Tafsir Surah Yaasin Ayat 56 – 57 (Contoh nikmat dalam syurga)

Yaasin Ayat 56: Nikmat di dalam syurga tidak sempurna jika dinikmati berseorangan sahaja.

هُم وَأَزوٰجُهُم في ظِلٰلٍ عَلَى الأَرآئِكِ مُتَّكِئونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They and their spouses –in shade, reclining on adorned couches.

(MELAYU)

Mereka dan pasangan-pasangan mereka berada dalam tempat yang teduh, bertelekan di atas dipan-dipan.

 

هُمْ وَأَزْوٰجُهُمْ

Mereka dan pasangan-pasangan mereka;

Tentulah tidak akan gembira kalau kita menikmati kenikmatan syurga berseorangan sahaja. Maka, di syurga nanti, ahli syurga akan diberikan dengan pasangan. Ramai yang kata ‘dan isteri-isteri mereka’, tetapi sebenarnya tidak. Perempuan ada pasangan dan lelaki ada pasangan masing-masing. Manakala pasangan itu tidaklah semestinya isteri sahaja. Takkan lelaki sahaja dapat pasangan? Cuma di dalam Al-Qur’an banyak disebut tentang apa yang diberikan kepada lelaki. Mereka akan mempunyai pelayan daripada bidadari selain isteri. Cuma apabila digunakan kalimah أَزْوٰجُ di dalam ayat ini, ia bukan hanya merujuk kepada bidadari sahaja kerana kalau bidadari digunakan istilah حُورٍ seperti di dalam Dukhan: 54

كَذَٰلِكَ ۖ وَزَوَّجْنَاهُم بِحُورٍ عِينٍ
“Demikianlah! Dan Kami kahwinkan mereka dengan hurun ‘ain (bidadari-bidadari yang cantik bermata jeli).”

Jadi kalimah أَزْوٰجُ  bermaksud pasangan daripada jenis manusia dan daripada jenis bidadari juga. Cuma untuk perempuan tidaklah ada disebut mereka akan dapat bidadara pula. Yang disebut adalah lelaki yang ada ramai pasangan. Mungkin kerana wanita tidak memerlukan atau teringin pun kepada pasangan yang ramai kerana keinginan mereka berbeza daripada lelaki. Yang pasti lelaki akan mendapat pasangan daripada jenis isteri (manusia) dan daripada jenis bidadari (makhluk ciptaan Allah ‎ﷻ).

Namun kita jangan tidak tahu yang isteri kita itu lebih cantik daripada bidadari kerana mereka akan dicantikkan sesuai dengan kedudukan di syurga. Bukanlah mereka itu rupa sama seperti di dunia ini. Kita lelaki pun tidak sama juga kerana akan dinaiktaraf. Mana mungkin bidadari lebih cantik daripada isteri sedangkan bidadari tidak pernah beribadat dan tidak pernah diuji? Oleh itu, isteri kitalah yang paling cantik (kalau dia pun dapat memasuki syurga). Sebab dia ada buat ibadat dan diuji semasa di dunia.  Bidadari pula dijadikan secara langsung (bidadari bukan jenis malaikat). Isteri akan menjadi ketua kepada semua bidadari. Kalau isteri kurang pahala, dan jika suami sudah masuk syurga, suami boleh menarik isteri masuk syurga juga. Dalam kes sebegini, penghuni syurga boleh beri syafaat. Bermakna, syafaat itu boleh diberi apabila sudah berada di sana, bukan semasa berada di dunia.

Isteri kita itu akan dibersihkan daripada segala sifat-sifat yang tidak molek seperti pemarah, cemburu, perengus, dengki dan sebagainya. Kerana sifat-sifat itu bukanlah sifat yang menyenangkan dan syurga adalah tempat untuk relaks dan bukan masa untuk melayan kerenah isteri lagi sebagaimana di dunia. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Baqarah: 25 tentang hal ini,

وَلَهُم فيها أَزوٰجٌ مُّطَهَّرَةٌ
dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang disucikan

Memang di dalam syurga tidak ada perasaan yang tidak menyenangkan. Dendam, iri hati, kesal dan sebagainya akan dihilangkan daripada diri penghuni syurga kerana emosi-emosi sebegitu menyebabkan sesak dada dan jiwa. Ini sebagaimana firman Allah ‎ﷻ di dalam A’raf: 43

وَنَزَعۡنَا مَا فِى صُدُورِهِم مِّنۡ غِلٍّ
Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki daripada hati mereka

Bagaimana pula seandainya lelaki atau perempuan ahli syurga itu tidak pernah menikah semasa hidup di dunia? Kalau dulu semasa di dunia tidak ada pasangan suami atau isteri, mereka tetap akan dipasangkan dengan pasangan dari dunia. Kerana ramai yang tidak ada pasangan juga, bukan? Jangan risau tentang hal ini. Boleh berkenalan di syurga nanti.

Bagaimana pula kalau seorang isteri itu menikah lebih daripada satu? Kalau seorang lelaki, dia boleh bersama dengan kesemua isterinya. Akan tetapi bagaimana dengan seorang isteri? Kalau semua suaminya masuk syurga, siapakah pasangannya di syurga. Persoalan ini memang menjadi perbincangan dalam kalangan ulama’ kerana memang para isteri prihatin tentang hal ini.

Ada sebuah hadith daripada Riwayat Ath-Thabarani dalam Al-Mu’jam Al-Awsath dan Al-Mu’jam Al-Kabir): Diriwayatkan daripada Ummu Salamah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا bahawa beliau berkata:

الْمَرْأَةُ مِنَّا تَتَزَوَّجُ الزَّوْجَيْنِ وَالثَّلَاثَةَ وَالْأَرْبَعَةَ، ثُمَّ تَمُوتُ فَتَدْخُلُ الْجَنَّةَ وَيَدْخُلُونَ مَعَهَا، مَنْ يَكُونُ زَوْجَهَا مِنْهُمْ؟ فَقَالَ: يَا أُمَّ سَلَمَةَ، إِنَّهَا تُخَيَّرُ، فَتَخْتَارُ أَحْسَنَهُمْ خُلُقًا
“Ada wanita dalam kalangan kami berkahwin dua, tiga, dan empat kali (maksudnya, dia berkahwin semula setelah suaminya meninggal atau bercerai). Kemudian dia (wanita itu) meninggal dunia serta dimasukkan ke dalam Syurga, dan (para suaminya) juga masuk bersamanya. Siapakah (dalam kalangan suaminya) yang akan menjadi suaminya (di dalam Syurga)? Maka Nabi ﷺ bersabda: ‘Wahai Ummu Salamah, sesungguhnya dia (isteri itu) diberi pilihan, maka dia akan memilih yang paling baik akhlaknya.'”

Sekiranya hadith ini sahih, maka sudah selesai isu ini. Akan tetapi penting untuk diketahui bahawa status hadith ini telah dibincangkan oleh para ulama hadith.

    • Imam al-Thabarani sendiri menyatakan bahawa tidak ada yang meriwayatkan hadith ini daripada Hisyam bin Hassan kecuali Sulaiman bin Abi Karimah, dan ‘Amr bin Hasyim bersendirian dalam meriwayatkannya.
    • Imam al-Haithami dalam Majma’ al-Zawa’id menyatakan bahawa salah seorang perawi dalam sanad hadith ini, Sulaiman bin Abi Karimah, dinilai dhaif (lemah) oleh Abi Hatim dan Ibn ‘Adiy.
    • Imam Ibn al-Jauzi dalam al-‘Ilal al-Mutanahiyah menilai hadith ini sebagai tidak sahih.
    • Imam al-Iraqi juga mendhaifkan sanad hadith ini.

Pandangan Lain mengenai Wanita yang Berkahwin Lebih daripada Satu Suami di Syurga:

Walaupun hadith Ummu Salamah ini lemah dari segi sanad, isu ini tetap menjadi perbahasan dalam kalangan ulama. Terdapat beberapa pandangan lain, yang disokong oleh dalil yang lebih kuat atau berdasarkan ijtihad:

1. Isteri akan bersama suaminya yang terakhir di dunia. Ini adalah pandangan yang lebih banyak diterima oleh ulama, berdasarkan hadith daripada Abu Darda’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ (yang juga diriwayatkan oleh Ath-Thabarani) dan riwayat daripada Huzaifah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ kepada isterinya, serta qiyas dengan konsep bahawa isteri adalah milik suaminya di akhirat. (Hadith ini juga ada perbahasan tentang sanadnya, namun lebih kuat daripada hadith Ummu Salamah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا bagi sesetengah ulama).

أَيُّمَا امْرَأَةٍ تُوُفِّيَ عَنْهَا زَوْجُهَا فَتَزَوَّجَتْ بَعْدَهُ فَهِيَ لِآخِرِ أَزْوَاجِهَا
“Wanita mana pun yang ditinggal mati suaminya, kemudian si wanita menikah lagi sesudahnya, maka dia menjadi isteri bagi suaminya yang terakhir (di dunia).”

Hadith ini diriwayatkan oleh Ath-Thabarani رَحِمَهُ اللَّهُ dalam kitab-kitabnya seperti Al-Mu’jam Al-Awsath dan Al-Mu’jam Al-Kabir.

Perbincangan Mengenai Sanad dan Kekuatan Hadith Ini:

1. Kedudukan Sanad:

    • Syaikh Al-Albani menilai hadith ini sebagai sahih dalam As-Silsilah Ash-Shahihah (No. 1281). Beliau menganggapnya kuat dengan adanya beberapa jalan periwayatan (syawahid) yang saling menguatkan, walaupun ada kelemahan pada satu-satu sanad.
    • Namun, perlu diingat bahawa tidak semua ulama menyepakati penilaian kesahihan yang sama. Beberapa ulama lain mungkin memiliki pandangan berbeza tentang kekuatan sanadnya.

2. Kisah Terkait yang Menguatkan: Kisah yang sering dikaitkan dengan hadith ini adalah antara Ummu Darda’ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا (isteri Abu Darda’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ) dan Mu’awiyah bin Abi Sufyan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Selepas kewafatan Abu Darda’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Mu’awiyah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ meminang Ummu Darda’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Ummu Darda’ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا menolak pinangan Mu’awiyah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dengan alasan beliau mendengar hadith ini daripada Abu Darda’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ sendiri. Dia berkata: “Aku mendengar Abu Darda’ (suamiku yang telah meninggal) berkata: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Seorang wanita bagi suaminya yang terakhir.’ Dan aku tidak ingin pengganti bagi Abu Darda’.” (Ini adalah riwayat yang disebutkan dalam beberapa kitab seperti At-Tadzkirah oleh Al-Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ dan juga oleh Ath-Thabarani رَحِمَهُ اللَّهُ).

    • Kisah ini, walaupun bukan hadith marfu’ secara langsung (iaitu ucapan Nabi ﷺ), namun ia adalah atsar sahabi (perbuatan sahabat) yang menunjukkan pemahaman mereka terhadap masalah ini dan menguatkan pandangan bahawa wanita itu akan bersama suaminya yang terakhir.

2. Wanita tersebut diberikan pilihan untuk memilih suami yang dia kehendaki di syurga. Ini adalah pandangan yang terkandung dalam hadith Ummu Salamah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا di atas, walaupun sanadnya dhaif. Namun, konsep pilihan di syurga ini selari dengan keumuman ayat Al-Qur’an yang menyatakan bahawa penghuni syurga akan mendapatkan apa sahaja yang mereka inginkan (seperti Surah Az-Zukhruf: 71 dan An-Nahl: 31).

Kesimpulan:

Hadis Ummu Salamah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا tentang pilihan suami di syurga adalah hadith dhaif (lemah) dari segi sanad. Oleh itu, ia tidak dapat dijadikan dalil yang kukuh secara sendirian. Namun, persoalan ini masih dibahaskan oleh ulama dengan pelbagai pandangan. Pandangan yang paling masyhur adalah wanita itu akan bersama suaminya yang terakhir di dunia, namun konsep pilihan juga ada disebutkan dalam beberapa riwayat lain dan selari dengan sifat umum kenikmatan di syurga.

 

فِي ظِلٰلٍ

dalam teduhan;

Bagaimana keadaan di syurga itu? Keadaan di syurga amat aman dan nyaman kerana ada teduhan. Akan ada sebatang pohon di hadapan istana penghuni syurga. Ia akan menjadi teduhan kepada penduduk dalam syurga. Pokok itu amat besar sampaikan jarak perjalanan dengan kuda yang paling pantas, dari perdu pokok itu sampai ke hujung dahan pokok itu akan mengambil masa selama 80 tahun baru sampai!

 

عَلَى الْأَرَآئِكِ

atas singgahsana-singgahsana

Di mana pula mereka duduk? Kalimah الْأَرَائِكِ ini adalah sebuah perabot yang boleh dikatakan yang berbentuk antara sebuah katil selesa dan kerusi malas untuk bermalas-malasan. Juga ada yang diterjemahkan sebagai pelamin atau dipan ataupun singgahsana. Amat selesa sekali bersandar di atasnya. Bersandar santai, bersenang lenang, berehat-rehat sahaja tiada masalah, tiada kerja langsung untuk difikirkan. Dia waktu itu duduk bersandar menikmati segala macam nikmat sambil melihat segala kerajaan yang dia ada. Dengan segala keindahan taman, pelayan-pelayannya dan apa-apa sahaja yang kita tidak dapat bayangkan.

Satu lagi isyarat di sini adalah mereka berada di tempat berehat, dengan pasangannya, tetapi mereka tentulah tidak tidur. Memang ahli syurga tidak tidur kerana mereka tidak penat dan kalau tidur, maka akan rugi kerana ketika tidur tidak dapat menikmati segala nikmat yang ada. Maka kalau tidak tidur dan dengan pasangan, buat apa lagi? Ini orang yang sudah berkahwin akan dapat agaklah. Boleh faham-faham sendiri ya.

Memang tidak mungkin dapat tercapai dek akal kita sekarang kerana tentunya keadaan di syurga nanti amat berbeza sekali di mana ia akan menjadi teramat baik. Cuma Allah ‎ﷻ ceritakan sedikit dan bandingkan dengan nikmat di dunia supaya kita dapat bayangkan serba sedikit apa yang ahli syurga akan dapat nanti. Kerana kalau tidak dapat dibayangkan langsung, tidaklah jadi motivasi untuk ke syurga, bukan? Sebagai contoh, Allah ‎ﷻ beri nikmat makan di dunia untuk kita bayangkan nikmat makan di syurga; nikmat air di dunia, dibandingkan dengan nikmat air di syurga; nikmat pasangan di dunia sebagai nikmat pasangan di akhirat; dan sebagainya lagi.

 

مُتَّكِئُونَ

bertelekan;

Kedudukan berehat atau bersandar atau berbaring santai atau bertelekan. Maknanya duduk dalam keadaan seronok dan dalam keadaan rileks. Jenis antara duduk dan baring (duduk tidak, baring pun tidak).

Di dalam Rahman: 54 Allah ‎ﷻ menjelaskan lagi apakah material pelamin itu dibuat. Ia menunjukkan betapa hebatnya singgahsana itu membuktikan keselesaan yang akan diberikan kepada ahli syurga.

مُتَّكِئينَ عَلىٰ فُرُشٍ بَطائِنُها مِن إِستَبرَقٍ
Mereka berbaring di atas hamparan-hamparan, yang lapisan-lapisan sebelah dalamnya – daripada sutera tebal yang bersulam

Sebab memang tidak ada kerja lagi di syurga. Mereka dipakaikan baju sutera kerana orang yang memakai sutera tidak akan buat kerja. Malah bahan untuk perabot pun boleh dipakaikan sutera sebab bukan perlu jaga. Jangan kata tidak perlu kerja lagi, ibadah pun tidak ada. Tiada lagi dahaga sampai bila-bila. Tidak lapar, tidak sakit, tidak tua, malah tidak perlu pun pergi ke tandas! Makan memang banyak tetapi tidak perlu ‘membuang’ di tandas, cuma keluar sebagai bau peluh yang wangi sahaja. Mereka duduk untuk menikmati hidup sahaja. Kerjanya memang duduk rileks sahaja. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Taha: 118-119

 فَقُلۡنَا يَـٰٓـٴَـادَمُ إِنَّ هَـٰذَا عَدُوٌّ لَّكَ وَلِزَوۡجِكَ فَلَا يُخۡرِجَنَّكُمَا مِنَ ٱلۡجَنَّةِ فَتَشۡقَىٰٓ (١١٧) إِنَّ لَكَ أَلَّا تَجُوعَ فِيہَا وَلَا تَعۡرَىٰ (١١٨) وَأَنَّكَ لَا تَظۡمَؤُاْ فِيہَا وَلَا تَضۡحَىٰ (١١٩)
Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau tidak akan lapar dalam Syurga itu dan tidak akan bertelanjang. (118) Dan sesungguhnya engkau juga tidak akan dahaga dalam Syurga itu dan tidak akan merasa panas matahari. (119)

Sedangkan ahli neraka pula akan terasa lapar dan dahaga dari mula masuk neraka sampai bila-bila. Bila mereka minta untuk makan dan minum, seribu tahun baru diberi. Itu pun diberi air mendidih, apabila didekatkan sahaja air itu ke muka, terbias ke bibir disebabkan oleh panasnya air itu.

Badan ahli syurga juga akan dinaiktaraf untuk mampu menerima nikmat. Kerana hebat sangat nikmat dalam syurga itu, kalau dengan badan kita yang biasa ini, tidak mampu untuk menerimanya. Oleh itu hendak masuk syurga pun akan dinaiktaraf supaya tidak terkejut melihat segala nikmat yang bermacam-macam. Ini kerana nanti di dalam syurga itu, mereka akan makan dengan selera seribu orang lelaki dan bidadari pun ramai, maka memanglah kena kuat tubuh badan itu. Kekuatan seks adalah kekuatan seratus orang lelaki dunia. Kalau tidak, tidak mampu untuk mengalami segala nikmat-nikmat itu.


 

Yaasin Ayat 57:

لَهُم فيها فٰكِهَةٌ وَلَهُم ما يَدَّعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For them therein is fruit, and for them is whatever they request [or wish]

(MELAYU)

Di syurga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa yang mereka minta.

 

لَهُمْ فِيهَا فٰكِهَةٌ

Bagi mereka di dalam syurga itu, berbagai-bagai jenis buah-buahan;

Kalau kita di dunia pun, sambil kita duduk berehat-rehat, kita akan ada makanan ringan untuk kita makan sambil berehat. Di syurga pun begitu juga. Berbagai-bagai jenis buahan yang mudah untuk dipetik. Kita tidak perlu bangun ke dapur malah tidak perlu untuk petik pun kerana buah itu akan datang kepada kita. Allah ‎ﷻ sebut di dalam Rahman: 54

وَجَنَى الجَنَّتَينِ دانٍ
dan buah-buahan kedua-dua Syurga itu dekat (kepada mereka) 

Petik satu, terus keluar buah baru daripada tangkai yang sama. Buah-buahan itu pula tidak ada musim, maka tidak perlu tunggu musim baru boleh makan buah itu kerana sentiasa sahaja ada buah. Bermacam-macam jenis buah-buahan termasuk yang tidak ada di dunia dan tentunya buah-buahan itu berganda-ganda lebih sedap daripada buah-buahan di dunia ini. Tentang buah-buahan ini Allah ‎ﷻ sebut di dalam ayat-ayat yang lain seperti Waqiah: 28-33

فِى سِدۡرٍ مَّخۡضُودٍ (٢٨) وَطَلۡحٍ مَّنضُودٍ (٢٩) وَظِلٍّ مَّمۡدُودٍ (٣٠) وَمَآءٍ مَّسۡكُوبٍ (٣١) وَفَـٰكِهَةٍ كَثِيرَةٍ (٣٢) لَّا مَقۡطُوعَةٍ وَلَا مَمۡنُوعَةٍ (٣٣)
Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri. (28)
Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya, (29) Dan naungan yang tetap terbentang, (30) Dan air yang sentiasa mengalir, (31) Serta buah-buahan yang banyak, (32) Yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya, (33)

Bukanlah buah-buahan itu sahaja yang mereka akan dapat. Ia adalah sebagai pembuka kata sahaja. Ada banyak lagi yang mereka akan dapat. Namun digunakan contoh buah, kerana itu yang manusia kenal, dan itu yang manusia suka semasa di dunia ini.

Akan tetapi sekejap, kenapa kalimah فٰكِهَةٌ ini lebih kurang dengan kalimah فَٰكِهُونَ (jamak kepada فَاكِهٌ) di dalam ayat 55 sebelum ini? Kalimah فَاكِهٌ bermaksud gembira dan kalimah فٰكِهَةٌ pula bermaksud buah. Memang ada kaitan dari segi bahasa dan etimologi kerana orang Arab ini suka makan buah, kalau dapat buah mereka akan gembira. Jadi mereka kaitkan dua istilah ini jadi kalau lihat dari segi bahasa, ia menjadi lebih kurang sahaja.

Oleh itu, kalimah فٰكِهَةٌ di sini mungkin bukan sahaja merujuk kepada buah-buahan, akan tetapi merujuk kepada apa-apa sahaja yang disukai. Maka bukanlah buah-buahan sahaja yang akan diberikan kepada ahli syurga tetapi segala macam jenis makanan yang kita tidak mampu bayangkan.

 

وَلَهُمْ مَا يَدَّعُونَ

Dan bagi mereka, apa sahaja yang mereka mahu;

Memang kita tidak akan dapat bayangkan nikmat di dalam syurga, maka Allah ‎ﷻ beritahu apa sahaja yang ahlinya hendak, dia akan dapat. Berjuta keinginan manusia yang tidak tertunai semasa hidup di dunia. Kerana tidak cukup wang dan sebagainya. Ataupun ada wang, tetapi adalah kesukaran atau halangan yang lain. Semua keinginan itu, penghuni Syurga akan dapat. Yang dia pernah lihat di dunia, semua dia akan dapat.

Juga apa sahaja yang mereka minta tetapi perhatikan kalimah yang digunakan adalah يَدَّعُونَ yang boleh juga bermaksud minta atau seru. Di sini Allah ‎ﷻ tidak gunakan kalimah يسئلون (meminta). Kerana kalimah يسئلون bermaksud meminta dan Allah ‎ﷻ tidak mahu susahkan ahli syurga itu minta baru dapat. Jadi digunakan kalimah يَدَّعُونَ yang bermaksud mereka terlintas sahaja sudah dapat, tidak perlu hendak minta-minta.

Mungkin ada benda yang dia tidak tahu pun kewujudan sesuatu benda, sebab dia tidak pernah berjumpa. Macam orang dulu-dulu hanya pernah guna TV hitam putih. Dulu mereka tidak tahu akan ada TV warna. Jadi kalau dia nampak TV warna, tentu dia pun hendak juga, bukan? Maka di syurga, akan ditunjukkan segala jenis kemewahan yang dia tidak tahu, dan dia akan minta, itu pun akan dapat. Dalilnya seperti disebut di dalam hadith yang sahih, tentang lelaki yang paling akhir masuk syurga. Hadith ini panjang dan ini adalah sebahagian daripadanya,

فَإِذَا دَخَلَهَا قَالَ اللَّهُ لَهُ تَمَنَّهْ ‏.‏ فَيَسْأَلُ رَبَّهُ وَيَتَمَنَّى حَتَّى إِنَّ اللَّهَ لَيُذَكِّرُهُ مِنْ كَذَا وَكَذَا حَتَّى إِذَا انْقَطَعَتْ بِهِ الأَمَانِيُّ قَالَ اللَّهُ تَعَالَى ذَلِكَ لَكَ وَمِثْلُهُ مَعَهُ
Kemudian apabila dia memasukinya, Allah berfirman kepadanya, “Mintalah”. Maka dia meminta kepada Tuhannya dan berangan-angan itu dan ini sehingga Allah mengingatkannya akan begini dan begini sehingga apabila hajatnya telah habis, Allah Ta’ala berfirman, “Itu untukmu dan yang serupa dengannya.”

(Sahih Muslim No. 182)

Maknanya di dalam hadith ini, Allah ‎ﷻ memberi cadangan kepada lelaki itu apa yang dia boleh minta. Kemudian diberikan apa yang telah diminta dan tambahan lagi dengan perkara-perkara yang lain yang kita pun tidak dapat hendak bayangkan. Ada mufassir yang kata, kita tidak perlu sebut pun apa yang kita hendak. Terdetik sahaja dalam hati kita hendakkan sesuatu, ia akan datang kepada kita.

Bukan itu sahaja, kita juga boleh mengubah rupa kita kalau kita hendak. Mungkin semasa di dunia, kita ada keinginan supaya rupa kita seperti orang lain. Maka, di syurga kita boleh berubah menjadi apa sahaja yang kita kehendaki. Apabila kita tukar sahaja, semua penghuni syurga yang di bawah takluk kita akan ikut tukar sekali.

Dalam dunia, ada perkara yang tidak boleh buat atau guna, seperti minum arak, pakai emas dan sutera untuk lelaki, namun semua akan dapat buat dalam syurga nanti. Mereka akan dibalas kerana dulu semasa di dunia, mereka tahan diri mereka daripada melakukan dan memakainya kerana mereka tahu yang hukumnya haram.

Di syurga nanti ada empat jenis sungai, termasuk sungai susu, madu dan arak. Malah air sungai di syurga boleh lalu dalam rumah ikut sebagaimana kita kehendaki. Inginkan ia mengalir ke atas, ke bawah, pusing keliling rumah dan sebagainya kerana aliran sungai itu juga di dalam taklukan kita. Kita boleh minum air-air itu bila-bila masa dan sudah tentunya rasanya lebih baik daripada rasanya di dunia. Ini kerana apa-apa sahaja nikmat di dunia ini adalah sebagai bayangan sahaja kepada nikmat di dalam syurga. Emas dunia adalah ciplak emas syurga, sutera dunia adalah ciplak sutera syurga, susu, madu, arak dan macam-macam lagi.

Kadangkala kita dapat juga soalan: ‘Ustaz boleh tak kami nak ini dan itu?’ Tidak kira apa sahaja keinginan mereka itu, akan diberikan kepada mereka. Kalau mereka di syurga nanti dan ada benda yang mereka teringin, ia akan diberikan. Walaupun kalau difikirkan, mereka tidak perlukan pun. Sebagai contoh disebut di dalam hadith tentang seorang ahli syurga yang hendak bercucuk tanam. Perlu apa lagi kerana makanan sudah banyak? Namun jikalau itu yang dia mahukan, maka itu pun akan dibenarkan kepadanya.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَدَّثَ أَنَّ رَجُلًا مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ اسْتَأْذَنَ رَبَّهُ فِي الزَّرْعِ، فَقَالَ لَهُ: أَلَيْسَ فِيمَا شِئْتَ؟ قَالَ: بَلَى وَلَكِنِّي أُحِبُّ أَنْ أَزْرَعَ، قَالَ: فَبَذَرَ، فَبَادَرَ الطَّرْفَ نَبَاتُهُ وَاسْتِوَاؤُهُ وَاسْتِحْصَادُهُ، فَكَانَ أَمْثَالَ الْجِبَالِ، فَيَقُولُ اللَّهُ: دُونَكَ يَا ابْنَ آدَمَ، فَإِنَّهُ لَا يُشْبِعُكَ شَيْءٌ
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ menceritakan: “Sesungguhnya seorang laki-laki penduduk syurga meminta izin kepada Tuhannya untuk menanam (bercucuk tanam). Maka Allah berfirman kepadanya: ‘Bukankah apa yang kamu inginkan sudah ada padamu?’ Dia menjawab: ‘Benar (sudah ada), tetapi aku suka untuk menanam.’ Baginda bersabda: ‘Maka dia menanam (benih), lalu dalam sekelip mata tanaman itu tumbuh, menjadi sempurna, dan siap untuk dituai. Hasilnya menjadi seperti gunung-gunung.’ Maka Allah berfirman: ‘Ambillah (hasil itu), wahai anak Adam, sesungguhnya tidak ada sesuatu pun yang dapat mengenyangkanmu (memuaskan keinginanmu).’ “
(Sahih Bukhari No. 2348)

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 12 Jun 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment