Ini adalah sambungan daripada perbincangan Ayat 4 sebelum ini.
Apakah hubungan ayat ini dengan ayat sebelumnya? Dalam ayat sebelum ini, Allah ﷻ menyebut dua sifat-Nya: ar-Rahman dan ar-rahim. Itu adalah sifat Allah ﷻ yang utama, iaitu Allah ﷻ menyebut tentang belas kasihan Allah ﷻ kepada makhluk-Nya. Kemudian selepas Allah ﷻ menyebut dua sifat-Nya itu, terus Allah ﷻ memperkenalkan sifat Diri-Nya yang maha berkuasa pada hari Kiamat nanti.
Memang Allah ﷻ bersifat belas kasihan, namun walaupun begitu, umat akan berada dalam ketakutan juga pada hari Kiamat itu. Kerana harus diingatkan, sifat Allah ﷻ bukan hanya belas kasihan sahaja, tetapi ada sifat-sifat Allah ﷻ lain yang keras. Hari Kiamat adalah satu kejadian yang amat menakutkan. Lebih-lebih lagi kepada orang kafir. Walaupun begitu, kepada orang mukmin pun akan berasa takut yang amat juga.
Ini kerana Hari Kiamat itu adalah dalam keadaan yang amat-amat menakutkan. Kita yang orang Islam ini pun belum tahu nasib kita bagaimana. Jangan kita berharap semata kepada sifat Rahman dan Rahim Allah ﷻ itu sampai kita berasa senang hati pula.
Dalam Al-Qur’an, Allah ﷻ mengaitkan nama-Nya ar-Rahman, namun Dia masih juga menyebut bagaimana makhluk pada waktu hari kiamat akan tunduk diam dan khusyuk. Ini ada disebut dalam Taha: 108
يَوْمَئِذٍ يَتَّبِعُونَ الدَّاعِيَ لَا عِوَجَ لَهُ وَخَشَعَتِ الْأَصْوَاتُ لِلرَّحْمَٰنِ فَلَا تَسْمَعُ إِلَّا هَمْسًا
Pada hari itu mereka menurut seruan panggilan yang menyeru. Mereka dengan tidak dapat melencong daripada menurutnya; dan diam khusyuklah segala suara kepada Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya sehingga engkau tidak mendengar melainkan bunyi yang amat perlahan.
Akan tetapi kita jangan terkeliru, pada hari Kiamat itu, Allah ﷻ memang akan menunjukkan rahmah-Nya juga. Bukanlah tidak ada langsung sifat Rahman dan Rahim Allah. Seperti yang kita tahu, pada hari itu, hanya Dia sahaja berkuasa. Sifat rahmah-Nya masih ada di situ. Mungkin kita tidak berapa nampak di mana pertama, amalan baik manusia akan dibalas dengan banyak.
Bukan sahaja dibalas setiap satu kebaikan itu, malah akan ditambah lagi. Langsung tidak tertinggal mana-mana amalan baik yang telah dilakukan. Kalau Allah ﷻ tidak bersifat rahmah, tentu akan ada balasan yang tidak diberikan dengan penuh. Kalau begitu, tentulah Allah ﷻ tidak adil.
Manusia memang mahukan keadilan. Oleh itu, berita ini akan memberikan kelegaan kepada mereka yang baik dan berbuat amalan soleh. Mereka akan dibalas atas perbuatan mereka. Bukan sahaja mereka akan dibalas dengan perbuatan baik mereka, tetapi Allah ﷻ akan menambah balasan itu berkali-kali ganda lagi. Kerana percaya kepada balasan baik itulah yang manusia akan buat perkara baik semasa di dunia.
Dan hasilnya kalau manusia beriman dan beramal soleh, dunia akan menjadi aman kerana manusia akan takut untuk berbuat kezaliman. Bayangkan kalau manusia tidak percaya tentang balasan akhirat, mereka akan berani buat apa sahaja mengikut nafsu mereka. Oleh itu, kebaikan itu bukanlah untuk orang itu sahaja, tetapi merangkumi kepada seluruh alam ini.
Pada hari Kiamat, tidak sama layanan Allah ﷻ untuk orang baik kalau dibandingkan dengan orang jahat. Orang baik akan mendapat layanan yang baik dan orang jahat akan mendapat layanan yang buruk. Oleh itu, hendaklah kita jangan buat sesuatu yang boleh memurkakan Allah ﷻ. Kita hendak Allah ﷻ bersifat Rahim dengan kita pada hari itu. Janganlah Allah ﷻ layan kita dengan kemurkaan seperti yang Allah ﷻ akan layan orang kafir nanti.
Allah ﷻ sebenarnya tidak memerlukan ibadat kita, maka kenapakah Allah ﷻ hendak balas kesalahan yang dilakukan oleh manusia? Untuk memahaminya, kita kena berikan perumpamaan kerajaan di dunia ini.
Bayangkan kalau satu-satu negara mempunyai seorang raja, dan raja itu telah meletakkan undang-undang yang perlu dipatuhi, bagaimana kalau ada rakyatnya yang melanggar undang-undang itu? Tentulah raja itu akan membalas orang itu dengan hukuman yang telah ditetapkan. Kalau raja itu tidak balas, ada tiga kemungkinan kenapa dia tidak balas:
-
- Raja itu tidak mampu untuk menjatuhkan hukuman kepada orang itu. Mungkin orang itu orang yang besar dan raja itu takut dengan orang itu. Atau raja itu tidak berkuasa penuh.
- Raja itu tidak tahu bahawa orang itu telah melanggar hukum. Mungkin dia melanggar hukum ketika waktu malam. Mungkin dia buat secara tersembunyi. Polis negeri itu pun tidak tahu. Atau dia melakukannya ketika tanpa saksi dan tidak ada yang melaporkannya.
- Raja itu suka dengan perbuatan orang itu yang melanggar hukum itu. Raja itu redha dengan perbuatan orang itu.
Maka, daripada perumpamaan ini, kita boleh boleh membuat kesimpulan: Kalau Allah ﷻ tidak membalas kejahatan manusia, kita boleh kata Allah ﷻ tidak balas itu kerana tiga perkara itu juga:
1. Allah ﷻ tidak mampu balas.
2. Atau Allah ﷻ tidak tahu perbuatan orang itu.
3. Atau Allah ﷻ suka dengan perbuatan orang itu.
Kita pun tahu, bahawa kesemua kemungkinan di atas adalah mustahil bagi Allah ﷻ. Allah ﷻ mampu untuk membalas, Allah ﷻ tidak takut langsung kepada sesiapa; Allah ﷻ maha tahu dengan perbuatan manusia, tidak kira di mana mereka melakukannya, bila mereka melakukannya; Allah ﷻ juga tidak redha dengan dosa yang dilakukan oleh makhluk-Nya itu kerana itu Dia sudah beri arahan dan ancaman bagi sesiapa yang tidak taat. Maka daripada ini, kita boleh tahu bahawa Allah ﷻ akan tetap membalas perbuatan dosa makhluk-Nya. Inilah keadilan namanya.
Oleh itu, apabila kita membaca ayat ini setiap hari, kita akan diingatkan bahawa setiap perbuatan kita ada kesannya. Ia boleh membawa kepada kesan baik kalau perbuatan kita itu baik dan ia boleh memberi kesan yang buruk kalau perbuatan itu adalah perbuatan dosa. Kita akan tetap dikenakan balasan walau bagaimanapun.
Ingatlah bahawa kita tidak boleh terlepas daripada hukuman Allah ﷻ itu. Kita tidak boleh merasuah Allah ﷻ seperti kita boleh rasuah penjaga undang-undang di dunia ini. Allah ﷻ tidak memerlukan apa-apa daripada kita untuk kita berikan kepada-Nya. Segala apa yang kita ada pun daripada Allah ﷻ juga. Kita hanya bawa iman dan amal kita sahaja.
Memang Allah ﷻ bersifat Maha pengampun dan Maha pemaaf. Namun Allah ﷻ juga boleh membalas. Allah ﷻ adalah مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ (Pemilik Hari Pembalasan). Allah ﷻ berkuasa untuk menghukum. Allah ﷻ berkuasa untuk menghukum dengan hebat sekali. Maka jangan kita berasa senang diri sahaja, seolah-olah kita pasti selamat. Janganlah kita melakukan dosa langsung kerana kita sangka hanya ingat kepada sifat Allah ﷻ yang maha pengampun.
Ini adalah kerana dalam kehidupan kita di dunia ini bukanlah untuk mengikut nafsu sahaja. Tidaklah hidup kita di dunia ini dijadikan sia-sia sahaja. Bukanlah saja-saja sahaja Allah ﷻ menjadikan kita. Seperti yang disebut dalam ayat Mukminoon: 115
أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ
“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?”
Allah ﷻ hendak melihat dan menilai apa yang kita lakukan dalam dunia ini. Allah ﷻ akan nilai sama ada perbuatan kita itu baik atau tidak. Ingatlah ayat مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ dalam Surah Fatihah ini. Kena sentiasa bersedia untuk menghadapi hari itu. Kena beramal baik dan menjauhkan diri daripada melakukan dosa. Kalau kita berdosa, cepat-cepat kita minta ampun.
Apabila kita gabungkan ayat ini dengan ayat pertama: ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ, ia akan mengingatkan kita supaya bukan hanya buat baik kepada diri kita sahaja dan kepada sesama manusia sahaja. Kita kena buat baik kepada seluruh alam. Ini kerana Allah ﷻ itu adalah rabb kepada ‘seluruh alam’. Semuanya dalam kerajaan Allah ﷻ.
Semua perbuatan kita akan dibawa ke hadapan Allah ﷻ sebagai saksi. Kalau kita ada buat salah dengan mkhluk lain seperti haiwan, maka haiwan itu akan dibawa sebagai saksi di atas perbuatan jahat kita itu. Kalau kita membuat salah kepada pokok, maka begitu juga ia akan menjadi saksi kita. Begitu juga kalau kita bertindak tidak baik dengan makhluk-makhluk yang lain. Maka, kita hendaklah sentiasa beringat.
Kita juga kena ingat bahawa balasan yang sebenarnya adalah di akhirat nanti. Bukan di dunia. Berapa banyak yang hidupnya susah semasa di dunia? Termasuk yang mengalami kesusahan itu adalah para Nabi. Walaupun mereka susah semasa di dunia, dengan segala dugaan yang hebat, tetapi mereka akan mendapat kebaikan yang banyak di akhirat kelak.
Ini kita kena sebut kerana ada fahaman yang kata kalau di dunia ini banyak nikmat, itu tanda mereka diberkati dan disayangi Tuhan. Itu adalah fahaman yang silap. Balasan sebenar adalah di akhirat nanti. Kalau kita mengalami kesusahan hidup di dunia, kita masih boleh berharap yang kita akan diberikan dengan balasan baik di akhirat kelak kalau kita beriman dan beramal soleh.
Ada kisah bagaimana orang yang paling malang hidupnya di dunia akan dicelupkan sekejap ke dalam syurga. Selepas dia diangkat semula, ditanya kepadanya, bagaimanakah kehidupannya di dunia dulu? Dia jawab dia tidak pernah kenal kesusahan. Dan seorang lelaki yang paling bernasib baik di dunia dicelupkan sekejap sahaja dalam neraka dan ditanyakan kepadanya tentang kehidupan di dunia dulu. Dia kata dia tidak pernah kenal kesenangan semasa di dunia dulu.
Daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Rasulullah ﷺ bersabda:
“ “ يُؤْتَى بِأَنْعَمِ أَهْلِ الدُّنْيَا مِنْ أَهْلِ النَّارِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُصْبَغُ فِي النَّارِ صَبْغَةً
ثُمَّ يُقَالُ يَا ابْنَ آدَمَ هَلْ رَأَيْتَ خَيْرًا قَطُّ هَلْ مَرَّ بِكَ نَعِيمٌ قَطُّ
فَيَقُولُ لاَ وَاللَّهِ يَا رَبِّ
وَيُؤْتَى بِأَشَدِّ النَّاسِ بُؤْسًا فِي الدُّنْيَا مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَيُصْبَغُ صَبْغَةً فِي الْجَنَّةِ
فَيُقَالُ لَهُ يَا ابْنَ آدَمَ هَلْ رَأَيْتَ بُؤْسًا قَطُّ هَلْ مَرَّ بِكَ شِدَّةٌ قَطُّ
فَيَقُولُ لاَ وَاللَّهِ يَا رَبِّ مَا مَرَّ بِي بُؤُسٌ قَطُّ وَلاَ رَأَيْتُ شِدَّةً قَطُّ ”.
Seseorang yang paling senang hidupnya di dunia daripada ahli neraka dibawa pada hari Kiamat lalu dicelup ke dalam neraka. Kemudian dikatakan kepadanya: Wahai anak Adam. Adakah engkau pernah melihat sebarang kesenangan? Adakah kenikmatan pernah muncul dalam hidup engkau? Orang itu menjawab: Tidak, demi Allah, wahai tuhanku.
Dibawakan pula seseorang yang paling susah hidupnya di dunia daripada ahli syurga, lalu dicelup ke dalam syurga. Lalu ditanya kepada beliau: Wahai anak Adam. Adakah engkau pernah melihat sebarang kesusahan? Adakah kesusahan pernah muncul dalam hidup engkau? Dia menjawab: Tidak, demi Allah, wahai tuhan ku. Tidak pernah kesusahan muncul dalam hidup ku dan tidak pernah aku melihat sebarang kesusahan.
(Sahih Muslim, Kitab Sifat al-Qiyamah wa al-Jannah wa an-Nar, no: 2807)
Ayat مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ini adalah satu ayat yang mempunyai makna targhib dan tarhib. Targhib adalah ayat-ayat yang menggalakkan kita untuk berbuat baik manakala tarhib adalah ayat-ayat yang menakutkan kita untuk berbuat jahat. Selalunya, satu-satu ayat itu ada elemen targhib sahaja atau tarhib sahaja. Jarang ada ayat yang ada dua-dua elemen.
Pada hari itu, Allah ﷻ akan mengadili orang beriman dengan ‘keadilan’ dan ‘rahmah’. Sebaliknya kepada kufur, hanya dengan ‘keadilan’ sahaja. Beza layanan Allah ﷻ kepada orang kafir dan orang Islam.
Akan tetapi ada juga orang beriman akan masuk neraka juga. Ini adalah kerana mereka beriman, tidak berbuat syirik, tetapi ada dosa-dosa yang mereka lakukan. Mereka akhirnya akan diselamatkan dari neraka. Maka sepatutnya neraka menakutkan kita dan kita sepatutnya berusaha untuk tidak memasukinya. Kita tidak mahu dengar, tidak mahu lihat, tidak mahu cium sedikit pun neraka itu. Kita minta dijauhkan sejauh-jauhnya dari neraka.
Ini menunjukkan pentingnya tidak syirik kepada Allah ﷻ kerana kalau ada syirik, maka tidak ada peluang masuk syurga. Allah ﷻ sudah kata bahawa Dia tidak akan maafkan perbuatan syirik.
Ayat ini juga memberi ketenangan kepada kita supaya tidak perlu risau kalau dizalimi di dunia ini oleh manusia lain. Ada orang yang berbuat zalim di dunia, tetapi mereka terlepas daripada hukuman di dunia. Kerana mereka ada kuasa dan pengaruh yang kuat contohnya. Namun mereka tidak sesekali akan terlepas di akhirat nanti.
Allah ﷻ akan membalas perbuatan zalim sesiapa sahaja kepada kita. Manusia selalu menyimpan marah dan dendam apabila mereka dizalimi. Seperti ada negara yang dijajah, beratus tahun mereka masih simpan dendam itu. Jangan kita risau – ingatlah bahawa Allah ﷻ akan balas. Tidak kira berapa banyak kesalahan mereka. Maka kalau kita dizalimi, tidak mendapat hak kita, ingatlah yang nanti kita akan dapat juga hak kita itu di akhirat.
Bukan itu sahaja, orang yang dizalimi itu pula boleh mendapat pahala pula kalau dia bersabar. Ini adalah satu sumber pahala yang banyak. Sebagai contoh, kalau ada orang yang mengata kita dan kalau kita sabar, kita akan mendapat pahala.
Tiada kepercayaan tentang adanya ‘umat pilihan’ dalam Islam. Ini kerana ada juga umat yang percaya mereka itu adalah ‘umat pilihan’. Seperti bangsa Yahudi, mereka sangka mereka adalah umat pilihan Allah ﷻ dan mereka tidak akan masuk neraka. Kalau masuk pun, kepercayaan mereka adalah mereka akan masuk sekejap sahaja dalam neraka.
Bila mereka rasa begitu, mereka rasa mereka boleh membuat apa-apa sahaja. Mereka sangka mereka boleh terlepas daripada seksa Tuhan. Namun ingatlah, bahawa Allah ﷻ adalah Tuhan untuk semua makhluk dan Dia tidak pilih kasih dan tidak pilih bulu. Kita pun telah belajar apakah maksudnya apabila Allah ﷻ memperkenalkan Diri-Nya sebagai رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ. Allah ﷻ adalah Tuhan kepada semua, sama ada yang Muslim atau yang kafir pun.
Jangan rasa kita orang istimewa dan akan terselamat dari neraka. Kalau kita ada rasa seperti itu, kita akan menjadi seperti lelaki dalam Kahfi: 36 yang berasa dia akan selamat.
وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً وَلَئِنْ رُدِدْتُ إِلَىٰ رَبِّي لَأَجِدَنَّ خَيْرًا مِنْهَا مُنْقَلَبًا
Dan aku tidak fikir, hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini.
Lelaki itu sangka kerana dia telah mendapat banyak kebaikan di dunia, dia sangka dia insan yang istimewa. Dia sangka kalau di dunia dia sudah mendapat kelebihan, maka di akhirat dia pun akan mendapat kelebihan juga seperti di dunia. Maka, dia telah melakukan keburukan di dunia.
Begitu juga, penganut agama Kristian yang berasa mereka terus selamat bila terima Jesus. Hanya dengan ucap: “Aku terima Jesus”, mereka sangka mereka sudah selamat. Lalu, mereka ambil mudah tentang agama, tentang hubungan dengan makhluk lain dan hubungan dengan Tuhan.
Kita orang Islam pun jangan rasa selamat. Jangan kita sangka apabila kita sudah mengaku kita Muslim, sudah syahadah, sudah sembah Allah ﷻ, kita tidak akan masuk neraka. Jangan kita sangka kita boleh terlepas dengan kesalahan yang kita buat. Masalahnya, ada pemahaman dalam umat Islam kita, kalau masuk neraka pun sekejap sahaja, selepas diseksa sekejap, akhirnya akan masuk syurga juga akhirnya.
Kerana kita selalu diingatkan oleh ustaz-ustaz kita bahawa orang Islam akan masuk syurga juga akhirnya. Maka kesannya mereka seolah-olah tidak takut dengan azab Neraka itu. Mereka tidak takut itu kerana mereka tidak tahu tentang azab Neraka. Mereka sangka azab itu biasa-biasa sahaja. Mereka sangka mereka akan masuk sekejap sahaja. Begitulah ‘sekejap’ yang mereka sangka, entah berapa lama. Entah beratus, beribu, berjuta tahun pun kita tidak pasti.
Keseluruhannya, secara ringkas, dalam Surah Al-Fatihah ini Allah ﷻ menceritakan tentang Diri-Nya. Allah ﷻ menyebut Nama-Nya dan sifat-Nya untuk kita kenal Dia. Asma’ itu adalah kunci untuk kita kenal Allah ﷻ. Sebab itu salah satu pecahan dalam Ilmu Tauhid adalah Tauhid Asma’ wal Sifat. Apabila kita kenal Dia, barulah kita boleh beriman dengan sebenar. Malangnya kalau kita belajar tafsir Al-Qur’an, tidak banyak disebut penjelasan Asma’ Allah.
Dalam banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an, selalu di hujung-hujung ayat, akan disebutkan nama Allah ﷻ tetapi kebiasaannya, kita tidak perasan pun apakah ayat itu dan apakah yang hendak disampaikan. Padahal, ada banyak ajaran yang hendak disampaikan. Maka kenalah belajar khusus tentang fiqh Asma’ul Husna.
Allahu a’lam. Sambungan ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 10 Oktober 2019
Rujukan:
Nouman Ali Khan
Jamal Zarabozo
