Tafsir Surah Baqarah Ayat 78 (Tidak memahami kitab sendiri)

Baqarah Ayat 78: Ini pula tentang orang awam Yahudi yang kebanyakannya jahil dengan agama mereka sendiri. Begitu juga, sama sahaja dengan orang awam dari kalangan kita.

Menurut al-Biqa‘i, kelompok ini lebih buruk dari yang disebut sebelumnya, kerana yang sebelumnya adalah orang-orang yang ada ilmu, sehingga dengan mengingatkan atau menunjukkan kekeliruannya, boleh jadi mereka malu dan dapat memperbaiki diri; adapun yang dibicarakan oleh ayat ini maka mereka adalah orang-orang bodoh tidak dapat mengerti lagi keras kepala dan buruk perangainya.

وَمِنهُم أُمِّيّونَ لا يَعلَمونَ ٱلكِتَـٰبَ إِلّا أَمانِيَّ وَإِن هُم إِلّا يَظُنّونَ

(Saheeh International)

And among them are unlettered ones who do not know the Scripture except [indulgement in] wishful thinking, but they are only assuming.

Malay

Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang ‘buta huruf’, mereka tidak mengetahui akan isi Kitab Taurat selain dari penerangan-penerangan bohong (dari ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja.

 

وَمِنْهُمْ أُمِّيُّونَ

Dan diantara mereka itu adalah mereka yang buta huruf;

Ummiy itu asalnya adalah dari kalimah yang bermakna ‘ibu’. Apabila dikatakan seseorang itu ‘ummiy‘, ia bermaksud orang itu tidak tahu apa-apa, sama seperti dia baru keluar dari perut ibunya. Oleh itu, ia juga digunakan untuk mengatakan seseorang itu buta huruf tidak tahu membaca. Sebab apabila kita keluar dari perut ibu kita, kita pun tidak tahu membaca.

Maksudnya mereka yang tidak tahu apa-apa tentang isi kandungan Kitab Taurat mereka. Mereka itu adalah orang-orang dari kalangan puak Yahudi. Di dalam ayat ini Allah mencela mereka kerana mereka tidak belajar Kitab Taurat. Atau seperti telah diberitahu, mereka tidak dibenarkan untuk membawa Kitab Taurat.

‘Ummiyyun’ juga digunakan kepada Rasulullah dan para sahabat Nabi. Ini seperti firman Allah di dalam Jumuah:2

هُوَ ٱلَّذِي بَعَثَ فِي ٱلۡأُمِّيِّ‍ۧنَ رَسُولٗا مِّنۡهُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِي ضَلَٰلٖ مُّبِينٖ
Dialah (Allah) yang mengutuskan di dalam golongan ummiy seorang Rasul dari kalangan mereka yang membacakan ayat-ayat-Nya ke atas mereka dan dia menyucikan mereka serta mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan al-Hikmah sekalipun mereka sebelum ini berada di dalam kesesatan yang nyata.

Dan di dalam A’raf:157, Allah juga mengatakan yang Rasulullah juga seorang ummiy,

ٱلَّذِينَ يَتَّبِعُونَ ٱلرَّسُولَ ٱلنَّبِيَّ ٱلۡأُمِّيَّ ٱلَّذِي يَجِدُونَهُۥ مَكۡتُوبًا عِندَهُمۡ فِي ٱلتَّوۡرَىٰةِ وَٱلۡإِنجِيلِ يَأۡمُرُهُم بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَىٰهُمۡ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيۡهِمُ ٱلۡخَبَٰٓئِثَ
Mereka yang mengikuti Rasul iaitu seorang Nabi yang ummiy yang mereka dapati telah tertulis di sisi mereka di dalam kitab Taurat dan Injil yang memerintahkan mereka kepada perkara yang makruf dan melarang mereka dari perkara yang mungkar dan dia menghalalkan bagi mereka itu perkara-perkara yang baik dan dia haramkan ke atas mereka perkara-perkara yang kotor.

Tapi para sahabat cuma tak tahu menulis dan membaca sahaja, tapi mereka belajar agama dan faham Al-Qur’an. Tapi puak Yahudi yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah jenis yang tidak belajar kitab. Tidak tahu isi kitab Taurat mereka sendiri.

Jadi walaupun Allah mencela mereka kerana buta huruf tapi apabila ia dikatakan untuk Nabi dan para sahabat, ia bukanlah di dalam bentuk celaan. Ini kerana apabila Rasulullah Allah takdirkan sebagai buta huruf, ia adalah satu kelebihan. Ini seperti disebut di dalam Ankabut: 48

وَمَا كُنتَ تَتۡلُواْ مِن قَبۡلِهِۦ مِن كِتَٰبٖ وَلَا تَخُطُّهُۥ بِيَمِينِكَۖ إِذٗا لَّٱرۡتَابَ ٱلۡمُبۡطِلُونَ

Dan kamu (Wahai Muhammad) tidak pernah membaca sebelumnya (Al Qur’an) sesuatu Kitab pun dan kamu tidak (pernah) menulis suatu Kitab dengan tangan kananmu; andaikata (kamu pernah membaca dan menulis), benar-benar ragulah orang yang mengingkari(mu)

Ini kerana kalaulah Nabi Muhammad itu dikenali sebagai orang yang boleh membaca dan menulis, ia boleh menjadi hujah bagi penentang Islam dengan mengatakan baginda menulis sendiri Al-Qur’an itu. Akan tetapi apabila diketahui yang baginda buta huruf, ini bermakna tidak mungkin baginda menulis sendiri Al-Qur’an dan tidak mungkin baginda mencedok dari kitab-kitab lain kerana baginda pun tidak tahu membaca kitab lain.

 

لَا يَعْلَمُونَ ٱلكِتَـٰبَ

mereka tidak mengetahui tentang kitab;

Sebelum ini disebut yang golongan Yahudi itu ummiy dan sekarang ditafsirkan apakah masuk ummiy itu. Iaitu mereka tidak tahu tafsir Kitab Taurat. Jadi mereka tidak mengambil ajaran dari Kitab Taurat. Kerana itu mereka senang ditipu oleh agamawan mereka. Ini kerana agamawan dan ketua mereka tidak cerita habis tentang apa kandungan Taurat itu. Mereka hanya dapat apa yang telah disampaikan oleh ketua-ketua mereka dan itu pun setelah diubah kandungan kitab Taurat itu.

Ini juga adalah satu lagi nasihat kepada Rasulullah dan para sahabat supaya jangan berharap sangat golongan Yahudi itu akan beriman. Para sahabat sangka golongan Yahudi itu sepatutnya senanglah beriman kerana mereka telah mahir dengan Taurat. Akan tetapi di sini Allah beritahu yang mereka tidak tahu pun kandungan kitab mereka itu.

Di dalam ayat ini Allah mencela manusia yang tidak tahu ilmu wahyu. Dan kebanyakan orang Islam pun begitu juga, tidak tahu tafsir Al-Qur’an dan tidak belajar syarahan hadis. Majoriti masyarakat Islam hari ini tidak mengerti apa yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an. Mereka sangka mereka sudah Muslim sebab mereka solat, puasa, pakai tudung tutup aurat, ‘baca’ Al-Qur’an dan sebagainya. Tapi sebenarnya mereka tidak faham agama pun. Begitulah umat Islam mengikut sahaja perangai Yahudi seperti yang telah diberitahu oleh Rasulullah,

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ مَنْ قَبْلَكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ سَلَكُوا جُحْرَ ضَبٍّ لَسَلَكْتُمُوهُ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ
Dari [Abu Sa’id radiallahuanhu] bahawa Nabi SAW bersabda: “Kalian pasti akan mengikuti kebiasaan-kebiasaan orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta hingga seandainya mereka menempuh (masuk) ke dalam lubang biawak kalian pasti akan mengikutinya”. Kami bertanya; “Wahai Rasulullah, apakah yang baginda maksudkan Yahudi dan Nasrani?”. Baginda menjawab: “Siapa lagi (kalau bukan mereka) “.
Sahih Bukhari (3197)

Baca Al-Qur’an tapi tidak faham apa yang dibaca adalah seperti perumpamaan seorang raja menulis arahan kepada gabenornya untuk bina istana. Gabenor baca tapi tidak faham arahan raja. Dibaca dan disimpan, dibaca dan disimpan. Agaknya apa raja akan buat kepada gabenor itu?

