Tafsir Surah Yusuf Ayat 6 (Berita gembira untuk Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)

Yusuf Ayat 6: Setelah memberi nasihat kepada anaknya itu untuk menyembunyikan tentang mimpi itu, sekarang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menenangkan hati dan menggembirakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula. Jadi kalau dalam ayat sebelum ini temanya negatif, sekarang temanya positif pula. Begitulah apabila memberi nasihat kepada seseorang, kita mulakan dengan berita buruk dahulu, kemudian kita gembirakan dia dengan berita baik pula. Inilah imbangan yang kena ada apabila kita memberi nasihat. Kalau berita sedih dan negatif sahaja, tentu akan memurungkan orang; kalau berita gembira dan positif sahaja, itu pula berangan sahaja.

Perhatikan juga ayat ini terbahagi kepada masa hadapan dan sejarah. Di masa hadapan, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan mendapat nikmat (masa hadapan) sepertimana yang telah diberikan kepada bapa-bapa mereka yang dahulu (sejarah).

وَكَذٰلِكَ يَجتَبِيكَ رَبُّكَ وَيُعَلِّمُكَ مِن تَأوِيلِ ٱلأَحَادِيثِ وَيُتِمُّ نِعمَتَهُ ۥ عَلَيكَ وَعَلَىٰٓ ءَالِ يَعقُوبَ كَمَآ أَتَمَّهَا عَلَىٰٓ أَبَوَيكَ مِن قَبلُ إِبرٰهِيمَ وَإِسحَـٰقَ‌ۚ إِنَّ رَبَّكَ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And thus will your Lord choose you and teach you the interpretation of narratives [i.e., events or dreams] and complete His favor upon you and upon the family of Jacob, as He completed it upon your fathers before, Abraham and Isaac. Indeed, your Lord is Knowing and Wise.”

(MALAY)

Dan demikianlah Tuhanmu, memilih kamu (untuk menjadi Nabi) dan diajarkan-Nya kepadamu sebahagian daripada ta’bir mimpi-mimpi dan disempurnakan-Nya nikmat-Nya kepadamu dan kepada keluarga Ya’qub, sebagaimana Dia telah menyempurnakan nikmat-Nya kepada dua orang bapamu sebelum itu, (iaitu) Ibrahim dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

 

وَكَذٰلِكَ يَجتَبيكَ رَبُّكَ

Dan demikian itu, Tuhanmu telah memilihmu

Oleh itu, dalam ayat ini, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberi amaran dan dalam masa yang sama, memberi berita gembira kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini mengajar kita supaya jangan hanya beri amaran dan marah sahaja kepada anak kita. Kita janganlah negatif sangat dengan anak-anak. Dalam perkara ini ada kesilapan dalam cara didikan ramai ibubapa. Kalau kita perhatikan, ramai yang selalu merungut sahaja tentang anak-anak mereka: “Kenapa kamu tak jadi macam anak orang sebelah?”, “Kenapa kamu tak jadi pandai macam sepupu kamu?” dan sebagainya. Kata-kata seperti ini semua akan memusnahkan jati-diri anak itu. Sepatutnya kalau kita mahukan anak kita menjadi seseorang yang yakin dengan diri sendiri dan menjadi lebih baik, kenalah beri semangat kepada mereka. Kita dahulu pun bukannya hebat sangat, bukan? Kita semua memerlukan masa untuk meningkat naik dari kecil menuju ke usia remaja. Dalam meningkat naik itu, memang kita amat memerlukan sokongan daripada orang-orang yang kita hormati seperti ibubapa kita. Maka ibubapa kenalah belajar cara-cara psikologi dengan anak-anak supaya didikan yang diberikan lebih baik.

Kalimah كَذٰلِكَ di dalam ayat Al-Qur’an selalunya susah untuk ditafsirkan. Ia bermaksud ‘begitulah’ tetapi apakah maksudnya? Jadi kita kena cuba kaitkan dengan ayat yang sebelum ini. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tentunya sudah perasan ada kelebihan pada anaknya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Baginda tertunggu-tunggu siapakah di antara anaknya yang akan menggantikannya sebagai Nabi dan bilakah. Jadi apabila Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mendapat mimpi itu, maka ‘begitulah’ rupanya pelantikan itu sudah bermula.

Satu lagi, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ nampak kepandaian akal Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ apabila menceritakan mimpinya itu. Baginda boleh melihat anaknya itu ada adab dalam berkata-kata apabila menceritakan mimpinya itu. Maka jelaslah kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ada sifat-sifat ‘begitulah’ yang menyebabkan Allah ‎ﷻ melantik baginda menjadi Nabi untuk meneruskan tradisi keluarga mereka.

Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengatakan yang Allah ‎ﷻ telah memilih untuk memberi banyak nikmat kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Di dalam ayat sebelum ini banyak kita sentuh tentang usaha syaitan untuk menimbulkan huru hara dalam kalangan manusia. Seolah-olah kita akan kalah dengan mereka. Nah, sekarang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberitahu yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dilantik oleh رَبُّكَ maka tentulah baginda akan mendapat perlindungan daripada رَبُّكَ. Antara syaitan dan رَبُّكَ, siapakah yang akan menang?

Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan kalimah يَجتَبيكَ (memilihmu). Ada maksud tertentu kenapa ijtiba’ ini berbeza dengan kalimah lain yang digunakan untuk ‘pemilihan’ walaupun ada lagi kalimah-kalimah lain. Ada kalimah ikhtiyar (اِخْتِيَار) dan kalimah istifa’ (اِصْطِفَاء). Kalau kalimah ‘ikthiar’ (daripada kalimah خير) yang digunakan, ia memilih berdasarkan kebaikan atau kelebihan seseorang. Ini seperti Allah ﷻ memberitahu Dia telah memilih Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut di dalam Taha:13

وَأَنَا اخْتَرْتُكَ فَاسْتَمِعْ لِمَا يُوحَىٰ
“Dan Aku telah memilihmu (ikhtartuka), maka dengarkanlah apa yang akan diwahyukan kepadamu.”

Kalau kalimah istifa’ yang digunakan, ia kerana kesucian seseorang atau sesuatu. Kalimah ini berasal daripada صَفَا (safa), yang bermaksud “bersih,” “suci,” atau “pilih.” Ini seperti digunakan di dalam pemilihan Maryam seperti disebut di dalam Ali Imran:42

وَإِذْ قَالَتِ الْمَلَائِكَةُ يَا مَرْيَمُ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَاكِ وَطَهَّرَكِ وَاصْطَفَاكِ عَلَىٰ نِسَاءِ الْعَالَمِينَ
“Dan (ingatlah) ketika Malaikat berkata: ‘Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu (istafaki), menyucikanmu, dan melebihkanmu daripada wanita-wanita di seluruh alam.'” 

Akan tetapi kalau digunakan kalimah ijtiba, ia daripada kata dasar ج ب ي yang bermaksud pilih; mengumpul; kumpulkan bersama; mengetahui. Ia bermaksud pemilihan berdasarkan kepada kebolehan. Ini seperti mengambil orang untuk bekerja dengan kita – ini kerana mereka ada kelebihan dan kebolehan untuk melakukan kerja itu. Ini seperti kita memilih tukul untuk bertukang, kita pilih tukul yang sesuai untuk apa yang kita hendak tukangkan. Akan tetapi, apa yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah lakukan sampai baginda dikatakan ada kebolehan itu? Kalau hendak kirakan, baginda tidak berbuat apa-apa pun lagi. Memang baginda akan ada kelebihan dan itu bukan setakat mendapat mimpi sahaja kerana dalam surah ini nanti kita akan lihat bagaimana orang kafir pun mendapat mimpi yang benar juga. Mungkin orang yang dipilih itu pun tidak tahu yang dia mampu melakukannya, akan tetapi orang yang memilih itu tahu yang dia orang paling sesuai. Jadi walaupun Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak tahu kelebihannya lagi, tetapi Allah ﷻ sudah tahu dan kerana itu Allah ﷻ memilih baginda.

Walaupun baginda belum lagi mendapat kelebihan-kelebihan itu tetapi sebenarnya Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dapat melihat yang anaknya itu ada kelebihan kerana akhlaknya yang baik. Baginda dapat memahami tentang mimpinya itu. Maknanya baginda telah nampak kebijaksanaan pada anaknya itu berdasarkan kepada tentang mimpi yang pertama. Nanti akan ada dua kisah lagi tentang mimpi, iaitu mimpi raja dan mimpi dua orang banduan dalam penjara. Kedua-dua mereka itu nanti akan bertanya apakah maksud mimpi mereka itu. Namun lihatlah bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak minta dita’bir mimpinya sendiri dan ini menunjukkan yang baginda tahu apakah maksud mimpinya itu. Maknanya, baginda sudah ada kelebihan menta’bir mimpi walaupun baginda masih kecil lagi.

Satu lagi maksud ijtiba’ adalah ia merujuk kepada pemilihan yang bersifat “menarik” atau “menghampiri” seseorang secara khusus. Ia membawa makna bahawa Allah ‎ﷻ mendekatkan atau menarik seseorang kepada-Nya, dengan memberikan hidayah, petunjuk, dan kecintaan yang mendalam. Individu yang di-ijtiba’ adalah seseorang yang dipilih untuk mendapat rahmat yang istimewa.

Kita akan lihat di dalam kisah ini apabila kita semakin mempelajarinya yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan menerima banyak dugaan dan ujian. Semua itu telah disusun oleh Allah ‎ﷻ untuk mendidik dan mengajar baginda. Allah ‎ﷻ telah memilih ujian yang sesuai kepada orang yang sesuai. Maka begitulah ujian-ujian dalam hidup yang Allah ‎ﷻ telah pilih bagi kita.

 

وَيُعَلِّمُكَ مِن تَأويلِ الأَحاديثِ

dan diajarkan-Nya kepadamu sebahagian daripada ta’wil kata-kata 

Kalimah يُعَلِّمُ di sini selalu diterjemahkan sebagai mengajar. Namun begitu yang lebih tepat ia bermaksud mula mengajar. Kerana mengajar itu mengambil masa dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ baru peringkat awal. Allah ﷻ kata يُعَلِّمُ bukannya يُخَبِّرُ. Kalau يُخَبِّرُ cakap sekali boleh terus tahu akan tetapi kalau يُعَلِّمُ ia mengambil masa.

Kalimah takwil (تأويل): Berasal daripada kata آلَ (āla), yang bermaksud “kembali” atau “kembali ke asal.” Ta’wil lebih merujuk kepada menjelaskan makna batin (tersembunyi) atau hakikat sesuatu. Secara umum, ia merujuk kepada penjelasan atau pentafsiran terhadap sesuatu yang tersembunyi, sama ada mimpi, ramalan, atau perkara yang belum terjadi. Maksud memberitahu maksud asal.

Selalu apabila digunakan kalimah تَأويلِ untuk Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini dikatakan tentang kelebihan baginda menta’bir maksud mimpi. Akan tetapi cuba lihat kembali bagaimana kalimah yang digunakan adalah الأَحاديثِ. Ia boleh difahami sebagai peristiwa-peristiwa yang terjadi, baik dalam bentuk mimpi mahupun yang terjadi di dunia nyata. Oleh itu, baginda boleh mengetahui maksud bagi sesuatu peristiwa, sesuatu perkara yang berlaku – bukan setakat mimpi sahaja. Ia juga boleh bermaksud kata-kata dan kerana itu ada orang bercakap dengan baginda, baginda boleh tahu apakah maksud orang itu yang tersirat. Ini adalah mukjizat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Dari segi bahasa, ada 3 jenis kalimah yang digunakan untuk interpretasi sesuatu yang susah dan kompleks untuk difahami:

    1. ta’wil – digunakan dalam bentuk umum.
    2. ifta’ (dari sinilah menjadi kalimah ‘mufti’ iaitu orang yang ada ilmu untuk mengambil hukum daripada persoalan manusia)
    3. ta’bir – Ini digunakan khusus untuk mimpi.

Kita lihat bagaimana Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan kalimah تَأويلِ, maknanya bukan tadbir mimpi sahaja, tetapi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ boleh ‘membaca manusia’ – kerana الأَحاديثِ tidak bermaksud mimpi sahaja, tetapi termasuk dengan percakapan juga. Maksudnya apabila baginda jumpa orang dan lihat sedikit sahaja, baginda akan tahu apakah yang tersembunyi dan yang tersirat. Bukanlah baginda boleh membaca hati orang pula, tetapi melalui tanda-tanda yang ada, baginda boleh agak. Nanti di dalam ayat 21 nanti kita akan bertemu kalimah ini digunakan sekali lagi

وَقالَ الَّذِي اشتَرٰهُ مِن مِّصرَ لِامرَأَتِهِ أَكرِمي مَثوىٰهُ عَسىٰ أَن يَنفَعَنا أَو نَتَّخِذَهُ وَلَدًا ۚ وَكَذٰلِكَ مَكَّنّا لِيوسُفَ فِي الأَرضِ وَلِنُعَلِّمَهُ مِن تَأويلِ الأَحاديثِ
Dan orang Mesir yang membelinya berkata kepada isterinya: “Berikanlah kepadanya tempat (dan layanan) yang baik, boleh jadi dia bermanfaat kepada kita atau kita ambil dia sebagai anak”. Dan demikian pulalah Kami memberikan kedudukan yang baik kepada Yusuf di muka bumi (Mesir), dan agar Kami ajarkan kepadanya ta’bir kejadian.

Ayat 21 ini adalah kisah setelah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dimasukkan dan bekerja di rumah Pembesar Mesir. Baginda menjadi orang yang dipercayai sehinggakan di dalam Bible ada disebut kunci rumah pun diberikan kepada baginda. Apabila baginda berada di rumah itu, baginda didedahkan dengan perbincangan politik dan perbualan serta perbincangan orang besar-besar. Kemudian baginda diberikan mungkin pergi ke pasar, maka baginda berjumpa orang-orang di pasar; kemudian baginda bergaul dengan golongan pembantu rumah dan berbagai lagi perkara yang baginda temui dan pelajari. Nanti baginda dimasukkan pula ke dalam penjara dan baginda bergaul dengan golongan banduan pula. Semua ini memberi pengalaman kepada baginda dan baginda beri perhatian dan belajar dengannya. Akhirnya nanti apabila baginda menjadi orang besar pula di Mesir, baginda akan menggunakan segala pengalaman dan ilmu yang baginda dengar ini.

Tentang mimpi yang benar, orang Islam pun boleh mendapat mimpi yang benar. Mimpi benar akan diberikan kepada mereka yang benar dan jujur dalam kehidupan mereka. Namun begitu kena berhati-hatilah kerana ramai yang menyalahgunakan mimpi ini. Ada golongan tarekat dan sufi yang menggunakan mimpi untuk membenarkan ajaran sesat mereka. Mereka reka amalan dan kata mereka dapat dalam mimpi. Entah jin mana yang datang dalam mimpi mereka tetapi mereka kata itu adalah wali. Atau mereka kata Nabi Muhammad ﷺ sendiri yang ajar sesuatu amalan dalam mimpi mereka. Padahal yang ajarkan kepada mereka adalah syaitan yang menjelma dalam bentuk orang alim atau Nabi Muhammad ﷺ. Bagaimana mereka boleh mendapat mimpi yang benar, sedangkan amalan mereka banyak yang syirik dan bidaah?

Bolehkah manusia selain daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menta’bir mimpi? Ya, manusia selain Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga boleh menta’wil atau menafsirkan mimpi. Namun, kebolehan ini memiliki batasan dan syarat tertentu. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memiliki anugerah yang istimewa daripada Allah ‎ﷻ untuk menta’wil mimpi dengan ketepatan yang luar biasa, kerana ia adalah sebahagian daripada kenabiannya. Riwayat sejarah Islam juga menunjukkan bahawa orang-orang selain nabi pernah menafsirkan mimpi. Terdapat riwayat bahawa para sahabat Nabi Muhammad ﷺ, seperti Abu Bakar As-Siddiq رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, juga pernah menafsirkan mimpi. Nabi Muhammad ﷺ sendiri mengiktiraf kebolehan Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dalam bidang ini. Ini menunjukkan bahawa ta’wil mimpi bukanlah hak eksklusif para nabi, tetapi juga boleh diberikan kepada orang-orang yang soleh dan berilmu.

Ada satu kisah pada suatu hari Imam kita Asy-Syaf’i رَحِمَهُ اللَّهُ bermimpi di Mesir mengenai diri sahabat karibnya dan muridnya yang alim, Imam kita Ahmad bin Hanbal رَحِمَهُ اللَّهُ. Imam Syafi’i رَحِمَهُ اللَّهُ mendapat kesan dalam mimpinya itu bahawa sahabat dan muridnya yang amat dihormatinya itu sedang terancam suatu bahaya besar. Esoknya juga dia berkirim surat kepada Ahmad bin Hanbal رَحِمَهُ اللَّهُ yang berada di Baghdad menyuruh beliau bersedia-sedia menerima suatu ujian sebab ujian itu akan datang. Memang, tidak berapa lama kemudian datanglah ujian yang terkenal itu, beliau dipaksa mengakui bahawa Al-Qur’an itu makhluk, dan sampai beliau dimasukkan ke dalam penjara 28 bulan lamanya, kerana tidak mahu mengubah pendiriannya, walaupun bagaimana beliau dipaksa, bahkan sampai dipukul.

Meskipun manusia biasa boleh menafsirkan mimpi, ada beberapa syarat dan batasan penting yang perlu dipatuhi:

1. Hanya Tafsirkan Mimpi yang Baik:

    • Seperti yang diajarkan oleh Nabi Muhammad ﷺ, hanya mimpi yang baik yang boleh ditafsirkan.
    • Mimpi yang buruk tidak boleh ditafsirkan, dan kita harus memohon perlindungan daripada Allah ‎ﷻ daripada keburukannya.

2. Ilmu dan Kebijaksanaan:

    • Tafsiran mimpi memerlukan ilmu yang mendalam, kebijaksanaan, dan pemahaman yang luas tentang simbol-simbol dalam mimpi. Jadi ini adalah ilmu khusus yang perlu dipelajari.
    • Ia juga memerlukan ketaqwaan dan keperibadian yang baik, kerana tafsiran yang salah boleh membawa mudarat.
    • Hadith Nabi ﷺ mengingatkan kita agar tidak menceritakan mimpi melainkan kepada orang yang berakal atau penyayang, yang akan memberikan tafsiran yang positif dan membina.

3. Bukan Sumber Hukum:

    • Mimpi yang ditafsirkan oleh orang biasa bukanlah wahyu dan tidak boleh dijadikan sumber hukum atau dasar akidah.
    • Ia hanya dianggap sebagai petunjuk peribadi atau khabar gembira yang tidak mengikat syariat.

Akhir sekali kalimah الأَحاديثِ juga bermaksud sesuatu yang berlaku. Jadi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukan sahaja menta’wil mimpi dan kata-kata, malah baginda juga boleh menta’wil peristiwa. Apabila sesuatu terjadi, baginda boleh memahami maksud di sebaliknya. Kerana itu walaupun baginda mengalami kejadian yang pelik-pelik dan sangat menyusahkan dirinya, namun baginda tenang sahaja dan menerima dengan redha kerana baginda ada sesuatu di sebalik perkara yang terjadi. Allah ‎ﷻ mengadakan berbagai perkara kepada baginda dan nanti Allah ‎ﷻ akan menerangkan kepada baginda apakah maksud sesuatu kejadian itu. Kalau kita pun boleh jadi seperti baginda ini sangatlah bagus; tidaklah melompat atau gelabah kalau apa-apa terjadi kepada kita sebaliknya hendaklah kita terima dengan redha. Kerana kita tidak tahu, entah ada sesuatu yang Allah ‎ﷻ hendak ajar kepada kita.

 

وَيُتِمُّ نِعمَتَهُ ۥ عَلَيكَ وَعَلَىٰٓ ءَالِ يَعقُوبَ

dan disempurnakan-Nya nikmat-Nya ke atasmu dan ke atas keluarga Ya’qub,

Kalimat يُتِمُّ نِعمَتَهُ عَلَيكَ (disempurnakan nikmat-Nya atasmu) maksudnya Allah ‎ﷻ akan menyempurnakan nikmat dengan melantik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjadi Nabi. Ini adalah pendapat majoriti ulama’

Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah نِعمَتَهُ (nikmat-Nya) mengingatkan kita bahawa semua nikmat daripada Allah ‎ﷻ dan bukannya kerana usaha kita. Maka ini mengingatkan kita untuk bersyukur di atas segala nikmat-nikmat itu.

Satu lagi tafsiran ulama’ tentang kalimah يُتِمُّ نِعمَتَهُ bukanlah bermaksud perlantikan sebagai Nabi. Ini kerana perlantikan sebagai Nabi telah disebut di dalam permulaan ayat يَجتَبيكَ رَبُّكَ. Mereka berpendapat kalimah penyempurnaan nikmat ini mempunyai maksud yang lain. Apabila kita berkata tentang nikmat, kita boleh bahagikan nikmat itu kepada dua bahagian utama: nikmat agama dan nikmat keduniaan. Nikmat agama adalah iman dan apabila sudah dapat iman, maka ia tidak hilang selagi kita menjaganya. Sedangkan nikmat dunia itu adalah berbagai perkara yang kita suka seperti harta, kesenangan hidup, kesihatan tubuh badan, keluarga dan sebagainya. Apabila Allah ‎ﷻ sebut tentang penyempurnaan nikmat, ia merujuk kepada pemberian dua-dua nikmat ini apabila ia digabungkan. Allah ‎ﷻ juga memberi nikmat yang sempurna ini kepada Nabi Muhammad ﷺ seperti disebut di dalam Maidah:3

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلٰمَ دِينًا
Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu

Ayat Maidah:3 ini turun di hampir penghujung hayat Nabi ﷺ apabila baginda telah melepasi ujian-ujian berat baginda dalam menyebarkan agama Islam. Umat Islam ketika itu sudah kuat, sudah kaya, sudah ramai. Baginda sudah dapat mengerjakan Haji kerana Mekah dan Ka’bah sudah di tangan umat Islam. Maknanya nikmat iman dan nikmat dunia telah diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ ketika itu. Baginda sudah dapat mengislamkan masyarakat baginda di Mekah dan dulunya menentang baginda. Waktu di awal Islam, baginda tentu takut dengan serangan daripada musuh-musuh dari dalam dan luar tetapi sekarang baginda tidak takut lagi. Maka kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga diberikan dengan janji daripada Allah ‎ﷻ itu. Iaitu baginda akan mengalami berbagai-bagai ujian di dalam kehidupan baginda yang menjadi pengajaran dan silibus yang baginda perlu lalui. Akan tetapi akhirnya baginda akan diberikan dengan nikmat keduniaan apabila baginda dilantik menjadi menteri kewangan, baginda dapat bergabung dengan keluarga baginda, baginda ada tempat tinggal yang baginda boleh bawa keluarga baginda dan Bani Israil.

Ayat Maidah:3 ini diberikan setelah kejayaan umat Islam. Namun begitu para sahabat sudah mendengar kalimah yang sama digunakan di dalam Surah Yusuf ayat 6 ini ketika surah itu diturunkan di Mekah sebelum berhijrah ke Madinah. Maka mereka tahu apakah maksudnya iaitu kejayaan dari segi iman dan keduniaan. Akan tetapi bagi kita yang sedang membaca kedua-dua kisah boleh mengambil pengajaran daripada kedua-dua peristiwa itu; iaitu kedua-duanya telah didapati dengan melalui berbagai ujian dan dugaan. Ia bukan diberikan terus kepada kita hanya kerana kita umat Islam dan beriman. Iman itu mestilah dibuktikan dengan melakukan kerja-kerja dakwah, mengajak orang kepada agama Islam dan itu akan dilalui dengan susah dan payah yang akan menduga kita.

Kalimat عَلىٰ آلِ يَعقوبَ (atas keluarga Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) bermaksud keluarga mereka pun akan mendapat nikmat itu. Ini kerana kejadian yang terjadi itu bukan untuk Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja tetapi untuk keluarga mereka juga. Ini menunjukkan yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berbangga dengan anaknya itu. Baginda sudah nampak yang masa hadapan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan cerah. Walaupun ketika itu abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak sukakan baginda, akan tetapi kelebihan yang diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ nanti akan dapat dirasai juga oleh abang-abangnya itu.

Cuma memang ada pendapat yang mengatakan apabila disebut وَيُتِمُّ نِعمَتَهُ عَلَيكَ وَعَلىٰٓ آلِ يَعقوبَ, adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga dilantik sebagai Nabi. Begitu juga pendapat ini mengatakan apabila mereka diibaratkan sebagai ‘bintang’ maka ini tanda mereka itu akan menjadi Nabi. Akan tetapi ini adalah pendapat yang lemah kerana nikmat itu tidak semestinya menjadi Nabi. Nanti para Nabi banyak datang daripada keturunan abang-abangnya, bukan daripada keturunan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Itu pun nikmat juga.

 

كَمآ أَتَمَّها عَلىٰٓ أَبَوَيكَ مِن قَبلُ إِبرٰهيمَ وَإِسحٰقَ

sebagaimana Dia telah menyempurnakan nikmat-Nya kepada dua orang bapamu sebelum itu, (iaitu) Ibrahim dan Ishaq.

Setelah habis tentang harapan bagi masa hadapan, sekarang masuk bahagian melihat ke belakang (sejarah). Pangkat kenabian yang diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah kesinambungan daripada pangkat kenabian yang telah diberikan kepada keluarga mereka dari zaman Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ishak عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lagi. Mereka turun temurun mendapat pangkat kenabian itu.

Perhatikan susunan nama para Nabi itu. Sepatutnya kalau susunan disebutlah nama Nabi Ishaq عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setelah disebut nama Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, akan tetapi disebut nama Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dahulu kerana kedudukan baginda yang tinggi. Legasi baginda adalah taat kepada arahan Allah ‎ﷻ, tidak kira apa dan walaupun terpaksa melibatkan ahli keluarga yang baginda sayangi. Baginda berdakwah kepada bapanya yang menjadi pembuat berhala, sampaikan baginda dihalau oleh bapanya itu. Kemudian setelah sekian lama baru baginda mendapat anak pertama (Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ), apabila baginda diarahkan untuk sembelih anak kesayangannya itu, baginda sanggup. Jadi sayang kepada keluarga tidak menghalang baginda taat kepada Allah ‎ﷻ.

Mungkin kita sangka ini kisah keluarga mereka sahaja dan tidak melibatkan kita. Ini tidak benar kerana semua kisah ini menjadi pengajaran kepada kita dan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu bukannya orang asing bagi kita. Perhatikan ayat Hajj:78 yang diberikan kepada kita pula,

وَجٰهِدوا فِي اللهِ حَقَّ جِهادِهِ ۚ هُوَ اجتَبٰكُم وَما جَعَلَ عَلَيكُم فِي الدّينِ مِن حَرَجٍ ۚ مِّلَّةَ أَبيكُم إِبرٰهيمَ ۚ هُوَ سَمّٰكُمُ المُسلِمينَ مِن قَبلُ وَفي هٰذا
Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang Muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Qur’an) ini

Perhatikan di dalam ayat Hajj:78 ini Allah ‎ﷻ beritahu yang bukan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja dipilih tetapi kita juga. Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukan bapa kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan tetapi bapa kepada kita juga. Kaitan kita dengan mereka amat rapat kerana sebagaimana mereka itu Muslimin, kita juga memakai nama yang sama. Itulah juga gelaran yang dipakai oleh anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut di dalam Baqarah:133

أَم كُنتُم شُهَداءَ إِذ حَضَرَ يَعقوبَ المَوتُ إِذ قالَ لِبَنيهِ ما تَعبُدونَ مِن بَعدي قالوا نَعبُدُ إِلٰهَكَ وَإِلٰهَ ءَابَآٮِٕكَ إِبرٰهِـۧمَ وَإِسمَـٰعِيلَ وَإِسحَـٰقَ إِلٰهًا وٰحِدًا وَنَحنُ لَهُ مُسلِمونَ
(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Ya’qub hampir mati, ketika dia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?” Mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepada-Nyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)”.

Jadi Allah ‎ﷻ telah pilih mereka dan kita di atas agama Islam ini. Kalau Allah ‎ﷻ yang pilih kita, maka tentulah ada kebolehan dan kemampuan kita untuk menjaga agama ini. Namun begitu setakat kebolehan sahaja tidak cukup, hendaklah kita menjalankannya. Sebagai contoh, kalau ada seseorang yang ada kemampuan mengajar, tetapi dia tidak mengajar, adakah dia telah menjalankan tanggungjawabnya? Begitulah kita telah dipilih oleh Allah ‎ﷻ untuk menganut agama Islam ini tetapi kalau kita sia-siakan, maka kita telah gagal.

Begitulah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberi nasihat kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda mengajar baginda untuk berharap kepada masa depan yang baik sambil memandang kepada legasi yang di belakang. Begitulah kita kena pandang hadapan dan belakang sekali. Dalam menjalani kehidupan di dunia ini, kita selalu menghadapi ujian dan musibah. Kalau kita pandang ke hadapan iaitu tujuan hidup kita dan kejayaan yang di hadapan, pasti ia akan lebih mudah bagi kita. Kalau kita tidak nampak masa hadapan yang indah itulah yang menyebabkan kita sukar menghadapi ujian yang sekarang di hadapan kita.

 

إِنَّ رَبَّكَ عَليمٌ حَكيمٌ

Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Allah ‎ﷻ maha tahu apakah yang akan diberikan kepada Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Allah ‎ﷻ dengan kebijaksanaan-Nya akan melakukan sesuatu yang baik bagi baginda. Ini kerana Allah Tahu segalanya. Nanti Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ada kepandaian yang amat tinggi tetapi Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ingatkan yang lebih tahu adalah Allah ﷻ. Jadi jangan berbangga dan berlagak dengan kelebihan ilmu yang Allah ﷻ berikan.

Sekian nasihat yang hebat daripada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai bekalan kepada anaknya. Kita tidak tahu adakah lagi nasihat yang lain diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ selepas itu akan tetapi setakat yang disebut di dalam surah ini, inilah nasihat terakhir yang baginda berikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Tidak lama nanti kita pun tahu yang mereka akan berpisah dan berjumpa lagi entah berapa puluh tahun selepas itu. Namun dengan bekalan nasihat daripada ayahnya inilah yang menjadi modal baginya untuk menghadapi segala ujian dan dugaan yang amat banyak yang baginda lalui nanti.

Habis Ruku’ 1 daripada 12 ruku’ surah ini.

 

Soalan Kuiz (10 Soalan Pendek)

Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat setiap satu.

  1. Mengapa Nabi Ya’qub memilih untuk memberi nasihat kepada Nabi Yusuf dengan menyeimbangkan amaran dan berita gembira?
  2. Apakah makna kalimah “كَذٰلِكَ” (demikianlah) dalam konteks ayat 6 Surah Yusuf dan bagaimana ia dikaitkan dengan pemilihan Nabi Yusuf?
  3. Jelaskan perbezaan antara kalimah “Ikhtiyar”, “Istifa'”, dan “Ijtiba'” dalam konteks pemilihan oleh Allah.
  4. Mengapa dikatakan bahawa Nabi Yusuf memiliki kebolehan menta’bir mimpi walaupun masih kecil?
  5. Apakah maksud “وَيُعَلِّمُكَ” dalam ayat ini, dan mengapa ia tidak bermaksud “memberitahu” semata-mata?
  6. Terangkan tiga jenis kalimah yang digunakan untuk interpretasi sesuatu yang susah dan kompleks untuk difahami, dan fokuskan pada bagaimana “ta’wil” berbeza daripada yang lain.
  7. Selain mimpi, apakah lagi yang boleh ditafsirkan oleh Nabi Yusuf berdasarkan kalimah “الأَحاديثِ”?
  8. Apakah dua jenis nikmat yang disebutkan dalam tafsiran sebagai “penyempurnaan nikmat” kepada Nabi Yusuf dan keluarga Ya’qub?
  9. Bagaimana legasi Nabi Ibrahim dikaitkan dengan pemilihan Nabi Yusuf dan juga umat Islam masa kini?
  10. Apakah kepentingan penegasan “إِنَّ رَبَّكَ عَليمٌ حَكيمٌ” (Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana) pada akhir ayat ini?

 

Glosari Istilah Utama

  • كَذٰلِكَ (Kadzaalika): Bermaksud “dan demikianlah” atau “begitulah”, kalimah yang menunjukkan kaitan dengan apa yang telah disebut sebelumnya atau penjelasan lanjut.
  • يَجتَبيكَ (Yajtabiika): Kalimah dari akar kata j-b-y, bermaksud “memilihmu” atau “menarikmu secara khusus”. Berkaitan dengan pemilihan Allah berdasarkan kebolehan dan penarikan hamba-Nya.
  • Ikhtiyar (اِخْتِيَار): Memilih berdasarkan kebaikan atau kelebihan (dari kata dasar khair).
  • Istifa’ (اِصْطِفَاء): Memilih kerana kesucian atau kebersihan (dari kata dasar safa).
  • تَأويلِ (Ta’wil): Dari kata dasar a-w-l, bermaksud “kembali ke asal” atau “menjelaskan makna batin/tersembunyi”. Merujuk kepada interpretasi mimpi, peristiwa, atau perkara yang belum terjadi.
  • الأَحاديثِ (Al-Ahadith): Bermaksud “peristiwa-peristiwa”, “kata-kata”, atau “naratif”. Dalam konteks ayat ini, ia melangkaui tafsiran mimpi sahaja.
  • Ifta’ (اِفْتَاء): Memberi fatwa atau mengeluarkan hukum, dari kalimah “mufti”.
  • Ta’bir (تَعْبِير): Tafsiran khusus untuk mimpi.
  • آلِ يَعقوبَ (Aali Ya’qub): Keluarga Nabi Ya’qub, termasuk anak-anaknya.
  • Nabi Ishaq عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ: Anak Nabi Ibrahim, juga seorang Nabi.
  • Ruku’: Pembahagian dalam Al-Quran yang biasanya menandakan satu bahagian tema atau perenggan yang lengkap ceritanya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 6 Ogos 2025

Ringkasan Surah Yusuf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 6 (Berita gembira untuk Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)”

  1. Kunci Jawapan Kuiz

    1. Nasihat perlu seimbang antara amaran dan berita gembira agar tidak memurungkan atau hanya sekadar angan-angan. Nabi Ya’qub ingin menenangkan hati Nabi Yusuf selepas memberi amaran tentang mimpinya, mengajar keseimbangan dalam didikan dan komunikasi.
    2. Kalimah “كَذٰلِكَ” merujuk kepada sifat-sifat kelebihan dan adab Nabi Yusuf yang telah diperhatikan oleh Nabi Ya’qub, serta penerimaan mimpi yang menjadi permulaan perlantikan kenabian. Ia menandakan bahawa pemilihan Allah adalah berdasarkan pengamatan terhadap potensi dan kualiti sedia ada Nabi Yusuf.
    3. “Ikhtiyar” adalah memilih berdasarkan kebaikan atau kelebihan seseorang (seperti Nabi Musa). “Istifa'” adalah memilih kerana kesucian seseorang (seperti Maryam). “Ijtiba'” pula merujuk kepada pemilihan berdasarkan kebolehan dan menarik seseorang secara khusus oleh Allah, seperti pemilihan Nabi Yusuf meskipun baginda belum mengetahui kelebihannya sepenuhnya.
    4. Nabi Yusuf dikatakan memiliki kebolehan menta’bir mimpi sejak kecil kerana baginda tidak meminta tafsiran mimpinya sendiri, menunjukkan baginda sudah memahami maknanya. Ini berbeza dengan kisah raja dan dua banduan yang akan meminta tafsiran mimpi mereka daripada Nabi Yusuf di kemudian hari.
    5. “وَ يُعَلِّمُكَ” bermaksud “mula mengajar” atau “akan mengajar”, menunjukkan proses pembelajaran yang berterusan dan mengambil masa. Ia berbeza dengan ” يُخَبِّرُ” yang bermaksud memberitahu sekali dan terus tahu, menegaskan bahawa ilmu tafsir Nabi Yusuf akan berkembang secara berperingkat.
    6. Tiga jenis kalimah interpretasi adalah: ta’wil (makna batin/tersembunyi secara umum, seperti mimpi, ramalan, peristiwa), ifta’ (mengambil hukum dari persoalan, dari kalimah mufti), dan ta’bir (khusus untuk tafsiran mimpi). Perbezaan utamanya adalah skop penggunaannya, dengan ta’wil mempunyai skop yang paling luas.
    7. Selain mimpi, kalimah “الأَحاديثِ” juga merangkumi peristiwa-peristiwa yang terjadi di dunia nyata dan percakapan (kata-kata). Ini bermakna Nabi Yusuf mampu memahami maksud tersirat di sebalik sesuatu peristiwa atau perkataan yang diucapkan orang lain.
    8. Dua jenis nikmat tersebut ialah nikmat agama (iman) dan nikmat keduniaan (harta, kesenangan hidup, kesihatan, keluarga). Penyempurnaan nikmat merujuk kepada pemberian kedua-dua jenis nikmat ini secara bersamaan kepada Nabi Yusuf.
    9. Legasi Nabi Ibrahim dikaitkan dengan pemilihan Nabi Yusuf sebagai kesinambungan kenabian dalam keluarga, menekankan ketaatan kepada Allah meskipun dalam ujian keluarga. Umat Islam masa kini juga dikaitkan dengan Nabi Ibrahim sebagai “bapa” agama, dipilih oleh Allah untuk menganut Islam, dan perlu menjalankan tanggungjawab dakwah.
    10. Penegasan ini mengingatkan bahawa Allah Maha Mengetahui segala sesuatu yang akan berlaku dan Maha Bijaksana dalam mengatur setiap peristiwa dan pemilihan. Ia menjadi sumber ketenangan dan keyakinan bagi Nabi Yusuf dalam menghadapi ujian, kerana segala yang berlaku adalah dalam pengetahuan dan hikmah Allah.

    Like

Leave a reply to CelikTafsir Cancel reply