Tafsir Surah Yusuf Ayat 107 (Terlalu fokus sampai lalai)

Yusuf Ayat 107:

أَفَأَمِنُوٓاْ أَن تَأتِيَهُم غَـٰشِيَةٌ مِّن عَذَابِ ٱللَّهِ أَو تَأتِيَهُمُ ٱلسَّاعَةُ بَغتَةً وَهُم لَا يَشعُرُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then do they feel secure that there will not come to them an overwhelming [aspect] of the punishment of Allāh or that the Hour will not come upon them suddenly while they do not perceive?

(MALAY)

Apakah mereka merasa aman dari kedatangan seksa Allah yang meliputi mereka, atau kedatangan kiamat kepada mereka secara mendadak, sedang mereka tidak menyedarinya?

 

أَفَأَمِنُوٓاْ أَن تَأتِيَهُم غَـٰشِيَةٌ مِّن عَذَابِ ٱللَّهِ

Apakah mereka merasa aman dari kedatangan seksa Allah yang meliputi mereka,

Apakah orang yang syirik itu merasa aman sahaja, berbuat apa sahaja yang mereka hendak lakukan, sedangkan Allah ‎ﷻ boleh kenakan azab pada mereka? Semasa mereka di dunia lagi Allah boleh kenakan azab kepada mereka.

Maksud “غَـٰشِيَةٌ” secara bahasa adalah sesuatu yang “menutup” atau “meliputi”. Ia merujuk kepada azab atau bencana yang menimpa ketika manusia masih hidup di dunia. Ia dari kata dasar غ ش ي yang bermaksud menutupi, datang kepada sesuatu, begitu banyak, tudung. Azab ini datang secara menyeluruh sehingga mereka tidak dapat melarikan diri daripadanya (seperti banjir besar kaum Nabi Nuh, atau jeritan suara yang membinasakan kaum Thamud).

Tapi perhatikan kalimah غَـٰشِيَةٌ adalah di dalam bentuk muannath (feminin) kerana ada ةٌ di dalam kalimah ini. Dalam kaedah bahasa Arab, benda yang bersifat menyelubungi atau meliputi secara menyeluruh sering diletakkan dalam bentuk feminin. Azab ini diibaratkan seperti awan atau kegelapan malam yang “menutup” manusia dari segala arah sehingga mereka tidak dapat melarikan diri. Penggunaan Ta Marbutah (ة) di hujung kalimah tidak semestinya menunjukkan jantina “perempuan”, tetapi boleh berfungsi sebagai mubalaghah (untuk menunjukkan tahap yang sangat tinggi/dahsyat). Ini sama seperti kalimah ‘allamah (عَلَّامَةٌ) yang bermaksud orang yang “sangat berilmu”, jadi kalimah غَـٰشِيَةٌ membawa maksud azab yang sangat dahsyat dan menutup rapat ruang mangsanya. Maka ia menjadi amaran keras supaya manusia tidak merasa aman daripada bencana duniawi yang boleh datang secara tiba-tiba sebagai balasan atas keingkaran mereka. Maknanya dengan penambahan satu huruf sahaja ia memberi maksud yang lebih lagi kepada sesuatu kalimah itu.

Akan tetapi jangan kita sangka jenis غَـٰشِيَةٌ ini seperti awan gelap, turun azab dari langit, puting beliung dan sebagainya sahaja. Ia boleh sahaja dalam bentuk kematian seseorang yang kita bergantung kepadanya, kemalangan yang menyebabkan kita tidak boleh bergerak bebas lagi, mungkin kita jatuh bangkrap, kena tahan oleh SPRM, penyakit yang tidak nampak jalan sembuhnya.

Apa kaitan dengan golongan Bani Israil dengan ayat ini  yang menjadi pengajaran kepada kita? Kita kaitkan kerana kisah di dalam Surah Yusuf ini adalah tentang Bani Israil, jadi kita kena kaitkan juga. Beberapa contoh kekalahan Yahudi pada zaman Rasulullah ﷺ dan para sahabat adalah sebagai berikut:

1. Pengusiran Bani Qainuqa‘ dari Madinah. Bani Qainuqa‘ adalah kelompok Yahudi pertama yang secara terang-terangan melanggar perjanjian dengan Rasulullah ﷺ setelah Perang Badar. Mereka melakukan provokasi terhadap seorang wanita Muslim, sehingga terjadi pembunuhan dan akhirnya Rasulullah ﷺ mengepung mereka selama lima belas hari. Akhirnya, mereka menyerah dan diusir dari Madinah menuju Syam, serta harta mereka diambil oleh kaum Muslimin.

2. Pengusiran Bani Nadhir. Bani Nadhir berencana membunuh Rasulullah ﷺ ketika baginda datang ke tempat mereka untuk meminta bantuan membayar diyat. Allah mengabarkan rencana jahat mereka kepada Nabi, sehingga baginda mengepung mereka dan memerintahkan mereka keluar dari Madinah. Harta dan kebun kurma mereka juga diambil oleh kaum Muslimin.

3. Kekalahan dan hukuman Bani Quraizhah. Bani Quraizhah melanggar perjanjian dengan Rasulullah ﷺ ketika Perang Ahzab (Khandaq) dengan membantu musuh. Setelah perang berakhir, Rasulullah ﷺ mengepung mereka, dan akhirnya mereka menyerah. Para lelaki Bani Quraizhah dihukum mati, sementara wanita dan anak-anak mereka dijadikan tawanan, serta harta mereka dibahagi di antara kaum Muslimin.

4. Penaklukan Khaibar. Khaibar adalah benteng Yahudi terbesar di utara Madinah. Rasulullah ﷺ dan para sahabat mengepung dan menaklukkan benteng-benteng Khaibar setelah perlawanan sengit. Kaum Yahudi Khaibar akhirnya menyerah dan diizinkan tetap tinggal dengan syarat memberikan separuh hasil pertanian mereka kepada kaum Muslimin.

Perhatikan bagaimana Allah balas rancangan jahat mereka terhadap Rasulullah dan umat Islam. Tidakkah ini sama seperti rancangan jahat abang-abang Nabi Yusuf terhadap baginda? Dan rancangan jahat terhadap Nabi Muhammad pun akan dibalas juta terhadap Musyrikin Mekah nanti. Tema غَـٰشِيَةٌ ini banyak disebut di dalam surah ini dan surah-surah yang lain. Ada orang yang rasa mereka kuat seperti abang-abang Nabi Yusuf yang rasa mereka mengusai Nabi Yusuf dan boleh buat apa sahaja. Dan begitu juga dengan Musyrikin Mekah. Nanti mereka yang akan dikuasai dan diliputi oleh perasaan malu dan azab dari Allah.

Begitulah peringatan kepada kita. Jangan kita ingat apabila kita ada kuasa, kita boleh hentam orang, buat zalim dengan orang. Nanti Allah akan balas perbuatan kita itu. Kalau kita jenis orang yang lalai dengan ancaman Allah, maka kita akan dengan bermudah-mudahan melakukan kezaliman kepada orang lain tanpa rasa bersalah.

Jadi di sini kita belajar satu dosa sebenarnya, iaitu dosa rasa aman dari Azab Allah! Allah berfirman di dalam Mulk:16

ءَأَمِنتُم مَّن فِي السَّماءِ أَن يَخسِفَ بِكُمُ الأَرضَ فَإِذا هِيَ تَمورُ
Adakah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Dia yang berada di langit itu: yang boleh menyebabkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta-merta?

Adakah kamu berasa sedap hati sahaja, tidak takut apa-apa? Adakah kamu rasa macam tidak ada apa-apa sahaja bukan salah atas muka bumi ini? Adakah kamu rasa selamat? Padahal Allah ‎ﷻ boleh buat apa sahaja yang Dia kehendaki, bila-bila masa. Ingatlah yang kita sekarang duduk aman dan selesa di muka bumi ini kerana jaminan daripada Allah ‎ﷻ sahaja. Kalau Allah ‎ﷻ hendak goyangkan bumi ini, mudah sahaja bagi-Nya. Sebelum ini, Allah ‎ﷻ sudah menceritakan bagaimana bumi ini telah dijadikan untuk kita mudah untuk diami, mudah untuk kita berurusan di atasnya. Kita boleh berjalan ke mana-mana kita kehendaki. Memang kita boleh hidup di dunia dengan senang lenang selagi kita mengikut arahan Allah ‎ﷻ.

Namun kepada mereka yang ingkar kepada Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ berikan ancaman ini. Jangan sangka bahawa bumi yang kamu sedang diami itu boleh kekal tenang begitu sahaja. Allah ‎ﷻ boleh sahaja berikan azab kepada kita. Apakah azab itu? Nanti akan diberitahu sebentar lagi.

Di sini kita dapat tahu ada satu dosa batin, iaitu merasa aman dalam berbuat dosa. Kalau buat perkara mungkar sendiri sudah berdosa, tetapi kalau berasa aman dengannya, itu adalah dosa tambahan. Berapa ramai yang aman-aman sahaja membuat dosa, tidak ingat Allah ‎ﷻ, tidak ingat akhirat? Mereka berbuat dosa seolah-olah mereka tidak akan mati sampai bila-bila, seolah-olah tidak ada akhirat. Kerana itu Hasan al-Basri رَحِمَهُ اللَّهُ pernah berkata yang orang beriman itu apabila mereka melakukan kebaikan pun mereka tetap takut kerana entah Allah ﷻ terima amalnya atau tidak; akan tetapi orang tidak beriman itu buat dosa pun aman tenang sahaja.

Merasa aman dari azab Allah (الأمن من عذاب الله) adalah dosa besar dalam Islam. Hal ini kerana sikap merasa aman dari azab Allah menunjukkan kelalaian, kesombongan, dan kurangnya rasa takut kepada Allah, serta bertentangan dengan sifat seorang mukmin yang seharusnya selalu berada antara rasa takut (khauf) dan harap (raja’).

Dalam “شرح العقيدة الطحاوية” [Syarah Aqidah Tahawiyah] dijelaskan bahawa merasa aman dari azab Allah dan berputus asa dari rahmat-Nya adalah dua hal yang sangat berbahaya dan keduanya dapat mengeluarkan seseorang dari Islam jika diyakini secara mutlak. Allah memperingatkan dalam A’raf:99

أَفَأَمِنوا مَكرَ اللَّهِ ۚ فَلا يَأمَنُ مَكرَ اللَّهِ إِلَّا القَومُ الخٰسِرونَ
Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman daripada rancangan (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi.

Sikap ini berbahaya kerana dapat membuat seseorang lalai dari ketaatan, terus-menerus dalam maksiat, dan tidak takut akan hukuman Allah. Kesimpulannya, merasa aman dari azab Allah adalah dosa besar dan termasuk sifat tercela yang harus dihindari oleh setiap Muslim. Seorang mukmin seharusnya selalu berada di antara rasa takut akan azab Allah dan harapan akan rahmat-Nya.

 

أَو تَأتِيَهُمُ السّاعَةُ بَغتَةً وَهُم لا يَشعُرونَ

atau kedatangan kiamat kepada mereka secara mendadak, sedang mereka tidak menyedarinya?

Atau tidakkah mereka tahu yang kiamat itu boleh sahaja datang dengan tiba-tiba waktu mereka tidak sedar? Kalau sebelum ini tentang azab ketika di dunia, sekarang azab di akhirat pula. Waktu itu sudah terlambat untuk memperbaiki keadaan diri dan betulkan amal kita. Maka janganlah tunggu waktu itu kerana sudah terlambat. Mungkin semasa di dunia, mereka selamat dari غَـٰشِيَةٌ, hidup mereka senang lenang sahaja kerana Allah beri berbagai-bagai nikmat dan kelebihan kepadanya. Mungkin satu orang mengamalkan rasuah tapi SPRM tidak datang kejar dia, maka dia rasa selamat dan berani buat lagi. Ada orang menipu tapi lidah dia tidak kena petir pun. Allah bagi hidup dia senang sahaja sampai dia jadi leka. Tapi, jangan dia sangka dia akan selamat dari satu lagi غَـٰشِيَةٌ iaitu الغاشِيَةِ seperti yang disebut di dalam Surah Al-Ghasyiah.

Perhatikan perbezaan antara  غَـٰشِيَةٌ dan الغاشِيَةِ. Kalimah الغاشِيَةِ adalah penambahan ال yang bermakna ia adalah sesuatu yang khusus, yang dikenali. Itulah Hari Kiamat nanti yang semuanya akan hancur dan tidak akan ada yang terselamat langsung! Kadangkala kita dapat peringatan dari Allah dalam bentuk غَـٰشِيَةٌ supaya kita dapat membetulkan diri kita supaya kita selamat pada الغاشِيَةِ nanti.

Perhatikan kalimah بَغتَةً ditambah dengan ta’ marbootah (ة) untuk menguatkan lagi kalimah itu. Ini seperti perbincangan kita tentang kalimah غَـٰشِيَةٌ sebelum ini. Ia akan datang dengan mengejut, tanpa ada bagi salam dan tanpa tanda. Ia akan datang tiba-tiba sangat, yang tidak pernah dirasai terkejutnya itu selama ini. Maknanya hebat sangat kedatangannya itu. Memang Allah bila beri azab, ia akan datang dengan kejutan, tanpa pemberitahuan. Di dalam ayat-ayat lain ada dikatakan ketika sedang berniaga, sedang waktu Dhuha, sedang di rumah dan sebagainya. Sebagai contoh lihat A’raf:98

أَوَأَمِنَ أَهلُ القُرىٰ أَن يَأتِيَهُم بَأسُنا ضُحًى وَهُم يَلعَبونَ
Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main?

Ini kerana Allah hendak menambah azab yang dikenakan itu. Kerana kalau ia datang dengan diberitahu, ia tidaklah sehebat kalau ia datang dengan tiba-tiba, bukan?

Apa kaitan dengan golongan Bani Israil dengan ayat ini  yang menjadi pengajaran kepada kita? Kita kena kaitkan dengan mereka kerana Surah Yusuf ini tentang kisah mereka. Bukankah mereka itu perasan yang mereka itu anak-anak Tuhan dan mereka pasti akan selamat dan tidak masuk ke neraka? Dan kalaulah dimasukkan pun, hanya untuk beberapa hari sahaja?  Allah berfirman tentang sangkaan mereka ini di dalam Ma’idah:18,

وَقَالَتِ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَىٰ نَحْنُ أَبْنَاءُ اللَّهِ وَأَحِبَّاؤُهُ ۚ قُلْ فَلِمَ يُعَذِّبُكُم بِذُنُوبِكُم ۖ بَلْ أَنتُم بَشَرٌ مِّمَّنْ خَلَقَ
“Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani berkata: ‘Kami adalah anak-anak Allah dan kekasih-kekasih-Nya’. Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Jika demikian, mengapa Dia menyeksa kamu dengan dosa-dosa kamu?’ (Tidak), bahkan kamu adalah manusia (biasa) di antara manusia lain yang diciptakan-Nya…”

Dan Allah berfirman yakinnya mereka akan selamat di dalam Baqarah:80

وَقَالُوا لَن تَمَسَّنَا النَّارُ إِلَّا أَيَّامًا مَّعْدُودَةً ۚ قُلْ أَتَّخَذْتُمْ عِندَ اللَّهِ عَهْدًا فَلَن يُخْلِفَ اللَّهُ عَهْدَهُ ۖ أَمْ تَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ
“Dan mereka berkata: ‘Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka melainkan selama beberapa hari yang tertentu sahaja.’ Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Adakah kamu sudah mendapat janji daripada Allah sehingga Allah tidak akan menyalahi janji-Nya, atau kamu hanya mengatakan terhadap Allah sesuatu yang tidak kamu ketahui?'”

Adakah kita juga rasa kita selamat? Dalam sebuah eksperimen psikologi yang terkenal (The Invisible Gorilla” (Gorila yang Tidak Kelihatan) yang dijalankan oleh Christopher Chabris dan Daniel Simons pada tahun 1999), sekumpulan peserta diminta untuk menonton video pendek dan mengira bilangan hantaran bola keranjang di antara pemain yang memakai baju putih. Semasa mereka begitu fokus dengan tugasan itu, sesuatu yang aneh berlaku: seorang individu yang memakai kostum gorila berjalan perlahan-lahan melintasi skrin, berhenti di tengah, menepuk dadanya, dan kemudian berjalan keluar. Hasilnya mengejutkan—majoriti besar peserta langsung tidak perasan akan “gorila” tersebut. Tetapi apakah kaitan eksperimen aneh ini dengan kehidupan kita? Dan apakah ‘gorila’ yang mungkin kita terlepas pandang setiap hari?

Fenomena yang ditunjukkan dalam eksperimen itu dikenali sebagai inattentional blindness atau “buta kerana tidak prihatin”. Ia adalah kecenderungan psikologi manusia di mana apabila kita terlalu menumpukan perhatian pada satu perkara, kita boleh menjadi buta kepada perkara lain, walaupun ia sangat jelas dan berada tepat di hadapan mata kita.

Apakah kaitannya dengan agama? Sebagaimana di dalam ujian itu, insan beragama juga boleh begitu terlatih dalam ritual sehingga terlepas pandang mesej kemanusiaan yang menjadi intipati agama itu sendiri. Seseorang boleh menjadi terlalu fokus pada aspek teknikal — seperti mengkaji hukum-hakam, tatacara ibadah, atau analisis tatabahasa kitab suci — sehingga mereka buta terhadap isu etika dan keadilan yang berada tepat di hadapan mereka. Mereka mungkin tidak nampak ketidakadilan yang telah dilakukan terhadap orang lain yang berada di hadapan mata mereka sendiri. 

Satu lagi kajian yang lebih membimbangkan melibatkan radiologis — pakar yang tugasnya adalah untuk mengesan kelainan yang sangat kecil pada imbasan perubatan. Apabila imej kecil seekor gorila diletakkan di dalam imbasan x-ray paru-paru, 83% daripada pakar ini gagal melihatnya. Fikiran mereka begitu terlatih untuk mencari satu jenis maklumat (seperti lesi atau tumor) sehingga mereka secara mental terlepas pandang sesuatu yang sangat luar biasa tetapi tidak dijangka. Fenomena ini bukan sekadar keanehan psikologi; ia mendedahkan bagaimana kepakaran dan fokus yang mendalam boleh menjadi sejenis titik buta yang berbahaya.

Di dalam Ayat 105 kita telah lihat golongan yang melihat sahaja tanda pada alam tapi mereka buat tidak tahu. 

وَڪَأَيِّن مِّن ءَايَةٍ فِى ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلأَرضِ يَمُرُّونَ عَلَيهَا وَهُم عَنهَا مُعرِضُونَ
Dan berapa banyak sekali tanda-tanda (kekuasaan Allah) di langit dan di bumi yang mereka melaluinya, sedang mereka berpaling dari padanya.

Kali ini di dalam ayat ini Allah sebut mereka tidak perasan pun: وَهُم لَا يَشعُرُونَ (sedang mereka tidak menyedarinya). Maka begitu jugalah dengan eksperimen gorila ini, memberikan contoh bagaimana manusia apabila fokus kepada sesuatu, mereka tidak nampak benda lain. Begitulah kalau manusia fokus kepada dunia, maka mereka lupa kepada akhirat dan tanda-tanda yang mengingatkan mereka kepadanya. Jadi ini mengajar kita untuk buka mata dan perhatikan sekeliling akan tanda-tanda yang Allah berikan kepada kita sebagai peringatan. 

Dan perkara ini juga boleh terjadi kepada ‘orang agama’. Kita mungkin belajar dan mengajar tentang agama dan kita fokus kepada perincian hukum itu dan ini, perincian tentang nahu dan balaghah bahasa Al-Qur’an dan sebagainya, kadangkala kita terlupa dengan perkara yang berlaku di sekeliling kita. Mungkin ada saudara mara kita yang memerlukan bantuan, kepada orang yang dibuli, kepada isteri yang memerlukan belaian kasih kita dan apa-apa sahaja hal dalam kehidupan kita; hanya kerana kita fokus kepada ilmu. Mendalami ilmu itu memang penting, tapi kalau ia tidak diamalkan dalam kehidupan kita, itu adalah sesuatu yang menyedihkan.

Dan bagaimana dengan kejadian demi kejadian yang berlaku di sekeliling kita? Sebagai contoh, ada orang di sekeliling kita yang jatuh sakit, meninggal, ditimpa kemalangan dan sebagainya. Bukankah itu tanda yang hidup ini rapuh dan Allah boleh berikan apa sahaja musibah kepada kita? Bukankah kematian  yang berlaku kepada orang lain itu boleh sahaja datang kepada kita bila-bila masa? Adakah kita rasa aman? أَفَأَمِنُوٓاْ أَن تَأتِيَهُم غَـٰشِيَةٌ مِّن عَذَابِ ٱللَّهِ (Apakah mereka merasa aman dari kedatangan seksa Allah yang meliputi mereka?) Tidakkah semua yang terjadi itu menjadi tanda kepada kita untuk memerhatikan kehidupan kita, adakah ia selari dengan agama? Adakah ia selari dengan akhlak yang mulia?

Satu lagi ‘gorila’ yang sering kita terlepas pandang ialah akibat daripada perbuatan kita sendiri. Ini adalah sejenis ‘buta kerana tidak prihatin’ yang berbeza — bukan disebabkan oleh tumpuan yang mendalam pada tugasan lain, tetapi akibat tindakan sengaja dan berulang kali mengabaikan sesuatu sehingga ia seolah-olah lenyap dari kewujudan psikologi kita. Fikirkan satu analogi seorang pelajar yang terus berkata, “nanti saya buat” setiap kali tugasan diberikan. Pada mulanya, ia adalah penangguhan yang disedari. Tetapi selepas mengabaikan peringatan berkali-kali, tugasan itu seolah-olah “hilang dari fikiran mereka”. Mereka tidak lagi memikirkannya, sehinggalah hari peperiksaan tiba dan mereka terkejut, sama sekali tidak bersedia.

Analogi ini selari dengan kehidupan rohani kita. Apabila kita berulang kali mengabaikan tanda-tanda atau peringatan daripada Tuhan, kita mula membina rasa selamat yang palsu. Kita mula percaya bahawa hari perhitungan tidak akan pernah tiba. Rasa selamat ini diperkuatkan lagi apabila tiada akibat serta-merta yang menimpa kita. Contoh: “Aku berbohong tetapi lidah saya tidak disambar petir… Nampaknya aku terlepas, tidak ada apa-apa pun.” Sikap ini membuatkan kita semakin selesa dalam kelalaian, tanpa menyedari bahaya yang sedang menghampiri.

Akhir sekali kita perhatikan susunan وَهُم لا يَشعُرونَ. Kalimah هُم (mereka) itu kalau tidak ada, terjemahan itu pun sudah lengkap. Ia boleh jadi begini dan ia telah lengkap: أَو تَأتِيَهُمُ السّاعَةُ بَغتَةً وَلا يَشعُرونَ. Maksud ‘mereka’ sudah ada di dalam kalimah يَشعُرونَ (mereka menyedari). Jadi kalimah هُم adalah tambahan dan ia mempunyai makna yang mungkin tidak jelas bagi sesetengah orang. Ia menegaskan kepada kita yang mereka sahaja yang tidak perasan, sedangkan ada sahaja orang yang perasan. Macam analogi pelajar yang lalai belajar dan tidak perasan tentang peperiksaan yang ‘tiba-tiba’ datang bagi dia. Sedangkan pelajar lain tahu sahaja kerana guru sentiasa mengingatkan mereka. Tapi pelajar lalai itu sahaja yang sibuk main game, sibuk berpeleseran.

Jadi Ayat 107 ini memberikan amaran keras tentang rasa selamat yang palsu ini. Ia menyebut dua jenis akibat yang boleh menimpa mereka yang terus-menerus mengabaikan tanda-tanda Tuhan:

1. Hukuman yang menyelubungi (ghashiyah) di dunia ini: Ini adalah hukuman yang datang meliputi seseorang dalam kehidupan ini. Ia boleh datang dalam pelbagai bentuk — bencana ekonomi, tragedi keluarga, krisis politik, atau apa sahaja musibah yang boleh menjadi ghashiyah. Ia bukanlah hukuman terakhir, tetapi “rasa” atau pra-tonton kecil daripada akibat penuh perbuatan kita.

2. “Saat” (as-sa’ah) yang datang secara tiba-tiba (baghtatan): Ini merujuk kepada Hari Kiamat itu sendiri, yang akan datang tanpa sebarang amaran — secara mengejut dan tidak dijangka. Apabila ia tiba, tiada lagi ruang untuk persediaan.

Ironinya amat jelas: orang yang merasa paling selamat adalah orang yang sebenarnya berada dalam bahaya yang paling besar. Mengapa? Kerana mereka adalah yang paling tidak bersedia. Tumpuan mereka pada keseronokan duniawi, penangguhan, dan rasa selamat yang palsu telah membutakan mereka daripada realiti akhir yang pasti akan datang.

Apakah pengajaran kepada kita? Jangan kita salah sangka yang peringatan ini bagi orang kafir sahaja. Ia juga untuk kita orang Muslim kerana abang-abang Nabi Yusuf itu juga Muslim, bukan? Malah mereka itu anak seorang Nabi! Lihat, anak Nabi pun boleh lalai, apatah lagi kita. Terutama sekali kalau kita tidak beringat-ingat dan lupa malah menjauhkan diri dari peringatan wahyu. Bermula daripada satu eksperimen psikologi yang mudah, kita dapat melihat satu kecenderungan mendalam dalam diri manusia: kita boleh terlepas pandang perkara yang paling penting dan paling jelas apabila tumpuan kita berada di tempat lain. Sama ada kita terlalu fokus pada ritual sehingga mengabaikan etika, atau terlalu sibuk dengan dunia sehingga melupakan akhirat, kita semua berisiko menjadi buta kepada “gorila” dalam hidup kita.

Kita semua mempunyai fokus, keutamaan, dan gangguan kita sendiri. Persoalannya ialah: Apakah ‘gorila’ yang jelas tetapi tersembunyi dalam hidup anda sekarang, yang menuntut perhatian anda?

 

Berikut adalah beberapa pengajaran ringkas:

Bahaya Dosa “Merasa Aman” daripada Azab: Merasa aman semasa melakukan maksiat (Al-Amnu min ‘adhab Allah) adalah satu dosa besar kerana ia menunjukkan kesombongan, kelalaian, dan kurangnya rasa takut kepada Allah. Seorang mukmin seharusnya sentiasa berada di antara rasa takut (khauf) dan harap (raja’).

Azab Dunia yang Menyelubungi (Ghashiyah): Allah boleh mengenakan azab yang meliputi manusia secara menyeluruh sehingga mereka tidak dapat melarikan diri. Azab ini tidak semestinya dalam bentuk bencana alam, tetapi boleh hadir dalam bentuk kematian orang tersayang, kemalangan, kebangkrapan, atau penyakit kronik.

Fenomena “Buta Kerana Terlalu Fokus” (Inattentional Blindness): Apabila manusia terlalu menumpukan perhatian kepada urusan dunia, mereka boleh menjadi “buta” terhadap tanda-tanda kekuasaan Allah yang jelas di hadapan mata.

Kecenderungan “Titik Buta” dalam Beragama: Orang yang mendalami agama juga berisiko menjadi buta terhadap isu etika, keadilan, dan tanggungjawab sosial (seperti mengabaikan kebajikan isteri atau keluarga) jika mereka hanya fokus kepada aspek teknikal, ritual, atau teori ilmu semata-mata.

Kedatangan Kiamat yang Mendadak: Hari Kiamat (As-Sa’ah) akan datang secara tiba-tiba (baghtatan) tanpa sebarang amaran atau tanda bagi mereka yang lalai. Pada waktu itu, sudah terlambat untuk memperbaiki amal atau bertaubat.

Rasa Selamat yang Palsu: Kelewatan azab atau ketiadaan balasan serta-merta (seperti tidak disambar petir selepas berbohong) bukan bermakna seseorang itu selamat, tetapi ia adalah perangkap kelalaian yang membuatkan manusia terus selesa dalam dosa sehingga hari perhitungan tiba.

Kekuasaan Bukan Jaminan Keselamatan: Memiliki kuasa atau kedudukan tinggi tidak bermakna seseorang boleh melakukan kezaliman sesuka hati. Sebagaimana rancangan jahat abang-abang Nabi Yusuf dan kaum Yahudi di Madinah akhirnya dibalas oleh Allah, kezaliman masa kini juga akan menerima akibatnya.

Dunia Hanya Jaminan Sementara: Keamanan dan keselesaan yang kita nikmati di muka bumi hanyalah atas jaminan dan ihsan daripada Allah. Allah berkuasa untuk menggoncangkan ketenangan tersebut pada bila-bila masa jika Dia menghendaki.

Kuiz Kefahaman

Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan maklumat daripada teks sumber.

1. Apakah maksud literal dan tafsiran bagi kalimah غَـٰشِيَةٌ (ghashiyah) dalam konteks ayat 107?

2. Bagaimanakah penambahan Ta Marbutah (ة) pada hujung kalimah غَـٰشِيَةٌ mengubah atau menguatkan maknanya?

3. Berikan dua contoh غَـٰشِيَةٌ yang boleh berlaku dalam kehidupan moden, seperti yang dihuraikan dalam teks.

4. Mengapakah “merasa aman dari azab Allah” (الأمن من عذاب الله) dianggap sebagai satu dosa besar dalam Islam?

5. Apakah perbezaan utama antara istilah غَـٰشِيَةٌ dan الغاشِيَةِ dari sudut bahasa dan makna?

6. Terangkan bagaimana Allah membalas rancangan jahat Bani Israil pada zaman Rasulullah ﷺ, yang menjadi contoh غَـٰشِيَةٌ dalam sejarah.

7. Apakah kaitan antara eksperimen psikologi “The Invisible Gorilla” dengan kelalaian manusia terhadap tanda-tanda kebesaran Allah?

8. Bagaimanakah fokus yang mendalam terhadap sesuatu perkara, seperti yang ditunjukkan oleh kajian radiologis, boleh menyebabkan “titik buta” dalam kehidupan beragama?

9. Apakah kepentingan penambahan kalimah هُم dalam frasa وَهُم لا يَشعُرونَ (sedang mereka tidak menyedarinya)?

10. Menurut teks, siapakah golongan yang sebenarnya berada dalam bahaya yang paling besar dan mengapa?

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi Berdasarkan Teks
غَـٰشِيَةٌ (Ghashiyah)
Sesuatu yang “menutup” atau “meliputi”. Merujuk kepada azab atau bencana yang menimpa ketika manusia masih hidup di dunia, datang secara menyeluruh sehingga tidak dapat melarikan diri.
مُبَالَغَةٌ (Mubalaghah)
Satu kaedah dalam bahasa Arab di mana penambahan huruf (seperti Ta Marbutah) digunakan untuk menunjukkan sesuatu pada tahap yang sangat tinggi, dahsyat, atau keterlaluan.
Ta Marbutah (ة)
Huruf di hujung kalimah feminin dalam bahasa Arab. Dalam konteks ini, ia berfungsi sebagai mubalaghah untuk menguatkan makna kalimah seperti غَـٰشِيَةٌ dan بَغْتَةً.
الأمن من عذاب الله (Al-Amnu min ‘adzabillah)
Dosa besar iaitu “merasa aman dari azab Allah”. Ia merujuk kepada sikap lalai, sombong, dan kurang rasa takut kepada Allah sehingga selesa dalam melakukan maksiat.
خَوْف (Khauf)
Rasa takut terhadap azab Allah, satu sifat yang perlu ada pada seorang mukmin.
رَجَاء (Raja’)
Rasa harap terhadap rahmat Allah, satu sifat yang perlu ada pada seorang mukmin, diseimbangkan dengan khauf.
السَّاعَةُ (As-Sa’ah)
“Saat itu”, merujuk secara spesifik kepada Hari Kiamat.
بَغْتَةً (Baghtatan)
Secara mendadak, mengejut, tiba-tiba, tanpa sebarang tanda atau amaran.
الغاشِيَةِ (Al-Ghashiyah)
Istilah khusus dengan ال yang merujuk kepada Hari Kiamat yang akan meliputi dan menghancurkan segala-galanya tanpa terkecuali.
Inattentional blindness (Buta kerana tidak prihatin)
Fenomena psikologi di mana seseorang menjadi buta atau tidak perasan kepada sesuatu yang jelas kelihatan kerana terlalu fokus kepada tugasan atau perkara lain.
وَهُم لَا يَشعُرُونَ (Wa hum laa yash’uruun)
Frasa yang bermaksud “sedang mereka tidak menyedarinya”. Penambahan هُم (mereka) menegaskan bahawa hanya golongan yang lalai sahaja yang tidak sedar.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 29 Januari 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 107 (Terlalu fokus sampai lalai)”

  1. Kunci Jawapan Kuiz
    1. Maksud غَـٰشِيَةٌ (ghashiyah): Secara literal, غَـٰشِيَةٌ bermaksud sesuatu yang “menutup” atau “meliputi”. Dalam konteks ayat ini, ia merujuk kepada azab atau bencana duniawi yang datang secara menyeluruh sehingga mangsa tidak dapat melarikan diri, seperti banjir besar atau jeritan yang membinasakan.
    2. Fungsi Ta Marbutah (ة): Penambahan Ta Marbutah (ة) berfungsi sebagai mubalaghah, iaitu untuk menunjukkan tahap yang sangat tinggi atau dahsyat. Ia menjadikan maksud غَـٰشِيَةٌ sebagai azab yang sangat dahsyat dan menutup rapat ruang mangsanya, memberikan penekanan kepada keterukan azab tersebut.
    3. Contoh غَـٰشِيَةٌ moden: Teks memberikan contoh غَـٰشِيَةٌ moden seperti kematian seseorang yang kita bergantung kepadanya, kemalangan yang menyebabkan hilang upaya, jatuh bangkrap, ditahan oleh pihak berkuasa seperti SPRM, atau menghidap penyakit yang tiada penawar.
    4. Dosa merasa aman dari azab Allah: Ia dianggap dosa besar kerana sikap ini menunjukkan kelalaian, kesombongan, dan kurangnya rasa takut (khauf) kepada Allah. Ia bertentangan dengan sifat seorang mukmin yang sepatutnya sentiasa berada di antara rasa takut dan harap (raja’), dan boleh menyebabkan seseorang terus-menerus melakukan maksiat.
    5. Perbezaan غَـٰشِيَةٌ dan الغاشِيَةِ: Perbezaannya terletak pada penambahan ال (alif lam). غَـٰشِيَةٌ adalah umum, merujuk kepada pelbagai bencana di dunia sebagai peringatan. Manakala الغاشِيَةِ adalah khusus dan dikenali, merujuk secara spesifik kepada Hari Kiamat yang akan memusnahkan segalanya tanpa ada yang terselamat.
    6. Contoh غَـٰشِيَةٌ pada Bani Israil: Allah membalas rancangan jahat mereka dengan beberapa peristiwa seperti pengusiran Bani Qainuqa’ dan Bani Nadhir dari Madinah, hukuman mati ke atas kaum lelaki Bani Quraizhah, serta penaklukan benteng Khaibar. Hukuman ini melenyapkan kuasa dan pengaruh mereka di Madinah.
    7. Kaitan “The Invisible Gorilla”: Eksperimen ini menunjukkan fenomena inattentional blindness, di mana fokus yang terlampau pada satu perkara menyebabkan kita buta kepada perkara lain yang jelas. Ini dianalogikan dengan manusia yang terlalu fokus kepada dunia sehingga mereka buta dan lalai terhadap tanda-tanda akhirat yang jelas di sekeliling mereka.
    8. “Titik buta” dalam beragama: Kajian radiologis menunjukkan bagaimana kepakaran boleh mewujudkan titik buta, di mana mereka terlepas pandang imej gorila kerana terlalu fokus mencari tumor. Ini sama seperti “orang agama” yang mungkin terlalu fokus pada aspek teknikal seperti hukum-hakam sehingga mereka buta terhadap isu etika, keadilan, atau keperluan insan di sekeliling mereka.
    9. Kepentingan kalimah هُم: Penambahan هُم (mereka) dalam frasa وَهُم لا يَشعُرونَ menekankan bahawa hanya mereka (golongan yang lalai) sahaja yang tidak menyedari kedatangan Kiamat. Ini membayangkan bahawa ada golongan lain (orang yang beriman dan waspada) yang sentiasa sedar dan bersedia.
    10. Golongan dalam bahaya terbesar: Orang yang merasa paling selamat adalah yang berada dalam bahaya paling besar. Ini kerana rasa selamat yang palsu itu membuatkan mereka menjadi golongan yang paling tidak bersedia untuk menghadapi hukuman Allah atau Hari Kiamat.

    Like

Leave a reply to CelikTafsir Cancel reply