Dalam ayat 5 ini, tidak disebutkan apakah pertolongan yang kita perlukan. Selalunya, jikalau kita minta tolong kepada sesiapa, kita akan sebut apakah pertolongan yang kita perlukan – sama ada bantuan wang atau bantuan tenaga dan sebagainya. Tetapi tidak disebutkan dalam ayat ini. Ada beberapa sebab ia tidak disebut:
-
- Allah ﷻ Maha Mengetahui apakah yang kita perlukan. Maka tidak perlu disebut lagi.
- Terlalu banyak pertolongan yang kita perlukan sampaikan kalau kita hendak senaraikan, akan jadi terlalu banyak.
- Atau permintaan pertolongan ini adalah di kala kita memang sangat-sangat memerlukan pertolongan sehingga tidak sempat kita hendak menyebutnya. Contohnya, kita hampir terjatuh ke dalam gaung. Kita tidak sebut dengan jelas apakah yang kita perlukan sebab waktu itu memang kita memerlukan sangat. Maka kita hanya minta ‘tolong’ sahaja.
Ayat ini ada kaitan dengan ayat sebelumnya iaitu kita mengaku kita sebagai hamba. Untuk menjadi hamba yang sebenarnya kepada Allah ﷻ adalah susah, kerana kita selalu terpedaya dengan hawa nafsu dan syaitan. Maka, perkara pertama yang kita perlukan pertolongan kepada Allah ﷻ adalah untuk menjadikan kita sebagai hamba yang sebenarnya.
Kaitan dengan ayat sebelumnya
Kita boleh melihat pertukaran penggunaan kata-ganti dalam ayat ini. Dalam tiga ayat pertama Surah Al-Fatihah sebelum ini, kita memperkatakan ‘tentang’ Allah ﷻ. Sekarang, dalam ayat ini, kita bercakap terus dengan Allah ﷻ. Kita berkata-kata dengan Allah ﷻ – ‘Engkaulah’ yang kami sembah, dan kepada ‘Engkaulah’ yang kami memohon.
Penukaran kata-ganti dalam Al-Qur’an ini adalah satu keistimewaan dalam Al-Qur’an dan ia selalu digunakan dalam banyak ayat. Ia dipanggil kaedah ‘Iltifat‘. Ia merupakan salah satu daripada keindahan gaya bahasa Arab. Tujuannya adalah untuk menyedarkan dan menarik perhatian pembacanya. Ia menjadikan pembacaan Al-Qur’an lebih menarik. Kalau kita hanya memperkatakan tentang sesuatu dengan satu cara sahaja, lama kelamaan ia akan membosankan.
Bayangkan kalau sesuatu penulisan yang tiada dialog dan bandingkan penulisan yang ada dialog di dalamnya. Dengan penggunaan iltifat, ia sesuatu yang memberikan kesan yang menyegarkan pembaca. Kita pun akan lebih berwaspada – lebih berjaga-jaga – kerana tiba-tiba penggunaan kata ganti telah bertukar dan kita akan tertanya-tanya: “Kenapa begini?”. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang tahu nahu bahasa Arab. Otak kita pun berjalan semasa membaca Al-Qur’an.
Mungkin mereka yang tidak tahu bahasa Arab tidak perasan pun perkara ini. Ini adalah sesuatu yang indah dalam Al-Qur’an. Kalau kita dapat tahu serba sedikit bahasa Arab, ia tentu akan memberikan pemahaman yang lebih dan lebih memberi takjub kepada kita.
Ternyata bahasa Al-Qur’an adalah sesuatu yang hebat. Akan tetapi, ada juga orang yang menyerang konsep ini. Mereka kata Al-Qur’an tidak konsisten, sekejap bercakap tentang seseorang, dan kemudian tiba-tiba berkata dengan orang itu pula. Serangan seperti ini mungkin terjadi kerana kejahilan mereka akan kewujudan kaedah ini atau mereka ada niat jahat yang tersembunyi.
Dalam ayat pertama, kita memuji-muji Allah ﷻ dengan menyebut sifat-sifat-Nya. Dalam tiga ayat pertama itu juga kita dapat lebih mengenal lebih lagi siapakah Allah ﷻ. Selepas kita mengenal Allah ﷻ, kita menjadi lebih rapat dengan-Nya. Itu adalah salah satu kesan selepas mengenali seseorang. Pepatah Melayu juga ada mengatakan: ‘tak kenal, maka tak cinta’.

Begitu juga dengan kita dengan Allah ﷻ. Malah dengan Allah ﷻ, lebih lagi timbul rasa sayang dan rasa takjub kita. Selepas kita mengenali-Nya dan mengetahui segala kehebatan Allah ﷻ yang tidak ada tolok bandingnya, kita tentunya dan sepatutnya, MAHU menjadi lebih dekat dengan-Nya. Keinginan untuk menyembah-Nya sepatutnya semakin meningkat. Ini sepatutnya yang terjadi secara semulajadi. Tidak perlu dipaksa-paksa lagi.
Pecahan ayat
1. إِيَّاكَ نَعۡبُدُ: Hanya Engkau yang layak kami sembah
2. إِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ: Hanya Engkau yang layak kami minta pertolongan.
Lihatlah susunan dalam Surah Al-Fatihah ini yang amat cantik sekali. Selepas kita menyatakan sifat-sifat-Nya, barulah kita memperkatakan tentang beribadat kepada-Nya. Ini menunjukkan kita sepatutnya beribadat kepada Allah ﷻ hanya selepas kita mengenali-Nya. Oleh itu, kita kena ada ilmu sebelum beribadat. Kenalah kita kenal siapa Allah ﷻ dulu sebelum kita melakukan ibadat.
Kalau kita tidak kenal, takut-takut kita tidak tahu siapa yang kita sembah. Namun begitu tentulah kita tidak mengenal Allah ﷻ secara keseluruhan. Kita hanya hamba yang lemah tidak berupaya untuk mengenal Allah ﷻ sepenuhnya – hanya melalui apa yang Allah ﷻ telah sebutkan tentang Diri-Nya dalam Al-Qur’an dan daripada hadith Nabi.
Penting untuk kita mengetahui apa kata Nabi ﷺ tentang Allah ﷻ, kerana bagindalah yang paling mengenali Allah ﷻ. Oleh itu, selain daripada ayat-ayat Al-Qur’an, kita kena belajar juga hadith Nabi. Itu adalah sekurang-kurangnya yang perlu dilakukan oleh seorang Muslim. Ia dikira sebagai ilmu asas. Yang lain-lain seperti kitab yang banyak-banyak itu, itu adalah ilmu tambahan. Ada yang mampu belajar lebih lagi.
Sememangnya pencapaian ilmu seseorang tidak sama dengan seorang yang lain. Namun kita haruslah berusaha setakat mana yang mampu. Kerana kalau kita tidak mengenal-Nya, ibadah yang kita buat itu tidak bermakna, tidak ada pahala. Kalau kita tidak kenal Allah ﷻ, kepada siapa kita beribadah itu? Yang lebih malang lagi kalau kita ada andaian yang salah tentang Allah ﷻ kerana belajar daripada ilmu yang bukan datang daripada wahyu!
Ayat kelima Surah Al-Fatihah ini adalah ayat yang paling banyak dibincangkan oleh ulama’. Mereka mengatakan agama Islam ini berlegar di antara ayat ini. Ini adalah kerana ada dua elemen yang ada dalam ayat ini yang kita akan cuba untuk kupaskan secara ringkas. Kalau kita faham dua konsep yang disebut dalam ayat ini, ia adalah satu pemahaman yang amat penting sekali. Kerana itulah ulama’ mengatakan ayat ini adalah ayat terpenting dalam surah Fatihah ini.
Ayat ini merupakan sebuah ikrar kita di hadapan Allah ﷻ. Iaitu kita berikrar dan berjanji kepada Allah ﷻ bahawa kita akan *hanya* beribadat kepada Allah ﷻ dan *hanya* berdoa kepada Allah ﷻ sahaja. Ia adalah sebuah ikrar yang besar. Bayangkan kita menyebutnya sekurang-kurangnya 17 kali sehari di dalam solat. Kita ulang ikrar itu berkali-kali. Itu pun kalau kita hanya membacanya dalam solat fardhu sahaja belum termasuk dalam ibadah sunat lain.
Persoalannya sekarang, adakah kita memegang ikrar dan janji kita itu? Atau adakah kita baca dengan kosong sahaja? Kalau kita baca dengan kosong, maka itulah sebabnya ia tidak memberi kesan ke dalam diri kita. Sebab itu ramai yang mengaku mahu sembah Allah sahaja, namun dalam masa yang sama, mereka sembah juga entiti selain Allah ﷻ (selalunya tanpa mereka sedari). Sebagai contoh, ada yang sembah sultan, padahal baru tadi dalam solat mengaku tidak sembah yang lain melainkan Allah ﷻ sahaja.
Susunan ayat
Terdapat susunan yang lain dalam ayat ini daripada kebiasaan susunan bahasa Arab. Ini kerana kalau hendak disampaikan maksud “kami sembah kepada Engkau”, perkataan ٓنٓعبُدُك boleh digunakan iaitu perkataan ‘kamu’ dalam bentuk ك diletakkan di hujung. Akan tetapi susunan dalam ayat ini berlainan. إِيّٓكٓ (hanya Engkau) diletakkan di permulaan ayat. Kenapakah begini?
Pertamanya, ini adalah sebagai menunjukkan adab kepada Allah ﷻ, di mana disebutkan Allah ﷻ dahulu kerana Allah ﷻ lebih mulia.
Keduanya, ini menekankan sesuatu yang eksklusif. Apabila struktur ayat diletakkan berlainan daripada biasa, ada maksud yang hendak disampaikan. Iaitu, *hanya* kepada Allah ﷻ sahaja kita sembah. Dan *hanya* kepada Allah ﷻ sahaja kita kita memohon pertolongan dan bantuan.
Bukan itu sahaja, perkataan إِيّٓكٓ digunakan dua kali. Sedangkan dalam bahasa Arab, boleh sahaja digunakan ayat sebegini: : إِيَّاكَ نَعْبُدُ ونَسْتَعِينُ dan ia masih satu ayat yang lengkap dan kita pun faham maksudnya. Namun tidak begitu yang dilakukan oleh Allah ﷻ. Tentu ada sebab kenapa Allah ﷻ jadikan begitu. Allah ﷻ meletakkan ayat dalam Surah Al-Fatihah ini sebegini: إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
Kalimah إِيَّاكَ diulang sebanyak dua kali sebagai penekanan kepada kedua-dua maksud itu: ‘sembah’ dan ‘memohon pertolongan’. Kerana kalau tidak ada إِيَّاكَ sebelum kalimah نَسْتَعِينُ, mungkin boleh diandaikan bahawa kalimah نَعْبُدُ lebih penting daripada kalimah نَسْتَعِينُ. Namun tidak begitu. Sedangkan kedua-dua elemen itu amat penting. Kedua-dua elemen itu hendak diberi penekanan oleh Allah ﷻ. Dan Allah ﷻ tunjukkan kepentingan keduanya kepada kita dalam susunan perkataan yang digunakan. Ini adalah sebahagian daripada ilmu Balaghah.
Ingatlah bagaimana Allah ﷻ membuatkan kita membaca ayat ini setiap hari sekurang-kurangnya sebanyak 17 kali dalam sehari. Ini adalah kerana ayat ini adalah satu pernyataan dan doa yang amat hebat. Kerana atas sifat rahmat Allah ﷻlah yang menyuruh dan memberi peluang kepada kita untuk membaca ayat ini berkali-kali sebagai peringatan untuk kita.
Kalau Allah ﷻ ajar kita sebuah doa yang hebat, kita mungkin baca dan mungkin tidak. Mungkin kita ingat untuk baca tetapi kemungkinan kita akan lupa. Mungkin kita hanya amalkan sekejap sahaja. Tetapi lihatlah Surah Al-Fatihah ini. Hasilnya ia adalah satu surah yang mengandungi doa yang hebat, di mana Allah ﷻ telah mewajibkan kita untuk membacanya sebagai satu sistem supaya kita sentiasa ingat dan kita amalkan. Ma shaa Allah!
Kalau kita lihat susunan dalam ayat ini, ia menyebut tentang ‘ibadah’, kemudian baru disambung dengan ‘berdoa’ kepada Allah ﷻ. Ini adalah kerana ‘doa’ adalah salah satu daripada ibadah yang dilakukan oleh kita. Maka, Allah ﷻ menyebut ibadat dalam bentuk umum sebelum diberikan pengkhususan ibadah, iaitu ‘doa’.
Allah ﷻ memerintah makhluk-Nya untuk beribadat kepada-Nya. Namun hakikatnya, kita tidak akan berupaya untuk melakukan ibadat kepada Allah ﷻ tanpa bantuan Allah ﷻ dan rahmat daripada-Nya. Laluan untuk beribadat kepada-Nya adalah melalui-Nya juga. Tidak ada melalui cara lain.
Oleh itu, kita memohon rahmat dan bantuan daripada-Nya, untuk beribadat kepada-Nya dan juga untuk berdoa kepada-Nya. Oleh itu, dari sini, kita dapat kesimpulan bahawa tujuan hidup kita adalah beribadat kepada Allah ﷻ dan cara untuk beribadat kepada Allah ﷻ adalah melalui bantuan daripada-Nya. Oleh itu, ayat ini menyebut ‘tujuan’ dan ‘cara’ dalam satu ayat.
Ayat ini juga mengajar kita bagaimana cara berdoa. Hendaklah kita memuji-Nya sebelum kita memohon sesuatu kepada-Nya. Apabila kita menyebut kita hendak beribadat kepada-Nya, maka itu akan menyebabkan Allah ﷻ akan memakbulkan doa kita, in sha Allah.
Dalam berdoa, hendaklah kita memulakan dengan memuji-muji-Nya dahulu. Kita boleh melihat dalam empat ayat sebelum ini, di mana kita memuji-Nya dan sekarang kita baru hendak memulakan doa kita. Selain daripada itu, ada banyak contoh hadith daripada Nabi yang menunjukkan sebelum baginda memulakan doa dan memulakan bercakap sesuatu, baginda akan memuji-muji Allah ﷻ.
Oleh itu, kedua-dua bahagian dalam ayat ini menguatkan satu sama lain dan bersangkut paut. Tentulah tidak sesuai kalau kita menyembah Allah ﷻ, namun apabila tiba masa berdoa, kita meminta pertolongan kepada selain Allah ﷻ. Ingatlah, tidak boleh berdoa kepada selain Allah ﷻ kerana doa itu pun adalah satu ibadat. Bukankah tadi kita sudah berikrar untuk beribadat hanya kepada Allah ﷻ sahaja?
Kalau kita berdoa kepada selain Allah ﷻ, maka itu bermakna kita telah beribadat kepada selain daripada Allah ﷻ. Itulah syirik tersembunyi yang kadang-kadang kita tidak perasan. Sebab itulah kadangkala ada dalam kalangan manusia yang minta kepada selain Allah ﷻ. Macam orang kita pun ada ramai yang buat. Iaitu mereka melakukan ‘tawasul’. Mereka meminta kepada perantaraan dahulu supaya perantara itu akan menyampaikan doa kepada Allah ﷻ. Perbuatan itu sudah menyebabakn mereka terkeluar daripada ikrar dalam Surah Al-Fatihah ini untuk berdoa hanya kepada Allah ﷻ.
Maka kita kena faham apakah tawasul itu dan apakah cara doa yang terus kepada Allah ﷻ tanpa perantaraan. Itu disebut dan diajar dalam surah dan ayat-ayat yang lain. Dalam Surah Al-Fatihah ini diberikan pengenalan sahaja, tetapi pemahaman lengkap kena rujuk kepada ayat-ayat yang lain.
Ayat ini juga menyatakan bahawa kita mengaku kita tiada kuasa pada diri kita dan mengharap *hanya* kepada Allah ﷻ.
Dua ayat ini boleh memberi kesan kepada roh kita.
1. Buang sifat riya’ dalam diri dengan pemahaman kalimah نَعۡبُدُ. Kerana orang riya’ beribadat hanya untuk menunjuk-nunjuk sahaja. Hanya mahu manusia lain melihat mereka beribadat. Mereka melakukan ibadat bukan kerana Allah ﷻ lagi (atau kerana Allah ﷻ tetapi sudah bercampur dengan niat yang lain). Ayat ini memberi kesan kepada kita dengan mengikhlaskan ibadat kita kepada Allah ﷻ. Kita melakukan sesuatu ibadah itu hanya kerana Allah ﷻ.
2. Buang sifat kibr (besar diri) dengan pemahaman kalimah نَسۡتَعِينُ. Kerana kita tahu kedudukan kita yang amat rendah (kerana itu kita mohon doa) – lalu apa yang hendak dibanggakan sangat? Kita tidak ada apa-apa, semuanya mengharapkan pertolongan daripada Allah ﷻ.
Ibadah
Apakah maksud ibadah? Penting untuk tahu maksud ibadah. Sebab sudah bercampur baur dengan terma-terma lain yang digunakan sekarang. Agama lain pun menggunakan kalimah ibadah juga dan kita takut kita faham terma agama lain pula. Kerana agama lain pun ada ibadah juga kepada tuhan mereka. Maka kita kena bezakan ibadah kita dengan ibadah mereka.
Contohnya, kita ada sembahyang, agama Hindu pun ada ‘sembahyang’ juga. Orang Kristian pun ada ‘sembahyang’ mereka juga. Tetapi sesekali tidak akan sama antara sembahyang kita dan sembahyang mereka, bukan?
Ibadah itu adalah menyerah diri sebagai hamba. Serah diri dan taat seluruhnya kepada Allah ﷻ. Dilakukan dengan hati yang ikhlas. Iaitu ada keinginan dalam hati kita untuk berkhidmat kepada Allah ﷻ. Kalau tidak ada keinginan itu, ia bukanlah ibadah. Contohnya, seseorang itu nampak seperti buat ibadah, tetapi dia mungkin dia buat kerana malu dengan orang lain yang buat. Mungkin kerana orang lain ramai-ramai Solat Tarawih, oleh kerana malu, dia ikutlah juga melakukannya.
Namun sebenarnya, mereka tidak ada keinginan untuk beribadah itu. Oleh kerana tidak ikhlas, ibadah itu tidak dikira dan tidak diberi pahala. Oleh itu kena ada cinta kepada Allah ﷻ. Kena ibadah dalam cinta kepada Allah ﷻ. Dua-dua kena ada – cinta dan ibadah – Kalau cinta tanpa taat pun tidak cukup. Kerana ada yang kata dan mengaku mereka cinta kepada Allah ﷻ, tetapi tidak nampak pun mereka buat ibadat. Sebagai contoh, mereka kata mereka beriman, tetapi mereka tidak memakai tudung pun. Itu bermaksud mereka tidak taat kepada Allah ﷻ.
Maka asas ibadah adalah cinta kepada Allah ﷻ. Hasilnya kita akan taat kepada suruhan dan larangan-Nya. Dan untuk taat kepada Allah ﷻ, kita kena ikut Nabi ﷺ. Kerana dalam Al-Qur’an ada dikatakan kalau kita cinta Allah ﷻ, maka kena ikut Nabi ﷺ. Dan apabila kita cinta kepada Allah ﷻ, kita akan mengharap cinta-Nya kepada kita.

Kerana kalau kita tidak mengharap cinta-Nya kembali, itu bukanlah cinta sebenar. Kerana apabila kita mencintai seorang wanita atau lelaki, kita juga mengharapkan cintanya. Dengan manusia, tidak pasti yang mereka akan membalas cinta kita. Namun kalau dengan Allah ﷻ, kalau kita mencintai-Nya, Dia akan mencintai kita semula.
Melakukan ibadah dan menghambakan diri kepada Allah ﷻ adalah tujuan hidup kita. Tidak ada kedudukan yang lebih besar daripada menjadi hamba kepada Allah ﷻ. Malangnya zaman sekarang banyak elemen yang mengheret dan menjauhkan kita daripada menyembah Allah ﷻ. Ada sahaja perkara yang menyebabkan kita leka dan lalai dengan dunia. Senang sangat untuk mendapatkan hiburan yang melekakan. Tekan sahaja butang, akan keluar lagu di radio dan MP3. Tekan komputer satu dunia boleh keluar dari internet. Makin berlambak hiburan dan informasi daripada media sosial Facebook, ada Twitter, ada YouTube dan entah apa lagi.
Pulang ke rumah, TV selalunya sudah siap terpasang. Saluran TV beratus saluran kita boleh pilih. Dengan iklannya, dengan rancangan yang berbagai-bagai. Semuanya ada potensi untuk menarik perhatian kita. Dan media amat pandai untuk menghasilkan rancangan yang menarik minat kita. Mereka pandai menggunakan psikologi dan tahu bagaimana fikiran manusia berfungsi. Kalau kita tidak sedar kepentingan ibadah, maka semuanya itu kita rasa lebih baik dan menarik dan penting daripada menjalankan ibadah kepada Allah ﷻ.
Kehidupan moden sekarang rasanya sudah semakin sibuk. Setidak-tidaknya masa ibadah kita terbahagi antara kehidupan agama dan kehidupan suka-suka. Ditolak lagi dengan tugas hakiki kita di pejabat dan melapangkan masa dengan isteri, anak-anak dan keluarga yang memang perlu dilakukan, maka makin sedikit sebenarnya ruang masa untuk beribadah kepada Allah ﷻ. Kita kena sedar kepentingan ibadah supaya kita boleh mencari masa untuk beribadah juga kepada Allah ﷻ.
Ibadah adalah tujuan hidup kita. Kita mengaku perkara itu dalam ayat ini apabila kita mengatakan إِيَّاكَ نَعۡبُدُ.
Kita juga mengaku bahawa kita adalah hamba Allah ﷻ. Kerana kalimah نَعۡبُدُ berasal daripada kalimah عبد yang bermaksud ‘hamba’. Secara umumnya, semua makhluk adalah hamba Allah ﷻ, sama ada mereka terima atau tidak, tahu atau tidak. Dalam ayat ini, seorang hamba menyatakan dengan khusus yang mereka mengaku yang mereka adalah hamba Allah ﷻ.
Inilah yang sepatutnya kita lakukan. Kita sepatutnya terima Allah ﷻ sebagai tuan kita dan kita adalah hamba-Nya, dengan rela. Kerana kalau kita tidak mengaku pun, kita ini tetap hamba-Nya juga. Maka lebih baik kita mengaku dan mengingatkan diri kita sendiri kedudukan kita sebagai hamba.
Taat kepada Allah ﷻ adalah satu-satunya tujuan hidup kita. Itulah tujuan kita dihidupkan. Semasa kita membaca ayat ini, kita mengakuinya dengan rela. Inilah yang sepatutnya terjadi, namun ada yang mempunyai konflik dengan hal ini. Ada yang sembah Allah ﷻ tetapi dalam masa yang sama, mereka juga mahu kenikmatan dunia yang dilarang.
Dan kadang-kadang kita buat sesuatu yang Allah ﷻ tidak suka. Memang manusia begitu keadaannya, manusia sentiasa melakukan kesalahan. Apa yang perlu kita lakukan adalah sentiasa memohon ampun atas kesalahan dan kesilapan yang kita lakukan setiap hari, sama ada kita sedar ataupun tidak.
Ia adalah sebuah rahmat yang besar apabila kita hanya ada satu Tuan sahaja. Bayangkan kalau kita ada lebih daripada satu ilah. Susah untuk kita puaskan lebih daripada satu. Tambahan pula kalau ramai ilah, tentunya setiap ilah ada kehendak mereka masing-masing. Allah ﷻ beri perumpamaan seorang hamba yang mempunyai lebih daripada satu tuan dalam dalam Zumar: 29
ضَرَبَ اللهُ مَثَلًا رَّجُلًا فِيهِ شُرَكَاءُ مُتَشَاكِسُونَ وَرَجُلًا سَلَمًا لِّرَجُلٍ هَلْ يَسْتَوِيَانِ مَثَلًا الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
Allah membuat perumpamaan (iaitu) seorang laki-laki (budak) yang dimiliki oleh beberapa orang yang bersyarikat yang dalam perselisihan dan seorang budak yang menjadi milik penuh daripada seorang laki-laki (saja); Adakah kedua budak itu sama halnya? Segala puji bagi Allah tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.
Tentulah amat susah kalau kita ada lebih daripada satu tuan. Seorang tuan akan suruh kita buat A dan seorang tuan lagi suruh kita B pula. Tentunya kita tidak dapat memuaskan kedua-dua tuan itu. Tambahan pula kalau A dan B itu berlawanan! Oleh itu, ia adalah sebuah rahmat apabila kita hanya disuruh memuaskan Allah ﷻ sahaja. Kepala kita tidak perlu pening kerana perlu mengikut satu arahan sahaja.
Seperti telah disebut tadi, permulaan ibadah adalah cinta kepada Allah ﷻ. Kita bukan dituntut untuk melakukan amalan sahaja. Itulah hasil daripada bacaan tiga ayat pertama dalam Surah Al-Fatihah sebelum ini. Apabila kita sudah dapat pengetahuan tentang siapakah Allah ﷻ, maka senang untuk kita cinta Allah ﷻ dan senang untuk kita beribadah kepada Allah ﷻ. Walaupun kita sudah tahu yang Allah ﷻ itu Tuhan sekalian alam, Dia bersifat ar-Rahman dan ar-Rahim namun Dia juga mengingatkan kita bahawa Dia akan memberi balasan di Hari Kiamat nanti.
Apabila kita berkata tentang ibadah, kita kena faham skop ibadah itu yang melibatkan beberapa perkara: lidah, hati dan juga tubuh.
Ibadah hati: tahu siapa Allah ﷻ dan terima Allah ﷻ sebagai Rabb kita.
Ibadat Lidah: mengucapkan syahadah dan menyampaikan pemahaman itu kepada orang lain.
Ibadat Tubuh: melakukan ibadat seperti solat, puasa, haji dan sebagainya.
Oleh itu, kita kena faham bahawa ibadah itu merangkumi keseluruhan kehidupan kita. Jangan kita sempitkan pemahaman ibadah itu hanya kepada ibadat tubuh seperti solat dan puasa sahaja.
Kefahaman tauhid
Kita juga perlu tahu elemen Tauhid dalam ibadat.
1. Ibadat hanya untuk Allah ﷻ. Sujud dan taat kepada yang lain adalah syirik.
2. Serah diri hanya kepada Allah ﷻ. Ikut hanya arahan Allah ﷻ. Bukanlah kita sembah Allah ﷻ, tetapi kemudian ikut taghut (sesuatu yang menjauhkan kita daripada Allah ﷻ). Hukum hakam yang diterimapakai adalah hanya daripada Allah ﷻ. Hanya menggunakan hukum Allah ﷻ yang Dia telah tetapkan dan disampaikan melalui Rasul-Nya Nabi Muhammad ﷺ.
Jangan kita jadi seperti orang Kristian dan Yahudi yang menggunakan hukum daripada paderi dan rabai mereka. Sebagaimana kita sekarang banyak menggunakan kata-kata ustaz dan meninggalkan kata-kata Allah ﷻ dan Nabi.
3. Cinta hanya kepada Allah ﷻ. Kalau cinta kepada yang lain, seperti ibubapa kita, isteri kita, anak-anak kita pun, itu adalah kerana Allah ﷻ juga. Kita juga kena benci apa yang Allah ﷻ benci. Inilah konsep wala’ wal bara’ (mendekatkan dan menjauhkan).
Apakah yang termasuk dalam ibadah? Itulah melakukan semua perkara yang Allah ﷻ suka. Dalam setiap perkara dan perbuatan kita, kita kena tahu manakah yang lebih Allah ﷻ suka. Ini dapat diketahui apabila kita semakin banyak belajar. Kerana kita tidak boleh mengagak dengan kesukaan dan kegemaran kita sahaja, kerana ia mungkin tidak sama dengan kehendak Allah ﷻ.
Ibn Qayyim رحمه الله berkata, kita kena melakukan ibadat yang sesuai dengan masanya. Sebagai contoh, apabila dilaungkan azan, maka kita kena dengar dan menjawab azan waktu itu, kemudian melakukan solat.
Kerana waktu itu, ibadah yang utama adalah mendirikan solat. Kalau waktu jihad, maka jihadlah ibadat yang sesuai pada waktunya, bukan solat. Waktu tetamu datang bertandang, maka kita kena layan mereka kerana itulah ibadat yang utama waktu itu. Bukanlah waktu tetamu datang, kita buat solat sunat pula.
Contoh ini kita boleh lihat hadith kisah Salman Al Farisi dan Abu Darda’ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا.
Daripada Abu Juhaifah Wahb bin ‘Abdullah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata,
آخَى النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – بَيْنَ سَلْمَانَ ، وَأَبِى الدَّرْدَاءِ ، فَزَارَ سَلْمَانُ أَبَا الدَّرْدَاءِ ، فَرَأَى أُمَّ الدَّرْدَاءِ مُتَبَذِّلَةً . فَقَالَ لَهَا مَا شَأْنُكِ قَالَتْ أَخُوكَ أَبُو الدَّرْدَاءِ لَيْسَ لَهُ حَاجَةٌ فِى الدُّنْيَا . فَجَاءَ أَبُو الدَّرْدَاءِ ، فَصَنَعَ لَهُ طَعَامًا . فَقَالَ كُلْ . قَالَ فَإِنِّى صَائِمٌ . قَالَ مَا أَنَا بِآكِلٍ حَتَّى تَأْكُلَ . قَالَ فَأَكَلَ . فَلَمَّا كَانَ اللَّيْلُ ذَهَبَ أَبُو الدَّرْدَاءِ يَقُومُ . قَالَ نَمْ . فَنَامَ ، ثُمَّ ذَهَبَ يَقُومُ . فَقَالَ نَمْ . فَلَمَّا كَانَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ قَالَ سَلْمَانُ قُمِ الآنَ . فَصَلَّيَا ، فَقَالَ لَهُ سَلْمَانُ إِنَّ لِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا ، وَلِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا ، وَلأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا ، فَأَعْطِ كُلَّ ذِى حَقٍّ حَقَّهُ . فَأَتَى النَّبِىَّ – صلى الله عليه وسلم – فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ ، فَقَالَ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – « صَدَقَ سَلْمَانُ »
“Nabi ﷺ pernah mempersaudarakan antara Salman dan Abu Darda’. Tatkala Salman bertandang (ziarah) ke rumah Abu Darda’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, ia melihat Ummu Darda’ رضي الله عنها (isteri Abu Darda’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ) dalam keadaan mengenakan pakaian yang serba kusut. Salman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pun bertanya padanya, “Mengapa keadaan kamu seperti itu?” Wanita itu menjawab, “Saudaramu Abu Darda’ sudah tidak mempunyai hajat lagi pada keduniaan.”
