Tafsir Surah Baqarah Ayat 133 – 135 (Nabi Ibrahim tidak musyrik)

Baqarah Ayat 133: Beginilah cara Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberi wasiat agama kepada anak-anak baginda. Lihat bagaimana jawapan anak-anak baginda.

أَم كُنتُم شُهَداءَ إِذ حَضَرَ يَعقوبَ المَوتُ إِذ قالَ لِبَنيهِ ما تَعبُدونَ مِن بَعدي قالوا نَعبُدُ إِلٰهَكَ وَإِلٰهَ ءَابَآٮِٕكَ إِبرٰهِـۧمَ وَإِسمَـٰعِيلَ وَإِسحَـٰقَ إِلٰهًا وٰحِدًا وَنَحنُ لَهُ مُسلِمونَ

Sahih International

Or were you witnesses when death approached Jacob, when he said to his sons, “What will you worship after me?” They said, “We will worship your God and the God of your fathers, Abraham and Ishmael and Isaac – one God. And we are Muslims [in submission] to Him.”

Malay

(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika dia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?” Mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)”.

 

أَمْ كُنْتُمْ شُهَدَاءَ إِذْ حَضَرَ يَعْقُوبَ الْمَوْتُ

Adakah kamu hadir ketika ajal sudah hampir kepada Nabi Ya’qub?

Setelah diberitahu tentang wasiat Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu, Ahli Kitab jawab yang wasiat baginda lain, bukan begitu. Maka, Allah ‎ﷻ tanya kembali kepada mereka, adakah mereka hadir waktu wasiat itu disampaikan? Adakah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ suruh anak-anaknya beragama dengan agama Yahudi? Kerana di dalam mana-mana kitab mereka tidak disebut perkara itu. Jadi kenapa mereka mendakwa Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ suruh mereka beragama Yahudi? Atau mereka hanya mendengar-dengar sahaja apa yang disampaikan oleh pendeta-pendeta mereka?

Sekarang, Allah ‎ﷻ tanya soalan ini kepada kita pula. Adakah kita hadir waktu itu? Tentulah kita tidak ada masa itu. Tuhan tanya itu kerana hendak memberitahu kepada kita. Kalau Allah ‎ﷻ tidak beritahu, kita pun tidak tahu. Ketika telah datang alamat-alamat kematian kepada Nabi Ya’qub ‎عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, baginda telah memanggil kesemua anak-anaknya.

 

إِذْ قَالَ لِبَنِيهِ

Ketika Nabi Ya’qub berkata kepada anaknya:

Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah cucu kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, anak kepada Nabi Ishak عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ada 12 orang anaknya semua sekali. Ini mengajar kita untuk berwasiat tentang perkara agama terhadap anak cucu kita. Merekalah yang akan menjadi saham pahala buat kita nanti setelah kita tiada, maka kena pastikan yang mereka itu tetap agama mereka. Jangan anggap mereka itu terus pandai sahaja, sebaliknya kena tanya. Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Tahrim:6

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا قوا أَنفُسَكُم وَأَهليكُم نارًا وَقودُهَا النّاسُ وَالحِجارَةُ عَلَيها مَلٰئِكَةٌ غِلاظٌ شِدادٌ لّا يَعصونَ اللَّهَ ما أَمَرَهُم وَيَفعَلونَ ما يُؤمَرونَ
Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.

Jadi kena ambil i’tibar daripada perkara ini. Kenapa ia perlu dilakukan?

1. Ibubapa rapat dengan anak-anak mereka. Orang yang rapat yang patut memberi nasihat.

2. Tugas ibubapa terutama bapa sebagai ketua rumah yang sepatutnya mengajar agama kepada anak-anak. Begitulah contoh yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ seperti firman-Nya di dalam Tahrim:6 di atas dan juga Shuaraa’:214

وَأَنذِر عَشيرَتَكَ الأَقرَبينَ
Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat,

Dan lihat juga Taha:132

وَأمُر أَهلَكَ بِالصَّلاةِ وَاصطَبِر عَلَيها
Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.

