ARAHAN UNTUK TAAT KEPADA NABI
Baqarah Ayat 106: Apabila Yahudi ada peluang untuk mengkritik agama Islam, mereka akan kritik. Dengan ini mereka dapat menimbulkan kemusykilan dan keraguan di hati manusia sampaikan mereka takut untuk menerima kebenaran. Antara hujah yang mereka gunakan adalah tentang penukaran kiblat dari BaitulMaqdis ke Ka’bah. Sebab itulah penting untuk kita faham dan mahir agama kita sendiri supaya mereka tidak ada peluang untuk mengkritik agama kita. Jangan kita pula termakan dengan kritikan mereka.
Masalah timbul apabila kita sendiri tidak faham agama sendiri. Disebabkan ramai tidak faham agamalah, yang menyebabkan Syiah boleh mendapat pengaruh banyak dari kalangan orang Islam di negara ini. Apabila Syiah menyampaikan dakyah mereka kepada orang-orang kita yang tidak ada asas agama, senang untuk mereka masuk Syiah kerana mereka senang ditipu. Begitulah kalau tidak ada ilmu agama (manusia boleh tipu, syaitan pun senang tipu). Begitu juga, mudah orang kafir seperti Kristian menipu umat Islam yang jahil tentang agamanya.
Antara hujah yang mereka gunakan untuk menimbulkan sangsi kepada agama Islam adalah tentang nasikh mansukh. Dalam Al-Qur’an memang ada ayat yang telah dimansukhkan hukumnya. Tidak banyak ayat yang dimansukhkan dan ulama’ khilaf tentang bilangannya, malah ada yang berkata tidak ada ayat yang sebenarnya dimansukhkan (kerana ada penggunaannya juga pada waktu-waktu tertentu). Oleh itu, kita katakan dalam salah satu pendapat, hanya ada lima sahaja ayat Al-Qur’an yang telah dimansukhkan. Ia masih lagi dibaca tetapi hukumnya telah dimansukhkan.
Jadi Yahudi telah mengkritik perkara ini dengan mengatakan: “agama apakah ini? Sekejap begitu dan sekejap begini. Dahulu boleh dan sekarang tidak boleh?” Mereka kata, kalau benar Islam adalah agama Tuhan, tidak mungkin begini. Mereka telah mengambil kesempatan dalam perkara ini. Mereka memang tidak mahu menerima Al-Qur’an maka mereka sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan Al-Qur’an. Mereka berhujah yang Tuhan pasti tidak akan mengubah sesuatu yang telah ditetapkanNya kerana Dia pasti tahu apa yang telah terjadi dan akan terjadi. Mereka juga berhujah kalaulah Allah mengubah hukum, ini bermakna dulunya Allah tidak tahu, asalnya diberi satu hukum dan kemudian melihat ia tidak sesuai, diubah pula. Maka Allah ﷻ sendiri menjawab kritikan mereka di dalam ayat ini.
Oleh itu, ini adalah ayat berkenaan Nasikh dan Mansukh untuk menjawab tohmahan dari puak Yahudi yang hendak menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat Islam. Ada kitab tafsir yang kata ada beberapa ratus ayat Al-Qur’an telah dimansukhkan. Imam Suyuti رحمه الله pula dalam kitab tafsirnya Tafsir Jalalain, berkata ada hanya 20 sahaja ayat yang dimansukhkan. Syah Waliyullah رحمه الله pula kata hanya 4 ayat sahaja yang dimansukhkan. Maulana Husin Ali juga berkata hanya 4 ayat sahaja yang dimansukhkan. Dan 4 ayat tersebut walaupun dikatakan telah dimansukhkan, boleh lagi digunakan dalam sesetengah situasi dengan beberapa syarat. Maknanya, kalau sesuai pada keadaan tertentu, masih boleh digunakan ayat itu. Maknanya, secara efektifnya tidak ada ayat yang mansukh pun.
Contohnya ayat tentang wasiat. Ada ayat Al-Qur’an yang kata orang kafir tidak boleh menerima harta pusaka. Seorang yang asalnya kafir, apabila telah masuk Islam, dan keluarganya masih kafir. Hukum dari ayat Al-Qur’an adalah, orang kafir tidak boleh menerima harta pusaka dari orang Islam walaupun keluarga sendiri. Maknanya, kalau seorang ayah telah masuk Islam dan dia mati, anaknya tidak dapat mewarisi harta pusaka ayahnya yang telah masuk Islam itu. Tetapi dari ayat yang lain, ada juga mengatakan bahawa seseorang Muslim, dia masih boleh mewasiatkan sebanyak 1/3 dari hartanya kepada sesiapa yang dia hendak beri (asalkan bukan penerima pusaka). Jadi ada penggunaan ayat itu lagi di tempat-tempat yang tertentu.
Contohnya, walaupun ibu bapanya masih kafir, dia boleh wasiatkan lagi sebahagian dari hartanya. Syaratnya adalah, orang yang mati itu membuat wasiat itu semasa dia hidup. Ini juga boleh digunakan untuk orang yang memberi wasiat kepada orang yang bukan ahli keluarganya. Contohnya, seseorang boleh memberi wasiat kepada anak angkatnya, sebanyak 1/3 juga. Itu adalah hadnya. Maknanya, walaupun ada ayat yang mengatakan orang kafir tidak boleh menerima harta pusaka, tetapi masih lagi boleh orang yang berwasiat kepada had 1/3 dari keseluruhan hartanya. Cuma, wasiat tidak boleh diberikan kepada penerima pusaka. Ia hanya dibolehkan beri kepada orang yang bukan penerima pusaka. Maknanya, tidak boleh memberi wasiat kepada anak-anaknya.
Jadi, ayat yang dikatakan telah dimansukhkan itu, masih boleh lagi dipakai jikalau kena dengan syaratnya. Bukan senang kita hendak kata bahawa ayat Allah ﷻ telah dimansukhkan. Ini bukan ayat-ayat biasa, tapi ia adalah Kalam Allah ﷻ. Maka ulama’ berhati-hati kalau mereka kata sesuatu ayat itu telah dimansukhkan. Tentunya ini memerlukan perbincangan khusus berkenaannya dan boleh dirujuk perbincangan ulama’ tentang perkara ini.
Salah satu perkara yang dimansukhkan adalah kitab-kitab wahyu sebelum Al-Qur’an diturunkan, iaitu Taurat, Injil dan Zabur. Apabila Al-Qur’an diturunkan, syariat di dalam kitab-kitab sebelumnya tidak terpakai lagi kerana semua umat manusia kena pakai syariat di dalam Al-Qur’an ini. Itulah yang Yahudi marah sebab kitab mereka yang dimansukhkan.
Ada juga pendapat yang mengatakan yang dimansukhkan di dalam ayat ini bukanlah ayat-ayat Al-Qur’an akan tetapi mukjizat. Ini kerana kalimah ءَايَةٍ juga boleh diterjemahkan untuk membawa maksud ‘mukjizat’. Maka mukjizat para Nabi yang dahulu itu telah digantikan dengan mukjizat Al-Qur’an yang kekal sampai sekarang.
Tidak ada masalah pun kalau Allah mansukhkan hukum-hukum syariat yang dahulu. Kerana yang lebih penting, akidah tidak berubah-ubah kerana ia tetap dahulu sampailah bila-bila pun.
ما نَنسَخ مِن ءَايَةٍ أَو نُنسِها نَأتِ بِخَيرٍ مِّنها أَو مِثلِها ۗ أَلَم تَعلَم أَنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ
We do not abrogate a verse or cause it to be forgotten except that We bring forth [one] better than it or similar to it. Do you not know that Allah is over all things competent?
Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?
مَا نَنْسَخْ مِنْ ءَايَةٍ
Tidaklah dimansukh dari mana-mana ayat;
Penggunaan kata مَا (tidak) digunakan sekali lagi dalam ayat ini. Penggunaan kata مَا digunakan apabila hendak menyanggah sesuatu pendapat (bukan hendak kata ‘tidak’ sahaja). Ia adalah hendak menjawab pertanyaan orang Yahudi yang mempersoalkan kenapa Kitab Taurat mereka dimansukhkan, padahal ia juga adalah Kalam Allah ﷻ.
Kalimah نَنسَخ dari kata dasar ن س خ yang bermaksud hapus, musnah, batal, hilang, sorok, pindah, tukar, ganti, salin, buang. Bahasa Melayu pun menggunakan kalimah ‘mansuh’ dari kata dasar ini. Naskh adalah penjelasan berhentinya hukum syari’at dengan jalan syar’i yang datang setelahnya”. Mansukh pula ada perbuatan melakukan naskh itu. Sebagai contoh, hukum yang telah dimansukhkan adalah khamr. Asalnya ia boleh diminum seperti disebut di dalam Nahl:67
وَمِن ثَمَرٰتِ النَّخيلِ وَالأَعنٰبِ تَتَّخِذونَ مِنهُ سَكَرًا وَرِزقًا حَسَنًا ۗ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لِّقَومٍ يَعقِلونَ
Dan dari buah kurma dan anggur, kamu buat minuman yang memabukkan dan rezeki yang baik. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang memikirkan.
Dan disebut juga di dalam Baqarah:219
يَسأَلونَكَ عَنِ الخَمرِ وَالمَيسِرِ ۖ قُل فيهِما إِثمٌ كَبيرٌ وَمَنٰفِعُ لِلنّاسِ وَإِثمُهُما أَكبَرُ مِن نَّفعِهِما
Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya
Kemudian hukum itu telah berubah menjadi haram hanya ketika hendak solat seperti disebut di dalam Nisa’:43
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَقرَبُوا الصَّلَوٰةَ وَأَنتُم سُكٰرىٰ حَتّىٰ تَعلَموا ما تَقولونَ
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan.
Akhirnya pengharaman khamr menjadi sempurna di dalam ayat Maidah:90
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِنَّمَا الخَمرُ وَالمَيسِرُ وَالأَنصابُ وَالأَزلٰمُ رِجسٌ مِّن عَمَلِ الشَّيطٰنِ فَاجتَنِبوهُ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ
Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perkara buruk termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan.
Satu lagi tafsir bagi kalimah ءَايَةٍ adalah mukjizat. Ini kerana asal ءَايَةٍ adalah bermaksud ‘tanda’ dan mukjizat para Nabi menjadi tanda bagi status kenabian mereka. Kalau dipakai maksud ini, ia bermaksud Allah ganti mukjizat para Nabi yang dahulu dengan mukjizat Nabi Muhammad, iaitu Al-Qur’an. Tongkat Nabi Musa walaupun hebat sangat, tapi sekarang entah di mana, tiada siapa yang tahu. Nabi Isa walaupun hebat kisahnya menyembuhkan manusia dan malah menghidupkan orang yang mati, akan tetapi kejadian itu tidak dapat dilihat lagi. Akan tetapi mukjizat Al-Qur’an boleh dilihat di mana-mana sekarang, asalkan mahu mengkajinya.
أَوْ نُنْسِهَا
atau Kami menyebabkan ia dilupakan;
Iaitu dihilangkan dari hati Nabi Muhammad ﷺ. Iaitu memang Allah hendak membatalkan ayat itu maka Allah menjadikan baginda lupa. Akan tetapi pendapat ini dikritik. Mereka lebih suka menggunakan qira’at نُنسِئُها yang bermaksud ‘Kami menangguhkan’.
Atau Allah ﷻ hilangkan dari digunakan oleh manusia. Iaitu kitab-kitab dari Kalam Allah ﷻ yang telah hilang ditelan zaman. Macam Kitab Taurat dan Injil, kita sampai sekarang tidak jumpa kitab yang asli lagi.
Kalau yang dimaksudkan adalah mukjizat, maka mukjizat para Nabi dahulu memang tidak dapat dilihat sekarang. Orang yang nampak kejadian itu pun sudah lama tiada.
Cuma memang ada ayat-ayat Al-Qur’an yang tidak dibaca lagi tapi hukumnya masih ada. Kata al-Imam al-Khatib al-Baghdadi rahimahullah (W. 463 H): Nasakh di dalam al-Quran terbahagi kepada tiga bahagian: Nasakh hukum dengan mengekalkan rasm (ayat Al-Qur’an), Nasakh rasm tanpa menasakhkan hukum, dan nasakh kedua-duanya iaitu hukum dan juga rasm. Pembahagiannya adalah seperti berikut:
1- Nasakh hukum dengan mengekalkan rasm (ayat Al-Qur’an)
Yang dimaksudkan dengan ini adalah, Allah S.W.T memansukhkan sesuatu hukum yang terdapat di dalam Al-Qur’an. Dalam masa yang sama ayat yang menjelaskan akan hukum tersebut tidak dimansukhkan sekali akan tetapi ia masih kekal di dalam Al-Qur’an. Contohnya adalah seperti di dalam Baqarah:180.
كُتِبَ عَلَيۡكُمۡ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ ٱلۡمَوۡتُ إِن تَرَكَ خَيۡرًا ٱلۡوَصِيَّةُ لِلۡوَٰلِدَيۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِينَ بِٱلۡمَعۡرُوفِۖ
Diwajibkan ke atas kalian, apabila salah seorang di antara kalian kedatangan (tanda-tanda) maut, jika dia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu-bapa dan kaum kerabatnya secara makruf, (ini adalah) kewajipan ke atas orang-orang yang bertakwa.
Daripada ayat di atas kita mendapati bahawa ia menunjukkan hukum wajibnya berwasiat kepada ibubapa dan juga kaum kerabat. Akan tetapi, hukum ini telah pun dimansukhkan apabila datangnya pensyariatan mirath. Kata al-Imam al-Baghawi ketika menafsirkan ayat ini: “Adalah wasiat itu difardhukan kepada kedua ibubapa dan juga kaum kerabat pada awal permulaan Islam ke atas sesiapa yang meninggal dunia serta meninggalkan harta. Kemudian ianya dimansukhkan dengan ayat mirath”.
Maka walaupun hukumnya telah mansukh, akan tetapi ayat tersebut ataupun rasmnya masih terdapat di dalam Al-Qur’an. Satu lagi contoh adalah pengurangan ratio mujahidin di dalam peperangan yang disebut dalam Anfal:65-66
يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ حَرِّضِ المُؤمِنينَ عَلَى القِتالِ ۚ إِن يَكُن مِّنكُم عِشرونَ صٰبِرونَ يَغلِبوا مِاْئَتَينِ ۚ وَإِن يَكُن مِّنكُم مِّاْئَةٌ يَغلِبوا أَلفًا مِّنَ الَّذينَ كَفَروا بِأَنَّهُم قَومٌ لّا يَفقَهونَ
Hai Nabi, kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan seribu dari pada orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti.
Di dalam ayat ini, ratio perang adalah 1:10 dan tentunya berat bagi umat Islam. Maka ia telah dimansukhkan dengan ayat seterusnya,
الئٰنَ خَفَّفَ اللَّهُ عَنكُم وَعَلِمَ أَنَّ فيكُم ضَعفًا ۚ فَإِن يَكُن مِّنكُم مِّاْئَةٌ صابِرَةٌ يَغلِبوا مِاْئَتَينِ ۚ وَإِن يَكُن مِّنكُم أَلفٌ يَغلِبوا أَلفَينِ بِإِذنِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ مَعَ الصّٰبِرينَ
Sekarang Allah telah meringankan kepadamu dan Dia mengetahui bahawa padamu ada kelemahan. Maka jika ada di antaramu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang kafir; dan jika di antaramu ada seribu orang (yang sabar), nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ribu orang, dengan izin Allah. Dan Allah berserta orang-orang yang sabar.
2- Nasakh rasm (ayat) dengan mengekalkan hukum.
Contoh baginya adalah perihal ayat rejam. Pada asalnya, ia terdapat di dalam Al-Qur’an. Akan tetapi ayat tersebut telah dimansukhkan manakala hukumnya tetap kekal. Saidina Ibn Abbas R.anhuma meriwayatkan daripada Umar Ibn al-Khattab R.anhu beliau berkata: “Sesungguhnya Allah S.W.T telah mengutuskan Muhammad S.A.W dan menurunkan ke atasnya al-Kitab. Di antara yang Allah turunkan ke atasnya adalah ayat rejam. Maka kami membacanya, memahaminya, serta menjaganya”. Kata beliau lagi:
أَلاَ وَإِنَّ الرَّجْمَ حَقٌّ عَلَى مَنْ زَنَى وَقَدْ أَحْصَنَ إِذَا قَامَتِ الْبَيِّنَةُ
“Sesungguhnya rejam itu merupakan hak ke atas penzina muhson (yang sudah berkahwin) apabila telah tertegaknya bukti”.
Riwayat al-Bukhari (6829)
3- Nasakh rasm (ayat) berserta dengan hukum.
Contoh bagi nasakh kategori ini adalah berkenaan kadar bilangan susuan yang cukup untuk menjadikan seseorang sebagai mahram. Dalam sebuah hadis daripada A’isyah R.anha beliau berkata:
كَانَ فِيمَا أُنْزِلَ مِنَ الْقُرْآنِ عَشْرُ رَضَعَاتٍ مَعْلُومَاتٍ يُحَرِّمْنَ ثُمَّ نُسِخْنَ بِخَمْسٍ مَعْلُومَاتٍ
Di antara ayat yang diturunkan daripada Al-Qur’an adalah sepuluh kali susuan yang menjadikan mahram. Kemudian ia dinasakhkan kepada lima kali susuan yang diketahui.
Riwayat Muslim (1452)
نَأْتِ بِخَيْرٍ مِّنْهَا
(melainkan) Kami datangkan yang lebih baik dari ayat yang telah dimansukhkan itu;
Yang telah dibatalkan dan dilupakan, akan diganti dengan yang lebih baik darinya. Allah ﷻ hendak kata bahawa walaupun Kitab Taurat atau mana-mana kitab Kalam Allah ﷻ telah dimansukhkan, tetapi Allah ﷻ telah mendatangkan Al-Qur’an yang lebih baik dari Taurat dan Injil itu. Allah ﷻ telah memberikan hukum yang baru yang lebih baik dari sebelumnya. Ia bukanlah bermaksud hukum syariat sebelum itu salah atau tidak sempurna atau buruk (seperti yang ditohmah oleh Yahudi). Akan tetapi ia mengikut kondisi masyarakat pada waktu itu. Pembatalan dan penggantian ini tidaklah mengurangi nilai yang lama. Cuma hukum yang baru ini lebih baik untuk umat yang baru, atau sekurang-kurangnya sama nilainya.
Ada hukum dalam Taurat yang tidak dipakai lagi dan diganti dengan hukum syariat yang lebih memudahkan. Contohnya seperti larangan kepada mereka untuk bekerja pada hari Sabtu. Pada hari Sabtu, mereka langsung tidak boleh membuat kerja apa-apa kerana hari Sabtu adalah hari untuk beribadat. Tidak ada larangan kepada kita seperti mereka itu. Yang kita ada hanyalah hari Jumaat sahaja. Itu pun bukan sepanjang hari kita dilarang dari bekerja. Kita disuruh pergi Salat Jumaat untuk beberapa waktu sahaja. Selepas itu, boleh sambung bekerja balik seperti biasa. Ini adalah lebih baik dari hukum yang telah diberikan kepada mereka dan ini adalah satu rahmat dari Allah ﷻ. Nah, bukankah hukum syariat yang baru ini lebih baik dan menyenangkan? Maka sepatutnya orang Yahudi menghargai kemudahan yang Allah berikan ini.
Dalam kehidupan kita pun memang ada perubahan yang telah diduga akan berlaku. Sebagai contoh, seorang doktor memberi ubat dan suruh pesakit itu mengambil ubat itu sekali sehari. Akan tetapi doktor itu sudah tahu yang setelah seminggu, maka kesan ubat itu telah berlaku dan pesakit tidak perlu mengambilnya setiap hari lagi tapi hanya mengambilkan setiap dua hari sahaja. Maknanya dia sudah tahu, bukannya try and error. Maka begitu jugalah dengan Allah. Allah tahu penerimaan manusia dan telah tahu yang hukum itu akan diubah setelah sampai masanya. Jadi bukanlah Allah try and error pula.
Ayat ini juga menjadi hujah yang syariat Taurat tidak dipakai lagi. Walaupun untuk Bani Israil. Mereka sekarang kena pakai syariat di dalam Al-Qur’an. Agak pelik apabila ada di kalangan umat Islam yang kata puak Bani Israil boleh pakai syariat mereka lagi. Sedangkan syariat mereka telah hilang ditelan zaman. Kalau nak pakai syariat mereka, di manakah hendak dirujuk syariat mereka?
Kalau kita gunakan tafsiran ءَايَةٍ bermaksud mukjizat, maka mukjizat Al-Qur’an lebih hebat lagi dari mukjizat para Nabi dahulu. Kerana ia kekal zaman berzaman sehingga ke hari Kiamat. Kalau mukjizat Nabi Isa boleh menghidupkan orang yang mati dan menyembuhkan orang yang buta, maka Al-Qur’an dapat menghidupkan hati yang mati dan mata hati yang buta dari kebenaran. Tidakkah ini lebih hebat?
أَوْ مِثْلِهَا
atau (Kami berikan) yang sama;
Kalau Allah ﷻ tidak beri yang lebih baik pun, maka Allah ﷻ tetap berikan yang sama kedudukannya. Sebagai contoh kita telah lihat Allah gantikan kalimah رَاعِنَا dengan kalimah انظُرنا di dalam ayat 104 sebelum ini. Maka tidak ada kerugian apa-apa bagi manusia. Kalau tidak dapat yang baik pun, tetap akan dapat yang sama kedudukan dengan syariat yang dahulu.
Seperti telah disebut sebelum ini, oleh kerana ayat ini, orang-orang Yahudi telah mengkritik Al-Qur’an. Mereka kata, walaupun mereka telah ubah kitab mereka, tetapi mereka kata ada juga ayat-ayat Al-Qur’an sendiri yang telah dimansukhkan. Jadi mereka hendak kata, tidak salahlah kalau mereka ubah kitab mereka, kerana Al-Qur’an pun ada juga perubahan.
Allah ﷻ hendak beritahu walaupun Kitab Taurat telah dimansukhkan, tetapi masih ada lagi hukum syariat dalam Taurat yang masih kekal. Bukan semuanya dihilangkan. Contohnya, hukum Qisas ada terdapat di dalam Taurat dan ada juga di dalam Al-Qur’an. Begitu juga dengan hukuman rejam sampai mati bagi lelaki dan wanita muhsan (yang sudah pernah bernikah secara halal). Maka tidak patut mereka membuat bising hendak mempersoalkan kenapa Kitab mereka dimansukhkan. Ada hukum-hukum yang masih lagi terpakai (setelah ditetapkan oleh Nabi Muhammad).
Apabila Kitab mereka telah dimansukhkan, maka hukum yang ada dalam Kitab itu tidak boleh dipakai mereka. Mereka sekarang sepatutnya menerima hukum baru yang ada dalam Al-Qur’an. Hukum-hukum itu lebih baik, maksudnya amalan lebih mudah dan dapat pahala lebih banyak.
Tetapi kenapa Allah ﷻ memberikan hukum yang lain dahulu, kenapa tidak terus bagi hukuman yang akhirnya akan diberikan juga? Kenapa syariat tidak sama sahaja dari zaman Nabi Adam عليه السلام sampai sekarang? Ini kerana Allah ﷻ melatih manusia dengan memberikan hukum syariat yang susah terlebih dahulu supaya ia sudah menjadi tabiat. Macam juga dalam latihan tentera. Masa latihan, gaji yang diberikan sedikit sahaja tetapi tugas yang diberikan amat berat, tidak ada masa rehat langsung (sama juga dengan doktor lepas pengajian). Bila sudah habis latihan, kerja yang diberikan kepada mereka lagi mudah dan gaji lebih mahal kalau dibandingkan dengan masa latihan dahulu. Jadi, dia sudah biasa dengan perkara yang susah. Oleh itu, kalau keadaan memerlukan dia dalam keadaan yang susah, dia sudah biasa. Dalam kehidupan, ini perkara biasa sahaja, jadi kenapa hendak hairan? Allah ﷻ maha bijaksana dalam mengurus hambaNya. Segala yang Allah ﷻ buat adalah sesuai dengan manusia.
Yang tidak baiknya ada kalangan orang Islam yang mengatakan bahawa ayat-ayat Allah ﷻ telah mansukh tetapi ia sebenarnya tidak mansukh. Senang-senang sahaja mereka kata ayat-ayat itu mansukh. Contohnya, ada yang kata ayat-ayat tentang perang telah dimansukhkan. Mereka telah memberi hujah-hujah yang batil sebagai menguatkan pandangan mereka. Yang mereka hendak kata ayat-ayat tentang perang itu telah mansukh adalah kerana mereka takut dengan propaganda orang kafir. Mereka tidak mahu orang kafir nampak Islam ini adalah satu agama yang keras. Jadi mereka kata arahan perang telah dimansukhkan kononnya. Padahal ia ada lagi sampai akhir zaman.
Satu lagi contoh adalah orang Islam yang marah sangat kepada orang kafir sampai mereka kata seluruh ayat-ayat Makkiah yang mengatakan tentang kesabaran dalam Islam telah dimansukhkan. Semasa di Mekah, para sahabat telah memohon kepada Nabi ﷺ supaya mereka dibenarkan untuk memerangi Musyrikin Mekah. Tetapi Allah ﷻ telah menurunkan ayat-ayat menyuruh para sahabat bersabar kerana belum masanya untuk berperang. Puak-puak sesat yang marah sangat kepada orang kafir telah mengatakan bahawa ayat-ayat tentang kesabaran itu telah dimansukhkan – yang tinggal hanya ayat tentang memerangi mereka sahaja. Maka mereka kata tidak lain yang ada kecuali arahan perang kepada orang kafir sahaja. Kerana itu ada sampai berani bom diri sendiri kerana tertipu dengan hujah-hujah bathil sebegini.
Dua-dua contoh ini adalah bertolak dari dua sifat yang tidak patut dalam Islam – satu puak yang takut dengan orang kafir dan satu puak lagi yang marah sangat dengan orang kafir. Ini ada dua sifat ekstrem yang patut tidak ada dalam pemikiran orang kita. Mereka terlalu ekstrem sampai mereka sanggup mengatakan ada surah-surah yang telah dimansukhkan untuk mencapai tujuan mereka.
أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Tidakkah engkau tahu bahawa Allah terhadap segala sesuatu itu berkuasa sungguh?
Ayat ini dari segi bahasa seperti ditujukan kepada Nabi Muhammad akan tetapi sebenarnya ia ditujukan kepada orang-orang Yahudi. Seperti yang kita tahu, Allah ﷻ berkuasa penuh untuk melakukan segala kehendak-Nya. Kita hanya menerima sahaja. Kita tidak ada hak untuk mempersoalkan tujuan Allah ﷻ. Dalam ayat ini, Allah ﷻ tanya balik: tidakkah orang Yahudi (dan kita juga) tahu, bahawa Allah ﷻlah yang Maha Berkuasa dalam segala hal? Dia boleh buat apa sahaja yang Dia hendak?
Adakah kita tak tahu atau kita buat-buat tidak tahu? Kalau Allah ﷻ Maha Berkuasa, Dia boleh buat apa yang Dia hendak, bukan kita boleh persoalkan. Jadi Allah ﷻ hendak menekankan kepada Bani Israil dan Nasrani bahawa syariat agama mereka telah dimansukhkan dan mereka kena pegang syariat yang terbaru sekarang, iaitu yang diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Itu adalah keputusan dari Allah ﷻ. Jadi, kita sebagai hamba-Nya, kenalah ikut sahaja. Tidak perlu untuk dipersoalkan lagi. Kita tidak perlu tahu kenapa Allah ﷻ buat begitu. Akal kita tidak mampu untuk memahaminya dengan sempurna.
Baqarah Ayat 107: Allah ﷻ hendak menempelak orang Yahudi dan Nasrani yang mempersoalkan tentang perbuatan Allah ﷻ memansukhkan ayat-ayat dari Kitab mereka. Maka sekarang Allah menekankan siapa Dia dan kenapa Dia layak untuk mengubah apa-apa sahaja yang Dia hendak.
أَلَم تَعلَم أَنَّ اللَّهَ لَهُ مُلكُ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَالأَرضِ ۗ وَما لَكُم مِّن دونِ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ وَلا نَصيرٍ
Do you not know that to Allah belongs the dominion of the heavens and the earth and [that] you have not besides Allah any protector or any helper?
Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi? Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun yang dapat melindungi dan yang dapat memberi pertolongan.
أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ لَهُ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَالْأَرْضِ
Tidakkah kamu tahu bagi Allahlah milikNya segala kerajaan tujuh langit dan tujuh bumi?;
Tidak ada makhluk lain yang boleh mengatakan sesuatu ayat itu telah mansukh atau tidak melainkan hanya Allah ﷻ sahaja. Ini adalah kerana kerajaan langit dan bumi hanya milik-Nya sahaja. Semua yang berada di langit dan bumi adalah dalam milik Allah ﷻ.
Apabila Allah ﷻ meletakkan perkataan لَهُ sebelum perkataan مُلْكُ, itu bermaksud ‘exclusivity’: bermakna *hanya* milik Allah ﷻ. Allah ﷻ tidak berkongsi kerajaan-Nya dengan sesiapa pun. Allah ﷻ tidak berkongsi pemilikanNya dengan sesiapa pun.
Oleh kerana Allah ﷻ Maha Memiliki segala-galanya, maka terpulang kepada Allah ﷻ untuk melakukan apa sahaja. Kalau Dia terhalang (ada perkara tidak boleh buat pula), bukan sifat Tuhanlah kalau begitu. Jadi, kalau Allah ﷻ hendak memansukhkan sesuatu, itu adalah hak Allah ﷻ. Bukan kita boleh persoalkan.
وَمَا لَكُمْ مِّنْ دُونِ اللَّهِ
Dan tidak ada lagi bagi kamu selain dari Allah;
Kalau kamu mempersoalkan juga hak Allah ﷻ untuk memansukhkan apa-apa sahaja, buat apa-apa sahaja, ada balasan buruk untuk kamu di akhirat kelak. Kamu akan dikenakan dengan azab sengsara. Waktu itu tidak ada sesiapa pun yang akan menyelamatkan kamu dari azab Allah.
مِنْ وَلِيٍّ
sebagai wali;
Dan apabila Allah ﷻ berikan balasan azab kepada kamu, tidak ada sesiapa yang boleh memberi perlindungan. ‘Wali’ iaitu bermaksud pelindung. Orang yang degil untuk menerima kebenaran akan dikenakan dengan azab akhirat dan tidak ada sesiapa yang boleh melindunginya.
Ini juga merujuk kepada orang-orang Yahudi dan Nasrani yang hendak masuk Islam, tetapi takut. Mereka takut mereka disakiti oleh masyarakat mereka. Mereka takut mereka disisihkan oleh masyarakat mereka kalau mereka tukar agama. Ini kerana yang masuk Islam bukanlah semua sekali masyarakat mereka (seperti Arab Madinah pada waktu itu). Yang ada masuk adalah sedikit demi sedikit sahaja.
Jadi pada mereka, sementara mereka dalam jumlah yang sedikit, mereka nampak mereka akan berada dalam keadaan yang payah. Maka Allah ﷻ hendak memberitahu mereka bahawa tidak ada yang dapat memberi perlindungan kepada mereka melainkan Allah ﷻ. Mereka hendaklah bergantung kepada Allah ﷻ sebagai pelindung. Jangan takut kepada orang lain. Allah ﷻ akan melindungi mereka.
Maka ini juga peringatan kepada orang zaman sekarang yang masih takut-takut untuk masuk Islam. Mereka sudah nampak kebenaran Islam tetapi masih takut untuk mengucap syahadah. Ini adalah kerana mereka takut keluarga marah, dibuang kerja, kurang pendapatan, dan sebagainya.
Kalimah وَلِيٍّ bermaksud ‘sesiapa yang mahu memberi pertolongan’. Allah ﷻ nak beritahu bahawa Dialah yang akan melindungi mereka. Adakah sesiapa lagi yang lebih baik dalam melindungi?
وَلَا نَصِيرٍ
atau yang boleh memberi pertolongan;
Kalau Allah ﷻ berikan balasan azab kepada kamu yang mempersoalkan hak Allah ﷻ, tidak ada sesiapa yang dapat menolong kamu lagi. Selain dari Allah ﷻ, tidak ada lagi yang boleh menolong. Allah ﷻ hendak memberitahu mereka bahawa Allah ﷻ akan menolong mereka kalau mereka masuk Islam. Allah ﷻ pasti akan selamatkan mereka.
Maksud perkataan نَصِيرٍ adalah ‘yang sentiasa menolong’. Allah ﷻ akan sentiasa membantu mereka yang masuk Islam. Serahkan segalanya kepada Allah ﷻ. Kena letakkan tawakal yang tinggi kepada Allah ﷻ. Maka apabila kita faham hal ini, maka tidaklah kita ralat untuk menyerahkan segala urusan kita kepada Allah.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 4 November 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Assalam,
Maaf tuan, saya ingin bertanya:
Terdapat golongan Jin yang beriman kepada Allah seperti dalam ayat ini:
Surah Jin Ayat 11:
وَأَنّا مِنَّا الصّٰلِحونَ وَمِنّا دونَ ذٰلِكَ ۖ كُنّا طَرائِقَ قِدَدًا
Dan bahawa sesungguhnya ada di antara kita golongan yang baik keadaannya, dan ada di antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan.
Apakah hubungan antara Jin dan Iblis? Adakah Jin keturunan Iblis atau cucu cicit Iblis? Jika benar, ada juga-lah keturunan Iblis yang beriman kepada Allah walaupun Iblis adalah makhluk yang sesat lagi menyesatkan.
Maafkan saya jika soalan ini agak pelik dan aneh. tkasih.
LikeLike