ARAH KIBLAT YANG BARU
Baqarah Ayat 142: Alhamdulillah, kita sudah mula masuk dalam Juzuk Kedua. Di dalam juzuk kedua ini terus dilanjutkan pembetukan masyarakat Muslim yang menjadi khalifah di muka bumi ini. Dan untuk memenuhi tugas yang berat itu dimatangkanlah terlebih dahulu akidah, atau kepercayaan yang akan menjadi pegangan hidup. Di dalam juzuk 1 kita telah banyak membaca tempelak Tuhan terhadap Bani Israil dan kesimpulan bagi kita adalah: janganlah jadi seperti mereka. Di hujung Juzuk 1 kita telah berkenalan dengan Nabi Ibrahim dan permulaan Juzuk ke 2 ini disambung perkara yang ada kaitan dengan baginda iaitu tentang kiblat. Kerana Ka’bah itu telah dibina oleh baginda dan sekarang akan disebut yang Ka’bah itu akan menjadi kiblat.
Dari ayat ini sehingga ke ayat 283 adalah Perenggan Makro Ketiga surah ini. Tetapi boleh dipecahkan lagi: Ayat 142 – 152 adalah Perenggan Makro tentang Perlantikan Umat Wasato (Umat Pertengahan). Ia akan menceritakan tentang penukaran Kiblat. Dan kita akan belajar bagaimana Kiblat akan dibebaskan daripada berhala dan amalan syirik.
Manusia hendaklah menerima Islam keseluruhannya. Kita kena mengambil syariat Rasul terakhir untuk menjadi umat terpilih dan menjadi contoh kepada manusia seluruh dunia. Ini termasuk cara berekonomi, politik dan bernegara. Oleh itu bahagian ini banyak mengandungi hukum-hakam syariat terakhir yang diturunkan kepada umat baru yang terpilih. Bukan lagi kepada Bani Israil tetapi kepada sekarang kepada Bani Ismail. Kaum Arab akan menjadi khalifah kepimpinan umat manusia menggantikan kaum Yahudi. Dan di dalam Juzuk 2 ini adalah keadaan umat Islam sudah ada negara dan dapatlah menegakkan dan mengamalkan agama Islam dengan sepenuhnya yang mereka tidak dapat lakukan ketika di Mekah dahulu. Sudah tidak perlu mengamalkan agama dengan sembunyi-sembunyi lagi.
Antara mesej penting juga ialah kepentingan infaq dan jihad. Untuk menyebarkan tauhid, menegakkan hukum-hakam dan syariat Islam hanya boleh dilaksanakan dengan adanya kekuasaan Islam. Itulah kena ada Negara Islam. Maka ada banyak seruan yang menyatakan umat Islam kena infaq, korban masa, tenaga, jihad perang untuk menegakkan Negara Islam. Malah kita akan bertemu perintah mengerjakan Haji, bahaya minuman keras dan perjudian dan peraturan berkenaan dengan membentuk rumahtangga, tentang kahwin, talak, rujuk, iddah, sampai kepada meminang, sampai kepada cara bergaul suami-isteri; semuanya itu peraturan yang selalu berpokok dan berpangkal daripada akidah dan hubungan takwa kepada Allah.
Allah mulakan dengan berbincang berkenaan dengan kiblat. Ini adalah perkara yang penting, kerana ada yang jatuh syirik berkenaan kiblat. Ini kerana ada yang kata kita sembah hajarul aswad. Kalau kita tidak faham tentang perkara ini, ada kemungkinan kita pun boleh terkeliru dan tertipu dengan dakyah daripada agama-agama lain. Sebenarnya tidak ada apa dengan batu itu. Kalau kita sangka kita mengadap kiblat sama seperti mengadap berhala, maka kita boleh kufur. Sebab itu ada orang kafir ada yang berkata kita sembah batu dan kalau kita mengiyakan kata mereka itu, maka kita akan jatuh kafir. Ada enam ayat Al-Qur’an tentang kiblat yang diturunkan kepada kita. Allah ﷻ menurunkan banyak ayat berkenaan dengannya kerana ini adalah perkara besar dan sangat penting, maka ia perlu dijelaskan dengan betul. Sebab kalau tidak dijelaskan, manusia akan nampak seolah-olah kita semua sembahyang mengadap Hajarul Aswad pula.
Agama lain tidak ada wahyu turun atau arahan dari Tuhan untuk mereka mengadap mana-mana arah dalam ibadat mereka kecuali apa yang dikatakan oleh guru-guru mereka. Tetapi lain dengan kita kerana kita menghadap kiblat Ka’bah kerana ia adalah arahan daripada Allah ﷻ. Kita menghadap Kiblat di Ka’bah itu kerana itu adalah arahan Allah ﷻ. Kita menghadap ‘arah’, bukannya kita menghadap batu itu. Kalaulah Allah suruh kita mengadap pelbagai arah pun kita kena buat. Contohnya untuk qiyam mengadapap Ka’bah, kemudian rukuk kena mengadap BaitulMaqdis pula, maka kita tetap kena lakukan kerana ia adalah arahan Allah. Kita dengar dan kita taat.
Ayat ini juga adalah sebagai isyarat bahawa Nabi Muhammad ﷺ sudah kena memisahkan diri baginda daripada Bani Israil. Mereka telah diberi peluang untuk mengikut baginda dan masuk Islam serta berjuang bersama-sama baginda dalam menegakkan agama Allah ﷻ. Tetapi mereka tidak mengambil peluang itu. Sebelum ini ada persamaan antara Bani Israil dan orang Islam kerana mereka menghadap kiblat yang sama (BaitulMaqdis). Tetapi apabila ditukar nanti, bermakna telah ada pemisahan antara mereka dan kita.
Allah ﷻ suruh ubah kiblat ke Mekah kerana ia adalah kiblat asal Nabi Ibrahim عليه السلام. Dan puak Ahli Kitab pun mengagungkan juga baginda, jadi sepatutnya tidak ada masalah dengan arah ini. Akan tetapi kita akan lihat mereka mengutuk pula Nabi Muhammad kerana mereka tuduh baginda memandai-mandai ubah arah kiblat yang Allah telah tetapkan. Dan Mekah pula memang pusat dunia. Oleh itu, ia amat sesuai menjadi kiblat sepanjang zaman.
سَيَقولُ السُّفَهاءُ مِنَ النّاسِ ما وَلَّٮٰهُم عَن قِبلَتِهِمُ الَّتي كانوا عَلَيها ۚ قُل لِّلَّهِ المَشرِقُ وَالمَغرِبُ ۚ يَهدي مَن يَشاءُ إِلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ
The foolish among the people will say, “What has turned them away from their qiblah, which they used to face?” Say, “To Allah belongs the east and the west. He guides whom He wills to a straight path.”
Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: “Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Timur dan barat adalah kepunyaan Allah – (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah yang memberikan petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus”.
سَيَقُولُ السُّفَهَاءُ مِنَ النَّاسِ
Akan berkata orang-orang yang bodoh daripada kalangan manusia;
Ayat ini turun sebelum ditukarkan lagi kiblat itu. Sebab itu dikatakan ‘akan berkata’ orang-orang yang bodoh. Sebelum mereka cakap lagi Allah ﷻ sudah beritahu apa yang mereka akan kata. Ini adalah sebagai persiapan mental kepada Nabi Muhammad dan para sahabat. Orang-orang bodoh yang berkata begitu adalah orang Yahudi dan orang Munafik yang berada di Madinah semasa itu. Juga boleh dimasukkan golongan Musyrikin Mekah kerana mereka pun sibuk juga dalam hal ini. Mereka kata ini Muhammad hendak balik ke agama nenek moyanglah sebab itu tukar kiblat ke Ka’bah.
Ini kerana ayat ini adalah sambungan dari ayat-ayat sebelum ini tentang puak Yahudi itu. Kerana itulah permulaan ayat ini tidak dimulai dengan harf و yang menjadi tanda masuk kepada topik yang baru. Oleh kerana itu السُّفَهَاءُ di dalam ayat ini antara lain merujuk kepada golongan Yahudi. Tapi Allah tidak sebut nama mereka, hanya disebut السُّفَهَاءُ kerana hendak menekankan yang itulah sifat mereka. Tapi kita tahu kerana kesinambungan ayat ini dari ayat-ayat tentang mereka sebelum ini.
Akan berkata golongan bodoh itu daripada golongan Yahudi, Munafik dan Musyrikin. Allah ﷻ panggil mereka golongan ‘yang bodoh’. Maksud السُّفَهَاءُ adalah orang-orang yang lemah akalnya, atau yang melakukan sesuatu tanpa dasar, sama ada kerana memang tidak tahu atau tahu, tapi sengaja tidak ikut. Ini kerana mereka berkata itu dalam nada mengejek: “Kenapa tukar-tukar?” Mereka kata Islam adalah agama yang tidak tetap. “Agama apa ini, boleh tukar-tukar pula?” Begitulah lebih kurang kata-kata mereka. Memang orang bodoh akan berkata tak fikir dahulu sebelum bercakap, pakai cakap apa sahaja yang lalu di kepala mereka yang dangkal. Begitulah yang kita lihat di dalam media sosial apabila ada perbincangan agama. Ramai yang tidak ada ilmu, tapi nak komen ikut otak mereka sahaja.
Ini adalah pujukan (tasliah) kepada Nabi Muhammad. Allah hendak pujuk supaya jangan kisahlah kata-kata orang bodoh itu. Ini macam kita kena kritik dalam dakwah Sunnah kita. Akan banyak yang akan kritik kita, sudah tentu punya. Tapi kalau yang kritik itu keyboard warrior di FB yang hingusan dan kita pun tahu mereka itu tidak ada ilmu, tak payahlah kita nak pening kepala. Memang itu sudah kerja mereka. Seperti banyak sahaja yang kritik tulisan saya di blog ini tapi apabila saya minta hujah, mereka krik krik sahaja kerana memang tidak ada hujah. Lainlah kalau yang kritik itu kita dengar seorang ustaz dan dia dihormati kerana ilmunya, maka kita kena periksa baliklah apa yang kita tulis. Tapi kalau budak-budak dan ustaz kampung yang kritik, tak payah kisahlah.
Apakah kata-kata orang bodoh itu? Ada yang berkata bahwa peralihan kiblat ini ialah kerana Muhammad itu berfikir kurang matang, sebentar menghadap ke sana sebentar menghadap ke mari. Dan ada pula yang berkata bahawa Muhammad hendak mengajak manusia kembali kepada agama nenek-moyangnya. Sebab di waktu itu di Ka’bah masih didapati berhala-berhala. Semuanya ini adalah lidah yang tidak bertulang. Maka di dalam ayat ini Nabi diberi peringatan, bahawa sebagaimana sudah terbiasa, apabila seorang Rasul atau pemimpin membuat suatu perubahan baru, sudah pasti akan ada ribut-ribut. Tetapi ribut-ribut hanya akan datang dari orang’ orang bodoh, orang yang tidak bertanggungjawab. Samalah kalau kita lihat perbahasan agama di media sosial. Kita perhatikan ramai sahaja orang jahil akan sibuk komen padahal mereka tidak ada asas di dalam agama. Tidak berilmu, tapi masih tetap hendak beri komen.
Allah beritahu kepada Nabi Muhammad yang baginda akan berhadapan dengan kata-kata orang bodoh. Jadi tidak perlu acuhlah kepada kata-kata mereka. Letih kalau hendak melayan kata-kata orang bodoh. Imam Syafi’i berkata :
ﺍﺫَﺍ ﻧﻄَﻖَ ﺍﻟﺴَّﻔِﻴْﻪُ ﻭَﺗُﺠِﻴْﺒُﻬُﻔَﺦٌﺮْﻳَ ﻣِﻦْ ﺍِﺟَﺎﺑَﺘِﻪِ ﺍﻟﺴُّﻜُﻮْﺕُ
Apabila orang bodoh mengajak berdebat denganmu, maka sikap yang terbaik adalah diam, tidak melayan
ﻓﺎِﻥْ ﻛَﻠِﻤَﺘَﻪُ ﻓَﺮَّﺟْﺖَ ﻋَﻨْﻬُﻮَﺍِﻥْ ﺧَﻠَّﻴْﺘُﻪُ ﻛَﻤَﺪًﺍ ﻳﻤُﻮْﺕُ
Apabila kamu melayani, maka kamu akan susah sendiri. Dan bila kamu berteman dengannya, maka dia akan selalu menyakiti hati
ﻗﺎﻟُﻮْﺍ ﺳﻜَﺖَّ ﻭَﻗَﺪْ ﺧُﻮْﺻِﻤَﺖْ ﻗُﻠْﺖُ ﻟَﻬُﻤْﺎِﻥَّ ﺍﻟْﺠَﻮَﺍﺏَ ﻟِﺒَﺎﺏِ ﺍﻟﺸَّﺮِ ﻣِﻔْﺘَﺎﺡُ
Apabila ada orang bertanya kepadaku, jika ditentang oleh musuh, apakah engkau diam?? Jawabku kepadanya : Sesungguhnya untuk menangkal pintu-pintu kejahatan itu ada kuncinya
ﻭﺍﻟﺼﻤْﺖُ ﻋَﻦْ ﺟَﺎﻫِﻞٍ ﺃَﻭْ ﺃَﺣْﻤَﻖٍ ﺷَﺮَﻓٌﻮَﻓِﻴْﻪِ ﺃَﻳْﻀًﺎ ﻟﺼﻮْﻥِ ﺍﻟْﻌِﺮْﺽِ ﺍِﺻْﻠَﺎﺡُ
Sikap diam terhadap orang bodoh adalah suatu kemuliaan. Begitu pula diam untuk menjaga kehormatan adalah suatu kebaikan.
مَا وَلَّٮٰهُم عَنْ قِبْلَتِهِمُ الَّتِي كَانُوا عَلَيْهَا
“Apakah yang menyebabkan mereka berpaling dari kiblat mereka yang dulu hadap?”
Kalimah قِبلَةَ dari kata dasar ق ب ل yang bermaksud menerima, jumpa seseorang, mengadap seseorang atau sesuatu, tunjuk persetujuan, dan banyak lagi. Kita pun sudah tahu maksud kiblat ini. Dulu Nabi ﷺ mengadap kiblat di Baitulmaqdis dalam salat, tetapi selepas itu Nabi ﷺ diperintahkan Allah ﷻ untuk menghadap ke Mekah. Jadi, orang-orang yang bodoh mengatakan kenapakah Nabi ﷺ dan sahabat-sahabat berpindah kiblat?
Kiblat BaitulMaqdis juga adalah kiblat Yahudi. Di awal hijrah umat Islam di Madinah, kiblat masih lagi mengadap ke arahnya seperti disebut di dalam hadith yang direkodkan daripada al-Bara bin ‘Azib RA:
عَنْ الْبَرَاءِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى إِلَى بَيْتِ الْمَقْدِسِ سِتَّةَ عَشَرَ شَهْرًا أَوْ سَبْعَةَ عَشَرَ شَهْرًا وَكَانَ يُعْجِبُهُ أَنْ تَكُونَ قِبْلَتُهُ قِبَلَ الْبَيْتِ وَأَنَّهُ صَلَّى أَوْ صَلَّاهَا صَلَاةَ الْعَصْرِ وَصَلَّى مَعَهُ قَوْمٌ فَخَرَجَ رَجُلٌ مِمَّنْ كَانَ صَلَّى مَعَهُ فَمَرَّ عَلَى أَهْلِ الْمَسْجِدِ وَهُمْ رَاكِعُونَ قَالَ أَشْهَدُ بِاللَّهِ لَقَدْ صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قِبَلَ مَكَّةَ فَدَارُوا كَمَا هُمْ قِبَلَ الْبَيْتِ وَكَانَ الَّذِي مَاتَ عَلَى الْقِبْلَةِ قَبْلَ أَنْ تُحَوَّلَ قِبَلَ الْبَيْتِ رِجَالٌ قُتِلُوا لَمْ نَدْرِ مَا نَقُولُ فِيهِمْ فَأَنْزَلَ اللَّهُ { وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَانَكُمْ إِنَّ اللَّهَ بِالنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَحِيمٌ }
Dari Al Bara’ radliallahu ‘anhu bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam salat dengan menghadap ke Baitul Maqdis selama enam belas atau tujuh belas bulan. Dan baginda menyukai jika kiblatnya menghadap ke arah Ka’bah. Kemudian baginda pun salat Asar bersama sekelompok para sahabat dengan menghadap ke arah kiblat. Setelah itu salah seorang dari sahabat tersebut keluar dan melalui kaum muslimin di sebuah masjid yang pada waktu itu mereka sedang ruku. Sahabat tadi berkata; Aku bersaksi kepada Allah, sungguh aku telah salat bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dengan menghadap kiblat. Mereka pun segera berputar dalam keadaan salat menghadap ke arah kiblat. Ada beberapa orang yang telah meninggal dengan menghadap ke arah kiblat pertama yang kami tidak tahu apa yang harus kami katakan mengenai hukumnya bagi mereka tersebut. Maka Allah pun menurunkan ayat; “Dan Allah tidak akan menyia-nyiakan keimanan kalian, sesungguhnya Allah maha pengasih lagi maha penyayang kepada manusia.” (Al Baqarah: 143).
Sahih Bukhari (4126)
Golongan Yahudi mencemburui Kiblat Ka’bah kerana ia adalah satu kelebihan yang Allah berikan kepada umat Islam. Ini kita dapat tahu dari hadith yang diriwayatkan dari Ummum Mukminin Aisyah r.a. katanya Rasulullah saw bersabda :
إنَّهم لا يَحسُدونا على شيءٍ كما يَحسُدونا على يومِ الجمُعةِ التي هَدانا اللهُ لها، وضَلُّوا عنها، وعلى القِبلةِ التي هَدانا اللهُ لها، وضَلُّوا عنها، وعلى قولِنا خلفَ الإمامِ: آمينَ
“Sesungguhnya kaum Yahudi itu tidak hasad kepada kita atas suatu yang lebih mereka hasad yakni:
– Hasad mereka akan hari Jumaat yang Allah anugerahkan. kepada kita dan mereka telah mengkufuri pemberian Allah.
– Hasad mereka akan kiblat yang Allah anugerahkan kepada kita dan mereka telah sesat padanya.
– Hasad pada ucapan amin kita ketika solat di belakang imam.”
1. Imam Bukhari (6395)
2. Imam Muslim (2165)
3. Imam Tirmizi (2701)
4. Imam Nasaie (10213)
5. Imam Ibnu Majah (856)
6. Imam Ahmad (25029)
Telah jelas kepada kita bahawa semasa di Madinah, Nabi dan para sahabat mengadap ke BaitulMaqdis. Tapi kita tahu bahawa perintah solat telah diberi semasa Isra’ Mi’raj iaitu semasa Nabi berada di Mekah. Kiblat apakah yang dihadap mereka semasa di Mekah? Ada Tiga pendapat:
-
- Mengadap Ka’bah juga waktu itu. Sebab tiada riwayat yang mengatakan masyarakat Arab kritik Nabi berkenaan hal kiblat. Kalau mengikut pendapat ini, hanya apabila di Madinah sahaja mereka berkiblatkan BaitulMaqdis.
- Sudah mengadap BaitulMaqdis tapi Nabi mengadap Ka’bah juga di dalam masa yang sama. Maknanya, Nabi dan para sahabat buat allignment supaya mengadap dua-dua kiblat di dalam satu masa ketika solat. Tapi pendapat ini tidak kuat. Kerana kedudukan rumah sahabat tidak begitu. Rumah mereka berselerak, jadi susah kalau kita kata mereka mengadap dua-dua kiblat. Banyak kemusykilan boleh ditimbulkan dalam pendapat ini.
- Mereka hanya mengadap BaitulMaqdis sahaja. Ini adalah kerana waktu itu Ka’bah ada banyak berhala jadi untuk membezakan antara Muslim dan kafir. Dan apabila hijrah ke Madinah, mereka terus sambung mengadap BaitulMaqdis selama 16/17 bulan.
Oleh kerana perbezaan pendapat ini, maka kalimat كَانُوا عَلَيْهَا boleh ditafsirkan dengan dua cara. Sama ada ia merujuk kepada BaitulMaqdis atau ia boleh merujuk kepada Ka’bah.
Apa-apa pun, kita boleh lihat bahawa arahan mengadap BaitulMaqdis itu hanya ada dalam wahy khafi – hadis sahaja. Ini adalah kerana ia tidak ada di dalam Al-Qur’an. Itu pun sudah menunjukkan ianya bersifat sementara sahaja. Ada juga pendapat yang mengatakan arah kiblat BaitulMaqdis itu pun sebenarnya bukan arahan Allah akan tetapi ijtihad Nabi Muhammad sahaja. Allahu a’lam.
Selepas Nabi ﷺ dan para sahabat berpindah ke Madinah, kiblat dalam salat waktu itu adalah ke BaitulMaqdis selama 16 atau 17 bulan sebelum ditukar ke Mekah. Sepanjang waktu itu, Nabi ﷺ sentiasa berharap supaya kiblat ditukar ke Mekah. Dan ia telah ditukar dan ia adalah hukum pertama yang dinasikhkan oleh Allah.
Apabila kiblat diubah dari kiblat yang digunakan juga oleh puak Yahudi, itu menunjukkan status mereka akan dijatuhkan daripada menjadi umat pilihan. Sebelum ini, mereka adalah umat pilihan, namun tidak lagi. Ini kerana mereka tidak mengambil peluang yang ada untuk menerima Nabi Muhammad ﷺ. Kita boleh katakan yang BaitulMaqdis adalah ibu negara kepada Bani Israil. Ibu negara adalah sesuatu yang amat penting kepada sesuatu tamadun. Mereka bangga apabila orang Islam juga menghadap kepada kiblat mereka. Tetapi apabila kiblat itu diubah nanti, mereka akan marah. Sepatutnya, kalau difikirkan, mereka tidak patut rasa apa-apa, sebab kepada mereka, kita adalah agama yang sesat pun. Tetapi yang jelas, mereka akan marah. Ini adalah kerana mereka sebenarnya tahu bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Rasul yang benar, cuma mereka tidak mahu terima sahaja kerana degil. Mereka jadi marah kerana apabila Nabi ﷺ berpindah kepada menghadap Ka’bah, yang juga bermakna umat Islam waktu itu membelakangi Masjidil Aqsa kerana perubahan kiblat itu adalah 180%.
Nabi-Nabi daripada kalangan Bani Israil memang menghadap ke BaitulMaqdis dalam ibadat mereka, ini tidak dinafikan. Maka oleh itu, mereka kata, kalau Islam ini agama yang benar, mestinya umat Islam menghadap ke BaitulMaqdis jugalah sepertimana Nabi-nabi terdahulu. Namun tidak begitu kehendak Allah ﷻ.
Ayat ini masih lagi terpakai kerana memang sampai sekarang ada lagi yang mempersoalkan kenapa kiblat ditukar. Sebelum ini telah disebut tafsiran bagi السُّفَهَاءُ adalah Yahudi. Akan tetapi ia juga boleh merujuk kepada sesiapa sahaja yang bodoh dari kalangan manusia dan tidak terhad kepada golongan Yahudi sahaja. Sebab itulah Allah tidak mengkhususkan sebut golongan Yahudi di dalam ayat ini melainkan hanya menyebut السُّفَهَاءُ sahaja. Memang akan sentiasa sahaja ada orang bodoh dalam dunia ini yang mempersoalkan hal ini. Contohnya di universiti-universiti ada lagi Professor-professor yang kata patutnya Islam tidak menukar kiblat. Patutnya pakai sahaja kiblat ke Jurusalem. Apa mereka sangka ia adalah pilihan Nabi? Atas pertanyaan dan ejekan mereka ini, Allah ﷻ jawab dengan dua cara. Satu tegas dan satu dengan penuh kesempurnaan.
قُلْ لِّلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ
Katakanlah: milik Allahlah timur dan barat;
Sekarang Allah ajar apa yang hendak dijawab kepada orang-orang bodoh itu. Nabi Muhammad tak perlu fikir skrip, sekarang Allah berikan sendiri. Beritahulah yang Allah ﷻ memiliki segala-galanya. Barat Dia punya, timur pun Dia punya, mana-mana arah Dia juga yang punya. Maka terpulang kepada Allah ﷻlah hendak suruh kita menghadap ke mana-mana pun. Semua arah adalah kepunyaan-Nya. Yang penting adalah arahan itu dan arah ke mana tidak penting. Ini kerana jalan yang lurus adalah dengan mengikut arahan Allah ﷻ bukan arah yang mana. Mereka tidak faham atau buat-buat lupa tentang perkara ini. Perkara ini telah disebut di dalam ayat 115 surah ini sebelum ini:
وَلِلَّهِ المَشرِقُ وَالمَغرِبُ ۚ فَأَينَما تُوَلّوا فَثَمَّ وَجهُ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ واسِعٌ عَليمٌ
Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa Mengetahui.
Arah mana kiblat itu tidak penting sangat kerana disebut di dalam ayat 115 yang kita hadapkan di dalam solat, فَثَمَّ وَجهُ اللَّهِ di situlah wajah Allah. Tambahan pula disebut di dalam Baqarah:177 yang kebaikan itu bukanlah pada arah,
لَّيسَ ٱلبِرَّ أَن تُوَلُّواْ وُجُوهَكُم قِبَلَ ٱلمَشرِقِ وَٱلمَغرِبِ
Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat
Maknanya Allah tidak perlukan arah. Kebaikan juga boleh dicapai walaupun tanpa mengadap ke arah yang spesifik. Akan tetapi penyatuan arah adalah penting kerana kalau semua arah berlainan, maka tentulah tidak molek, bukan? Agama Islam mementingkan penyatuan, maka mestilah kena ada satu arah yang sama-sama umat Islam menghadap kepadanya. Ada berbagai cara untuk menyatukan masyarakat, sebagai contoh tempat, bahasa, bangsa dan lain-lain lagi. Bagi umat Islam seluruh dunia, kebijaksanaan Allah adalah menyatukan satu arah di dalam ibadah yang dilakukan setiap hari iaitu solat. Kerana kalau bahasa yang dijadikan alat penyatuan, bukan semua umat Islam boleh berbahasa Arab. Jadi kalau cara lain yang dijadikan sebagai punca penyatuan, ia tidak akan berjaya. Sebab itu Islam tidak ada uniform dan tidak perlu pun hendak pakai jubah, riddah di bahu kanan atau serban yang sama. Pakai baju apa-apa pun boleh asalkan menutup aurat dan tidak menjolok mata.
Pentingnya kiblat ini sampaikan kita tidak boleh mengkafirkan ahlul qiblah. Tapi Allah tidak berikan manusia memilih kerana kalau manusia pilih sendiri tentulah takkan selesai perbincangan mana satu arah yang dipersetujui. Jadi Allah sendiri yang pilih supaya manusia terus boleh ikut sahaja. Dan Allah telah lama pilih Ka’bah kerana itulah rumah ibadat yang pertama dibina di dunia seperti disebut di dalam Ali Imran:96
إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعٰلَمِينَ
Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.
Jadi kiblat ke Ka’bah itu bukanlah baru, jadi apabila umat Islam menghadap ke Ka’bah sebenarnya kita kembali ke kiblat yang asal. Cuma semasa Nabi ﷺ di Mekah, baginda menghadap BaitulMaqdis dalam salat baginda (mengikut satu pendapat yang kita akan bincangkan nanti). Ini kerana semasa di Mekah, Nabi ﷺ boleh lagi berada dalam posisi di mana baginda menghadap Ka’bah dan BaitulMaqdis dalam waktu yang sama. Nabi ﷺ menjadikan kedudukan Ka’bah dan BaitulMaqdis sejajar supaya baginda boleh hadap kedua-duanya sekali. Tetapi apabila telah berhijrah ke Madinah, Nabi ﷺ dan umat Islam lain tidak boleh lagi buat begitu. Nabi ﷺ telah sedih disebabkan perkara itu kerana Nabi ﷺ amat sayangkan Ka’bah kerana ia ada kaitan dengan Nabi Ibrahim عليه السلام.
Waktu ayat ini diturunkan, Mekah dan Ka’bah masih lagi dalam jajahan takluk Musyrikin Mekah. Di situ masih banyak lagi berhala sembahan mereka. Apabila Allah ﷻ berkata bahawa kiblat akan dipindahkan ke situ, itu sebenarnya telah memberi isyarat bahawa orang Islam akan menakluki Mekah. Ini kerana tidak mungkin Allah ﷻ hendak membiarkan umat Islam terus salat menghadap ke arah Ka’bah yang banyak berhala padanya? Para sahabat dari Mekah memang tidak pernah melupakan Mekah dan Ka’bah walaupun mereka telah berada di Madinah dan telah membina negara Islam di situ. Dari mula lagi mereka sudah tahu bahawa mereka akan kembali juga ke Mekah.
يَهدي مَن يَشاءُ إِلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ
Allah pimpin kepada sesiapa yang Dia kehendaki kepada jalan menuju kepada jalan yang lurus;
Di dalam Surah Fatihah Ayat 6 telah disebut الصِّرٰطَ المُستَقيمَ yang kita dambakan itu. Dari segi syarak, ada lima kriteria untuk sesuatu jalan atau laluan itu boleh dipanggil ‘الصِّراطَ ‘. الصِّراطَ adalah jalan yang spesifik kerana ada perkataan lain lagi yang boleh digunakan untuk jalan, seperti طريق dan سبيل. Tetapi, perkataan-perkataan itu tidak digunakan, sebaliknya, digunakan perkataan yang khusus – الصِّراطَ. Kriteria-kriteria yang perlu ada untuk sesuatu jalan itu dipanggil الصِّراطَ adalah:
1. Ia mestilah jalan yang lurus. Ada jalan yang bengkang bengkok yang masih lagi boleh digunakan oleh manusia, tetapi ia bukanlah الصِّراطَ kalau ia tidak lurus.
2. Jalan itu membawa mereka yang sampai kepada tujuan yang dikehendaki.
3. Jalan itu adalah jalan yang paling dekat. Dan memang kalau jalan yang lurus, ia adalah jalan yang paling dekat kerana tidak membelok ke mana-mana.
4. Jalan yang luas sampai boleh dilalui oleh mereka yang hendak melaluinya. Jalan yang selesa untuk dilalui.
5. Jalan itu khusus untuk destinasi yang dimaksudkan. Kalau bukan spesifik jalan yang membawa kepada jalan yang lurus, Allah ﷻ menggunakan طريق atau سبيل sahaja. Dan memang perkataan سبيل ada digunakan dalam Al-Qur’an seperti yang dalam An’am: 153
وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ
Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah,
Allah ﷻ boleh pilih dan bawa sesiapa sahaja ke arah kebenaran. Kerana itu kita katakan hidayah itu milik Allah ﷻ. Dan Allah ﷻ akan beri hidayah kepada mereka yang mahukan kebenaran. Iaitu mereka yang ada sifat inabah dalam hatinya. Mereka sendiri mahu kepada kebenaran dan sanggup mengikutnya. Iaitu jalan menuju kepada Allah ﷻ. Iaitu jalan Al-Qur’an dan Sunnah. Jalan untuk mentauhidkan Allah ﷻ. Iaitu jalan yang ikut kepada perintah Allah ﷻ. Maka kenalah kita minta jalan yang lurus ini daripada Allah ﷻ.
Allah sahaja yang tahu mengapa Dia arahkan manusia untuk mengadap Ka’bah di dalam ibadah. Kita mungkin boleh agak-agak sahaja dan tidak tahu dengan pasti. Akan tetapi bagi mereka yang Allah hendak beri hidayah, senang sahaja ikut apa sahaja arahan dari Allah. Kita tidak perlu tahu apakah hikmat sesuatu amalan itu untuk kita mengamalkannya. Asalkan kita taat sahaja kepada perintahNya. Yang pasti, tentu ada hikmah sama ada kita tahu atau tidak.
Tapi tidak salah untuk kita buat andaian apakah hikmat Allah suruh umat Islam bertukar arah kiblat. Ia boleh jadi benar tapi boleh juga jadi salah. Ulama’ berusaha memikirkan kenapa dan mengapa dari sesuatu arahan Allah kerana ia tugas akal yang memang ingin mengetahui, bukan? Boleh jadi pengalihan kiblat pertama dari Mekah ke BaitulMaqdis kerana pada waktu itu, Mekah dan Ka’bah dipenuhi dengan berhala yang banyak. Dan sekarang sudah sampai masa untuk membersihkan Ka’bah dari berhala-berhala itu maka sekarang diarahkan manusia untuk mengarah kepadanya.
Allah akan membawa orang yang mahukan kebenaran ke arah kebenaran. Kerana dia sendiri yang hendak. Kerana itu ada kaedah penting di dalam ayat ini, iaitu نظرة الأمر وليس إلى الأمر (lihatlah kepada yang memberi arahan, bukannya kepada arahan itu). Jadi arahan untuk mengadap ke Ka’bah sebagai kiblat adalah arahan Allah. Tak perlulah untuk kaji kenapa dan mengapa pula.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 24 November 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