 

إِلَّا أَمَانِيَّ

melainkan cerita-cerita dongeng yang tiada bukti;

Melainkan mereka hanya tahu khayalan-khayalan tahyul yang disampaikan oleh ulama’ mereka sahaja. Kerana mereka bodoh dan tidak belajar, senang sahaja mereka kena tipu oleh ulama mereka. Kalimah ini dari kata dasar: م ن ي yang bermaksud memberi inspirasi dengan keinginan; berharap; kematian; keinginan; objek yang diinginkan; mencipta keinginan palsu; memancarkan; titisan cecair yang dipancarkan; air mani; membangkitkan harapan palsu; dipenuhi dengan keinginan yang sia-sia.

Itulah bahawa kalau jahil agama dan terus menjadi orang awam. Kerana ulama mengatakan العوام كالأنعام (orang awam seperti binatang ternak). Maksudnya orang awam ikut sahaja apa kata orang atasan. Bahayalah adalah kalau orang atasan itu salah, jadi dia telah mengikut orang yang salah. Dan ini bukan bahaya di dunia sahaja tetapi membawa ke akhirat.

Sama juga macam orang kita yang jahil wahyu. Mereka hanya terima sahaja kata-kata manusia yang mereka anggap sebagai orang yang pandai agama. Kerana itu ramai dari masyarakat kita yang ikut tarekat sebab nak cepat naik ‘maqam’ dalam agama kononnya. Mereka ada guru-guru mereka tapi yang mereka tidak tahu adalah, apa yang disampaikan oleh guru mereka itu adalah ilmu khayalan sahaja. Tahyul sahaja apa yang disampaikan oleh guru mereka itu.

Dalam Al-Qur’an ianya dipanggil ‘angan-angan kosong nak dapat syurga’. Belajar agama dan tafsir Al-Qur’an tak mahu, tapi berangan nak masuk syurga. Mereka sangka mereka boleh dapat kedudukan tinggi dalam syurga hanya berbekalkan zikir-zikir wirid karut mereka itu.

Ibn Abbas mentafsirkan ayat ini dengan mengatakan maksudnya: Bani Israil itu hanya membaca dan menghafal sahaja kitab Taurat itu tanpa memahaminya. Mereka memang baca terutama dalam majlis-majlis keramaian mereka. Dan Rasulullah juga telah menyebut tentang mereka ini di dalam satu hadis,

عَنْ زِيَادِ بْنِ لَبِيدٍ قَالَ ذَكَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَيْئًا فَقَالَ وَذَاكَ عِنْدَ أَوَانِ ذَهَابِ الْعِلْمِ قَالَ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَكَيْفَ يَذْهَبُ الْعِلْمُ وَنَحْنُ نَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَنُقْرِئُهُ أَبْنَاءَنَا وَيُقْرِئُهُ أَبْنَاؤُنَا أَبْنَاءَهُمْ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ قَالَ ثَكِلَتْكَ أُمُّكَ يَا ابْنَ أُمِّ لَبِيدٍ إِنْ كُنْتُ لَأَرَاكَ مِنْ أَفْقَهِ رَجُلٍ بِالْمَدِينَةِ أَوَلَيْسَ هَذِهِ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى يَقْرَءُونَ التَّوْرَاةَ وَالْإِنْجِيلَ لَا يَنْتَفِعُونَ مِمَّا فِيهِمَا بِشَيْءٍ
Dari [Ziyad bin Labid] dia berkata, Nabi SAW menyebutkan sesuatu, baginda katakan: “Itulah masa hilangnya ilmu.” Labid berkata, “Kami lalu bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimanakah ilmu akan hilang, sementara kami selalu membaca Al-Qur’an dan membacakannya kepada anak-anak kami, dan anak-anak kami juga membacakannya untuk anak-anak mereka. Kemudian anak-anak mereka hingga datangnya hari kiamat?” Baginda menjawab: “Celaka kamu wahai Ibnu Abu Labid! Aku melihatmu termasuk orang yang paling faqih di Madinah ini. Bukankah orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasrani juga membaca Taurat dan Injil, namun mereka tidak memetik manfaat sedikit pun dari apa yang termaktub dalam keduanya?”
Jami’ Tirmizi (16828) Disahihkan oleh Albani.

Mereka itu seperti firman Allah di dalam Jumuah:5

مَثَلُ الَّذينَ حُمِّلُوا التَّورىٰةَ ثُمَّ لَم يَحمِلوها كَمَثَلِ الحِمارِ يَحمِلُ أَسفارًا ۚ بِئسَ مَثَلُ القَومِ الَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ
Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepadanya Taurat, kemudian mereka tiada memikulnya adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Dan Allah tiada memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.

Ini samalah dengan masyarakat Islam kita hari ini. Ada Al-Qur’an tapi tak faham apa-apa. Ada yang hari-hari boleh baca Al-Qur’an tapi mereka tak faham ajaran di dalamnya. Ada yang belajar bertahun-tahun hafal Al-Qur’an, tapi tak tahu apakah makna Al-Qur’an yang hendak Allah sampaikan. Kalau bab ilmu tajwid, mereka memang hebat. Mereka itu tidak ubah macam burung Kakak Tua, hanya tahu cakap sahaja, tapi tidak tahu apa yang dicakapkan.

Jadi, kalau kita pun begitu juga, kita sudah jadi macam orang Yahudi yang jahil itu. Maknanya, sejarah berulang. Kalau orang yang ada agama dahulu begitu, orang Islam kita pun begitu juga. Al-Qur’an hanya menjadi bacaan sahaja, dibaca di keraian, di majlis-majlis tertentu. Dan kalau walaupun selalu dibaca di rumah, tapi tidak difahami oleh mereka yang membacanya. Mereka ini tidak banyak bezanya dari istilah Khawarij yang Rasulullah telah pernah sebut tentang sifat mereka,

يَا رَسُولَ اللَّهِ اعْدِلْ، فَقَالَ: «وَيْلَكَ، وَمَنْ يَعْدِلُ إِذَا لَمْ أَعْدِلْ، قَدْ خِبْتَ وَخَسِرْتَ إِنْ لَمْ أَكُنْ أَعْدِلُ». فَقَالَ عُمَرُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ائْذَنْ لِي فِيهِ فَأَضْرِبَ عُنُقَهُ؟ فَقَالَ: «دَعْهُ، فَإِنَّ لَهُ أَصْحَابًا يَحْقِرُ أَحَدُكُمْ صَلاَتَهُ مَعَ صَلاَتِهِمْ، وَصِيَامَهُ مَعَ صِيَامِهِمْ، يَقْرَءُونَ القُرْآنَ لاَ يُجَاوِزُ تَرَاقِيَهُمْ، يَمْرُقُونَ مِنَ الدِّينِ كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنَ الرَّمِيَّةِ
“Wahai Rasulullah berlaku adillah!” Baginda SAW bersabda: “Celakalah engkau! Siapakah yang akan berlaku adil jika aku tidak adil, sungguh merugilah engkau jika aku tidak berlaku adil.” Maka Umar al-Khattab berkata: “Wahai Rasulullah! Izinkan aku untuk memenggal lehernya.” Baginda bersabda: “Biarkan dia, kerana dia mempunyai teman-teman yang salah seorang antara kamu akan diremehkan solatnya jika dibandingkan dengan solat mereka, dan puasanya jika dibandingkan dengan puasa mereka. Mereka membaca al-Quran tetapi tidak melebihi kerongkong mereka, mereka terlepas dari Islam sebagaimana terlepasnya anak panah dari busurnya.”
Riwayat al-Bukhari (3610)

Begitulah puak Khawarij itu memang membaca Al-Qur’an tapi setakat baca sahaja, tidak memahami apa yang disampaikan oleh Al-Qur’an itu. Tidakkah ini sama sahaja dengan kebanyakan orang kita? Kitalah satu-satunya bangsa yang memahami ‘baca’ itu hanya sebutan sahaja. Cuba fikirkan, kalau seorang budak boleh baca akhbar Inggeris tapi dia tidak faham, adakah dia dikira membaca? Tentu tidak, bukan? Jadi bila orang kita baca (mengeja) ayat-ayat Al-Qur’an, layakkah mereka dikira membaca?

 

وَإِن هُم إِلّا يَظُنّونَ

Dan sesungguhnya mereka tidak lain dan tidak bukan, mereka hanya agak-agak sahaja;

Iaitu orang-orang Yahudi yang buta huruf dan jahil itu tadi, tidak kira sama ada dia orang Islam atau tidak. Mereka yang jahil tidak belajar tafsir (Taurat atau Al-Qur’an) itu hanya boleh baca terjemahan sahaja. Dan kemudian mereka agak-agak maksudnya. Ini amat bahaya.

Maka begitulah kita kena ada ilmu agama. Tidak boleh bercakap hal agama tanpa ilmu. Ingatlah firman Allah di dalam Isra’:36

وَلَا تَقفُ مَا لَيسَ لَكَ بِهِۦ عِلمٌ‌ۚ إِنَّ ٱلسَّمعَ وَٱلبَصَرَ وَٱلفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ كَانَ عَنهُ مَسـُٔولاً
Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.

Kita tidak boleh agak-agak apakah yang Allah suka dan tak suka kita lakukan. Kita hendaklah melihat apakah dalil dan nas yang ada dalam sumber-sumber agama kita – nas itu adalah Al-Qur’an dan Sunnah. Jadi syarat untuk bercakap hal agama, kena tahu dua perkara ini dahulu. Kalau tidak tahu, mereka bukannya bercakap, tapi hendaklah bertanya kepada yang tahu. Tapi yang menyedihkan, banyak dari kalangan orang Islam kita tiada membawakan bukti apabila mereka mengatakan sesuatu tentang agama. Mereka pula bercakap seolah-olah mereka tahu, sedangkan dari percakapan mereka, kita tahu yang mereka itu tidak ada ilmu wahyu.

Hujah-hujah mereka kebanyakannya adalah selain dari wahyu. Dan kalau mereka menyampaikan hujah dari Al-Qur’an dan Hadith, ianya amat berlainan dari pemahaman yang sebenar (pemahaman golongan salaf). Ini kerana mereka tidak belajar faham Al-Qur’an dan Hadith seperti yang difahami oleh para sahabat dan golongan salaf. Mereka tidak tahu manhaj ahli Sunnah iaitu secara ringkas,

1. Mengagungkan nas

2. Berpegang dengan nas yang sahih

3. Memahami nas sepertimana yang difahami oleh golongan salaf

Sama sahaja apa yang dikatakan tentang puak Yahudi dalam ayat ini dengan umat Islam zaman sekarang. Mereka agak-agak sahaja tentang hal agama. Contohnya, mereka akan kata: “takkan Allah tak beri pahala kalau kita buat ibadat ini kalau kita ikhlas, walaupun Nabi tak pernah buat pun?” Ini adalah kerana mereka tidak tahu agama dengan jelas. Mereka jahil tentang agama, oleh kerana itu mereka agak-agak sahaja.

Yang jadi masalahnya adalah mereka sangka mereka tahu. Padahal mereka tak tahu agama. Masalah yang paling besar adalah apabila orang bodoh tidak tahu yang mereka bodoh. Ini dipanggil ‘jahil murakkab’ (bodoh kuasa dua – tidak tahu yang dia tidak tahu). Kalau mereka tahu mereka bodoh, kita boleh ajar mereka lagi dan mereka akan terima kerana mereka tahu mereka tak tahu.

Tapi kalau mereka sangka mereka sudah tahu, bila kita nak ajar, mereka tak mahu terima. Tapi kalau dia sangka dia sudah pandai, bagaimana lagi kita hendak ajar dia? Kerana dia tidak terima apa yang kita sampaikan? Inilah yang dipanggil Jahil Murakkab – orang yang bodoh tapi tak tahu mereka bodoh!

Dan yang lebih teruk, ada di kalangan mereka yang jahil itu baca terjemahan Al-Qur’an dan agak-agak apakah maksudnya. Mereka bukan faham berlandaskan kepada tafsiran para ulama’ silam dan pakar tafsir, tapi mereka sendiri baca dan mereka sendiri buat-buat fahaman sendiri. Tentunya mereka pun tidak tahu tentang hadis kerana kalau mereka belajar hadis, mereka akan berjumpa satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.A. Nabi bersabda:

وَمَنْ قَالَ فِي الْقُرْآنِ بِرَأْيِهِ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Sesiapa yang berkata sesuatu pada Al-Quran dengan menggunakan pendapatnya sendiri maka bersiap sedialah tempatnya di dalam neraka.
Riwayat Al-Tirmizi (2951) Dhaif (Darussalam)

Walaupun hadis ini dhaif, akan tetapi maksudnya benar. Kerana ada sandarannya di dalam nas seperti firman Allah di dalam Baqarah:169

إِنَّما يَأمُرُكُم بِالسّوءِ وَالفَحشاءِ وَأَن تَقولوا عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ
Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya).

Demikian juga terdapat beberapa atsar dari para sahabat yang menegaskan larangan terhadap perbuatan ini. Kata Abu Hurairah R.A:

 من فسر القرآن على رأيه فإن أصاب لم يؤجر وإن أخطأ مُحي النور من قلبه
Sesiapa yang menafsirkan Al-Quran menurut pendapatnya sendiri, sekiranya (tafsiran) itu betul, dia tidak akan mendapat pahala. Sekiranya tafsiran tersebut silap, akan dipadamkan cahaya dari jantung hatinya.

Dari kalimah يَظُنّونَ ini, ada pendapat yang mengatakan tidak boleh berpegang dengan dalil yang bersifat Zanniyyah. Ini adalah pendapat yang salah. Tapi apa itu Zanniyyah dan lawannya iaitu Qat‘iyyah?

 

Pertama: Dalalah Qat‘iyyah (دَلَالَة قَطْعِيَّة)

Menurut al-Syatibi, dalil qat‘i adalah suatu dalil yang mana asal-usulnya (al-wurud), menunjukkan kepada makna (al-dalalah) atau kekuatan hujah maknanya itu sendiri (al-hujjiyah)  yang bersifat pasti dan meyakinkan. Sebagai contoh, firman Allah SWT di dalam Nur:2:

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat.”

Dalam ayat di atas, perkataan “seratus kali” tidak mengandungi kemungkinan takwil atau membawa erti lain. Maka, jelaslah bahawa ayat ini bersifat qat‘i al-dalalah yang bermaksud had zina itu seratus kali sebatan, tidak boleh lebih dan kurang.

 

Kedua: Dalalah Zanniyyah  (دَلَالَة ظَنِّيَّة)

Zanni al-Dalalah adalah suatu dalil yang asal-usulnya (al-wurud), menunjukkan kepada maknanya (al-dalalah), atau kekuatan hujah maknanya itu sendiri (al-hujjiyah) dikira kuat sebagai benar, seperti keputusan hakim yang berdasarkan atas keterangan para saksi yang mana tidak mustahil bagi mereka melakukan kekeliruan. Maksudnya, zanni al-dalalah adalah yang masih mengandungi dua atau lebih kemungkinan dan ia berlawanan dengan dalalah qat‘i. Sebagai contoh, firman Allah SWT di dalam Baqarah:228:

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ
“Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid).”

Ayat ini adalah bersifat zhanni. Hal ini kerana lafaz ‘ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ’ (tiga kali quru) tersebut membawa dua maksud yang berbeza. Pandangan pertama mengatakan quru’ di situ bermaksud haid, manakala pandangan kedua mengatakan quru’ di sini membawa maksud suci.

Tidak salah berpegang dengan Zanni al-Dalalah kerana dalam berhukum memang tidak sentiasa kita dapat dalil yang bersifat qat’i. Maka kena juga berpegang dengan yang zanni. Kita kena faham apabila Allah menyebut tentang Dzan di dalam Al-Qur’an, ia mengandungi 3 makna,

1. Memberi maksud kepastian seperti digunakan di dalam Baqarah:46

الَّذينَ يَظُنّونَ أَنَّهُم مُّلاقو رَبِّهِم وَأَنَّهُم إِلَيهِ رٰجِعونَ
(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.

2. Membawa maksud berkemungkinan besar seperti digunakan di dalam Yusuf:42

وَقالَ لِلَّذي ظَنَّ أَنَّهُ ناجٍ مِنهُمَا
Dan Yusuf berkata kepada orang yang diketahuinya akan selamat diantara mereka berdua

3. Agak-agak sahaja seperti yang digunakan di dalam ayat 78 Surah Baqarah ini. Inilah yang dilarang. Sedangkan penggunaan 1 & 2 dibenarkan.

Maka ramailah dari kalangan umat kita yang agak-agak sahaja di dalam hal agama. Maka jadilah perkara yang karut seperti sangka Nabi Sulaiman menikah dengan Ratu Balqis, Nabi Yusuf bernikah dengan Zulaikha, kalau hendak dapat anak cantik, baca Surah Maryam dan kalau hendak anak hensem, baca Surah Yusuf. Mengarut habis masyarakat kita ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 13 September 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment