Tafsir Surah Ali Imran Ayat 22 – 24 (Sikap Ahli Kitab Terhadap Hukum Allah)

Ali Imran Ayat 22: Apakah balasan yang akan dikenakan kepada mereka?

أُولٰئِكَ الَّذينَ حَبِطَت أَعمٰلُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ وَما لَهُم مِّن نّٰصِرينَ

SAHIH INTERNATIONAL
They are the ones whose deeds have become worthless in this world and the Hereafter, and for them there will be no helpers.

MALAY
Mereka itulah orang-orang yang telah rosak amal perbuatannya di dunia dan di akhirat, dan mereka tidak akan memperoleh sesiapa pun yang dapat memberi pertolongan.

 

أُولٰئِكَ الَّذينَ حَبِطَت أَعمٰلُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ

Mereka itulah orang-orang yang telah rosak amal perbuatannya di dunia dan di akhirat,

Digunakan kalimah أُولٰئِكَ iaitu kata tunjuk yang jauh kerana mereka itu jauh dari kebenaran. Ia merujuk kepada golongan yang disebut di dalam ayat ini iaitu yang kufur, membunuh para Nabi dan membunuh orang yang menjalankan amar ma’ruf nahi munkar. Gugur amalan mereka kerana kesalahan-kesalahan yang mereka telah lakukan. Kalimah حَبِطَتْ di dalam bermaksud “gugur”, “sia-sia”, “terhapus”, atau “musnah” (terutamanya merujuk kepada amalan kebaikan atau pahala). Tidak guna satu sen pun. Di dalam Al-Qur’an, perkataan ini hampir sentiasa digunakan untuk menggambarkan keadaan di mana segala pahala amal soleh seseorang terpadam sepenuhnya akibat perbuatan kufur, syirik, atau murtad.

Kalau mereka ada amal kebaikan pun, ia tidak akan memberi makna kepada mereka. Ia tidak akan melindungi mereka kerana kekufuran yang mereka lakukan. Mereka ini golongan agamawan Yahudi, bukan? Kedudukan mereka itu tidak akan menyelamatkan mereka. Jangan sangka mereka ahli agama, mereka akan selamat! Ini kerana mereka telah menjual agama untuk kepentingan diri mereka. Bagaimana caranya?

Mereka jual kedudukan dalam hierarki keagamaan mereka. Siapa yang dapat bayar, dapatlah pangkat! Sudah dapat pangkat, bolehlah pula bercakap sesuka hati. Dan antaranya mereka jual fatwa. Kepada orang kaya, boleh fatwa apa yang mereka hendak dari ahli agama itu. Hukum faraid mereka ubah supaya mereka yang dapat bahagian harta itu. Mereka dapat buat begitu kerana mereka pegang kitab wahyu dan halang orang awam dari membacanya. Dengan begitu, senanglah mereka ini semua ada dalam kitab…. Dan mereka pegang upacara agama dengan reka amalan-amalan itu dan ini supaya mereka sahaja yang tahu menjalankan upacara agama.

Tapi mereka sangka kerana mereka ada kedudukan dalam hierarki agama, mereka akan selamat. Macam Musyrikin Mekah pula sangka mereka tentunya dapat banyak kebaikan kerana mereka menjaga Ka’bah dan berkhidmat kepada orang yang menziarahi Ka’bah. Tapi Allah beritahu dalam ayat ini yang mereka langsung tidak akan dapat apa-apa kebaikan.

Ini mengajar kita bahawa iman yang sebenar itu sangat penting. Kalau amal baik pun, tidak bermakna jikalau tidak ada iman. Kadangkala orang kafir pun ada buat benda baik seperti tolong orang, bina hospital, bantu sana sini kerana memang hati mereka baik. Tapi mereka tidak akan dapat pahala sedikit pun. Allah tetap balas kebaikan yang mereka buat itu, tapi diberikan balasan itu di dunia lagi, supaya mereka tidak boleh tuntut di akhirat kelak. Kerana itulah kita lihat orang kafir yang baik di dunia ini hidup mereka senang dan kaya raya kerana Allah telah balas perbuatan baik mereka di dunia lagi. Semakin banyak mereka menderma, semakin banyak rezeki mereka Allah berikan.

Mereka tidak dapat pahala kerana syarat dapat pahala adalah beriman. Kalau kufur, tidak ada pahala langsung. Dan ada banyak kekufuran yang manusia boleh lakukan. Salah satu cabang kufur adalah syirik dan ini adalah kufur terbesar dan dosa terbesar. Ia sampai boleh menggugurkan iman sedangkan kalau buat dosa besar lain pun masih tak gugur iman lagi.

Bukan sahaja iman gugur, tapi amalan baik yang pernah dibuat dulu pun akan jadi kosong. Ini kerana dosa syirik ini amat besar dan amat bahaya sekali. Malang sekali kalau amal baik kita banyak, tapi kita ada pula fahaman syirik. Nauzubillah!

Sedangkan kita perlu pahala dari amalan-amalan baik kita itu. Amalan yang baik ada kesannya di dunia lagi dan akan dibalas lagi di akhirat. Sebagai contoh, solat yang baik akan menenangkan hati kita; infak yang dikeluarkan akan menambah rezeki kita. Solat yang kita lakukan akan menghalang keburukan. Itu semua adalah contoh kebaikan yang Allah beri semasa di dunia lagi. Tetapi orang yang melakukan syirik langsung tidak dapat kebaikan di dunia dan di akhirat pun tidak ada pahala buat dijadikan bekal.

Baik, dari segi pahala untuk akhirat, kita sudah faham. Tapi dalam ayat ini Allah sebut حَبِطَت أَعمٰلُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ. Maknanya di dunia pun mereka tidak akan dapat habuan dari amalan baik mereka itu. Jadi apakah maksud فِي الدُّنيا itu? Amal kebaikan yang kita lakukan, sebenarnya Allah sudah balas semasa di dunia lagi. Contohnya solat akan menyelamatkan kita dari musibah, sedekah menambah rezeki, puasa menaikkan iman kita. Akan tetapi jikalau ia dilakukan tanpa iman, ia tidak bermakna. Ia juga tidak bermakna apabila ia dilakukan oleh orang yang menyalahgunakan kuasa seperti ahli agama.

Ini mengajar kita yang setakat beramal ibadah sahaja tidak memastikan kita akan mendapat balasan kebaikan dari Allah. Entah berapa banyak solat, puasa, zakat dan umrah itu semua tidak ada pahala dan tidak memberi kesan pun kepada kita jikalau kita ada masalah dengan akidah dan kita zalim kepada orang lain. Jangan kita berbangga dengan ibadah yang banyak kalau perkara lain kita tidak jaga. Ibadah itu semua sepatutnya memberi kesan kepada luaran kita, tapi kalau kita lakukan macam robot sahaja tanpa kita memikirkan falsafah di sebalik amal ibadah itu dan kita terjemahkan dalam kehidupan kita, amal ibadah itu sia-sia sahaja. Kalau kita lakukan ibadah itu juga untuk mendapatkan keduniaan, untuk tunjuk kepada orang, itu semua adalah riak yang akan menghilangkan pahala dan kebaikan kepada ibadah itu sendiri. Jadi kita selalu tanya diri kita: “Kenapa aku buat ibadah ini? Kerana Allah atau kerana ada sebab-sebab lain?”

Kenapa mereka hilang kebaikan di dunia dan akhirat? Kerana kesalahan yang mereka lakukan adalah untuk mendapat habuan dunia juga, bukan? Maka dunia yang mereka kejar itu pun Allah gagalkan. Dan mereka sangka dengan kedudukan mereka di dalam agama mereka itu menjaminkan mereka selama di akhirat, bukan? Maka itu pun Allah tak beri kepada mereka.

 

وَما لَهُم مِّن نّٰصِرينَ

dan mereka tidak akan memperoleh sesiapa pun yang dapat memberi pertolongan.

Mereka tidak ada pembantu di dunia walaupun di akhirat. Ini kerana mereka kufur dan telah berlaku zalim. Bandingkan dengan orang-orang yang berjuang di jalan Allah yang kita telah bincangkan di dalam Ayat 13, Allah beri bantuan kepada mereka,

وَاللَّهُ يُؤَيِّدُ بِنَصرِهِۦ مَن يَشاءُ
Dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendakiNya

Tetapi kepada orang kafir ini, mereka tidak ada penolong. Tidak ada sesiapa yang boleh menyelamatkan mereka. Mereka mungkin ada geng mereka, tapi geng mereka pun tidak dapat membantu mereka apabila Allah serang mereka nanti. Sebagai contoh, puak Yahudi ada bersekongkol dengan Quraisy Mekah, tapi mereka tetap kalah. Puak Kristian pula bernaung dengan kuasa Rom, tapi mereka juga tidak berjaya. Inilah yang terjadi kalau tidak bergantung dengan Allah, sebaliknya kepada manusia. Kalau manusia abaikan pergantungan dan pengharapan kepada Allah, maka Allah akan lupakan mereka dan biarkan mereka. Ketika itu, siapa lagi yang membantunya?

Di akhirat nanti tidak akan ada pembantu untuk mereka. Puak Yahudi sangka mereka itu orang kesayangan Tuhan, tapi tidak sama sekali! Mereka akan diazab! Allah takkan bantu mereka di akhirat kelak. Dan orang Kristian pula sangka yang Nabi Isa yang mereka puja dan sembah itu akan membantu mereka. Tapi Allah jawab jangan harap. Mereka tidak akan sebarang penolong. Kalimah مِن ditambah sebagai penekanan yang mereka tidak akan satu penolong pun.

Ringkasnya, bagi mereka yang melakukan 3 jenis dosa: kufur – membunuh para Nabi – membunuh orang yang melakukan amar ma’ruf nahi mungkar, Allah janjikan kepada mereka 3 jenis ancaman. Kerana dosa mereka ada 3 jenis, maka ancaman kepada mereka juga ada 3 jenis:

1. Azab yang pedih (عَذابٍ أَليمٍ)
2. Hilang terus punca yang boleh mendatangkan manfaat kepada mereka (حَبِطَت أَعمٰلُهُم)
3. Azab itu akan kekal dengan tiada sesiapa pun boleh menolong dan menyelamatkan mereka (وَما لَهُم مِّن نّٰصِرينَ)


 

MENOLAK KEPUTUSAN ALLAH

Ali Imran Ayat 23: Ini adalah ayat teguran kepada Ahli Kitab. Mereka sudah ada kitab wahyu di tangan mereka, tapi perangai mereka tidak seperti yang sepatutnya. Sepatutnya apabila sudah ada kitab wahyu di tangan, maka kitab itu hendaklah menjadi panduan kepada mereka. Tapi itu tidak terjadi.

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ أوتوا نَصيبًا مِّنَ الكِتٰبِ يُدعَونَ إِلىٰ كِتٰبِ اللَّهِ لِيَحكُمَ بَينَهُم ثُمَّ يَتَوَلّىٰ فَريقٌ مِّنهُم وَهُم مُّعرِضونَ

SAHIH INTERNATIONAL
Do you not consider, [O Muhammad], those who were given a portion of the Scripture? They are invited to the Scripture of Allah that it should arbitrate between them; then a party of them turns away, and they are refusing.

MALAY
Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab, mereka diseru kepada Kitab Allah supaya Kitab itu dijadikan hakim (mengenai perkara-perkara yang timbul) di antara mereka. Ahli-ahli satu puak dari mereka berpaling ingkar sambil menolak (seruan dan hukum Kitab Allah itu).

 

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ أوتوا نَصيبًا مِّنَ الكِتٰبِ

Tidakkah engkau memikirkan terhadap sikap orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab,

Kalimah تَرَ dari segi bahasa adalah ‘melihat’. Tapi tidaklah semestinya melihat dengan mata fizikal sahaja, kerana ia boleh bermaksud melihat dengan fikiran. Maka ia bermaksud untuk kita fikirkan. Ini kerana kalimah أَلَم تَرَ (tidakkah engkau lihat?) adalah di dalam bentuk soalan (istifham) tapi ia bukanlah soalan dari Allah kerana Allah bukan perlu tanya kerana semua Dia tahu. Jadi apakah ia? Maksud kata soalan (istifham) أَلَمْ تَرَ dalam ayat ini ialah Istifham al-Ta’ajjub wa al-Inkar (Soalan berbentuk kehairanan, ketakjuban, dan celaan/penolakan), serta membawa fungsi Al-Taqrir wa al-Ta’jib (Meminta pengakuan dan menimbulkan rasa hairan). Jadi ia bukanlah Istifham Haqiqi, sebaliknya ia merupakan gaya bahasa Majazi (kiasan). Allah hendak menunjukkan betapa peliknya mereka ini; sudah diberikan dengan kitab panduan yang hebat, tapi mereka tolak begitu sahaja!

Mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Ahli Kitab yang diberi sedikit sebanyak maklumat tentang wahyu Allah. Mereka sudah ada Kitab Taurat dan mereka tahu serba sedikit ilmu darinya. Allah menceritakan tentang umat yang terdahulu dari kita tapi ia menyinggung kita juga sebenarnya. Perhatikan mereka ini dan belajar dari kesilapan mereka. Mereka sudah kesalahan, jangan kita yang diberi kitab Al-Qur’an ini juga melakukan kesalahan yang sama.

Perkataan نَصيبًا (sebahagian) bermaksud

1. Bahagian yang boleh diambil manfaat darinya. Memang ada banyak pengajaran di dalam Kitab Taurat itu Allah memberi isyarat dalam ayat ini yang mereka telah diberikan nikmat yang amat besar.

2. Atau, ia memang bermaksud ‘sebahagian’ dari kandungan kitab Taurat itu kerana ada bahagian yang telah hilang, atau telah disembunyikan. Kita selalu sebut bagaimana ulama’ dari kalangan Ahli Kitab itu tidak berikan keseluruhan kitab mereka kepada golongan awam. Jadi mereka hanya dapat lihat sebahagian sahaja dari kitab Taurat itu.

 

يُدعَونَ إِلىٰ كِتٰبِ اللَّهِ لِيَحكُمَ بَينَهُم

mereka diseru kepada Kitab Allah supaya Kitab itu dijadikan hakim di antara mereka. 

Patutnya apabila mereka sudah tahu serba sedikit tentang kitab, maka lembut sikitlah hati mereka untuk menerima kebenaran sepatutnya. Patutnya apabila mereka diajak untuk belajar kitab Al-Qur’an pula, biar sempurna ilmu mereka dan supaya hukum agama tertegak, mereka ikutlah. Merekalah yang sepatutnya beriya-iya untuk belajar dan belajar sampai habis.

Huruf ل di dalam لِيَحكُمَ berfungsi sebagai  Lam at-Ta’lil (memberikan alasan, sebab, atau tujuan). Mereka sepatutnya menggunakan kitab itu untuk berhukum sesama mereka supaya menegakkan keadilan. Sekali lagi tentang keadilan disebut. Cuma siapakah yang dimaksudkan sebagai pelaku di dalam kalimah يَحكُمَ ini? Ada dua pendapat:

Pendapat pertama ia kembali kepada Kitab Allah dan ini adalah pandangan majoriti. Maksudnya ialah Al-Kitab/Taurat itu sendiri yang menjadi hakim dan sumber rujukan hukum untuk menyelesaikan perselisihan faham di antara mereka.

Pendapat kedua adalah ia kembali kepada Nabi Muhammad. Maksudnya ialah agar Nabi Muhammad (yang mengajak mereka) memutuskan hukum berdasarkan hukum yang terkandung dalam Kitab Allah tersebut. Frasa ini merujuk kepada peristiwa apabila sebahagian tokoh Ahli Kitab (Yahudi) datang menemui Rasulullah untuk meminta keputusan tentang suatu hukum (seperti kes penzina yang muhsan – telah menikah). Namun, apabila baginda memutuskan hukum mengikut penetapan yang ada di dalam Taurat mereka sendiri, mereka berpaling dan menolaknya kerana hukum tersebut bertentangan dengan hawa nafsu dan kehendak pemuka agama mereka.

Baik, jikalau kitab wahyu tujuannya untuk menghukum perselisihan dan memberi keputusan di antara manusia, perlukan kita faham kitab itu? Tentulah! Kita semua sudah terima Al-Qur’an sebagai wahyu kalamullah dan ia adalah sumber rujukan utama kita, bukan? Maka untuk menggunakannya, maka hendaklah kita belajar dan memahaminya. Jadi bukanlah Al-Qur’an digunakan untuk ditampal di dinding-dinding dan dibaca sahaja tanpa difahami. Kerana itulah pentingnya pembelajaran tafsir Al-Qur’an ini.

 

ثُمَّ يَتَوَلّىٰ فَريقٌ مِّنهُم وَهُم مُّعرِضونَ

satu puak dari mereka berpaling ingkar terus menerus menolak

Tapi ada yang degil berpaling. Kalimah فَريقٌ bermaksud ada puak yang buat pecahan yang baru dan buat kumpulan baru. Kalau dalam parti politik, ini mereka yang buat parti serpihan. Itulah mereka yang sesat. Dan apabila Allah gunakan kalimah فَريقٌ, ia bermaksud bukanlah semua Yahudi itu engkar berpaling. Ada sahaja yang beriman dengan kitab yang sebenarnya, malah ada yang beriman dengan Rasulullah apabila mereka kenal baginda. Ini seperti ulama’ mereka seperti Abdullah bin Salam, Ka’b al-Ahbar, Safiyyah binti Huyayy, Mukhayriq, Rayhanah binti Zayd, Asad bin ‘Ubayd, Usayd bin ‘Ubayd, Tha’labah bin Sa’yah, Yamin bin ‘Amr dan Zayd bin Sa’nah. Allah bersikap adil, di mana Allah tidak kata semua mereka berpaling. Maka ini mengajar kita dalam berhujah dan berhukum, kena adil, jangan pukul rata.

Tetapi yang pasti, ramai yang menolak kebenaran yang ada di hadapan mereka. Mereka terus menerus degil tak mahu ikut seluruh syariat. Mereka tahu tapi tak mahu ikut (hanya kerana degil sahaja). Ini sama seperti orang kita yang sudah tahu tentang kepentingan Al-Qur’an. Dan memang mereka sayang pun kepada Al-Qur’an dan kerana itu mereka selalu baca setiap hari, mahal ada yang hafal pun. Tapi malangnya mereka tidak jadikan Al-Qur’an sebagai sumber hukum dalam kehidupan mereka. Kalau kita beritahu yang perbuatan mereka berlawanan dengan Al-Qur’an, mereka  tidak terima. Ini kerana mereka hanya baca sahaja Al-Qur’an itu, tidak memahaminya.

Begitulah peliknya golongan Yahudi dan juga orang Islam yang diberikan kitab wahyu, tapi mereka berpaling dari berhukum dengannya. Sedangkan orang Mukmin akan menggunakannya untuk berhukum seperti firman Allah di dalam Nur:51

إِنَّما كانَ قَولَ المُؤمِنينَ إِذا دُعوا إِلَى اللهِ وَرَسولِهِ لِيَحكُمَ بَينَهُم أَن يَقولوا سَمِعنا وَأَطَعنا ۚ وَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ
Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan. “Kami mendengar, dan kami patuh”. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.

Jadi orang yang benar-benar beriman itu mesti dengar dan mesti taat (سَمِعنا وَأَطَعنا). Tak boleh ada satu sahaja. Tak boleh ada أَطَعنا tanpa سَمِعنا. Dan mesti ikut susunan itu, kena سَمِعنا barulah أَطَعنا. Maknanya Allah ajar kita kena dengar dulu dan setelah faham, dia kena ikut dan taat sepenuhnya. Dan dengar itu mesti dengar dengan benar, jangan main-main buat dengar bodoh sahaja. Ini seperti firman Allah di dalam Anfal:21

وَلا تَكونوا كَالَّذينَ قالوا سَمِعنا وَهُم لا يَسمَعونَ
dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang berkata “Kami mendengar, padahal mereka tidak mendengarkan.

Jadi siapa di antara kita yang dengar sahaja ayat-ayat Al-Qur’an dibacakan kepada mereka, malah mereka pun ada yang baca sendiri, ada yang hafal pula, tapi mereka bukannya dengar pun. Kerana mereka tidak faham, bukan?

Balaghah: Perhatikan kalimah يَتَوَلَّىٰ dan مُعْرِضُونَ di dalam ayat ini. Kalau kita setakat terjemah sahaja, ia kelihatan seperti mengulang maksud yang sama dari segi terjemahan asas (berpaling/menolak). Namun, penggunaan kedua-duanya secara serentak merupakan gaya bahasa Al-Qur’an yang amat halus untuk menggambarkan tahap dan kedalaman penolakan mereka.

يَتَوَلَّىٰ (Perbuatan Fizikal/Luaran):
Ia merujuk kepada tindakan fizikal berpaling atau membelakangkan badan. Dalam konteks ayat, mereka secara fizikal beredar, beredar dari majlis, atau menolak secara terang-terangan ajakan untuk berhukum dengan Kitab Allah.

مُعْرِضُونَ (Sikap Hati/Dalaman):
Ia merujuk kepada penolakan batiniah, kebencian hati, dan keengganan menerima kebenaran. Orang yang mu’ridh ialah orang yang secara mental dan jiwa menutup rapat pintu hatinya daripada kebenaran.

Gabungan frasa ثُمَّ يَتَوَلَّىٰ فَرِيقٌ مِّنْهُمْ وَهُمْ مُّعْرِضُونَ bertujuan untuk menolak sebarang prasangka atau alasan memaafkan tindakan mereka. Seseorang boleh sahaja berpaling dan beredar (يَتَوَلَّىٰ) dari sesuatu majlis kerana ada urusan penting atau kecemasan, sedangkan hatinya masih menghormati ajakan tersebut. Oleh itu, Allah menambah frasa وَهُمْ مُّعْرِضُونَ (sedangkan mereka dalam keadaan benci/menolak) untuk menegaskan bahawa tindakan berpaling itu dilakukan atas dasar kedegilan hati dan kebencian, bukannya kerana ada urusan lain.

Oleh itu, di dalam tatabahasa Arab, frasa وَهُمْ مُّعْرِضُونَ berfungsi sebagai hal (keadaan). Ini menunjukkan bahawa perbuatan luaran mereka (يَتَوَلَّىٰ) adalah selari dengan niat jahat batin mereka (مُّعْرِضُونَ). Luar dan dalam mereka seiring dalam menolak hukum Allah.

Maka inilah tahap menolak yang paling berbahaya. Ini kerana ada orang yang menolak secara fizikal tetapi hatinya ragu-ragu atau rasa bersalah. Mereka nampaknya menolak akan tetapi di dalam hati mereka, mereka mungkin percaya atau ada kebarangkalian mereka rasa ia benar. Namun, bagi golongan yang disebut di dalam ayat ini, Allah mendedahkan bahawa mereka berpaling secara fizikal (يَتَوَلَّىٰ) serentak dengan hati yang tekad berpaling dan acuh tak acuh (مُّعْرِضُونَ).


 

Ali Imran Ayat 24: Allah beritahu kenapa mereka berdegil tidak mahu terima kebenaran yang telah disampaikan kepada mereka. Inilah punca kenapa golongan ahli kitab itu berani menolak kebenaran. .

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَّعدودٰتٍ ۖ وَغَرَّهُم في دينِهِم مّا كانوا يَفتَرونَ

SAHIH INTERNATIONAL
That is because they say, “Never will the Fire touch us except for [a few] numbered days,” and [because] they were deluded in their religion by what they were inventing.

MALAY
Yang demikian ialah disebabkan mereka (mendakwa dengan) berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka melainkan beberapa hari sahaja yang boleh dihitung”. Mereka (sebenarnya) telah diperdayakan dalam ugama mereka, oleh dakwaan-dakwaan dusta yang mereka telah ada-adakan.

 

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَّعدودٰتٍ

Yang demikian ialah disebabkan mereka (mendakwa dengan) berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka melainkan beberapa hari sahaja yang boleh dihitung”.

Ini akidah Puak Yahudi dan Nasara. Mereka sangka (perasan) yang mereka akan masuk neraka paling lama pun selama 40 hari sahaja. Dan perhatikan kalimah yang digunakan adalah تَمَسَّنَا iaitu bermaksud mereka ‘disentuh’ sahaja. Maknanya kena sedikit sahaja pada pandangan mereka. Tapi kenapa 40 hari? Kerana itulah lamanya tok nenek mereka menyembah anak patung yang dibuat oleh Samiri. Ada juga yang kata 7 hari sahaja kerana itulah lamanya hari dalam seminggu. Oleh kerana sangka sekejap sahaja masuk nerakalah yang mereka berani buat apa sahaja di dunia ini walaupun berlaku zalim kepada orang lain.

Oleh kerana ada akidah ini, jadi mereka sampaikan tidak takut menipu dalam hal agama. Mereka tahu ada neraka, tahu mereka mungkin akan masuk tapi mereka sangka kalau masuk pun sekejap sahaja. Kerana mereka sangka mereka itu umat terpilih. Macam ayah, takkan nak hendak hukum lama sangat anak kesayangan dia, bukan?

Balaghah: Dalam ayat ini digunakan lafaz مَعدوداتٍ. Ianya bermaksud jumlah yang banyak tapi tidak banyak sangat. Ini adalah salah satu dari ilmu nahwu bahasa Arab. Dalam Baqarah:80, digunakan lafaz مَعدودَةً.

وَقالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَّعدودَةً
Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu”

Oleh kerana kalimah yang digunakan berlainan, tentu ada perbezaan. Kedua-duanya berbentuk jamak (plural) akan tetapi tidak sama. Kalimah  مَعدودَةً bermaksud jumlah yang lebih banyak akan tetapi ia tidak sebanyak مَعدوداتٍ. Di dalam Bahasa Arab, jamak ada dua jenis. Ada jamak qillah (جمع قلة) dan jamak kasrah (جمع كثرة). جمع قلة digunakan apabila banyak itu tidak banyak sangat dan boleh dikira sedangkan جمع كثرة digunakan apabila ia lebih banyak. Digunakan جمع كثرة kerana ada yang 40 hari dan ada yang kata 7 hari sahaja maka di sana digunakan جمع قلة. Oleh itu kalimah مَعدوداتٍ yang digunakan di dalam Ali Imran ini adalah bilangan yang lebih banyak daripada مَعدودَةً.

Kenapa mereka sangka mereka pasti masuk syurga dan kalaulah masuk neraka kerana ada kesalahan yang mereka lakukan, mereka masuk sekejap sahaja? Frasa selepas ini menjawab persoalan itu.

 

وَغَرَّهُم في دينِهِم مّا كانوا يَفتَرونَ

Mereka (sebenarnya) telah diperdayakan dalam ugama mereka, oleh dakwaan-dakwaan dusta yang mereka telah ada-adakan.

Mereka diperdaya oleh fahaman sesat mereka. Mereka sendiri yang reka fahaman sesat itu. Pendeta dan ulama’ agama mereka telah memutar-belit agama dan mereka terus percaya (tanpa usul periksa lagi). Kalimah غَرَّ digunakan apabila penipuan itu diberikan dalam bentuk nasihat. Jadi kerana itu ramai yang percaya kerana ia datang dari ahli agama. Mereka tidak periksa sama sekali sama ada yang disampaikan itu ada dalil atau tidak. Ini macam masyarakat kita juga, kalau ustaz cakap begini dan begitu, masyarakat yang jahil akan terima bulat-bulat sahaja. Macam mereka tidak ada akal untuk periksa sendiri.

Begitulah akidah sesat golongan ahli kitab. Padahal tiada dalil sahih yang kata mereka akan kena azab sekejap sahaja. Inilah bahaya propaganda. Mungkin pada mulanya ada yang cakap satu idea yang tiada asas. Tapi apabila sudah ramai yang terima, ramai yang cakap benda yang sama, ia sudah jadi macam fakta, padahal asalnya tidak.

Masyarakat kita pun ada fahaman sesat ini. Mereka kata “kalau masuk neraka, orang Muslim akhirnya akan masuk syurga juga, bukan?” Tentu anda pernah dengar kata-kata sebegini. Maka fahaman itu menyebabkan ramai Muslim yang rasa selamba sahaja, macam tak takut kalau buat dosa. Yakin benar mereka yang mereka akan masuk sekejap sahaja dan akhirnya akan masuk syurga akhirnya. Sedangkan akidah entah benar atau tidak, solat pun culas, tapi perasan duduk sekejap sahaja dalam neraka! Siapa yang ada bagi janji kepada mereka, begitu? Apa mereka sangka neraka itu macam kena tahan di penjara dunia sahajakah? Amat malang sekali kepada mereka yang ada fahaman sebegitu. Kerana fahaman lebih kurang sahaja dengan fahaman Yahudi dan Kristian.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 3 September 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

 

Tafsir Al-Azhar Dr Hamka

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

4 thoughts on “Tafsir Surah Ali Imran Ayat 22 – 24 (Sikap Ahli Kitab Terhadap Hukum Allah)”

  1. Nota tambahan: ada puak-puak tertentu yang mengajar untuk mengamalkan ayat ini sebagai ‘Ayat Pengasih’. Kononnya kalau dibaca, akan menyebab kita dikasihi. Sebagai contoh, Darul Syifa’ ada mengajar untuk baca ayat ini selepas setiap kali solat lima waktu.

    Ini adalah amalan yang bid’ah dan karut. Ia adalah penyalahgunaan ayat Al-Qur’an. Begitulah kalau tidak belajar tafsir, ramai yang akan menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai azimat. Mereka jadikan ayat-ayat Al-Qur’an sebagai sihir untuk mendapatkan sesuatu. Ini hanya dilakukan oleh orang-orang yang jahil sahaja.
    Ayat diatas ni ada contohke ayat pengasih berkenaan

    Like

Leave a comment