dengan (memperoleh) syurga yang telah dijanjikan Allah kepada kalian.” Kamilah Pelindung-pelindung kalian dalam kehidupan dunia dan di akhirat; di dalamnya kalian memperoleh apa yang kalian inginkan dan memperoleh (pula) di dalamnya apa yang kalian minta. Sebagai hidangan (bagi kalian) dari Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(Fussilat: 30-32)
Mereka diberikan dengan ucapan salam ini adalah sebagai ucapan penghormatan kepada mereka. Biasanya orang yang baru datanglah yang mengucapkan salam kepada yang ditepati, tetapi oleh kerana yang datang ini adalah orang-orang yang dimuliakan oleh penyambut, maka malaikat-malaikat itulah yang menyambut dengan ucapan “Salam ‘alaikum”, sejahteralah atasmu.
Ia juga sebagai pemberitahu berita baik yang apa sahaja yang mereka akan hadapi selepas itu adalah baik-baik belaka. Tidak akan ada apa-apa masalah bagi mereka. Mereka juga tidak perlu bersedih tentang apa yang mereka tinggalkan seperti harta, keluarga dan dunia keseluruhannya, kerana apa yang mereka akan hadap selepas itu adalah hanya kebaikan sahaja, lebih baik daripada apa yang mereka tinggalkan.
ادخُلُوا الجَنَّةَ بِما كُنتُم تَعمَلونَ
masuklah kamu ke dalam syurga itu disebabkan apa yang telah kamu kerjakan”.
Masuk ke dalam syurga adalah nikmat yang amat besar sekali. Kita semua mestilah menyimpan hasrat untuk masuk ke dalam syurga. Akan tetapi bagaimana mereka dijemput masuk ke dalam syurga sedangkan amal mereka belum diadili lagi? Maka ada beberapa pendapat tentang perkara ini.
1. Mereka diberitahu yang mereka akan masuk ke dalam syurga kerana mereka telah kerjakan kebaikan semasa mereka hidup. Mereka belum masuk lagi, cuma diberitahu dengan berita gembira itu sahaja dahulu.
2. Mereka bukan terus masuk ke dalam syurga, tetapi akan masuk ke alam kubur. Akan tetapi berdasarkan hadith, kubur bagi orang Mukmin adalah salah satu daripada taman-taman syurga.
إِنَّمَا القَبْرُ رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الجَنَّةِ أَوْ حُفْرَةٌ مِنْ حُفَرِ النَّارِ
Sesungguhnya kubur satu taman daripada taman-taman Syurga atau satu gaung daripada gaung-gaung neraka.
(Riwayat al-Tirmizi (2460))
Akan tetapi Imam al-Tirmidzi mengatakan hadith ini gharib. Tidak beliau ketahui kecuali jalan ini. Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Sanad ini amat dha’if. Ini kerana Athiyyah ibn Sa’d al-‘Aufi al-Qisi dha’if dan didha’ifkannya oleh al-Nasa’ie, Abu Zur’ah, al-Saji dan lain-lain. (Lihat al-Tahzib, 7/200-202)
Akan tetapi di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, Rasulullah ﷺ ada bersabda:
إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا مَاتَ عُرِضَ عَلَيْهِ مَقْعَدُهُ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ إِنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَمِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ وَإِنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ النَّارِ فَيُقَالُ هَذَا مَقْعَدُكَ حَتَّى يَبْعَثَكَ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Setiap seorang daripada kamu, manakala telah mati akan diperlihatkan kepadanya kedudukan tempatnya setiap pagi dan petang. Jika dia daripada ahli syurga maka (akan diperlihatkan seperti) ahli syurga dan jika dia ahli neraka maka daripada ahli neraka. Dikatakan kepadanya, “Inilah tempatmu sehingga dibangkitkan semula pada hari kiamat.”
(Riwayat al-Bukhari (1379) dan Muslim (2866))
3. Ada juga orang yang terus dimasukkan ke dalam syurga sebaik sahaja mati. Ini seperti Habib an-Najar seperti disebut di dalam Yaasin: 26
قيلَ ادخُلِ الجَنَّةَ ۖ قالَ يٰلَيتَ قَومى يَعلَمونَ
Dikatakan (kepadanya): “Masuklah ke syurga”. Dia berkata: “Alangkah baiknya sekiranya kaumku mengetahui.
Ayat ini menyebut mereka dimasukkan ke dalam syurga kerana amalan mereka. Namun bukankah kita tidak masuk syurga dengan amal melainkan dengan rahmat Allah ﷻ? Bukankah Rasulullah ﷺ telah bersabda,
عَنْ جَابِرٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يُدْخِلُ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ وَلَا يُجِيرُهُ مِنْ النَّارِ وَلَا أَنَا إِلَّا بِرَحْمَةٍ مِنْ اللَّهِ
Daripada [Jabir رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata: Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Tidak seorang pun daripada kalian yang dimasukkan syurga oleh amalnya dan tidak juga diselamatkan dari neraka kerananya, tidak juga aku kecuali kerana rahmat daripada Allah ﷻ.”
(Riwayat Muslim (5042))
Namun ayat di atas mengatakan orang yang beriman dan beramal soleh akan dimasukkan ke dalam syurga. Malah ada banyak lagi ayat-ayat lain seperti A’raf: 43
وَنودوا أَن تِلكُمُ الجَنَّةُ أورِثتُموها بِما كُنتُم تَعمَلونَ
Dan mereka diseru: “Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”.
Begitu juga di dalam Baqarah: 25
وَبَشِّرِ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ أَنَّ لَهُم جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ
Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai;
Maka bagaimana kita hendak menjamakkan dua wahyu yang seperti bertentangan ini? Ia tidak bertentangan sebenarnya kalau kita belajar. Jangan ambil secara literal sahaja. Memang kita masuk syurga dengan rahmat Allah ﷻ tetapi bagaimana hendak mendapat rahmat Allah ﷻ? Adakah dengan berharap kosong dan goyang kaki sahaja? Sesekali tidak! Rahmat Allah ﷻ diberikan kepada orang yang beramal dengan amalan yang baik. Rujuk A’raf: 56
إِنَّ رَحمَتَ اللَّهِ قَريبٌ مِنَ المُحسِنينَ
Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.
Maka amal perbuatan yang baik adalah penyebab dimasukkan ke dalam syurga. Bukannya amal perbuatan itu layak dengan syurga kerana syurga itu sangat hebat dan amal kita sangatlah sedikit dan tidak setimpal dengan syurga. Namun ia sebagai penyebab Allah ﷻ memasukkan kita ke dalam syurga.
Nahl Ayat 33: Ayat ini dan ayat 34 adalah Perenggan Makro ke 2 (Bahagian 3). Ia memberitahu kepada kita akibat yang akan didapati apabila tidak percaya kepada Hari Akhirat.
Ayat 33 ini adalah Ayat Takhwif duniawi. Berusahalah supaya kita mati dalam keadaan baik dan disambut dengan baik semasa malaikat mencabut nyawa kita. Janganlah kita diambil dalam keadaan kita dalam kesyirikan dan kekufuran.
هَل يَنظُرونَ إِلّا أَن تَأتِيَهُمُ المَلٰٓئِكَةُ أَو يَأتِيَ أَمرُ رَبِّكَ ۚ كَذٰلِكَ فَعَلَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ وَما ظَلَمَهُمُ اللهُ وَلٰكِن كانوا أَنفُسَهُم يَظلِمونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Do they [i.e., the disbelievers] await except that the angels should come to them or there comes the command of your Lord? Thus did those do before them. And Allāh wronged them not, but they had been wronging themselves.
(MELAYU)
Tidak ada yang ditunggu-tunggu orang kafir selain dari datangnya para malaikat kepada mereka atau datangnya perintah Tuhanmu. Demikianlah yang telah diperbuat oleh orang-orang (kafir) sebelum mereka. Dan Allah tidak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang selalu menganiaya diri mereka sendiri,
هَل يَنظُرونَ إِلّا أَن تَأتِيَهُمُ المَلٰٓئِكَةُ
Tidak ada yang ditunggu-tunggu mereka selain dari datangnya para malaikat kepada mereka
Kalimah هل di sini bukan bermaksud ‘adakah’ tetapi bermaksud ‘tidak’. Tidaklah yang mereka tunggu melainkan ketetapan daripada Allah ﷻ sahaja. Apa lagi mereka yang tidak terima tauhid itu tunggu? Adakah mahu tunggu diambil nyawa oleh malaikat baru mereka mahu berubah? Pada waktu itu, tentu sudah terlambat. Kalau nyawa sudah sampai di kerongkongan, taubat sudah tidak berguna lagi.
أَو يَأتِيَ أَمرُ رَبِّكَ
atau datangnya perintah Tuhanmu.
Yang dimaksudkan adalah Kiamat berserta ketakutan dan kengerian di dalamnya. Maka, adakah mereka menunggu kiamat baru mahu berubah? Atau adakah mereka menunggu azab diturunkan kepada mereka baru mereka hendak beriman?
Mereka ini jenis yang degil dan tidak akan beriman. Memang akan ada yang degil tidak boleh diberi nasihat lagi. Ini adalah kerana mereka sendiri yang tidak mahu berubah. Allah ﷻ tidak memaksa sesiapa pun untuk beriman. Namun mereka sendirilah yang kena mengubah diri mereka seperti disebut di dalam Ra’d: 11
إِنَّ اللهَ لا يُغَيِّرُ ما بِقَومٍ حَتّىٰ يُغَيِّروا ما بِأَنفُسِهِم
Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.
.
كَذٰلِكَ فَعَلَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم
Demikianlah yang telah diperbuat oleh orang-orang (engkar) sebelum mereka.
Itulah yang dilakukan oleh orang kafir dan orang yang ingkar dengan tauhid. Mereka itu buat tidak tahu sahaja tentang iman dan hidup mereka, ikut suka hati mereka sahaja. Mereka itu akan terkejut apabila datangnya kematian mereka dan datangnya kiamat nanti.
وَما ظَلَمَهُمُ اللهُ وَلٰكِن كانوا أَنفُسَهُم يَظلِمونَ
Dan Allah tidak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang selalu menganiaya diri mereka sendiri,
Mereka akan mendapat balasan yang teruk nanti. Apabila Allah ﷻ mengazab mereka dengan teruk, tidaklah Allah ﷻ menzalimi mereka. Allah ﷻ tidak pernah zalim dan tidak akan zalim. Merekalah sebenarnya yang menzalimi diri mereka sendiri. Apa yang dikenakan kepada mereka nanti adalah amat patut sekali.
Ramai yang tidak sedar yang mereka sebenarnya menzalimi diri sendiri. Mereka sangka segala perbuatan mereka tidak akan ada kesannya kepada mereka, tetapi sebenarnya mereka yang menyebabkan diri mereka diazab sengsara nanti.
Nahl Ayat 34: Apakah yang akan dikenakan kepada mereka nanti?
فَأَصابَهُم سَيِّئَاتُ ما عَمِلوا وَحاقَ بِهِم مّا كانوا بِهِ يَستَهزِئونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So they were struck by the evil consequences of what they did and were enveloped by what they used to ridicule.
(MELAYU)
Maka mereka ditimpa oleh (akibat) kejahatan perbuatan mereka dan mereka diliputi oleh azab yang selalu mereka perolok-olokan.
فَأَصابَهُم سَيِّئَاتُ ما عَمِلوا
Maka mereka ditimpa oleh (akibat) kejahatan perbuatan mereka
Dosa-dosa yang mereka buat dahulu semasa di dunia akan dibalas kepada mereka. Sekarang memang tidak nampak dosa itu, tetapi apabila di akhirat kelak, ia akan menjadi makhluk yang akan menyerang pelakunya.
Mereka tidak boleh salahkan sesiapa kerana apa yang akan dikenakan kepada mereka adalah hasil dari tangan-tangan (perbuatan) mereka sendiri. Ini seperti yang Allah ﷻ telah beritahu di dalam Syura: 30
وَما أَصٰبَكُم مِّن مُّصيبَةٍ فَبِما كَسَبَت أَيديكُم
Dan apa jua yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa);
وَحاقَ بِهِم مّا كانوا بِهِ يَستَهزِئونَ
dan mereka diliputi oleh azab yang selalu mereka perolok-olokan.
Dahulu mereka tidak percaya kepada azab yang diancam kepada mereka. Mereka berkata “mana ada azab?” Di akhirat nanti, azab yang mereka ejekkan dulu akan mengepung dan menimpa ke atas mereka. Mereka tidak boleh lari lagi ke mana-mana. Dulu mereka tidak percaya kepada azab dan malaikat-malaikat penjaga neraka, kekal di dalam neraka, pohon Zaqqum, sungai daripada nanah, dan lain-lain sebagainya, hanya menjadi buah olok-olok mereka. Sekarang mereka telah di dalam Jahannam, ke kiri, ke kanan memandang tidak lain daripada neraka.
Sekian Ruku’ 4 daripada 16 ruku’ surah ini.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 29 Disember 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA


