Tafsir Surah Baqarah Ayat 255 (Ayat Kursi) Bahagian 2

لا تَأخُذُهُ سِنَةٌ

Dia tidak dihampiri permulaan rasa mengantuk,

Sebelum ini disebut yang Allah ‎ﷻ sifat-Nya القَيّومُ yang menjaga alam ini. Kalau kita manusia banyak kerja, tentu kita akan berasa penat dan perlukan rehat, bukan? Akant tetapi Allah ‎ﷻ tidak ada rasa penat malah rasa mengantuk pun. Yang mengantuk itu adalah makhluk seperti manusia dan binatang. Ini kerana kita ini makhluk yang lemah dan memerlukan rehat, namun langsung tidak bagi Allah ‎ﷻ. Tidaklah Allah ‎ﷻ berehat daripada mentadbir alam ini, tidaklah Dia tidak mendengar doa-doa kita hanya kerana Dia mengantuk.

Jangan kata hendak mengantuk, mula hendak mengantuk pun tidak ada. Ini adalah kerana perkataan yang digunakan bukan ‘mengantuk’ tetapi ‘permulaan untuk mengantuk’. Ini kerana yang dimaksudkan dengan سِنَةٌ adalah mula-mula rasa mengantuk, kerana kalau ‘mengantuk’, ada perkataan lain yang digunakan dalam Al-Qur’an (نُعَاسًا). Sifat mengantuk ini adalah sifat makhluk yang lemah kerana apabila kita mengantuk, orang yang ada di depan kita pun kita sudah tidak berapa cam lagi tetapi sebelum betul-betul mengantuk itu, akan ada rasa hendak mengantuk dan itulah yang dinamakan سِنَةٌ. Mengantuk dan mula-mula rasa mengantuk pun tidak ada pada Allah ‎ﷻ.

Ada Ilmu Balaghah dalam ayat ini iaitu tentang taqdim (diawalkan) dan ta’khir (diakhirkan). Ada perkataan yang dimulakan dan ada yang dikemudiankan. Allah ‎ﷻ sebut mengantuk dahulu sebab mengantuk datang sebelum tidur.

Di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ tidak kata Dia tidak mengantuk, tetapi لا تَأخُذُهُ سِنَةٌ tidak dikuasai oleh kantuk. Ini kerana kita sebagai makhluk memang dikalahkan oleh kantuk ini. Berapa ramai orang yang menahan matanya daripada tidur, tetapi apabila badan sudah tidak boleh tahan, mata sendiri akan tutup dan ini dinamakan micro-sleep. Ramai orang yang kehilangan nyawa atau kemalangan dek kerana micro-sleep ini. Kerana kalau sudah mengantuk, bukan boleh bawa bincang.

 

وَلا نَومٌ

dan tidak tidur.

Allah ‎ﷻ juga tidak pernah tidur. Sebelum ini Allah ‎ﷻ sebut mengantuk dan sekarang sebut tidur pula. Kenapa perlu disebut tidur sedangkan ia lebih kurang sahaja (orang mengantuk akan tidur). Ini adalah kerana ia kejadian yang berlainan. Ada orang mengantuk tetapi dia tidak boleh tidur (mungkin fikiran dan emosinya terganggu). Ada orang yang ada penyakit insomnia contohnya; dan ada orang yang tidur tetapi tidak dimulai dengan mengantuk. Ada orang biasa-biasa sahaja, tetapi masuk kereta sahaja terus mengantuk. Ada orang yang biasa-biasa sahaja, tetapi bila mula kelas agama, mula khutbah Jumaat, mula hendak baca Al-Qur’an, terus tertidur.

Tidur pun banyak peringkat juga kerana ada tidur-tidur ayam, ada yang tidur nyenyak, dan ada yang ‘tidur mati’. Tidur mati itu sampai kalau kena sepak pun tidak bangun kerana sudah tidur nyenyak sangat. Ada tidur yang lebih lagi hebat iaitu seperti tidur Ashabul Kahfi yang tidur selama lebih 300 tahun. Semua jenis tidur ini tidak ada langsung pada Allah ‎ﷻ. Bandingkan dengan pengawal keselamatan yang menjaga sesuatu bangunan. Walaupun mereka sepatutnya menjaga bangunan itu tetapi selalunya kita pun tahu yang mereka itu sama ada tidur ataupun mengantuk dan tidak memberikan perhatian yang sepatutnya. Allah ‎ﷻ tidak begitu, Dia tetap menjaga alam ini kerana Allah ‎ﷻ tidak pernah tidur-tidur. Alam ini dijaga dan tetap berdiri kerana Allah ‎ﷻ, maka takkan Allah ‎ﷻ mengantuk dan tidur pula, siapa jaga alam ini kalau Allah ‎ﷻ sedang tidur? Maka kerana itu kita boleh berharap kepada Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ sentiasa beri perhatian.

 

لَّهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Yang memiliki segala yang ada di langit-langit dan segala yang ada di bumi.

Mungkin si iblis datang lagi dan membisikkan: “Tuhan Allah tidak berkuasa menjangkau tempat pemohon berada, lalu bagaimana Dia boleh membantu kalian?”, Maka Allah ‎ﷻ memberitahu yang alam ini semuanya milik-Nya, maka takkan Dia tidak mampu mendengar permintaan orang berdoa dan memberikan apa sahaja kepada makhluk yang meminta?

Huruf ل di sini bermaksud pemilikan. Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa alam ini adalah kepunyaan Dia. Perhatikan Allah ‎ﷻ tidak kata Dia memiliki langit dan bumi tetapi Dia memiliki apa sahaja yang ada di langit-langit dan di bumi. Ini lebih kuat daripada mengatakan Dia memiliki langit dan bumi. Sebagai contoh kalau kita kata rumah itu rumah aku, mungkin rumah itu telah disewakan dan barang di dalam rumah itu bukan miliknya tetapi milik penyewa. Jadi pemilikan tuan rumah itu tidak penuh, setakat memiliki rumah sahaja. Akan tetapi kalau seseorang itu berkata semua di dalam rumah itu dia yang punya, maka ini lebih kuat. Tidak perlu sebut rumah itu miliknya lagi kerana kalau barang dia pun sudah ada dalam rumah itu, bermakna rumah itu pun dia yang punya kerana takkan barang dia ada dalam rumah orang lain pula?

Kalau kita ada barang, agaknya cara penjagaan kita kepada barang itu berbeza jikalau barang itu kita punya ataupun orang lain punya? Tentu ada beza kalau kita menjaga barang orang lain dengan menjaga barang kita. Tentunya kita lebih sayangkan barang kita dan akan memberi perhatian yang lebih kepadanya. Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini yang alam ini kepunyaan Dia dan dari situ, kita dapat tahu bahawa Allah ‎ﷻ akan menjaga alam ini dengan sebaik-baiknya.

 

مَن ذَا الَّذي يَشفَعُ عِندَهُ إِلّا بِإِذنِهِ

Siapakah yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya?

Kalimah من itu asalnya istifham (soalan) akan tetapi ia bermaksud ‘tidak’ kerana ada kalimah إِلّا di dalam ayat ini. Jadi ia hendak menolak pemberian syafaat daripada selain-Nya. Jadi soalan ini adalah soalan retorik. Macam kita cakap kepada orang: “Kalau aku tak tolong dia, siapa lagi yang boleh tolong dia?” Dia hendak memberitahu yang tidak ada orang lain yang boleh memberi pertolongan kepada orang itu. Allah ‎ﷻ beri soalan ini kerana memang tidak ada sesiapa pun yang boleh memberi syafaat tanpa izin daripada Allah ‎ﷻ.

