Tafsir Surah Yunus Ayat 54 – 56 (Tebusan tidak diterima)

Yunus Ayat 54: Allah sebut penyesalan mereka dan apa yang sanggup mereka lakukan untuk melepaskan diri mereka.

وَلَو أَنَّ لِكُلِّ نَفسٍ ظَلَمَت ما فِي الأَرضِ لَافتَدَت بِهِ ۗ وَأَسَرُّوا النَّدامَةَ لَمّا رَأَوُا العَذابَ ۖ وَقُضِيَ بَينَهُم بِالقِسطِ ۚ وَهُم لا يُظلَمونَ

Sahih International

And if each soul that wronged, had everything on earth, it would offer it in ransom. And they will confide regret when they see the punishment; and they will be judged in justice, and they will not be wronged

Malay

Dan pada masa itu, sekiranya tiap-tiap seorang yang berlaku zalim (kepada dirinya sendiri atau kepada orang lain) itu mempunyai segala yang ada di bumi, tentulah dia rela menebus dirinya dengan semuanya itu (dari azab yang akan menimpanya); dan mereka tetap akan merasa sesal serta kecewa manakala mereka melihat azab itu; dan Allah putuskan hukum di antara mereka dengan adil serta mereka tidak akan dianiaya dengan keputusan itu.

 

وَلَوْ أَنَّ لِكُلِّ نَفْسٍ ظَلَمَتْ مَا فِي الْأَرْضِ

Dan sekiranya tiap-tiap jiwa yang melakukan kezaliman itu mempunyai segala yang ada di bumi,

‘Zalim’ itu adalah ‘tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya’. Lagi satu maksud: mengurangkan. Ada banyak jenis kezaliman. Ada kezaliman yang dilakukan terhadap Allah , ada yang dilakukan terhadap diri sendiri, dan ada yang dilakukan kepada orang lain.

Zalim yang paling besar adalah zalim terhadap Allah ﷻ iaitu dengan melakukan syirik. Ia dianggap sebagai zalim kerana tidak meletakkan Allah ﷻ pada kedudukan yang sepatutnya dan juga kerana mengurangkan hak Allah ﷻ. Akan tetapi maksud zalim dalam ayat ini adalah dalam bentuk yang umum yang merangkumi semua kezaliman di mana kita tidak memberikan hak kepada manusia lain.

‘Kalaulah mereka yang zalim itu mempunyai harta sebesar bumi ini’. Namun begitu tentulah mustahil untuk seorang individu memiliki semua harta di dalam dunia ini. Orang yang paling kaya dalam dunia pun hanya memiliki sebahagian kecil sahaja malah terlalu kecil sebenarnya daripada keseluruhan kekayaan itu. Maka ayat ini hanyalah berbentuk retorik sahaja.

Apakah yang mereka akan lakukan kalau mereka ada harta sebanyak itu?

 

لَافْتَدَتْ بِهِ

tentulah dia rela menebus dirinya dengannya;

Mereka akan sanggup untuk memberikan kesemua sekali harta mereka untuk menebus diri mereka. Biar tidak tinggal sedikit pun asalkan mereka selamat. Mereka langsung sudah tidak mahukan lagi harta itu. Ini adalah kerana mereka telah melihat sendiri bagaimana hebat dan sengsaranya Hari Kebangkitan itu. Mereka sudah tahu bahawa mereka tidak akan selamat. Mereka tahu yang mereka akan diazab. Dulu mereka tidak sangka seperti disebut di dalam Zumar: 47

وَلَو أَنَّ لِلَّذينَ ظَلَموا ما فِي الأَرضِ جَميعًا وَمِثلَهُ مَعَهُ لَافتَدَوا بِهِ مِن سوءِ العَذابِ يَومَ القِيٰمَةِ ۚ وَبَدا لَهُم مِنَ اللهِ ما لَم يَكونوا يَحتَسِبونَ

Dan sekiranya orang-orang zalim itu mempunyai segala apa jua yang ada di bumi, disertai sebanyak itu lagi, tentulah mereka rela menebus diri mereka dengannya daripada azab seksa yang buruk pada hari kiamat, setelah jelas nyata kepada mereka dari (hukum) Allah, azab yang mereka tidak pernah fikirkan.

Seperti yang kita telah sebutkan, tidak ada manusia yang memiliki keseluruhan harta di dunia ini. Sudahlah tidak ada yang boleh memiliki dunia ini dan isinya, dan kalau dia memiliki seluruh dunia ini pun, dan hendak diberikan sebagai tebusan pun tidak akan diterima. Yang penting pada waktu itu adalah iman. Ini bermakna iman yang ada pada kita lebih berharga dan lebih besar nilainya daripada dunia ini keseluruhannya.

Akan tetapi oleh kerana terlalu sayangkan harta dunia yang tidak bernilai ini, manusia telah meninggalkan iman mereka. Cinta kepada dunia inilah yang menyebabkan manusia melakukan berbagai-bagai dosa. Mereka sudah tidak kisah tentang agama. Inilah yang dinamakan ‘hubbud dunya‘ – cinta dunia.

Mereka terlalu sayangkan harta mereka, sampaikan kalau boleh, mereka hendak bawa ke dalam kubur. Namun apabila mereka melihat azab di depan mata mereka, mereka sanggup memberikan harta-harta mereka walaupun sebanyak dunia kerana pada waktu itu barulah mereka sedar bahawa harta itu sebenarnya tidak bernilai pun. Namun begitu adakah ia diterima? Tidak sama sekali seperti disebut dalam Ali Imran:91

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا وَمَاتُوا وَهُمْ كُفَّارٌ فَلَن يُقْبَلَ مِنْ أَحَدِهِم مِّلْءُ الْأَرْضِ ذَهَبًا وَلَوِ افْتَدَىٰ بِهِ

Sesungguhnya orang-orang yang kafir, lalu mati sedang mereka tetap kafir, maka tidak sekali-kali akan diterima daripada seseorang di antara mereka: emas sepenuh bumi, walaupun dia menebus dirinya dengan (emas yang sebanyak) itu.

Namun betapa malangnya, kesedaran itu tidak akan berguna pada waktu itu. Tebusan daripada mereka itu tidak akan diterima. Walaupun mereka berikan emas sepenuh bumi ini, malah kalau ditambah sekali ganda pun, tidak akan diterima kerana Allah ﷻ tidak memerlukan harta. Harta tidak digunakan di akhirat. Yang digunakan hanyalah pahala dan dosa, itulah yang menjadi mata wang (currency) di sana nanti. Ini seperti disebut dalam sebuah hadith.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ
أتَدْرُونَ مَنْ الْمُفْلِسُ قَالُوا الْمُفْلِسُ فِينَا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ لَا لَهُ دِرْهَمَ وَلَا دِينَارَ وَلَا مَتَاعَ قَالَ الْمُفْلِسُ مِنْ أُمَّتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَنْ يَأْتِي بِصَلَاةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ عِرْضَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُقْعَدُ فَيَقْتَصُّ هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Tahukah kalian siapakah yang disebut dengan orang yang muflis?” Para sahabat menjawab; “Orang yang muflis menurut kami wahai Rasulullah, adalah orang yang tidak punya dirham dan dinar serta harta benda.”

Baginda bersabda: “Seorang muflis daripada kalangan umatku ialah seorang yang datang pada hari Kiamat dengan pahala solat, puasa dan zakat, namun (pada masa yang sama) dia juga membawa dosa mencaci maki, menuduh, serta memakan harta orang lain serta membunuh dan menyakiti orang lain.”

“Setelah itu diberikan kepadanya sebahagian daripada pahala-pahala kebaikannya dan diberikan kepada orang itu pula sebahagian pahalanya, hinggalah akhirnya habis pahalanya namun belum lagi terbayar dosa-dosa yang tertanggung atasnya, lalu diambil sebahagian dosa-dosa mereka tadi untuk dibebankan ke atasnya hingga akhirnya dia dihumban ke dalam neraka (kerana banyak dosa).”

(Riwayat Imam Ahmad No: 8062) Status: Hasan Sahih

Itulah akibatnya jika kita berlaku zalim terhadap orang lain. Maka hendaklah sentiasa beringat agar tidak menzalimi manusia lain apatah lagi jangan sesekali kita berlaku zalim terhadap Allah ﷻ. Segala wang serta harta yang banyak di dunia pun langsung tidak berguna. Namun begitu untuk manusia sebegini, apabila tidak boleh menggunakan harta, mereka tetap juga hendak menyelamatkan diri mereka dengan cara rasuah.Agaknya apa yang mereka akan gunakan? Ini disebut dalam Ma’arij:11-14

يُبَصَّرونَهُم ۚ يَوَدُّ المُجرِمُ لَو يَفتَدي مِن عَذابِ يَومِئِذٍ بِبَنيهِ

Padahal masing-masing diberi melihat setengahnya yang lain; (pada saat yang demikian) orang yang kafir suka kiranya dapat menebus dirinya dari azab itu dengan anak-anaknya sendiri,

وَصاحِبَتِهِ وَأَخيهِ

Dan isteri serta saudaranya,

وَفَصيلَتِهِ الَّتي تُؤويهِ

Dan kaum kerabatnya yang melindunginya,

وَمَن فِي الأَرضِ جَميعًا ثُمَّ يُنجيهِ

Dan juga sekalian makhluk yang ada di bumi – kemudian (diharapkannya) tebusan itu dapat menyelamatkannya.

Bagaimanakah cara mereka hendak menebus diri mereka itu? Mereka akan kata jangan azab mereka, tetapi azablah anak, isteri, saudara dan sesiapa sahaja yang berkaitan dengan mereka. Mereka akan cuba melepaskan diri mereka sehingga sanggup menjual isteri, anak sampailah kesemua makhluk yang ada di bumi ini! Begitu terdesak sekali mereka ini. Perbuatan ini pun tidak langsung akan diterima oleh Allah ﷻ.

Namun hakikat sebenarnya amat mudah bagi Allah ﷻ untuk menerima kita dan menyelamatkan kita jika kita istighfar dan meminta ampun semasa kita masih hidup lagi di dunia ini sekarang. Tidakkah mereka sedar betapa mudahnya untuk mendapat redha Allah ﷻ dan minta keselamatan daripada Allah ﷻ? Tidak perlu bersusah payah untuk memberi segala harta yang ada. Atau menjual anak, isteri serta sekalian makhluk yang ada. Maka ambillah peluang semasa nyawa dikandung badan ini untuk bertaubat dan memperbaiki diri. Buatlah persediaan untuk akhirat.

Perlu diingatkan, harta yang bernilai di sisi Allah ﷻ adalah harta yang diinfak lebih-lebih lagi harta yang kita dicintai. Sebaliknya harta yang banyak itu menjadi sia-sia belaka. Kita tinggalkan harta yang banyak pun hanya akan menjadi rebutan waris kita sahaja.

وَأَسَرُّوا النَّدَامَةَ

dan mereka akan merahsiakan sesal mereka

Kalimah أَسَرُّوا dari katadasar س ر ر yang bermaksud ‘menyembunyikan’ daripada maksudnya yang literal. Maknanya, mereka akan menyesal dengan nasib mereka dan mereka akan menyembunyikan perasaan sesal mereka itu.

Mereka juga menyembunyikan diri mereka daripada orang yang mereka telah sesatkan semasa di dunia. Ramai guru-guru yang mengajar amalan yang salah kepada anak murid dan sekarang mereka rasa amat malu. Ini mengajar kita supaya berhati-hati dengan apa yang kita ajar.

Kalimah bahasa Arab kadang-kadang menyampaikan maksud yang berlawanan daripada perkataan literal yang digunakan. Satu perkataan boleh mengandungi dua maksud yang berlawanan. Maka, kalimah أَسَرُّوا boleh membawa maksud ‘menyembunyikan’ dan juga boleh membawa maksud ‘menzahirkan’. Kebiasaannya, apabila manusia ditimpa malapetaka, dia akan melakukan salah satu atau kedua-duanya sekali. Iaitu pada permulaan dia akan cuba sembunyikan kekesalannya tetapi kemudiannya dia akan menzahirkannya. Begitu juga di dalam ayat lain ada disebut sebutan penyesalan daripada mereka. Yang pasti penyesalan tetap berlaku.

Mungkin pada mulanya, dia akan cuba menyembunyikan kesesalannya itu. Seolah-olah apa yang terjadi kepadanya itu tidak memberi kesan kepadanya. Namun lama kelamaan dia akan menunjukkan juga kesesalannya itu. Kemungkinan dia akan menangis, kemungkinan dia akan meraung kesedihan sambil menggigit tangan (bukan gigit jari lagi). Ini seperti disebut Furqan:27

وَيَومَ يَعَضُّ الظّالِمُ عَلىٰ يَدَيهِ يَقولُ يٰلَيتَنِي اتَّخَذتُ مَعَ الرَّسولِ سَبيلًا

Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang zalim menggigit dua tangannya, seraya berkata: “Aduhai kiranya (dulu) aku mengambil jalan bersama-sama Rasul”.

Kalimah النَّدَامَةَ berasal daripada katadasar ن د م yang bermaksud ‘sesal’, ‘sedih’. Juga bermaksud perasaan tidak senang dalam hati. Perasaan tidak senang itu kerana ‘ada sesuatu’ atau ‘tidak ada sesuatu’. Ada yang rasa sedih sebab ‘ada sesuatu’ seperti sakit dan sebagainya. Ada pula yang rasa tidak sedap hati sebab ‘tidak ada sesuatu’ seperti tidak ada duit.

Orang-orang yang tidak beriman dan yang telah berlaku zalim semasa di dunia itu akan merasa sesal, sedih yang amat sangat kerana mereka ketika itu tidak ada iman. Mereka menyesal kerana tidak percaya dengan ajaran tauhid semasa mereka hidup di dunia. Mereka sesal kerana tidak bersiap sedia untuk menghadapi akhirat dengan pahala yang banyak. Mereka akan menyesal kerana mereka tahu yang mereka tidak ada kesempatan untuk menyelamatkan diri mereka lagi.

Bilakah mereka akan berasa sedih dan menyesal yang amat sangat itu?

 

لَمَّا رَأَوُا الْعَذَابَ

apabila mereka melihat azab itu;

Mereka akan menjadi amat terkejut kerana mereka melihat azab yang mereka tidak pernah sangka. Dulu azab yang mereka persoalkan dan minta dipercepatkan itu (kerana tidak percaya) sekarang sudah ada di depan mata mereka.

Mereka amat takut tetapi mereka akan cuba menyembunyikan rasa bersalah mereka. Sepertimana situasi di mahkamah, orang yang bersalah akan cuba menunjukkan muka tidak bersalah. Dengan harapan, hakim dan orang ramai tidak nampak kesalahan pada air muka mereka.

 

وَقُضِيَ بَيْنَهُم بِالْقِسْطِ

dan akan diputuskan hukum di antara mereka dengan adil

Sesal pun tidak boleh berbuat apa lagi. Perbezaan manusia tentang agama akan diputuskan di akhirat kelak oleh Allah ﷻ. Kalau dalam dunia ini sekarang, berbagai-bagai pendapat yang bercanggah antara satu sama lain. Yang tidak beriman akan menolak ajaran tauhid dan sunnah.

Kemudian ada Nabi dan rasul yang ditentang oleh umatnya. Ahli-ahli bid’ah dan yang mengamalkan syirik telah menentang penyebar penyebar tauhid. Ahli sunnah kata mereka yang benar dan ahli bid’ah kata mereka yang benar. Siapakah yang benar sebenarnya?

Siapa yang benar akan diputuskan oleh Allah ﷻ di akhirat kelak. Allah ﷻ akan menghukum siapakah yang benar dan Allah ﷻ akan membalas mereka yang benar dengan kebaikan serta Allah ﷻ akan balas dengan keburukan siapa yang salah. Malangnya semuanya sudah terlambat hanya jika tahu bersalah pada waktu itu. Maka kita mestilah banyak berfikir dan menilai dengan sebaik-baiknya mana satu jalan dan pendapat yang benar.

 

وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

serta mereka tidak akan dianiaya dengan keputusan itu.

Setiap makhluk akan mendapat apa yang layak untuk mereka. Allah ﷻ tidak akan zalim dalam memberi hukum. Allah ﷻ tidak salah dalam membuat keputusan kerana Allah ﷻ tahu segala-galanya. Manusia sahaja yang zalim tetapi Allah ﷻ tidak pernah dan tidak akan zalim.


 

Yunus Ayat 55: Dalil Aqli. Kenapakah Allah ﷻ sahaja yang layak menentukan siapa yang salah dan siapa yang benar? Allah ﷻ berikan dalil di dalam ayat ini.

أَلا إِنَّ لِلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۗ أَلا إِنَّ وَعدَ اللَّهِ حَقٌّ وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَعلَمونَ

Sahih International

Unquestionably, to Allah belongs whatever is in the heavens and the earth. Unquestionably, the promise of Allah is truth, but most of them do not know

Malay

Ingatlah! Sesungguhnya segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah. Awaslah! Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

 

أَلَا إِنَّ لِلَّهِ مَا فِي السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Ingatlah! Sesungguhnya segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah.

Dalam ayat sebelum ini diberitahu yang kalaulah orang yang malang di akhirat itu hendak menyerahkan segala harta sepenuh bumi untuk menebus dirinya, ia tidak akan diterima. Hakikatnya mereka sebenarnya memang tidak mempunyai harta kerana di dalam ayat ini Allah ﷻ mengingatkan bahawa semua yang di langit dan di bumi adalah milik Allah ﷻ yang mutlak. Maka, sememangnya mereka tidak mempunyai apa-apa pun untuk dijadikan tebusan.

Oleh kerana apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi adalah milik Allah ﷻ, maka Allah ﷻ lah sahaja yang layak untuk menentukan siapa yang benar dan siapa yang salah. Akal kita sepatutnya faham perkara ini dan sebab itulah ini adalah dalil aqli. Memang surah ini banyak menyebut dalil-dalil aqli. Allah ﷻ sahaja yang layak untuk membuat keputusan itu kerana hanya Dia sahaja yang memiliki alam ini dan tidak berkongsi pemilikan alam ini dengan sesiapapun.

Sekiranya ada makhluk yang tidak bersetuju dengan hukum yang Allah ﷻ telah tetapkan, maka silalah tinggalkan alam ini dan hidup di alam yang lain. Sebagaimana jikalau ada orang yang tidak suka mengikut peraturan rumah kita, kenalah dia keluar dari rumah kita, bukan? Akan tetapi ke mana lagi makhluk itu hendak pergi? Adakah terdapat alam lain yang dia boleh ambil perlindungan?

Apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi termasuklah Nabi, wali dan malaikat itu semuanya adalah kepunyaan Allah ﷻ semata-mata. Oleh itu, kenapa kita tidak terus sembah dan minta doa kepada Allah ﷻ sahaja? Kenapa kita perlu meminta dengan Nabi, wali dan malaikat? Kenapa perlukan perantaraan melalui mereka pula? Allah ﷻ tidak pernah ajar pun. Tidak ada dalil yang jelas membenarkan fahaman salah ini. Yang banyak di dalam Al-Qur’an adalah perintah untuk terus berdoa kepada Allah ﷻ.

 

أَلَا إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ

Ingatlah! Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar,

Iaitu janji Allah ﷻ bahawa kiamat dan akhirat akan berlaku; Allah ﷻ menjanjikan syurga khas untuk orang beriman manakala neraka untuk orang yang ingkar dan semua itu akan benar-benar berlaku. Selain daripada itu banyak lagi perkara-perkara yang telah dijanjikan oleh Allah ﷻ yang pasti akan berlaku.

Percayalah kepada janji Allah ﷻ ini. Janganlah tertipu dengan dunia dan syaitan seperti disebut dalam Fatir:5. Ini kerana dunia berjanji dan syaitan juga berjanji, tetapi mereka tidak akan menepati janji mereka.

يٰأَيُّهَا النّاسُ إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ ۖ فَلا تَغُرَّنَّكُمُ الحَيَوٰةُ الدُّنيا ۖ وَلا يَغُرَّنَّكُم بِاللهِ الغَرورُ

Hai manusia, sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka sekali-kali janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu dan sekali-kali janganlah syaitan yang pandai menipu, memperdayakan kamu tentang Allah.

 

وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Ramai manusia yang tidak tahu tentang hari kiamat. Mereka tidak tahu apa yang akan berlaku. Ini adalah kerana mereka sibuk mengejar dunia. Maka kita jangan ikut kebanyakan manusia. Kebanyakan manusia akan masuk neraka. Takkan kita hendak ikut mereka, bukan?

Oleh itu, kepada mereka yang tahu seperti orang Islam, adakah mereka selalu memikirkan tentang janji-janji Allah ﷻ itu? Apa yang kita nampak, ramai yang tidak mengendahkan langsung tentang janji-janji Allah ﷻ itu. Jikalau mereka selalu memikirkan tentang janji-janji Allah ﷻ itu, tentunya amal perbuatan mereka berubah.

Jika mereka benar-benar berfikir, tentu mereka tidak akan berlaku zalim kepada Allah ﷻ, kepada diri sendiri atau kepada orang lain. Tidaklah mereka akan hidup di dunia ini seperti mereka akan terus hidup selama-lamanya. Tidaklah mereka membuang masa dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti mengejar dunia tanpa hujungnya.

Kesimpulannya, kita tahu daripada ayat ini bahawa ramai manusia yang tidak tahu dan jika pun mereka tahu, ramai yang tidak memberikan perhatian kepada janji Allah ﷻ itu.


 

Yunus Ayat 56: Dalil Aqli lagi.

هُوَ يُحيي وَيُميتُ وَإِلَيهِ تُرجَعونَ

Sahih International

He gives life and causes death, and to Him you will be returned

Malay

Dia lah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan kepadaNyalah kamu akan dikembalikan untuk menerima balasan.

 

هُوَ يُحْيِي وَيُمِيتُ

Dia lah yang menghidupkan dan yang mematikan,

Hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh menghidupkan dan mematikan dan tidak ada entiti yang lain yang boleh buat perkara yang sama. Walaupun Namrud berhujah dengan Nabi Ibrahim عليه السلام yang dia pun menghidupkan dan mematikan seperti disebut dalam Baqarah:258

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذي حاجَّ إِبرٰهِـۧمَ في رَبِّهِ أَن ءَاتَٮٰهُ اللَهُ المُلكَ إِذ قالَ إِبرٰهِـۧمُ رَبِّيَ الَّذي يُحيي وَيُميتُ قالَ أَناْ أُحيي وَأُميتُ

Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”. Dia menjawab: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”.

Namrud berkata dia ‘menghidupkan’ dengan membebaskan orang yang telah dijatuhi hukuman bunuh. Kononnya dia ‘mematikan’ dengan menjatuhkan hukuman bunuh. Akan tetapi betapa ceteknya hujah itu kerana budak sekolah rendah pun tahu bukan itu yang dimaksudkan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام. Maknanya bodoh sangat Namrud itu. Sebab itulah namanya tidak disebut pun dalam Al-Qur’an sebab tidak layak disebut. Walaupun kerajaannya lebih besar daripada kerajaan Firaun, tetapi nama Firaun yang banyak disebut. Ini kerana hujah-hujah Firaun bernas-bernas juga. Sebab itu Allah ﷻ banyak membalas hujah-hujah Firaun kerana manusia kebanyakannya menggunakan hujah yang sama (oleh itu ia memerlukan jawapan).

Ini adalah dalil aqli yang Allah ﷻ berikan. Kalau Dia yang menghidupkan dan mematikan, kenapa tidak sembah dan taat kepada-Nya sahaja? Kenapa dicari ilah-ilah lain yang direka itu? Adakah mereka boleh menghidupkan dan mematikan? Tentu tidak.

 

وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

dan kepada-Nyalah kamu akan dikembalikan

Allah ﷻ mengingatkan sekali lagi di dalam ayat ini seperti dalam banyak ayat-ayat yang lain, bahawa kita semuanya akan dikembalikan kepada-Nya. Pada waktu itu kita semua akan menerima balasan yang setimpal untuk kita.

Susunan ayat ini juga memberi isyarat khusus. Susunan biasa adalah تُرْجَعُونَ إِلَيْهِ namun Allah ﷻ tidak gunakan susunan biasa. Apabila kalimah إِلَيْهِ didahulukan (taqdim), ia membawa maksud eksklusif iaitu hanya kepada Allah ﷻ sahaja kita akan dihadapkan. Tidak akan dibawa kepada sesiapa. Tidaklah umat Nabi Isa عليه السلام dibawa kepada Nabi Isa عليه السلام (dan baginda menjadi peguam pula bagi umat baginda). Ini tidak akan berlaku. Fahaman sesat manusia adalah Nabi, wali yang mereka sembah akan menjadi peguam bagi mereka yang akan berhujah bagi pihak mereka kononnya (“Mereka ini puak aku ya Allah, jadi selamatkan mereka”). Ia tidak akan berlaku.

Kalimah تُرْجَعُونَ adalah di dalam bentuk pasif. Maknanya mereka akan dibawa dan dipaksa bertemu dengan Allah ﷻ. Di dalam ayat lain disebut mereka akan dirantai kaki dan leher mereka. Berbeza dengan kalimah تَرْجِعُونَ yang bermaksud mereka sendiri pergi kembali. Mereka tidak mungkin akan pergi berjumpa dengan Allah ﷻ dengan rela hati. Sebagaimana seorang penjenayah yang tidak akan menyerahkan dirinya secara sukarela kepada pihak polis pula, bukan?

Pengajaran penting di dalam ayat ini adalah jikalau Allah ﷻ yang menghidupkan dan Dialah juga yang akan mematikan kita, dan seterusnya kita akan bertemu dengan-Nya, maka kenapakah kita tidak berdoa dan menyembah kepada-Nya sahaja? Kenapa kita buat tidak kisah arahan dan larangan yang telah diberikan-Nya kepada kita?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 11 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Maariful Qur’an

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment