Tafsir Surah Yaasin Ayat 24 – 26 (Mati syahid terus masuk syurga)

Yaasin Ayat 24: Apa berlaku sekiranya seru juga selain Allah ‎ﷻ?

إِنّي إِذًا لَّفى ضَلٰلٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, I would then be in manifest error.

(MELAYU)

Sesungguhnya aku kalau begitu, pasti berada dalam kesesatan yang nyata.

 

Dalam ayat sebelum ini, telah disebut tentang kesalahan mereka yang mengambil selain Allah ‎ﷻ sebagai ‘ilah’ – pujaan-pujaan. Dalam ayat ini, Lelaki itu mengatakan kalau beliau berbuat juga begitu, tentunya beliau termasuk dalam golongan mereka yang sesat nyata. Tidak ada pilihan ketiga: sama ada di atas kebenaran atau sesat seperti disebut di dalam Yunus: 32

فَماذا بَعدَ الحَقِّ إِلَّا الضَّلالُ
sesudah nyatanya sesuatu yang betul dan benar, maka tidakkah yang lain daripada itu salah dan karut sahaja?

Beliau tidak kata tentang penduduk kampung itu tetapi beliau bercakap tentang dirinya. Seolah-olah berkata: “Kalau korang tak tahulah, tapi kalaulah aku sembah juga selain Allah, tentulah aku sudah teruk sangat.” Beliau tidak mahu menyebabkan kemarahan kaumnya itu. Beliau tidak mengutuk sembahan kaumnya itu kerana ini memang tidak disukai oleh Allah ‎ﷻ seperti disebut di dalam An’am: 108

وَلَا تَسُبُّوا۟ ٱلَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَيَسُبُّوا۟ ٱللَّهَ عَدْوًۭا بِغَيْرِ عِلْمٍ
“Dan janganlah kamu mencela (menghina) apa yang mereka sembah selain Allah, kerana nanti mereka akan mencela Allah secara melampaui batas tanpa pengetahuan”

Begitulah Allah ‎ﷻ mengajar kita cara berdakwah iaitu menggunakan pendekatan yang lembut, bahasa yang baik dan indah dan tidak menyebabkan kemarahan kepada mad’u.

Di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan لَفِي – ‘pastinya di dalam’. Itu bermakna seseorang yang sesat, seperti lemas di dalam kesesatan itu. Ke mana sahaja dia melihat, dia akan hanya nampak kesesatan. Begitu juga, kalau kita minta tolong kepada selain Allah ‎ﷻ, seperti mereka yang meminta kepada Nabi Muhammad ﷺ, Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan sebagainya, kita akan menjadi kufur macam mereka juga. Maka kita tidak ubah seperti orang Kristian yang meminta doa kepada Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Malangnya, banyak dalam kalangan masyarakat Islam kita yang buat begini. Antaranya yang masyarakat kita selalu amalkan, kalau hendak makan ubat, akan baca selawat dahulu, padahal tidak pernah disuruh oleh Nabi ﷺ untuk buat begitu. Ditakuti kalau kita beg itu, kita memohon berkat Nabi ﷺ untuk menyembuhkan sakit kita. Sedangkan Nabi Muhammad ﷺ tidak terlibat dalam penyembuhan kita. Yang menyembuhkan kita hanya Allah ‎ﷻ sahaja. Atau kita sangka Nabi ﷺ sendiri yang boleh menyembuhkan kita. Padahal, kita sendiri tahu yang Allah ‎ﷻlah yang menyembuhkan kita, bukan ada sesiapa selain Allah ‎ﷻ yang dapat menyembuhkan. Jadi, kalau makan ubat, cukuplah dengan kita membaca basmalah. Kita ambil berkat nama Allah sahaja, itu lebih selamat untuk akidah kita. Janganlah beri berbagai-bagai alasan untuk membolehkan kita baca juga selawat apabila hendak memakan ubat. Sebaiknya kita ambil jalan yang selamat.

Atau amalan orang bersilat yang akan beri salam dulu kepada Nabi Yunus عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana mereka kata Nabi Yunus عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah penjaga pokok-pokok kayu dan di gelanggang silat memang banyak pokok kayu. Itu semua adalah termasuk dalam kategori sihir. Apabila kita beri salam sahaja kepada makhluk bukan manusia, yang datang kepada kita adalah jin. Kita sahaja yang tidak nampak jin datang kepada kita. Jadi memberi salam kepada makhluk-makhluk yang kita tidak nampak seperti malaikat itu adalah satu perbuatan yang sesat.

Jikalau kita ada amalan sebegitu, maka segeralah bertaubat dan buanglah amalan itu dengan membaca Syahadah dan mengeluarkan amalan yang syirik itu dengan bacaan Bismillah. Amalan-amalan itu mesti dibuang kerana sudah ada dalam badan kita. Sudah lama sebenarnya ramai dalam kalangan kita yang bela jin-jin itu dalam badan kita. Senang sahaja untuk membuangnya, iaitu dengan baca Bismillah sahaja.

Tidak perlu pun untuk berjumpa bomoh-bomoh yang karut (dan bomoh yang bergelar ‘ustaz’) yang suruh kita buat amalan syirik lain pula. Kita sangka kita pergi kepada mereka untuk menyelamatkan kita, sebaliknya mereka ajar kita buat perkara syirik pula. Bukan tentu jin-jin itu keluar pun. Jin-jin memang pandai berlakon. Maka nampaklah orang yang dirasuk itu menggelupur dan menjerit namun itu semua adalah lakonan semata. Mereka akan berlakon keluar untuk menipu kita. Kita pula sangka bahawa bomoh itu berkuasa pula, maka jatuh syirik di situ. Padahal, yang Maha Berkuasa adalah Allah ‎ﷻ. Ingatlah sentiasa yang Allah ‎ﷻlah yang menyembuhkan kita. Bahaya apabila kita kata seseorang bomoh itu hebat, sampai dapat menyembuhkan kita. Kalau kita ada sangkaan begitu, kita sudah jatuh syirik kerana kita telah memberikan kuasa Allah ‎ﷻ kepada makhluk.

Disebut di dalam ayat ضَلٰلٍ مُّبينٍ iaitu ada kesesatan yang memang nyata, bukan samar-samar lagi. Yang tidak nampak hanyalah kerana mereka itu jahil sangat tentang agama, tentang Allah ‎ﷻ dan tentang wahyu. Sedangkan Rasulullah ﷺ telah menyebut,

عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: ((إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَ إِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَ بَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ لا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَ عِرْضِهِ، وَ مَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيهِ، أَلاَ وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلاَ وَ إِنَّ حِمَى اللَّهِ مَحَارِمُهُ، أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ
Daripada Abu Abdullah al-Nu’man ibn Basyer رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang penggembala yang menggembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara yang diharamkan-Nya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.”
(Riwayat Bukhari No. 52, Muslim No. 1599)

Nota: Ini adalah penggunaan kalimah مُبينٍ yang ketiga di dalam surah ini. Ada 7 kali semuanya kalimah مُبينٍ diulang-ulang. Di sini pun ada amalan mengarut masyarakat Melayu Nusantara kita tentangnya. “Amalan Tujuh Mubin” adalah istilah yang digunakan dalam wirid karut yang terkait dengan Surah Yaasin dalam tradisi masyarakat Muslim, terutama di Nusantara (Malaysia, Indonesia, dan sekitarnya). Meskipun tidak ada dasar langsung daripada Al-Qur’an mahupun hadith sahih tentang amalan ini secara spesifik, ia diamalkan sebagai bentuk wirid atau doa tambahan yang diniatkan untuk pelbagai hajat. Seseorang akan berhenti dan berdoa di setiap kali sampai pada kata “mubīn” tersebut. Biasanya diamalkan untuk memohon hajat tertentu (jodoh, rezeki, kesembuhan, perlindungan), atau dijadikan sebagai wirid 7 hari berturut-turut. Ada berbagai-bagai lagi cara ia diamalkan dan ini semua adalah rekaan semata-mata dan bid’ah. Orang yang mengamalkan rasa sudah hebat sangatlah (macam saya juga dulu), rasa terpimpin, dapat ilmu hebat dan rasa ia dapat membantu mereka tetapi tidaklah benar. Surah Yaasin ini sudah diturunkan kepada Rasulullah ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم yang lebih pandai agama daripada kita, tetapi tidaklah mereka mengamalkan amalan sebegitu.


 

Yaasin Ayat 25: Lelaki itu sekarang membuat satu pengumuman. Mungkin untuk menjawab pertanyaan yang telah diberikan kepadanya. Sama ada yang bertanya itu adalah orang kafir penduduk bandar itu atau pun para Rasul itu yang bertanya kepada Lelaki itu untuk memastikan keimanannya. Kalau yang bertanya itu adalah para Rasul itu, pertanyaan mereka mungkin berbunyi: “Adakah kamu beriman dengan kami?” Maka, lelaki itu pun menjawab. Atau penduduk kampung itu bertanya: “Kenapa kamu ini, adakah kamu telah beriman dengan tiga orang lelaki ini?!”

إِنّى ءآمَنتُ بِرَبِّكُم فَاسمَعونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, I have believed in your Lord, so listen to me.”

(MELAYU)

Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhanmu; maka dengarkanlah (pengakuan keimanan)ku.

 

إِنِّي آمَنتُ بِرَبِّكُمْ

Sesungguhnya aku ini memang telah beriman dengan Tuhan kamu.

Tuhan yang beliau maksudkan adalah Allah ‎ﷻ. Kerana walaupun orang-orang kafir itu tidak mengaku yang Allah ‎ﷻ adalah Tuhan mereka, namun dari segi hakikatnya, Tuhan mereka adalah Allah ‎ﷻ jua. Sebab itu beliau kata ‘Tuhan kamu’.

Dari segi bahasa, perkataan آمَنتُ itu dalam bentuk past tense – ‘aku telah beriman’. Beliau menggunakan perkataan itu dalam bentuk past tense untuk menegaskan bahawa beliau sungguh-sungguh telah beriman. Kerana kalau Beliau berkata beliau sedang beriman, mungkin di masa hadapan berkemungkinan beliau tidak beriman. Jadi, apabila penggunaan perkataan yang digunakan dalam past tense, itu menunjukkan kepastian.

Beliau memulakan dengan kata ganti pertama آمَنتُ kemudian beliau menggunakan kata ganti jamak pula رَبِّكُمْ. Aku + kamu = kita. Maka beliau mengingatkan yang kita ini sama sahaja berkongsi Tuhan yang sama. Ada yang mengatakan takkan Lelaki itu berkata kepada penduduk kampung itu kerana mereka tidak beriman, jadi tidak sesuai kalau menggunakan kalimah رَبِّكُمْ. Akan tetapi pendapat ini ditolak kerana walaupun mereka tidak beriman dengan Allah ‎ﷻ, akan tetapi sama sahaja kita ini berkongsi Tuhan yang satu, sama ada kamu beriman atau tidak.

Lelaki itu tidak kata آمَنتُ بِرَبِّي (aku telah beriman dengan Tuhanku) kerana kalau begitu, kaum itu boleh kata, “Kau berimanlah dengan Tuhan kau, kami nak beriman dengan Tuhan kami!” Ini pun salah kerana tidak ada Tuhan selain Allah ‎ﷻ. Begitulah juga ramai salah faham dengan ayat Kaafiroon: 6

لَكُمۡ دِينُكُمۡ وَلِىَ دِينِ
Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.

Salah fahamnya adalah kerana ramai sangka masing-masing ada agama sendiri dan tidak perlu kacau agama orang lain. Seolah-olah tidak boleh hendak berdakwah kepada orang lain kerana mereka sudah ada agama. Padahal maksud لَكُمۡ دِينُكُمۡ وَلِىَ دِينِ adalah: kalian akan dapat balasan daripada agama kalian dan bagiku akan dapat balasan daripada agamaku. Iaitu kamu akan dapat azab dan aku akan dapat nikmat rahmat daripada Allah ‎ﷻ.

Perhatikan juga Lelaki itu tidak kata: آمَنتُ بالله sebaliknya digunakan kalimah رب kerana Tuhanlah yang mencipta dan menjadikan kita semua. Ini selari dengan dakwahnya di dalam ayat 22 وَمَا لِىَ لَآ أَعۡبُدُ ٱلَّذِى فَطَرَنِى (Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku).

Maka begitulah kata pengumuman Lelaki itu kepada kaumnya. Begitu juga sekiranya beliau menjawab pertanyaan para Rasul itu, beliau menegaskan keimanannya (yang beliau pun beriman dengan Tuhan para Rasul itu juga). Kerana Lelaki itu mahu para Rasul itu menjadi saksi atas keimanannya. Dengan menyatakan keimanannya, beliau telah memberi sokongan kepada para Rasul itu. Ada orang yang walaupun mempunyai pandangan yang sama, tetapi mereka takut mereka dilabel sebagai orang yang pelik, maka mereka akan hanya mendiamkan diri sahaja kalau ustaz-ustaz Sunnah ditohmah. Sebab mereka takut dikutuk pula. Ini tidak patut. Kita sebagai penganut agama Islam sepatutnya bantu membantu sesama sendiri. Tugas dakwah perlu dipikul bersama. Ingatlah yang ayat ini diturunkan di Mekah semasa Islam tidak kuat lagi. Islam waktu itu memerlukan sokongan yang kuat.

Begitu juga dalam zaman kita sekarang. Untuk mengamalkan sunnah amat payah sekali kerana rata-rata orang Islam amat jauh daripada Sunnah. Mereka mengamalkan perkara-perkara khurafat, syirik dan bid’ah sepanjang hari mereka. Sampaikan mereka yang mengamalkan Sunnah pula yang dianggap pelik malah ‘sesat’ di mata mereka. Sekarang kita boleh katakan yang golongan sunnah adalah golongan yang tersisih. Macam-macam mereka kata kepada kita. Antara yang popular adalah panggilan ‘Wahabi’. Oleh itu, kita hendaklah bekerjasama dan sokong menyokong antara satu sama lain. Berilah sokongan kepada pendakwah yang hendak menyampaikan ajaran Sunnah kepada masyarakat. Jangan duduk di tepian sahaja melihat siapakah yang akan menang. Ambillah contoh bagaimana Lelaki ini telah membantu para Rasul itu dengan tegas dan yakin. Beliau tidak takut dengan sesiapapun, kerana imannya telah tinggi. Hanya orang yang imannya lemah sahaja yang mendiamkan diri.

Sedih sekali kalau kita lihat zaman sekarang, banyak orang-orang Islam tidak membela Islam. Mereka melihat sahaja bagaimana agama ini dicarik-carik oleh orang lain. Mereka melihat sahaja bagaimana masyarakat mereka sendiri menentang agama Islam. Mereka itu langsung tidak menghormati ajaran-ajaran agama, tetapi kita hanya melihat sahaja. Kadang-kadang orang lihat kita sampai tidak dapat memastikan apakah agama kita. Namanya Muslim, namun amalannya? Fahamannya? Kita sepatutnya menjadi duta agama Islam. Sepatutnya apabila sesiapa melihat kita, mereka dapat melihat keindahan Islam. Malangnya sedih sekali kerana perangai orang Islam sendiri amat buruk. Sampaikan orang bukan Islam tidak nampak keindahan Islam. Apabila mereka melihat kita sebagai contoh pengamal agama Islam, tentu mereka sangka yang Islam bukanlah agama yang baik kerana penganutnya tidak nampak baik.

 

فَاسْمَعُونِ

Maka kamu dengarlah kepadaku.

Lelaki itu mahu mereka mendengar pengakuannya itu supaya mereka menjadi saksi ke atas dirinya. Tidak kiralah sama ada kaumnya atau pun para Rasul itu. Bukan mereka sahaja yang mendengar tetapi Allah ‎ﷻ juga mendengar. Ayat ini mengingatkan kita sekali lagi bahawa Allah ‎ﷻ mendengar segala perkataan kita. Maka jadikan kalimah dakwah lebih banyak lagi daripada kalimah-kalimah lagha di dalam kehidupan kita.

Ada muqaddar juga dalam ayat ini. Apabila beliau bercakap macam itu sahaja, Lelaki itu telah dibunuh dengan dipijak oleh semua orang bandar itu. Sampai pecah perutnya meninggal. Namun sebelum beliau meninggal, beliau sempat memberi peringatan dan nasihat kepada kaumnya itu.


 

Yaasin Ayat 26: Tiba-tiba cerita berkenaan Lelaki itu terputus. Selepas sahaja beliau mati, beliau terus dimasukkan ke dalam syurga. Inilah balasan baik kepada penyebar agama dan orang yang mati syahid. Jadi sesiapa yang mati syahid, mereka itu terus masuk syurga. Hanya dikeluarkan sebentar apabila Kiamat tiba. Itu pun bukan untuk dibicarakan seperti orang-orang lain. Cuma untuk dibacakan apa yang mereka akan terima dan mereka akan masuk semula ke dalam syurga.

Tiga orang Nabi itu, pengikut mereka adalah Lelaki ini sahaja. Maka, ini adalah sebagai tasliah kepada pendakwah. Mungkin tidak ramai yang mahu mendengar apa yang pendakwah hendak sampaikan. Kalau kita dapat pengikut sedikit pun, tidaklah lebih teruk daripada tiga orang Nabi itu yang berkongsi seorang sahaja pengikut.

قيلَ ادخُلِ الجَنَّةَ ۖ قالَ يٰلَيتَ قَومى يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It was said, “Enter Paradise.”1 He said, “I wish my people could know

  • An abrupt transfer to the Hereafter conveys the meaning that the man met a violent death at the hands of the disbelievers and so was martyred for the cause of Allāh.

(MELAYU)

Dikatakan (kepadanya): “Masuklah ke syurga”. Dia berkata: “Alangkah baiknya sekiranya kaumku mengetahui.

 

قِيلَ ادْخُلِ الْجَنَّةَ

Dikatakan (kepadanya): “Masuklah engkau ke syurga”

Pendek sahaja ayat ini yang memberi maksud Lelaki itu telah diberi nikmat dimasukkan ke dalam syurga setelah dibunuh kaumnya. Kerana untuk masuk ke dalam syurga, mestilah kena mati dahulu. Bagaimanakah Lelaki ini dibunuh? Mungkin seperti ancaman kaum itu yang disebut di dalam ayat 18,

لَئِن لَّم تَنتَهوا لَنَرجُمَنَّكُم وَلَيَمَسَّنَّكُم مِّنّا عَذابٌ أَليمٌ
kalau kamu tidak berhenti, tentulah kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai daripada pihak kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya”.

Tidak disebut keadaan para Rasul itu sama ada mereka hidup atau dibunuh sekali dengan Lelaki ini. Ulama’ khilaf sama ada para Rasul boleh dibunuh. Ada yang mengatakan Nabi boleh dibunuh, sedangkan Rasul tidak kerana mereka dipelihara oleh Allah ‎ﷻ. Akan tetapi ada juga pendapat yang mengatakan para Rasul juga boleh dibunuh dan mereka berdalilkan kepada ayat Ali Imran: 183,

قُلْ قَدْ جَاءَكُمْ رُسُلٌ مِّن قَبْلِي بِٱلْبَيِّنَٰتِ وَبِالَّذِي قُلْتُمْ فَلِمَ قَتَلْتُمُوهُمْ إِن كُنتُمْ صَٰدِقِينَ
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya telah datang kepada kamu beberapa Rasul dahulu daripadaku dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan dengan (korban) yang kamu katakan itu. Jadi kenapa kamu membunuh mereka, jika kamu orang-orang yang benar (dalam yang kamu dakwakan itu)?

Ayat ini memberi peringatan kepada para sahabat dan para pendakwah, keberanian menyatakan kebenaran boleh menyebabkan nyawa mereka terancam. Orang yang jahat dan ada kuasa kalau tidak boleh berhujah, mereka akan guna kekerasan dan mungkin ke tahap membunuh pendakwah. Ini biasa sahaja berlaku zaman dahulu sehinggalah ke zaman sekarang dan di masa hadapan.

Akan tetapi sekiranya mati di dalam berdakwah, mati itu adalah mati syahid dan akan mendapat balasan hebat daripada Allah ‎ﷻ di mana akan dimasukkan terus ke dalam syurga. Begitulah yang terjadi kepada Lelaki itu. Lepas mati sahaja, iaitu selepas beliau dibunuh oleh kaumnya, Lelaki itu telah dimasukkan terus ke dalam syurga. Kalimah dalam ayat ini dikatakan oleh malaikat untuk menjemput dan menyambut Lelaki ini ke dalam syurga. Ini adalah kerana beliau mati dalam membela agama.

Yang penting jangan takut menyatakan kebenaran. Mati memang semua orang akan mati, namun lebih baik mati di dalam iman dan melakukan kerja dakwah kerana boleh terus masuk ke dalam syurga. Takut dan risau memang semua akan ada, kerana ia sifat biasa bagi manusia. Namun iman mesti lebih kuat daripada sifat takut itu. Jangan kerana takut, kita tidak sampaikan kebenaran. Ini menjadi ujian yang paling besar kepada pendakwah kerana ramai yang takut bercakap; takut orang marah, kutuk, hina dan pulau nanti. Namun ingatlah yang kita kena ada sifat berani dan hilangkan sifat pengecut. Ada doa yang boleh kita amalkan supaya Allah ‎ﷻ hilangkan perasaan takut itu,

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ، وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أُرَدَّ إِلَىٰ أَرْذَلِ الْعُمُرِ
“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut, dan aku berlindung kepada-Mu daripada dikembalikan ke usia yang paling hina (nyanyuk/tua lemah).”
Riwayat al-Bukhari (2822), Muslim (2706)

Inilah dalil yang mengatakan orang yang mati syahid akan terus masuk syurga tanpa hisab. Dihilangkan daripadanya penyakit dan kedukaan dunia. Segala dosa mereka diampunkan semuanya oleh Allah ‎ﷻ. Mereka tidak masuk alam kubur, terus mereka masuk ke dalam syurga. Alangkah indahnya. Akan tetapi siapa yang berhutang termasuk mereka yang mati syahid, roh mereka akan tergantung-gantung tidak dapat masuk syurga terus. Ini seperti disebut di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Rasulullah ﷺ bersabda:

“يُغْفَرُ لِلشَّهِيدِ كُلُّ شَيْءٍ إِلَّا الدَّيْنَ”
“Segala dosa orang yang mati syahid akan diampuni, kecuali hutang.”
(Riwayat Muslim No. 1886)

Juga disebut di dalam hadith yang lain,

“نَفْسُ المُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ”
“Roh seorang mukmin tergantung kerana hutangnya hingga hutang itu dilunasi untuknya.”
(Jami’ Tirmidzi No. 1078, hasan sahih)

Jadi, jagalah hutang-hutang kita dengan orang. Kalau kita ada berhutang, pastikan kita bayar balik hutang itu.

Dalam Al-Qur’an tidak disebutkan bagaimana Lelaki itu dibunuh. Tiba-tiba bermula ayat ke 25 tadi, terus masuk ke ayat 26 ini, beliau disuruh masuk ke dalam syurga. Ini adalah salah satu keindahan Al-Qur’an. Al-Qur’an tidak menceritakan satu persatu kejadian sesuatu peristiwa itu. Apabila tidak perlu, ia tidak perlu disebut kerana akan menjadi panjang pula Al-Qur’an nanti. Kita pun ada buat begitu juga. Selalu kita lihat dalam filem, bagaimana di permulaan filem itu, ditunjukkan seorang budak. Kemudian dalam babak seterusnya, dia sudah membesar menjadi remaja. Walaupun tidak ditunjukkan dia membesar, tetapi kita tahu bahawa dia adalah budak yang sama dalam babak yang awal tadi.

Jadi kita kena tahu yang Lelaki itu telah dibunuh oleh kaumnya, kerana beliau telah mengumumkan keislaman dan keimanannya secara terbuka. Mereka marah sangat sampaikan mereka bunuh beliau dan ada pendapat yang mengatakan mereka bunuh para Rasul itu juga.

Ayat ini juga menjadi antara dalil menunjukkan bahawa syurga itu telah ada. Sedang menunggu sahaja sesiapa yang layak masuk ke dalamnya untuk memasukinya. Ini menolak pendapat yang mengatakan, syurga itu hanya akan dibuat apabila telah selesai pengadilan.

Akan tetapi ada juga yang mengatakan tidaklah Lelaki ini dan orang yang mati syahid terus masuk ke dalam syurga. Ini kerana yang pertama sekali masuk ke dalam syurga adalah Nabi Muhammad ﷺ, dalilnya,

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ أَنَا أَوَّلُ مَنْ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ
Daripada Anas رَضِيَ اللهُ عَنْهُ beliau berkata, Rasulullah ﷺ telah bersabda, “Aku adalah orang yang pertama masuk syurga.”
(Riwayat Muslim No. 197)

Jadi yang dikatakan beliau dijemput masuk ke dalam syurga itu bermaksud alam kubur dan di dalam kubur juga boleh menjadi taman-taman syurga bagi orang Mukmin seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رضي الله عنه، عَنِ النَّبِيِّ ﷺ، قَالَ إِنَّمَا الْقَبْرُ رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الْجَنَّةِ، أَوْ حُفْرَةٌ مِنْ حُفَرِ النَّارِ
Daripada Abu Said Al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ beliau berkata, Rasulullah ﷺ telah bersabda,
“Sesungguhnya kubur itu adalah taman dari taman-taman syurga, atau lubang dari lubang-lubang neraka.”
(Jami’ Tirmidzi No. 2460, Ahmad, dan lainnya – dinilai hasan oleh Al-Albani)

 

قالَ يٰلَيتَ قَومى يَعلَمونَ

Dia berkata: “Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui;”

Lelaki itu telah mati maka kalimat ini adalah kata-katanya dari dalam syurga. Walaupun beliau telah dibunuh dengan kejam, tidaklah beliau memminta Allah ‎ﷻ balas dendam kepada kaumnya itu. Malah beliau masih lagi mengenangkan nasib kaumnya itu. Beliau benar-benar berharap kalaulah boleh umatnya mengetahui apa yang beliau telah alami itu. Kalimah يٰلَيتَ di dalam bahasa Arab ialah kalimah yang mengharap sesuatu yang tidak terjadi lagi. Kita terjemah di sini menjadi ‘alangkah baiknya’, atau ‘ah sayang sekali’ supaya mendekati maksud lelaki itu.

Beliau berkata ini setelah melihat segala kenikmatan di dalam syurga itu. Entah berapa banyak nikmat yang beliau sedang lihat dan terpesona. Apa yang telah dijanjikan kepadanya, telah beliau nampak dan beliau berharap sangat kaumnya pun nampak benda itu. Ini kerana kalau mereka tahu apa yang beliau dapat, tentulah mereka tidak akan menentang para Rasul itu dan tentu mereka akan beriman sebenarnya dengan Allah ‎ﷻ dan tidak melakukan syirik. Tentulah mereka tidak menjadi sesat dan melakukan syirik. Apalah sangat yang mereka kejar di dunia dengan dibandingkan dengan balasan di syurga yang beliau sedang nikmati itu. Lihatlah beliau masih lagi memikirkan tentang nasib kaumnya walaupun beliau telah masuk syurga. Ini adalah kerana kalimah yang digunakan adalah dalam bentuk mudhari‘ يَعلَمونَ dan bukannya dalam bentuk fi’il madhi اعلموا kerana kaumnya itu masih hidup.

Ma sha Allah, lihatlah keikhlasan hati Lelaki ini. Walaupun dalam syurga, beliau masih lagi hendak berdakwah kepada kaumnya. Ini adalah kerana beliau sangat prihatin dan sayang kepada kaumnya. Itulah kita telah katakan dalam berdakwah kena ada sifat rahmah. Kena ada rasa kasih sayang terhadap sesama insan. Ada disebut di dalam hadith,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو، يَبْلُغُ بِهِ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ الرَّحْمَنُ ارْحَمُوا أَهْلَ الأَرْضِ يَرْحَمْكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ ‏”
DaripadaAbdullah ibn Amr ibn al-‘As: Rasulullah ﷺ bersabda: Yang Maha Pengasih mengasihani orang-orang yang penyayang. Jika kamu menaruh belas kasihan kepada yang ada di bumi, nescaya Dia yang di langit akan mengasihani kamu.
(Sunan Abi Dawud No. 4941 disahihkan oleh Albani)

Kita hendaklah kenalkan benda yang baik kepada orang yang kita kenal. Sebagaimana kita suka makanan di sesuatu restoran maka kita beritahu kepada orang yang kita suka, maka apakah yang lebih baik daripada agama yang benar? Kalau kita sudah jumpa dan sudah faham, kita juga mesti suka untuk sampaikan kepada orang yang kita kenal, sebagaimana disebut di dalam sebuah hadith,

عَنْ أَبِي حَمْزَةَ أَنَسٍ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ – خَادِمِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: ” لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ ” رَوَاهُ البُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ
Daripada Abu Hamzah Anas bin Malik رَضِيَ اللهُ عَنْهُ, pembantu Rasulullah ﷺ, daripada Nabi ﷺ bersabda, “Salah seorang di antara kalian tidaklah beriman (dengan iman sempurna) sampai dia mencintai untuk saudaranya sebagaimana dia mencintai untuk dirinya sendiri.” 
(HR. Bukhari No. 13 dan Muslim No. 45)

Inilah termasuk dalam ikhlas yang Allah ‎ﷻ suka. Kita selalu sebut ikhlas, kena ikhlas, tetapi apakah maksudnya? Kalau kita hendak kebaikan bagi orang lain, itu pun ikhlas juga. Bukanlah ikhlas itu hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja akan tetapi kepada makhluk kita pun kita boleh ikhlas. Perhatikan hadith yang dimasukkan oleh Imam Nawawi رَحِمَهُ اللَّهُ juga ke dalam kumpulan Hadith Arbain beliau,

عَنْ أَبِي رُقَيَّةَ تَمِيْم الدَّارِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ   وَسَلَّمَ قَالَ : الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ . قُلْنَا لِمَنْ ؟ قَالَ : لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُوْلِهِ وَلأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِيْنَ وَعَامَّتِهِمْ .
Daripada Abu Ruqaiyyah Tamim ibn Aus al-Daarie رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Nabi ﷺ telah bersabda: Agama itu adalah nasihat. Kami bertanya: Untuk siapa? Baginda bersabda: Untuk Allah, untuk kitab-Nya, untuk Rasul-Nya, untuk para imam kaum muslimin dan untuk umat lslam seluruhnya.
(Hadith Riwayat Muslim No. 55)

Syarah: ‘nasihat’ di dalam hadith ini bukanlah bermaksud nasihat di dalam bahasa kita. Ia bermaksud ikhlas. Ikhlas di sini adalah bermaksud mahukan kebaikan kepada umat Islam. Perhatikan ada beberapa jenis ikhlas disebut di sini, bukan ikhlas kerana Allah ‎ﷻ sahaja tetapi ada ikhlas untuk Rasul, pemimpin umat Islam dan juga kepada umat Islam secara umum. Perhatikan sebuah lagi hadith yang masyhur untuk penjelasan lagi.

Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

أَنَّ امْرَأَةً بَغِيًّا رَأَتْ كَلْبًا فِي يَوْمٍ حَارٍّ يُطِيفُ بِبِئْرٍ، قَدْ أَدْلَعَ لِسَانَهُ مِنَ الْعَطَشِ، فَنَزَعَتْ لَهُ بِمُوقِهَا فَغُفِرَ لَهَا
“Seorang wanita yang melacur telah melihat seekor anjing pada suatu hari yang panas sambil mengelilingi sebuah perigi. Anjing tersebut juga menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Wanita tersebut menanggalkan kasutnya lalu memberinya minum maka telah diampunkan dosanya”.
(Riwayat Muslim No. 2245)

Syarah: perhatikan wanita ini telah diampunkan dosanya kerana perbuatannya yang ikhlas terhadap anjing itu. Dia melihat anjing itu dan tersentuh hatinya dan dia menolong tanpa mengharapkan balasan apa-apa daripada anjing itu yang tidak boleh beri apa-apa pun. Adakah dia buat perkara itu kerana Allah ‎ﷻ? Dia bukanlah ustazah tetapi seorang pelacur jadi kita boleh katakan yang tidaklah dia semasa memberi air itu kepada anjing itu dia berniat: “Aku beri air kepada anjing ini kerana Allah”; mungkin tidak. Yang dia ikhlas adalah terhadap anjing itu dan Allah ‎ﷻ memberitahu dia kerana perbuatannya itu dia telah diampunkan dosanya.

Begitulah contoh yang kita boleh lihat pada Lelaki ini. Dalam syurga pun masih teringat kaumnya lagi dan berharap kaumnya tahu kebenaran. Kerana dia ada sifat ikhlas dalam dirinya. Ini mengajar kita bahawa sifat rahmah, sayang dan ikhlas kepada umat manusia adalah sifat ahli syurga. Jadi kena pupuk sifat itu kalau hendak ke syurga. Jangan asyik hendak benci dan marah-marah kepada orang sahaja kerja kita. Ramai bukan yang sebegitu? Kita tengok muka dia pun bengis sahaja, ada sahaja tidak kena dengan orang lain, ada sahaja benda yang dia marah, dia kritik dia cemuh.

Lelaki itu mahu berdakwah lagi kepada kaumnya itu akan tetapi tidak mungkin beliau dapat kembali ke dunia untuk berdakwah lagi. Ini kerana apabila sudah meninggalkan alam dunia, tidak boleh ada urusan dengan alam dunia lagi. Kerana itu kita katakan, para Nabi dan wali tidak ada hubungan lagi dengan kita kerana mereka sudah di alam lain. Janganlah lagi berharap mereka boleh mendengar doa kita, membantu kita walau dengan apa cara sekali pun. Hentikanlah kerja mengarut pergi ke kubur-kubur wali kononnya hendak minta tolong kepada mereka. Kebodohan apakah ini yang dilakukan oleh orang-orang yang dianggap sebagai orang alim dalam kalangan kita?

Begitulah pendirian dakwah yang kena ada dalam hati kita. Kita bukan hanya semata-mata menyampaikan hujah kita kepada manusia, tetapi kita sebenarnya mahukan supaya mereka kembali kepada Islam. Kita mahu supaya mereka mengamalkan Islam berdasarkan Al-Qur’an dan Sunnah. Jangan kita cuma beri sahaja dakwah kepada mereka dan rasa kerja kita sudah selesai. Kita kena sedaya upaya berusaha supaya mereka menerima dakwah kita. Kalau dengan cara pertama tidak berjaya, kita cuba dengan cara lain. Ada orang yang tidak faham, mereka cuma cakap sekali sahaja, dan mereka terus kata: “Aku dah berhujah dengan dia, dia yang tak mahu terima.”

Memang tugas kita berdakwah sahaja, sama ada mereka terima atau tidak, bukan urusan kita. Itu adalah urusan Allah ‎ﷻ. Walaupun begitu, kita hendaklah ada keinginan dalam hati kita supaya mereka menerima hidayah kita kerana kita sayangkan mereka. Lihatlah bagaimana Nabi Muhammad ﷺ sampai menangis-nangis kerana umatnya tidak menerima dakwahnya. Ini kerana baginda amat sayang dan prihatin kepada umat baginda. Kalau baginda hanya memikirkan tentang menyampaikan dakwah sahaja, memang baginda telah sampaikan, jadi kenapa pula hendak bersedih, bukan? Namun kita tahu bagaimana susahnya hati baginda kerana baginda mahu sangat supaya umatnya menerima Islam.

Itulah semangat yang ada pada Lelaki ini yang kisahnya kita telah baca dengan panjang lebar. Namanya tidak disebut di dalam Al-Qur’an, tetapi kata-katanya disemadikan dalam Al-Qur’an, dan dibaca hingga ke hari Kiamat. Begitulah, kadang-kadang usaha dakwah kita, kita tidak dapat melihatnya semasa di dunia. Namun In sha Allah kita akan dapat melihatnya di akhirat kelak. Jadi jangan risau kalau tidak ada orang yang ikut dakwah kita. Lihatlah Lelaki ini pun tidak disebut yang ada orang yang ikut beriman dengannya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 11 Mei 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Yaasin Ayat 24 – 26 (Mati syahid terus masuk syurga)”

  1. Subhanallah, Alhamdulilah.. syukur hanya sedikit yg saya pelajari tetapi saya dapat banyak makna dalam ayat ini dalam memberi makna & warna dalam kehidupan. Insha Allah semoga saya dapat kekal bersemangat utk mengkhatamkan pembacaan saya bersama Celik Tafsir ini. AMIN

    Like

  2. sesungguhnya ilmu al Quran itu benar.. Air yg terbaik utk diminum adalah air bawah tanah.. Iaitu mineral.. Lengkap segala manfaat dlm air tersebut.. Makanlah buah buahan.. Sesungguhnya buah buahan cukup utk membantu kesihatan manusia

    Like

Leave a reply to Rosmina Syaiful Cancel reply