Kalimah شَفٰعَةٌ adalah daripada kata dasar: ش ف ع yang bermaksud menegakkan sesuatu yang senget, menggandakan sesuatu, pasangan, menghubungkan sesuatu yang sama sifat, melindungi, menjadi orang tengah, bagi rekomendasi untuk seseorang. Memberi dan menerima syafa’at terjadi atas izin Allah ﷻ dan keputusan-Nya adalah keputusan yang haq lagi bijaksana sebagaimana ditegaskan dalam Saba’: 23

وَلا تَنفَعُ الشَّفٰعَةُ عِندَهُ إِلّا لِمَن أَذِنَ لَهُ ۚ حَتّىٰ إِذا فُزِّعَ عَن قُلوبِهِم قالوا ماذا قالَ رَبُّكُم ۖ قالُوا الحَقَّ ۖ وَهُوَ العَلِيُّ الكَبيرُ
Dan tiadalah berguna syafa’at di sisi Allah melainkan bagi orang yang telah diizinkan-Nya memperoleh syafa’at itu, sehingga apabila telah dihilangkan ketakutan daripada hati mereka, mereka berkata, “Apakah yang telah difirmankan oleh Tuhan-mu?” Mereka menjawab: (Perkataan) yang benar”, dan Dialah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar.

Tidak ada, walaupun yang diharapkan syafaat itu adalah daripada Nabi Muhammad ﷺ. Kalaulah baginda ada kuasa memberi syafaat, maka tentu baginda akan bantu ahli keluarga baginda sendiri akan tetapi baginda telah menidakkan hal itu,

أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ أُنْزِلَ عَلَيْهِ { وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ } يَا مَعْشَرَ قُرَيْشٍ اشْتَرُوا أَنْفُسَكُمْ مِنْ اللَّهِ لَا أُغْنِي عَنْكُمْ مِنْ اللَّهِ شَيْئًا يَا بَنِي عَبْدِ الْمُطَّلِبِ لَا أُغْنِي عَنْكُمْ مِنْ اللَّهِ شَيْئًا يَا عَبَّاسَ بْنَ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ لَا أُغْنِي عَنْكَ مِنْ اللَّهِ شَيْئًا يَا صَفِيَّةُ عَمَّةَ رَسُولِ اللَّهِ لَا أُغْنِي عَنْكِ مِنْ اللَّهِ شَيْئًا يَا فَاطِمَةُ بِنْتَ رَسُولِ اللَّهِ سَلِينِي بِمَا شِئْتِ لَا أُغْنِي عَنْكِ مِنْ اللَّهِ شَيْئًا
Bahawa Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda ketika turun ayat ini kepadanya: ‘(Dan berilah peringatan kepada keluargamu yang dekat) ‘ (Syu’ara`: 214). Baginda bersabda: “Wahai orang Quraisy, belilah diri kalian daripada Allah, aku tidak dapat melindungi kalian daripada seksa Allah sedikit pun, wahai bani Abd al-Muththalib, aku tidak dapat melindungi kalian daripada seksa Allah sedikit pun, wahai Abbas bin Abd al-Muththalib, aku tidak dapat melindungi kalian daripada seksa Allah sedikit pun, wahai Shafiyyah, bibi Rasulullah, aku tidak dapat melindungi kalian daripada seksa Allah sedikit pun, wahai Fatimah binti Rasulullah, mintalah kepadaku sesuatu yang kamu kehendaki, aku tidak dapat melindungi kalian daripada seksa Allah sedikit pun.”
(Sahih Bukhari No. 305)

Kalau Nabi Muhammad ﷺ sendiri pun tidak boleh bantu sanak saudaranya di akhirat kelak, jadi kenapa ramai masih jahil lagi berharap bantuan baginda, para wali yang telah mati, tok guru mereka dan lain-lain lagi? Walaupun kita tahu yang baginda akan meminta syafaat untuk manusia tetapi baginda pun tidak berani membuka mulut baginda melainkan setelah diizinkan oleh Allah ‎ﷻ dan baginda pun hanya akan mengatakan perkara-perkara yang dibenarkan oleh Allah ‎ﷻ sahaja. Ini kita boleh faham daripada sebuah hadith daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

أَنَا سَيِّدُ وَلَدِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَأَوَّلُ مَنْ يَنْشَقُّ عَنْهُ الْقَبْرُ، وَأَوَّلُ شَافِعٍ وَأَوَّلُ مُشَفَّعٍ
“Aku adalah pemimpin anak Adam pada hari Kiamat. Aku adalah orang yang pertama akan dibangkitkan daripada kubur. Aku adalah orang pertama yang akan memberi syafaat dan dibenarkan  memberi syafaat.”
(Riwayat Muslim No. 2278)

Jadi kena faham yang keputusan beri syafaat itu bukan hak Nabi ﷺ. Ini kita dapat faham daripada ayat ini. Semua umat Islam baca ayat ini tetapi mereka tidak faham maksudnya. Apakah salah faham mereka? Mereka tidak faham kerana jahil wahyu.