Kemudian Abu Darda’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ datang dan beliau membuatkan makanan untuk Salman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Setelah selesai Abu Darda’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata kepada Salman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, “Makanlah, kerana saya sedang berpuasa.” Salman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menjawab, “Saya tidak akan makan sebelum engkau pun makan.” Maka Abu Darda’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pun makan. Pada malam harinya, Abu Darda’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bangun untuk mengerjakan solat malam. Salman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pun berkata padanya, “Tidurlah.” Abu Darda’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pun tidur kembali.
Ketika Abu Darda’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bangun hendak mengerjakan solat malam, Salman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ lagi berkata padanya, “Tidurlah!” Hingga pada akhir malam, Salman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, “Bangunlah.” Lalu mereka solat bersama-sama. Setelah itu, Salman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata kepadanya, “Sesungguhnya bagi Rabbmu ada hak, bagi dirimu ada hak, dan bagi keluargamu juga ada hak. Maka penuhilah masing-masing hak tersebut.”
Kemudian Abu Darda’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mendatangi Nabi ﷺ lalu menceritakan apa yang baru saja terjadi. Baginda lantas bersabda, “Salman itu benar.”
(HR. Bukhari No. 1968)
Kalau perkara mubah (harus) dilakukan kerana Allah ﷻ, maka ia menjadi satu ibadat juga. Kita akan mendapat pahala kalau kita lakukan perbuatan itu dengan niat yang baik. Dan kalau kita buat dengan tahu bahawa Allah ﷻ telah membenarkan kita lakukan itu pun sudah mendapat pahala. Sebagai contoh, berjimak dengan isteri juga merupakan sebuah ibadat dan kita akan mendapat pahala.
Ini adalah kerana Allah ﷻ telah membenarkan perlakuan itu. Ini berdasarkan kepada Hadith Nabi juga. Memakai pakaian cantik juga merupakan satu ibadah kerana ia dibenarkan dan dianjurkan dalam Islam. Ini kerana sewaktu kita memakai pakaian yang cantik itu, kita sedang menzahirkan nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita. Maka, bukanlah kita kena pakai baju yang lusuh dan buruk, kononnya hendak menunjukkan tawaduk kita. Itu hanya dilakukan oleh ahli zuhud (ahli sufi) yang jahil sahaja.
Jangan kita jadikan ibadat sebagai adat (kebiasaan) sahaja. Iaitu kita lakukan kerana semua orang buat. Atau kita lakukan kerana malu kalau orang lihat kita tidak buat, maka kita lakukan juga walaupun kita tidak berniat hendak buat. Contohnya, ada orang yang tidak sembahyang, tetapi sebab semua orang lain sedang solat, dia pun solat juga.
Atau dia lakukan sebagai adat kerana sudah biasa buat semenjak kecil. Atau seorang wanita memakai tudung kerana dia sudah ‘biasa’ pakai tudung. Kalau dia tidak pakai tudung, dia rasa lain. Dia bukan memakai tudung kerana hendak taat kepada Allah ﷻ. Dia memang sudah buat perkara yang baik, cuma dia kena perbaharui niat dia supaya boleh meraih pahala. Kita mestilah ikhlas dalam ibadat kita iaitu yang dilakukan bukan kerana ada kepentingan dunia tetapi untuk mencari redha Allah ﷻ semata-mata.
Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya.
Kemaskini: 11 Oktober 2019
Rujukan:
Nouman Ali Khan
Jamal Zarabozo

Benar… untuk mudah melakukan ibadat mesti ada rasa CINTA kepada ALLAH swt. Iaitu ilah dan rabb yang di yakininya
LikeLike