Tafsir Surah Baqarah Ayat 147 – 149 (Berlumba dalam melakukan kebaikan)

Baqarah Ayat 147: Allah ‎ﷻ beri penegasan dalam ayat ini.

الحَقُّ مِن رَّبِّكَ ۖ فَلا تَكونَنَّ مِنَ المُمتَرينَ

Sahih International

The truth is from your Lord, so never be among the doubters.

Malay

Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.

 

الْحَقُّ مِنْ رَّبِّكَ

Sesungguhnya kebenaran itu dari Tuhanmu;

Kalimah الْحَقُّ (kebenaran) yang dimaksudkan adalah Al-Qur’an. Itulah kebenaran yang kita kena ikut. Allah ‎ﷻ telah bawa kebenaran dengan kedatangan Nabi Muhammad ﷺ. Tetapi ulama’ Ahli Kitab telah menyembunyikan kebenaran itu. Ulama’ Ahli Kitab juga telah menipu golongan awam mereka dengan mengatakan bahawa kiblat ke BaitulHaram itu tidak ada dalam kitab mereka. Mereka menyembunyikan ilmu itu daripada masyarakat. Termasuk juga mereka telah menyembunyikan maklumat itu daripada orang Arab Madinah yang telah masuk Islam. Mereka menggunakan kedudukan mereka yang telah lama menganut agama Yahudi dan Kristian untuk menipu masyarakat waktu itu. Mereka kata mereka yang lebih layak untuk diikuti kerana orang Arab tidak pernah diturunkan kitab oleh Allah ‎ﷻ sebelum itu.

Mereka kata merekalah yang lebih pandai dalam hal agama. Oleh kerana mereka dipandang sebagai orang yang berilmu oleh masyarakat waktu itu, mereka telah menyebabkan masyarakat waktu itu ragu-ragu. Maknanya mereka telah menggunakan kedudukan mereka dengan cara yang salah. Begitu jugalah yang terjadi dalam masyarakat kita sekarang. Ada ‘orang-orang agama’ seperti ustaz-ustaz yang telah mendapat kedudukan dalam agama tetapi menipu dalam hal agama. Mereka ada yang kata mereka tidak pernah mendengar larangan Allah ‎ﷻ tentang sesuatu amalan bid’ah. Contohnya, mereka kata Nabi ﷺ tidak pernah ‘melarang’ untuk mengadakan majlis kenduri arwah. Dan oleh kerana mereka telah ada kedudukan, atau mereka telah terkenal kerana telah masuk dalam media massa dan sebagainya, masyarakat lebih memandang mereka sebagai yang ada autoriti dalam agama. Padahal, hujjah mereka itu adalah hujjah yang batil. Kerana memang Nabi ﷺ sudah melarang mengadakan kenduri pada hari kematian. Dan banyak lagi hujjah-hujjah mereka yang bukan diambil dari Al-Qur’an dan Sunnah untuk membenarkan kesalahan dalam fahaman dan amalan dalam masyarakat.

Mereka yang menentang kebenaran dan haq menggunakan hujjah akal sahaja atau pendapat manusia, tanpa merujuk kepada nas yang sahih. Tetapi kerana mereka telah ada kedudukan, pandangan mereka telah diambil kira oleh mereka yang jahil. Ini telah menyebabkan perpecahan dalam masyarakat. Masyarakat awam menjadi keliru tentang manakah pendapat yang benar. Kebanyakan daripada masyarakat tentunya akan memilih golongan agamawan yang telah terkenal, tambahan lagi amalan yang mereka lakukan itu telah sebati dalam masyarakat, jadi mereka sangka tidak mungkin salah pula?

Di sini Allah menegaskan yang agama Islam ini dari Allah adalah agama kebenaran. Ia tidak dapat dihalang lagi. Kerana itulah kalau kita perhatikan segala usaha musuh untuk mematikan Islam dengan menakluk negara-negara Islam, mereka tidak akan berjaya. Lihatlah bagaimana Portugis, Belanda dan Inggeris telah menakluk Tanah Melayu telah lama tapi mereka tidak berjaya mengislamkan penduduk tanah ini. Dan kalau kita lihat kemajuan Islam dan betapa ramainya umat Islam di dunia sekarang, tak mungkin kita boleh menolak kebenaran agama ini. Kalaulah ia agama sesat dan mengarut, tidak akan sebanyak ini umat Islam yang terus berpegang dan mengamalkannya.

 

فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ

maka janganlah kamu sekali-kali termasuk orang yang ragu-ragu;

Iaitu, janganlah kamu ragu-ragu apabila kebenaran telah datang. Kedatangan Nabi Muhammad ﷺ itu memang benar; kiblat ke Kaabah itu memang benar; Al-Qur’an itu memang benar. Begitu jugalah kita, janganlah kita termasuk orang yang keliru apabila nas yang sahih telah diberikan. Jangan kita termakan dengan kata-kata mereka yang hanya memberikan dalil yang batil sahaja untuk menguatkan hujjah mereka. Ingatlah bahawa pegangan pertama kita adalah Al-Qur’an dan Sunnah yang sahih. Jangan kita ragu-ragu apabila telah diberikan dengan nas-nas seperti itu.

Kita pun telah tahu bahawa Al-Qur’an dan Sunnah itu adalah rujukan utama kita, jadi kenapa hendak ragu-ragu? Kenapa hendak melebihkan pandangan manusia daripada apa yang Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya telah sampaikan? Belajarlah agama dan carilah maklumat sebanyak mungkin dan bukalah minda untuk memikirkan manakah pandangan yang lebih kuat – ‘kata Allah ‎ﷻ’ atau ‘kata manusia’? Maka ayat ini memberitahu kita yang sesiapa yang ragu-ragu dengan Al-Qur’an dan hadis (yang sahih) maka mereka tidak beriman. Bukankah ada sahaja kumpulan yang hendak menolak hadis sahih apabila ia tidak kena dengan akidah sesat mereka? Baru-baru ini ada golongan yang menolak hadis dari Sahih Bukhari tentang kubur kerana mereka kumpulan yang suka meminta, menghias dan melakukan ibadah di kuburan yang mereka anggap sebagai kubur wali. Jadi kerana ada hadis yang melarangnya, mereka tempek kata hadis itu dhaif walaupun hadis itu tarafnya mutawatir. Kita boleh terima kritikan terhadap mana-mana hadis, akan tetapi tidaklah boleh kepada hadis yang mutawatir kerana hadis yang mutawatir telah diterima sebagai sahih.

Ayat ini dari segi bahasanya ditujukan kepada Nabi Muhammad. Akan tetapi sebenarnya ia adalah sindiran kepada golongan Ahli Kitab yang menolak kebenaran tentang arah Kiblat itu. Mereka sengaja menimbulkan kekeliruan di dalam hati umat manusia walaupun mereka tahu bahawa Kiblat ke Mekah itu benar. Kerana kalimah yang digunakan adalah الْمُمْتَرِينَ. Ia adalah dari katadasar م ر ي yang bermaksud: ‘ragu-ragu tentang perkara yang jelas’. Seperti hari siang tetapi ada juga orang yang kata malam lagi. Kalau begitu, maknanya dia ragu-ragu sangat dan ia adalah keraguan yang tidak patut. Jadi mereka ini sengaja menimbulkan kekeliruan di atas perkara yang sudah pasti hanya untuk menimbulkan pertanyaan dan keraguan sahaja.

Dari kata dasar ini juga ia digunakan untuk merujuk kepada perbuatan menggosok-gosok batu untuk mengeluarkan api; atau menggosok/memerah kantung susu lembu untuk mengeluarkan susu. Jadi orang yang ragu-ragu jenis مُمْتَرِينَ adalah orang yang mencari-cari maklumat seolah-olah ada sesuatu yang disembunyikan dari mereka. Hendak cari apa lagi kalau ia dari Allah? Sabda nabi SAW:

دَعْ مَا يَرِيْبُكَ، إِلَى مَا لَا يَرِيْبُكَ
“Tinggallah apa yang menjadi keraguan padamu kepada yang tidak meragukan.”
Jami’ Tirmizi (2520)

Al-Syaukani berkata: “Ayat ini ditujukan kepada Nabi SAW namun sebagai umatnya kita juga diperintahkan untuk tidak menjadi orang yang ragu-ragu kerana keraguan seringkali membuat jiwa kita mengalami tekanan dan was-was. Maka selayaknya kita mengambil yang yakin dan membuang yang meragukan. Sekali lagi tinggalkan semua yang meragukan baik yang berkenaan dengan perkara dunia mahupun akhirat dan beralihlah pada sesuatu yang meyakinkan dan tidak meragukan.” (Lihat Fath al-Qadir, 1/179)

Ibn Daqiq al-‘Id berkata: “Maksud yang meragukan kamu ialah tinggalkanlah sesuatu yang menjadikan kamu ragu-ragu dan gantikanlah kepada perkara yang tidak meragukan. Ini kembali kepada makna hadis ‘halal itu nyata dan haram itu nyata.” (Lihat Syarh al Arbain Hadisan al-Nawawiyah, hlm. 69)

Islam mengajak manusia supaya membina sesuatu perkara termasuk akidah dan amalan atas keyakinan tanpa syak dan ragu-ragu. Hal ini menjadikan ulama meletakkan dalam qawaid fiqhiyah-nya asas pembinaan hukum dengan yakin bukannya syak, waham dan ragu-ragu.

Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Makna hadis ini merujuk kepada berhenti ketika terdapatnya syubhah dan memeliharanya. Ini kerana halal semata-mata tidak terhasil bagi orang yang beriman yang pada hatinya terdapat rasa keraguan.” (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/280)

Meninggalkan keraguan menjadikan seseorang itu begitu utuh dan kuat keyakinannya. Justeru, seseorang itu akan boleh menapak ke hadapan untuk mencapai kejayaan yang gemilang dalam hidup mereka. Inilah natijah daripada meninggalkan keraguan.

Habis Ruku’ 17 dari 40 surah ini


 

Baqarah Ayat 148: Hikmah menghadap kiblat adalah melatih kita untuk mengikut arahan tanpa soal. Allah ‎ﷻ hendak menguji manusia siapakah yang ikut arahan. Lihatlah bagaimana Muslim yang beriman sempurna akan ikut arahan – apabila disuruh menghadap ke BaitulMaqdis, mereka ikut dan apabila disuruh menghadap ke Kaabah, mereka ikut juga.

Keduanya, tidak ada rugi pun kalau ikut mana-mana arah. Yang pentingnya adalah ibadat yang dikaitkan dengannya – iaitu ibadah salat. Hadap ke mana tidak penting, yang penting adalah menghadap ke arah Kiblat kerana ia adalah arahan DARIPADA ALLAH. Ikut arahan itu yang terlebih penting.

وَلِكُلٍّ وِجهَةٌ هُوَ مُوَلّيها ۖ فَاستَبِقُوا الخَيرٰتِ ۚ أَينَ ما تَكونوا يَأتِ بِكُمُ اللَّهُ جَميعًا ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sahih International

For each [religious following] is a direction toward which it faces. So race to [all that is] good. Wherever you may be, Allah will bring you forth [for judgement] all together. Indeed, Allah is over all things competent.

Malay

Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

وَلِكُلٍّ وِجْهَةٌ هُوَ مُوَلِّيهَا

Dan bagi setiap umat, ada arah masing-masing yang dia menghadap ke arahnya;

Selepas kalimah وَلِكُلٍّ, sepatutnya ada tambahan lagi iaitu sama ada ‘umat’, atau ‘insan’. Bagi setiap umat ada kiblat masing-masing. Umat Nabi Musa عليه السلام ada kiblat dia, dan Nabi Isa عليه السلام ada kiblatnya. Setiap agama ada kiblat mereka masing-masing di dalam ibadah. Sama ada mereka mendapat wahyu dari Allah atau mereka pilh sendiri, tapi tetap setiap dari mereka ada kiblat mereka. Jadi kalau agama Islam bawaan Nabi Muhammad ini hendak ada kiblat sendiri, apa salahnya? Kenapa kecoh sangat? Kalau dahulu Yahudi dan Nasrani ada kiblat mereka, sekarang tidak boleh lagi pakai kiblat itu kerana kiblat itu semua telah dimansukhkan. Kalau dahulu umat Islam berarah ke arah kiblat BaitulMaqdis iaitu kiblat Yahudi, sekarang Islam sudah ada kiblat sendiri, jadi tidak perlu diperbesarkan hal ini kerana masing-masing ada kiblat sendiri.

Tetapi ayat ini bukan berkenaan kiblat dalam salat sahaja. Kerana kiblat itu juga boleh dimaksudkan ‘tujuan hidup’. Kerana kata ayat di atas adalah sebagai satu pepatah. Dalam Allah ‎ﷻ menyebut tentang hal kiblat, Allah ‎ﷻ tiba-tiba masuk menyebut tentang perkara yang umum tentang kehidupan.

Setiap orang dari kita ada tujuan hidup kita. Yang kita luangkan masa kita setiap hari ke arahnya. Mungkin ada yang hendak jadi ahli sukan yang berjaya, jadi dia akan berlatih bersungguh berhari-hari. Mungkin orang lain tujuannya adalah untuk mendapatkan rumah idamannya, jadi mereka akan memikirkan bagaimanakah mereka boleh mendapatkannya. Soalan sekarang kepada kita: Apakah tujuan hidup kita?

Dalam zaman sekarang, malangnya ada manusia yang langsung tidak ada tujuan dalam hidup. Mereka hanya berehat dan membuang masa sahaja. Antaranya mereka akan membuang masa di hadapan TV dan menonton apa sahaja yang ada di TV. Lepas satu rancangan, satu lagi dan lagi. Mereka tidak mahu berfikir dan menggunakan akal mereka untuk kebaikan. Mereka tentunya tidak melazimi majlis ilmu. Mereka tidak membuat benda yang berfaedah, seperti membaca, menolong orang lain dan sebagainya. Orang Islam sekarang pun banyak macam ini sekarang. Ini amat menyedihkan sekali. Allah ‎ﷻ tegur mereka dalam ayat ini.

 

فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرٰتِ

Maka berlumba-lumbalah kalian kepada kebaikan;

Yang penting bukannya arah kiblat itu, tetapi amalan yang baik yang kena diamalkan. Tak perlu hendak bertelagah tentang arah kiblat itu dengan puak penentang yang bising-bising sahaja. Hadapkan fokus kepada berbuat amal kebaikan. Maka berlumbalah pada melakukan sebanyak-banyak amalan kebaikan selagi hidup di dunia ini. Makna berlumba itu adalah: kalau ada orang yang buat amal kebaikan, kita kena buat lebih lagi kerana hendak menandingi dia. Inilah perlumbaan yang tidak ada orang yang akan kalah.

Jadi ini adalah panggilan atau anjakan paradigma untuk kita sebenarnya. Kita sekarang sibuk untuk berjaya dalam hidup, untuk dapat kekayaan, anak-anak yang berjaya kerjayanya dan lain-lain lagi hal dunia. Sekarang Allah hendak kita ubah paradigma itu dan suruh kita tumpukan perhatian kepada amal kebaikan. Allah tak pernah suruh kita bersegera kerja, cari harta, cari anak isteri. Akan tetapi yang Allah banyak suruh bersegera adalah beramal ibadat seperti ayat ini dan ayat-ayat lain. Perhatikan ayat Ali Imran:133

وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم وَجَنَّةٍ عَرضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ أُعِدَّت لِلمُتَّقينَ
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

Perhatikan juga Dzariyat:50

فَفِرّوا إِلَى اللهِ 
Maka segeralah kembali kepada (mentaati) Allah.

Perhatikan juga Mukminoon:60-61 apabila Allah menceritakan sifat-sifat orang mukmin.

وَالَّذينَ يُؤتونَ ما آتَوا وَّقُلوبُهُم وَجِلَةٌ أَنَّهُم إِلىٰ رَبِّهِم رٰجِعونَ
Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut, (kerana mereka tahu bahawa) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka,

أُولٰئِكَ يُسٰرِعونَ فِي الخَيرٰتِ وَهُم لَها سٰبِقونَ
mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehnya.

Allah juga berfirman di dalam Maidah:48

وَلَو شاءَ اللهُ لَجَعَلَكُم أُمَّةً وٰحِدَةً وَلٰكِن لِّيَبلُوَكُم في ما ءآتٰكُم ۖ فَاستَبِقُوا الخَيرٰتِ ۚ إِلَى اللهِ مَرجِعُكُم جَميعًا فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم فيهِ تَختَلِفونَ
Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu,

Sedangkan mencari hal dunia, bukanlah dilarang, tapi biasa-biasa sahaja cukuplah seperti firman Allah di dalam Mulk:15 yang mengatakan ‘berjalan’ sahaja.

هُوَ الَّذي جَعَلَ لَكُمُ الأَرضَ ذَلولًا فَامشوا في مَناكِبِها وَكُلوا مِن رِّزقِهِ ۖ وَإِلَيهِ النُّشورُ
Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezekiNya; dan kepada Allah jualah  dibangkitkan hidup semula.

Ingatlah yang tujuan hidup kita adalah untuk mentaati Allah ‎ﷻ untuk sampai ke syurga akhirnya. Allah gunakan kalimah اسْتَبِقُوا yang membawa maksud ‘berlumbalah kalian’. Maka kita kena berlumba-lumba ke arah kebaikan. Inilah perlumbaan yang mulia. Setiap orang tidak sama pencapaian mereka. Akan sampai satu masa, perlumbaan ini akan tamat iaitu apabila kita menemui maut dan apabila telah kiamat. Waktu itu, keputusan akan diberikan. Apakah pencapaian kita? Adakah kita sudah puas dengan usaha kita setakat ini?

Selepas kalimah فَاسْتَبِقُوا dan sebelum kalimah الْخَيْرٰتِ sepatutnya adalah harf jar, akan tetapi dihilangkan. Jadi sepatutnya dari segi bahasa ia jadi فَاسْتَبِقُوا إلى الْخَيْرٰتِ atau فَاسْتَبِقُوا فى الْخَيْرٰتِ. Kalau فَاسْتَبِقُوا إلى الْخَيْرٰتِ, maka hendaklah mula buat kebaikan. Kalau فَاسْتَبِقُوا فى الْخَيْرٰتِ bermakna kamu sudah buat kebaikan maka teruskanlah. Akan tetapi dua-dua tidak ada kerana Allah tujukan ayat ini kepada mereka yang belum buat kebaikan dan juga kepada mereka telah buat kebaikan. Dua-dua kena bersegera.

‘Ketaatan’ yang dimaksudkan itu boleh jadi macam-macam. Secara spesifik dalam ayat ini adalah tentang mengerjakan Haji dan Umrah kerana kita sedang membicarakan tentang MasjidilHaram. Tetapi, ia boleh juga digunakan untuk apa-apa sahaja amalan agama dan kerja-kerja kebaikan yang kita boleh lakukan. Kita lakukan semua itu atas dasar ketaatan kepada Allah ‎ﷻ.

Dan di dalam kita melakukan segala amal ibadah dan kebaikan itu, hendaklah kita berlumba atau bersegera melakukannya. Kalau boleh jangan dilengahkan kerana kita tidak tahu masa hadapan bagaimana. Kalau kita lengahkan, entah kita tidak dapat melakukannya di masa hadapan. Dan apabila kita bersegera melakukannya, menunjukkan kita bersemangat melakukannya. Kerana itulah solat yang afdhal adalah di awal waktu. Walaupun selagi dilakukan di dalam waktunya, ia tetap sah, akan tetapi dianjurkan untuk melakukannya di awal waktu. Begitu juga dengan pembayaran zakat dan sebagainya.

Bukan sahaja ibadah, tapi amal kebaikan yang lain pun kita hendaklah bersegera. Syaitan memang akan membisikkan kita untuk melengahkan amal kebaikan, kerana syaitan tahu kalau ia dilengahkan, ada kemungkinan kita tidak akan lakukan akhirnya. Inilah senjata talbis iblis dan namanya adalah taswif (dari سوف yang bermaksud ‘akan’). Allah juga telah memberi isyarat di dalam Anfal:24,

يأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا استَجيبوا لِلَّهِ وَلِلرَّسولِ إِذا دَعاكُم لِما يُحييكُم ۖ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ يَحولُ بَينَ المَرءِ وَقَلبِهِ وَأَنَّهُ إِلَيهِ تُحشَرونَ
Hai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kamu, ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepada-Nya-lah kamu akan dikumpulkan.

Pengajaran daripada ayat Anfal:24 ini adalah apabila kita ada peluang untuk melakukan amalan kebaikan (atau meninggalkan dosa) maka teruslah buat, jangan ditangguh-tangguh kerana entah nanti ada perkara yang menghalangnya di masa hadapan seperti sakit yang mendatang. Jangan lepaskan peluang. Atau, Allah ‎ﷻ ubah atau menarik balik keinginan untuk melakukan kebaikan itu daripada hati kita.

Kenapa Allah suruh kita berlumba-lumba? Kerana ada beberapa sebab,

1. Perkara kebaikan itu terhad. Kalau kita lambat, maka kita mungkin kehilangan peluang. Contohnya, mungkin ada yang memerlukan bantuan kewangan. Kalau kita lambat beri, mungkin orang lain sudah beri dan dia tidak perlukan lagi.

2. Umur kita pendek dan terhad. Kalau kita umur panjang, bolehlah berlengah. Tapi had umur kita tidak tahu, jadi kena ambil peluang selagi ada.

3. Kita tidak tahu ajal kita, entah hari ini, entah esok. Kalau berlengah, maka terlepas peluang untuk buat pahala sebagai bekal kita di akhirat.

Jadi dalam bahagian mana yang kita perlu berlumba-lumba di dalam kebaikan? Terlalu banyak kebaikan yang kita boleh lakukan, akan tetapi kalau perlukan panduan untuk bermula, boleh gunakan senarai di dalam Baqarah:177

لَّيسَ ٱلبِرَّ أَن تُوَلُّواْ وُجُوهَكُم قِبَلَ ٱلمَشرِقِ وَٱلمَغرِبِ وَلَـٰكِنَّ ٱلبِرَّ مَن ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱليَومِ ٱلأَخِرِ وَٱلمَلَـٰٓٮِٕڪَةِ وَٱلكِتَـٰبِ وَٱلنَّبِيِّـۧنَ وَءَاتَى ٱلمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ ذَوِى ٱلقُربَىٰ وَٱليَتَـٰمَىٰ وَٱلمَسَـٰكِينَ وَٱبنَ ٱلسَّبِيلِ وَٱلسَّآٮِٕلِينَ وَفِى ٱلرِّقَابِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّڪَوٰةَ وَٱلمُوفُونَ بِعَهدِهِم إِذَا عَـٰهَدُواْ‌ۖ وَٱلصَّـٰبِرِينَ فِى ٱلبَأسَآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَحِينَ ٱلبَأسِ‌ۗ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ‌ۖ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلمُتَّقُونَ
|
Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.

Dari sejarah, kita boleh melihat bagaimana Umar berlumba-lumba dengan Abu Bakr dalam hal sedekah. Diantaranya apa yang dikatakan oleh Umar bin Khattab Radhiyallahu ‘Anhu sebagaimana dalam hadits yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, Tirmidzi dan yang lainnya. Di mana beliau berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam telah memerintahkan kita semua untuk bersedekah dan Umar bin Khattab Radhiyallahu ‘Anhu ingin mengalahkan Abu Bakar Ash Shiddiq Radhiyallahu ‘Anhu.

أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَتَصَدَّقَ ، وَوَافَقَ ذَلِكَ مَالا عِنْدِي ، فَقُلْتُ : الْيَوْمَ أَسْبِقُ أَبَا بَكْرٍ ، إِنْ سَبَقْتُهُ يَوْمًا ، فَجِئْتُ بِنِصْفِ مَالِي ، فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” مَا أَبْقَيْتَ لأَهْلِكَ ؟ ” ، قُلْتُ : مِثْلَهُ ، وَأَتَى أَبُو بَكْرٍ بِكُلِّ مَا عِنْدَهُ ، فَقَالَ لَهُ : ” يَا أَبَا بَكْرٍ ، مَا أَبْقَيْتَ لأَهْلِكَ ؟ ” قَالَ : أَبْقَيْتُ لَهُمُ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ، فَقُلْتُ : لا أُسَابِقُكَ عَلَى شَيْءٍ أَبَدًا .
“Rasulullah Shallallahu ’Alaihi wa Sallam memerintahkan kami untuk bersedekah, maka kami pun melaksanakannya. Umar berkata: ‘Semoga hari ini aku boleh mengalahkan Abu Bakar’. Aku pun membawa setengah dari seluruh hartaku. Sampai Rasulullah Shallallahu ’Alaihi wa Sallam bertanya: ‘Wahai Umar, apa yang kau sisakan untuk keluargamu?’. Kujawab: ‘Semisal dengan ini’. Lalu Abu Bakar datang membawa seluruh hartanya. Rasulullah Shallallahu ’Alaihi wa Sallam lalu bertanya: ‘Wahai Abu Bakar, apa yang kau sisakan untuk keluargamu?’. Abu Bakar menjawab: ‘Ku tinggalkan bagi mereka, Allah dan Rasul-Nya’. Umar berkata: ‘Demi Allah, aku tidak akan bisa mengalahkan Abu Bakar selamanya”
(Jami’ Tirmidzi no 3675. Status Hasan (Darussalam)).

 

أَيْنَ مَا تَكُونُوا يَأْتِ بِكُمُ اللَّهُ جَمِيعًا

Di mana sahaja kamu berada, Allah akan kumpul kamu semua sekali kelak;

Allah ‎ﷻ boleh menghimpunkan kamu sekali gus. Jauh mana pun kamu berada, mati di mana walaupun dalam perut harimau, Allah ‎ﷻ akan himpun semua sekali. Jadi ini mengingatkan kita kepada kematian kita yang pasti datang. Kita tentunya tidak akan kekal hidup. Sampai satu masa, perlumbaan di dunia ini akan tamat dan Allah ‎ﷻ akan menjalankan perhitungan untuk menilai di manakah tahap seseorang itu dalam pencapaian mereka. Yang penting waktu itu adalah kita telah banyak melakukan amalan yang baik.

 

إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu.

Ingatlah yang Allah ‎ﷻ berkuasa untuk melakukan apa-apa sahaja mengikut kehendak Dia. Salah satunya, mematikan kita. Ini hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu bila ia akan berlaku. Maka kena sentiasa ingat kepada mati.

Dan satu lagi, Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh menentukan bila Kiamat akan berlaku. Itu dalam kuasa penuh Allah ‎ﷻ.


 

ARAHAN UNTUK MENGADAP KE MASJIDILHARAM

Baqarah Ayat 149: Di dalam ayat 144 telah disebut penukaran kiblat ke Mekah. Kejadian penukaran itu terjadi ketika baginda di masjid Bani Salamah. Mungkin ada yang menduga hanya tukar kiblat itu di situ sahaja, maka ada penegasan bahawa penukaran kiblat ini di semua tempat.

وَمِن حَيثُ خَرَجتَ فَوَلِّ وَجهَكَ شَطرَ المَسجِدِ الحَرامِ ۖ وَإِنَّهُ لَلحَقُّ مِن رَّبِّكَ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغٰفِلٍ عَمّا تَعمَلونَ

Sahih International

So from wherever you go out [for prayer, O Muhammad] turn your face toward al- Masjid al-Haram, and indeed, it is the truth from your Lord. And Allah is not unaware of what you do.

Malay

Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan.

 

وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ

Dan dari mana sahaja engkau keluar;

Arahan ini diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ, iaitu jika dalam musafir. Kerana nanti baginda juga akan keluar musafir ke banyak tempat. Dan bukan hanya kepada baginda, akan tetapi kepada semua umat baginda. Jadi bukan kena jaga kiblat semasa bermukim sahaja, tapi kalau luar kawasan juga.

 

فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ

hadapkanlah wajahmu ke arah Masjidilharam;

Di mana sahaja berada, kena menghadap MasjidilHaram dalam salat. Ada sahabat yang sangka mereka kena menghadap MasjidilHaram apabila mereka berada di Masjid Nabi sahaja atau di Masjid Bani Salamah sahaja. Ayat ini Allah ‎ﷻ menekankan bahawa walau di mana sahaja berada, termasuk apabila keluar dari Madinah, mereka kena menghadap ke MasjidilHaram. Kena cari arah kiblat dalam solat.

 

وَإِنَّهُ لَلْحَقُّ مِنْ رَّبِّكَ

Dan sesungguhnya ia adalah benar dari Tuhanmu;

Hukum menghadap ke kiblat semasa musafir itu benar dari Allah ‎ﷻ. Maka kena taat. Jangan culas dalam hal ini. Kena tahu cara hendak mencari arah kiblat. Ini kerana ia adalah perintah dari Allah. Dan ia tidak akan berubah sampai bila-bila.

 

وَمَا اللَّهُ بِغٰفِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Dan tidaklah Allah lalai dengan apa sahaja yang kalian lakukan.

Allah ‎ﷻ akan mengambil kira segala perbuatan kita dan akan membalas segala perbuatan kita itu. Tidak ada yang terlepas daripada pandangan Allah ‎ﷻ. Segala usaha kita untuk menentukan kiblat terutama sekali ketika kita bermusafir, akan diambil kira dan akan mendapat pahala. Kerana kalau di rumah dan masjid kita, senanglah hendak mengadap kiblat kerana telah ada. Tapi bagaimana kalau kita luar kawasan? Sudah kena tanya orang, kena pakai kompas. Alhamdulillah zaman sekarang sudah mudah sebab kita ada smartphone yang datang sekali dengan kompas di dalamnya. Tapi bayangkan orang-orang dahulu. Mereka kena tengok bintang, kena belajar ilmu falak, atau sekurang-kurangnya kena tanya orang untuk mengetahui kerana hendak menjaga solat mereka. Semua usaha itu akan mendapat pahala dari Allah.

Arahan ini memang senang kepada kita sekarang kerana kita memang dari mula salat pun sudah mula menghadap ke Baitullah. Namun bayangkan apakah yang perlu dihadapi oleh para sahabat pada waktu itu. Bukan semua dalam keluarga mereka menganut agama Islam. Ada ahli keluarga mereka yang beragama Yahudi dan ada yang Kristian. Jadi hati mereka sebenarnya hendakkan kalau satu keluarga menghadap kepada satu kiblat yang sama. Jadi amat payah untuk mereka untuk mengubah kiblat. Tetapi mereka terpaksa juga melakukan seperti yang diarahkan oleh Allah ‎ﷻ.

Ada juga orang munafik yang menghadap juga ke BaitulMaqdis apabila tidak ada orang yang melihat. Itu sebabnya Allah ‎ﷻ kata Dia tahu apa yang mereka lakukan. Apa yang mereka lakukan itu adalah kesalahan dan mereka akan dibalas dengan kesalahan yang mereka lakukan itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 29 November 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Maariful Qur’an

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

3 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 147 – 149 (Berlumba dalam melakukan kebaikan)”

  1. Saya telah periksa dan dapati bahawa hadith tirmidzi 3527 ini diiktirafkan sebagai hadith dhaif olih Muhammad Nashiruddin Al AlBani

    Like

Leave a comment