Ramai tidak sedar yang Nabi Muhammad ﷺ hanya boleh memberi syafaat kepada mereka yang dibenarkan menerima syafaat sahaja. Maknanya, Allah ‎ﷻ sahaja yang menentukan siapakah yang boleh terima syafaat itu, bukannya Nabi ﷺ. Maka golongan sesat yang minta syafaat daripada Nabi ﷺ sekarang ini adalah sia-sia sahaja. Ini kerana baginda bukan dengar pun permintaan kita dan kalau baginda dengar pun, baginda bukan boleh bagi. Maka sia-sia sahajalah nyanyian Ya Hanana golongan Habib yang sentiasa meminta syafaat kepada Rasulullah ﷺ. Ini termasuk juga dengan permintaan mana-mana golongan pun yang berharap sangat syafaat daripada baginda.

Kenapa baginda tidak dapat beri syafaat kepada kita? Kerana sebelum kita membantu (atau beri syafaat) seseorang dengan meminta pertolongan untuk mereka hendaklah kita tahu kedudukan seseorang itu. Kita bawakan satu contoh di sini untuk mudah faham. Katakanlah seorang ketua syarikat telah marah kepada seorang pekerja dan dia telah memecat pekerja itu. Mungkin kerana pada pengetahuan ketua itu, pekerja itu telah melakukan satu kesalahan berat. Katakanlah kita tahu keadaan sebenar, yang pekerja itu tidak lakukan pun kesalahan yang dituduh itu, dan kita hendak membantu pekerja yang telah dipecat itu. Maka kita pun pergilah berjumpa dengan ketua syarikat itu untuk tidak memecat pekerja itu kerana kita kata ada perkara yang ketua syarikat itu tidak tahu. Maka kita pun menjelaskan kepada beliau kedudukan perkara yang sebenar. Maknanya ketua syarikat itu telah membuat keputusan kerana ada perkara yang dia tidak tahu dan kita telah membantu pekerja yang telah dipecat itu dengan menjelaskan kedudukan yang sebenar kerana kita ada maklumat itu.

Namun bagaimana kita hendak memberitahu Allah ‎ﷻ kedudukan seseorang yang dimurkai oleh Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ sendiri tahu perkara yang sedang berlaku dan yang telah berlaku. Semua perkara tentang seseorang itu Allah ‎ﷻ ketahui, lalu bagaimana kita hendak hendak rekomen orang itu kepada Allah ‎ﷻ?

Ramai manusia yang bercakap tentang syafa’at. Ramai yang mengharapkan ada pemberi syafa’at nanti di akhirat kelak. Lalu mereka melakukan amalan-amalan kononnya untuk mendapat syafa’at daripada wali, Nabi dan malaikat. Mereka memberi salam, seru Nabi, wali dan malaikat, sedekah Fatihah, melawat kubur, berqasidah dan bermacam-macam lagi amalan yang tidak ada dalam ajaran agama.

Begitulah ramai yang salah faham tentang syafa’at ini. Ramai yang meminta syafa’at daripada Nabi Muhammad ﷺ, padahal tidak boleh meminta syafa’at dengan baginda. Walaupun ada hadith yang mengatakan Nabi ﷺ akan memberi syafa’at di akhirat kelak. Memanglah Nabi ﷺ ‘pemberi Syafa’at’ tetapi jangan salah faham.

Begini caranya untuk faham: Memang Nabi ﷺ akan beri syafa’at tetapi bukanlah baginda yang ‘menentukan’ siapa yang boleh dapat syafa’at. Nabi Muhammad ﷺ hanyalah ‘tukang sampaikan’ sahaja. Kita jadikan perumpamaan seorang pelajar universiti yang hanya akan mendapat sijil graduan sekiranya dia sudah melepasi ujian-ujian yang telah ditetapkan di universiti itu. Sememangnya sewaktu Hari Graduasi, canselor universiti yang akan menyampaikan skrol ijazah kepada pelajar tersebut akan tetapi bukanlah beliau yang menentukan siapakah yang akan menerima skrol itu. Yang menentukan seseorang pelajar itu layak menerima ijazah itu adalah mereka di bahagian lain yang bertanggungjawab menentukannya berdasarkan daripada keperluan syarat yang telah dipenuhi oleh pelajar itu. Itu pun sekiranya dia telah memenuhi segala syarat untuk mendapatkannya.

Maka begitulah juga dengan konsep syafa’at. Pertama, hanya Allah ﷻ yang menentukan siapa yang akan mendapat syafa’at. Keduanya, syafa’at itu diberikan kepada mereka yang layak sahaja. Antara kelayakan utama, hendaklah tidak langsung mengamalkan syirik. Antaranya boleh dibaca dalam ayat Maryam: 87

لّا يَملِكونَ الشَّفٰعَةَ إِلّا مَنِ اتَّخَذَ عِندَ الرَّحمٰنِ عَهدًا
Mereka tidak berhak mendapat dan memberi syafa’at, kecuali orang yang telah mengikat perjanjian (dengan iman dan amal yang soleh) di sisi Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya!

Kerana itulah Allah ﷻ beritahu dengan jelas dalam ayat ini bahawa syafa’at itu bukan hak makhluk tetapi hak Allah ﷻ. Tiada sesiapa yang boleh beri syafa’at kecuali yang diberi izin oleh Allah ﷻ. Disebabkan ramai yang tidak tahu tentang perkara ini maka mereka meminta syafa’at daripada Nabi Muhammad ﷺ, daripada orang yang sudah mati (mereka kata si mati itu ‘wali’) dan daripada malaikat. Maka ini adalah salah faham terbesar dalam hal syafa’at. Syafa’at itu diminta kepada Allah ﷻ, bukan kepada makhluk! Allah ﷻ berfirman di dalam Yunus: 3

ما مِن شَفيعٍ إِلّا مِن بَعدِ إِذنِهِ
Tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi syafa’at melainkan sesudah diizinkan-Nya.

Akan tetapi disebut di dalam Najm: 26 bahawa para malaikat itu pun tidak berani meminta ampun bagi manusia sehinggalah diberikan keizinan oleh Allah ‎ﷻ,

وَكَم مِّن مَّلَكٍ فِي السَّمٰوٰتِ لا تُغني شَفٰعَتُهُم شَيئًا إِلّا مِن بَعدِ أَن يَأذَنَ اللهُ لِمَن يَشاءُ وَيَرضىٰ
berapa banyak malaikat di langit, syafaat mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah, kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan diredhai-Nya.

Mereka tidak mempunyai kuasa dan tidak akan berani membantu sesiapapun. Bukan sahaja izin untuk bercakap diperlukan malah hendak memberi syafa’at kepada mana-mana individu itu pun memerlukan izin daripada Allah ﷻ. Bukanlah mereka boleh memberi syafa’at kepada sesiapa sahaja. Penerima syafa’at juga mesti mendapat izin daripada Allah ﷻ. Kita kena tahu bahawa tidak ada makhluk yang mampu berikan syafa’at termasuk makhluk yang paling rapat dengan Allah ﷻ pun, iaitu para Malaikat. Dua syarat telah disebut di dalam Taha: 109

يَومَئِذٍ لا تَنفَعُ الشَّفاعَةُ إِلّا مَن أَذِنَ لَهُ الرَّحمٰنُ وَرَضِيَ لَهُ قَولًا
Pada hari itu, tidak berfaedah syafa’at (daripada dan kepada sesiapapun) kecuali daripada orang yang diizinkan oleh Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya, dan kepada orang yang diredhai perkataannya.

1. Allah ﷻ benarkan orang yang memberi syafa’at itu memberi syafa’at. Bukan semua dapat memberi syafa’at. Hanya mereka yang dibenarkan memberi syafa’at sahaja yang boleh beri syafa’at.

2. Allah ﷻ redhai atau benarkan kata-kata pemberi syafa’at. Apa yang mereka minta itu pun mesti mendapatkan kebenaran Allah ﷻ dulu.

3. Syarat yang ketiga disebut di dalam ayat Anbiya: 28 orang yang diberi syafa’at itu adalah yang diredhai oleh Allah ﷻ untuk menerima syafa’at. Tidak akan diberikan syafa’at kepada mereka yang melakukan syirik dan bid’ah semasa di dunia.

يَعلَمُ ما بَينَ أَيديهِم وَما خَلفَهُم وَلا يَشفَعونَ إِلّا لِمَنِ ارتَضىٰ وَهُم مِن خَشيَتِهِ مُشفِقونَ
Allah mengetahui segala sesuatu yang di hadapan mereka dan yang di belakang mereka, dan mereka tiada memberi syafa’at melainkan kepada orang yang diredhai Allah, dan mereka itu selalu berhati-hati kerana takut kepada-Nya.

Oleh itu, bukanlah kita menidakkan Nabi Muhammad ﷺ akan memberi syafa’at. Akan tetapi dengan syarat yang tiga ini. Yang memberi syafa’at itu diberikan kelebihan itu untuk memuliakan dia. Bukanlah dia mempunyai kuasa untuk menentukan siapakah yang boleh menerima syafa’at.

Kita kena sedar yang syafa’at itu adalah hak mutlak Allah ﷻ. Allah ﷻ sahaja yang menentukan siapakah yang layak memberi dan menerima syafa’at. Yang memberi syafa’at seperti Nabi, orang yang hafal Al-Qur’an dan lain-lain lagi, mereka diberi kebenaran untuk memberi syafa’at itu sebagai satu penghargaan daripada Allah ﷻ. Untuk menunjukkan kemuliaan mereka atas apa yang mereka telah kerjakan di dunia.

Untuk kita lebih jelas lagi apakah syafa’at itu; ia adalah adalah rekomendasi daripada seseorang terhadap seorang yang lain. Contohnya kita hendak rekomen rakan kita masuk ke tempat kerja kita, kita akan beritahu kepada pengarah syarikat yang rakan kita itu seorang yang baik dan rajin kerana hanya kita yang mengenali rakan itu dan pengarah syarikat tentulah tidak kenal rakan kita itu. Inilah rekomendasi. Begitulah juga pemberi syafa’at nanti. Mereka cadangkan kepada Allah ﷻ untuk selamatkan kita. Namun cuba fikir kembali, apa yang kita boleh beritahu Allah ﷻ sedangkan Dia tahu segalanya? Allah ﷻ berfirman di dalam Yunus: 18

وَيَعبُدونَ مِن دونِ اللَّهِ ما لا يَضُرُّهُم وَلا يَنفَعُهُم وَيَقولونَ هٰؤُلاءِ شُفَعٰؤُنا عِندَ اللَّهِ ۚ قُل أَتُنَبِّئونَ اللَّهَ بِما لا يَعلَمُ فِي السَّمٰوٰتِ وَلا فِي الأَرضِ ۚ سُبحٰنَهُ وَتَعٰلىٰ عَمّا يُشرِكونَ
Dan mereka menyembah yang lain daripada Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka dan mereka berkata: “Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafa’at kepada kami di sisi Allah”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu hendak memberitahu kepada Allah akan apa yang Dia tidak mengetahui di langit dan di bumi (padahal Allah mengetahui segala-galanya)? Maha Suci Allah dan tertinggi keadaan-Nya daripada apa yang mereka sekutukan.”

Oleh itu, sia-sia jikalau kita meminta syafa’at kepada selain Allah ﷻ kerana tidak ada sesiapa yang berkuasa memberi syafa’at selain Allah ﷻ. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Yaasin: 23

أَأَتَّخِذُ مِن دونِهِ ءآلِهَةً إِن يُرِدنِ الرَّحمٰنُ بِضُرٍّ لّا تُغنِ عَنّى شَفٰعَتُهُم شَيئًا وَلا يُنقِذونِ
Mengapa aku akan menyembah tuhan-tuhan selain-Nya jika (Allah) Yang Maha Pemurah menghendaki kemudaratan terhadapku, nescaya syafa’at mereka tidak memberi manfaat sedikit pun bagi diriku dan mereka tidak (pula) dapat menyelamatkanku?

Pemilik syafa’at hanya Allah ﷻ sahaja seperti yang ditegaskan di dalam Zumar: 43-44

أَمِ اتَّخَذوا مِن دونِ اللهِ شُفَعاءَ ۚ قُل أَوَلَو كانوا لا يَملِكونَ شَيئًا وَلا يَعقِلونَ
Patutkah mereka mengambil yang lain daripada Allah menjadi pemberi syafaat? Bertanyalah (kepada mereka): “Dapatkah yang lain daripada Allah memberi syafaat padahal semuanya tidak mempunyai apa-apa, dan tidak pula mengerti (sebarang apa pun)?”

قُل ِللهِ الشَّفٰعَةُ جَميعًا ۖ لَّهُ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ ثُمَّ إِلَيهِ تُرجَعونَ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Syafa’at itu semuanya hak kepunyaan Allah; Dia lah Yang Menguasai segala urusan langit dan bumi; kemudian kamu akan dikembalikan kepada-Nya (untuk menerima balasan).”

Sebaliknya masyarakat kita pula menyangka yang Nabi Muhammad ﷺ akan memberi syafaat kepada mereka kerana mereka selalu bertawassul dengan baginda, mereka selalu berselawat kepada baginda beribu kali dalam sehari, termasuklah mereka telah ‘memuja’ Nabi Muhammad ﷺ tanpa sedar (mereka sangka mereka memuji, tetapi apabila ia sudah berlebihan, itu sudah sampai kepada tahap ‘memuja’). Ada pula yang reka amalan, sedekah Fatihah kepada baginda. Tidak tahu datang dari mana amalan sesat ini.

Mereka sangka mereka buat perkara yang baik, namun sebaliknya ia adalah perkara yang buruk sekali. Mereka sangka, apabila mereka mengamalkan selawat yang direka oleh manusia (seperti Selawat Syifa’, Selawat Tafrijiyyah) itu, mereka akan selamat. Mereka sangka, dengan amalan menyambut Maulidur Rasul setiap tahun itu akan menyebabkan mereka selamat kerana mereka sangka yang Nabi Muhammad ﷺ akan suka dengan perbuatan mereka itu dan sebagai balasan, memberi syafa’at kepada mereka.

Malang sekali, segala amalan tersebut tidak mungkin akan menyebabkan mereka mendapat syafaat baginda kerana perbuatan mereka itu adalah perbuatan bid’ah. Malah lebih malang lagi, Selawat Syifa’ dan Selawat Tafrijiyyah itu mengandungi elemen syirik di dalamnya. Seandainya ada yang mengamalkannya, maka berhentilah dan jangan beri alasan lagi demi untuk membenarkannya. Buat malu sahaja hujah yang cuba membenarkannya. Yang penting untuk mendapatkan syafa’at, kita mestilah menjaga tauhid kita kerana mereka yang ada tauhid sahaja yang akan mendapat syafa’at, seperti disebut di dalam Zukhruf: 86

وَلا يَملِكُ الَّذينَ يَدعونَ مِن دونِهِ الشَّفٰعَةَ إِلّا مَن شَهِدَ بِالحَقِّ وَهُم يَعلَمونَ
Dan segala yang mereka sembah yang selain Allah, tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memberikan syafaat pertolongan, kecuali sesiapa yang memberi penerangan mengakui kebenaran dengan mentauhidkan Allah, Tuhan Yang Sebenar-benarnya secara mereka mengetahui-Nya dengan yakin (bukan dengan kata-kata orang; maka merekalah yang mungkin diizinkan memberi dan mendapat syafa’at itu).

Lalu persoalannya, kenapakah ada dalil-dalil yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ dan selain baginda boleh memberi syafa’at? Kena faham yang semua itu adalah sebagai penghargaan kepada mereka di atas kemuliaan mereka. Allah ﷻ yang menentukan siapa yang layak mendapat syafa’at dan pemberian itu disampaikan melalui pemberi syafa’at seperti Nabi Muhammad ﷺ. Tujuannya adalah untuk memuliakan mereka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 12 April 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment