Tafsir Surah Ali Imran Ayat 5 – 6 (Keagungan Ilmu dan Kekuasaan Allah)

Ali Imran Ayat 5: Ini adalah penyempurnaan kepada dalil yang telah disampaikan sebelum ini. Dalil-dalil ini diberi untuk menguatkan hujah bahawa Allah ﷻ itulah sahaja ilah.

إِنَّ اللَّهَ لا يَخفىٰ عَلَيهِ شَيءٌ فِي الأَرضِ وَلا فِي السَّماءِ

SAHIH INTERNATIONAL
Indeed, from Allah nothing is hidden in the earth nor in the heaven.

MALAY
Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepada-Nya sesuatu pun yang ada di bumi dan juga yang ada di langit.

 

 

إِنَّ اللَّهَ لا يَخفىٰ عَلَيهِ شَيءٌ

Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepada-Nya sesuatu pun

Hanya pada Allah ﷻ  sahaja yang tidak tersembunyi segala perkara kepada-Nya. Apabila digunakan kalimah شَيءٌ dalam bentuk nakirah (umum) di sini, maknanya semua Allah tahu: kecil, besar, zahir, tersembunyi, semua Allah tahu kerana tidak ada tersembunyi dari Allah.

Nabi Isa عليه السلام dan Maryam itu banyak benda mereka tidak tahu, maka mereka bukanlah ilah yang boleh disembah. Memang tidak patut dan buang masa kalau sembah makhluk.

Pengajaran bagi kita yang penting adalah jangan buat dosa. Kalau kita boleh sematkan ayat ini dalam otak dan hati kita, kita tidak akan berani hendak buat dosa kerana kita tahu apa sahaja dosa yang kita buat, Allah tahu. Dan nanti Allah akan bentang balik kepada kita dan akan azab kita dengannya (kalau Dia tidak ampunkan). Kalau kita bayangkan Allah bentang balik pun kita sudah segan sangat rasanya. Ramai umat Islam tahu ayat ini, akan tetapi mereka lupa selalu kesannya kepada kita. Kita buat dosa macamlah Allah tahu, bukan?

Yang kita paling takut adalah tidak tersembunyi apa yang di dalam hati kita. Niat kita dan segalanya akan dikeluarkan nanti. Allah berfirman di dalam Tariq:8-10 

إِنَّهُ ۥ عَلَىٰ رَجعِهِۦ لَقَادِرٌ (٨) يَومَ تُبلَى ٱلسَّرَآٮِٕرُ (٩) فَمَا لَهُ ۥ مِن قُوَّةٍ وَلَا نَاصِرٍ (١٠)
Sesungguhnya Allah Maha Kuasa untuk mengembalikannya (hidup semula sesudah mati), (8) Pada hari didedahkan segala yang terpendam di hati (dari iktiqad, niat dan lain-lainnya), (9) Maka (pada saat itu) tidak ada bagi manusia sebarang kekuatan (untuk membela diri) dan tidak ada penolong (yang dapat memberikan pertolongan). (10)

 

فِي الأَرضِ وَلا فِي السَّماءِ

yang ada di bumi dan juga yang ada di langit.

Allah ﷻ Maha Tahu apa yang terjadi di bumi dan juga di langit. Manusia langsung tidak tahu apa yang terjadi di langit pun. Pengembaraan manusia ke langit itu hanya pada peringkat langit pertama sahaja dan itu pun hanya sedikit sahaja yang kita tahu.

Tapi persoalannya sekarang, kenapa tiba-tiba Allah sebut hal ini? Kita pun tahu Allah memang mengetahui segala-galanya. Ayat ini seolah-olah macam ayat jenis Makkiyah, iaitu menceritakan tentang Allah dan SifatNya. Kita kena kaitkan dengan ayat-ayat sebelum ini. Ayat sebelum ini tentang kitab wahyu, bukan? Jadi Allah hendak menegur golongan Ahli Kitab yang menyembunyikan kebenaran tentang Al-Qur’an dan kitab mereka.

Mereka sebenarnya tahu apa yang ada di dalam kitab mereka. Mereka mahir akan kandungannya dan kerana itu mereka sorok kandungannya dari penganut mereka. Kita kena ingat bahawa Taurat dan Injil tidak sama dengan Al-Qur’an. Kalau Al-Qur’an semua boleh pegang. Tapi pada zaman itu, ahli agama Yahudi dan Kristian tidak membenarkan sesiapa sahaja pegang Taurat dan Injil. Ia disorok dari penganut biasa.

Tindakan sebahagian ahli agama Yahudi dan Kristian (Nasrani) yang menyembunyikan, memonopoli, atau melarang penganut awam daripada mengetahui kandungan sebenar Kitab Taurat dan Injil adalah satu fakta yang direkodkan dengan sangat jelas, baik di dalam Al-Qur’an mahupun di dalam sejarah dunia (sejarah gereja dan rabi).

Al-Qur’an mendedahkan perangai sebahagian ulama Yahudi (Rabi) dan pendeta Kristian (Rahib) yang sengaja menyembunyikan kebenaran demi menjaga kepentingan peribadi, kuasa, dan status sosial mereka. Contohnya seperti disebut di dalam Baqarah:146

الَّذينَ ءَاتَينَـٰهُمُ ٱلكِتَـٰبَ يَعرِفونَهُ كَما يَعرِفونَ أَبناءَهُم ۖ وَإِنَّ فَريقًا مِّنهُم لَيَكتُمونَ الحَقَّ وَهُم يَعلَمونَ
Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).

Kemudian di dalam An’am:91, Allah menempelak sikap orang Yahudi yang hanya menunjukkan sebahagian isi Taurat dan menyembunyikan sebahagian besar yang lain:

تَجعَلونَهُ قَراطيسَ تُبدونَها وَتُخفونَ كَثيرًا
Kamu jadikan kitab itu lembaran-lembaran kertas (yang bercerai-berai), kamu perlihatkan (sebahagiannya) dan kamu sembunyikan sebahagian besarnya

Mereka mengehadkan bacaan dan tafsiran kitab suci hanya kepada kelompok elit agama mereka sahaja. Penganut awam dilarang mempersoalkan teks dan hanya disuapkan dengan fatwa atau dakyah yang telah diubah suai untuk mengekalkan kepatuhan buta penganut kepada institusi keagamaan.

Dalam sejarah teologi Kristian, sekatan terhadap orang awam untuk membaca dan memahami Kitab Injil (Bible) secara langsung amat ketara berlaku pada Zaman Pertengahan (Medieval) di bawah dominasi Gereja Roman Katolik. Gereja pada waktu itu menetapkan bahawa Bible hanya boleh ditulis dan dibaca dalam bahasa Latin (Vulgate). Memandangkan majoriti rakyat marhaen di Eropah (seperti di England, Jerman, dan Perancis) tidak faham bahasa Latin, mereka terpaksa bergantung 100% kepada apa sahaja yang dicakapkan oleh paderi.

Pada Sinod Toulouse (tahun 1229), pihak gereja secara rasmi mengeluarkan dekri yang melarang orang awam (orang biasa yang bukan paderi) daripada memiliki naskhah Kitab Perjanjian Lama atau Baru dalam bahasa ibunda mereka. Sesiapa yang didapati memilikinya boleh dituduh sebagai sesat (heretic). Tokoh-tokoh awal yang cuba menterjemah Bible ke bahasa yang difahami rakyat agar mereka tidak ditipu oleh gereja telah ditangkap dan dihukum bunuh. Contoh paling terkenal: John Wycliffe (Abad ke-14): Beliau menterjemah Bible ke bahasa Inggeris. Selepas beliau meninggal dunia, gereja sangat marah sehingga menggali semula kuburnya, membakar tulangnya, dan mencampakkan abunya ke sungai.

William Tyndale (Tahun 1536) dibakar hidup-hidup di tiang pancang kerana kesalahan menterjemah Bible ke bahasa Inggeris agar rakyat biasa (bahkan budak pembajak sawah) boleh memahami isi kandungan kitab tersebut.

Dalam tradisi Yahudi, taktik yang digunakan sedikit berbeza tetapi membawa matlamat yang sama, iaitu mengawal minda masyarakat. Selain Taurat bertulis, rabi-rabi Yahudi memperkenalkan konsep Oral Torah (yang kemudiannya dibukukan sebagai Talmud). Mereka mendakwa bahawa Taurat bertulis tidak boleh difahami oleh orang awam tanpa tafsiran lisan daripada para rabi. Ini meletakkan kuasa mutlak menentukan halal dan haram di tangan rabi, seolah-olah kata-kata rabi lebih tinggi daripada teks kitab suci itu sendiri. Ilmu-ilmu kitab suci yang mendalam (terutamanya hal-hal berkaitan teologi dan ramalan masa depan, termasuk ciri-ciri kedatangan Nabi akhir zaman) dikhaskan hanya untuk penuntut teologi kanan. Rakyat biasa dididik untuk hanya mengikut ritual luaran tanpa memahami intipati teks asal.

Mengapa Mereka Melakukan Demikian? (Sebab Utama)

Ketakutan Hilang Kuasa dan Pengaruh: Jika orang awam tahu kandungan sebenar, orang awam akan sedar banyak doktrin yang diajar oleh ahli agama adalah rekaan semata-mata, bukan datang daripada Allah.

Kepentingan Kewangan: Di dalam Al-Qur’an disebutkan bahawa para rahib dan rabi memakan harta manusia dengan cara yang batil (Tawbah:34). Monopoli kitab suci membolehkan mereka menjual “surat pengampunan dosa” (indulgences) atau mengutip cukai agama sesuka hati.

Menyembunyikan Kebenaran Islam: Kandungan asal Taurat dan Injil mengandungi nubuat (ramalan/isyarat) yang sangat jelas mengenai kedatangan Nabi Muhammad. Jika penganut mereka membaca teks tersebut dengan jujur, mereka akan beramai-ramai memeluk Islam, yang mana ini bermakna tamatnya empayar kuasa para pendeta tersebut.

Perhatikan bagaimana susahnya para paderi dan rabi menahan penganut agama mereka dari dapat pegang kitab mereka. Tapi kalau mereka jumpa ahli agama kita, mesti mereka minta autograph kerana kagum. Kerana ahli agama kita tak perlu sorok Al-Qur’an pun boleh halang umat dari tahu maksud Al-Qur’an! Semua umat Islam boleh dikatakan ada naskah Al-Qur’an di dalam rumah, dalam phone dan di mana-mana. Akan tetapi mereka tidak faham apa kandungannya. Mereka hanya berpegang dengan kata-kata ustaz dan ahli agama sahaja. Ada ustaz yang teruk sampai halang anak murid dan orang awam dari belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka boleh bagi hujah bodoh: kalau belajar tafsir Al-Qur’an boleh jadi sesat! Semoga Allah memburukkan dan mendedahkan kesesatan golongan ustaz sebegitu. Kerana mereka telah menghalang umat manusia dari kenal wahyu, sama seperti paderi dan rabi zaman dahulu kala!


ِ

Ali Imran Ayat 6:

هُوَ الَّذي يُصَوِّرُكُم فِي الأَرحامِ كَيفَ يَشاءُ ۚ لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

SAHIH INTERNATIONAL
It is He who forms you in the wombs however He wills. There is no deity except Him, the Exalted in Might, the Wise.

MALAY
Dia lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

هُوَ الَّذي يُصَوِّرُكُم فِي الأَرحامِ كَيفَ يَشاءُ

Dia lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim sebagaimana yang dikehendaki-Nya.

Allah ﷻ sahaja yang boleh memberikan rupa paras dan menentukan bagaimana bentuk manusia, bukan Nabi Isa عليه السلام dan Maryam. Lihatlah bagaimana semua dalil-dalil yang diberikan boleh dibandingkan kepada Nabi Isa dan Maryam kerana hendak membezakan Allah ﷻ dengan Nabi Isa عليه السلام dan Maryam yang bukan Tuhan. Kita kena ingat yang ayat-ayat ini turun untuk Nasara yang datang dari Najran.

Allah ﷻ sahaja yang menentukan bagaimana rupa kita, tinggi rendah dan sebagainya, semuanya dalam ketentuan Allah ﷻ. Maka jangan kita teringin hendak jadi macam orang lain. Jangan kita marah kalau rupa kita tidak cantik atau sebagainya kerana yang menentukannya adalah Allah ﷻ. Kalau kita tidak suka dengan rupa kita, maknanya kita marah kepada Allah ﷻ yang telah menjadikannya begitu.

Entah berapa banyak manusia yang telah dilahirkan daripada Nabi Adam عليه السلام sampailah nanti ke hari Kiamat. Tidak ada seorang pun yang sama rupa paras dan keadaan mereka. Padahal dari air mani yang sama sahaja. Begitulah hebatnya kuasa Allah. Allah ﷻ telah beritahu dalam ayat yang lain, cap jari setiap manusia itu pun berbeza juga. Semua ini terjadi kerana Allah ﷻ itu Maha Berkuasa dan Dia mampu untuk menjadikan manusia itu berlainan semenjak di dalam janin lagi. Sepatutnya ia meningkatkan iman kita. Apabila kita tengok orang yang berlainan jenis ini, kita patut teringat kepada kehebatan Allah. Bukannya kita tengok cantiknya dia, tapi sepatutnya kita fikir: hebatnya Allah!

 

لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

Tiada ilah melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah ﷻ ulang sekali lagi Dakwa Surah iaitu hanya Dia sahaja ilah. Begini punya hebat, kenapa kita hendak engkar dengan Allah? Kenapa hendak sembah selain Dia? Kenapa hendak minta kepada selain Dia? Kenapa hendak istighasah kepada Nabi, wali dan malaikat lagi? Allah berfirman di dalam Infithar:6-9 di mana Allah sebut sifat Dia lagi yang menjadikan rupa kita. Allah sudah beri rupa kita, tapi sanggup kita derhaka dengan Dia?

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلإِنسَـٰنُ مَا غَرَّكَ بِرَبِّكَ ٱلڪَرِيمِ (٦) ٱلَّذِى خَلَقَكَ فَسَوَّٮٰكَ فَعَدَلَكَ (٧) فِىٓ أَىِّ صُورَةٍ مَّا شَآءَ رَكَّبَكَ (٨) كَلَّا بَل تُكَذِّبُونَ بِٱلدِّينِ (٩)
Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu Yang Maha Pemurah? (6) Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya. (7) Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendakiNya, Dia menyusun kejadianmu. (8) Sebenarnya tidak ada yang memperdayakan kamu (hai golongan yang ingkar)! Bahkan kamu sendiri tidak percayakan adanya hari pembalasan. (9)

Setelah menyebut kalimah Tauhid لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ Allah menyebut tentang dua SifatNya العَزيزُ الحَكيمُ. Pengakhiran ayat ini bertindak sebagai hujah logik. Hanya Zat yang memiliki Kekuasaan Tanpa Batas (Al-’Aziz) untuk mencipta manusia daripada tiada kepada ada, serta memiliki Kebijaksanaan (Al-Hakim) untuk mengatur struktur biologi manusia yang sangat kompleks di dalam rahim sahaja yang layak disembah. Sesiapa yang tidak memiliki dua sifat ini (seperti berhala atau manusia) langsung tidak berhak mendapat pengabdian.

Kalimah العَزيزُ maksudnya Allah Maha Berkuasa untuk buat apa sahaja. Sebelum ini di dalam Ayat 4 kita telah diingatkan yang Allah ﷻ berkuasa dan mampu untuk menyeksa dan memberi azab kepada makhluk-Nya yang ingkar. Sekarang sifat العَزيزُ bermaksud Allah boleh buat apa-apa sahaja termasuk rupa kita. Kalau Allah ﷻ hendak buat, tidak ada sesiapa yang boleh menghalang.

Kalimah al-Hakim maksudnya Allah Maha Bijaksana dalam memberi bentuk dan rupa kepada makhluk. Semua dicipta dengan Hikmah. Maka, jangan persoalkan apa yang Allah ﷻ  telah lakukan. Bersyukurlah dengan rupa paras yang Allah ﷻ telah berikan.

Kaum Kristian mendewakan Nabi Isa kerana baginda lahir tanpa bapa melalui keajaiban di dalam rahim Maryam. Allah menutup ayat ini dengan Al-’Aziz dan Al-Hakim untuk menegaskan bahawa proses pembentukan manusia di dalam rahim, termasuklah Nabi Isa, adalah di bawah kekuasaan penuh (Al-’Aziz) dan perancangan bijak (Al-Hakim) Allah semata-mata. Nabi Isa hanyalah makhluk yang dibentuk, bukannya Pencipta yang membentuk.

Di dalam ilmu Balaghah, gandingan dua nama ini memberikan maksud yang saling menyempurnakan:

Al-’Aziz: Menunjukkan kekuatan Allah yang tidak boleh dihalang oleh sesiapa pun. Jika Allah mahu membentuk bayi itu cacat, sempurna, lelaki, atau perempuan, tiada kuasa yang boleh menghalang-Nya.

Al-Hakim: Memastikan bahawa kekuasaan mutlak (Al-’Aziz) tersebut tidak digunakan secara zalim atau sia-sia. Setiap bentuk, rupa, jantina, dan takdir yang Allah pilih untuk janin tersebut diletakkan pada tempatnya yang paling tepat dan penuh hikmah, walaupun kadangkala tidak faham oleh logik manusia.

Satu lagi tentang gabungan nama ini: Pemerintah dunia yang ada kuasa (’Aziz) selalunya tidak bijaksana atau zalim, manakala orang yang bijaksana (Hakim) pula selalunya tiada kuasa. Namun bagi Allah, Dia memiliki kedua-duanya secara sempurna.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Jun 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

 

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment