Baqarah Ayat 34:
وَإِذ قُلنا لِلمَلٰئِكَةِ اسجُدوا لِآدَمَ فَسَجَدوا إِلّآ إِبليسَ أَبىٰ وَاستَكبَرَ وَكانَ مِنَ الكٰفِرينَ
And [mention] when We said to the angels, “Prostrate before Adam”; so they prostrated, except for Iblees. He refused and was arrogant and became of the disbelievers.
Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.
وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلٰئِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ
Maka ketika Kami berfirman kepada malaikat: sujudlah kamu kepada Adam,
Perlu diingatkan di sini, pada waktu itu ada juga seekor jin yang bernama iblis. Ia telah dinaikkan pangkat sampai duduk dalam kalangan para malaikat. Walaupun arahan itu diberikan kepada para malaikat, akan tetapi kerana ia ketika itu berada dalam kalangan mereka, maka arahan itu juga perlu dipatuhi olehnya. Jangan pula ada berhujah: “Eh, tapi arahan ini kepada malaikat, iblis bukan malaikat tapi jin, jadi tidak salahlah dia tak sujud!” Tidaklah pula si iblis itu menggunakan hujah sebegitu : ‘Allah suruh malaikat je sujud, aku tak termasuk malaikat sebab aku kan jin!’). Akan tetapi Allah ﷻ sebut malaikat sahaja kerana mereka itu lebih mulia. Sekiranya makhluk yang lebih mulia darjatnya pun kena sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, apatah lagi makhluk iblis yang lebih rendah kedudukannya.
Allah ﷻ suruh para malaikat sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Namun begitu, timbul pula persoalan: ‘Bukankah haram sujud kepada manusia?’ Ini ada seperti disebut di dalam hadith antaranya,
لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ لَأَمَرْتُ المَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا
“Jika aku boleh memerintahkan seseorang itu untuk sujud kepada seseorang, maka aku memerintahkan isteri untuk sujud pada suaminya.”
(Riwayat at-Tirmidzi (1159))
Imam al-Tirmidzi mengatakan hadith ini melalui jalur Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ adalah hasan gharib. Hadith ini juga disahihkan oleh Imam al-Hakim di dalam al-Mustadrak melalui jalur Mu’az bin Jabal [Lihat: al-Mustadrak, 190/4]
Ternyata tidak boleh sujud kepada manusia kerana sujud isteri kepada suami pun tidak dibenarkan. Maka bagaimana dengan arahan sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini? Terdapat beberapa pendapat tentang perbuatan sujud ini.
Pertama, ia sebagai tanda hormat kepada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dan ia dibenarkan dalam syariat terdahulu. Awal dahulu ia dibenarkan tetapi lama kelamaan apabila ia menjadi satu bentuk pengabdian dan ibadah kepada selain Allah ﷻ, maka di dalam syariat Nabi Muhammad ﷺ, perbuatan ini telah dilarang untuk menjaga iman dan tauhid manusia. Pada waktu dahulu, sujud boleh sahaja dijadikan sebagai bentuk penghormatan kepada seseorang yang lain. Namun begitu untuk zaman sekarang yang dibenarkan adalah setakat berjabat tangan dan mencium tangan sahaja lah. Lagi pun, para malaikat itu sedar yang Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukanlah Tuhan, maka ia bukanlah sujud ibadah, tetapi sujud kerana menurut perintah; apabila ada perintah daripada Allah ﷻ, maka makhluk kena taat tanpa soal. Atau ada yang kata ia adalah ‘sujud hormat’ sahaja.
Akan tetapi terdapat pendapat kedua yang tidak bertentangan dengan syariat. Jika kita belajar makna sujud, ia hanya dilakukan jika suatu yang hebat berlaku. Jika Allah ﷻ melakukan sesuatu yang hebat, kita sujud. Contohnya, ketika tongkat Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang memakan ular-ular ahli sihir, mereka terus sujud; ketika golongan Nasrani mendengar ayat-ayat Al-Qur’an dibacakan, mereka juga sujud; begitu juga ketika kaum Quraisy datang untuk berdebat dengan Rasulullah ﷺ dan mereka mendengar ayat-ayat Al-Qur’an dibacakan, mereka yang Musyrikin juga turun sujud (tanpa sedar). Begitu juga ketika abang-abang Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melihat adik yang mereka telah tinggalkan di dalam perigi buta sekarang telah menjadi seorang yang hebat dan berpengaruh, mereka terlalu kagum dengan perancangan Allah ﷻ sehingga mereka terus turun sujud. Ini disebut dalam Yusuf: 100
وَرَفَعَ أَبَوَيهِ عَلَى العَرشِ وَخَرّوا لَهُ سُجَّدًا
Dan dia menaikkan kedua ibu-bapanya ke atas singgahsana. Dan mereka (semuanya) merebahkan diri seraya sujud kepada Yusuf.
Pendapat yang ketiga, ada juga ulama’ yang kata sujud yang seperti sujud dalam solat kerana jelas kalimah yang digunakan adalah اسْجُدُوا dan kita pun faham apakah perbuatan ini. Oleh kerana ia adalah arahan daripada Allah ﷻ, maka ia wajib dilakukan. Yang haram pun boleh menjadi wajib jika ia adalah suruhan Allah ﷻ. Ini kerana yang mengharamkan pada asalnya pun adalah Allah ﷻ juga, bukan? Sebagai contoh, membunuh anak adalah haram, tetapi Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah bersedia untuk membunuh anaknya, seperti disebut di dalam Saffat: 102
قالَ يٰبُنَيَّ إِنّي أَرىٰ فِي المَنامِ أَنّي أَذبَحُكَ فَانظُر ماذا تَرىٰ ۚ قالَ يٰأَبَتِ افعَل ما تُؤمَرُ
brahim berkata: “Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Dia menjawab: “Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu;
Membunuh budak kecil juga haram, akan tetapi apabila ia adalah arahan Allah ﷻ kepada Khadr seperti disebut kisahnya di dalam Kahf: 74, maka ia wajib dilakukan.
فَٱنطَلَقَا حَتَّىٰٓ إِذَا لَقِيَا غُلَـٰمًا فَقَتَلَهُ
Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu dia membunuhnya.
فَسَجَدُوا
semua sekali sujud
Sekarang, ketika Nabi Adam dijadikan, walaupun pada awalnya para malaikat ada mempunyai persoalan tentang kejadian baginda, tetapi setelah memahami penjelasan daripada Allah ﷻ, maka mereka terus sahaja sujud kepada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Harf ف di dalam فَسَجَدُوا bermaksud mereka terus sujud, tidak tunggu lama, tidak tunggu untuk melihat teman lain sujud kah tidak, mahu berbincang kah dahulu, tidak sama sekali!
Sujud ini berlaku setelah roh dimasukkan ke dalam jasad Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ia merupakan sebuah keajaiban daripada Allah ﷻ sehingga mereka terlalu kagum dan terus sujud. Tambahan pula Allah ﷻ sudah suruh mereka sujud.
إِلَّا إِبْلِيسَ
kecuali Iblis;
Semua malaikat sujud tetapi tidak iblis. Sekarang kita bertemu dengan karektor baru dalam Al-Qur’an: iblis. Perkataan ‘iblis’ itu dikatakan daripada أَبلَسَ yang maksudnya ‘putus asa daripada rahmat’. Sampai bila-bila dia tidak akan mendapat rahmat kerana dia pernah derhaka kepada Allah ﷻ. Makhluk yang paling kecewa untuk duduk dalam syurga kerana memang ia tidak ada harapan langsung.
Ada yang berpendapat bahawa kata iblis itu bukan terambil daripada bahasa Arab. Kononnya asalnya daripada bahasa Yunani, yakni Diabolos. Kata ini terdiri daripada kata dia yang bererti di tengah dan ballein yang bererti melontar atau mencampakkan. Daripada penggabungannya lahir beberapa makna antara lain menentang, menghalang, dan yang berada antara dua pihak untuk memecah belah dan mencipta kesalahfahaman antara keduanya.
Maka arahan sujud telah diberikan oleh Allah ﷻ sendiri, tetapi iblis mempunyai masalah dengan arahan daripada Allah ﷻ ini. Dia telah melihat Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dijadikan daripada tanah dan dia tidak memperakui roh yang telah ditiup ke dalam jasad Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kita pun telah jelaskan sebelum ini betapa hasadnya dia terhadap Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka, dia enggan sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ walaupun diperintahkan oleh Allah ﷻ.
Terdapat sedikit masalah di dalam terjemahan ini. Lihat ayat ini: ‘Semua pelajar datang kecuali Kareem.’ Bukankah ini bermaksud Kareem juga merupakan seorang pelajar? Maka, jika Allah ﷻ berfirman yang semua malaikat sujud kecuali iblis, adakah ia seolah-olah bermaksud iblis itu adalah malaikat? Akan tetapi bukankah ia adalah jin? Ini jelas disebut di dalam Kahf: 50
وَإِذ قُلنَا لِلمَلَـٰٓٮِٕكَةِ ٱسجُدُواْ لِأَدَمَ فَسَجَدُوٓاْ إِلَّآ إِبلِيسَ كَانَ مِنَ ٱلجِنِّ
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal daripada golongan jin,
Di sinilah indahnya Bahasa Arab. Kalimah فَسَجَدُوْٓا bermaksud mereka (para malaikat) sujud. Seandainya iblis adalah sebahagian daripada malaikat itu, maka ayat yang sepatutnya adalah begini: فَسَجَدُوْٓا اِلَّآ اِبْلِيْسُ (Iblisu، bukannya Iblisa) di mana dhommah diletakkan pada kalimah اِبْلِيْسَۗ. Akan tetapi, jika sesuatu itu tidak termasuk dalam kumpulan yang sama, maka kita meletakkan nasb (harakat fathah) ke atas kata nama itu dan kerana itulah ayat itu berbunyi: فَسَجَدُوْٓا اِلَّآ اِبْلِيْسَ.
Sekarang mari kita berikan contoh dalam ayat yang lebih mudah: ‘Semua pelajar hadir kecuali Ustaz Nouman.’ Sekarang, adakah ini bermaksud Ustaz Nouman ini adalah di antara pelajar? Tidak, bukan? Ya, dia termasuk sebahagian daripada ahli di dalam kelas tetapi dia tidak diletakkan dalam kumpulan yang sama. Anda tahu tentang perkara ini kerana kita telah menambah perkataan ‘ustaz’. Akan tetapi dalam Bahasa Arab kita tidak perlu berbuat demikian. Kita hanya perlu ubah harakahnya dan kita akan tahu yang ia bukanlah di dalam kumpulan yang sama dan sebab itulah untuk mereka yang pandai berbahasa Arab, ayat ini tidak mengelirukan mereka. Sebab itulah juga anda perlu belajar Bahasa Arab untuk mengetahui maksud rafa’, nasb dan jarr.
Untuk segelintir orang, mempelajari Bahasa Arab adalah susah dan boleh menjadi agak membosankan. Sesetengah daripada mereka hanya mahu terus belajar ke bahagian yang penting dan menarik sahaja daripada Al-Qur’an. Namun untuk sampai ke situ, anda perlulah belajar selangkah demi selangkah.
أَبَىٰ
dia enggan;
Perkataan ini bermaksud – tidak mahu mengikut arahan orang yang memiliki kuasa ke atasnya. Kadang-kadang ada kawan meminta tolong dengan kita, namun kita enggan – tetapi itu adalah enggan bukan kepada orang yang berkuasa ke atas kita. Akan tetapi kalimah yang digunakan bermaksud enggan mengikut perintah. Keengganan Iblis itu adalah dosa besar kerana enggan menurut perintah Allah ﷻ. Maka dia ini adalah jenis kafir degil.
وَاسْتَكْبَرَ
dan dia sombong;
Kenapa iblis enggan? Kerana dia sombong dalam hati. Kalimah اسْتَكْبَرَ ini di dalam wazan استفعل yang mengandungi penambahan huruf س dan ت yang menguatkan kalimah كبر. Kedua-dua huruf ini berfungsi menggambarkan betapa mantap dan kukuhnya keangkuhan itu. Dengan demikian, kata اسْتَكْبَرَ menunjukkan keangkuhan yang luar biasa. Bahasa Arab ketika bermaksud menggambarkan keangkuhan, selalu menggunakan penambahan huruf-huruf seperti bentuk kata di atas.
Keangkuhan merupakan usaha seseorang untuk melebihkan dirinya daripada pihak lain, kelebihan yang dibuat-buat yang tidak pernah wajar disandangnya. Dari sini ‘keangkuhan’ berbeza dengan ‘kebanggaan’, kerana yang membanggakan diri belum tentu menganggap dirinya lebih daripada orang lain, bahkan boleh jadi saat itu dia masih tetap mengakui keunggulan pihak lain atau sama dengannya. Adapun keangkuhan, maka ia adalah membanggakan diri, ditambah dengan merendahkan pihak lain. Keangkuhan tidak terjadi kecuali jika pelakunya melihat dirinya memiliki kelebihan (sama ada benar-benar ada kelebihan itu ataupun tidak) seterusnya melihat orang lain tidak memiliki kelebihan, atau memiliki tetapi lebih rendah daripada kelebihannya.
Definisi sombong telah diberitahu oleh Rasulullah ﷺ. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda,
لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ
“Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi.” Ada seseorang yang bertanya, “Bagaimana dengan seorang yang suka memakai baju dan sandal yang bagus?” Baginda menjawab, “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain.“
(Riwayat Muslim No. 91)
Iblis merasakan dia lebih mulia daripada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari segi kejadian seperti disebut di dalam A’raf: 12
قالَ ما مَنَعَكَ أَلّا تَسجُدَ إِذ أَمَرتُكَ ۖ قالَ أَنا خَيرٌ مِنهُ خَلَقتَني مِن نّارٍ وَخَلَقتَهُ مِن طينٍ
Allah berfirman: “Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?” Menjawab iblis “Aku lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan aku daripada api sedang dia Engkau ciptakan daripada tanah”.
Dia fikir dia lebih mulia sebab dia dijadikan daripada api dan lebih mulia daripada makhluk yang dijadikan daripada tanah. Api duduk di atas dan tanah duduk di bawah. Maka, dia fikir dia lebih mulia. Maknanya dia menggunakan akal untuk menolak wahyu. Allah ﷻ ajar kepada kita, yang menggunakan akal untuk menolak wahyu telah menjadi iblis, maka seandainya kita pun menggunakan akal untuk tolak wahyu, maka kita juga menjadi iblis lah!
Iblis juga sombong kerana dia telah lama hidup dan telah lama beribadat kepada Allah ﷻ. Maka dia berasa dia lebih layak daripada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana padanya, Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ baru sahaja dijadikan dan tidak ada buat amal ibadat lagi seperti dia.
Apakah yang iblis mahu? Dia sebenarnya mahukan pangkat tetapi bukanlah pangkat yang tinggi pun. Kita sebagai manusia selalunya berebut pangkat pemimpin, pangkat tertinggi dalam kerajaan dan sebagainya. Namun apa yang diberikan kepada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah pangkat menjadi ‘hamba’ kepada Allah ﷻ.
Terdapat juga pangkat dalam agama di mana ada juga yang berebut berkehendakkan pangkat ini. Bukan setakat pangkat yang tinggi sahaja. Sejak dahulu lagi sering kali kita melihat bagaimana dalam masyarakat kita ini ada sahaja yang berebut pangkat untuk menjadi imam surau, berebut hendak menjadi siak masjid, atau menjadi ahli jawatankuasa dalam surau.
Begitulah pangkat dalam agama pun ada yang berebut. Maka, berhati-hatilah. Kalau kita pun ada berperangai sebegitu, maka kita telah mengikuti perangai iblis. Bukan sahaja pangkat rasmi seperti imam, pengerusi atau AJK menjadi rebutan, malah pangkat kedudukan yang bukan rasmi seperti mempunyai kedudukan rapat dengan guru pun menjadi rebutan dalam masyarakat kita ini. Akibatnya timbul rasa hasad sesama mereka untuk berebutkan perhatian daripada guru, maka mereka mula lah cuba memburuk-burukkan mereka yang rapat itu supaya guru mengalihkan perhatian kepada mereka dan rapat dengan mereka pula. Ini lah dia perangai iblis. Sememangnya mereka yang berbuat begitu tidak sedar mereka memiliki sifat iblis. Penyakit iri dan berkeinginan pangkat ini boleh menimpa sesiapa sahaja walaupun dia telah khatam tadabbur 30 juzuk Al-Qur’an!
Sekarang, mari kita cuba selami sedikit perasaan iblis pada masa itu. Mari kita lihat satu lagi analogi untuk menjelaskan perkara ini. Bayangkan seorang pemuda yang bekerja di sebuah syarikat dan dia bermula bekerja dengan memegang jawatan paling rendah, katakanlah tukang sapu. Kemudian dia dinaikkan menjadi pengawal keselamatan, kemudian penjaga kaunter hadapan. Seterusnya dia dinaikkan pula menjadi pengurus pejabat. Begitulah dia terus dinaikkan pangkat selama 40 tahun bekerja di syarikat itu. Sampailah dia sudah menjadi Naib Presiden syarikat. Hanya tinggal satu jawatan sahaja yang lebih tinggi daripadanya iaitu Presiden.
Pada suatu hari, Presiden itu masuk ke dalam pejabatnya dengan seorang pemuda berusia 16 tahun. Pemuda itu adalah anak saudaranya. Presiden itu mengarahkan Naib Presiden itu untuk memberikan jawatan Naib Presiden itu kepada pemuda itu. Malah lebih menyakitkan hatinya lagi, Presiden itu terus memberikan arahan pula: “Sekarang pergi ambilkan kopi untuk kami”.
Bolehkah anda bayangkan apa yang berlaku selepas itu? Sudah tentu Naib Presiden itu berasa marah, bukan? Mungkin dia menjerit-jerit dalam kemarahannya kerana sudah tidak dapat dibendung lagi. Sekiranya kita yang mendengar kisah sebegini, sudah pasti kita merasa simpati dengannya, bukan? Kerana mungkin kita rasakan tidak masuk akal perkara sebegini boleh terjadi.
Akan tetapi kita bukan hendak menceritakan kisah malang Naib Presiden itu di sini sebenarnya. Ia hanyalah sebuah analogi sahaja. Kita sebenarnya sedang bercerita tentang kisah iblis laknatullah. Dia telah berusaha keras sepanjang hidup untuk menaikkan darjatnya sehingga hampir setaraf malaikat. Dia telah membantu menghalau jin yang membuat kerosakan di bumi. Namun, tiba-tiba Allah ﷻ telah membuat pengumuman yang para malaikat mesti sujud kepada Nabi Adam . Adakah ini kedengaran adil? Iblis mesti telah berkata: “Selama ini aku yang bersusah payah bekerja keras berkhidmat sepanjang hidupku. Tiba-tiba orang lain yang dinaikkan darjat sampai aku mesti sujud kepadanya pula?”
Adakah Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dimuliakan Allah ﷻ? Ya. Pada suatu ketika, iblis juga telah mendapat kemuliaan itu. Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diberikan kedudukan yang tinggi, begitu juga iblis. Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah melanggar perintah Allah ﷻ, begitu juga iblis. Maka, sehingga saat itu, mereka masing-masing mempunyai persamaan, bukan? Kerana dua-dua pernah membuat kesalahan. Cuma ada satu perbezaan. Ketika Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diturunkan ke dunia, baginda boleh sahaja bertanya kepada Allah ﷻ: “Ya Allah, Kau sejak awal lagi sudah merancang aku turun ke bumi, maka bagaimana pula perkara yang berlaku ini adalah salahku?” Namun adakah baginda bertanyakan soalan itu? Tidak.
Iblis boleh juga bertanyakan satu soalan yang logik: “Engkau telah jadikan aku daripada api, dan Engkau jadikan dia daripada tanah. Jadi apakah hebatnya dia?”
Kedua-dua mereka boleh sahaja bertanyakan soalan begitu kepada Allah ﷻ. Namun salah seorang daripada mereka telah dilaknat selamanya, manakala seorang lagi pintu harapan sentiasa terbuka untuknya. Kenapa? Kerana Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sedar, walaupun apa sahaja keputusan Allah ﷻ walaupun kedengaran seakan tidak logik di akalnya, tetapi baginda mesti yakin dengan kebijaksanaan Allah ﷻ. Jika terdapat kepincangan, semua itu salah dirinya dan baginda yang harus bertanggungjawab di atasnya.
Berlainan dengan iblis. Apabila dia melakukan kesilapan, dia terus menyalahkan Allah ﷻ. Begitulah, jika kita suka menyalahkan Allah ﷻ di atas sesuatu perkara, maknanya kita telah mengikut ‘sunnah’ iblis. Sebaliknya jika kita sanggup mengambil tanggungjawab di atas kesilapan kita, maka kita telah mengikut sunnah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Itulah perbezaan di antara Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan iblis. Lagi pun Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melakukan dosa kerana terlupa sahaja seperti disebut di dalam Taha: 115
وَلَقَد عَهِدنا إِلىٰ آدَمَ مِن قَبلُ فَنَسِيَ وَلَم نَجِد لَهُ عَزمًا
Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi dia lupa; dan Kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh.
وَكَانَ مِنَ الْكٰفِرِينَ
Maka dia dalam kalangan yang kafir;
Iblis telah kufur kerana tidak taat kepada Allah ﷻ, bukannya kerana tidak sujud. Ini kerana kalau tidak melakukan arahan sahaja, tidaklah menjadikan seseorang itu terus kafir, bukan? Sebagai contoh, orang yang tidak solat telah melanggar arahan Allah ﷻ; tetapi tidaklah dia terus menjadi kufur. Akan tetapi kalau dia menganggap solat itu tidak wajib, maka barulah dia dikira sebagai kufur. Begitulah dengan iblis, dia bukannya setakat melanggar satu arahan sahaja, tetapi dia menganggap dia tidak patut sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ walaupun telah diarahkan oleh Allah ﷻ.
Kekufuran ini berlaku kerana iblis telah melakukan dua kesalahan: enggan untuk taat dan sombong. Kita manusia pun ramai yang ada bersifat begitu. Ada orang yang apabila diajak belajar tentang tauhid, enggan terima kerana sombong tidak mahu belajar. Mereka sombong kerana sangka mereka telah tahu. Kemudian mereka tidak taat kepada arahan Allah ﷻ kerana mereka tidak tahu pun apa arahan Allah ﷻ kerana arahan itu ada dalam Al-Qur’an.
Apabila Allah ﷻ menggunakan kalimah كان dalam ayat ini, ada beberapa kemungkinan. Ini kerana kalimah كان mengisyaratkan perkara yang telah berlaku sebelum itu.
a. Allah ﷻ hendak mengatakan bahawa iblis itu telah kafir sebelum disuruh sujud kepada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lagi. Cuma dia menyembunyikan kekafirannya itu akan tetapi Allah ﷻ telah tahu di dalam ilmu-Nya.
b. sejak dahulu sebelum turunnya ayat 34 ini, bukannya sebelum turunnya perintah sujud itu.
c. ada yang memahami kalimah كان bermaksud ‘menjadi’, iaitu setelah iblis enggan, barulah dia menjadi kafir.
Dalam ayat dalam surah lain nanti, kita akan belajar bagaimana iblis telah memberi alasan kenapa dia tidak mahu sujud kepada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Dia kata kerana dia telah dijadikan daripada api dan Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada tanah. Dia telah menggunakan hujah logik untuk memberi alasan kepada keengganannya menurut perintah itu. Begitulah juga kita, kalau kita pun menggunakan alasan yang kita sangka sebagai logik, tetapi menolak arahan Allah ﷻ, maka kita pun telah mengikuti jejak langkah iblis.
Iblis ini telah mencapai satu tahap yang tinggi yang sampai menyebabkan dia telah diangkat boleh duduk bersama kalangan para malaikat walaupun dia sebenarnya daripada sejenis jin sahaja. Maka dari sudut ilmu dan amalan ibadah, dia memang hebat. Akan tetapi yang menakutkan kita, individu sebegini pun boleh jatuh terpesong apabila ada sifat sombong di dalam dirinya. Ilmunya dan ibadahnya tidak dapat menyelamatkan dirinya daripada jatuh kufur. Oleh itu, jangan berbangga dengan ilmu dan ibadah kita kerana kita belum tentu selamat lagi selagi kita belum mati. Semoga Allah ﷻ tetapkan iman kita hingga ke hujung nyawa kita, Aameen.
Sekarang kita bincangkan Komposisi Cincin yang keempat. Ini bagi ayat 30 – 34. Sila rujuk Ayat 5 pengenalan kepada Komposisi Cincin ini.
Kaitan antara Bahagian:
[A4.1]/[A4.1’] – Di dalam bahagian ini, disebut bahawa penciptaan manusia dan pelantikannya sebagai Khalifah di bumi telah diiktiraf oleh para Malaikat apabila mereka sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
[A4.2]/[A4.2’] – Kedua-dua bahagian menyebut tentang ilmu Allah yang tidak diberikan kepada sesiapa pun.
[A4.3]/[A4.3’] – Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diajar akan nama segala benda dan kemudian baginda telah menyebutnya kepada para malaikat.
[A4.4] – Di antara ayat-ayat tentang ilmu yang telah diberikan kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, di sini disebut para malaikat mengaku yang mereka tidak ada ilmu dan Allah ﷻlah yang Maha Mengetahui.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 6 Julai 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)



