MEMINTA AMPUN BAGI PIHAK MUSYRIK
Tawbah Ayat 113: Walaupun Surah Tawbah ini adalah Surah Madaniyah, tetapi ayat ini dikatakan diturunkan di Mekah dan dimasukkan ke dalam surah ini. Ini adalah kerana topik ayat ini sesuai tentang kejadian yang berlaku di Mekah iaitu selepas kematian Abu Talib.
ما كانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذينَ ءآمَنوا أَن يَستَغفِروا لِلمُشرِكينَ وَلَو كانوا أُوْلي قُربىٰ مِن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُم أَنَّهُم أَصحٰبُ الجَحيمِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
It is not for the Prophet and those who have believed to ask forgiveness for the polytheists, even if they were relatives, after it has become clear to them that they are companions of Hellfire.
(MALAY)
Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat(nya), sesudah jelas bagi mereka, bahawasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka jahanam.
ما كانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذينَ ءآمَنوا أَن يَستَغفِروا لِلمُشرِكينَ
Tiadalah patut bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun bagi orang-orang musyrik,
Tidak boleh bagi Nabi ﷺ dan orang mukmin untuk istighfar (minta ampun) bagi pihak orang yang mati syirik. Iaitu kalau jelas mereka itu telah mati syirik. Untuk Nabi ﷺ, baginda dapat wahyu siapa yang mati kafir, tetapi pada zaman kita, tidak tahu.
Namun kalau jelas daripada perbuatannya yang seorang yang kafir, telah melakukan syirik, maka kita tidak boleh doa kepada Allah ﷻ untuk ampunkan dia kerana tiada keampunan untuk dosa syirik. Beratnya dosa syirik itu sampaikan mereka tidak ada peluang langsung. Mereka kena berdoa meminta ampun sendiri kepada Allah ﷻ ketika mereka masih hidup. Oleh kerana beratnya dosa itu sampaikan Allah ﷻ suruh kita berpisah dengan mereka di dunia dan juga di Akhirat. Ini selari dengan mesej surah ini dari mula lagi iaitu berlepas diri daripada golongan Musyrik.
Selagi mana dia masih hidup, kita boleh berdoa supaya Allah ﷻ beri hidayat kepada orang yang kufur atau mengamalkan syirik itu. Akan tetapi apabila sudah mati dan pada zahirnya mereka mati kufur, kita tidak boleh meminta keampunan untuk mereka. Oleh itu, hukumnya diharamkan untuk kita meminta ampun bagi pihak mereka. Sebelum ini pun Allah ﷻ telah sebut dalam ayat 84 yang Rasulullah ﷺ tidak boleh solat untuk orang Munafik.
وَلا تُصَلِّ عَلىٰ أَحَدٍ مِّنهُم مّاتَ أَبَدًا
Dan janganlah kamu sekali-kali menyembahyangkan (jenazah) seorang yang mati di antara mereka
Namun ini tidaklah melarang untuk mendoakan orang kafir sebelum mereka mati. Antaranya mendoakan mereka supaya mendapat hidayah. Contohnya doa Rasulullah ﷺ setelah pulang dari Taif dan setelah penduduk Taif menolak baginda dan menyakiti baginda:
اللهُمَّ اهْدِ قَوْمِي فَإِنَّهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
“Ya Allah! Berilah hidayah kepada kaumku. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”
(Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (1375))
Juga kita boleh juga meminta ampun bagi pihak mereka sebelum mereka mati. Dalilnya adalah hadith berikut:
قَالَ عَبْدُ اللَّهِ كَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَحْكِي نَبِيًّا مِنْ الْأَنْبِيَاءِ ضَرَبَهُ قَوْمُهُ فَأَدْمَوْهُ فَهُوَ يَمْسَحُ الدَّمَ عَنْ وَجْهِهِ وَيَقُولُ رَبِّ اغْفِرْ لِقَوْمِي فَإِنَّهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
[Abdullah] mengatakan: Seakan-akan aku melihat Nabi mengisahkan seorang Nabi yang ditempeleng oleh kaumnya sambil dia menyeka darah dari wajahnya dan memanjatkan doa; ‘ya Rabbi, ampunilah kaumku, sebab mereka adalah orang yang tidak tahu.’
(Sahih Bukhari (6417))
Kenapa tidak patut kita minta ampun bagi pihak musyrikin itu? Kerana Allah ﷻ sudah beritahu yang Dia tidak akan ampunkan dosa syirik seperti yang disebut di dalam Nisa’: 48
إِنَّ اللهَ لا يَغفِرُ أَن يُشرَكَ بِهِ
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya
Jikalau kita minta juga, maka ia adalah satu kedegilan kerana tetap juga meminta ampun sedangkan Allah ﷻ sudah beritahu yang Dia tidak ampunkan.
وَلَو كانوا أُوْلي قُربىٰ
walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat(nya),
Tidak boleh sama sekali meminta ampun bagi pihak mereka, atas dosa syirik mereka itu, sekali pun yang mati syirik itu kaum kerabat kita sendiri. Sudah tidak boleh buat apa lagi untuk mereka.
Asbabun Nuzul ayat ini adalah berkenaan Rasulullah ﷺ yang cuba hendak membantu bapa saudaranya Abu Thalib masuk Islam. Baginda telah datang untuk menemuinya semasa nazaknya untuk kali terakhir. Akan tetapi baginda telah dihalang oleh pemuka Quraisy. Maka Rasulullah ﷺ mengatakan yang baginda akan meminta ampun juga untuk Abu Thalib maka Allah ﷻ telah melarang baginda di dalam ayat ini. Hadithnya seperti berikut,
سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيَّبِ عَنْ أَبِيهِ أَنَّهُ أَخْبَرَهُ أَنَّهُ لَمَّا حَضَرَتْ أَبَا طَالِبٍ الْوَفَاةُ جَاءَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَوَجَدَ عِنْدَهُ أَبَا جَهْلِ بْنَ هِشَامٍ وَعَبْدَ اللَّهِ بْنَ أَبِي أُمَيَّةَ بْنِ الْمُغِيرَةِ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَبِي طَالِبٍ يَا عَمِّ قُلْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ كَلِمَةً أَشْهَدُ لَكَ بِهَا عِنْدَ اللَّهِ فَقَالَ أَبُو جَهْلٍ وَعَبْدُ اللَّهِ بْنُ أَبِي أُمَيَّةَ يَا أَبَا طَالِبٍ أَتَرْغَبُ عَنْ مِلَّةِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ فَلَمْ يَزَلْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعْرِضُهَا عَلَيْهِ وَيَعُودَانِ بِتِلْكَ الْمَقَالَةِ حَتَّى قَالَ أَبُو طَالِبٍ آخِرَ مَا كَلَّمَهُمْ هُوَ عَلَى مِلَّةِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ وَأَبَى أَنْ يَقُولَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَا وَاللَّهِ لَأَسْتَغْفِرَنَّ لَكَ مَا لَمْ أُنْهَ عَنْكَ فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى فِيهِ { مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ } الْآيَةَ
[Sa’id bin Al Musayyab] daripada [bapanya] bahawasanya dia mengabarkan kepadanya: “Ketika menjelang wafatnya Abu Thalib, Rasulullah ﷺ mendatanginya dan ternyata sudah ada Abu Jahal bin Hisyam dan ‘Abdullah bin Abu Umayyah bin Al Mughirah. Maka Rasulullah ﷺ berkata, kepada Abu Thalib: “Wahai pakcikku katakanlah لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ, suatu kalimat yang dengannya aku akan menjadi saksi atasmu di sisi Allah”. Maka berkata Abu Jahal dan ‘Abdullah bin Abu Umayyah: “Wahai Abu Thalib, apakah kamu akan meninggalkan agama ‘Abdul Muthalib?”. Rasulullah ﷺ terus menawarkan kalimat syahadat kepada Abu Thalib dan bersamaan itu pula kedua orang itu mengulang pertanyaannya yang Abu Thalib pada akhir ucapannya tetap mengikuti agama ‘Abdul Muthalib dan enggan untuk mengucapkan لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ. Maka berkatalah Rasulullah ﷺ: “Adapun aku akan tetap memintakan ampun buatmu selama aku tidak dilarang”. Maka turunlah firman Allah subhanahu wata’ala tentang peristiwa ini: (“Tidak patut bagi Nabi …”) dalam At-Tawbah ayat 113).
(Sahih Bukhari (1272))
Untuk melakukan perkara ini memang payah untuk kita menerimanya, kerana tentunya kita sayang kepada ahli keluarga kita. Kita mahu mereka selamat di akhirat nanti. Namun tetap tidak boleh lakukan apa-apa dan kita kena terima perkara ini dengan dada yang lapang. Serahkan kepada Allah ﷻ sahaja.
Kerana susahnya perkara ini untuk diterima, maka kerana itu kita ada contoh pada para Nabi kita. Kita akan lihat bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام turut mengalami masalah yang sama dan juga Nabi Muhammad ﷺ sendiri, apabila bapa saudaranya, Abu Thalib meninggal dunia. Allah ﷻ menceritakan hal mereka, supaya kita dapat tahu, yang para Nabi kita pun mengalami masalah yang sama juga.
Malah Nabi Muhammad ﷺ pun pernah meminta ampun untuk ibunya seperti disebut di dalam hadith,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ زَارَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم قَبْرَ أُمِّهِ فَبَكَى وَأَبْكَى مَنْ حَوْلَهُ فَقَالَ “ اسْتَأْذَنْتُ رَبِّي فِي أَنْ أَسْتَغْفِرَ لَهَا فَلَمْ يُؤْذَنْ لِي وَاسْتَأْذَنْتُهُ فِي أَنْ أَزُورَ قَبْرَهَا فَأُذِنَ لِي فَزُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْمَوْتَ ”
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, Nabi ﷺ menziarahi kubur ibunya. Baginda menangis lalu membuatkan orang di sekeliling baginda menangis. Baginda bersabda: Aku meminta izin kepada Tuhanku untuk memohon keampunan untuk ibuku, tetapi Allah tidak mengizinkan. Aku meminta izin pula untuk menziarahi kuburnya, lalu Allah mengizinkan aku. Maka ziarahilah kubur, sesungguhnya ia mengingatkan kepada kematian.
(Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz, Hadith No. 976)
Isu ini juga menjadi polemik dalam kalangan orang kita yang terlalu menjaga hati Nabi kononnya. Mereka kata kononnya ibubapa Nabi Muhammad ﷺ bukan musyrik, tidak masuk neraka, sebaliknya adalah ahli fatrah (sebelum sampai wahyu). Pandangan mereka itu walaupun berniat baik, akan tetapi tidak sesuai dengan dalil yang ada dan pandangan ulama’.
Imam an-Nawawi رحمه الله menyebutkan dalam Syarah Sahih Muslim:
وفيه : النهي عن الاستغفار للكفار .
Ia termasuk larangan meminta ampun bagi orang kafir,
Di dalam hadith yang lain:
عَنْ أَنَسٍ، أَنَّ رَجُلاً، قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيْنَ أَبِي قَالَ ” فِي النَّارِ ” . فَلَمَّا قَفَّى دَعَاهُ فَقَالَ ” إِنَّ أَبِي وَأَبَاكَ فِي النَّارِ
Daripada Anas رضي الله عنه, bahawa seorang lelaki bertanya: Ya Rasulullah, di manakah ayahku? Baginda menjawab: Di neraka. Apabila dia beredar, baginda memanggilnya lalu berkata: Sesungguhnya ayahku dan ayahmu di neraka.
(Sahih Muslim, Kitab al-Iman, Hadith No. 203)
Imam an-Nawawi رحمه الله menyatakan dalam Syarah Sahih Muslim:
فيه : أن من مات على الكفر فهو في النار ، ولا تنفعه قرابة المقربين ، وفيه أن من مات في الفترة عل ما كانت عليه العرب من عبادة الأوثان فهو من أهل النار ، وليس هذا مؤاخذة قبل بلوغ الدعوة ، فإن هؤلاء كانت قد بلغتهم دعوة إبراهيم وغيره من الأنبياء صلوات الله تعالى وسلامه عليهم .
Hadith ini menunjukkan sesiapa yang mati dalam keadaan kafir, maka dia di neraka. Kaum kerabatnya tidak akan mampu memberi manfaat kepadanya. Pada hadith ini juga menunjukkan bahawa sesiapa yang mati dalam waktu fatrah di mana masyarakat Arab menyembah berhala, maka mereka ini di neraka. Ini bukanlah hukuman yang dijatuhkan sebelum sampainya dakwah kepada mereka. Sesungguhnya telah sampai kepada mereka dakwah Nabi Ibrahim عليه السلام dan nabi-nabi yang lain.
Imam al-Baihaqi رحمه الله menyatakan dalam Al-Sunan Al-Kubra (14458) sebelum membawakan hadith Anas dan Abu Hurairah di atas:
وَأَبُواهُ كَانَا مُشْرِكَيْنِ بِدَلِيلِ مَا أَخْبَرَنَا أَبُو عَبْدِ اللَّهِ الْحَافِظُ…..
Kedua ibu bapa baginda adalah musyrikin berdalilkan…. (kemudian beliau membawakan hadith Anas dan Abu Hurairah di atas).
Walaupun ada juga pendapat ulama’ lain yang tidak bersetuju, namun kita berpegang bahawa pendapat yang mereka tersilap dalam hal ini. Tidaklah mengurangkan kedudukan mereka kalau mereka tersilap. Mungkin mereka yang benar, namun kita berpegang dengan dalil-dalil yang ada buat masa ini.
Cuma kita fahamlah kenapa mereka melakukan perkara itu. Iaitu kerana hendak menjaga nama keturunan Rasulullah. Macam tidak kena pula apabila bapa kepada Rasul kita masuk neraka. Jadi mereka datangkan dengan pendapat-pendapat yang kita boleh katakan untuk menjaga hati Rasulullah kerana tentulah baginda sayang kepada ibu dan bapa baginda. Tapi ada satu pendapat yang saya suka, iaitu kita tidak perlu pun bincangkan hal ini. Kerana kalau ayah kawan kita masuk penjara, kita pun tidak besar-besarkan perkara itu dan bertanyakan hal itu kepada kawan kita kerana kita tahu ayahnya dalam penjara dan dia pun tahu juga. Jadi tak perlu bangkitkan hal itu kerana tentunya ia akan menyayat hati kawan kita itu. Maka begitulah juga dengan kedudukan ibu dan bapa Rasul kita. Tak perlulah kita bincangkan sangat.
مِن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُم أَنَّهُم أَصحٰبُ الجَحيمِ
sesudah jelas bagi mereka, bahwasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka jahanam.
Kita tidak boleh meminta ampun untuk mereka, apabila telah jelas yang mereka mati dalam keadaan kafir musyrik. Kita kena ingat yang kita tidak tahu hati manusia, sama ada mereka kufur atau tidak, sama ada mereka musyrik atau tidak. Kecuali mereka jelas melakukan perkara syirik dan kita sendiri tahu. Walaupun kita telah berikan segala dalil dan nasihat kepada mereka, tetapi mereka tetap menolak. Maka mereka layak mendapat apa sahaja keputusan yang Allah ﷻ kenakan terhadap mereka.
Tawbah Ayat 114: Sekarang Allah ﷻ bawakan kisah Nabi Ibrahim عليه السلام kepada kita sebagai pedoman kita. Ia dibawakan selepas ayat di atas untuk menjawab syubhat (kekeliruan) yang timbul kerana Nabi Ibrahim عليه السلام pernah meminta ampun bagi bapanya. Malah Nabi Muhammad ﷺ pun pernah meminta ampun untuk ibunya.
وَما كانَ استِغفارُ إِبرٰهيمَ لِأَبيهِ إِلّا عَن مَّوعِدَةٍ وَعَدَها إِيّاهُ فَلَمّا تَبَيَّنَ لَهُ أَنَّهُ عَدُوٌّ لِّلَّهِ تَبَرَّأَ مِنهُ ۚ إِنَّ إِبرٰهيمَ لَأَوّٰهٌ حَليمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And the request of forgiveness of Abraham for his father was only because of a promise he had made to him. But when it became apparent to him [i.e., Abraham] that he [i.e., the father] was an enemy to Allāh, he disassociated himself from him. Indeed was Abraham compassionate and patient.
(MALAY)
Dan permintaan ampun dari Ibrahim (kepada Allah) untuk bapanya tidak lain hanyalah kerana janji yang telah diikrarkannya kepada bapanya itu. Maka, tatkala jelas bagi Ibrahim bahawa bapanya itu adalah musuh Allah, maka Ibrahim berlepas diri dari padanya. Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut hatinya lagi penyantun.
وَما كانَ استِغفارُ إِبرٰهيمَ لِأَبيهِ إِلّا عَن مَّوعِدَةٍ وَعَدَها إِيّاهُ
Dan permintaan ampun dari Ibrahim (kepada Allah) untuk bapanya tidak lain hanyalah kerana janji yang telah diikrarkannya kepada bapanya itu.
Mungkin ada yang berhujah, Nabi Ibrahim عليه السلام pernah meminta ampun kepada Allah ﷻ bagi pihak ayahnya, Azar. Sememangnya Nabi Ibrahim عليه السلام pernah berdoa untuk ayah baginda, kerana masa itu baginda tidak tahu yang itu adalah salah. Apabila baginda tahu salah, baginda berhenti. Maka sekarang tidak boleh jadikan perbuatan Nabi Ibrahim عليه السلام itu sebagai dalil.
Tidaklah istighfar Nabi Ibrahim عليه السلام untuk ayahnya itu, melainkan kerana janji baginda sahaja kepada ayahnya itu. Kerana baginda pernah berjanji kepada ayahnya untuk berdoa kepada Allah ﷻ supaya Allah ﷻ mengampunkan dosa ayahnya itu. Ini ada terdapat dalam Maryam: 47. Ini adalah ketika ayahnya menghalaunya dari sisinya.
قالَ سَلامٌ عَلَيكَ ۖ سَأَستَغفِرُ لَكَ رَبّي ۖ إِنَّهُ كانَ بي حَفِيًّا
Nabi Ibrahim berkata: “Selamat tinggallah ayah; aku akan memohon kepada Tuhanku mengampuni dosamu; sesungguhnya Dia sentiasa melimpahkan kemurahan ihsan-Nya kepadaku.
فَلَمّا تَبَيَّنَ لَهُ أَنَّهُ عَدُوٌّ لِّلَّهِ تَبَرَّأَ مِنهُ
Maka, tatkala jelas bagi Ibrahim bahawa bapanya itu adalah musuh Allah, maka Ibrahim berlepas diri dari padanya.
Apabila telah jelas kepada baginda melalui wahyu bahawasanya ayahnya adalah musuh ketat Allah ﷻ, maka baginda berlepas diri daripada terus melakukan istighfar bagi pihak ayahnya. Allah ﷻ beritahu baginda yang ayahnya itu mati kafir.
Salah satu nama surah ini adalah Surah Bara’ah (berlepas diri). Musyrikin Mekah menuduh Rasulullah ﷺ meninggalkan amalan tok nenek mereka, tidak hiraukan perasaan kaum baginda dan macam-macam lagi. Namun lihatlah bagaimana Nabi pertama yang memisahkan diri baginda daripada kaumnya yang melakukan syirik adalah Nabi Ibrahim عليه السلام. Padahal puak Musyrikin Mekah mengatakan yang mereka adalah daripada keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام sendiri.
Maka, janganlah salahkan Nabi Muhammad ﷺ kerana berlepas diri dengan amalan kaumnya yang syirik kerana bukan baginda yang mula-mula melakukan perkara itu pun. Memang mereka patut disisihkan kerana kesalahan yang mereka lakukan itu adalah kesalahan yang amat besar.
Oleh itu, meninggalkan mereka yang melakukan syirik adalah termasuk dalam perkara yang sunnah. Jangan rasa bersalah kalau kita tidak bersama dengan akidah ahli keluarga kita yang syirik. Tidak perlu kita sertai majlis mereka kalau mereka mengamalkan amalan yang syirik dalam majlis itu (termasuk juga majlis bid’ah). Ini adalah kerana kita lebih pentingkan redha Allah ﷻ daripada redha manusia, termasuk ahli keluarga kita pun. Ternyata ini Allah ﷻ puji Nabi Ibrahim عليه السلام dan suruh kita ikut baginda seperti disebut di dalam Mumtahanah: 4
قَد كانَت لَكُم أُسوَةٌ حَسَنَةٌ في إِبرٰهيمَ وَالَّذينَ مَعَهُ إِذ قالوا لِقَومِهِم إِنّا بُرَآءُ مِنكُم وَمِمّا تَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ كَفَرنا بِكُم وَبَدا بَينَنا وَبَينَكُمُ العَدٰوَةُ وَالبَغضاءُ أَبَدًا حَتّىٰ تُؤمِنوا بِاللهِ وَحدَهُ
Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka berkata kepada kaum mereka: “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dari daripada apa yang kamu sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah saja.
Akan tetapi sambungan ayat Mumtahanah: 4 ini ada pengecualian. Yang baginda berlepas itu kena ikut, namun jangan ikut perbuatan baginda meminta ampun bagi pihak ayahnya,
إِلّا قَولَ إِبرٰهيمَ لِأَبيهِ لَأَستَغفِرَنَّ لَكَ
Kecuali perkataan Ibrahim kepada bapanya: “Sesungguhnya aku akan memohonkan ampunan bagi engkau
Oleh itu yang lain-lain semua boleh ikut, kecuali bahagian ini sahaja. Namun begitu jangan jadikan perbuatan Nabi Ibrahim عليه السلام itu sebagai hujah pula kerana ia telah dimansukhkan di dalam Al-Qur’an.
إِنَّ إِبرٰهيمَ لَأَوّٰهٌ حَليمٌ
Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut hatinya lagi penyantun.
Kemudian Allah ﷻ memuji Nabi Ibrahim عليه السلام: sesungguhnya Nabi Ibrahim عليه السلام itu seorang Nabi yang sangat lembut hati, sangat tabah dalam menempuh segala ujian. Walaupun baginda dikenakan dengan berbagai ujian, baginda tetap tabah dan masih berharap kepada Allah ﷻ lagi. Baginda sentiasa menghadapkan wajah baginda kepada Allah ﷻ. Baginda sentiasa kembali dan rujuk kepada Allah ﷻ dalam setiap perkara.
Kalimah أَوّٰهٌ ada mempunyai banyak maksud. Ia berasal daripada katadasar ا و ه yang bermaksud seorang yang penyayang, seseorang yang selalu mengeluh kerana kesian, seseorang yang sentiasa memuji Allah ﷻ. Oleh itu maksud أَوّٰهٌ antaranya adalah senang kembali kepada Allah ﷻ, juga bermaksud merendahkan diri, seseorang yang lembut hati, selalu mengadu kepada Allah ﷻ, seorang yang berdoa dengan banyak, juga bermaksud yang mempunyai belas kasihan yang banyak kepada manusia lain, suka berzikir dan berdoa.
Kalimah حَليمٌ pula bermaksud seorang yang penyabar. Bukannya setakat penyabar ketika ditimpa musibah, tetapi sabar tidak membalas. Untuk Allah ﷻ sifat حَليمٌ ini adalah tidak terus beri azab kepada hamba-Nya yang melakukan dosa. Bagi Nabi Ibrahim عليه السلام maksudnya baginda sabar walaupun ayahnya mungkar dan telah memarahi baginda. Ini kita boleh lihat dalam Maryam: 46
قالَ أَراغِبٌ أَنتَ عَن آلِهَتي يٰۤاِبرٰهِيمُۚ ۖ لَئِن لَّم تَنتَهِ لَأَرجُمَنَّكَ ۖ وَاهجُرني مَلِيًّا
(Bapanya) menjawab: “Adakah engkau bencikan tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Demi sesungguhnya jika engkau tidak berhenti (daripada menyeru dan menasihati daku) sudah tentu aku akan melontarmu dengan batu; dan (ingatlah lebih baik) engkau tinggalkan daku sepanjang masa”.
Sekiranya orang lain yang menentang dan melakukan kemusyrikan, tidak mengapa lagi; akan tetapi apabila ayah sendiri tentunya menekan jiwanya. Namun baginda sabar. Walau apapun yang dikatakan oleh keluarga baginda, tetap tidak ambil pusing. Sedangkan baginda boleh sahaja membalas cacian dan makian ayahnya itu tetapi tidak baginda lakukan.
Apa pengajaran bagi kita pula? Kita pun patutnya kena ada juga sifat حَليمٌ ini terutama sekali kepada para pendakwah dan asatizah. Memang kalau berhadapan dengan golongan penentang kebenaran, golongan pengamal syirik dan bid’ah ini mereka memang kasar dan busuk mulut mereka. Disebabkan mereka tidak ada hujah maka mereka hanya ada kata-kata kesat dan makian sahaja. Namun kita janganlah ikut mereka pula. Kena bawa banyak bersabar dan حَليمٌ ini.
Ikutlah sunnah Nabi Ibrahim عليه السلام yang amat penyantun dan sensitif dengan keadaan orang lain. Baginda juga sangat sayang kepada keluarganya. Sebab itulah baginda susah untuk tinggalkan ayahnya itu. Baginda telah memberikan berbagai nasihat kepada ayahnya, tetapi ayahnya tidak mahu mendengar nasihatnya itu. Sehinggalah ayahnya sendiri menghalau baginda, barulah baginda tinggalkan ayahnya itu.
Baginda dapat menerima keadaan itu kerana baginda amat taat kepada Allah ﷻ. Ketaatan baginda kepada Allah ﷻ lebih tinggi lagi daripada ketaatan dan sayang baginda kepada ayahnya. Maka kita pun kenalah taat kepada Allah ﷻ juga dalam hal ini. Walaupun kita amat kasih kepada ahli keluarga kita, mungkin ibubapa kita sendiri, tetapi kita tetap lebih sayangkan Allah ﷻ daripada mereka. Mereka jatuh nombor dua dalam hati kita.
Kalau Allah ﷻ kata tidak boleh minta ampun untuk mereka (kalau mereka musyrik), maka janganlah kita melawan. Kerana kita tidak boleh buat apa pun – Allah ﷻ sahaja yang boleh ampunkan mereka, dan Allah ﷻ sudah kata yang Dia tidak akan ampunkan mereka yang melakukan syirik (dan mati dalam syirik).
Mereka kena bertaubat semasa mereka hidup untuk ada harapan diampunkan Allah ﷻ. Kalau sudah mati, tidak ada harapan lagi. Maka kenalah kita beri nasihat kepada ahli keluarga kita sementara mereka masih hidup lagi.
Tawbah Ayat 115: Sekarang Allah ﷻ jelaskan kenapa tidak patut minta ampun bagi pihak musyrikin
وَما كانَ اللَّهُ لِيُضِلَّ قَومًا بَعدَ إِذ هَدىٰهُم حَتّىٰ يُبَيِّنَ لَهُم مّا يَتَّقونَ ۚ إِنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And Allāh would not let a people stray after He has guided them until He makes clear to them what they should avoid. Indeed, Allāh is Knowing of all things.
(MALAY)
Dan Allah sekali-kali tidak akan menyesatkan suatu kaum, sesudah Allah memberi petunjuk kepada mereka sehingga dijelaskan-Nya kepada mereka apa yang harus mereka jauhi. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
وَما كانَ اللَّهُ لِيُضِلَّ قَومًا بَعدَ إِذ هَدىٰهُم
Dan Allah sekali-kali tidak akan menyesatkan suatu kaum, sesudah Allah memberi petunjuk kepada mereka
Allah ﷻ mahu beri hidayah kepada mereka. Maka diberikan hukum hakam kepada mereka untuk mereka gunakan semasa di dunia. Kalau mereka tidak terima lagi hukum itu, maka mereka tidak dipersalahkan. Di dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang perbuatan Nabi Ibrahim عليه السلام yang berdoa untuk bapanya. Ini adalah satu kesalahan, akan tetapi baginda tidak tahu yang ia adalah salah. Maka baginda tidak berdosa.
Ayat ini sama seperti di dalam ayat Isra’:15
وَما كُنّا مُعَذِّبينَ حَتّىٰ نَبعَثَ رَسولًا
dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul.
Iaitu Allah ﷻ tidak menghukum seseorang berdosa sehinggalah mereka tahu mana yang salah dan mana yang benar. Mana halal dan mana haram. Sebagai contoh, setelah ditukarkan kiblat dari BaitulMaqdis ke Mekah, ada sahabat yang tidak tahu kerana mereka bermusafir dan mereka terus solat mengadap BaitulMaqdis. Maka mereka tidak salah. Begitu juga ada sahabat yang terus juga minum arak walaupun arak telah diharamkan kerana tidak sampai lagi maklumat pengharaman itu kepada mereka. Maka mereka tidak berdosa.
حَتّىٰ يُبَيِّنَ لَهُم مّا يَتَّقونَ
sehingga dijelaskan-Nya kepada mereka apa yang harus mereka jauhi.
Allah ﷻ akan beri panduan hidup kepada manusia dan apa perkara yang perlu mereka jauhi. Kalau setelah mereka diberitahu tentang hukum hakam dan mereka ingkar selepas itu, barulah mereka layak dikenakan dengan azab dan masuk ke lembah kesesatan.
Begitu juga, Allah ﷻ tidak akan menyesatkan mana-mana kaum dengan sebab salah fatwa, sehinggalah mereka diberi hidayah mana yang perlu mereka jauhi. Maksudnya, kalau buat kesalahan kerana tidak tahu yang ia adalah salah, maka tidaklah mereka dipersalahkan. Ini adalah kerana mereka belum diberikan dengan hukum itu.
Sebelum ayat ini dikeluarkan, ada kalangan para sahabat yang berdoa supaya Allah ﷻ mengampunkan dosa ibubapa mereka yang musyrik. Waktu itu Allah ﷻ belum keluarkan hukum lagi memberitahu yang perkara itu tidak dibenarkan. Maka, kalau dulu perbuatan mereka itu dimaafkan, tetapi sekarang tidak lagi dibenarkan.
Akan tetapi, janganlah pula ayat ini dijadikan dalil kalau tidak tahu hukum akan selamat pula. Kalau sekarang kita tidak tahu hukum, itu adalah kerana kejahilan kita. Sedangkan hukum telah lama diberikan, kita sahaja yang tidak tahu kerana tidak belajar. Maka alasan ‘tidak tahu’ bukanlah hujah yang boleh diterima.
إِنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
Allah ﷻ maha mengetahui apakah dalam hati manusia. Allah ﷻ tahu siapa yang masih melakukan kesalahan kerana tidak tahu hukumnya dan siapa yang sudah tahu hukum, tetapi buat-buat tidak tahu. Allah ﷻ tahu segala apa yang terjadi di atas dunia dan langit.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 22 Ogos 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