3. Sebagai pendakwah, orang ramai akan melihat keberkesanan dakwah dalam kalangan keluarganya. Kalau keluarga pendakwah itu sendiri kelam kabut, orang hendak terima pun payah juga. Kadangkala seorang pendakwah hanya pandai berdakwah kepada orang lain sahaja sedangkan anak isterinya dibiarkan sahaja jadi rosak. Ini tidak patut.

 

مَا تَعْبُدُونَ مِنْ بَعْدِي

“Apakah yang kamu akan sembah selepas aku?”

Maksud ‘selepas aku’ adalah ‘selepas aku mati’. Perkara penting yang ditanya oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada anak-anaknya adalah apakah yang mereka akan sembah apabila baginda sudah tiada nanti. Baginda menggunakan perkataan مَا تَعْبُدُونَ – *apakah* yang akan kamu sembah – Kalau baginda tanya *siapakah* yang kamu akan sembah, tentulah mereka sudah tahu jawapannya – Allah ‎ﷻ. Tetapi Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan perkataan ‘apa’ kerana manusia boleh menyembah macam-macam – berhala, harta, perempuan, pangkat dan sebagainya. Begitulah manusia yang sesat banyak menyembah perkara yang tidak ada nyawa seperti berhala dan sebagainya.

Perkataan مِنْ بَعْدِي – selepas aku tiada – itu bermaksud suatu jangkamasa yang lama sesudah baginda tiada di dunia ini. Itulah yang dirisaukan oleh baginda. Kerana baginda tahu, kalau selepas baginda mati sahaja, tentulah anak-anaknya masih akan sembah Tuhan.

Akan tetapi kalau lama selepas itu bagaimana? Belum tentu lagi. Jadi baginda hendak pastikan yang walaupun baginda sudah lama mati, mereka akan hanya menyembah Allah ‎ﷻ. Baginda beri wasiat supaya mereka ingat wasiat bapa mereka. Wasiat adalah pesanan yang penting untuk disampaikan kepada orang lain.

 

قَالُوا نَعْبُدُ إِلَٰهَكَ وَإِلَٰهَ ءَابَآٮِٕكَ إِبرٰهِـۧمَ وَإِسمَـٰعِيلَ وَإِسحَـٰقَ

Anak-anaknya jawab: “Kami sembah Tuhan kamu dan Tuhan kepada datuk nenek kamu Ibrahim dan Ismail dan Ishak

Inilah tanda yang anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu beriman belaka. Maka jangan kita kutuk mereka.

Menarik jawapan mereka itu: mereka kata mereka akan menyembah Tuhan, Tuhan kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ishak عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini menunjukkan Tuhan kepada semua Nabi itu adalah Tuhan yang sama. Bukan lain-lain – bukanlah Tuhan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lain dan Tuhan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lain.

Ini adalah tempelak kepada Ahli Kitab yang tidak menerima Nabi Muhammad ﷺ daripada rumpun yang sama. Allah ‎ﷻ hendak menekankan bahawa Tuhan kepada semua Nabi-Nabi itu termasuk Nabi Muhammad ﷺ adalah Tuhan yang sama.

 

إِلَٰهًا وٰحِدًا

Iaitu Tuhan yang satu

Tuhan yang sama – Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ tekankan bahawa ilah hanya ada Satu sahaja, iaitu Allah ‎ﷻ. Sebagaimana yang telah diterima juga oleh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan keturunan baginda, keturunan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka Yahudi dan Nasara sebenarnya ikut siapa? Takkan tidak ikut pegangan akidah Nabi-nabi mereka sendiri?

 

وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ

dan adalah kami kepada Tuhan itu berserah diri bulat-bulat”

Yang memberi jawapan sebegini adalah anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Satu lagi nama Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah ‘Israil’. Bermakna, mereka itu semua adalah Bani Israil – Anak-anak Israil – anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mempunyai 12 orang anak, maka Bani Israil ada 12 suku semuanya. Anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang 12 orang itu telah mengatakan bahawa mereka itu ‘Muslim’. Hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja mereka berserah diri kerana kalimah لَهُ di dalam ayat ini ditaqdimkan (didahulukan) yang membawa isyarat eksklusif (hanya). Jadi apa alasan kepada Bani Israil pada zaman Nabi Muhammad ﷺ untuk tidak mahu menerima Islam, sedangkan datuk nenek mereka sendiri mengaku bahawa mereka adalah Muslim?

