Baqarah Ayat 125: Kelebihan kedua yang disebut adalah kelebihan Ka’bah. Ia adalah tempat asas agama Nabi Ibrahim عليه السلام dan ia juga adalah tempat asas agama Nabi Muhammad ﷺ. Oleh itu, dalam ayat ini, Allah ﷻ hendak menceritakan kelebihan Mekah pula. Ini adalah kerana ia ada kena mengena dengan kisah Nabi Ibrahim juga. Di dalam ayat sebelum ini disebut Nabi Ibrahim sebagai ikutan. Dan salah satu ikutan baginda yang kita ikuti sampai sekarang adalah berkenaan dengan Baitullah.
Di Mekah ada Ka’bah, ia adalah satu-satunya masjid yang orang salat menghadap ke tengah. Kalau masjid lain, semua mengadap ke dinding, bukan? Tetapi di Ka’bah ini ada kelebihan yang tidak ada pada masjid lain. Ini kita akan bincangkan di sini secara panjang lebar berdasarkan wahyu Ilahi.
Yahudi mencemuh Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda bukan dari keturunan mereka. Dan mereka anggap perbuatan solat mengadap Ka’bah adalah rekaan orang Arab sahaja. Maka sekarang Allah ﷻ hendak memberitahu yang bahawa arahan mengadap Ka’bah itu adalah benar. Ka’bah sendiri dibina (sebenarnya bina semula kerana ia sudah pernah ada) oleh Nabi Ibrahim عليه السلا yang mereka sendiri kenal dan terima sebagai Nabi mereka juga. Dan arahan mengadap Ka’bah itu dari Allah ﷻ juga.
وَإِذ جَعَلنَا البَيتَ مَثابَةً لِّلنّاسِ وَأَمنًا وَاتَّخِذوا مِن مَّقامِ إِبرٰهِـۧمَ مُصَلًّى ۖ وَعَهِدنا إِلىٰ إِبرٰهِـۧمَ وَإِسمَـٰعِيلَ أَن طَهِّرا بَيتِيَ لِلطّائِفينَ وَٱلعَـٰكِفِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجودِ
Sahih International
And [mention] when We made the House a place of return for the people and [a place of] security. And take, [O believers], from the standing place of Abraham a place of prayer. And We charged Abraham and Ishmael, [saying], “Purify My House for those who perform Tawaf and those who are staying [there] for worship and those who bow and prostrate [in prayer].”
Malay
Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): “Bersihkanlah Rumahku (Ka’bah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud”.
وَإِذْ جَعَلْنَا الْبَيْتَ
Dan ingatlah ketika Kami jadikan Baitillah
Kalimah الْبَيْتَ yang dimaksudkan adalah Baitullah (Rumah Allah). Ia adalah rumah ibadat pertama yang didirikan di dunia ini seperti disebut di dalam Ali Imran:96
إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعٰلَمِينَ
Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.
Digunakan istilah rumah kerana rumah adalah tempat kembali untuk beristirehat. Jika seseorang kepenatan setelah bermusafir, atau gelisah kerana apa-apa sahaja punca, maka dia akan kembali ke rumahnya, tempat berehat dan bertenang. Demikian juga dengan Baitullah yang menyebabkan hati manusia selalu terpanggil untuk sampai ke sana. Kalau berada di sana, segala masalah dan kerja di kampung halaman dilupai kerana sibuk untuk beribadah dan kerana seronoknya berada di sana.
Sebelum ini Nabi Ibrahim عليه السلام memohon kepada Allah ﷻ supaya dijadikan daripada keturunannya juga imam-imam yang menjadi ikutan selepas baginda. Sekarang Allah ﷻ terus memperkatakan tentang Ka’bah selepas sentuh tentang keturunan tadi. Ini adalah kerana Ka’bah adalah umpama ‘ibu’ kepada masjid-masjid yang lain di dalam dunia ini. Maka, ada kaitan masjid di dalam pembinaan akhlak anak-anak. Oleh itu ibubapa kena mesrakan anak-anak dengan masjid. Kena bawa mereka ke masjid supaya mereka tidak janggal dengan masjid.
Yang menyedihkan adalah, masjid di Malaysia ini tidak mesra kanak-kanak. Mereka dilayan seperti warganegara kelas ketiga di masjid. Mereka selalu dimarahi apabila mereka berada di masjid. Ini kerana kejahilan mereka yang menguruskan masjid dan surau. Kalau pun mereka dibenarkan salat, mereka diberikan tempat yang jauh daripada orang-orang dewasa. Mereka ada tempat khas salat. Mereka kata ia ‘saf kanak-kanak’ tetapi sebenarnya ia adalah ‘saf kanak-kanak bermain’.
Kemudian mereka selalu dimarahi oleh orang-orang tua di dalam masjid, seolah-olah mereka tidak patut berada di sana. Kalau mereka dapat pengalaman yang tidak bagus tentang masjid semasa umur muda, bagaimana mereka hendak mesra dengan masjid apabila mereka sudah dewasa nanti? Sebab itu orang-orang muda kita tidak rapat dengan masjid kerana pengalaman tidak menarik di sana. Ini kerana ada orang-orang tua yang tidak pandai menjaga hati manusia. Mereka perasan mereka sudah bagus.
