KEKUASAAN ALLAH ﷻ
Tawbah Ayat 116: Hujung ayat sebelum ini Allah ﷻ beritahu Dia tahu segala-galanya. Sekarang Allah ﷻ beritahu kenapa Dia tahu segala-galanya kerana semua yang ada di alam ini adalah milik-Nya.
إِنَّ اللَّهَ لَهُ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ يُحيي وَيُميتُ ۚ وَما لَكُم مِّن دونِ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ وَلا نَصيرٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, to Allāh belongs the dominion of the heavens and the earth; He gives life and causes death. And you have not besides Allāh any protector or any helper.
(MALAY)
Sesungguhnya kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi. Dia menghidupkan dan mematikan. Dan sekali-kali tidak ada pelindung dan penolong bagimu selain Allah.
إِنَّ اللَّهَ لَهُ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ
Sesungguhnya kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi.
Allah ﷻ adalah pemilik langit dan bumi, iaitu segala alam ini. Manusia berlanggaran sesama sendiri untuk mengejar kuasa kerajaan di dunia tapi di sini Allah memberitahu yang segala kerajaan milikNya. Apabila segala apa yang wujud ini adalah hak-Nya, maka Dia boleh buat apa sahaja yang Dia mahu. Termasuk menetapkan hukum. Allah ﷻ sekarang memperkenalkan Diri-Nya kepada manusia dan jin supaya kita kenal Dia dan takut kepada-Nya.
يُحيي وَيُميتُ
Dia menghidupkan dan mematikan.
Allah ﷻ boleh buat apa sahaja. Antaranya, Allah ﷻ boleh menghidupkan dan mematikan. Tidak ada selain Allah ﷻ yang dapat menghidupkan dan mematikan.
Ibnu Jarir رحمه الله mengatakan bahawa makna ayat ini mengandungi pengertian anjuran daripada Allah ﷻ kepada hamba-hamba-Nya yang beriman untuk memerangi orang-orang musyrik dan pemimpin kekufuran dan hendaklah mereka percaya akan pertolongan Allah ﷻ, Raja langit dan bumi; dan janganlah mereka merasa gentar dalam menghadapi musuh-musuh mereka, kerana sesungguhnya tidak ada pelindung bagi mereka dan tidak ada penolong bagi mereka selain Dia. Kalau mereka takut mati, maka ingatlah yang Allah ﷻ yang mematikan dan menghidupkan. Kalau tidak mati di medan jihad pun, memang akan mati pada waktu lain (maka eloklah mati di medan jihad). Sekiranya belum sampai masa kita mati, tentulah kita tidak mati walaupun kita berperang.
وَما لَكُم مِّن دونِ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ وَلا نَصيرٍ
Dan sekali-kali tidak ada pelindung dan penolong bagimu selain Allah.
Pelindung dan pembantu sebenar adalah Allah ﷻ. Mungkin dalam dunia ini kita rasa kita bergantung harap kepada keluarga kita kerana mereka rapat dengan kita. Namun Allah ﷻ mengingatkan di sini, mereka itu tidak dapat berbuat apa-apa jika Allah ﷻ tidak izinkan. Allah ﷻ lah sahaja pelindung dan pembantu kita, maka kenalah kita bergantung harap kepada Allah ﷻ semata-mata.
Apakah pula beza antara وَلِيٍّ dan نَصيرٍ? Apabila diletakkan bersebelahan, maka tentu ada beza antara keduanya.
وَلِيٍّ bermaksud orang yang sayang dan menjaga kita.
نَصيرٍ bermaksud orang yang menyelamatkan kita daripada musibah yang menimpa kita.
Maka وَلِيٍّ itu sebelum sesuatu menimpa manakala نَصيرٍ selepas sesuatu menimpa kita. Ternyata jelas di sini bahawa وَلِيٍّ dan نَصيرٍ itu adalah Allah ﷻ sahaja sebenarnya. Oleh itu ini mengajar kita yang kalau kita bergantung kepada selain Allah ﷻ, maka kita tidak akan selamat. Ini adalah berita gembira kepada orang Mukmin kerana mereka bergantung sepenuhnya kepada Allah ﷻ.
Namun begitu jika kita perhatikan sekarang ini, orang Muslim tidak selamat pun. Ada sahaja musibah yang dikenakan kepada kita. Kita nampak lemah seperti seolah-olah Allah ﷻ tidak membantu pun kita. Kenapa begitu? Kerana kita bukanlah Mukmin sejati. Tidak cukup syarat untuk Allah ﷻ beri perlindungan dan bantuan kepada kita kerana sudah terlalu banyak kesalahan yang kita lakukan.
Persoalannya, bagaimanakah cara untuk kita boleh menjadi Mukmin sejati? Ada banyak kriteria-kriteria Mukmin disebut di dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an. Akan tetapi kita boleh rangkumkan secara umum seperti disebut di dalam Ahzab: 36,
وَما كانَ لِمُؤمِنٍ وَلا مُؤمِنَةٍ إِذا قَضَى اللهُ وَرَسولُهُ أَمرًا أَن يَكونَ لَهُمُ الخِيَرَةُ مِن أَمرِهِم
Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka.
Ini adalah ringkasan kepada sifat orang Mukmin; apa sahaja arahan daripada Allah ﷻ dan Rasul, kita ikut dan kita buat tanpa soal. Kalau hendak tanya pun, tanya ‘Macam mana hendak buat?’. Jangan pula tanya ‘Kenapa kita kena buat?’ kerana ini adalah soalan orang yang degil.
Allah ﷻ tidak akan memberikan bantuan-Nya, sekiranya kita telah membuat pilihan sendiri yang berbeza daripada arahan oleh Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺ. Malah kepada para sahabat رضي الله عنهم yang kita tahu cukup tinggi sekali iman mereka sekalipun Allah ﷻ tidak bantu ketika mereka telah ingkar dan culas dalam mengikut arahan Nabi Muhammad ﷺ. Lihat Ali Imran:165. Ia berkenaan para sahabat yang meninggalkan kawasan tinggi tempat pemanah semasa Perang Uhud. Rasulullah sudah suruh mereka jaga tempat itu sama ada kalah atau menang. Tapi kesalahan mereka adalah buat andaian sendiri yang mereka sudah boleh bergerak dari situ. Kisahnya para sahabat رضي الله عنهم yang telah meninggalkan kawasan tinggi tempat pemanah semasa Perang Uhud. Rasulullah ﷺ telah mengarahkan mereka untuk menjaga tempat itu sama ada kalah atau menang. Namun kesalahan mereka adalah membuat andaian sendiri yang mereka sudah boleh bergerak dari situ. Para sahabat رضي الله عنهم kehairanan kenapa mereka kalah sedangkan mereka beriman, malah Rasulullah ﷺ masih dalam kalangan mereka. Allah ﷻ jawab dalam ayat ini:
أَوَلَمّا أَصَٰبَتْكُم مُّصيبَةٌ قَد أَصَبتُم مِّثلَيها قُلتُم أَنّىٰ هٰذا ۖ قُل هُوَ مِن عِندِ أَنفُسِكُم
(Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam peperangan Uhud), yang kamu telah pun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: “Dari mana datangnya (kemalangan) ini? “Katakanlah (wahai Muhammad): “(Kemalangan) itu ialah daripada kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah)”.
Oleh sebab itu, kalau kita mahukan pertolongan Allah ﷻ, maka kita kena bantu agama Allah ﷻ. Kena ada saham kita dalam menegakkan agama Allah ﷻ ini di atas muka bumi. Kena pertahankan agama ini dari golongan yang hendak merosakkan agama ini. Sekarang sudah terlalu banyak fahaman yang sesat yang penganutnya sudah berani untuk menyebarkannya di khalayak ramai. Kalau kita tidak pertahankan, siapa lagi? Allah ﷻ berfirman di dalam Muhammad: 7
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تَنصُرُواْ ٱللَّهَ يَنصُرۡكُمۡ وَيُثَبِّتۡ أَقۡدَامَكُمۡ ٧
Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kakimu.
RAHMAT ALLAH ﷻ
Tawbah Ayat 117: Ini adalah ayat tabshir (berita gembira). Iaitu pengampunan yang diberikan kepada golongan sahabat yang pada mulanya goyang untuk berjihad.
Di dalam ayat 102 telah diterangkan apabila seruan jihad menuju Tabuk telah dikeluarkan, umat Islam terbahagi kepada 5 jenis. Di dalam ayat 117 ini disebut 3 jenis daripada 5 jenis itu. 3 jenis ini adalah daripada golongan Mukmin.
لَقَد تّابَ اللَّهُ عَلَى النَّبِيِّ وَالمُهٰجِرينَ وَالأَنصارِ الَّذينَ اتَّبَعوهُ في ساعَةِ العُسرَةِ مِن بَعدِ ما كادَ يَزيغُ قُلوبُ فَريقٍ مِّنهُم ثُمَّ تابَ عَلَيهِم ۚ إِنَّهُ بِهِم رَءوفٌ رَّحيمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Allāh has already forgiven the Prophet and the Muhājireen and the Anṣār who followed him in the hour of difficulty after the hearts of a party of them had almost inclined [to doubt], and then He forgave them. Indeed, He was to them Kind and Merciful.
(MALAY)
Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi, orang-orang muhajirin dan orang-orang anshar yang mengikuti Nabi dalam masa kesulitan, setelah hati segolongan dari mereka hampir berpaling, kemudian Allah menerima taubat mereka itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada mereka,
لَقَد تّابَ اللَّهُ عَلَى النَّبِيِّ
Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi,
Kalimah تابَ dalam ayat ini sebenarnya bukanlah ‘menerima taubat’, tetapi maksudnya ‘sentiasa memberi taufik’ untuk menghampirkan diri kepada Allah ﷻ. Ini adalah kerana maksud asal ‘taubat’ itu adalah ‘kembali pada asalnya’. Oleh itu, dalam ayat ini digunakan maksud asalnya, bukan maksud taubat selepas buat dosa.
Atau, ia boleh juga bermaksud menerima taubat Rasulullah ﷺ. Bukanlah Rasulullah ﷺ berdosa (kerana baginda maksum), tetapi kesilapan yang dinamakan khilaful awla. Iaitu tidak melakukan yang terbaik. Rasulullah ﷺ seorang yang bijaksana namun ada keputusan baginda yang bukan yang terbaik. Ini kerana baginda tetap seorang manusia dan baginda tidak tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan. Keputusan baginda itu tidaklah salah akan tetapi bukan yang terbaik, itu sahaja. Sebagai contoh, telah disebut baginda telah beri keizinan kepada golongan Munafik yang tidak pergi berperang. Baginda tidak selidik alasan yang mereka berikan tetapi baginda terus sahaja beri keizinan. Ini adalah khilaful awla.
Cuma ada juga pendapat yang mengatakan Nabi ﷺ juga ada melakukan dosa, ini seperti yang telah berlaku kepada Nabi Adam عليه السلام juga. Cuma bezanya dosa Nabi ﷺ itu telah diampunkan oleh Allah ﷻ sama ada yang telah dilakukan dan yang akan dilakukan, seperti disebut dalam Fath: 2
لِّيَغفِرَ لَكَ اللهُ ما تَقَدَّمَ مِن ذَنبِكَ وَما تَأَخَّرَ
supaya Allah memberi ampunan kepadamu terhadap kesilapanmu yang telah lalu dan yang akan datang
Jelas di sini bahawa Nabi ﷺ juga ada melakukan dosa tetapi disebabkan baginda adalah seorang Nabi, maka Allah ﷻ akan segera menegur baginda. Pelbagai bukti hadith dan ayat Al-Qur’an telah menjelaskan keadaan ini. Secara asasnya baginda tidak melakukan sebarang kesilapan dalam agama melainkan ia dikesan dengan teguran daripada oleh Allah ﷻ. Apa-apa yang tidak ditegur, bukanlah satu kesilapan.
Apakah maksud ‘maksum’ itu? Ia bermaksud terpelihara daripada kesalahan dalam menyampaikan syariat. Bukan berkenaan hal-hal keduniaan dan termasuk keputusan yang baginda lakukan dalam ijtihad.
وَالمُهٰجِرينَ وَالأَنصارِ الَّذينَ اتَّبَعوهُ في ساعَةِ العُسرَةِ
dan orang-orang muhajirin dan orang-orang anshar yang mengikuti Nabi dalam masa kesulitan,
Golongan pertama adalah yang terus menyahut seruan jihad tanpa soal. Mereka ini daripada golongan Muhajireen dan Ansar yang اتَّبَعوهُ في ساعَةِ العُسرَةِ. Perang Tabuk juga dikenali sebagai العُسرَةِ kerana ia adalah perang yang amat mencabar seperti yang pernah diterangkan sebelum ini dengan panjang lebar. Ini pernah diterangkan oleh Ibnu Umar رضي الله عنهما seperti di bawah:
وقال ابن جرير : حدثني يونس بن عبد الأعلى ، أخبرنا ابن وهب ، أخبرني عمرو بن الحارث ، عن سعيد بن أبي هلال ، عن عتبة بن أبي عتبة ، عن نافع بن جبير بن مطعم ، عن عبد الله بن عباس ؛ أنه قيل لعمر بن الخطاب في شأن العسرة ، فقال عمر بن الخطاب : خرجنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم إلى تبوك في قيظ شديد ، فنزلنا منزلا فأصابنا فيه عطش ، حتى ظننا أن رقابنا ستنقطع [ حتى إن كان الرجل ليذهب يلتمس الماء ، فلا يرجع حتى يظن أن رقبته ستنقطع ] حتى إن الرجل لينحر بعيره فيعصر فرثه فيشربه ، ويجعل ما بقي على كبده ، فقال أبو بكر الصديق : يا رسول الله ، إن الله عز وجل ، قد عودك في الدعاء خيرا ، فادع لنا . قال : ” تحب ذلك “ . قال : نعم ! فرفع يديه فلم يرجعهما حتى مالت السماء فأظلت ثم سكبت ، فملؤوا ما معهم ، ثم ذهبنا ننظر فلم نجدها جاوزت العسكر .
Ibnu Jarir رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepadaku Yunus ibnu Abdul A’la, telah menceritakan kepada kami Ibnu Wahb, telah menceritakan kepadaku Amr ibnul Haris, dari pada Sa’id ibnu Abu Hilal, daripada Atabah, daripada Nafi’ ibnu Jubair ibnu Mut’im, daripada Abdullah ibnu Abbas, bahawa pernah ditanyakan kepada Umar ibnul Khattab رضي الله عنه tentang kisah pasukan Usrah. Maka Umar ibnul Khattab رضي الله عنه menjawab, “Kami berangkat ke medan Perang Tabuk dengan Rasulullah ﷺ di tengah musim panas yang keras. Lalu kami turun istirehat di suatu tempat, kerana saat itu kami kehausan, sehingga kami merasa seakan-akan leher kami akan terputus (mati kehausan). Sesungguhnya seseorang di antara kami pergi untuk mencari air, tetapi dia tidak mendapatkannya sehingga dia menduga bahawa lehernya terputus. Dan ada seorang lelaki menyembelih untanya, lalu memeras bahagian perut unta yang mengandungi air, kemudian meminumnya, lalu sisanya dia siramkan ke dadanya. Maka Abu Bakar رضي الله عنه berkata, ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah telah menjanjikan kebaikan kepadamu dalam berdoa, maka doakanlah buat kami.’ Rasul ﷺ bertanya, ‘Apakah kamu suka hal itu?’ Abu Bakar رضي الله عنه menjawab, ‘Ya.’ Maka Rasulullah ﷺ mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. Sebelum baginda menurunkan kedua tangannya, langit menurunkan hujan yang lebat, kemudian keadaan menjadi tenang. Maka mereka memenuhi semua wadah yang mereka bawa dengan air. Kemudian kami berangkat memeriksa, dan ternyata hujan itu tidak melampaui markas pasukan kaum muslim.”
(Dinukilkan oleh Ibnu Kathir di dalam kitabnya)
مِن بَعدِ مّا كادَ يَزيغُ قُلوبُ فَريقٍ مِّنهُم
setelah hati segolongan dari mereka hampir berpaling,
Ini pula adalah golongan kedua daripada golongan Mukmin itu. Kita telah diceritakan sebelum ini tentang susahnya mereka untuk ke sana. Dalam waktu yang amat payah dan sangat mencabar itu, hampir-hampir sebahagian daripada hati orang Mukmin tergelincir. Kalimah يَزيغُ adalah daripada katadasar ز ي غ yang bermaksud condong ke bawah, bertukar arah, melencong, menolak, ragu-ragu, ketidakadilan, songsang. Dalam riwayat ada lapan nama sahabat yang disebut kerana susahnya keadaan mereka waktu itu, ada yang terasa lemah semangat dan meragui agama yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ.
Akan tetapi Allah ﷻ menerima taubat daripada para sahabat رضي الله عنهم yang asalnya tidak mahu pergi menyertai Perang Tabuk. Ini adalah kerana ia adalah waktu yang amat susah (perjalanan jauh dan dalam musim panas). Walaupun susah, tetapi mereka tetap ikut juga Nabi ﷺ pada jihad terakhir baginda itu.
ثُمَّ تابَ عَلَيهِم
kemudian Allah menerima taubat mereka itu.
Walaupun hati mereka ada yang hampir tergelincir, namun kerana mereka sedar kembali diri mereka, akhirnya Allah ﷻ terima taubat mereka. Begitulah kalau hati seseorang itu sudah mukmin, Allah ﷻ menarik mereka untuk kembali sedar walaupun sudah hampir goyah. Kadang-kadang memang mereka ada buat salah, tetapi mereka akan kembali kerana mereka cepat sedar.
إِنَّهُ بِهِم رَءوفٌ رَّحيمٌ
Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang terhadap mereka,
Allah ﷻ memberi peluang kepada mereka untuk mengubah keadaan mereka, dan Allah ﷻ pimpin hati mereka untuk bertaubat, kerana Allah ﷻ pengasih dan penyayang kepada hamba-Nya. Allah ﷻ tahu mana hati yang ikhlas kepada agama.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 21 Julai 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
