Tafsir Surah Yusuf Ayat 103 – 104 (Kebanyakan manusia takkan beriman)

Yusuf Ayat 103: Ayat Zajrun (teguran). Adakah semua manusia akan ambil pengajaran daripada kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini? Tidak, kerana itu di dalam Ayat 103 – 110 secara ringkasnya Allah ‎ﷻ memberitahu dua perkara kepada Nabi Muhammad ﷺ:

1. Yang mendengar dakwah baginda kebanyakannya akan menolak kebenaran.

2. Apa yang baginda perlu lakukan.

Apabila kita mendengar tentang Surah Yusuf, fikiran kita sering kali tertumpu kepada kisah epik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ — sebuah naratif yang penuh dengan kesabaran luar biasa dalam menghadapi pengkhianatan, fitnah, dan pemenjaraan, yang akhirnya membawa kepada kemenangan dan pertemuan semula yang mengharukan. Ia adalah lambang harapan. Namun, pernahkah kita terfikir bahawa di sebalik kisah agung ini, terselit sebuah dialog yang sangat peribadi dan mendalam di penghujung surah? Dialog ini bukanlah antara Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan keluarganya, tetapi sebuah konsolasi intim antara Allah ﷻ dan utusan terakhir-Nya, Nabi Muhammad ﷺ, semasa baginda melalui saat-saat yang paling getir. Di sinilah terletaknya beberapa pengajaran paling kuat tentang cara menghadapi situasi yang kelihatan mustahil, menawarkan perspektif yang jarang kita renungkan. Mari kita selami mesej-mesej tersembunyi ini, yang diturunkan khas untuk menguatkan hati Rasulullah ﷺ — dan juga hati kita.

وَمَآ أَڪثَرُ ٱلنَّاسِ وَلَو حَرَصتَ بِمُؤمِنِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And most of the people, although you strive [for it], are not believers.

(MALAY)

Dan sebahagian besar manusia tidak akan beriman — walaupun kamu sangat menginginkannya.

 

Nabi Muhammad ﷺ tentu berfikir, kalau sudah ada kisah ini, tentu ramailah nanti orang Yahudi akan masuk Islam, kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini adalah Nabi besar mereka juga. Tentu mereka akan dapat lihat bagaimana kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu ada persamaan dengan kisah Nabi Muhammad ﷺ. Walaupun Nabi ﷺ ada berperasaan begitu, tetapi Nabi ﷺ diberitahu dalam ayat ini, jangan berharap sangat kerana walaupun baginda berharap sangat akan ramai yang masuk Islam, tetapi ramai antara mereka tidak akan beriman. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu Nabi ﷺ kalau mereka tidak beriman, kekurangan bukan pada Nabi Muhammad ﷺ tetapi pada mereka. Tidak ada salah dalam cara dakwah baginda.

Untuk memahaminya, perhatikan struktur menakjubkan dalam ayat 103 ini: وَمَآ أَكْثَرُ ٱلنَّاسِ وَلَوْ حَرَصْتَ بِمُؤْمِنِينَ “Dan kebanyakan manusia tidak akan beriman, walaupun engkau sangat inginkannya.” Kalimah حَرَصْتَ daripada kata dasar: ح ر ص yang bermaksud menginginkan sesuatu sangat, berharap sangat, mendambakan. Ia seperti digunakan terhadap puak Yahudi yang sayang sangat kehidupan dunia seperti disebut di dalam Baqarah:96

وَلَتَجِدَنَّهُم أَحرَصَ النّاسِ عَلىٰ حَيَوٰةٍ وَمِنَ الَّذينَ أَشرَكوا
Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu setamak-tamak manusia kepada hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya mereka kepada hidup itu) melebihi loba orang-orang kafir musyrik.

Jadi, kalimah حرص adalah apabila segala usaha ditumpukan untuk mendapatkan prioriti utama dalam hidup seseorang. Bagi Yahudi, kehidupan dunia. Bagi Nabi Muhammad ﷺ pula, baginda mahu sangat manusia beriman. Kalimah yang sama digunakan untuk Nabi Muhammad ﷺ di dalam Tawbah:28

لَقَد جاءَكُم رَسولٌ مِّن أَنفُسِكُم عَزيزٌ عَلَيهِ ما عَنِتُّم حَريصٌ عَلَيكُم بِالمُؤمِنينَ رَءوفٌ رَّحيمٌ
Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul daripada kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin.

Di dalam hadith pula kita boleh lihat apakah perasaan baginda,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “إِنَّمَا مَثَلِي وَمَثَلُ أُمَّتِي كَمَثَلِ رَجُلٍ اسْتَوْقَدَ نَارًا، فَلَمَّا أَضَاءَتْ مَا حَوْلَهَا جَعَلَ الْفَرَاشُ وَهَذِهِ الدَّوَابُّ الَّتِي تَقَعُ فِي النَّارِ يَقَعْنَ فِيهَا، فَجَعَلَ يَنْزِعُهُنَّ وَيَغْلِبْنَهُ فَيَقْتَحِمْنَ فِيهَا، فَأَنَا آخُذُ بِحُجَزِكُمْ عَنِ النَّارِ، وَأَنْتُمْ تَقَحَّمُونَ فِيهَا”
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Rasulullah ﷺ bersabda: “Perumpamaanku dengan umatku adalah seperti seorang lelaki yang menyalakan api. Apabila api itu menerangi keadaan sekelilingnya, keloncong (serangga kecil) dan binatang-binatang yang biasa hinggap di api itu pun mula menjatuhkan diri ke dalamnya. Lelaki itu cuba menghalang mereka, tetapi mereka tetap meluru masuk ke dalam api tersebut. Begitulah aku, aku memegang tali pinggang kamu (menarik kamu) supaya jangan jatuh ke dalam neraka, sambil berkata: ‘Menjauhlah dari api! Menjauhlah dari api!’ Namun kamu mengalahkan aku (melepaskan diri) dan melompat ke dalamnya.”

(Sahih Bukhari No. 6483 dan Muslim No. 2284) 

Baik, kita lihat semula susunan وَمَآ أَكْثَرُ ٱلنَّاسِ وَلَوْ حَرَصْتَ بِمُؤْمِنِينَ. Dari sudut linguistik Arab, ayat ini mempunyai keunikan yang mendalam. Frasa وَلَوْ حَرَصْتَ (walaupun engkau sangat inginkannya) diletakkan di tengah-tengah ayat utama. Ini dipanggil jumlah mu’taridah (ayat sisipan atau ayat celahan). Yang penting hendak disampaikan di sini adalah وَمَآ أَكْثَرُ ٱلنَّاسِ بِمُؤْمِنِينَ. Cuma di tengah-tengahnya Allah ‎ﷻ tambah/selit وَلَوْ حَرَصْتَ. Mengapa struktur ini begitu penting dari segi emosi? Kerana Allah Maha Mengetahui hati Rasul-Nya. Apabila mendengar berita bahawa kebanyakan kaumnya tidak akan beriman, naluri pertama Rasulullah ﷺ adalah untuk menyalahkan diri sendiri. Baginda akan berfikir, “Mungkin aku tidak berusaha cukup keras. Mungkin ada sesuatu lagi yang boleh aku lakukan.”

Jadi kenapa Allah ‎ﷻ selitkan frasa وَلَوْ حَرَصْتَ? Allah ‎ﷻ menyusun ayat ini secara spesifik untuk mengesahkan usaha Nabi ﷺ sebelum menyampaikan berita itu, dengan itu menghalang sebarang kebarangkalian untuk menyalahkan diri sendiri dan berputus asa. Seolah-olah Allah ﷻ berkata, “Aku tahu engkau telah memberikan segalanya. Aku saksikan setiap titisan peluh dan air matamu. Usahamu sudah sempurna.” Hanya selepas memberikan pujian dan pengiktirafan ini, barulah Allah ﷻ menyampaikan hakikat yang pahit: بِمُؤْمِنِينَ (…mereka tidak akan beriman). Ini adalah tanda cinta dan belas kasihan Allah yang mendalam, satu pelukan ilahi untuk menenangkan hati Rasul-Nya.

Allah ﷻ beritahu yang kebanyakan mereka tidak akan beriman, padahal mereka juga yang mulanya bertanya tentang kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Kaum musyrikin Mekah dan orang-orang Yahudi pernah mengajukan pertanyaan kepada Nabi Muhammad ﷺ tentang kisah Nabi Yusu عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Hal ini terjadi kerana para ulama Yahudi ingin menguji kebenaran kenabian Nabi Muhammad ﷺ. Ini kerana Musyrikin Mekah sudah buntu tentang apa yang mereka lakukan untuk membuat Nabi Muhammad ﷺ senyap. Lalu, mereka pergi berjumpa dengan pendeta Yahudi untuk memberi mereka idea tentang soalan yang mereka rasa Nabi Muhammad ﷺ tidak mungkin dapat menjawabnya. Jadi, puak Yahudi itu meminta para pembesar musyrikin Mekah untuk menanyakan kepada Nabi Muhammad ﷺ tentang kisah Nabi Yusuf dan alasan keluarga Ya’qub pindah dari Syam ke Mesir. Tujuan mereka adalah untuk menguji apakah Nabi Muhammad ﷺ mengetahui kisah tersebut, kerana kisah Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hanya diketahui oleh ahli kitab dan tidak diketahui oleh bangsa Arab pada waktu itu. Ini juga mengajar kita bahawa kadang-kadang orang bertanya soalan memang hendak tahu, tetapi kadangkala ada yang hendak menguji kita sahaja dan tujuan mereka adalah untuk menjatuhkan kita melalui soalan perangkap sahaja; jadi kita kena berhati-hati dengan soalan.

Ketika pertanyaan itu diajukan, Allah ‎ﷻ menurunkan Surah Yusuf yang berisi kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ secara lengkap. Nabi Muhammad ﷺ menceritakan kisah tersebut dengan lengkap yang sesuai dengan apa yang ada dalam Taurat, sehingga membuat orang-orang Yahudi terkejut dan kehairanan. Mereka bertanya, “Dari mana engkau mengetahui ini, wahai Muhammad?” Nabi ﷺ menjawab, “Allah yang mengajarkan kepadaku.” Namun, meskipun kisah yang disampaikan Nabi Muhammad ﷺ sesuai dengan kitab mereka, kebanyakan daripada mereka tetap tidak beriman. Walaupun mungkin mereka ada berjanji kalau Nabi ﷺ boleh jawab, mereka akan beriman. Akan tetapi walaupun setelah disampaikan, mereka tetap berdegil, kerana mereka bukan hendak beriman pun sebaliknya hendak menguji sahaja. Sambil mencari-cari jalan bagaimana mereka boleh menjatuhkan baginda.

Perhatikan juga penggunaan ما di dalam ayat ini yang kalau diterjemahkan, ia bermaksud ‘tidak’. Akan tetapi, di dalam bahasa Arab, kalimah ‘tidak’ ada berbagai jenis. Ada ما, ada لا, ada لن. Kalau digunakan ما, ia bermaksud menidakkan kata-kata atau fahaman seseorang. Jadi ia menidakkan anggapan Nabi Muhammad ﷺ yang sangka (dan berharap) kalau baginda jawab soalan mereka, mereka akan beriman. Allah ‎ﷻ kata ما, tidak.

 

MAJORITI

Kalimah ٱلنَّاسِ di dalam ayat ini boleh ditafsirkan dengan banyak cara dan ulama’ khilaf tentangnya.

1. Ia merujuk kepada masyarakat yang di sekeliling Rasulullah ﷺ ketika itu. Kebanyakan mereka menolak dakwah dan kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ. Ini adalah pendapat Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا. Walaupun digunakan kalimah ٱلنَّاسِ seolah-olah merujuk kepada manusia yang ramai, yang dimaksudkan adalah orang-orang tertentu sahaja. Contohnya begini, kalau kita sedang melepak di kedai tetapi dengar orang bising-bising. Kita pun kata, “Manusia sekarang takde adab!” Kita sebut ‘manusia’, tetapi yang kita maksudkan adalah orang-orang di situ sahaja, bukan?