Bani Israil tidak menerima Islam kerana mereka telah lupa apakah pegangan agama nenek moyang mereka dahulu. Begitu juga orang Islam sekarang. Kita telah lupa apakah pegangan agama datuk nenek kita dahulu. Agama kita adalah agama Islam yang tulen. Tetapi oleh kerana kita telah lama dijajah oleh Barat, maka mereka telah mencemarkan agama kita. Mereka telah memasukkan budaya mereka ke dalam masyarakat kita. Sampaikan kita menjadi keliru.

Contohnya, kita boleh lihat bagaimana majlis perkahwinan kita telah ada elemen-elemen barat. Budaya agama Hindu pun ada juga. Kita sudah tidak pasti mana satu amalan agama yang benar. Barat telah mengajar datuk nenek kita untuk hanya mengamalkan Islam dalam hal-hal tertentu sahaja – semasa nikah, semasa mati dan sebagainya – tetapi dalam perkara yang lain, pegang sedikit-sedikit sahaja. Jadi keturunan kita sebelum ini, tidak mengamalkan Islam yang sebenarnya.

Maka, kita pun sangka begitulah amalan agama yang benar. Padahal, ia tidak begitu. Kalau kita hendak mengamalkan amalan Islam yang sebenar, tidak mahu terlibat dalam persandingan majlis perkahwinan contohnya, ramai yang melenting marah dan kata kita tidak sayangkan adat Melayu. Padahal, bersanding itu tidak ada dalam adat Islam. Kalau kita pergi jauh lagi sebelum zaman mereka, kita akan nampak bagaimana keturunan kita yang dahulu mengamalkan Islam yang lebih tulen.

Maka, anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah orang yang baik-baik. Itu adalah keturunan Bani Israil dan mereka berbangga dengan keturunan mereka itu. Tetapi, janganlah kita hanya bercakap tentang kehebatan orang terdahulu. Kita pun kenalah juga amalkan sebagaimana mereka juga. Kena tengok apakah akidah dan agama mereka supaya kita boleh ikut rapat.

 

Sekarang mari kita bincangkan Komposisi Cincin bagi Makro Ketiga Surah Baqarah. Sila rujuk Ayat 5 untuk pengenalan kepada Komposisi Cincin ini. Makro Ketiga ini berkenaan Legasi Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (ayat 122 – 141). Daripada keseluruhan Makro ini, ia boleh dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama berakhir dengan ayat 133.

Penerangan tentang topik:

[C1]/[C1’] – Bahagian ini bermula dengan Allah ﷻ mengajak Bani Israil memeluk Islam dengan mengingatkan mereka kepada jasa-jasa-Nya. Akan tetapi di bahagian [C1’] Allah ﷻ menyebut hanya mereka yang bodoh sahaja yang enggan ikut agama Nabi Ibrahim. Ia memberi isyarat yang Bani Israil itu bodoh kerana tidak mahu mengambil peluang beriman; ia seperti menolak rahmat daripada Allah ﷻ sendiri.

Di Bahagian [C1] Allah ﷻ menyebut tentang sifat kepemimpinan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Di Bahagian [C1’] Allah ﷻ menyebut kepandaian baginda di dalam menyampaikan agama kepada anak cucunya. Hasilnya agama Tauhid berterusan diamalkan oleh keturunan baginda zaman berzaman.

[C2]/[C2’] – Kedua-dua bahagian ini menyebut tentang keprihatinan terhadap iman anak cucu yang akan ditinggalkan. Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memohon supaya keturunan baginda diselamatkan semua sekali. Di dalam [C3], Allah ‎ﷻ mengatakan tidak semua keturunan baginda akan selamat. Namun doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ supaya Rasul dibangkitkan dalam kalangan anak cucu baginda di dalam [C3’] dimakbulkan oleh Allah ‎ﷻ dengan kebangkitan Nabi Muḥammad ﷺ.

[C3]/[C3’] – Di dalam kedua-dua Bahagian ini menceritakan tentang tanggungjawab Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk menjaga kemurnian Kaʿbah.

[C4] – Di Bahagian tengah ini, dinaqalkan doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ supaya Mekah diberi rezeki dan keamanan. Topik ini penting kerana nanti akan disambung di dalam Bahagian [D] akan pertukaran Kiblat dari Jerusalem (kota yang asyik berperang dan tidak aman) ke Mekah (tempat yang sentiasa aman dalam sepanjang sejarah manusia).


 

Baqarah Ayat 134:

تِلكَ أُمَّةٌ قَد خَلَت ۖ لَها ما كَسَبَت وَلَكُم مّا كَسَبتُم ۖ وَلا تُسأَلونَ عَمّا كانوا يَعمَلونَ

Sahih International

That was a nation which has passed on. It will have [the consequence of] what it earned, and you will have what you have earned. And you will not be asked about what they used to do.

Malay

Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan.

 

تِلكَ أُمَّةٌ قَد خَلَت

Itulah suatu umat yang zaman mereka telah berlalu;

Iaitu daripada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Ishak عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan seterusnya; mereka itu telah mengesakan Allah ‎ﷻ. Mereka di dalam satu pegangan akidah yang sama.

Bani Israil amat berbangga dengan keturunan mereka yang dahulu. Mereka sentiasa mengajar anak-anak mereka tentang kisah umat-umat yang terdahulu. Namun kisah mereka telah lama berlalu.

 

لَهَا مَا كَسَبَتْ

bagi mereka balasan daripada apa yang mereka lakukan

Umat-umat terdahulu itu telah melakukan amalan-amalan mereka. Mereka akan mendapat balasan daripada amalan-amalan mereka. Kalau mereka buat baik, mereka akan mendapat balasan baik. Kamu yang selepas mereka tidak ada apa-apa saham pun daripada kedudukan dan amalan mereka.

 

وَلَكُمْ مَّا كَسَبْتُمْ

dan bagi kamu akan dapat balasan daripada apa yang kamu lakukan

Amalan umat terdahulu adalah untuk mereka. Balasan untuk kita pula adalah apa yang kita lakukan. Kita tidak akan mendapat habuan daripada amalan umat-umat terdahulu itu. Kita kena buat amalan kita sendiri. Maka jangan berbangga sangat kalau kita keturunan Nabi, keturunan ulama’ itu dan ini, tetapi pegangan agama kita salah. Ramai yang berbangga dan rasa selamat kalau mereka keturunan orang alim, orang baik-baik. Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam An’am:164

وَلَا تَكسِبُ ڪُلُّ نَفسٍ إِلَّا عَلَيہَا‌ۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزرَ أُخرَىٰ‌ۚ
Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)

Ini juga mengajar fahaman penting di dalam agama kita yang kita hanya dapat pahala daripada amalan kita sahaja. Tidak ada pahala sedekah, ‘transfer’ pahala dan seumpamanya setelah kita mati kelak. Kita tetap kena buat sendiri amal ibadah untuk membolehkan kita dapat pahala. Dalilnya seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam Najm:39

وَأَن لَيسَ لِلإِنسانِ إِلّا ما سَعىٰ
Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya;

Akan tetapi ada cara untuk mendapatkan pahala yang terus mengalir masuk dalam akaun kita walaupun setelah kita mati. Iaitu dengan melakukan kebaikan yang kesannya berterusan, seperti yang diajar oleh Rasulullah, yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
“Apabila matinya seseorang insan maka akan terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan juga anak soleh (atau solehah) yang mendoakan kepada untuk ibubapanya.”
(Riwayat Muslim No. 1631)

Syarah: maka untuk mendapatkan anak soleh yang berterusan mendoakan kebaikan untuk kita, kita kenalah mendidik mereka dan berwasiat supaya mereka menjaga agama mereka. Mereka ini juga dikira sebagai hasil usaha kita juga kerana kitalah yang mendidik mereka supaya jadi orang yang soleh.

 

وَلَا تُسْأَلُونَ عَمَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ

dan kamu tidak akan ditanya tentang apa yang mereka lakukan;

Kita tidak akan ditanya tentang apa yang umat-umat terdahulu telah lakukan. Yang kita kena tanya adalah amalan kita sahaja. Itu sahaja yang akan ditanya. Jangan kita jadi macam Bani Israil yang hanya berbangga dengan amalan datuk nenek mereka, tetapi lupa hendak berbuat amalan baik untuk diri mereka sendiri.

Banyak antara kita hanya menceritakan tentang kehebatan ulama’-ulama’ terdahulu, keturunan kita yang dahulu, namun lupa tentang diri kita sendiri. Kita ceritakan tentang Tok Kenali contohnya, tetapi kita tidak mengikut jejak langkahnya. Tidak ada siapa pun tanya siapa datuk nenek mereka terdahulu pun. Begitu juga salah faham dengan golongan Habib sekarang. Ramai yang sedang ikut mereka tanpa usul periksa. Ini adalah salah kerana tidak semestinya apa yang mereka bawakan itu benar walaupun mereka keturunan Nabi pun. Orang jahil sahaja yang mahu mengikuti mereka – iaitu mereka yang tidak tahu agama sendiri sampaikan ajaran yang sesat pun boleh diterima.

Kita juga tidak perlu hendak fikirkan apa yang jadi kepada golongan terdahulu yang tidak mengamalkan sunnah, tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan sebagainya. Memang bukan tanggungjawab kita untuk tahu keadaan mereka. Mereka akan dapat balasan mereka dan kita akan dapat balasan atas perbuatan kita. Jadi jangan gunakan alasan amalan tok nenek untuk membenarkan amalan bid’ah kita. Janganlah kata: “Habis tu, takkan kau hendak kata tok nenek kita yang beramal begini dan begitu masuk neraka pula!” Kita tidak kata mereka itu masuk neraka kerana kita tidak jaga pintu neraka. Di sini Allah ‎ﷻ sudah kata kita tidak akan ditanya dan kita tidak dipertanggungjawabkan dengan amalan dan akidah mereka. Amalan mereka bukanlah alasan untuk kita beramal dengan amalan yang tidak ada dalil.

Akan tetapi sebaliknya kita akan ditanya tentang amalan orang bawah kita, kalau kita ajar ajaran yang salah. Kerana kita yang bertanggungjawab mengajar kepada mereka. Ini tsabit daripada hadith Nabi ﷺ,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawasanya Rasulullah ﷺ telah bersabda: “Barang siapa mengajak kepada kebaikan, maka dia akan mendapat pahala sebanyak pahala yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun. Sebaliknya, barang siapa mengajak kepada kesesatan, maka dia akan mendapat dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun.”
(Sahih Muslim No. 4831)

Maka kerana itu kita sangat berhati-hati dalam mengajar. Kena pastikan ajaran kita itu ada sandarannya dari sunnah. Kalau kita ada ajar ajaran salah, maka kita kena perbetulkan balik dengan beritahu kepada anak murid kita. Kalau tulis buku dengan ajaran salah, kena tulis buku yang lain untuk memperbetulkan ajaran yang sebelumnya.

Amat pentingnya pengajaran di dalam ayat ini sehinggakan ia diulang lagi di dalam ayat 141 nanti.


 

PARA NABI ISLAM

Baqarah Ayat 135:

وَقالوا كونوا هودًا أَو نَصَـٰرَىٰ تَهتَدوا ۗ قُل بَل مِلَّةَ إِبرٰهِـۧمَ حَنيفًا ۖ وَما كانَ مِنَ المُشرِكينَ

Sahih International

They say, “Be Jews or Christians [so] you will be guided.” Say, “Rather, [we follow] the religion of Abraham, inclining toward truth, and he was not of the polytheists.”

Malay

Dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) berkata: “Jadilah kamu pemeluk ugama Yahudi atau pemeluk ugama Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk”. Katakanlah (wahai Muhammad: “Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang kamu katakan itu) bahkan kami mengikut ugama Nabi Ibrahim yang tetap di atas dasar Tauhid, dan bukanlah dia daripada orang-orang musyrik”.

 

وَقالوا كونوا هودًا أَو نَصَـٰرَىٰ تَهتَدوا

Dan mereka berkata: Jadilah kamu Yahudi atau Nasara nescaya kamu akan terpimpin;

Ini adalah ayat muqaddar (ada penambahan maklumat yang perlu disampaikan untuk memahaminya) – Yahudi kata kena ikut Yahudi baru terpimpin dan Nasara kata ikut mereka baru terpimpin. Tidaklah mereka kata: “Ikutlah salah satu antara Yahudi dan Nasara, kamu akan terpimpin.”

Cuma Allah ‎ﷻ tidaklah bahagikan ayat ini begini: Yahudi kata kena ikut Yahudi; Nasara kata kena ikut Nasara. Ini adalah kerana Al-Qur’an menggunakan kaedah i’jaz – memendekkan kalimah supaya nampak cantik dan tidak membosankan pembacaan. Allah ‎ﷻ tidak perlu menggunakan penerangan yang penuh. Kerana itulah memerlukan pembelajaran tafsir untuk memahami ayat-ayat sebegini. Begitulah ajaran mereka yang suka mengangkat kelebihan puak. Tetapi agama Allah ‎ﷻ tidak begitu. Allah ‎ﷻ tidak mementingkan puak tetapi Allah ‎ﷻ memandang iman dan amal sahaja.

Namun begitu memang ada pendapat yang mengatakan, mereka sama-sama berkata: “Masuklah Yahudi atau Nasara.” Ini kerana mereka benci kepada Islam. Mereka kata: “Masuklah salah satu daripada Yahudi atau Nasara, asalkan jangan Islam!” Allahu a’lam. Mereka kononnya sangka Yahudi atau agama Nasara itulah sahaja yang betul, bukannya Islam. Itu adalah kata-kata mereka sahaja. Yahudi dan Nasara sebenarnya tidak baik sesama mereka. Tetapi apabila mereka menentang agama Islam, mereka bergabung. Mereka kata biarlah masuk Yahudi atau Nasrani, asalkan bukan Islam. Ini pun adalah kesinambungan dari ayat Baqarah:111

وَقالوا لَن يَدخُلَ الجَنَّةَ إِلّا مَن كانَ هودًا أَو نَصَـٰرَىٰ‌ۗ  تِلكَ أَمانِيُّهُم ۗ قُل هاتوا بُرهَـٰنَڪُم إِن كُنتُم صَـٰدِقِينَ
Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani”. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah ke mari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.

Mereka sangka mereka sahaja yang akan masuk syurga. Mereka bersatu menentang kita, tetapi yang sedihnya kita pula yang berpecah belah sesama kita. Di mana-mana kita lihat perpecahan sesama Muslim. Semua membezakan antara kumpulan masing-masing (Syiah, Sunnah, ASWJ, Aswaja, Tabligh, Salafi, dan lain-lain lagi). Mereka tidak melihat yang mereka semuanya ‘Muslim’. Ini adalah salah satu dari Talbis Iblis. Iblis dan syaitan memang suka umat Islam berpecah dan kita semua telah termakan dengan bisikan syaitan itu. Memang amat menyedihkan dan semoga semakin ramai umat Islam akan sedar tentang perkara ini.

Menjadi Yahudi atau Nasrani tidaklah bermaksud dalam erti menganut agama  mereka, tetapi cukup menganut pandangan hidup atau mengikuti tata-cara kehidupan mereka, dalam bidang ekonomi, sosial budaya, dan sebagainya. Dengan demikian, walaupun orang Yahudi tidak mengajak pihak lain untuk memeluk agamanya, tetapi ajakan untuk mengikuti cara hidup mereka sungguh amat jelas. Rasulullah ﷺ telah mengingatkan bahayanya perkara ini seperti disebut di dalam hadith yang masyhur:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ مَنْ قَبْلَكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ سَلَكُوا جُحْرَ ضَبٍّ لَسَلَكْتُمُوهُ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ
Daripada Abu Sa’id رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Nabi ﷺ bersabda: “Kalian pasti akan mengikuti kebiasaan-kebiasaan orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta hingga seandainya mereka menempuh (masuk) ke dalam lubang biawak kalian pasti akan mengikutinya”. Kami bertanya; “Wahai Rasulullah, apakah yang baginda maksudkan Yahudi dan Nasrani?”. Baginda menjawab: “Siapa lagi (kalau bukan mereka) “.
(Sahih Bukhari No. 3197)

Perhatikan Yahudi dan Nasara ajak masuk agama mereka. Maknanya mereka juga berdakwah walaupun mereka itu ajaran sesat dan kufur. Namun semangat dakwah ada dalam diri mereka. Maka kalau kita kata ajaran kita ajaran yang benar, amat malulah kalau kita tidak berdakwah mengajak orang lain kepada Islam. Ramai yang tidak langsung ada semangat dakwah dalam dirinya, tengok sahaja kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat. Sedangkan para ulama’ dari dahulu sampai sekarang menjalankan dakwah dan amar ma’ruf nahi munkar walaupun mereka dihalang malah dipenjara dan dibunuh kerana dakwah mereka. Kita lihat sekarang bagaimana kerajaan Arab Saudi telah menuju ke arah konsep sekular dan ia ditentang oleh para ulama’ di sana. Akan tetapi kerana hendak menjalankan juga proses sekularisasi itu, kerajaan telah memenjarakan ratusan para ulama’.

Kita yang faham ajaran wahyu dan salafi ini kena jalankan dakwah. Kerana kalau tidak, dakwah akan dipenuhi oleh golongan agamawan yang mengajar ajaran bid’ah dan syirik. Takkan kita hendak biarkan sahaja masyarakat kita diajar dengan perkara-perkara yang salah? Kita kena berikan alternatif kepada mereka. Cuma janganlah kita mengkafirkan mereka kerana bukan kerja kita mengkafirkan orang.

 

قُل بَل مِلَّةَ إِبرٰهِـۧمَ حَنيفًا

Kata kepada mereka: Bahkan sebenarnya ajaran Nabi Ibrahimlah yang lurus

Allah ‎ﷻ suruh kita menolak ajakan mereka itu. Kita kena tolak kerana agama mereka itu tidak benar. Agama mereka telah lama dirosakkan oleh pemuka agama mereka. Maka Allah ‎ﷻ suruh katakan: “Kami tidak akan ikut Yahudi dan Nasara.” Sebaliknya katakan yang kita sebenarnya ikut ajaran Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang juga asal bagi agama Yahudi dan Nasara itu. Namun bukannya mengikut syariat baginda, tetapi mengikut ajaran baginda untuk tidak syirik kepada Allah ‎ﷻ. Mereka sahaja yang hendak mengatakan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu beragama seperti agama mereka. Sedangkan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak kenal pun agama Yahudi dan Nasrani itu. Allah ‎ﷻ menegaskan perkara ini di dalam Ali Imran:67

مَا كَانَ إِبْرٰهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَٰكِن كَانَ حَنِيفًا مُّسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk ugama Yahudi, dan bukanlah dia seorang pemeluk ugama Kristian, tetapi dia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan dia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.

Ini sama macam golongan Asya’irah yang hendak mengabsahkan fahaman akidah mereka, mengatakan Nabi Muhammad ﷺ pun berfahaman Asya’irah! Nak gebang pun agak-agaklah sebab jauh sangat antara Nabi Muhammad ﷺ dan Imam Asy’ari. Bolehlah berhujah dengan hujah ilmiah tetapi janganlah sampai mengatakan perkara yang sah-sah tidak boleh dibuktikan.

Kalimah حَنِيفًا adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘lurus‘. Ia daripada kata dasar: ح ن ف yang bermaksud condong ke satu arah, condong, berpaling daripada kesesatan ke arah hidayah, condong ke arah agama yang benar, tegak berdiri, meninggalkan agama yang sesat. Kalimah ini pada mulanya digunakan untuk menggambarkan tapak kaki dan  kemiringannya kepada tapak pasangannya. Yang kanan condong ke arah kiri, dan yang kiri condong ke arah kanan. Ini menjadikan manusia dapat berjalan dengan lurus. Kelurusan itu, menjadikan si pejalan tidak melencong ke kiri, tidak pula ke kanan. Oleh itu penekanan di sini adalah ajaran Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah hanif, tidak bengkok, tidak memihak kepada pandangan hidup orang-orang Yahudi yang mengajak umat Islam menganut pandangan mereka, dan tidak juga hidup mengarah kepada agama Nasrani yang penganut-penganutnya juga mengajak kaum muslimin, seperti yang telah disebut di atas.

Ada ‘idhofah’ (penambahan) dalam ayat ini. Ada lafaz yang dihazafkan (tidak dimasukkan). Yang lengkapnya adalah: “Kami hanya akan ikut ajaran Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.” Para Rasul diutus Allah ‎ﷻ untuk meluruskan yang miring, atau yang bengkok, dalam pandangan manusia. Yang melakukan pelurusan itu adalah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang dihormati oleh penganut agama Yahudi dan Nasrani. Oleh kerana itu, sangat kena pada tempatnya bahawa Allah ‎ﷻ menganjurkan kepada Nabi Muhammad ﷺ dan umat Islam untuk menjadikan baginda sebagai titik temu.

 

وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

dan tidaklah Nabi Ibrahim itu termasuk orang yang pernah buat syirik kepada Allah;

Selalu disebutkan kepada kita dalam Al-Qur’an bahawa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seorang manusia yang tidak pernah membuat syirik kepada Allah ‎ﷻ. Ini adalah sifat baginda yang terhebat. Bayangkan baginda seorang diri sahaja yang mengamalkan tauhid pada zamannya. Selepas itu baginda dakwah kepada isterinya. Lepas itu anak saudara baginda, iaitu Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Mereka sahaja yang muwahhid (golongan tauhid) pada zaman itu. Kemudian baginda telah menghabiskan masanya hanya untuk berdakwah kepada orang lain namun tidak ada yang mahu menerima Islam. Kerana itulah kalau lihat hadith tentang para Nabi, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memang tidak banyak pengikut.

Akan tetapi kenapa ditekankan dalam ayat ini yang baginda tidak musyrik? Kerana di dalam sejarah Ahli Kitab, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di hujung hayatnya telah berbuat syirik kepada Allah ‎ﷻ. Begitu teruk sekali mereka ubah kitab mereka sampaikan mereka kata seorang Rasul yang mulia telah melakukan syirik kepada Allah ‎ﷻ.

Maka, Allah ‎ﷻ telah membersihkan nama baginda dalam ayat ini dan banyak ayat-ayat yang lain. Kerana itulah kalimah penolakan yang digunakan adalah ما dan bukan لا kerana apabila ما digunakan, ia hendak menolak pemahaman salah manusia.

Satu lagi sebab, Orang Mekah perasan mereka juga Hanif (lurus) kerana mereka ikut ajaran Nabi Ibrahim. Ini adalah kebiasaan bangsa Arab dahulu, sesiapa yang ikut ajaran Nabi Ibrahim mereka gelar Hanif. Namun begitu, Allah ‎ﷻ hendak kata bahawa yang Hanif itu bukan mereka, gelaran itu mereka sahaja gelar diri mereka sendiri dalam masa yang sama, mereka telah melakukan syirik.

Jadi Allah ‎ﷻ kutuk mereka dengan mengatakan mereka itu perasan sahaja mengikut ajaran Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Hanif Ibrahim adalah Hanif yang tauhid tidak syirik. Akan tetapi Hanif Musyrikin Mekah itu pula mengandungi ajaran syirik, maka memang tidak sama. Oleh sebab itu Allah ‎ﷻ beri penekanan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak berfahaman dan beramal dengan amalan syirik dalam ayat ini dan banyak ayat-ayat yang lain.

Memang begitulah manusia, ramai yang perasan mereka muwahhid. Termasuklah umat Islam di negara ini pun. Mereka sangka mereka telah faham tauhid dan agama mereka agama yang tauhid. Namun dek kerana jahil dengan wahyu dan tidak tahu mana tauhid dan mana syirik, ramai yang mengamalkan syirik tanpa sedar.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 6 Julai 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Heavenly Order

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

3 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 133 – 135 (Nabi Ibrahim tidak musyrik)”

  1. Assalamua’laikum..

    Berhubung dgn ayat 134 dan ayat2 lain yg menyatakan tidak pindah pahala seseorang kpd org yg lain termasuk ibubapa. Bagaimana doa yg sentiasa kita baca..Ampunlah kaum muslimin dn muslimat..samada yg hidup atau yg telah mati. Adakah sampai doa ini?

    Like

Leave a reply to Rozita binti Sungit Cancel reply