iblis DAN PENGIKUTNYA
Kahf Ayat 50: Sekarang kita masuk ke Ruku’ ke 7 daripada 12 ruku’ yang ada dalam surah ini. Ini tentang syubhah berkenaan malaikat dan jin. Ada manusia yang memuja malaikat sebagai anak perempuan Allah ﷻ. Mereka puja untuk menyampaikan doa kepada Allah ﷻ (sebagai wasilah).
Apabila diceritakan tentang akhirat, Allah ﷻ akan menceritakan kenapa manusia akhirnya masuk neraka. Bukanlah Allah ﷻ terus masukkan manusia ke dalam neraka. Allah ﷻ tidak kejam kerana tidaklah Allah ﷻ ‘mahu’ manusia masuk neraka. Bukanlah Allah ﷻ tentukan dari awal lagi. Akan tetapi Allah ﷻ masukkan mereka ke dalam neraka kerana kesalahan mereka. Antaranya adalah kerana mereka mendengar bisikan syaitan. Maka ayat ini adalah cerita tentang kisah ketua syaitan sekalian iaitu iblis. Allah ﷻ mengingatkan kembali kepada manusia tentang permusuhan iblis dengan kita semua.
وَإِذ قُلنَا لِلمَلَـٰٓٮِٕكَةِ ٱسجُدُواْ لِأَدَمَ فَسَجَدُوٓاْ إِلَّآ إِبلِيسَ كَانَ مِنَ ٱلجِنِّ فَفَسَقَ عَن أَمرِ رَبِّهِۦۤۗ أَفَتَتَّخِذُونَهُ ۥ وَذُرِّيَّتَهُ ۥۤ أَولِيَآءَ مِن دُونِى وَهُم لَكُم عَدُوُّۢۚ بِئسَ لِلظَّـٰلِمِينَ بَدَلاً
Sahih International
And [mention] when We said to the angels, “Prostrate to Adam,” and they prostrated, except for Iblees. He was of the jinn and departed from the command of his Lord. Then will you take him and his descendants as allies other than Me while they are enemies to you? Wretched it is for the wrongdoers as an exchange.
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaKu? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu.
وَإِذْ قُلْنَا لِ
Kisah ini juga disebut dalam Baqarah: 30.
وَإِذ قُلنا لِلمَلٰئِكَةِ اسجُدوا لِآدَمَ فَسَجَدوا إِلّا إِبليسَ أَبىٰ وَاستَكبَرَ وَكانَ مِنَ الكٰفِرينَ
Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia daripada golongan yang kafir.
Disebut juga di dalam A’raf: 11
وَلَقَد خَلَقنٰكُم ثُمَّ صَوَّرنٰكُم ثُمَّ قُلنا لِلمَلىٰئِكَةِ اسجُدوا لِأدَمَ فَسَجَدوا إِلّا إِبليسَ لَم يَكُن مِنَ السّٰجِدينَ
Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu (Adam), lalu Kami bentuk tubuhmu, kemudian Kami katakan kepada para malaikat: “Bersujudlah kamu kepada Adam”, maka mereka pun bersujud kecuali iblis. Dia tidak termasuk mereka yang bersujud.
Allah ﷻ mengulang kisah ini untuk mengingatkan tentang permusuhan antara iblis dan manusia. Sujud yang dimaksudkan adalah ‘sujud penghormatan’, pemuliaan dan pengagungan. Bukanlah sebagaimana kita sujud kepada Allah ﷻ. Dalam Tafsir Jalalain disebut ia tunduk sahaja dan bukanlah sampai meletakkan kening ke tanah.
Akan tetapi pandangan itu dikritik kerana disebut sujud, bukannya rukuk. Tidak timbul soal syirik di dalam perbuatan sujud itu kerana ia adalah arahan daripada Allah ﷻ. Kalau Allah ﷻ suruh sujud, maka ini adalah arahan terus daripada Allah ﷻ dan ternyata tidak ada ruang untuk malaikat dan jin untuk menolak perintah itu.
فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ
maka mereka semua sujud melainkan iblis;
Apabila arahan daripada Allah ﷻ telah diberikan, maka semua malaikat telah sujud. Maka bagaimana ada manusia yang sanggup mengatakan para malaikat itu sebagai wasilah mereka kepada Allah ﷻ sedangkan para malaikat itu adalah makhluk Allah ﷻ yang setia? Mereka tidak akan membuat perkara yang tidak patut dan yang tidak diarahkan oleh Allah ﷻ. Bukanlah tugas mereka untuk menyampaikan doa manusia kepada Allah ﷻ.
Maka di sini disebut yang semua malaikat itu sujud kepada Adam kecuali iblis. Sekarang timbul persoalan yang selalu sahaja ditimbulkan oleh manusia: Adakah iblis dalam kalangan malaikat pula? Kerana melalui ayat-ayat Al-Qur’an, nampak seolah-olah iblis itu dalam kalangan malaikat pula. Adakah benar fahaman orang Kristian yang mengatakan iblis itu adalah ‘fallen angel’?
Kita kena tahu bahawa iblis itu bukan dalam kalangan malaikat. Oleh kerana itu dia boleh untuk tidak taat kepada Allah ﷻ kerana kalau dia benar-benar malaikat, dia tidak ada pilihan untuk menolak. Ini kerana semua malaikat tidak ada pilihan untuk tidak taat. Bukan seperti manusia dan jin yang Allah ﷻ telah berikan pilihan untuk taat atau tidak. Maka kerana iblis itu daripada bangsa jin, dia boleh ingkar. Di dalam Isra’: 61 telah disebut kenapa iblis enggan sujud:
وَإِذ قُلنَا لِلْمَلٰۤىِٕكَةِ ٱسجُدُواْ لِأَدَمَ فَسَجَدُوٓاْ إِلَّآ إِبلِيسَ قَالَ ءَأَسجُدُ لِمَن خَلَقتَ طِينًا
Dan (ingatlah), tatkala Kami berfirman kepada para malaikat: “Sujudlah kamu semua kepada Adam”, lalu mereka sujud kecuali iblis. Dia berkata: “Apakah aku akan sujud kepada orang yang Engkau ciptakan daripada tanah?”
Iblis perasan dia lebih hebat kerana ia dijadikan daripada api seperti disebut dalam A’raf: 12
قالَ ما مَنَعَكَ أَلّا تَسجُدَ إِذ أَمَرتُكَ ۖ قالَ أَنا خَيرٌ مِنهُ خَلَقتَني مِن نّارٍ وَخَلَقتَهُ مِن طينٍ
Allah berfirman: “Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?” Menjawab iblis “Aku lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan aku daripada api sedang dia Engkau ciptakan daripada tanah”.
كَانَ مِنَ الْجِنِّ
iblis itu adalah daripada jin;
Inilah jawapan kepada persoalan sama ada iblis daripada golongan malaikat atau tidak. Dia adalah bangsa jin, sepertimana Nabi Adam itu adalah bangsa manusia. Iblis dan keturunannya iaitu jin, dijadikan daripada nyalaan api manakala malaikat dijadikan daripada nur (cahaya).
Maka ini adalah dalil yang kukuh bahawa iblis itu bukanlah malaikat. Ramai juga orang Islam yang keliru tentang perkara ini sedangkan ayat ini dengan jelasnya menyebut apakah bangsa iblis itu. Mungkin mereka tidak tahu kerana tidak belajar ayat ini. Mungkin mereka selalu baca tetapi mereka tidak faham apa yang mereka baca.
Maka memang iblis itu daripada bangsa jin tetapi oleh kerana dia telah banyak beribadat, maka dia telah dinaikkan ke langit untuk berada bersama dengan para malaikat. Akan tetapi tidaklah pernah statusnya naik menjadi ‘malaikat’. Apabila Allah ﷻ berikan arahan kepada ‘malaikat’, dia pun termasuk sekali kerana dia juga ada bersama waktu itu.
