Baqarah Ayat 86: Ini adalah penutup kepada kisah Yahudi jenis ketiga ini. Allah jelaskan kenapa mereka jadi begitu punya teruk.
أُولٰئِكَ الَّذينَ اشتَرَوُا ٱلحَيَوٰةَ الدُّنيا بِالآخِرَةِ ۖ فَلا يُخَفَّفُ عَنهُمُ العَذابُ وَلا هُم يُنصَرونَ
Those are the ones who have bought the life of this world [in exchange] for the Hereafter, so the punishment will not be lightened for them, nor will they be aided.
Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan.
أُولٰئِكَ الَّذينَ اشتَرَوُا ٱلحَيَوٰةَ الدُّنيا بِالآخِرَةِ
Mereka yang bersifat seperti itu, mereka membeli kehidupan dunia ini dengan menjual akhirat;
Iaitu mereka yang tidak mengambil keseluruhan ajaran dari kitab wahyu, sama ada Kitab Taurat atau Al-Qur’an. Ia adalah mereka yang memilih-milih manakah hukum yang mereka hendak pakai dan tinggalkan mana yang tidak suka. Ini kerana mereka mementingkan keduniaan daripada akhirat.
Kalimah الدُّنيا dari kata dasar د ن و yang bermaksud dekat, datang dekat, rendah, merendahkan, lebih kurang. Dari maksud ini kita boleh tahu yang dunia ini memang orang suka kerana dekat dengan mata dan kelihatan bergemerlapan; akan tetapi ia adalah rendah dan hina kalau dibandingkan dengan akhirat.
Maknanya, mereka beli neraka sebenarnya. Mereka hendakkan dunia sahaja dan tidak kisah dengan nasib mereka di akhirat. Mereka hendak menjaga kedudukan mereka sebagai ketua masyarakat Arab dan harta benda mereka yang ada pada masyarakat Arab. Ini adalah kerana masyarakat Arab itu adalah kawan mereka dan mempunyai kepentingan dalam urusan keduniaan mereka. Mereka sayangkan kedudukan dan kewangan mereka, sampaikan ada undang-undang dalam Taurat yang mereka sanggup tolak.
Ayat ini selalunya digunakan berkenaan orang kafir – mereka menjual akhirat untuk membeli dunia. Namun dalam ayat ini, ia adalah tentang mereka yang telah diberikan kitab, tetapi tidak mengikut ajaran dalam kitab itu. Maknanya, sama sahaja kita dengan mereka kalau tidak mengikuti keseluruhan kitab Al-Qur’an yang telah diberikan kepada kita.
Ramai yang kalah dengan keindahan dunia sampai lupakan akhirat. Bukanlah salah kalau kita hendak mencari dan menggunakan dunia, namun janganlah bangga sangat dengan kehidupan dunia sahaja sampai tidak hiraukan akhirat. Kehidupan dunia ini adalah ujian sahaja – maka gunakanlah sekadar yang cukup itu sudah memadai. Janganlah kerana hendakkan dunia, sanggup membuat perkara-perkara bid’ah seperti mengambil upah menjadi tekong Tahlilah, Selamatan, Solat Hajat berjemaah dan lain-lain lagi.
Ramai manusia salah faham dengan dunia. Orang kafir, orang munafik dan orang yang ingkar itu amat suka dan bergembira dengan nikmat yang mereka dapat di dunia. Mereka sangka mereka itu orang terpilih, sedangkan sebenarnya pemberian yang mereka dapat itu adalah istidraj daripada Allah ﷻ – bukan mendekatkan mereka kepada Allah ﷻ, malah menjauhkan lagi daripada Allah ﷻ. Ini kita dapat faham melalui firman-Nya:
أَيَحْسَبُونَ أَنَّمَا نُمِدُّهُمْ بِهِ مِنْ مَالٍ وَبَنِينَ نُسَارِعُ لَهُمْ فِي الْخَيْرَاتِ بَل لَا يَشْعُرُونَ
Apakah mereka mengira bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bererti bahawa) Kami bersegera memberikan kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sedar.
(Al-Mu’minun: 55-56)
Ramai yang kalah dengan keindahan dunia. Mereka hanya nampak semuanya dunia, dunia, dunia. Mereka tidak nampak akhirat kerana jauh sangat daripada pandangan mata (malah tidak nampak pun kecuali melalui berita wahyu sahaja). Maka kerana itu Allah ﷻ berulang-ulang menerangkan hakikat dunia ini seperti disebut dalam Hadid: 20
اعلَموا أَنَّمَا الحَيَوٰةُ الدُّنيا لَعِبٌ وَلَهوٌ وَزينَةٌ وَتَفاخُرٌ بَينَكُم وَتَكاثُرٌ فِي الأَموٰلِ وَالأَولٰدِ ۖ كَمَثَلِ غَيثٍ أَعجَبَ الكُفّارَ نَباتُهُ ثُمَّ يَهيجُ فَتَرٰهُ مُصفَرًّا ثُمَّ يَكونُ حُطٰمًا
Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur.
Allah ﷻ hendak memastikan kita tahu bahawa dunia ini hanyalah ‘permainan’ sahaja. ‘Permainan’ ini selalunya dikaitkan dengan kanak-kanak kerana itulah sahaja yang mereka ingat dalam kehidupan mereka. Mereka tidak fikirkan tentang makan, tentang kerja, tentang tugas, kerana mereka hanya hendak bermain saja. Kanak-kanak itu beriya-iya sangat main permainannya, sampai masanya dia tinggalkan sahaja. Maknanya ia tidak penting dan tidak bernilai, bukan?
Maka takkanlah kita mahu menjadi seperti kanak-kanak pula? Adakah kita masih kanak-kanak lagi yang masih tidak tahu tanggungjawab sebagai seorang insan, sebagai seorang hamba Allah ﷻ? Kalau kita kata seseorang itu berperangai macam ‘budak-budak’ pun, tentu dia akan marah, bukan?
Perhatikan di dalam ayat ini Allah menggunakan perumpamaan ‘beli’ sedangkan sebenarnya yang mereka lakukan adalah ‘tukar’. Ini adalah kerana apabila seseorang itu membeli, tentulah dia buat dengan sengaja dan dia beli barang yang dia suka hendak beli, bukan? Jadi Allah tekankan di sini yang mereka itu memang sengaja buat apa yang mereka tanpa ada paksaan dari sesiapa (kerana tiada orang beli kerana terpaksa) dan memang mereka suka apa yang mereka lakukan.
Akan tetapi pembelian mereka itu adalah satu pembelian yang sangat bodoh. Mereka bayar dengan harga yang mahal (akhirat) untuk beli barang yang sangat buruk (dunia). Ini macam beli kereta yang sudah rosak tidak ada pintu dan tidak boleh jalan tapi bayar beratus ribu ringgit. Tentulah ia perbuatan yang bodoh, bukan?
فَلَا يُخَفَّفُ عَنْهُمُ الْعَذَابُ
Maka tidak diringankan sedikit pun azab daripada mereka;
Azab yang akan dikenakan kepada mereka tidak diringankan, walaupun satu hari, satu jam atau satu saat. Tidak akan dikurangkan kekuatan api yang membakar mereka nanti.
Nanti akan disebut dalam ayat-ayat lain ada ahli neraka yang cuba memohon supaya dikurangkan azab neraka, minta ditangguhkan, tetapi semua permintaan mereka tidak dilayan oleh Malaikat Penjaga Neraka nanti. Lihat Ghafir:49-50 untuk mendapat gambaran apa yang akan terjadi di akhirat nanti,
وَقَالَ الَّذِينَ فِي النَّارِ لِخَزَنَةِ جَهَنَّمَ ادْعُوا رَبَّكُمْ يُخَفِّفْ عَنَّا يَوْمًا مِّنَ الْعَذَابِ
Dan berkatalah pula orang-orang yang ada dalam neraka kepada malaikat-malaikat penjaga neraka Jahannam: “Pohonkanlah kepada Tuhan kamu, supaya Dia meringankan sedikit azab seksa dari kami, barang sehari”.
قَالُوا أَوَلَمْ تَكُ تَأْتِيكُمْ رُسُلُكُم بِالْبَيِّنٰتِ قَالُوا بَلَىٰ قَالُوا فَادْعُوا وَمَا دُعٰؤا الْكٰفِرِينَ إِلَّا فِي ضَلٰلٍ
Malaikat penjaga neraka menjawab: “Bukankah kamu telah didatangi Rasul-rasul kamu dengan membawa keterangan-keterangan (yang menyatakan akibat perbuatan derhaka kamu)?” Mereka menjawab: “Ya, telah datang”. Malaikat itu berkata: “Jika demikian, maka berdoalah kamu sendiri. Dan doa permohonan orang-orang yang kafir pada saat ini hanya menyebabkan mereka berada dalam keadaan dukacita dan kecewa sahaja”.
Azab di neraka memang tidak akan berkurangan, malah ia akan bertambah. Kalau api yang membakar itu hendak malap, akan ditambah lagi kepanasannya. Ini disebut di dalam Isra’:97
مَّأوَٮٰهُم جَهَنَّمُۖ ڪُلَّمَا خَبَت زِدنَـٰهُم سَعِيرًا
Tempat kediaman mereka adalah neraka jahannam. Tiap-tiap kali nyala api Jahannam itu akan padam, Kami tambah lagi bagi mereka nyalanya.
Dan ini dikuatkan lagi dalam ayat Naba’:30
فَذوقوا فَلَن نَزيدَكُم إِلّا عَذابًا
(Setelah mereka masuk ke dalam neraka, dikatakan kepada mereka: “Oleh sebab kamu telah mendustakan ayat-ayat Kami) maka rasalah kamu (azab yang disediakan), kerana Kami tidak akan melakukan selain dari menambah berbagai azab kepada kamu”.
وَلَا هُمْ يُنْصَرُونَ
Dan mereka tidak akan diberi pertolongan;
Tidak diberi pertolongan dari sesiapa pun. Adakah sesiapa yang berani hendak menolong mereka yang duduk dalam neraka? Tidak akan ada yang berani. Yang sudah memasuki syurga pula tidak akan ingat sesiapa pun yang pernah mereka kenal dahulu semasa di dunia. Sama ada emak atau ayah, adik atau abang, isteri atau suami – mereka tidak akan ingat lagi.
Sebab kalau mereka teringat, mereka akan berasa sedih. Dan syurga bukanlah tempat untuk bersedih lagi. Oleh itu, tidak ada orang yang akan mendoakan untuk mereka nanti selepas mereka yang telah melakukan kejahatan itu memasuki neraka.
Maka, kita hanya boleh mengharapkan diri kita sahaja untuk melepaskan diri kita. Sebab kalau kita ada orang yang kita kenal memasuki syurga, mereka pun sudah tidak ingatkan kita lagi.
Tidak ada sesiapa yang akan menolong kita nanti. Apabila kita mengadap Allah ﷻ di Hari Pengadilan, kita akan berseorangan. Kita akan menghadap Allah ﷻ seorang diri. Tidak akan sesiapa yang akan bersama kita yang boleh menolong.
Habis Ruku’ 10 dari 40 surah ini
BANI ISRAIL MENOLAK NABI-NABI MEREKA
Baqarah Ayat 87: Ini adalah tentang golongan Yahudi yang keempat. Bukan setakat mereka tolak kitab, tetapi Nabi mereka sendiri pun mereka boleh bunuh. Maknanya orang yang mengajar kitab itu sendiri mereka dustai dan ada yang mereka bunuh. Orang beriman yang mengikuti para Nabi pun mereka bunuh. Maknanya mereka ini adalah jenis yang lebih teruk.
وَلَقَد ءَاتَينَا موسَى ٱلكِتَـٰبَ وَقَفَّينا مِن بَعدِهِ بِالرُّسُلِ ۖ وَءَاتَينَا عيسَى ابنَ مَريَمَ ٱلبَيِّنَـٰتِ وَأَيَّدنَـٰهُ بِروحِ القُدُسِ ۗ أَفَكُلَّما جاءَكُم رَسولٌ بِما لا تَهوىٰ أَنفُسُكُمُ استَكبَرتُم فَفَريقًا كَذَّبتُم وَفَريقًا تَقتُلونَ
And We did certainly gave Moses the Torah and followed up after him with messengers. And We gave Jesus, the son of Mary, clear proofs and supported him with the Pure Spirit. But is it [not] that every time a messenger came to you, [O Children of Israel], with what your souls did not desire, you were arrogant? And a party [of messengers] you denied and another party you killed.
Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami iringi kemudian daripadanya dengan beberapa orang Rasul, dan Kami berikan kepada Nabi Isa Ibni Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?
وَلَقَدْ ءَاتَينَا مُوسَى ٱلكِتَـٰبَ
Dan sesungguhnya Kami kurniakan kepada Musa kitab;
Di sini Allah sebut Nabi dan Rasul utama mereka iaitu Nabi Musa. Baginda telah dikurniakan dengan Kitab Taurat untuk mengajar agama kepada Bani Israil. Nabi-nabi selepas baginda juga menggunakan Kitab Taurat juga sebagai panduan agama. Ini adalah kerana Kitab Taurat adalah panduan syariat bagi Bani Israil. Ini adalah rahmat dari Allah berkenan memberi ilmu wahyu kepada mereka untuk membimbing mereka.
وَقَفَّيْنَا مِنْ بَعْدِهِ بِالرُّسُلِ
dan Kami susuli selepas dia, rasul demi rasul;
Selepas Nabi Musa عليه السلام, tugas telah disambung oleh Nabi-nabi yang lain. Lafaz perkataan قَفَّ bermaksud ‘bertali arus’ – seperti biji butir tasbih dan bersambung-sambung satu demi satu. Keturunan Bani Israil memang dikurniakan dengan banyak sekali Nabi dari kalangan keturunan mereka. Tidak putus Rasul dari kalangan mereka sampailah kepada Nabi Isa عليه السلام.
Ini adalah lokasi tempat tinggal mereka adalah tempat yang strategik kerana ramai manusia hidup di situ. Juga kerana mereka bangsa yang degil yang kena diperingatkan selalu dengan nasihat dan ajaran. Tapi mereka pula yang salah faham, perasan mereka umat pilihan kerana banyak Nabi dari kalangan mereka. Kalau kita buat perbandingan, seorang pelajar yang kena banyak cikgu tuisyen dan pelajar yang tidak perlu cikgu tuisyen, mana lagi bagus dan pandai? Yang tak perlu cikgu tuisyen lah sebab dia pandai sendiri. Tapi pelajar yang kena banyak cikgu tuisyen itu sebab banyak subjek dia bermasalah!
وَءَاتَينَاعِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ
Dan Kami berikan kepada Isa bin Maryam;
Salah seorang Nabi yang datang selepas Nabi Musa عليه السلام adalah Nabi Isa عليه السلام anak kepada Maryam. Ini adalah Nabi terakhir Bani Israil tapi baginda telah ditolak oleh Yahudi. Maknanya sampai Nabi terakhir mereka pun mereka tolak.
Di sini kita boleh baca عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ (Isa anak Maryam). Hanya Nabi Isa عليه السلام sahaja yang berbinkan ibunya. Manusia yang lain semuanya akan dipanggil berbinkan nama ayah mereka. Tidak akan dipanggil manusia nanti dengan nama ibu mereka di Mahsyar kelak melainkan Nabi Isa عليه السلام sahaja. Ini adalah kerana Nabi Isa tidak mempunyai ayah dan baginda sahaja satu-satu manusia yang tidak ada ayah (selain Nabi Adam). Di sini juga Allah hendak menekankan yang Nabi Isa itu anak emaknya Maryam, bukan anak Tuhan.
Jadi Nabi Isa sahaja dinasabkan dengan ibunya. Tetapi puak ajaran sesat yang mengamalkan sihir, apabila hendak menyihir, mereka mesti akan menggunakan nama emak kepada seseorang itu. Termasuk juga golongan bomoh, pawang dan Uskun (Ustaz Dukun). Sebab itulah kita selalu dengar orang akan bertanya: apa nama emak?Kalau ada orang yang seperti itu, maka beredarlah dari bersamanya lagi. Ini kerana mereka sebenarnya pakai jin dan jin hendak tahu nama emak seseorang, baru dia boleh cari. Kalau bagi nama bapanya, belum tentu lagi itu benih bapanya yang sebenar, tapi kalau emak, itu pasti emaknya dan tidak ada orang lain.
Dan lihatlah bagaimana pada waktu membacakan talqin, tekong yang membacakan talqin itu akan membacakan nama ibu si mati itu juga. Datang dari manakah ajaran itu? Kita pun tidak tahu. Ini adalah kerana hadith-hadith talqin semuanya tidak sahih. Tapi begitulah orang kita amalkan sesuatu tanpa tahu punca asal, mereka pakai ikut dan amalkan sahaja.
Ayat ini dibacakan kepada Bani Israil pada zaman Nabi Muhammad ﷺ. Tetapi Allah ﷻ sebut Nabi Isa عليه السلام, sedangkan baginda tidak diterima sebagai Nabi oleh mereka. Kenapa begitu? Allah ﷻ sebut Nabi Isa عليه السلام dalam ayat ini sebagai teguran kepada mereka kerana mereka tidak menerima Nabi Isa عليه السلام sebagai Nabi mereka. Maka Allah ﷻ hendak mengingatkan mereka bahawa Nabi Isa عليه السلام itu adalah Nabi mereka sebenarnya kerana baginda juga dari keturunan Bani Israil. Mereka sahaja yang tidak menerimanya dan terdapat kecaman Allah di dalam ayat ini.
ٱلبَيِّنَـٰتِ
dengan bukti-bukti kebenaran;
Baginda diberikan dengan Kitab Injil dan juga mukjizat atau tanda-tanda lain yang jelas. Antaranya baginda diberikan dengan mukjizat menyembuhkan penyakit, menghidupkan orang yang mati dan banyak lagi. Akan tetapi Allah tidak sebut kitab Injil dan mukjizat-mukjizat baginda melainkan menggunakan istilah ٱلبَيِّنَـٰتِ. Ini adalah kerana Allah hendak menekankan bahawa sifat tanda-tanda itu adalah jelas nyata; yang menolaknya hanyalah yang degil keras kepala dan menidakkan naluri insani sendiri. Begitu jugalah Al-Qur’an pun jelas juga dan sepatutnya diambil pengajaran darinya. Ia boleh difahami seperti disebut di dalam Qamar:17
وَلَقَد يَسَّرنَا القُرءآنَ لِلذِّكرِ فَهَل مِن مُّدَّكِرٍ
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Qur’an untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?
Maka salahlah pegangan ramai orang yang mengatakan Al-Qur’an itu susah untuk difahami dan hanya boleh difahami oleh orang-orang tertentu sahaja. Kerana ada fahaman salah beginilah yang menyebabkan sunyinya pembelajaran tafsir Al-Qur’an di sebelah Nusantara kita.
Apabila sampai kepada Nabi Isa عليه السلام, baginda masih lagi memakai Kitab Taurat sebagai sumber syariat. Ini adalah kerana Nabi Isa عليه السلام tetap dari Bani Israil dan baginda tetap menegakkan syariat Kitab Taurat. Walaupun baginda telah diberikan dengan Kitab Injil. Ini adalah kerana syariat masih lagi menggunakan Kitab Taurat pada waktu itu.
وَأَيَّدنَـٰهُ بِرُوحِ الْقُدُسِ
dan Kami kuatkan baginda dengan Ruh Qudus;
Ruh Qudus (Roh yang disucikan) yang dimaksudkan adalah Malaikat Jibril عليه السلام. Ada juga pendapat yang mengatakan roh Nabi Isa sendiri yang disucikan. Akan tetapi pendapat yang lebih kuat adalah ia merujuk kepada Jibril. Ini seperti firman Allah di dalam Nahl:102
قُل نَزَّلَهُ روحُ القُدُسِ مِن رَّبِّكَ بِالحَقِّ
Katakanlah: “Ruhul Qudus (Jibril) menurunkan Al Qur’an itu dari Tuhanmu dengan benar
Allah ﷻ bantu Nabi Isa عليه السلام dengan Jibril عليه السلام sebagai kekuatan semangat. Ini kerana baginda tidak ada ayah. Ini menandakan bahawa Nabi Isa عليه السلام itu lemah dari segi kedudukan baginda dalam masyarakat. Pengikut baginda pun tidak ramai. Ini menunjukkan yang baginda bukanlah ‘Anak Tuhan’, kerana baginda masih memerlukan sokongan. Kalau baginda Anak Tuhan, tidaklah perlu pertolongan sampai begitu. Antara pertolongan Jibril kepada Nabi Isa:
1. Baginda dilahirkan dengan tiupan dari Jibril
2. Jibril memelihara baginda daripada diganggu syaitan ketika kelahiran baginda
3. Jibril sentiasa mendampingi baginda untuk mempertahankan baginda dari kejahatan golongan Yahudi
4. Jibril yang mengangkat Nabi Isa ke langit.
Jibril عليه السلام sentiasa mendampingi Nabi Isa عليه السلام seperti yang disebut dalam hadith. Ini adalah keistimewaan yang diberikan kepada Nabi Isa عليه السلام sahaja. Kepada Nabi Muhammad ﷺ, Jibril عليه السلام hanya datang semasa membawa wahyu dan pada waktu-waktu tertentu sahaja. Nabi Muhammad ﷺ pernah mengajak Jibril عليه السلام untuk datang berjumpa baginda walaupun tanpa membawa wahyu. Jibril عليه السلام menjawab bahawa malaikat hanya menurut perintah Allah ﷻ sahaja. Mereka hanya turun selepas diperintahkan oleh Allah ﷻ. Tetapi, puak-puak silat boleh pula berkata Jibrail عليه السلام menjaga mereka kerana mereka selalu seru Jibril عليه السلام.
Ingatlah bahawa hanya Nabi Isa عليه السلام sahaja yang Jibril عليه السلام sentiasa dampingi. Dan Nabi Isa عليه السلام telah diangkat ke langit ketika baginda berumur 33 tahun. Nabi Isa عليه السلام tidak ada rumah kerana baginda sentiasa tabligh menyampaikan dakwah kepada umatnya. Dan baginda hanya berjaya mendapatkan 12 orang pengikut sahaja. Nabi Nuh عليه السلام berdakwah selama 950 tahun, cuma dapat 83 orang sahaja yang mengikutinya semasa dalam bahtera.
Dan Nabi-nabi lain, ada yang langsung tidak ada pengikut. Ada yang ada hanya seorang sahaja pengikut. Dalam Surah Yaasin, disebutkan kisah tiga orang Nabi yang diutus kepada satu bandar dan tiga orang itu hanya dapat seorang pengikut sahaja yang bernama Habib bin Najar. Jadi kalau kita berdakwah tetapi tidak mendapat pengikut, maka janganlah rasa terkilan. Sedangkan ada Nabi yang tidak ada pengikut. Adakah mereka tidak benar kalau tidak ada pengikut?
أَفَكُلَّما جاءَكُم رَسولٌ بِما لا تَهوىٰ أَنفُسُكُمُ
Apakah setiap kali rasul-rasul datang kepada kamu yang membawa ajaran yang tidak mengikut nafsu kamu;
Allah ﷻ ajar Nabi Muhammad ﷺ untuk bertanya kepada golongan Yahudi itu untuk berdakwah kepada mereka dan untuk membongkar keburukan mereka dahulu. Apa yang mereka telah lakukan terhadap para Nabi mereka?
Ajaran yang benar selalunya akan berlawanan dengan kehendak nafsu, iaitu nafsu mereka yang hendak membuat tawasul, membuat syirik dan buat itu dan ini yang tidak mengikut ajaran agama. Rasul-rasul itu datang melawan kehendak mereka. Maka apakah mereka buat?
اسْتَكْبَرْتُمْ
Kamu semua sombong;
Maksud ‘sombong’ adalah tidak mahu mengikut jalan yang benar. Kerana rasa diri lebih besar dari yang sepatutnya. Sombong adalah satu penyakit yang akan menyebabkan tidak boleh menerima dakwah agama. Kalau kita sombong, maka kita tidak akan dapat menerima ajaran agama. Begitulah apa yang terjadi kepada golongan Yahudi itu. Apabila ada Nabi yang datang kepada Bani Israil, mereka sombong tidak mahu ikut. Mereka rasa mereka lagi baik dari nabi-nabi mereka itu.
Kita selalu dengar sombong, sombong. Namun apakah ia? Sombong ada dua jenis. Satu jenis sombong seperti golongan Yahudi ini. Mereka berasa diri mereka sudah besar, lebih bijak pandai, lebih berilmu. Oleh sebab itu, apabila Nabi Muhammad menyampaikan dakwah kepada mereka, mereka tidak mahu dengar. Orang sombong jenis begini selalu sahaja kita jumpa. Terutama mereka yang sudah banyak belajar agama sekian lama, apabila kita sampaikan ajaran wahyu kepada mereka, mereka tidak mahu terima.
Satu lagi sombong adalah rasa diri lebih hebat daripada orang lain. Mereka berasa mereka lebih kaya, lebih kuat, lebih baik keturunan, bangsa dan lain-lain. Ini pun memang bahaya.
Begitu juga dengan kita yang sudah belajar ini mungkin ada sedikit sebanyak berasa lebih pandai daripada orang lain, bukan? Maka kenalah jaga hati. Kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan harus mempunyai rasa rendah diri. Jika ilmu kita banyak pun, ini kerana Allah ﷻ yang berikan kepada kita kerana kita dulu pun yang belajar daripada orang lain juga. Jangan sesekali memandang rendah terhadap orang lain yang belum pandai. Entah apabila dia terima agama dan dia belajar, mungkin dia lebih pandai daripada kita. Maka jangan sombong. Ini penting kerana Sabda Nabi Muhammad SAW:
لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ
Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong.
Sahih Muslim (51)
Ini amat menakutkan kerana kalau tidak masuk syurga, maka tentulah masuk neraka! Tapi apakah sombong itu? Rasulullah sendiri menjelaskan maksud sombong di dalam satu hadis yang diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anhu dari Nabi shalallahu ‘alaihi wa sallam, beliau bersabda,
لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ
“Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi.” Ada seseorang yang bertanya, “Bagaimana dengan seorang yang suka memakai baju dan sandal yang bagus?” Baginda menjawab, “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain.“
(Sahih Muslim no. 91)
فَفَرِيقًا كَذَّبْتُمْ
Maka sebahagian dari rasul itu kamu dustakan mereka;
Kenapa Allah ﷻ kata mereka dustakan nabi-nabi mereka, padahal mereka kata mereka terima nabi Musa عليه السلام dan nabi-nabi yang lain? Ini kerana walaupun mereka kata mereka terima, tetapi mereka tidak mengikut cakap nabi-nabi mereka. Mereka persoal kata-kata Nabi-nabi mereka sendiri. Mereka tuduh apa yang Nabi bawa itu adalah dusta sahaja, sedangkan apa yang mereka bawa itu adalah wahyu.
وَفَرِيقًا تَقْتُلُونَ
dan sebahagian dari rasul-rasul itu, kamu bunuh;
Ini lebih lagi iaitu mereka bunuh terus para Nabi mereka. Mereka rasa lebih baik nabi-nabi itu dibunuh kerana mereka kata nabi-nabi itu menipu. Ini kerana walaupun selepas mereka kata yang Nabi itu penipu, masih ada lagi yang mengikuti ajaran Nabi itu, maka mereka mengambil keputusan baik dibunuh sahaja Nabi itu. Itu sudah sampai tahap yang paling buruk. Sudahlah mereka tidak mahu mengikut ajaran Kitab, kemudian mereka tuduh pula yang Nabi-Nabi yang membawa ajaran Kitab itu menipu, akhirnya mereka sanggup bunuh Nabi-Nabi itu. Antara yang kita tahu dibunuh adalah Nabi Zakariya, Nabi Yahya. Malah Nabi Isa pun Yahudi buat tohmahan supaya baginda dibunuh oleh kerajaan Rom.
Perkataan تَقْتُلُونَ yang Allah ﷻ gunakan dalam ayat ini adalah dalam bentuk “present continous tense” sedangkan kalimah كَذَّبْتُمْ sebelum ini di dalam bentuk fi’il madhi. Ini memberi bayangan perkara itu masih segar dalam ingatan kerana buruknya perbuatan mereka itu. Allah suruh kita bayangkan perkara itu seorang-olah ia sedang berlaku. Lagi satu tafsir, kerana perbuatan membunuh itu masih lagi akan berlaku. Iaitu orang-orang alim dan para ulama’ dibunuh oleh kuasa yang tidak suka dengan teguran. Oleh kerana itu, kita pun boleh perasan bagaimana perangai ini pun masih ada dalam masyarakat Islam juga. Kita tidaklah bunuh Nabi kerana Nabi sudah tidak ada, namun berapa banyak ulama’-ulama’ dari kalangan kita yang telah dibunuh oleh kerajaan yang tidak dapat menerima mereka? Hanya kerana para ulama’ itu menyampaikan kebenaran?
Maknanya orang Islam pun ada juga mengikut perbuatan buruk Bani Israil. Kita juga tahu bahawa nabi-nabi dari kalangan Bani Israil telah pernah ditangkap, diseksa dan dibuat macam-macam, bukan? Begitu juga dengan ulama’-ulama’ kita. Berapa banyak ulama’ seperti Imam Abu Hanifah, Imam Bukhari, Ibnu Taimiyyah رحمه الله dan banyak lagi telah dilayan dengan buruk oleh ketua negara mereka? Bagaimana pula dengan ulama’-ulama’ zaman moden ini? Tidakkah banyak kisah kita dengar mereka juga telah diperlakukan sebegitu? Kadangkala kerana tidak ada tauliah sahaja sudah ditangkap dan dipenjarakan.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 19 September 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Salam.
Apakah yang dimaksudkan dengan kitab karangan manusia? Sebab setahu saya kitab2 agama dikarang berdasarkan Quran dan Hadis. Bagaimana kita nak kategorikan yang mana satu kitab karangan manusia sebab kitab tafsir Quran juga adalah karangan manusia. Bolehkah tuan beri contoh kitab2 yang dipelajari oleh orang Islam di pondok2 Malaysia yang tidak berdasarkan Quran dan Hadis?
LikeLike
Contohnya:
tanbihul ghaafilin karya abu laits al samarqandi, majmu’ syarif, kitab Ihya’ yang ada 265 hadis palsu di dalamnya.
Kena tahu ilmu wahyu iaitu ilmu tafsir dan ilmu hadis baru dapat bezakan. Kalau dua ilmu ini tidak ada, memang akan terus percaya sahaja.
Bukanlah kita tolak semua kitab. Tapi kita kena berhati-hati. Kena tengok apakah rujukan kitab-kitab itu. Sudah ada kitab-kitab muktabar yang menjadi pegangan kita kerana telah banyak dikaji dan mendapat thumbs up dari para ulama’. Kitab-kitab lain kena sealiran dengan kitab-kitab muktabar itu.
Yang penting, kena habis belajar tafsir Qur’an 30 juzuk ini. Inilah yang utama kerana ini ilmu utama. Yang lain itu boleh datang kemudian.
LikeLike
Ini sama dengan ayat Nisa’:14 juga. Ia menjadi perbincangan juga. Ini adalah kerana sudah pasti yang kekal dalam neraka adalah mereka yang mengerjakan syirik. Oleh kerana itu, ada pendapat yang mengatakan ia tidaklah bermaksud secara literal ‘kekal’, tapi kerana lamanya sangat di dalam neraka itu, seolah-olah ia tetap kekal.
Tapi kalau kita ambil literal pun dari ayat ini dan ayat Nisa’:14 tadi, ia boleh bermaksud kekal dalam neraka kerana tidak mengikut hukum-hukum dari Allah dan Rasul. Semoga kita terselamat dari keadaan ini.
LikeLike
Ada diterangkan diatas Allah dah murka dgn yahudi dan tak mahu bercakap secara langsung lagi dgn mereka, dan Allah suruh nabi yg cakap, mengikut apa yg Allah ajar. Soalan saya, sebelum tu Allah cakap direct dgn yahudi tu dgn siapa? Nabi sebelum atau mcm mana? Adakah yg dimaksud dlm kitab sebelum quran? Bantu sy utk memahami
LikeLike
Maksudnya ayat itu ditujukan terus kepada mereka. Sebagai contoh ayat yang dimulakan:
Wahai Bani Israil,
Wahai Ahli Kitab….
Tengok konteks ayat. Ada kisah tentang umat terdahulu (contohnya zaman Nabi Musa).
Ada yang konteks kepada bani Israil Madinah dan selepas itu zaman berzaman.
LikeLike
Ok baik, saya dah faham. Terima kasih banyak2
LikeLike