Tafsir Surah Baqarah Ayat 218 (Hijrah dan Jihad)

BALASAN KEPADA MEREKA YANG TAAT

Baqarah Ayat 218: Ini adalah ayat Tabshir (berita gembira). Dugaan untuk mengikuti agama ini adalah amat tinggi maka Allah ‎ﷻ berikan berita baik pada mereka yang sudah membuat keputusan untuk menjalankannya. Iaitu mereka akan diberikan dengan rahmat Allah ‎ﷻ.

Di dalam ayat sebelum ini kita telah bertemu dengan kisah serangan kumpulan Abdullah bin Jahsy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ terhadap Musyrikin Makkah. Mereka telah melakukan kesalahan yang besar maka tentulah mereka takut sangat. Maka Allah ﷻ memujuk mereka di dalam ayat ini. Semua sifat-sifat yang disebut di dalam ayat ini ada pada beliau dan kawan-kawan beliau.

Semua kita mengharapkan rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Namun siapakah yang layak untuk mendapat rahmat Allah ‎ﷻ? Allah ‎ﷻ sebut dalam ayat ini. Mari kita baca.

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَالَّذينَ هاجَروا وَجٰهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ أُولٰئِكَ يَرجونَ رَحمَتَ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

SAHIH INTERNATIONAL
Indeed, those who have believed and those who have emigrated and fought in the cause of Allah – those expect the mercy of Allah . And Allah is Forgiving and Merciful.

MALAY
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا

Sesungguhnya orang-orang yang beriman,

Iaitu mereka yang sanggup beriman dan berusaha untuk memperbaiki iman mereka sehingga iman mereka sempurna. Apakah iman sempurna? Itulah iman yang sebenar-benar iman tanpa ada elemen syirik di dalamnya. Ini yang jadi masalah kepada manusia kerana ramai yang ada fahaman syirik yang mungkin tanpa mereka sedari.

Iman ini hendaklah dijaga. Walaupun sudah tidak ada syirik, tetaplah iman itu turun dan naik mengikut keadaan kita. Bagaimana hendak menjaga dan meningkatkan iman kita? Dengan meningkatkan ilmu kita. Ini kerana dengan ada kefahaman, barulah kita dapat meningkatkan iman.

 

وَالَّذينَ هاجَروا

dan orang-orang yang berhijrah

‘Hijrah’ yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah ‘Hijrah Tubuh Badan’ dan juga ‘Hijrah Amal’. Memang yang utama adalah hijrah para sahabat رضي الله عنهم dari Makkah ke Madinah akan tetapi jangan kita hadkan kepada itu sahaja. Kalau sempitkan maksudnya, maka tidak ada peluanglah kita untuk mengamalkan ayat ini di dalam kehidupan kita.

Hijrah dari Makkah ke Madinah itu memang hijrah yang terbesar (kerana ia melibatkan hijrah tempat dan hijrah amal) tetapi kita yang hidup selepas zaman itu masih juga boleh melakukan hijrah. Iaitu hijrah ke arah kebaikan. Ibn Qayyim al-Jauziyah رَحِمَهُ اللَّهُ menyebut: Hijrah terbahagi kepada dua:

    • Hijrah dengan tubuh badan dari sebuah negeri ke sebuah negeri yang lain.
    • Hijrah dengan hati kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya, iaitu hijrah yang mengandungi (daripada) dan (kepada). Iaitu hijrah dengan hatinya daripada cinta selain Allah ‎ﷻ kepada cinta kepada-Nya. Daripada Ubudiyyah selain-Nya kepada Ubudiyyah Allah ‎ﷻ. (Lihat al-Risalah al-Tabukiyah, hlm. 24-25)

Rasulullah ﷺ pernah bersabda,

وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ
Dan orang yang berhijrah itu adalah orang yang berhijrah (menjauhkan diri) daripada melakukan apa yang Allah larang. 
(Sahih Bukhari No. 6484)

‘Hijrah tubuh badan’ yang dimaksudkan adalah kita berpindah dari tempat yang tidak baik kepada tempat yang lebih baik dari segi agama. Supaya kita tidak duduk lagi bersama orang orang yang lalai dan leka dengan agama mereka. Ia juga bermaksud tidak bermastautin dalam perkampungan kafir harbi tetapi duduk dalam perkampungan orang Islam.

Saya teringat bagaimana Syeikh Albani رَحِمَهُ اللَّهُ selalu sahaja menasihati sesiapa sahaja orang Islam yang duduk di negara orang kafir untuk berpindah ke negara Islam untuk menjaga agama mereka. Beliau selalu mendapat panggilan telefon daripada orang Islam seluruh dunia untuk bertanyakan tentang hukum agama dan setiap kali ada panggilan daripada orang Islam dari negara kafir, beliau akan menasihati mereka tentang perkara ini. Beliau ajak mereka berpindahlah ke negara Islam.

Bagi mereka yang sanggup berhijrah kerana mahu menjaga agama Allah ﷻ, mereka akan memperolehi kebaikan. Iaitu selepas mereka dizalimi, sampaikan mereka tidak boleh hendak beramal agama dengan sempurna, maka mereka terpaksa mengambil keputusan untuk berhijrah meninggalkan kampung halaman mereka. Ini kerana tempat asal mereka tidak ada peluang untuk mereka mengamalkan agama Islam.

Berhijrah kerana hendak mengamalkan agama Allah ﷻ dengan sempurna adalah wajib jikalau kita dihalang mengamalkan agama. Allah ﷻ telah mengingatkan perkara ini di dalam Nisa’: 97

إِنَّ الَّذينَ تَوَفّٰهُمُ المَلىٰئِكَةُ ظالِمي أَنفُسِهِم قالوا فيمَ كُنتُم ۖ قالوا كُنّا مُستَضعَفينَ فِي الأَرضِ ۚ قالوا أَلَم تَكُن أَرضُ اللَّهِ وٰسِعَةً فَتُهاجِروا فيها ۚ فَأُولٰئِكَ مَأوىٰهُم جَهَنَّمُ ۖ وَساءَت مَصيرًا
Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

Mereka yang sanggup berhijrah kerana agama dijanjikan dengan ganjaran yang amat besar seperti disebut di dalam Nahl: 41

وَالَّذينَ هاجَروا فِي اللهِ مِن بَعدِ ما ظُلِموا لَنُبَوِّئَنَّهُم فِي الدُّنيا حَسَنَةً ۖ وَلَأَجرُ الآخِرَةِ أَكبَرُ ۚ لَو كانوا يَعلَمونَ
Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiaya, pasti Kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. Dan sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui.

‘Hijrah amal’ adalah kita ubah cara kehidupan kita daripada yang buruk kepada yang baik. Contohnya kalau dulu kita berniaga cara riba, sekarang kita ubah kepada cara perniagaan yang Sunnah. Kalau dahulu kita malas sembahyang atau lambat menunaikan solat, maka sekarang hendaklah kita bersemangat dan bersegera untuk mengerjakan solat dan memperbaiki solat kita. Kalau kita sekarang bekerja di tempat yang ada syubhat, maka kita tukar pekerjaan kita dengan pekerjaan yang lebih selamat daripada segi agama.

Perhatikan pengulangan kalimah الَّذينَ pada kalimah هاجَروا. Allah ‎ﷻ boleh sahaja berfirman إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَهاجَروا وَجٰهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ akan tetapi Allah ‎ﷻ berfirman إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَالَّذينَ هاجَروا وَجٰهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ. Ada sesuatu yang tersirat di sini. Apabila Allah ‎ﷻ mengulang kalimah الَّذينَ, ia hendak menyamakan kedudukan ءآمَنوا dan هاجَروا. Ini kerana kedua-duanya di dalam kedudukan yang sama. Serta perhatikan juga tiada kalimah الَّذينَ pada kalimah جٰهَدوا. Ini bermakna bahawa ia tidaklah sebanding dengan kedudukan هاجَروا kerana ia mengikut sahaja. Jadi orang-orang yang هاجَروا itu lebih hebat daripada orang-orang yang جٰهَدوا. Ini adalah kerana hijrah itu amat sukar untuk dilaksanakan. Mereka yang sanggup melakukannya terpaksa meninggalkan tanah asal tempat lahir mereka, tempat yang mereka membesar dan selesa, meninggalkan harta benda, malah meninggalkan kawan dan keluarga. Ini bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan. Kerana ia sukarlah yang menyebabkan ada umat Islam yang telah beriman dengan Rasulullah ﷺ semasa di Makkah namun mereka tidak berhijrah ke Madinah.

 

وَجٰهَدوا في سَبيلِ اللَّهِ

serta berjuang pada jalan Allah

Semasa hidup, dia berjuang untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ dengan menyampaikan wahyu kepada orang lain. Salah satu caranya tentang dengan perang menggunakan senjata. Allah ‎ﷻ telah menetapkan kepada kita untuk usaha dakwah kepada umat manusia dan kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh dalam menjalankan usaha dakwah itu.

Ada perbezaan antara jihad fillah dan jihad fisabilillah. Jihad fillah adalah apabila kita berusaha untuk buat perkara yang Allah ‎ﷻ suka dengan apa yang kita usahakan dalam kehidupan kita. Ini pun kena kita lakukan setiap masa dan ini adalah misi peribadi kita. Sedangkan jihad Fi sabilillah adalah lebih khusus iaitu usaha untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ di atas muka bumi Allah ‎ﷻ ini. Inilah misi kita sebagai umat Islam. Jadi, ada misi peribadi kita kepada Allah, ‎ﷻ dan ada misi kolektif kita bersama dengan umat Islam yang lain.

Oleh itu, janganlah kita mencetekkan maksud jihad itu. Ada Muslim yang tidak faham kerana tidak belajar dengan betul tentang maksud jihad. Ada orang kafir yang menyalahkan umat Islam atas maksud jihad itu. Orang Islam yang jahil dan orang kafir yang salah sangka kepada Islam, mengatakan yang ‘jihad’ itu bermaksud ‘perang’. Padahal itu adalah maksud yang cetek.

‘Jihad’ dari segi bahasa maksudnya ‘usaha yang bersungguh-sungguh’. Lebih-lebih lagi untuk berdakwah kepada manusia. Kalau usaha dakwah itu memerlukan perang, barulah ia digunakan. Bukanlah kita terus memerangi orang kafir sebelum kita dakwah kepada mereka. Masalah sekarang, sudahkah kita dakwah kepada mereka?

Sepertimana hijrah ada berbagai jenis, maka jihad juga begitu, antaranya:

1. Jihad Melawan Hawa Nafsu (Jihad An-Nafs)

  • Ini adalah jihad terbesar kerana ia melibatkan perjuangan menundukkan keinginan dan hawa nafsu yang boleh membawa kepada dosa. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Ankabut: 69 tentang hal ini,

وَالَّذينَ جٰهَدوا فينا لَنَهدِيَنَّهُم سُبُلَنا ۚ وَإِنَّ اللهَ لَمَعَ المُحسِنينَ
Dan orang-orang yang berjihad untuk Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik.

  • Contoh jihad nafsu:
    • Melawan rasa malas dalam beribadah.
    • Menjaga diri daripada godaan maksiat.
    • Mengawal amarah dan emosi negatif.

 

2. Jihad Melawan Syaitan (Jihad Asy-Syaithan)

  • Syaitan sentiasa berusaha menyesatkan manusia, jadi jihad ini bermaksud melawan bisikan syaitan dan godaan dosa. Usaha ini perlu dijalankan sentiasa sepanjang hidup kita kerana mereka itu musuh kita yang sentiasa hendak menyesatkan kita. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Fatir: 6

إِنَّ الشَّيطٰنَ لَكُم عَدُوٌّ فَاتَّخِذوهُ عَدُوًّا ۚ إِنَّما يَدعو حِزبَهُ لِيَكونوا مِن أَصحٰبِ السَّعيرِ
Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh(mu), kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala

  • Contoh jihad melawan syaitan:
    • Menjauhi bisikan untuk melakukan maksiat.
    • Tidak mudah putus asa dengan dosa dan bertaubat kepada Allah ‎ﷻ.
    • Menghindari godaan syaitan dalam bentuk riba, zina, dan hasad dengki.

 

3. Jihad Melawan Orang Kafir yang Memusuhi Islam (Jihad Fi Sabilillah)

  • Jihad ini melibatkan usaha mempertahankan agama, tanah air, dan umat Islam daripada serangan musuh. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Baqarah: 190

وَقَـٰتِلُواْ في سَبيلِ اللَّهِ الَّذينَ يُقَـٰتِلُونَكُم وَلا تَعتَدوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ المُعتَدينَ
Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.

  • Syarat Jihad Perang:
    • Hanya dilakukan apabila Islam atau umat Islam dizalimi dan diperangi.
    • Tidak boleh menyerang orang yang tidak bersalah (wanita, kanak-kanak, orang tua).
    • Mesti berdasarkan arahan pemerintah Islam yang sah.

 

4. Jihad Melawan Kemungkaran dan Kezaliman (Jihad Al-Munkar)

  • Jihad ini berkaitan dengan usaha mencegah kemungkaran, kezaliman, dan kebatilan dalam masyarakat. Rasulullah ﷺ telah bersabda,

 مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
“Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran hendaklah dia mencegah kemungkaran itu dengan tangannya. jika tidak mampu, hendaklah mencegahnya dengan lisan, jika tidak mampu juga, hendaklah dia mencegahnya dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman.” (Sahih Muslim No. 70)

  • Contoh jihad melawan kemungkaran:
    • Menegakkan keadilan dalam masyarakat.
    • Menasihati orang yang melakukan kesalahan dengan cara yang baik.
    • Berusaha mengubah sistem yang zalim kepada sistem yang adil.

 

5. Jihad Ilmu dan Dakwah (Jihad Bil-Ilm wa Ad-Dakwah)

  • Jihad ini bermaksud berjuang menyebarkan ilmu dan kebenaran Islam untuk membawa masyarakat ke jalan yang benar. Lihat firman Allah ‎ﷻ di dalam Nahl: 125

ادعُ إِلىٰ سَبيلِ رَبِّكَ بِالحِكمَةِ وَالمَوعِظَةِ الحَسَنَةِ ۖ وَجٰدِلهُم بِالَّتي هِيَ أَحسَنُ
Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.

  • Contoh jihad ilmu dan dakwah:
    • Menuntut ilmu agama dan menyebarkannya kepada orang lain.
    • Menggunakan media sosial untuk menyampaikan dakwah yang baik.
    • Mengajar dan mendidik masyarakat supaya memahami Islam dengan betul.

 

6. Jihad dalam Pekerjaan dan Kehidupan Seharian

  • Ini adalah jihad dalam mencari rezeki yang halal dan membangunkan umat Islam. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Jumuah: 10

فَإِذا قُضِيَتِ الصَّلوٰةُ فَانتَشِروا فِي الأَرضِ وَابتَغوا مِن فَضلِ اللَّهِ
Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah

  • Contoh jihad dalam kehidupan seharian:
    • Bekerja keras dengan cara yang halal untuk menyara keluarga.
    • Berusaha meningkatkan ekonomi umat Islam.
    • Melakukan inovasi dan kemajuan dalam bidang ilmu dan teknologi.

 

أُولٰئِكَ يَرجونَ رَحمَتَ اللَّهِ

mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah

Mereka ini telah beriman dan mereka telah memberikan segala jiwa raga mereka terhadap perjuangan Islam? Kenapa? Kerana mereka mengharap rahmat Allah ‎ﷻ. Perhatikan kalimah rahmat yang digunakan adalah dalam bentuk رحمت dan bukan رحمة seperti yang selalu digunakan. Kalau رحمة ia adalah rahmat dalam bentuk umum yang Allah berikan. Sebab itu banyak ayat yang gunakan begini. Akan tetapi kalau رحمت itu adalah rahmat khas yang diberikan kepada orang yang khas. Macam Baqarah:218 ini ia dijanjikan kepada orang yang beriman, hijrah dan jihad. Perhatikan contoh lain dalam Hud:73 yang diberikan kepada keluarga Nabi Ibrahim.

قالوا أَتَعجَبِينَ مِن أَمرِ اللَّهِ ۖ رَحمَتُ اللَّهِ وَبَرَكٰتُهُ عَلَيكُم أَهلَ البَيتِ ۚ إِنَّهُ حَميدٌ مَّجيدٌ
Para malaikat itu berkata: “Apakah kamu merasa hairan tentang ketetapan Allah? (Itu adalah) rahmat Allah dan keberkatan-Nya, dicurahkan atas kamu, hai ahlulbait! Sesungguhnya Allah Maha Terpuji lagi Maha Pemurah”.

Perhatikan mereka ‘mengharap’ kerana mereka belum pasti yang mereka akan dapat. Mereka tidaklah perasan macam kita yang sangka kita pasti jadi ahli syurga (tanpa buat apa-apa pun kalau dibandingkan dengan para sahabat itu). Hati mereka tetap di dalam kecemasan takut-takut mereka tidak layak mendapat rahmat Allah ‎ﷻ. Memang inilah yang patut ada pada seorang mukmin, iaitu keseimbangan antara takut dan harap (khauf dan raja’).

Dalam kehidupan seorang Muslim, terdapat dua unsur penting dalam hubungan dengan Allah (khauf dan raja’) yang perlu diseimbangkan:

1️⃣ Khauf (الخوف) – Takut kepada Allah ‎ﷻ
2️⃣ Raja’ (الرجاء) – Harapan kepada rahmat Allah ‎ﷻ

Kedua-duanya sangat penting untuk memastikan kita berada di jalan yang benar, tidak terlalu takut sehingga berputus asa, dan tidak terlalu berharap sehingga lalai dalam beribadah. Khauf bermaksud takut kepada Allah ‎ﷻ kerana kebesaran-Nya, azab-Nya, dan balasan buruk bagi orang yang berdosa. Raja’ bermaksud mengharap kepada rahmat dan keampunan Allah ‎ﷻ serta yakin bahawa Allah ‎ﷻ Maha Pengampun dan Maha Pemurah. Islam mengajar umatnya untuk menyeimbangkan rasa takut (khauf) dan harapan (raja’) supaya tidak terlalu ekstrim ke satu arah:

✔️ Jika terlalu takut (khauf) tanpa harapan (raja’), seseorang mungkin berputus asa dan merasa tidak layak mendapat keampunan Allah ‎ﷻ.
✔️ Jika terlalu berharap (raja’) tanpa takut (khauf), seseorang mungkin menjadi lalai dan terus melakukan dosa dengan alasan Allah ‎ﷻ Maha Pengampun.

Imam Ibnul Qayyim رَحِمَهُ اللَّهُ berkata:
Hati yang sempurna adalah yang mempunyai dua sayap: satu sayap adalah khauf dan satu lagi adalah raja’. Jika salah satu patah, maka seseorang tidak akan dapat terbang ke akhirat dengan selamat.

Ayat ini juga mengajar kita yang rahmat itu adalah hak mutlak Allah ‎ﷻ. Dia sahaja yang menentukan siapa yang patut dapat. Tidak ada sesiapa yang boleh kata dengan pasti yang dia akan dapat rahmat Allah ‎ﷻ.

Mereka yang bersifat seperti yang disebut di ataslah yang ada harapan untuk mendapat rahmat Allah ‎ﷻ. Kita kena berusaha untuk mendapat rahmat Allah ‎ﷻ. Maknanya dalam ayat ini ada perintah daripada Allah ‎ﷻ untuk kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan rahmat-Nya. Bukan dengan berharap sahaja tetapi kena ada usaha. Kalau tanpa buat usaha tetapi berharap dapat rahmat, itu adalah kerja gila dan sia-sia.

Kita memang amat memerlukan rahmat Allah ‎ﷻ sebab hanya dengan rahmat Allah‎ ﷻ sahaja kita buat boleh masuk ke dalam syurga, bukan dengan amalan kita. Ini kita tahu daripada hadith yang sahih daripada Nabi ﷺ. Amalan kita dari segi ibadat dan perbuatan baik itu akan dapat meninggikan darjat kita di dalam syurga sahaja tetapi untuk memasukinya, memerlukan rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Nabi ﷺ bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ أَحَدٍ يُدْخِلُهُ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ فَقِيلَ وَلَا أَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَلَا أَنَا إِلَّا أَنْ يَتَغَمَّدَنِي رَبِّي بِرَحْمَةٍ

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidak ada seorang pun yang dimasukkan syurga oleh amalannya.” Dikatakan: Tidak juga denganmu, wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Tidak juga aku, kecuali bila Rabbmu melimpahkan rahmat padaku.”
(Hadith Riwayat Muslim No. 5037)

 

وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ

Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah ‎ﷻ Maha Mengampuni segala dosa kita asalkan kita mahu meminta ampun kepada-Nya. Dengan rahmat Allah ‎ﷻ itu, kalau Dia telah mengampunkan dosa kita, Dia tidak akan mengazab kita dalam neraka.

Perhatikan di hujung ayat ini Allah ‎ﷻ menyebut sifat-Nya yang Maha Pengampun. Sedangkan ayat ini tentang orang yang melakukan kebaikan: telah beriman, berhijrah dan berjihad, hanya kerana mengharapkan rahmat Allah ‎ﷻ. Maka sepatutnya ikut logik kita, sifat memberi nikmatlah seperti الرحمن atau الوهاب dan sebagainya. Ini mengajar kita supaya jangan ada sifat ujub (perasan diri hebat). Walaupun telah melakukan kebaikan, mungkin kita juga ada melakukan dosa maka kita masih berharap kepada sifat pengampun Allah ‎ﷻ.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 September 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Kitab Asbabun Nuzul oleh Imam As-Suyuthi

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah