Yusuf Ayat 9: Keadaan ke 3. Ini adalah ujian pertama yang dihadapi oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ iaitu menerima pakatan jahat dan tipu helah saudara-saudaranya. Baginda tidak tahu pun ada perancangan ini berlaku. Selepas ini kita akan baca perbualan perancangan abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Kita akan baca petikan daripada perbualan mereka sahaja kerana tentulah mereka tidak bercakap setakat yang disebut di dalam ayat-ayat ini sahaja. Allah ﷻ hanya memberitahu kita apa yang perlu sahaja.
ٱقتُلُواْ يُوسُفَ أَوِ ٱطرَحُوهُ أَرضًا يَخلُ لَكُم وَجهُ أَبِيكُم وَتَكُونُواْ مِنۢ بَعدِهِۦ قَومًا صَـٰلِحِينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Kill Joseph or cast him out to [another] land; the countenance [i.e., attention] of your father will [then] be only for you, and you will be after that a righteous people.”¹
- i.e., You can repent thereafter.
(MALAY)
Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu daerah (yang tidak dikenal) supaya perhatian ayahmu tertumpah kepadamu saja, dan sesudah itu hendaklah kamu menjadi orang-orang yang baik”.
اقتُلوا يوسُفَ
Bunuhlah Yusuf
Kita boleh agak bahawa kata-kata dalam ayat ini adalah daripada hasutan syaitan. Inilah hasutan syaitan semenjak dahulu lagi – ingat kembali kisah Habil dan Qabil? Bukankah syaitan sentiasa menyuruh manusia membunuh manusia yang lain? Kisah Habil dan Qabil itu adalah kerana berpunca daripada perasaan cemburu dan dengki juga – sama seperti abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang cemburukan baginda. Dalam ayat ini, tidak disebut siapa yang bercakap. Maka kita boleh agak yang ini adalah perbincangan di antara mereka (setelah dihasut oleh syaitan).
Kisah Habil dan Qabil disebut di dalam Surah Maidah bermula ayat 27,
وَٱتۡلُ عَلَيۡہِمۡ نَبَأَ ٱبۡنَىۡ ءَادَمَ بِٱلۡحَقِّ إِذۡ قَرَّبَا قُرۡبَانً۬ا فَتُقُبِّلَ مِنۡ أَحَدِهِمَا وَلَمۡ يُتَقَبَّلۡ مِنَ ٱلۡأَخَرِ قَالَ لَأَقۡتُلَنَّكَۖ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ ٱللَّهُ مِنَ ٱلۡمُتَّقِينَ
Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil) dan tidak diterima (korban) daripada yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): Sesungguhnya aku akan membunuhmu!. (Habil) menjawab: Hanyasanya Allah menerima (korban) daripada orang-orang yang bertaqwa.
Begitulah syaitan telah menyebabkan mereka itu lupa agama dan lupa peri kemanusiaan. Kalau kita bandingkan sikap abang-abangnya ini pun sama seperti iblis:
1. Mereka fikir mereka lebih baik. Iblis anggap dia lebih baik daripada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana dia dijadikan daripada api dan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada tanah yang kotor katanya.
2. Mereka tidak suka dengan keputusan Allah ﷻ. Allah ﷻ telah melantik Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan anak cucunya sebagai khalifah dan Allah ﷻ telah melantik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai Nabi. Mereka tidak suka dan keputusan Allah ﷻ itu telah menyebabkan mereka jadi dengki.
3. Mereka simpan perasaan tidak puas hati di dalam diri mereka dan tidak suarakan. Tiba-tiba sahaja mereka buat tindakan. Sepatutnya kalau mereka tidak puas hati, mereka suarakanlah. Kalau iblis beritahu kepada Allah ﷻ, Allah ﷻ tentu akan jelaskan. Begitulah juga jikalau abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu berbincang dengan ayah mereka, tentu baginda boleh jelaskan keadaan itu.
4. Menyalahkan orang lain atas kesalahan mereka. Iblis menyalahkan Allah ﷻ dan adik beradik itu menyalahkan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (atau Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ).
أَوِ اطرَحوهُ أَرضًا
atau buanglah dia ke suatu bumi yang jauh
Walaupun terkeluar cadangan untuk membunuh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, namun ada juga rasa belas di hati mereka maka tidak jadi pula untuk membunuh. Jadi ada dua pilihan sama ada untuk bunuh sahaja atau dibuang jauh. Namun sebenarnya buang ke tempat yang jauh pun dikira membunuh juga, kerana entah mati kelaparan atau dimakan binatang buas. Cuma bezanya tidak dibunuh dengan tangan mereka sahaja.
Kalimah اطرَح bermaksud buang sesuatu yang dirasa tidak ada harga, seperti membuang pembalut gula-gula ke dalam tong sampah. Tidak disebut tempat yang khusus (sebab أَرضًا dalam isim nakirah [umum]), maksudnya mana-mana tempat pun, asalkan jauh daripada mereka dan tidak dikenali orang.
Perhatikan begitu teruk sekali rancangan abang-abang ini sampai hendak membunuh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Namun fikirkan balik, apa kesalahan baginda? Baginda tidak kacau mereka pun. Hanya kerana baginda baik dan disayangi oleh bapa mereka, mereka benci baginda. Begitulah kadang-kadang manusia ini benci kepada orang yang baik. Hanya kerana orang itu baik dan menyebabkan mereka nampak buruk. Begitulah dalam kes adik beradik, dalam sekolah, dalam tempat kerja. Kalau ada orang yang bagus dan baik, ada sahaja yang tidak suka. Kalau adik yang baik, yang lain berbulu sahaja, begitu juga di dalam kelas, kalau ada anak murid yang rajin hantar kerja rumah, selalu bertanya, mulalah pelajar yang lain akan pandang serong sahaja.
Akan tetapi tidaklah kita sampai membunuh kerana itu berat sangat. Namun bagaimana layanan kita kepadanya? Ada atau tidak orang sabotaj rakan sekelas atau sekerja kerana benci kepadanya? Mungkin berkata buruk tentangnya, mengutuknya, atau sekurang-kurangnya bermasam muka dan mencebik apabila orang itu lalu di hadapannya.
Kalau kedai sebelah lagi ramai orang dan lagi maju, sampai ada pekedai yang sanggup mengupah orang untuk menghantar sihir dan santau ke kedai sebelah supaya orang tidak pergi. Padahal kedai sebelah sedap masakannya dan manis layanannya kepada pelanggan, sebab itulah ramai orang datang.
Jangan kata dalam keluarga dan kelas, di dalam organisasi agama pun begitu juga. AJK masjid pun berkelahi sesama sendiri kerana hendak dapatkan kedudukan dan pengaruh dalam masjid; yang penceramah pun dengki kalau ada penceramah lain dijemput. Yang ustaz mengajar pun kalau ada ustaz lain lagi banyak dapat pendedahan, dapat anak murid, ada sahaja yang dengki. Begitulah kita ini kalau tidak jaga hati kita, akan rasa jaki, dengki dan tidak suka kalau ada orang lain yang lebih lagi dari kita. Kita lupa yang semua itu dalam urusan dan takdir Allah ﷻ, Allah ﷻ beri kelebihan kepada sesiapa yang layak.
يَخلُ لَكُم وَجهُ أَبيكُم
supaya wajah ayahmu tertumpah kepada kalian sahaja,
Kalimah يَخلُ daripada kalimah خ ل و yang bermaksud menjadi kosong; bersendirian di suatu tempat; berlalu (masa); bebas daripada sesuatu; mati; pergi. Dari sinilah terjadinya kalimah khalwah (bersendirian dengan Allah ﷻ atau bersendirian lelaki dan wanita). Apabila bersendiri, fikiran kita pun tertumpu kepada Allah ﷻ atau orang yang kita bersendiri itu. Maksud dalam ayat ini: memberi tumpuan, beri perhatian. Mereka hendakkan perhatian ayah mereka tertumpu kepada mereka sahaja (kerana selama ini mereka rasa ayah mereka hanya memberikan perhatian kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin sahaja). Bila saingan sudah tidak ada, mereka rasa ayah mereka akan sayang kepada mereka dan berikan perhatian kepada mereka.
Maksud يَخلُ satu lagi adalah bersihkan. Iaitu mereka hendak bersihkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini kerana mereka sudah tidak tahan dibandingkan dengan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka rasa mereka asyik kalah sahaja walaupun Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak bandingkan pun. Begitulah kita manusia kalau tidak ada keyakinan diri akan sentiasa membandingkan diri dengan orang lain. Kita rasa kita kena lebih baik, lebih kaya, lebih hebat daripada orang lain. Tidak kiralah dalam keluarga, dalam tempat kerja, di mana-mana sahaja. Semenjak kecil-kecil lagi kanak-kanak kita sudah rasa kena bandingkan dengan pakaian pelajar lain, beg sekolah, kasut dan sebagainya. Sampaikan kita pakai baju bukan yang kita suka tetapi kerana hendak sama dengan orang lain. Kita selalu fikir: “Apa orang kata?”. Sedangkan pandangan orang lain bukan penting pun. Dan ia menjadi lebih teruk apabila kita hendak mengalahkan ‘lawan’ kita itu seperti yang sedang dilakukan oleh abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Mereka hendak bersihkan baginda dari mata ayah mereka.
Rancangan mereka ini memang ekstrim. Begitulah apabila berbuat sesuatu kejahatan, ia menjadi lebih teruk apabila terdapat ramai orang (seperti abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini – mereka kata mereka عُصبَةٌ). Dalam psikologi, ini dipanggil ‘mob mentality’. Bila sudah ramai, mereka menjadi berani dan semua orang terikut-ikut dengan pendapat ramai dan takut untuk melawan. Katakanlah kalau seorang daripada ahli kumpulan itu bersuara melawan apa yang dikatakan oleh semua ahli kumpulan, dia pula yang akan diserang oleh kumpulan itu. Maka walaupun ada yang tidak bersetuju tetapi mereka selalunya akan mengikut sahaja kecuali kalau dia seorang yang berani.
Kita boleh lihat melalui kisah ini yang mereka adik beradik jahat ini mahukan kasih sayang ayah mereka sahaja sebenarnya. Maknanya mereka sayangkan ayah mereka itu tetapi ia adalah jenis sayang yang bengkok. Dek kerana terlalu mahukan cinta ayah, mereka sanggup melakukan perkara yang terkutuk. Begitulah nanti kita akan lihat cinta isteri Al-Aziz juga cinta yang bengkok terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Jadi perasaan cinta boleh membawa kepada perkara yang baik di mana kita sanggup melakukan apa sahaja untuk menjaga orang yang kita sayang; tetapi di dalam masa yang sama juga, ia boleh menyebabkan manusia melakukan kesalahan untuk mendapatkan cinta orang itu.
Kenapa mereka itu teruk sangat hendak mendapatkan kasih sayang ayah mereka? Kerana kasih sayang ayah amat penting bagi anak. Manusia ingin mendapatkan pengiktirafan daripada ayah barulah mereka rasa hidup mereka terpenuhi. Ada orang yang berada di dalam kedudukan yang tinggi di dalam masyarakat tetapi kalau ayah mereka tidak iktiraf mereka, mereka masih lagi ada masalah dalam mental mereka. Mereka ada “daddy issue”.
وَتَكُونُواْ مِنۢ بَعدِهِۦ قَومًا صَـٰلِحِينَ
dan sesudah itu hendaklah kamu menjadi orang-orang yang baik”.
Yang beri cadangan ini tahu bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah salah. Dia tahu yang mereka melakukan dosa. Jadi dia cadangkan selepas itu nanti, mereka jadilah orang yang baik. Maknanya mereka akan bertaubat selepas itu selepas buat jahat kali ini sahaja. Ternyata niat mereka baik sebenarnya untuk jadi orang yang baik, tetapi pada mereka ia susah selagi ada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Namun niat yang baik tetapi kalau dilakukan dengan cara yang salah, tetap salah dan berdosa.
Ini sama sahaja orang kita yang ada fahaman – tidak mengapa buat dosa, nanti bila sudah tua nanti bertaubatlah. Ini adalah kesalahan yang amat buruk sekali. Siapa yang boleh pastikan seseorang itu sempat bertaubat? Maka orang yang pandai tidak akan buat pandangan sedemikian.
Satu lagi maksud صٰلِحينَ adalah berada di dalam keadaan baik. Pada mereka, selepas Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak ada, maka kehidupan mereka akan menjadi lebih baik, tidak ada lagi anak yang menjengkelkan, yang menjadikan mereka nampak rendah dan tidak ada harga diri. Mereka bukannya hendak jadi baik dengan membaiki diri mereka tetapi dengan menjatuhkan orang lain. Inilah bahayanya kalau kita ikut perasaan dan bisikan syaitan.
Akhir sekali maksud صٰلِحينَ adalah mereka dipandang baik di mata Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana saingan mereka iaitu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah tidak ada. Inilah masalahnya apabila manusia mencari restu daripada manusia, bukannya daripada Allah ﷻ. Kita mahu dipandang baik di mana manusia dan sampai sanggup melanggar perintah Allah ﷻ. Maka kita kena selami hati kita dalam-dalam, adakah kita perlu restu daripada manusia sebenarnya? Perasaan sentiasa memerlukan persetujuan (approval) atau validasi daripada orang lain adalah masalah psikologi yang sering berlaku. Dalam dunia psikologi, ini dikenali sebagai “need for approval” atau kecenderungan untuk menjadi “people-pleaser”. Ini bukanlah sifat yang sihat jika berlebihan, kerana ia boleh memberi kesan negatif yang mendalam terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan diri.
Melalui kisah adik beradik ini kita boleh belajar tentang masalah psikologi yang menghantui ramai manusia. Berikut adalah beberapa masalah psikologi yang berkaitan dengan tingkah laku ini:
1. Superiority Complex (Kompleks Keunggulan)
Walaupun seseorang itu kelihatan sangat yakin dan hebat di luar, pakar psikologi berpendapat bahawa “superiority complex” adalah mekanisme pertahanan untuk menyembunyikan rasa inferiority complex (kompleks rendah diri) yang mendalam. Individu ini sebenarnya tidak yakin dengan kebolehan diri mereka, jadi mereka akan:
- Melebih-lebihkan pencapaian diri.
- Merendahkan atau memfitnah orang lain untuk memastikan mereka sentiasa berada di atas.
- Mengkritik usaha orang lain agar mereka kelihatan lebih mahir atau berpengetahuan.
Sabotaj adalah cara paling mudah untuk memastikan orang lain gagal, yang secara tidak langsung membuat mereka merasa lebih “unggul”. Ini bukan keyakinan diri yang tulen, tetapi tingkah laku yang didorong oleh ketakutan akan kegagalan dan penolakan.
Cara lain adalah dengan mendapatkan pujian daripada orang lain di dalam media sosial. Kerana itu kita banyak melihat manusia menaikkan ciapan berbagai-bagai untuk menarik perhatian orang, mahu menunjukkan dirinya hebat dan dia mengira kehebatan dirinya dengan berapa banyak ‘likes’ dia dapat. Akan tetapi perbuatannya itu menipu dirinya sendiri sahaja kerana apa yang ditonjolkan selalunya bukanlah realiti. Orang yang gagal dalam perkahwinan contohnya, beriya-iya hendak menunjukkan kasih sayang antara dia dan pasangannya, tetapi di sebaliknya mereka ada masalah.
2. Narcissistic Personality Disorder (Gangguan Personaliti Narsistik)
Individu dengan gangguan ini mempunyai pandangan yang melampau tentang kepentingan diri mereka sendiri dan memerlukan kekaguman yang berterusan daripada orang lain. Mereka mungkin sanggup melakukan apa sahaja, termasuk menyabotaj, untuk:
- Mendapat perhatian dan pengesahan.
- Menghapuskan ancaman kepada imej mereka yang “sempurna” dan “hebat”.
- Memastikan tiada sesiapa yang dapat menandingi mereka.
Mereka kurang empati, jadi mereka tidak merasakan sebarang rasa bersalah atau sesal atas kerosakan yang mereka lakukan kepada orang lain. Mereka melihat orang lain sebagai alat untuk mencapai matlamat peribadi mereka, iaitu untuk sentiasa menjadi yang terbaik.
3. Iri Hati (Hasad Dengki)
Hasad dengki yang melampau adalah satu lagi punca utama. Seseorang yang iri hati tidak hanya ingin memiliki apa yang orang lain miliki, tetapi mereka juga ingin melihat orang itu kehilangan apa yang mereka ada. Ini bukan lagi tentang motivasi untuk menjadi lebih baik, tetapi tentang kepuasan melihat orang lain gagal. Sabotaj menjadi cara untuk memastikan kegagalan itu berlaku. Perasaan iri hati yang tidak sihat ini boleh membawa kepada tingkah laku yang merosakkan seperti:
- Menyebarkan fitnah atau khabar angin.
- Membuat kesilapan disengajakan dalam kerja orang lain.
- Mencuri idea atau kredit.
4. Kurang Kematangan Emosi (Emotional Immaturity)
Seseorang yang tidak matang secara emosi tidak dapat menguruskan perasaan mereka dengan baik, terutamanya ketika menghadapi cabaran atau persaingan. Daripada memperbaiki diri sendiri untuk menjadi lebih baik, mereka memilih jalan pintas dengan menurunkan taraf orang lain. Ini adalah mekanisme penyesuaian yang sangat tidak sihat yang mereka gunakan kerana mereka tidak mempunyai kemahiran untuk berhadapan dengan kegagalan atau perasaan rendah diri.
Bagaimana Cara Menangani Masalah Ini?
Berhadapan dengan individu yang suka menyabotaj boleh menjadi sangat mencabar. Adalah penting untuk memahami bahawa punca tingkah laku mereka datang dari dalam diri mereka sendiri, bukan kerana anda.
- Jaga Jarak: Elakkan terlalu rapat dengan individu seperti ini jika tidak perlu. Asingkan diri kita daripada orang toksik.
- Tetapkan Batasan: Tegaskan batasan yang jelas agar mereka tidak dapat mengambil kesempatan daripada anda.
- Dokumentasikan: Simpan bukti komunikasi atau tugasan sekiranya sabotaj itu berkaitan dengan persekitaran kerja.
- Cari Bantuan Profesional: Dalam kes yang serius, individu yang melakukan sabotaj mungkin memerlukan bantuan kaunseling atau terapi untuk menangani masalah psikologi mereka.
Di dalam ajaran Al-Qur’an pula, kita diajar untuk minta perlindungan daripada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ sahaja yang mampu melindungi kita. Maka Allah ﷻ ajar di dalam Falaq:5
وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ
Dan daripada kejahatan yang dengki apabila ia dengki.
Kesimpulannya, tindakan menyabotaj orang lain demi menonjolkan diri adalah simptom kepada masalah yang lebih besar, iaitu kerapuhan psikologi dan harga diri yang rapuh. Ia adalah petanda seseorang itu tidak mampu bersaing secara sihat dan memilih jalan gelap untuk mencapai matlamat mereka.
Yusuf Ayat 10:
قَالَ قَآٮِٕلٌ مِّنهُم لَا تَقتُلُواْ يُوسُفَ وَأَلقُوهُ فِى غَيَـٰبَتِ ٱلجُبِّ يَلتَقِطهُ بَعضُ ٱلسَّيَّارَةِ إِن كُنتُم فَـٰعِلِينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Said a speaker among them, “Do not kill Joseph but throw him into the bottom of the well; some travelers will pick him up – if you would do [something].”
(MALAY)
Seorang di antara mereka berkata: “Janganlah kamu bunuh Yusuf, tetapi masukkanlah dia ke dasar sumur supaya dia dipungut oleh beberapa orang musafir, jika kamu hendak berbuat”.
قَالَ قَآٮِٕلٌ مِّنهُم
Seorang di antara mereka berkata:
Ini adalah cadangan yang ketiga (yang pertama, bunuh; yang kedua, buang ke daerah yang jauh). Atau, ia juga boleh jadi perincian kepada cadangan kedua (buang daerah, tetapi ada tempat yang tertentu kita buang Yusuf). Pendapat ini menggunakan konsep “The Lesser of Two Evils”. Pendapat majoriti dan masyhur dalam kalangan tafsir adalah pendapat ini dan orang yang bercakap ini hendak menyelamatkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Akan tetapi nanti kita akan sebutkan kritikan terhadap pendapat ini.
Tidak pasti siapakah yang berkata dalam ayat ini (walaupun dalam Bible ada disebut namanya), namun dari segi bahasa, kita tahu yang dia adalah seorang yang paling berpengaruh dalam kalangan mereka. Sebab itu digunakan kalimah قائِلٌ (yang berkata) sedangkan kalau disebut قالَ مِّنهُم, pun kita sudah faham. Jadi dia ini yang paling dihormati dalam kalangan adik beradik itu sampaikan bila dia bercakap, orang dengar.
Dia juga orang yang paling berakal dalam banyak-banyak mereka yang bodoh itu. Bodoh dan jahat itu ada yang teruk dan ada yang kurang teruk. Jadi ini yang paling kurang daripada yang teruk. Maka ada pendapat yang mengatakan (mungkin) yang berkata ini adalah abang mereka yang paling tua. Oleh kerana dia abang besar, maka dia berani untuk memberi pendapatnya yang mungkin tidak popular dengan yang lain.
لا تَقتُلوا يوسُفَ
“Janganlah kamu bunuh Yusuf,
Dia berkata jangan bunuh Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebab bunuh itu benda yang berat. Trauma tak habis makan pula nanti. Kalau hendak mendapatkan kasih ayah pun takkanlah sampai hendak kena berbuat begitu sekali. Nampak macam orang baiklah pula, tetapi nanti kita lihat lagi perbincangan tentang ayat ini.
وَأَلقوهُ في غَيٰبَتِ الجُبِّ
tetapi buanglah dia ke dasar sumur
Walaupun dia tidak sampai hati untuk membunuh, tetapi dia pun tidak suka dan benci sangat kepada Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana dia gunakan وَأَلقوهُ (buangkanlah dia). Maknanya, bukan biarkan sahaja, siap hendak buang lagi. Cadangan ini akhirnya dipilih kerana lebih bernas. Mereka tidak perlu bawa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ jauh-jauh kerana nanti orang lain (orang yang akan jumpa) yang akan bawakan ke tempat yang jauh; dan tidaklah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mati kerana duduk dalam telaga kerana sekurang-kurangnya ada air untuk baginda minum sementara menunggu diambil orang.
Kalimah غَيابَة daripada kalimah asal غ ي ب yang bermaksud tidak nampak (ghaib). Kerana itulah kubur juga dipanggil غَيابَة kerana tidak nampak apa yang ada di dalam kubur itu.
Sementara kalimah الجُبِّ bermaksud ‘telaga’ jenis yang tiada dinding. Maknanya telaga ini bukan telaga yang biasa kerana ada nama lain bagi telaga iaitu بئر (bi’ir). Kalau telaga yang ada binaan di sekelilingnya, itu adalah بئر. Ini jenis telaga di tempat orang ramai tinggal dan ada orang yang jaga dan banyak gunakan telaga itu untuk kegunaan mereka. Namun untuk yang tidak ada binaan, hanya digunakan sekali sekala sahaja, cuma ada lubang sahaja tanpa dinding, ia adalah الجُبِّ. Maknanya telaga yang mereka maksudkan ini tidak terjaga sangat kerana ia digunakan sekali sekala sahaja. Orang hanya singgah ketika di dalam musafir sahaja. Maknanya juga telaga ini jauh daripada penempatan orang ramai.
Oleh itu, غَيابَتِ الجُبِّ adalah telaga yang jauh daripada pandangan orang lain (ghaib daripada pandangan). Boleh diterjemah sebagai ‘telaga musafir’ – digunakan oleh musafir dalam perjalanan para musafir – bukannya telaga di sesuatu tempat tinggal yang banyak digunakan penduduk. Maka telaga ini adalah jenis telaga yang dikorek dan ia berada dalam perjalanan musafir dan ia jauh daripada orang ramai. Ini kerana sekali sekala sahaja orang datang ke telaga sebegitu. Atau kalimah غَيابَتِ itu bermaksud bahagian yang paling dalam dan gelap dalam telaga itu sampai kalau orang tengok ke dalam, tidak nampak apa-apa hanya kegelapan dan kalau Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjerit dari dalam telaga itu, orang luar tidak dapat dengar.
Perhatikan juga kalimah yang digunakan adalah الجُبِّ dengan ada ال makrifah jadi ia memberi isyarat yang mereka adik beradik ini tahu telaga yang mana. Mungkin mereka pernah ke sana. Mereka juga tentu tahu yang ia terletak jauh daripada orang ramai dan tidak ramai orang lalu di kawasan itu.
Jadi kita telah sebut ada pendapat yang mengatakan pilihan ini yang paling lembut berbanding pandangan yang lain. Namun begitu ia tetap juga teruk kerana mereka mahu meninggalkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ keseorangan di dalam bahagian yang gelap di dalam telaga! Entah ada apa di dalam telaga itu mungkin ada haiwan berbahaya seperti ular, kala jengking atau naga. Mereka mungkin memilih tempat ini kerana mereka tahu ada pedagang yang melalui kawasan itu dan ada kemungkinan mereka akan terjumpa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ walaupun susah. Mereka juga mungkin tahu itu bukanlah musim hujan jadi tidaklah air tinggi sangat di dalam telaga itu dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidaklah mati lemas sekurang-kurangnya.
يَلتَقِطهُ بَعضُ السَّيّارَةِ
supaya dia dipungut oleh sebahagian orang musafir,
Kalimah لقط maksudnya diambil dan kalimah الْقِطٌّ digunakan untuk budak yang dipungut dan diambil di perjalanan. Iaitu budak-budak yang hilang daripada kumpulan dan diambil oleh orang yang jahat. لقطة adalah sesuatu yang kita jumpa di tengah jalan, contohnya kita terjumpa beg duit, dan kita ambil. Di dalam fiqh, ada topik tentang luqatah iaitu barang yang dijumpai di tengah jalan dan tidak tahu siapa tuannya. Kalau ia barang berharga, perlu diiklankan selama setahun di tempat awam.
Ini adalah harapan mereka kalau mereka buang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke telaga yang jauh iaitu akan dipungut oleh orang yang tidak dikenali. Mungkin nanti akan diambil sebagai hamba dan dibawa entah ke mana. Kalimah السَّيّارَةِ daripada kata dasar س ي ر yang bermaksud mengembara, bersiar-siar, bergerak, perjalanan, caravan. Apabila ditambah kalimah menjadi السَّيّارَةِ, ia bermaksud orang yang banyak berjalan dan ini lebih kepada para pedagang kerana mereka yang banyak melakukan perjalanan. Orang biasa berjalan dan mengembara sekali sekala sahaja. Kalau zaman sekarang, kalimah السَّيّارَةِ juga digunakan untuk kereta kerana kereta banyak berjalan. Namun janganlah pula terjemah السَّيّارَةِ sebagai kereta dalam ayat ini kerana zaman itu tidak ada kereta.
Sebenarnya memang susah pun rancangan mereka ini kerana mereka mahu meletakkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di telaga yang jauh daripada orang – kebarangkalian ada orang datang ke situ adalah tipis. Mereka berfikiran, tentu ada kafilah yang akan datang ke telaga itu dalam perjalanan mereka dan nanti akan terjumpa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di situ. Dalam riwayat, ada disebut semasa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hendak dibuang ke dalam telaga itu, baginda cuba berpegang kepada baju abangnya – sampaikan bajunya tercabut dan baginda terlepas ke dalam telaga akhirnya. Disebutkan bahawa sebelum jatuh ke dasar, Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menahan dan sambut baginda dan meletakkan baginda di atas batu dalam telaga itu.
إِن كُنتُم فٰعِلينَ
jika kamu hendak berbuat”.
Yang berkata itu telah memberikan cadangannya dan dia sambung: kalau hendak buat juga. Ini adalah kata-kata untuk menyedapkan hati sahaja. Mereka itu sebenarnya buat perkara yang jahat, tetapi konon hendak berbuat baik (tidak bunuh sudah dikira baik bagi mereka). Hakikatnya, perbuatan mereka itu memang tidak baik langsung. Ini kerana mereka hendak meninggalkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di kawasan yang tidak ada orang, di mana yang jumpa itu pun adalah kafilah yang sesat sampai ke situ. Dalam riwayat disebutkan bagaimana mereka itu sepatutnya tidak sampai pun di situ kalau bukan Allah ﷻ yang bawa mereka ke situ. Maknanya, semua itu adalah dalam perancangan Allah ﷻ.
Jadi cadangan ini buruk sebenarnya akan tetapi ia dinampakkan baik pada pandangan manusia kerana tipuan syaitan. Allah ﷻ berfirman di dalam Fatir:8
“أَفَمَنْ زُيِّنَ لَهُ سُوءُ عَمَلِهِ فَرَآهُ حَسَنًا ۖ فَإِنَّ اللَّهَ يُضِلُّ مَنْ يَشَاءُ وَيَهْدِي مَنْ يَشَاءُ”
“Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperhiaskan kepadanya perbuatan buruknya lalu dia memandangnya sebagai baik (sama seperti orang yang tidak diperhiaskan sedemikian)? Maka sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dia juga memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.”
Begitulah setakat ini kita telah lihat bahayanya kalau ada perasaan dengki dalam kalangan adik beradik. Kita sangkakan yang adik beradik itu tentulah baik sesama sendiri tetapi dengan membaca ayat ini, kita belajar bahawa ia tidak semestinya begitu. Perasaan dengki dan iri hati kalau tidak ditangani dengan baik, boleh menyebabkan perasaan ini membengkak dan bernanah sampai menyebabkan adik beradik melakukan perkara yang tidak disangka-sangka. Sememangnya inilah yang syaitan mahu lakukan iaitu memecahkan ahli keluarga. Kalau kita lihat Baqarah:102, syaitan menggunakan sihir untuk memecah belahkan pasangan suami isteri dan ibu bapa.
فَيَتَعَلَّمونَ مِنهُما ما يُفَرِّقونَ بِهِ بَينَ المَرءِ وَزَوجِهِ
Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya
Kenapa penting bagi syaitan untuk memecah belahkan pasangan suami isteri? Kerana kalau mereka ibu bapa dan mempunyai anak, maka anak itu membesar bukan di dalam suasana yang kondusif. Jikalau diperhatikan sejarah banduan dan penjenayah, kebanyakan mereka (bukan semua) adalah kerana keluarga yang rosak hubungan mereka. Dengan memecah belahkan ibu bapa, maka dengan sendirinya, anak-anak itu pun akan rosak sekali nanti. Mereka ini hidup di dalam ‘broken family’.
Setelah mendengar cadangan daripada abang mereka itu, adik beradik yang lain pun bersetuju dengan cadangan tersebut.
Soalan Kuiz (10 Soalan Pendek)
Jawab setiap soalan dalam 2-3 ayat ringkas.
- Apakah dua cadangan awal yang diberikan oleh abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk menyingkirkannya?
- Bagaimanakah sumber ini mengaitkan kisah abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan kisah Habil dan Qabil?
- Senaraikan dua persamaan antara sikap iblis dan abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang disebutkan dalam teks.
- Apakah konsep “mob mentality” seperti yang dijelaskan di atas, dan bagaimana ia berkaitan dengan tindakan abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?
- Apakah yang dimaksudkan dengan “daddy issue” dalam konteks keperluan abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan pengiktirafan ayah mereka?
- Sebutkan dua masalah psikologi yang disebut dalam teks yang mungkin mendasari tingkah laku sabotaj.
- Siapakah yang memberikan cadangan ketiga dalam Ayat 10, dan apakah cadangan tersebut?
- Terangkan maksud “Ghayabatil Jubb” (غَيٰبَتِ الجُبِّ) seperti yang dihuraikan dalam teks.
- Bagaimana syaitan dikatakan memperhiaskan perbuatan buruk sehingga kelihatan baik, seperti yang disebutkan dalam konteks perancangan abang-abang Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?
- Mengapakah syaitan berusaha memecahbelahkan hubungan keluarga, terutamanya antara pasangan suami isteri?
Glosari Istilah Penting
- Habil dan Qabil: Dua anak Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang kisahnya diceritakan dalam al-Quran, di mana Qabil membunuh Habil kerana dengki.
- Mob Mentality: Fenomena psikologi di mana individu dalam kumpulan cenderung mengikut tingkah laku atau pendapat majoriti, seringkali tanpa pemikiran kritis.
- Daddy Issue: Istilah psikologi yang merujuk kepada masalah emosi atau mental seseorang yang berpunca daripada hubungan yang kompleks atau kurang baik dengan bapa mereka.
- Superiority Complex (Kompleks Keunggulan): Mekanisme pertahanan psikologi di mana seseorang menunjukkan tingkah laku yang yakin dan hebat secara berlebihan untuk menyembunyikan rasa rendah diri yang mendalam.
- Narcissistic Personality Disorder (Gangguan Personaliti Narsistik): Gangguan mental yang dicirikan oleh pandangan yang melampau tentang kepentingan diri, keperluan kekaguman yang berterusan, dan kurang empati terhadap orang lain.
- Kurang Kematangan Emosi (Emotional Immaturity): Ketidakupayaan seseorang untuk menguruskan perasaan mereka dengan baik, terutamanya ketika menghadapi cabaran, menyebabkan mereka memilih jalan pintas seperti merendahkan orang lain.
- Sabotaj: Perbuatan sengaja untuk menyebabkan kerosakan, kemusnahan, atau kegagalan kepada seseorang atau sesuatu.
- Ghayabatil Jubb (غَيٰبَتِ الجُبِّ): Istilah Al-Qur’an yang merujuk kepada bahagian paling dalam dan gelap sesuatu telaga yang tiada binaan di sekelilingnya, selalunya terpencil.
- As-Sayyarah (السَّيّارَةِ): Merujuk kepada sekumpulan musafir atau pedagang yang sering melakukan perjalanan jauh.
- Khalifah: Wakil atau pengganti Allah di muka bumi, merujuk kepada manusia.
- Isim Nakirah: Kata nama umum dalam bahasa Arab, tidak merujuk kepada sesuatu yang khusus.
- Khalwah: Keadaan bersendirian, sama ada dengan Allah atau dengan individu lain (merujuk kepada keadaan berdua-duaan antara lelaki dan wanita bukan mahram yang dilarang).
- Kalimah: لقط: Kata kerja Arab yang bermaksud mengambil atau memungut sesuatu yang dijumpai.
- Luqatah: Istilah fiqh (hukum Islam) merujuk kepada barang yang dijumpai dan tidak diketahui pemiliknya.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 9 Ogos 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan (deeper look)
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)


Kunci Jawapan Kuiz
LikeLike