Mungkin ada pula yang berhujah: Eh kalau dia bukan malaikat, kenapa dia bersalah tidak sujud sedangkan arahan itu kepada malaikat sahaja?
Ini pun soalan yang jahil. Kita jawab dengan perumpamaan. Katakanlah Sultan lalu di jalanraya. Selalunya kereta lain kena beri laluan. Sebagai rakyat Malaysia, kenalah kita taat kepada undang-undang ini, bukan? Namun katakanlah ada seorang rakyat Indonesia di jalanraya itu juga? Agaknya patutkah dia tidak mahu ikut dengan berhujah: “Eh, aku bukan rakyat Malaysia, aku tak perlu ikut undang-undang kamu!”
Boleh atau tidak dia berhujah begitu? Tentulah dia pun kena ikut juga kerana dia waktu itu berada di Malaysia dan kenalah mengikut undang-undang di Malaysia.
فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ
dia telah menderhakai perintah Tuhannya;
Iblis tidak sujud kerana dia telah membuat keputusan untuk ingkar dengan perintah Allah ﷻ. Telah disebut dalam ayat-ayat yang lain kenapa dia ingkar. Iaitu punca dia sombong dan rasa dia lebih tinggi kedudukan daripada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah kerana dia dijadikan daripada api manakala Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dijadikan daripada tanah.
Sepatutnya dia sudah dimasukkan ke dalam neraka terus kerana ingkar tidak mahu sujud. Oleh kerana ingkar pada perintah Allah ﷻ, dia sudah layak dimasukkan ke dalam neraka terus tetapi Allah ﷻ tidak terus lakukan. Allah ﷻ telah memberi tempoh kepadanya untuk hidup sampai hari Kiamat. Ini pun adalah permintaannya seperti yang disebut dalam ayat dalam surah yang lain. Kena baca keseluruhan Al-Qur’an baru dapat faham keseluruhan kisah ini.
Dalam ayat ini, Allah ﷻ menyebut: kerana dia daripada golongan jin, maka dia telah menderhakai perintah Allah ﷻ. Sebab itu adalah huruf فَ dalam perkataan فَفَسَقَ. Kalau dia dalam kalangan malaikat, tentulah dia tidak akan ingkar kepada perintah Allah ﷻ – kerana malaikat tidak akan melanggar perintah Allah ﷻ.
Ini menolak pendapat Kristian yang mengatakan iblis adalah daripada golongan malaikat – mereka kata dia ‘fallen angel‘ (malaikat yang diturunkan pangkat). Itu adalah fahaman yang amat salah dan mereka jadi begitu kerana mereka jauh daripada wahyu. Allah ﷻ menekankan dalam ayat ini, bahawa dia adalah daripada golongan jin. Seperti telah disebut sebelum ini, surah ini adalah berkenaan puak Kristian. Maka, ia akan menyebut tentang kesalahan dalam pemahaman mereka. Ini adalah salah satu salah faham mereka yang amat ketara.
Begitu juga, mereka ada salah faham dalam agama mereka. Pada mereka, perbuatan tidak penting. Pada mereka, walaupun mereka membuat kesalahan, mereka akan tetap selamat kerana mereka percaya kepada ketuhanan Jesus atau Jesus sebagai ‘Anak Tuhan’. Allah ﷻ menidakkan pandangan mereka itu. Allah ﷻ beri contoh perbuatan iblis ini. Dia menjadi kafir kerana menentang arahan Allah ﷻ.
أَفَتَتَّخِذُونَهُ ۥ وَذُرِّيَّتَهُ ۥۤ أَولِيَآءَ مِن دُونِى
Apakah patut kamu mengambil Iblis dan keturunannya sebagai pelindung-pelindung kamu selain dari Aku?
Ramai manusia yang menjadikan iblis dan jin sebagai wali-wali (pelindung) mereka. Mereka menjadi sesat kerana telah ditipu oleh iblis dan konconya dan keturunannya. Ini satu lagi dalil iblis bukan malaikat. Malaikat tidak ada keturunan tetapi iblis dan syaitan ada keturunan mereka. Iaitu mereka beranak pinak juga.
Allah ﷻ juga menempelak manusia yang kata mereka akan ikut dakwah kalau yang diturunkan untuk beri ajaran wahyu itu adalah malaikat. Allah ﷻ hendak beritahu kita, kalau kamu tidak dapat malaikat menjadi Rasul kamu, kenapa kamu mahu ikut iblis pula? Kenapa kamu tidak mahu mengikut Rasul dalam kalangan manusia? Apakah tidak cukup Allah ﷻ berikan Rasul dalam kalangan manusia?
Soalan:
Apakah iblis ada isteri sepertimana Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memiliki isteri yang bernama Hawa?
Jawapan:
Al-Qur’an dan hadith yang sahih tidak menjelaskan apakah iblis memiliki isteri. Namun Al-Qur’an menyatakan iblis memiliki zuriat. Antaranya terdapat dalam surah al-Kahfi: 50:
أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاء مِن دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ بِئْسَ لِلظَّالِمِينَ بَدَلًا
“Apakah kamu semua mahu menjadikan iblis dan zuriatnya sebagai sahabat karib yang memimpin selain-Ku? Sedangkan mereka semua adalah musuh bagi kamu.”
Ayat Al-Quran ini mengithbatkan zuriat kepada iblis. Persoalan yang timbul bagaimanakah iblis memperolehi zuriatnya? Al-Quran dan hadith yang sahih tidak menyatakan perkara ini secara jelas. Sebahagian ulama ada yang berpandangan iblis memperolehi zuriat melalui telur berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Barqani (البرقاني) dalam Sahihnya seperti yang dinyatakan oleh al-Nawawi dalam Riyadh al-Salihin dengan lafaz:
لاتكن أول من يدخل السوق ولا آخر من يخرج منها، فيها باض الشيطان وفرخ
“Jangan kamu jadi orang terawal masuk ke pasar dan jangan juga orang terakhir keluar dari pasar. Sesungguhnya di pasar itu adalah tempat syaitan bertelur dan menetap.”
Selain itu, Al-Qur’an dan hadith yang sahih juga tidak ada menyebut tentang nama pasangan iblis. Kesimpulan daripada persoalan ini saya datangkan huraian al-Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti رَحِمَهُ اللَّهُ dalam tafsirnya Adhwa’ al-Bayan 4/158 ketika menafsirkan ayat 50 daripada surah al-Kahfi di atas, beliau berkata:
وقوله في هذه الآية الكريمة: { وذريته } دليل على أن للشيطان ذرية. فادعاء أن لا ذرية له مناقض لهذه الآية مناقضة صريحة كما ترى. وكل ما ناقض صريح القرآن فهو باطل بلا شك! ولكن طريقة وجود نسله هل هي عن تزويج أو غيره . لا دليل عليها من نص صريح، والعلماء مختلفون فيها. وقال الشعبي: سألني الرجل: هل لإبليس زوجة؟ فقلت: إن ذلك عرس لم أشهده! ثم ذكرت قوله تعالى: { أفتتخذونه وذريته أوليآء من دوني } فعلمت أنه لا تكون ذرية إلا من زوجة فقلت: نعم. وما فهمه الشعبي من هذه الآية من أن الذرية تستلزم الزوجة روي مثله عن قتادة. وقال مجاهد : إن كيفية وجود النسب منه أنه أدخل فرجه في فرج نفسه فباض خمس بيضات: قال: فهذا أصل ذريته. وقال بعض أهل العلم: إن الله تعالى خلق له في فخده اليمنى ذكرا، وفي اليسرى فرجا ، فهو ينكح هذا بهذا فيخرج له كل يوم عشر بيضات، يخرج من كل بيضة سبعون شيطانا وشيطانة . ولا يخفى أن هذه الأقوال ونحوها لا معول عليها لعدم اعتضادها بدليل من كتاب أو سنة. فقد دلت الآية الكريمة على أن له ذرية. أما كيفية ولادة تلك الذرية فلم يثبت فيه نقل صحيح، ومثله لا يعرف بالرأي. وقال القرطبي في تفسير هذه الآية: قلت: الذي ثبت في هذا الباب من الصحيح ما ذكره الحميري في الجمع بين الصحيحين عن الإمام أبي بكر البرقاني: أنه خرج في كتابه مسندا عن أبي محمد عبد الغني بن سعيد الحافظ، من رواية عاصم، عن أبي عثمان، عن سلمان قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: لا تكن أول من يدخل السوق ولا آخر من يخرج منها ، فيها باض الشيطان وفرخ، وهذا يدل على أن للشيطان ذرية من صلبه .قال مقيده عفا الله عنه: هذا الحديث إنما يدل على أنه يبيض ويفرخ، ولكن لا دلالة فيه على ذلك . هل هي من أنثى هي زوجة له، أو من غير ذلك. مع أن دلالة الحديث على ما ذكرنا لا تخلو من احتمال. لأنه يكثر في كلام العرب إطلاق باض وفرخ على سبيل المثل، فيحتمل معنى باض وفرخ أنه فعل بها ما شاء من إضلال وإغواء ووسوسة ونحو ذلك على سبيل المثل، لأن الأمثال لا تغير ألفاظها . وما يذكره كثير من المفسرين وغيرهم من تعيين أسماء أولاده ووظائفهم التي قلدهم إياها؛ كقوله: زلنبور صاحب الأسواق. وتبر صاحب المصائب يأمر بضرب الوجوه وشق الجيوب ونحو ذلك . والأعور صاحب أبواب الزنى. ومسوط صاحب الأخبار يلقيها في أفواه الناس فلا يجدون لها أصلا . وداسم هو الشيطان الذي إذا دخل الرجل بيته فلم يسلم ولم يذكر اسم الله بصره ما لم يرفع من المتاع ويحسن موضعه يثير شره على أهله . وإذا أكل ولم يذكر اسم الله أكل معه. والولهان صاحب الطهارة يوسوس فيها، والأقيس صاحب الصلاة يوسوس فيها، ومرة صاحب المزامير وبه كان يكنى إبليس ، إلى غير ذلك من تعيين أسمائهم ووظائفهم – كله لا معول عليه؛ إلا ما ثبت منه عن النبي صلى الله عليه وسلم. ومما ثبت عنه صلى الله عليه وسلم من تعيين وظيفة الشيطان واسمه ما رواه مسلم رحمه الله في صحيحه: حدثنا يحيى بن خلف الباهلي ، حدثنا عبد الأعلى عن سعيد الجريري عن أبي العلاء: أن عثمان بن أبي العاص أتى النبي صلى الله عليه وسلم فقال: يا رسول الله ، إن الشطان قد حال بيني وبين صلاتي وقراءتي يلبسها علي!! فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ذاك شيطان يقال له خنزب . فإذا أحسسته فتعوذ بالله منه ، واتفل عن يسارك ثلاثا قال: ففعلت ذلك فأذهبه الله عني . وتحريش الشيطان بين الناس وكون إبليس يضع عرشه على البحر ، ويبعث سرايا فيفتنون الناس فأعظمهم عنده أعظمهم فتنة – كل ذلك معروف ثابت في الصحيح . والعلم عند الله تعالى
Maksudnya lebih kurang: “Pada firman Allah yang mulia ini (yang bermaksud): “Dan zuriatnya (zuriat syaitan)” adalah bukti syaitan memiliki zuriat. Dakwaan yang mengatakan syaitan tidak memiliki zuriat adalah dakwaan yang jelas bertentangan dengan ayat ini seperti yang kamu dapat perhatikan. Setiap yang bertentangan dengan sesuatu yang jelas daripada al-Quran adalah satu kebatilan tanpa ragu. Akan tetapi bagaimana wujudnya zuriat syaitan, apakah melalui perkahwinan atau selainnya? Tiada bukti menjelaskannya daripada nas yang jelas. Para ulama berbeza pandangan dalam perkara ini. Kata al-Sya’bi: “Pernah seorang lelaki bertanya kepadaku: “Apakah iblis mempunyai isteri?” Aku menjawab: “Sesungguhnya ia satu perkahwinan yang belum pernah aku menyaksikannya! Kemudian aku teringat firman Allah: “Apakah kamu semua mahu menjadikan iblis dan zuriatnya sebagai sahabat karib yang memimpin selain-Ku?” maka aku tahu bahawa tidak akan ada zuriat melainkan mesti perlu ada pasangan (isteri). Lalu aku berkata: “Ya (syaitan ada isteri).” Apa yang difahami oleh al-Sya’bi daripada ayat al-Quran ini bahawa apabila ada zuriat maka sudah pasti ada pasangan diriwayatkan juga daripada Qatadah رَحِمَهُ اللَّهُ. Kata Mujahid رَحِمَهُ اللَّهُ: “Sesungguhnya cara wujudnya zuriat iblis ialah dengan cara iblis memasukkan kemaluannya ke dalam kemaluannya yang satu lagi, lalu dia menelurkan lima telur.” Inilah asal zuriat iblis. Sebahagian ulama lain berkata pula: “Sesungguhnya Allah Taala telah menciptakan di peha kanan iblis zakar dan di sebelah peha kirinya pula faraj, iblis menikahkan zakar di peha kanannya dengan faraj di peha kirinya. Keluarlah pada setiap hari 10 telur. Daripada setiap telur pula akan keluar 70 syaitan jantan dan betina. (kata al-Syanqiti) Tidak tersembunyi lagi bahawa semua pandangan ini dan yang seumpama dengannya tidak memiliki sandaran kerana ketiadaan penguat dan penyokong daripada al-Qur’an mahupun al-Sunnah. Sesungguhnya ayat al-Qur’an yang mulia ini hanya menyatakan iblis memiliki zuriat. Adapun bagaimana cara wujudnya zuriat bagi iblis, tidak thabit dalam satu riwayat yang sahih sekalipun. Perkara seumpama ini tidak dapat diketahui dengan pandangan. Al-Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ pula dalam tafsirnya kepada ayat ini berkata: “Sesuatu yang thabit dalam bab ini daripada hadith yang sahih adalah apa yang disebut oleh al-Humairi dalam kitabnya al-Jam’u Bain al-Sahihain daripada al-Imam Abu Bakr al-Barqani yang meriwayatkan dalam kitabnya secara bersanad daripada Abu Muhammad ‘Abdul Ghani bin Sa‘id al-Hafidz, daripada riwayat ‘Asim daripada Abu ‘Uthman, daripada Salman yang berkata: “Rasulullah ﷺ bersabda: “Jangan kamu jadi orang terawal masuk ke pasar dan jangan juga orang terakhir keluar dari pasar. Sesungguhnya di pasar itu adalah tempat syaitan bertelur dan menetap.” Hadith ini menunjukkan syaitan memiliki zuriat daripada sulbinya. Orang yang memberi komentar kepada perkataan ini, semoga Allah memberi kemaafan kepada-Nya (merujuk kepada diri beliau sendiri, Muhammad al-Amin al-Syanqiti) berkata: “Hadith ini hanya menunjukkan iblis itu bertelur dan menetap tinggal (di pasar). Akan tetapi hadith tidak menunjukkan apa yang dinyatakan oleh al-Qurtubi. Apakah ia daripada pasangan atau isterinya atau selainnya. Dalam masa yang sama, apa yang telah kami sebutkan sebelum ini memiliki kemungkinan juga daripada petunjuk hadis, kerana banyak percakapan, Arab melontarkan ungkapan “bertelur dan menetap (seperti yang disebut dalam hadith)” sebagai perumpamaan. Maka difahami dari makna “bertelur dan menetap” itu kepada perbuatan syaitan di pasar yang bertujuan menyesatkan, memalingkan, membisikkan keraguan dan seumpamanya dalam bentuk perumpamaan. Ini kerana perumpamaan-perumpamaan tidak diubah lafaz-lafaznya. Apa yang disebut oleh ramai ahli tafsir dan selain mereka terdiri daripada menetapkan nama-nama anak syaitan dan tugas-tugas yang dipikulkan ke atas mereka, seperti nama Zalanbur merujuk kepada syaitan yang berada di pasar-pasar, nama Tabar, syaitan yang menghasut manusia ketika ditimpa musibah untuk menampar muka dan mengoyakkan leher baju, nama al-A’war, syaitan yang menggoda ke pintu zina, nama Miswath, syaitan yang mencampakkan berita-berita palsu lalu ia dituturkan oleh mulut-mulut manusia, nama Dasim ialah syaitan yang jika ada seseorang lelaki masuk ke dalam rumahnya tidak menyebut nama Allah, syaitan itu akan menampakkan kepadanya perhiasan rumah yang belum diangkat dan diletakkan bukan pada tempatnya dan syaitan yang menyebarkan keburukan lelaki itu kepada isterinya. Apabila lelaki itu makan tidak menyebut nama Allah, Dasim ini akan makan bersamanya, nama al-Walahan, syaitan yang mendatangkan was-was ketika bersuci, nama al-Aqyas, syaitan yang mengganggu solat, nama Murrah, syaitan yang menggoda manusia dengan muzik, dengan nama inilah digelar untuk iblis dan seumpamanya daripada perbuatan menetapkan nama-nama dan tugas-tugas yang tiada sandaran kukuh. Melainkan antara perkara yang thabit daripada Nabi ﷺ dalam penetapan tugas syaitan dan namanya ialah berdasarkan riwayat Muslim dalam sahihnya: “Bahawa ‘Uthman bin Abi al-‘Ash pernah datang kepada Nabi ﷺ dan berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan telah mengganggu aku dalam solat dan bacaanku, ia menjadikan aku keliru. Sabda Nabi ﷺ: “Itulah syaitan yang dipanggil Khinzab. Jika kamu diganggu olehnya ketika solat, maka berlindunglah dengan Allah dan ludahlah ke sebelah kiri tiga kali.” Kata ‘Uthman bin Abi al-‘Ash: “Aku melakukan seperti yang diajarkan oleh baginda, maka benar Allah telah menjauhkan syaitan itu daripadaku.” (Demikian juga thabit) Usaha syaitan merosakkan hubungan sesama manusia, iblis meletakkan singgahsananya di lautan, iblis mengutuskan para tenteranya untuk mendatangkan fitnah (keburukan) kepada manusia, syaitan yang paling mulia di sisi iblis adalah syaitan yang lebih hebat mendatangkan fitnah kepada manusia yang semua perkara ini thabit daripada hadith yang sahih.”
Kesimpulannya dari sini kita boleh andaikan yang iblis juga ada pasangannya, cuma kita tidak ada maklumat tentang siapakah pasangannya. Tambahan pula di dalam Dzariyat: 49 telah disebut yang setiap sesuatu ada pasangannya.
وَمِن كُلِّ شَيءٍ خَلَقنا زَوجَينِ لَعَلَّكُم تَذَكَّرونَ
Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat kebesaran Allah.
وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ
sedangkan mereka adalah musuh ketat bagi kamu;
Oleh sebab itu kenanglah yang iblis dan syaitan itu adalah musuh kita yang nyata. Iblis sendiri kata yang Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah musuh ketatnya. Sekarang Allah ﷻ memberitahu kita lagi bahawa iblis itu memang musuh ketat kita. Maka Allah ﷻ dan syaitan berkata tentang perkara yang sama. Iblis dan syaitan itu ‘musuh yang nyata’ kerana mereka sendiri mengaku musuh kita. Kalau musuh kita dalam kalangan manusia, ada yang musuh dalam senyap.
Namun begitu manusia menjadikan iblis itu sebagai kawan sama ada dalam sedar atau tidak. Iaitu apabila kita mendengar kata-kata mereka. Mereka akan sentiasa membisikkan untuk mengajak kepada perkara yang jahat. Manusia yang jauh daripada wahyu dan tidak tahu mana yang benar dan mana yang tidak, akan mudah untuk termakan dengan bisikan mereka.
Sedangkan ada yang sudah tahu mana benar dan mana salah pun boleh tergelincir juga kerana iman yang lemah, apatah lagi kalau orang yang jauh daripada ajaran wahyu?
بِئْسَ لِلظّٰلِمِينَ بَدَلًا
Itu adalah seburuk-buruk pengganti bagi orang yang zalim;
Iaitu apabila manusia menjadikan syaitan sebagai pengganti kepada Allah ﷻ. Sepatutnya taat kepada Allah ﷻ namun sebaliknya mereka ganti dengan taat kepada iblis dan syaitan pula. Tentulah teruk sangat pergantian itu.
Kahf Ayat 51:
۞ مّا أَشهَدتُّهُم خَلقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَلا خَلقَ أَنفُسِهِم وَما كُنتُ مُتَّخِذَ المُضِلّينَ عَضُدًا
Sahih International
I did not make them witness to the creation of the heavens and the earth or to the creation of themselves, and I would not have taken the misguiders as assistants.
Aku tidak memanggil mereka menyaksi atau membantuKu menciptakan langit dan bumi, dan tidak juga meminta bantuan setengahnya untuk menciptakan setengahnya yang lain; dan tidak sepatutnya Aku mengambil makhluk-makhluk yang menyesatkan itu sebagai pembantu.
مَّا أَشْهَدْتُّهُمْ خَلْقَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ
Tidaklah Aku persaksikan pada mereka (syaitan-syaitan itu) kejadian penciptaan langit dan bumi;
Semasa Allah ﷻ menjadikan alam ini dahulu, tidaklah dipersaksikan kepada iblis dan syaitan itu. Tidaklah Allah ﷻ panggil dan tunjuk kepada mereka semasa mula-mula dijadikan alam ini dahulu dan selepas itu pun tidak ditunjukkan kepada mereka (untuk diminta pendapat mereka). Lepas sudah siap alam pun Allah ﷻ tidak memanggil mereka untuk lihat. Tidak ada keperluan untuk tunjuk kepada mereka kerana mereka juga hamba dan tidak lebih daripada itu.
وَلَا خَلْقَ أَنْفُسِهِمْ
Dan tidaklah juga diperlihatkan penciptaan diri mereka sendiri kepada mereka
Jangan kata penciptaan alam, penciptaan diri mereka sendiri mereka tidak dapat lihat. Tidaklah mereka lihat bagaimana sebahagian mereka diciptakan.
وَمَا كُنْتُ مُتَّخِذَ الْمُضِلِّينَ عَضُدًا
Dan tidaklah aku pernah jadikan syaitan-syaitan yang menyesatkan itu sebagai pembantu-pembantu Aku;
Allah ﷻ tidak pernah menggunakan khidmat jin-jin itu untuk membantu-Nya. Mereka tidak ada kuasa apa-apa pun. Mereka itu adalah makhluk yang lemah sahaja. Perkataan عَضُدًا digunakan dalam bahasa Arab untuk merujuk kepada otot lengan (dari siku ke bahu). Digunakan untuk merujuk kepada ‘pembantu’. Tidaklah Allah ﷻ memerlukan iblis dan syaitan itu untuk membantu-Nya dalam penciptaan.
Maknanya, kita tidak patut ambil syaitan sebagai pelindung kalau Allah ﷻ sendiri pun tidak pernah beri kuasa kepada mereka. Bilakah kita ambil mereka sebagai pelindung pula? Iaitu apabila kita bertawasul. Setiap kali kita membuat tawasul, sebenarnya kita puja syaitan. Kita sangka kita seru Nabi, Malaikat dan Wali sebagai perantara kita dalam doa, tetapi sebenarnya kita menyeru dan memuja syaitan. Ramai sahaja yang tidak tahu kerana ramai yang jauh daripada wahyu.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 12 Jun 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
