Tafsir Surah Baqarah Ayat 79 – 80 (Perasan takkan masuk neraka)

Baqarah Ayat 79: Ayat ini adalah berkenaan dengan Pendeta Yahudi yang mempersendakan ugamanya sendiri. Inilah adalah sebab besar kerosakan mereka dan umat mereka yang percaya membuta tuli kepada ahli agama mereka itu. Jadi teguran ini adalah kepada golongan agamawan mereka. Kalau ayat 78 tentang golongan yang jahil, sekarang ayat kembali menyebut golongan yang ada ilmu kerana dosa mereka lebih besar kerana mereka ada ilmu tapi menyeleweng.

فَوَيلٌ لِّلَّذينَ يَكتُبونَ ٱلكِتَـٰبَ بِأَيديهِم ثُمَّ يَقولونَ هٰذا مِن عِندِ اللَّهِ لِيَشتَروا بِهِ ثَمَنًا قَليلًا ۖ فَوَيلٌ لَّهُم مِمّا كَتَبَت أَيديهِم وَوَيلٌ لَّهُم مِّمّا يَكسِبونَ

Sahih International

So woe to those who write the “scripture” with their own hands, then say, “This is from Allah ,” in order to exchange it for a small price. Woe to them for what their hands have written and woe to them for what they earn.

Malay

Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini ialah dari sisi Allah”, supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu.

 

فَوَيلٌ لِّلَّذينَ يَكتُبونَ ٱلكِتَـٰبَ بِأَيديهِم

Dan celaka besarlah bagi orang-orang yang menulis kitab dengan tangan mereka sendiri;

Iaitu pendeta-pendeta Yahudi itu dan mereka yang bersifat seperti mereka. Kalimah وَيلٌ dari kata dasar: و ي ل yang bermaksud penderitaan, kesusahan, celaka. Kalimah ‘celaka’ itu bermaksud kebinasaan dan kehancuran. Ia adalah himpunan dari segala macam seksa, atau lembah di neraka yang disediakan kepada mereka. Dan ancaman ini datang dari Allah sendiri, maka ia amat besar. Ia juga bermaksud azab yang keras dan kerugian yang amat besar.

Iaitu mereka mengubah isi dalam Kitab Taurat. Atau menulis tafsir Kitab Taurat (yang lari dari maksud asal). Atau mereka menulis kitab-kitab agama (yang juga lari dari maksud asal agama). Allah mencela dan mencelakan mereka kerana perbuatan mereka ini.

Di sini Allah tambah بِأَيديهِم iaitu mereka menulis dengan tangan mereka. Akan tetapi kalau difikirkan, kalimah بِأَيديهِم tidak perlu pun kerana memang menulis dengan tangan pun. Macam kita tidak perlu kata berjalan dengan kaki kerana memang berjalan pakai kaki pun. Jadi kenapa Allah tambah? Ini mengisyaratkan bahawa perubahan kitab Taurat itu dilakukan oleh para pemuka agama Yahudi dengan amat sengaja, bersungguh-sungguh, dan tidak menugaskan orang lain melakukannya, agar benar-benar sesuai apa yang tertulis dengan keinginan nafsu mereka.

Orang agama kita pun ada yang buat macam ini. Menulis tentang cerita-cerita dari ayat-ayat Al-Qur’an atau kitab-kitab tentang agama. Iaitu mereka menulis maklumat yang salah dari akidah dan kefahaman Islam. Maka mereka telah menipu. Dan memang dari zaman dahulu lagi yang boleh menipu hal agama adalah orang yang dipandang sebagai ahli agama. Mereka itu memang tahu agama sedikit sebanyak dan kerana itu mereka boleh menipu kerana mereka tahu selok belok mana yang boleh ditipu.

Ulama’ Yahudi telah menukar kitab mereka. Memang mereka tukar betul dari teks yang ada. Mereka boleh buat kerana Taurat bukan macam Al-Qur’an. Ia tidak ada pada tangan seluruh umat Yahudi pada waktu itu. Dan Allah tidak pernah beri jaminan yang Taurat tidak boleh ditukar. Dan orang awam mereka memang tidak dapat melihat keseluruhan Kitab Taurat kerana ianya disimpan oleh pendeta mereka.

Pendeta mereka hanya akan tunjukkan sebahagian sahaja. Ini supaya senang mereka nak dakwa: “ya ini memang ada dalam Taurat”. Dan kerana orang awam mereka tidak dapat tengok kitab Taurat yang asli, mereka senang ditipu.

Itulah kisah Kitab Taurat dan ia tidak sama dengan Al-Qur’an kerana Allah telah jamin Al-Qur’an tak boleh ditukar. Tapi walaupun orang kita tak tukar perkataan yang dalam Al-Qur’an, tapi ada orang yang menukar maksud hukum-hukum dalam Al-Qur’an. Mereka telah terjemah hukum-hukum dalam Al-Qur’an ikut agenda mereka. Mereka ubah hukum yang Allah telah jelaskan dalam Al-Qur’an dengan hukum yang lain. Sebab mereka kata hukum dalam Al-Qur’an itu ketat sangat. Mereka ini jenis orang yang ikut hawa nafsu mereka.

Kalaulah pendita Yahudi itu jumpa agamawan kita yang seleweng agama ini, agaknya mereka akan minta autograph. Kerana mereka Yahudi susah payah berusaha untuk tipu masyarakat mereka dengan sorok Taurat, tapi agamawan kita senang-senang sahaja tipu masyarakat walaupun Al-Qur’an ada di setiap rumah!

 

ثُمَّ يَقُولُونَ هَٰذَا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ

Kemudian mereka berkata, “Ini adalah dari Allah”;

Mereka kata bahawa apa yang mereka buat itu adalah dari Allah. Atau mereka kata itu adalah sebahagian dari agama, padahal ianya tidak berpandukan nas yang sahih.

Sebagai contoh, ada kitab yang mengajar amalan-amalan wirid. Macam-macam jenis wirid yang mereka reka dan mereka kata ianya dari Allah atau mereka kata ianya adalah baik. Mereka kata kalau amalkan begitu begini akan dapat pahala begitu begini. Mereka tidak membawa dalil pun sebagai hujah mereka.

Banyak buku-buku amalan itu boleh didapati dengan mudah di kedai-kedai yang bersepah. Sesiapa sahaja boleh beli dan mereka memang sangka ianya adalah amalan yang baik. Padahal, ianya adalah amalan yang salah. Ada dari amalan-amalan itu yang mensyirikkan Allah pun ada.

Mereka yang buat buku-buku itu adalah kerana nak mendapatkan duit dan pengaruh. Padahal sebenarnya kalau mereka menceritakan tentang amalan-amalan ibadat, mereka kena bawa dalil hadis, sumber dari mana datangnya amalan itu. Kena beritahu juga nama kitab hadith yang mana dia ambil. Supaya senang kita nak periksa benar atau tidak. Sebab ada sekarang yang senang-senang sahaja kata ianya dari kitab Bukhari dan sebagainya, tapi bila diperiksa, tidak ada pun.

Dan kalau nak ambil dari kitab, kena ambil dari kitab yang muktabar. Tapi yang mereka bawa sumber adalah dari kitab yang bukan dari kitab yang muktabar yang tidak boleh dipertanggungjawabkan. Ketahuilah bukan semua kitab karangan manusia boleh dipercayai. Memang kita kena berhati-hati dalam perkara ini.

Hadith-hadith yang di dalam kitab-kitab hadith tidaklah sama antara mereka. Ada yang sahih dan ada yang tidak. Mana-mana hadith yang sahih telah dimasukkan di dalam dua Kitab Hadis yang utama (Bukhari dan Muslim). Yang selain dari itu, kena diperiksa sama ada hadis itu adalah betul ataupun tidak.

Banyak sekali hadith yang dhaif dan palsu disampaikan dalam masyarakat. Antara hadith yang palsu adalah hadith tentang ‘Nur Muhammad’. Fahaman ini banyak di kalangan masyarakat kita, terutama golongan tarekat, iaitu mereka percaya bahawa segala kejadian alam ini adalah dari Nur Muhammad (dijadikan dari Nur Muhammad). Sumber mereka adalah hadith palsu. Tapi mereka tidak tahu kerana mereka tidak belajar hadith.

Inilah juga yang dimaksudkan dalam ayat Al-Qur’an ini, iaitu mereka memalsukan hadith dan mengatakan ianya adalah dari Allah. Maka, berhati-hatilah dengan amalan-amalan yang tidak diambil dari amalan yang sahih dari Nabi Muhammad. Ada amalan yang mengandungi elemen syirik. Sia-sia sahaja kita amalkan. Bukan memberi pahala kepada kita, tapi memasukkan kita ke dalam neraka pula. Contohnya, amalan Selawat Syifa’. Amalan itu bukan dari Nabi. Dan dari lafaz Selawat Syifa’ itu, meletakkan kuasa menyembuh pada Nabi dan ini tentunya syirik dengan jelas.

Padahal cara selawat telah diajar dalam kitab-kitab hadith. Bukan itu sahaja, sebenarnya dalam selawat-selawat yang diajar Nabi itu, tidak ada perkataan ‘Sayyidina’ sebelum nama Nabi Muhammad. Tidak pernah ada dalam kitab-kitab hadith yang muktabar yang menggunakan lafaz ‘sayyidina’ sedemikian.

Perkataan ‘Sayyidina’ itu maknanya adalah ‘penghulu’. Panggilan itu tidak sesuai digunakan kepada Nabi Muhammad. Bayangkan kalau sultan melawat rumah kita, kita panggil dia dengan gelaran ‘penghulu’. Itu pun sudah tidak sesuai. Tapi ramai dari kalangan kita yang meletakkan gelaran yang tidak sesuai itu kepada Nabi kita sendiri. Padahal gelaran yang diberi Allah di dalam Al-Qur’an kepada Nabi adalah ‘Nabi’ dan ‘Rasul’ sahaja.

Kenapa mereka menulis kitab yang tidak benar dan mengatakan pula ianya adalah dari Allah?

 

لِيَشْتَرُوا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا

Supaya mereka dapat tukar yang mereka tulis itu dengan upah yang sedikit;

Mereka jual benda yang salah itu untuk mendapat upah dan habuan keduniaan. Juga kerana mereka mahukan pengaruh dan jadi tersohor dalam masyarakat dan disebut-sebut sebagai hebat. Dan ini adalah mudah kerana pengikut-pengikut yang jahil memang nakkan perkara yang mudah sahaja. Pendeta Yahudi dulu memang tukar Taurat untuk ubah fatwa agama mereka. Supaya mereka mendapat bayaran. Kalau ada yang datang kepada mereka dengan meminta hukum, mereka akan beri hukum ikut kehendak orang yang bertanya. Dan kemudian mereka diberi upah.

Mereka lebih mementingkan dunia dari akhirat sedangkan akhirat lebih menguntungkan seperti firman Allah di dalam Nisa’:77

قُلْ مَتَاعُ الدُّنْيَا قَلِيلٌ وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ لِّمَنِ اتَّقَىٰ وَلَا تُظْلَمُونَ فَتِيلًا
Katakanlah (wahai Muhammad): “Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun”.

Kalimah ثَمَنًا itu boleh jadi kepentingan duniawi berupa pangkat, kedudukan, pengaruh dan material. Semua itu dinilai sedikit kerana betapapun besarnya gemerlap duniawi yang mereka perolehi, ia pada hakikatnya sedikit jika dibandingkan dengan kerugian dan kebinasaan yang akan menimpa mereka kelak.

Begitulah kita lihat kezaliman dan kesesatan di hadapan mata pun dibiarkan oleh majoriti ahli agama negara ini. Sebagai contoh telah bertahun-tahun GISB mengamalkan ajaran sesat mereka, kemudian mereka menzalimi pengikut-pengikut mereka yang jahil itu. Tapi pihak berkuasa agama buat tidak tahu sahaja. Malah apabila dilaporkan kepada mereka, mereka menolak untuk bertindak. Mereka hendak menjaga kedudukan mereka supaya tidak tergugat sampaikan menyebabkan ramai orang sesat dan ramai orang dizalimi.

 

فَوَيْلٌ لَّهُمْ مِّمَّا كَتَبَتْ أَيْدِيهِمْ

Maka celaka besarlah bagi mereka daripada apa yang mereka tulis dengan tangan-tangan mereka;

Ini adalah celaka yang kedua. Maka ini adalah penekanan dari Allah kerana teruk sangat apa yang mereka telah lakukan itu. Celaka yang pertama itu kerana mereka يَكتُبونَ iaitu di dalam bentuk mudhari’ kerana mereka masih melakukannya. Dan sekarang mereka dicelakakan lagi kerana كَتَبَتْ iaitu di dalam bentuk madhi iaitu perbuatan mereka yang telah laku.

 

وَوَيْلٌ لَّهُمْ مِّمَّا يَكْسِبُونَ

Dan celakalah bagi mereka dari hasil yang mereka dapat;

Kalimah يَكْسِبُونَ dari kata dasar: ك س ب yang bermaksud mendapat hasil, mengejar, mengumpul, melakukan, hasil. Ini kerana mereka menggunakan apa yang mereka tulis itu untuk dapat upah. Dan kemudian mereka mengajar pula untuk mendapat rezeki. Dan rezeki yang mereka dapat itu adalah haram. Ianya lebih haram lagi daripada riba. Dalam Al-Qur’an, ianya dipanggil ‘suhtun‘.

Di dalam ayat ini adalah celaka yang ketiga pula. Ini tentang hasil yang mereka dapat pula. Ini bermakna perbuatan mereka adalah haram dan hasil yang mereka dapat juga haram. Maka kalau kita jual benda yang haram itu kita telah berdosa, dan hasil yang kita dapat itu juga haram untuk kita makan.

Ada golongan ustaz yang tak berani nak cakap perkara yang benar semasa mengajar. Mereka tidak berani tegur kesalahan yang dilakukan oleh anak murid mereka. Ini kerana takut nanti mereka tidak dipanggil mengajar lagi di masjid/surau itu. Kerana takut mereka tidak dapat bayaran mengajar lagi. Maka mereka sembunyikan kebenaran. Ini adalah kerana mereka takut periuk nasi mereka terganggu. Ini juga adalah salah.


 

SANGKAAN DAN PENOLAKAN KEPADA SANGKAAN ITU

Baqarah Ayat 80: Ayat 80 – 89 adalah celaan ke atas Bani Israil kerana berbangga dan fanatik kepada bangsa keturunan. Allah menyebut janji-janji yang telah didustai kaum Yahudi:

1. Sembah Allah sahaja.
2. Berbuat baik kepada ibubapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, dirikan solat, zakat.
3. Jangan membunuh, mengusir orang dari kampungnya.

Ayat 80 ini adalah kata-kata anak-anak orang Pendeta, ulama atau pembesar golongan Yahudi. Mereka sangka kerana kedudukan mereka itu, mereka telah selamat dari azab Allah. Maka sekarang Allah memperlihatkan kesombongan mereka di dalam ayat ini.

Kita kena tahu yang banyak para Nabi adalah dari kalangan bani Israil. Selain dari Nabi, tentulah ramai tok guru dari kalangan mereka. Maknanya, mereka adalah keturunan Nabi dan orang alim yang banyak. Ini adalah suasana biasa dalam masyarakat mereka. Kerana mereka banyak Rasul, Nabi dan ulama’, mereka rasa mereka manusia terpilih. Ini adalah tentang anak-anak mereka dan mereka sendiri yang ada sangkut paut dengan golongan ulama mereka. Mereka berbangga dengan keadaan itu. Mereka rasa mereka akan selamat.

وَقالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَّعدودَةً ۚ قُل أَتَّخَذتُم عِندَ اللَّهِ عَهدًا فَلَن يُخلِفَ اللَّهُ عَهدَهُ ۖ أَم تَقولونَ عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

Sahih International

And they say, “Never will the Fire touch us, except for a few days.” Say, “Have you taken a covenant with Allah ? For Allah will never break His covenant. Or do you say about Allah that which you do not know?”

Malay

Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu sudah mendapat janji dari Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan menyalahi janjiNya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu mengetahuinya?”

 

وَقَالُوا لَنْ تَمَسَّنَا النَّارُ

Mereka berkata: “Kami tidak akan sekali-kali disentuh oleh api neraka”;

Mereka sangka kerana mereka dari golongan orang yang baik-baik, maka mereka akan terselamat dari api neraka. Mereka perasan sahaja. Mereka sangka mereka ‘umat pilihan’, ‘kekasih Allah’, sampaikan mereka tidak akan diazab dalam neraka.

Orang Islam pun sudah rasa macam ini. Mereka sangka kalau mereka anak ustaz, anak tok imam, anak guru tarekat, mereka sudah selamat. Mereka juga sangka yang apabila mereka sudah solat, sudah puasa, baca Al-Qur’an, tak minum arak dan makan babi, mereka sudah selamat dari neraka. Atau rasa sudah banyak amal ibadah yang telah dilakukan seperti zikir banyak, solat sunat banyak dan sebagainya. Semua itu bukanlah jaminan yang kita pasti selamat. Siapakah yang boleh kata dirinya selamat dari neraka? Tidak ada! Allah telah berfirman di dalam Najm:32

فَلا تُزَكّوا أَنفُسَكُم

maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa)

Mereka sangka begitu sebab mereka ada sedekah sedikit duit kepada masjid atau kepada orang miskin, mereka sudah selamat. Ini adalah kerana mereka tak belajar isi kandungan Al-Qur’an, maka mereka tak tahu berapa banyak lagi kesalahan yang mereka telah lakukan. Ini semua hasil dari tidak belajar kandungan Al-Qur’an dan agama dengan benar.

 

إِلَّا أَيَّامًا مَّعْدُودَةً

“melainkan hanya beberapa hari sahaja”;

Iaitu mereka kata mereka kalau mereka kena masuk neraka pun, ianya sekejap sahaja, dan ada yang kata selama 40 hari sahaja, iaitu selama Nabi Musa naik ke Bukit Thursina dan mereka menyembah patung anak lembu. Ada juga yang kata 7 hari sahaja. Ini kerana bagi mereka, dunia ini 7,000 tahun dan setiap seribu tahun, mereka hanya diazab sehari sahaja. Atau, kerana dalam seminggu ada 7 hari. Setelah kena azab sekejap itu, mereka perasan mereka akan dipindahkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

Ini adalah kerana mereka sangka mereka itu anak Tuhan, atau kekasih Tuhan dan Allah tidak akan mengazab anakNya berterusan. Mereka sangka agama mereka masih sah walaupun mereka menolak kerasulan Nabi Isa dan juga Nabi Muhammad. Tapi pada hakikatnya agama mereka telah dimansukhkan dengan kedatangan Nabi Muhammad. Dan mereka sepatutnya mengiktiraf Nabi Isa juga. Dan apabila mereka menolak Nabi Isa, mereka telah kufur.

Maknanya mereka itu perasan mereka masih lagi beragama. Di kalangan kita pun ada juga yang berfikiran macam ini. Ada yang berbangga dan merasa selamat kerana mereka keturunan yang baik-baik dari kalangan ahli agama. Mereka rasa mereka tidak akan masuk neraka kerana mereka itu umat Islam, nama pun nama Islam dari lahir lagi. Masyarakat kita sekarang sudah jadi seperti masyarakat Yahudi yang diceritakan dalam ayat ini. Mereka merasa selamat dari api neraka hanya kerana mereka ada sangkut paut dengan ahli agama.

Kerana itulah kita tidak memandang hebat pun keturunan Habib, keturunan ulama’, keturunan Syed Syarifah dan sebagainya. Mereka sahaja yang perasan mereka lebih baik dari umat manusia yang lain semata-mata kerana nasab mereka. Ia tidak ada kelebihan apa-apa pun kerana kita dinilai dari amalan kita, bukannya dari nasab. Itu pun kalau sahih mereka keturunan Nabi, kerana ia belum tentu lagi selagi tak buat ujian DNA.

Orang Islam pun ada yang kata, “kalau masuk neraka pun, akhirnya kita akan masuk syurga juga”. Mereka macam tak kenal neraka. Mereka sangka senang sahaja kalau masuk neraka sekejap. Padahal, neraka itu tidak dapat dibayangkan azab di dalamnya. Kalau tak masuk tapi kena angin neraka sahaja sudah tak tahan. Sila rujuk Anbiya:46.

وَلَئِن مَّسَّتهُم نَفحَةٌ مِّن عَذابِ رَبِّكَ لَيَقولُنَّ يٰوَيلَنا إِنّا كُنّا ظٰلِمينَ
Dan sesungguhnya, jika mereka ditimpa sedikit saja dari azab Tuhan-mu, pastilah mereka berkata: “Aduhai, celakalah kami, bahawasanya kami adalah orang yang menganiaya diri sendiri”.

Adakah mereka rasa mereka kuat untuk menahan azab neraka walaupun hanya sesaat sahaja di dalamnya? Ini semua adalah kerana mereka tak belajar apakah yang Allah telah sebut tentang neraka di dalam Al-Qur’an dan dalam hadis. Ini adalah kerana mereka tak belajar tafsir Al-Qur’an dan syarah hadis. Mereka memang baca Al-Qur’an, tapi mereka baca sahaja, tapi tidak memahami azab neraka (sama seperti orang Yahudi awam).

Kenapa fahaman ini bahaya? Kerana kalau perasan akan masuk syurga, maka hal-hal agama akan diringankan oleh manusia. Kerana tidak takut sangat dengan neraka kerana mereka sangka sekejap sahaja di dalamnya.

 

قُلْ أَتَّخَذْتُمْ عِنْدَ اللَّهِ عَهْدًا

Kata kepada mereka: “Adakah kamu ambil perjanjian yang kukuh dengan Allah?”

Allah suruh tanya: “Ada tak kamu buat perjanjian dengan Allah yang kamu takkan masuk neraka, atau kamu hanya masuk neraka sekejap sahaja? Kalau ada, kena berikan bukti dan dalil.”

Perhatikan cara Allah suruh Nabi tanya, bukannya menuduh mereka berbohong. Memang mereka berbohong akan tetapi cara bertanya itu tidak terus menuduh dan memberi peluang kepada mereka untuk mengeluarkan bukti kalau mereka ada. Cara ini lebih sopan, bukan?

Sudah tentulah mereka tidak akan dapat keluarkan bukti. Sebenarnya kita tak akan tahu adakah kita akan masuk syurga atau neraka. Kita takkan tahu adakah kita akan duduk lama atau tidak dalam neraka kalau kita masuk neraka. Semoga Allah selamatkan kita dari neraka.

Allah suruh Nabi yang cakap (قُلْ) dengan mereka yang berpandangan salah ini kerana Allah marah sangat dengan mereka. Allah tak nak bercakap dengan mereka terus. Allah wakilkan Nabi sahaja untuk cakapkan. Allah juga ajar baginda bagaimana untuk berhujah dengan mereka itu.

Rasulullah pernah bertanya kepada Yahudi siapakah ahli neraka. Mereka kata mereka akan masuk sekejap sahaja dan akan diganti oleh umat Islam. Kejadian ini berlaku di Khaibar seperti disebut di dalam satu hadis,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ لَمَّا فُتِحَتْ خَيْبَرُ أُهْدِيَتْ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَاةٌ فِيهَا سُمٌّ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اجْمَعُوا إِلَيَّ مَنْ كَانَ هَا هُنَا مِنْ يَهُودَ فَجُمِعُوا لَهُ فَقَالَ إِنِّي سَائِلُكُمْ عَنْ شَيْءٍ فَهَلْ أَنْتُمْ صَادِقِيَّ عَنْهُ فَقَالُوا نَعَمْ قَالَ لَهُمْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ أَبُوكُمْ قَالُوا فُلَانٌ فَقَالَ كَذَبْتُمْ بَلْ أَبُوكُمْ فُلَانٌ قَالُوا صَدَقْتَ قَالَ فَهَلْ أَنْتُمْ صَادِقِيَّ عَنْ شَيْءٍ إِنْ سَأَلْتُ عَنْهُ فَقَالُوا نَعَمْ يَا أَبَا الْقَاسِمِ وَإِنْ كَذَبْنَا عَرَفْتَ كَذِبَنَا كَمَا عَرَفْتَهُ فِي أَبِينَا فَقَالَ لَهُمْ مَنْ أَهْلُ النَّارِ قَالُوا نَكُونُ فِيهَا يَسِيرًا ثُمَّ تَخْلُفُونَا فِيهَا فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اخْسَئُوا فِيهَا وَاللَّهِ لَا نَخْلُفُكُمْ فِيهَا أَبَدًا ثُمَّ قَالَ هَلْ أَنْتُمْ صَادِقِيَّ عَنْ شَيْءٍ إِنْ سَأَلْتُكُمْ عَنْهُ فَقَالُوا نَعَمْ يَا أَبَا الْقَاسِمِ قَالَ هَلْ جَعَلْتُمْ فِي هَذِهِ الشَّاةِ سُمًّا قَالُوا نَعَمْ قَالَ مَا حَمَلَكُمْ عَلَى ذَلِكَ قَالُوا أَرَدْنَا إِنْ كُنْتَ كَاذِبًا نَسْتَرِيحُ وَإِنْ كُنْتَ نَبِيًّا لَمْ يَضُرَّكَ
Dari [Abu Hurairah radiallahuanhu] berkata; “Ketika Khaibar ditakluk, Nabi صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ telah diberi hadiah seekor kambing yang di dalamnya ditaruh racun. Maka Nabi SAW berkata: “Kumpulkan di hadapanku orang-orang yang ada di sini dari kalangan Yahudi”. Maka mereka berkumpul di hadapan baginda lalu baginda berkata: “Aku akan bertanya satu hal kepada kalian, apakah kalian akan membenarkan aku tentang suatu masalah?”. Mereka menjawab; “Ya”. Nabi SAW bertanya kepada mereka: “Siapa orang tua kalian”. Mereka menjawab; “Si fulan”. Baginda berkata: “Kalian berdusta. Yang sebenarnya orang tua kalian adalah si anu”. Mereka berkata; “Anda benar”. Lalu baginda bertanya lagi: “Apakah kalian akan membenarkan aku tentang suatu masalah yang akan aku tanyakan?”. Mereka menjawab; “Ya, wahai Abu Al Qasim. Seandainya kami berdusta, engkau pasti mengetahui kedustaan kami sebagaimana engkau mengetahui orang tua kami”. Baginda bertanya: “Siapakah yang menjadi penduduk neraka?”. Mereka menjawab; “Kami akan berada di dalamnya sebentar lalu kalian (kaum Muslimin) akan mengiringi masuk ke dalamnya“. Nabi SAW berkata: “Tinggallah kalian dengan hina di dalamnya. Demi Allah, sungguh kami tidak akan mengikuti kalian ke dalamnya selama-lamanya”. Kemudian baginda bertanya lagi: “Apakah kalian akan membenarkan aku tentang suatu masalah yang akan aku tanyakan?”. Mereka menjawab; “Ya, wahai Abu Al Qasim”. Baginda bertanya: “Apakah kalian telah memasukkan racun ke dalam kambing ini?”. Mereka menjawab; “Ya”. Baginda bertanya lagi: “Apa yang mendorong kalian berbuat begitu?”. Mereka menjawab; “Kami hanya ingin menguji, seandainya anda berdusta (mengaku sebagai Nabi) kami dapat beristirehat dari anda. Dan seandainya anda benar seorang Nabi maka racun itu tidak akan dapat mendatangkan bahaya buat anda”.
Sahih Bukhari (2933)

 

فَلَنْ يُخْلِفَ اللَّهُ عَهْدَهُ

Allah tidak akan mungkin mungkir dengan janjiNya;

Tidak sekali-kali Allah akan mungkir janjiNya. “Kalau kamu memang ada surat perjanjian dengan Allah, Allah takkan mungkir janji itu.” Tapi malangnya, tidak ada perjanjian sebegini antara manusia dan Allah.

Tidak ada orang yang Allah kata Dia akan selamatkan orang itu hanya kerana dia keturunan orang yang baik-baik. Kepada Fatimah sendiri Nabi kata baginda tak dapat tolong kalau anaknya itu ada buat salah. Kalau anak sendiri Nabi tidak dapat tolong, apatah lagi kita.

 

أَمْ تَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Atau kamu mengatakan terhadap Allah perkara yang kamu sendiri tidak tahu?

“Atau kamu memandai sahaja? Kamu memandai-mandai sahaja kata begini dan begitu tanpa sandaran dalil?” Ini adalah satu contoh sangkaan-sangkaan yang manusia buat seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini. Apabila tak faham agama, mereka akan buat sangkaan-sangkaan ikut kepala sendiri yang tentunya meleset jauh. Inilah bahayanya apabila bercakap tanpa ilmu yang bersandarkan kepada wahyu. Allah telah ingatkan kita di dalam Isra’:36

وَلَا تَقفُ مَا لَيسَ لَكَ بِهِۦ عِلمٌ‌ۚ إِنَّ ٱلسَّمعَ وَٱلبَصَرَ وَٱلفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ كَانَ عَنهُ مَسـُٔولاً

Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.

Bila tidak ada ilmu wahyulah yang sampai pakai capal pada kepala, sanjung capal, ambil berkat dari capal dan sebagainya. Kononnya kerana Nabi naik Isra’ Mi’raj dengan capal dan capal itu mulia. Masalahnya para sahabat dulu tidak buat pun, tak simpan pun capal Nabi yang original itu pun; tapi puak-puak sesat dengan logo, gambar, replika capal pun mereka cium bagai.

Bercakap tentang agama tanpa ilmu ini adalah ajaran dari syaitan. Mereka yang suruh kita memandai-mandai cakap tanpa ilmu seperti disebut di dalam Baqarah:168-169

وَلا تَتَّبِعوا خُطُوٰتِ الشَّيطٰنِ ۚ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُّبينٌ

Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.

إِنَّما يَأمُرُكُم بِالسّوءِ وَالفَحشاءِ وَأَن تَقولوا عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya).

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 16 September 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment