Tafsir Surah al-Maidah Ayat 73 – 77 (Nabi Isa dan ibunya pun makan)

Maidah Ayat 73: Sekarang kita baca ayat berkenaan akidah sesat golongan Nasrani lagi. Ini adalah golongan yang lain pula, iaitu yang memegang akidah Triniti (tiga oknum dalam satu).

لَّقَد كَفَرَ الَّذينَ قالوا إِنَّ اللهَ ثالِثُ ثَلٰثَةٍ ۘ وَما مِن إِلٰهٍ إِلّا إِلٰهٌ وٰحِدٌ ۚ وَإِن لَّم يَنتَهوا عَمّا يَقولونَ لَيَمَسَّنَّ الَّذينَ كَفَروا مِنهُم عَذابٌ أَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They have certainly disbelieved who say, “Allāh is the third of three.”¹ And there is no god except one God. And if they do not desist from what they are saying, there will surely afflict the disbelievers among them a painful punishment.

  • i.e., one part of three, referring to the Christian concept of trinity.

(MELAYU)

Sesungguhnya kafirlah orang-orang yang mengatakan: “Bahawasanya Allah salah seorang dari yang tiga”, padahal sekali-kali tidak ada Tuhan selain dari Tuhan Yang Esa. Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir diantara mereka akan ditimpa seksaan yang pedih.

 

لَّقَد كَفَرَ الَّذينَ قالوا إِنَّ اللهَ ثالِثُ ثَلٰثَةٍ

Sesungguhnya kafirlah orang-orang yang mengatakan: “Bahawasanya Allah salah seorang daripada yang tiga”, 

Ini adalah satu lagi fahaman Kristian. Mereka kata Allah ‎ﷻ adalah salah satu antara tiga. Ini adalah konsep Triniti yang banyak dipakai oleh puak Kristian dan ini mungkin fahaman mereka yang kita pun lebih biasa dengar. Mereka kata Tuhan itu ada tiga oknum: Tuhan Bapa, Nabi Isa dan Jibril.

Ada juga yang menggantikan Jibril dengan Maryam (perbezaan mazhab dalam Kristianisasi). Ini susah untuk dijelaskan dan orang Kristian pun tidak dapat menjelaskannya kerana mereka juga keliru. Kalau ditanya bagaimana ada tiga dalam satu… adakah satu… atau tiga? Mereka pun tidak dapat menjelaskannya.

Di dalam Kitab Bible mereka pun tidak ada disebut tentang Triniti ini. Jadi ia adalah rekaan sahaja. Apabila tidak dapat dijelaskan, akhirnya pengikut mereka disuruh percaya sahaja. Yang penting Allah ‎ﷻ tegaskan di sini yang ini pun fahaman kufur juga. Ini pengajaran bagi kita umat Islam juga: jangan reka fahaman-fahaman baru dalam agama yang tidak ada asasnya di dalam Al-Qur’an dan hadith Nabi. Jangan jadi seperti agama terdahulu yang diubah oleh ‘agamawan’ mereka sendiri.

 

وَما مِن إِلٰهٍ إِلّا إِلٰهٌ وٰحِدٌ

padahal sekali-kali tidak ada ilah selain dari ilah Yang Esa.

Inilah fahaman tauhid. Ilah itu hanya ada satu sahaja, iaitu Allah ‎ﷻ. Ramai yang menjadikan selain Allah ‎ﷻ sebagai ‘ilah’ walaupun mereka tidaklah mengatakan ilah-ilah itu sebagai tuhan. Perbincangan ilah yang panjang ada terdapat dalam usul tafsir. Antara ilah yang diadakan selain daripada Allah ‎ﷻ adalah Nabi, wali dan malaikat.

Jadi dalam kes Nasrani ini, mereka mengambil Nabi (Nabi Isa عليه السلام) dan malaikat (Jibril عليه السلام yang dipanggil Ruh Kudus atau Holy Ghost) sebagai ilah mereka selain Tuhan (God the Father).

 

وَإِن لَّم يَنتَهوا عَمّا يَقولونَ لَيَمَسَّنَّ الَّذينَ كَفَروا مِنهُم عَذابٌ أَليمٌ

Jika mereka tidak berhenti daripada apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir di antara mereka akan ditimpa seksaan yang pedih.

Ini adalah takhwif ukhrawi (ancaman azab di akhirat) – kalau mereka tidak berhenti daripada fahaman mereka itu, mereka akan dikenakan azab yang pedih. Maka ayat-ayat sebegini perlu dijelaskan kepada puak Kristian sekarang supaya mereka boleh memikirkan kesalahan yang mereka telah lakukan dalam iktikad mereka. Kalau mereka teruskan juga, maka mereka yang akan mendapat nasib yang malang nanti.


 

Maidah Ayat 74: Ini adalah nasihat kepada mereka yang tidak taat sebelum ini: Setelah dengar segala hukum tentang akidah itu dan tentang manakah amalan yang salah, maka kalau ada kesalahan yang buat sebelum ini, maka taubatlah dan berhentilah daripada melakukannya. Itu yang Allah ‎ﷻ hendak daripada kita.

أَفَلا يَتوبونَ إِلَى اللَّهِ وَيَستَغفِرونَهُ ۚ وَاللَّهُ غَفورٌ رَحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So will they not repent to Allāh and seek His forgiveness? And Allāh is Forgiving and Merciful.

(MALAY)

Maka mengapa mereka tidak bertaubat kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya?. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

أَفَلا يَتوبونَ إِلَى اللَّهِ

Maka mengapa mereka tidak bertaubat kepada Allah

Tidakkah mereka ada peluang lagi untuk bertaubat kepada Allah ‎ﷻ? Taubat itu adalah menyesal daripada apa yang telah dilakukan dahulu dan berazam untuk tidak buat lagi. Peluang itu masih ada selagi masih hidup, maka mengapa tidak diambil peluang itu? Kenapa hendak menegakkan fahaman yang salah lagi?

Jangan jadi orang yang degil. Ada yang telah diberitahu dengan fahaman salah dengan diberikan dalil dan hujah daripada wahyu, tetapi masih hendak menegakkan fahaman salah mereka. Sepatutnya sikap hendaklah terbuka – kalau sudah diberikan dalil yang sahih, maka terimalah sahaja dan tinggalkan fahaman yang salah. Kenapa lagi hendak mempertahankannya?

 

وَيَستَغفِرونَهُ

dan memohon ampun kepada-Nya?

Mohonlah ampun kepada Allah ‎ﷻ supaya dihapuskan dosa itu selama-lamanya. Apabila Allah ‎ﷻ hapuskan dosa itu, dosa itu tidak ada sesiapa lagi yang tahu di akhirat kelak. Tidak kiralah sudah berapa lama amalan itu dipegang dan diamalkan, minta sahajalah ampun kepada Allah ‎ﷻ. Jangan kerana sudah lama buat, rasa rugi pula untuk tinggalkan begitu sahaja. Maka walaupun seorang penganut Kristian sudah lama berpegang dengan akidah salahnya itu, hendaklah bersedia untuk bertaubat.

Maka kena bersedia untuk sentiasa minta ampun. Malangnya, dalam akidah penganut Kristian, mereka kata pengampunan itu hanya boleh dilakukan kalau menerima Nabi Isa عليه السلام sebagai tuhan, atau salah satu daripada tiga tuhan dalam satu. Mereka kononnya kena minta ampun melalui Nabi Isa عليه السلام juga. Ini adalah fahaman yang salah. Sepatutnya kita terus meminta ampun kepada Allah ‎ﷻ sahaja, bukan melalui perantaraan pun.

Kebanyakan manusia melakukan syirik kerana mereka tidak berurusan terus dengan Allah ‎ﷻ. Mereka masih juga lagi hendak menggunakan ‘wasilah’ (perantara) dalam urusan agama. Itulah sebabnya ramai yang sedekah duit kepada makam-makam tertentu, buat kenduri di kuburan tertentu dan bermacam lagi perkara syirik.

Dan apabila mereka melakukan perkara sebegitu, mereka rasa yang mereka telah selamat kerana mereka rasa mereka telah ada orang yang akan ‘jaga’ mereka. Ini adalah syirik sama sekali.

Dan kebanyakan manusia tidak mahu bertaubat dan menerima kebenaran. Pada mereka, kalau mereka terima, mereka kena ubah cara amalan mereka dan mereka tidak mahu. Mereka sudah biasa dengan apa yang mereka telah lakukan selama hari ini dan mereka tidak bersedia untuk mengubahnya.

Selalunya mereka mendapat amalan itu daripada datuk nenek mereka dan mereka tidak sanggup mengatakan amalan datuk nenek mereka dahulu itu salah. Jadi, mereka akan terus mengamalkannya. Atau mereka telah lama mendapat sesuatu amalan itu daripada guru mereka, jadi rasa rugi pula untuk ditinggalkan. Bahaya kalau ada sifat sebegini, iaitu sifat degil tidak sedar diri.

 

وَاللَّهُ غَفورٌ رَحيمٌ

Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Allah ‎ﷻ suruh ambillah kesempatan untuk bertaubat selagi boleh. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ maha mengampuni. Dan Allah ‎ﷻ suka kalau hamba yang mengaku dan minta maaf kepada-Nya. Allah ‎ﷻ bersedia untuk memaafkan sesiapa sahaja.

Allah ‎ﷻ buka pintu rahmah-Nya dan menjemput semua untuk bertaubat kepada-Nya kalau ada berbuat salah. Dan kita memang ada kemungkinan telah melakukan kesalahan di masa yang lalu kerana dahulu kita tidak belajar, tidak jumpa guru yang boleh beri ajaran yang sunnah, yang datang daripada dalil yang sahih. Begitulah di negara kita ini dahulunya ajaran yang bukan sunnah yang banyak bercambah biak. Jadi tentu ada sahaja fahaman salah dalam kalangan masyarakat kita.


 

Maidah Ayat 75: Kalau Nabi Isa عليه السلام itu bukan tuhan, maka siapakah baginda? Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini.

مَا المَسيحُ ابنُ مَريَمَ إِلّا رَسولٌ قَد خَلَت مِن قَبلِهِ الرُّسُلُ وَأُمُّهُ صِدّيقَةٌ ۖ كانا يَأكُلانِ الطَّعامَ ۗ انظُر كَيفَ نُبَيِّنُ لَهُمُ الآياتِ ثُمَّ انظُر أَنّىٰ يُؤفَكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The Messiah, son of Mary, was not but a messenger; [other] messengers have passed on before him. And his mother was a supporter of truth. They both used to eat food.¹ Look how We make clear to them the signs; then look how they are deluded.

  • They were in need of sustenance, proving that they were creations of Allāh, not divine beings.

(MALAY)

Al Masih putera Maryam itu hanyalah seorang Rasul yang sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa rasul, dan ibunya seorang yang sangat benar, kedua-duanya biasa memakan makanan. Perhatikan bagaimana Kami menjelaskan kepada mereka (ahli kitab) tanda-tanda kekuasaan (Kami), kemudian perhatikanlah bagaimana mereka berpaling (dari memperhatikan ayat-ayat Kami itu).

 

مَا المَسيحُ ابنُ مَريَمَ إِلّا رَسولٌ

Al Masih putera Maryam itu hanyalah seorang Rasul 

Nabi Isa عليه السلام itu dia adalah seorang Rasul yang mulia. Taraf baginda bukanlah terlalu tinggi sehingga ke tahap tuhan dan bukan juga hina sebagai anak zina. Ini kerana ada juga yang merendahkan baginda dengan mengatakan baginda adalah anak zina.

 

قَد خَلَت مِن قَبلِهِ الرُّسُلُ

sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa rasul,

Sebelum baginda dahulu pun sudah ada rasul-rasul lain. Maka tidaklah pelik kerana baginda adalah salah seorang daripada Rasul sahaja. Baginda juga seorang hamba Allah‎ ﷻ juga dan bukan tuhan dan bukan anak tuhan. Ahli Kitab pun terima ada rasul-rasul yang lain seperti Nabi Musa عليه السلام dan sebagainya.

Rasul-rasul dahulu datang dan pergi. Ia bukanlah perkara yang pelik. Begitu juga, dengan Nabi Muhammad ﷺ, baginda juga wafat. Janganlah kerana sayang kepada Nabi Muhammad ﷺ, sampai tidak terima yang baginda pun mati juga. Yang kekal hanya Allah ‎ﷻ sahaja kerana itu adalah sifat Tuhan.

Termasuk tidak kekal hidup adalah Nabi Muhammad ﷺ. Ini penting disebut di sini kerana ada akidah sesat yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ tidak mati – atau ada yang kata baginda dihidupkan kembali dan fahaman ini ada dalam kalangan kita (fahaman Hayati). Begitulah yang terjadi kepada puak Kristian – mereka terlalu sayangkan Nabi Isa عليه السلام sehingga mereka menaikkan taraf kedudukan baginda sebagai tuhan dan mereka sanggup kata baginda tidak mati.

Maka kena tolak fahaman itu kerana ketahuilah yang Nabi Muhammad ﷺ telah wafat. Dalilnya adalah baginda dikuburkan oleh para sahabat. Kalau belum wafat lagi, kenapa para sahabat kuburkan? Mereka pun tahu yang baginda telah wafat dan mereka telah menerima hakikat itu walaupun perit bagi mereka. Kenapa pula ada yang keluarkan akidah baru yang baginda masih hidup?

 

وَأُمُّهُ صِدّيقَةٌ

dan ibunya seorang yang sangat benar,

Dan ibu baginda, Maryam رضي الله عنها pula seorang yang benar dalam taat kepada Allah ‎ﷻ. Beliau taat setia kepada Allah ‎ﷻ dalam segala hal. Beliau beriman kepada Nabi Isa عليه السلام dan membenarkan kerasulan baginda.

Kedudukan Sadiqah adalah satu kedudukan yang di bawah daripada kedudukan Nabi. Jadi ayat ini menjadi dalil bahawa Maryam رضي الله عنها bukanlah seorang Nabi. Kerana itu telah disebut kedudukannya yang tertinggi yang layak baginya iaitu ‘siddiqah’. Ini juga menjadi perbincangan dalam kalangan umat kerana ada yang berpendapat beliau juga seorang Nabi namun ditolak dengan dalil dalam ayat ini.

Jadi, tidak seperti apa yang diduga oleh Ibnu Hazm رحمه الله dan lain-lainnya yang mengatakan bahawa ibu Nabi Ishaq (Sarah), ibu Nabi Musa, dan ibu Nabi Isa semuanya adalah nabi wanita. Ibnu Hazm رحمه الله mengatakan demikian dengan berdalilkan bahawa para malaikat berbicara dengan Sarah dan Maryam, seperti yang disebutkan di dalam firman-Nya:

{وَأَوْحَيْنَا إِلَى أُمِّ مُوسَى أَنْ أَرْضِعِيهِ}

Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa, “Susukanlah dia.” (Al-Qashash: 7)

Kata beliau, pengertian lafaz wa auhaina ini menunjukkan darjat kenabian. Tetapi menurut pendapat jumhur ulama’, Allah ‎ﷻ belum pernah mengutus seorang nabi melainkan dalam kalangan kaum laki-laki. Allah ‎ﷻ berfirman:

{وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلا رِجَالا نُوحِي إِلَيْهِمْ مِنْ أَهْلِ الْقُرَى}

Kami tidak mengutus sebelum kamu, melainkan orang laki-laki yang Kami berikan wahyu kepadanya di antara penduduk negeri. (Yusuf: 109)

Syeikh Abul Hasan Al-Asy’ari رحمه الله telah meriwayatkan adanya kesepakatan para ulama’ akan ketetapan ini.

 

كانا يَأكُلانِ الطَّعامَ

kedua-duanya biasa memakan makanan. 

Mereka juga makan. Oleh itu, bagaimana mungkin menjadikan mereka sebagai tuhan, sedangkan keduanya biasa makan dulu. Disebut tentang makan, kerana kalau memerlukan makanan, itu menunjukkan mereka itu manusia. Senang sahaja dalil yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ, tidak perlu diberikan dalil yang banyak. Akal yang waras akan dapat terima perkara ini.

Kalau tidak makan pun tidaklah menjadi dalil yang entiti itu adalah Tuhan juga. Ini kerana para malaikat pun tidak makan; dan mereka bukanlah Tuhan juga. Tuhan ada Sifat-Nya dan segala makhluk tidak akan dapat mencapai sifat Tuhan.

 

انظُر كَيفَ نُبَيِّنُ لَهُمُ الآياتِ

Perhatikan bagaimana Kami menjelaskan kepada mereka (ahli kitab) tanda-tanda, 

Dengarlah dalil-dalil ini dan fikirkanlah dengan sejelasnya kerana Allah ‎ﷻ telah jelaskan kedudukan mereka dengan menggunakan bukti yang jelas dan mudah difahami. Buka pintu hati untuk menerima kebenaran. Jangan tolak terus benda-benda yang kita tidak biasa.

 

ثُمَّ انظُر أَنّىٰ يُؤفَكونَ

kemudian perhatikanlah bagaimana mereka berpaling

Namun begitu dengan segala bukti yang telah diberikan, bagaimana lagi mereka boleh terpesong? Begitulah perangai kebanyakan daripada manusia. Lihatlah dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ suruh kita lihat mereka. Allah ‎ﷻ memberikan contoh bagaimana mereka itu masih lagi menolak walaupun diberikan dengan dalil jelas. Ini kerana ramai yang degil tetap hendak berpegang dengan akidah yang salah.

Dan lihatlah kembali bagaimana masyarakat Islam kita sendiri pun begitulah juga. Masih juga lagi berpegang dengan fahaman bid’ah dan syirik yang diamalkan oleh datuk nenek mereka dan apa yang mereka telah dapat daripada guru mereka. Apa yang telah terjadi kepada ahli kitab dahulu, terjadi juga kepada kebanyakan dalam masyarakat kita.


 

Maidah Ayat 76: Ini adalah tentang kekufuran manusia selain daripada kesalahan menduakan Allah ‎ﷻ. Ini kerana ada banyak lagi akidah yang kufur. Ada yang mempercayai selain Allah ‎ﷻ mempunyai kuasa yang boleh membantu mereka mendapatkan sesuatu atau mengelak daripada kemudaratan.

قُل أَتَعبُدونَ مِن دونِ اللَّهِ ما لا يَملِكُ لَكُم ضَرًّا وَلا نَفعًا ۚ وَاللَّهُ هُوَ السَّميعُ العَليمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Do you worship besides Allāh that which holds for you no [power of] harm or benefit while it is Allāh who is the Hearing, the Knowing?”

(MALAY)

Katakanlah: “Mengapa kamu menyembah selain daripada Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi mudharat kepadamu dan tidak (pula) memberi manfaat?” Dan Allah-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

 

قُل أَتَعبُدونَ مِن دونِ اللَّهِ ما لا يَملِكُ لَكُم ضَرًّا وَلا نَفعًا

Katakanlah: “Mengapa kamu menyembah selain daripada Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi mudarat kepadamu dan tidak (pula) memberi manfaat?”

Allah‎ ﷻ suruh tanya kepada mereka yang melakukan syirik: “Patutkah kamu seru dan puja selain daripada Allah?” Ini adalah dalam bentuk umum, bukan berkenaan Nabi Isa عليه السلام sahaja seperti dalam ayat-ayat sebelum ini kerana selain Nabi Isa عليه السلام, ada lagi selain Allah ‎ﷻ yang dipuja dan disembah. Selalunya ia adalah Nabi, wali dan malaikat.

Allah ‎ﷻ memberikan hujah, kenapa hendak disembah mereka sedangkan mereka tidak ada kuasa untuk memberikan bahaya atau faedah pun. Yang boleh memberi faedah dan memberi bahaya itu Allah ‎ﷻ sahaja, maka sembah Allah ‎ﷻlah sahaja.

Kita tahu yang selain Muslim banyak menyembah tuhan-tuhan rekaan mereka. Itu sudah biasa. Akan tetapi malangnya dalam kalangan umat Islam pun ada menyembah selain Allah ‎ﷻ. Dan ini banyak dilakukan sebenarnya. Ada yang reka fahaman sembah kubur dan meminta pertolongan dengan ahli kubur. Antaranya adalah golongan Brelvi di India dan juga golongan Habib yang asalnya dari Yaman dan fahaman sesat mereka telah diimport ke negara kita ini.

Bagaimana pula orang Islam boleh melakukan perkara terkutuk ini? Kerana  mereka jahil daripada wahyu dan tidak tahu apakah tauhid dan bagaimana membezakannya dengan syirik. Inilah  yang terjadi apabila Al-Qur’an hanya dibaca tanpa diketahui maknanya kerana pelajaran tafsir sudah asing dalam kalangan masyarakat kita.

 

وَاللَّهُ هُوَ السَّميعُ العَليمُ

Dan Allah-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Ini adalah dua sifat tentang Allah ‎ﷻ yang penting yang patut kita faham dan ingat. Allah ‎ﷻ beritahu hanya Dia sahaja yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Oleh kerana itu, tidaklah perlu untuk berharap kepada selain daripada Dia. Kerana yang selain daripada Allah ‎ﷻ tidak ada kelebihan itu.

Ini kerana kalau kita sembah atau berdoa kepada sesiapa, tentulah kita berharap dia dapat dengar apa yang kita katakan dan dia dapat menyelesaikan masalah kita dan memenuhi kehendak kita. Sekarang Allah ‎ﷻ beritahu, hanya Dia lah sahaja yang ada kelebihan ini. Kalau sembah ahli kubur contohnya seperti yang banyak dilakukan, mereka sudah mati dan tidak dapat mendengar. Kalau letupkan bom di kubur mereka pun mereka tidak mendengar.

Lagi satu keperluan kita dalam berdoa adalah meminta kepada yang kita tahu boleh menyelesaikan masalah kita. Tahu akan kepayahan kita, tahu kehendak kita dan tahu bagaimana hendak selesaikan. Sifat ini hanya ada pada Allah ‎ﷻ sahaja. Selain Allah ‎ﷻ tidak ada kuasa ini. Termasuklah ahli kubur yang di dalam kubur itu.

Oleh kerana itu, Allah ‎ﷻ telah beritahu kepada kita dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an termasuk dalam ayat ini, untuk sembah dan seru Dia sahaja. Minta apa sahaja kepada-Nya dan jangan minta kepada yang lain. Dia telah buka pintu seluas-luasnya untuk kita menyeru dan berdoa kepada-Nya. Carilah jalan untuk mendekatkan diri dengan Allah ‎ﷻ.

Namun bukanlah dengan jalan yang dilarang, tetapi melalui ibadat-ibadat yang sunnah. Selepas berbuat ibadat, maka berdoalah kepada-Nya. Ambillah peluang yang ada, selagi kita hidup ini kerana apabila sudah mati nanti, tidak boleh lagi mampu untuk membuat apa-apa.


 

Maidah Ayat 77: Ayat zajrun dan teguran yang amat penting dalam ayat ini: JANGAN GHULUW dalam agama.

قُل يٰأَهلَ الكِتٰبِ لا تَغلوا في دينِكُم غَيرَ الحَقِّ وَلا تَتَّبِعوا أَهواءَ قَومٍ قَد ضَلّوا مِن قَبلُ وَأَضَلّوا كَثيرًا وَضَلّوا عَن سَواءِ السَّبيلِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “O People of the Scripture, do not exceed limits in your religion beyond the truth and do not follow the inclinations of a people who had gone astray before and misled many and have strayed from the soundness of the way.”

(MALAY)

Katakanlah: “Hai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus”.

 

قُل يٰأَهلَ الكِتٰبِ لا تَغلوا في دينِكُم غَيرَ الحَقِّ

Katakanlah: “Hai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. 

Ini adalah nasihat yang amat penting, termasuk kepada kita pun. Jangan melampau batas dalam agama. Sebagaimana golongan ahli kitab sebelum kita, mereka ada yang mengangkat Nabi Isa عليه السلام menjadi tuhan atau anak tuhan atau merendahkan Nabi Isa عليه السلام sebagai anak zina. Dan golongan Yahudi pula berlebihan dalam mengatakan Nabi Uzair عليه السلام itu juga anak tuhan.

Iaitu melampau dengan tidak haq, dengan tidak benar, reka perkara baru dalam agama tanpa dalil daripada wahyu. Ini telah terjadi pada zaman dahulu pada agama Yahudi dan Nasara, malangnya ia sudah termasuk ke dalam agama Islam pula. Ramai yang melampau dalam agama sehingga mengambil perkara yang tidak benar sebagai pegangan. Mereka menjadikan seolah-olah agama Islam ini tidak lengkap lagi, kerana itu perlu di’perbaiki’ dan ditambah sana dan sini.

Mereka melakukan perkara yang tidak ada dalam nas. Kita kena sedar yang kita kena berpegang dengan nas. Dalil adalah segala-galanya dalam agama. Yang sudah disampaikan kepada kita sudah cukup dan kerana itu tidak perlu buat lebih daripada yang sepatutnya. Kalau dibenarkan reka fahaman dalam agama tanpa disandarkan kepada dalil nas daripada wahyu, maka agama kita pun boleh berubah menjadi seperti Yahudi dan Nasrani.

Banyak sekali contoh yang boleh diberikan. Ada yang kata Nabi Muhammad ﷺ tidak wafat, ada yang minta tolong dengan baginda, puja baginda, ada yang kata baginda Tuhan (Allah), ada yang seru-seru baginda dalam qasidah dan selawat dan pelbagai lagi perkara ghuluw dalam agama. Ini adalah dari segi fahaman.

Ada juga yang reka amalan ghuluw pula. Kerana itu ada golongan yang berzikir sampai tidak tidur, ada yang melampau sehingga buang harta benda kerana kononnya mahu zuhud, ada yang mengkafirkan puak yang tidak sehaluan dengan mereka, ada yang reka salat yang tidak ada nas; banyak lagi perkara agama yang masyarakat kita melampau juga.

Semua ini timbul kerana jauh daripada ajaran wahyu. Wahyu tidak dipelajari maka mudah bagi syaitan untuk mengambil peluang membisikkan fahaman dan amalan baru. Akhirnya menjadi ghuluw dan tidak nampak kesudahannya. Kalau kita ada fahaman dan ilmu wahyu, maka senang untuk kita tolak fahaman-fahaman yang tidak ada asas dalam wahyu.

 

وَلا تَتَّبِعوا أَهواءَ قَومٍ قَد ضَلّوا مِن قَبلُ

Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya

Dan jangan ikut hawa nafsu kaum yang telah sesat sebelum ini. Bagi pihak ahli kitab, mereka ada golongan sebelum mereka yang telah melampau dalam agama, maka janganlah ikut lagi. Perbetulkanlah semula jalan agama, kembalilah kepada mentaati Allah dengan mentaati NabiNya yang akhir, Nabi Muhammad ﷺ. Pelajarilah wahyu Al-Qur’an dan wahyu Sunnah daripada hadith-hadith yang sahih.

Pegang hadith-hadith yang sahihlah sahaja. Tidak perlu untuk mempertahankan amalan daripada hadith yang dhaif, apatah lagi palsu. Kenapa perlu diamalkan amalan daripada hadith yang dhaif sedangkan ada banyak lagi amalan daripada hadith yang sahih. Apakah sudah selesai diamalkan amalan daripada hadith yang sahih? Jika diamalkan hadith sahih, sudah pasti dapat pahala. Jika diamalkan daripada hadith yang dhaif, adakah pasti mendapat pahala?

Jika hadith dhaif pun ada masalah, apatah lagi hadith palsu. Ia patut ditolak terus dengan satu nafas sahaja. Namun malangnya ada pula yang kata jika hadith palsu, tidak semestinya amalan itu palsu. Ini sudah kenapa, sampai hadith palsu pun hendak dipertahankan? Apa sudah habis amalan yang sahih sampai amalan palsu pun hendak dipertahankan?

Kalau yang jahil menganjurkan perkara ini, kita boleh faham. Tetapi kenapa ada agamawan jadi pendokong hadith palsu pula? Kenapa teruk sangat sampai jadi begini? Ini pun ghuluw juga.

Mengikut hawa nafsu adalah melakukan sesuatu tanpa dalil sahih. Ini boleh membawa kepada kesesatan. Dan kita pun tahu, ramai yang telah sesat sebelum kita. Antaranya puak Ahli Kitab itu. Kita kena pelajari apakah kesalahan dan kesilapan mereka supaya kita jangan jadi seperti mereka. Mereka banyak reka benda baru dalam agama, sampai jadi sesat dan jadi pelik agama itu, maka janganlah kita ikut mereka. Mereka reka perkara baru kerana mereka sudah jauh daripada wahyu, tidak hiraukan wahyu. Itulah punca asalnya.

Maka kena kembali belajar apakah yang dikatakan oleh wahyu (oleh Allah ‎ﷻ dan Rasul). Kalau kita tidak ikut dalil yang ada dalam nas yang sahih, maka itu maksudnya kita telah menggunakan hawa nafsu kita dalam beragama. Kena rasa cukup dengan apa yang Allah ‎ﷻ dan Nabi telah sampaikan kepada kita. Kalau rasa tidak cukup sampai kena tambah dengan benda lain, ini sudah ada masalah dalam hati dan minda.

 

وَأَضَلّوا كَثيرًا

dan mereka telah menyesatkan ramai

Bukan sahaja agamawan Ahli Kitab itu telah sesat, mereka juga sangat banyak menyesatkan orang lain. Mereka selalu mengeluarkan diayah-diayah mereka yang menyesatkan manusia. Diayah Yahudi dan Nasrani itu semua dipanggil hawa nafsu kerana hendak menyesatkan orang lain.

Hingga ke hari ini mereka masih sesat lagi. Mereka tidak mahu melihat agama Islam berjaya. Ini telah dibincangkan dalam Surah Baqarah dengan panjang lebar kerana surah itu menceritakan tentang sifat mereka.

Mereka menyesatkan orang ramai kerana mereka dipandang sebagai agamawan. Dan kita pun tahu yang agamawan dipandang tinggi di dalam masyarakat. Sampai ke satu tahap agamawan tidak boleh ditegur. Seolah-olah mereka itu maksum pula. Padahal mereka juga manusia yang tidak sunyi daripada kesilapan.

Bahaya bagi orang yang dipandang sebagai agamawan ini adalah kerana mereka dikuti sahaja oleh orang awam yang jahil agama. Kerana mereka sangka kalau ‘orang agama’ buat, tentulah benar. Jadi hasilnya bukan satu orang sahaja yang sesat, tetapi ramai lagi yang menjadi sesat.

Namun yang menjadi sesat adalah mereka yang jahil ajaran wahyu sahaja kerana mereka itu orang mengikut sahaja sesiapa yang dipandang hebat. Mereka inilah yang senang tertipu dan memang ramai pun dalam masyarakat kita. Jadi tidak menghairankan kalau ada pentaksub dalam masyarakat.

 

وَضَلّوا عَن سَواءِ السَّبيلِ

dan mereka tersesat dari jalan yang lurus”.

Mereka amat jauh dari jalan yang lurus. Ini yang bahaya sekali. Maka kalau kita mahukan jalan yang lurus, kena berhati-hati dengan penipuan daripada golongan agama dan jangan terpedaya dengan diayah mereka. Jangan tersalah pilih siapa yang kita ikut. Kita kena gunakan akal yang waras dan kritis.

Kena jadi pandai sedikitlah, jangan hanya terima sahaja. Jangan hanya dilihat kepada perawakan daripada jubah serban yang dipakai mereka. Itu hanya luaran sahaja dan tidak melambangkan benar atau tidaknya orang itu. Mungkin juga kerana perawakan golongan Habib yang berserban dan berjubah itulah yang menyebabkan ramai tertipu dengan mereka.

 

Sekian Ruku’ 10 dari 16 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 31 Oktober 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

5 thoughts on “Tafsir Surah al-Maidah Ayat 73 – 77 (Nabi Isa dan ibunya pun makan)”

  1. Assalamualaikum. kelmarin saya baca yg terakhir ditanda ayat 73-76. Jadi bermaksud hari ni saya akan sambung pada ayat 77-79. Tapi hari ni saya buka ada perubahan pada ayat. Ayat 77-79 dah jadi 73-78. Ada apa2 perubahan tak ustaz?

    Like

  2. Baik saya dah faham ustaz. Saya baru perasan tarikh kemaskini, 27.7.2021.. Cuma izin saya bertanya, sekiranya ada kemaskini yg terbaru, adakah byk tafsiran2 penting yg saya terlepas? Maksud saya sekiranya terdapat kemaskini pada ayat2 yg saya sudah lepas (dah baca)

    Like

    1. semua ayat sudah ditafsir. tapi Qur’an ini memang tidak habis digali. saya sedang edit dan tambah maklumat di dalam posting-posting yang lepas. dari semasa ke sama akan ada penambahan dan editing. selagi nyawa saya ada dan saya mampu, saya akan edit. jadi boleh baca terus sampai habis. nanti bila sudah habis, boleh ulang semula dari Fatihah.

      Like

  3. Baik insyaAllah ustaz. Terima kasih atas segala daya usaha ustaz untuk sentiasa mengemaskini tafsir ini. Besar sumbangan dan manfaatnya. Moga Allah terus kurniakan kekuatan dan kefahaman buat ustaz untuk terus berbakti untuk kemudahan orang awam memahami kalam Allah ini.

    Like

Leave a comment