Tafsir Surah Maryam Ayat 19 – 25 (Maryam mengandung)

Ayat 19:

قالَ إِنَّما أَنا رَسولُ رَبِّكِ لِأَهَبَ لَكِ غُلامًا زَكِيًّا

Sahih International

He said, “I am only the messenger of your Lord to give you [news of] a pure boy.”

Malay

Dia berkata: “Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci”.

قَالَ إِنَّمَا أَنَا رَسُولُ رَبِّكِ

Jibrail berkata, “Sesungguhnya aku ini adalah utusan Tuhanmu,

Dalam ayat ini, Jibrail menggunakan perkataan رَسُولُ. Kenapa pula begini? Bukankah rasul itu adalah para Nabi seperti Nabi Muhammad dan sebagainya? Sebenarnya, malaikat pun dipanggil ‘rasul’ juga. Kerana رَسُولُ dari segi bahasa bermaksud ‘yang membawa risalah dari tempat yang tinggi’. Bukankah malaikat turun membawa mesej yang Allah sampaikan untuk manusia?

Digunakan kata رَبِّكِ (rabb) dalam ayat ini kerana hendak menekankan sifat rabb – Tuhan. Rabb bermaksud ‘yang mencipta, memelihara dan menjaga’. Bukan hanya bermaksud ‘Tuhan’ sahaja. Kalau Maryam risau apakah yang akan terjadi selepas itu, ingatlah bahawa Allahlah yang telah menjaga dan memelihara beliau selama hari ini.

Nanti akan disebutkan tentang beliau akan mendapat anak yang suci. Tentu dia akan risau dengan macam-macam kerisauan seorang wanita yang tidak mempunyai suami. Allah mengingatkan bahawa yang akan menjaga memelihara dan memberi tarbiyah kepada anak itu adalah Allah sendiri kerana Allah yang mencipta, memelihara dan memberi tarbiyah kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

Tentu macam-macam kerisauan timbul dalam fikiran Maryam. Antaranya tentang apakah manusia lain akan kata tentangnya. Dan bagaimanakah dia hendak menjaga dan mendidik anak itu. Jadi, dalam penggunaan perkataan ‘rabb’ itu, Allah mengingatkan beliau bahawa Allahlah yang akan mendidik anak itu.

Sebagaimana juga Nabi Yahya telah dididik oleh Allah. Kerana ibubapa Nabi Yahya adalah sangat tua, tapi Nabi Yahya menjadi menjadi anak yang baik. Itu adalah kerana hasil didikan dari Allah.

لِأَهَبَ لَكِ

untuk aku sampaikan satu anugerah kepada kamu;

Jibrail beritahu yang tugasnya adalah untuk menyampaikan anugerah yang telah diberi oleh Allah. Jibrail membahasakan *dirinya* yang membawa berita gembira itu. Padahal berita baik itu bukan dari dirinya tapi dari Allah. Ini adalah kerana beliau sebagai penyampai mesej dari Allah sahaja.

Dan juga Jibrail mengatakan dia yang akan menyampaikan anugerah itu, kerana tugasnya adalah untuk meniupkan ruh Nabi Isa ke dalam Maryam.

Apabila berita akan diberikan anak kepada Nabi Zakaria, maklumat itu disampaikan terus kepada baginda. Tapi apabila berita yang sama diberikan kepada Maryam, ianya disampaikan oleh Jibrail. Ayat ini dijadikan dalil bahawa perempuan tidak dilantik sebagai Nabi dan rasul. Mereka tidak mendapat wahyu secara terus dari Allah tapi melalui perantara – seperti dalam kes Maryam ini, maklumat tentang beliau akan mendapat anak disampaikan oleh Jibrail a.s.

غُلَامًا زَكِيًّا

seorang anak laki-laki yang suci;

Perkataan زَكِيًّا bukan sahaja bermaksud ‘suci’, tapi ‘sangat-sangat suci’. Ia bermaksud lelaki itu adalah anak lelaki yang amat baik. Allah memberitahu bahawa anak itu akan menjadi anak yang baik untuk menenangkan Maryam.

Kerana tentu ada kerisauan dalam hatinya apa akan terjadi selepas itu. Dan beliau risau kerana beliau akan menjadi ibu tunggal pula. Itu adalah satu kehidupan yang susah dan mencabar. Tapi, apabila diberitahu bahawa anak itu adalah anak yang suci, yang baik, tentu akan menyebabkan hati Maryam akan jadi lembut dan tenang.

Perkataan زَكِيًّا juga bermaksud ‘bijak’. Maknanya Nabi Isa a.s. akan menjadi seorang anak lelaki yang bijaksana.


Ayat 20: Kehairanan dan takjub Maryam atas berita yang didapatinya itu.

قالَت أَنّىٰ يَكونُ لي غُلامٌ وَلَم يَمسَسني بَشَرٌ وَلَم أَكُ بَغِيًّا

Sahih International

She said, “How can I have a boy while no man has touched me and I have not been unchaste?”

Malay

Maryam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat?”

قَالَتْ

Maryam berkata:

Selepas mendengar berita dari Jibrail itu, tentulah Maryam kehairanan. Kalau kita di tempat beliau pun, tentu lagi terkejut. Maka jangan hairan sangat dengan kata-kata beliau ini.

أَنَّىٰ يَكُونُ لِي غُلَامٌ

Bagaimana akan ada bagiku seorang anak laki-laki,

Seperti telah disebut sebelum ini, bukanlah ini bermakna Maryam tidak percaya dengan berita yang telah disampaikan kepadanya itu. Kerana dia sudah percaya bahawa itu adalah Jibrail, seorang malaikat dan dia pun tahu bahawa seorang malaikat tidak akan menipu. Dia cuma mahukan maklumat lanjut lagi.

Dan dia mungkin hendak meneruskan percakapan dengan Jibrail. Kerana dia sedang mendapat peluang bercakap dengan seorang malaikat yang selama ini dia hanya dengar cerita sahaja.  Macam kita juga, kalau dapat jumpa dengan orang yang kita hormati dan sayangi, kita tentu tidak melepaskan peluang untuk bercakap-cakap lama dengan mereka. Kita akan memanjangkan percakapan dengan mereka. Kita akan tanya mereka macam-macam.

وَلَمْ يَمْسَسْنِي بَشَرٌ

sedangkan tidak pernah seorang lelaki pun menyentuhku;

Maksudnya Maryam tidak ada suami yang dia ada hubungan badan. Bukanlah tiada lelaki tak sentuh dia. Sebab tentu dia ada ayah yang pernah peluk dia. ‘Sentuh’ dalam ayat ini bermaksud ‘bersetubuh’. Tapi Qur’an tidak menggunakan perkataan ‘bersetubuh’. Jadi, ayat ini nak kata bahawa dia tidak berkahwin lagi.

Lihatlah bahasa lembut yang digunakan oleh Qur’an. Jadi Qur’an ini tidak malu untuk dibaca di khalayak ramai, boleh juga dibaca oleh kanak-kanak kerana bahasanya yang tidak lucah. Kalau kitab agama lain, kita pun malu nak baca.

Maka ini mengajar kita, kita pun kenalah cakap berlapik. Tidaklah elok kalau menggunakan bahasa yang terlalu terbuka. Bahasa menunjukkan kebudayaan kita.

وَلَمْ أَكُ بَغِيًّا

dan aku bukan pula seorang perempuan jahat!

Kalimah بَغِيًّا diambil dari kata dasar yang bermaksud ‘melampau’. Perkataan تغيان digunakan untuk mereka yang melampau dalam hal agama sampaikan mereka melakukan perkara syirik. Iaitu melampau dalam perhubungan dengan Allah. Seperti digunakan untuk menjelaskan tentang Firaun.

Perkataan بَغِيًّا pula dalam ayat ini adalah melampau dalam hal sosial, dalam suasana masyarakat. Iaitu tentang perhubungan manusia dengan manusia. Jikalau seseorang berzina, bermakna dia telah melakukan بَغِيًّا. Iaitu suatu perbuatan yang masyarakat biasa pun tidak terima.

Kalimah بَغِيًّا adalah perkataan yang dari segi nahu adalah dalam bentuk lelaki kerana tidak masuk akal untuk perempuan buat perkara ini. Sampaikan tidak ada perkataan untuk menjelaskan perkara ini dalam bentuk perempuan.

Perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah أَكُ . Perkataan yang sepatutnya dan biasa digunakan adalah أكن. Huruf ن dibuang sebagai isyarat bahawa Maryam langsung tidak buat perkara itu seperti juga huruf ن tidak ada dalam perkataan ini. Ini dari sudut balaghah.


Ayat 21:

قالَ كَذٰلِكِ قالَ رَبُّكِ هُوَ عَلَيَّ هَيِّنٌ ۖ وَلِنَجعَلَهُ آيَةً لِلنّاسِ وَرَحمَةً مِنّا ۚ وَكانَ أَمرًا مَقضِيًّا

Sahih International

He said, “Thus [it will be]; your Lord says, ‘It is easy for Me, and We will make him a sign to the people and a mercy from Us. And it is a matter [already] decreed.’ ”

Malay

Dia menjawab: “Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: Hal itu mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya.

قَالَ كَذَٰلِكِ

Jibrail berkata: Demikianlah;

Jibrail berkata Maryam akan dapat anak itu seperti keadaannya sekarang. Tidak perlu Maryam disentuh oleh lelaki untuk mendapatkan anak. Sama juga kepada Nabi Zakaria, tidak perlu diubah keadaan Nabi Zakaria dan isterinya yang tua untuk Allah memberi anak kepadanya.

Allah tidak memerlukan penyebab (asbab) untuk menjadikan sesuatu apa pun. Allah jadikan terus dengan kehendakNya. Bukan macam kita yang memerlukan alat, sebab dan sebagainya, barulah sesuatu itu terjadi.

قَالَ رَبُّكِ هُوَ عَلَيَّ هَيِّنٌ

Rabbmu berfirman, “Hal itu adalah mudah bagi-Ku;

Mudah sahaja bagi Allah hendak mencipta makhluk tanpa ada bapa. Senang sangat sampai tidak memerlukan usaha pun. Kalau manusia, kita boleh kata: “senang sangat sampai tak berpeluh pun.” Kerana Dia adalah Allah dan Dia maha berkuasa.

Perkataan yang sama telah digunakan sebelum ini dengan kisah Nabi Zakaria. Begitulah ada perkataan yang diulang-ulang dalam Qur’an. Kerana sejarah juga berulang-ulang.

وَلِنَجْعَلَهُ آيَةً لِلنَّاسِ

dan agar dapat Kami menjadikannya suatu tanda bagi manusia;

Allah menjadikan Nabi Isa sebagai tanda kekuasaanNya yang boleh mencipta apa sahaja. Ia menjadi hujjah kepada setiap manusia setiap zaman. Allah telah mencipta Adam tanpa ayah dan ibu; Allah telah mencipta kebanyakan manusia dari ayah dan ibu; dan sekarang Allah telah menunjukkan contoh bagaimana seorang manusia boleh dilahirkan tanpa ayah.

Kalimah آيَةً bermaksud ‘tanda yang jelas’. Tanda yang kita tak boleh abaikan. Tak boleh kata kita tak nampak sebab jelas sangat. Sebab ianya sudah di depan mata kita. Kalau yang tak nampak tu, sengaja buat tak nampak sahaja.

Ia juga bermakna tanda yang menunjuk kepada sesuatu. Macam papan tanda jalan yang jelas di jalan raya untuk membantu kita dalam perjalanan kita. Tanda jalan itu besar, siap ada lampu lagi.

Maka آيَةً adalah tanda ‘menuju kepada Allah’. Tanda itu bukanlah tujuan kita. Tujuan kita adalah Allah. Kalau kita atas jalan raya, tanda jalan adalah sebagai penunjuk kepada destinasi kita sahaja, bukan kita hendak pergi kepada papan tanda itu. Jadi ingatlah bahawa tujuan kita adalah kepada Allah.

Dan آيَةً ini adalah لِلنَّاسِ (untuk seluruh manusia). Bukan untuk orang beriman sahaja. Ditujukan kepada seluruh manusia, sama ada orang Islam atau tidak, beriman atau tidak.

Perkataan آيَةً itu dalam bentuk umum. Supaya boleh digunakan dalam banyak keadaan. Ini kerana manusia mendapat tanda dengan cara berbeza-beza. Lain orang lain cara dia mendapat tanda. Dan juga bermakna ianya adalah tanda bukan hanya kepada orang Islam tapi kepada orang yang bukan Islam juga.

وَرَحْمَةً مِنَّا

dan sebagai rahmat dari Kami;

Perkataan رَحْمَةً ini juga dalam bentuk umum. Kerana rahmat diberikan dalam berbagai-bagai cara. Antara rahmat itu adalah Nabi Isa satu hari nanti akan dibangkitkan dan akan mengajar agama menggunakan Qur’an dan syariat Nabi Muhammad.

Ada orang yang mempercayai kewujudan Allah walaupun tiada tanda apa-apa. Kerana mereka begitu rapat dengan fitrah mereka. Kerana fitrah manusia sudah mengenal Allah sejak dari alam roh lagi. Mereka tidak memerlukan keajaiban untuk mereka jadi beriman.

Tapi ada juga yang memerlukan tanda. Kadang-kadang kerana sesuatu tanda lah yang menyebabkan mereka ada yang masuk Islam. Mungkin pernah mereka berdoa minta Tuhan (mereka sebut tuhan dalam bentuk umum) memberikan suatu tanda kepada mereka, dan tidak lama kemudian mereka mendapat tanda yang mereka cari-cari itu. Tanda itu boleh jadi dalam berbagai bentuk.

Tapi kepada yang tidak memerlukan tanda pun, apabila mereka diberi dengan tanda yang membenarkan pemahaman mereka, ianya adalah satu rahmat kepada mereka. Kerana kadang-kadang apabila yang beriman diberikan ujian dan dugaan, apabila tanda-tanda Allah diberikan, ianya akan memberi ketenangan dan menambahkan imam kepada mereka.

Sebagai contoh, untuk kita yakin bahawa Allah mengabulkan doa hambaNya, kita mungkin boleh berdoa yang ringan-ringan dahulu. Kita mungkin boleh berdoa supaya kita diberikan tempat parkir di tempat kerja kita. Apabila kita sampai ke tempat kerja kita, telah tersedia tempat parkir di tempat yang selalunya tidak ada parkir. Itu adalah sebagai satu tanda bahawa Allah mendengar kita dan mengabulkan doa kita. Dan ini menambah iman kita.

Jangan lupa bahawa ianya juga adalah rahmat kepada Maryam juga. Mendapat anak adalah satu rahmat yang amat besar. Tambahan pula kalau anak itu adalah seorang Nabi. Tentulah ianya adalah rahmat yang amat besar bagi Maryam.

وَكَانَ أَمْرًا مَقْضِيًّا

dan hal itu adalah suatu perkara yang sudah diputuskan;

Allah menekankan yang perkara ini tidak boleh disekat lagi kerana ianya adalah satu keputusan dari Allah sendiri. Sama ada Maryam suka atau tidak, ianya tetap akan terjadi.

Macam juga qadi atau hakim, kalau dia sudah buat keputusan, kita kena ikut. Sebab kalau tak ikut, kita sudah langgar undang-undang negara. Hakim boleh pakai polis nak jalankan keputusan dia. Tambahan pula مَقْضِيًّا dalam ayat ini adalah keputusan Allah. Kalau keputusan manusia pun ada yang kena ikut tanpa rela, tambahan lagi kalau keputusan dari Allah. Kalau Allah sudah buat keputusan, ianya akan terjadi – kun fayakun.

Jadi, ianya adalah sebagai satu pujukan kepada Maryam. Dia tidak boleh menolak kalau pun dia tidak suka atau tidak sanggup menghadapinya. Dia kena terima hakikat bahawa dia akan melahirkan anak. Dia kena bersedia dengan emosi dan fizikal untuk menghadapinya.

Dari segi emosi, kalau kita sudah tahu yang kita tidak ada pilihan lain, kita akan bersedia untuk menghadapinya. Kerana kalau kita rasa kita ada peluang untuk menghalang ianya dari terjadi, maka kita akan luangkan tenaga dan fikiran untuk menghalangnya. Tapi kalau memang kita sudah tahu perkara itu tidak boleh dihalang, kita boleh fokus untuk menghadapinya dengan rela.


Ayat 22:

۞ فَحَمَلَتهُ فَانتَبَذَت بِهِ مَكانًا قَصِيًّا

Sahih International

So she conceived him, and she withdrew with him to a remote place.

Malay

Maka Maryam hamilah mengandungnya, lalu dia memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh.

فَحَمَلَتْهُ

Maka Maryam mengandungnya;

Apabila Jibrail meniup kepada Maryam, terus sahaja Maryam mengandung. Jibrail tidak sentuh pun Maryam. Jibrail telah meniup ruh ke dalam lengan baju Maryam dan roh itu turun mengalir ke faraj Maryam. Ini bermakna, Roh ciptaan Allah terus dimasukkan ke dalam tubuh Maryam.

Maka Maryam terus mengandung. Mengandung itu pada peringkat hendak beranak. Kalau keadaan biasa, sarat mengandung sembilan bulan. Tapi, Maryam terus mengandung dan hampir sedia untuk melahirkan anak itu.

Tapi ada juga pendapat yang mengatakan Maryam mengandung selama sembilan bulan seperti manusia biasa juga. Dan ada juga riwayat yang mengatakan beliau mengandung selama 40 hari. Allahu a’lam.

فَانْتَبَذَتْ بِهِ

lalu dia mengasingkan diri dengan kandungannya;

Apabila Maryam berasa hendak bersalin, maka Maryam telah pergi ke tempat lain.

Perkataan فَانْتَبَذَتْ ini telah digunakan sebelum ini. Kali ini ditambah بِهِ. Penggunaan ب dalam ayat بِهِ ini adalah penggunaan ‘sebab’. Bermakna, Maryam mengasingkan diri *kerana* kandungannya itu. Kenapa beliau mengasingkan diri?

Untuk memahami sebabnya, kita kena lihat kembali siapakah Maryam itu. Maryam adalah anak yang baik. Sepanjang hidupnya beliau berada atas jalan agama – dia tinggal di masjid, belajar agama dan sebagainya. Dan kita pun sudah tahu yang dia biasa dapat makanan terus dari Allah. Ibubapanya juga adalah orang yang baik. Kerana itulah ibunya memberikan beliau kepada jalan agama. Dia pula dijaga oleh bapa saudaranya Nabi Zakaria, seorang Nabi yang mulia. Jadi bayangkan kedudukannya di mata masyarakat.

Tapi apakah akan terjadi apabila beliau melahirkan anak tanpa seorang bapa? Beliau tahu apa yang akan terjadi. Dia terima dengan rela apa yang terjadi. Dia telah percaya bahawa yang datang kepadanya itu adalah seorang malaikat dan apa yang terjadi adalah atas kehendak Allah. Dia sanggup untuk menerima kesan dari kejadian yang telah ditentukan oleh Allah itu – mendapat anak tanpa ayah. Tapi bagaimana dengan orang lain?

Maka kerana itulah Maryam terpaksa mengasingkan diri. Dia hendak menyelamatkan keluarganya dan pengasuhnya (Nabi Zakaria) daripada dicemuh orang. Dia pun tahu masyarakat macam mana. Manusia akan mengata tentang orang lain tanpa ilmu. Senang sekali mereka hendak menyalahkan orang lain. Manusia bukan sahaja akan mencemuhnya tapi kepada keluarga dan pengasuhnya juga.

Dia tak mahu jadi macam itu nanti. Dia juga tidak mahu mencemarkan nama agama. Orang akan kata: “orang agama pun macam itu, tak boleh percaya!” Nanti mereka akan menyalahkan ibubapa dan gurunya Nabi Zakaria. Jadi, Maryam pergi jauh itu kerana hendak menjaga nama baik ahli keluarganya dan juga nama baik agama. Dia tidak mahu kerananya, nama yang lain akan terpalit.

Pengajaran untuk kita adalah jangan kita jangan jadi salah seorang dari masyarakat yang macam itu. Jangan kita mengata orang lain tanpa kita usul periksa, tanpa kita tahu kedudukan yang sebenar sesuatu perkara itu. Kita sangka kita sahaja yang baik sampaikan kalau ada orang lain yang buat salah, kita caci mereka dan kutuk mereka tanpa usul periksa.

Dan ini juga mengajar kita: kalau kita orang agama, kenalah kita jaga nama baik kita. Supaya jangan memburukkan nama Islam. Sebab kita seperti mewakili agama. Ikutlah Sunnah Maryam ini. Jangan kita buat perkara-perkara yang boleh menyebabkan orang memburuk-burukkan Islam. Antaranya mereka akan berkata: “lihatlah Islam itu bukan agama yang baik, kerana orang-orang Islam tidak baik sama sekali.” Malangnya, begitulah yang terjadi sekarang: ramai non-Muslim mengatakan mereka tidak teringin nak masuk Islam kerana melihat perangai buruk Muslim.

مَكَانًا قَصِيًّا

ke tempat yang jauh;

Mengikut riwayat, Maryam telah pergi ke BaitulLaham. Dia pergi jauh ke balik bukit. Waktu itu, tempat itu tidak ada orang. Sekarang ianya adalah tempat yang terkenal kerana dikenali sebagai tempat kelahiran Nabi Isa.

Tapi dalam ayat yang lain, ada disebutkan bagaimana Allah telah membawa Maryam ke tempat yang tinggi dan ada air. Ini ada disebut dalam Mu’minoon:50.

وَجَعَلنَا ابنَ مَريَمَ وَأُمَّهُ آيَةً وَآوَيناهُما إِلىٰ رَبوَةٍ ذاتِ قَرارٍ وَمَعينٍ

Dan telah Kami jadikan (Isa) putera Maryam berserta ibunya suatu bukti yang nyata bagi (kekuasaan Kami), dan Kami melindungi mereka di suatu tanah tinggi yang datar yang banyak terdapat padang-padang rumput dan sumber-sumber air bersih yang mengalir.

Begitulah Allah menjaga Maryam. Kerana seperti kita tahu, seorang wanita yang mengandung dan hendak melahirkan anak, emosi mereka tidak boleh tertekan. Kerana kalau tertekan, akan menyebabkan kandungan mereka terganggu. Maka Allah telah memberi tempat yang selesa dan yang boleh menenangkan beliau.

Kalimah قَصِيًّا bermaksud ‘jauh’, di hujung sesuatu. Dalam Yaasin:20 ada digunakan kata ini. Perkataan yang digunakan dalam ayat itu adalah  أَقْصَى الْمَدِينَةِ. Maksud ayat itu adalah ‘hujung bandar’. Dan kalimah قَصِيًّا dalam surah Maryam ini digunakan dari segi bahasa Arab dalam bentuk ‘sangat’. Maksudnya sangat jauh.

Selalunya apabila seorang wanita hampir hendak bersalin, dia akan bersama keluarganya. Ramai yang akan memberi bantuan dan sokongan. Tapi lihatlah apa yang Maryam kena hadapi. Dia terpaksa membawa dirinya keseorangan, dalam keadaan sarat hendak melahirkan anak.

Waktu itu, tentulah beliau dalam kesakitan dan lemah yang amat. Tapi dia meneruskan juga perjalanannya ke tempat yang jauh kerana hendak menjaga nama baik agama dan keluarganya. Lihatlah kekuatan semangatnya. Luluh hati kita apabila membaca kisah beliau.


Ayat 23:

فَأَجاءَهَا المَخاضُ إِلىٰ جِذعِ النَّخلَةِ قالَت يا لَيتَني مِتُّ قَبلَ هٰذا وَكُنتُ نَسيًا مَنسِيًّا

Sahih International

And the pains of childbirth drove her to the trunk of a palm tree. She said, “Oh, I wish I had died before this and was in oblivion, forgotten.”

Malay

(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!

فَأَجَاءَهَا الْمَخَاضُ

Maka sakit beranak itu memaksanya pergi;

Apabila sudah sakit, Maryam sudah tidak boleh berdiri sendiri. Waktu itu dia terpaksa mencari tempat berlindung dan menampung dirinya. Kalimah أَجَاءَ bermaksud ‘memaksa untuk pergi’. Kalau perkataan جَاءَ, ia bermaksud ‘datang’. Tapi perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah أَجَاءَ. Kesakitan untuk bersalin telah memaksa Maryam untuk pergi. Pergi ke mana? Allah sebut dalam bahagian seterusnya.

Kalimah الْمَخَاضُ diambil dari kata dasar yang bermaksud ‘air dalam bekas yang digoncang’. Ayat ini hendak membayangkan pergerakan anak dalam rahim ibu. Iaitu air ketuban dalam perut ibu itu yang terasa goncangannya yang kuat. Atau untuk menceritakan sakit kontraksi dalam perut apabila hendak bersalin. Jadi, sakit hendak bersalin itu telah memaksanya pergi ke suatu tempat.

إِلَىٰ جِذْعِ النَّخْلَةِ

ke pangkal sebatang pohon tamar;

Ada riwayat yang kata pohon kurma itu sudah tua dan mati. Tapi dihidupkan kembali oleh Allah.

Ahli tafsir berbeza pendapat tentang kedudukan tempat ini. Ada riwayat yang mengatakan bahawa tempat ini adalah di BaituLaham (Bethelhem). Inilah juga kepercayaan orang Kristian. Oleh itu, tempat itu adalah satu tempat yang mulia kepada mereka.

Kenapa Maryam pergi ke sana? Untuk bersandar kerana dia sedang sakit  mendapatkan sokongan. Bayangkan Maryam dalam keadaan sakit yang amat sangat waktu itu. Dalam dia berseorangan sahaja, tanpa ada sesiapa yang bersamanya yang boleh menolongnya.

قَالَتْ يَا لَيْتَنِي

dia berkata alangkah baiknya kalau;

Ini adalah kata-kata seorang perempuan yang tidak tahu lagi nak cari jalan penyelesaian. Dia dalam keadaan yang susah, sampaikan mulutnya menyebut perkara ini.

Dia rasa terkesan dengan apa yang sedang terjadi padanya. Tapi kenapa sampai jadi macam begitu sekali? Tidakkah dia redha dengan apa yang terjadi kepadanya? Bukankah kita telah belajar bahawa Maryam adalah orang ahli agama? Tidakkah dia sepatutnya redha dengan apa yang terjadi kepadanya?

Ini mengajar kita supaya jangan cepat menuduh orang lain kalau kita tidak faham apakah situasi yang dihadapi oleh seseorang itu. Kita tidak berada dalam kedudukannya waktu itu.

Kita tahu bahawa dia adalah manusia yang kuat dan tegar imannya. Tapi sekarang dia sudah hampir sangat melahirkan anaknya itu. Dia juga adalah manusia biasa yang terkesan dengan kejadian-kejadian yang menimpa dirinya.

مِتُّ قَبْلَ هَٰذَا

aku mati sebelum ini;

Dia berhadap supaya dia tidak pernah dihidupkan. Kerana dia sudah dapat agak apa yang orang ramai akan kata kalau mereka tahu tentang perkara ini. Jadi dia harap dia mati sebelum dia jadi macam itu.

Sebab dia risau yang dia akan terpaksa menghadapi manusia-manusia yang tentunya akan mengata macam-macam. Kalau dia tidak pernah dilahirkan, dia tidak perlu mengadap perkara ini.

وَكُنْتُ نَسْيًا

dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang

Kalimah نَسْيًا dari kata makna yang bermaksud ‘perkara yang senang kita lupa’. Macam barang-barang kecil yang kita lupa nak bawa. Contohnya, bila sudah dalam perjalanan ke tempat kerja, barulah kita nak perasan ada dokumen yang kita tertinggal kat rumah. Ataupun kita lupa nak bawa sapu tangan kita. Kerana ianya bukanlah perkara yang penting, perkara kecil sahaja, maka kita senang lupa.

مَنْسِيًّا

tidak dikenang-kenang!;

Itulah kata-kata yang keluar dari mulut Maryam. Memang kadang-kadang orang yang mengandung akan cakap macam-macam. Ada yang menyumpah dan menyalahkan suaminya pun ada juga. Maka jangan kita pandang serong kepada Maryam.

Kalimah مَنْسِيًّا digunakan untuk menguatkan harapan supaya dia dilupakan. Memang dia berharap dia dilupakan *sungguh*. Dia berharap supaya tidak ada sesiapa yang akan ingat kepadanya seperti dia tidak pernah wujud. Kadang-kadang kita lupa sesuatu, kita sampai lupa bahawa ada benda yang kita lupa. Sebab kita tak kisah sangat perkara itu. Itulah lebih kurang maksud perkataan ini.

Lihatlah kepada sifat kudus Maryam. Dia sanggup tidak jadi apa-apa, selagi dia tidak menyebabkan orang lain susah dengan sebab dia. Dia rela berkorban. Dia sanggup tidak lahir, tidak dikenali, tidak diingati dari maruahnya tercalar. Ini mengajar kita bahawa kita kalau kita orang agama, yang dijadikan contoh oleh orang lain, kenalah menjaga nama baik kita, kenalah menjaga maruah kita. Kerana kita bukan sahaja mewakili diri kita sahaja, tapi mewakili agama juga.

Satu lagi perkara dalam ayat ini adalah tentang hukum minta mati. Adakah boleh? Ia sebenarnya dilarang. Kerana kita minta mati itu kerana kita tidak redha dengan apa yang Allah telah berikan kepada kita sampai kita minta mati. Dan tidak redha dengan pemberian Allah adalah sesuatu yang salah.

Tapi Nabi pernah mengajar kita satu doa meminta Allah meneruskan hidup kita dan mengambil nyawa kita kalau itu lebih baik. Ulama juga membincangkan bagaimana terdapat larangan mengharapkan kematian kecuali ketika terjadi fitnah yang besar.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

لاَ يَتَمَنَّيَنَّ أَحَدٌ مِنْكُمُ المَوْتَ لِضُرٍّ نَزَلَ بِهِ، فَإِنْ كَانَ لاَ بُدَّ مُتَمَنِّيًا لِلْمَوْتِ فَلْيَقُلْ: اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتِ الحَيَاةُ خَيْرًا لِي، وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتِ الوَفَاةُ خَيْرًا لِي

“Janganlah salah seorang di antara kalian berangan-angan untuk mati kerana musibah yang menimpanya. Kalau memang harus berangan-angan, hendaknya dia mengatakan, “Ya Allah, hidupkanlah aku jika kehidupan itu baik untukku. Dan matikanlah aku jika kematian itu baik bagiku.” (HR. Bukhari no. 6351, 5671 dan Muslim no. 2680)

Maknanya, kalau terpaksa berdoa untuk minta mati pun, kenalah berlapik doa itu seperti yang diajar oleh Rasulullah ini.

Satu lagi perkara yang kita boleh ambil dari kata-kata Maryam ni adalah tentang doa. Seperti yang kita tahu, doa beliau makbul. Sampaikan boleh dapat makanan dari langit. Tapi sekarang beliau berdoa, adakah dimakbulkan? Tentu tidak.

Maka kita kena sedar yang bukannya semua doa dimakbulkan. Kalau doa Maryam yang makbul doanya pun tidak semua dimakbulkan, apatah lagi kita? Maka kita kena bersabar dalam berdoa. Mungkin Allah tidak beri kepada kita kerana Dia tahu ianya tidak baik untuk kita. Akal kita tidak dapat mencapai maksud Allah, tapi kenalah kita serahkan kepada Allah.


Ayat 24:

فَناداها مِن تَحتِها أَلّا تَحزَني قَد جَعَلَ رَبُّكِ تَحتَكِ سَرِيًّا

Sahih International

But he called her from below her, “Do not grieve; your Lord has provided beneath you a stream.

Malay

Lalu dia diseru dari sebelah bawahnya:” Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai.

فَنَادَاهَا مِنْ تَحْتِهَا

Maka dia menyerunya dari tempat yang lebih rendah;

Siapakah yang menyeru Maryam dari bawah itu? Ulama berbeza pendapat. Ada pendapat yang mengatakan bahawa yang menyeru itu adalah Jibrail. Maryam ada di atas bukit dan Jibrail ada di bawah bukit. Jibrail telah mengikut Maryam dari tempat sebelum itu. Jibrail lah yang memandunya ke tempat itu. Pendapat yang jumhur mengatakan bahawa yang menyeru Maryam itu adalah Jibrail.

Tapi ada juga pendapat yang mengatakan bahawa yang menyerunya itu adalah Nabi Isa. Ini tidak menghairankan kerana salah satu mukjizat Nabi Isa adalah bercakap dari masa bayi lagi. Ini juga tidak menghairankan kerana Allah mampu berbuat apa sahaja. Tapi, pendapat jumhur adalah ianya Jibrail. Kerana mereka mengatakan bahawa Nabi Isa hanya mula bercakap apabila mereka berdua menemui kaum mereka.

Kata مِنْ تَحْتِهَا menunjukkan bagaimana Jibrail menghormati maruah Maryam. Dia bercakap dari bawah. Begitulah kita kena menghormati orang lain. Kalau orang tidak selesa kita dekat dengan mereka, kita kena hormati. Kena duduk jauh sedikit dan memberi ruang kepada orang lain.

أَلَّا تَحْزَنِي

Janganlah kamu bersedih hati;

Jangan sedih kerana kamu adalah orang yang mulia dan telah diberi kelebihan oleh Allah. Nama kamu akan disebut-sebut manusia sampai bila-bila. Dan jangan bersedih kerana Allah akan menjaga kamu. Memang kamu merasa tertekan sekarang. Tapi ketahuilah bahawa Allah akan menguruskan supaya kamu akan dijaga. Ini adalah pujukan kepada Maryam.

قَدْ جَعَلَ رَبُّكِ تَحْتَكِ سَرِيًّا

sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai;

Maryam telah berhenti di padang pasir. Kebanyakan mufassir mengatakan bahawa maksud سَرِيًّا adalah ‘anak sungai’. Memang ada hadis yang mengatakan bahawa ianya adalah anak sungai. Walaupun hadis itu tidak kuat, tapi ianya boleh dipakai. Ianya lebih baik lagi kalau kita gunakan hadis yang dhaif untuk menafsir ayat Qur’an dari hanya menggunakan akal sahaja. Dan dikuatkan lagi dengan ayat 50 dari Surah Mu’minoon.

Bayangkan keadaan Maryam ketika itu. Maryam sudah risau di mana kah dia boleh mendapatkan air. Anak sungai itu tidak ada sebelum itu. Allah jadikan anak sungai itu kerana Allah akan menyediakan segala kemudahan yang diperlukan oleh Maryam. Kerana Allah telah takdirkan bahawa Nabi Isa akan lahir sebegitu dan dalam keadaan itu, maka Allah telah memudahkan Maryam.

Atau, anak sungai itu memang sudah ada tapi telah kering. Allah telah alirkan semula airnya.

Jadi, kita boleh terima bahawa sama ada sungai itu sudah ada, ataupun sungai itu diadakan apabila Maryam ke tempat itu. Keadaannya lebih kurang sama dengan air Zam-zam yang telah berikan kepada Hajar, ibu Nabi Ismail di Mekah.

Kalau begitu, sepatutnya manusia yang melihat kejadian sungai itu secara tiba-tiba, sepatutnya mereka mengetahui bahawa itu adalah satu tanda ajaib untuk membuktikan kebenaran kepada apa yang dikatakan Maryam nanti. Maka, ini juga adalah sebagai pujukan dan sesuatu yang dapat menenangkan hati Maryam.


Ayat 25: Dalam ayat sebelum ini, Allah sudah menyediakan minuman untuk Maryam. Sekarang, diberikan pula makanan. Lihatlah bagaimana Allah menjaga Maryam.

وَهُزّي إِلَيكِ بِجِذعِ النَّخلَةِ تُساقِط عَلَيكِ رُطَبًا جَنِيًّا

Sahih International

And shake toward you the trunk of the palm tree; it will drop upon you ripe, fresh dates.

Malay

Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.

وَهُزِّي إِلَيْكِ بِجِذْعِ النَّخْلَةِ

Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu;

Sekarang bayangkan orang yang baru beranak disuruh menggoyang pangkal pokok tamar. Kalau kita sendiri yang kuat pun goyang pokok itu tidak jadi apa-apa. Jadi ini sebenarnya adalah isyarat kepada usaha. Allah hendak melihat usaha kita dan seterusnya Dia akan bantu.

Perkataan هُزِّي itu bermaksud menggoyang sesuatu yang besar dan kuat. Maknanya, kena gunakan tenaga yang banyak. Kena goyang betul-betul, bukan macam goyang buaian anak-anak. Maknanya, usaha yang perlu Maryam keluarkan bukan usaha yang sedikit tapi kalau nak dikirakan ianya adalah usaha yang banyak. Kerana batang pokok tamar itu bukanlah kecil.

Sama ada Maryam diberikan dengan kekuatan luar biasa sehingga boleh menggerakkan batang pokok tamar itu atau dia hanya disuruh untuk menggoyangnya setakat yang dia mampu kerana Allah hendak melihat usaha kita. Kerana kalau difikirkan, kalau perempuan yang lemah nak goyang pokok itu tidak akan membuahkan hasil.

Ini mengajar kita tentang kepentingan usaha. Memang Allahlah yang menjadikan sesuatu perkara, tapi Allah mahu melihat usaha kita dahulu.

Perkataan إِلَيْكِ boleh bermaksud ‘ke arah engkau’ atau boleh juga bermaksud ‘untuk engkau’ – iaitu tujuan engkau disuruh menggoyang pokok tamar itu adalah untuk kepentingan engkau sendiri. Supaya dia tahu bahawa apa yang dia kena lakukan itu adalah untuk kebaikan dirinya sendiri.

Kalau ikut logik, tidaklah sesuai untuk seorang wanita yang baru melahirkan anak untuk menggoyang sebatang pokok tamar, tapi ini juga mengajar kita bahawa, kita kena ikuti arahan Allah, walaupun kita tidak faham kenapakah Allah suruh Maryam buat begitu, tapi kita kena ikut arahan daripada Allah dengan tanpa soal lagi.

Pengajaran besar yang kita boleh ambil dari ayat ini adalah, kita kena berusaha untuk mendapatkan rezeki. Kerana apa yang disuruh Maryam lakukan itu adalah usaha untuk mendapatkan rezeki yang Allah telah sediakan. Tapi untuk mendapatkannya, kena usaha. Allah boleh beri apa sahaja kepada kita, tapi kenalah kita juga menunjukkan usaha kita. Kena ada sebab musabbab. Itu adalah Sunnah para Nabi.

Kita tidak diajar untuk bertawakal sahaja tanpa ada usaha. Kita kena berusaha dan kemudian baru kita bertawakal. Itulah makna tawakal. Bukan tidak buat apa-apa, tapi kata kita bertawakal sahaja. Ada orang yang tidak faham, mereka hanya berdoa sahaja.

Jadi tidak salah kita meluangkan masa untuk pergi ke tempat kerja kita kerana ianya adalah satu perbuatan yang benar, kerana itu adalah apa yang Allah hendak kita lakukan. Kita pergi keluar kerja untuk mencari rezeki. Rezeki itu pula adalah untuk kelangsungan hidup kita dan keluarga kita. Maka ianya adalah perbuatan yang terpuji.

Maka jangan kita rasa bersalah kalau kita bekerja. Kita kena pandai membahagikan waktu antara kerja dan mengerjakan ibadat. Kerana ada waktu untuk buat kerja dan ada waktu untuk beribadat.

تُسَاقِطْ عَلَيْكِ رُطَبًا جَنِيًّا

akan gugur kepadamu buah tamar yang masak ranum;

Maryam diajar untuk makan ‘rutab’. Maka, sesiapa yang baru beranak, seeloknya makan buah tamar untuk menyihatkan diri. رُطَبًا adalah buah kurma yang masak, bukan yang kering. Ianya adalah buah tamar yang segar. Seeloknya yang masih basah lagi. Inilah yang diajar kepada kita dalam Qur’an sendiri. Kalau tamar segar tidak ada, mungkin kita boleh juga gunakan tamar yang kering.

Kalimah جَنِيًّا bermaksud ‘sudah sedia untuk dipetik dan dimakan’. Ianya masih lagi di tangkai pokok, bukan yang sudah jatuh ke tanah. Itu adalah buah yang baik sekali. Tinggal nak ambil sahaja.

Perkataan تُسَاقِطْ bermaksud ‘akan gugur’. Tapi dari segi nahu, ianya membawa maksud akan gugur berkali-kali. Bukan untuk sekali makan sahaja. Apabila Maryam perlukan makanan lagi, dia hanya perlu goncang pokok tamar itu sahaja.

Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 30 April 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Shaikh Nasir Jangda

Ibnu Kathir

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s