2. Pendapat lain mengatakan ia merujuk kepada keseluruhan manusia.

3. Ada yang kata berkenaan orang Munafik

4. Ada yang berkata tentang Ahli Kitab.

Telah menjadi ketentuan Allah ‎ﷻ, hanya 1/1000 sahaja yang akan masuk syurga seperti disebut di dalam sebuah hadith, yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Rasulullah ﷺ bersabda:

يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: يَا آدَمُ، فَيَقُولُ: لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ فِي يَدَيْكَ، فَيَقُولُ: أَخْرِجْ بَعْثَ النَّارِ، قَالَ: وَمَا بَعْثُ النَّارِ؟ قَالَ: مِنْ كُلِّ أَلْفٍ تِسْعَ مِائَةٍ وَتِسْعَةً وَتِسْعِينَ، فَعِنْدَهُ يَشِيبُ الصَّغِيرُ، وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا، وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَى وَمَا هُمْ بِسُكَارَى وَلَكِنَّ عَذَابَ اللَّهِ شَدِيدٌ
Allah Ta’ala berfirman: “Wahai Adam!” Maka Adam menjawab: “Labbaik wa sa’daik (Aku penuhi panggilan-Mu dengan ketaatan), dan segala kebaikan ada di tangan-Mu.” Lalu Allah berfirman: “Keluarkanlah pasukan penghuni neraka!” Adam bertanya: “Apakah pasukan penghuni neraka itu?” Allah berfirman: “Dari setiap seribu orang, keluarkanlah sembilan ratus sembilan puluh sembilan orang!” (Rasulullah melanjutkan:) “Pada saat itulah anak kecil menjadi beruban, setiap perempuan yang hamil akan menggugurkan kandungannya, dan kamu akan melihat manusia dalam keadaan mabuk padahal sebenarnya mereka tidak mabuk, tetapi azab Allah itu sangatlah pedih.”

Imam Bukhari (No. 3348) dan Imam Muslim (No. 222)

Namun begitu, mari kita perhatikan dari segi bahasa pula akan kalimat وَمَآ أَكْثَرُ ٱلنَّاسِ بِمُؤْمِنِينَ. Ia bukanlah bermaksud manusia ‘tidak akan’ beriman. Kalau yang hendak diberitahu mereka takkan beriman, kalimat yang sepatutnya adalah, وَمَآ أَكْثَرُ ٱلنَّاسِ لن يؤمنوا. Memang sekarang mereka tidak mahu beriman, tetapi tidaklah sampai mereka langsung takkan beriman. Kerana nanti ketika Pembukaan Mekah di atas kemenangan umat Islam, kebanyakan daripada Musyrikin Mekah itu akan beriman, bukan? Ini seperti disebut di dalam Nasr:1-2

إِذَا جَآءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ (١) وَرَأَيۡتَ ٱلنَّاسَ يَدۡخُلُونَ فِى دِينِ ٱللَّهِ أَفۡوَاجًا (٢)
Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah); (1) Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai; (2)

Jadi di dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu, Allah ‎ﷻ memberi contoh kepada Nabi Muhammad ﷺ apa yang baginda lalui. Baginda telah berusaha sehabis mungkin untuk menyampaikan agama Islam kepada mereka, tapi mereka tetap degil untuk beriman. Dan di dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kita melihat bagaimana abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ enggan mendengar cakap. Tentu Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mengajar mereka adab-adab yang baik, bukan? Tapi mereka walaupun mengaku Muslim, mereka tetap tidak mendengar cakap dan ajaran ayah mereka sendiri, seorang Nabi!

Ayat ini secara jelas menyatakan bahawa “kebanyakan manusia” tidak akan beriman. Ini membawa kita kepada satu pengajaran penting: majoriti bukanlah ukuran kebenaran. Majoriti sering kali sukar untuk diubah, sama seperti sebuah kapal induk yang besar memerlukan masa dan ruang yang luas untuk membelok, berbanding sebuah kanu kecil yang lincah. Lebih dari sekadar inersia, ia adalah tentang tekanan psikologi. Apabila sesuatu amalan atau kepercayaan menjadi norma, ia membentuk definisi “normal” dalam masyarakat. Sesiapa yang berani tampil berbeza—sama ada dalam cara berfikir atau beriman—akan segera dianggap “abnormal” dan “pelik”.” Mereka akan menjadi terasing, menjadi sasaran kritikan dan ejekan. Tekanan sosial untuk akur dengan majoriti amat kuat. Al-Qur’an mengesahkan realiti ini di tempat lain iaitu di dalam An’am:116

وَإِن تُطِع أَڪثَرَ مَن فِى ٱلأَرضِ يُضِلُّوكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ‌
Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; 

Dalam hal kebenaran rohani dan moral, pemikiran majoriti cenderung bersifat materialistik. Oleh itu, jangan pernah mengukur kebenaran berdasarkan bilangan pengikut. Kebenaran tetaplah kebenaran, walaupun hanya dipegang oleh segelintir orang.

Akan tetapi ini bukanlah boleh dijadikan alasan untuk tidak terus berdakwah. Seorang Nabi dan seorang pendakwah tidak boleh kenal putus asa. Memang ramai yang tidak akan beriman, akan tetapi akan ada juga yang beriman; kita sahaja tak tahu yang mana akan beriman; maka kita kena terus berdakwah dan menyampaikan ajaran agama ini.

 

HUBUNGAN ALLAH ‎ﷻ DAN RASULULLAH

Salah satu aspek paling menyentuh di penghujung Surah Yusuf ialah bagaimana Allah ‎ﷻ berkomunikasi dengan para Nabi-Nya. Sepanjang penderitaan mereka yang bertahun-tahun, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berpegang teguh pada prinsip iman dan kesabaran. Mereka mengadu dan berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Namun, Allah ‎ﷻ tidak berdialog secara langsung dengan mereka di tengah-tengah kesusahan itu (dengan satu pengecualian penting ketika Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dilemparkan ke dalam perigi). Mereka perlu menunggu dengan sabar untuk petunjuk atau kelegaan.

Sebaliknya, pada penghujung surah ini, kita menyaksikan sesuatu yang menunjukkan cinta yang luar biasa. Allah ‎ﷻ berpaling dan bercakap secara langsung kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ketika Rasulullah ﷺ berdepan dengan kesedihan yang mendalam, Allah ﷻ tidak membiarkannya menunggu. Allah ﷻ tidak menunggu sehingga Rasul-Nya perlu membawa keluhannya; sebaliknya, Allah ﷻ secara proaktif memulakan perbualan untuk memberinya kekuatan dan harapan. Ini adalah satu penghormatan unik yang menunjukkan hubungan yang sangat rapat dan istimewa. Ini adalah bukti cinta dan hubungan intim antara Allah ﷻ dan Rasul-Nya. Ketika baginda menghadapi penolakan yang amat dahsyat, Allah ﷻ sendiri yang ‘turun’ untuk memujuk dan membimbingnya secara langsung.

Bagaimana cara Allah memujuk Rasulullah ﷺ di dalam ayat ini? Allah kata mereka tidak beriman. Allah yang kata sendiri. Kita lihat satu analogi. Katakan saya telah rekomen anda bekerja di satu syarikat kerana saya tahu anda layak dan telah ada banyak pengalaman. Mereka akan beruntung kalau ambil anda bekerja. Tapi tengok-tengok setelah sesi temu duga, mereka tidak memilih anda. Apa yang akan saya katakan: “Apa, mereka tidak memilih engkau? Bodohnya mereka!” Kenapa saya kata begitu, kerana saya hormat anda, sayang anda dan yakin dengan kebolehan anda. Saya tidak salahkan anda kerana anda memang layak, mereka yang bodoh! Maka begitulah apabila Allah menyatakan mereka tidak beriman, bukannya hendak menyalahkan Rasulullah ﷺ, tetapi mengutuk mereka yang degil dan memilih tidak beriman itu.

Dan perhatikan susunan Surah Yusuf ini. Di bahagian awal, Allah memberitahu di dalam permulaan surah ini yang surah ini adalah kisah terbaik yang diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Kemudian dalam seratus lebih ayat tentang kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan karektor-karektor yang berkaitan dan sekarang kita perhatikan yang Allah bercakap kembali kepada Nabi Muhammad ﷺ. Seolah-olah kisah itu sebenarnya diberikan untuk baginda.

Di dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu apa yang diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Baginda dapat kelebihan mentakwil mimpi, kata-kata dan situasi. Kemudian baginda diberikan kerajaan. Tapi ketika Nabi Muhammad ﷺ menerima kisah itu, apa yang Nabi Muhammad ﷺ fikir baginda dapat? Apa dia? Inilah Al-Qur’an yang telah diberikan kepada baginda yang melebihi segala-galanya, mana-mana hadiah dan pemberian. Tidak ada yang lebih hebat daripada pemberian Al-Qur’an ini. Memang ketika surah ini diturunkan, ia adalah ketika Nabi Muhammad ﷺ dalam kesedihan seperti kita telah jelaskan banyak kali sebelum ini. Akan tetapi dengan penerimaan ayat-ayat ini sahaja sudah menjadi sebagai ubat kepada Rasulullah ﷺ. Ia sudah menggembirakan Rasulullah ﷺ kerana baginda dapat rasa yang Allah ‎ﷻ tidak membiarkan baginda begitu sahaja. Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Yunus:58 

قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَٰلِكَ فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Dengan kurniaan Allah (Fadhlullah) dan rahmat-Nya (Rahmatihi), maka dengan itu hendaklah mereka bergembira (falyafrahu). Kesenangan (iman dan Al-Quran) itu lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan (dari harta benda dunia).'”

Maknanya, hendaklah kita gembira apabila belajar dan membaca Al-Qur’an. Bukannya bergembira dengan berjoget, berqasidah, melompat-lompat pula. Bukan juga bergembira dengan kekayaan dunia seperti yang disebut kepada Qarun dalam Qasas:76

إِذ قالَ لَهُ قَومُهُ لا تَفرَح ۖ إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ الفَرِحينَ
ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah kamu terlalu bangga; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri”.

Kalimah فرح di dalam ayat ini bermakna bergembira terlebih sehingga menjadi sombong dan bangga diri. Ia adalah jenis kegembiraan yang paling tinggi. Sebagai contoh, ada orang yang terlalu gembira pasukan bolanya menang sampai mereka melompat-lompat, memecahkan barang, minum arak dan memercikkan arak kepada orang ramai dan sebagainya. Di dalam ayat Qasas:76 ini disebut لا تَفرَح kerana kegembiraan berlebihan sebegitu yang dilarang. Tapi di dalam Apabila perkataan فَبِذَٰلِكَ diletakkan di awal ayat, ia menunjukkan bahawa *hanya* dengan Al-Qur’an ini sahaja yang patut kita bergembira sungguh-sungguh, bukan dengan benda yang lain. Sesiapa yang bergembira dengan benda lain sesungguhnya dia telah tertipu oleh dunia. Akan tetapi, untuk Al-Qur’an, kita disuruh di dalam ayat Yunus:58 untuk فَلْيَفْرَحُوا. Ini adalah kerana kita patut bergembira dengan penerimaan Al-Qur’an. Dan begitulah yang dialami oleh Nabi Muhammad ﷺ.


 

Yusuf Ayat 104: Allah ‎ﷻ mengutuk lagi mereka yang degil tidak mahu beriman.

وَما تَسأَلُهُم عَلَيهِ مِن أَجرٍ ۚ إِن هُوَ إِلّا ذِكرٌ لِّلعٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you do not ask of them for it any payment. It is not except a reminder to the worlds.

(MALAY)

Dan kamu sekali-kali tidak meminta upah kepada mereka (terhadap seruanmu ini), itu tidak lain hanyalah pengajaran bagi semesta alam.

 

وَما تَسأَلُهُم عَلَيهِ مِن أَجرٍ

Dan kamu sekali-kali tidak meminta upah kepada mereka

Mengapa mereka tidak mahu beriman? Adakah Nabi ﷺ minta apa-apa daripada mereka? Minta upah, minta kedudukan? Di sini Allah ‎ﷻ menegaskan yang Nabi Muhammad ﷺ tidak pernah meminta upah pun daripada umat baginda, dalam memberitahu kisah ini. Begitu juga Nabi Muhammad ﷺ tidak meminta upah dalam dakwah baginda kepada mereka, dalam mengajar agama kepada mereka. Walaupun mungkin ada yang berkata Nabi ﷺ berdakwah kerana hendakkan kuasa, hendakkan duit dan harta, tetapi Allah ‎ﷻ tekankan yang baginda bukannya minta duit daripada mereka. Baginda bukan hendakkan pengaruh juga. Baginda melakukannya kerana mencari redha Allah ‎ﷻ.

Malah Musyrikin Mekah sendiri pernah menawarkan berbagai-bagai tawaran supaya baginda berhenti berdakwah. Peristiwa ini melibatkan seorang tokoh musyrikin bernama Utbah bin Rabi’ah yang diutus sebagai wakil Quraisy untuk berunding dengan Baginda. Utbah berkata kepada pemuka Quraisy, “Biar aku pergi menemui Muhammad dan menawarkan beberapa perkara kepadanya, moga-moga dia menerima salah satunya.” Utbah datang menemui Nabi ﷺ dan berkata: “Wahai anak saudaraku, jika engkau melakukan ini (dakwah) kerana mahukan Harta, kami akan kumpulkan harta kami sehingga engkau menjadi yang paling kaya. Jika engkau mahukan Kemuliaan/Kedudukan, kami akan jadikan engkau ketua kami sehingga kami tidak akan memutuskan perkara tanpa persetujuanmu. Jika engkau mahukan Kerajaan, kami akan jadikann engkau Raja kami. Dan jika yang datang kepadamu ini adalah Penyakit (Sihir/Jin) yang engkau tidak mampu menolaknya, kami akan carikan tabib yang paling hebat dan membiayainya sehingga engkau sembuh.” Nabi ﷺ mendengar dengan tenang sehingga Utbah selesai bercakap. Baginda kemudian bertanya, “Sudah selesaikah engkau, wahai Abu al-Walid?” Utbah menjawab, “Ya.” Nabi ﷺ tidak membalas dengan kata-kata duniawi, sebaliknya Baginda membacakan wahyu Allah, iaitu Surah Fussilat (Ayat 1 sehingga 38).

Dalam riwayat lain (sering dikaitkan dengan rundingan melalui bapa saudara Baginda, Abu Thalib), Nabi ﷺ memberikan jawapan yang sangat masyhur sebagai simbol keteguhan iman: “Wahai bapa saudaraku, demi Allah, kalaupun mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku agar aku meninggalkan urusan (dakwah) ini, aku tidak akan meninggalkannya sehingga Allah memenangkannya atau aku binasa kerananya.” (Rujukan: Sirah Nabawiyah oleh Ibnu Hisyam)

Kaum Quraisy melemparkan pelbagai tuduhan kepada Nabi Muhammad ﷺ: baginda seorang penyair, ahli sihir, atau tukang cerita. Apa persamaan semua profesion ini? Semuanya dilakukan untuk mendapatkan bayaran. Dalam dunia di mana setiap orang mempunyai agenda, kita secara semula jadi akan curiga terhadap seseorang yang begitu gigih. Kita akan bertanya, “Apa sebenarnya yang kamu mahu?” Tuduhan mereka hancur berkecai apabila berdepan dengan satu hakikat yang tidak dapat disangkal: Nabi Muhammad ﷺ tidak pernah meminta walau satu sen pun untuk dakwahnya. Baginda menyampaikan mesej yang paling berharga di alam semesta dengan menyampaikan wahyu dari langit secara percuma. Ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal dalam logik duniawi. Keikhlasan mutlak baginda, dan ketiadaan sebarang agenda duniawi seperti kuasa, kemasyhuran, atau kekayaan, adalah bukti paling jelas akan kebenarannya.

Mungkin ada yang berhujah, bukankah Nabi ﷺ juga menerima hadiah daripada orang? Bukankah sebahagian daripada harta rampasan perang diberikan kepada baginda? Bukankah baginda ada mengajar umat baginda untuk bersedekah? Tidakkah ini dikira meminta juga?

Jawapannya, Nabi ﷺ tidak pernah meminta. Allah ‎ﷻ yang suruh beri kepada baginda. Perhatikan seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam Baqarah:245 مَّن ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافًا كَثِيرَةً (Siapakah orangnya yang mahu memberi pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (dengan mengeluarkan hartanya di jalan Allah), supaya Allah ‎ﷻ melipatgandakan ganjaran itu kepadanya dengan gandaan yang banyak?) Allah ‎ﷻ bukan kata beri pinjaman kepada Nabi ﷺ, tetapi يُقْرِضُ اللَّهَ iaitu kepada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ tak cakap Nabi ﷺ meminta kerana manusia apabila meminta, memang malu, bukan? Maka Allah ‎ﷻ yang mintakan. Dan pemberian kepada Nabi ﷺ pun, baginda akan beri balik kepada masyarakat.

Maka ayat ini juga mengajar kita yang kita tidak boleh meminta upah dalam mengajar agama ini kerana mengajar agama ini wajib dan belajar agama ini wajib. Kalau yang mengajar agama itu meminta upah untuk mengajar, bagaimana yang miskin boleh memenuhi kewajipannya untuk belajar kalau dia tidak ada duit untuk membayar upah kepada pengajar itu?

Ini mengajar kita cara berdakwah. Kita mestilah ikhlas dalam berdakwah dan juga mengajar. Jangan mengharapkan upah. Jangan letakkan harga (yuran) untuk mengajar kalau boleh. Ini kerana mengajar itu wajib (kalau kita ada ilmu) dan belajar juga wajib. Jadi, kalau kita letakkan harga dan kena bayar kalau belajar, maka bagaimana pula dengan orang miskin yang tidak mampu untuk membuat bayaran? Nanti di akhirat kelak mereka beralasan di hadapan Allah ‎ﷻ: “Kami buat kesalahan ini semua kerana kami jahil agama, ya Allah. Tapi bagaimana kami boleh belajar ya Allah? Kami tidak mampu kerana semua guru agama meletakkan bayaran untuk belajar dengan mereka!”

Oleh itu, guru agama kena fikirkan orang-orang yang tidak ada kemampuan untuk belajar agama kalau semua guru agama letak yuran. Kerana itulah ada guru agama yang tidak mengenakan bayaran, malah ada yang tidak terima pun bayaran daripada pelajar. Ini kerana dia takut kalau ada bayaran, akan ada sekelumit kurangnya ikhlas dalam ajarannya. Jadi lebih senang kalau ditolak terus semua. Ada ustaz yang sampaikan kalau dibayar pun masuk duit dalam sampul, nanti bila dia berjalan ke hadapan dia masukkan sampul ke dalam tabung masjid. Kerana itulah juga penulis ini tidak menerima apa-apa sumbangan daripada orang ramai yang membaca tulisan di sini.

Ingat firman Allah ‎ﷻ di dalam Hud: 15 – 16.

مَنْ كَانَ يُرِيدُ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَالَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لَا يُبْخَسُونَ
Sesiapa yang usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikit pun padanya.

أُولٰئِكَ الَّذينَ لَيسَ لَهُم فِي الآخِرَةِ إِلَّا النّارُ ۖ وَحَبِطَ ما صَنَعوا فيها وَباطِلٌ ما كانوا يَعمَلونَ
Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan.

Walau bagaimanapun, tidaklah salah untuk memberi sedekah/hadiah kepada guru agama. Terutama kalau dia sendiri tidak ada pendapatan lain. Nabi ﷺ sendiri pun ramai yang memberikan hadiah kepada baginda. Memang para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ suka untuk memberi hadiah kepada Nabi ﷺ. Mereka berbangga sekiranya Nabi ﷺ mengambil pemberian mereka dan menggunakannya. Nabi ﷺ akan mengambil dan menggunakan sedikit untuk menggembirakan hati mereka. Kemudiannya, baginda akan mengagihkan kepada para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ yang lain. Jadi bagi pelajar-pelajar yang prihatin, mereka boleh beri hadiah. Mereka juga terhutang budi dengan guru yang telah menyampaikan ilmu. Mereka hendak membalas dengan memudahkan kehidupan ustaz itu. Jadi, kalau ustaz itu memerlukan, maka dia boleh ambil dan ini tidak ada masalah. Namun begitu ketika memberi itu sebutlah ‘hadiah’ dan bukannya ‘sedekah’. Kerana sedekah ini hanya untuk orang miskin sahaja dan kadang-kadang ustaz yang mengajar itu bukanlah miskin pun. Mungkin bukan kaya raya, tetapi kalau cukup makan dan pakai, itu sudah dikira kaya sebenarnya. Sebab kalau boleh keluarkan, sebenarnya status dalam Islam adalah ‘kaya’ lah.

 

إِن هُوَ إِلّا ذِكرٌ لِّلعٰلَمينَ

ia tidak lain hanyalah pengajaran bagi semesta alam.

Baginda ditugaskan untuk menyampaikan Al-Qur’an ini secara percuma kerana wahyu ini adalah peringatan kepada manusia. Baginda menjalankan tugas baginda dengan jujur, amanah dan ikhlas.

Para mufassirin (ahli tafsir) menjelaskan maksud Al-‘Alamin di sini sebagai:

    1. Al-Thaqalayn (ال‍ثقلين): Iaitu golongan manusia dan jin. Ini kerana Al-Qur’an diturunkan sebagai petunjuk dan peringatan (Dzikr) kepada makhluk yang diberikan taklif (tanggungjawab syariat).
    2. Segenap Manusia: Tanpa mengira bangsa, warna kulit, atau darjat (berbeza dengan ajaran nabi terdahulu yang sering bersifat lokal/khusus untuk kaum tertentu sahaja).

Secara bahasa, Al-‘Alamin adalah kata jamak bagi ‘Alam. Imam Qatadah dan ramai ulama menyatakan: “Alam adalah segala sesuatu selain daripada Allah ‎ﷻ.” Walau bagaimanapun, dalam konteks ayat yang menyebut tentang “Peringatan” (Dzikr) atau “Berita Gembira/Amaran”, ia dikhususkan kepada makhluk yang berakal:

    1. Manusia
    2. Jin
    3. (Sebahagian ulama juga memasukkan Malaikat dalam kategori yang mengambil peringatan daripada keagungan wahyu, walaupun mereka tidak terikat dengan hukum halal-haram seperti manusia).

Ayat 103 ini menyatakan bahawa majoriti tidak akan beriman, yang bermakna hanya minoriti yang akan menerima mesej itu. Namun, ayat 104 diakhiri dengan satu kenyataan yang menggegarkan dunia: mesej ini adalah ذِكْرٌ لِّلْعَٰلَمِينَ (peringatan untuk seluruh alam). Bagaimana mungkin? Bagaimana mesej yang pada mulanya hanya diterima oleh segelintir orang di sebuah lembah kecil di Mekah boleh menjadi peringatan untuk seluruh dunia dan semua generasi?

Di sinilah Allah ‎ﷻ menterbalikkan persamaan manusia. Dua perkara yang paling dihargai oleh dunia, kuantiti (majoriti) dan wang (pampasan), adalah perkara yang tidak dimiliki oleh golongan minoriti ini. Namun, di sisi Allah ‎ﷻ, nilai mereka tidak terhingga. Allah ‎ﷻ seolah-olah memberitahu Nabi-Nya: “Jangan risau tentang bilangan mereka. Golongan minoriti yang beriman denganmu itu sangat bernilai dan berkuasa di sisi-Ku sehinggakan mereka akan menjadi medium untuk menyebarkan mesej ini ke seluruh pelosok dunia.” Ini adalah penegasan agung tentang prinsip “kualiti mengatasi kuantiti.” Nilai sebenar tidak terletak pada jumlah pengikut, tetapi pada kedalaman iman dan keikhlasan segelintir orang. Merekalah permata yang akan mengubah dunia.

Kerana itu kita lihat dalam sejarah, kadangkala murid seorang guru itu tidak ramai. Malah mungkin seorang sahaja. Akan tetapi, dengan seorang itu, Allah ‎ﷻ memberi keberkatan kepadanya; dia menyampaikan mesej agama kepada ribuan manusia yang lain. Maka ini mengajar kita kalau anak murid kita tidak ramai, tidak mengapalah. Terus sahaja mengajar. Entah ada di antara mereka yang menjadi lebih baik daripada kita dan dapat mengajar orang lain dengan lebih ramai lagi. Daripada sepohon pokok mungkin boleh jadi sebuah hutan pada satu masa nanti.

Walaupun para sahabat itu tidak ramai, mereka itu adalah permata yang sangat bernilai. Maka kerana itu Allah ‎ﷻ suruh Nabi ﷺ jangan tinggalkan mereka seperti disebut di dalam Kahf:28

وَٱصبِر نَفسَكَ مَعَ ٱلَّذِينَ يَدعُونَ رَبَّہُم بِٱلغَدَوٰةِ وَٱلعَشِىِّ يُرِيدُونَ وَجهَهُ ۥ‌ۖ وَلَا تَعدُ عَينَاكَ عَنہُم تُرِيدُ زِينَةَ ٱلحَيَوٰةِ ٱلدُّنيَا‌ۖ
Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia

Perkataan أَجْرًا bermaksud upah setelah melakukan kerja yang disuruh. Contohnya, apabila seorang pekerja telah melakukan kerja, dia berhak mendapat upah daripada majikannya. Maknanya, perbuatan para pendakwah itu mengajar agama kepada manusia memang layak untuk menerima upah kerana mereka telah meluangkan masa, tenaga, dan kepandaian mereka untuk menyampaikan ajaran itu. Tugas yang mereka lakukan adalah mendidik masyarakat dengan ilmu agama, dan ini adalah pekerjaan yang terbaik di dunia. Akan tetapi, walaupun mereka berhak untuk menerima upah itu, namun mereka tidak meminta upah pun. Ini kerana sebagai pendakwah, upah yang mereka harapkan hanyalah daripada Allah ‎ﷻ sahaja. Rasulullah ﷺ pernah bersabda,

“فَوَاللهِ لأَنْ يَهْدِيَ اللَّهُ بِكَ رَجُلًا وَاحِدًا، خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ”
“Demi Allah, jika Allah memberi hidayah kepada satu orang melalui perantaraanmu, maka itu lebih baik bagimu daripada unta merah.”

(Sahih Bukhari No. 4210, Muslim No. 2406)

Kisah di sebalik kisah dalam Surah Yusuf ini mengajar kita satu pelajaran yang abadi: nilai sebenar kita di sisi Allah ‎ﷻ tidak diukur oleh populariti, penerimaan majoriti, atau kejayaan material. Ia diukur oleh kualiti iman kita, usaha ikhlas kita, dan ketabahan kita untuk berpegang pada kebenaran. Allah ‎ﷻ memvalidasi usaha, bukan hasil. Dia menghargai keikhlasan, bukan bilangan.

Dalam dunia yang telah “dihinoptis oleh kuasa angka,” di mana nilai diukur melalui pengikut dan tanda suka, pengajaran akhir dari Surah Yusuf ini menyeru kita kepada satu penilaian semula yang radikal. Maka, marilah kita bertanya pada diri sendiri: Bagaimanakah kita dapat mula mengukur kejayaan kita berdasarkan nilai-nilai yang dihargai oleh Allah ‎ﷻ: keikhlasan, ketabahan, dan kualiti iman kita?

 

Habis Ruku’ 11 daripada 12 ruku’ surah ini.

 

Berikut adalah beberapa pengajaran penting yang boleh diambil:

1. Fokus kepada Usaha, Bukan Kepada Hasil

Allah memvalidasi usaha hamba-Nya, bukannya hasil akhir Walaupun Nabi Muhammad ﷺ sangat mendambakan (haris) agar kaumnya beriman, Allah menegaskan bahawa kebanyakan manusia tetap tidak akan beriman.

Struktur ayat 103 yang menyelitkan frasa “walaupun engkau sangat menginginkannya” berfungsi sebagai pujukan ilahi bagi memastikan Nabi tidak menyalahkan diri sendiri atas kedegilan kaumnya.

2. Majoriti Bukanlah Ukuran Kebenaran

Kuantiti atau bilangan pengikut bukanlah penentu kebenaran. Majoriti manusia sering kali sukar berubah kerana terikat dengan norma masyarakat dan pemikiran materialistik.

Nilai sebenar terletak pada kualiti iman dan keikhlasan segelintir orang yang memegang kebenaran, bukannya pada jumlah angka atau populariti.

3. Keikhlasan dalam Berdakwah dan Mengajar Agama

Bukti kebenaran seorang pendakwah adalah apabila dia tidak meminta upah atau pampasan material bagi ilmu yang disampaikan.

Mengajar dan belajar agama adalah satu kewajipan; oleh itu, meletakkan harga atau yuran yang tinggi boleh menghalang golongan miskin daripada menunaikan kewajipan mereka untuk belajar.

Pendakwah yang benar hanya mengharapkan ganjaran daripada Allah, kerana memberi hidayah kepada seorang manusia itu lebih baik daripada memiliki harta dunia yang paling berharga.

4. Menghargai Al-Qur’an sebagai Kurniaan Terbesar

Al-Qur’an adalah hadiah dan ubat yang paling hebat bagi hati yang sedang bersedih. 

Satu-satunya perkara dunia yang kita diperintahkan untuk benar-benar bergembira dengannya ialah kurniaan iman dan Al-Qur’an, bukannya harta benda yang bersifat sementara.

5. Berwaspada terhadap “Soalan Perangkap”

Kisah ini mendedahkan bahawa tidak semua orang yang bertanya itu benar-benar ingin tahu; ada yang bertanya sekadar untuk menguji, mencari silap, atau menjatuhkan orang lain.

Kita perlu berhati-hati dalam menjawab soalan agar tidak terjatuh ke dalam perangkap yang sengaja disediakan oleh pihak yang mempunyai agenda buruk.

6. Hubungan Intim Antara Pencipta dan Utusan-Nya

Allah menunjukkan cinta yang luar biasa dengan terus bercakap secara langsung kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk memberi kekuatan ketika baginda menghadapi penolakan dahsyat.

Apabila Allah menyatakan bahawa “mereka tidak beriman,” ia bukanlah satu teguran kepada Nabi, sebaliknya merupakan satu pembelaan terhadap kedudukan Nabi sambil mengutuk kedegilan mereka yang menolak kebenaran.

 

Kuiz Pemahaman

Jawab setiap soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan maklumat daripada teks sumber.

1. Mengapakah Nabi Muhammad ﷺ pada mulanya berharap bahawa ramai orang Yahudi akan memeluk Islam selepas mendengar kisah Nabi Yusuf AS?

2. Apakah yang dimaksudkan dengan struktur linguistik jumlah mu’taridah dalam ayat 103, dan apakah kepentingan emosinya?

3. Apakah tujuan sebenar kaum musyrikin Mekah dan orang Yahudi ketika mereka bertanya kepada Nabi Muhammad ﷺ mengenai kisah Nabi Yusuf?

4. Menurut tafsir, apakah pengajaran utama yang boleh diambil mengenai konsep “majoriti” berbanding “kebenaran”?

5. Bagaimanakah cara Allah berkomunikasi dengan Nabi Muhammad ﷺ di penghujung Surah Yusuf berbeza dengan cara-Nya berkomunikasi dengan Nabi Ya’qub dan Nabi Yusuf AS semasa cubaan mereka?

6. Walaupun Nabi Muhammad ﷺ tidak meminta bayaran, kaum Musyrikin Mekah melemparkan pelbagai tuduhan terhadap baginda. Apakah persamaan antara profesion yang dituduh (penyair, ahli sihir, tukang cerita) dan bagaimana keikhlasan Nabi membantah tuduhan tersebut?

7. Apakah hujah utama yang dikemukakan dalam teks mengenai mengapa seorang guru agama tidak sepatutnya menetapkan yuran untuk mengajar ilmu agama?

8. Apakah hadiah teragung yang diterima oleh Nabi Muhammad ﷺ melalui pewahyuan Surah Yusuf, dan bagaimanakah ia berkaitan dengan seruan untuk bergembira dalam Surah Yunus ayat 58?

9. Teks tafsir menjelaskan bahawa ayat 104 menyatakan al-Quran adalah “peringatan untuk seluruh alam” (ذِكْرٌ لِّلْعَٰلَمِينَ). Bagaimanakah pernyataan ini dapat diselaraskan dengan fakta dalam ayat 103 bahawa majoriti manusia tidak akan beriman?

10. Berdasarkan hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim, bagaimanakah Allah Ta’ala menggambarkan nisbah penghuni syurga berbanding penghuni neraka?

 

Glosari Istilah Utama

Istilah
Definisi
Ayat Zajrun
Ayat yang mengandungi teguran.
حَرَصَ (Harasa)
Menginginkan sesuatu dengan sangat, berharap sangat, mendambakan; menumpukan segala usaha untuk mendapatkan prioriti utama dalam hidup.
Jumlah Mu’taridah
Ayat sisipan atau ayat celahan yang diletakkan di tengah-tengah ayat utama untuk memberikan penekanan atau makna tambahan.
ما (Ma)
Kata nafi dalam bahasa Arab yang digunakan secara khusus untuk menidakkan kata-kata, anggapan, atau fahaman seseorang.
ٱلنَّاسِ (An-Nas)
Dalam konteks ayat 103, ulama mentafsirkannya sebagai (1) masyarakat di sekeliling Rasulullah, (2) keseluruhan manusia, (3) orang Munafik, atau (4) Ahli Kitab.
Al-‘Alamin
Kata jamak bagi ‘Alam. Ia boleh merujuk kepada segala sesuatu selain Allah, atau secara khusus dalam konteks peringatan (Dzikr), ia merujuk kepada makhluk berakal seperti manusia dan jin (Al-Thaqalayn).
فَرَحَ (Faraha)
Kegembiraan yang berlebihan sehingga menjadi sombong dan bangga diri, iaitu jenis kegembiraan yang dilarang seperti yang disebut dalam Surah Qasas:76.
فَلْيَفْرَحُوا (Falyafrahū)
Perintah untuk bergembira dengan sungguh-sungguh. Dalam Surah Yunus:58, ia merujuk kepada kegembiraan yang sepatutnya dirasai apabila menerima kurniaan Al-Quran.
أَجْرًا (Ajran)
Upah yang diterima setelah melakukan sesuatu kerja yang disuruh. Dalam konteks dakwah, ia merujuk kepada bayaran material.
Al-Thaqalayn
Dua golongan yang diberi tanggungjawab syariat, iaitu manusia dan jin.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 9 Januari 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 103 – 104 (Kebanyakan manusia takkan beriman)”

  1. Kunci Jawapan Kuiz
    1. Nabi Muhammad ﷺ berharap ramai orang Yahudi akan beriman kerana Nabi Yusuf AS adalah seorang Nabi besar dalam tradisi mereka. Baginda juga berfikir bahawa mereka akan dapat melihat persamaan antara kisah Nabi Yusuf dengan perjuangan yang baginda sendiri lalui, yang sepatutnya menjadi bukti kenabian baginda.
    2. Jumlah mu’taridah ialah frasa sisipan (وَلَوْ حَرَصْتَ – walaupun engkau sangat inginkannya) yang diletakkan di tengah ayat. Kepentingan emosinya ialah Allah mengesahkan dan memuji usaha keras Nabi terlebih dahulu sebelum menyampaikan berita pahit bahawa kebanyakan manusia tidak akan beriman, sekali gus menghalang baginda daripada menyalahkan diri sendiri.
    3. Tujuan mereka bukanlah untuk mencari kebenaran, tetapi untuk menguji dan memerangkap Nabi Muhammad ﷺ. Pendeta Yahudi memberikan soalan ini kepada kaum musyrikin Mekah yang sudah buntu cara untuk menghentikan dakwah Nabi, dengan harapan baginda tidak dapat menjawabnya dan dengan itu dapat dijatuhkan.
    4. Pengajaran utamanya ialah majoriti bukanlah ukuran kebenaran, kerana majoriti cenderung bersifat materialistik dan terikat dengan norma sosial. Teks ini memetik Surah An’am:116 yang memberi amaran bahawa jika kita menurut kebanyakan orang di bumi, mereka akan menyesatkan kita dari jalan Allah.
    5. Allah berkomunikasi secara langsung dan proaktif dengan Nabi Muhammad ﷺ untuk memujuk dan memberinya kekuatan semasa baginda berduka. Sebaliknya, Nabi Ya’qub dan Nabi Yusuf AS perlu menunggu dengan sabar untuk petunjuk atau kelegaan daripada Allah dan tidak berdialog secara langsung dengan-Nya semasa kesusahan mereka (dengan satu pengecualian ketika Nabi Yusuf di dalam perigi).
    6. Persamaan antara profesion tersebut ialah semuanya dilakukan untuk mendapatkan bayaran atau upah. Tuduhan mereka hancur apabila berhadapan dengan hakikat bahawa Nabi Muhammad ﷺ tidak pernah meminta walau satu sen pun untuk dakwahnya, membuktikan keikhlasan mutlak baginda dan ketiadaan sebarang agenda duniawi.
    7. Hujah utamanya ialah belajar dan mengajar agama adalah satu kewajipan (wajib). Jika guru agama meletakkan yuran, golongan miskin yang tidak mampu membayar tidak akan dapat memenuhi kewajipan mereka untuk belajar, lalu mereka boleh menggunakan alasan ini di hadapan Allah pada hari kiamat.
    8. Hadiah teragung yang diterima oleh Nabi Muhammad ﷺ ialah Al-Quran itu sendiri. Ini berkaitan dengan Surah Yunus ayat 58 yang memerintahkan manusia untuk bergembira (falyafrahu) dengan kurniaan dan rahmat Allah (iaitu Al-Quran), kerana ia adalah lebih baik daripada semua harta benda dunia yang dikumpulkan.
    9. Walaupun majoriti tidak akan beriman, golongan minoriti yang beriman itu sangat bernilai dan berkuasa di sisi Allah. Merekalah yang menjadi medium untuk menyebarkan mesej Islam ke seluruh pelosok dunia, membuktikan prinsip “kualiti mengatasi kuantiti” di mana nilai sebenar terletak pada keikhlasan iman segelintir orang, bukan bilangan pengikut.
    10. Dalam hadis tersebut, Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Adam untuk mengeluarkan pasukan penghuni neraka. Nisbah yang dinyatakan ialah daripada setiap seribu orang, sembilan ratus sembilan puluh sembilan (999) orang adalah untuk neraka, manakala hanya seorang sahaja yang akan masuk syurga.

    Like

Leave a comment