مَثَابَةً لِّلنَّاسِ
sebagai satu tempat kembalian bagi manusia
Perkataan مَثَابَةً bermaksud suatu tempat rujukan yang akan didatangi berkali-kali bagi seluruh manusia. Ia dari kata dasar ث و ب yang bermaksud memulangkan, berpatah balik, mengembalikan ke keadaan asal, bertaubat, mengumpulkan, memanggil berkali-kali, mengalir, menjadi banyak, sesuatu yang dipulangkan, membayar balik, tempat pulang, tempat orang berkumpul, rumah, khemah, pakaian. Memang sesiapa yang sudah pergi ke sana akan berharap untuk pergi melawatnya lagi. Ia juga adalah sebagai tempat berkumpul dan berlindung. Zaman Nabi ﷺ dahulu dan sahabat, Mekah adalah tempat rujukan. Jikalau ada pengumuman besar dari kerajaan Islam zaman duhulu untuk disampaikan ke serata dunia Islam, mereka akan lakukannya ketika musim Haji. Khutbah Nabi ﷺ yang paling panjang adalah semasa di Mekah. Cuma zaman sekarang ia menjadi tempat tumpuan semasa musim Haji sahaja.
Padahal pada zaman dahulu, itulah pusat pemerintahan kerajaan Islam. Itulah zaman keemasan Islam. Kalau ada masalah umat islam sedunia, kena selesaikan di sana. Pemimpin Muslim akan berkumpul dan berdiskusi di sana dan pengumuman yang penting-penting akan dilakukan di sana. Terutamanya semasa Musim Haji kerana umat Islam akan berkumpul di sana dan para pemimpin turut akan datang dan berbincang di sana. Pengumuman penting akan dilakukan di sana.
Kalimah مَثَابَةً yang dari katadasar ث و ب yang antara lain bermaksud ‘bayar balik’ yang merujuk kepada pahala. Maka kerana itulah Tanah Haram dan Baitullah adalah tempat kumpul pahala. Solat di MasjidilHaram diberikan dengan pahala yang berganda sehingga 100 ribu kali ganda seperti sabda Rasulullah:
صَلَاةٌ فِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ مِائَةُ أَلْفِ صَلَاةٍ، وَصَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي أَلْفُ صَلاةٍ، وَفِي بَيْتِ الْمَقْدِسِ خَمْسُمِائَةٍ صَلَاةٌ
“Melaksanakan solat di Masjidilharam (pahalanya) sebanding dengan 100,000 kali solat (di masjid yang lain), solat di masjidku (Masjid Nabawi) pahalanya sebanding dengan 1,000 kali solat (di masjid yang lain), sedangkan solat di Baitul Maqdis (MasjidilAqsa) pahalanya sebanding dengan 500 kali solat (di masjid yang lain).”
(Riwayat Bazar, Ibnu Khuzaimah, & Thabrani dari Jabir bin Abdullah)
Ulama’ ada mengatakan salah satu tanda Haji seseorang itu diterima adalah keinginan hatinya untuk kembali ke Mekah. Kalau difikirkan balik, ini adalah sesuatu yang pelik. Kerana Mekah itu bukannya ada apa sangat dari segi pemandangan kerana padang pasir sahaja dan panas. Tapi tetapi memang mereka yang telah pergi ke sana sangat teringin untuk kembali. Ini pun kerana doa Nabi Ibrahim juga seperti disebut di dalam Hajj:37
رَبَّنا إِنّي أَسكَنتُ مِن ذُرِّيَّتي بِوادٍ غَيرِ ذي زَرعٍ عِندَ بَيتِكَ المُحَرَّمِ رَبَّنا لِيُقيمُوا الصَّلَوٰةَ فَاجعَل أَفئِدَةً مِّنَ النّاسِ تَهوي إِلَيهِم وَارزُقهُم مِّنَ الثَّمَرٰتِ لَعَلَّهُم يَشكُرونَ
Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezeki kepada mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.
Memang hati orang Mukmin akan tersangkut dengan Ka’bah. Walaupun kita tidak berada di sana, atau tidak pernah pergi, setiap hari kita akan mengadap kepadanya di dalam solat. Maka kerana itulah hati kita sentiasa tertaut kepadanya.
وَأَمْنًا
dan sebagai satu tempat yang aman;
Allah telah jadikan Baitullah itu sebagai tempat yang aman. Allah telah juga berfirman di dalam Ali Imran:97
فِيهِ ءآيَاتٌ بَيِّنٰتٌ مَّقَامُ إِبْرٰهِيمَ وَمَن دَخَلَهُ كَانَ ءآمِنًا وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعٰلَمِينَ
Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.

Bukan Ka’bah sahaja tempat yang aman akan tetapi Tanam Haram keseluruhannya. Mekah adalah satu tempat yang aman sampaikan binatang dan tumbuhan pun tidak boleh dikacau, apatah lagi manusia. Di Mekah tidak boleh merompak, mencuri dan membunuh. Maka binatang juga tidak boleh dibunuh (melainkan yang membahayakan) dan pokok-pokok pun tidak boleh ditebang atau diambil (kecuali untuk keperluan kehidupan).
Jika pada zaman dahulu, kalau ada yang membunuh keluarganya sendiri, tidak akan seseorang itu membunuh orang yang bersalah itu kalau sudah memasuki ke dalam Masjidil Haram. Sesiapa yang masuk dalam Masjidil Haram tidak akan dibunuh. Kalau seorang waris nampak pembunuh ahli keluarganya pun, dia akan menundukkan muka kerana dia tahu yang dia tidak boleh membalas dendam di Baitullah.
Ayat ini bukan bererti bahawa Ka’bah yang memberi keamanan, tetapi perintah kepada manusia untuk memberi rasa aman kepada siapa yang berkunjung dan masuk ke Ka‘bah. Siapa pun yang masuk ke mssjid di mana Ka’bah itu berada, dia tidak boleh diganggu, kerana Allah menghendaki agar siapa pun yang mengunjunginya dengan tulus, akan merasa tenang dan tenteram, terhindar dari rasa takut terhadap segala macam gangguan lahir dan batin. Kerana itu, manusia diperintahkan untuk mewujudkan kehendak Allah itu. Jadi perkara ini dijaga oleh masyarakat Arab pada waktu itu walaupun mereka itu dipanggil ‘jahiliyyah’. Ini adalah kerana ada lagi saki baki ajaran Nabi Ibrahim pada mereka. Dan memang syariat Islam meneruskan hukum ini. Hanya beberapa ketika sahaja dibenarkan kepada Nabi Muhammad semasa baginda dan umat Islam menakluk Mekah. Hal ini disebut dalam Hadis.
Tetapi malangnya Musyrikin Mekah menghalang Nabi ﷺ daripada salat di Ka’bah. Ini adalah kerana mereka amat benci kepada apa yang disampaikan oleh baginda sampaikan apa yang mereka lakukan selama itu mereka lupakan. Memang Mekah pada zaman itu aman kalau dibandingkan dari tempat-tempat yang lain. Kalau tempat lain, bermaharajela pembunuhan, rompakan dan serangan. Akan tetapi tidak di Mekah kerana penduduk Tanah Arab penyembah berhala waktu itu dan selalunya ada berhala mereka diletakkan di Ka’bah. Maka mereka menghormati juga Ka’bah dan Mekah tidak akan diserang.
Pada waktu itu kerajaan besar adalah Rom dan Parsi. Dua kerajaan ini juga tidak menyerang Mekah kerana tidak ada kepentingan bagi mereka. Mekah itu jauh daripada tamadun dan tidak ada kepentingan bagi mereka. Mereka buat tidak tahu sahaja dengan Mekah. Maka Mekah selamat daripada dijajah. Ia juga terletak di kawasan berbukit yang susah untuk diserang.
Maka kawasan Ka’bah dan sekitarnya adalah tempat yang aman, tidak boleh berlaku kezaliman di situ. Malah tidak boleh diadakan hukuman hadd di situ. Jadi kalau ada pesalah yang melarikan diri dan berlindung di Tanah Haram, maka mereka hanya boleh ditangkap dan dihukum di tempat lain.
Ka‘bah yang disebut sebagai أَمْنًا, memberi kesan bahawa keamanan itu bukan saja menyatu dengan Ka‘bah, tetapi wujudnya sendiri adalah keamanan. Sehinggakan sesiapa sahaja yang mengujunginya dan merasakan kehadirannya sebagai rumah Allah, pasti akan merasakan keamanan. Betapa tidak, bukankah yang berkunjung itu berada di rumah Allah, yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Kuasa, dan Maha Damai?
وَاتَّخِذُوا مِنْ مَّقَامِ إِبرٰهِـۧمَ مُصَلًّى
Dan kamu jadikanlah Maqam Ibrahim sebagai tempat sembahyang;
Allah ﷻ telah memberi arahan kepada kita untuk menjadikan Maqam Ibrahim itu sebagai tempat salat iaitu yang dimaksudkan adalah Salat Sunat. Selepas tawaf, dianjurkan untuk salat sunat di situ. Ayat ini walaupun nampak seperti arahan, tapi ia bukanlah membawa kepada maksud wajib. Cuma ada perincian ulama’ tentang hal ini: Kalau tawaf wajib, maka wajib solat. Akan tetapi kalau tawaf sunat, maka sunat sahaja untuk solat. Iaitu solat berdekatan dengan Maqam Ibrahim ini. Kalau boleh solat berdekatan, maka ini lebih baik. Tapi kalau tidak, boleh sahaja solat di mana-mana kawasan dalam Tanah Haram. Kerana ada juga pendapat yang mengatakan ‘Maqam Ibrahim’ ini merujuk kepada keseluruhan Tanah Haram.
Dalam riwayat ada disebut selepas Rasulullah memberitahu Saidina Umar tentang Maqam Ibrahim itu maka beliau telah bertanya bolehkah solat di situ? Maka kerana itulah turunnya ayat ini. Jadi ini adalah asbabun nuzul bagi ayat ini.
Ini adalah kerana para sahabat enggan solat di belakang maqam kerana mereka tidak ingin ada sesuatu yang menghalang mereka dari terus mengadap Ka’bah. Keengganan itu menjadikan arah di mana Maqam Ibrahim berada seringkali tidak digunakan untuk salat. Untuk itu, Umar ra. mengusulkan kepada Nabi saw. agar arah di mana Maqam itu berada dibenarkan pula untuk menjadi tempat salat. Usul Umar ra. itu diperkenankan Allah, maka turunlah perintah menjadikan Maqam Ibrahim sebagai tempat salat. Bahkan kini, tempat itu menjadi “rebutan” pengunjung Ka‘bah.
Maksud مَّقَامِ bermaksud ‘tempat berdiri’. Ulama memberikan banyak makna kepada Maqam Ibrahim itu. Yang paling masyhur adalah ianya adalah bekas tapak kaki Nabi Ibrahim pada batu itu semasa baginda berpijak di batu tersebut semasa membina Kaabah bersama Nabi Ismail. Ada yang kata dulu ianya bukanlah batu tapi seperti tanah liat. Itulah sebabnya boleh ada bekas tapak kaki baginda. Dan lama-lama keras tanah itu jadi keras. Tapi kalau kita kata begitu, tidaklah ada kelebihan apa sangat pada batu itu. Sememangnya kita terima ianya memang batu. Ianya adalah salah satu mukjizat yang Allah tunjukkan kepada manusia. Seperti juga semasa kisah Nabi Musa semasa kainnya dilarikan batu. Batu itu hidup bergerak dan selepas itu Nabi Musa memukulnya sampai meninggalkan bekas. Batu yang Nabi Ibrahim jugakan sebagai alas itu semacam satu lif kepada baginda. Apabila Nabi Ibrahim hendak meletakkan batu Kaabah di bahagian atas, batu itu akan membawanya ke atas. Kalau nak bergerak ke kiri, batu itu akan bergerak ke kiri. Saidina Anas bin Malik pernah menyebut yang beliau ada nampak bekas tapak kaki itu.
Kedudukannya sekarang adalah mengadap ke pintu Ka’bah. Dahulu ia bersandar dengan Ka’bah dan kemudian Saidina Umar menempatkannya di tempat ia berada sekarang. Ia adalah kerana apabila manusia solat di situ, maka ia mengganggu orang ramai hendak melakukan tawaf. Akan tetapi kita akan beritahu ada kritikan terhadap pendapat ini.
Ada juga pendapat yang mengatakan Maqam Ibrahim bukanlah tempat berdiri baginda ketika mendirikan Ka’bah akan tetapi ketika baginda mendirikan solat. Kerana itulah kita disunatkan untuk mendirikan solat di sini sebagai mengikut sunnah baginda.
Jadi Maqam Ibrahim bukanlah kubur baginda pula (orang Melayu panggil kubur makam). Kerana kubur dalam bahasa Arab adalah maqbarah. Takut ada pula orang kita yang sangka Nabi Ibrahim disemadikan di situ pula. Ini kerana memang ada yang berpendapat begitu dan menjadikan ini sebagai dalil boleh adanya kubur dalam masjid. Sedangkan perkara ini tidak dibenarkan di dalam Islam.
Tetapi bekas tapak kaki itu telah ditutup supaya mereka yang pergi ke sana, tidak nampak. Itu pun orang sudah sapu dan cium bekas yang diletakkan batu itu sebab mereka hendak mengambil berkat. Ini adalah perbuatan yang salah. Manusia kalau iman tidak kuat, mereka akan cari benda-benda seperti itu untuk diambil sebagai berkat.
Kenapa Maqam Ibrahim ini penting? Ianya untuk kita di zaman ini adalah sebagai simbol jejak Nabi Ibrahim. Kita disuruh untuk ikut ajaran agama baginda. Dalam bahasa kita pun kita selalunya menggunakan perkataan ‘jejak langkah’. Begitu jugalah dalam hal ini. Kita disuruh ikut jejak langkah baginda dalam beragama. Nabi Ibrahim pengasas kepada agama yang sampai kepada kita. Asas ajaran Islam dari dia. Itulah sebabnya di dalam Al-Qur’an kita disuruh mengambil dari Nabi Ibrahim, ‘ugama bapa kamu’.
Sebelum kita meneruskan lagi, ada baiknya kita jelaskan bahawa Kiblat adalah tapak di bawah Ka’bah, bukannya Maqam Ibrahim. Dan makna Maqam Ibrahim pun boleh jadi macam-macam seperti yang kita jelaskan di atas tadi. Yang pasti adalah kita mengadap ke Ka’bah dalam solat kita dan bukannya Maqam Ibrahim itu.
Dari segi hukum, perintah ini adalah sunat untuk solat di Maqam Ibrahim itu. Iaitu sunat solat tawaf lepas tawaf di situ. Ada mengatakan bahawa sunat jikalau kita melakukan tawaf sunat dan wajib jika melakukan tawaf wajib.
Satu lagi mengatakan bahawa perintah ini adalah salah satu dari perintah yang dinamakan Amar Irsyadi. Iaitu sesuatu perintah yang memudahkan kita dalam kehidupan kita. Bukan melibatkan pahala jika membuatnya. Bermakna, kita disuruh untuk solat di Maqam Ibrahim itu supaya orang boleh tawaf dengan selesa dan kita tidak solat betul-betul di situ. Kerana kedudukannya adalah jauh sedikit dari dinding Ka’bah, maka kita tidak mengganggu orang lain. Amar Irsyadi ini juga sama macam suruhan ambil dua saksi perempuan di dalam urusan perniagaan. Dalam surah Baqarah dikatakan bahawa hendaklah mengambil dua saksi. Tetapi jikalau perempuan, dua orang perempuan sama dengan seorang saksi lelaki kerana seorang perempuan boleh mengingatkan seorang lagi. Ini adalah kerana pada zaman itu, perempuan tidak biasa berurusan dalam perniagaan. Oleh kerana itu, mereka mungkin tidak biasa. Jadi itulah kerana mereka memerlukan lebih lagi saksi. Tapi pada zaman sekarang, tidak ada beza lagi, malahan ada perempuan yang lagi pandai dari lelaki, tidaklah perlu untuk menggunakan perintah ini secara zahirnya. Dengan memegang pendapat ini, tidaklah Islam dikatakan sebagai memandang rendah kepada wanita.
Ada yang kata Khalifah Umar ubah kedudukan Maqam Ibrahim. Mereka kata sepatutnya ia dekat betul dengan dinding Ka’bah. Tapi sebenarnya, semasa ia dekat dengan dinding Ka’bah itu adalah kerana orang letakkan di situ selepas ianya hanyut selepas banjir. Umar buat itu pun bukan dia buat sendiri tapi selepas berbincang dengan para sahabat yang lain. Kedudukan sekarang adalah kedudukan yang sepatutnya sepertimana dari dulu semasa zaman Nabi Ibrahim lagi. Ini semua adalah kerja-kerja puak Syiah yang telah memesongkan cerita untuk memburukkan Saidina Umar.
Allah ﷻ sedang memberi isyarat tentang ibadat Haji dalam ayat ini. Sedangkan ayat ini diturunkan semasa umat Islam ketika itu berada di Madinah dan mereka tidak boleh ke Mekah lagi kerana masih dikuasai oleh puak Musyrikin Mekah. Maka, Allah ﷻ sedang memberi isyarat kepada mereka bahawa mereka akan dapat pergi buat Haji ke Mekah nanti. Ia adalah isyarat kepada berita gembira untuk mereka. Iaitu nanti mereka akan dapat menguasai Mekah dan dapat mengerjakan ibadah Umrah dan Haji dengan aman.
وَعَهِدْنَآ إِلَىٰ إِبرٰهِـۧمَ وَإِسمَـٰعِيلَ
Dan ketika Kami titahkan arahan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail
Perkataan عهد bermaksud ‘perjanjian’, tetapi apabila ditambah dengan perkataan إِلَىٰ, ia bermaksud arahan untuk melakukan sesuatu. Allah ﷻ sebut juga Nabi Ismail عليه السلام dalam ayat ini. Maknanya ada arahan titah daripada Allah ﷻ kepada mereka berdua. Arahan Allah ini juga telah disebut di dalam Hajj:26
وَإِذ بَوَّأنا لِإِبرٰهيمَ مَكانَ البَيتِ أَن لّا تُشرِك بي شَيئًا وَطَهِّر بَيتِيَ لِلطّائِفينَ وَالقائِمينَ وَالرُّكَّعِ السُّجودِ
Dan (ingatlah), ketika Kami memberikan tempat kepada Ibrahim di tempat Baitullah (dengan mengatakan): “Janganlah kamu mensyirikkan sesuatu pun dengan Aku dan sucikanlah rumah-Ku ini bagi orang-orang yang thawaf, dan orang-orang yang beribadat dan orang-orang yang ruku’ dan sujud.
Dalam ayat sebelum ini, Nabi Ibrahim عليه السلام berdoa supaya keturunannya juga dijadikan sebagai imam. Allah ﷻ beritahu yng janji-Nya itu tidak diberikan kepada orang yang zalim. Tetapi dalam ayat ini, Allah ﷻ menyebut Nabi Ismail عليه السلام, anaknya. Bermakna, ada dari keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام yang baik-baik. Antaranya yang disebut adalah Nabi Ismail عليه السلام. Maka ini adalah satu berita yang amat gembira baginya.
Ingatlah bahawa ayat ini sedang dibaca oleh orang Yahudi juga. Mereka tidak menerima Nabi Ismail عليه السلام kerana Nabi Ismail عليه السلام adalah bapa bagi keturunan Arab. Orang Yahudi hanya menerima Nabi Ishak عليه السلام sahaja, anak Nabi Ibrahim عليه السلام juga. Oleh kerana Orang Yahudi tidak menerima Nabi Ismail عليه السلام, Allah ﷻ memuliakan Nabi Ismail عليه السلام dalam ayat ini.
Ayat ini menceritakan Allah ﷻ memberi arahan kepada Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Ismail عليه السلام. Ini juga sebagai isyarat bahawa seorang ayah kena bawa anaknya ke masjid. Bukan pergi seorang sahaja kerana anak itu perlu dididik. Kita telah sebutkan sebelum ini yang seorang ayah kena mesrakan anak ke masjid. Masalah sekarang, ayah pun jarang ke masjid. Kalau ayah pun tidak ke masjid, bagaimana anaknya hendak ikut ke masjid?
Dalam ayat ini arahan juga diberikan kepada Nabi Ismail عليه السلام. Maka ini bermakna yang baginda sudah dewasa. Dulunya baginda ditinggalkan semasa bayi lagi. Dan sekarang mungkin sudah berumah tangga kerana dalam sirah kita dapat yang baginda bernikah kepada puak Jurhum yang datang ke sana.
أَنْ طَهِّرَا بَيْتِيَ
supaya menyucikan rumahKu ini;
Lihatlah Allah mengatakan Ka’bah itu بَيْتِيَ (rumahKu) dan kerana itulah nama lain baginya adalah Baitullah (rumah Allah). Dengan ini Ka’bah telah diangkat kedudukannya menjadi mulia dan salah satu syiar utama agama Islam. Nabi Adam عليه السلام yang mula-mula sekali membangunkan kembali Ka’bah (kerana kita tidak tahu dengan pasti siapakah yang mula-mula membinanya). Dari kisah Israiliyat, ada disebut yang para malaikat yang mula membina asasnya di dunia, dan diteruskan oleh Nabi Adam. Kemudian ia telah rosak bila banjir besar Nabi Nuh عليه السلام. Maka dikatakan Nabi Nuh عليه السلام telah membetulkannya balik. Kemudian manusia berbuat syirik dan letak berhala di Ka’bah. Lama kelamaan ia telah hilang ditelan zaman. Dan sekarang disebut yang Allah ﷻ telah arahkan mereka berdua (Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail) untuk menyucikan Ka’bah daripada benda-benda yang pernah mengotori Ka’bah. Pada zaman Nabi Muhammad ﷺ telah ada macam-macam kemungkaran di Ka’bah ketika itu. Maknanya, dari zaman Nabi Nuh عليه السلام lagi sudah ada orang buat perangai syirik di situ. Ia telah dijadikan tempat memuja selain Allah ﷻ.
Maka kerana itu Allah ﷻ mengarahkan mereka berdua untuk membersihkan Ka’bah. Akan tetapi pada waktu itu berkemungkinan tidak ada berhala di situ kerana tidak ada penempatan manusia di situ. Kerana itu Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail عليهما السلام kena membersihkannya dari kekotoran fizikal. Tapi bukan kekotoran fizikal sahaja yang perlu dibersihkan akan tetapi kekotoran akidah dan kekufuran. Nabi Ibrahim yang telah pernah berhadapan dengan kaum yang menyembah berhala sedar tentang bahayanya amalan syirik itu maka kerana itulah baginda berdoa supaya baginda dan anak cucunya diselamatkan dari menyembah berhala seperti disebut di dalam Ibrahim:36 walaupun ia belum terjadi lagi.
وَإِذ قالَ إِبرٰهيمُ رَبِّ اجعَل هٰذَا البَلَدَ ءآمِنًا وَاجنُبني وَبَنِيَّ أَن نَّعبُدَ الأَصنامَ
Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berkata: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Mekah), negeri yang aman, dan jauhkanlah aku berserta anak cucuku daripada menyembah berhala-berhala.
Kalau diambil maksud umum, maka bukan Masjidil Haram sahaja yang perlu dibersihkan, akan tetapi semua masjid kerana semua masjid adalah ‘rumah Allah’, bukan? Dalilnya Nur:36 di mana Allah menggunakan istilah بُيوتٍ untuk merujuk kepada masjid.
في بُيوتٍ أَذِنَ اللهُ أَن تُرفَعَ وَيُذكَرَ فيهَا اسمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فيها بِالغُدُوِّ وَالآصالِ
Bertasbih kepada Allah di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan dan disebut nama-Nya di dalamnya, pada waktu pagi dan waktu petang
Maka ini adalah arahan untuk memastikan semua masjid di dunia ini bersih dari segi fizikal dan tidak dilakukan perkara kufur dan syirik di dalamnya. Kerana itulah sepatutnya masjid-masjid itu bersih kerana membersihkan masjid adalah kerja yang mulia. Akan tetapi malangnya kalau kita ke tandas masjid sekarang, ada yang kembang tekak kita untuk menjalankan urusan kita di dalamnya. Kerana umat Islam ramai yang tidak ada adab dan tidak mengamalkan cara kebersihan yang diajar di dalam Islam. Bayangkan Rasulullah mengajar kita untuk membersihkan diri apabila ke masjid dan malah melarang orang yang makan bawang untuk datang ke masjid kerana ia boleh mengganggu jemaah lain. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
مَنْ أَكَلَ مِنْ هَذِهِ الشَّجَرَةِ ـ يَعْنِي الثُّومَ ـ فَلاَ يَقْرَبَنَّ مَسْجِدَنَا
Sesiapa yang makan dari pohon ini (iaitu bawang putih) maka janganlah dia mendekati masjid kami.
Riwayat Al-Bukhari (853)
Jadi membersihkan masjid adalah kerja yang mulia. Kalau sekarang kita perhatikan Kerajaan Arab Saudi amat menjaga perkara ini dan kita boleh lihat kebersihan yang mereka jaga. Menarik kalau kita lihat bagaimana cara kontraktor sekarang membersihkan kawasan Ka’bah itu dengan efisien sekali. Dan kerana mulianya perbuatan membersihkan masjid, maka Rasulullah memuliakan orang yang membersihkan masjid. Lihat satu kisah yang ramai rasanya tahu tentangnya,
أَنَّ امْرَأَةً سَوْدَاءَ كَانَتْ تَقُمُّ الْمَسْجِدَ أَوْ شَابًّا فَفَقَدَهَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَسَأَلَ عَنْهَا – أَوْ عَنْهُ – فَقَالُوا: مَاتَ، قَالَ: أَفَلَا كُنْتُمْ آذَنْتُمُونِي. قَالَ: فَكَأَنَّهُمْ صَغَّرُوا أَمْرَهَا أَوْ أَمْرَهُ. فَقَالَ: دُلُّونِي عَلَى قَبْرِهِ، فَدَلُّوهُ، فَصَلَّى عَلَيْهَا، ثُمَّ قَالَ: إِنَّ هَذِهِ الْقُبُورَ مَمْلُوءَةٌ ظُلْمَةً عَلَى أَهْلِهَا، وَإِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ يُنَوِّرُهَا لَهُمْ بِصَلَاتِي عَلَيْهِمْ.
Ada seorang wanita atau pemuda berkulit hitam bekerja sebagai tukang sapu masjid. Ketika Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam tidak menemukan orang tersebut baginda bertanya (kepada sahabat) tentangnya. Mereka mengatakan bahawa orang itu telah meninggal dunia. Kata Nabi sallahu ‘alaihi wasallam: “Kenapa kamu semua tidak beritahu kepadaku?” Perawi hadis ini berkata: “Seolah-olah para sahabat menganggap remeh kematian orang itu.” Lalu kata Nabi: “Tunjukkanlah kepadaku kuburnya.” Maka ditunjukkan mereka kepada baginda kuburnya, lalu baginda solat (jenazah) ke atasnya. Kemudian baginda bersabda: “Kubur ini sangat gelap bagi penghuninya. Sesungguhnya Allah ‘azza wa jalla akan meneranginya setelah aku solat di atasnya.”
Riwayat Muslim (no. 956) daripada hadis Abu Hurairah
Nabi marah kerana baginda sudah berpesan kalau wanita itu mati, diberitahu kepada baginda. Akan tetapi para sahabat tidak melakukannya kerana kematiannya di malam hari dan mereka tidak menganggap wanita itu penting kerana orang biasa sahaja pada mereka (sedangkan tidak, beliau seorang yang mulia kerana kebiasaan beliau membersihkan masjid). Di dalam riwayat yang lain ada disebut nama wanita itu dan kenapa beliau dimuliakan oleh Rasulullah. Walaupun ia dhaif akan tetapi ia menjelaskan hadis sahih di atas.
كَانَتْ امْرَأَةٌ بِالْمَدِينَةِ تَقُمُّ الْمَسْجِدَ فَمَاتَتْ فَلَمْ يَعْلَمْ بِهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَمَرَّ عَلَى قَبْرِهَا فَقَالَ مَا هَذَا الْقَبْرُ؟ فَقَالُوا أُمُّ مِحْجَنٍ، قَالَ الَّتِي كَانَتْ تَقُمُّ الْمَسْجِدَ؟ قَالُوا نَعَمْ، فَصَفَّ النَّاسَ فَصَلَّى عَلَيْهَا ثُمَّ قَالَ أَيَّ الْعَمَلِ وَجَدْت أَفْضَلَ؟ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَسْمَعُ؟ قَالَ مَا أَنْتُمْ بِأَسْمَعَ مِنْهَا، فَذَكَرَ أَنَّهَا أَجَابَتْهُ قَمَّ الْمَسْجِدِ.
Ada seorang wanita di Madinah yang selalu membersihkan masjid. Kemudian dia meninggal dunia dan Nabi salahu ‘alaihi wasallam tidak tahu tentang kematiannya. Nabi sallahu ‘alaihi wasallam melalui kuburnya lalu bertanya: “Kubur siapakah ini?” Para sahabat menjawab: “Ummu Mihjan.” Nabi bertanya lagi: “Yang membersihkan masjid?” Para sahabat menjawab: “Ya.” Nabi dan para sahabat lalu berbaris dan bersolat untuknya. Kemudian Nabi bertanya (kepada Ummu Mihjan): “Amalan apakah yang kamu dapati merupakan sebaik-baik amalan?” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah dia dengar?” Nabi menjawab: “Dia lebih dengar daripada kamu semua.” Kemudian Nabi menyebut bahawa dia menjawab: “Membersihkan masjid.”
Diriwayatkan oleh Abu al-Syeikh dalam Thawab al-A’mal daripada hadis ‘Ubaid bin Marzuq secara mursal (daif).
Begitu juga ada riwayat daripada hadis Buraidah yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (no. 7101) yang menyebutkan nama wanita tersebut sebagai Ummu Mihjan. Hadis Buraidah ini dinilai sebagai hasan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari.
Maka kita jangan lepaskan peluang membersihkan masjid. Libatkanlah diri dengan masjid dan berkhidmatlah dengan masjid di kawasan kita. Sekurang-kurangnya jangan kotorkan masjid apabila kita berada di sana. Saya teringat satu kisah arwah Tuan Guru Nik Aziz yang disampaikan oleh pemandunya. Kebiasaan beliau adalah berhenti pada masjid di hening hari di dalam musafirnya dan secara senyap-senyap membersihkan tempat wuduk. Beliau mengambil peluang untuk menambah pahala dan tidak mahu orang tahu mengenainya. Semoga Allah merahmati roh beliau.
Ingat kembali bahawa arahan Allah kepada Nabi Muhammad dan para sahabat ini diberikan ketika mereka berada di Madinah iaitu setelah mereka terpaksa berhijrah meninggalkannya. Maknanya mereka sekarang jauh, jadi bagaimana hendak membersihkannya? Maka ada isyarat yang umat Islam kena mengambil alih Ka’bah itu dari puak Musyrikin Mekah. Cuma arahan jihad menakluk Tanah Haram belum dikeluarkan lagi buat masa ini. Tapi isyarat telah diberikan dan nanti kita akan bertemu ayat arahan Allah untuk menukarkan kiblat dari BaitulMaqdis ke Ka’bah nanti. Dan akhirnya pada Tahun 8 Hijrah umat telah cuba mengerjakan Umrah akan tetapi mereka ditahan dan terjadilah Perjanjian Hudaibiyah. Ini kita akan belajar di dalam Surah Fath. Kemudian apabila perjanjian itu dilanggar oleh Musyrikin Mekah, maka ia telah membawa kepada serangan umat Islam yang menakluk Mekah pada tahun ke 9 Hijrah. Dengan itu berjayalah Nabi Muhammad untuk membersihkan Ka’bah dan Tanah Haram dari berhala yang banyak berada di sekitarnya. Dan Rasulullah telah mengarahkan para sahabat yang diketuai oleh Abu Bakr untuk menyampaikan larangan kepada musyrik untuk tawaf lagi di Ka’bah. Ini nanti kita belajar di dalam Surah Tawbah.
لِلطَّائِفِينَ
bagi orang orang yang tawaf
Diutamakan dan didahulukan Ka’bah untuk orang yang tawaf di situ. Ini kerana di Ka’bah sahaja tempat tawaf. Sebab itulah dibolehkan melintas mereka yang salat sunat untuk mengerjakan tawaf kerana ia adalah khas di Ka’bah sahaja.
Sebab keutamaan mengerjakan tawaflah yang menyebabkan penjaga-penjaga di sekeliling Ka’bah akan berusaha untuk memberikan ruang untuk mereka yang tawaf.
وَٱلعَـٰكِفِينَ
dan orang-orang yang i’tikaf;
I’tikaf bermaksud masuk masjid dan niat untuk duduk dalam masjid untuk beberapa lama. Ia dari kata dasar ع ك ف yang bermaksud menyusun, berterusan dalam sesuatu, menahan, menyendiri. Jadi ia bukan hanya masuk sahaja. Macam sekarang, orang kita faham kalau masuk masjid untuk salat sahaja, sudah dikira i’tikaf. Walaupun memang ada pendapat yang mengatakan masuk sesaat pun boleh berniat i’tikaf, tapi pendapat yang lebih kuat, kenalah duduk lama.
Sebenarnya, i’tikaf itu adalah masuk dan tidak keluar selama beberapa waktu yang lama. Maknanya, sudah lain makna i’tikaf sekarang dengan yang sepatutnya. I’tikaf hanya boleh dilakukan di masjid, maka kita tidak boleh i’tikaf atas kubur. Yang i’tikaf di kuburan itu adalah golongan quburiyyun, termasuk golongan Habib sekarang.
Dari segi bahasa, i’tikaf itu adalah ‘bertapa’. Selalunya selama sehari semalam (walaupun ada juga pendapat yang mengatakan boleh waktu pendek, walaupun sesaat). Tetapi dalam Islam, tidak ada syariat untuk bertapa. Jadi, i’tikaf kita hanya boleh dilakukan di masjid. Bukanlah itu lebih baik? Daripada bertapa di gunung, bukit, lembah atau dalam kubur?
Tetapi tarekat-tarekat sesat telah mengajar anak murid mereka untuk bertapa di tempat-tempat kotor macam itu. Mereka reka satu amalan pula: bersuluk. Kononnya boleh meningkatkan maqam/darjat ilmu. Masih banyak lagi dilakukan sekarang. Ini adalah kerana masih ramai lagi yang tertipu dengan ajaran-ajaran sesat sebegitu. Ini kerana jahil agama sahaja. Memang yang jahil-jahil sahaja akan masuk tarekat.
وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ
dan bagi orang yang rukuk dan sujud;
Maksudnya, Ka’bah adalah tempat untuk manusia mendirikan sembahyang. Walaupun yang dimaksudkan adalah solat, akan tetapi Allah menyebut dua perbuatan utama di dalamnya. Mengingatkan kita bahawa ketika melakukan rukuk dan sujud ini kita kenalah merendahkan diri kepada Allah dan sedar kepentingan perbuatan kita itu.
Maknanya, Ka’bah itu adalah tempat bagi orang tawaf, i’tikaf dan melakukan salat. Daripada ayat ini, yang kita disuruh buat di Ka’bah adalah banyakkan membuat tawaf, i’tikaf dan salat di Masjidil Haram. Bukanlah kita disuruh buat umrah banyak-banyak kali macam yang dilakukan oleh ramai orang sekarang. Maka tidak sepatutnya orang buat umrah sampai dua tiga kali. Ada yang buat sampai tujuh kali (sampai lembik mereka di sana). Sahabat tidak ada buat begitu. Kecualilah kalau mereka ada urusan lain dan keluar semula. Iaitu mereka keluar itu kerana ada urusan. Banyak yang salah faham tentang perkara ini. Sampai ada yang buat umrah banyak-banyak kali. Selalunya mereka hendak mengejar sampai cukup tujuh kali buat Umrah. Ini adalah kerana salah faham dengan hadith Nabi ﷺ yang mengatakan kalau tujuh kali umrah, bersamaan pahala dengan buat Haji sekali. Tetapi hadith itu tidak sahih maka tidak boleh dijadikan sebagai hujah. Kita kena lihat amalan Nabi dan sahabat. Adakah Nabi ﷺ buat umrah banyak kali setiap kali Nabi ﷺ pergi ke sana? Tidak, bukan? Maka sepatutnya kita buat umrah sekali, kemudian kita banyakkan buat ibadat tawaf seperti yang diisyaratkan dalam ayat ini.
Jadi, tuntutan kepada kita apabila berada di Masjidil Haram adalah melakukan tawaf, i’tikaf dan salat sahaja. Yang buat umrah banyak kali itu, mereka sudah tidak sempat untuk salat sunat di Masjidil Haram. Sebab tidak sempat untuk mengejar masa ke tempat miqat. Mereka buat benda yang tidak perlu dibuat sampai tertinggal buat benda yang sepatutnya dilakukan. Atau, mereka sudah tidak buat salat sunat dan ibadah lain sebab mereka sudah tidak larat untuk ke sana sini. Padahal, setiap kali salat di Masjidil Haram, pahala salat itu akan digandakan sebanyak seratus ribu kali. Ini adalah dari hadith yang sahih yang kita telah kongsikan di atas. Adakah Nabi ﷺ menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda kalau buat umrah banyak kali? Tidak. Manakala apabila mereka mengerjakan umrah banyak kali, mereka tidak akan melakukan tawaf sunat lagi. Maka yang sebetulnya kena banyakkan salat dan tawaf di Masjidil haram. Rugi kalau kita tidak solat di Masjidil haram banyak kali sebab satu waktu bersamaan seratus ribu pahala berbanding salat di tempat lain.
Lihatlah juga keindahan bahasa Al-Qur’an yang tepat. Allah ﷻ sebut:
Kalimah لِلطَّائِفِينَ untuk orang-orang yang bertawaf
Kalimah وَالْعَاكِفِينَ: DAN orang-orang yang beriktikaf
Kalimah وَالرُّكَّعِ DAN orang-orang yang rukuk
Dan kalimah السُّجُودِ bermaksud Sujud. Tidak ada kata DAN di antara rukuk dan sujud kerana dua-dua ada dalam salat.
Begitu juga ada susunan yang tepat ‘daripada sedikit kepada banyak’ dalam susunan ibadah-ibadah itu:
Tawaf: ibadat yang paling kurang di antara semua ibadah yang disebut. Kerana hanya boleh dilakukan di Ka’bah sahaja.
I’tikaf: lagi banyak dilakukan oleh manusia. Kerana boleh dilakukan di mana-mana masjid jami’ (masjid yang diadakan solat Jumaat padanya) sedangkan tawaf hanya boleh dilakukan di Ka’bah sahaja. Tetapi lagi kurang daripada rukuk.
Rukuk: lagi banyak dilakukan daripada i’tikaf. Tetapi lagi kurang daripada sujud. Ia adalah sebahagian dari solat yang boleh dilakukan di mana-mana sahaja, tidak perlu di masjid atau surau.
Sujud: paling banyak dilakukan. Kita rukuk sekali sahaja dalam satu rakaat, tetapi sujud dua kali. Dan manusia juga boleh melakukan sujud sunat (tidak ada rukuk sunat) jadi bilangan sujud itu lebih banyak lagi.
Lihat juga ada perubahan susunan daripada ibadat yang khas kepada ibadat yang umum. Tawaf adalah khusus bagi orang yang berada di MasjidilHaram, kemudian i’tikaf yang boleh dilakukan di masjid dan kemudian solat yang boleh dilakukan oleh semua orang. Begitulah hebatnya Allah ﷻ susun perkataan dan kalimah di dalam Al-Qur’an. Begitulah kalau setakat baca tanpa belajar tafsir dan melakukan tadabbur, kita tidak akan berjumpa hal ini. Amatlah rugi bagi kebanyakan umat Islam yang tidak mengendahkan pengetahuan tentang Al-Qur’an.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 16 November 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain
TafsirWeb
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA


