Tafsir Surah Yaasin Ayat 27 – 29 (Kehancuran kepada penentang)

Yaasin Ayat 27: Inilah sambungan kata-kata Lelaki itu. Dia sebut apa yang dia dapat Allah ‎ﷻ yang dia berharap sangat kalau kaumnya dapat tahu perkara ini.

بِما غَفَرَ لي رَبّي وَجَعَلَني مِنَ المُكرَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Of how my Lord has forgiven me and placed me among the honored.”

(MELAYU)

“Apa yang menyebabkan Tuhanku memberi ampun kepadaku dan menjadikan aku termasuk orang-orang yang dimuliakan”.

 

بِمَا غَفَرَ لِي رَبِّي

Bagaimana Tuhanku telah mengampunkan dosaku

Allah ‎ﷻ telah mengampunkan dosa Lelaki itu. Tidak disebutkan apakah dosa yang telah dilakukan oleh beliau. Kita tidak tahu sama ada dosa besar atau kecil. Sebagai manusia tentulah dia ada dosa kerana itu adalah sifat manusia. Itu tidak penting kerana Allah ‎ﷻ telah mengampunkannya semua sekali. Allah ‎ﷻ boleh mengampunkan dosa sesiapa sahaja yang Dia hendak. Tidak kira berapa banyak dosa itu. Betapa banyak dosa pun Allah ‎ﷻ boleh ampunkan kerana dia telah berdakwah kepada kaumnya itu. Lihatlah tadi kita baca hadith seorang wanita pelacur yang diampunkan dosanya hanya kerana dia memberi minum kepada anjing yang kehausan.

Begitu juga, cara mati lelaki ini tidak penting. Yang penting dia mati di dalam iman dan diberikan dengan pengampunan dosa dan dimasukkan ke dalam syurga. Kita semua akan mati tetapi yang kita risaukan adalah adakah kita mati di dalam iman atau tidak? Kita diajar untuk prihatin akan hal ini sebagaimana kita diajar dengan doa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam Yusuf: 101

تَوَفَّني مُسلِمًا وَأَلحِقني بِالصّالِحينَ
wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang saleh

Ini menunjukkan kepentingan dakwah. Amat besar sekali pahala dakwah yang Allah ‎ﷻ boleh berikan kepada para pendakwah. Setakat pandai agama sahaja tetapi tidak mengajak dan mengajar kepada orang lain, ia tidak bermakna sebab melepaskan diri sahaja dan tidak memikirkan orang lain. Untuk orang yang berdakwah, ganjarannya amat besar.

Perkataan غَفَرَ bermaksud ‘menutup’. Allah ‎ﷻ bukan sahaja mengampunkan dosa itu, tetapi Dia juga telah menutup dosa itu sampai sesiapapun tidak tahu. Allah ‎ﷻ pun tidak mengungkit dosa yang telah dilakukan oleh mereka yang telah diampunkan dosa itu. Apabila dosa telah diampunkan, maka ke mana lagi seseorang itu akan pergi? Tentulah ke syurga kerana neraka tempat cuci dosa. Jadi bila tidak ada dosa, lalu tidak perlu ke neraka lagi. Kerana itu kita berharap sangat dosa-dosa kita yang banyak ini diampunkan oleh Allah ‎ﷻ.

 

وَجَعَلَنِي مِنَ الْمُكْرَمِينَ

dan menjadikan aku termasuk orang-orang yang dimuliakan;

Beliau telah dimasukkan ke dalam Syurga dan dimuliakan. Beliau asalnya adalah manusia biasa sahaja, namun Allah ‎ﷻ telah memuliakannya sehinggakan namanya disebut sampai sekarang.

Perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah الْمُكْرَمِينَ – orang-orang yang dimuliakan. Bagaimanakah seseorang itu dimuliakan? Kalau di dunia ini kalau orang datang lawat kita, layan kita dengan baik, beri anugerah, ucap syabas kepada kita, itu semua termasuk dalam perbuatan memuliakan kita, bukan? Bagaimana dengan penghuni syurga, apa yang mereka akan terima? Ini disebut nanti di dalam Surah Yaasin ini juga di mana Allah ‎ﷻ akan melawat penghuni syurga dan memberi salam kepada mereka,

سَلٰمٌ قَولًا مِّن رَّبٍّ رَّحيمٍ
(Kepada mereka dikatakan): “Salam”, sebagai ucapan selamat daripada Tuhan Yang Maha Penyayang.

Kalimah الْمُكْرَمِينَ adalah dalam bentuk kata-nama, bukan kata-kerja. Beliau tidak kata ‘Allah telah memuliakan aku’, sebaliknya: “Allah telah menjadikan aku sebahagian daripada orang-orang yang dimuliakan.” Ini adalah sebagai tanda bahawa kemuliaan yang diberikan kepadanya itu adalah kekal sampai bila-bila. Kerana kalau disebut dalam bentuk kata-kerja, ia mungkin tidak kekal. Macam orang politik sekarang, sekejap sahaja mereka dimuliakan. Selepas sekian lama, atau selepas mereka tidak memegang tampuk pemerintahan, mereka sudah dilupakan. Sebaliknya bagi mereka yang masuk syurga, akan dimuliakan sampai bila-bila.

Perkataan yang digunakan juga adalah مِنَ الْمُكْرَمِينَ – ‘sebahagian daripada orang-orang yang dimuliakan’. Bermakna, dia bukan seorang sahaja duduk di dalam syurga itu. Kita sebagai manusia, suka untuk berkawan. Kita lebih suka kalau dapat berkawan dengan orang yang hebat-hebat. Alangkah baiknya kalau kawan-kawan kita adalah orang-orang yang dimuliakan. Begitulah nanti di dalam syurga akan mendapat kelebihan itu kerana Allah ‎ﷻ sendiri yang akan memuliakan ahli syurga.

Kalimah الْمُكْرَمِينَ adalah satu kedudukan yang istimewa. Kerana Allah ‎ﷻ ada juga memuliakan seseorang akan tetapi tidaklah disebut status mereka sebagai الْمُكْرَمِينَ. Perhatikan contohnya di dalam Hujurat: 13

إِنَّ أَكرَمَكُم عِندَ اللهِ أَتقٰكُم
Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu

Perhatikan juga Fajr: 15,

فَأَمَّا الإِنسٰنُ إِذا مَا ابتَلٰهُ رَبُّهُ فَأَكرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقولُ رَبّي أَكرَمَنِ
Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia akan berkata: “Tuhanku telah memuliakanku”.

Perhatikan di dalam dua-dua contoh itu, ia bukanlah seperti satu status الْمُكْرَمِينَ seperti yang telah diberikan kepada Lelaki di dalam kisah ini. Jadi ia adalah satu kedudukan yang tinggi dan istimewa. Kerana kalau bukan istimewa, memang setiap kita ini telah dimuliakan oleh Allah ‎ﷻ seperti disebut di dalam Isra’: 70

وَلَقَد كَرَّمنَا بَنِىٓ ءَادَمَ
Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam

Oleh itu, di dalam ayat ini ada dua balasan yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada Lelaki itu, pengampunan dan kemuliaan. Bukankah ini yang telah dijanjikan oleh Allah ‎ﷻ di dalam ayat 11 sebelum ini?

إِنَّما تُنذِرُ مَنِ اتَّبَعَ الذِّكرَ وَخَشِيَ الرَّحمٰنَ بِالغَيبِ ۖ فَبَشِّرهُ بِمَغفِرَةٍ وَأَجرٍ كَريمٍ
Sesungguhnya peringatan dan amaran hanyalah yang engkau berikan kepada orang yang sedia menurut ajaran Al-Qur’an serta dia takut kepada Tuhan Rahman yang ghaib. Berilah berita gembira kepada mereka, iaitu keampunan dan pahala yang mulia.

Sekian kisah seorang lelaki yang telah berdakwah kepada kaumnya yang akhirnya telah dibunuh. Ulama’ mengatakan inilah satu-satunya manusia yang berdakwah semasa hidupnya dan setelah matinya. Bagaimana dakwahnya setelah mati? Bukankah kita sekarang sedang membaca kata-katanya setelah kematiannya yang dinukilkan oleh Allah ‎ﷻ? Ayat-ayatnya itu akan dibaca sampailah ke Kiamat nanti.

Akan tetapi siapakah yang beriman dengan dakwah Lelaki ini? Tidak ada, bukan? Malah beliau dibunuh dengan kejam oleh kaumnya. Jadi kalau kita fikirkan, adakah beliau berjaya? Adakah patut beliau dimasukkan ke dalam syurga sedangkan tidak ada yang beriman dengannya walaupun seorang? Di sinilah kita kena tahu bahawa Allah ‎ﷻ membalas seorang pendakwah bukanlah dikira berdasarkan berapa orang yang beriman. Allah ‎ﷻ beri balasan yang hebat walaupun tidak ada orang yang ikut, asalkan seorang pendakwah itu sampaikan sahaja kepada manusia. Ini kerana tugas dakwah adalah tugas yang paling baik dalam dunia dan tidak ada lebih baik darinya seperti disebut di dalam Fussilat: 33

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًۭا مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَـٰلِحًۭا وَقَالَ إِنَّنِى مِنَ ٱلْمُسْلِمِينَ
“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh, dan berkata: ‘Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri (muslimin).'”

Rasulullah ﷺ dikatakan pernah menyamakan seorang sahabat bernama ‘Urwah bin Mas’ud dengan Lelaki dalam Surah Yasain ini setelah beliau memeluk Islam dan berdakwah kepada kaumnya. Beliau kembali ke kaumnya (Bani Tsaqif di Thaif) dan mengajak mereka beriman dan meninggalkan penyembahan berhala. Namun, kaumnya menolaknya dan membunuhnya ketika beliau berdiri menyeru mereka. Disebutkan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda setelah mendengar kematiannya:

“إن يَكُ شَبَّهُ أحدٍ، فقد كان شَبَّهُ صاحبِ يسِ”
“Jika ada seseorang yang serupa dengan lelaki dalam Surah Yaasin, maka dia adalah (‘Urwah bin Mas’ud).”

Hadith ini diriwayatkan oleh Ibn Ishaq dan disebut oleh Ibn Kathir dalam Tafsir Surah Yasin. Hadith atau atsar ini bukanlah hadith sahih yang marfu’ (yakni sampai kepada Nabi ﷺ secara sahih dalam kitab seperti Bukhari atau Muslim), tetapi ia disebut dalam riwayat-riwayat sejarah dan tafsir.

Ringkasan Kisah

 

PARA PENENTANG DIMUSNAHKAN

Yaasin Ayat 28: Telah tamat kisah para Rasul dan Lelaki yang berdakwah di satu kampung. Bagaimana pula dengan penduduk kampung itu? Penduduk kampung itu telah membunuh para utusan agama dan juga Lelaki yang telah berdakwah kepada mereka. Walaupun Lelaki itu sudah selamat di dalam syurga, tidak menyimpan dendam terhadap mereka yang membunuhnya, tetapi mereka tidak Allah ‎ﷻ lupakan. Apakah balasan yang Allah ‎ﷻ kenakan kepada mereka?

۞ وَما أَنزَلنا عَلىٰ قَومِهِ مِن بَعدِهِ مِن جُندٍ مِّنَ السَّماءِ وَما كُنّا مُنزِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We did not send down upon his people after him any soldiers from the heaven, nor would We have done so.

(MELAYU)

Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah dia (meninggal) suatu pasukan tentera pun dari langit dan tidak layak Kami menurunkannya.

 

وَمَا أَنزَلْنَا عَلَىٰ قَوْمِهِ مِن بَعْدِهِ

Tidaklah Kami menurunkan ke atas kaumnya selepas mereka membunuhnya;

Iaitu selepas mereka membunuh Lelaki itu (dan mungkin juga para Rasul itu sekali), Allah ‎ﷻ tidak hantar tentera langit untuk membunuh mereka dan menghancurkan mereka.

Apabila Allah ‎ﷻ tambah perkataan مِن sebelum بَعْدِهِ (selepasnya), ia bermakna balasan Allah ‎ﷻ kepada kaumnya itu adalah dengan segera. Selepas mati sahaja, terus mereka diturunkan dengan bala. Akan tetapi Allah ‎ﷻ tidak turunkan tentera langit pun.

 

مِن جُندٍ مِّنَ السَّمَاءِ

sebarang tentera daripada langit;

Allah ‎ﷻ tidak perlu membawa turun tentera dari langit untuk menghancurkan mereka itu. Perkataan مِن جُندٍ itu bermaksud apa jenis tentera pun. Selalu ditafsirkan sebagai para malaikat kerana para malaikat itu tempatnya di langit. Allah ‎ﷻ tidak perlu turunkan walau satu jenis tentera pun, walaupun Allah ‎ﷻ ada banyak tentera: daripada golongan manusia, malaikat dan entah apa lagi.

Ayat ini juga menjadi antara dalil bahawa malaikat itu tinggalnya di langit. Kerana itu mereka diturunkan. Kalau mereka ada yang berada di dunia, itu adalah kerana tugas mereka sahaja. Macam kitalah, selesai kerja kita balik rumah, bukan duduk di pejabat lagi. Dalil lain adalah Qadr: 4

تَنَزَّلُ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيہَا بِإِذنِ رَبِّہِم مِّن كُلِّ أَمرٍ
Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);

Kenapa disebut tentera pula? Kerana apabila para Rasul memberi ancaman kepada mereka, mereka gelakkan sahaja dan berkata siapa yang akan serang kami? (You and what army?) Maka Allah ‎ﷻ kata Dia tidak perlu untuk menggerakkan mana-mana tentera-Nya untuk menghadapi mereka yang perasan hebat ini. Ini adalah tamparan kepada Musyrikin Mekah yang rasa besar dan mulia itu. Allah ‎ﷻ sindir: kalau Dia mahu menghancurkan mereka senang sahaja, tidak payah susahkan tentera Dia.

 

وَمَا كُنَّا مُنزِلِينَ

dan tidaklah Kami perlu menurunkannya;

Ayat ini menunjukkan bahawa Allah ‎ﷻ telah menghukum kaumnya kerana mereka telah mendustakan para Rasul-Nya dan membunuh wali-Nya. Akan tetapi Allah ‎ﷻ tidak menurunkan para Malaikat yang ramai untuk menghancurkan mereka. Allah ‎ﷻ tidak perlu hantar tentera malah tidak layak Allah ‎ﷻ turunkan tentera untuk memusnahkan mereka kerana mereka itu kecil sahaja. Ini kerana mereka itu hina dina, bukan besar pun. Mereka sahaja yang sangka mereka mulia. Perumpamaannya, takkan kita pakai bazooka pula untuk membunuh lipas sebab lipas kecil sahaja. Pijak dengan kaki selesailah.

Ayat ini boleh jadi berbagai makna:

1. Allah ‎ﷻ tidak menurunkan tentera apa pun dan Allah ‎ﷻ tidak akan turunkan sampai bila-bila.

2. Allah ‎ﷻ tidak turunkan tentera kerana mereka tidak layak menerima tindakan sebegitu daripada Allah ‎ﷻ. Maknanya, mereka tidak layak menerima perhatian sebegitu pun dek kerana amat teruknya dan hinanya mereka itu. Ini kerana menurunkan tentera bertujuan untuk mengajar. Mereka tidak layak untuk menerima pengajaran itu.

3. Kalau Allah ‎ﷻ hendak mengazab manusia, tidak semestinya Dia perlu turunkan tentera. Banyak cara lagi Allah ‎ﷻ boleh lakukan.

Maka begitulah yang terjadi kepada penduduk kota itu. Allah ‎ﷻ tidak -perlu susah-susah menurunkan tentera. Sekali tempik sahaja, semuanya mati. Walaupun pada hakikatnya, mana-mana cara Allah ‎ﷻ pilih pun, tidak menyusahkan Allah ‎ﷻ.


 

Yaasin Ayat 29: Azab untuk mereka satu tempikan sahaja.

إِن كانَت إِلّا صَيحَةً وّاحِدَةً فَإِذا هُم خامِدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It was not but one shout,1 and immediately they were extinguished.

  • From Gabriel or a blast from the sky.

(MELAYU)

Tidak ada seksaan atas mereka melainkan satu teriakan suara saja; maka tiba-tiba mereka semuanya dipadamkan.

 

إِنْ كَانَتْ إِلَّا صَيْحَةً وَاحِدَةً

Sesungguhnya azab yang kena kepada mereka itu hanyalah satu tempikan sahaja;

Mereka dimusnahkan sekaligus dengan tempikan daripada Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja. Ini hendak menunjukkan Allah ‎ﷻ tidak berusaha apa pun untuk musnahkan kaum yang hina ini. Sebenarnya kalimah صَيْحَةً sudah menunjukkan satu tempikan, akan tetapi Allah ‎ﷻ tambah dengan kalimah وَاحِدَةً untuk menekankan lagi bahawa memang satu tempikan sahaja, tidak lebih daripada itu.

Tiada disebut siapakah yang mengeluarkan jeritan itu di dalam sumber yang sahih akan tetapi begitulah pendapat ahli tafsir. Antaranya adalah seperti yang disebut oleh Ibnu Kathir رَحِمَهُ اللَّهُ di dalam kitab tafsirnya,

قال ابن عباس: «أهلك الله أصحاب القرية بصيحة واحدة، فماتوا
وقال قتادة: «أخذهم الله بصيحة، فأصبحوا خامدين
وقال مجاهد: «الصيحة: هي صيحة جبريل

  • Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata: “Allah membinasakan penduduk negeri itu dengan satu teriakan, lalu mereka mati.”

  • Dan Qatadah رَحِمَهُ اللَّهُ berkata: “Allah membinasakan mereka dengan satu suara keras, lalu mereka sunyi sepi (mati).”

  • Dan Mujahid رَحِمَهُ اللَّهُ berkata: “Teriakan itu adalah suara Jibril.”

Kalimah صَيْحَةً adalah satu jenis tempikan yang amat kuat sampaikan boleh memecahkan kepala manusia. Kenapa azab tempikan? Selalunya Allah ‎ﷻ akan beri azab yang bersesuaian dengan dosa yang manusia lakukan. Oleh kerana mereka itu tidak mahu mendengar dakwah dan nasihat daripada para Rasul dan pendakwah, maka sekarang mereka kena dengar azab dalam bentuk suara pula. Nah! Rasakan kerana kamu dulu buat pekak, bukan?

Allah ‎ﷻ hantar Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seorang sahaja. Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ turun dengan satu tempikan dan keluar api daripada mulutnya. Dengan suara yang kuat sehingga mereka semua tiba-tiba mati dengan tidak ada satu jasad pun yang tersisa. Oleh itu, dari sini, kita dapat tahu bahawa Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ turunkan wahyu dan bala sekali. Melalui Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja sudah cukup untuk menghancurkan mereka. Beliau jugalah yang telah mengazab kaum Aad dan juga kaum-kaum lain. Sebab itu Yahudi dan Kristian tidak begitu menggemari Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ selalu menghancurkan kaum yang zalim. Kerana itu ahli kitab lebih suka kepada Mikail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebab Mikail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah malaikat yang membawa turun rahmat. Sebab itu, mereka ramai menamakan anak-anak mereka dengan nama Michael, namun tidak ramai yang menamakan anak mereka dengan nama Gabriel.

Allah ‎ﷻ menceritakan kuasa-Nya di sini. Cukup dihantar sahaja satu malaikat dan satu tempikan, sudah selesai urusan. Allah ‎ﷻ tidak perlu susah-susah bertempik sendiri pun. Kalau kita bertempik sampai habis suara ke sekumpulan semut, semut buat tidak tahu sahaja, bukan? Jangan kata semut, anak-anak kita pun tidak cukup sekali tempik untuk mengejut mereka waktu pagi untuk bangun tidur. Namun mudah sahaja Allah ‎ﷻ menghantar Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk memusnahkan mereka.

Ada juga tafsiran yang lain. Boleh jadi negeri ini ialah negeri Pompeyi di Itali, yang terletak di kaki gunung Vesuvius. Gunung itu meletus pada tahun 79 setelah Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lahir. Ahli-ahli pencatat sejarah menerangkan betapa hebatnya bunyi gunung itu ketika meletus, sehingga ketika mendengar bunyinya saja telah banyak orang yang padam nyawanya, terbongkar tali jantungnya kerana tidak tahan mendengarkan letusan itu. Letusan yang amat dahsyat itu telah menyemburkan lahar hitam yang panas, sehingga gelaplah langit dan tertimbunlah oleh debu letusan itu kota-kota Pompeyi, Herculanum dan Stabiae. Mulai dari tahun 1748 barulah dimulai orang menggali kembali timbunan kota-kota itu. Masih didapati manusia yang tertimbun debu itu. Masih sedang berjalan di pasar, masih bergurau dengan teman, masih minum-minum di kedai, masih bercinta-cintaan laki-laki dan perempuan. Benar-benar mereka tidak bersedia terlebih dahulu untuk lari, kerana tiba-tiba telah tertimbun debu. Sekarang tembok-tembok kota Pompeyi itu masih dipelihara dan dijadikan tempat perlancongan. Maka kelihatanlah ukuran di dinding yang telah kuno itu cara kehidupan orang di zaman itu, yang benar-benar telah lupa kepada nilai-nilai yang patut dipegang. Sampai digambarkan bagaimana caranya bersetubuh yang paling asyik.

Kesan peninggalan kaum yang diazab Allah ada sehingga hari ini untuk memberi pengajaran kepada manusia.

 

فَإِذَا هُمْ خَامِدُونَ

Maka mereka semua dipadamkan;

Kuatnya tempikan itu sampaikan seluruh kampung itu hancur. Hancur menjadi debu. Yang tinggal sekarang ini hanyalah bandar purba sahaja. Tinggal tapak rumah sahaja. Lain semua sekali hancur.

Perkataan خَمِدُ digunakan untuk perbuatan memadam api. Ini bermakna, mereka dimatikan begitu sahaja, bagai memadam api lilin sahaja. Atau boleh juga bermaksud, kesombongan mereka dan ego mereka disenyapkan dengan begitu mudah sahaja.

Kalimah خامِدونَ berasal daripada akar kata خ م د yang bermakna padam, tidak bernyala, atau mati, dan dalam konteks tertentu juga membawa maksud tidak bergerak, diam, lesu, tidak aktif atau beku. Secara literal kalimah خامدون adalah jamak daripada “خامد”، bermaksud: “yang telah padam” – boleh merujuk kepada api yang sudah padam, atau makhluk yang tidak bernyawa lagi. Di dalam ayat ini, “خامدون” bermaksud mati dalam keadaan terpadam tanpa sisa hayat atau gerakan – menggambarkan kehancuran total dan sunyi sepi selepas azab.

Menarik penggunaan kalimah خامِدونَ ini yang digunakan dan bukan kalimah-kalimah lain kerana ia merujuk kepada pemadaman api yang total. Ada kalimah lain seperti خَفَتَ yang bermakna: Menjadi lemah, redup, tidak padam sepenuhnya; ada juga kalimah فَتَرَ yang bermakna: lemah, surut semangat, berhenti seketika. Boleh digunakan untuk api atau tenaga yang berkurang tetapi bukan padam; ada juga kalimah رَمَد yang bermakna: abu, atau api yang padam tetapi masih ada bara. Digunakan secara kiasan untuk menunjukkan masih ada sisa-sisa yang boleh menyala semula. Jadi apabila digunakan kalimah خامِدونَ ia merujuk kepada api yang tiada kesan langsung. Macam kalau kita padam unggun api tetapi masih ada bara-bara lagi, itu adalah رَمَد. Namun kalau kita pijak-pijak unggun api itu sampai habis kesan, inilah خامد. Ia bermaksud mereka itu semuanya mati tidak tinggal kesan dan tidak tinggalkan keturunan. Tidak ada sesiapa yang boleh mengaku mereka daripada keturunan kaum dalam kisah Surah Yaasin ini kerana semua sekali mati tidak meninggalkan keturunan.

Apabila Allah ‎ﷻ menggunakan analogi memadam api, maknanya Allah ‎ﷻ menyamakan mereka seperti api. Bukankah api itu berbahaya? Kalau tidak dipadamkan dengan total, masih tinggal baranya lagi, ia boleh hidup semula dan membakar benda yang lain pula. Maka Allah ‎ﷻ hancurkan mereka supaya mereka tidak dapat menghasut orang lain dengan kesesatan dan kedegilan mereka kepada Allah ‎ﷻ. Takut ada yang ikut mereka pula. Ia seperti barah yang kalau tidak dibuang, akan merebak ke bahagian tubuh yang lain dan ini bahaya kepada keseluruhan tubuh. Maka membunuh mereka ini termasuk sifat Rahman Allah juga, untuk menyelamatkan orang lain.

Seperti yang kita telah sebut sebelum ini, ayat-ayat daripada Surah Yaasin ini diturunkan di Mekah di hujung-hujung masa Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم di Mekah. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu kepada mereka, jikalau mereka berdiri mempertahankan agama, mereka mungkin tidak dapat melihat pulangannya di dunia ini. Mereka mungkin mati seperti apa yang terjadi kepada Lelaki itu. Akan tetapi balasan kepada mereka di akhirat nanti adalah amat besar sekali.

Ia juga untuk memperingatkan kepada mereka yang menentang agama Allah ‎ﷻ bahawa balasan kepada mereka amatlah pedih. Allah ‎ﷻ boleh membalas perbuatan mereka semasa mereka di dunia lagi. Janganlah mereka sangka yang kemenangan mereka yang sedikit itu sebagai kejayaan sebenarnya. Memang penduduk kota itu berjaya membunuh pendakwah dan Lelaki itu, tetapi itu bukanlah kejayaan sebenarnya.

Jadi dalam ayat ini, Puak Quraish yang menentang Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم diancam dengan azab seperti yang terjadi kepada penduduk kampung itu. Jangan mereka sangka mereka boleh berbuat apa sahaja. Jaga-jaga dengan azab Allah ‎ﷻ. Allah ﷻ boleh kenakan azab itu semasa di dunia lagi, tidak payah tunggu akhirat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 19 Mei 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

3 thoughts on “Tafsir Surah Yaasin Ayat 27 – 29 (Kehancuran kepada penentang)”

  1. Assalammualaikum. Tuan, Yaasin Ayat 39 ‘old date stalk’ merujuk kepada tandan buah atau spikelet?

    jikalau spikelet, tangkai buah kurma, seperti kuat perumpamaanya untuk menunjukkan fasa bulan.

    Like

Leave a reply to CelikTafsir Cancel reply