Nahl Ayat 14: Sekarang beralih ke laut pula.
وَهُوَ الَّذي سَخَّرَ البَحرَ لِتَأكُلوا مِنهُ لَحمًا طَرِيًّا وَتَستَخرِجوا مِنهُ حِليَةً تَلبَسونَها وَتَرَى الفُلكَ مَواخِرَ فيهِ وَلِتَبتَغوا مِن فَضلِهِ وَلَعَلَّكُم تَشكُرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And it is He who subjected the sea for you to eat from it tender meat and to extract from it ornaments which you wear. And you see the ships plowing through it, and [He subjected it] that you may seek of His bounty; and perhaps you will be grateful.
(MELAYU)
Dan Dialah, Allah yang menundukkan lautan (untukmu), agar kamu dapat memakan daripadanya daging yang segar (ikan), dan kamu mengeluarkan dari lautan itu perhiasan yang kamu pakai; dan kamu melihat bahtera berlayar padanya, dan supaya kamu mencari (keuntungan) dari karunia-Nya, dan supaya kamu bersyukur.
وَهُوَ الَّذي سَخَّرَ البَحرَ لِتَأكُلوا مِنهُ لَحمًا طَرِيًّا
Dan Dialah, Allah yang menundukkan lautan (untukmu), agar kamu dapat memakan daripadanya daging yang segar (ikan),
Allah ﷻ juga mempermudahkan untuk kita lautan itu sehingga kita boleh guna. Kalau Allah ﷻ tidak mudahkan, tentu susah dan takut kita mahu gunakan lautan itu sebagai laluan kita. Ini penting kerana kalau kita tidak boleh gunakan laut itu, alangkah ruginya kerana laut itu 4/5 daripada mukabumi ini.
Allah ﷻ beritahu dari laut itu kita boleh makan makanan laut. Kalimah طَرِيًّا daripada katadasar ط ر و yang bermaksud ‘lembut’ dan ‘segar’. Maka, ingatlah ayat ini setiap kali makan makanan laut. Allah ﷻ yang jadikan ikan-ikan itu untuk kita makan. Memang sedap pun ikan dan binatang laut yang lain, tetapi kenalah segar. Segar itu maksudnya kita tangkap dan terus makan. Kesedapannya amat hebat kerana ada manisnya tersendiri. Kadang kita makan di restoran yang hebat pun, tetapi tidak sedap kerana ikannya tidak segar, bukan?
Apabila ia dikategorikan sebagai لَحمًا (daging) dan kemudian disebut ia adalah طَرِيًّا, maka ia memberi satu penjelasan bahawa makanan dari laut ini ada kelebihan iaitu ia tidak perlu disembelih seperti daging-daging yang lain seperti lembu, unta, kambing dan sebagainya untuk dimakan. Maknanya daging binatang laut itu sudah tersedia untuk dimakan. Maka ini pun satu nikmat juga, iaitu Allah ﷻ sediakan satu makanan yang senang untuk dimakan.
Di sini Allah ﷻ memberitahu kita yang Dia yang menundukkan dan mengawal laut itu untuk kebaikan kita. Kita memang tidak dapat mengawal lautan walaupun kita mengembara di dalamnya. Kerana itulah banyak kapal yang karam di lautan dan kerana itulah kadangkala Allah ﷻ jadikan laut mengganas seperti Tsunami dan sebagainya. Semua itu di dalam kawalan Allah ﷻ.
وَتَستَخرِجوا مِنهُ حِليَةً تَلبَسونَها
dan kamu mengeluarkan dari lautan itu perhiasan yang kamu pakai;
Dari lautan itu manusia boleh ambil hasil daripadanya untuk dijadikan perhiasan. Perhiasan itu kita pakai seperti mutiara, karangan laut dan sebagainya. Ini juga adalah nikmat kerana manusia suka yang indah-indah. Di sini juga mengajar kita bahawa tidak salah untuk memakai perhiasan. Asalkan ia sesuai dengan syarak. Ia dipakai untuk perhiasan kepada suami, bukannya diperagakan untuk orang ramai.
وَتَرَى الفُلكَ مَواخِرَ فيهِ وَلِتَبتَغوا مِن فَضلِهِ
dan kamu melihat bahtera berlayar padanya, dan supaya kamu mencari (keuntungan) daripada kurnia-Nya,
Kalimah سَخَّرَ daripada katadasar س خ ر yang bermaksud mengejek; ketawakan; mempersendakan; ejekan; memandang rendah/memaksa bekerja tanpa bayaran; menjadikan sesuatu itu tunduk; memaksa beri perkhidmatan; abah-abah; meletakkan di bawah kawalan; menundukkan. Maksud ‘tunduk’ itu adalah kita boleh menggunakan bahtera itu untuk kegunaan kita. Allah ﷻ telah memudahkan untuk kita menggunakannya. Allah ﷻ yang ajar kita cara untuk membuat kapal dan Allah ﷻ tundukkan kapal dan juga lautan untuk kita boleh gunakan untuk kemudahan kita. Dengan itu, mudahlah kita gunakan laluan laut untuk kita bermusafir dan berniaga.
Kalimah مَواخِرَ daripada katadasar م خ ر yang bermaksud membelah laut. Kita selalu nampak kapal membelah lautan untuk pergi dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Ini adalah sebuah keindahan juga kerana kita lihat kapal yang besar, lalu di lautan yang amat luas itu. Kita boleh ingat ayat ini semasa kita bercuti menaiki bot di pulau peranginan.
Dengan laluan laut itu, manusia boleh berniaga. Kita boleh mencari rezeki menggunakan lautan itu kerana ia boleh membawa muatan yang banyak melalui jarak yang jauh. Walaupun sudah ada kapal terbang yang lebih cepat, tetapi dari segi ekonomi, masih ramai lagi yang menggunakan laluan laut juga kerana kosnya yang lebih murah dan praktikal.
Dengan menggunakan perjalanan laut inilah berkembang biaknya penduduk bumi. Dari satu benua mereka pergi ke benua yang lain, bercampur dengan orang di sana dan menghasilkan bangsa yang lain pula.
Maka ini mengajar kita yang umat Islam dianjurkan untuk bekerja, mencari rezeki, berusaha dan mengembara. Kerana itulah umat Islam dahulu maju dan hebat-hebat kerana mereka digalakkan untuk melakukan semua perkara ini. Kita dahulunya orang yang hebat, menjadi rujukan penduduk dunia yang lain kerana kemajuan kita. Ini kerana dahulunya umat Islam rapat dengan Al-Qur’an, namun sekarang tidak lagi.
Maka sebenarnya perjalanan menggunakan kapal bahtera sebenarnya amat hebat. Siapalah agaknya yang mula-mula buat kapal daripada besi? Bagaimana dia boleh fikir hendak jadikan kapal daripada besi setelah sekian lama kapal laut dijadikan dari[ada kayu? Bayangkan, kalau kita letak besi dalam air, tentu ia tenggelam bukan? Namun kenapakah apabila kapal besi yang amat besar, menanggung pula muatan bertan-tan tetapi boleh pula timbul?
Kapal-kapal yang terapung menggunakan konsep daya keapungan (buoyancy force). Daya ini akan menolak kapal itu untuk kekal terapung di atas air. Konsep ini menggunakan prinsip fizik iaitu prinsip Archimedes yang ditemukan oleh Archimedes sendiri yang merupakan seorang ahli fizik yang terkenal. Apakah itu prinsip Archimedes? Prinsip ini menyatakan bahawa apabila sesuatu objek diletakkan ke dalam air atau bendalir, daya apungan yang menolak objek itu adalah sama dengan berat air atau bendalir yang disesarkan.
Namun itu hanyalah penjelasan dari sudut sains fizik. Dari sudut hakikatnya, hukum alam (fizik) ini adalah kerana Allah ﷻ yang menentukannya dan begitulah Allah ﷻ tundukkan air laut buat kita. Manusia pandai buat kapal, berani mengembara di lautan, tahu menjadi arah di laut dan sebagainya itu pun dari ilham yang Allah ﷻ berikan juga.
Mungkin kita tidak nampak kepentingan kapal ini kerana kita bukannya menaiki kapal hari-hari. Akan tetapi jasa kapal itu amatlah besar bagi kita kerana banyak keperluan kita dipenuhi dengan adanya pengangkutan kapal di laut. Bayangkan segala barang yang kita perlukan adalah dibawa dari negara yang jauh melalui jalan laut, sama ada makanan, pakaian dan sebagainya. Walaupun ada lagi cara pengangkutan lain, akan tetapi cara pengangkutan laut adalah cara yang paling ekonomik untuk penghantaran barangan sejak zaman berzaman.
Maka perhatikanlah nikmat kapal dan laut ini yang Allah ﷻ telah mudahkan untuk kita seperti firman-Nya di dalam Luqman: 31
أَلَم تَرَ أَنَّ الفُلكَ تَجري فِي البَحرِ بِنِعمَتِ اللهِ لِيُرِيَكُم مِّن آيٰتِهِ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآٰيٰتٍ لِّكُلِّ صَبّارٍ شَكورٍ
Tidakkah kamu memperhatikan bahawa sesungguhnya kapal itu berlayar di laut dengan nikmat Allah, supaya diperlihatkan-Nya kepadamu sebahagian daripada tanda-tanda (kekuasaan)-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi semua orang yang sangat sabar lagi banyak bersyukur.
وَلَعَلَّكُم تَشكُرونَ
dan supaya kamu bersyukur.
Semua yang Allah ﷻ telah sebutkan di atas tadi Allah ﷻ berikan kepada kita supaya kita boleh bersyukur kerana Allah ﷻ telah mudahkan banyak benda untuk kita. Janganlah guna sahaja, tetapi haruslah bersyukur kepada Allah ﷻ. Syukur itu bukan hanya menyebut alhamdulillah sahaja, tetapi harus taat kepada Allah ﷻ. Jangan pula semua nikmat Allah ﷻ kita mahu gunakan, tetapi hukum Dia kita tidak ikut pula. Ini tidak patut sama sekali.
Ayat yang sama juga telah disebut di dalam Fatir: 12
وَما يَستَوِي البَحرانِ هٰذا عَذبٌ فُراتٌ سائِغٌ شَرابُهُ وَهٰذا مِلحٌ أُجاجٌ ۖ وَمِن كُلٍّ تَأكُلونَ لَحمًا طَرِيًّا وَتَستَخرِجونَ حِليَةً تَلبَسونَها ۖ وَتَرَى الفُلكَ فيهِ مَواخِرَ لِتَبتَغوا مِن فَضلِهِ وَلَعَلَّكُم تَشكُرونَ
Dan tiada sama (antara) dua laut; yang ini tawar, segar, sedap diminum dan yang lain masin lagi pahit. Dan dari masing-masing laut itu kamu dapat memakan daging yang segar dan kamu dapat mengeluarkan perhiasan yang dapat kamu memakainya, dan pada masing-masingnya kamu lihat kapal-kapal berlayar membelah laut supaya kamu dapat mencari kurnia-Nya dan supaya kamu bersyukur.
Namun yang lebih penting kita kena tahu adalah bagaimana cara bersyukur? Adakah hanya dengan menyebut Alhamdulillah sahaja? Itu tidak cukup kerana perbuatan syukur yang sebenar adalah dengan mentaati perintah Allah ﷻ dan meninggalkan larangan-Nya. Barulah dikira benar-benar syukur. Kalau kita mendapat sesuatu daripada orang, adakah kita akan lawan cakap dia? Tentu tidak, bukan? Maka begitulah juga dengan Allah ﷻ. Dengan segala nikmat yang telah diberikan kepada kita, adakah layak kita melawan arahan-Nya? Allah ﷻ ajar kita cara bersyukur seperti disebut dalam Baqarah: 172
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُلُوْا مِنْ طَيِّبٰتِ مَا رَزَقْنٰكُمْ وَاشْكُرُوْا لِلّٰهِ اِنْ كُنْتُمْ اِيَّاهُ تَعْبُدُوْنَ
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.
Ternyata di dalam ayat ini Allah ﷻ memberitahu yang jikalau kita mendapat rezeki makanan, maka hendaklah bersyukur. Ayat ini kena dibaca dengan Mukminoon: 51 untuk mendapat pemahaman tentang apakah itu syukur.
يا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلوا مِنَ الطَّيِّبٰتِ وَاعمَلوا صٰلِحًا
Hai rasul-rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh.
Kalau dibaca kedua-dua ayat ini, kita boleh kaitkan bahawa syukur yang dimaksudkan di dalam Baqarah: 172 itu adalah dengan melakukan amal soleh seperti disebut pula di dalam Mukminoon: 51. Inilah kaitan antara syukur dan beramal soleh. Maka ia bukanlah dari segi iktikad dan melafazkan Alhamdulillah sahaja, tetapi hendaklah diikuti dengan melakukan amal soleh. Kerana itulah Rasulullah ﷺ banyak melakukan ibadat seperti yang disebut di dalam hadith yang masyhur,
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى قَامَ حَتَّى تَفَطَّرَ رِجْلَاهُ قَالَتْ عَائِشَةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَصْنَعُ هَذَا وَقَدْ غُفِرَ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ فَقَالَ يَا عَائِشَةُ أَفَلَا أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا
Aisyah رضي الله عنها berkata, Rasulullah ﷺ ketika melaksanakan solat maka baginda berdiri hingga kedua kakinya bengkak. Aisyah رضي الله عنها bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yang engkau perbuat, sedangkan dosamu yang telah lalu dan yang akan datang telah diampuni?” Lalu baginda menjawab, “Wahai Aisyah, bukankah seharusnya aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?”.
(Sahih Muslim (5046))
Dari sini kita dapat belajar bahawa semakin banyak nikmat yang kita dapat, hendaklah kita menunjukkan syukur dengan lebih banyak melakukan ibadah.
Apakah lagi maksud syukur? Ia juga bermaksud taat kerana kalau tidak taat, itu adalah kufur. Ini seperti yang Allah ﷻ telah sebut dalam Baqarah: 152
وَاشكُروا لي وَلا تَكفُرونِ
dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur
Cuma kufur itu ada banyak jenis. Ada kufur yang mengeluarkan seseorang itu daripada Islam dan ada yang tidak. Contohnya seperti ayat Baqarah: 152 ini, ia bermaksud kufur nikmat. Iaitu tidak iktiraf yang Allah ﷻ telah beri nikmat kepada kita. Ada orang yang mendapat segala nikmat namun dia tidak kata itu daripada Allah ﷻ, tetapi daripada kepandaian dia bekerja atau berniaga katanya.
Satu lagi kufur nikmat adalah dengan tidak menggunakan pemberian Allah ﷻ itu untuk kebaikan seperti yang telah disebut di atas tadi.
Juga kena ingat yang kita sekarang menikmati segala pemberian daripada Allah ﷻ. Jika Allah ﷻ yang telah memberikan segalanya kepada kita, takkan kita hendak melawan Dia pula? Bayangkan ada orang yang beri hadiah dan kurnia kepada kita, tetapi kita lawan cakapnya, bagaimana?
Nahl Ayat 15:
وَأَلقىٰ فِي الأَرضِ رَوٰسِيَ أَن تَميدَ بِكُم وَأَنهٰرًا وَسُبُلًا لَّعَلَّكُم تَهتَدونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And He has cast into the earth firmly set mountains, lest it shift with you, and [made] rivers and roads, that you may be guided,
(MELAYU)
Dan Dia menancapkan gunung-gunung di bumi supaya bumi itu tidak goncang bersama kamu, (dan Dia menciptakan) sungai-sungai dan jalan-jalan agar kamu mendapat petunjuk,
وَأَلقىٰ فِي الأَرضِ رَوٰسِيَ أَن تَميدَ بِكُم
Dan Dia menancapkan gunung-gunung di bumi supaya bumi itu tidak goncang bersama kamu,
Selepas menyebut tentang lautan dalam ayat sebelum ini, sekarang Allah ﷻ menyentuh alam di daratan pula. Allah ﷻ memberitahu yang gunung-ganang itu gunanya sebagai pasak kepada bumi. Bayangkan pasak pada kain khemah yang menghalang khemah itu daripada diterbangkan oleh angin. Tentulah kalau bumi bergoyang susah untuk kita hidup di muka bumi ini. Kita boleh lihat bagaimana gegaran di bumi yang sekejap beberapa saat pun menyebabkan kehancuran yang amat teruk.
Memang Allah ﷻ jadikan bumi ini terbentang tetapi ada juga dijadikan gunung ganang. Namun ia adalah untuk kebaikan kita juga. Gunung ganang sebagai ‘pasak’ untuk bumi. Hebatnya Allah ﷻ, sudahlah buat bumi yang luas ini, pasak pun Dia buatkan juga. Kalaulah kita terpaksa pasak bumi ini sendiri, tentu tidak mampu, bukan?
Kalimah رَوٰسِيَ daripada katadasar ر س و yang bermaksud tegas; ditubuhkan; stabil; tidak beralih; kekal; meletakkan sauh; tambatan; ketibaan; akan berlaku. Bumi memerlukan pasak kerana kerak bumi ini terletak seolah-olah sebagai permaidani di atas bumi dan kalau tidak ada pasak, ia akan bergerak-gerak dan kita pun susah untuk hidup di atasnya. Allah ﷻ telah sebut tentang hal ini dalam Luqman: 10
خَلَقَ السَّمٰوٰتِ بِغَيرِ عَمَدٍ تَرَونَها ۖ وَأَلقىٰ فِي الأَرضِ رَوٰسِيَ أَن تَميدَ بِكُم
Dia menciptakan langit tanpa tiang yang kamu melihatnya dan Dia meletakkan gunung-gunung (di permukaan) bumi supaya bumi itu tidak menggoyangkan kamu;
Maka kerak bumi yang bertembung antara satu sama lain akan bertindak – yang bahagian keras akan menusuk ke dalam bumi dan yang lembut akan naik menjadi gunung. Ini dipanggil proses isostasi.
Atau kalimah رَواسِيَ itu daripada kalimah ر س و yang bermaksud ‘sauh’ di mana apabila kapal hendak berlabuh ia akan menurunkan sauh supaya kapal itu tetap dan stabil pada satu tempat. Tanpa sauh, ia akan bergerak.
Di dalam Naba’: 6-7 juga Allah ﷻ sebut bagaimana Dia menjadikan bumi ini mudah untuk diduduki dan kemudian meletakkan pasak padanya.
أَلَم نَجعَلِ الأَرضَ مِهادًا
(Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan?
وَالجِبالَ أَوتادًا
Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?

Begitulah gunung memasak plat bumi supaya ia menjadi tetap. Kita hanya nampak gunung bahagian atas yang tinggi, tetapi sebenarnya ia ditusuk ke dalam bahagian dasar bumi. Tujuan Allah ﷻ pasak plat bumi dengan gunung itu adalah supaya kita tidak goyah. Jika tidak, bumi ini sentiasa bergerak dan kita juga susah untuk tinggal di atasnya.
وَأَنهٰرًا
dan sungai-sungai
Selain tanah yang datar, gunung sebagai pasak, Allah ﷻ juga jadikan sungai-sungai yang kecil dan besar. Allah ﷻ sebut sungai di sini selepas gunung kerana air sungai itu datangnya dari gunung. Kalau kita naik kapalterbang dan lihat bumi dari atas, kita akan nampak amat banyak sungai-sungai itu yang airnya mengalir tidak berhenti langsung. Sangat hebat sekali ciptaan Allah ﷻ!
Allah ﷻ menjadikan sungai-sungai yang mengalirkan air untuk digunakan kepada manusia. Kita memerlukan air untuk kehidupan kita. Antaranya air itu digunakan untuk mengairi tanam-tanaman. Semua ini untuk kita kerana Allah ﷻ tidak perlukan pun buah-buahan itu. Sungai-sungai digunakan juga sebagai laluan pengangkutan, terutama sekali pada zaman dahulu kala. Sebab itulah bandar-bandar besar yang ada sekarang ini dulunya berdekatan dengan sungai kerana sumber air yang berterusan. Kuala Lumpur pun ada sungainya dan dari situlah bermula Bandaraya Kuala Lumpur itu – kuala sungai yang ada lumpur.
Air sungai itu sangat hebat sekali. Air dari sungai itu mengalir ke laut. Namun dari mana air itu datang dengan banyaknya? Ada pendapat yang mengatakan air itu dari tanah tinggi. Ini adalah apabila awan yang mengandungi air banyak tertahan di puncak gunung dan air diturunkan di situ. Apabila air hujan turun di tanah tinggi, ia seperti tangki yang menurunkan air kepada sungai. Satu lagi, di tanah tinggi juga ada salji dan apabila salji itu mencair, air diturunkan ke bawah dan pergi ke sungai.
Hebatnya air sungai itu dari tempat yang tinggi turun ke tempat rendah dan sentiasa mengalir tanpa henti. Dengan air itu juga memberi sumber rezeki kepada kita untuk berniaga. Ia juga menjadi sumber makanan kerana ada yang menangkap ikan padanya. Kita juga dapat berehat di kawasan yang ada sungai kerana ia memang menyegarkan. Ia juga merupakan sumber bekalan air mentah. Ia juga berfungsi sebagai habitat penting flora dan fauna. Sekarang ia juga digunakan sebagai sumber tenaga kuasa boleh diperbaharui dan bertindak sebagai sistem saliran semula jadi.

وَسُبُلًا
dan jalan-jalan
Lautan adalah jalan untuk pergi ke tempat-tempat yang jauh. Akan tetapi di dalam negara juga ada laluan lain, iaitu laluan sungai. Kerana itulah Allah ﷻ sebut tentang sungai kerana ia telah digunakan sebagai cara perjalanan di daratan. Kerana itulah tamadun, bandar dan komuniti zaman dahulu maju jikalau ia dekat dengan kawasan laluan sungai kerana dengannya manusia dapat bergerak ke tempat-tempat yang lain untuk berniaga dan sebagainya. Sampai sekarang ia menjadi kaedah pengangkutan di kawasan pedalaman.
Selain dari sungai, ada jalan-jalan di daratan juga. Sama ada denai dalam hutan atau lebuhraya di jalanan besar. Ada jalan yang terpaksa melalui kawasan gunung, malah ada yang kena tebuk bukit untuk kita buat jalan dan lebuhraya padanya. Semua jalan-jalan pengangkutan itu Allah ﷻ yang buat untuk kita. Mungkin kita rasa kita yang buat jalan itu, tetapi sebenarnya Allah ﷻ yang buat. Kalau zaman sekarang pun manusia buat jalan juga. Namun amat susah bagi kita untuk buat jalan. Sebaliknya mudah sahaja bagi Allah ﷻ.
لَّعَلَّكُم تَهتَدونَ
agar kamu mendapat petunjuk,
Dengan laluan sungai dan jalan itu, kita boleh cari jalan menghala ke destinasi kita mahu pergi. ‘Petunjuk’ yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah petunjuk di dalam bentuk perjalanan, bukan hidayah dalam agama.
Nahl Ayat 16:
وَعَلٰمٰتٍ ۚ وَبِالنَّجمِ هُم يَهتَدونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And landmarks. And by the stars they are [also] guided.¹
- Through the desert or the sea at night.
(MELAYU)
dan (Dia ciptakan) tanda-tanda (penunjuk jalan). Dan dengan bintang-bintang itulah mereka mendapat petunjuk.
وَعَلٰمٰتٍ
dan tanda-tanda
Ada muqaddar dalam ayat ini: “Allah telah mencipta banyak tanda-tanda jalan.” Dengan tanda itu, mudah untuk kita sampai ke tempat tujuan. Ini adalah jenis alamat pengecaman (landmark) – seperti pokok, bukit dan sebagainya. Melalui cara ini, orang yang dalam perjalanan itu boleh tahu arah di satu-satu tempat. Terutama sekali orang yang di dalam perjalanan di lautan, mereka akan mencari bukit atau gunung sebagai tanda sesuatu tempat.
Kalau tidak, susahlah mereka hendak mendarat di sesuatu pulau. Senang menggunakan gunung dan bukit kerana ia besar. Mereka akan kenal daripada bentuk gunung ganang itu kerana setiap gunung berlainan rupanya. Ia selalunya diberi nama supaya mudah diingati. Begitu jugalah bagi perjalanan di padang pasir, tentu ada juga menggunakan tanda daripada bukit atau gunung atau apa-apa bentuk alam. Kalaulah alam ini mendatar sahaja tanpa sesuatu yang boleh dijadikan tanda, maka tentulah susah untuk kita mengembara.
وَبِالنَّجمِ هُم يَهتَدونَ
Dan dengan bintang-bintang itulah mereka mendapat petunjuk.
Satu lagi alamat untuk perjalanan adalah dengan bintang-bintang. Orang dahulu kala menggunakan bintang-bintang sebagai penunjuk arah di malam hari sama ada di padang pasir atau di lautan. Ini bermaksud, Allah ﷻ memberi pengecaman di langit juga. Kalau sekarang kita dapat petunjuk jalan dengan GPS, tetapi zaman dulu menggunakan bintang di langit.
Dalam sejarah peradaban manusia, para pelaut daripada bangsa Romawi, Viking, Yunani, Arab, Spanyol, Portugis, dan lainnya, mereka menggunakan rasi-rasi bintang ini sebagai indikator navigasi pelayaran ke tempat yang jauh.
Nahl Ayat 17: Telah disebut banyak dalil-dalil sebelum ini. Sekarang adalah natijah kepada dalil-dalil itu. Adakah patut kamu lalai sehingga kamu tidak mahu beringat serta memikirkannya?
أَفَمَن يَخلُقُ كَمَن لّا يَخلُقُ ۗ أَفَلا تَذَكَّرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Then is He who creates like one who does not create? So will you not be reminded?
(MELAYU)
Maka apakah (Allah) yang menciptakan itu sama dengan yang tidak dapat menciptakan (apa-apa)? Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?
أَفَمَن يَخلُقُ كَمَن لّا يَخلُقُ
Maka apakah yang menciptakan itu sama dengan yang tidak dapat mencipta?
Allah ﷻ telah sebut pelbagai perkara yang Dia telah ciptakan dan tundukkan untuk kita guna. Itu adalah jasa-Nya yang teramat banyak kepada kita. Maka, sekarang Allah ﷻ bertanya: Adakah sama yang mencipta dan yang tidak boleh mencipta?
Adakah berhala-berhala yang kamu puja atau sesamamu manusia yang kamu agungkan seperti Tuhan itu mendirikan gunung-gunung sebagai pasak bumi? Menggenangkan lautan buat kamu belayar? Menurunkan air hujan buat kamu minum? Mengalirkan sungai-sungai dan mendirikan jalan raya buat kamu lalui? Adakah berhala-berhala atau apa yang kamu puja puji itu sanggup membuat alamat atau pertanda untuk kamu belayar siang dan malam, dan berhala-berhala itukah yang menciptakan bintang-bintang yang dapat kami jadikan tanda dalam pelayaran atau musafir?
Tentulah tidak ada selain Allah ﷻ yang boleh mencipta (daripada tiada kepada ada) melainkan Allah ﷻ. Musyrikin Mekah juga menerima perkara ini. Kalau mereka perhatikan dengan saksama, tentulah mereka akan faham kerana mereka juga menerima Allah ﷻ sahaja Pencipta. Maka, jika tidak sama, janganlah puja selain Allah ﷻ kerana selain Allah ﷻ tidak ada kuasa mencipta.
أَفَلا تَذَكَّرونَ
Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran.
Gunakanlah akal sebaiknya. Kenapa mahu memuja entiti yang lemah? Sedangkan yang mencipta itu Allah ﷻ sahaja? Maka hanya kepada Allah ﷻ sahaja yang layak kita sembah, buat ibadat kepada-Nya dan berdoa kepada-Nya.
Memang, orang yang menganut suatu kepercayaan yang salah, yang musyrik terpaksa tidak mahu memikirkan kepercayaannya itu dengan saksama. Kerana kalau benar-benar mereka fikirkan kepercayaannya itu, mereka akan merasa sendiri bahawa kepercayaan mereka itu adalah tidak masuk ke dalam fikiran.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 14 Disember 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA



